Search This Blog

Friday, August 3, 2012

Lelaki berkerusi roda dituduh miliki dadah



Lelaki berkerusi roda dituduh miliki dadah
Tertuduh Rosli Muhammad, 42 dibawa keluar dari mahkamah dalam keadaan berkerusi roda.
KOTA BHARU – Seorang lelaki yang menghidap strok dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam dalam keadaan berkerusi roda terhadap tuduhan memiliki 7.54 gram heroin, Mac lalu.
Tuduhan ke atas Rosli Muhammad, 42, dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.
Berdasarkan tuduhan, Rosli didakwa memiliki dadah berkenaan di Kampung Binjai Kedai Buloh di sini, pada jam 10.45 pagi, 15 Mac.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof.
Susulan itu, tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Dia bagaimanapun tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Pada prosiding semalam, tertuduh yang dibacakan tuduhan mengangguk faham tetapi tidak mampu bercakap dan hanya dapat memberi isyarat geleng kepala ketika ditanya pengakuannya.
Tertuduh yang juga tidak dibenarkan jaminan itu turut mempunyai rekod kes membabitkan dadah yang sedang dibicarakan.
Kedua-dua kesnya bersambung 10 September depan.

1,096 kain tudung dirampas



1,096 kain tudung dirampas PPM lakukan
Wan Ismail (kanan) bersama anggotanya memeriksa tudung yang dirampas di pangkalan haram Pulau Tengkorak.
TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor merampas 1,096 helai kain tudung pelbagai jenis bernilai RM38,360 yang cuba diseludup masuk ke negara ini melalui pangkalan haram Pulau Tengkorak, dekat sini, semalam.

Rampasan tersebut dilakukan anggota PPM selepas melakukan intipan di pulau tersebut selama hampir tiga jam.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Wan Ismail Wan Mamat berkata, dalam serbuan kira-kira jam 12.40 pagi, kelihatan sebuah kereta masuk ke pangkalan haram itu.

“Pada masa sama juga terdengar bunyi enjin bot galah dari arah Thailand  ke pangkalan sama,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan samar kelihatan tiga lelaki sedang memunggah sesuatu dari bot enjin galah masuk ke dalam kereta terbabit.

“Menyedari kehadiran anggota PPM,  tiga lelaki tersebut bertindak melarikan diri dengan kereta dan bot serta meninggalkan bungkusan yang diangkut mereka,” katanya.

Wan Ismail berkata, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemui empat bungkus plastik yang ditinggalkan berisi kain tudung dipercayai diseludup dari Thailand.

“Tiada tangkapan dibuat dan setelah pemeriksaan dilakukan ke atas bungkusan tersebut menemui tudung pelbagai jenis bernilai RM38,360, dan kemudiannya  dibawa ke markas PPM sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Kelantan untuk tindakan lanjut.

“Kita percaya, menjelang Aidilfitri nanti, kegiatan penyeludupan seperti mercun, kain tudung dan haiwan ternakan akan meningkat,” katanya.

Wanita hilang ditemui semula



Wanita hilang ditemui semula
Maimunah
KUANTAN - “Tergerak hati ayah untuk pergi ke hospital mencari mak dan memang benar mak ada di sana menerima rawatan di Wad Dahlia,” kata Safuan Ismail, 24, anak sulung Maimunah Jaafar, 52, yang dilaporkan hilang sejak awal Ramadan lalu.
Safuan berkata, ibunya hilang pada jam 2 pagi 20 Julai lalu dan dia ditemui semula seminggu selepas itu setelah mereka sekeluarga puas mencarinya di serata kawasan.
Menurutnya, ibunya yang mempunyai masalah mental ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang mungkin dihantar oleh orang awam.
“Mungkin ada orang lihat mak saya merayau-rayau lalu menghantarnya ke hospital dan kini dia masih lagi dirawat di sana.
“Saya bersyukur kerana tiada kejadian buruk yang menimpa mak sewaktu dia menghilangkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.
Safuan berkata, sejak ibunya hilang, ayahnya, Ismail Ibrahim, 67, kurang selera makan dan sering kelihatan sugul.
Bagaimanapun katanya, setelah ibunya berjaya ditemui, ayahnya sudah kelihatan ceria.
“Besar harapan saya untuk lihat mak sembuh dan kami sekeluarga boleh menyambut hari raya bersama-sama.
“Sebelum mak hilang, dia sudah pun membuat tempahan kuih raya dan saya harap impian dia untuk menikmati kuih muih itu akan termakbul setelah keluar dari hospital nanti,” katanya.
Safuan yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik berharap keluarganya dapat bersatu pada Aidilfitri ini kerana itulah masa yang ditunggu-tunggu untuk mereka berkumpul.
Katanya, walaupun ibunya mengalami masalah mental sejak hampir lima tahun lalu, namun dia seorang yang penyayang.
"Mak memang perlu bergantung kepada ubat setiap hari bagi mengawal emosinya.
“Semoga mak tidak hilang lagi selepas ini. Kami sekeluarga akan menjaganya sebaik mungkin supaya penyakit yang dihidapinya itu pulih,” katanya.

Polis pasir puteh rampas mercun bernilai RM8,000



PASIR PUTEH - Polis Pasir Puteh merampas mercun dan bunga api bernilai RM8,000 daripada seorang lelaki di Kampung Padang Pak Omar, Selising, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd Kamal Zainal berkata mercun dan bunga api itu ditemui dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda milik lelaki berumur 34 tahun tersebut.

"Lelaki itu ditahan pada pukul 12 tengah hari dan semua bunga api dan mercun itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata empat hari lepas polis menahan seorang pemuda setelah didapati menyimpan mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM300.

Katanya mereka akan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000. -Bernama

Duda terkejut kantoi jual dadah



Duda terkejut kantoi jual dadah
Sheik Azhar (kanan) bersama pegawainya menunjukkan pil kuda yang dirampas.
JELI – Seorang duda yang juga peniaga kedai runcit ditahan kerana memiliki 350 biji pil kuda hasil serbuan polis cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli ketika suspek sedang mengisi minyak.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintenden Sheik Azhar Sheik Omar berkata, kegiatan tersebut sudah lama dihidu pihak polis dan hasil risikan berjaya menahan suspek yang ternyata terkejut kerana aktiviti penjualan dadahnya dikesan.

Menurutnya, hasil maklumat awam, polis akhirnya berjaya mengesan suspek yang dikatakan berada di sebuah stesen minyak ketika itu sebelum menahannya.

