Search This Blog

Wednesday, July 25, 2012

Elak dicekup, beri alasan tertidur selepas berbuka puasa

Elak dicekup, beri alasan tertidur selepas berbuka puasa
Wanita yang hanya berkemban cuba menyorok dalam almari bagi mengelakkan diri daripada dicekup.
AMPANG - Seorang wanita sanggup menyorok di dalam almari bagi mengelakkan diri dicekup dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, di sebuah apartmen, di sini awal pagi semalam.

Wanita yang hanya berkemban itu ditahan bersama pasangannya pada jam 1.40 pagi.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuainya memeriksa kediaman berkenaan.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu bilik tidur pasangan terbabit, seorang lelaki hanya berseluar pendek membuka pintu.

“Lelaki berusia 24 tahun itu memberi alasan hanya dia seorang diri tidur di dalam bilik berkenaan, namun pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita berusia 23 tahun menyorok di dalam almari pakaian,” katanya.

Beliau berkata, ketika ditahan wanita itu memberi alasan dia tertidur di dalam bilik teman lelakinya selepas berbuka puasa.

“Wanita berkenaan bekerja di sebuah pasar raya di ibu kota, manakala lelaki terbabit bekerja di sebuah syarikat pembasmi serangga,” katanya.

Dalam operasi yang berasingan, sepasang kekasih dicekup khalwat di apartmen sama.

Ahmad Nawi berkata, pasangan berusia dalam lingkungan 20-an itu adalah penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Melaka.

“Wanita yang berpakaian lengkap itu menyorok di belakang pintu bilik air ketika serbuan dijalankan, manakala pasangannya hanya berseluar pendek sedang baring di dalam bilik tersebut,” katanya.

Kedua-dua pasangan yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk dibuat laporan.

Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29 (1) (a) (b), Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dicekup lepas pecah rumah

Seorang pegawai polis menunjukkan barangan yang dirampas dari kedua-dua suspek.
Seorang pegawai polis menunjukkan barangan yang dirampas dari kedua-dua suspek.
GEORGETOWN - Kegiatan dua lelaki termasuk seorang pemandu pelancong memecah masuk kediaman di beberapa kawasan di sini sejak dua tahun lalu akhirnya terbongkar selepas mereka ditahan di hadapan sebuah kafe di Tanjong Tokong, dekat sini, kelmarin.

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 20 dan 30 tahun itu diberkas dalam Ops Cegah Jenayah yang dijalankan sepasukan polis dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) pada jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, suspek yang sedang memandu kereta didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

“Setelah polis memperkenalkan diri, mereka cuba melarikan diri tetapi gagal. Suspek sebelum itu dipercayai baru selesai memecah masuk sebuah kediaman berhampiran dan ketika ditahan, berlaku sedikit pergelutan antara suspek dan anggota polis.

“Hasil pemeriksaan pada kereta milik seorang suspek menemui sebuah beg tangan bersaiz kecil yang diletakkan di tempat duduk penumpang bahagian belakang. Ketika diselongkar, kita menjumpai 18 keping wang pelbagai negara dan 66 keping wang Malaysia berserta seutas jam tangan,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki terbabit ditangkap kerana disyaki terlibat dalam tiga kes pecah rumah di kawasan Tanjong Tokong dan Sungai Nibong.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan terbabit membawa kepada penemuan satu pemotong, pengangkat tayar kereta, dua playar, dua pemutar skru dan sepasang sarung tangan. Kita percaya semua alat ini digunakan suspek dalam kegiatan pecah rumah.

“Anggaran nilai barangan rampasan adalah RM3,500 manakala suspek berusia 30 tahun itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampu iaitu enam kes pecah rumah, satu kes pencerobohan bangunan dan satu kes dadah. Suspek yang berasal dari Ayer Itam dan Tanjong

Tokong itu kini ditahan reman sehingga esok (hari ini) manakala hasil ujian air kencing mereka didapati negatif,” katanya.

Kong Meng berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan curi yang memperuntukkan penjara lima tahun dan maksimum 14 tahun serta denda jika sabit kesalahan.

'Tuhan masih sayangkan saya'

'Tuhan masih sayangkan saya'
Mangsa berusia 37 tahun
KULIM - Seorang lelaki berusia 37 tahun yang dikehendaki polis kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah menyifatkan dirinya masih disayangi tuhan apabila doktor mengesahkan hayatnya akan dapat bertahan sehingga 2011 sahaja setelah disahkan dijangkiti HIV.

Menurutnya, ketika usianya 14 tahun, dia sudah mula berjinak dengan dadah dan sering melanggan pelacur dan melakukan seks luar tabii bersama mak nyah ketika tinggal di Kuala Lumpur.

"Selain itu, saya turut melakukan beberapa perlakuan jenayah sehingga ditahan polis.

"Semua ini tidak dihindarkan sehinggalah saya terlantar sakit. Doktor yang merawat mengesahkan saya dijangkiti HIV hasil dari hubungan seks bebas dilakukan," katanya.

Impian ngeri yang selama ini menghantuinya berlaku juga apabila anak ketiganya juga disahkan HIV positif. Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, beberapa bulan kemudian, isterinya pula disahkan
mengalami nasib yang sama.

Katanya, setelah mendapat rawatan susulan di hospital, akhirnya keadaan isteri dan anaknya beransur pulih.

“Doktor yang merawat saya pada 2008 menyatakan saya akan hidup sehingga 2011 kerana kebanyakan organ dan darah saya sudah dijangkiti HIV. Bagaimanapun semua itu tidak saya endahkan sehinggalah hari ini.

"Saya dapati kebanyakan bahagian badan saya mulai sakit dan jari saya juga sudah mula kaku dan tidak dapat bergerak seperti biasa.

Saya tahu saya akan mati, bagaimanapun selagi hayat saya masih ada, saya cuba merubah kehidupan diri saya selain menjaga anak dan isteri” katanya.

Dia menasihatkan kepada penagih dadah supaya menghentikan tabiat buruk yang mereka lakukan.

Katanya, selain penyalahgunaan dadah, melakukan hubungan seks bebas juga boleh mengakibatkan seseorang itu dijangkiti HIV.

"Walaupun saya tahu saya akan mati bila-bila masa tetapi saya tetap berusaha untuk memastikan keluarga saya dalam keadaan yang baik," katanya.

Pemandu lori dihempap kayu balak

JERANTUT - Seorang pemandu lori maut selepas dua batang kayu balak menggelongsor dan menghempapnya di sebuah kilang Papan Teras Maju, di Jalan Benta-Jerantut, dekat sini.
   
Kejadian 6 petang semalam itu berlaku ketika Ho Chew, 51, membuka rantai pengikat kayu balak yang dibawa lorinya.
   
Ketua Polis Jerantut Supt Azid Ismail berkata mangsa yang cedera parah di kepala, mati di tempat kejadian.
   
"Dua batang balak sepanjang 10 meter dan berukuran ukur lilit tiga meter itu tiba-tiba menggelongsor ke bawah dan menghempapnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
   
Mayat Ho dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat. "Kes itu diklasifikasikan mati mengejut," katanya. - Bernama

Mayat lelaki mangsa pembunuhan ditemui di Puchong

KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki ditemui terapung dalam longkang besar di Taman Damai Utama, Puchong dekat sini awal hari ini.
 
Berdasarkan keadaan mayat yang telah reput, polis percaya lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu dibunuh empat hari lepas, kata Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias.

Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau berkata mayat lelaki yang belum dikenal pasti itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu pada pukul 1 pagi.
 
Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- Bernama

Skandal KGT:Polis tutup kes

KETUA-POLIS,-DATUK-JALALUDDIN-ABDUL-RAHMAN
$entry.content.caption.value
KOTA BHARU - Polis Kelantan mengesahkan tiada unsur jenayah komersial yang dikaitkan dalam isu penyelewengan Kelantan Golden Trade Sdn Bhd (KGT).

Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap empat laporan polis yang mendakwa KGT terlibat dengan penyelewengan.

