Search This Blog

Saturday, July 21, 2012

Tayangan Batman jadi lokasi bunuh

Foto
Orang ramai berkumpul di luar pawagam selepas serangan di pawagam dekat kompleks beli-belah Aurora, Denver, semalam.
Foto
Seorang saksi, Jacob Stevens, 18, memeluk ibunya selepas disoal polis, semalam.
12 terbunuh lelaki lempar gas pemedih mata, lepas tembakan    

Denver: Seorang lelaki bertopeng melontar gas pemedih mata ke dalam sebuah pawagam yang menayangkan filem terbaru Batman - The Dark Knight Rises, sebelum melepaskan tembakan ke arah penonton, menyebabkan 12 terbunuh dan 50 lagi cedera. Antara yang cedera termasuk kanak-kanak dalam kejadian di kompleks beli-belah Aurora dan mereka dirawat kerana terhidu gas pemedih mata. 
“Kejadian ini menakutkan orang awam,” kata Ketua Polis Aurora, Dan Oates.

Beliau memaklumkan seorang suspek ditahan di tempat letak kereta di belakang pawagam itu.

Oates mulanya meletakkan angka korban 14 sebelum diubah kepada 12.

Polis berkata, penyerang Au-rora itu muncul di depan pawagam ketika filem mula ditayangkan dan melepaskan gas pemedih mata sebelum tembakan kedengaran. 
Anggota polis berada di tempat kejadian dan pihak berkuasa mengarahkan semua orang keluar bagi memeriksa bahan letupan yang tersembunyi.

Oates juga memberitahu hanya seorang penyerang terbabit dalam keganasan itu.

Jurucakap polis, Frank Fania berkata, suspek James Holmes, dipercayai berusia 20-an, membawa pisau, raifal dan senapang patah ketika ditahan selain memakai jaket kalis peluru.

Polis berkata, pangsapuri suspek juga dikosongkan dan polis mencari bahan letupan selepas suspek membuat kenyataan mengenainya selepas ditahan.

Cable News Network (CNN) memetik seorang saksi sebagai berkata, seorang lelaki melepaskan tembakan rambang manakala seorang lagi saksi berkata dia mula menembak serentak dengan adegan tembak menembak dalam filem itu yang menyebabkan ramai keliru. - Reuters

Tiga hilang helikopter terhempas

Foto
Keluarga mangsa nahas helikopter menunggu perkabaran di balai polis Sebuyau.
Foto
HELIKOPTER jenis Eurocopter model Dauphin 2 milik Sebiro Holdings berlepas dari landasan syarikat itu untuk meninjau projek di Nanga Merit, Kapit.
Foto
PASUKAN penyelamat mencari mangsa yang hilang dalam kejadian helikopter Dauphin II terhempas di muara Sungai Lupar-Sungai Lingga.
Foto
Pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa.
Jurutera, arkitek, juruukur bahan nekad terjun

Sebuyau: Tiga penumpang helikopter, termasuk seorang wanita hilang selepas bertindak nekad terjun sebelum pesawat itu terhempas di muara Sungai Lupar-Sungai Lingga di Bahagian Sri Aman, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, juruterbang berbangsa Jerman, Rico Stiger, 35, bagaimanapun diselamatkan nelayan setelah hanyut, kira-kira empat jam. 
Sehingga operasi mencari dan menyelamat dihentikan jam 8 malam tadi, tiga penumpang itu, Peter Atoh Mayau, 53 (jurutera kanan), Henry Loh, 40 (arkitek) dan Siti Khuzaimah Anwar, 26 (juruukur bahan) masih belum ditemui.

Tiga pegawai Sebiro Holdings itu menaiki helikopter berkenaan untuk meninjau projek di Nanga Merit, Kapit.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata helikopter jenis Eurocopter model Dauphin 2 milik Sebiro Holdings berlepas dari landasan syarikat itu di Jalan Tun Jugah, Kuching pada jam 8.57 pagi.

Katanya, helikopter itu dipercayai berdepan cuaca buruk sebelum juruterbang memaklumkan menara kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) bagi pendaratan cemas. 
Kronologi kejadian: 

8.57 pagi - Berlepas dari landasan Sebiro Holdings Sdn Bhd, Jalan Tun Jugah, Kuching
9.30 pagi - Terhempas di muara Sungai Lupar-Sungai Lingga
12.16 tengah hari - Pasukan penyelamat mengesahkan kejadian
2 petang - Mangsa pertama, juruterbang, Rico Stiger, diselamatkan di Kampung Telebu
5 petang - Helikopter Nuri TUDM membawa Rico ke lokasi kejadian
6 petang - Operasi mencari dan menyelamat udara ditangguhkan
8 malam - Operasi darat ditangguhkan

Rumah suspek penembak Colorado penuh jerangkap

AURORA, Colorado: Apartmen lelaki yang disyaki menembak 71 orang di kawasan panggung wayang di kawasan Denver semalam, dipasang terlalu banyak jerangkap dan polis mendapati ia tidak boleh dimatikan dengan selamat.

