Search This Blog

Sunday, July 22, 2012

Arahan keluar dari Syria

pix_gal0
Kuala Lumpur: Kerajaan mengarahkan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik ditutup serta-merta dan semua rakyat yang berada di Syria dibawa pulang segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan mengeluarkan arahan itu berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara berkenaan. “Ketika berbuka puasa tadi (malam tadi), Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menghubungi saya memohon izin membawa pulang rakyat dan pelajar kita di sana. 
“Keadaan semakin meruncing disebabkan pertembungan dua puak dan ia boleh memberi kesan kepada pelajar kita.

“Jadi, saya izinkan dan mengarahkan kedutaan kita juga ditutup bagi tujuan keselamatan,” katanya ketika berucap selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Pulau Serai dekat Pekan, malam tadi. Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketika ini ada 138 rakyat Malaysia, iaitu 128 penuntut dan 10 ekspatriat di negara bergolak itu, manakala berpuluh-puluh yang lain sudah keluar sejak beberapa minggu lalu.

Semua rakyat Malaysia itu akan dikeluarkan menerusi jalan udara bermula esok menggunakan pesawat syarikat penerbangan yang masih beroperasi dari Damsyik. Difahamkan, mereka akan dipindahkan ke Dubai, Abu Dhabi dan Doha sebelum dibawa pulang. 
Dalam kenyataan media, Anifah berkata, pemindahan itu sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

“Mengambil kira perkembangan di Syria yang semakin melarat, kerajaan mengambil keputusan memulakan proses pindah pelajar Malaysia dengan segera,” katanya.

Proses pemindahan akan diselaraskan Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.

Anifah mengesahkan 138 rakyat Malaysia di Syria sudah berdaftar dengan pejabat Kedutaan Besar di Damsyik dan semua berada dalam keadaan selamat.

Panggil duta pulang

Katanya, kerajaan juga membuat keputusan memanggil pulang Duta Besar Malaysia di Syria dan empat pegawai kedutaan buat sementara waktu bagi menjamin keselamatan mereka.

“Bagaimanapun, proses pemindahan duta dan pegawai kedutaan hanya akan dilakukan selepas pemindahan pelajar dan rakyat kita yang lain selesai,” katanya.

Anifah turut menggesa rakyat Malaysia lain yang masih berada di Syria supaya pulang ke tanah air atau meninggalkan negara itu dengan kadar segera selain menasihatkan mereka yang berhasrat melawat Syria menangguhkannya sehingga situasi kembali pulih.

Sementara itu, Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab ketika dihubungi berkata, semua urusan dokumentasi berkaitan dilakukan pegawai agensi terbabit sejak seminggu lalu bagi membolehkan proses pemindahan dilakukan dengan serta-merta.

Wisma Putra juga membuka bilik operasi dan orang awam boleh menghubunginya untuk sebarang pertanyaan mengenai proses pemindahan ini. Bilik Operasi Wisma Putra boleh dihubungi menerusi 03-88874570. 

INFO
Syria


  • Pergolakan bermula sejak Mac 2011, menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.
  • Tentera Pembebasan Syria (FSA) – kumpulan pemberontak. 
  • Lebih 20,000 orang terbunuh setakat ini.
  • 22 juta jumlah penduduk Syria

Geng curi barang kemas tumpas



TUN HISAN menunjukkan imej kamera litar tertutup seorang suspek wanita mencuri barangan kemas bernilai RM2 juta di KLIA pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Polis berjaya menahan tujuh warga asing termasuk dua beranak yang didakwa mencuri barangan kemas bernilai RM2 juta di kaunter teksi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini pada 18 Julai lalu.
Mereka terdiri daripada tiga warga Costa Rica termasuk seorang wanita, dua lelaki anak-beranak dari Colombia, seorang wanita Mexico dan seorang wanita Uganda yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Semantan, Kuala Lumpur pada pukul 2.22 petang kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya turut menemui semula beg berisi 309 barang kemas dan perhiasan bertatah berlian serta rambut palsu di dalam rumah yang disewa oleh sindiket berkenaan.
Menurutnya, ujian air kencing juga menunjukkan tiga daripada empat lelaki yang ditahan positif ganja.
“Polis KLIA menerima aduan daripada seorang pengurus syarikat berumur 53 tahun yang baru tiba dari Hong Kong pada 18 Julai lalu mengatakan beg yang dibawa berisi barang kemas untuk pameran barang kemas di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dicuri semasa dia berurusan di kaunter tersebut.

