Search This Blog

Thursday, July 26, 2012

Lelaki menyamar ejen PPR



WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Julai 2012
Lelaki menyamar ejen PPR
Moorthy menunjukkan antara laporan polis dibuat mangsa.
KUALA LUMPUR - Mengaku sebagai ejen perumahan dan menawarkan unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada golongan terdesak, tetapi dengan syarat perlu membayar sejumlah wang terlebih dahulu sebelum surat tawaran dikeluarkan.

Itu taktik penipuan dilakukan seorang lelaki yang mengakui mengenali ‘orang dalam’ bagi memudahkan tawaran PPR diberikan, namun dia akan menghilangkan diri selepas menerima bayaran.

Lebih berani, lelaki tersebut tanpa berasa bersalah mengeluarkan surat tawaran palsu dengan menggunakan kepala surat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun tidak menyatakan perincian unit diterima.

Ketua PPP Lembah Pantai, M Moorthy berkata, beliau menerima tiga aduan berhubung penipuan sama dilakukan oleh lelaki tersebut.

Menurutnya, lelaki terbabit akan menyasarkan kawasan penempatan berhampiran PPR dan membuat tawaran tersebut sehingga membuatkan sasarannya terpedaya dengan helahnya.

“Dia akan meminta sejumlah wang dan akan menghilangkan diri selepas menerima wang itu. Satu kes yang saya terima, mangsa sudah membayar RM4,500 kepada lelaki itu dan mangsa memperoleh surat tawaran palsu,” katanya.

Justeru katanya, laporan polis dibuat dan pihaknya berharap supaya tindakan dapat diambil dengan kadar segera mengelakkan lebih ramai tertipu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Komuniti Sosial DBKL, Sukiman Surahman berkata, pihaknya tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau orang perseorangan sebagai ejennya.

“Surat tawaran dikeluarkan juga jelas palsu kerana menggunakan kepala surat DBKL salah dan tiada butiran lengkap tawaran," katanya.

120 pekerja binaan tinggal sehelai sepinggang



WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Julai 2012
120 pekerja binaan tinggal sehelai sepinggang
Keadaan api yang marak memusnahkan deretan rumah kongsi yang didiami 120 pekerja asing di Bagan Jermal.
BAGAN JERMAL - “Tidak sempat selamat apa pun,” itulah luahan mangsa, Farid Mohamad, 50, dalam kebakaran membabitkan rumah kongsi yang dihuninya.

Menurutnya, dia bersama rakan-rakannya tidak sempat menyelamatkan semua barangan di dalam rumah berkenaan kerana sedang bekerja ketika insiden itu berlaku.

“Satu apa pun tidak sempat diselamatkan dan kebanyakan kawan lain pun sama kerana kami sedang bekerja semasa kejadian itu. Kami terperanjat apabila terdengar jeritan api dan melihat asap tebal dari kawasan rumah kami,” katanya kepada media semalam.

Dalam kejadian tengah hari semalam, seramai 120 pekerja binaan warga asing tinggal sehelai sepinggang apabila rumah kongsi yang didiami di Jalan Lembah Permai, Bagan Jermal di sini musnah terbakar.

Ketua Balai Bomba Bagan Jermal, A Ravi berkata, kebakaran yang berlaku pada jam 12.15 tengah hari itu memusnahkan 42 buah rumah kongsi yang dihuni pekerja asing yang terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.

“Struktur rumah kongsi yang diperbuat daripada papan dan jaraknya yang berdekatan antara satu sama lain menyebabkan api merebak begitu pantas.

“Tiga buah kontena tempat menyimpan pelbagai peralatan binaan seperti mesin pembancuh simen turut musnah. Faktor angin kuat juga menyukarkan bomba mengawal api dari merebak ke tempat lain dan hasil siasatan awal mendapati kebakaran itu berpunca dari api lilin,” katanya.

Menurutnya, kawasan itu terputus bekalan elektrik sejak petang semalam dan penghuni di sini menggunakan lilin dan pelita untuk menerangi rumah mereka yang gelap termasuk pada waktu siang.

“Enam jentera bomba bersama 41 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan api dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh setengah jam,” katanya.

Wanita hamil 8 bulan ditahan dalam Ops 6P



WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Julai 2012
Wanita hamil 8 bulan ditahan dalam Ops 6P
Pegawai Imigresen membuat pemeriksaan terhadap warga asing yang ditahan dalam Ops 6P.
SEREMBAN – Seorang wanita hamil lapan bulan antara 58 yang ditahan dalam Ops 6P oleh Jabatan Imigresen negeri di tapak pembinaan Bandar Enstek, di sini, semalam.

Difahamkan wanita berusia 30-an itu yang juga warganegara Indonesia masuk ke negara ini secara haram sejak setahun lalu, turut membawa anak lelakinya berusia 5 tahun.

Menurut sumber, wanita terbabit berhijrah ke negara ini kerana mengikut suaminya yang dipercayai bekerja buruh kasar di Bangi, Kajang.

“Dia beritahu keluarganya di Jawa Tengah susah. Justeru, dia mengambil keputusan mengikut suaminya mencari rezeki di Malaysia dan terpaksa meninggalkan dua anaknya berusia 12 dan 7 tahun.

“Tetapi setelah diperiksa, dia dan anaknya gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, operasi membabitkan 178 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen negeri itu diadakan hasil risikan pihaknya sebulan lalu.

Menurutnya, wanita terbabit antara 118 warga asing yang diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 45 lelaki termasuk 11 wanita dan dua kanak-kanak berusia setahun dan 5 tahun ditahan.

"Semuanya berumur antara 20 hingga 40-an itu kebanyakannya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa, dokumen palsu dan menyalahgunakan pas lawatan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 53 warga Indonesia, empat warga Vietnam dan seorang pelarian Myanmar,” katanya.

Faizal berkata, sembilan warga Indonesia turut dikesan cuba mengelirukan pihak berkuasa apabila menunjukkan slip pendaftaran MyPermit kononnya membenarkan mereka bekerja di negara ini tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Imigresen.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung pengeluaran dokumen berkenaan dan akan mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit.