“Setelah ditahan, suspek berusia 30 tahun membawa polis ke rumahnya dekat Kampung Ayer Lanas untuk menunjukkan tempat dia menyimpan bahan terlarang itu.

“Polis kemudian merampas 350 pil kuda bernilai RM7,000 yang diletakkan dalam beg kecil berzip yang disimpan dalam peti besi di biliknya,” katanya.

Menurutnya, pil kuda tersebut sudah siap dibungkus dan diletakkan dalam straw.

Tambahnya, ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah dan kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut seksyen 39 A(2) Akta Dadah Bahaya 1957 dan sekiranya didapati bersalah, suspek boleh di penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan.

Mengaku salah pukul isteri



Mengaku salah pukul isteri
Tertuduh (kiri) diiringi polis keluar dari mahkamah, semalam
KOTA BHARU – Seorang tukang kasut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memukul isterinya dengan menggunakan topi keledar, Isnin lalu.

Hilmi Nawi, 36, mengaku melakukan perbuatan itu di hadapan Majistret Mohd Hafiz Mohd Noor.

Bagaimanapun, hukuman ke atas Hilmi ditangguhkan kerana menunggu laporan perubatan mangsa.

Menurut tuduhan, Hilmi didakwa dengan sengaja memukul isterinya, Norhana Ibrahim, 33, dengan sebuah topi keledar sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa di rumah mereka di Kampung Kok Lanas, Ketereh, di sini, pada pukul 1 pagi Isnin lalu. 

Difahamkan, semasa kejadian pasangan suami isteri itu bertengkar di dalam rumah kerana masalah rumah tangga sebelum isteri meminta cerai.

Isterinya kemudian berlari ke luar rumah dan dikejar tertuduh lalu memukul kepala mangsa menyebabkan dia cedera di kepala dan pipi.
Hilmi didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam yang mengendalikan pendakwaan menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000, namun Mohd Hafiz membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000.
Hilmi yang juga bapa kepada empat orang anak itu tidak diwakili peguam.
Kes bersambung 17 September depan untuk jatuh hukum.

Bekas PPDNKK didakwa rasuah



Bekas PPDNKK didakwa rasuah
Tertuduh (dua, kiri) diiringi seorang pegawai SPRM keluar dari kamar mahkamah selepas kesnya disebutkan semalam.
KUANTAN - Seorang bekas Pembantu Penguat kuasa di Pejabat  Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK)  Pahang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tiga tuduhan menerima rasuah dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Faizul Efzaq Jaafar, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan Pegawai  Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Azman Mohd Jaya di hadapan Hakim Fathiyah Idris.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM200 daripada seorang peniaga sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya setelah didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11, Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada kira-kira jam 2.30 petang di dalam kereta jenis Proton Wira di hadapan sebuah restoran di Jalan Besar di sini, 10 Ogos 2010.
Mohd Faizul juga didakwa mengulangi perbuatan itu apabila menerima RM200 yang dimasukkan terus ke dalam akaun Maybank miliknya daripada individu sama di Menara Maybank, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur kira-kira jam 5.28 petang,  22 Ogos 2010.
Manakala pada 30 Oktober2010, Mohd Faizul sekali lagi menerima RM200 daripada lelaki itu  melalui akaun Maybank miliknya di Maybank Bangunan Umno, Jalan Haji Abdul Aziz pada jam 4.05 petang.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan.

Kereta pemain KL dicuri terbakar dalam kemalangan



Kereta pemain KL terbakar
Anggota Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, berusaha memadamkan kebakaran melibatkan kereta Proton Waja, yang terbabas selepas cuba melarikan diri daripada pihak polis, semalam.
PASIR MAS – Seorang wanita berusia 20-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes samun pada jam 2 pagi di Kampung Galok, Chetok semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, wanita ini ditahan selepas kenderaan yang dinaiki bersama dua lagi rakannya terbakar setelah melanggar lampu jalan.
Katanya, wanita yang berasal dari Pasir Puteh itu ditahan ketika sedang bersembunyi di kawasan semak, namun dua lagi rakannya berjaya meloloskan diri.
“Sepasukan polis dari cawangan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen membuat rondaan dan mendapati ketiga-tiga individu ini berada dalam keadaan mencurigakan.
“Kita mengekori dan menahan mereka di ke Kampung Kubang Bemban, namun suspek kemudiannya memecut serta hampir melanggar anggota berkenaan,” katanya, semalam.
Menurutnya, bagi menghalang perbuatan suspek, tembakan dilepaskan di bahagian tayar menyebabkan kenderaan tersebut terbabas di bahu jalan.
Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat pemotong besi, parang dan pengumpil besi di dalam kenderaan berkenaan.
Menurutnya, kenderaan berkenaan milik pemain bola sepak Liga Super Kuala Lumpur yang dipinjamkan pasukan Kelantan yang dipercayai curi sebelum ini.
“Pemiliknya, membuat laporan polis berhubung kehilangan kenderaannya, selepas menyedari kereta yang diparkir di Kelantan Trade Centre (KTC) Kota Bharu, hilang sehari sebelum kejadian.
“Siasatan dijalankan mengikut Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 379a/411 kerana memiliki kenderaan curi; Seksyen 6 kerana memiliki senjata merbahaya dan Seksyen 28 Kesalahan Kecil kerana memiliki peralatan pecah rumah,” katanya.
Yong Heng berkata, saksi diminta tampil bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini.

Ibu, anak ditahan mabuk di pusat hiburan

KUALA TERENGGANU  –  Memalukan! Seorang ibu bersama anak gadisnya bukan sahaja tergamak mencemari kesucian Ramadan dengan berhibur di sebuah pusat hiburan, malah mereka dengan tidak rasa bersalah meneguk minuman keras di tingkat empat Plaza Perdana, di sini, awal pagi semalam.

Aktiviti maksiat kedua-dua beranak itu yang tinggal di Rumah Pangsa Bukit Depu, Kuala Ibai, di sini, terbongkar apabila mereka antara 52 pengunjung yang ditahan dalam serbuan ‘Ops Noda Bulan Ramadan’ oleh anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat daerah (IPD) Kuala Terengganu bersama anggota Penguat kuasa Syariah Kuala Terengganu.

Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1 pagi itu, ‘si ibu’ yang berusia 34 tahun dan si anak 16 tahun ditangkap ketika sedang asyik menuang minuman keras sambil berhibur dengan dikelilingi lelaki bukan muhrim, rata-rata dalam kalangan buruh dan nelayan.

