Search This Blog

Sunday, July 29, 2012

26 suspek militan Boko Haram ditahan



MAIDUGURI 29 Julai - Tentera Nigeria menahan 26 suspek militan Boko Haram dan membunuh dua yang lain dalam satu serbuan di sini kelmarin, sebagai tindak balas terhadap pembunuhan dua pekerja India yang dilakukan oleh kumpulan pengganas terbabit.
Dalam serangan pada Khamis lalu dan awal pagi kelmarin, militan Boko Haram bertindak membunuh dua rakyat India yang bekerja di sebuah kilang di bandar terbabit dan mencuri wang tunai kira-kira AS$600 (RM1800).
Dalam kejadian berasingan, sebuah kenderaan peronda tentera diserang di timur laut bandar Maiduguri, menyebabkan dua tentera cedera dan dua militan terbunuh. - AFP

Bocor maklumat negara: Pegawai syarikat dipenjara



BEIJING 28 Julai - Mahkamah Beijing semalam menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun setengah ke atas seorang pegawai sebuah syarikat kerana di dapati bersalah membocorkan data ekonomi negara ini.
Bekas Pengarah Urusan Syarikat Pengurusan Aset Jinmailong, Wu Zhiwen didakwa atas kesalahan mendedahkan maklumat negara secara haram.
Menurut laporan mahkamah, Wu menerima 19 data ekonomi daripada pengkaji di sebuah bank antara Januari dan Disember 2010 sebelum mendedahkan maklumat tersebut kepada 13 individu menggunakan mesej telefon bimbit. - REUTERS

Empat pendaki Poland maut disambar petir



WARSAW 28 Julai - Polis Poland menemui empat mayat pendaki yang disyaki maut disambar petir di kawasan pergunungan Pieniny, awal pagi semalam.
Empat mayat tersebut dikenal pasti sebagai sepasang suami isteri berusia 50-an, anak perempuan mereka dan teman lelakinya yang dilaporkan hilang pada petang Rabu lalu selepas bersiar-siar di kawasan pergunungan terbabit.
"Berdasarkan kesan petir di kawasan mayat ditemui, kami percaya kesemua mangsa maut akibat disambar petir," kata pegawai polis, Jacek Bobek. - REUTERS

Tentera AS dihadap ke mahkamah



CALIFORNIA 28 Julai - Seorang tentera Amerika Syarikat (AS) berpangkat Sarjan dihadap ke mahkamah tentera di sini semalam, selepas dituduh melakukan penganiayaan fizikal dan gangguan diskriminasi ke atas seorang askar bawahannya yang kemudian bertindak membunuh diri.
Menurut saksi, Sarjan Adam Holcomb dituduh memaksa Prebet Danny Chen yang merupakan askar AS berbangsa Cina, merangkak sejauh 45 meter sebagai hukuman sambil dimaki-hamun dan dibaling batu.
Chen kemudiannya bertindak membunuh diri dengan pistol di menara kawalan di selatan Afghanistan pada Oktober lalu. - REUTERS

Ribut di Amerika Syarikat, ratusan penerbangan dibatal



Kabel dan tiang elektrik tumbang akibat ditimpa pokok tumbang di Elmira, New York, dalam beberapa siri ribut petir yang melanda bahagian tengah dan barat laut Amerika Syarikat, kelmarin. - REUTERS
OHIO 27 Julai - Beberapa siri ribut petir disertai hujan lebat dan angin kencang melanda sebahagian kawasan tengah dan barat laut Amerika Syarikat (AS) semalam, menyebabkan beratus-ratus penerbangan dibatalkan dan beribu-ribu penduduk terputus bekalan elektrik.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, ribut petir itu turut membawa puting beliung di Elmira, New York yang memusnahkan sebuah pusat membeli-belah dan kelab country tempatan.
Agensi meteorologi pula menyatakan bahawa angin kencang berkelajuan 113 kilometer sejam dilaporkan melanda Ohio, Kentucky, Pennsylvania dan Oklahoma.
Lebih 51,000 penduduk di sini pula terputus bekalan elektrik dan seramai 93,700 penduduk di New York dan lebih 10,000 di New Jersey turut menerima nasib yang sama.
Menurut Wheather Channel, siri ribut tersebut terbentuk di bahagian barat laut AS, bergerak ke Lembah Ohio dan berisiko mencetuskan angin kencang serta puting beliung.
Keadaan cuaca yang buruk turut menjejaskan lebih 900 penerbangan, sekali gus mencatatkan jumlah pembatalan penerbangan tertinggi di Lapangan Terbang LaGuardia di New York.
Beberapa penerbangan di Baltimore, Boston, Chicago, New York City, Philadelphia dan Washington juga terpaksa ditangguhkan ekoran cuaca buruk, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan menerusi laman webnya.
Sementara itu, perkhidmatan kereta api Metro North di Chappaqua, New York tergendala ekoran pokok-pokok tumbang di atas landasan. - REUTERS

Tawan pejabat kerajaan



PENUNJUK perasaan merosakkan kereta di pekarangan sebuah pejabat kerajaan tempatan di Qidong, Wilayah Jiangsu, Timur China, semalam, bagi membantah saluran paip sisa industri yang didakwa meracuni perairan kawasan mereka. - AFP
QIDONG 28 Julai - Penunjuk perasaan yang berang bertindak menawan pejabat kerajaan, merosakkan komputer dan menterbalikkan kereta di timur China hari ini bagi membantah saluran paip sisa industri yang didakwa akan meracuni perairan mereka.
Ini adalah bantahan terbaru yang tercetus ekoran masyarakat semakin bimbang dengan kerosakan alam sekitar dan sekali gus menunjukkan bahawa Beijing berdepan dengan ketegangan sosial menjelang peralihan kepimpinan tahun ini.
Kira-kira 1,000 penunjuk perasaan berhimpun di bandar pesisir pantai, Qidong, kira-kira sejam perjalanan menaiki kereta dari Shanghai, sambil memekik slogan menentang rancangan pembinaan paip yang akan menyalurkan sisa buangan kilang kertas itu ke laut.
Penunjuk perasaan menolak hujah kerajaan bahawa sisa buangan dari kilang itu tidak akan mencemarkan air laut.
Beberapa penunjuk perasaan memasuki bangunan majlis perbandaran dan merosakkan komputer, menterbalikkan meja dan membuang dokumen-dokumen ke luar tingkap.
Reuters turut menyaksikan lima kereta dan sebuah bas mini diterbalikkan. Lebih 1,000 anggota polis turut mengawal bangunan tersebut.
Sekurang-kurangnya dua anggota polis turut diheret ke kawasan penunjuk perasaan di dalam bangunan itu dan dipukul sehingga berdarah. - REUTERS

100 mat rempit ditahansekitar Padang Kota Lama



SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
28 Julai 2012
GEORGETOWN - Lebih 100 mat rempit ditahan ketika cuba menyertai lumba hatam di sekitar Padang Kota Lama di sini awal pagi tadi.

