Search This Blog

Thursday, August 2, 2012

Nelayan terlepas di tali gantung



ALOR SETAR 1 Ogos - Bulan Ramadan ini memberi rahmat kepada seorang nelayan apabila terlepas daripada hukuman di tali gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini semalam membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah pada tahun lalu.
Abd. Kadir Ismail, 35 dibebaskan daripada tuduhan tersebut selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar heroin seberat 7.2 gram dan monoacetylmorphines seberat 8.96 gram di dalam bot ikan bernombor KHF 150 di tebing Sungai Kuala Sala, Yan kira-kira pukul 12 tengah hari, 8 Mac 2011.
Dadah tersebut didakwa ditemui di dalam dua bungkusan akhbar yang disembunyikan di bahagian bateri dan enjin bot ikan tersebut.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Bagaimanapun, Abd. Kadir dipenjara 16 bulan dari tarikh ditangkap pada 8 Mac tahun lalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki sebanyak 0.29 gram heroin dan 0.22 gram monoacetylmorphines di lokasi dan masa yang sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Suspek samun warga China ditahan



KUANTAN 1 ogos - Polis memberkas lelaki yang menyamun seorang pelancong wanita warga China di sebuah hotel di Genting Highlands, kelmarin.
Ketika diberkas, polis turut menemui dadah pada badan suspek yang bekerja sebagai tukang masak di kawasan peranginan tanah tinggi tersebut.
Menurut Pegawai Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri, suspek telah ke bilik mangsa yang dikenalinya di pusat peranginan itu pada Jumaat lalu.
"Kejadian berlaku pukul 4.30 pagi apabila suspek mengetuk pintu bilik mangsa dan meluru masuk sebaik sahaja wanita itu membuka pintu.
"Suspek kemudian mengikat wanita itu dan menggeledah bilik sebelum melarikan tiga telefon bimbit dan wang tunai RM1,900 dengan kerugian keseluruhan hampir RM5,000," katanya di sini semalam.
Menurut beliau, polis melancarkan gerakan mengesan dan memburu suspek sebelum berjaya memberkasnya di sekitar kawasan berkenaan pada pukul 12.30 tengah malam kelmarin.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek turut memiliki enam rekod jenayah lampau termasuk dadah.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Cubaan seludup minuman keras tumpas



Mohd. Isa Yusof (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan minuman keras pelbagai jenama yang dirampas dalam satu pemeriksaan ke atas sebuah lori, di Kota Marudu, baru-baru ini.
KOTA MARUDU 1 Ogos - Tindakan pantas polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM63,282.96 selepas menahan sebuah lori di Jalan Langkon dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Isa Yusof berkata, dalam serbuan pukul 7.20 pagi, pihaknya merampas sebanyak 631 karton minuman keras yang belum dijelaskan cukai selain menahan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 52 tahun.
Katanya, pada mulanya, kedua-dua lelaki tersebut cuba memperdaya pihak polis dengan mengemukakan resit pembayaran cukai kastam bagi 31 karton minuman keras setelah ditahan kerana berada dalam keadaan yang mencurigakan.
Bagaimanapun, beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati lori tersebut cuba menyeludup 600 karton minuman keras jenis Skol, Carlsberg (30 karton) dan Royal Stout (1 karton).
"Semasa pemeriksaan lanjut dibuat, pemandu lori itu hanya mengemukakan resit pembayaran cukai kastam untuk minuman keras jenis Carlsberg dan Royal Stout tanpa resit untuk 600 karton minuman keras jenis Skol," katanya di sini.
Beliau berkata, kesemua rampasan itu bernilai lebih RM15,840 manakala nilai cukai yang cuba dielak dianggarkan mencecah RM63,282.96.

Polis buru warga Argentina



SUBANG JAYA 1 Ogos - Polis sedang memburu seorang lelaki warga Argentina (gambar) berusia 45 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di USJ 18 di sini pada 26 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahya Ramli berkata, suspek yang bernama Ignacio Marcelo berjaya dikenal pasti oleh pihak polis melalui pasport antarabangsa yang digunakan ketika memasuki negara ini Oktober tahun lalu.
"Kami percaya akan dapat menjejaki suspek dan tiga lagi rakannya jika mendapat bantuan dan maklumat orang awam.
"Polis turut mengedarkan fotofit lelaki berkenaan dan diharap maklumat dan bantuan orang awam akan dapat membantu kami menangkap suspek," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.25 malam 26 Julai lalu, empat lelaki yang menaiki kereta Toyota Estima memecah masuk sebuah rumah di USJ 18 sebelum meloloskan diri selepas dikejar anggota polis peronda.
Polis terpaksa melepaskan empat das tembakan dan tiga daripadanya mengenai pintu kiri hadapan kereta berkenaan.
Kereta itu kemudian dijumpai ditinggalkan di kawasan tanah perkuburan USJ 22.

Syaleza: Keterangan 10 individu direkodkan



SHAH ALAM 2 Ogos - Polis telah mengambil keterangan 10 individu bagi membantu siasatan kes eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 Syaleza Jaffar yang ditemui mati di rumahnya di Apartmen Saujana, Damansara Damai, Petaling Jaya, Sabtu lepas.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata dua daripada 10 individu itu ialah rakan sekerja allahyarham manakala lapan lagi merupakan jiran terdekatnya.
"Polis akan mengumpul kesemua bukti berdasarkan keterangan yang telah diambil, dan kita berharap kes ini dapat diselesaikan dengan kadar segera dengan adanya keterangan-keterangan ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Beliau berkata berkemungkinan ada beberapa saksi lagi yang akan dipanggil untuk dirakamkan percakapan mereka berkaitan kes itu.
Syaleza, 31, ditemui mati oleh suaminya dalam bilik tidur rumah mereka, dan hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan jerutan di leher wanita itu.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang merupakan anggota keluarga terdekat Syaleza di Segamat, Johor pada 10.15 malam pada Ahad lepas bagi membantu siasatan kes itu.
Thaiveegan berkata setakat ini tiada tangkapan baru dibuat dan lelaki yang bekerja di bahagian teknologi maklumat di sebuah firma itu direman sehingga 6 Ogos.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Penipuan menerusi Internet serius di Pahang