Kedua-dua beranak itu yang berpakaian menjolok mata ditahan bersama lima wanita dan tujuh lelaki di bawah Seksyen 23 (1) Enakmen Jenayah Syariah Takzim Negeri Terengganu 2001 atas kesalahan minum minuman memabukkan.

Turut ditahan, seorang pondan berusia 32 tahun atas kesalahan memakai pakaian dan menyamai perempuan di tempat awam.

Siasatan awal mendapati, dua beranak itu yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan sebelum ini pernah ditahan beberapa kali atas kesalahan sama dan didapati tidak pernah insaf.

Serbuan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima maklumat berhubung terdapat premis yang membenarkan remaja bawah umur masuk dengan menawarkan pakej serendah RM10 sahaja jika tidak mahu minum minuman keras di samping turut menjalankan urus niaga lebih masa.

Dalam serbuan itu juga, beberapa botol minuman keras dan gelas minuman keras turut dirampas sebagai barang kes manakala tiga pekerja premis terbabit yang beragama Islam serta pemiliknya turut ditahan atas kesalahan menyediakan dan menjual minuman keras kepada orang Islam.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian semalam mengesahkan tangkapan dan operasi berkenaan.

Dua rakan sekampung dituduh mencuri



KUANTAN- Dua rakan sekampung memilih untuk mewakili diri sendiri dalam perbicaraan akan datang selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencuri.
Kedua-dua tertuduh yang berstatus bapa itu, Radzi Razak, 28 dan Mas Herry Makhtar Din 30 berasal dari Pasir Puteh, Kelantan didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas mencuri komputer riba, set komputer dan pemain DVD milik seorang wanita dalam sebuah rumah di Lorong Air Putih 129 di sini.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan jenayah itu antara jam 4 hingga 5.45 pagi 17 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu kedua-dua tertuduh yang sudah mempunyai anak itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam ditawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap seorang oleh pihak pendakwaan bagaimanapun mahkamah membenarkan mereka membuat rayuan berhubung jaminan tersebut.
Radzi yang bekerja sebagai pembawa sayur merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan dia terpaksa menyara isteri, anak dan seorang ibu yang uzur dengan pendapatan hanya RM700 sebulan.
Manakala Mas Herry yang bekerja sebagai petani mengakui dia tidak mampu membayar jaminan tinggi memandangkan pendapatannya hanya RM400 sebulan dan terpaksa menyara keluarga termasuk anak yang masih kecil.
Kerana kekangan kewangan, dua rakan itu memberitahu mahkamah mereka tidak akan melantik peguam sebaliknya memilih untuk mewakili diri sendiri dalam perbicaraan yang ditetapkan pada 1 Oktober depan.
Mengambil kira rayuan tertuduh itu, Majistret Rini Triany Mohamad Ali membenarkan mereka  diikat jamin RM2,400 setiap seorang denga nseorang penjamin.

Licik sembunyi aktiviti haram



Kedai makan dibiarkan berniaga untuk mengaburi operasi pusat komputer haram di Pekan Rawang.
Kedai makan dibiarkan berniaga untuk mengaburi operasi pusat komputer haram di Pekan Rawang.
RAWANG - Dua pusat siber yang dipercayai menjalankan perniagaan mesin kuda menggunakan taktik berselindung di sebalik gerai makan untuk menutup aktiviti mereka diketahui penguat kuasa.

Perkara itu didedahkan oleh orang awam yang beberapa kali menjamu selera di kedai makan itu apabila hairan melihat ramai orang memasuki kawasan belakang kedai itu.

Kedua-dua kedai itu terletak betul-betul di Pekan Rawang dan kedua-dua peniaga yang membuka gerai makan itu dipercayai bukan warganegara dan berasal dari India dipercayai diperalat untuk menyembunyikan aktiviti mereka.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi berkenaan mendapati, sebuah premis itu dilengkapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan sekiranya pihak penguat kuasa membuat operasi.

Manakala, sebuah lagi kedai dilindungi dengan dinding pemisah antara kedai makan dengan pusat siber itu dan di dalamnya turut dipasang CCTV.

Difahamkan, kedua-dua premis itu dilindungi oleh kumpulan gengster menyebabkan tiada pihak berani membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Menurut sumber, kedai itu telah beroperasi lebih setahun dan kebanyakan pelanggannya adalah orang tetap dan bukan sembarangan orang boleh memasuki kawasan itu.

Sumber memaklumkan, waktu operasinya tidak tetap bergantung kepada pekerja yang diupah untuk menjaga premis itu tetapi kebiasaannya akan dipenuhi pelanggan sekitar jam 11 pagi dan ke atas sehingga kadang kala beroperasi hingga lewat malam.

Katanya, beliau berharap supaya polis atau pihak berkuasa menyiasat perkara itu kerana yakin ia dijalankan secara haram.

Perkara itu turut dibincangkan semasa mesyuarat bulanan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) baru-baru ini apabila seorang ahli majlis turut mendedahkan aktiviti dan taktik sama yang dijalankan di beberapa kawasan tumpuan seperti Batu Caves dan Sri Gombak.

Ahli majlis memohon supaya penguat kuasa MPS menjalankan siasatan dan operasi bersepadu dengan polis supaya aktiviti judi itu dapat dihapuskan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penguat Kuasa dan Keselamatan MPS, Azmi Ismail berkata, pihaknya telah meneliti beberapa premis yang menjalankan aktiviti dan sedang dalam proses pemantauan.

Katanya, mereka boleh dikenakan kompaun RM1,000 kerana menjalankan pusat siber haram di bawah Seksyen 3 Undang-Undang Tred.

Banjir lumpur terburuk



Banjir lumpur terburuk
Antara barangan yang tidak sempat diselamatkan
Banjir lumpur terburuk
Keadaan di luar rumah Mariam yang dilanda banjir lumpur dalam kejadian pagi semalam.
PASIR PANJANG – Dugaan buat penduduk Kampung Batu 14, Pasir Panjang, di sini apabila 10 rumah dilanda banjir lumpur dalam satu kejadian yang berlaku pagi semalam.

