Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

Kastam rampas mercun, bunga api RM3.37 juta

KUALA LUMPUR: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas mercun dan bunga api bernilai lebih RM3.37 juta di seluruh negara dari Januari hingga 29 Julai lalu.

Pengarah Cawangan Risikan KDRM, R Mariappa, berkata rampasan itu membabitkan 127 kes cubaan menyeludup barangan itu dengan nilai cukai RM2.18 juta.
"Usaha pencegahan yang dilaksanakan KDRM menunjukkan kesan positif di mana pada tahun lepas sebanyak 309 kes direkodkan berbanding 326 kes pada 2010.

"Nilai rampasan juga berkurangan iaitu pada tahun lepas mercun dan bunga api bernilai lebih RM7.8 juta dirampas berbanding lebih RM11.11 juta pada 2010," katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan bahawa KDRM sentiasa menjalankan beberapa usaha bagi memerangi penyeludupan mercun dan bunga api di negara ini agar kegiatan itu tidak terus berleluasa.

Katanya, antara usaha yang dijalankan termasuk mengadakan operasi dan pemeriksaan mengejut di premis perniagaan yang disyaki menjual mercun dan bunga api.

Lebih penting, katanya, pemeriksaan rapi 100 peratus perlu dilakukan ke atas kontena-kontena yang disyaki menyeludup mercun dan bunga api melalui pelabuhan dan melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan yang disyaki di sempadan negara.
Katanya, mereka yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan mercun dan bunga api akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu mengangkut barang larangan.
S
eksyen itu memperuntuk hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda barangan rampasan atau tidak kurang 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai diminta bekerjasama menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan termasuk mercun dan bunga api dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata perbuatan membakar mercun dan bunga api bukan sahaja berbahaya malah ia membazir serta sia-sia.

Beliau menegaskan bahawa perbuatan membakar mercun dan bunga api sebenarnya bukan budaya Melayu malah Islam turut melarang umatnya melakukan perbuatan sia-sia, membazir, membahayakan diri serta harta benda.

"Dari sisi agama ia haram, saya harap masyarakat sedar bahawa perbuatan ini langsung tidak mendatangkan apa-apa faedah meskipun bermain mercun dan bunga api dikatakan sebagai antara kebiasaan bagi memeriahkan sambutan perayaan.

"Budaya ini perlu diubah bagi mengelak bahayanya. Ibu bapa sepatutnya berperanan mendidik anak-anak dan bukannya membeli mercun dan bunga api untuk anak-anak.

"Saban tahun terdapat banyak kejadian kanak-kanak cedera akibat bermain mercun dan bunga api malah ada yang meninggal atau mengalami kecederaan kekal seperti buta serta hilang jari, ini patut menjadi pengajaran kepada semua lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, meskipun sudah terdapat undang-undang bagi memantau aktiviti penjualan dan pengedaran mercun dan bunga api, namun penguatkuasaan terhadapnya perlu ditingkatkan.

"Sebagai contoh, ada juga yang membuat mercun sendiri, jadi pihak berwajib perlu mengawal penjualan belerang yang mudah didapati di kedai-kedai," katanya sambil menambah sudah tiba masanya kerajaan mengenakan tindakan tegas. - BERNAMA 

Kes Syaleza: Polis rekod keterangan 5 individu

SHAH ALAM: Polis sudah mengambil keterangan lima individu bagi membantu siasatan kes eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9 yang ditemui mati di rumahnya di Apartmen Saujana, Damansara Damai, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah, berkata lima individu itu ialah tiga jiran mangsa dan dua lagi juga kakitangan stesen televisyen berkenaan.
"Keterangan yang kami peroleh akan digunakan untuk membantu siasatan serta proses pengumpulan bukti berhubung kes itu.

"Selain itu, mungkin ada beberapa saksi lagi yang kami akan panggil dalam masa terdekat ini untuk dirakamkan percakapan mereka berkaitan kes itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini.

Syaleza Jaffar, 31, ditemui mati oleh suaminya di bilik tidur rumah itu dan hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan jerutan di leher wanita itu.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang merupakan anggota keluarga terdekat Syaleza di Segamat, Johor pada pukul 10.15 malam Isnin lepas bagi membantu siasatan kes itu.

Mohd Adnan berkata, tiada tangkapan baru dibuat dan lelaki yang bekerja di bahagian teknologi maklumat di sebuah firma itu kini direman sehingga 6 Ogos.
Mengulas mengenai senjata yang diguna untuk membunuh Syaleza, beliau berkata pihaknya tidak menemui apa-apa senjata atau bahan bukti yang mungkin diguna dalam kejadian itu.

"Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengumpul maklumat terperinci termasuk mengenalpasti motif sebenar kejadian," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Suami, isteri hamil maut dirempuh bas sekolah

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri, yang menanti kelahiran cahaya mata kedua maut selepas dirempuh sebuah bas sekolah dalam satu kemalangan di Jalan 15/56 AU 3, Keramat di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa Hafeeze Mohd Hanafi, 30, bersama isterinya Siti Noor Edayu Roslan, 26, yang hamil tujuh bulan, menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda Z, dirempuh dari belakang semasa berhenti di satu persimpangan lampu isyarat.
Ketika kejadian, Hafeeze, seorang anggota tentera yang bertugas di Bahagian Gaji, Kementerian Pertahanan di sini dalam perjalanan menghantar Siti Noor Edayu, kerani di sebuah syarikat di Cheras.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning, berkata ketika berhenti di satu persimpangan lampu isyarat, mereka dilanggar bas berkenaan yang datang dari arah Flat Polis Cempaka menghala ke Taman Setiawangsa.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai berlaku ekoran kegagalan pemandu bas mengawal kenderaannya ketika menuruni bukit lalu melanggar mangsa yang sedang berhenti di belakang sebuah bas sekolah yang lain di persimpangan itu.

Pelanggaran itu menyebabkan pasangan itu tersepit di antara dua bas. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kita masih menyiasat...bagaimana bas itu hilang kawalan. Mungkin ia berpunca daripada kegagalan sistem brek," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Beliau berkata mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, dua saksi yang ditemui di lokasi kejadian menyifatkan kemalangan tragis itu berpunca daripada bas yang dipandu laju ketika menuruni bukit yang curam sehingga gagal dikawal dan bergesel dengan sebuah kenderaan sebelum merempuh sebuah motosikal.

Saiful Azhar Ismail, 39, berkata beliau yang dalam perjalanan ke tempat kerja melihat bas sekolah yang menuruni bukit dengan laju cuba mengelak sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan sebelum merempuh pasangan suami isteri itu.