Empat rumah terbakar, penghuni selamat



NUR FARHANA ABDUL MANAN
26 Julai 2012
Sebuah daripada empat rumah yang terbakar di Kampung Seri Puchong, pagi semalam.
Sebuah daripada empat rumah yang terbakar di Kampung Seri Puchong, pagi semalam.
PUCHONG - “Mulanya saya sangka bunyi letupan mercun tetapi apabila terhidu bau hangit, saya terus ke dapur dan mendapati api marak membakar rumah jiran yang terletak di bahagian belakang,” kata Tajuddin Rahli, 67,  seorang mangsa kebakaran membabitkan empat rumah di Kampung Seri Puchong, di sini, pagi semalam.

Tajudin berkata, ketika kejadian dia baru sahaja mahu membaca buku sementara isteri ke kelas mengaji manakala anaknya keluar ke tempat kerja.

Katanya, dalam keadaan kelam kabut itu dia yang berada di tingkat bawah naik ke tingkat dua rumahnya dan sempat mengambil beg duit, telefon bimbit serta sehelai seluar panjang.

Katanya, bimbang api merebak, dia segera mengalihkan dua kenderaan di garaj ke tempat selamat namun tidak sempat menyelamatkan perkakas di dalam rumah kerana api merebak pantas membakar tingkat atas rumah diperbuat daripada kayu yang didiaminya.

“Saya tidak tahu dari mana api bermula tetapi dimaklumkan ia datang dari rumah di bahagian belakang milik saya yang disewakan kepada sebuah keluarga.

“Kerugian dianggarkan hampir RM300,000 kerana saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang ketika kejadian,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Norila Seman, 24, berkata, dia menyedari api mula membakar bahagian dapur rumahnya setelah dikejutkan anaknya ketika sedang tidur.

Katanya, sebaik terjaga dia terkejut melihat asap hitam memenuhi ruang biliknya dan segera membawa anak berusia lima dan empat tahun keluar dari rumah.

“Ketika itu saya tidak sempat berfikir panjang untuk membawa  barang-barang berharga keluar dari rumah  kerana mahu menyelamatkan nyawa sendiri dan anak-anak terlebih dahulu.

“Setelah itu barulah hubungi suami untuk memberitahu apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jafri Amat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 10.31 pagi dan maklumat awal diterima adalah berhubung kebakaran sampah.

Menurutnya, 16 minit kemudian pihaknya sekali lagi menerima panggilan memaklumkan kebakaran membabitkan empat rumah dan sebaik sampai kesemua  mangsa sudah keluar menyelamatkan diri.

“Tiada kecederaan dan kemalangan berlaku, api berjaya dikawal sepenuhnya dari merebak. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Isteri turut jejak suami meninggal akibat kebakaran




26 Julai 2012
Anak nekad selamatkan ibu bapa terbakar
Ilustrasi kejadian oleh AIMA HASHIM
KUANTAN - Saidah Talib, 35, yang melecur teruk akibat kebakaran di rumahnya di Kampung Cenderawasih, Pekan minggu lepas meninggal dunia awal pagi tadi.

Dia yang kritikal meninggal di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada pukul 4 pagi.

Saidah meninggal selepas sembilan hari kematian suaminya, Abdul Karim Mohamad, 39, yang turut melecur dalam kebakaran kira-kira 2.30 pagi pada 16 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, bilik tidur mereka terbakar ketika mereka sedang nyenyak tidur.

Kejadian disedari salah seorang anak lelaki mereka yang terdengar jeritan ibu bapanya sebelum dia bertindak menendang pintu bilik berkenaan dan menyimbah air kepada ibu bapanya.

Mohd Amri Abu Bakar, 16, anak tiri kepada Abdul Karim berkata jenazah ibunya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Serun, Merchong dekat Pekan, selepas solat zohor tadi. - Bernama

Rampas 11 komputer guna cip judi


Rampas komputer cip judi
Azham (kanan) memeriksa komputer yang dirampas dalam serbuan terbabit.
KOTA BHARU - Sebanyak 11 komputer yang menggunakan cip perjudian berjaya dirampas dalam serbuan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sebuah premis di Jalan Tok Kenali, Kubang Kerian, di sini, petang kelmarin.

Operasi yang dilakukan pada jam 3.30 petang itu, diketuai oleh Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman.

Beliau berkata, serbuan terbabit dilakukan hasil risikan anggota di kawasan itu dan dipercayai perniagaan berkenaan beroperasi sejak tiga bulan lalu.

“Dianggarkan keseluruhan jumlah komputer yang dirampas bernilai RM 20,000 dan pihak polis akan menjalankan siasatan terhadap premis terbabit di bawah seksyen 4 B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1952.

"Kita turut mengenal pasti modus operandi pemilik premis ini yang menggunakan teknik yang sama seperti dua premis yang kita serbu sebelum ini, iaitu di Jalan Kebun Sultan dan di Wakaf Che Yeh,” katanya kepada pemberita.

Azham berkata, dalam serbuan berkenaan, tiada sebarang tangkapan dilalukan namun mereka sudah mempunyai maklumat lengkap dan pasti sedikit masa lagi dapat menyelesaikan kes ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Azham berkata, setakat ini sebanyak 33 komputer yang menggunakan cip perjudian berjaya dirampas dalam serbuan yang dilakukan pihaknya bulan lalu.

Kesemua komputer yang dirampas termasuk di dua premis sebelum ini selain di Kubang Kerian kelmarin, berjumlah hampir RM100,000.

Subahat jual daging lembu curi

KAMPUNG RAJA – Dua lelaki termasuk seorang warga emas berusia 60 tahun antara yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket mencuri lembu di kawasan Kuala Besut sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah dan Balai Polis Daerah telah menyerbu sebuah rumah di Kuala Besut pada jam 1.30 petang kelmarin dekat Kampung Alor Teratai, Kuala Besut.

Menurutnya, hasil serbuan polis memberkas seorang suspek berusia 27 tahun dan rakannya, warga emas berusia 60 tahun dan menemui seekor lembu yang diikat pada sebatang pokok dalam semak berhampiran.