Penduduk, Md Aris Jamaluddin, 67, berkata, sejak dia menetap di situ kira-kira 35 tahun lalu, ia adalah kejadian banjir paling buruk yang pernah dialaminya.
“Kita percaya, sistem perparitan tak sempurna selain terdapat kerja-kerja pembinaan lebuh raya. Ini disusuli hujan lebat selama hampir tiga jam menyebabkan banjir lumpur berlaku di sini.
“Kawasan ini biasa berlaku banjir tetapi kali ini lebih teruk apabila banjir lumpur turut memasuki rumah penduduk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.
Menurutnya, masalah banjir di kawasan tersebut sering dibangkitkan kepada pihak bertanggungjawab, namun hingga kini masih tiada langkah mengatasi diambil pihak berkenaan.
“Ini yang menimbulkan rasa kesal penduduk di sini. Setiap kali banjir, banyak kerugian yang terpaksa ditanggung selain membazir masa dan juga tenaga untuk membersihkan rumah.
“Jika sistem perparitan di sini tidak diselenggara secepat mungkin, tidak  mustahil dalam masa terdekat kejadian  banjir   lumpur  ini  akan berulang memandangkan sekarang musim hujan.
“Kejadian ini sebenarnya merupakan kali kedua berlaku sejak tiga minggu lalu, namun kali ini lebih teruk,” katanya.

Anggap ujian Ramadan

Sementara itu, menurut isterinya, Saleha Ahmad, 58, persiapan raya termasuk barangan elektrik banyak yang rosak akibat banjir kerana tidak sempat diselamatkan.

“Air masuk begitu laju sehingga saya tidak sempat menyelamatkan barang-barang untuk dibawa naik ke kawasan rumah yang lebih tinggi.

“Hujan mula turun sekitar jam 7.30 pagi kemudian lebat sekitar jam 10 pagi. Kira-kira satu jam kemudian, hujan berhenti dan air banjir berserta lumpur mula memasuki rumah.

“Keadaan pagi tadi (semalam) memang kelam kabut ditambah saya hanya tinggal berdua bersama suami dan cucu yang berumur tidak sampai setahun sementara anak sudah pergi kerja,” katanya.

Menurut Saleha, semua anak-anaknya yang tinggal di Melaka, Seremban dan Shah Alam terpaksa balik ke kampung untuk membantunya membersihkan rumah.

“Saya dan suami memang tidak mampu membersihkannya sendiri kerana lumpur turut memasuki bilik dan segenap ruang rumah.

“Namun, kami menerima dugaan  ini dengan sabar. Mungkin ini ujian yang diberikan oleh-Nya sempena Ramadan,” katanya sambil tersenyum.

Sedih kenangkan sambutan Aidilfitri

Seorang lagi penduduk, Mariam Haris, 35, memberitahu, ketika kejadian dia baru sahaja selesai mendapatkan rawatan Hospital Port Dickson.

“Tuan rumah menghubungi saya memaklumkan kejadian ini dan sebaik tiba di rumah, banjir lumpur telah memasuki kediaman hingga ke paras lutut dan semua barang terapung-apung.

“Memang banyak barang yang rosak, tetapi apa boleh buat benda dah nak berlaku. Sedih juga apabila mengenangkan sekarang ini bulan puasa dan Aidilfitri dah nak dekat,” katanya.
Menurutnya, sebelum dia keluar rumah untuk ke hospital, dia tidak menyangka hujan yang turun menyebabkan banjir sebegini buruk berlaku kerana kebiasaannya air hanya naik di kawasan perkarangan rumahnya.

JKM akan salur bantuan secepat mungkin

Sementara itu, itu Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah, Rahmat Sahat berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan pemulihan secepat mungkin kepada semua mangsa banjir terlibat.

Dalam pada itu, menurut sumber Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS), daerah, pihaknya telah mengenal pasti punca berlaku banjir dan akan menyegerakan operasi pembersihan sistem perparitan yang tersumbat di kawasan berkenaan.
Tinjauan Sinar Harian juga mendapati kontraktor yang dilantik untuk kerja pembinaan lebuh raya telah menyelenggara sistem perparitan di jalan utama Batu 14, Pasir Panjang supaya banjir lumpur tidak terus mengalir ke kawasan rumah penduduk.

Saksi kes langgar lari dicari


Rempuhan Gen 2
Rempuhan Gen 2 yang menyebabkan Muhd Anuar cedera
 parah dan maut serta merta di tempat kejadian.
SEKINCHAN - Polis mencari saksi bagi membantu siasatan satu kes kemalangan langgar lari melibatkan penunggang basikal di kilometer 70 Jalan Teluk Intan - Klang, dekat Parit 7 Sungai Leman, malam Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, seorang budak 11 tahun maut serta merta  di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah akibat dirempuh sebuah kereta dipercayai jenis Proton Saga BLM berwarna hitam.

"Ketika kejadian, mangsa, Muhammad Azman Mustafa, mengayuh basikal ke kedai runcit berhampiran sebelum sebuah kereta merempuhnya dari arah belakang.

"Kita percaya kereta melanggar mangsa dipandu laju dan jenisnya dikenalpasti berdasarkan serpihan bamper kereta yang berada di tempat kejadian,"katanya.

Menurut Mushar, polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesan identiti suspek langgar lari tersebut dan sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat daripada saksi kejadian.

"Saya berharap mereka yang menyaksikan kejadian tampil  memberikan kerjasama bagi mengesan suspek dan memastikan tindakan undang-undang dapat diambil,"katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Muhammad Norizan Ramli di talian 03-32245963 atau 012-5188046 bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian berasingan, seorang remaja, Muhd Anuar Maa’duan, 18, maut dirempuh kereta Proton Gen 2, di Jalan Batu 38 Sabak, kira-kira jam 5.45 petang, hari yang sama.

Noor Mushar berkata, dalam kejadian itu, kereta yang dipandu seorang lelaki dari Sabak ke Tebuk Berihun hilang kawalan dan merempuh motosikal Honda EX-5 yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan.

"Pemandu berusia 36 itu dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil dan siasatan terperinci sedang dijalankan,"katanya.

Mangsa yang sedang menunggu tawaran kemasukan ke universiti itu maut serta merta di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

Sementara itu, Noor Mushar menggesa pengguna lebih menitikberatkan aspek keselamatan jalan raya terutamanya menjelang musim perayaan yang akan tiba nanti.

"Pemanduan yang berhemah dapat mengurangkan risiko kemalangan jalan raya dan pada masa sama menyelamatkan lebih banyak nyawa,"katanya.

