Search This Blog

Friday, July 27, 2012

Kereta dinaiki bertembung lori kelapa sawit



WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Julai 2012
Kereta dinaiki bertembung lori kelapa sawit
Keadaan kereta jenis Proton Wira yang dipandu oleh mangsa remuk teruk selepas bertembung.
Kereta dinaiki bertembung lori kelapa sawit
Lori muatan kelapa sawit terbalik selepas bertembung dengan kereta jenis Proton Wira dipandu oleh mangsa.
TELUK INTAN - Seorang majikan dan pekerjanya di sebuah pusat membeli hasil kelapa sawit di Jalan Sitiawan maut apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan lori muatan sawit di KM 13, Jalan Teluk Intan - Hutan Melintang, dekat Batu 8, lewat petang semalam.

Kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah masing-masing dekat Hutan Melintang, menaiki kereta jenis Proton Wira berwarna putih bersama-sama dua lagi rakan mereka.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa dikenali sebagai Chai Wei Tack, 20 dan pekerjanya, L. Nanthan Kumaran, 27, maut di tempat kejadian.

Kejadian berlaku apabila mangsa dan rakannya dalam perjalanan pulang dari arah Teluk Intan ke Hutan Melintang dari tempat kerja ke rumah, masing-masing cuba memotong kenderaan di hadapan.

“Kereta yang dipandu oleh Wei Tack itu gagal memotong lalu merempuh sebuah lori muatan sawit yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 41 tahun, dari arah bertentangan.

“Rempuhan itu mengakibatkan lori itu terbalik bersama-sama dengan muatannya di tengah-tengah jalan dan sebuah kereta jenis Volvo yang dipandu seorang pelajar bersama dua orang rakannya berusia di antara 17 hingga 22 tahun yang berada di belakang lori tersebut turut melanggar lori itu kerana jarak terlalu dekat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, kesemua pemandu dan penumpang kereta jenis Volvo dan juga lori yang membawa muatan kelapa sawit tidak mengalami kecederaan.

Katanya, Wei Tack dan pekerjanya maut di tempat kejadian manakala dua orang rakannya dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Salah seorang daripadanya dimasukkan wad kerana mengalami kecederaan di kepala manakala seorang lagi dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang maut parah di bahagian kepala turut dihantar ke  Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh waris masing-masing kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

“Pihak kami  masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pelajar, penduduk tempatan Tg Agas keracunan makanan



NURULATIQ AHMAD BANDI
27 Julai 2012
PORT DICKSON - Sekumpulan pelajar Kolej Uniti dan penduduk sekitar Tanjung Agas mengalami keracunan makanan selepas berbuka puasa dengan membeli juadah dari bazar ramadan berdekatan, semalam.

Bilangan mangsa keseluruhan belum dapat dikenal pasti tetapi difahamkan dua pelajar dimasukkan ke Hospital Port Dickson.

Sinar Harian Online difahamkan sebahagian pesakit telah dibenarkan keluar hospital, namun kembali semula untuk rawatan lanjut.

Pengemis mewah, kaut RM500 sehari



WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Julai 2012
Pengemis mewah, kaut RM500 sehari
Kakitangan JKM Johor Bahru menahan pengemis warga China yang ditahan dalam serbuan di bazar Taman Suria, kelmarin.

JOHOR BAHRU – Hanya bersandarkan wajah simpati, seorang pengemis wanita dari Pakistan mampu meraih pendapatan mencecah RM500 dengan meminta sedekah di persimpangan bertingkat berhampiran Plaza Angsana, di sini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, wanita berusia 45 tahun itu berjaya dicekup kakitangan JKM dalam serbuan pengemis yang dijalankan di sekitar kawasan berkenaan, kelmarin.

“Hasil maklumat yang diberikan orang awam, seramai lapan kakitangan JKM Johor Bahru menjalankan serbuan untuk menahan individu yang didapati menjalankan kegiatan mengemis di sekitar bandaraya ini.

“Salah seorang yang ditahan merupakan wanita warga Pakistan ketika sedang berkeliaran di sekitar Jalan Skudai dengan meminta sedekah dari setiap pemandu yang berhenti di persimpangan lampu trafik,” katanya.

Manayi berkata, hasil siasatan mendapati wanita berkenaan yang mula memasuki negara ini sejak bulan lalu, berjaya mengumpul kira-kira RM500 hasil dari kegiatan meminta sedekah itu dalam masa sehari.

Selain itu katanya, serbuan sama turut dijalankan di sekitar Bazar Ramadhan Taman Suria, di sini yang membawa kepada penahanan dua pengemis yang terdiri daripada orang kurang upaya warga China dan rakyat tempatan.

“Mereka yang ditahan di Taman Suria merupakan orang kelainan upaya iaitu masing-masing berusia 47 dan 41 tahun.

“Kedua-dua pengemis warga asing telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Johor untuk tindakan lanjut manakala pengemis warga tempatan ditahan sementara selama sebulan di Rumah Sri Kenangan Ungku Mohsin bagi mengesan warisnya,” katanya.

Selain itu katanya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 33/2 Akta Orang Papa 1977 dan pihaknya akan menggiatkan usaha menjalankan operasi seumpama itu bagi mengurangkan kegiatan atau sindiket meminta sedekah.

“Operasi ini akan dijalankan secara berterusan terutamanya di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar awam dan bazar Ramadan.

“Berdasarkan rekod tahun lalu seramai 106 orang papa dan pengemis telah ditahan oleh kakitangan JKM,” katanya.

Seminggu selepas kematian suami, rumah pula terbakar




26 Julai 2012
 Seminggu selepas kematian suami, rumah pula terbakar
Anggota Bomba dan Penyelamat cuba mengawal kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di Jalan Gajah Mati. - fotoBERNAMA
KOTA BHARU - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, seorang suri rumah yang baru kematian suaminya bernasib malang apabila rumahnya di Jalan Gajah Mati, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kebakaran pada pukul 12 tengah hari itu mengakibatkan Rohani Che Ka, 43, bersama tiga anaknya masing-masing berusia 7 bulan dan 4 serta 6 tahun tinggal sehelai sepinggang.

Sebuah rumah milik jirannya, Hoi Toi Loo, 56, turut musnah.   

Rohani berkata ketika kejadian, dia sedang berehat di ruang tamu selepas menjemput anaknya dari tadika berhampiran dan menyedari kebakaran setelah mendengar jeritan jiran bahawa bahagian atas rumah separuh papan yang disewanya itu terbakar.

"Walaupun semua barang keperluan tidak dapat diselamatkan, saya bersyukur kerana dapat menyelamatkan nyawa kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.

Antara barangan yang musnah ialah pakaian raya ketiga-tiga anaknya serta pelbagai kelengkapan rumah dan perabot.
  
Menurut Rohani, arwah suaminya Ramli Musa, 44, seorang pemandu teksi meninggal dunia secara mengejut selepas terjatuh di dalam bilik air di rumahnya seminggu lalu.

"Saya reda dengan apa yang berlaku ini, cuma apa yang menyedihkan saya ialah kerana baru saja kematian suami dan terpaksa menanggung tiga anak," katanya.