“Siasatan mendapati suspek pertama disyaki terbabit mencuri lembu sekitar kampungnya dekat Alor Teratai, kemudian menjual kepada warga emas itu yang bertindak sebagai orang tengah.

“Warga emas terbabit kemudiannya dikatakan menjual daging lembu curi itu kepada orang ramai,” katanya.

Kamaruddin berkata, suspek pertama dikatakan menjual lembu kepada warga emas itu dengan harga antara RM200 hingga RM500 seekor berbanding harga sebenar melebihi RM1,000 seekor.

Siasatan awal mendapati, suspek pertama melakukan kegiatan mencuri lembu dan menjualnya kepada suspek kedua sejak dua bulan lalu, membabitkan lima ekor lembu dalam tempoh itu.

Menurutnya, kesemua lembu tersebut dicuri di sekitar kampung berkenaan sebelum disembelih untuk dijual.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu Kamaruddin turut memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak memiliki, menjual atau bermain mercun.

“Sepanjang Ramadan ini, pihak polis akan memantau dan mengambil tindakan tegas serta tidak bertolak ansur terhadap mereka yang terlibat.

“Perbuatan bermain mercun amat berbahaya selain mengganggu anak-anak kecil serta warga tua,” katanya.

Mereka yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 157 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kata beliau, pada tahun lalu, sebanyak lima tangkapan dibuat dan telah dituduh di bawah seksyen tersebut.

Ops jual makanan awal kecoh

Ops jual makanan awal kecoh
Sebahagian penguat kuasa yang menyertai operasi terbabit di sekitar premis yang dikenal pasti menjalankan perniagaan awal di Kedai Lalat, semalam.
KOTA BHARU - Keadaan menjadi kecoh, apabila seorang peniaga wanita menempelak, sekumpulan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) yang melakukan pemeriksaan di sebuah premis mempamerkan makanan lebih awal di Kedai Lalat kira-kira jam 12 tengah hari, di sini, semalam.

Walau bagaimanapun situasi itu dapat ditenangkan pihak berkenaan, selepas beberapa pegawai menyatakan mereka hanya menjalankan tanggungjawab dalam operasi terbabit bagi mencegah penjualan makanan awal sepanjang bulan Ramadan.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan MPKB-BRI, Ramli Che Hassan berkata, ‘Ops Jaring’ diadakan, bagi mencegah penjualan makanan awal sepanjang Ramadan di sekitar jajahan ini, selepas pihaknya dapat mengumpul maklumat dan membuat pemantauan di beberapa lokasi yang dikenal pasti.

“Pihak kami membuat intipan dan mengumpul maklumat terlebih dahulu sebelum membuat pemeriksaan. Ini merupakan operasi permulaan yang dijalankan oleh pihak kami dan ia akan diteruskan dari masa ke masa,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata, operasi terbabit turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik).

Dalam pada itu, beliau menasihatkan supaya peniaga di negeri ini, menghormati peraturan yang telah ditetapkan oleh MPKB iaitu menjual makanan pada jam 3 petang.

“Pihak kami tidak akan berkompromi dengan peniaga yang melakukan kesalahan ini dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Ramli memberitahu dalam operasi seumpama itu, pihaknya sudah mengadakan pemeriksaan di lapan kawasan sekitar Kota Bharu yang sudah dikenal pasti.

“Dari lapan kawasan tersebut satu telah dikenakan saman di bawah Undang-Undang Pengawalan dan Penyeliaan Establisment Makanan MPKB 1987 (Pindaan 2003) yang boleh dikenakan dengan berjumlah RM500,” jelasnya.

Ditangkap asyik makan kuih di bawah pokok

GUA MUSANG - Seorang lelaki yang sedang kemaruk makan kuih kerana terlalu lapar, merupakan orang pertama dicekup tidak berpuasa pada bulan Ramadan di bawah pohon kayu di tepi padang bola Pusat Sivik, di sini petang kelmarin.

Serbuan dibuat ketika sepasukan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa Agama Jajahan, Husnie Adabi Abdul Kadir dalam perjalanan ke bandar ini.

Pegawai Agama Jajahan, Naim Md Ghazali berkata, ketika pasukan melalui kawasan terbabit, mereka melihat lelaki berusia 48 tahun sedang makan bawah pohon kayu.

Beliau berkata, lelaki itu dipercayai membeli kuih daripada peniaga yang menjual awal pada bulan Ramadan.

“Tanpa menghormati orang ramai melalui kawasan berkenaan, dia terus makan kuih sebelum pegawai kita menyerbu ke arahnya.

“Dia ketika itu belum sempat membuang kuih yang masih dikunyahnya dengan sebahagian lagi masih dipegang di tangan hingga terpaksa pegawai kita menegurnya supaya berhenti makan,” katanya.

Naim berkata, lelaki pertama ditahan kerana tidak berpuasa di daerah ini kemudiannya dikeluarkan surat saman untuk hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang pada 4 September depan.

Dia akan didakwa di bawah Sesyen 26 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan kerana makan pada bulan Ramadan di tempat awam yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500 atau tidak lebih tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Pokok 100 tahun hempap rumah

Pokok 100 tahun hempap rumah
Rumah Halimah dihempap pokok asam jawa.
PASIR MAS – Seorang lelaki berdepan detik cemas selama lima minit apabila terperangkap dalam runtuhan rumah neneknya, yang dihempap pokok asam jawa di Kampung Bayu Lalang, petang kelmarin.

Mangsa, Mohd Azmi Ariff, 28, bersyukur hanya mengalami kecederaan, walaupun kediaman neneknya rosak teruk dalam kejadian hujan lebat serta rebut kencang pada lewat petang itu.


Pokok berusia 100 tahun

Mohd Azmi berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan dia tidak menduga pokok asam jawa berusia lebih 100 tahun itu akan tumbang seterusnya menghempap rumah berkenaan. Menurutnya, sebelum kejadian, dia sedang menjual tembikai di atas pangkin tidak jauh dari rumah tersebut.

“Setelah hujan, saya ke rumah nenek untuk berteduh, hanya beberapa minit setelah saya masuk, kedengaran satu bunyi diikuti bahagian atas rumah itu ranap.