Polis berjaya menahan mat rempit berusia 16 hingga 25 tahun dalam Ops Kepung dan sekali gus menggagalkan percubaan lumba haram yang diatur di kawasan berkenaan.

Ketua operasi, Inspektor Muhammad Najib Zulkifli berkata, dalam soal siasat, kebanyakannya memberi alasan berada di situ hanya untuk meronda sementara menunggu waktu bersahur.

Beliau berkata, operasi selama dua jam bermula 2.30 pagi itu melibatkan 30 anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur  Laut (IPDTL).

Menurutnya,kesemua yang ditahan termasuk penonton dibebaskan selepas polis mengambil keterangan daripada mereka.

“Polis bertindak berdasarkan maklumat orang awam yang mengatakan remaja berkenaan merempit di situ sejak beberapa minggu lalu termasuk sepanjang Ramadan.

“Ada remaja terbabit lari meninggalkan motosikal masing-masing selepas menyedari kehadiran polis.Terdapat juga beberapa orang nekad melarikan diri dengan melawan arus di jalan raya tetapi cubaan mereka gagal kerana kawasan itu sudah dikepung polis,” katanya.

Muhammad Najib berkata, 30 saman dikeluarkan dalam operasi berkenaan yang melibatkan kesalahan ubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi, tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

3 premis salah guna logo halal



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Julai 2012
Saiful (kiri) membuat pemeriksaan di sebuah premis makanan.
Saiful (kiri) membuat pemeriksaan di sebuah premis makanan.
GEORGETOWN - Sejak awal puasa sehingga hari ketujuh Ramadan, tiga premis perniagaan diserbu Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) gara-gara mengelirukan orang ramai dengan menggunakan perkataan halal dalam premis.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Pengurusan Halal JAIPP, Mohd Saiful Hamizi Mohd Yusof berkata, premis terbabit didapati menggunakan status halal yang bukan mengikut garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, pemiliknya dikenakan notis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang mengikut Akta Perihal Dagangan pindaan 2011.

“Antara premis yang diserbu anggota kami bersama KPDNKK, termasuklah kafeteria sebuah kolej swasta sekitar Georgetown.

“Begitu juga dengan sebuah lagi restoran yang agak popular dan menjadi tumpuan umat Islam di sekitar Bayan Baru, turut diserbu dan dikenakan notis gara-gara status halal meragukan,” katanya.

Mohd Saiful Hamizi berkata, selain dua premis makanan berkenaan, sebuah kopitiam juga diserbu hasil laporan maklumat orang awam.

Menurutnya, penyalahgunaan perkataan halal sehingga menyebabkan kekeliruan orang ramai membolehkan tindakan diambil segera.

Bukan itu sahaja, JAIPP juga boleh mengambil tindakan sekiranya mana-mana premis makanan didapati menggunakan logo halal yang meragukan.

“Sekarang terdapat begitu banyak rupa bentuk logo halal, tetapi yang sebenarnya logo halal yang betul berwarna hitam dan putih, namun masyarakat kita masih keliru dengan penggunaan logo ini.

“Tidak dinafikan masih ada yang tertipu dengan melihat perkataan halal tertera di sesebuah premis makanan, sebaliknya ia bukanlah sijil halal sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful bersama beberapa anggota dari Bahagian Pengurusan Halal akan membuat pemantauan dengan lebih ketat terhadap semua premis makanan sepanjang Ramadan kali ini.

Namun, tidak dinafikan tahap kesedaran pemilik premis makanan semakin baik mengenai penggunaan status halal.

Saiful berkata, ia menunjukkan satu perkembangan baik di negeri ini dan juga kebaikan kepada pengguna sendiri.

“Sekiranya terdapat keraguan terhadap status halal, orang ramai bolehlah membuat aduan dengan menghubungi talian 042505451.

“Kami akan siasat segera dan serbuan akan dilakukan bersama KPDNKK,” katanya.

Perompak pecah masuk gereja



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Julai 2012
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Tan Cher Puk
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Tan Cher Puk menunjukkan bagaimana perompak bertindak mengumpil dan memotong jeriji sebelum memecah masuk gereja, semalam.
SENAI - Niat tiga perompak hendak melarikan sebuah projektor dan wang tunai RM200 sewaktu memecah masuk sebuah gereja di Jalan Bunga Raya, Plentong dekat sini,  terkubur apabila perbuatan mereka disedari oleh seorang paderi.

Menurut kerani Gereja St Joseph, Vecintia Heo, dia menerima panggilan daripada paderi itu kira-kira jam 4 pagi semalam memaklumkan gereja berkenaan dipecah masuk perompak selepas terdengar bunyi bising di tingkat bawah.

Menurutnya, dia kemudian segera menghubungi seorang kenalan kerana khuatir terhadap keselamatan paderi berkenaan sebelum menghubungi pihak polis.

“Selepas menghubungi pihak polis, saya terus bergegas ke gereja berkenaan. Sewaktu saya sampai, pihak polis telah berjaya menahan dua perompak berkenaan namun seorang lagi meloloskan diri.

“Ini adalah tahun ketiga berturut-turut gereja kami dipecah masuk perompak. Bangunan berkenaan dilengkapi alat penggera namun perompak bertindak memotong wayar alatan berkenaan sehingga ia gagal berfungsi,” katanya.

Vecintia berkata, perompak turut memotong jeriji tingkap di bahagian pejabat di aras bawah, bagaimanapun tindakan pantas paderi berkenaan menyebabkan dua perompak itu berjaya ditahan polis.

Vecintia kemudian membuat laporan di Balai Polis Plentong semalam berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Roslan Zainuddin mengesahkan kejadian terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Terjatuh dari tingkat empat



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Julai 2012
Pangsapuri tempat mangsa ditemui terjatuh, petang kelmarin.
Pangsapuri tempat mangsa ditemui terjatuh, petang kelmarin.
BANDARAYA MELAKA - Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terjatuh di sebuah pangsapuri lapan tingkat dekat Bukit Beruang di sini, petang kelmarin.

Low Kuen Hoi, 26, dari Batu Berendam ditemui pengawal keselamatan pangsapuri berkenaan, kira-kira 5.20 petang yang kemudian bertindak menghubungi polis.

Menurut sumber, mangsa dipercayai terjatuh di bahagian tangga tingkat empat pangsapuri yang sebahagian besarnya dihuni pelajar sebuah universiti berhampiran.

Difahamkan, pemeriksaan awal di kawasan berkenaan turut membawa kepada penemuan segugus kunci, sepasang kasut dan sebuah telefon bimbit dipercayai milik mangsa di tingkat empat dipercayai tempat mangsa terjatuh.