“Kita sudah menjalankan siasatan terhadap empat laporan polis yang dibuat berhubung skandal KGT ini dan hasil siasatan mendapati tiada unsur penyelewengan dan tiada unsur jenayah komersial. Sehubungan itu, polis menutup kes ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, akhbar tempatan mendedahkan skandal KGT yang dikatakan membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai kanan syarikat berkenaan.

Pada 6 Julai lalu, gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan dan seorang penulis blog membuat empat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu berhubung dakwaan wujudnya skandal dalam KGT.

Sebelum ini, terdapat tiga laporan polis dibuat berhubung dakwaan salah laku seorang pegawai kanan KGT dan laporan tersebut telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Tindakan tersebut dibuat setelah pihak polis mengkaji ke semua fakta dalam ketiga-tiga laporan berkenaan.

Polis tahan 93 ahli dua kongsi gelap

Polis tahan 93 ahli dua kongsi gelap
Abdul Rahim (kanan) menunjukkan antara senjata tajam yang dirampas, semalam.
GEORGETOWN - Hasil tindakan pantas polis berjaya menahan 93 ahli  kongsi gelap daripada dua kumpulan kerana dipercayai merancang melakukan pergaduhan malam Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, sepasukan polis dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menerima maklumat awam mengenai kekecohan akan berlaku antara dua kumpulan itu di premis hiburan yang terletak di Persiaran Gurney pada 22 Julai.

“Sehari selepas terima maklumat, polis memeriksa premis berkenaan kira-kira jam 12.30 pagi di tiga lokasi iaitu persekitaran dan tingkat bawah hotel serta pusat hiburan di tingkat dua hotel berkenaan.

“Pemeriksaan polis berjaya menahan 93 lelaki berusia antara 16 hingga 42 tahun dipercayai terlibat kegiatan kumpulan kongsi gelap di negeri ini,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, polis mengenal pasti 23 daripadanya Geng 24 manakala 70 lagi Geng 04.

“Hasil saringan air kencing mendapati 43 positif dadah manakala, 12 daripadanya suspek yang dikehendaki berkaitan beberapa kes di Bayan Baru.

“Susulan itu, polis menahan 35 remaja berusia 16 hingga 21 tahun disyaki kumpulan Geng 04, 20 daripadanya positif dadah dan kebanyakannya menganggur dan tidak bersekolah,” katanya.

Abdul Rahim berkata, modus operandi yang digunakan Geng 04 ialah memeras ugut pemaju di sekitar Timur Laut dan Barat Daya sebagai wang perlindungan.

“Mereka meminta wang perlindungan dari pemaju dan mengugut  membuat kacau sehingga projek itu tergendala jika gagal bekerjasama. Mereka juga dikesan merekrut ahli baru kalangan pelajar dan remaja lepasan sekolah.

“Geng 24 pula menggunakan kekerasan maksimum memaksa peniaga sekitar Timur Laut berurusan dengan mereka. Kumpulan ini akan membuat kacau sehingga peniaga  bersetuju membeli ketulan ais batu mereka,” katanya.

Menurutnya, semua suspek direman untuk siasatan lanjut.

Tangan hancur tersepit mesin

Tangan hancur tersepit mesin
Anan yang cedera parah di tangan kanan selepas tersepit dalam mesin tebu dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut.
DUNGUN – Hasrat seorang bapa untuk mencari pendapatan tambahan pada Ramadan dengan menjual air tebu, musnah apabila tangannya terperosok ke dalam mesin pengisar tebu ketika melakukan kerja memproses air tebu, dekat sini, Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu dipercayai berlaku ketika Anan Ali, 58, yang juga Timbalan Pengerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Balai Besar bersama seorang anak lelakinya, Mohd Osman, 25, sedang memproses air tebu menggunakan mesin pengisar di hadapan rumahnya di Jalan Intan, dekat sini.

Menurut Mohd Osman, ketika bapanya itu sedang memasukkan batang tebu ke dalam mesin pengisar, tiba-tiba dia terdengar ayahnya menjerit meminta tolong.

Dia terkejut apabila melihat sebahagian daripada pergelangan tangan bapanya telah terperosok di dalam mesin pengisar itu.

Mohd Osman berkata, dia menerpa ke arah suis mesin pengisar itu lalu mematikannya dan cuba menarik tangan bapanya, namun gagal.

Menurutnya, dia sempat mencapai telefon bimbit lalu menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan kecemasan.

Mohd Osman berkata, melihat darah terus keluar dari tangan bapanya sehingga memenuhi mesin pengisar, dia nekad membuka gerigi mesin pengisar itu dengan menggunakan spanar.

“Sebaik tangan ayah berjaya dikeluarkan dari mesin pengisar itu, saya terus membawanya ke hospital.

“Bagaimanapun, ayah terpaksa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana kecederaannya serius,” katanya.

Menurutnya, berikutan kecederaan dialami, pergela-ngan tangan bapanya terpaksa dipotong melalui proses pembedahan di HSNZ, jam 12.30 tengah hari semalam.

Mohd Anan, bapa kepada enam anak yang juga pemandu di Pejabat Pertanian Dungun kini menerima rawatan lanjut di Wad 4EF HSNZ.

Bayi maut tercampak

Bayi maut tercampak
Mayat Mohamad Aysisy ditutup selepas tercampak keluar ketika kedua-dua kenderaan bertembung.
KUANTAN- Seorang  bayi berusia setahun  maut tercampak keluar dari kereta yang dipandu bapanya setelah kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 37, Jalan Temerloh- Mayam dekat Bera, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 2.40 petang itu, mangsa Mohamad Aysisy Shfyi’ Mohd Rizail, 1, yang sebelum itu berada di pangkuan ibunya di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kemalangan itu, ibu mangsa, Salma Mohd Sadali, 21 cedera parah apabila patah bahu dan terkoyak kulit muka.

Menurutnya, pemandu kereta Mohd Rizail Abd Kadir, 32 yang bertugas sebagai anggota tentera di Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Kementah, Kuala Lumpur dan seorang lagi anaknya, Qaseh Nur Syifa’, 2, hanya mengalami kecederaan ringan.

“Pemandu lori, Mohamad Mazani Yusof, 27, dari Felda Bukit Goh dekat sini turut terselamat dan juga hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Beliau berkata, empat sekeluarga dari Felda Sebertak itu dipercayai dalam perjalanan ke Felda Kumai dari arah Temerloh.

“Ketika sampai di lokasi nahas, lori yang dipandu Mohamad Mazani dari arah bertentangan hilang kawalan dan nyaris terbalik ketika cuba mengelak sebuah lori balak yang memotongnya di sebelah kanan.

“Tindakan pemandu lori terbabit mengelak ke kiri menyebabkan kenderaan yang dipandu hilang imbangan memandangkan permukaan jalan di kawasan itu tidak rata,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, pemandu lori menekan minyak untuk masuk kembali ke laluan namun kenderaan tersebut tersasar ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta dinaiki empat beranak itu.

“Akibat pertembungan itu, kereta jenis Proton Persona itu terseret beberapa meter manakala mangsa yang berada di pangkuan ibunya tercampak keluar melalui bahagian pintu depan sebelah kiri yang tercabut.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat manakala kedua ibu-bapa dan kakak mangsa turut dihantar menerima rawatan di hospital sama.