"Sebelum melanggar motosikal itu, saya nampak bas tersebut cuba mengelak kereta Mercedes, lalu menghentam motosikal yang dinaiki mangsa di hadapannya, menyebabkan mereka tersepit di antara dua bas," katanya.

Khairi Azwan, 29, pula berkata kemalangan maut itu melibatkan sekurang-kurangnya sembilan kenderaan iaitu dua bas, lima kereta dan dua motosikal.

"Saya turut membantu mangsa yang cedera dan sempat membawa keluar pelajar-pelahar sekolah dari bas berkenaan.

"Saya lihat pemandu bas yang merempuh kenderaan itu hanya mengalami kecederaan di lutut," katanya yang ketika itu dalam perjalanan ke kedai runcit berdekatan.

Dalam pada itu, bapa Siti Noor Edayu, Roslan Jalil, 53, berkata kehilangan anaknya adalah sesuatu yang di luar jangkaan ketika mereka semua menanti kelahiran anggota keluarga baru.

"Saya tidak sangka perkara ini boleh berlaku ke atas anak saya. Namun, saya terima takdir ini dan reda beliau sudah tiada," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HKL.

Pasangan itu meninggalkan seorang anak lelaki berusia dua tahun. - BERNAMA

Port dadah diserbu



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Julai 2012
port dadah diserbu
Semua suspek yang ditahan dalam serbuan di jeti perikanan dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut.
KUALA DUNGUN – Tindakan sekumpulan penagih bermaharajalela di jeti perikanan tanpa mempedulikan kehadiran orang awam berakhir apabila port mereka diserbu polis, dekat sini, pagi semalam.

Operasi besar-besaran oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah bersama anggota cawangan lain bermula jam 9 pagi itu berjaya membongkar aktiviti pengambilan dadah yang dikatakan mulai berleluasa di sebalik bot nelayan yang berlabuh dan timbunan pukat di jeti pendaratan.

Bagaimanapun, usaha pihak polis untuk menangkap penagih terpaksa berhada-pan ujian getir apabila beberapa suspek yang menjadi sasaran dalam operasi terbabit bertindak terjun ke dalam air sebaik menyedari kehadiran polis.

Nekad terjun laut

Sebahagian daripada mereka yang terjun ke dalam air dikatakan bersembunyi di sebalik tiang konkrit jeti sehingga menyukarkan usaha polis untuk menahan mereka.

Beberapa anggota polis bagaimanapun turut terjun ke air bagi menangkap suspek sebelum dibawa naik ke jeti dengan bantuan bot polis.

Akhirnya, operasi diketuai Inspektor Wahid Sujani selama hampir dua jam itu, 19 penagih berjaya ditahan termasuk empat daripadanya penagih veteran yang sudah melangkaui usia lebih separuh abad.

Salah seorang penagih tua yang dianggap ‘otai dadah’ itu difahamkan mempunyai 20 rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah selain beberapa kali pernah keluar masuk penjara termasuk menjalani hukuman buang daerah.

Dua jam tahan penagih wanita

Sementara itu, dalam operasi sama, pihak polis terpaksa menunggu hampir dua jam untuk menahan penagih wanita selepas suspek bertindak melarikan diri dengan terjun ke sungai.

Tiga anggota polis diketuai Sub Inspektor Ismail Omar bagaimanapun terpaksa menggunakan bantuan perahu untuk mendekati lokasi persembunyiannya sebelum berjaya menangkap suspek wanita yang menyelinap di bawah jeti perikanan yang dalamnya hampir dua meter itu.

Siasatan awal mendapati wanita berasal dari Kampung Sungai Buaya berumur 30-an itu dikatakan antara pengunjung setia port panas itu dan pernah tiga kali ditahan polis kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek terlibat dengan dadah jenis methaMpethamine dan morfin.

Mereka kini disiasat mengikut seksyen 15(1) dan 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pembantu kedai ditahan jual mercun




31 Julai 2012
KUALA TERENGGANU - Polis menahan seorang pembantu kedai perkakasan berhubung kegiatan penjualan mercun dan bunga api di rumahnya di Kampung Pondok Lalang, Batu Rakit di sini, awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K.Manoharan berkata lelaki 34 tahun itu ditahan selepas polis menyerbu rumahnya kira-kira 3.30 pagi dan menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM17,000 yang disimpan di bahagian dapur rumahnya.
"Kita masih menyiasat daripada mana lelaki berkenaan memperoleh bekalan tersebut," katanya kepada pemberita di sini.
Manoharan berkata siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Batu Rakit itu menyimpan bekalan itu untuk jualan sendiri dan diedarkan kepada peniaga-peniaga berhampiran.
Katanya ini merupakan tangkapan mercun terbesar di Terengganu pada tahun ini dan pihaknya akan terus mengesan mereka yang terbabit bagi membanteras kegiatan itu.
Sambil mengingatkan peniaga supaya tidak terlibat dengan kegiatan penjualan mercun atau menghadapi tindakan undang-undang, beliau berkata polis akan berbincang dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi menarik balik lesen peniaga terlibat.
Beliau berkata polis akan terus memantau beberapa lokasi penjualan mercun dan bunga api di negeri ini seperti di sekitar bazar Ramadan, pasar malam dan kedai runcit yang tertentu.- Bernama

Polis tahan seorang lelaki, rampas pil ekstasi RM800,000




31 Julai 2012
Polis tahan seorang lelaki, rampas pil ekstasi RM800,000
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan Supt Baharom Othman menunjukkan pil ectasy yang dirampas di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
SEREMBAN - Polis menahan seorang lelaki dan merampas kira-kira 4.9 kg pil ecstasy bernilai RM800,000 di KM 260, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran plaza tol Port Dickson, dekat sini, awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supt Baharom Othman berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan oleh anggota kereta peronda lebuh raya Bukit Aman pada pukul 2.45 pagi.

"Semasa kejadian, anggota kereta peronda lebuh raya telah menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Wish yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan mendapati lebih 15,000 pil ecstacy diisi dalam 30 paket plastik dianggarkan bernilai RM800,000," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Melaka, mempunyai empat rekod jenayah dengan kesalahan memiliki dadah dan akan direman empat hari mulai hari ini untuk membantu siasatan.
Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Dua warga Indonesia cedera terkena tembakan semasa memburu




31 Julai 2012
SEREMBAN - Dua lelaki warga Indonesia cedera selepas terkena tembakan senapang patah rakannya semasa mereka keluar memburu di hutan simpan Kota Tinggi, Johor, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Hamdan Majid berkata kedua-dua mangsa dari Seremban didapati mengalami kecederaan di depan dan belakang badan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di sini.