Sembilan ditahan, sindiket mikrocip bernilai RM2.6 juta tumpas


Sembilan ditahan, sindiket mikrocip bernilai RM2.6 juta tumpas
Abd Rahim menunjukkan dua papan litar yang mengandungi mikrocip.
GEORGETOWN - Polis menahan sembilan suspek yang dipercayai terlibat dengan sindiket mencuri papan litar mikrocip di sebuah kilang multinasional di sini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, dua papan mikrocip bernilai RM2.6 juta ditemui di rumah suspek yang ditahan 15 Julai lalu dan kesemua suspek mereka berusia antara 30 hingga 40 tahun.
“Kehilangan mikrocip yang bernilai RM80,000 itu disedari pengurusan syarikat sebelum membuat laporan polis kerana dikhuatiri ditiru syarikat lain.
"Mikrocip sedemikian tidak pernah dihasilakn oleh mana-mana syarikat lain sebelum ini.
“Kilang itu membuat membuat laporan kerana khuatir ada pihak tertentu cuba menciplak papan litar yang boleh mengakibatkan kerugian besar,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Menurutnya, tindakan pantas anggota polis berjaya merampas perkakasan itu jatuh kepada pihak lain dan disasarkan untuk pasaran luar negara.
Beliau belum dapat memastikan sama ada terdapat unsur dalaman yang terlibat dalam kejadian itu dan ia disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, polis berjaya menangkap suspek utama yang dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah ibu Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof.
Abd Rahim berkata suspek itu ditahan semalam dan polis menemui pelbagai barang daripadanya termasuk wang tunai RM966, tiga telefon bimbit, dua ketul emas mampat, pemetik api dan seutas rantai emas. Suspek direman lima hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda serta sebat jika sabit kesalahan.

Tembikar China seludup dirampas






Tembikar China seludup dirampas
Abdul Rosik (dua, kiri) bersama beberapa pegawai KPDNKK
 dan Kastam menunjukkan label pada kotak barangan tembikar
 yang di cetak ‘buatan Malaysia’ yang dirampas kelmarin.


GEORGETOWN - Akibat ingin mengaut keuntungan berlebihan, sebuah syarikat bakal berdepan dengan tindakan undang-undang apabila tujuh kontenanya dirampas kerana kesalahan menipu perihal dagangan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri, Abdul Rosik Yakub berkata, serbuan itu dibuat empat pegawai KPDNKK bersama tiga pegawai Jabatan
Kastam Diraja Malaysia (Kastam) setelah intipan dilakukan sejak dua minggu lalu.

“Hasil maklumat, kita menyerbu sebuah gudang berlesen di Butterworth yang dijadikan tempat transit barangan untuk dieksport ke luar negara kira-kira jam 12.20 tengah hari. Pemeriksaan mendapati tujuh kontena yang berisi barangan tembikar pelbagai model.

“Setelah pemeriksaan lanjut dijalankan, kesemua barangan tembikar buatan China di dalam ketujuh-tujuh kontena itu diletakkan label barangan buatan Malaysia sedangkan barangan berkenaan tidak dibuat di Malaysia dan ini adalah satu kesalahan kerana menipu perihal dagangan,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, barangan yang terkandung di dalam ketujuh-tujuh kontena berkenaan tidak mempunyai kesalahan namun barangan yang baru sampai dari China itu ditukar ke kontena lain untuk tujuan eksport ke luar negara dengan menggunakan nama Malaysia.

“Oleh itu, kita menyita ketujuh-tujuh kontena itu dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM500,000. Kita percaya, barangan perihal dagangan palsu ini dibawa masuk daripada China untuk diedarkan di pasaran luar negara.

“Walaubagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan. Kita menahan seorang penjaga gudang warga tempatan yang berusia 36 tahun untuk siasatan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Abdul Rosik berkata, siasatan awal mendapati syarikat berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26 Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu petunjuk palsu mengenai tempat dibuat, dikeluarkan pada barang-barang itu atau mana-mana bahagian daripada barang-barang itu.

“Di bawah akta ini, syarikat yang disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM500,000.

“Kita meminta orang ramai sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani kegiatan seperti ini serta kesalahan lain,” katanya.

Maut kerana salah faham

TANJUNG KLING - Dikatakan berpunca hanya kerana mahu mengundur kereta selepas dihalang, seorang jurujual yang cedera di kepala maut dalam pergaduhan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, ia membabitkan dua keluarga bersaudara dan kira-kira 20 individu lain, Sabtu lalu.

Mangsa, Mohd Faizal Harun, 34, parah di kepala selepas dibaling batu ketika pergaduhan di halaman rumah dua beradik di Pantai Rombang, di sini.

Mangsa dihantar ke Hospital Melaka sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi meninggal dunia kira-kira jam 11.50 malam Selasa lalu.

Menurut sumber, pergaduhan itu berpunca apabila kereta anak perempuan, pemilik salah sebuah rumah berusia 59 tahun terhalang ketika dia mahu keluar dari kawasan rumah.

Katanya, berlaku pertikaman lidah antara keluarga pemilik itu bersama keluarga adik perempuannya berusia 50 tahun yang tinggal bersebelahan.

“Wanita terbabit bersama dua anak dan bakal menantunya yang juga orang kurang upaya (OKU) keluar menaiki Proton Satria tetapi dihalang oleh sebuah kereta lain, dipercayai milik rakan kepada anak saudara wanita itu.

“Apabila kenderaan itu diminta dialihkan, berlaku pertikaman lidah sebelum pergaduhan bertambah buruk apabila rakan dan saudara lain turut masuk campur," katanya.

Menurutnya, dalam pergaduhan itu, pelbagai senjata digunakan antaranya kerambit, batu bata, besi, kayu dan juga pasu bunga, sehingga mengakibatkan beberapa yang lain cedera.

Katanya, dalam pergaduhan itu, mangsa yang juga dipercayai kekasih kepada anak wanita berusia 50 tahun itu parah di kepala akibat dibaling dengan batu bata.

“Dua keluarga ini sudah bergaduh sejak tahun lalu, juga kerana masalah sama, malah sejak Khamis hingga Sabtu lalu beberapa kali polis terpaksa dipanggil untuk meleraikan pergaduhan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan sebelum meninggal dunia di HKL.

“Setakat ini, lima suspek berusia 23 hingga 58 tahun termasuk empat bersaudara yang juga seorang wanita dan seorang OKU ditahan reman, bermula 29 Julai hingga 4 Ogos bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pembantu rumah dakwa dirogol majikan



WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Ogos 2012
Pembantu rumah dakwa dirogol majikan
Mangsa membuat laporan polis mendakwa dirogol majikannya
KULIM - Seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 28 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin setelah mengadu dirogol oleh majikannya.

Mangsa yang datang ke Malaysia pada 15 Mei lalu dijanjikan gaji bulanan RM500 sebulan bagaimanapun tidak menerima sebarang bayaran sehingga hari ini.