“Pemandu lori yang mengalami cedera ringan hanya mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Bandar 32, Bera,” katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa bayi terbabit masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bank tempatan rugi RM75 juta ditipu

Bank tempatan rugi RM75 juta ditipu:

KUALA LUMPUR 24 Julai - Sebuah bank tempatan kerugian RM75 juta selepas diperdaya sekumpulan individu menggunakan taktik licik mencagarkan emas palsu melalui sistem pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) di beberapa cawangan bank itu di seluruh negara, baru-baru ini.
Menurut sumber, kegiatan kumpulan itu hanya terbongkar selepas pihak bank mendapati kesemua emas yang dicagarkan adalah palsu ketika proses penilaian aset dibuat.
Tambahnya, kegiatan itu dipercayai melibatkan orang dalam sehingga menyebabkan pinjaman diluluskan serta pembayaran dibuat terhadap kumpulan tersebut.
"Berikutan itu, lima laporan polis telah dibuat dan satu siasatan kini dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
"Satu siasatan dalaman turut dilakukan oleh pihak bank bagi mengesan dalang yang terlibat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

'via Blog this'

500 rumah curi elektrik

Kakitangan Sabah Electricity Sdn. Bhd. membawa gulungan wayar sambungan haram bekalan elektrik pada operasi di sekitar daerah Lahad Datu, Sabah, semalam.
LAHAD DATU 23 Julai - Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) mengenal pasti 500 buah rumah di daerah ini melakukan sambungan haram bekalan elektrik.
Pengarah Urusan SESB, Ir. Abd. Razak Sallim berkata, antara kawasan dikenal pasti adalah sekitar Jalan Segama Batu Satu, Kampung Teck Guan, Jalan Durian dan Kampung Tabanak.
"Penyambungan haram ini menyebabkan SESB mengalami kerugian kira-kira RM25,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi bersepadu mencegah sambungan haram di sini hari ini.
Operasi itu turut disertai oleh Suruhanjaya Tenaga dan polis.
Tambah Abd. Razak, pihaknya akan terus melakukan operasi seperti itu dan tindakan tegas akan dilakukan mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan elektrik 1990 yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
Dalam pada itu, beliau berkata, kegiatan penyambungan elektrik secara haram menjadi punca gangguan bekalan elektrik kerap berlaku di negeri ini.
"Jadi saya menasihatkan kepada pengguna supaya tidak melakukan penyambungan haram kerana ia juga boleh mendatangkan bahaya seperti risiko renjatan elektrik," ujarnya.

Murid tahun 6 maut digilis lori

PULAU PINANG 23 Julai - Seorang murid tahun enam maut digilis sebuah lori tanah selepas mangsa terjatuh dari motosikal yang ditunggang bersama rakannya di Jalan Sultan Azlan Shah dekat lampu isyarat Jalan Bukit Gedung di sini semalam.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa, Muhammad Syazril Mohd. Fakri, 12, mati di tempat kejadian selepas mengalami pendarahan teruk di kepala.
Difahamkan, mangsa membonceng motosikal secara berkumpulan bersama rakan-rakannya dan dalam perjalanan dari Sungai Tiram ke Bayan Lepas.
Kesemua rakan mangsa termasuk penunggang motosikal terbabit melarikan diri sejurus selepas kejadian berlaku.
Ketua Bahagian Trafik Daerah Barat Daya, Cif Inspektor Mohd. Zin Mat Ali berkata, polis sukar mengenal pasti identiti mangsa kerana tiada kad pengenalan ditemui.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki mangsa telah bergesel dengan motosikal rakannya sebelum terjatuh dan digilis lori dari arah sama.
"Kita menerima laporan daripada penunggang motosikal berusia 13 tahun dan siasatan punca kejadian akan dijalankan.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya pada petang semalam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bapa rogol dua anak ditahan

MUAR 24 Julai - Seorang bapa sepatutnya menjadi pelindung bagi keluarga dan bukannya pemusnah.
Namun, tindakan seorang bapa di sebuah kampung di Parit Jawa, dekat sini yang tergamak merogol dua anak perempuannya termasuk salah seorang daripadanya merupakan orang kurang upaya (OKU) amat tidak berperikemanusiaan.
Mangsa berusia 26 tahun dan tidak bekerja itu menjadi pemuas nafsu bapanya sejak setahun lalu manakala adiknya yang OKU berusia 23 tahun menjadi mangsa sejak seminggu lalu.
Lebih menyedihkan apabila si kakak turut menjadi saksi perbuatan keji bapanya ke atas adiknya di dalam sebuah bilik di rumah mereka.
Menurut sumber, mangsa tidak dapat mengelak perbuatan bapanya kerana suspek akan bertindak kasar jika mereka enggan menuruti kemahuannya.

Kanak-kanak maut, dua lagi parah

KUANTAN 24 Julai - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas kereta yang dinaiki bersama keluarganya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 37, Jalan Temerloh-Mayam berhampiran Bera semalam.
Mohamad Aysisy Mohd. Rizail mati di tempat kejadian.
Ibunya, Salma Mohd. Sadali, 21, dan adik perempuannya, Qasih Nur Syifa' Mohd. Rizail berusia setahun cedera parah dalam kemalangan 2.40 petang itu.
Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, bapa mangsa Mohd. Rizail Abd. Kadir, 27, seorang anggota tentera, yang memandu kereta jenis Proton Pesona itu turut cedera.
"Kejadian berlaku apabila lori yang datang dari arah Mayam ke Temerloh dikatakan terbabas dan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
"Lori berkenaan dikatakan hilang kawalan selepas dipintas sebuah lori balak.
Kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan kemudian bertembung dengan lori berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
"Pemandu lori terbabit, Mohamad Mazani Yusof, 27, yang berasal dari Felda Bukit Goh cedera ringan dan dirawat di klinik Bandar Jengka 32," kata Mohamed Fauzi.
Dalam satu lagi kejadian malam tadi, seorang pejalan kaki, Mohd. Nawi Jafar, 58, turut maut dalam kejadian langgar lari di Kilometer 63, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Maran.
"Mangsa dipercayai dilanggar sebuah lori pada 9.45 malam. Mangsa kemudian dihantar orang awam ke Klinik Kesihatan Maran dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di situ," katanya.
Mohamed Fauzi meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil membantu siasatan polis.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987. - BERNAMA

Remaja belasah, cuba tikam ibu

NURFARIDAH Abdul Aziz melakonkan semula cara dia dicekik oleh anak sulung di rumahnya di Kampung Ladang Pagor, Chenderong Balai, Teluk Intan, semalam.
TELUK INTAN 24 Julai - Hanya kerana marah ditegur oleh ibunya disebabkan tidak berpuasa, seorang remaja berusia 19 tahun tergamak mencekik, membelasah dan cuba menikam ibunya menggunakan pisau pemotong buah kelapa sawit di Kampung Ladang Pagor, Chenderong Balai di sini kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari apabila mangsa, Nurfaridah Abdul Aziz, 42, menegur anak lelakinya itu kerana makan di hadapan seorang lagi anaknya berusia 11 tahun yang berpuasa.
Berang dengan teguran itu, suspek yang juga anak sulung mangsa bergegas ke dapur mengambil sebilah pisau pemotong kelapa sawit lalu menikam Nurfaridah tetapi wanita itu berjaya mengelak.

Dua warga Iran edar dadah dihukum mati

SHAH ALAM 24 Julai - Masuk hari keempat umat Islam menunaikan ibadah puasa, dua warga Iran hanya mampu menahan air mata apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas mereka kerana kesalahan mengedar dadah.
Hakim Datuk Ahmadi Asmawi memutuskan demikian selepas mendapati tukang kasut, Ali Jalayeridarbandi Mousa, 26, dan jurutera, Vahid Aliakbarsadeghabadi Abbas, 29, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes yang dihadapi mereka.
Sewaktu membaca penghakimannya, hakim tersebut menyatakan kedua-dua tertuduh gagal mempertahankan anggapan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan terhadap dadah yang ditemui diikat di kaki masing-masing.
Beliau turut menyatakan, alasan mereka yang mendakwa dadah jenis methaphetamine seberat 473.5 gram itu adalah untuk kegunaan sendiri juga tidak boleh diterima. - UTUSAN