"Seorang daripada mereka terdapat lapan butir peluru penabur di bahagian badan, manakala seorang lagi 24 butir peluru penabur," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya ekoran kejadian itu, polis memberkas seorang lelaki yang berasal dari Seremban semalam dan seterusnya tiga lagi lelaki termasuk seorang warga Indonesia. Mereka merupakan rakan berburu kedua-dua mangsa.

"Hasil daripada penahanan itu, kita berjaya merampas dua laras senapang patah, 12 butir peluru senapang patah, 'briefcase' berisi peralatan senapang patah beserta enam butir peluru rifle 7.62.

"Empat lelaki terbabit kini ditahan untuk membantu siasatan manakala kedua-dua mangsa pula ditahan atas kesalahan Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Katanya kes ini akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor terutama di daerah Kota Tinggi kerana insiden ini berlaku di kawasan itu.- Bernama

Polis keluar waran tangkap lelaki disyaki tipu warga emas




31 Julai 2012
TAWAU - Polis mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun selepas dia gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan menipu warga emas.
  
Lelaki itu didakwa menyamar kakitangan Jabatan Kebajikan untuk menawarkan khidmat membantu orang tua memperoleh bantuan kebajikan.
  
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin berkata suspek, Basri Saifudin, yang berasal dari Kampung Berungis, Tuaran, sepatutnya hadir ke mahkamah di sini pada 19 Julai lalu bagi menghadapi tuduhan berkenaan.
  
Katanya Saifudin dan beberapa lagi rakannya yang masih bebas disyaki terlibat dalam tujuh kes memperdaya warga tua.
  
"Ada tujuh kes seperti itu dilaporkan sejak awal tahun ini. Mangsa-mangsanya ialah warga tua berumur antara 60-an hingga 70-an tahun. Kerugian yang dialami tujuh mangsa itu ialah antara RM15,000 hingga RM20,000," katanya kepada pemberita di sini.
  
Warga tua yang mahukan bantuan daripada kumpulan itu diminta menyerahkan barangan berharga seperti emas dan telefon bimbit kononnya untuk digunakan dalam proses permohonan bantuan itu nanti.
  
Bagaimanapun, selepas memperoleh barangan itu, kumpulan itu terus menghilangkan diri.  - Bernama

Peniaga jadi buta kena gas pemedih FRU dapat RM150,000




31 Julai 2012
Ibnati Solihatul Nuri melihat kesan kecederaan pada mata suaminya, Mohd Huzaifah
Ibnati Solihatul Nuri melihat kesan kecederaan pada mata suaminya, Mohd Huzaifah yang kini terpaksa pakai mata palsu.
KOTA BHARU - Seorang peniaga yang mata kanannya buta akibat terkena kelongsong gas pemedih mata semasa rusuhan perlawanan bola sepak di luar Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada 2009, hari ini mendapat ganti rugi RM150,000.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan jumlah ganti rugi itu selepas mendapati plaintif, Muhammad Huzaifah Muhd Noor, 22, berjaya membuktikan kecederaan parah di mata kanan yang dialaminya adalah akibat terkena tembakan peluru gas pemedih mata yang dilepaskan pihak defendan atau ejen-ejennya.

Beliau berkata, selain keterangan daripada saksi pihak plaintif, rakaman video oleh seorang saksi bebas yang juga penonton  perlawanan bola sepak itu,  menunjukkan berlakunya tembakan peluru gas pemedih mata ke arah gerai plaintif.

Berdasarkan rakaman itu, plaintif rebah sejurus tembakan itu dilepaskan dan beliau kemudian dipapah oleh orang ramai.

Bagaimanapun, Hakim Ahmad Zaidi berkata pihak defendan yang hadir di tempat kejadian bukan bertujuan untuk mencederakan plaintif tetapi untuk menyuraikan rusuhan yang  berlaku selepas perlawanan bola sepak antara Kelantan dan Negeri Sembilan itu.

Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos RM20,000.

Pada 6 Ogos 2009,  Muhammad Huzaifah menamakan pegawai Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ASP M.Sathasivam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Plaintif menuntut rugi am, ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM10 juta selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif diwakili peguam Marwaliz Mahmud manakala kesemua defendan oleh Peguam Persekutuan Rohaiza Zainal.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Muhammad Huzaifah dari Kampung Pasir Tok Kambing di sini, yang ditemani isterinya Ibnati Solihatul Nuri  Mat Taib, 22, berkata beliau bersyukur dengan keputusan itu setelah menunggu sekian lama. - Bernama

Dua lori tangki ditahan



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Julai 2012
Dua lori tangki ditahan
Pegawai Penguat kuasa PPDNKK Cawangan Rompin, Saiful Azman Azmi menunjukkan diesel yang dirampas polis sambil diperiksa pegawai penguat kuasanya.
KUALA ROMPIN - Polis Rompin berjaya menahan berasingan dua lori tangki yang sarat dengan muatan 38,000 liter dipercayai diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM75,000 awal pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, dua lori tangki itu masing-masing mempunyai muatan diesel bersubsidi seberat 19,000 liter dipercayai dalam jadual perjalanan yang sama dari Endau ke Kuala Rompin.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan Unit Peronda Polis (MPV) menahan sebuah kenderaan berat terbabit di Bandar Kuala Rompin.

“Pada ketika itu, hanya sebuah lori tangki ditahan kerana polis difahamkan, terdapat sebuah lagi lori tangki terpaksa berpatah balik ke Tanjung Gemok kerana mengalami kerosakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan dijalankan, seorang pemandu lelaki berusia lingkungan 30-an gagal menunjukkan dokumen yang diperlukan sebelum polis menahan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan.
“Selepas polis mendapat tahu sebuah lagi lori tangki dalam perjalanan ke Tanjung Gemok, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin terus menghubungi Balai Polis Tanjung Gemok bagi mengesan sebuah lagi lori tangki terbabit.
“Pada mulanya, kedua-dua lori tangki itu dalam perjalanan yang sama, namun sebelum sampai ke Kuala Rompin, sebuah daripada lori tangki mengalami kerosakan dan berpatah semula ke Endau untuk mencari mekanik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja lori itu tiba di Taman Wawasan 2 Tanjung Gemok, kenderaan terbabit berhenti secara tiba-tiba sebelum terserempak dengan anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan tersebut.

“Terdapat dua suspek lelaki iaitu seorang pemandu dan seorang kelindan lori tersebut didapati dalam keadaan mencurigakan.