Polis kini merancang untuk meletupkan jerangkap berkenaan menggunakan robot. Bangunan berhampiran sudah dikosongkan.
James Holmes yang ditangkap selepas dikatakan melepaskan tembakan ke atas ratusan penonton tayangan tengah malam filem “The Dark Knight Rises,” juga memasang penggera pada peralatan audio. - AFP 

Pelik suami tak kejut tidur

Kereta Shahrizal (gambar kecil) yang remuk ditarik keluar dari ruang dapur kedai menjual keropok  dalam kemalangan  di Jalan Sultan Mahmud Kuala Ibai, pagi semalam.Kereta Shahrizal (gambar kecil) yang remuk ditarik keluar dari ruang dapur kedai menjual keropok dalam kemalangan di Jalan Sultan Mahmud Kuala Ibai, pagi semalam.
Lelaki maut kereta rempuh pembahagi jalan sebelum terperosok dalam kedai 

Kuala Terengganu: Ramadan tahun ini paling pilu buat keluarga seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang maut apabila kereta dipandunya terbabas dan merempuh tiang elektrik di Jalan Sultan Mahmud, di sini, semalam. Mohd Shahrizal Muhammad, 30, dari Kampung Wakaf Tembusu, di sini, meninggal dunia kira-kira jam 5.30 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat kecederaan parah pada kepala dan bahagian dalaman badan, kira-kira dua jam selepas kejadian sekitar jam 3.05 pagi. 
Kejadian itu turut merosakkan lima kenderaan iaitu dua kereta dan tiga motosikal di tempat kejadian. 

Tinggal barang 

Mangsa yang memandu Proton Inspira dalam perjalanan dari rumahnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu untuk bertugas sebelum tiba-tiba berpatah balik ke rumahnya di Kampung Tok Adis, dipercayai mahu mengambil barang yang tertinggal. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin, berkata kereta dipandu mangsa terbabas dan merempuh pembahagi jalan lalu melanggar tiang elektrik dan terperosok ke dalam kedai makan. 
“Mangsa meninggal dunia di HSNZ ketika menerima rawatan kecemasan dan kejadian disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Isteri mangsa, Wan Ezereen Wan Jaafar, 30, berkata, beliau pelik apabila suaminya tidak mengejutkannya sebelum keluar rumah untuk bertugas jam 3 pagi. 

“Biasanya beliau mengejutkan saya sebelum meninggalkan rumah. Saya tahu mengenai kejadian menimpa suami selepas menerima panggilan polis yang memaklumkan kejadian. 

“Kejadian ini satu dugaan besar buat saya dan dua anak, Muhammad Adam Danial, 7, dan Amanda Lia Hana, 3, apatah lagi ketika umat Islam bersedia menyambut Ramadan dan Syawal tidak lama lagi,” katanya. 

Ibu mangsa, Rabuah Mohd Noor, 58, yang ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Tembesu tidak menyangka hasrat untuk meraikan kedatangan Ramadan bersama arwah dan keluarganya tidak kesampaian.

Kaki intai kena denda RM800

Kosmo! Online - Negara:


KUALA LUMPUR - Gara-gara mengintai seorang wanita membuang air kecil di dalam tandas, seorang jurujual didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Bobby Ng Hock Ann, 31, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengintai wanita berusia 33 tahun itu dengan niat hendak mengaibkan kehormatan wanita tersebut.
Dia yang tinggal di Taman Bukit Maluri, Kepong, didakwa melakukan kesalahan itu di tandas wanita Aras LG, Kompleks Desa, Jalan Kepong, Kepong di sini pada 11 pagi kelmarin.
Dia didakwa mengikut seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh memanjat dinding di tandas bersebelahan tandas wanita itu dan kemudian mengintai dari atas semasa wanita itu membuang air kecil.

'via Blog this'

Ditembak ketika tunggu isteri

BULATAN menunjukkan lokasi Asnan mati ditembak di depan pusat karaoke di Bandar Utama, Segamat semalam. Kereta dalam gambar ini bukan kereta dipinjam Asnan untuk menjemput isterinya.
SEGAMAT - Sebuah keluarga tidak menduga kehilangan ketua keluarga menjelang Ramadan hari ini apabila lelaki itu maut ditembak di depan sebuah pusat karaoke di Jalan Muhibah 3, Bandar Utama di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.50 pagi, mangsa, Asnan Yunus, 28, dari Kampung Jawa Segamat maut di tempat kejadian akibat terkena tembakan di rusuk, tengkuk dan bawah telinga yang semuanya di sebelah kiri badan.
Kejadian tersebut berlaku hanya kira-kira 1.5 kilometer dari rumah mangsa dan kira-kira sepuluh minit sebelum isteri mangsa habis waktu bekerja.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Md. Anuar Ismail berkata, sebelum kejadian Asnan berdiri di luar kereta Proton Wira yang dipinjam daripada seorang rakan menunggu isterinya keluar dari pusat karaoke tempat wanita itu bekerja.
Bagaimanapun, menurut beliau, belum sempat isteri mangsa keluar dari pusat karaoke tersebut, Asnan tiba-tiba ditembak dengan beberapa das tembakan oleh penyerangnya.
"Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian tersebut tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.53 pagi dan siasatan mengesyaki sebelum kejadian terdapat sebuah kenderaan menghampiri mangsa sebelum melepaskan tembakan," kata beliau ketika dihubungi.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Helikopter terhempas, 3 hilang



INILAH model helikopter Eurocopter EC 120 yang sama dengan yang terhempas di Muara Batang Lupar berhampiran Sungai Tereso dekat Sebuyau semalam. Gambar kecil: Rico.


SAMARAHAN – Sebuah helikopter jenis Eurocopter EC 120 yang dinaiki empat penumpang termasuk seorang juruterbang terhempas di muara Batang Lupar berhampiran Sungai Tereso dekat Sebuyau di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 9.20 pagi itu, juruterbang warga Jerman itu terselamat manakala tiga mangsa lain yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita dilaporkan hilang.
Ketika kejadian, helikopter milik seorang ahli korporat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada pukul 8.57 pagi itu dalam penerbangan ke Nanga Merit, Kapit dipercayai untuk melawat projek bagi sebuah sekolah di kawasan itu.
Jarak antara lokasi kejadian dengan KIA kira-kira 190 kilometer.
Juruterbang, Rico Steger, 35, dikatakan terapung sebelum dibawa arus Laut China Selatan selama empat jam, kira-kira 20 kilometer dari lokasi terhempas.

