Search This Blog

Monday, July 23, 2012

'Dia bukan ayah saya, mustahil ayah saya mati'

'Dia bukan ayah saya, mustahil ayah saya mati' - Terengganu - Sinar Harian:

Mohd Saiful
Mohd Saiful yang tidak dapat menahan sebak sebaik menatap mayat arwah bapanya ditenteramkan ahli keluarga.
Anggota bomba
Anggota bomba dan penyelamat berjaya mengeluarkan mayat Zakaria setelah dua jam tersepit dalam kepala lori yang tertimbus dengan muatan batu selepas lori dipandu terbabas ke dal
DUNGUN – “Dia bukan ayah saya, mustahil ayah saya mati, baru pagi tadi kami sahur bersama,” kata Mohd Saiful Zakaria, 14, yang tidak dapat menerima berita kematian bapanya, Zakaria Shapiee, 41, mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 3.30 petang di tapak kuari dekat sini, petang kelmarin.
Ketika kejadian, mangsa yang memandu lori baru mengambil batu kelikir dari kuari Sunway, Tebing Tembah, Paka untuk dibawa ke satu kawasan pembinaan di Sri Bandi, Kemaman.

Bagaimanapun, selepas memulakan perjalanan kira-kira 300 meter dari kuari terbabit, lori dipandu arwah dikatakan mengalami masalah enjin pada kotak gear lalu gagal membrek menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung.

Muatan batu dalam lori terbabit menghempap bahagian kepala lori menyebabkan mangsa tertimbus lalu tersepit.

Menceritakan detik sebelum tragedi menimpa arwah, Saiful berkata, dia sempat bersahur bersama sebelum bapanya itu keluar dari rumahnya di Sungai Udang seawal jam 4.30 pagi.

Katanya, arwah bapanya  berjanji dengan ibunya, Suriani Mohd Adi, 37, untuk berbuka puasa bersama selepas pulang dari kerja.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Dungun itu berkata, dia menerima berita buruk itu daripada seorang jiran yang secara kebetulan bekerja di tempat sama dengan arwah bapanya.

“Sebaik menerima berita itu, saya terus datang ke sini (tempat kejadian), tapi bila tengok polis bawa turun mayat dari Land Rover, saya tak percaya bahawa dia ayah saya.

“Mustahil itu adalah mayatnya kerana baru pagi tadi kami bersama, lagipun dia janji nak buka puasa bersama,” kata Saiful yang masih trauma.

Bagaimanapun suasana pilu menyelubungi perkarangan Bilik Forensik Hospital Dungun setelah Saiful dibawa masuk untuk mengecam mayat bapanya itu.

Sebaik Saiful membuka kain putih penutup mayat, pelajar tingkatan dua itu tidak dapat menahan sebak apabila mendapati mayat yang terbujur kaku itu sebenarnya adalah insan tersayang yang kali terakhir ditemui waktu sahur sebelumnya.

Saiful yang berlari keluar dari bilik mayat dalam keadaan hiba kemudiannya ditenteramkan ahli keluarga terdekat.

Pasukan penyelamat dengan bantuan kren terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mangsa yang kemudiannya berjaya dikeluarkan didapati sudah meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah pada seluruh anggota badan.

'via Blog this'

Aduan kastam makin banyak

PUTRAJAYA: Tindakan tidak adil adalah antara aduan paling tinggi diterima Kastam Diraja Malaysia sepanjang tahun ini, iaitu bermula Januari hingga Jun lalu.
Statistik dikeluarkan laman web jabatan itu mendapati, sebanyak 25 aduan diterima dalam kategori berkenaan berbanding 16 aduan pada tempoh sama tahun lalu, iaitu meningkat sembilan aduan.

Menurutnya, peningkatan aduan awam turut dicatatkan bagi kategori kepincangan pelaksanaan dasar dan kelemahan undang-undang iaitu lapan aduan diterima manakala sepanjang tempoh sama pada 2011 tiada aduan dicatatkan bagi kategori itu.
“Turut mengalami peningkatan adalah aduan awam bagi kategori salah guna kuasa atau penyelewengan iaitu empat aduan berbanding dua aduan pada tempoh sama tahun lalu.

“Malah, peningkatan turut direkodkan bagi kategori kegagalan penguatkuasaan yang mencatat 14 aduan sepanjang tahun lalu sehingga Jun, manakala tiada aduan diterima dalam tempoh sama pada 2011,” katanya.

Sementara itu, enam kategori aduan mencatat penurunan sepanjang tahun ini sehingga Jun berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Bagi kategori kualiti perkhidmatan tidak memuaskan, termasuk kaunter dan telefon, sebanyak tujuh aduan dicatatkan berbanding 40 aduan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Turut berlaku penurunan ialah kategori pelbagai aduan iaitu 16 aduan diterima berbanding 39 aduan tahun lalu,” katanya.
Di samping itu, kategori salah laku anggota awam mencatat 10 aduan berbanding 11 aduan dalam tempoh sama pada 2011, iaitu menurun satu aduan.

“Kategori aduan lain yang mencatat penurunan ialah kekurangan kemudahan awam iaitu dua aduan, manakala sepanjang tahun lalu sehingga Jun 2011 sebanyak 10 aduan dicatatkan.

“Penurunan turut direkodkan bagi kategori kegagalan mengikut prosedur ditetapkan apabila dua aduan diterima, berbanding 12 aduan dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Kategori aduan terakhir yang direkodkan mengalami penurunan ialah kelewatan atau tiada tindakan iaitu lima aduan diterima, berbanding 17 aduan dalam tempoh sama tahun lalu.

Tragedi waktu pagi

KANGAR: “Saya terkejut apabila bekalan elektrik tiba-tiba terputus dan asap mula memenuhi ruang bawah rumah tidak lama kemudian. Saya terus bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.”
Demikian detik cemas dialami penjawat awam, Yasmin Husin, 53, melalui dugaan pada hari pertama Ramadan apabila beliau sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Kampung Repoh, dekat sini, terbakar jam 9 pagi semalam.