“Polis mendapati pemandunya gagal menunjukkan dokumen berkaitan dan pihak kami menahan lori berkenaan kerana disyaki membawa keluar diesel bersubsidi,” katanya.
Johari berkata, kesemua suspek yang dianggarkan berusia 30-an itu ditahan dan kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membolehkan mereka terlibat didenda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara jika sabit kesalahan,” katanya.

Polis 'palsu' rogol remaja



SITI SHAHROSAMRIRAH SHAHARMAN
1 Ogos 2012
Mohd Harmozi (kiri) dan Rizal Azlie (kanan)
Mohd Harmozi (kiri) dan Rizal Azlie (kanan) memarahi petugas media merakamkan gambar mereka di Mahkamah Sesyen, semalam.
AYER KEROH - Dua sahabat dihukum penjara 15 tahun dan 10 sebatan akibat melakukan perbuatan keji dengan merogol seorang remaja sejurus menyamun dan menyamar sebagai anggota polis, dua tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Ahmad Sazali Omar di Mahkamah Sesyen di sini, selepas Mohd Harmozi Abdul Ghani, 28, dan Rizal Azlie Abdullah, 34, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan pada hari ditetapkan perbicaraan, semalam.

Hukuman itu selepas mengambil kira kelakuan jenayah berat dan kejam dilakukan secara bersama-sama tertuduh dalam satu transaksi.

“Walaupun kamu sudah insaf terutama bersempena Ramadan ini, kamu harus terima hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berpura-pura sebagai penjawat awam memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada pasangan remaja berusia 14 dan 17 tahun di sekitar Pantai Puteri, Tanjung Keling, kira-kira jam 11 malam pada 23 Disember 2010.

Kedua-duanya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta seorang daripada mangsa dengan mengambil sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dan dua telefon bimbit di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Atas kesalahan itu, kedua-duanya yang tidak mempunyai pekerjaan dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. 

Mereka juga didakwa merogol seorang daripada mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Tanah Wakaf, Taman Bukit Rambai Jaya di sini, antara jam 11.30 malam dan 1.30 pagi, tarikh sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya M Rebecca manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuan, kedua-duanya yang telah menyesal atas perbuatan dilakukan memohon hukuman ringan, selain hukuman penjara dijalankan serentak daripada tarikh ditangkap serta meminta untuk ditempatkan di Penjara Sungai Udang.

Bagaimanapun, Rebecca meminta mahkamah memberikan hukuman berat terhadap tertuduh yang berhadapan tiga pertuduhan termasuk melakukan perbuatan keji terhadap mangsa berusia 14 tahun.

“Perbuatan mereka telah menyebabkan mangsa mengalami gangguan mental dan trauma," katanya.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Ahmad Sazali menjatuhkan hukuman penjara  dua tahun bagi kesalahan menyamar, lapan tahun dan dua sebatan (rompakan berkumpulan) dan 15 tahun dan lapan sebatan (merogol).

Beliau turut mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh ditangkap pada 15 Januari 2011 dan tertuduh dipenjarakan di Sungai Udang.

Penoreh getah tempang diburu


Penoreh getah tempang diburu
Manoharan menunjukkan gambar ‘DolohLeeng Doloh’ yang diburu untu bantu siasatan pembunuhan kejam di ladang kelapa sawit di Kampung Tapah, Sungai Tong, Setiu.


KUALA TERENGGANU - Polis kini giat memburu seorang penoreh getah tempang dikenali sebagai ‘DolohLeeng Doloh’ berasal dari Wilayah Yala, Thailand.

Dia dipercayai suspek utama kes pembunuhan kejam seorang warga Indonesia di ladang kelapa sawit Kampung Tapah, Sungai Tong, Setiu, Jumaat lalu.

Suspek yang bernama Abd Halim @ Zaki Idris berusia 51 tahun itu bersama teman wanitanya juga warga Thailand dikenali ‘Mek Na’ dipercayai individu yang menjadi motif pembunuhan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, siasatan awal mendapati ‘Mek Na’ yang tinggal sebumbung dengan suspek utama tanpa ikatan sah selama lima tahun dan pada masa sama turut mempunyai hubungan sulit dengan mangsa.

“Susulan maklumat yang diterima daripada penduduk setempat, polis telah menyerbu kediaman suspek utama yang terletak kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian pada petang semalam (kelmarin).

“Semasa serbuan dilakukan, kami dapati rumah suspek ditinggalkan dalam keadaan berkunci dan terpaksa memecah masuk pintu utama untuk masuk ke dalam,” katanya semalam.

Manoharan berkata, suspek bersama teman wanitanya dipercayai melarikan diri dalam keadaan tergesa-gesa berdasarkan keadaan rumah yang berselerak dan penemuan beberapa dokumen penting milik mereka yang tidak sempat dibawa lari bersama.

“Kami percaya mereka berdua masih ada di negeri ini dan diharapkan orang ramai yang mengetahui atau mengenali suspek utama ini dapat tampil memberi maklumat membantu kami mengesannya.

“Dengan kerjasama orang ramai, kami yakin suspek dapat dijejaki dalam masa terdekat dan penahanan suspek dipercayai dapat menyelesaikan kes jenayah pembunuhan kejam ini,” katanya.


Bagi orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek boleh tampil ke balai polis berhampiran untuk memberikan maklumat.

Polis buru lelaki warga Thailand kes bunuh rakyat Indonesia




30 Julai 2012
KUALA TERENGGANU - Polis kini memburu seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang buruh rakyat Indonesia yang mayatnya ditemui dalam parit di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tapah, Setiu, Sabtu lalu.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata polis menemui beberapa petunjuk berkaitan suspek utama itu setelah melakukan serbuan di rumahnya petang semalam yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.
  
Katanya hasil siasatan lanjut di dalam rumah berkenaan polis menemui beberapa pengenalan diri milik suspek dan mendapati premis berkenaan telah ditinggalkan secara tergesa-gesa.
  
"Kita percaya suspek telah melarikan diri bersama teman wanitanya dan kita yakin suspek masih bersembunyi di sekitar negeri ini.
  
"Hasil maklumat orang awam juga kita mendapati suspek yang bekerja sebagai penoreh getah itu telah lama tinggal serumah dengan teman wanitanya yang dikenali dengan nama 'Mek Na' yang juga bukan warganegara Malaysia," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
 
Manoharan berkata  polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan itu disebabkan perasaan cemburu membabitkan wanita tersebut apabila siasatan awal mendapati mangsa turut mempunyai hubungan dengan wanita itu.
  