“Keadaan menjadi gelap seketika dan saya cuba mencari jalan untuk keluar dari runtuhan,” katanya kepada pemberita tengah hari semalam.

Mohd Azmi berkata, ketika kejadian, dia hanya memikirkan cara untuk keluar dari runtuhan tersebut di samping keselamatan neneknya, Halimah Daud, 70, serta bapa saudaranya, Johan Taib, 45, yang tinggal di rumah berkenaan.


14 jahitan di kepala

Menurutnya, selepas berjaya merangkak keluar dari runtuhan itu, dia mencari Halimah dan Johan dan bersyukur kedua-duanya selamat walaupun dia mengalami kecederaan serta terpaksa dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas.

“Luka di kepala terpaksa dijahit sebanyak 14 jahitan sementara tangan kiri turut cedera terkena kayu. Saya bersyukur, walaupun cedera, tetapi ahli keluarga terselamat,” katanya.

Mohd Azmi berkata, tiga daripada rakannya yang turut terperangkap pada bahagian hadapan rumah hanya mengalami sakit-sakit badan. Tiga motosikal dan sebuah basikal diletakkan di hadapan rumah itu turut rosak.


Terima bantuan

Sementara, Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasim yang melawat mangsa berkata, kediaman berkenaan tidak praktikal untuk dibaik pulih. Sehubungan itu beliau akan berusaha mendapatkan sebuah kediaman Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk mangsa.

Mengulas lanjut mengenai kejadian serupa yang berlaku di Kampung Tok Rusa dan Banggol Nangka petang kelmarin, Abdullah meminta mangsa membuat laporan polis.

Menurutnya, beliau meminta supaya Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) supaya mengambil gambar kediaman yang rosak.

“Selepas itu saya meminta kediaman ini dibaiki secepat mungkin. Saya tidak mahu karenah birokrasi akan menyebabkan mangsa terdedah kepada hujan kerana terpaksa menunggu dalam tempoh lama untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Abdullah berkata, maklumat diperoleh JKKKP perlulah dikemukakan ke pejabat beliau. Menurutnya, kesemua bantuan kepada mangsa disalurkan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

Keluarga ini turut menerima bantuan kewangan segera daripada Kemas Rantau Panjang setelah dimaklumkan tentang kejadian. Bantuan disampaikan  Ismaini Ismail daripada  Penyelia Pembangunan Desa Dewan Undangan Negeri (Dun) Meranti. Sinar Harian difahamkan, mangsa akan turut menerima bantuan segera daripada JPP berikutan kejadian itu.

Bumbung rumah bergegar dilanda ribut

Bumbung rumah bergegar dilanda ribut
Nik Aziz melihat bahagian dapur rumah yang kehilangan bumbung dalam kejadian ribut pada malam kelmarin.
KAMPUNG SURAU - Penduduk merayu bantuan daripada pihak berkenaan, selepas rumah mereka rosak teruk dilanda ribut malam kelmarin.

Nik Aziz Nik Mat, 56, berkata, ribut yang berlaku ketika dia dan keluarga menjamah juadah berbuka puasa itu agak menakutkan, kerana bahagian bumbung rumahnya bergegar.

Katanya, gegaran kuat itu menyebabkan zink rumahnya rosak, dan sebahagian besar bumbung rumah adiknya yang hanya bersebelahan diterbangkan angin kencang.

“Saya terkejut kerana ia berlaku sekelip mata, zink dan kayu daripada bahagian bumbung diterbangkan angin sejauh 50 meter ke atas jalan raya, sehingga hampir menimpa orang ramai.

“Saya risaukan keadaan rumah adik saya, bagaimanapun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat dalam kejadian itu,” katanya.

Nik Aziz tinggal di rumah tersebut bersama isteri dan anak manakala adiknya, Nik Fauzi, 32, tinggal bersama dua abang di rumah bersebelahan.

Nik Aziz berkata, dia yang hanya berpendapatan rendah, dan tidak tetap itu tidak mampu membaiki kerosakan rumahnya itu dalam tempoh segera.

Sementara itu, Nik Fauzi ketika ditemui berkata, dia berharap ada pihak yang sudi membantu meringankan bebannya dan keluarga, kerana dia bekerja sebagai buruh.

“Selepas memeriksa rumah, saya dapati kerosakannya  teruk kerana banyak zink diterbangkan ribut dan kayu bumbung banyak patah.

“Untuk jangka masa panjang, kami mungkin boleh mencari jalan membaikinya namun, untuk tempoh terdekat ini ia agak mustahil sedangkan masalah ketiadaan bumbung itu perlu diatasi segera,” katanya.

Beli nombor ekor tanpa malu di bulan Ramadan

Beli nombor ekor tanpa malu di bulan Ramadan
Pihak berkenaan diminta membuat pemantauan dan menangkap umat Islam yang membeli nombor ekor.
BANDAR TEMERLOH - Ketika umat Islam sibuk merebut pahala berganda ketika ini, masih ada segelintir umat Islam mencemar kesucian Ramadan tanpa rasa malu apabila membeli nombor ekor.

Aktivis masyarakat, Zainor Rashid Abdullah, 52, berkata, dia kesal dengan perbuatan segelintir umat Islam itu yang sengaja menunjukkan sikap kurang baik pada mereka yang bukan beragama Islam.

Menurutnya, apa yang lebih menyedihkan ada bapa yang membawa anak kecil membeli nombor ekor dan sudah pasti perbuatan buruknya itu akan menjadi contoh serta ikutan kepada anaknya.

“Kita sedih melihat umat akhir zaman ini yang sengaja melakukan perbuatan berdosa tanpa ada perasaan bersalah atau malu pada masyarakat umum.

“Perkara ini umpama menconteng arang di muka umat Islam dan seharusnya ia tidak berlaku. Kita dapat lihat ada segelintir umat Islam membeli nombor ekor di kedai-kedai sekitar Temerloh dan Mentakab,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainor Rashid berkata, selain itu daripada sumber yang diperoleh terdapat juga kakitangan kerajaan terlibat dalam aktiviti kurang sihat itu, termasuk warga emas yang sepatutnya menjadi contoh dan tauladan kepada generasi muda.