Yasmin berkata, ketika kejadian, dia melakukan kerja rumah di tingkat atas rumah, namun terkejut sebaik mendapati bekalan elektrik tiba-tiba terputus sebelum memaklumkan suaminya, Mahmud Kassim, 56, untuk memeriksa punca kejadian itu di bahagian bawah rumah.
“Suami saya yang ketika itu membersihkan kawasan di luar rumah memberitahu dia akan memeriksa punca bekalan elektrik itu terputus selepas menyelesaikan kerjanya.

“Sejurus selepas itu, saya mendapati ruang bawah rumah dipenuhi asap. Saya bergegas menyelamatkan diri melalui tangga belakang dan tidak sempat menyelamatkan barang berharga lain,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bagaimanapun, Yasmin melahirkan rasa syukur kerana ketika kejadian, anaknya yang tinggal bersama mereka tiada di rumah kerana bekerja manakala ibunya keluar mengaji tidak jauh dari rumah mereka.
Anak perempuannya, Wan Nora Syazwani Wan Azmi, 26, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada sepupunya yang tinggal tidak jauh dari kampung itu memaklumkan kejadian yang menimpa keluarganya.

“Saya menerima panggilan sebaik sampai di tempat kerja dan terkejut dengan berita disampaikan sepupu. Saya cuba menghubungi ibu dan ayah tetapi tidak berjaya sebelum bergegas pulang berikutan bimbang keselamatan mereka.
“Menggigil tubuh saya melihat rumah musnah dan tidak sempat menyelamatkan barang penting, namun lega apabila mendapati ibu bapa saya selamat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kangar, Subri Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.47 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

Empat rentung satu keluarga

JEMPOL: Identiti empat individu yang rentung selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka berlanggar dengan lori tangki diesel di Kilometer 37 Jalan Bahau-Keratong, petang kelmarin, sudah dikenal pasti.
Jurucakap polis berkata, mangsa ialah pemandu pacuan empat roda jenis Nissan Navara, Tan Tiong Cheng @ Tiong Aik dan isterinya, Yu Lay Tieng, kedua-duanya berusia 51 tahun, serta dua anak lelaki mereka, Zi Hou, 18, dan Zi Yuan, 20.

Menurutnya, semua mangsa beralamat di No 1761, Taman Kuala Krai, Kuala Krai Kelantan, manakala pemandu lori, M Raja Priyan, 45, yang cedera kini dirawat di Hospital Pakar Mawar, Seremban.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut didapati semua mangsa dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas menjemput anak bongsu mereka yang belajar di kolej matrikulasi di Melaka.

Katanya, siasatan juga mendapati kemalangan berlaku apabila lori tangki dari arah Keratong hilang kawalan, menyebabkan ia melintang jalan lalu berlanggar dengan kereta dipandu Tan.

“Nissan Navara itu bagaimanapun tidak terus terbakar, sebaliknya kita percaya kebakaran bermula daripada tumpahan minyak lori yang mengalir ke kenderaan mangsa.
“Tangki lori itu juga dipercayai terbelah dua, menyebabkan berlakunya tumpahan minyak yang serius dan aliran minyak itu terkena kenderaan mangsa,” katanya ketika ditemui.

Jurucakap polis berkata, pihaknya percaya hanya penumpang di sebelah pemandu yang tersepit manakala yang lain pengsan akibat pelanggaran itu.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan bilik mayat Hospital Jempol apabila sebahagian ahli keluarga mereka menunggu bedah siasat dilakukan.

Kakak mangsa, Bee Leng, 55, berkata, kali terakhir dia berjumpa adiknya, Tiong Cheng sekeluarga pada Mei lalu ketika menyambut ulang tahun kelahiran ibu mereka.

“Adik saya bekerja sebagai penyelia syarikat pembinaan manakala isterinya suri rumah sepenuh masa.

“Saya difahamkan, dia sekeluarga menjemput anak saudara saya, Zi Hou yang menyambung pelajaran di kolej matrikulasi di Melaka selepas mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia manakala abangnya, Zi Yuan menuntut di Kolej Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur,” katanya.

Pasar kerugian RM21,000

KLANG: Sebuah pasar raya di Kampung Jawa, Seksyen 36, di sini, mengalami kerugian apabila wang tunai RM21,000 yang disimpan dalam peti besi keselamatan lesap dilarikan penyamun, awal pagi semalam.
Kejadian hanya disedari pengurus pasar raya yang mendapati pintu peti besi itu terkopak ketika dia bersiap-siap untuk memulakan perniagaan, jam 6.45 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Mazlan Othman, berkata suspek dipercayai memecah masuk ke premis perniagaan itu melalui tingkap belakang selepas memotongnya dengan sejenis peralatan.
Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati perbuatan jam 2 pagi itu dilakukan seorang suspek memakai topi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi, serta orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55102222.

Pelajar dikhuatiri lemas

AMPANG: Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang besar di Taman Putra, Pandan Mewah, di sini, jam 6.30 petang kelmarin.
Seorang lelaki dikatakan melihat remaja terbabit yang masih lengkap berpakaian sekolah cuba melangkah longkang besar di sebuah kedai sebelum dilihat terjatuh.

Berikutan itu, saksi terbabit memberitahu seorang wanita yang berada berhampiran sebelum mereka menghubungi polis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Pandan Indah, Mazlan Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan 6.44 petang.

“Satu jentera bergegas ke tempat kejadian bagi mengesan dan menyelamat mangsa. Ketika kejadian, hujan lebat dan air deras. Kami khuatir mangsa dihanyutkan air longkang ke sungai.