Rakan maut, Koperal didakwa


KLANG – Kematian Koperal Mustaghini Tabri yang pada mulanya dipercayai akibat dirempuh dan dilibas dua pelesit rempit dalam satu operasi pada Jun lalu bertukar kepada satu dakwaan kecuaian oleh rakan sekerja mangsa sehingga membunuh anggota polis trafik berkenaan.
Tertuduh Koperal Mohd. Sedi Mat, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Hurman Hussain di sini semalam atas tuduhan membunuh tanpa niat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
Mohd. Sedi sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh namun kemudian tuduhan terhadapnya diubah kepada Seksyen 304 kanun sama.
Dia didakwa menyebabkan kematian Mustaghini, 58, iaitu melakukan perbuatan gopoh atau cuai sehingga menyebabkan kematian mangsa di Jalan Lingkungan, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang di sini pukul 1.45 pagi pada 3 Jun lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Serambi Mekah' jadi sarang arak


SEBAHAGIAN arak dan tuak masam yang dirampas di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Arak yang menjadi antara barangan larangan keras dijual kepada orang Islam di Kelantan kini begitu mudah diperolehi di sini.
Hanya dengan beberapa kod rahsia, bekalan arak dikesan boleh dibeli secara mudah di deretan rumah di Kampung Cina di sini pada harga serendah RM3 sebungkus dan difahamkan majoriti pelanggan terdiri daripada kalangan orang Islam.
Senario yang mencemarkan imej negeri ini yang digelar Serambi Mekah terbongkar selepas lima premis di kawasan tersebut diserbu dalam operasi bersepadu melibatkan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Kastam dan Polis Diraja Malaysia petang kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang itu, premis terbabit didapati bukan sahaja menjual arak jenis bir di dalam botol dan tin tetapi turut memproses tuak masam iaitu air nira yang diperam.
Setiausaha MPKB-BRI, Mohd. Anis Hussin memberitahu, pada hujung tahun lepas, pihaknya telah membuat serbuan terhadap lima premis tersebut dan mengenakan denda kerana beroperasi tanpa lesen.

2 lelaki cedera ditembak ketika elak sekatan polis

KUALA LUMPUR - Dua lelaki cedera ditembak apabila cuba melarikan diri daripada ditahan polis di Plaza Tol Sunway dari arah Puchong, dekat sini malam tadi.
   
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan selepas mereka dan seorang lagi rakan yang menaiki kereta Honda Civic bertindak mengundurkan kereta sehingga merempuh kenderaan yang dinaiki anggota polis.
   
Beliau berkata dua daripada tembakan terkena cermin hadapan, mencederakan bahu kiri pemandu, manakala satu lagi tembakan yang mengenai pintu depan turut mencederakan bahagian pinggang penumpang di sebelahnya.
   
"Ketika kejadian, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang sedang melakukan rondaan dan terlihat sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di Bandar Kinrara.
   
"Polis mengekori kereta itu sehingga ke Plaza Tol Sunway. Bila terlihat sebuah lagi kereta peronda polis cuba menghalang, suspek bertindak merempuh kenderaan di hadapan sebelum berundur dan menghentam kenderaan anggota kami, menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
   
Yahaya berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki ketiga-tiga suspek berumur antara 16 dan 24 tahun itu dipercayai dicuri di Kelana Jaya pada 4 Jun berdasarkan nombor pendaftaran palsu yang digunakan, manakala pemandunya mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan samun dan curi kereta.
   
"Dua suspek yang terkena tembakan adalah penganggur manakala seorang lagi rakan mereka didapati masih bersekolah," katanya dan menambah tiada sebarang senjata atau barang kes dijumpai di dalam kenderaan itu.
   
Suspek yang cedera berada dalam keadaan stabil di Hospital Serdang dan ketiga-tiga mereka akan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya. - Bernama

2 lelaki cedera ditembak ketika elak sekatan polis

KUALA LUMPUR - Dua lelaki cedera ditembak apabila cuba melarikan diri daripada ditahan polis di Plaza Tol Sunway dari arah Puchong, dekat sini malam tadi.
   
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan selepas mereka dan seorang lagi rakan yang menaiki kereta Honda Civic bertindak mengundurkan kereta sehingga merempuh kenderaan yang dinaiki anggota polis.
   
Beliau berkata dua daripada tembakan terkena cermin hadapan, mencederakan bahu kiri pemandu, manakala satu lagi tembakan yang mengenai pintu depan turut mencederakan bahagian pinggang penumpang di sebelahnya.
   
"Ketika kejadian, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang sedang melakukan rondaan dan terlihat sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di Bandar Kinrara.
   
"Polis mengekori kereta itu sehingga ke Plaza Tol Sunway. Bila terlihat sebuah lagi kereta peronda polis cuba menghalang, suspek bertindak merempuh kenderaan di hadapan sebelum berundur dan menghentam kenderaan anggota kami, menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
   
Yahaya berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki ketiga-tiga suspek berumur antara 16 dan 24 tahun itu dipercayai dicuri di Kelana Jaya pada 4 Jun berdasarkan nombor pendaftaran palsu yang digunakan, manakala pemandunya mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan samun dan curi kereta.
   
"Dua suspek yang terkena tembakan adalah penganggur manakala seorang lagi rakan mereka didapati masih bersekolah," katanya dan menambah tiada sebarang senjata atau barang kes dijumpai di dalam kenderaan itu.
   