Justeru beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek yang bernama Abd Halim @ Zaki b Idres, 51, yang berasal dari Yala, Thailand agar tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran.
  
Dalam kejadian itu satu mayat lelaki yang hanya dikenali sebagai Heri, 33, ditemui dalam keadaan berulat dalam parit dengan beberapa kesan tetakan di kepala, dahi, kaki dan tapak tangan.
  
Manoharan berkata lelaki itu telah beberapa tahun bekerja di ladang kelapa sawit di Setiu.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

Libas ibu kerana RM10

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim
KUALA BERANG - Seorang penganggur berusia 26 tahun dari Kampung Nibong tergamak melibas ibu kandungnya menggunakan sebilah sabit hanya kerana duit.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam 22 Julai lalu, ibu malang berusia 54 tahun itu diselamatkan suaminya, seorang petani berumur 57 tahun dengan terus membawanya bergegas keluar dari rumah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, suspek dipercayai secara tiba-tiba naik berang lalu terus mengamuk setelah hasratnya untuk mendapatkan wang daripada bapanya tidak dapat dipenuhi.

“Terdahulu, suspek meminta duit daripada bapanya dan diberikan sebanyak RM40, tetapi dia tidak berpuas hati lalu meminta lagi RM10. Bapanya tidak dapat tunaikan kehendaknya kerana tidak mempunyai duit dan secara tiba-tiba suspek naik angin.

“Suspek mengamuk dengan mengambil sebilah sabit pemotong buah kelapa sawit sepanjang kira-kira dua kaki dari biliknya, dan terus meluru ke bilik ibunya dengan mengancam hendak menetak serta membunuh," katanya.

Mohd Ismail berkata, suspek kemudiannya melibas dan libasannya terkena dinding bilik ibunya.

Bagaimanapun, bapa suspek berjaya membawa isterinya keluar dari rumah sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis
Daerah Hulu Terengganu, di sini, semalam.

Menurutnya, sehari selepas kejadian iaitu kira-kira jam 4.45 petang, suspek berjaya ditahan polis di hadapan Balai Polis Kuala Berang dan keesokan harinya pula suspek membawa polis ke rumahnya kira-kira jam 4.45 petang.

“Ketika tiba di rumahnya, suspek menunjukkan senjata digunakan dalam kejadian yang diletakkan di tepi dinding sebelum dirampas polis. Ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.

Leka berurut sambil bogel

Tukang urut wanita dan pelanggan terkedu ketika premis diserbu pihak berkuasa.
Tukang urut wanita dan pelanggan terkedu ketika premis diserbu pihak berkuasa.
PUCHONG – Keasyikan beberapa pelanggan diurut tanpa seurat benang di pusat refleksologi Bandar Puteri di sini terbantut apabila premis dikunjungi mereka diserbu pihak berkuasa, lewat malam kelmarin.

Difahamkan, premis sama pernah diserbu sebelum ini namun pengusaha dikatakan tidak serik mengulangi kesalahan lama.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam oleh Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang itu, seramai 11 wanita warga asing, dua penjaga premis dan tiga pelanggan ditahan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Ahmad Hasan berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu rumah urut dan pusat penjagaan kesihatan di Jalan Puteri 1/4 dan Puteri 1/8.

Menurutnya, anggota penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu masuk utama kerana penjaga premis menutup kesemua pintu bagi menyukarkan tindakan pecah masuk ke dalam premis.

Katanya, premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di setiap pintu dan di bahagian luar dipercayai untuk mengawal kehadiran pihak berkuasa.

Beliau berkata, berapa kondom yang sudah digunakan ditemui dan hasil siasatan mendapati pengusaha premis menawarkan khidmat seks serta urutan badan ke badan (B2B) kepada pelanggan.

“Ketika tindakan operasi diketuai Penolong Pengarah Penguat Kuasa MPSJ, Mazrul Zahar Mohd dijalankan di premis kedua, terdapat pelanggan yang diurut dalam keadaan berbogel.

“Kedua-dua premis dikenakan tindakan di bawah UUK 13(k) Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan Dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007 kerana melanggar syarat-syarat sekatan lesen yang dikeluarkan majlis dengan menggajikan wanita warga asing,” katanya.

Ahmad berkata, semua yang dicekup diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sehingga Julai lalu katanya, sebanyak 127 kompaun dikeluarkan manakala 36 premis rumah urut dikenakan tindakan sitaan dan penutupan premis oleh MPSJ.

Sekeluarga nyaris maut

Sekeluarga nyaris maut
Dua kenderaan remuk di bahagian hadapan setelah bertembung di Kilometer 130, Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth lebih kurang jam 10.50 malam kelmarin.
BAGAN SERAI - Dua pemandu dan tiga penumpang dua kenderaan nyaris maut selepas kereta Perodua Kembara serta Viva yang mereka naiki bertembung dalam satu kemalangan di Kilometer 130, Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth dekat Kampung Sungai Rawa di sini, lewat malam kelmarin.

Saksi kejadian, Mokhtar Ahmad, 42, berkata, pemandu Viva mengalami kecederaan parah di bahagian kaki setelah tersepit di dalam keretanya manakala anak perempuannya berusia 10 tahun mengalami kecederaan di bahagian badan.

Menurutnya, isteri dan adik pemandu Viva berkenaan pula mengalami kecederaan ringan manakala pemandu  Kembara tidak cedera.

"Kemalangan berlaku lebih kurang jam 10.50 malam selepas Kembara yang datang dari arah Parit Buntar menuju ke Taiping, dikatakan terbabas setelah melanggar beberapa kon  penghadang jalan di Kilometer 130 yang sedang menjalani kerja membaik pulih.

"Ketika itu, datang Viva dari arah bertentangan dan cuba mengelak, tetapi gagal disebabkan terdapat longkang di bahagian kiri jalan," katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.
Kata Mokhtar, ketika kejadian dia berada di kedai makan berhampiran kawasan kemalangan dan terus bergegas selepas melihat kemalangan tersebut.

Jelasnya, dengan bantuan penduduk kampung, empat daripada mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu berjaya dikeluarkan.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar dengan bantuan ambulans dan berikutan kemalangan itu, lokasi yang sama mencatatkan tiga kemalangan dalam tempoh sehari.