KUANTAN 2 Ogos - Penipuan melalui internet membabitkan mangsa wanita dilaporkan serius di Pahang dengan polis menerima 22 aduan membabitkan kerugian RM1,045,695 bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang DSP Mohd Rizal Kamarudin kebanyakan mangsa ialah wanita Melayu berusia lingkungan 32 hingga 45 tahun.
Katanya kesemua penjenayah sama ada individu atau berkumpulan menjalankan jenayah dengan menggunakan modus operandi yang sama iaitu bermula dengan perkenalan di laman sosial kemudian bercinta dan akhirnya mengambil kesempatan terhadap mangsanya.
Beliau berkata suspek memperdaya mangsa dengan mengatakan akan menghantar bungkusan barangan yang tidak wujud dari luar negara dan mangsa diminta membuat pelbagai pembayaran untuk menebusnya.
"Walaupun tidak pernah bersua muka dan mengenali antara satu sama lain, ada di antara mangsa sanggup memberikan wang kepada penjenayah terbabit," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Selain itu katanya, bagi tempoh yang sama, polis menerima 13 laporan berhubung kes penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai bank dan e-mel palsu dari bank.
Mohd Rizal daripada jumlah kes itu, enam dilaporkan di Kuantan, tiga di Temerloh, dua di Bentong dan masing-masing satu kes di Jerantut dan Cameron Highlands yang melibatkan kerugian sebanyak RM226,000.
- BERNAMA

Suami pengasuh didakwa liwat kanak-kanak tiga tahun



KHALILAH GUSTI HASSAN
2 Ogos 2012
KLANG – Suami kepada seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan meliwat seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun tujuh bulan, yang juga di bawah jagaan isterinya, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, pemandu lori itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nor Sharidah Awang.

Dia didakwa meliwat mangsa di dalam bilik air rumahnya di Jalan Yadi, Off Jalan Sungai Bertek, Telok Gadong Klang, antara jam 5 petang dan 7.30 malam, 27 Julai lalu.

Nor Sharidah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Lelaki berusia 32 tahun itu didakwa melakukannya sewaktu isterinya tiada di rumah.

Mangsa merupakan anak tunggal pasangan warga Indonesia.

Sehingga jam 3.30 petang semalam tiada sesiapa hadir untuk menjamin tertuduh dan kemudian dibawa ke penjara Sungai Buloh.

Seorang lelaki ditahan cabul pelajar




2 Ogos 2012
K Manoharan
$entry.content.caption.value
KUALA TERENGGANU - Seorang petugas sekolah agama di Kemaman ditahan kerana didakwa cuba mencabul enam pelajar lelaki sekolah itu, sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar Mei hingga Julai lalu, di asrama sekolah berkenaan.
Katanya keenam-enam pelajar itu berusia antara 9 hingga 14 tahun.
Petugas berusia 29 tahun itu didakwa cuba memaksa pelajar berkenaan melakukan perbuatan yang tidak bermoral.
"Kerana tidak tahan dengan perbuatan itu pelajar berkenaan mengadu kepada guru sekolah sebelum membuat laporan di Balai Polis Kemaman kira-kira 10 malam semalam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Bertindak atas laporan itu, polis, katanya menahan petugas berkenaan di asrama sekolah sejurus menerima laporan.
Suspek yang berasal dari Kedah itu ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan kerana merangsang kanak-kanak untuk melakukan perbuatan kelucahan terlampau, katanya. - Bernama

Kanak-kanak 2 tahun mati lemas di tali air




2 Ogos 2012
BESUT - Seorang kanak-kanak lelaki dua tahun ditemui mati lemas dalam tali air sebuah bendang padi setelah keluar dari rumahnya di Kampung Padang Luas Dalam tanpa disedari oleh keluarganya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata mayat kanak-kanak itu Ahmad A’Fi Naqib Supian ditemui tersangkut di tali air itu kira-kira satu kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh pada kira-kira pukul 4 petang.
"Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam tali air sedalam kira-kira 1.5 meter yang terletak beberapa meter sahaja dari rumahnya yang ketika itu airnya mengalir deras bagi tujuan pengairan ke sawah padi," katanya kepada pemberita di sini.
Kamaruddin berkata mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat.
Sementara itu bapa kanak-kanak itu, Supian Sulaiman, 30, ketika ditemui di rumah mayat hospital tersebut berkata isteri dan ibunya yang berada di rumah tidak menyedari sama sekali semasa anak sulungnya itu keluar dari rumah.
"Isteri dan ibu saya mula menyedari kehilangan Ahmad A'Fi Naqib kira-kira pada pukul 2 petang dan telah meminta pertolongan jiran dan penduduk kampung untuk sama-sama mencari," katanya.
Ketika kejadian dia tiada di rumah, katanya.
Supian yang bekerja sendiri berkata mayat anaknya akhirnya ditemui tersangkut di tali air itu oleh adiknya Zulkifli, 16, selepas kira-kira dua jam mencarinya. - Bernama

3 pelajar kolej swasta didenda RM100 kerana maki polis




2 Ogos 2012
KUALA LUMPUR - Tiga pelajar kolej swasta didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memaki hamun seorang anggota polis, semalam.

Majistret Zaki Asyraf Zubir turut memerintahkan Ruzaidi Ramli, 18, Shahrul Amir Farhan, 19, dan seorang lagi pelajar yang berusia 17 tahun dipenjara sehari jika gagal membayar denda itu.

Ketiga-tiga pelajar itu didakwa bersama-sama dengan sengaja memaki hamun Sub Inspektor K.Chandran dari Balai Polis Cheras di Asrama Kolej Cybernatics, Jalan Perkasa 1, Taman Maluri, Cheras di sini pada 8.30 pagi, semalam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk denda maksimum RM100.

Mengikut fakta kes, pada 8.13 pagi semalam, Chandran bersama sepasukan anggota polis dari Balai Polis Cheras pergi ke asrama itu untuk membuat pemeriksaan.

Semasa Chandran sedang mendengar taklimat di tempat itu, Ruzaidi telah menghina anggota polis yang berada di situ dan diikuti pelajar berusia 17 tahun berkenaan, sambil meletupkan mercun, manakala Shahrul Amir Farhan mengejek polis dengan menyokong kata-kata kedua-dua kawannya itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya Wong Chai Sia manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Culik bayi pada 1987, wanita dipenjara 12 tahun



Pettway mengaku menculik White sewaktu berumur 19 hari.
Pettway mengaku menculik White sewaktu berumur 19 hari.
NEW YORK - Seorang wanita yang menculik bayi dari sebuah hospital lebih daripada dua dekad lalu, kemudian membesarkannya sebagai anak sendiri dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, semalam.