Empat jentera Bomba dan Penyelamat dengan 15 anggota, iaitu tiga dari Kota Bharu dan sebuah dari Kota Darulnaim berjaya mengawal api daripada merebak dalam tempoh setengah jam.

Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Kota Baharu Azman Yasok berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.  - Bernama

Ditipu Datuk palsu



NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
27 Julai 2012
Ditipu Datuk palsu
Yap menunjukkan laporan polis dan salinan slip pembayaran yang dibuat sebelum menyedari ditipu.
SHAH ALAM - Sepasang suami isteri kerugian hampir RM100,000 selepas mendakwa ditipu seorang lelaki menyamar sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) bergelar Datuk, dalam urusan penjualan rumah kos rendah dan tanah anugerah negeri Selangor, baru-baru ini.
Mangsa yang hanya dikenali Yap, 60, berkata, dia mengenali lelaki itu melalui anak perempuannya pada pertengahan April lalu.
Menurut Yap, anaknya berusia 28 tahun, ditawarkan rumah kos rendah oleh lelaki itu termasuk jaminan kelulusan permohonan tersebut.
“Lelaki itu mendakwa sebagai wakil khas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan merupakan individu penting dalam meluluskan sebarang penjualan rumah.
“Dia juga mengaku mempunyai lapan kuota lot rumah kos rendah dan boleh meluluskan pembelian tiga rumah dengan syarat perlu membayar RM5,400 seunit,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, sebelum pembayaran dilakukan, lelaki itu memberi jaminan di mana dia boleh mendapat kunci rumah pada 15 Mei lalu.
Yap berkata, lelaki yang mendakwa rapat dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu kemudiannya menawarkan dua lot tanah anugerah negeri Selangor.
“Semua dokumen yang diserahkan bercop Pesuruhjaya Sumpah Malaysia dan siap ditandatangani. Ini menyebabkan saya lebih percaya kepada lelaki itu.
“Semua dokumen diisi termasuk membuat tiga kali pembayaran di atas nama lelaki itu antaranya premium tanah, bayaran struktur bangunan dan upah,” katanya.
Katanya, bagaimanapun semuanya terbongkar selepas dia mengenali seorang pengamal perubatan tradisional di Raub, Pahang, yang turut menjadi mangsa.
“Saya mula sedar dan terus menyelidik latar belakang lelaki itu. Semuanya palsu di mana lelaki itu bukan bergelar Datuk, termasuk tidak bekerja di mana-mana PBT.
“Saya menghubungi lelaki itu dan menuntut kembali wang pembayaran tetapi gagal,” katanya.

Yap kemudiannya bersama Sinar Harian ke Pejabat Menteri Besar di Bangunan SUK bagi mendapatkan nasihat dan difahamkan, lelaki tersebut pernah menipu beberapa lagi mangsa sebelum ini.

Isteri ahli politik China bunuh ahli niaga UK




26 Julai 2012
Isteri Bo Xilai
$entry.content.caption.value
BEIJING - Isteri seorang pemimpin politik China yang dipecat baru-baru ini, Bo Xilai didakwa membunuh ahli perniagaan United Kingdom, Neil Heywood.
Agensi berita Xinhuaberkata, Gu Kailai dan Zhang Xiaojun, yang diambil bekerja di rumah Xilai, baru-baru didakwa oleh mahkamah China.
Laporan itu tidak memberi butiran lanjut.
Heywood ditemui mati di sebuah hotel di Chongqing pada 15 November 2011.
Kematian Heywood mencetuskan gelombang yang membawa kepada kejatuhan Xilai, yang telah menggoncang politik China.
Siasatan awal menyebut Heywood mati kerana mengambil minuman keras berlebihan. Bagaimanapun pada April lalu, kerajaan mengumumkan bahawa kematian ahli perniagaan itu ada kaitan dengan isteri Xilai.

7 warga Nigeria ditahan perdaya wanita di telefon



MELAKA 26 Julai - Polis menumpaskan satu sindiket yang memperdayakan golongan wanita kesunyian menerusi perbualan telefon sebelum mengikis harta mereka berikutan penahanan tujuh lelaki Nigeria bersama seorang wanita tempatan awal pagi ini.
Dalam serbuan di sebuah apartmen dekat Bachang di sini pukul 1 pagi itu, kesemua yang ditahan berusia antara 23 dan 33 tahun termasuk seorang wanita tempatan berumur 23 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Supritendan Soh Hock Sing berkata, polis turut merampas peralatan seperti telefon bimbit, kad dan buku bank, komputer riba dan peranti storan media mengandungi ayat-ayat romantik untuk memperdaya mangsa.
“Telefon bimbit itu juga mengandungi beberapa keping gambar lucah yang dipercayai digunakan suspek untuk memikat wanita menjadi kekasihnya sebelum mula mengikis harta mangsa.

516 pengedar dadah rakyat asing diberkas



KUALA LUMPUR 26 Julai - Usaha bersungguh-sungguh Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras aktiviti penyeludupan dadah ke negara ini, berbaloi apabila memberkas 516 pengedar dadah warga asing dan merampas dadah bernilai RM197 juta sejak Januari sehingga kini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, statistik menunjukkan tangkapan tertinggi adalah membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan iaitu seramai 254 orang.
Beliau berkata, ia diikuti tangkapan seramai 10 orang di bawah Seksyen 39(A)(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun jika disabitkan kesalahan, Seksyen 39(A)(2) akta sama (hukuman penjara lima tahun ke atas) dan 244 orang membabitkan lain- lain kesalahan seperti memiliki dadah.

Rumah ADUN Telok Mas dimasuki pencuri



MELAKA 26 Julai - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik, 63, kerugian kira-kira RM200,000 setelah rumahnya di Jalan Dato Palembang, Bukit Baru dekat sini dipecah masuk pencuri malam kelmarin.
Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berkata, sewaktu kejadian beliau tiada di rumah kerana menunaikan solat tarawih di Telok Mas.
Menurut beliau, isterinya, Datin Umul Khair, 52, pula berada di rumah ibu saudaranya yang terletak berhadapan rumah mereka.
"Kira-kira pukul 11.30 malam, isteri saya keluar dari rumah ibu saudara lalu menjerit meminta tolong apabila ternampak dua lelaki tidak dikenali berada dalam keadaan mencurigakan di dalam kawasan rumahnya.
"Jeritan kuat isteri saya menyebabkan dua lelaki itu panik sebelum disusuli dua lagi lelaki lain yang tiba-tiba keluar dari pintu depan rumah lalu melarikan diri dengan menaiki kereta BMW 5 Series berwarna putih," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sindiket pintasan cek dibongkar



MELAKA 26 Julai - Polis membongkar taktik baru satu sindiket pintasan cek di negeri ini yang akan memadam nama penerima yang dicetak sebelum menggantikannya dengan nama dan butiran penerima lain.
Ketua JSJK negeri, Supritendan Soh Hock Sing berkata, sindiket yang mula aktif di negeri ini sejak awal tahun ini terbongkar berikutan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun, semalam.
"Hasil siasatan, polis memburu empat lagi lelaki yang merupakan anggota sindiket itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini hari ini.
Menurut beliau, selepas memintas cek yang hendak diposkan itu, suspek akan menukar butiran penerima cek dengan cara memadamkan nama penerima menggunakan sejenis bahan kimia khas tanpa menjejaskan ciri-ciri keselamatan di atas cek.