“Kami turut menerima bantuan satu jentera bomba dan penyelamat sukarela Taman Dagang serta bomba Jalan Jelatek dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM),” katanya di lokasi kejadian. Jelasnya, operasi dijalankan di beberapa lokasi, bermula di tempat kejadian sehingga ke Sungai Besi, tempat perangkap sampah dipasang, bagi mengesan mangsa.
Mazlan berkata, operasi menyelamat dihentikan jam 12 tengah malam kelmarin dan disambung semula 8 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, sehingga 12 tengah malam, pihaknya belum menerima laporan kehilangan anak mana-mana keluarga.

Kedai motosikal rugi RM43,000

SHAH ALAM: Tiada kesan pecah masuk, sebaliknya hanya ada kesan pecah keluar. Demikian situasi di sebuah kedai menjual motosikal di Seksyen 25, di sini, yang kerugian RM43,000 dalam kejadian rompakan, malam kelmarin.
Kejadian hanya disedari pengurus kedai ketika mula-mula membuka kedainya jam 9 pagi semalam, apabila melihat beberapa topi keledar dan baju hujan yang dijual di situ hilang.

Jurucakap polis ketika ditemui berkata, pengurus terbabit kemudian membuat pemeriksaan sebelum mendapati almari besi di dalam kedai dikopak dan wang tunai RM10,000 yang disimpan di dalamnya hilang, manakala wang tunai RM5,000 dalam mesin tunai turut hilang.
“Turut hilang ialah lima topi keledar berkualiti dan 30 pasang baju hujan,” katanya.

Hasil pemeriksaan kemudian mendapati keseluruhan kedai tidak mempunyai kesan pecah masuk dan pencuri terbabit dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang dengan memotong mangga pintu yang dikunci dari dalam.

Sehubungan itu, polis tidak menolak kemungkinan pencuri bersembunyi di dalam kedai sejak kelmarin hingga ia ditutup pada jam 7.45 malam kelmarin.
“Pencuri turut melarikan kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu, termasuk alat perakam, dipercayai bagi menghapuskan bukti,” katanya.

2 sahabat temui mayat

SEBUYAU: “Ketika baru beberapa minit bot kami bergerak, kami ternampak satu objek terapung tidak jauh dari kedudukan kami. Apabila menghampirinya, objek itu adalah mayat seorang wanita dalam keadaan terlungkup di permukaan air,” kata Saifuddin Wan Noh, 39.
Dia bersama rakannya, Wan Fadillah Saiyid Abdillah, 34, menemui mayat Siti Khuzaimah Anwar, 26, yang dilaporkan hilang selepas helikopter Eurocopter Dauphin 2 dinaikinya terhempas di Sungai Lupar dan Lingga, pagi kelmarin.

Dua sahabat terbabit memberitahu, mayat Siti Khuzaimah ditemui berdekatan lokasi nelayan memasang pukat obor-obor, Kuala Batang Lupar dengan berpakaian lengkap serta memakai kasut, jam 9 pagi sebelum mereka menghubungi penduduk untuk memaklumkan penemuan itu.
“Kami turun ke laut sekitar jam 8 pagi. Baru beberapa minit bergerak, kami melihat sesuatu yang pelik terapung tidak jauh dari kedudukan kami.

“Kami terus bergerak ke arah objek terbabit dan mendapati ia mayat seorang wanita sebelum memaklumkan penduduk lain dan meminta mereka menghubungi polis.

“Bersama penduduk, kami membantu mencari dan menyelamat sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Law Hong Soon mengesahkan sehingga jam 3 petang, dua mayat mangsa nahas ditemui.

Mami... saya takut

SIMUNJAN: “Mami... tolong... saya takut,” begitulah ungkapan terakhir Siti Khuzaimah Annuar, 26, sebelum mayatnya ditemui terapung di Triso selepas helikopter dinaiki terhempas di muara Batang Lupar, pagi kelmarin.
Perkara ini diceritakan seorang ahli keluarganya apabila Siti Khuzaimah menghubungi ibunya, Hashimah Fadli, 47, untuk memaklumkan dia dalam ketakutan.

“Perbualan itu hanya beberapa saat sebelum terputus dan usaha menghubungi semula Siti gagal hinggalah kami dimaklumkan berita mengenainya.
“Sebelum arwah meninggalkan rumah untuk ke tapak projek di Nanga Merit, Kapit, dia sempat menghulurkan sekeping gambar berukuran pasport kepada ibunya supaya disimpan sebagai kenangan.

“Kami sekeluarga tidak mengesyaki sesuatu yang mencurigakan, namun kini sedar itulah permintaannya yang terakhir,” katanya ketika ditemui di rumah di Samariang.

Siti Khuzaimah antara tiga penumpang yang dilaporkan hilang selepas helikopter dinaiki dan dipandu juruterbang warga Jerman, Riko Stiger, 35, terhempas jam 9.30 pagi kelmarin.
Helikopter Eurocopter Dauphin 2 dikatakan berlepas dari Kuching jam 8.57 pagi menuju ke Kapit. Bagaimanapun, hanya beberapa minit selepas berlepas, Stiger dikatakan menghubungi unit kawalan udara, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Kuching untuk membuat pendaratan cemas berikutan cuaca buruk.

Helikopter dilaporkan berlepas dalam keadaan cuaca buruk dan juruterbang bersama tiga penumpang dilaporkan terjun lebih awal sebelum ia terhempas.
Sementara itu, bapa saudaranya, Jamil Razali, 58, berkata Siti Khuzaimah yang bertunang awal tahun ini bakal melangsungkan perkahwinan Disember depan.

“Pada pagi sebelum bertolak ke pejabat, arwah kelihatan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan. Kami hanya mengetahui kejadian yang menimpanya selepas dimaklumkan syarikat, jam 4 petang semalam (kelmarin).