Hakim menjatuhkan hukuman ke atas Ann Pettway kerana melakukan jenayah bersifat kepentingan diri selain membiarkan ibu bapa kandung Carlina White berada dalam kebimbangan dan kesedihan sehingga memaksa hospital berkenaan meningkatkan tahap keselamatan di situ.

Wanita berumur 50 tahun itu bagaimanapun mengaku bersalah menculik White pada Februari 1987, dengan menyamar sebagai jururawat di hospital kemudian meyakinkan ibu kandung White bahawa bayinya yang berumur 19 hari itu perlu mendapatkan rawatan demamnya dalam bilik kecemasan sebelum melarikannya.

Hakim Kevin P. Castel menjatuhkan hukuman penjara kurang daripada 20 tahun kepada Pettway susulan menerima pakai cadangan pendakwa yang mengganggap tindakan wanita itu melibatkan emosi dan bersifat keibuan.

Mercun dijual berleluasa



Mercun dijual berleluasa
Peniaga menjual mercun dan bunga api yang dilarang di bazar Ramadan di sini.
KLUANG - Meskipun mengetahui penjualan mercun dan bunga api menjadi satu kesalahan, namun masih ada pihak yang berani melakukannya malah menjualnya secara terang-terangan.
Tinjauan Sinar Harian di salah satu bazar Ramadan di sini mendapati penjualan kedua-dua bahan terlarang itu berleluasa sehingga lima gerai menjualnya tanpa rasa bimbang.
Pengunjung bazar, Ahmad Muhammad, 49, berkata, penjualan mercun dan bunga api di bazar di sekitar Kluang ini dilihat seolah- olah tiada tindakan daripada pihak berwajib kerana penjual menjual bahan berkenaan secara terbuka seperti pisang goreng panas.
Menurutnya, pengunjung turut memberikan sambutan menggalakkan dengan membeli bahan tersebut seperti tidak mempedulikan bahaya bermain mercun seperti yang banyak dipaparkan media.
“Bagaimanapun, sewajarnya pihak yang bertanggungjawab mentadbir kawasan bazar mengadakan pemantauan terhadap penjualan mercun dan bunga api ini agar ianya tidak berleluasa.
“Jangan hanya menunggu aduan daripada orang awam baru mahu bertindak, jika mereka menjual bunga api sahaja tidak mengapa tetapi mereka menjual mercun yang membahayakan,” katanya.
Ahmad berharap pihak yang berkaitan dapat turun padang melihat sendiri aktiviti penjualan mercun di bazar Ramadan yang semakin berleluasa walaupun, mereka amat mengetahui aktiviti tersebut bertentangan dengan undang-undang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner  Abdul Majid Mohd Ali berkata, pada masa ini, pihaknya telah menjalankan serbuan dan mengambil tindakan terhadap aktiviti penjualan mercun di kawasan bazar.
Beliau berkata, seandainya peniaga yang ingin menjual mercun dan bunga api mereka perlu mendapatkan permit jualan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan mengikut syarat yang telah ditetapkan iaitu hanya mercun jenis Pop-pop dan Happy Boom sahaja.
“Bagaimanapun, pihak polis akan tetap membuat pemantauan berterusan terhadap aktiviti menjual mercun dan bunga api.
“Malah, bagi mereka yang telah mendapat kebenaran menjual mercun dan bunga api tetapi tetapi melanggar syarat yang ditetapkan akan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM10,000,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Majid turut menasihatkan penjual yang telah mendapat permit daripada pihak polis supaya tidak melanggar syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata, pelanggan mahupun pembeli juga diingatkan supaya tidak membeli atau memiliki mercun selain daripada yang telah dinyatakan itu.

Dicekup dalam kedai kopi



Dicekup dalam kedai kopi
Pemuda dan warga emas yang ditahan sedang makan di sebuah kedai Siam semasa operasi Jhaeik dan MDK di Peringat sedang disoal siasat.
KOTA BHARU - “Saya bekerja kuat sebab itulah tidak berpuasa,” alasan seorang pemuda berumur 37 tahun ketika ditahan makan di sebuah kedai kopi milik peniaga Siam di Cabang Tiga Perol, Peringat di sini, oleh Majlis Daerah Ketereh (MDT) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik), semalam.

Bagaimana pun, alasan pemuda yang sihat tubuh badan itu tersebut tidak berjaya melepaskan dirinya daripada dikenakan denda maksimum RM500 dan jika disabitkan kesalahan kali kedua akan didenda sebanyak RM1,000.

Pada masa yang sama turut ditahan, seorang warga emas berumur 69 tahun yang bersama pemuda itu dalam kedai tersebut, namun dia dilepaskan selepas mendakwa mempunyai penyakit asma dan menunjukkan kad kesihatan hospital yang dibawa bersama.

Sebelum itu, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jheaik dan polis mengadakan Operasi Jaring di sekitar bandar ini bermula dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Dalam operasi tersebut juga, MPKB-BRI berjaya menahan 11 pelajar berusia antara 14  hingga 18 tahun yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika berada di taman permainan di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab, di sini.

Ketua Penolong Pengarah, Ramli Che Hussin berkata, semasa operasi, pihaknya melihat sekumpulan remaja melepak di sebuah taman permainan dan berpakaian sekolah.

 “Apabila melihat kelibat kenderaan penguatkuasa, dianggarkan kira-kira 40 motosikal yang ditunggangi oleh beberapa orang remaja bertindak melarikan diri.

“Bagaimanapun pihak kami berjaya menahan tiga pelajar lelaki dan  lima pelajar perempuan yang tidak sempat melarikan diri sebelum menahan tiga lagi di sekitar kawasan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, semasa ditahan antara alasan yang diberikan oleh mereka ialah tujuan berada di taman tersebut adalah untuk menunggu rakan-rakan yang lain sebelum masuk ke sekolah yang bermula pada sesi petang.

Ramli berkata, semua mereka adalah pelajar dan diserahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

“Pada awalnya kami merancang untuk mengadakan Operasi Jaring bagi menangkap orang Islam yang tidak berpuasa, bagaimanapun terpaksa diubah kepada operasi biasa berikutan tiada tangkapan membabitkan orang yang tidak  berpuasa,” katanya.

Hanya kerana mercun RM30



RUBIAH OMAR
2 Ogos 2012
Hanya kerana mercun RM30
Wan Yusri didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam setelah mengaku salah menyimpan pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM30.
KUALA TERENGGANU- Seorang bapa kepada empat anak tidak menyangka tindakannya menyimpan pelbagai mercun dan bunga api yang hanya bernilai RM30 dipercayai untuk dijual mengheret dirinya ke mahkamah.