"Faktor kejadian dipercayai berpunca daripada kegagalan pihak kontraktor menyediakan ciri-ciri keselamatan dan papan amaran perlu diletakkan di sepanjang jalan yang sedang dinaik taraf sejauh 100 meter demi keselamatan pengguna," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat turut menggesa pihak berkuasa tempatan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan di sepanjang jalan yang sedang dinaik taraf bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Saya percaya perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak bertanggungjawab dan saya akan membawa perkara ini ke Mesyuarat Tindakan Daerah dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Ditetak selepas bergaduh

Ditetak selepas bergaduh
Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen menjalankan siasatan di kawasan yang mempunyai kesan darah selepas mangsa ditetak.
MENGLEMBU – Dua lelaki warga Myanmar cedera parah di kepala dan badan selepas ditetak beberapa kali dengan sebilah parang oleh rakan senegaranya selepas terlibat dalam satu pergaduhan kecil di sini, kelmarin.

Difahamkan ketiga-tiga mereka baru pulang dari kerja dalam keadaan mabuk dan berlaku ‘perang mulut’ antara mereka di Persiaran Kledang Timur 19, Bandar Baru Menglembu.

Dalam kejadian 8.25 malam, suspek berusia 30-an itu cuba melarikan diri selepas mengamuk dan menetak rakannya namun, berjaya dihalang oleh beberapa pekerja warga asing lain.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya menahan suspek untuk soal siasat manakala, dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Polis masih menyiasat punca dan motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada pergaduhan sesama mereka selain tidak berpuas hati.

“Lebih memburukkan, kesemua mereka berada di bawah pengaruh alkohol yang teruk sebelum berlaku sedikit perselisihan faham,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis menemui senjata kejadian iaitu sebilah parang di luar rumah kedai yang dijadikan penginapan mereka duduki selain kesan darah.

“Kedua-dua mangsa kini masih dirawat di HRPB dan berada dalam keadaan kritikal.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga warga Myanmar yang juga pekerja sebuah kilang berhampiran mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah,” katanya.

Lilin ranapkan sebuah rumah

Lilin ranapkan sebuah rumah
eadaan rumah setinggan yang rentung dalam kebakaran yang dipercayai berpunca dari sebatang lilin.
TAIPING – Hanya kerana sebatang lilin, sebuah rumah di Kampung Murni, di sini, ranap dalam kebakaran menyebabkan sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian jam 9.30 malam kelmarin.

Seorang ibu tunggal, Rohani Yahya, 50, melahirkan rasa sedih apabila rumah peninggalan arwah suaminya hampir 10 tahun lalu musnah dalam sekelip mata.

Menurutnya, dia tinggal bersama empat anaknya, Sofian Sulaiman, 21, Siti Zajihah Sulaiman, 18, Siti Nur Ain Sulaiman, 14, termasuk seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) Mohd Izam
Sulaiman, 11, yang mengalami sakit jantung kronik.

"Ketika kejadian saya tiada di rumah kerana membawa Mohd Izam menjalani pembedahan jantung di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

"Sehari sebelum kejadian saya pulang dari Pulau Pinang dan singgah di rumah adik, Julia Yahya, 35, yang terletak di Taman Saujana Jaya, Taiping," katanya.

Rohoni berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada anaknya Sofian keesokan harinya (Sabtu) selain memberitahu tidak ada satu barang yang berjaya diselamatkan.

"Setakat ini banyak pihak telah datang memberikan bantuan kebajikan mereka termasuk dari Umno, PKR, orang persendirian, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal dan lain-lain bagi meringankan beban kami sekeluarga di sini.

"Pihak JKM meminta saya untuk mencari rumah untuk disewa yang mana kos sewaan keseluruhan akan ditanggung pihak berkenaan sementara mencari kawasan yang sesuai untuk pembinaan rumah baru," katanya.

Sementara itu, Sofian yang ditemui berkata, sebelum kejadian dia telah memasang lilin seperti biasa disebabkan ketiadaan bekalan elektrik.

“Namun sebelum waktu berbuka puasa dia sempat keluar untuk membeli juadah berbuka puasa dan merancang berbuka di kedai.

“Selepas berbuka puasa di kedai berhampiran saya terus pulang sekitar jam 9.30 malam dan mendapati api sedang marak menyambar keseluruhan rumah,” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja ibu dan adik-adik tidak mempunyai pakaian malah dia sendiri juga cuma tinggal sehelai sepinggang.

“Pengalaman ini tidak akan pernah padam dalam sejarah hidup saya selamanya tambahan ia berlaku dalam bulan Ramadan,” katanya.

Bagaimanapun Sofian tetap bersyukur kerana semua pihak benar-benar mengambil berat terhadap mereka, menghulurkan bukan sahaja pakaian malah makanan dan wang ringgit juga diterima.

“Walaupun sehingga kini kami masih tinggal di balai raya berhampiran menyambut Ramadan kami tetap bersyukur kerana tiada ahli keluarga yang mengalami kecederaan dan ALLAH SWT masih sayangkan kami semua," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Taiping, Musa Abdul Wahab berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang awam.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, api sedang marak dan membakar hampir 90 peratus keseluruhan rumah sementara api dapat dikawal sekitar 10 minit kemudian.

Kata Musa, kebakaran itu bukan sahaja memusnahkan keseluruhan rumah malah hasil derma orang ramai termasuk pakaian, peralatan elektrik dan perabot turut musnah.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hasil siasatan awal mendapati punca kebakaran disebabkan sebatang lilin yang membakar bahagian lantai kayu sebelum merebak keseluruhan rumah.

“Difahamkan rumah milik Rohani tidak mempunyai bekalan elektrik sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Aulong, Yew Tian Hoe berkata, pihaknya memberi bantuan sebanyak RM300 sebagai wang perbelanjaan harian bagi meringankan beban Rohani dan anak-anaknya.

“Saya juga meminta pihak Baitulmal dan JKM membina semula rumah Rohaini yang terbakar ini dengan segera tambahan Aidilfitri semakin hampir,” katanya.

Pembantu kedai ditahan jual mercun

KUALA TERENGGANU - Polis menahan seorang pembantu kedai perkakasan berhubung kegiatan penjualan mercun dan bunga api di rumahnya di Kampung Pondok Lalang, Batu Rakit di sini, awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K.Manoharan berkata lelaki 34 tahun itu ditahan selepas polis menyerbu rumahnya kira-kira 3.30 pagi dan menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM17,000 yang disimpan di bahagian dapur rumahnya.
"Kita masih menyiasat daripada mana lelaki berkenaan memperoleh bekalan tersebut," katanya kepada pemberita di sini.
Manoharan berkata siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Batu Rakit itu menyimpan bekalan itu untuk jualan sendiri dan diedarkan kepada peniaga-peniaga berhampiran.
Katanya ini merupakan tangkapan mercun terbesar di Terengganu pada tahun ini dan pihaknya akan terus mengesan mereka yang terbabit bagi membanteras kegiatan itu.
Sambil mengingatkan peniaga supaya tidak terlibat dengan kegiatan penjualan mercun atau menghadapi tindakan undang-undang, beliau berkata polis akan berbincang dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi menarik balik lesen peniaga terlibat.
Beliau berkata polis akan terus memantau beberapa lokasi penjualan mercun dan bunga api di negeri ini seperti di sekitar bazar Ramadan, pasar malam dan kedai runcit yang tertentu.- Bernama

Peniaga pisang goreng didenda

Peniaga pisang goreng didenda
Hanisah Hasan
KOTA BHARU – Seorang peniaga pisang goreng didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah memiliki 18 mercun di rumahnya, Ahad lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly terhadap ibu tunggal tiga anak, Hanisah Hasan, 41.