“Arwah adalah graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan bekerja dengan syarikat itu sejak dua tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, mayat seorang lagi penumpang, Peter Ato Mayau, 53, ditemui di perairan berdekatan Kampung Tebelu, jam 2.30 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat serta penduduk.

“Saya berharap untuk menemui suami dalam keadaan selamat, tapi kini hanya tinggal harapan kerana dia meninggal dunia,” kata Agnes Batang, 45, isteri Peter Ato.

Menurutnya, dia tidak menyangka itu pertemuan terakhir mereka sebelum Peter pergi ke Nanga Merit, Kapit, kelmarin.

“Saya sedih dan cuba bertahan demi anak kerana jika saya menunjukkan kesedihan, pasti mereka bertambah sedih.

“Saya kena tabahkan hati demi tiga anak. Saya masih ingat pesanan terakhir dia yang mahu saya menjaga anak dengan baik. Kami sekeluarga memerlukan masa untuk menenangkan diri kerana masih terkejut dengan berita ini, terutamanya tiga anak saya,” katanya ketika ditemui.

Dalam perkembangan lain, pasukan penyelamat menemui bangkai helikopter di Perairan Triso dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) masih menjalankan siasatan. Kipas utama helikopter itu dijumpai jam 4.30 petang.

Polis tahan 35 GRO

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun antara 35 pelayan pelanggan (GRO) muda yang ditahan polis dalam serbuan berasingan di dua pusat hiburan di Jalan Pudu, di sini, Selasa dan Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, serbuan dilakukan 10 anggota cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras bersama dua pegawai diketuai Inspektor Zaili Zakaria.

“Kami menahan 35 individu dalam dua serbuan berkenaan dan memang mengejutkan kerana gadis bawah umur dibenarkan bekerja di situ.
“Kebanyakan wanita yang ditahan berasal dari Vietnam, China, Thailand, serta empat lelaki tempatan dan mereka ditahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 dan Peraturan 11(7) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Semua mereka dibawa ke IPD Cheras untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, polis masih mengumpul maklumat daripada semua yang ditahan selain mengalu-alukan maklumat orang ramai bagi membolehkan pihaknya mengekang kegiatan jenayah serta membanteras pusat hiburan yang sering melanggar syarat ditetapkan.
“Hanya itu yang dapat saya katakan dan operasi seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Difahamkan, kebanyakan GRO berkenaan disediakan pusat hiburan terbabit bagi melayan lelaki hidung belang yang gemarkan wanita muda, menyebabkan ada penjaga (mummy) sanggup mengambil remaja bawah umur.
Sementara itu, Zaili yang ditemui ketika serbuan berkata, operasi dilakukan bagi memastikan pusat hiburan mematuhi syarat lesen dengan tidak membenarkan remaja bawah umur mengunjungi premis itu.

Metro Ahad minggu lalu melaporkan, sekumpulan remaja, majoritinya masih di bawah umur, membentuk satu forum sosial lebih 3,500 ahli di facebook dan twitter semata-mata untuk bergabung menyertai beberapa siri pesta liar.

Kumpulan lelaki, perempuan, pondan dan lelaki lembut itu menggunakan laman sosial terbabit untuk berinteraksi bagi menetapkan tarikh dan lokasi pertemuan mereka yang dinamakan ‘parti lolipop’ dan diadakan di beberapa pusat hiburan.

Dua lelaki nyaris maut terbabit kemalangan

GEORGETOWN: Dua lelaki, termasuk seorang warga emas, nyaris maut apabila terbabit dalam kemalangan di dua lokasi berasingan di sini, semalam.
Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 11.15 pagi membabitkan sebuah lori pasir dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai dari arah Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke pusat bandar raya.

Sumber berkata, ketika melalui jalan itu, lori pasir berkenaan dipercayai mengalami masalah dan gagal dikawal lalu terbabas. dan terus terjunam memasuki longkang besar di persimpangan Lebuh Tunku Kudin bersebelahan pasar raya besar Tesco.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori itu hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut walaupun lori itu remuk teruk akibat rempuhan kuat.

Sementara itu, kejadian kedua berlaku jam 12 tengah hari di Jalan Dr Lim Chwee Leong membabitkan sebuah kereta dengan sebuah motosikal.

Penunggang dipercayai lelaki warga emas berusia 50-an dilanggar di bahagian sisinya, menyebabkannya dia terjatuh dari motosikal dan mukanya tersembab ke jalan.
Mangsa yang parah di muka dan tangan kemudian diberi bantuan oleh orang ramai.

Dua sahabat disimbah asid

KUALA LUMPUR: Dua wanita yang juga rakan baik berusia lewat 30-an cedera di seluruh badan selepas disimbah asid dua lelaki bermotosikal dalam kejadian di Jalan Dewan Bahasa, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, kedua-dua mangsa dilaporkan berjalan ke tempat letak kereta di kawasan itu bagi mengambil kenderaan mereka untuk pulang ke rumah.

Menurut sumber, ketika mangsa dan rakannya sudah menghampiri kenderaan, dua lelaki menaiki motosikal lengkap memakai topi keledar dilihat dipandu laju menuju ke arah mereka.
“Sebaik menghampiri mangsa, pembonceng motosikal itu mengeluarkan satu botol mengandungi cecair dipercayai asid lalu menyimbah ke arah mereka.

“Seorang daripada mereka terkena di belakang badan, tangan dan kaki manakala rakannya pula terkena di dada dan kaki,” katanya.

Sumber berkata, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan itu kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, sebelum diberikan rawatan susulan.
Katanya, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil dan masih dirawat di hospital.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Dang Wangi, di sini, oleh mangsa menuntut siasatan lanjut dilakukan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, pihaknya percaya kejadian itu dipercayai bermotifkan cemburu.