Lebih malang, tertuduh, Wan Yusri Wan Dagang, 44, dari Kampung Rusila, Marang, dikenakan denda RM1,500 atau sebulan penjara jika gagal bayar oleh Mahkamah
Majistret, di sini, semalam hanya kerana memiliki bahan terlarang itu.

Dia yang sebelum ini iaitu dua tahun lalu pernah dikenakan hukuman sama seolah-olah tidak serik malah dengan selamba mengaku salah memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api bagi tujuan menyalahi undang-undang di rumahnya di Kampung Rusila, Marang pada 31 Julai lalu kira-kira jam 8 malam.

Dengan itu, dia yang bekerja sebagai buruh itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (disemak 1978) Akta 207 yang boleh di penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mahathir Mohd Yusof di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 8 malam kelmarin (31 Julai), anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Marang telah membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Rusila, Marang (rumah tertuduh) dipercayai ada menyimpan atau memiliki bahan letupan.

Hasil pemeriksaan polis menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disimpan di ruang tamu rumah.

Antaranya ialah tujuh paket mercun bertulis ‘Cracker Ball’; sekotak mercun bertulis ‘8801A’; lima batang bunga api bertulis ‘Magical Shots With Report’ dan 30 kotak mercun bertulis ‘8801A’.

Terkejut kereta bapa di depan rumah terbakar



Terkejut kereta bapa di depan rumah terbakar
Mek Zah menunjukkan kereta suaminya tinggal rangka selepas terbakar dengan sendirinya, kelmarin
TUMPAT – Sebuah keluarga di sini, terkejut apabila kereta Proton Saga milik bapanya yang di parkir di hadapan rumah tiba-tiba terbakar di Kampung Kebakat di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi , kereta milik Omardin Bon, 49, tiba-tiba berasap di bahagian depan lalu terbakar dengan sendirinya.
Isterinya, Mek Zah Junus, 47, berkata, kejadian itu disedari apabila rumahnya berbau hangit seperti ada barangan elektrik terbakar.

“Curiga dengan apa yang berlaku, saya memeriksa semua suis dan barangan elektrik di dalam rumah, tetapi semuanya dalam keadaan baik.

“Tetapi bau hangit itu masih menjadi misteri sehingga salah seorang anak saya,  Muhammad Adam Hayqal menyedari kereta yang di pakir di halaman rumah berasap,” katanya.

Mek Zah berkata, panik dengan apa yang berlaku, dia memaklumkan kepada suaminya yang berada di dalam bilik dan menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Beberapa anggota JPAM datang membantu, tetapi akhirnya terpaksa memanggil bomba kerana api tiba-tiba marak membakar kereta tersebut,” katanya yang memaklumkan kereta itu sudah seminggu di pakirkan di situ.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Tumpat, Ya’cob Abdullah berkata, satu jentera bersama lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran kereta terbabit.

“Kebakaran dapat dipadamkan dalam masa 25 minit, dan punca kebakaran adalah disebabkan kerosakan pada sistem pendawaian audio kereta tersebut,” katanya.

Menurutnya, dianggarkan pemilik kereta itu mengalami kerugian kira-kira RM10,000.

Penjual pakaian berdepan hukuman gantung



Penjual pakaian berdepan hukuman gantung
Chiew Thing ketika hadir di Mahkamah Majistret.
AYER KEROH - Seorang wanita bakal berdepan hukuman gantung sampai mati jika didapati bersalah atas pertuduhan memiliki 3,854 gram pelbagai jenis dadah berbahaya, bulan lalu.
Gan Chiew Thing, 30, dari Muar, Johor, didakwa atas tiga pertuduhan di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif di Mahkamah Majistret di sini, semalam, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, Chiew Thing didakwa memiliki dadah berbahaya jenis methyldioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 1,580 gram; ketamin (2,106 gram) dan methamphetamine (168 gram).
Chiew Thing yang bekerja menjual pakaian secara atas talian didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Pertam Jaya, kira-kira jam 11 pagi pada 18 Julai 2012.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B2 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi pertuduhan memiliki methyldioxymethamphetamine dan ketamin, selain Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 bagi kesalahan memiliki methamphetamine yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohamad Juhari Haron ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan tarikh sebutan semula sebelum Ida Rahayu menetapkan kes disebut semula pada 25 September depan bagi mendengar laporan kimia untuk mengetahui berat sebenar dadah.

Warga Nepal parah diketuk kerana air

KUALA TERENGGANU- Seorang pekerja warga Nepal cedera parah di bahagian kepala dipercayai diketuk oleh senjata keras dalam satu pergaduhan antara sekumpulan pekerja warga asing di ladang Felda Semaring, Kuala Jengai, Dungun, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3 petang, pergaduhan melibatkan tiga pekerja warga Nepal termasuk mangsa dan tiga pekerja warga Bangladesh itu dipercayai berpunca tidak berpuas hati kerana menggunakan kemudahan asrama tanpa kebenaran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama dua lagi rakannya telah menggunakan kemudahan air di asrama pekerja warga Bangladesh memandangkan asrama mereka terputus bekalan air.

“Bagaimanapun, pekerja Bangladesh di situ tidak membenarkan mereka menggunakan air di asrama dan disebabkan kedegilan mangsa  serta rakan, tiga daripada pekerja Bangladesh ini telah naik angin lalu mengambil beberapa senjata tajam dan keras yang ada di situ.

“Mereka telah menggunakan cangkul, kayu dan golok menyerang mangsa sebelum berlakunya pergaduhan antara mereka,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, dalam pergaduhan itu, kesemua yang terlibat telah mengalami kecederaan bagaimanapun dilaporkan stabil selepas mendapatkan rawatan di Hospital Dungun.

Katanya, sehingga kini, polis menahan kesemua suspek untuk tindakan selanjutnya termasuk dua pekerja lagi yang dipercayai turut berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 35 tahun itu kini direman untuk disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Manoharan berkata, bagi mengelak berlaku kekecohan yang berterusan di lokasi kejadian antara pekerja di situ, anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dungun dan pihak pengurusan Felda telah membuat satu perjumpaan dengan semua pekerja di situ selepas kejadian.

“Dalam perjumpaan itu, semua pekerja diberi penjelasan dan nasihat agar perkara sama tidak akan berulang memandangkan ladang berkenaan menempatkan bukan sahaja pekerja warga Nepal dan Bangladesh, malah turut ada warga Indonesia serta pekerja tempatan,” katanya.