Pertempuran di Tajikistan, 52 maut

DUSHANBE 25 Julai - Sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh dalam pertempuran di timur Tajikistan, semalam selepas pihak tentera melancarkan operasi untuk mengembalikan penguasaan kerajaan di wilayah terbabit.
Pihak keselamatan berkata, pasukan khas Tajik menyerang timur wilayah Badakhshan sejak beberapa hari lalu selepas ketua keselamatan wilayah, Jeneral Abdullo Nazarov dipercayai dibunuh oleh militan tempatan.
"Seramai 12 tentera kerajaan dan 30 militan dilaporkan maut dalam operasi ini," katanya.
Kira-kira 40 militan, termasuk lapan warga Afghanistan ditawan dan 23 askar mengalami cedera dalam pertempuran terbabit. - AFP

Suspek tembakan rambang dihadapkan ke mahkamah

CENTENNIAL, Colorado 24 Julai - Suspek tembakan rambang ketika tayangan filem 'The Dark Knight Rises', James Holmes, dihadapkan ke mahkamah, di sini hari ini.
Holmes, 24, yang tampil dengan wajah muram dan rambut berwarna jingga itu bakal dibicarakan atas dakwaan menyebabkan kematian seramai 12 orang di sebuah panggung wayang di Aurora pada Jumaat lalu.
Pihak pendakwa raya dijangka mengemukakan permohonan hukuman mati ke atas Holmes. - AFP

Banjir di Nigeria ragut 35 nyawa

KANO, Nigeria 24 Julai - Hujan lebat yang melanda tengah negara ini semalam, menyebabkan paras air di empangan Lamingo meningkat, sekali gus mencetuskan banjir yang mengorbankan kira-kira 35 orang.
Ketua Pertubuhan Palang Merah Plateau, Manasie Phampe berkata, banjir tersebut turut menyebabkan 200 ditenggelami air.
Wanita berusia 90 tahun dan bayi tiga bulan antara yang maut dalam bencana tersebut. - AFP

Taufan Vicente landa Hong Kong

Anggota bomba memotong pokok yang tumbang akibat dilanda Taufan Vicente di Hong Kong, semalam. - AGENSI
HONG KONG 24 Julai - Lebih 100 orang cedera dengan pokok-pokok tumbang selepas taufan dengan angin berkelajuan 140 kilometer sejam melanda bandar raya ini, awal hari ini.
Pihak berkuasa buat pertama kalinya sejak 1999 turut meningkatkan amaran taufan ke tahap paling tinggi iaitu pada tahap 10, ketika Taufan Vicente mengganas sejauh 100 kilometer sejurus selepas tengah malam tadi.
Amaran tahap 10, bagaimanapun diturunkan kepada lapan, pagi ini selepas taufan itu bergerak ke arah barat dan dilaporkan menjadi lemah bila berada di perairan selatan China, tetapi pihak berkuasa mengingatkan penduduk supaya terus berhati-hati.
"Walaupun Vicente telah bergerak keluar dari Hong Kong dan mula lemah, angin kencang masih direkodkan di kebanyakan wilayah ini dengan ribut, sekali sekala berlaku di pesisir pantai dan di tanah tinggi.
"Orang ramai dinasihati terus berhati-hati," kata agensi Kaji Cuaca Hong Kong.
Lebih 600 pokok tumbang sepanjang malam tadi dan serpihan bangunan bertaburan di jalan-jalan raya di pusat bandar ini ketika orang ramai pulang dari kerja, petang semalam.
Perkhidmatan feri, bas dan kereta api digantung atau operasinya dikurangkan, manakala pelabuhan ditutup dan 44 penerbangan ke hub penerbangan serantau dibatalkan. Lebih 270 penerbangan pula ditangguhkan. - AFP

Masuk jerat RM5,000

PETALING JAYA: Tewas dibuai dengan kata-kata indah teman lelaki yang baru dikenali melalui laman sembang, seorang wanita berusia 44 tahun berputih mata selepas kerugian RM5,000 apabila diperdaya lelaki terbabit kononnya mengalami kesempitan wang.

Mangsa yang bekerja sebagai pembantu peribadi itu mengenali lelaki terbabit melalui laman sembang tidak sampai sebulan, namun dia terpedaya dengan rayuan dan rintihan lelaki terbabit kononnya kesusahan.


Menurut sumber, lelaki terbabit yang sebaya dengan mangsa mendakwa anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran di United Kingdom terbabit dalam kemalangan dan memerlukan wang segera untuk membayar deposit masuk hospital.

Katanya, perkenalan mangsa dengan lelaki itu melalui laman sembang bermula awal Jun lalu apabila lelaki itu mendakwa dia duda dan bekerja di satu pelantar minyak di Bintulu, Sarawak.


“Selepas berhubung selama beberapa minggu, mangsa mendakwa ketika bersembang lelaki itu menyatakan hasrat untuk meminjam wang atas alasan kecemasan kerana anaknya terbabit kemalangan di luar negara.


“Disebabkan lelaki terbabit bekerja di pelantar minyak, dia tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu anaknya dan meminta bantuan mangsa serta berjanji akan membayar wang yang dipinjam selepas pulang ke Bintulu pada awal Julai,” katanya.


Sumber berkata, tanpa menyedari ia helah teman lelakinya, mangsa mempercayainya lalu bersetuju meminjamkan wang RM5,000 itu.


Mangsa kemudian memasukkan wang ke dalam agensi perkhidmatan pemindahan wang ke luar negara atas nama seorang lelaki kononnya rakan kepada anak lelaki terbabit.

“Selepas menunggu beberapa hari dari tarikh yang dijanjikan untuk membayar semula wang berkenaan, mangsa mendapati lelaki terbabit tidak lagi muncul dalam talian laman sembang terbabit.


“Malah, usaha menghubungi lelaki terbabit melalui kiriman e-mel juga tidak berhasil apabila alamatnya dipadam manakala telefon bimbitnya tiada liputan,” katanya.


Mangsa hanya menyedari perwatakan romantis lelaki terbabit lakonan semata-mata apabila ditipu selepas wang diberikan lesap. Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Damansara, baru-baru ini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Nikah tanpa ijab kabul

MELAKA: Terpedaya dengan janji manis lelaki, seorang wanita kini buntu selepas meragui status pernikahannya yang dibuat tanpa ijab kabul dalam satu majlis ringkas, lapan tahun lalu.

Lebih menyukarkan, hasil ‘perkahwinan’ itu, wanita berkenaan yang mahu dikenali sebagai Suzi, mempunyai empat anak yang tidak dapat dibin atau dibintikan nama suaminya selepas pejabat agama mengesahkan sijil pendaftaran nikah itu adalah palsu.
Bagai jatuh ditimpa tangga, Suzi mendakwa perkahwinan yang tidak mendapat restu keluarga itu mengalami masalah lantaran suami yang panas baran, kaki perempuan dan mengabaikan tanggungjawab.

“Saya mengambil keputusan berkahwin selepas mengenalinya selama dua bulan sewaktu bekerja di Johor Bahru.



“Namun oleh kerana cinta, saya bagaikan dipukau sehingga percaya biarpun majlis pernikahan dijalankan dengan suasana amat pelik iaitu tiada akad nikah dan hanya duduk di suatu sudut sehingga segalanya selesai,” katanya.

78 DVD kena RM156,000

SHAH ALAM: Seorang penjaja dihukum denda RM156,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku salah atas tiga tuduhan menjual 78 cakera padat digital (DVD) dan cakera padat (CD) cetak rompak di Subang Jaya, dekat sini, bulan lalu.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman terhadap Lee Jia Hao, 18, dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.


Lee mengaku salah menjual 16 DVD dan 62 VCD, cetak rompak di kedai tanpa nama di No 40, Jalan SS 14/2 Subang Jaya, jam 5.30 petang, pada 10 Jun lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 41(1)(b) Akta Hak Cipta 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(1)(i) akta sama.


Ia memperuntukkan hukuman maksimum denda RM20,000 bagi satu salinan atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Terdahulu, peguam Surya Putra Taulan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan salah anak guamnya.


Katanya, Lee yang hanya tamat sekolah menengah insaf selepas ditahan reman.


Selain itu, katanya, kesalahan tertuduh tidak membabitkan jenayah kekerasan.