Kereta hilang dipajak jurujual



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Julai 2012
Saidi membuat laporan polis berhubung kehilangan keretanya yang difahamkan dipajak kepada orang lain
Saidi membuat laporan polis berhubung kehilangan keretanya yang difahamkan dipajak kepada orang lain oleh seorang jurujual.
ALOR GAJAH - Kepercayaan yang diletakkan seorang lelaki kepada jurujual untuk menjaga keretanya sementara pulang ke kampung mendapatkan wang untuk membayar tunggakan kereta berkenaan hilang apabila kereta dibelinya itu ‘dipajak’ kepada orang lain.

Itulah nasib yang dialami Saidi Sebot, 49, yang kehilangan kereta Proton Persona yang diserah kepada seorang jurujual kereta untuk menjaganya dari ditarik balik, namun apa yang diharapkan berlaku sebaliknya. 

Difahamkan, kereta milik Saidi itu mengalami tunggakan sebanyak tujuh bulan akibat masalah kewangan yang dialami dan nekad menyerahkannya kepada seorang jurujual kereta bagi mengelak ditarik bank.

Malangnya, keretanya itu dipercayai dipajakkan kepada pihak ketiga menyebabkan dia mengalami kerugian hampir RM60,000 setelah keretanya lesap tanpa dikesan.

Saidi dari sebuah tanah rancangan Felda, dekat sini mendakwa, seorang lelaki yang juga jurujual kereta berusia 24 tahun berjumpa dengannya pada April lalu menyatakan keretanya sudah tertunggak tujuh bulan.

Menurutnya, jurujual itu meminta kunci kereta diserahkan kepadanya untuk penyimpanan sementara di dalam stor.

"Saya yang tidak tahu apa-apa hanya menurut sahaja tanpa memikirkan muslihat sebenar.

"Malah jurujual itu turut memberikan jaminan yang saya boleh mengambil semula keretanya dengan bersyarat saya perlu menjelaskan semua ansuran bulanan yang  tertunggak," katanya.

Saidi berkata, kemudiannya saya berbincang dengan isteri, Sulabiah Sanang, 47, sebelum pulang ke kampung di Perak untuk mengambil sedikit wang.

"Selepas dua bulan saya datang ke bank bagi membuat ansuran kereta sebanyak RM1,600 untuk tiga bulan dan mengambil semula kereta.

"Malangnya saya dimaklumkan pihak bank bahawa kereta saya tiada dalam simpanan mereka dan pihak bank meminta saya berhubung dengan jurujual berkenaan," katanya.

Katanya, ketika menyerahkan resit bayaran kepada jurujual berkenaan untuk menuntut kereta, jurujual itu cuba mengelak dan berdalih sebelum mendakwa keretanya hilang.

"Selepas didesak beberapa kali saya dimaklumkan kereta saya sudah dipajakkan kepada pihak ketiga dengan sejumlah bayaran yang ditetapkan dan katanya ia boleh diambil semula.

"Saya minta dia mengambil kereta yang dipajakkan itu dan menyerahkan semula kepada saya tetapi jurujual itu mencabar saya untuk mengambil kereta itu sendiri," katanya.

Bimbang sesuatu tidak diingini berlaku, Saidi membuat laporan di Balai Polis Hutan Perca, dekat sini awal Jun lalu. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, pengadu menyerahkan keretanya kepada sebuah syarikat kereta untuk disimpan.

“Kemudian penarik kereta dari sebuah bank datang dan mengambil kereta berkenaan setelah penyewanya gagal menjelaskan ansuran bulanan dan kereta ada dalam simpanan bank,” katanya.

Lori kontena terbakar



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Julai 2012
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran pada kontena di Kilometer 409.4 Lebuhraya Utara Selatan, ke
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran pada kontena di Kilometer 409.4 Lebuhraya Utara Selatan, kelmarin.
LEMBAH BERINGIN - Seorang pemandu lori kontena kelihatan panik apabila muatannya terbakar di Kilometer 409.4 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur dekat susur keluar Plaza Tol Lembah Beringin di sini jam 9.25 malam kelmarin.

Seorang saksi, V Balasundaram, 44, yang melihat kejadian itu berkata, pemandu lori kontena terbabit bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dengan memisahkan muatan daripada kepala lori.

“Ketika saya tiba kebakaran pada tayar belakang kontena itu masih kecil dan disebabkan tiada sesiapa yang mampu memadamnya menyebabkan api membakar sehingga sebahagian kontena.

“Kejadian itu biasanya disebabkan kegagalan brek belakang berfungsi menyebabkan ia terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Balasundaram yang ditemui berhenti di laluan bersebelahan berkata, hanya selang beberapa minit sebuah jentera bomba daripada Balai Bomba Tanjung Malim tiba memadam kebakaran.
Menurutnya, walaupun api berjaya dikawal namun disebabkan kebakaran pada muatan kontena menyebabkan api sekali lagi dilihat membakar kontena terbabit.

Sejurus selepas itu, dua jentera bomba dari Balai Bomba Kuala Kubu Bharu tiba membantu memadam kebakaran.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya beberapa minit kemudian dan pemandu lori yang berada kira-kira 100 meter dari kontena terbabit datang memaklumkan punca kejadian kepada anggota bomba dan polis yang berkawal.

“Kebakaran itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada pemandunya atau pengguna jalan raya lain,” katanya yang dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang.

Tinjauan mendapati, bahu jalan ditutup sepenuhnya dan asap kelihatan menyelubungi udara sehingga sedikit menghalang pemandangan pemandu ke arah Selatan.

Kesesakan turut berlaku di kedua-dua hala memandangkan pengguna memperlahankan kenderaan bagi melihat kejadian itu.

Padah ingkar amaran berhenti



NORAIZURA AHMAD
29 Julai 2012
Keadaan Proton Waja yang remuk selepas bertembung dengan Proton Gen2 di persimpangan Taman SPPK, Seg
Keadaan Proton Waja yang remuk selepas bertembung dengan Proton Gen2 di persimpangan Taman SPPK, Segambut, malam kelmarin. Gambar kecil: Dua suspek yang cedera diberi rawatan se
KUALA LUMPUR – Tindakan pantas seorang pemandu membuat laporan polis selepas dipintas sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan, malam kelmarin, membantu pihak berkuasa mengesan kenderaan terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam, mangsa terus memandu Perodua Myvi ke balai polis berhampiran di Rawang, selepas menyedari kereta Proton Waja yang dinaiki lima lelaki  berumur 18 hingga 23 tahun bertindak mencurigakan.

Berdasarkan laporan yang dibuat mangsa, polis berjaya mengesan suspek di Jalan Templer Rawang kira-kira jam 4 pagi, tetapi suspek memecut kenderaan selepas tidak mengendahkan arahan polis supaya berhenti.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abd Rahim Abdullah berkata, kenderaan yang dinaiki suspek terbabit dalam kemalangan apabila bertembung dengan sebuah kereta Proton Gen2 yang dinaiki empat wanita warga Thailand di persimpangan Taman SPPK, Segambut.