Menurut mangsa, sepanjang tinggal bersama majikannya, dia telah dirogol sebanyak tiga kali dan kejadian berlaku ketika isteri suspek dan anaknya yang sudah bersekolah tiada di rumah.

“Kejadian berlaku pada Ahad, ketika itu isteri dan anaknya tiada di rumah. Isterinya bekerja sebagai seorang guru sekolah manakala anaknya bersekolah dalam tingkatan empat. Apabila kedua-dua mereka keluar dari rumah, hanya tinggal saya dan suspek sahaja di rumah.

"Suspek kemudian menghampiri saya dan memuji saya cantik sebelum bertindak agresif terhadap saya. Suspek meminta saya melayani kehendak seksnya tetapi saya enggan berbuat demikian. Suspek naik berang dan mengugut untuk membunuh saya sekiranya tidak mahu melayani kemahuan seksnya,” katanya.

Mangsa berkata, kali terakhir dia dirogol dua minggu lalu. Bagaimanapun Ahad lalu suspek sekali lagi cuba merogolnya tetapi dia memaklumkan kepada suspek kesan luka yang terdapat pada kemaluannya masih belum sembuh dan sakit.

Katanya, perlakuan itu berlaku beberapa kali sehingga dia mengambil keputusan untuk melarikan diri dari rumah majikannya dan meminta bantuan dari jiran berhampiran sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.

Sementara itu. Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek sudah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan terhadap laporan dibuat mangsa.

Mayat lelaki ditemui tertiarap



Mayat lelaki ditemui tertiarap
Polis menjalankan siasatan ke atas mayat mangsa yang ditemui
berdekatan kawasan bekas lombong dekat Kampung Telaga Cina.
 
KUALA MUDA – Seorang lelaki warga Myammar ditemui mati dalam keadaan tertiarap berdekatan kawasan lombong dekat Kampung Telaga Cina di sini kira-kira jam 3 petang semalam.

Mangsa, Saw Ngein, 39, ditemui dalam kawasan semak kecil dalam lopak air berdekatan bekas lombong lengkap berpakaian ditemui dengan kesan tetakan di bahagian kepala.

Mayatnya didapati tertiarap di mana bahagian mukanya tersembam ke permukaan air dengan kesan lumpur kelihatan di seluruh bahagian badan.

Selain itu, tapak kaki mangsa turut kelihatan bewarna kehitam-hitaman seperti terpijak kawasan berminyak.

Difahamkan, kepala mangsa turut terdapat kesan tetakan dan kesan darah turut kelihatan di atas permukaan tanah tidak jauh dari mayat mangsa ditemui.

Penduduk, Chang Keng Kok, 36, berkata, kawasan berkenaan menjadi tumpuan kaki pancing setiap hari memandangkan berdekatan dengan Pekan Semeling.

Menurutnya, operasi melombong pasir turut terdapat di kawasan itu selain menjadi laluan setiap hari penternak ayam dan lembu yang menggunakan jalan berkenaan ke kawasan penternakan.

Kek Kok berkata, terdapat ramai warga asing yang bekerja di kawasan sekitar namun tidak mengenali mangsa.

“Saya dengar dari penduduk kampung sahaja mengatakan akan terjumpa mayat lelaki di sini dan sebaik sahaja dimaklumkan, terus datang untuk melihat keadaannya,” katanya.

Dia berkata, sebaik sampai ke lokasi kejadian, dia ternampak orang ramai mengerumuni lokasi kejadian di mana mayat seorang lelaki ditemui kemungkinan akibat dibunuh.

Sementara itu,  Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, polis masih menjalankan siasatan dan punca serta masa sebenar kejadian masih disiasat.

“Kita hanya akan perolehi maklumat setelah proses bedah siasat selesai dijalankan dan sehingga kini polis masih mengumpul maklumat dari segala aspek bagi membantu siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

2 rakan tak mengaku samun



2 rakan tak mengaku samun
Kedua-dua suspek diiring keluar dari lokap oleh anggota polis selepas
 didakwa di Mahkamah Butterworth, semalam atas tuduhan melakukan
samun berkumpulan.
BUTTERWORTH - Dua penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 3 di sini semalam atas tudu-han melakukan samun berkumpulan terhadap seorang lelaki hampir setahun lalu.

Afendy Ariffin, 26, dari Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam dan rakannya, Mohamad Azafizal Abd Manaf, 24, dari Padang Cempedak, Tasek Gelugor, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Mohd Firdaus Abdul Wahab.

Rakan baik itu didakwa menyamun seutas jam tangan jenama Casio G-Shock milik Mohamad Afif Mohamad Fadzli yang ketika itu berada di dalam keretanya di Jalan Padang Cempedak, Tasek Gelugor.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka pada jam 1.30 petang, 7 September 2011 hingga menyebabkan mangsa kerugian lebih RM1,000, selain trauma diugut untuk dicederakan.

Dua suspek berjaya ditangkap beberapa hari lalu melalui proses kawad cam oleh mangsa, sebelum direman selama tujuh hari dan dituduh.

Dakwaan terhadap mereka berdua dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiza Haron yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000, manakala dua tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan keluarga masing-masing tidak berkemampuan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 seorang dan menetapkan 5 September depan untuk sebutan semula kes.

Ibu terkilan ditipu perancang perkahwinan

JOHOR BAHRU – Seorang ibu meluahkan rasa terkilan apabila hasratnya untuk mengabadikan gambar perkahwinan dua anaknya tidak kesampaian selepas ditipu perancang perkahwinan.

Penjawat awam yang ingin dikenali sebagai Habibah berkata, dia melanggan dua pakej perkahwinan merangkumi pelamin dan foto untuk dua anak lelakinya dengan bayaran keseluruhan sebanyak RM6,200.

Menurutnya, pakej foto perkahwinan yang berharga RM2,700 dijanjikan dengan pelbagai keistimewaan antaranya bingkai, album gambar, cakera padat (CD) dan ‘storyboard’.

Habibah berkata, bagaimanapun selepas tiba masanya, dia hanya diberikan dengan tiga album biasa berserta foto tidak seperti yang dijanjikan dalam tawaran.
Menurutnya, tindakan sedemikian menguburkan hasratnya mengabadikan gambar kenangan majlis perkahwinan yang julung kali diadakan dalam keluarganya.

Presiden TTPM, M Suppiah telah mengeluarkan perintah mengarahkan syarikat berkenaan membayar balik jumlah keseluruhan pakej foto perkahwinan sebanyak RM2,700 kepada pihak yang menuntut dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah diserahkan.