“Saya mohon hukuman denda paling ringan,” katanya.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Syariah Shapiee dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memohon denda tinggi dikenakan memandangkan perbuatan tertuduh memberi kesan kepada ekonomi negara.


Selain itu, katanya, hukuman perlu memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Serik berniaga air tebu

KUALA TERENGGANU: “Hari itu adalah hari terakhir saya berniaga air tebu dan tak mungkin akan teruskan perniagaan ini.

“Biarlah saya seorang yang merasa keperitan ini. Saya tidak mahu anak atau ahli keluarga menerima nasib sama,” kata Ana Ali, 58, yang kudung tangan kanannya selepas termasuk dalam putaran mesin tebu di Kampung Balai Besar, Dungun, Sabtu lalu.


Bapa enam anak yang ditemui di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, detik pahit itu berlaku pada jam 3.30 petang ketika dia bersama anak perempuan dan isterinya menyiapkan tempahan air tebu untuk pelanggan.

Menurutnya, putaran mesin itu tiba-tiba tersekat kerana tersangkut hampas tebu yang keras selepas dia menyiapkan satu tong air tebu.


Katanya, dia kemudian menggunakan tangan kanannya untuk menarik keluar hampas tebu itu tanpa mematikan enjin mesin berkenaan, tetapi tindakannya membawa padah apabila tangannya ditarik masuk ke dalam putaran mesin berkenaan.


“Saya terus menyuruh anak mematikan suis supaya dapat menghentikan putaran mesin tebu itu.


“Namun, keadaan tambah panik apabila anak saya gagal mencari suis untuk menghentikan mesin, malah tersilap tekan butang lain.


“Dalam keadaan menahan sakit, saya menguatkan semangat untuk bergerak dan mencapai suis bagi mematikan enjin mesin tebu itu dan menyuruh menantu yang kebetulan keluar dari rumah untuk menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak dapat menahan kesakitan dan meronta-ronta untuk menghilangkan rasa sakit itu.


“Saya rasa seluruh tangan kanan saya bagaikan dibakar api, namun mujurlah menantu berjaya membuka mesin itu dengan menggunakan spanar sebelum melepaskan tangan yang sudah hancur seperti hampas tebu daripada mesin berkenaan kira-kira 10 minit kemudian,” katanya yang serik untuk berniaga air tebu lagi.

Presiden Korea Selatan minta maaf kerana abang terbabit rasuah

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak, meminta maaf kepada seluruh rakyat negara itu semalam atas “kes rasuah yang amat mengecewakan” membabitkan abangnya dan pembantu rapat beliau.
“Saya menundukkan kepala dan meminta maaf kerana menyebabkan kebimbangan kepada orang ramai akibat insiden itu,” katanya.

Kata Lee, kes itu memang amat mengecewakan kerana berlaku di kalangan saudara terdekatnya. Abang Lee, Lee Sang-Deuk, 76, ditahan awal bulan ini dan menunggu masa untuk dibicarakan kerana menerima bayaran RM1.7 juta daripada dua bank bermasalah antara 2007 dan 2011 sebagai balasan membantu mereka mengelak daripada diaudit serta dikenakan tindakan. - AFP

Getaran maut

DI SINI...lokasi Muhamad Hanif yang baru hari pertama bekerja terbunuh terkena renjatan elektrik di sebuah tapak pembinaan di Solok Menggong.
DI SINI...lokasi Muhamad Hanif yang baru hari pertama bekerja
 terbunuh terkena renjatan elektrik di sebuah
 tapak pembinaan di Solok Menggong.

ALOR GAJAH: “Saya terdengar Muhamad Hanif menjerit meminta tolong sebelum badannya kejang serta berasap,” kata Mohd Faizudin Amir, 21, rakan remaja yang maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengendalikan mesin pembancuh simen pada hari pertama bekerja di sebuah tapak binaan di Solok Menggong, di sini, petang kelmarin.

Mohd Faizudin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, dia nekad menyelamatkan Muhamad Hanif Saidi, 20, dengan cuba menarik tubuh mangsa, tetapi dia juga terkena renjatan dan terpaksa melepaskan tubuh rakannya itu dan akhirnya mangsa meninggal dunia di pangkuannya.

Menurutnya, sebelum kejadian, Muhamad Hanif dari Felda Tun Ghaffar Solok Menggong, dilihat memegang pemegang mesin ketika cuba mengalihkan kedudukan mesin pembancuh simen itu untuk dibersihkan.

“Saya terdengar dia menjerit kuat dan apabila menoleh, saya lihat badannya menggigil dan bergetar. Saya turut sama terkena renjatan ketika cuba menyentap bahu Muhamad Hanif supaya genggamannya terlepas.



“Saya kemudian menjerit meminta seorang rakan mematikan suis utama. Saya rebah bersama arwah sebelum penyelia tapak datang memberi bantuan,” katanya.

2 suspek berparang diburu polis

SHAH ALAM: Polis kini memburu dua suspek bersenjatakan parang yang melarikan kenderaan pacuan empat roda di depan rumah seorang penjawat awam di Taman Pristana, di sini, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, pihaknya masih menyoal siasat rakan suspek yang ditahan penduduk taman berkenaan.

“Kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian atau mengenali suspek supaya tampil di balai polis berdekatan.
“Polis berterima kasih kepada penduduk yang menahan seorang daripada tiga suspek dalam kejadian terbabit dan berharap kerjasama orang ramai bagi menyalurkan maklumat sekiranya berlaku jenayah di kawasan perumahan mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam. Harian Metro semalam melaporkan kejadian dua lelaki melarikan kenderaan pacuan empat roda Honda CRV milik Suhaimi Mansor, 35, yang enjinnya sedang dipanaskan mangsa di depan rumahnya.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, suspek mencampak anak perempuan mangsa berusia tujuh tahun yang berada dalam kereta terbabit sebelum melarikan kereta itu.

Bagaimanapun, seorang lagi suspek yang menaiki sebuah kereta berasingan ditahan penduduk kawasan perumahan itu.

RM10,000 disamun di stesen minyak

SERDANG: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila disamun empat lelaki bersenjatakan gergaji besi dan sebatang besi dalam kejadian di stesen minyak di Seri Kembangan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun kerugian kira-kira RM10,000 selain mengalami kecederaan akibat dipukul dengan senjata berkenaan.


Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Muthu, 34, berkata ketika dia berhenti di sebuah stesen minyak, empat lelaki menaiki dua motosikal menghampirinya.

Katanya, mereka membawa sebilah gergaji besi dan sebatang besi yang menghampirinya sebelum memecahkan cermin kereta di sebelah kiri, kanan dan depan.


“Terkejut dengan kejadian itu, saya hanya mampu merayu supaya tiga lelaki itu tidak berbuat demikian sebelum dengan pantasnya mereka merampas beg galas mengandungi wang tunai RM1,000 dan barangan kemas berharga RM9,000,” katanya di sini, semalam.


Muthu berkata, sebaik mendapat barangan itu, empat lelaki itu terus melarikan diri dengan dua motosikal.


Menurutnya, akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan dan kaki selepas dipukul dengan besi berkenaan.


“Saya turut menerima lima jahitan di kepala selepas terkena serpihan cermin pecah,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan sejurus kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Terjaga tidur diterajang suami

KUALA LUMPUR: Tidur seorang wanita berusia 46 tahun tersentak apabila dia bukan saja ditumbuk sebaliknya disepak terajang suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Ipoh, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, suspek berusia 50 tahun bertindak demikian dipercayai kerana mengesyaki isterinya curang.

Akibat perbuatannya itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan badan.
Sehubungan itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Menurut sumber, mangsa yang nyenyak tidur terjaga selepas mendapati kepalanya bagaikan dihentak sesuatu.

“Sebaik membuka mata, dia melihat suaminya sedang berdiri di sisi katil di bilik tidurnya itu selain mendapati lelaki terbabit sedang menggenggam penumbuk.

