Boon Huat (kanan) bersama anaknya, Kang Wei keluar daripada Mahkamah Sesyen selepas mengaku tidak bersalah dalam kes pecah amanah yang berlaku kira-kira tiga tahun lalu.IPOH - Pengarah syarikat pembalakan dan perkayuan terkemuka Perak Industrial Corporation Sdn Bhd bersama anak lelakinya dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan pecah amanah ke atas wang syarikat berjumlah RM11,110,678.20 (RM11.1 juta) di Sungai Siput tiga tahun lalu.
Tertuduh, Tan Boon Huat, 59, dan Tan Kang Wei, 33, dari Sungai Siput mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Mengikut pertuduhan, Boon Huat yang juga pengarah serta pemegang saham utama syarikat berkenaan, diamanahkan dengan penguasaan harta tertentu iaitu wang berjumlah RM11,110,678.20, telah melakukan pecah amanah.
Manakala, Kang Wei dituduh bersubahat atas kesalahan dan jumlah wang yang sama.
Mereka berdua dituduh melakukan perbuatan itu di Perak Industrial Corporation Sdn Bhd, Sungai Siput antara 22 September hingga 22 Disember 2009.
Boon Huat didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala, Kang Wei yang bersubahat dengan bapanya itu didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen sama, dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan penjara tidak kurang dua tahun atau tidak melebihi dua puluh tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa, Raya Syed Faisal Syed Amir memohon wang jaminan RM1 juta bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin memandangkan kes ini melibatkan jumlah wang yang besar.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Datuk Jerald Gomez memohon agar wang jaminan dikurangkan antara RM25,000 ke RM50,000.
Menurutnya, merujuk kes membabitkan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Darby Berhad, Datuk Seri Ahmad Zubair Murshid yang dituduh di atas pertuduhan pecah amanah membabitkan kerugian lebih RM100 juta dalam projek pembangunan tanah adat di Sarawak, Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin.
Selepas meneliti dan mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak Madihah menetapkan wang jaminan RM800,000 bagi setiap tertuduh masing-masing dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan mereka disimpan di mahkamah dan hanya akan diserahkan jika perlu.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 September 2012.