740 pencagar emas palsu dikesan



KUALA LUMPUR 26 Julai - Siasatan polis mengenal pasti seramai 740 pencagar emas palsu yang kebanyakannya penduduk kampung yang telah diperdaya sindiket menggunakan taktik menyadur tembaga dengan emas sehingga mengakibatkan sebuah bank kerugian RM75 juta.
Polis turut mendedahkan selain bank tersebut, sebanyak 11 kedai pajak gadai di seluruh negara turut diperdaya sindiket yang sama namun jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, kesemua pencagar itu digunakan oleh ahli sindiket yang dikesan telah beroperasi sejak September tahun lalu dengan bayaran upah antara RM300 dan RM800.
Kegiatan sindiket itu hanya terbongkar pada April lalu selepas seorang pengusaha kedai pajak gadai merasa hairan apabila pencagar emas itu tidak tampil untuk membuat tuntutan.

Sindiket jual ijazah palsu tumpas



Tun Hisan Tun Hamzah (tengah) menunjukkan risalah universiti yang digunakan oleh syarikat pemalsuan ijazah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, semalam. - Utusan/Fatin Ainaa Faudzi
SHAH ALAM 26 Julai - Polis akan mengambil keterangan seorang individu bergelar Tan Sri dan beberapa ahli politik bagi membantu siasatan kegiatan penjualan ijazah palsu universiti luar negara yang didalangi sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Jakri Education Group di Subang Jaya dekat sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya telah mengenal pasti identiti ahli politik dan orang kenamaan terbabit berikutan penahanan dua suspek termasuk dalang kegiatan itu yang merupakan pengarah di IPTS terbabit dalam dua serbuan di Subang Jaya dan Cheras semalam.

1 maut, 4 hilang kapal meletup


KEADAAN kapal MV Bunga Alpinia milik MISC Berhad yang terbakar selepas disambar petir di Terminal Methanol Petronas, Labuan, semalam. - UTUSAN/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN
LABUAN 26 Julai - Seorang anak kapal maut manakala empat lagi masih hilang apabila kapal tangki milik MISC Berhad, MV Bunga Alpinia terbakar dan meletup di Jeti Terminal Loji Petronas Metanol Labuan dekat sini awal pagi ini.
Ketika kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, terdapat 24 krew di dalam kapal yang sedang berlabuh dan memindahkan gas metanol di pelabuhan berkenaan.
Kapal yang terbakar kira-kira 50 peratus itu dikatakan terkena petir sebelum meletup dan terbakar.
Ketua Polis Daerah Labuan, Supritendan Saiman Kasran berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Shahril Azmi Baharudin, 28, berasal dari Melaka.

4 didakwa bunuh anggota Rela di ladang kelapa sawit



RASAH 26 Julai - Seorang anggota tentera bersama tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Seremban dekat sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di ladang kelapa sawit di Ulu Kanchong, Pedas pada hujung tahun lalu.
Prebet Mohamad Asrol Izek Md. Aris, 31, Rosman Ali Abdul, 28, Kamarudian Idrus, 54, dan Zaki Zahari, 19, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Siti Khariah Abd. Razak.
Kesemua tertuduh didakwa membunuh Hamzah Ab. Majid, 56, di ladang kelapa sawit tersebut antara pukul 9.30 malam dan 12 tengah malam, 18 Oktober 2011.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Korban bencana alam Beijing meningkat kepada 77




BEIJING 26 Julai - Angka kematian akibat hujan lebat dan banjir yang melanda bandar raya ini meningkat dua kali ganda kepada 77 orang semalam, lapor agensi berita Xinhua.

Pihak berkuasa sebelum ini mengumumkan seramai 37 orang terkorban selepas hujan lebat yang mengakibat beberapa kawasan dinaiki air.

Bencana tersebut turut mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk di wilayah Fangshan yang merupakan kawasan paling teruk terjejas. - AFP

Angka korban banjir China dipersoal



Penduduk kampung cuba menarik mayat Wang Jiansheng dari kawasan pertanian yang ditenggelami banjir di kampung Dongnanzhang, daerah Fangshan di Beijing, pada 23 Julai lalu. - Reuters
BEIJING 26 Julai - Penduduk China yang berang dengan cara kerajaan menangani banjir, bertindak mengemas kini sendiri jumlah kematian bencana itu pada hujung minggu lalu dan membuat persediaan sendiri menghadapi banjir.
Tindakan tersebut dibuat ekoran rasa kecewa terhadap pihak berkuasa bandar raya Beijing yang tidak mengemas kini jumlah kematian terbaru sejak Ahad lalu, sehari selepas bandar itu dilanda banjir kilat ekoran sistem penyaliran air yang tidak berkesan.
Pihak berkuasa menyatakan, seramai 37 orang terbunuh dalam kejadian tersebut, namun laporan media tempatan menyebut, angka kematian mungkin mencapai 61 orang.
Malah, laporan dalam Internet juga mendakwa, angka korban mungkin lebih 300 orang.
Seorang pekerja pejabat penerangan kerajaan daerah Fangshan yang hanya dikenali sebagai Xu berkata, jumlah sebenar kematian sedang dikemas kini dan maklumat itu akan dikeluarkan sebaik-baik sahaja proses pengiraan selesai.
“Saya tidak tahu bagaimana ada pihak melaporkan angka kematian mencapai jumlah 300 orang," katanya.
Laporan dalam laman web carian Google, turut memaparkan senarai nama dan jantina 19 mangsa yang terkorban atau hilang.
Agensi berita Xinhua pula melaporkan, sekurang-kurangnya 95 orang terbunuh dalam bencana yang melanda 17 wilayah dan bandar terbabit.
Seorang penulis di barat daya wilayah Sichuan, Li Chengpeng berkata, dia menyenaraikan nama mangsa yang terbunuh dalam kejadian banjir di Beijing dan tempat lain.
“Kami tidak boleh mengharapkan kerajaan untuk melakukan kerja tersebut dan kami perlu melakukannya sendiri menggunakan Internet," kata Chengpeng. - AGENSI

Seorang ditahan samun pusat hiburan


ABDUL Majid Mohd. Ali (dua dari kanan) menunjukkan senjata yang digunakan dalam kes samun pusat hiburan keluarga di IPD Kluang, semalam.
KLUANG 26 Julai - Seorang penjawat awam yang berkhidmat dalam pasukan keselamatan ditahan kerana disyaki menyamun sebuah pusat hiburan keluarga di Kluang Parade bersama dua rakannya dengan bersenjatakan parang, pedang samurai dan kayu pada 14 Julai lalu.
Suspek yang berkhidmat di Johor Bahru, dipercayai menyamun premis itu pukul 8.15 malam, dan polis yang menubuhkan pasukan khas untuk menangani kes itu menahannya tiga hari kemudian di sini.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali berkata, polis masih giat memburu dua lagi rakan suspek.
"Pada malam kejadian, terdapat pelanggan dan pekerja pusat hiburan keluarga di dalam premis. Suspek berada di dalam premis kira-kira lima hingga 10 minit.