Pecah masuk empat kedai



ROSDALILAH ZAHARI
2 Ogos 2012
Pecah masuk empat kedai
Chong menunjukkan kesan umpil yang dilakukan penjenayah untuk memasuki premisnya
IPOH - Kaedah umpil dikesan sebagai kaedah yang digunakan sekumpulan penjenayah untuk memecah masuk ke dalam empat kedai di Persiaran Bercham Selatan 2, di sini, sekitar jam 1 hingga 6 pagi semalam.

Sebanyak tiga daripada empat premis kedai yang menjadi sasaran kumpulan penjenayah terbabit adalah salun kecantikan dan satu kedai langsir.

Seorang mangsa, iaitu pemilik sebuah kedai salun yang hanya ingin dikenali sebagai Chong, 40 berkata, dia hanya menyedari salunnya dimasuki penjenayah daripada
seorang rakan yang melihat pintu premisnya terbuka.

"Saya dapat tahu kejadian pada kira-kira jam 8 pagi tadi (semalam) dan selepas memeriksa bahagian dalam kedai, saya dapati wang RM5,000 yang disimpan dalam kaunter lesap.

"Peniaga kedai langsir berhampiran juga dimasuki penjenayah dan pemiliknya mengalami kerugian sebanyak RM2,000," katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Chong, pada awalnya dia menyangka hanya kedai miliknya sahaja menjadi sasaran, namun terdapat tiga peniaga berhampiran mengalami nasib sama apabila kedai masing-masing di pecah masuk menggunakan kaedah sama.

Sementara itu Pengerusi Rukun Tetangga Bercham, Tan Swee Kong meminta polis menjalankan rondaan cegah jenayah dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Menurutnya, kawasan terbabit disifatkan ‘kawasan panas’ oleh penduduk dan sentiasa menjadi sasaran penjenayah memandangkan persekitarannya yang sunyi dan gelap pada sebelah malam.

“Biasanya, penjenayah akan melakukan aktiviti pecah masuk pada lewat malam dan awal pagi memandangkan pada waktu itu penduduk di sekitar sedang nyenyak tidur.

“Justeru, saya berharap polis dapat bekerjasama dalam memastikan keselamatan penduduk terjamin dengan menjalankan rondaan lebih kerap terutamanya pada waktu malam dan awal pagi,” katanya.

Empat ahli perniagaan rugi RM138,700

MUAR - Empat ahli perniagaan termasuk dua wanita kerugian RM138,700 selepas diperdaya satu sindiket yang menyamar sebagai pegawai bank dan meminta semua mangsa memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan kerana didakwa mempunyai hutang kad kredit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, kejadian pertama pada 11 Julai, seorang wanita berusia 52 tahun terpedaya dengan kumpulan terbabit dan memasukkan RM22,000 ke dalam akaun yang dinyatakan.
Menurutnya, kejadian kedua pada 13 Julai lalu membabitkan dua mangsa dengan  kerugian RM98,700, manakala kejadian terakhir pada 17 Julai lalu, seorang lelaki memasukkan wang sebanyak RM18,000.
“Kumpulan berkenaan menghubungi mangsa dan memberitahu kononnya mereka dari ibu pejabat sebuah bank di Kuala Lumpur.
“Mereka meminta mangsa membayar jumlah penggunaan kad kredit mereka yang dikatakan digunakan pihak lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.
Sahadan berkata, kumpulan berkenaan menggunakan nombor telefon institusi kewangan sebenar di Kuala Lumpur termasuk Bank Negara untuk memperdayakan mangsanya apabila menghubungi semula nombor tersebut.
Menurutnya, pihaknya merayu kepada orang ramai supaya tidak percaya jika terima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mengaku sebagai pegawai bank dan minta segera menghubungi pihak polis.

Suspek tak sempat edar ganja

Suspek tak sempat edar ganjaYahaya (tengah) menunjukkan sebahagian ganja mampat yang ditemui dalam kenderaan empat suspek di Sunway.
SUBANG JAYA – Belum sempat menikmati hasil jualan ganja yang dibawa, empat lelaki dicekup sepasukan anggota polis Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, petang Isnin lalu.

Difahamkan, gerak geri suspek berjaya dihidu sepasukan anggota yang membuat intipan di sebuah pusat beli-belah terkenal di Sunway di sini kira-kira jam 5.45 petang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, bertindak atas maklumat, anggota membuat intipan dan mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Triton yang masuk ke tempat letak kereta pusat beli-belah berkenaan.

Katanya, empat lelaki berada dalam kereta masing-masing tiga warga tempatan dan seorang lagi warga Syria.

Katanya, seorang daripada suspek ditahan berhampiran kereta manakala tiga lagi diberkas di kawasan kedai dalam bangunan pusat beli-belah.

“Kenderaan digunakan suspek diperiksa dan lima ketulan ganja mampat seberat 4,658 gram bernilai hampir RM11,500 ditemui dalam sebuah beg diletakkan di bahagian tengah antara kerusi pemandu dan penumpang bahagian depan.

“Keempat-empat suspek berusia 23 hingga 26 tahun ditahan dan hasil ujian air kencing dijalankan mendapati kesemuanya positif ganja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yahaya meminta kerjasama orang ramai mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes curi kenderaan di USJ, Subang Jaya, 1 Julai lalu.

“Lelaki berkenaan adalah Chui Jun Keat beralamat terakhir di Taman Koperasi Cuepacs Batu 12 Cheras, Lee Kek Keong dari Subang Indah Petaling Jaya dan Chan Yong Ting dari Taman Selayang Jaya Batu Caves, Selangor,” katanya.