“Semua lima suspek dan empat wanita cedera parah dan dibawa ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

“Dua daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kita akan siasat penglibatan mereka dalam kes samun kenderaan.

“Siasatan awal mendapati Proton Waja yang digunakan suspek adalah kenderaan yang dilaporkan hilang di Desa Jaya, pada 26 Julai lalu,” katanya, semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis turut menemui lima bilah parang dalam kereta Proton Waja tersebut.

Lima mangsa keracunan sup dibenarkan pulang



NURULATIQ AHMAD BANDI
29 Julai 2012
Keratan muka depan Sinar Harian, semalam.
Keratan muka depan Sinar Harian, semalam.
PORT DICKSON – Lima daripada 14 orang yang dimasukkan ke Hospital Port Dickson, petang Khamis lalu akibat keracunan makanan sudah dibenarkan pulang, semalam.

Sumber Hospital Port Dickson berkata, kelima-lima mereka yang dibenarkan pulang adalah pelajar Kolej Uniti yang ditempatkan di Wad 2 hospital terbabit selepas dua hari mereka mendapatkan rawatan di situ.

“Sementara dua pesakit yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sudah keluar dan dimasukkan ke Wad 2 untuk rawatan susulan.

“Setakat ini semua pesakit termasuk dua kanak-kanak yang ditahan di Wad Pediatrik berada di dalam keadaan stabil,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Sementara itu, sehingga semalam, tiada sebarang mangsa baru diterima Hospital Port Dickson berhubung keracunan makanan berpunca daripada bazar Ramadan sama.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Klinik Kesihatan Pasir Panjang di sini, menerima seramai 38 pesakit yang mengadu sakit perut dan cirit birit sekitar 3 petang Khamis lalu.

Kesemua pesakit mendakwa mereka memakan makanan berasaskan sup yang dijual di sebuah gerai bazar Ramadan berhampiran Kolej Uniti, Tanjung Agas semasa berbuka, petang Rabu lalu.

Tak sempat puasa di kampung



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Julai 2012
Hasrat seorang Staf Sarjan yang bertugas di Kem Trendak Melaka
Hasrat seorang Staf Sarjan yang bertugas di Kem Trendak Melaka untuk menyambut Ramadan bersama ahli keluarga di Bachok, Kelantan berakhir tragedi apabila menemui ajal ketika dal
DUNGUN - Hasrat seorang Staf Sarjan untuk menyambut Ramadan bersama ahli keluarga di kampung tidak kesampaian apabila dia terbunuh dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam di Kilometer 105 Jalan Jerangau-Jabor dekat sini itu dipercayai berlaku apabila sebuah lori membawa muatan ikan dipandu Suhaimi Abdullah, 43, dan kelindan, Zamri Daud, 67, yang dalam perjalanan dari Rantau Panjang untuk menghantar ikan ke Melaka, melanggar seekor lembu lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Viva.

Kereta Proton Perdana dipandu Staf Sarjan Mohd Rizal Ibrahim, 40, yang bertugas di Rejimen Askar Melayu DiRaja Kem Trendak Melaka dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu pula dikatakan gagal mengelak Perodua Viva berkenaan yang berada di hadapannya, lalu bertembung dengan lori muatan ikan itu.

Ketika kejadian, mangsa bersama sepupunya, Mohd Haris Mohd Darus, 24, seorang kakitangan Hospital Alor Gajah Melaka dalam perjalanan pulang dari Melaka ke Bachok, Kelantan untuk menyambut Ramadan bersama ahli keluarga.

Akibat pertembungan itu, kereta dipandu Mohd Rizalitu remuk teruk manakala lori muatan ikan terhumban ke dalam gaung.

Mohd Rizal maut di tempat kejadian akibat cedera parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu, manakala sepupunya yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat AMBS tiba untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Pemandu lori dan kelindan serta pemandu Perodua Viva cedera ringan. Manakala, mayat Mohd Rizal dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan pihak polis.

Hasrat Staf Sarjan Mohd Rizal Ibrahim (Gambar kecil) yang bertugas di Kem Trendak Melaka untuk menyambut Ramadan bersama ahli keluarga di Bachok, Kelantan berakhir tragedi apabila menemui ajal ketika dalam perjalanan pulang ke kampung selepas terbabit dalam
kemalangan dengan sebuah lori di AMBS, malam kelmarin.

Peniaga buah maut diseret 12 meter



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Julai 2012
Mayat mangsa terperosok di bawah lori.
Mayat mangsa terperosok di bawah lori.
Buah-buahan dijual mangsa bertaburan di tempat kejadian.
Buah-buahan dijual mangsa bertaburan di tempat kejadian.
RANTAU PANJANG - Seorang peniaga buah di sini maut selepas gerainya yang terletak di Kilometer 19 Rantau Panjang Pasir Mas di Kampung Gual Tinggi dirempuh sebuah lori petang kelmarin.

Rempuhan lori membawa muatan tanah bijih besi itu menyebabkan mangsa, Nik Mariam Nik Ya, 52, diseret kira-kira 12 meter dari gerainya.

Kejadian kira-kira 1 petang itu menyebabkan mangsa cedera parah pada beberapa anggota badan, sementara pemandu lori lelaki berusia 30 tahun dan berasal dari Kampung Pulau Pak Amat, hanya cedera ringan serta mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Pasir Mas.

Buah-buahan seperti nanas bertaburan di atas tanah sekitar tempat berniaga dan motosikal milik mangsa yang terletak di tempat kejadian turut rosak.

Anak kedua mangsa, Siti Mariam Daud, 31, berkata, ibunya seolah-olah tahu ajalnya sudah dekat apabila memaklumkan kepada rakannya sehari sebelum kejadian merupakan kali terakhir dia memesan buah untuk dijual.

Siti Mariam memberitahu ibunya tidak memaklumkan sebabnya dan rakannya pula tidak menyangka yang itu merupakan perubahan sikap yang ditunjukkan arwah sebelum kejadian.

“Disebabkan tinggal berasingan, saya tidak pasti masa emak keluar berniaga, kadangkala dia keluar menoreh terlebih dahulu sebelum berniaga buah,” katanya.

Siti Mariam juga berkata, ibunya turut menyuarakan hasrat membeli baju untuk dipakai pada hari raya nanti dan bercadang menjahit manik.

Menurutnya, sepupunya pula ada memberitahu pada malam kejadian ibunya merasa letih dan mengantuk daripada biasa.

“Selepas ibu beritahu keadaannya ketika itu, sepupu bertanya sama ada dia makan ubat atau sebaliknya.

“Ibu beritahu sepupu dia tidak makan ubat memandangkan dia tidak ada sebarang penyakit,” katanya.

Siti Mariam berkata, Selasa lalu merupakan hari terakhir dia berjumpa ibunya ketika berbuka puasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati pemandu yang memandu sendirian itu dipercayai mengantuk.

Menurutnya, mayat peniaga buah yang berniaga di jalan Rantau Panjang ke Pasir Mas di Kampung Gual Tinggi itu terseret kira-kira 12 meter ke dalam parit.