Suspek yang cedera berada dalam keadaan stabil di Ho

Lelaki dicekup cuba curi kompresor penyaman udara

Lelaki dicekup cuba curi kompresor penyaman udara
Suspek berusia 42 tahun berjaya dicekup ahli CP ketika cuba mencuri kompresor penyaman udara di sebuah restoran di Pandan Indah, awal pagi semalam.
PUCHONG – Masih tidak serik apabila seorang lelaki yang pernah lima kali dipenjara kerana melakukan pelbagai kesalahan sekali lagi melakukan jenayah mencuri kompresor penyaman udara di sebuah restoran di Pandan Indan, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, niat jahat lelaki berusia 42 tahun itu terbantut apabila dia dicekup ahli Kepolisan Masyarakat (CP) yang membuat intipan di kawasan komersial kira-kira jam 3.02 pagi di Lorong 4/6 A.

Difahamkan, kegiatan kecurian itu berleluasa sejak seminggu lalu menyebabkan ahli CP berkenaan nekad mengadakan intipan sejak lima hari lalu. Sinar Harian dimaklumkan, sekurang- kurangnya enam kes kecurian dilaporkan berlaku dalam tempoh itu semuanya membabitkan kerugian kepada pemilik premis komersial .

Dengan bantuan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipantau dari rumah, suspek akhirnya berjaya diberkas ketika leka mengumpil sebuah kompresor di sebuah restoran terletak di lorong sama.

Ketua Biro Aduan Puchong yang juga Pengerusi Persatuan CP Selangor, Kuan Chee Heng berkata, peniaga mendakwa resah apabila kes kecurian berleluasa di kawasan itu.

Menurutnya, anggota CP kemudian melakukan intipan di kawasan itu pada waktu awal pagi, namun pada peringkat awal gagal mengesan pergerakan suspek.

Beliau berkata, kerjasama peniaga yang mempunyai CCTV, pemantauan dibuat sebelum kelibat suspek berjaya dikesan dan ahli CP mencekupnya ketika melakukan jenayah terbabit.

“Pemeriksaan polis didapati suspek mempunyai lima kes lalu membabitkan jenayah pecah rumah, samun bersenjata dan curi serta pernah lima kali dipenjara dan terakhir pada 2008 lalu,” katanya.

Penduduk bimbang kejadian jenayah berulang

Penduduk bimbang kejadian jenayah berulang
Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chon Siang menunjukkan keadaan kereta milik mangsa yang kehilangan tayar setelah dikebas pencuri.
KUANTAN - Penduduk Lorong Galing 132, Air Putih di sini berada dalam kebimbangan ekoran beberapa kejadian jenayah yang berlaku di kawasan itu dalam tempoh dua minggu.

Sepanjang tempoh itu, seorang wanita nyaris diragut dua lelaki bermotosikal di hadapan rumahnya manakala dalam kejadian awal pagi kelmarin, dua kenderaan milik penduduk di situ menjadi mangsa.
Dalam kejadian dipercayai berlaku awal pagi itu, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax dipecahkan cermin tingkap manakala sebuah lagi kereta jenis Produa Myvi hilang dua tayar disyaki angkara pencuri.

Salah seorang mangsa, Low Yee Lan 46, berkata, dia kini masih trauma dengan kejadian ragut yang dilaluinya kira-kira dua minggu lalu dan sejak itu dia takut untuk bersendirian di depan rumah walaupun pada waktu siang.

Menurutnya, sejak itu juga dia tidak lagi memakai barang kemas dan sentiasa curiga dengan kelibat individu yang lalu-lalang di lorong tersebut.

Menceritakan kejadian, Yee Lan berkata, ketika itu dia berada di hadapan rumah sedang menyidai baju sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal bertanyakan arah jalan.

Menurutnya, dua lelaki yang berpakaian kemas itu turut membawa bersama sepucuk surat dan satu bungkusan kononnya untuk dihantar ke lokasi yang dinyatakan.

“Bila saya pulangkan sampul itu, lelaki tersebut tibatiba menghulurkan tangan lalu cuba menarik rantai leher yang saya pakai hingga nyaris tersungkur,” katanya.

Katanya, dia sempat melepaskan diri dan berlari masuk ke dalam rumah.

“Bila saya cuba menjerit, barulah dua lelaki itu beredar,” katanya.
Sementara itu, Cheong Poon Sin, 66, berkata, kenderaan pacuan empat roda milik anaknya, Foo, 34 dipecahkan pencuri awal pagi Rabu lalu sebelum disedari kira-kira jam 7 pagi hari yang sama.

“Ketika anak saya hendak pergi kerja, dia ternampak cermin tingkap pecah seperti diketuk menggunakan benda keras,”katanya.

Bagi Liang In Thar, 43, ibu kepada pemilik Produa Myvi yang kehilangan dua biji tayar pula memberitahu, anaknya meletakkan kereta yang dibelinya sejak sebulan lalu itu di tepi jalan berhadapan dengan pagar rumah kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

“Kehilangan dua tayar keretanya itu disedari kira-kira jam 8 pagi ketika dia pergi ke keretanya untuk menghidupkan enjin,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, kejadian yang dilaporkan itu berlaku kerana wujudnya peluang untuk penjenayah bertindak.

Menurutnya, kes tersebut tidak membawa gambaran bahawa kejadian jenayah di sini berlaku secara berleluasa sebaliknya keadaan masih terkawal.

“Penjenayah sentiasa mencari kesempatan dan peluang untuk bertindak dan pihak polis juga tidak dapat menjaga satu-satu kawasan itu sepanjang masa,” katanya.