Jaim serbu kedai makan, 10 saman dikeluarkan



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Ogos 2012
Jaim serbu kedai makan, 10 saman dikeluarkan
Penguat kuasa Jaim melakukan pemeriksaan dalam serbuan semalam.
BANDARAYA MELAKA - Segelintir umat Islam di negeri ini bukan sahaja tidak menunaikan kewajipan berpuasa, malah turut mempertikaikan tindakan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) melakukan serbuan di beberapa lokasi, semalam.
Ketua Pegawai Penguat kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, dalam serbuan yang dilakukan, sebanyak 10 saman dikeluarkan membabitkan individu berusia antara 40 hingga 50 tahun.
Menurutnya, pihaknya kesal dengan perilaku individu terbabit yang secara sengaja berada di lokasi berkenaan sehingga menimbulkan syak wasangka masyarakat lain.
“Kita kesal dengan keadaan ini kerana walaupun kita tidak nampak perbuatan sebenar mereka namun tindakan kebanyakan mereka ini boleh menimbulkan syak dan dianggap seolah-olah mempersendakan agama.
“Tindakan mereka juga boleh menjejaskan imej Islam di mata bukan Islam kerana pastinya akan memandang remeh terhadap perintah berpuasa di bulan Ramadan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Rahimin berkata, antara kawasan yang terbabit dalam serbuan itu adalah Bukit Rambai, Pantai Puteri, Tangga Batu, Cheng, Ujung Pasir dan sekitar pusat bandar.
Menurutnya, kebanyakan mereka yang diambil tindakan berada di premis makanan milik bukan Islam.
“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 49 (1) dan (2), Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana makan atau minum atau membeli makanan atau minuman atau merokok pada waktu siang di bulan Ramadan.
“Sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali dan untuk kesalahan kedua berikutnya denda RM2,000 atau penjara 24 bulan,” katanya.
Rahimin berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan operasi hampir setiap hari bagi memastikan golongan yang tidak menghormati kesucian Ramadan dibanteras.

Pemandu treler berdepan detik cemas besi ikatan cerucuk konkrit putus



Pemandu treler berdepan detik cemas besi ikatan cerucuk konkrit putus
Cerucuk konkrit bertaburan di atas jalan raya selepas tayar treler di pandu Rashmie pecah di km 31 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di sini.
MARANG – Seorang pemandu treler berdepan detik mencemaskan apabila besi pengikat muatan cerucuk konkrit yang dibawa putus selepas tayar kenderaan itu pecah di kilometer 31 jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Pulau Kerengga di sni, malam kelmarin.

Dalam kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam itu, sebanyak 15 dari 20 cerucuk konkrit yang dibawanya bertaburan di atas jalan manakala pemandu treler tersebut terpaksa memberhentikan kenderaan secara mengejut di sebelah kiri jalan.

Bagaimanapun pemandunya, Rashmie Abdul Wahab, 31, dan kelindannya dikenali sebagai Rizal, tidak mengalami sebarang kecederaan mahu pun pengguna jalan raya lain kerana tiada kenderaan berada di laluan berkenaan ketika kejadian berlaku.

Menurutnya yang tinggal di Rhu Muda di sini, semasa kejadian, dia datang dari tempat kerjanya di kawasan perindustrian Gong Badak, Kuala Terengganu dan menuju ke sebuah kilang di Kemaman untuk menghantar 20 batang cerucuk konkrit.

“Namun setiba di tempat kejadian tiba-tiba salah sebiji tayar kenderaan ini pecah lalu menyebabkan besi pengikat batang konkrit putus. Saya kemudian terbabas dan memberhentikan kenderaan ini di kiri jalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati tiada kesesakan berlaku kerana tindakan cepat pemandu menghubungi pihak polis dan rakan-rakannya untuk membantu mengalihkan cerucuk konkrit di atas jalan raya dengan menggunakan jentolak ke tepi jalan.

Anggota polis trafik yang berada di lokasi kejadian turut berjaya mengawal lalu lintas sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan. Bagaimanapun, tiada laporan dibuat mengenai kejadian itu oleh mangsa kejadian sehingga tengahari semalam.

Mengaku tidak bersalah dera anak teman wanita

KUANTAN- Seorang pekerja sebuah pusat snuker di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mendera anak teman wanitanya hingga pecah usus dan lebam kepala serta badan dalam sebuah bilik sewa di Jalan Wong Ah Jang di sini, 23 Julai lalu.

Tertuduh Khoirumminan Ranizal, 19 dari Kampung Tanjung Chempaka, Pekan bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Amalina Zainal Mokhtar di hadapan Majistret Rini Triany Mohamad Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Khoirumminan didakwa mencederakan Muhammad Adam Mikhail Abdullah, 10 bulan yang ditinggalkan di bawah jagaannya ketika teman wanitanya keluar bekerja.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 8 malam, 23 Julai hingga jam 3.30 petang hari berikutnya di dalam bilik sewa di jalan Wong Ah Jang di sini.

Kecederaan pada mangsa disedari ibunya berusia 22 tahun selepas mendapati anaknya itu  menangis dan muntah–muntah.

Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis kerana mensyaki tertuduh mendera anaknya hingga terpaksa dirawat di Unit PICU Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Susulan laporan tersebut, tertuduh berjaya ditahan sehari selepas kejadian dan dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ditawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000 selepas dia membuat rayuan.

Dalam rayuannya, tertuduh merayu agar jumlah jaminan yang ditawarkan dikurangkan memandangkan dia hanya bekerja sebagai penjaga premis snuker dengan gaji RM400 sebulan.

Tertuduh pada mulanya memberitahu mahkamah bahawa dia terpaksa menyara teman wanitanya itu namun mengubahnya kepada menyara dua adik yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 September depan sebagai tarikh perbicaraan berhubung kes tersebut.

Cedera ditetak perompak



Cedera ditetak perompak
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan seorang pekerja asing ditetak penyamun yang memecah masuk kilang di kawasan perindustrian Selesa Jaya, Balakong Ahad lalu.
KAJANG - Sebuah kilang di kawasan Perindustrian Selesa Jaya, Balakong, di sini dipecah masuk Ahad lalu, menyebabkan lebih tiga pemilik premis yang beroperasi di dalam kawasan kilang tersebut mengalami kerugian.

Difahamkan, kilang tersebut menempatkan 12 premis kilang kecil yang menjalankan perusahaan aluminium, kejuruteraan dan proses makanan sejuk beku dimana 10 daripadanya dipecah masuk.

Seorang pemilik premis, Lee Yih Feng, 34, berkata, premisnya menjalankan kerja kejuruteraan malah baru dua bulan menyewa di dalam kawasan kilang berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 9 pagi, dia menerima panggilan daripada pekerja memaklumkan kilang mereka dipecah masuk.

“Saya segera ke kilang dan memeriksa kawasan namun tiada barang yang hilang kerana tiada barang bernilai di kawasan kilang berikutan kami hanya menjalankan operasi pengeluaran sahaja di sini.

“Namun jentera forklift kami dialihkan dan dijumpai di kilang berdekatan mungkin digunakan penyamun untuk mengangkut barang dari kilang berdekatan,” katanya.