Mati kena renjatan elektrik

KUALA LUMPUR: Seorang maut, dua lagi cedera selepas terkena renjatan elektrik dalam kejadian di KL Sentral di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, dua penuntut lelaki dari sebuah universiti di Melaka berusia 20-an dan seorang penyelia berusia 40-an dilaporkan sedang melakukan penyelenggaraan elektrik di bangunan itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, lelaki yang maut di tempat kejadian ialah seorang daripada pelajar yang sedang menjalani latihan praktikal.
“Mangsa yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk diberikan rawatan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Maut kereta tembung

GUA MUSANG: Seorang peniaga maut selepas kereta yang dipandu bertembung dengan sebuah lagi kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Kampung Lepan Tupai, Gua Musang, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa, Hermang Ahmad, 59, dikatakan memandu kereta Proton Iswara dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Lipis.

Ketika tiba di jalan itu, keretanya gagal dikawal lalu bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios dipandu seorang guru, Azrul Nizam Omar, 20.
Hermang dari Taman Tas, Kuantan, Pahang maut di tempat kejadian manakala Azrul Nizam cedera parah dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang yang diketuai Ketua Operasi, Ab Ghani Yaacob dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 9.09 pagi.

Menurut Ab Ghani, ketika tiba di tempat kejadian mangsa masih tersepit di tempat duduk dalam keadaan cedera parah dan mengambil masa lima minit untuk dikeluarkan.
Katanya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

"Mangsa berjaya dikeluarkan tetapi meninggal di tempat kejadian," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya, petang semalam.

Jurucakap polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.

Tarawih berdarah

PILU... Mee bersama anaknya, Nurliza tidak dapat menahan sebak atas tragedi yang menimpa isteri   di Kampung Bukit Hangus.
PILU... Mee bersama anaknya, Nurliza tidak dapat menahan
sebak atas tragedi yang menimpa isteri di Kampung Bukit Hangus.
ALOR SETAR: Kepulangan seorang suami daripada menunaikan solat sunat Tarawih ‘disambut’ dengan tragedi apabila melihat isterinya terbaring tidak bermaya dengan kesan kelar di leher di atas katil bilik mereka di Kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 malam, Halimah Yunus, 66, ditemui dalam keadaan berlumuran darah sebelum disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, Halimah adalah bekas Ketua Cawangan Wanita Umno Bukit Hangus sekitar 1990-an namun sudah bersara berikutan keadaan kesihatannya.
Suami mangsa, Mee Hashim, 63, berkata dia pulang daripada mengerjakan solat Tarawih jam 9.20 malam sebelum dikejutkan dengan jeritan isterinya yang meminta tolong.

“Sebaik mendengar jeritan arwah, saya bergegas masuk ke bilik dan terkejut melihat isteri berlumuran darah dan tidak bermaya.

“Ketika itu, arwah masih boleh bercakap dan memberitahu seorang lelaki menyerangnya namun tidak mengenalinya,” katanya kepada pemberita di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.
Mee berkata, selepas melihat keadaan isterinya, dia berlari keluar untuk meminta pertolongan orang kampung sebelum menghubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, arwah biasanya pergi bersamanya untuk menunaikan solat sunat tarawih, namun pada malam kejadian dia tinggal di rumah berseorangan berikutan masalah kesihatan.
Anaknya, Norliza Mansor, 46, berkata dia sempat berjumpa arwah Rabu lalu dan arwah menyatakan hasrat memakai jubah dan barang kemas perhiasan sempena Aidilfitri, namun tidak menyangka itu hasrat terakhir ibunya.

“Saya sudah membeli jubah namun tidak sempat berjumpa emak untuk menyerahkannya. Selain itu, saya bercadang membeli barang kemas perhiasan hari ini (semalam) dan menyerahkan kedua-dua barang itu ketika berbuka puasa, namun tidak kesampaian.

“Kami sekeluarga menerima tragedi ini sebagai takdir Tuhan dan reda dengan ketentuan-Nya, tambahan pula kejadian berlaku pada malam pertama Ramadan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, mangsa cedera parah berikutan kesan kelar di kiri leher dan kehilangan banyak darah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, pihaknya menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada percubaan samun berikutan barang kemas mangsa masih ada di tubuhnya.

Menurutnya, suspek dipercayai masuk melalui pintu bilik air di belakang rumah mangsa berdasarkan kesan pecah masuk.

“Kami masih menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes ini, termasuk motif serangan, sehingga membawa kepada kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Mangsa terakhir ditemui

TABUR...Mohd Faitullah menabur bunga di atas pusara Siti Khuzaimah.
TABUR...Mohd Faitullah menabur bunga di atas pusara Siti Khuzaimah.
REBAH...anak Peter Ato Mayau, Ericka Eva pengsan selepas melihat mayat bapanya.
REBAH...anak Peter Ato Mayau, Ericka Eva pengsan selepas melihat mayat bapanya.
SEBUYAU: “Kami terhidu bau busuk dari jarak empat meter sebelum menemui mayat terapung di sungai, namun masih lengkap berpakaian. Apabila menghampirinya kami yakin itu mangsa nahas helikopter di Sungai Lupar dan Lingga, pagi Jumaat lalu,” kata Asril Jena, 35.
Dia bersama beberapa rakan dalam perjalanan pulang ke jeti selepas semalaman di laut menangkap ikan sebelum menemui mayat Henry Loh, 40, di perairan Kampung Triso, jam 7.40 pagi semalam.
Asril memaklumkan penemuan kepada pasukan Bomba dan Penyelamat sebelum mayat terbabit dibawa ke jeti dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Timbalan Ketua Polis Sarawak, Datuk Law Hun Soon berkata, pasukan bomba membawa mayat berkenaan ke jeti Sebuyau.

Katanya, keluarga mangsa sudah membuat pengecaman dan mengesahkan ia mayat Henry.