Katanya, tanggungjawab menjaga keselamatan bukan hanya terletak atas bahu polis semata-mata sebaliknya peranan bersama termasuk Kawasan Rukun Tetangga KRT), Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), komuniti dan individu itu sendiri.

Tiga lori ’telan’ diesel ditahan

Tiga lori ’telan’ diesel ditahan
Mohd A Aruwan (tengah) ditunjukkan bahagian yang dipercayai tempat untuk mengisi minyak ke dalam tangki tambahan pada lori yang ditahan.
KUANTAN - Kapasiti tangki digunakan tidak melebihi 250 liter diesel namun bagi tiga buah lori yang berhenti mengisi bahan api itu di sebuah stesen minyak di Balok dekat sini jumlah yang diisi pemandunya lebih daripada had maksimum.

Keupayaan luar biasa ketiga- tiga lori tersebut ‘menelan ‘ diesel subsidi menimbul kecurigaan tiga anggota Task Force Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang yang kebetulan singgah membuat pemantauan.

Tanpa disedari, ketiga-tiga lori seberat satu, tiga dan lima tan itu diekori hingga ke sebuah stesen minyak lain di Jalan Beserah di sini dan pemandunya sekali lagi singgah mengisi minyak dalam kapasiti yang agak besar.

Curiga dengan tindak tanduk pemandu lori tersebut, pegawai terbabit menahan lori terbabit kira-kira jam 4.45 petang semalam untuk pemeriksaan dan mendapati kesemua lori terbabit mempunyai tangki tambahan di bahagian kargo, setiap satu mampu mengisi 2,000 hingga 5,000 liter diesel.

Pengarah PPDNKK Pahang, Mohd A Aruwan Abdul Aziz berkata, susulan penahan itu, ketiga-tiga lori bersama pemandu berusia 34 hingga 42 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya hasil siasatan mendapati, ketiga-tiga lori terbabit datang dari sebuah negeri pantai barat semata-mata untuk mengumpul diesel subsidi di sini sebelum dijual kepada pihak industri dan pengendali jentera berat di negeri tersebut dengan harga lebih tinggi.

“Berdasarkan kepada kapasiti tangki haram pada lori terbabit, kita jangkakan tempoh untuk memenuhinya memakan masa sehingga empat hari.

“Bagaimanapun cubaan mereka untuk menyeleweng 10,000 liter minyak subsidi (berdasarkan kapasiti tangki) berjaya dipatahkan pegawai PPDNKK Pahang hari ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd A Aruwan berkata, pihaknya tidak dapat menentukan jumlah diesel yang ada dalam ketiga-tiga tangki lori tersebut bagaiman pun percaya anggota sindiket itu sudah mengisi hampir separuh tangki.

“Pemilihan Pahang sebagai lokasi kegiatan ini masih dalam siasatan namun tidak menolak ia didalangi sindiket tertentu dan bergerak ke seluruh negeri sama ada secara serentak atau berperingkat.

“Bagaimanapun kita yakin, semua lori ini akan kembali ke pusat mereka selepas semua tangki penuh dan tidak menolak kemungkinan akan kembali
lagi jika keadaan ‘selamat’, katanya.

Beliau berkata, sindiket ini juga cuba mengelabui mata pihak berkuasa apabila menggunakan dua lori kabin dan sebuah lori kecil ditutupi kanvas untuk melindungi tangki haram yang digunakan.

“Kes ini masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Bekalan 1961. “Jika didapati bersalah, bagi individu mereka boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun manakala bagi kes berulang, denda sehingga RM250,000 dan tidak lebih tiga tahun penjara,” katanya.

Menurutnya, bagi syarikat atau perbadanan denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Ibu didenda buka tempat hiburan

Ibu didenda buka tempat hiburan
Nurhayati dibawa keluar dari mahkamah semalam.
GEORGETOWN - Seorang wanita didenda RM3,000 setelah mengaku bersalah kerana mengadakan hiburan awam tanpa lesen di sebuah pusat hiburan di Lintang Batu, Batu Lanchang.

Nurhayati Abwan Maidy, 29, yang mempunyai empat anak ditahan ketika polis menyerbu premis berkenaan kira-kira jam 1.40 pagi, 9 Julai lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 6 (1) (a) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Awam 1998 iaitu 'hiburan muzik' dalam premis yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (2) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun serta denda tidak melebihi RM20,000.

Nurhayati yang memakai kemeja T dan seluar jeans dalam rayuan memohon mahkamah meringankan hukuman kerana mempunyai tanggungan anak.

Majistret Noor Aini Yusof kemudian mendendanya RM3,000 atau penjara tiga bulan jika gagal menjelaskannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim.

Penyeludup bertindak samseng

Penyeludup bertindak samseng
Seorang pegawai polis menunjukkan beberapa jenis mercun dan bunga api yang berjaya dirampas, kelmarin. Lori tiga
Penyeludup bertindak samseng
Lori tiga tan yang membawa muatan mercun dan bunga api dibawa ke IPD Lipis.
KUALA LIPIS - Tiga penyeludupmercun bertindak nekad cuba merempuh seorang anggota polis berpangkat koperal dalam usaha melepaskan diri daripada ditahan.

Tindakan tiga lelaki itu yang menaiki kereta jenis Proton Wira cuba menghimpit motosikal yang ditunggang polis berkenaan beberapa kali menyebabkan anggota terbabit terpaksa melepaskan dua das tembakan amaran.

Salah satu das tembakan dipercayai terkena bahagian bahu seorang penumpang kereta tersebut, namun ketika-tiga suspek berjaya melarikan diri.