4 lelaki jual mercun ditahan

4 lelaki jual mercun ditahan
Abdul Majid (dua, kanan) menunjukkan mercun dan bunga api yang
 berjaya dirampas hasil serbuan yang dijalankan di bazar Ramadan.
KLUANG - Polis menahan empat lelaki tempatan kerana terlibat dalam kegiatan menjual mercun serta bunga api dalam Operasi Mercun di sekitar bazar Ramadan Bandar Kluang dan bazar Ramadan Batu 4, Jalan Mersing pada 30 dan 31 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, dalam operasi selama dua hari itu, sebanyak empat serbuan telah dilakukan bermula jam 5.30 petang hingga 12 tengah malam dan kesemuanya berjaya.
“Hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas 470 bunga api dan 1,100 mercun pelbagai jenis. Anggaran kasar hasil rampasan tersebut bernilai RM8,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, semalam.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 22 hingga 38 tahun dan mereka baru sahaja bergiat dalam kegiatan tersebut.
“Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tujuh tahun atau hukuman denda tidak kurang dari RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Katanya, hanya terdapat dua jenis mercun yang dibenarkan dijual iaitu jenis Happy Boom dan Pop-pop.

“Walau bagaimanapun, bagi sesiapa yang ingin menjual bahan letupan tersebut hendaklah mendapatkan permit kebenaran daripada polis terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata, jika dilihat pada kes, kesemua suspek tiada permit kebenaran.

“Hingga kini, pihak kami tiada mengeluarkan sebarang permit kebenaran kerana tiada permohonan terhadap penjualan mercun dan bunga api.

“Jadi, saya mohon kerjasama orang ramai agar melaporkan segala aktiviti penjualan mercun dan bunga api kerana ianya salah di sisi undang-undang disebabkan tiada permit,” katanya.

Katanya, operasi yang dijalankan ini akan diteruskan sehingga Aidilfitri ini.

3 lelaki didakwa rompak 3 pekerja bank


3 lelaki didakwa rompak 3 pekerja bank
Tiga lelaki India dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas kesalahan bersubahat menyembunyikan harta curi pada 18 Jun lepas. - Foto Bernama
PETALING JAYA - Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak berkumpulan terhadap tiga pekerja bank yang membabitkan jumlah kerugian RM6,000 dengan menggunakan sebilah parang, bulan lepas.
  
Koh Kok Hin, 45, Chang Mun Kit, 21, dan Pan Kok Wah, 22, didakwa merompak sebuah komputer riba dan dua buah telefon bimbit kepunyaan Trevor Lawrence Lazaroo, 25, di rumah No.26, USJ 2/2G, Subang Jaya, pada 6.45 pagi, 1 Julai lepas.
  
Mereka turut merompak sekeping kad pengenalan, lesen memandu, dua keping kad Mesin Teler Automatik (ATM)  dan wang tunai RM50 milik Hazimah Ariffin, 24, serta kunci kereta dan sebuah telefon bimbit, milik Nurul Ashikin Johari, 26, di tempat dan waktu  yang sama.
  
Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
  
Hakim Suraiya Mustafa Kamal membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, dan mereka juga perlu melaporkan diri di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul pada setiap awal bulan sehingga kes selesai.
  
Mahkamah menetapkan 3 September untuk tarikh sebutan. - Bernama

Ijazah palsu: Polis rekod 40 keterangan


Thaiveegan (tengah) ketika sidang media di IPK Selangor, semalam.
Thaiveegan (tengah) ketika sidang media di IPK Selangor, semalam.


SHAH ALAM - Polis merakamkan 40 keterangan daripada pelbagai individu berhubung siasatan kes penjualan sijil palsu bernilai RM5 juta yang kononnya diiktiraf daripada lima universiti luar negara.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, semua keterangan direkodkan selepas pihaknya membuat penahanan ke atas sepasang suami isteri yang juga dalang menjual sijil palsu itu kepada 'graduan' tempatan dan asing termasuk ahli politik serta individu bergelar Tan Sri.

Beliau berkata, siasatan diteruskan dan pihaknya menggesa individu terlibat membeli sijil palsu tampil membantu siasatan.

"Kita harap mereka hadir sukarela untuk dirakamkan percakapan kerana sijil dibeli mereka tidak sah.

"Kita tidak akan menahan mereka dan hanya memerlukan keterangan bagi melengkapkan siasatan, selain menyiasat jika terdapat penipuan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Thaiveegan berkata, pihaknya akan lihat kemungkinan sama ada individu membeli sijil palsu itu terpedaya dengan helah sindiket yang menjanjikan sijil bertauliah.

Menurutnya, beliau berharap mereka terlibat dapat bekerjasama dengan polis.

"Setakat ini tiada tangkapan baru dan dua suspek ditahan pada 25 Julai lalu, dilepaskan dengan jaminan polis tiga hari kemudian," katanya.

Siasatan mendapati 525 ‘graduan’­ tempatan serta asing terlibat membeli sijil palsu bagi tempoh beberapa tahun lalu.

Kedua-dua suspek menjalankan operasi terbabit sejak 2003.

Warga Thai didakwa gagal isytihar RM100,000

Warga Thai didakwa gagal isytihar RM100,000 - Semasa - Sinar Harian:

Warga Thai didakwa gagal isytihar RM100,000
Seorang warga Thailand, Wittaya Pata, 27 (kiri), menutup wajahnya dengan tuala ketika diiringi keluar oleh anggota Kastam Diraja Malaysia.
KANGAR - Seorang warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana gagal mengisytiharkan mata wang yang dibawa masuk ke negara ini dan mengimport mata wang tanpa kebenaran.
Wittaya Pata, 27, dituduh membawa mata wang Malaysia RM100,000 di laluan pemeriksaan kereta, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang Bahagian Import, Kompleks Imigresen Padang Besar pada 16 April 2011 kira-kira pukul 1 petang.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 23(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) kerana gagal mengisytiharkan wang yang dibawa masuk.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 23(2) akta yang sama dengan didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih satu tahun.
Wittaya yang berasal dari Nakhon Phato, Thailand juga dituduh mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport mata wang kertas Ringgit Malaysia pelbagai denomisasi itu tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia yang dibawanya dalam sebuah kereta jenis Toyota Altis dengan nombor pendaftaran Thailand.
Tertuduh boleh dihukum di bawah seksyen 135(1)iii) akta yang sama bagi sabit kesalahan kali pertama boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai dan tidak lebih 20 kali ganda nilai atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Sepatutnya hanya pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) AMLATFA yang didengar di mahkamah sesyen hari ini manakala pertuduhan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam itu didengar di mahkamah majistret.
Bagaimanapun ketiadaan majistret menyebabkan tuduhan itu turut didengar di mahkamah sesyen.
Pendakwaan dilakukan oleh Penolong Pengarah Kastam, Abdul Malik Awang Kechik manakala tertuduh diwakili peguam Loo Yook Khin.
Hakim Azman Ahmad memerintahkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan dua orang penjamin rakyat Malaysia serta diperintah melapor diri kepada pejabat Kastam sebulan sekali bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula bagi kedua-dua pertuduhan itu pada 11 September depan. - Bernama