“Pemandu cedera ringan sementara mangsa meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dikeluarkan dengan kerjasama penduduk dan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

Bantah kewujudan pusat judi



MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
29 Julai 2012
Mazlan (dua, kanan) menyerahkan memorandum kepada Jamaludin (kiri).
Mazlan (dua, kanan) menyerahkan memorandum kepada Jamaludin (kiri).
MUADZAM SHAH - Kira-kira 200 penduduk di sini termasuk dari Rompin dan Keratong mengadakan perhimpunan aman selepas solat Jumaat, kelmarin, untuk mendesak pihak berkuasa menutup empat premis judi siber di Bandar Industri Muadzam Shah.

Perhimpunan dianjurkan Pas, PKR, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Kumpulan Al-Fateh dan Jiran Muda Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teratai itu diadakan di pekarangan Masjid Muadzam Shah.

Laungan takbir ‘Allahuakbar’, ‘hidup-hidup Islam, hapus-hapus judi’ serta ucapan pemimpin politik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit bergema lebih kurang 40 minit.

Penduduk yang turut kesal dengan kewujudan pusat judi haram di sini bukan saja melaungkan takbir beramai-ramai, malah turut menzahirkan kemarahan dengan menurunkan tandatangan pada kain rentang sebagai tanda bantahan.

Meskipun cuaca panas terik di samping bantahan diadakan pada bulan Ramadan, namun ia tidak menghalang semangat umat Islam untuk berarak sejauh kira-kira dua kilometer (km) menuju ke Pejabat Cawangan Majlis Daerah Rompin (MDR) Muadzam Shah bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Memorandum itu diserahkan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Rompin, Mazlan Mohd Yasin kepada Pengurus Cawangan MDR Muadzam Shah Jamaluddin Wahid di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada jam 3.30 petang.

Sebaik saja memorandum itu diserahkan, semua pengikut perhimpunan tersebut didapati menaiki kenderaan masing-masing menuju Balai Polis Muadzam Shah untuk menyerahkan memorandum sama.

Mereka tiba pada jam 4 petang di mana memorandum setebal tiga muka surat itu diserahkan Penasihat Undang-Undang Pas Negeri Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly kepada Ketua Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Inspektor Ab Rahman Abdul Jalil.

Kira-kira jam 4.30 petang, mereka menuju pula ke Pejabat Agama Islam Muadzam Shah untuk menghantar memorandum supaya penguat kuasa agama terbabit dapat bersama-sama pihak berkuasa mencegah aktiviti judi membabitkan umat Islam.

Memorandum itu diserahkan sendiri Mohd Fadzli kepada Pegawai Agama Islam Muadzam Shah, Mohd Rizal Mohd Ali Napiah.

Perhimpunan dan penyerahan memorandum itu hanya berakhir kira-kira jam 5 petang dan mereka mula beransur pulang selepas melaungkan takbir sebanyak tiga kali di pekarangan Pejabat Agama Islam Muadzam Shah.


Pandang serius lima tuntutan

Mohd Fadzli berkata, pihaknya difahamkan, premis judi siber di kawasan terbabit beroperasi sejak awal tahun ini, namun kesal kerana kegiatan itu masih berterusan walaupun tindakan dibuat.

Menurutnya, perhimpunan itu juga bertujuan menzahirkan kebimbangan penduduk berikutan difahamkan sebanyak 98 peratus pengunjung pusat judi tersebut terdiri daripada masyarakat Islam.

Katanya, terdapat lima tuntutan terkandung dalam memorandum itu yang perlu dipandang serius pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan tersebut habis-habisan.

“Kita minta premis itu ditutup serta-merta, tidak meluluskan sebarang permohonan baru lesen perniagaan berunsur perjudian, menjalankan pemantauan lebih tegas serta tidak memilih bulu dalam mencegah jenayah judi.

“Selain itu, kita juga meminta pihak berkuasa turut melibatkan semua pihak termasuk parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan mana-mana pertubuhan untuk memerangi kegiatan tersebut sekali gus membersihkan Rompin daripada sebarang kegiatan perjudian serta maksiat,” katanya.


Punca institusi keluarga runtuh

Mazlan berkata, isu terbabit seharusnya dipandang serius semua pihak tanpa mengira fahaman politik kerana ia ditegah dalam Islam.

“Jika kami tidak mengambil sebarang tindakan hari ini (kelmarin), percambahan pusat judi haram dikhuatiri berterusan sekali gus boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan,” katanya.

Menurutnya, bantahan dan penyerahan memorandum itu dibuat dengan harapan pihak berkuasa serta kerajaan Negeri dapat menyelesaikan masalah itu demi kesejahteraan rakyat.

“Masyarakat kita akan berpecah-belah kerana judi. Kegiatan rompakan, perceraian dan penipuan akan berleluasa. Justeru pihak berkuasa serta kerajaan tidak harus memandang remeh mengenai perkara ini,” katanya.


Hanya tiga masih aktif

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, sebuah premis perjudian di kawasan terbabit sudah ditutup sejak lebih dua atau tiga minggu lalu dan kini hanya tiga pusat judi masih aktif.

Menurut sumber dalaman MDR, PBT itu sudah beberapa kali menjalankan tindakan penguatkuasaan dan memberi amaran kepada pusat judi terbabit supaya tidak meneruskan kegiatan tersebut.

Bagaimanapun, pemilik pusat judi terbabit masih ingkar dan tetap menjalankan perniagaan mereka dengan berselindung di bangunan baru di kawasan itu.

“Kami tidak pernah meluluskan lesen judi kepada mana-mana pemilik premis di Muadzam Shah termasuk Rompin. Mereka (pemilik premis perjudian) dipercayai menyewa bangunan untuk menjalankan kegiatan haram tersebut,” katanya.

Hangus sekelip mata



ROSALWANI CHE SOH
29 Julai 2012
Anggota bomba
Anggota bomba berusaha memadam api dari terus merebak ke tempat lain dalam kebakaran, petang kelmarin.
KOTA BHARU - Baru lapan hari umat Islam berpuasa, empat sekeluarga terpaksa menempuh detik perit apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Wakaf Mek Zainab, di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan kesemua kediaman separuh kekal yang dipercayai disewa hangus sekelip mata.

Seorang penyewa rumah berkenaan, Rokiah Yahya, 57, berkata semasa kejadian, dia sedang memasak hidangan untuk berbuka puasa, di dapur dan dikejutkan dengan bunyi letupan dari rumah sebelah dan ternampak api bermula dari tingkat atas rumah terbabit.

“Terkejut melihatkan keadaan itu, saya terus mencapai beg tangan di luar dan beberapa dokumen penting dan terus keluar dari rumah serta mendapatkan cucu, Asri Aidil Hasan, 7, yang sedang bermain di luar rumah.