Teman lelaki hentak kepala

AMPANG: Seorang gadis bukan saja dihentak dengan topi keledar, malah turut dimalukan kekasih yang mengoyak pakaiannya di depan orang ramai gara-gara perselisihan faham berkaitan telefon bimbit.
Menurut sumber, kejadian berlaku di Pandan Indah jam 10.30 malam Jumaat lalu ketika mangsa yang berusia 19 tahun menunggu burger dipesannya siap.

Kekasihnya mahu menggunakan telefon bimbit milik mangsa, namun mangsa tidak memberi kebenaran dengan alasan tiada kredit.
“Teman lelaki mangsa yang berusia 26 tahun enggan mempercayainya dan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Suspek menghentak kepala mangsa beberapa kali dengan topi keledar,” katanya.

15 sekeluarga korban nahas

MANILA: Sebuah trak mengangkut satu keluarga jatuh ke dalam sebuah parit menyebabkan 15 orang terbunuh.
Jurucakap polis, Ketua Inspektor, Wilfredo Gervacio berkata trak itu dipandu laju ketika menuruni sebuah bukit di sebuah kampung pedalaman di Pulau Biliran.

Menurutnya, 13 mangsa dihempap trak itu dan mati di tempat kejadian sementara dua lagi di hospital. - AP

Wartawan parah ditembak perompak di muka

MANILA: Seorang penulis pojok veteran kini dalam keadaan tenat selepas ditembak di muka dalam satu rompakan, semalam.
Nixon Kua, 49, ditembak di muka dan beberapa bahagian lain tubuhnya oleh seorang daripada empat lelaki yang menyerang dia dan adiknya di sebuah kawasan kediaman eksklusif di Manila, menurut kenyataan yang dikeluarkan polis.

Adiknya juga ditembak beberapa das tetapi keadaannya disahkan tidak berbahaya.
Motif serangan tidak mungkin berkait dengan tugas Kua selaku wartawan untuk akhbar tabloid, Pilipino Star Ngayon.

Polis berkata, perompak terbabit meragut beg daripada anak perempuan Kua yang mengandungi AS$2,000 (RM6,000) sebelum mereka melarikan diri, mendorong penyiasat percaya bahawa kejadian itu bermotifkan rompakan. - AFP

Dua kumpulan berebut tanah, 11 terbunuh

GAUHATI: Tentera India bertindak menghentikan pertempuran merebut tanah antara kumpulan peneroka dengan penduduk kampung tempatan yang meragut 11 nyawa di sebuah kawasan pedalaman di timur India, semalam.
Sengketa selama dua hari antara masyarakat Bodo dengan peneroka beragama Islam turut menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang cedera di daerah Kokrajhar, kira-kira 250 kilometer ke barat Gauhati, ibu negeri Assam.

Pertempuran bermula Jumaat lalu selepas seorang lelaki dilapor terbunuh. Keganasan merebak sehingga ke lebih enam kampung di daerah berkenaan, mendorong lebih 7,000 penduduk lari menyelamatkan diri. - AFP

Ibu Michael Jackson dilapor hilang

LOS ANGELES: Seorang anggota keluarga Katherine Jackson berkata, ibu mendiang bintang pop, Michael Jackson itu hilang selepas cucunya gagal menghubunginya sejak seminggu lalu.
Stesen televisyen CNN melaporkan awal semalam, anak saudara Jackson, Trent, membuat laporan mengenai kehilangan Katherine di Pejabat Syerif Los Angeles County.

Bagaimanapun, seorang abang Michael Jackson serta-merta menafikan dakwaan itu dengan berkata, Katerine sihat dan kini berehat di Arizona.
“Saya ingin memaklumkan kepada semua orang bahawa ibu saya sihat dan berehat di Arizona atas nasihat doktor, bukan kami,” kata Jermaine menerusi Twitter.

Keluarga itu terbabit dalam pertelingkahan mengenai hal ehwal kewangan dan perundangan Katherine, lapor CNN. - AFP

‘The Joker’ tiru aksi penyerang Norway

James Holmes ikut manifesto serangan Anders Behring Breivik 

AURORA: Pembunuh 12 penonton di sebuah panggung wayang Denver dan menggelar dirinya ‘The Joker’ dilaporkan mengikut nasihat penyerang Norway, Anders Behring Breivik, apabila melakukan serangan ketika tayangan filem Batman: The Dark Knight Rises di sini, Jumaat lalu. James Holmes mengikut manifesto Breivik menyarankan penggunaan raifal, senapang patah, bom asap, senapang AR15 yang mampu melepaskan 100 kali tembakan, senapang Remington dan dua pistol Glock. 
Holmes juga mengikut apa yang disuruh Breivik dengan memakai pelindung leher, badan dan topeng gas mengikut manifesto 1,500 muka surat itu. 

Malah, Holmes, 24, menjadi ahli sebuah laman web dewasa mengikut cadangan Breivik supaya kerap melakukan hubungan seks sebelum serangan. 

Pasang bom di rumah 

Seperti dalam manifesto itu, Holmes memasang letupan untuk meledak jika diganggu dalam pangsapurinya. Wayar dipasang pada bom di kediamannya. 
Anggota polis bagaimanapun berjaya mematikan bom dengan melakukan letupan terkawal di kediaman penyerang. 

Breivik, 33, membunuh 77 orang tahun lalu dengan meletupkan bom kereta di Oslo sebelum melepaskan tembakan terhadap anggota Parti Buruh cawangan belia di Pulau Utoya. 

Pihak berkuasa enggan membincangkan motif serangan terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat, ketika saudara-mara mangsa mula berkabung. 

Holmes baru-baru ini menarik diri daripada meneruskan pengajian program ijazah sarjana muda dalam bidang sains saraf di Universiti Colorado-Denver sebagai seorang daripada enam pelajar yang mendapat geran Institut Kesihatan Nasional. 

Dia mengambil bahagian dalam peperiksaan intensif lisan tiga bahagian menandakan tamatnya tahun pertama pengajian program empat tahun, namun pegawai universiti tidak mengatakan jika dia lulus. 