“Perkara ini perlu dibendung segera kerana kita tidak mahu lebih ramai umat Islam terjebak dalam perkara tidak bermoral ini yang mana akhirnya mendatangkan kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masa depan," katanya.

Dalam pada itu, dia juga meminta pihak berkuasa memantau perang mercun di taman perumahan kerana ia mengganggu ketenteraman orang ramai terutama kanak-kanak dan warga emas.

“Kita kecewa kerana bekalan mercun mudah didapati dan boleh dibeli oleh kanak-kanak bawah umur,” katanya.

MPPA bantah tindakan lelaki serang dua jurufoto media

KUALA LUMPUR - Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) membantah sekeras-kerasnya tindakan seorang lelaki berusia 40an yang menyerang dua jurufoto media semasa membuat liputan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.
   
Pemangku Presiden MPPA Norhaizat Abdul Samad dalam kenyataan hari ini berkata tindakan lelaki itu mengasari sambil mengugut serta mencekik jurufoto bertugas yang dilaporkan Bernama semalam seolah-olah tidak mempedulikan undang-undang hak dan kebebasan media dalam menjalankan liputan harian.
   
"Kami sekeras-kerasnya menentang kejadian seperti ini dan kejadian ini amat berat sebelah bagi pihak yang menjalankan tugas," katanya.
   
Beliau berkata MPPA melalui Jawatankuasa Exco negeri Pulau Pinang akan berhubung dengan jurufoto terbabit bagi mengambil tindakan sesuai untuk menyelesaikan kes itu.
   
"Jurufoto media hanya menjalankan sebahagian daripada tugas di tempat awam. Maka tidak seharusnya kami dijadikan mangsa," katanya.

Semalam, dua jurufoto dari akhbar Guan Ming Daily dan The New Straits Times (NSTP) diserang oleh lelaki tidak dikenali ketika membuat liputan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.
   
Pada kejadian 9.15 pagi, Lim Lean Hin dari Guan Ming Daily cedera di leher akibat dicekik lelaki terbabit manakala Mohamad Danial Saad dari NSTP pula bergelut setelah kameranya cuba dirampas.
   
Lim, 33, berkata lelaki itu dipercayai tidak berpuas hati kerana menyangka beliau dan Mohamad Danial mengambil gambarnya sedangkan mereka merakamkan foto orang lain yang terlibat dalam satu kes di mahkamah. - Bernama

Jurukimpal didakwa bunuh wanita mengandung 5 bulan

KUALA LUMPUR - Seorang jurukimpal didakwa di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita mengandung lima bulan, tiga minggu lalu.
R.Lingeswaran, 21, didakwa membunuh E.Valley, di sebuah kawasan di No.7 Lot 1251, Juara Engineering (M) Sdn Bhd, Batu 19, Jalan Rawang-Batu Arang Rawang, Gombak pada 10.40 malam, 4 Julai lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Lingeswaran mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil. Namun tiada pengakuan direkodkan.
Majistret Mohd Isa Md Nor menetapkan 4 Sept ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya S.Arunjothy manakala Lingeswaran tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan mayat seorang wanita ditemui berhampiran pagar sebuah stor menyimpan besi di Kawasan Perindustrian Sungai Dua, Rawang. - Bernama

Bekas kerani akaun dakwa guna 79 cek palsu bernilai setengah juta

SHAH ALAM - Seorang bekas kerani akaun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 79 pertuduhan menggunakan 79 keping cek palsu berjumlah RM538,994.10 milik tiga syarikat pembekal makanan.
Norfariza Abu Talib, 33, bekas kerani akaun Syarikat Dewina Holdings Sdn Bhd mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.
Wanita itu didakwa menggunakan 52 keping cek palsu milik Syarikat Northern Terrace (M) Sdn Bhd, 25 keping cek palsu milik Syarikat Desasiswa Catering Services Sdn Bhd dan dua keping cek palsu milik Syarikat Dewina Trading Sdn Bhd.
Ketiga-tiga syarikat berkenaan merupakan anak syarikat kepada Dewina Holdings.
Norfariza didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di dua buah bank di Kajang iaitu CIMB Bank dan RHB Bank di antara 25 Mei 2009 dan 16 Julai 2010.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 Kanun yang sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa raya Asma Nadiah Abd Rahman yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 serta seorang penjamin.
Norfariza yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan dia kini bekerja di kedai dobi dengan gaji RM500 sebulan serta perlu menanggung dua orang anak dan ibu bapa.
Aslam kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM45,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan melantik peguam. - Bernama

Rumah Exco Pelancongan Melaka dipecah masuk

MELAKA - Sekumpulan tiga lelaki memecah masuk kediaman Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Latiff Tamby Chik dan melarikan barangan bernilai lebih RM200,000 termasuk beberapa jam mewah.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Polis negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ketiga-tiga suspek menaiki sebuah kereta mewah memecahkan bahagian tingkap hadapan rumah banglo berkenaan serta pintu jeriji besi sebelum masuk dan menggeledah rumah wakil rakyat di Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru, antara jam 9 dan 11.30 malam Selasa lalu.
Latiff, 63, bagaimanapun tiada di rumah ketika itu kerana sedang mengerjakan solat terawih, manakala isterinya berusia 52 tahun juga tiada di rumah kerana berada di rumah berdepan rumah mereka.

Kekasih punca pembantu rumah warga asing lari

KUALA LUMPUR - Lari mengikut teman lelaki adalah antara punca pembantu rumah rakyat asing bertindak meninggalkan majikan masing-masing, demikian menurut Biro Pengaduan Pengaduan Awam MCA. 

Pengerusinya Datuk Michael Chong berkata daripada sembilan kes yang diterima setakat ini, rata-rata majikan menyatakan keyakinan tindakan pembantu rumah mereka berbuat demikian disebabkan faktor itu.

"Kemungkinan sebab utama pembantu rumah warga asing itu melarikan diri adalah kerana mengikut teman lelaki masing-masing dan mereka yang berbuat demikian kebanyakannya baru bekerja selama tiga bulan," katanya kepada  pemberita selepas menerima aduan berhubung perkara itu di sini, hari ini. 