'via Blog this'

Ibu rayu anak dilarikan tomboi pulang

Ibu rayu anak dilarikan tomboi pulang - Semasa - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR - Seorang ibu merayu anak perempuannya, yang dipercayai dibawa lari seorang tomboi dan seorang lelaki dalam satu kejadian di Setapak di sini, Rabu lepas, segera pulang ke pangkuannya.
Tan Lu Cheng, 42, berkata pada hari kejadian, dia menghantar anaknya, Yvonne Phua Sze Kei, 18, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Perempuan Air Panas ke sekolah seperti biasa namun anaknya tidak muncul ketika dijemput selepas sesi persekolahan.
"Setelah lama menungggu, saya pergi bertanyakan kepada guru kelas Yvonne, dan dimaklumkan anak saya memang tidak hadir dari awal... ini amat merisaukan saya," katanya pada sidang media yang dianjur Pengerusi MCA Cawangan Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look di sini, hari ini.
Tan berkata dia mengesyaki Yvonne dilarikan kenalan di laman sosial setelah beberapa kali terlihat anaknya berhubung dengan lelaki serta tomboi berkenaan menerusi Facebook dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Apa yang lebih membimbangkan, katanya ialah dia sendiri pernah diugut tomboi berkenaan yang dikenali sebagai Low Hong Xiu menerusi telefon, menyatakan jika Yvonne tidak dibenarkan berjumpa mereka, anaknya akan dilarikan dan dilacurkan di luar negara.
Tan berkata laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu dibuat pada petang hari kejadian.
Sementara itu, Yew berkata cubaan keluarganya menjejaki pelajar itu membuahkan sedikit harapan apabila kedua-dua suspek dan mangsa dilihat pernah mengunjungi beberapa hotel bajet di sekitar Setapak berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan.
Beliau berkata rakaman CCTV juga menunjukkan kedua-dua suspek warga tempatan itu pernah membawa ramai gadis ke hotel-hotel bajet berkenaan sebelum ini.
"Ibu mangsa sudah beberapa kali cuba menghubungi nombor yang pernah digunakan untuk menghantar SMS kepada anaknya, namun gagal. Jadi, saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat agar segera menghubungi polis atau balai berdekatan bagi mengesan mangsa," katanya. - Bernama

'via Blog this'

Wanita Thai 'Mek Na' ditahan bantu siasatan kes bunuh

Wanita Thai 'Mek Na' ditahan bantu siasatan kes bunuh - Semasa - Sinar Harian:

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita Thailand yang dikenali sebagai 'Mek Na' yang juga merupakan individu penting dalam kes pembunuhan seorang rakyat Indonesia di Kampung Tapah, Setiu, Sabtu lalu diberkas polis petang semalam.
Wanita berumur 33 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan warga Indonesia yang dikenali sebagai Heri, 32, yang mayatnya ditemui dalam parit di sebuah ladang kelapa sawit di kampung itu.   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata wanita yang juga merupakan teman wanita kepada suspek utama itu ditahan kira-kira 2.20 petang di sebuah rumah di Kampung Payong, Setiu.
"Wanita itu ditahan bagi membantu siasatan kerana pihak polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan disebabkan perasaan cemburu membabitkan wanita itu.
"Kita akan jalankan siasatan lanjut ke atas wanita itu dan percaya pihak polis dapat menyelasaikan kes pembunuhan tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam suspek utama kes berkenaan seorang lelaki warga Thailand berumur 51 tahun menyerah diri setelah gambarnya disiar di akhbar dan televisyen baru-baru ini.
Suspek itu kini ditahan reman sehingga 9 Julai bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

'via Blog this'

Rumah terbakar, suami isteri rentung

Rumah terbakar, suami isteri rentung
Kebakaran yang memusnahkan rumah mereka
SIMPANG PERTANG - Sepasang suami isteri warga emas rentung dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di No.17, Felda Pasoh 1, dekat sini, pagi ini.

Mayat Zahari Hasan, 77, dan isterinya Mariam Abdul Latif, 67, dijumpai di ruang tengah rumah berkenaan oleh pasukan bomba yang memadamkan kebakaran itu.

Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Ahmad Nizam Sapaiee berkata dua jentera bersama 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang dan Sri Jempol ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 4.39 pagi.

"Semasa tiba di tempat kejadian, api sedang marak namun pasukan kami berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran sepenuhnya pada pukul 5.30 pagi.
Selesai memadamkan api, kami menemui dua mayat yang rentung di tengah rumah," katanya kepada Bernama.

Katanya mangsa kemungkinan cuba keluar dari rumah itu namun asap yang tebal menyebabkan kedua-dua mereka lemas dan gagal untuk keluar.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jelebu sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat, katanya.
Sepasukan anggota forensik polis dan bomba turut berada di tempat kejadian untuk menyiasat punca kejadian.
Jiran pasangan itu, Shariff Zakaria, 61, berkata beliau menyedari kejadian itu pada kira-kira pukul 4.15 pagi ketika bangun untuk bersahur.
"Masa tu saya lihat dari tingkap rumah, api masih kecil namun tidak lama lepas itu api marak dan saya segera hubungi bomba. Selepas itu, saya keluar rumah dan menjerit memanggil nama arwah supaya keluar rumah namun tiada jawapan.
Saya sukar untuk dekati rumah itu sebab api begitu marak," katanya.
Anak bongsu mangsa, Muhammad Ghazali, 35, berkata kali terakhir beliau bertemu ayah dan ibunya pada Isnin lepas.
"Ayah dan ibu tinggal berdua saja di rumah ini dan mereka ke rumah anak-anak apabila ada kelapangan. Saya tinggal di Kajang dan saya ambil mereka pada Khamis lepas dan hantar balik ke sini Isnin," katanya. 
Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang datang ke tempat kejadian berkata Felda menyumbang RM3,300 untuk bantuan awal bagi keluarga mangsa.- Bernama