Rumah enam beranak hangus

Sindiket ayat romantik



Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my
         
MELAKA: Seorang pelajar wanita sebuah kolej swasta di negeri ini yang dipercayai menjadi ‘keldai akaun’ ditahan bersama tujuh lelaki warga Nigeria di sebuah apartmen di Bachang, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, semua suspek berusia antara 23 dan 33 tahun termasuk wanita tempatan berusia 23 tahun.


Katanya, serbuan dijalankan JSJK Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri bersama Jabatan Imigresen negeri itu turut menemui pelbagai peralatan elektronik dipercayai bagi menjalankan penipuan Internet (African Scam).

Menurutnya, pihaknya merampas 10 telefon bimbit, komputer riba (3), kad bank (5), peranti storan media (3) dan satu buku akaun bank.


“Hasil pemeriksaan mendapati telefon bimbit itu mengandungi beberapa gambar lucah yang dipercayai digunakan suspek untuk memikat mangsa wanita menjadi kekasihnya sebelum mula mengikis harta mangsanya.


“Wanita yang ditahan itu pula dipercayai digunakan untuk mendapatkan wang daripada mangsanya yang akan memasukkan duit melalui akaun bank wanita terbabit,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan JSJK di IPK Bukit Beruang, dekat sini, semalam.


Soh berkata, serbuan turut menemui senarai ayat romantik dipercayai digunakan untuk memikat mangsa.


Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah memperdaya wanita yang kesunyian menggunakan gambar individu lain dan ayat romantik melalui Internet dan e-mel sebelum mengikis duit mangsa.

“Dengan tertangkapnya suspek terbabit, kami percaya satu sindiket memperdaya wanita kesunyian menerusi perbualan telefon dan Internet dapat ditumpaskan.


“Pemeriksaan mendapati empat daripada warga Nigeria yang ditahan itu mempunyai visa melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur,” katanya.


Beliau berkata, polis akan berhubung dengan kolej itu untuk mengesahkannya. Malah, polis akan mengesan semua e-mel yang dihantar melalui komputer riba untuk mengenal pasti mangsa sindiket terbabit.


Menurutnya, polis percaya dapat mematahkan sindiket penipuan ‘African Scam’ yang cuba beralih ke negeri ini selepas banyak serbuan dilakukan di ibu negara.


Soh berkata, semua suspek kini ditahan reman 14 hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Katanya, sepanjang Januari hingga Jun 2012, polis kontinjen negeri menerima 21 kes ‘African Scam’ yang mana 17 daripadanya membabitkan penipuan di kawasan Melaka Tengah, Alor Gajah (3) dan satu di Jasin.

Dentuman bagai guruh


MARAK...kapal tangki yang meletup dan terbakar, semalam.
MARAK...kapal tangki yang meletup dan terbakar, semalam.
LABUAN: Dentuman seperti guruh disusuli percikan api menggegarkan jeti Petronas Mega Methanol Labuan, di sini, apabila kapal tangki Bunga Alpinia meletup ketika sedang mengepam bahan api dalam kejadian berhampiran Pulau Eno, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, seorang kru kapal, Sharil Azmi Baharudin, 28, ditemui rentung berhampiran jeti Petronas manakala empat lagi rakan mangsa, Muhammad Azrin Khansani, 20; Mohd Hanafi Kalil, 24; Zahari Hassim, 46, dan warga Filipina, Errol Calau-an Colangay, 32, masih hilang.
Harian Metro difahamkan, tiga petugas kapal yang cedera dikenali sebagai Ridwan Rahmatullah, 30; Mohd Faizal, 28; dan Chin Si Moi, 57.

Kejadian awal pagi itu menyebabkan kapal milik Malaysia International Shipping Corporation Berhad (MISC) itu musnah sama sekali selepas berlaku dua letupan kuat sehingga menggegarkan kawasan sekitar jeti berkenaan.

Seramai 24 anak kapal terdiri 18 rakyat tempatan dan enam Filipina berada di atas kepal dan dipercayai sedang mengisi 12,000 tan bahan api sebelum letupan berlaku.

Tetak guna parang palsu


DITETAK...Law menunjukkan tangannya yang ditetak suspek menggunakan parang palsu.
DITETAK...Law menunjukkan tangannya yang ditetak suspek menggunakan parang palsu.
GOMBAK: Sepasang warga emas dan empat ahli keluarganya berdepan detik cemas disamun empat lelaki bersenjatakan parang di rumahnya di Kepong Ulu, di sini, awal pagi kelmarin menyebabkan kerugian lebih RM10,000.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, Law Ah Hai, 63, dan isterinya, Chen Yoke Heong, 57, memuatkan barang dalam keretanya sebelum didatangi empat lelaki.
Difahamkan, pasangan terbabit menetap lebih 40 tahun di rumahnya dan rutin harian mereka sejak dua tahun lalu keluar rumah awal pagi untuk memulakan perniagaan restoran di Rawang.

“Keempat-empat lelaki berusia 20 hingga 30-an itu menaiki sebuah kereta Proton Waja berwarna biru. Mereka meletakkan kereta di depan pagar rumah mangsa sebelum menyerbu dan menjerit ke arah saya dan isteri supaya masuk dalam rumah.

“Saya ditolak masuk ke dalam bilik yang dihuni anak perempuan, menantu dan cucu lelaki saya yang sedang tidur. Lelaki itu turut mengarahkan isteri serta anak lelaki saya yang tidur di bilik berasingan masuk ke bilik itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kepong Ulu, di sini, semalam.

Bapa kejam gila!



Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Mohd Hafizee Mohd Arop
am@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: Seorang bapa menuang air minuman berkarbonat ke dalam mulut anaknya yang hamil sebelum memaksa wanita itu menelan pil tahan sakit untuk menggugurkan kandungannya.

Kejadian berlaku di rumah mereka di Pantai Dalam, di sini, jam 12.30 tengah malam kelmarin dan bapa berusia 50-an terbabit bertindak sedemikian semata-mata kerana tidak sukakan suami anaknya itu.

Sumber polis berkata, sebelum itu lelaki terbabit pulang ke rumah dalam keadaan marah dan memaki-hamun serta membelasah anak serta menantunya yang dikatakan baru beberapa bulan berkahwin.

“Suspek menyuruh anaknya berpisah dengan suaminya. Apabila anaknya yang berusia 20 tahun memberitahu dia sudah mengandung, suspek bertambah berang dan memaksanya menggugurkan kandungan.



“Tidak cukup dengan itu, bapa mangsa turut membawa pil tahan sakit dan menuang air minuman berkarbonat ke dalam mulut mangsa supaya kandungan mangsa gugur, namun mangsa berjaya menghalang perbuatan ayahnya,” katanya.