Terima maklumat awal

KETUA Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, sebelum kejadian berlaku, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menerima maklumat awal kira-kira jam 10.15 pagi, terdapat sebuah lori berkepala putih dipercayai membawa bekalan dadah akan melalui daerah ini.

Menurutnya, dua anggota berpangkat koperal dari Cawangan Narkotik IPD Lipis kemudiannya diarah membuat pemerhatian di Pondok Polis Bantuan Kechau 8.

“Kira-kira jam 4.30 petang, sebuah lori tiga tan yang disyaki membawa bekalan dadah datang dari arah Felda Kechau menghala ke Kuala Lipis telah melalui pondok polis berkenaan.

“Anggota polis terbabit dengan dibantu beberapa polis bantuan telah menahan lori tersebut dan meminta pemandu lori bersama seorang kelindan turun untuk pemeriksaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, dalam masa sama sebuah kereta Wira yang dipandu seorang lelaki bersama dua penumpang dari arah Kuala Lipis berhenti di pondok polis berkenaan.

Menurutnya, salah seorang penumpang kemudiannya turun dan meminta anggota polis melepaskan lori tersebut.

“Anggota polis kemudiannya meminta lesen pemandu lori berkenaan, namun gagal diberikan, malah mereka juga tidak memberi alasan kukuh untuk terlepas daripada pemeriksaan tersebut.

“Salah seorang penumpang kereta kemudiannya memberi isyarat kepada pemandu serta kelindan lori supaya beredar dan mereka berjaya melarikan diri dengan kenderaan masing- masing,” katanya.

Dihimpit beberapa kali

ABDUL RAZAK berkata, melihat tindakan drastik pemandu lori dan kereta Wira yang cuba melarikan diri dari sekatan, seorang anggota polis berpangkat koperal telah mengejar dua kenderaan terbabit dengan motosikal.

Menurutnya, seorang lagi anggota polis bertindak meminta bantuan dari IPD Lipis untuk menahan lori dan kereta berkenaan.

“Anggota polis itu telah mengejar kenderaan suspek sejauh kira-kira 15 kilometer di Jalan Kuala Lipis- Jerantut dan sepanjang usaha mengejar itu, motosikal anggota terbabit telah dihimpit beberapa kali oleh kereta Wira dan nyaris mengakibatkan kemalangan,” katanya.

Abdul Razak berkata, ketika sampai di Kampung Jeram Bungor, anggota polis itu bertindak melepaskan satu das tembakan ke udara sebagai tanda amaran selain meminta pemandu kereta dan lori itu berhenti.

“Bagaimanapun, pemandu kereta bertindak nekad dengan menghimpit anggota polis itu sekali lagi. Anggota polis itu kemudiannya melepaskan tembakan kedua ke arah tayar kereta berkenaan.

“Kita tidak pasti tembakan kedua itu terkena atau tidak tayar kereta tersebut, namun kedua-dua kenderaan terbabit hilang dari pandangan,” katanya.

Lori tersekat dalam lumpur

ABDUL RAZAK berkata, kira-kira jam 9.45 malam, anggota polis dari Balai Polis Kerambit menerima maklumat orang awam mengenai sebuah lori yang tersekat dalam lumpur di kebun getah di Kampung Jeram Landak.

Menurutnya, bertindak atas laporan, sepasukan polis dari Cawangan Narkotik IPD Lipis ke tempat dinyatakan untuk membuat pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 83 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis. Bagaimanapun pemandu dan kelindan lori itu berjaya melarikan diri.

“Kita percaya mercun dan bunga api tersebut diseludup dari negara jiran untuk pasaran luar,” katanya.

Seorang suspek cedera

ABDUL RAZAK berkata, kira-kira jam 12.45 tengah malam, pihak IPD Lipis menerima maklumat daripada IPD Pasir Mas, Kelantan, mengenai seorang lelaki berusia 49 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas dipercayai terkena tembakan di bahagian bahu kanan.

"Kira-kira jam 2.15 pagi, pegawai polis dari IPD Pasir Mas telah menahan tiga lelaki di Hospital Pasir Mas.

“Suspek masing-masing berusia 49, 33, dan 26 tahun itu berasal dari Pasir Mas dan kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Abdul Razak berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari dan polis sedang mengumpul maklumat bagi mengesan dua lagi suspek yang juga pemandu dan kelindan lori yang berjaya melarikan diri.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun dan sebatan.

17 GRO ditahan Imigresen -

Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Muar, semalam.
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Muar, semalam.
SENAI – Seramai 17 pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang sedang leka melayan pelanggan ditahan dalam serbuan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Negeri Johor di sebuah pusat hiburan, makanan dan minuman di Muar awal pagi, semalam.

Serbuan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (II), Amzari A Jalil bersama 15 anggota yang memulakan operasi sekitar jam 1.15 pagi.

Dalam satu kenyataan, Amzari memberitahu, serbuan itu dijalankan hasil maklumat dari orang awam dengan menjalankan pemeriksaan ke atas 39 orang  dan 17 daripada mereka ditahan manakala selebihnya dibebaskan kerana memiliki MyKad sah.

“Seramai 14 daripada yang ditahan merupakan wanita warga Vietnam, manakala tiga wanita lagi berasal dari Indonesia.

“Kesemua yang ditahan berumur di antara 21 hingga 35 tahun setelah disyaki melakukan kesalahan 39B iaitu salah guna pas dan permit.

“Sementara seorang daripada mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah 56(1)(l) kerana memiliki cop palsu atau pelekat palsu,” katanya.