“Belum pun sempat mangsa mempersoalkan tindakan suaminya itu, lelaki terbabit terus menumbuk sebelum menyepak terajang mangsa,” katanya.

Sumber berkata, dalam keadaan terpinga-pinga, mangsa cuba mempertahankan dirinya sambil bertanya mengenai sebab dia dipukul.
“Namun, lelaki terbabit tidak mengendahkan pertanyaan isterinya itu sebelum memukulnya lebih 20 minit,” katanya.

Katanya, suspek kemudian mendakwa isterinya itu curang terhadapnya sebelum mengeluarkan pisau dan cuba untuk menikam mangsa.

“Wanita terbabit bagaimanapun bernasib baik apabila dia diselamatkan adik lelakinya berusia 20-an yang kebetulan datang menziarah kakaknya itu dengan menghalang suspek.

“Menyedari kehadiran adik iparnya itu, suspek bergegas meninggalkan rumah berkenaan,” katanya.

Mangsa yang dibawa ke sebuah klinik berhampiran rumahnya itu bagaimanapun hanya dirawat sebagai pesakit luar biarpun mengalami kecederaan di kepala dan badan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

Penyerang ditangkap

DUBAI: Pihak berkuasa Syria menangkap seorang lelaki yang didakwa bertanggungjawab melakukan serangan bom yang meragut nyawa tiga pegawai kanan keselamatan negara itu minggu lalu.

Serangan itu membunuhmenteri pertahanan, seorang jeneral dan abang ipar Presiden Bashar al-Assad. Ia dianggap sebagai serangan yang terburuk terhadap kepimpinan Syria ketika kerajaan bergelut dengan kebangkitan rakyat.


“Ejen yang melakukan serangan terhadap Majlis Keselamatan Tertinggi Syria sudah ditangkap,” kata anggota Parlimen Syria, Mohammad Zahir Ghanoum, seperti yang dipetik agensi berita Iran, Fars.

“Individu yang ditangkap itu adalah pekerja di bangunan yang sama. “Bagaimanapun, saya tidak boleh memberitahu maklumat lanjut. Mungkin tidak lama lagi, pengakuan lelaki itu akan disiarkan,” katanya.


Satu sumber keselamatan memberitahu Reuters minggu lalu, penyerang terbabit ialah pengawal keselamatan yang diberi kepercayaan untuk melindungi anggota keluarga Bashar. Laporan televisyen Syria pula menyebut, seorang pengebom berani mati bertanggungjawab dalam serangan berkenaan.


Menurut Mohammad Zahir, penyerang itu diupah oleh musuh Syria tetapi kerajaan Bashar tidak akan membenarkan Amerika Syarikat, Israel, Turki atau Qatar untuk melemahkan keselamatan Syria.


Sementara itu, tentera Syria semalam bertempur dengan pemberontak yang cuba menawan bahagian tengah Aleppo di samping menggagalkan pemberontakan di sebuah penjara di bandar di utara negara itu, menyebabkan 15 banduan terbunuh.


Pertempuran di Aleppo, bandar komersial yang sebelum ini dilihat kebal dari sengketa yang meletus 16 bulan lalu, meningkat sejak beberapa hari lalu. - Reuters

Artis rap mabuk langgar motosikal

SEOUL: Seorang anggota kumpulan penyanyi popular Korea Selatan, 2PM, ditahan kerana memandu di bawah pengaruh arak selepas keretanya bertembung dengan sebuah motosikal, awal pagi semalam.
Ujian menunjukkan, darah Nichkhun Horvejkul, mengandungi alkohol melebihi tahap dibenarkan dan lesen memandunya mungkin digantung.

Penyiasat berkata, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan ringan. Nichkhun, 24, penyanyi rap berdarah campuran AS - Thailand dan menjadi vokalis sokongan untuk kumpulan enam anggota itu. 2PM sangat popular di Asia. - AFP

Tukang cat bakar kapal selam AS

PORTLAND (Maine): Penyiasat semalam menahan seorang pekerja am yang memulakan kebakaran yang menyebabkan kerosakan bernilai AS$400 juta (RM1.3 bilion) pada sebuah kapal selam berkuasa nuklear, baru-baru ini.
Menurut siasatan Tentera Laut Amerika Syarikat, Casey James Fury sengaja mensabotaj kapal selam berkenaan akibat rasa bimbang dan berhenti kerja di situ.

Berasal dari Portsmouth, Fury berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan atas dua tuduhan khianat ke atas USS Miami - masing-masing ketika berada di dek kapal selam berkenaan pada 23 Mei serta di luar kapal berkenaan pada 16 Jun lalu. Fury, 24, mengambil ubat kerana dilanda perasaan bimbang dan murung ketika kejadian.
Penyiasat berkata, Fury mengaku memulakan kebakaran supaya dia dapat berhenti kerja.

Keterangan itu termuat dalam afidavit setebal tujuh halaman dikemukakan di Mahkamah Daerah Portland, semalam. Ketika dibacakan tuduhan ke atasnya, Fury tidak membuat sebarang pengakuan. Pendakwa mengemukakan usul meminta Fury tidak dibenarkan diikat jamin. Peguam Fury, David Beneman, serta saudara-mara tertuduh enggan memberi sebarang komen. USS Miami berada di dermaga kering di Portsmouth untuk pemeriksaan menyeluruh enjin apabila kebakaran berlaku dan memusnahkan bilik peluru berpandu serta bahagian kawalan kapal selam berkenaan. Api hanya dapat dipadamkan selepas lebih 12 jam. Kebakaran kedua terjadi di dek kering kapal itu diletakkan tetapi tiada sebarang kerosakan atau kecederaan. Fury bertugas sebagai pengecat dan pembersih pada awalnya menafikan bertanggungjawab tetapi menukar pengakuannya selepas itu. - AP

Beg LV palsu bernilai RM5.7 juta dirampas

MANILA: Beratus-ratus beg Louis Vuitton tiruan bernilai sekurang-kurangnya 76 juta peso (RM5.7 juta) dirampas dalam beberapa operasi serbuan berasingan di Baclaran dan Binondo, hujung minggu lalu.
Pengarah Siasatan Jenayah dan Kumpulan Pengesan (CIDG), Samuel Pagdilao berkata, operasi serbuan itu dibuat di Pusat Pakyawan dan Plaza Baclaran Bagong Milenyo di FB Harrison, Pasay City dan pusat beli-belah 168 di Jalan Sta. Elina di Binondo, Manila. 
Pihak berkuasa ditemani oleh wakil syarikat Louis Vuitton dalam serbuan yang dibuat dengan sembilan waran siasat yang dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Manila kerana melanggar Undang-Undang Hak Cipta Intelek. - MT 

Lelaki mabuk nafi cekik bayi hingga mati

MANILA: Seorang lelaki mabuk ditahan kerana menyebabkan kematian anak lelakinya yang berusia dua bulan di bandar Quezon, hujung minggu lalu.

Pegawai Penyiasat, Pegawai Polis Kanan 1, Johnny Mahilum berkata, suspek, Mark Renil Galme, 30, penduduk di Barangay Ramon Magsaysay.
Katanya, Galme akan didakwa atas kesalahan membunuh.

Polis berkata, kejadian itu berlaku ketika ibu mangsa keluar bekerja.



Galme memberitahu polis, bayi itu ditemui terbaring di tempat tidurnya dan tidak bernafas pada jam 10 malam Ahad, lalu dia menelefon isterinya untuk membawa bayi mereka ke hospital.


Tetapi, bayi itu mati sebelum sempat tiba di Hospital JP Sioson di bandar Quezon.

Doktor yang merawat mendapati terdapat lebam di badan, rahang dan kesan melecet di leher, menunjukkan bahawa bayi itu dicekik.