Samun ketika Tarawih



Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my
         
MELAKA: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Latiff Tamby Chik, 63, kerugian RM200,000 apabila rumahnya dipecah masuk tiga penjenayah, Selasa lalu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11.25 malam di Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru, dekat sini, suspek berusia 20-an hingga 30-an berkenaan masuk ke banglo setingkat itu dengan memecahkan tingkap hadapan dan jeriji besi sebelum menggeledah rumah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata ketika kejadian banglo itu tidak berpenghuni kerana Adun berkenaan menunaikan solat Tarawih manakala isterinya, Datin Umul Khair, 52, berada di rumah jiran.

“Bagaimanapun ketika suspek yang tidak bertopeng itu keluar, mereka terserempak dengan isteri mangsa yang menjerit sebelum ketiga-tiga penjenayah itu melarikan diri menaiki BMW putih diletakkan di hadapan rumah mangsa.


“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa barangan berharga milik mangsa hilang termasuk jam tangan jenama Rolex dan Chopard serta wang tunai dianggarkan bernilai RM200,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.

Cedera minta alih motor




         
AMPANG: Gara-gara meminta diberi laluan, seorang lelaki cedera di kepala dan badan selepas dibelasah tiga lelaki menggunakan topi keledar dan kerusi plastik, petang kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 35 tahun terbabit menunggang motosikal untuk ke pasar juadah berhampiran rumahnya di Taman Muda, di sini, sebelum laluannya terhalang sebuah motosikal lain yang ditunggangi seorang lelaki.


Menurut sumber, mangsa meminta lelaki itu mengalihkan motosikal bagi memudahkannya untuk keluar namun tidak menyangka tindakannya itu membawa padah apabila dicederakan lelaki terbabit.

“Dalam insiden jam 4 petang itu, mangsa meminta lelaki itu mengalihkan motosikalnya namun lelaki terbabit berang. Dia tidak berganjak, malah memanggil dua lagi rakannya datang ke arah mereka,” katanya.


Sumber berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit membelasah mangsa menggunakan topi keledar dan kerusi plastik menyebabkan mangsa tidak mampu melawan.


“Mangsa cedera di kepala dan badannya. Ketiga-tiga lelaki itu melarikan diri. Mangsa menghubungi anak saudaranya meminta bantuan,” katanya.


Katanya, mangsa dibawa anak saudaranya itu membuat laporan di balai polis berhampiran.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan.

Graduan tanpa ilmu



Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my
         
SHAH ALAM: Gara-gara mahu mendapatkan ijazah dengan cara senang, seramai 525 graduan rakyat tempatan termasuk warga Eropah dan Afrika menjadi mangsa sindiket ijazah palsu yang menawarkan ijazah sarjana dan doktor falsafah dengan mudah.

Malah, mereka juga tidak perlu menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan dan menduduki peperiksaan. Itulah kemudahan yang ditawarkan oleh satu sindiket ijazah palsu sejak 2003 dan sudah mengaut keuntungan RM5 juta.


Sindiket itu bagaimanapun tumpas apabila polis menahan dua individu iaitu pengarah dan ejen syarikat berkenaan petang kelmarin. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, tangkapan dibuat di dua tempat berasingan di Cheras dan Subang USJ selepas pihaknya menerima laporan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenai kegiatan berkenaan.

Katanya, dua suspek yang juga lelaki berusia 37 tahun dan wanita berusia 36 tahun itu adalah pengarah dan ejen yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan ijazah palsu kepada orang ramai.


“Modus operandi sindiket itu adalah mengedarkan risalah dan menggunakan laman web mempromosikan perkhidmatannya selain menggunakan khidmat ejen bagi mencari pelanggan yang berminat untuk mendapatkan ijazah.


“Pelanggan tidak perlu menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan dan menduduki peperiksaan di universiti yang ditawarkan menyebabkan orang ramai berminat mendapatkan ijazah, sarjana dan doktor falsafah dari sindiket berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.


Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai dokumen permohonan ‘graduan’ tempatan dan luar negara selain pelbagai risalah universiti antarabangsa untuk mengaburi mata orang ramai. Tun Hisan berkata, pelanggan hanya perlu membayar RM6,500 (ijazah), RM8,500 (sarjana) dan RM10,500 (doktor falsafah) dan hanya perlu menghadiri majlis konvokesyen yang diadakan di hotel terkemuka di negeri ini dan Kuala Lumpur. Menurutnya, ‘graduan’ akan dianugerahkan ijazah masing-masing yang mempunyai cop universiti terkemuka luar negara yang boleh mengaburi mata mana-mana pihak mengenai keaslian ijazah berkenaan.


Katanya, siasatan awal polis mendapati tawaran sindiket terbabit bukan saja mendapat permintaan yang menggalakkan dari warga tempatan, malah ia turut mendapat sambutan dari warga Eropah dan Afrika.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman hingga esok untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu.

Dua kampung bergegar




       
LABUAN: “Saya terjaga daripada tidur sebaik terdengar dentuman kuat dan gegaran sehingga buku atas rak terjatuh,” kata penduduk Kampung Rancha-Rancha, Halimah Idris, 40, yang mengejutkan ahli keluarganya lain sebelum lari menyelamatkan diri.

Letupan kapal Bunga Alpinia itu menyebabkan dua kampung berhampiran termasuk Kampung Patau seolah dilanda gempa bumi kuat sebaik letupan di jeti Petronas Mega Methanol, berhampiran Pusat Perindustrian Rancha-Rancha, di sini, awal pagi semalam.


“Gegaran disusuli letupan terlalu kuat sehingga menyebabkan kami sekeluarga keluar dari rumah dan melihat cahaya terang di tengah laut.

“Kami tidak tahu apa berlaku, tetapi yakin berlaku letupan di kawasan jeti berkenaan,” katanya.


Menurut Halimah, keadaan di kampung itu menjadi kelam kabut berikutan penduduk mula menjauhkan diri dari rumah masing-masing kerana bimbang berlaku letupan lebih besar.


“Kami melihat api menjulang tinggi ke udara satu kilometer dari tempat kapal berkenaan meletup,” katanya.


Seorang lagi penduduk, Osman Daud, 60, berkata, dia turut merasai gegaran dan hampir diserang sakit jantung kerana terkejut dengan bunyi letupan itu.

Polis siasat punca kejadian





         
KOTA KINABALU: Polis akan melakukan siasatan terperinci berhubung kebakaran kapal Bunga Alpinia milik MISC Berhad ketika sedang mengisi minyak di jeti Petronas Mega Methanol Labuan berdekatan kawasan Pulau Eno, dekat sini, sehingga mengorbankan seorang kru kapal manakala empat lain masih hilang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, punca sebenar kejadian belum dipastikan dan akan menyiasat dakwaan saksi kejadian yang mengatakan kebakaran berlaku sejurus selepas mendengar dentuman guruh.


“Difahamkan dentuman guruh disertai hujan dan pada masa sama berlaku letupan di atas kapal berkenaan, namun ia belum disahkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kapal itu mempunyai 29 anak kapal, tetapi lima daripada mereka sedang bercuti dan disahkan selamat.


“Setakat ini, hanya satu mayat ditemui dan operasi mencari serta menyelamat mangsa lain masih diteruskan.