“Semua barangan lain saya tidak sempat ambil, kerana terkejut dan terus berlari keluar selamatkan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut seorang lagi penyewa di kawasan terbabit, Midah Abdul Rahman, 41, semasa kejadian dia berada di bazar Ramadan bersama suami membeli juadah.

“Saya hanya dimaklumkan selepas sampai di kawasan rumah oleh jiran tetangga dan terkejut melihat rumah terbakar dan semua barangan dalam rumah tidak dapat diselamatkan.

“Saya menyewa di kawasan ini hampir sembilan tahun dan kini kami perlu mencari kediaman baru,” katanya.

Midah berkata, persiapan kelengkapan raya juga turut musnah termasuk pakaian baru enam anaknya selain pakaian dia dan suami.

“Sedih bila mengenangkan nasib kami selepas ini kerana kami tidak sempat selamatkan barangan dan kelengkapan rumah,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd Sabri Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.45 petang dan sampai di tempat kejadian 10 minit selepas itu.

“Empat jentera dihantar ke tempat kejadian dengan kekuatan 22 anggota.

“Semasa kami sampai, hampir 90 peratus kediaman terbabit telah terbakar,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kerugian dianggarkan bernilai RM70,000 dan pihaknya masih menyiasat punca kejadian.

Dua beranak antara lima didakwa berjudi



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Julai 2012
KUANTAN - Seorang bapa bersama anak lelakinya antara lima kaki judi yang diheret ke Mahkamah Majistret Kuantan, kelmarin, atas tuduhan bermain judi secara terbuka di hadapan sebuah rumah di Kampung Tengah di sini, 20 Februari lalu.

K Annamalai, 41, bersama anaknya, A Ravikumar, 19, dari Kampung Tengah dan rakan mereka, B Shatisvikneswar, 20, dari Taman Tas serta dua remaja bawah umur mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Farahah Ahmad Nazari di hadapan Majistret Rini Triany Mohamad Ali.

Bagi kesalahan itu, mereka didenda RM400 setiap seorang atau dua minggu penjara sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bermain judi daun terup secara terbuka di hadapan sebuah rumah kira-kira jam 11.50 malam pada tarikh seperti yang dinyatakan.

Dalam serbuan Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, polis turut merampas wang tunai RM39 di atas meja disyaki wang pertaruhan.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 1990).

Jika sabit kesalahan individu terlibat boleh dihukum mengikut akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Ibu tunggal tinggal sehelai sepinggang



NOR’AIN MD ZAIN
29 Julai 2012
Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran semalam.
Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran semalam.
FELDA SUNGAI TEKAM - Kegembiraan seorang penerokawati menerima durian runtuh sebanyak RM5,000, Khamis lalu diragut sekelip mata apabila kediamannya musnah dalam kejadian kebakaran, semalam.

Mangsa yang juga ibu tunggal,  Rokiah Awang, 64, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi  ketika dia keluar membeli barangan keperluan dapur di kedai berdekatan.

Menurutnya, dia hanya menyedari rumahnya terbakar setelah dimaklumkan orang ramai dan pemilik kedai, menyebabkannya bergegas pulang ke rumah.

“Saya keluar rumah untuk ke kedai jam 11 pagi. Ketika meninggalkan rumah, tiada barangan elektrik ditinggalkan dalam keadaan terpasang, dapur tidak digunakan selain kesemua suis ditutup.

 “Saya sangat terkejut apabila dimaklumkan orang ramai dan pemilik kedai  rumah saya terbakar. Tanpa berlengah saya terus pulang, namun sesampainya di rumah, api sudah terlalu marak,” katanya kepada Sinar Harian.

Rokiah berkata, jiran dan penduduk lain datang membantu, namun gagal menyelamatkan walau satu pun barangan kerana api marak dan keadaan berbahaya.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan langsung dan saya kini tinggal sehelai sepinggang.  Yang ada pada saya hanyalah barangan dapur yang dibeli di kedai sebelum kejadian, bersama kad pengenalan dan pakaian yang ada di badan,” katanya.

Rokiah berkata, ketika kejadian, rumah kosong kerana tiga anak lelakinya keluar bekerja seawal pagi.

Menurutnya, dia kini terpaksa menumpang tinggal bersama anaknya di Tekam Resort untuk sementara waktu.

Sinar Harian difahamkan, Rokiah sempat menyimpan cek durian runtuh yang diterimanya sehari sebelum kejadian kebakaran itu berlaku.


JKKK lancar derma kilat, sedia kemudahan penginapan

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Tekam, Hashim Kadir berkata, kejadian kebakaran itu antara kes ketujuh dicatatkan berlaku di tanah rancangan tersebut sepanjang lebih 30 tahun kawasan itu dibuka.

Menurutnya, JKKK bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta mengharapkan mereka tabah menerima ujian tersebut di bulan Ramadan ini.

“Kita lancarkan kutipan segera derma kilat, khusus untuk membantu meringankan beban keluarga mangsa, selain membantu mangsa menguruskan laporan polis dan merujuk mereka kepada pihak berkenaan.

“JKKK turut bersepakat dengan pengurusan Felda menyediakan rumah Gerakan Persatuan Wanita (GPW) untuk kegunaan Rokiah dan anaknya bagi tempoh sementara waktu,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun beliau tidak menghalang jika Rokiah mahu menetap di rumahnya anaknya di Tekam Resort.

 “Apa yang penting kita harapkan keluarga mangsa selamat dan mempunyai tempat tinggal selesa untuk berteduh dan menetap,” katanya.


Dua jentera, 11 anggota padam kebakaran

Sebanyak 11 anggota dan dua jentera bomba penyelamat dari Jerantut dan Jengka terlibat dalam operasi memadam kebakaran, semalam.

Ketua Operasi, Mohd Ghazali Ismail berkata, jentera pertama iaitu dari Bandar Pusat Jengka tiba di tempat kejadian jam 12 tengah hari  disusuli jentera kedua dari Bandar Jerantut.

Menurutnya, api dapat dikawal sepenuhnya 10 minit kemudian dan pada 12.40 tengah hari, keseluruhan api berjaya dipadamkan.

 “Kita masih menyiasat punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian. Kejadian berlaku ketika rumah ditinggalkan kosong, justeru tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Tukang urut menangis dicekup



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Julai 2012
Sebahagian 14 tukang urut yang ditahan dalam serbuan di sebuah premis tidak bernama di Jalan KS 3A,
Sebahagian 14 tukang urut yang ditahan dalam serbuan di sebuah premis tidak bernama di Jalan KS 3A, Taman Kinrara Seksyen 3, lewat malam kelmarin.
PUCHONG - Dua tukang urut yang leka melayan pelanggan masing-masing di sebuah premis di Jalan KS 3A, Taman Kinrara Seksyen 3 di sini, menangis teresak-esak apabila premis tempat mereka bekerja diserbu pihak berkuasa, lewat malam kelmarin.