Amzari berkata, kesemua yang ditahan turut disiasat di bawah akta Imigresen 1959/63, Akta Atipsom 2007 dan Akta Pasport 1960.

Katanya, kebanyakan dari mereka yang ditahan mengaku sudah berada di premis berkenaan dalam tempoh sebulan hingga enam bulan untuk bekerja menggunakan pas lawatan sosial.  

“Dalam serbuan berkenaan, kita turut menahan seorang warga tempatan berumur 46 tahun yang merupakan penjaga premis kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55B kerana mengambil pekerja asing tanpa permit,” katanya.

Dicekup sewaktu asyik membeli nombor ekor

Dicekup sewaktu asyik membeli nombor ekor
Lelaki warga Indonesia (kanan) asyik membeli nombor
ekor ketika dicekup anggota Imigresen.

LANGKAP, HILIR PERAK - Keasyikan warga asing membeli nombor ekor di premis nombor ramalan terganggu apabila dia dikejutkan dengan serbuan anggota Imigresen di sini, dalam Ops 6P petang kelmarin.

Lelaki warga Indonesia itu cuba meloloskan diri namun gagal dan dia ditahan bersama-sama 14 yang lain dalam ops berkenaan yang dijalankan di tiga premis nombor ramalan di kawasan itu.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, 11 daripada warga asing ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.

Menurutnya, kebanyakan warga asing yang ditahan ketika mereka sedang membeli nombor ekor.

"Mereka yang ditahan berumur antara 20 hingga 38 tahun dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.

“Dalam serbuan ke atas premis nombor ramalan itu, pihak kami berjaya menahan empat lelaki warga Bangladesh, satu lelaki Nepal dan enam lelaki Indonesia.

“Kesemua mereka ini dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Langkap untuk tindakan dokumentasi oleh pihak kami sebelum tindakan seterusnya diambil,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di Depot Tahanan Imigresen Langkap, di sini, malam kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Khairul Anuar berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah tapak pembinaan di kawasan Langkap dan memeriksa 17 orang warga asing yang dipercayai pekerja tapak pembinaan itu.

Katanya, daripada 17 yang diperiksa sembilan daripada mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta dan Peraturan- Peraturan Imigresen 1959/63.

"Daripada jumlah yang ditahan, dua wanita dan tujuh lelaki warga Indonesia berusia antara 20 hingga 38 tahun.

“Ketika serbuan yang dijalankan, ada daripada pekerja asing ini cuba melarikan diri namun usaha mereka gagal apabila berjaya dicekup oleh anggota Imigresen.

“Kesemua warga asing itu bawa ke Depot Tahanan Imigresen Langkap untuk tujuan pendokumentasian dan siasatan juga dilakukan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

Leka masak daun ketum

Leka masak daun ketum
Anggota polis menunjukkan barangan yang dirampas dalam serbuan itu.
TELUK INTAN - Seorang penganggur yang sedang leka memasak daun ketum untuk dijadikan air rebusan sebelum menjualnya terkedu apabila rumahnya diserbu sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Nakortik Daerah di Kampung Belt, dekat sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi kelmarin, pihaknya membuat serbuan ke atas premis tersebut yang disyaki menjadi 'port' menjual air ketum.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, lelaki berusia 45 tahun itu yang sedang sibuk memasak daun ketum sewaktu kehadiran polis.

"Lelaki terbabit turut memberitahu dia adalah pemilik premis itu dan disyaki terlibat dalam aktiviti memproses serta menjual air ketum yang berada di luar rumah tersebut," katanya.

Tambahnya, anggotanya telah menjalankan pemeriksaan di kawasan luar dan dalam rumah tersebut dan menjumpai beberapa alatan yang disyaki digunakan untuk memproses serta menjual air ketum.

“Kami menjumpai satu unit bekas plastik berwarna hitam di dalamnya mengandungi 20.5 kilogram daum ketum, satu periuk logam besar yang berisi 25 kilogram campuran daun-daun ketum bersama-sama air ketum yang telah dimasak.

“Selain itu, satu unit dapur beserta tong gas dan alat penimbang serta plastik berwarna merah yang mengandungi 14 peket plastik berisi air ketum masing-masing mengandungi 450 mililiter setiap satu turut ditemui,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Mohamad Zaki berkata, siasatan lanjut mendapati premis itu dijadikan tempat penjualan air ketum untuk penduduk sekitar Labu Kubong dan Chenderong Balai sejak beberapa bulan lalu.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati suspek berjaya menjual antara 80 hingga 100 paket air ketum yang berharga RM3 sepeket dalam tempoh satu hari.

"Semua barangan kes yang dijumpai dalam premis tersebut dirampas dan suspek dibawa ke IPD Hilir Perak untuk siasatan lanjut.

“Hasil daripada ujian saringan awal mendapati air kencing suspek negatif tanpa sebarang kandungan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3)/(5) Akta Racun 1952 (Semakan 1989) yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Dibaling molotov cocktail -

Dibaling molotov cocktail
Molotov cocktail yang dibaling dua lelaki tidak dikenali.
Dibaling molotov cocktail
Swee Kong (kanan) bersama Ah Kwai menunjukkan tempat di mana molotov cocktail itu dibaling.
IPOH - Detik cemas dihadapi seorang tukang urut apabila laman rumahnya menjadi sasaran 'molotov cocktail' yang dibaling dua lelaki tidak dikenali sehingga menyebabkan kereta jenis Nissan Sentra miliknya rosak dalam kejadian di Taman Desa Kencana, Bercham, di sini, lewat malam kelmarin.

Mangsa, Ho Ah Kwai, 59, memaklumkan, kejadian berlaku pada 12.30 tengah malam sewaktu dia baru menuju ke bilik tidur selepas menonton televisyen di ruang tamu.