“Polis difahamkan pihak berkuasa sedang berusaha mengalihkan kapal yang sedang terbakar itu ke lokasi lebih jauh bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.


Katanya, kerja menunda kapal dilakukan beberapa bot tunda manakala semua operasi berhampiran jeti dihentikan bagi tujuan keselamatan.


Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), antara agensi yang terbabit dalam usaha mencari dan menyelamat termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Marin, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Kapal milik Malaysia International Shipping Corporation (MISC) yang berpangkalan di Pelabuhan Klang itu dilaporkan singgah di jeti berkenaan sejak Selasa lalu bagi mengisi 21,000 tan metrik minyak.


Bekalan itu dijadual dibawa ke Kobe dan Kawasaki, Jepun, Sabtu ini.


Sementara itu, Ketua Polis Labuan, Superintendan Saiman Kasran berkata, keadaan kini terkawal dan disahkan selamat.

Bekas pelajar IKBN dikhuatiri lemas elak polis




         
KANGAR: Seorang bekas pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis yang cuba melarikan diri ketika terserempak polis, dikhuatiri lemas apabila terjatuh ke dalam Sungai Perlis berhampiran Taman Pelangi, Kuala Perlis, dekat sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 2 pagi apabila Norazhar Osman, 23, dikatakan baru pulang dengan tiga rakannya yang menaiki kereta Proton Saga terserempak dengan anggota polis melakukan rondaan.


Ketiga-tiga mereka dikatakan berlari keluar dari kereta dan Norazhar dipercayai terjatuh ke dalam sungai itu.

Ibunya, Doyah Bahari, 60, berkata dia bertemu dengan anaknya jam 8.30 pagi kelmarin, ketika Norazhar keluar tergesa-gesa kononnya ada urusan.


Menurutnya, pada sebelah petang, Norazhar menghubungi suami, Osman Yatim, 58, memaklumkan dia berada di Pulau Pinang bersiar-siar dengan rakannya.


“Ayahnya terkejut apabila dia memberitahu berada di Pulau Pinang sedangkan Norazhar tidak membawa dompet atau kad pengenalan. Suami berpesan supaya dia pulang cepat,” katanya.


“Norazhar memberitahu akan pulang cepat kerana keesokan hari (semalam), dia mahu ke Pahang untuk tinggal bersama kakak sulungnya dan bekerja di sana bagi mencari wang saku,” katanya ketika ditemui di sini.


Menurutnya, dia juga tidak dapat melelapkan mata kerana menunggu kepulangan anak bongsunya itu sebelum seorang rakan Norazhar datang memberitahu anaknya dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika dia hendak bersahur pagi semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Khairul Ariffin Che Ramli berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 7.17 pagi sebelum berkejar ke tempat kejadian dengan 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar serta Kuala Perlis.

45 butir peluru dalam tubuh



Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
         
LUNDU: Aktiviti berburu tiga lelaki termasuk dua beradik berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka kini bertarung nyawa selepas tubuhnya tertanam 45 butir peluru penabur akibat terkena tembakan adik sendiri yang menyangka mangsa babi hutan.

Dalam kejadian di hutan, kira-kira sejam perjalanan dari Kampung Selampit, dekat sini, malam kelmarin, mangsa, Kederin Jikem, 44, parah di perut dan paha.
Kederin kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Umum Sarawak (HUS), akibat terkena peluru penabur yang dilepaskan adiknya berusia 38 tahun.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama adiknya serta ditemani seorang rakan keluar memburu di hutan sekitar jam 10 malam.


Menurut adik mangsa yang enggan dikenali, sebaik tiba di lokasi pemburuan kira-kira sejam kemudian, mereka berjalan memasuki hutan manakala rakannya menunggu di tempat letak motosikal.

‘Mimpi pungut syiling’




         
SUNGAI MANIK: “Mengikut pendapat orang tua-tua, jika bermimpi memungut duit syiling lama ia mungkin bawa petanda buruk sama ada rumah terbakar atau ahli keluarga terdekat meninggal dunia.

“Saya tidak sangka mimpi pelik itu ada benarnya apabila rumah kami sekeluarga musnah dijilat api pagi tadi (semalam),” kata wanita warga emas, Manis Man, 72.


Dalam kejadian jam 8 pagi di Parit 10/6 Labu Kubong itu, rumah didiami Manis bersama seorang cucu lelakinya itu musnah dijilat api menyebabkan dia kerugian lebih RM90,000.

Bagaimanapun, Manis bernasib baik kerana ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana berkunjung ke rumah anak saudara di Felcra Seberang Perak manakala, cucunya, Mohd Firdaus Mansor, 17, pula ke sekolah.


Manis ketika ditemui semalam berkata, dia tidak menyangka pengalaman diganggu mimpi sama beberapa hari lalu bakal membawa khabar duka apabila rumahnya musnah dijilat api.


Dia mendapat tahu mengenai kebakaran itu selepas dimaklumkan anak perempuan, Maisarah Mahmud, 48, yang nampak kebakaran itu ketika berada di halaman rumah.


Sejurus tiba, rumah dua tingkat tinggalan arwah suaminya Mahmud Chin itu sudah musnah dijilat api bersama wang tunai RM2,500 serta barangan kemas.

Rompak RM3.8j


SERI ALAM: Dua lelaki yang menyamar kakitangan syarikat keselamatan mengugut untuk mencucuh pemandu van syarikat keselamatan dengan cota elektrik sebelum melarikan wang tunai RM3.8 juta di depan sebuah pusat beli-belah di bandar Seri Alam, di sini, kelmarin.
Sebelum kejadian, lima kakitangan syarikat keselamatan berkenaan dikatakan ke pusat beli-belah bagi memasukkan wang ke mesin juruwang automatik (ATM), jam 9.30 pagi.

Sumber polis berkata, empat daripada lima kakitangan syarikat keselamatan yang bersenjata api kemudian masuk ke pusat beli-belah berkenaan untuk memasukkan wang ke mesin ATM.
“Pemandu van tidak mengikuti rakan mereka dan hanya menunggu di dalam kenderaan berkenaan. Bagaimanapun, kurang 10 minit kemudian, pemandu van terbabit mendakwa dia dihampiri dua lelaki lingkungan 30-an yang memakai pakaian keselamatan sama.

“Dua lelaki itu menariknya keluar dan mengugut akan mengenakan renjatan elektrik terhadapnya jika dia melawan. Suspek kemudian melarikan van keselamatan itu yang dipercayai membawa 14 karung berisi wang tunai,” katanya.

Menurutnya, pemandu van berkenaan dibiarkan di luar van tanpa dicederakan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Amer Awal berkata, setakat ini 12 individu berusia antara 20-an hingga 30-an ditahan di beberapa lokasi berasingan bagi membantu siasatan.

“Sejurus kejadian, kami melancarkan operasi khas termasuk sekatan jalan raya dan semua 12 suspek ditahan dalam tempoh 24 jam selepas laporan diterima,” katanya.
Menurutnya, semua 12 suspek itu dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan.