Hanisah didakwa memiliki mercun bola, 'shoot flaming ball', 'bumble bee', 'wistle moon tomahawk', 'cherry robot' dan 'moon travellers' di sebuah rumah di Lorong Langgar Muda di sini pada jam 11.30 malam, 29 Julai.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, hasil serbuan polis menemui mercun-mercun yang diletakkan di atas sebuah meja dan di dalam guni di ruang tamu rumah Hanisah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Ilias Mohd Noor.

Mohd Fazaly dalam penghakimannya menetapkan hukuman lapan bulan penjara sekiranya tertuduh gagal langsai denda.

Untuk rekod, sebelum ini berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM35,000 pada tiga serbuan berasingan di Lorong Langgar Muda, Kampung Bunut Payong dan Panchor, Kemumin.

Pengetua wanita bergelut dengan peragut

Asistan Komisioner Azham Othman
Asistan Komisioner Azham Othman
KOTA BHARU – Seorang wanita yang juga pengetua sebuah sekolah berusia 51 tahun serta membawa senaskhah al-Quran ketika keluar membeli belah di kedai buku di sini terselamat dari diragut apabila dia dibantu orang ramai dalam  kejadian di Jalan Maju di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, mangsa memegang al-Quran di tangan kanannya sementara beg tangan digalas di bahu kiri.

Dia yang berjalan menuju ke tempat letak kereta tidak jauh dari kedai buku itu  bagaimanapun dihampiri dua lelaki sebelum pemboncengnya meragut beg tangan wanita itu.
Ketua Polis Daerah, Asistan Komisioner Azham Othman berkata, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek menyebabkan lelaki berusia 21 tahun itu terjatuh dari motosikal dinaiki.
“Orang ramai yang kebetulan berada di tempat kejadian membantu mangsa dan menahan suspek, bagaimanapun rakannya itu berjaya melarikan diri dengan memecut motosikal jenis Yamaha 125Z.

“Beg tangan mangsa selamat dan dia hanya mengalami luka kecil di pergelangan tangan dan siku,” katanya kepada Sinar Harian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.
Azham berkata, suspek yang berasal dari Pasir Pekan, Tumpat kini ditahan reman manakala rakannya diminta tampil untuk membantu
siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut,” katanya.

KFC diarah bayar keluarga mangsa RM25 juta

Monika Samaan dan bapanya, Amanwial meninggalkan kawasan Mahkamah Agung di  Sydney pada 2009. - Foto
Monika Samaan dan bapanya, Amanwial meninggalkan kawasan Mahkamah Agung di Sydney pada 2009. - Foto ihsan AAP
SYDNEY - Rangkaian makanan segera, KFC cawangan Sydney diarah membayar pampasan RM25.2 juta (£5.1 juta) kepada sebuah keluarga kanak-kanak perempuan Australia, yang mengalami kerosakan otak yang teruk selepas makan produk ayam beracun tujuh tahun lalu.
Monika Samaan, ketika itu berusia tujuh tahun, sakit selepas makan 'Twister' yang dicemari racunsalmonella di sebuah restoran KFC di Villawood, Sydney pada 2005.
Makanan itu menyebabkan dia kini hidup dengan bergantung pada kerusi beroda dan tidak boleh bercakap.
KFC, menurut laporan BBC, ia sangat kecewa dengan keputusan itu dan akan mengemukakan rayuan.
Hakim Mahkamah Agung New South Wales menganugerakan ganti rugi itu, yang bersamaan dengan A$8 juta, selepas memutuskan bahawa KFC telah melanggar tanggungjawabnya mengambil berat tentang keadaan kanak-kanak itu.
Peguam keluarga itu, George Vlahakis berkata, mereka gembira dengan keputusan mahkamah.
"Pampasan ini sangat-sangat diharapkan," kata kenyataan keluarga itu dipetik heraldsun.com.
KFC, yang dimiliki oleh Yum! Brands, terkejut dengan keputusan itu sambil menegaskan, tiada bukti menunjukan makanan disediakan syarikatnya menyebabkan masalah kesihatan Monika.
Mahkamah diberitahu bahawa Monika berada dalam koma selama enam bulan selepas dia, ibu bapa dan abangnya jatuh sakit dengan muntah-muntah selepas berkongsi Twister, lapor AAP, yang dipetik BBC.

Sepasang kekasih ditahan bersama 2.5kg ganja

SUNGAI PETANI - Polis menahan sepasang kekasih yang dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah berikutan penemuan beberapa ketulan ganja mampat dianggarkan seberat 2.5 kilogram di Tikam Batu, malam tadi.
   
Suspek yang berusia sekitar 20-an itu ditahan anggota pasukan Rela ketika mengadakan rondaan mencegah jenayah di Taman PKNK, Tikam Batu pada kira-kira 9.30 malam.
    
Penyelia Rela Kawasan Tikam Batu Low Chow Min berkata pihaknya terserempak pasangan itu, yang menaiki sebuah motosikal tanpa memakai topi keledar, dalam keadaan mencurigakan.
    
"Selepas kami memanggil mereka memberhentikan kenderaan, lelaki itu yang menunggang motosikal, seolah-olah panik dan cuba melarikan diri.
    
"Pada masa sama, dia sempat membuang beberapa bungkusan dari raga motosikal di tepi jalan," katanya.
   
Low berkata suspek berjaya ditahan dengan bantuan beberapa anggota Rela.
   
"Kami juga memeriksa raga motosikal suspek dan didapati terdapat beberapa bungkusan mencurigakan sebelum menghubungi polis," katanya.
    
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali berkata pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan tersebut mengandungi dadah dipercayai ganja.
   