Gelma menafikan dia membunuh bayinya. -MT

Polis banteras kegiatan tukar bahan letupan untuk dadah

BANGKOK: Satu pakatan haram yang melibatkan pertukaran dadah untuk bahan letupan yang dicuri berleluasa di Lampang, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Polis Wilayah Lampang.
Susulan daripada penahanan suspek di daerah Muang pada 19 September lalu, polis merampas empat kilogram kristal methamphetamine atau syabu, dua batang dinamit dan bom “power gel” dari rumahnya. 
Menurut laporan polis, suspek mengaku mencuri bahan letupan itu dari lombong lignit di daerah Mae Mau, yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Elektrik Thailand, dengan bantuan pekerja syarikat itu.

Bahan letupan yang dicuri itu ditukar dengan dadah, katanya. Suspek memberitahu polis dia tidak tahu bagaimana atau di mana bahan peledak itu digunakan. - Bangkok Post

118 cedera kena taufan Vicente

Hong Kong: Taufan kuat menyerang jajahan China di sini semalam, mencederakan 118 penduduk, mengganggu sistem komunikasi dan menyebabkan perniagaan terhenti di satu pusat utama kewangan dunia.

Taufan Vincente mula melanda pada jam 4 pagi (2000 GMT) selepas pusat pemantauan Hong Kong Observatory memberi isyarat amaran mengenai puting beliung Nombor 10 iaitu tahap tertinggi buat kali pertama sejak 1999.

Kejadian berlaku
Menjelang awal pagi, kelajuan angin yang mencecah sekitar 140 kilometer sejam berkurangan kepada 59 kilometer sejam dan pusat pemantauan itu menurunkan tahap amaran walaupun masih memberi peringatan kepada penduduk jajahan itu mengenai bahaya angin kencang.

Pihak berkuasa berkata, selain menyebabkan ramai cedera sejak malam kelmarin, 52 mangsa masih dirawat di hospital.

Serpihan benda terbang mengenai orang ramai di daerah pusat perniagaan dan stesen kereta api bawah tanah di sekitar jajahan ditukar kepada pusat perlindungan sementara untuk menempatkan berpuluh penumpang yang terkandas.

Pada waktu siang, kawasan Central yang biasanya sibuk kelihatan seperti bandar hantu dengan pasaran saham, bank utama dan perniagaan ditutup.
Selain itu, berpuluh-puluh penerbangan di lapangan terbang di sini dibatalkan atau ditangguhkan manakala perkhidmatan feri menghubungkan pulau ini dengan Kowloon, New Territories serta pulau sekitar digantung operasi.
AP/Agensi

48 premis makanan di Perlis ditutup

Kangar: Sebanyak 48 premis makanan di seluruh negeri ini ditutup kerana didapati tidak memenuhi standard Jabatan Kesihatan termasuk menyebabkan kes keracunan makanan sejak Januari tahun ini.

Jumlah itu adalah hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap 1,194 premis makanan yang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi tujuh bulan pertama tahun ini.

Exco Pelancongan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar Perlis, Ahmad Bakri Ali, berkata penutupan premis makanan itu bertujuan memberi peringatan kepada pengusaha kedai makan menjaga aspek kebersihan dengan mematuhi garis panduan yang dikeluarkan.
Sebanyak 57 daripada 1,386 premis yang diperiksa Pejabat Kesihatan Daerah sepanjang tahun lalu ditutup kerana gagal mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan. Malah, sepanjang tahun lalu juga Perlis mencatatkan lima kes keracunan makanan.

Justeru, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) dan MPK akan bekerjasama melakukan pemantauan agresif di Bazar Ramadan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin sepanjang bulan puasa ini, katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Promosi Keselamatan Makanan 2012 anjuran Jabatan Kesihatan Negeri di bazar Ramadan di Stadium Utama di sini, semalam. Terdahulu, Ahmad Bakri turut mengagihkan sebanyak 2,000 apron dan penutup kepala kepada peniaga di bazar berkenaan dan seluruh Perlis.

Pereka grafik saman FAM

Jazimin (kanan) bersama peguam, Nik Mohamad Anuar Badiruddeen memfailkan saman  terhadap FAM. - Foto Rosdan Wahid
Jazimin (kanan) bersama peguam, Nik Mohamad Anuar
 Badiruddeen memfailkan saman terhadap FAM
 - Foto Rosdan Wahid


Kuala Lumpur: Seorang pereka grafik yang cedera kekal di mata kerana terkena mercun ketika menyaksikan perlawanan bola sepak tahun lalu, memfailkan saman terhadap pihak berkaitan.

Ahmad Jazimin Mohd Jalaludin, 30, menamakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat dalam tuntutan ganti rugi RM776,000 di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam, melalui Tetuan N M Main & Associates.

Ganti rugi
Beliau menuntut ganti rugi am RM100,000, ganti rugi khas kehilangan upaya pendapatan RM576,000, ganti rugi khas RM100,000, faedah, kos dan relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ahmad Jazimin mendakwa mengalami kecederaan pada mata kanannya ketika menonton perlawanan bola sepak Pra-Kelayakan Piala Dunia 2014 membabitkan pasukan Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai tahun lalu.

Ahmad Jazimin mendakwa, beliau dan penonton lain memasuki stadium tanpa melalui sebarang saringan atau pemeriksaan badan oleh penjaga pintu masuk atau polis.

Puasa tetapi tidak solat

Ibadah jadi adat, ikutan hanya dapat lapar dan dahaga

Amalan puasa orang yang tidak solat, rosak dan tidak diterima Allah kerana ibadah lain hanya akan dilihat Allah selepas ibadah solat. Bagaimanapun, jangan terkejut kerana ramai hari ini yang berpuasa tetapi meninggalkan kewajipan solat.

Pakar motivasi, Halim Din, berkata 80 hingga 85 peratus mereka yang berpuasa tidak menunaikan solat kerana berasakan kewajipan lima kali sehari itu payah untuk dilaksanakan. Sedangkan katanya, nilai ketinggian seorang hamba di sisi Allah dinilai daripada kesempurnaan solat mereka.

Untuk melihat ibadah lain, Allah akan lihat solat dulu. Jika tidak solat, ibadah lain Allah tidak akan lihat. Malangnya, umat hari ini beriya-iya berpuasa, tetapi tidak solat. Mereka hanya dapat lapar dan dahaga saja, katanya pada majlis Ihya Ramadan di surau The New Straits Times Press (NSTP).
Katanya, soalan berkaitan berpuasa, tetapi tidak solat sering ditanyakan selain beberapa perkara yang dilihat sebagai remeh membabitkan ibadah puasa seperti adakah kentut atau mengorek telinga membatalkan puasa.

Orang Islam kian jahil

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan orang Islam kian jahil perihal agama dan puncanya ialah sikap ambil mudah selain malas belajar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan yang akan mengeluarkan diri daripada kegelapan.

Halim berkata, sepatutnya sebelum kedatangan Ramadan, umat Islam sudah bersedia menelaah bab puasa termasuk perkara membatalkan puasa dan lebih penting, perkara membatalkan pahala puasa seperti digariskan Al-Ghazali dalam kitab tasaufnya.
Disebabkan malas belajar, nilai ibadah kini dilihat lebih sebagai adat atau amalan ikut-ikutan bukan ibadah sebenarnya yang mempunyai hikmah serta matlamat menunaikannya iaitu mendapatkan keredaan Allah.

Beliau memberi contoh jemaah solat tarawih yang jumlahnya ramai pada 10 malam pertama, tetapi kian berkurangan minggu berikutnya dan keadaan bertambah menyedihkan malam-malam terakhir Ramadan.

Satu minggu pertama masjid meriah dengan jemaah, tetapi masuk minggu kedua, kita jadi hairan ke mana perginya yang ramai itu. Cuba kita renungkan kerana inilah yang dilihat apabila amalan hanya ikut-ikutan.

Lebih menyedihkan ketika akhir Ramadan bunyi mercun dan lagu raya lebih kuat hingga sudah tidak mempedulikan tarawih atau tazkirah. Apabila kita langsung tidak ambil peduli ilmu inilah yang berlaku, katanya.