Seorang lagi pemilik premis, Hee Meow Loong, 41, berkata, seorang pekerja asing di kilang berdekatan turut dicederakan penyamun menggunakan parang berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Berdasarkan rakaman, lebih enam penyamun yang memecah masuk premis bersenjatakan parang malah bertindak menetak seorang pekerja, namun mujur dia hanya mengalami cedera ringan.

“Saya telah lima tahun menjalankan perindustrian kejuruteraan di kawasan kilang ini dan ini kali pertama kes besar dihadapi berlaku,” katanya.
Meow Loong berkata, dia mengalami kerugian sekitar RM100,000 apabila wang asing lebih RM10,000 dikebas, lori syarikat, sistem CCTV, buku cek persendirian dan syarikat, pasport dan dua komputer riba dilarikan perompak.

“Ketika kejadian itu juga, sistem penggera dipotong dan pengawal turut diikat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Kerani bersekongkol dengan suami pecah amanah

MUAR - Seorang kerani sebuah kilang perabot di Parit Jamil dekat Parit Jawa, tergamak bersekongkol dengan suaminya memalsukan 52 cek milik syarikat bernilai RM 469,087 bertujuan untuk mengaut keuntungan dengan jalan mudah.
Bagaimanapun, perbuatannya sejak setahun lalu itu terbongkar, selepas pengurus syarikat perabot berkenaan membuat laporan polis berkaitan pecah amanah selepas mendapati akuan kewangan syarikat meragukan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, melalui laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum menahan wanita berkenaan berusia 30 tahun di Jalan Temenggung Ahmad, di sini, pada 9 Julai lalu.
Menurutnya, suami wanita itu yang berusia 35 tahun turut ditahan kerana dipercayai terbabit sama memalsukan cek berkenaan.
“Wanita ini menggunakan alat khas untuk memadamkan nama dan jumlah wang pada cek yang hendak dibayar kilangnya kepada pembekal sehingga pihak bank sendiri tidak menyedari penipuannya.
“Tetapi sebenarnya, wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun miliknya dan suami tanpa diketahui orang lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, semalam.
Sahadan berkata, pasangan berkenaan sangat licik dan dipercayai terjebak dalam kegiatan itu sejak awal 2011 serta menggunakan pelbagai peralatan canggih untuk memalsukan cek syarikat.
Jelasnya, wanita ini berhenti kerja pada hujung tahun lalu dipercayai untuk mengelak daripada kegiatannya terbongkar.
“Pasangan berkenaan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes  disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika  sabit kesalahan.

Bas terbalik, sembilan nyaris maut



Bas terbalik, sembilan nyaris maut
Kedudukan bas ekspres yang melintang menghalang laluan setelah terbalik
ALOR GAJAH - Sembilan termasuk seorang pemandu nyaris maut apabila bas ekspres dinaiki terbalik di Jalan Pegoh-Jelatang, berhampiran persimpangan lampu isyarat di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 petang itu, bas dipandu Mohd Zabri Ali, 44, dari arah Simpang Ampat menuju ke Melaka Sentral hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

Mohd Zabri berkata, dia gagal mengawal stereng selepas lampu isyarat bertukar merah.

"Saya cuba tekan brek bila lihat lampu isyarat merah tetapi brek gagal berfungsi dan saya terpaksa memaut stereng ke susur kiri untuk mengelak merempuh kenderaan yang sudah bergerak dari arah pekan Alor Gajah menuju ke Jelatang.

“Keadaan bas terhuyung- hayang dan terus terbalik ke kanan menghalang laluan jalan raya. Saya dan semua penumpang segera selamatkan diri kerana bimbang bas terbakar," katanya.

Sementara itu, seorang penumpang, Robert Edmund, 49, berkata, dia terkejut apabila menyedari pemandu bas menekan brek mengejut ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat sebelum stereng dipaut ke kiri dan bas kemudiannya terbalik ke kanan.

“Ketika bas menghala laju ke susur kiri, saya dapat agak bas akan terbalik berdasarkan pengalaman bekerja sebagai pemandu bas kilang,” katanya.

Menurutnya, semua penumpang menyelamatkan diri dengan keluar menggunakan cermin hadapan bas yang dipecahkan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, bas ekspres terbabit dari Terminal Seremban menuju ke Melaka pada jam 6.30 petang tetapi hilang kawalan apabila tiba di persimpangan lampu isyarat. “Tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Alor Gajah sebagai pesakit luar,” katanya.

‘Pelanggan’ rogol pekerja butik



‘Pelanggan’ rogol pekerja butik
Suspek yang merogol mangsa dicari.
SUBANG JAYA – Polis mengedarkan fotofit seorang lelaki dipercayai warga Indonesia bagi membantu siasatan berhubungan kes rogol pekerja butik di SS15, 21 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, butik tempat kerja mangsa berumur 23 tahun itu dikatakan didatangi lelaki berkenaan kira-kira jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek dikatakan membelek-belek pakaian di rak dan memaklumkan kepada mangsa dia ingin menghadiahkan baju itu kepada teman wanitanya.

Katanya, suspek yang bertutur dalam bahasa Indonesia kemudian memaksa pekerja butik itu masuk ke dalam bilik stor dan terus mengikat kaki tangan serta mulut mangsa.

“Suspek kemudian merogol mangsa dan menyamun beg duit, telefon bimbit serta hasil jualan yang berada di kaunter pembayaran,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Yahaya berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai mengesan seorang lelaki warga Argentina bagi membantu siasatan kes pecah rumah dan melanggar kereta polis di USJ 18/2A pada 26 Julai lalu.

Dalam kejadian 9.25 malam itu, empat lelaki melarikan diri selepas melihat kereta peronda polis tiba di pekarangan rumah teres dua tingkat tersebut yang telah dipecah masuk.

“Kita minta orang ramai tampil memberi maklumat sekiranya mengetahui kedudukan lelaki dikenali Ignacio Marcelo, 45, yang masuk ke negara ini sebagai pelancong sejak Oktober lalu,” katanya.

Serbu rumah urut

KLANG: Nafsu asmara dua lelaki yang sedang dilayan tiga wanita dipercayai pelacur warga Thailand dan Myanmar tergendala apabila premis rumah urut di Bandar Botanik, di sini, itu diserbu Majlis Perbandaran Klang (MPK), baru-baru ini.
Dalam serbuan jam 10 malam itu, pemilik premis yang beroperasi secara haram itu melarikan diri sebaik ia diserbu.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPK, Andry Arman Masrom berkata, pihaknya melakukan operasi hasil risikan dan maklumat orang ramai serta pemantauan berterusan terhadap premis rumah urut dalam pentadbiran MPK.
“Dalam operasi berkenaan, kami menyita peralatan yang digunakan untuk menjalankan perniagaan seperti tilam, bantal dan langsir dan tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3, Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPK 2007 kerana beroperasi tanpa lesen.