‘Arwah pesan buat air sedap’


ARAU: “Datuk berpesan kepada saya supaya menyediakan minuman dan kuih yang sedap kerana mahu berbuka puasa di rumah kami ketika bertemu di pekan Mata Ayer, beberapa minit sebelum kejadian,” kata Nor Amizah Jasmi, 20, cucu Yahaya Kassim, 74, yang maut apabila kereta Proton Wira dipandunya dirempuh kereta api barang di sini, kelmarin.
Nor Amizah berkata, dia berniaga air buah-buahan di bazar Ramadan Balai Baru, Beseri, di sini, apabila datuknya itu datang dan berpesan supaya membuat air yang sedap kerana dia mahu merasainya ketika berbuka puasa kelak.

“Saya hairan juga kerana sebelum ini datuk tidak pernah meninggalkan pesanan sedemikian, namun tidak mengesyaki apa-apa sebelum menerima berita mengejutkan dia terbabit dalam kemalangan beberapa jam kemudian,” katanya.
Katanya, datuknya seorang yang aktif dan tegas, malah sering memandu kereta sendiri jika mahu ke mana-mana selain suka berkebun apabila mempunyai masa lapang.

“Datuk serius dan jarang tersenyum kepada anak-anak serta cucu-cucunya, tetapi semalam (kelmarin) keadaan berbeza, apabila dia menjadi murah dengan senyuman membuatkan saya rasa sedikit kehairanan.

“Saya rasa terkilan kerana tidak dapat memenuhi hajatnya untuk meminum air buah-buahan yang sudah dibuat, tetapi menerima segala ketentuan Tuhan yang lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, bapa Amizah yang juga anak sulung Yahaya, Jasmi, 52, berkata, arwah pernah bercakap secara berseloroh bahawa dia mahu pergi dengan mudah dan tidak mahu menyusahkan anak-anak mahupun saudara-mara jika meninggal dunia.

“Pada mulanya, saya tidak berasa pelik dengan kata-katanya kerana kami sekadar berbual-bual kosong di rumah dan tidak menyangka kata-katanya menjadi kenyataan apabila arwah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya pada Ramadan ini.
“Saya menerima panggilan telefon daripada emak, Rosnah Abdullah, 72, pada petang semalam (kelmarin) lalu diminta melihat keadaan ayahnya yang terbabit kemalangan dan menyangka mungkin terbabit kemalangan biasa.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, baru saya menyedari kereta dipandu ayah sudah dirempuh kereta api dan saya sempat memanggil namanya lalu dia memberi reaksi menggenggam erat tangan saya sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan,” katanya.

Peniaga dikejar enam lelaki cuba samun


SERDANG: Seorang peniaga berdepan detik cemas apabila dikejar dua kereta dinaiki enam lelaki yang cuba menyamunnya dalam kejadian di Pinggiran Putra, dekat sini, kelmarin.
Mangsa berusia 32 tahun memandu seorang diri dikejar enam lelaki warga asing itu yang turut merosakkan keretanya dengan menggunakan sebatang besi.

Difahamkan, mangsa terpaksa menggunakan laluan bertentangan bagi menyelamatkan diri walaupun tahu ia membahayakan nyawa sebelum menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan.
Mangsa, Siti Nor Mohd Yusof, 32, berkata sebaik menghantar rakannya di sebuah apartmen berdekatan, dia berhenti di tepi pondok pengawal sebelum enam lelaki yang menaiki dua kereta berhenti dan keluar memukul belakang keretanya dengan menggunakan besi.

Katanya, terkejut dengan keadaan itu, dia terus memecut keretanya untuk pulang ke rumah tetapi dikejar enam lelaki itu sejauh kira-kira lima kilometer.

“Ketika berhenti di lampu isyarat, empat daripada mereka keluar mengejar saya kerana mahu menyamun tetapi saya sempat memecut.

“Bagi menyelamatkan diri, saya masuk ke jalan bertentangan sebelum menghubungi polis,” katanya di sini, semalam.

Siti berkata, pihak polis datang membantu dan membawanya ke Balai Polis Serdang bagi membuat laporan.

12 ditahan main judi online


GOMBAK: Bagaikan tidak menghormati Ramadan, apabila 12 kaki judi sanggup melepaskan gian bermain judi online di sebuah kafe di Taman Jati Rawang, dekat sini malam kelmarin.
Semua mereka ditahan dalam satu serbuan dijalankan Bahagian Urus setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor diketuai Asisten Superintendan Emmi Shah Fadhil.

Emmi Shah berkata, serbuan kira-kira jam 11 malam itu menahan 12 lelaki dan lima daripadanya beragama Islam berusia 15 hingga 52 tahun yang sedang leka bermain judi selain turut merampas 25 komputer.
Menurutnya, remaja lelaki berusia 15 tahun yang ditahan pada mulanya tidak mengaku terbabit dalam permainan judi itu sebaliknya memberi alasan singgah sebentar untuk membuang air kecil.

“Kami turut menahan seorang wanita warga Myanmar dipercayai penjaga premis itu. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dia pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan sama.

“Premis berkenaan turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan dipercayai sudah beroperasi sejak dua tahun lalu. Pemilik premis juga membenarkan sesiapa saja masuk untuk bermain judi,” katanya kepada media selepas tamat operasi berkenaan, malam kelmarin.

Beliau berkata, tingkat atas premis itu yang sedang dibaiki juga dipercayai turut akan digunakan untuk menambah komputer bagi tujuan perjudian. Hasil siasatan mendapati nilai taruhan mencecah RM200,000 manakala koleksi pertaruhan sebanyak RM20,000 sehari.

Mohon maaf selepas lari


HILANG...Ong bersama Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menunjukkan gambar pembantu rumahnya yang hilang.
HILANG...Ong bersama Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menunjukkan gambar pembantu rumahnya yang hilang.
KUALA LUMPUR: “Saya mohon maaf dan berterima kasih kepada puan sekeluarga,” itu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) seorang pembantu rumah kepada majikannya sebaik menghilangkan diri di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Ahad lalu.
Pembantu rumah warga Filipina berkenaan dikatakan menghilangkan diri kira-kira jam 5 petang ketika majikannya sibuk mencari barangan di pusat beli-belah berkenaan.

Majikan mangsa, Ong Beng Tuck, 33, berkata, sebaik menerima kiriman SMS itu, dia mengesyaki pembantu rumahnya itu sengaja berbuat demikian dan berniat melarikan diri.
“Kami cuba mencari wanita itu di dalam pusat beli-belah berkenaan selain kawasan sekitar kerana menyangkakan dia mungkin sesat dan hilang arah kerana keadaan ketika itu sesak,” katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Biro Aduan MCA di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, selepas gagal menemui wanita itu, mereka membuat keputusan untuk pulang ke rumah sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Kajang.

Katanya, sebelum menghilangkan diri, wanita itu meminta kebenaran untuk pergi ke tandas dan tidak menunjukkan sebarang tanda mencurigakan.

Dia yang bertugas sebagai doktor gigi di Kajang berkata, mereka mengambil wanita berusia 33 tahun itu bekerja sejak April lalu dengan bayaran RM9,200.