Bekas pemimpin UMNO cawangan mati dikelar

ALOR SETAR – Bekas Ketua Wanita UMNO cawangan Bukit Hangus ditemui mati berlumuran darah di dalam bilik tidur rumah teres dua tingkat di Kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik di sini kelmarin.
Mayat Halimah Yunus, 65, yang tinggal bersendirian ketika kejadian ditemui oleh suaminya, Mee Hashim, 63, selepas lelaki itu pulang daripada menunaikan solat tarawih pada pukul 9.20 malam.
Mee mendakwa, sebaik sampai, dia terkejut melihat isterinya terbaring dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dengan kesan kelar di leher kiri.
“Dia masih mampu beritahu kena tikam dengan seorang lelaki tapi tak kenal (suspek),” katanya yang memberitahu mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Sik.
Menurut Mee, dia percaya lelaki tersebut memasuki rumah mereka melalui bilik air berdasarkan kesan pecah di kawasan itu namun tiada barang berharga dilarikan.
“Saya tidak tahu apa motifnya kerana arwah merupakan seorang yang baik dan dikenali dalam kalangan penduduk di kawasan ini,” katanya.

Dua mayat ditemui, satu masih hilang




Anak Peter (dua dari kiri) tidak dapat menahan sebak ketika melihat mayat bapanya di Jeti Sebuyau, Samarahan semalam.


SAMARAHAN – Mayat dua daripada tiga penumpang helikopter jenis Eurocopter EC 120 yang terhempas di muara Batang Lupar berhampiran Sungai Tereso dekat Sebuyau kelmarin ditemui dalam keadaan masih sempurna semalam.
Mayat juruukur, Siti Khuzaimah Anuar, 27, yang berasal dari Kuching, ditemui pada pukul 9.20 pagi oleh nelayan tempatan di perairan Sungai Tereso berhampiran Muara Batang Lupar kira-kira satu jam perjalanan menggunakan bot laju dari lokasi kejadian.
Ketika ditemui, wanita itu lengkap berpakaian tanpa jaket keselamatan. Mayatnya dibawa ke Sebuyau pada pukul 11.10 pagi.
Sementara itu, mayat jurutera Sebiro Holdings, Peter Ato Mayau, 53, dijumpai tersangkut pada akar kayu di muara Sungai Tebelu oleh pasukan penyelamat pada pukul 2 petang.
Lelaki itu yang ditemui dengan hanya memakai baju putih tanpa lengan, berseluar dalam dan berstoking dipercayai menanggalkan pakaian lain bagi memudahkan dia berenang untuk menyelamatkan diri. Difahamkan, muka dan tangan kanan mangsa seperti melelas dipercayai kesan gigitan ikan.
Seorang lagi mangsa yang masih hilang ialah arkitek, Henry Lau Tee Yong, 42. Sehingga pukul 5.30 petang semalam, mayat lelaki itu belum ditemui.
Kosmo! semalam melaporkan sebuah helikopter milik seorang ahli korporat tempatan yang membawa empat penumpang dan seorang juruterbang warga Jerman terhempas.
Dalam kejadian itu, juruterbang Rico Steger, 35, terselamat manakala tiga mangsa lain termasuk seorang wanita hilang.
Steger terselamat selepas terapung sebelum dibawa arus Laut China Selatan selama empat jam, kira-kira 20 kilometer dari lokasi terhempas. Dia diselamatkan oleh sekumpulan nelayan tempatan di Sungai Kampung Tebelu.
Ketika kejadian, helikopter itu baru berlepas kira-kira 20 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Ia dalam penerbangan ke Nanga Merit, Kapit dipercayai untuk melawat projek bagi sebuah sekolah di kawasan itu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Law Hong Soon yang berada di Sebuyau bagi mengetuai operasi mencari dan menyelamat mengesahkan penemuan dua mayat tersebut yang kemudian dihantar ke Hospital Simunjan untuk bedah siasat.
“Operasi masih diteruskan untuk mencari seorang lagi mangsa yang hilang,” katanya di sini semalam.
Gerakan mencari dan menyelamat disertai oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan dan IPD Sri Aman; Maritim Malaysia; Tentera Udara Diraja Malaysia; Bomba dan Penyelamat serta Ikatan Relawan Rakyat Malaysia.

12 maut helikopter tentera udara Brunei terhempas



Peta menunjukkan lokasi Kuala Belait
di Brunei.


BANDAR SERI BEGAWAN - Sejumlah 12 petugas tentera terbunuh apabila sebuah helikopter milik Tentera Udara Diraja Brunei terhempas dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada kadet tentera yang diterbangkan pulang selepas menjalani latihan di hutan.
Kementerian Pertahanan Brunei menyatakan, helikopter Bell 212 itu terhempas di daerah Kuala Belait, pedalaman Brunei ketika dalam perjalanan menuju ke sini kelmarin.
"Seramai 12 orang maut dalam nahas ini. Dua kadet tentera terselamat," kata jurucakap tentera udara Brunei, Norudin Salleh.
Ketika nahas berlaku, helikopter tentera itu membawa 14 orang termasuk juruterbang.
Kementerian Pertahanan berkenaan tidak menyatakan punca nahas berlaku.- Agensi