Menurutnya, sebelum sempat masuk ke bilik tidur, dia terdengar jirannya menjerit menyuruhnya keluar dari rumah.

"Saya terkejut lalu bergegas keluar. Ketika itu saya lihat api semakin marak berhampiran kereta dan dalam keadaan panik saya pasang paip air dan cuba memadamkan api dengan bantuan jiran.

"Api berjaya dipadamkan 10 minit kemudian dan saya difahamkan dua lelaki menaiki motosikal berhenti di depan rumah lalu membaling bahan letupan," katanya ketika ditemui, di sini.

Tambahnya, semasa kejadian, seorang pemandu teksi kebetulan melalui kawasan rumahnya, lalu berhenti dan menyergah kedua-dua lelaki terbabit, menyebabkan mereka terkejut lalu melarikan diri.

"Pemandu teksi turut membantu saya memadamkan kebakaran namun usahanya gagal kerana pin keselamtan alat pemadam api yang digunakannya gagal dicabut.

"Saya tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi itu. Anggaran kerugian ke atas kereta saya adalah kira-kira RM1,000, melibatkan kerosakan pintu kiri dan tayar belakang sebelah kiri.

Beliau juga tidak tahu motif kejadian kerana mendakwa tidak mempunyai musuh dan berharap sesiapa yang mempunyai masalah dengannya dapat
berbincang secara elok.

"Saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Bercam sejurus selepas kejadian," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Rukun Tetangga Bercham, Tan Swee Kong berkata, kejadian seumpama itu kali pertama berlaku dan berharap rondaan polis dibuat lebih kerap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kes ini disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api.

Pekerja kilang dituduh rogol

AYER KEROH – Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang pelajar tingkatan satu, tahun lalu.

Shahruddin Ramli, 37, dari Pengkalan Rama Pantai membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan, Shahruddin didakwa merogol seorang perempuan berusia 13 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Desa Duyong pada jam 9.10 malam, awal April 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menanggung keluarga. Ahmad Sazali membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan sebutan semula kes pada 16 Ogos depan.

Lelaki lari masuk hutan

KRUBONG, MELAKA - Cuak melihat sekatan jalan raya polis, seorang lelaki sanggup melarikan diri ke dalam hutan meninggalkan motosikalnya di Taman Krubong Jaya, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki terbabit lari selepas dikejar beberapa anggota polis, meninggalkan motosikal jenis Honda Wave bersama sebuah beg berisi sebilah parang kira-kira 100 meter dari lokasi sekatan dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, beg itu turut mengandungi beberapa barang lain dipercayai untuk pecah rumah.

“Lelaki terbabit dilihat meninggalkan motosikalnya sebelum tiba di lokasi sekatan dan melarikan diri menuju hutan berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sebilah parang dan beberapa barangan lain yang dirampas untuk tindakan lanjut dan kami akan mengesan pemilik motosikal terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Operasi Cegah Jenayah yang dilakukan sepasukan empat pegawai dan 15 anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dengan kerjasama unit peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Balai Polis Tanjung Minyak, bermula kira-kira jam 11.30 malam, kelmarin.

Ahmad Adnan berkata, operasi itu bertujuan membanteras jenayah di taman perumahan di negeri ini.

Dua daripada tiga lelaki yang meragut seutas rantai seorang wanita diberkas polis

Dua daripada tiga lelaki yang meragut seutas rantai seorang wanita diberkas polis
Motosikal yang dinaiki suspek.
LUKUT, PORT DICKSON – Tindakan tiga lelaki yang meragut seutas rantai milik seorang wanita di luar kediamannya di Taman Sri Lukut, dekat sini, membawa padah apabila dua daripada mereka berjaya diberkas dalam masa sejam, semalam.

Ketua Polis Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang, tiga lelaki berkenaan menaiki dua motosikal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa berseorangan di luar kawasan pagar rumahnya untuk mengambil simen dan tiba-tiba didatangi suspek.

Menurutnya, salah seorang daripada suspek bertindak turun dari motosikal dan menarik rantai emas yang dipakai mangsa hingga putus.

“Mangsa kemudian menjerit meminta tolong dan jeritannya didengari suaminya yang berada di dalam rumah.

“Suami mangsa kemudian mengambil batu untuk mempertahankan diri sebelum kesemua suspek melarikan diri,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Abd Wahab berkata, suami suspek kemudian menghubungi balai polis untuk mendapatkan bantuan.

“Polis yang menerima maklumat berkenaan segera melancarkan operasi dan suspek berjaya diberkas di jalan Seremban-Port Dickson berhampiran sebuah pasarraya tidak sampai satu jam kemudian.

“Walau bagaimanapun, salah seorang daripada mereka berjaya meloloskan diri dengan menunggang motosikal bersama rantai emas yang diragutnya," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan esok (hari ini) kedua-dua suspek akan akan dibawa ke Mahkamah Majistret, Port Dickson untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Abd Wahab berkata kejayaan polis melakukan tangkapan ke atas suspek jenayah dalam masa yang singkat berikutan maklumat segera yang disalurkan oleh suami mangsa.

“Oleh itu, orang ramai yang menjadi mangsa jenayah dinasihatkan untuk segera melaporkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya.

"Maklumat segera ini sangat membantu polis dalam usaha membanteras jenayah,” katanya.

Sinar Harian difahamkan berlaku insiden perlanggaran antara kereta peronda dan motosikal suspek ketika operasi memberkas suspek berkenaan. Suspek hanya mengalami luka ringan sementara anggota polis tidak cedera.