Kedua-duanya saling berpelukan dan sengaja menangis dengan suara kuat apabila mendapati jurugambar media bertali arus merakamkan wajah mereka yang cuba disembunyikan di sebalik bantal.

Dalam serbuan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira jam 11.30 malam itu, 14 tukang urut ditahan masing-masing tujuh warga Vietnam dan tujuh warga China.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, ketika diserbu, lima tukang urut berusia 19 hingga 30 tahun leka memberi khidmat kepada pelanggan warga tempatan di dalam bilik-bilik kecil yang dipisahkan dengan dinding.

Menurutnya, tiga kondom belum digunakan turut ditemui dan pihaknya percaya wujud aktiviti pelacuran di premis terbabit.

Katanya, premis dipercayai beroperasi tanpa lesen sejak setengah sebulan lalu dan pengusaha dikatakan menawarkan pakej sekali perkhidmatan percuma sekiranya pengunjung mendapatkan khidmat urutan lebih 10 kali di premis sama.

“Pengusaha premis menawarkan harga RM99 bagi satu sesi dan pelanggan mereka turut diberikan satu cop di atas ‘kad kunjungan’ setiap kali premis dikunjungi.

“Kita dapati setiap bilik-bilik kecil juga mempunyai bilik air yang menempatkan sebuah katil,” katanya.

Rohan Shah berkata, lima pelanggan warga tempatan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pengusaha bakal disiasat di bawah Seksyen 55 B Akta Imigresen kerana menggaji pekerja asing tanpa permit manakala tukang urut disiasat di bawah Seksyen 39 B Peraturan-peraturan Imigresen kerana bekerja tanpa permit sah

“Salah seorang tukang urut yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Imigresen,” katanya.

Seorang penjaga premis berusia lingkungan 30-an turut ditahan dan dibawa ke IPD Serdang.

Pawagam terbakar, 800 dipindah




29 Julai 2012
Pawagam terbakar, 800 dipindah
Pawagam di Colorado gempar akibat serangan rambang semasa tayangan filem Batman pada minggu lalu.
GUADALAJARA - Kira-kira 800 penonton filem tayangan perdana, The Dark Night Rises di kompleks pawagam di Guadajelara, Mexico terpaksa dipindahkan selepas premis itu terbakar, kelmarin.

Pasukan pemadam kebakaran melaporkan, tiada nyawa yang terkorban atau cedera dalam insiden itu.

Tayangan filem terbaru Batman sekali lagi menjadi huru-hara, iaitu susulan daripada kejadian tembakan rambang dilancarkan oleh James Holmes atau The Joker di pawagam di Colorada pada minggu lalu sehingga mengobankan 12 orang manakala 58 lagi cedera, pada minggu lalu

Pasar Borong diserbu



AHMAD ISMADI ISMAIL
29 Julai 2012
Pasar Borong diserbu
Antara warga asing yang dipercayai penagih dadah ditahan dalam operasi, semalam
KUALA LUMPUR - Polis menahan 26 orang, disyaki penagih dan pengedar dadah, dalam operasi narkotik 'Ops Tapis Khas' bagi membanteras penyalahgunaan dadah yang menjadikan Pasar Borong Selayang sebagai kawasan 'panas' bagi daerah Sentul.

Mereka yang ditahan dalam operasi bermula jam 6 pagi itu termasuk warga Thailand dan Myanmar, serta seorang perempuan, berumur antara 28 dan 40 tahun.

Difahamkan pengedar dadah menjadikan lokasi itu sebagai 'port' cari pelanggan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul Deputi Superintenden Mohamed Fadzil Rahman berkata, pengedar kecil terbabit mendapat bekalan dadah dari utara semenanjung sebelum mengedar secara kecil-kecilan di pasar borong berkenaan.

"Polis turut melakukan pemantauan di pasar berkenaan bagi mengesan kegiatan pengedaran dadah dan mengenal pasti pengedar kecil di sini," katanya.
Hasil pemeriksaan, kebanyakan mereka didapati menggunakan dadah jenis syabu dan heroin.

"Tangkapan dadah di lokasi sama sehingga Julai meningkat sebanyak 22.1 peratus kepada 731 orang berbanding 569 dalam tempoh sama tahun lalu," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Operasi dengan kerjasama Balai Polis Jinjang itu melibatkan 30 anggota dan empat pegawai berakhir pada jam 11 pagi.

Empat sahabat maut nahas tiga kenderaan




29 Julai 2012
Kereta Proton Wira yang dinaiki empat sahabat hancur berkecai selepas terlibat dalam nahas membabitk
Kereta Proton Wira yang dinaiki empat sahabat hancur berkecai selepas terlibat dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Km18, Jalan Kuantan-By Pass dekat sini, malam semal
KUANTAN - Empat sahabat maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Km18, Jalan Kuantan-By Pass, malam semalam.
  
Dalam kejadian 11.15 malam itu, pemandu dan tiga penumpang Proton Wira maut selepas kenderaan itu melanggar sebuah treler yang keluar dari simpang sebelah kiri sebelum sebuah kereta jenis Honda merempuh bahagian belakang Proton wira berkenaan.
  
Pegawai Turus Trafik Pahang DSP Mohd Rizal Abdullah, ketika kejadian semua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan  menuju ke Pelabuhan Kuantan.
  
"Tiga mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan manakala seorang lagi maut (kira-kira 6 pagi ini) ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)," katanya di sini, hari ini.
  
Mereka yang terbunuh ialah pemandu kereta berkenaan Mohd Shahidan Shaari, 26, Mohd Shahafiz  Othman, 22, Muhd Taufik Abd Rahman, 20, dan Ahmad Nazrin Hafizi Abdul Latif, 19. Keempat-empat mereka berasal dari Terengganu.
 
Mohd  Rizal berkata pemandu sebuah lagi kereta dan pemandu treler yang membawa muatan bijih besi itu tidak mengalami sebarang  kecederaan.
  
Sementara itu di BENTONG, sepasang suami isteri maut manakala anak lelaki mereka berusia tiga tahun parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas ke laluan  bertentangan sebelum  bertembung dengan sebuah kereta di Km7.5 Jalan Karak-Kuala Pilah, dekat Sri Telemong, Bentong, lewat petang semalam.
 
P.Kiru, 21, seorang mekanik dan isterinya, B.Anita, 27, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak mereka, K.Thirumugilan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, katanya.
  
Mohd Rizal berkata dalam satu lagi kemalangan, seorang warga emas, Jenab Merah, 74, maut selepas dilanggar sebuah motosikal ketika sedang melintas jalan di Km3, Jalan Temerloh-Mentakab, dekat Kampung Gantok pada 4.30 petang semalam.
  