Beliau berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
 
Sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati mandatori. - Bernama

Australia rampas dadah seludup RM1.6 bilion dari Hong Kong

Australia rampas dadah seludup RM1.6 bilion dari Hong Kong
Sebahagian daripada jambangan yang digunakan untuk menyeludup masuk dadah ke Australia. – Foto ihsan
SYDNEY - Polis Australia telah merampas dadah bernilai lebih RM1.6 bilion ($AS526 juta) di sini semalam, sekali gus mematahkan sindiket pengedaran dadah yang berpangkalan di Hong Kong.

Rampasan itu, yang dilakukan selepas siasatan selama setahun, membawa kepada penahanan empat warga Hong Kong dan tiga rakyat Australia.

Ketujuh mereka dihadapkan di mahkamah hari ini.

Pihak berkuasa Australia berkata, mereka merampas satu tan dadah termasuk 306 kilogram (kg) crystal methamphetamine dan 252kg heroin.

Menurut polis Australia, rampasan crystal methamphetamine adalah yang terbesar dan heroin ketiga terbesar setakat ini di negara itu.

Dadah itu disembunyikan dalam jambangan bunga, di kapal yang berlayak dari Thailand ke Botany Bay, Sydney.

Operasi ponteng, 12 pelajar ditahan



31 Julai 2012
Operasi ponteng, 12 pelajar ditahan
Antara pelajar yang ditahan kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu dalam Operasi Ponteng yang dijalankan PPD. - Foto Bernama
KOTA BHARU - Masalah tiada anggota keluarga mahu menghantar ke sekolah antara alasan yang diberikan oleh seramai 12 pelajar sekolah menengah di bandar ini yang ditahan kerana ponteng dalam operasi yang dijalankan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu hari ini.

Mereka ditahan di beberapa lokasi di sekitar bandar ini termasuk di Raja Sakti, Telipot, Pintu Geng dan Tanjung Chat serta sedang bermain snuker di sebuah pusat beli-belah.

Kesemua pelajar yang ditahan itu dikumpulkan di Masjid Telipot bagi mengikuti sesi kaunseling bersama imam muda masjid berkenaan, Ahmad Yunus sebelum diserahkan kepada sekolah masing-masing untuk tindakan lanjut.

Seorang pelajar Tingkatan Empat mendakwa dia terpaksa berjalan kaki ke sekolah yang terletak lima kilometer dari rumahnya di Pintu Geng kerana tiada anggota keluarganya yang mahu menghantarnya ke sekolah.

"Saya ke sekolah pada pukul 9 pagi, ketika sampai di taman permainan kanak-kanak berdekatan sekolah, saya ditahan beberapa anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA)," kata anak bongsu daripada 10 beradik itu ketika ditemui di masjid itu.
Seorang pelajar Tingkatan Dua pula berkata dia memang berniat untuk ponteng hari ini, namun  tidak menyangka akan ditahan dalam operasi tersebut ketika sedang melepak bersama beberapa rakannya.

"Saya pakai baju dua lapis hari ini, di luar baju sekolah dan di dalam baju biasa bagi mengaburi ibu dan ayah saya. Saya memang kerap ponteng sekolah kerana sering ikut kawan melepak di beberapa tempat di sekitar bandar ini,"  katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Che Ab Aziz Daud berkata operasi itu adalah kali kedua dilakukan pihaknya dengan bantuan 80 anggota RELA, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis dan Majlis
Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

"Ia bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar dan ibu bapa supaya mereka tahu PPD sering mengadakan operasi ponteng. Jadi saya minta pada ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak agar mereka datang ke sekolah," katanya. - Bernama

Pelancong Eropah cedera ditikam



31 Julai 2012
KUALA TERENGGANU - Akibat perselisihan faham dengan pemandu bot pelancong, seorang pelancong Eropah cedera di belakang badan akibat ditikam dengan senjata tajam dalam kejadian di Pulau Perhentian, Besut, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu pemandu bot berkenaan bertindak menyerang pelancong berkenaan bersama seorang lagi rakannya.

Katanya akibat kejadian itu mangsa yang berusia 24 tahun itu cedera di belakang badan dan dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

"Mangsa telah dihantar ke HUSM untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Manoharan berkata pemandu bot yang berusia 28 tahun itu telah menyerah diri kira-kira pukul 10 malam tadi.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya. - Bernama

Rogol ramai-ramai, dua lagi dijel


KHALILAH GUSTI HASSAN
31 Julai 2012
SHAH ALAM - Susulan kejadian rogol beramai-ramai pada bulan Ramadan dua tahun lalu terhadap seorang pelajar berusua 16 tahun, dua lagi dijatuhi hukuman penjara dan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Kedua-duanya yang bekerja di kilang membaiki piano merogol remaja itu ketika mangsa tidak sedarkan diri selepas diberikan dadah dan alkohol ke dalam minumannya, tanpa disedari.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan terhadap Majirin Masungkit, 31, manakala rakannya, Saladin Ajim, 33, dikenakan 10 tahun penjara dan tiga sebatan kerana bersubahat dengan Majirin.

Saladin merupakan bapa kepada empat anak.

Hakim turut memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh tangkap kedua-dua tertuduh iaitu pada 28 Ogos 2010.

Majirin mengaku salah merogol mangsa di tingkat atas rumah kedai di sebuah taman perumahan di Serendah, antara jam 4 pagi dan 10.30 malam pada 27 Ogos 2010.

Saladin pula mengaku salah bersubahat dengan Majirin dan dua lagi rakan mereka merogol pelajar itu di tempat dan pada masa sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Mereka yang berasal dari Sabah menukar pengakuan selepas selepas 11 saksi pendakwaan tampil memberi keterangan.

Sebelum ini, Slamat menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan masing-masing terhadap dua lagi rakan tertuduh, Mohamad Yasar Wandi Modin, 22, dan Suhimin Tius, 21 yang mengaku salah merogol remaja sama.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim.

Fakta kes menyebut mangsa dihubungi teman lelakinya, Mohamad Yasar untuk bertemu di warung bersama-sama Suhimin.

Selepas minum mangsa pitam dan apabila tersedar dia dalam keadaan bogel dikelilingi lima lelaki juga bogel, yang sedang tidur.

Mangsa cuba melarikan diri, tetapi terlanggar botol arak menyebabkan rakan teman lelakinya tersedar.

Mereka kemudian mengikat remaja itu dan dan menindih kakinya dengan batu, sebelum merogolnya beberapa kali pada pagi, tengah hari dan malam.

Salah seorang daripada mereka mentertawakan mangsa yang melawan sebelum merogol remaja itu secara bergilir-gilir.

Mangsa dibiarkan keletihan tanpa diberi makan atau minum sehingga dia berjaya melepaskan diri.