“Wanita itu mula bekerja dengan kami mulai 14 April lalu dan jumlah bayaran itu termasuk yuran agensi pembantu rumah itu bersama enam bulan gaji,” katanya.
Katanya, selain terpaksa menanggung kerugian akibat kehilangan wanita itu, dia juga bimbang timbul pelbagai masalah ekoran pasport wanita itu masih berada dalam simpanannya.

“Saya bimbang jika berlaku apa-apa perkara terhadap wanita itu, kami sekeluarga akan dipertanggungjawabkan kerana masih memegang dokumen miliknya,” katanya.

Menurutnya, dia sendiri tidak tahu punca wanita berkenaan melarikan diri kerana sepanjang bekerja tiada sebarang masalah timbul.

Profesor tawar gred tinggi untuk seks tidak digantung kerja


SINGAPURA: Seorang profesor madya undang-undang, Tey Tsun Hang daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) tidak digantung kerja oleh institusi pengajian tinggi itu ekoran siasatan yang mendakwa dia memberikan markah tinggi sebagai pertukaran untuk seks.
Laporan berita tempatan menyatakan dia akan diberikan cuti sabatikal apabila tahun akademik bermula bulan depan. Ia sudah dirancang sejak tahun lalu dan tidak dibuat ekoran siasatan itu, kata anggota fakulti di NUS. Mereka berkata, tiada aduan dibuat terhadapnya sebelum ini. Tey, 41, dipanggil oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) April lalu dan kemudian ditahan. Dia kini bebas dengan ikat jamin.

Dia dituduh memberikan gred tinggi kepada seorang pelajar perempuan tahun empat sebagai pertukaran untuk seks. Menurut The New Paper, persetujuan mereka bukan untuk sekali saja tetapi pelajar itu dikatakan melakukan seks dengan Tey beberapa kali. - The New Paper

Penyerang panggung Batman hantar pakej amaran kepada pakar psikiatri


AURORA: Suspek penembak Colorado, James Holmes dilaporkan beberapa kali menghantar pakej mengandungi amaran dalam bentuk sebuah buku nota dan lukisan rancangannya untuk pembunuhan beramai-ramai, kepada pakar psikiatri di bekas universiti tempat dia belajar.
Holmes, 24. dituduh menembak mati 12 pengunjung dan mencederakan 58 yang lain di sebuah panggung wayang yang padat untuk pertunjukan tengah malam filem Batman terbaru “The Dark Knight Rises” Jumaat lalu di Aurora, Denver. 
Terdapat beberapa laporan yang bertentangan sekiranya pakej itu diterima tepat pada masanya ia mungkin dapat menyelamatkan ramai nyawa dalam pembunuhan itu tetapi pegawai tidak memberi jawapan mengenai laporan yang pakej itu dibiarkan tidak dibuka selama berhari-hari di bilik mel di universiti itu.

Fox News memetik kata-kata sumber pegawai keselamatan yang namanya tidak didedahkan, pakej itu mempunyai nama Holmes di alamat pengirim, tiba di Universiti Colorado pada 12 Julai lalu tetapi tidak dibuka sehingga selepas kejadian 20 Julai itu. - AFP

Wanita larikan barang kemas


BANDAR SERI BEGAWAN: Seorang wanita tempatan dilaporkan melarikan barang kemas bernilai lebih B$18,000 (RM45,582) terdiri daripada dua rantai tangan dan empat rantai leher semalam dalam satu insiden di kedai emas di bandar raya ini.
Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan, termasuk memaparkan wajah wanita terbabit.

Wanita yang berbaju kurung dan bertudung itu terburu-buru melarikan diri dengan barang berkenaan hingga dia dilaporkan tercicir dompetnya yang mengandungi kad pengenalan dan lesen memandunya. Jurucakap polis berkata, kes ragut itu masih disiasat dan mereka dalam usaha mengesan suspek. Menurutnya, wanita itu berpura-pura ingin membeli beberapa set barang kemas dari kedai terkenal itu sebelum dia bertindak nekad melarikan barang kemas berkenaan. Bagaimanapun, menurut jurujual di kedai itu, dompet dipercayai milik suspek ditemui oleh seorang pembantu di kedai yang terletak di sebuah pasar raya itu. -BT

Bayi kena sembelih


BAYI malang dirawat di hospital tempatan di Anshan, Liaoning.
BAYI malang dirawat di hospital tempatan di Anshan, Liaoning.
BEIJING: Seorang bayi baru lahir yang ditemui dalam plastik di tempat pembuangan sampah dengan kesan kelar di leher dilaporkan semakin pulih, semalam.
Bayi perempuan itu ditemui bersama urinya yang masih melekat diselamatkan selepas seorang lelaki yang mencari barang lusuh terserempak dengan beg plastik berkenaan di bandar Anshan, Liaoning.

Penduduk tempatan menghubungi polis sebelum bayi terbabit dikejarkan ke hospital dan keadaannya dilaporkan kritikal. Seorang saksi berkata, bayi itu masih bernafas dan denyutan jantungnya dapat dilihat.
“Seluruh tubuhnya berlumuran darah akibat kesan kelar di lehernya,” katanya. Polis berkata, doktor yang merawat bayi terbabit mendapati dia mengalami kecederaan parah akibat kelaran sepanjang lima sentimeter itu.

“Luka itu begitu dalam sehingga mencederakan saluran pernafasan bayi terbabit,” katanya. Doktor pula berkata, bayi malang itu mungkin mati serta-merta jika luka berkenaan terkena lebih dalam.

Sumber berkata, bayi terbabit mungkin mangsa dasar mengehadkan setiap keluarga memiliki seorang anak yang diamalkan di China.
Ia juga mungkin didorong kecenderungan pasangan suami isteri China yang gemar memiliki anak lelaki berbanding perempuan. Dipercayai bayi berkenaan lahir pramatang dan mungkin berusia antara 32 dan 24 minggi. - DM

Remaja maut rempuh sama sendiri

Sungai Petani: Dua remaja maut, seorang lagi parah apabila motosikal ditunggang mereka bertembung sesama sendiri dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di sini, kelmarin. 

Kejadian berlaku di kawasan Padang Lembu dekat Gurun, ketika ketiga-tiga motosikal itu dalam perjalanan menghala Kampung Paya Mengkuang dekat Pendang, jam 11.50 malam.

Dua yang terbunuh dikenal pasti sebagai Mohd Azim Azmi Ismail, 17 dan Mohd Hafiz Baharom, 18, manakala seorang lagi remaja berusia 17 tahun, Mohd Khairolnizam Ayob, parah. Semua mangsa dikatakan berasal dari Kampung Paya Mengkuang, dekat sini. 
Jalan siasatan 

Ketua Trafik Kuala Muda, Deputi Superintendan Mohd Kamil Ahmad, berkata siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada ketiga-tiga motosikal dari arah sama atau bertentangan. Kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian. 

Dalam kemalangan berasingan, seorang remaja maut apabila motosikal dinaikinya terbabas dan melanggar papan tanda di tepi jalan selekoh berhampiran Kampung Tempayan Pecah dekat Ayer Hitam di sini, petang kelmarin. 

Mohamad Azizi Ishak, 16, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian jam 7.30 petang.