Katanya wanita itu yang cedera parah di kepala dan badan, disahkan meninggal dunia  pada kira-kira 8 malam ketika sedang dirawat di Hoshas manakala penunggang motosikal itu, Azizi Abd Halim, 46, seorang guru, hanya cedera ringan. - Bernama

Pelajar babitkan diri aktiviti dadah untuk digelar 'taiko'




29 Julai 2012
KUALA LUMPUR - Persaingan untuk bergelar "taiko" di kalangan rakan sebaya menjadi dorongan baru pelajar sekolah melibatkan diri dalam kegiatan pengedaran dadah, demikian menurut Pergerakan Belia 4B Selayang.
  
Pengerusinya Dr Roslan Basaruddin berkata sebelum ini masyarakat hanya bimbang pelajar dieksploitasi untuk kegiatan haram itu, namun senario kini berubah dengan mereka sendiri mencari peluang untuk terlibat secara langsung dalam kegiatan jenayah.
  
"Terdapat kes di mana pelajar yang saya temui mengakui ingin menjadi yang paling hebat di kalangan rakan-rakan. Mereka sanggup terlibat dengan kegiatan itu supaya nanti boleh digelar 'kepala gangster'.
  
"Apabila dia telah mencapai satu tahap yang membolehkannya memegang gelaran itu dalam kegiatan yang dilakukan, dia mempunyai lebihan wang yang memudahkannya menampung kos bagi berseronok bersama kawan-kawan, sekali gus dapat mengawal rakan-rakan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
  
Roslan, yang juga Ketua Sekretariat Masyarakat Penyayang berkata lebih membimbangkan golongan pelajar itu bukan sahaja terbabit dalam penyalahgunaan dadah, malah turut terlibat dalam kegiataan pengedaran dadah.

"Mula-mula dia rasa nak mencuba dan bila dah rasa 'seronok' dia mula ketagih. Selepas itu ada pula peluang untuk dia menjana pendapatan lebih dengan membabitkan diri dalam pengedaran dadah," katanya, memberi contoh kes melibatkan pelajar sekolah berusia 16 tahun.
  
Menurut Roslan pengenalan inisiatif 'Kempen Anti Dadah Ke Arah Negara Sifar Dadah 2015' yang dipelopori Gerakan Belia 4B Malaysia, Sekretariat Masyarakat Penyayang (SMP), Majlis Belia Selangor Daerah Gombak dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia merupakan sebahagian usaha bagi mengekang aktiviti negatif daripada terus menular di kalangan remaja termasuk pelajar sekolah.
  
Beliau berkata dengan menekankan konsep "Kami Sayang, Kami Bantu dan Kami Pimpin" pengisian kempen yang dimulakan 21 Jun lepas itu memberi fokus mendekati golongan belia kerana mereka antara golongan mudah dipengaruhi.
  
"Mereka ini harus dididik kerana jika dibiar tanpa bimbingan, mereka mungkin akan mempengaruhi rakan-rakan lain pula," katanya.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abd Rahim Abdullah berkata daripada 5,649 kes jenayah yang dilaporkan di daerah itu, 80 peratus daripadanya dilakukan oleh penjenayah di bawah pengaruh dadah.

Beliau berkata kajian terbaru Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mendapati kebanyakan jenayah di daerah itu mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah, termasuk trend terkini pembabitan golongan remaja termasuk pelajar sekolah dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
  
"Meskipun kecenderungan itu dilihat masih pada tahap rendah tetapi tindakan mereka dianggap membimbangkan kerana mereka mungkin bergerak lebih aktif selepas menamatkan persekolahan," katanya.
  
Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah) Jeevan S. Ramamurthy pula berkata perkara ini perlu diberi perhatian bagi mengelakkan ia menjadi 'trend' di kalangan pelajar sekolah.
  
"Kerjasama berterusan antara pihak sekolah dan polis perlu ada. Pihak sekolah juga perlu lebih bertanggungjawab. Jangan sorokan maklumat jika mendapati pelajar sekolah mereka terbabit dengan sebarang kegiatan melibatkan dadah kerana semata-mata mahu menjaga nama baik sekolah," katanya.
  
Beliau mengakui ada pelajar terlibat dalam penyalahgunaan dadah melalui penemuan kesan penggunaan bahan terlarang itu di tandas-tandas sekolah serta di bilik darjah yang tidak digunakan.
  
"Melalui tinjauan yang pernah dijalankan sebelum ini, memang ada pelajar sekolah terbabit dengan penyalahgunaan dadah daripada hasil penemuan bekas plastik menghidu ganja dan sebagainya yang juga ditemui di dalam bilik stor," katanya.   - Bernama

400 warga Bangladesh dakwa ditipu ejen




29 Julai 2012
ALOR SETAR - Seramai 400 pekerja warga Bangladesh yangsedang bekerja di seluruh Kedah dan mendakwa menjadi mangsa penipuan ejen yang
memeras wang mereka, meminta pihak berkuasa tempatan campur tangan.
  
Jurucakap pekerja itu, Sirajul Haque Kazi berkata mereka mendapatkan khidmat sebuah syarikat pembinaan di sini yang berjanji mendapatkan permit dan pekerjaan semasa kerajaan melancarkan Program 6P fasa kedua awal tahun ini.
  
"Kami mencapai persetujuan dengan ejen tersebut yang meminta bayaran RM3,500 seorang dan menyerahkan pasport kami kepadanya. Kami juga membayar beliau wang pendahuluan RM3,000 setiap seorang.
  
"Baru-baru ini ejen tersebut memanggil kami tetapi menaikkan bayaran kepada RM4,200 dan enggan menyerahkan pasport kami jika permintaannya tidak ditunaikan," kata Sirajul kepada Bernama.
  
Dia ditemui semasa mengadakan demonstrasi aman bersama kira-kira 50 rakannya di hadapan rumah ejen itu di Lorong Wan Mat Saman di sini, hari ini.
  
Katanya kira-kira 200 rakannya yang tidak mahu menjadi buruan pihak berkuasa kerana boleh didakwa tinggal secara haram di negara ini terpaksa akur dengan permintaan ejen tersebut untuk mendapatkan kembali pasport dan permit kerja mereka.
  
Sirajul berkata mereka tidak mampu membayar lebih kepada ejen tersebut kerana terpaksa mencari sendiri pekerjaan selain dibayar upah yang rendah kerana status (tidak ada pasport) yang boleh dieksploitasi oleh majikan.
  
"Saya merayu pihak berkuasa supaya campur tangan dan bantu kami menyelesaikan masalah ini. Kami datang secara sah untuk bekerja di negara ini antara lima dan 18 tahun. Ada yang telah berkahwin dengan penduduk tempatan dan mempunyai anak," rayu Sirajul.
  
Katanya dia dan beberapa rakan membuat laporan di Balai Polis Alor Setar 25 Julai lepas supaya kes mereka dapat disiasat pihak berkuasa.
  
Program 6P ialah satu mekanisme komprehensif melibatkan enam komponen yang dilaksanakan secara berperingkat iaitu Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran serta melibatkan pendaftaran biometrik setiap pendatang tanpa izin bagi mengelak berlakunya pemalsuan identiti dan dokumen. - Bernama