Dalam satu biodata dihantar ke Monster.com, Holmes menyifatkan dirinya sebagai seorang saintis bercita-cita tinggi. 

Biodata itu, kali pertama diperoleh The Press-Enterprise di Riverside, memberi gambaran seorang lelaki muda bijak penuh potensi. - AP/Agensi

Nahas helikopter terhempas: Mangsa tak pakai jaket keselamatan

Foto
Pulau Triso lokasi terakhir helikopter milik seorang ahli korporat yang terhempas dalam perjalanan ke Nangga Merit, Kapit.



Foto
Anggota keluarga mengangkat jenazah Siti Khuzaimah untuk dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Gita, di Kuching, semalam.


DCA siasat sama ada pesawat bawa peralatan diwajibkan

Kuching: Siasatan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) terhadap helikopter Eurocopter EC120 yang mengorbankan tiga nyawa Jumaat lalu, menjurus kepada sama ada helikopter itu membawa jaket keselamatan atau tidak. Ia disebabkan ketiga-tiga mangsa nahas di muara Sungai Lupar-Sungai Lingga itu, tidak memakai jaket keselamatan termasuk juruterbangnya, Rico Stiger yang dijumpai selamat. 
Sumber industri penerbangan memberitahu BH, mandatori bagi semua pesawat di negara ini yang terbang melalui perairan atau dekat dengan perairan, menyediakan jaket keselamatan mencukupi dalam pesawat.

Katanya, ia penting bagi menghadapi kemungkinan pesawat berkenaan perlu melakukan pendaratan cemas di atas air.

“Namun persoalan itu hanya akan terjawab jika mereka berjaya mengangkat bangkai helikopter malang itu dari muara sungai tempat ia terhempas, " katanya. 
Ketiga-tiga mereka disahkan anggota keluarga, tidak pandai berenang. 
Pengarah DCA Sarawak, Ling Swee Ing yang dihubungi tidak dapat memberikan jawapan kepada persoalan sama ada helikopter berkenaan menyediakan jaket keselamatan atau tidak.

Katanya, beliau juga tidak dapat memberi komen kerana hanya pihak di ibu pejabat Kuala Lumpur boleh berbuat demikian.

Pemilik Eurocopter EC120 Datuk Sng Chee Hua yang ditemui semalam enggan mengulas sama ada helikopter itu ada membawa jaket keselamatan atau tidak.

Sementara itu, anggota keluarga terdekat Siti Khuzaimah Annuar, 27, mempersoalkan mungkin Khuzaimah dan dua lagi mangsa mungkin selamat jika memakai jaket keselamatan.

Belasah anak, bakar rumah

Rumah suspek di Taman Serdang Utama hangus dibakar.Rumah suspek di Taman Serdang Utama hangus dibakar.
Suspek dipercayai ada masalah mental 

Serdang: Seorang lelaki, dipercayai mengalami masalah kesihatan mental, memukul anak lelakinya berusia 15 tahun sebelum membakar rumahnya dua jam kemudian di Taman Serdang Utama, di sini, semalam. Bapa berusia 53 tahun itu, bagaimanapun, tidak melarikan diri malah berada di kawasan rumahnya yang hangus sebelum ditangkap polis di tempat kejadian. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei, berkata lelaki itu menyerang dan memukul anaknya pada jam 4 pagi, sebelum isterinya membawa mangsa bersama anak yang lain ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan. 

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai tukang jahit hampir setiap malam mabuk dan akan memukul isteri serta dua anaknya tanpa belas kasihan, namun tidak pernah bertindak sehingga membakar rumah mereka. 

Jiran yang enggan dikenali berkata, sebaik suspek pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, lelaki itu terus mengamuk dan memukul anak lelakinya yang ketika itu sedang tidur sehingga cedera. 

Katanya, seorang lagi anak perempuan suspek yang menyaksikan ibu serta adiknya dipukul tampil membantu sebelum turut menjadi mangsa lelaki itu. 
“Ketiga-tiga mangsa yang cedera itu dibawa ke Hospital Serdang dengan bantuan jiran. Suspek yang berada di rumah itu terus mengamuk dan membakar kediaman mereka sehingga merebak ke rumah jiran. 

“Jiran yang melihat kejadian itu menghubungi bomba dan penyelamat. Api marak begitu cepat menyebabkan rumah suspek terbakar,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Guna sijil MC tipu pensyarah



SALAH sebuah klinik yang dikenal pasti menjual sijil cuti sakit kepada pelajar di Ipoh, Perak.


IPOH - Sebuah klinik swasta di sini dikenal pasti menjual sijil cuti sakit (MC) kepada pelajar dari beberapa buah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang sengaja tidak mahu menghadiri kuliah atau peperiksaan pada hari yang ditetapkan.
Lebih menyedihkan, pelajar terbabit boleh mendapatkan sijil MC palsu bagi menghalalkan tindakan mereka ponteng kuliah dan peperiksaan dengan bayaran RM5.
Tempoh 'sah laku' sijil itu ialah sehari.
Masalah tersebut dikesan oleh pensyarah di salah sebuah IPT di sini yang mendapati 80 peratus daripada sijil MC itu diperoleh dari klinik sama.
Berikutan itu, kata pensyarah yang enggan namanya disiarkan berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk tidak menerima sijil MC dari klinik terbabit.
"Jika seorang dua pelajar menghantar sijil MC dari klinik yang sama, ia mungkin satu kebetulan.
"Tetapi hampir 80 peratus daripada puluhan MC yang diterima adalah dari klinik yang sama, jadi kami syak ada sesuatu yang tidak kena," dedahnya kepada Kosmo! di sini.

Wanita dicabul dua pekerja hotel



Sakari (kiri) dan Mohd. Ridzuan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam atas tuduhan mencabul.