Ilmu pacu umat ke depan

Beliau berkata, jika umat Islam mempelajari asas difardukan ibadat, mereka akan melakukan ibadat puasa dalam keadaan mengetahui dan tidak kira apa yang datang, ia sedikit pun tidak akan menggugat puasa mereka.

Katanya, ilmu akan memacu umat Islam ke depan dan dalam aspek ibadat mereka boleh melihat peningkatan dari sudut kualiti puasa serta sentiasa berusaha memastikan ibadat itu diterima Allah.

Halim turut berkongsi pengalaman ketika di Pusat Zakat Selangor, berdepan isu bayaran kafarah oleh suami yang bersetubuh dengan isteri pada siang hari Ramadan kerana tidak menyangka masih berlaku perkara seperti itu.

Syor umat timba ilmu agama

Saya ingat sudah tiada kes bersetubuh pada siang Ramadan, tetapi masih berlaku. Jika orang ada ilmu mereka akan faham tetapi disebabkan tidak mempunyai ilmu dan tidak mahu belajar, itu yang hancur, katanya.

Kafarah bagi suami yang bersetubuh dengan isteri pada siang Ramadan ialah memerdekakan hamba, jika tidak mampu puasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak mampu, memberi makan kepada 60 orang miskin.

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam supaya menggunakan akal, iman dan hati untuk menimba ilmu supaya mereka tahu tujuan amal ibadat yang dilakukan, bukan beramal kerana terikut-ikut atau sekadar meneruskan budaya.

Tetak ibu tegur tak puasa

Teluk Intan: Seorang remaja tergamak mencekik dan menetak ibunya dengan parang hanya kerana ditegur tidak berpuasa, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang di Kampung Redang Ponggor, Labu Kubong, Chenderong Balai, dekat sini, mangsa berusia 40 tahun yang sedang menyiapkan juadah berbuka, memarahi anak sulungnya berusia 19 tahun kerana tidak berpuasa.

mencapai sebilah parang sepanjang 30 sentimeter lalu menyerang ibunya.

Capai parang serang ibu
Suspek kemudian berang dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata mangsa yang terkejut dengan tindakan anaknya cuba berlari keluar menyelamatkan diri, namun dihalang suspek yang kemudian mencekik ibunya.

Mangsa terpaksa bergelut sebelum diselamatkan seorang lagi anaknya, iaitu adik suspek. Akibat kejadian itu, mangsa cedera beberapa anggota badan termasuk lengan.

Marah ibu tuntut cerai
Siasatan awal mendapati selain ditegur, suspek dikatakan marah kepada ibunya kerana menuntut cerai daripada bapanya dan didakwa menjalin hubungan dengan lelaki lain, katanya di sini, semalam.

Kok Liang berkata, susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Labu Kubong, polis menahan suspek jam 12.15 tengah hari semalam sebelum dia direman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Azab 3 jam tersepit dalam bas



HAMDAN menahan kesakitan sementara menunggu kaki kirinya yang tersepit dalam bas diselamatkan anggota bomba selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 188.8 Lebuh Raya Utara-Selatan bertentangan Hentian Sebelah Kampung Bemban, Jasin kelmarin.


JASIN - Seorang pemandu bas ekspres terpaksa menanggung azab hampir tiga jam sebelum dapat diselamatkan apabila kaki kirinya tersepit selepas merempuh belakang sebuah treler membawa muatan kelapa sawit kelmarin.
Kejadian pukul 4.50 petang di Kilometer 188.8 Lebuh Raya Utara-Selatan bertentangan Hentian Sebelah Kampung Bemban arah utara di sini mengakibatkan Hamdan Mohd. Arif, 52, hanya mampu meraung kesakitan sebelum dia dapat dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba.
Difahamkan, ketika itu Hamdan sedang membawa 17 penumpang dan lima daripadanya cedera ringan ekoran kejadian tersebut. Mangsa-mangsa yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Melaka manakala bakinya meneruskan perjalanan menggunakan bas gantian.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mohd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, kejadian berlaku apabila bas ekspres KKKL yang dalam perjalanan dari Kluang, Johor ke Kuala Lumpur itu tiba-tiba merempuh belakang treler berkenaan.

Palsukan kad kredit beli diesel



ABDUL GAFFAR menunjukkan sebahagian kad kredit palsu yang dirampas daripada empat lelaki pada sidang akhbar di Ipoh semalam.


IPOH - Kelicikan empat lelaki yang membuat dan menggunakan kad kredit palsu untuk membeli diesel bersubsidi sebelum diseludup ke negara jiran sejak tiga bulan lalu terbongkar apabila kesemuanya ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Taiping di sini Ahad lalu.
Suspek-suspek berusia antara 25 hingga 42 tahun itu diberkas pada pukul 3.30 pagi ketika sedang mengisi bahan bakar itu ke dalam sebuah lori satu tan yang telah diubah suai.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohamad berkata, pihaknya bergegas ke stesen minyak itu selepas dihubungi pemiliknya yang curiga dengan transaksi dilakukan oleh dua daripada empat suspek tersebut.
Katanya, pemilik stesen minyak itu sebelum ini telah dua kali tertipu dengan sindiket yang sama.
"Ketika suspek sedang mengisi minyak, dua lagi rakan mereka datang untuk membantu dengan menaiki sebuah kereta jenis Mercedes Benz. Ketika itulah kesemuanya diberkas oleh anggota peronda," kata Abdul Gaffar pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, pemeriksaan di dalam kereta Mercedes itu menemui 193 keping kad yang telah dipalsukan termasuk kad kredit, kad kesetiaan dan kad keahlian untuk tujuan menipu.
Menurut Abdul Gaffar, hasil soal siasat, polis kemudian dibawa ke sebuah premis di Seberang Perai, Pulau Pinang. Di sana polis merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit, mesin pengimbas dan kad sim. Premis itu disyaki dijadikan tempat untuk memalsukan pelbagai kad itu.
"Modus operandi mereka ialah mengutip resit pembayaran petrol dan diesel menerusi kad kredit yang dibuang pelanggan bagi mengesan nombor pada kad kredit.
"Selepas itu, salah seorang suspek yang mempunyai kepakaran memalsukan maklumat pada kad tersebut akan mereka kad yang serupa selain memanipulasi jalur magnetiknya untuk dipadankan dengan kad kredit mangsa ketika diimbas pada mesin," katanya.

Gagal berkelahi besar-besaran



KESEMUA 93 samseng yang diberkas kerana merancang untuk bergaduh ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang bagi membantu siasatan.


GEORGE TOWN - Perancangan dua kumpulan gengster Geng 04 dan Geng 24 untuk bergaduh secara besar-besaran ekoran dendam kesumat yang terbuku di hati masing-masing gagal apabila seramai 93 ahli termasuk ketuanya diberkas di pusat hiburan sebuah hotel di Persiaran Gurney di sini kelmarin.
Gengster-gengster itu diberkas pukul 12.30 tengah malam selepas polis menyerbu sebuah bilik karaoke di tingkat dua hotel berkenaan yang dijadikan tempat ketua kedua-dua kumpulan tersebut bermesyuarat bagi merancang perkelahian itu.
Daripada jumlah itu, seramai 23 merupakan ahli Geng 04 dan 70 anggota Geng 24. Mereka diberkas oleh pasukan polis yang diketuai Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat, Ibu Pejabat Kontijen Polis Pulau Pinang, Deputi Superintenden Zailanni Amit.
Mereka berusia 16 hingga 42 tahun dengan 20 orang positif dadah.
Geng 04 banyak terlibat dalam jenayah peras ugut pemaju perumahan di kawasan Timur Laut dan Barat Daya dengan meminta wang perlindungan. Kumpulan tersebut akan membuat kacau sehingga kehendak mereka dituruti.
Samseng Geng 24 pula akan menggunakan kekerasan untuk memaksa atau mempengaruhi para peniaga di kawasan Timur Laut supaya berurusan dengan mereka.
Mereka juga kerap membuat kacau di pusat hiburan dengan datang beramai-ramai tanpa memesan minuman.