“Operasi seperti ini diteruskan bagi memastikan tiada pihak yang melanggar undang-undang majlis terutama berkaitan premis rumah urut,” katanya.

Polis ambil keterangan

PEKAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun terbunuh dalam keadaan mengerikan selepas terperosok di bawah kereta yang sedang diundurkan bapa saudaranya di Kampung Cenderawasih, Sungai Miang, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, mangsa, Nur Izzati Abdul Kadir, 12 bulan, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, pada jam 10.15 malam kelmarin, selepas dipindahkan dari Hospital Pekan (HP). Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman, berkata mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badannya.

Menurutnya, polis sudah mengambil keterangan penuh daripada bapa saudara mangsa, Sarudi Abdullah, 22, yang mendakwa secara tidak sengaja terlanggar mangsa ketika mengundurkan kereta Proton Saga untuk keluar ke bandar.
Katanya, polis berpuas hati dengan keterangan yang diberikan oleh bapa saudara mangsa.

Mekanik dituduh kurung, cabul remaja

KUALA LUMPUR: Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan mengurung dan mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Chan Hwa Chez, 40, yang memakai baju kemeja kelabu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Suzarika Sahak.

Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan maksud mencabul kehormatan remaja itu dalam sebuah bilik di Dang Wangi, di sini, pada jam 10 pagi 7 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menghalang dengan salah mangsa sama iaitu menahannya keluar dari had terlindung di tempat, masa dan hari sama.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Suzarika yang menetapkan 3 September depan untuk sebutan semula kes itu turut membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Chan turut menghadapi dua lagi tuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah syabu seberat 64.14 gram dan memiliki 20 biji pil dadah disyaki ecstasy dengan berat 2.5 gram.
Tiada pengakuan direkodkan bagi tuduhan yang dilakukan di sebuah rumah beralamat Blok C-17-2, Putra Majestic Condominium, Jalan Kasipillay, Off Jalan Ipoh, di sini, pada jam 8 malam 12 Julai lalu.

Bagi tuduhan pertama iaitu mengedar syabu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Chan yang turut didakwa memiliki ecstasy mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama itu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, S Malini Anne manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

ATM bantu urus jenazah mangsa

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberi bantuan kepada keluarga Koperal Hafeeze Mohd Hanafi yang maut bersama isterinya yang hamil tujuh bulan akibat dirempuh bas sekolah dalam kemalangan tragis di Keramat, semalam.
Pengarah Media Menteri Pertahanan, Kol Fadzlette Othman Merican Idris berkata, selain menghulurkan bantuan asas seperti mengurus jenazah, ATM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan keluarga mangsa bagi mengetahui bentuk bantuan yang diperlukan mereka.

“Kami akan berbincang dengan keluarga mangsa untuk tentukan bantuan yang mereka perlukan. Buat masa ini, kami sudah berikan bantuan ilat seperti menguruskan jenazah dan menyediakan kenderaan bagi membawa pulang jenazah untuk dikebumikan,” katanya ketika dihubungi, semalam. - Bernama

Gangguan seks jenayah di Perancis

PARIS 1 Ogos - Parlimen Perancis semalam meluluskan satu undang-undang yang menjadikan gangguan seksual sebagai satu kesalahan jenayah.
Undang-undang baru itu menggariskan tiga tahap gangguan dengan yang paling serius melibatkan pesalah yang boleh mempengaruhi mangsa, mangsa di bawah umur 15 tahun dan bilangan individu yang melakukan gangguan itu.
Mereka yang didapati melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun. - AGENSI

Enggan beri duit rokok, ibu bapa dipukul

Enggan beri duit rokok, ibu bapa dipukul:

PULAU PINANG 1 Ogos - Tindakan seorang pesakit mental lelaki memukul ibu dan bapanya dengan sebatang kayu penyapu awal pagi semalam, mengejutkan penghuni flat Bukit Gedung, Bayan Lepas di sini.
Kejadian berlaku pukul 1.30 pagi apabila lelaki berusia lingkungan 30-an itu bertindak ganas selepas permintaannya untuk mendapatkan wang bagi membeli rokok tidak diendahkan ibu bapanya.
Berang permintaannya tidak dipenuhi, dia lantas mengambil sebatang kayu penyapu lalu memukul muka bapanya berusia lingkungan 60-an. Ibunya cuba melindungi pukulan itu turut terkena pukulan di kepala.
Jiran keluarga itu yang terdengar jeritan suami isteri berkenaan segera datang membantu dan membawa mereka yang mengalami kecederaan di kepala dan muka ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

'via Blog this'

Pemandu bas sekolah ditahan kerana mencabul

NIBONG TEBAL 1 Ogos - Polis menahan seorang pemandu bas kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dalam sebuah bas sekolah di Bukit Tambun, Simpang Ampat di sini semalam.
Pemandu bas berumur 26 tahun ditahan selepas keluarga kanak-kanak itu membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, mangsa menaiki bas sekolah dalam perjalanan pulang ke rumahnya kira-kira pukul 2 petang.
Katanya, mangsa dipercayai tertidur seorang diri dalam bas ketika dalam perjalanan pulang.
"Suspek memberhentikan bas di tepi jalan lalu mencabul mangsa dengan menyelak kain yang dipakai mangsa.
"Mangsa telah sedar dari tidur dan mendapati suspek telah menutup matanya dengan menggunakan kain," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

11 gerai bazar Ramadan disita

Ahmad Phesal Talib (kiri) diberi penerangan oleh Pengarah Jabatan Perancangan Fizikal DBKL, Zainab Mohd. Ghazali semasa melihat pelan kawasan yang akan di bangunkan untuk projek Jejak Warisan selepas sesi taklimat awam Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR 1 Ogos - Sebanyak 11 gerai bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman telah disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas peniaganya menyewakan kepada warga asing.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, 181 kompaun juga sudah dikeluarkan oleh pihaknya sejak hari pertama bazar beroperasi disebabkan pelbagai kesalahan.
"Kami memang bertegas, daripada awal lagi pemilihan peniaga melalui undian dilakukan secara telus dan tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran seperti penjualan lot-lot yang tidak sepatutnya.