Beliau berkata bagi mengelak kes seumpama itu berlaku, mereka yang ingin mendapatkan pembantu rumah dinasihat berurusan dengan ejen pembantu rumah berdaftar bagi memastikan pembantu rumah yang dihantar menepati syarat yang ditetapkan. 

Sementara itu, seorang doktor gigi Ong Beng Tuck, 34, yang hadir membuat aduan, berkata pembantu rumahnya Angelica C. Dominguez, 33, dari Filipina melarikan diri pada Ahad lepas ketika mereka sedang membeli-belah di sebuah pasar raya di sini.

Beliau yang berasal dari Bukit Sungai Long, Kajang Selangor berkata ketika itu Angelica yang baru tiga bulan bekerja meminta izin ke tandas dan selepas setengah jam dia menghantar SMS memohon maaf dan berterima kasih  kepada mereka sekeluarga. 

"Setelah puas mencari, saya syaki dia telah melarikan diri berikutan pasport miliknya telah hilang dipercayai dicurinya," katanya dan menambah kata satu laporan polis dibuat pada pukul 8 malam, hari yang sama.

Ong berkata atas nasihat biro itu, beliau akan menghubungi ejen yang menguruskan pengambilan Angelica bagi menuntut ganti rugi atas pembayaran RM9,200 wang perkhidmatan serta pendahuluan enam bulan gaji yang telah dibayar. - Bernama

Pemandu lori, remaja didakwa cuba bunuh dua anggota polis

PETALING JAYA - Seorang pemandu lori dan remaja berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan cubaan membunuh dua anggota polis dengan menggunakan sebuah kereta pada 19 Julai lalu.
   
P.Muthukumaran, 19, dari Kampung Lembah Subang, dan remaja berkenaan dari Damansara didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Konstabel Mohd Faidil Hasymi Heesham dan Lans/Kpl Faizal Hazme dan menyebabkan kecederaan kepada kedua-dua anggota polis dari Balai Polis Daerah Serdang itu.
   
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Plaza Tol Sunway dari arah Puchong menghala ke Bandar Sunway pada 9.30 malam hari berkenaan.
   
Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika disabitkan kesalahan.
   
Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Ab Rashid memohon kepada mahkamah agar jaminan untuk Muthukumaran ditetapkan sebanyak RM15,000.

Bagi remaja bawah umur itu pula, Siti Aishah mencadangkan jaminan RM8,000 dengan ibu atau bapanya sebagai penjamin.
   
Terdahulu, peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan Muthukumaran dan remaja itu hanyalah penumpang dalam kenderaan berkenaan.
   
Hakim Rozina Ayob membenarkan Muthukumaran diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan remaja itu diikat jamin RM3,000 dengan bapanya sebagai penjamin.
   
Sebagai syarat tambahan, mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh untuk melaporkan diri di balai polis berdekatan kediaman mereka sebulan sekali hingga selesai perbicaraan.
   
Rozina menetapkan 27 Ogos untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret berlainan, Muthukumaran dan remaja itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menghalang dua penjawat awam sama (anggota polis) daripada menjalankan tugasan mereka di tempat dan waktu sama.
   
Majistret Nor Afidah Idris menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 untuk Muthukumaran dan RM1,000 bagi remaja berkenaan, sebelum menetapkan tarikh sama (27 Ogos) untuk sebutan kes.
   
Dalam pada itu, seorang lagi tertuduh, K.Prabu, 24, mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan serupa ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di Hospital Serdang.
   
Prabu turut mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan tidak memiliki kad pengenalan dan memiliki kenderaan curi.
   
Prabu kini mendapatkan rawatan di lengan kiri akibat ditembak oleh anggota polis pada hari kejadian. - Bernama

Seminggu selepas kematian suami, rumah pula terbakar

 Seminggu selepas kematian suami, rumah pula terbakar
Anggota Bomba dan Penyelamat cuba mengawal kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di Jalan Gajah Mati. - fotoBERNAMA
KOTA BHARU - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, seorang suri rumah yang baru kematian suaminya bernasib malang apabila rumahnya di Jalan Gajah Mati, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kebakaran pada pukul 12 tengah hari itu mengakibatkan Rohani Che Ka, 43, bersama tiga anaknya masing-masing berusia 7 bulan dan 4 serta 6 tahun tinggal sehelai sepinggang.

Sebuah rumah milik jirannya, Hoi Toi Loo, 56, turut musnah.   

Rohani berkata ketika kejadian, dia sedang berehat di ruang tamu selepas menjemput anaknya dari tadika berhampiran dan menyedari kebakaran setelah mendengar jeritan jiran bahawa bahagian atas rumah separuh papan yang disewanya itu terbakar.

"Walaupun semua barang keperluan tidak dapat diselamatkan, saya bersyukur kerana dapat menyelamatkan nyawa kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.

Antara barangan yang musnah ialah pakaian raya ketiga-tiga anaknya serta pelbagai kelengkapan rumah dan perabot.
  
Menurut Rohani, arwah suaminya Ramli Musa, 44, seorang pemandu teksi meninggal dunia secara mengejut selepas terjatuh di dalam bilik air di rumahnya seminggu lalu.

"Saya reda dengan apa yang berlaku ini, cuma apa yang menyedihkan saya ialah kerana baru saja kematian suami dan terpaksa menanggung tiga anak," katanya.

Empat jentera Bomba dan Penyelamat dengan 15 anggota, iaitu tiga dari Kota Bharu dan sebuah dari Kota Darulnaim berjaya mengawal api daripada merebak dalam tempoh setengah jam.

Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Kota Baharu Azman Yasok berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.  - Bernama

1 maut kapal tangki MISC terbakar

1 maut kapal tangki MISC terbakar
Kapal tangki minyak Bunga Alpinia terbakar dan meletup di jeti terminal Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd berdekatan dengan Pulau Enoe, Labuan. - Foto Bernama
[TERKINI] LABUAN - Kebakaran di atas kapal tangki bahan kimia dan minyak sawit milik MISC Berhad 'Bunga Alpinia' di Labuan awal pagi tadi dilaporkan mengorbankan satu nyawa.
Menurut sumber Unit Kecemasan Hospital Labuan, mangsa ialah warga tempatan, Syahril Azmi Baharudin yang dipercayai melecur.