KOTA BHARU - Dua pekerja Hotel Grand Riverview di sini semalam dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan bersama-sama mencabul seorang wanita berusia 46 tahun di tangga hotel berkenaan pada Isnin minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Sakari Mohamad, 54, berasal dari Kuala Terengganu dan Mohd. Ridzuan Mahmood Maidin, 36, dari Pasir Puteh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly.
Kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai penyambut tetamu di hotel bertaraf empat bintang itu didakwa bersama-sama menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa berusia 46 tahun yang merupakan pengunjung hotel untuk mencabul mangsa di atas tangga di tingkat 11 hotel pada pukul 11.40 pagi, 16 Julai lalu.
Difahamkan, wanita dari Pasir Mas itu yang merupakan seorang ahli perniagaan mengunjungi hotel tersebut untuk menemui seorang rakan bagi berbincang mengenai perniagaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nora Abu Bakar.
Noor Dayana menawarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 namun Nora merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kerana kedua-dua tertuduh mempunyai pendapatan yang rendah.
"Sakari mempunyai lima orang anak dan berpendapatan sebanyak RM500 sebulan manakala Mohd. Ridzuan hanya mempunyai pendapatan RM400 sebulan. Masing-masing sudah mempunyai isteri dan anak-anak yang masih kecil.
"Sakari sudah bekerja selama 16 tahun di hotel berkenaan manakala Mohd. Ridzuan telah bekerja selama 12 tahun di situ," katanya.
Mohd. Fazaly Ali bagaimanapun mengekalkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 kepada setiap tertuduh.
Mahkamah menetapkan 19 September ini untuk sebutan kes. Kedua-dua suspek gagal membayar wang ikat jamin.

Polis cedera diserang 30 samseng



DI sinilah dua anggota polis cedera selepas diserang sekumpulan 30 samseng dalam kejadian di Flat Muara Indah, Jalan PJS 4/27, Taman Medan semalam.


PETALING JAYA - Sekumpulan 30 lelaki bersikap samseng apabila mencederakan dua anggota polis selepas berang ketika diarahkan bersurai dan tidak membuat bising hingga mengganggu ketenteraman awam dalam kejadian di sebuah Flat Muara Indah di Jalan PJS 4/27, Taman Medan di sini semalam.
Kejadian pukul 2.25 pagi itu berlaku apabila penduduk yang tidak tahan dengan bunyi bising ditimbulkan oleh kumpulan berkenaan telah menghubungi polis bagi mengawal keadaan.
Difahamkan, samseng-samseng berusia antara 20 hingga 30 tahun itu membuat bising serta membuka sistem audio dari kereta dengan bunyi kuat kononnya untuk menyambut sambutan majlis hari jadi seseorang.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pada mulanya, sebuah kereta peronda dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima aduan penduduk.
Katanya, anggota yang tiba kemudian memberi nasihat supaya kumpulan tersebut bersurai dan mereka berpura-pura akur.
"Bagaimanapun, sebaik polis beredar, mereka bertindak membuat bising semula dan polis sekali lagi bergegas ke sana untuk memberi arahan serupa sebelum meninggalkan kumpulan itu.
"Polis kemudian pergi buat kali ketiga di situ selepas menerima aduan penduduk dan keadaan semakin tidak terkawal hingga memaksa sebuah lagi kereta peronda dihantar ke situ. Ketika itulah, berlaku pergelutan dan dua anggota kami mengalami kecederaan di kepala, lutut dan dada," katanya pada sidang akhbar.
Tambahnya, ekoran itu, seorang lelaki berusia 27 tahun telah ditahan manakala bakinya dapat melarikan diri.
Menurut Arjunaidi, siasatan lanjut mendapati kumpulan lelaki tersebut tidak menggunakan sebarang senjata ketika kejadian dan polis masih menyiasat sama ada mereka berada di bawah pengaruh alkohol ketika itu.

Mangsa ketiga putus tangan kiri



KIM SHENG (kanan) memerhatikan mayat Henry yang dibawa ke jeti Pekan Sebuyau semalam selepas ditemui dalam tragedi helikopter terhempas.


SAMARAHAN - Mayat mangsa terakhir penumpang helikopter jenis Eurocopter EC 120 yang terhempas di muara Batang Lupar berhampiran Sungai Tereso dekat Sebuyau di sini ditemui semalam.
Mangsa Henry Loh, 42, ditemui pada pukul 8 pagi terapung di tengah laut berhampiran Pulau Tereso iaitu tidak jauh dari lokasi helikopter tersebut terhempas pada Jumaat lalu.
Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan, Sekan Anak Gundah berkata, hasil maklumat penduduk kampung pihaknya bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari jeti Pekan Sebuyau.
"Semasa ditemui mangsa dalam keadaan masih lengkap berpakaian tetapi tangan kirinya hilang dipercayai dimakan ikan buntal.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti dan tiba pada pukul 8.28 pagi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," kata beliau ketika ditemui di sini semalam.
Berikutan penemuan mangsa terakhir, operasi mencari dihentikan pada pukul 8.40 pagi.
Bagaimanapun, bangkai helikopter tersebut belum ditemui.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat menggunakan empat buah bot pada hari ketiga semalam itu dimulakan seawal pukul 7.40 pagi dengan dibantu oleh 16 anggota dari Siburan, Kota Samarahan, Simunjan serta ibu pejabat bomba negeri.
Tinjauan Kosmo! ke Klinik Kesihatan Sebuyau semalam mendapati ahli keluarga arkitek tersebut yang tinggal di Kuching hadir untuk proses menuntut mayat selepas dimaklumkan mengenai penemuan tersebut.
Adik ipar mangsa, Law Kim Sheng, 40-an, dilihat tidak dapat mengawal perasaan dengan kematian mangsa sehingga dia terpaksa ditenteramkan oleh saudaranya K.C. Law, 48.
Mayat Henry kemudian dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak dekat sini.