Menurut pasukan Bomba dan Penyelamat pula, tiga yang lain dilaporkan cedera sementara operasi mencari seorang lagi mangsa yang hilang masih diteruskan.
Senarai awal mangsa yang dibawa ke hospital tersebut ialah Zahari Hashim, Mohd Hanafi Khairil, Mohd Nazim Kamsani dan dua warga Filipina, Colangoy dan Krrol Salalv An.
Punca kejadian yang berlaku kira-kira 2.30 pagi itu masih disiasat.
Pulau Labuan baru sahaja diktiraf sebagai pusat minyak dan gas yang menempatkan kebanyakan syarikat minyak dan gas antarabangsa.
Menurut MISC, kapal 38,000 DWT IMO II itu mempunyai 29 anak kapal yang terdiri daripada 23 rakyat Malaysia dan enam rakyat Filipina.
Seramai 24 anak kapal telah berjaya diselamatkan.
Kapal tersebut terbakar dan meletup di jeti terminal Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd berdekatan Pulau Enoe, Zon Industri Rancha-Rancha.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Labuan, Zainal Madasin berkata 64 anggota bomba dan enam jentera masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di kapal yang kelihatan senget itu.
Dalam satu kenyataan, Petronas Chemicals Group Berhad berkata pihaknya telah mengambil tindakan yang perlu bagi memastikan keselamatan semua kakitangan anak syarikatnya Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd, tempat berlakunya kebakaran.
Sementara itu dilaporkan sebuah bangunan berhampiran milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengalami kerosakan dengan siling, tingkap dan pintunya pecah akibat gegaran susulan insiden itu.
Susulan insiden itu juga, operasi Stesen Janakuasa Patau-Patau milik SESB yang terletak bersebelahan terminal itu dihentikan sementara atas faktor keselamatan.

Pengarah Urusan SESB, Abdul Razak Sallim berkata ini bagi membolehkan pihak Bomba dan Penyelamat mengambil langkah pencegahan dan keselamatan.

Penyaluran gas daripada Petronas Chemicals Methanol ke Stesen Patau-Patau juga terpaksa dihentikan serta-merta sehingga keadaan kembali normal dan selamat, katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Abdul Razak, penutupan sementara itu dijangka akan memberi impak kepada keupayaan SESB menyalur bekalan elektrik kepada semua pengguna di pulau bebas cukai itu.

Katanya, beberapa langkah kecemasan bagi menampung masalah kekurangan kapasiti penjanaan elektrik termasuk melaksanakan Pengurusan Beban Pengguna (DSM) akan dikuatkuasakan pada waktu beban puncak.
Abdul Razak berkata, catuan bekalan elektrik hanya akan dilaksanakan secara berperingkat sekiranya pelaksanaan DSM masih tidak dapat menampung permintaan dan stesen berkenaan tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

Stesen Janakuasa Patau-Patau itu mempunyai keupayaan janaan sebanyak 103.5MW dan merupakan satu-satunya stesen janakuasa di Wilayah Persekutuan Labuan, katanya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Pegawai Meteorologi di Ibu Pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia, Khairul Najib Ibrahim ketika dihubungi berkata Labuan dilaporkan mengalami ribut petir antara 2 hingga 5 pagi tadi.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada keadaan cuaca mempunyai kaitan dengan kebakaran tersebut. - Bernama

Bayi 8 bulan didera kekasih ibu kritikal

KUANTAN - Bayi lelaki berusia lapan bulan yang dipercayai didera teman lelaki ibunya, kini dilapor dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Mohamad Adam Mikhail Abdullah dimasukkan ke unit berkenaan sejak semalam dan dilapor mengalami pecah usus dipercayai akibat hentakan kuat selain mengalami
bengkak hati serta lebam-lebam di kepala.

Ibunya, Norhidayah Ahmad, 22, berkata beliau juga dimaklumkan pihak hospital bahawa anaknya itu sudah menjalani pembedahan pada hari ini.

"Doktor memberitahu terdapat kesan sepakan dan tumbukan di perut selain lebam di belakang badan," katanya di sini, hari ini.

Menurut laporan akhbar hari ini, bayi itu dipercayai didera kekasih ibunya yang berusia 19 tahun ketika ibunya itu keluar bekerja di sebuah tapak ekspo di hadapan Terminal Makmur, di sini.   

Kejadian tersebut hanya disedari Norhidayah selepas beliau  pulang ke rumah sewanya itu pada 3 pagi Isnin lepas.

Ibu tunggal terbabit kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada pukul 10 malam Selasa lepas, sebelum suspek ditahan sejam selepas itu.

Sementara itu Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata suspek kini ditahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2010.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek juga didapati positif dadah jenis syabu," katanya. - Bernama

Jurukimpal didakwa bunuh wanita mengandung 5 bulan

KUALA LUMPUR - Seorang jurukimpal didakwa di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita mengandung lima bulan, tiga minggu lalu.
R.Lingeswaran, 21, didakwa membunuh E.Valley, di sebuah kawasan di No.7 Lot 1251, Juara Engineering (M) Sdn Bhd, Batu 19, Jalan Rawang-Batu Arang Rawang, Gombak pada 10.40 malam, 4 Julai lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Lingeswaran mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil. Namun tiada pengakuan direkodkan.
Majistret Mohd Isa Md Nor menetapkan 4 Sept ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya S.Arunjothy manakala Lingeswaran tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan mayat seorang wanita ditemui berhampiran pagar sebuah stor menyimpan besi di Kawasan Perindustrian Sungai Dua, Rawang. - Bernama

Laskar Udara mengaku curi enjin TUDM


KHALILAH GUSTI HASSAN
26 Julai 2012
SHAH ALAM - Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengaku bersalah mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi, empat tahun lalu.
 
Mohamad Shukri, 29, berkata perbuatan itu dilakukannya di Bangunan Material Processing Shed Matra 1, Pangkalan Udara, Sungai Besi, empat tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, ia dilakukan atas pelawaan Sarjan N Tharmendran, 44, yang merupakan tertuduh utama kes itu.
Tharmendran didakwa bersubahat dengan Mohamad Shukri mencuri dua enjin pesawat terbabit sekitar bulan Disember 2007.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman
penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mohamad Shukri dalam keterangannya berkata, enjin pertama dibawa keluar dari Matra 1 pada 30 Disember 2007 manakala enjin kedua pada 1 Januari 2008.
Dia melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi anggota yang diperkenalkan sebagai ‘Fauzi’ kepada mahkamah.
Ketika dicadangkan peguam Rajpal Singh bahawa Tharmendran tidak sama-sama masuk ke Matra 1 untuk mencuri enjin, Mohamad Shukri menjawab ‘ya’.
Saksi itu juga setuju dengan cadangan peguam Gobind Singh Deo bahawa tujuan dia memakai uniform pada hari kejadian adalah untuk mengelakkan orang ramai curiga dengan perlakuan mereka membawa keluar enjin itu.
Mohamad Shukri juga mengaku menerima RM90,000 daripada Tharmendran di sebuah restoran di Brickfields dengan tiga kali bayaran.
Wang itu katanya dibahagikan kepada ‘Fauzi’ RM30,000 manakala bakinya untuk kegunaannya sendiri.
Gobind: Apa awak lakukan dengan RM60,000 itu?
Mohamad Shukri: Saya bayar duit kereta, bayar yuran belajar, bulan madu dan belanja barang-barang lain.
Mohamad Shukri turut mengaku telah beberapa kali mencuri sebelum ini, dan semua itu atas arahan orang lain.
Sementara itu, pada pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman, Mohamad Shukri menjelaskan dia menerika mesej daripada Tharmendran sama ada melalui telefon atau kertas yang mencatat nombor bahagian barangan yang hendak dicuri.
“Selepas dapat mesej, saya akan semak melalui sistem untuk tahu lokasi barang tersebut,” katanya.
Mohamad Shukri pada masa kejadian bertugas di bahagian penerimaan dan penghantaran barang-barang keluar masuk Matra 1, Kuala Lumpur.
Turut dibicarakan bersama Rajandra Prasad, pengarah sebuah syarikat pembekalan yang didakwa melupuskan enjin pesawat tersebut pada 30 April 2008 di No 49, Jalan TS 6/6, Taman Industri Subang, Selangor.
Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.
Prosiding semalam turut dikendali Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir dan peguam Prakash.
Hakim Aslam Zainuddin menetapkan 18 Oktober depan untuk sambung bicara.

Ibu muda positif HIV jual anak



26 Julai 2012
KUALA TERENGGANU - Dek kerana desakan akibat kemiskinan selain positif HIV seorang ibu sanggup menjual anak kandungnya dengan harga RM1,800.

Namun tindakan ibu muda itu untuk menjual bayi lelakinya yang ketika itu berusia beberapa bulan, berjaya dikesan Komuniti Cakna Terengganu (KCT).

Desakan hidup mendorong beliau mengambil keputusan tersebut apatah lagi bapa bayi malang itu tidak dapat dikesan selepas mereka terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat sehingga wanita itu mengandungkan bayi berkenaan.

Nasib bayi malang itu bagaimanapun mendapat pembelaan KCT apabila mengetahui perkara itu lebih awal dan kini membela kanak-kanak tersebut sejak setahun lalu.

Presiden KCT Dr Mustapa Che Omar berkata bayi yang kini ditempatkan di rumah wanita dan kanak-kanak seliaan KCT di Ajil, Hulu Terengganu berada dalam keadaan baik.

"Setakat ini bayi ini masih sihat tetapi masih awal untuk kesan sama ada dia dijangkiti HIV atau tidak," katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Ramadan di Hotel Primula di sini semalam yang turut dihadiri Presiden Majlis Aids Malaysia Datuk Dr Raj Karim.

Dalam pada itu, katanya penghidap HIV tidak wajar disisihkan oleh masyarakat kerana kebanyakan mereka menjadi mangsa keadaan sehingga mendapat jangkitan penyakit tersebut.
Sementara itu, menurut Dr Raj tindakan yang dilakukan KCT membela bayi tersebut dan penghidap HIV lain yang tidak mempunyai keluarga adalah tindakan terpuji bagi memberi mereka semangat untuk meneruskan kehidupan.

"Dengan adanya pusat perlindungan seperti ini akan bantu mereka mendapat pendidikan, kaunseling dan dilatih dengan berbagai kemahiran," katanya. - Bernama

Guru wanita dipercayai dirogol rakan sekerja

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad
SABAK BERNAM- Perubahan sikap seorang guru wanita yang menjadi pasif dan pendiam membongkar rahsia dia dirogol rakan sekerjanya.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian jam 5 pagi, 14 April lalu, mangsa yang baru bangun dari tidur diterkam suspek berusia 37 tahun di ruang tamu rumahnya sebaik sahaja dia membuka pintu.

"Suspek seorang guru sekolah rendah bertindak menerkam dan merogol mangsa yang ketika itu bersendirian di rumah.

"Bagaimanapun tiada ugutan yang dibuat dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Noor Mushar,  disebabkan kejadian itu, mangsa berusia 33 tahun itu trauma dan berubah  sikap menjadi pasif serta pendiam yang kemudiaannya perubahan itu disedari oleh suami mangsa.

"Mangsa yang pada mulanya takut menceritakan tragedi itu akhir terpaksa mengakui menjadi mangsa rogol selepas didesak berkali-kali oleh suaminya.

"Mangsa ditemani suami kemudiaannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, kira-kira jam 2 petang, Ahad lalu," katanya,

Berdasarkan laporan yang diterima, polis bertindak menahan suspek yang sudah berkahwin namun masih belum mempunyai cahaya mata itu di kediamannya di sekitar Sungai Besar kira-kira jam 10 malam, pada hari sama laporan dibuat.

"Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Sementara itu, katanya, orang ramai diminta segera membuat laporan dan tidak mendiamkan diri sekiranya menjadi mangsa jenayah.

"Laporan itu penting bagi memudahkan siasatan dijalankan dan membolehkan tindakan segera diambil ke  atas penjenayah," katanya.