Search This Blog

Friday, July 20, 2012

Pelajar terkena peluru sesat

Pelajar terkena peluru sesat
KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang pelajar tingkatan empat ingin mengambil sarang burung di atas sebatang pokok membawa padah setelah dia terkena peluru sesat di Kampung Kuala Kejir, Kuala Berang, 2 Julai lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, mangsa berusia 16 tahun bersama seorang lagi rakannya memanjat sebatang pokok untuk mengambil sarang burung sebelum terdengar bunyi tembakan kuat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, mangsa hanya menyedari bahu kirinya berdarah selepas beberapa saat tembakan dilepaskan sebelum membuat keputusan membatalkan hasratnya mengambil sarang burung berkenaan.

“Panik melihat darah yang banyak dari bahu kirinya, mangsa terus turun dari pokok dan ketika itu dia terserempak dengan seorang lelaki dikenalinya iaitu suspek, 46, yang hanya menyoal adakah dia terkena tembakan.

“Mangsa yang ketakutan tidak menghiraukan pertanyaan suspek lalu pulang ke rumah dengan tidak menceritakan kepada sesiapa mengenai kecederaannya itu, termasuk keluarganya sendiri,” katanya.

Bagaimanapun katanya, disebabkan tidak tahan menanggung kesakitan, mangsa terpaksa memaklumkan kepada ibunya pada malam kejadian sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan di Bukit Payong untuk mendapatkan rawatan.

“Setibanya di klinik, doktor berjaya mengeluarkan sebiji peluru dari bahu kiri mangsa yang dipercayai dilepaskan oleh suspek menggunakan senapang patah,” katanya. Manoharan berkata, pada awalnya keluarga mangsa berbincang dengan suspek tidak akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dengan syarat, suspek perlu membayar sejumlah wang sebagai ganti rugi dan syarat berkenaan dipersetujui.

“Mungkin disebabkan tidak berpuas hati terhadap suspek yang tidak menepati janji, keluarga mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang, kelmarin iaitu kira-kira jam 4.45 petang,” katanya.

Menurutnya, susulan laporan dibuat, suspek yang juga tinggal di kampung sama ditangkap pada jam 10 malam kelmarin di kediamannya.

“Pihak kami turut merampas selaras senapang patah dan beberapa butir peluru serta buku lesen senjata api milik suspek,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang menyalahgunakan senjata api miliknya untuk memburu.

“Suspek kini direman sehingga 22 Julai untuk disiasat di bawah Seksyen 8b Akta Senjata Api dan Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan,” katanya.

Pada masa sama, Manoharan mengingatkan pemilik lesen senjata api terutamanya anggota Rela, jangan sesekali menyalahgunakan senjata berkenaan terutama untuk memburu.

Amah mati jatuh tingkat 14

SINGAPURA - Seorang pembantu rumah Indonesia maut selepas terjatuh dari tingkat 14 sebuah rumah pangsa di Marine Drive, Singapura, kelmarin.

Polis melaporkan orang ramai menemui mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Ani bersama sehelai coli di sisinya pada jam 7 pagi.

“Wanita berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” menurut jurucakap polis.

Dalam satu kenyataan, Kaunselor Kedutaan Indonesia di Singapura, Sukmo Yuwono berkata, mangsa baru sahaja tiba di republik itu awal bulan ini dan mula bekerja di rumah majikannya pada 9 Julai lalu.

“Kami mahu Kementerian Tenaga Manusia dan polis Singapura menjalankan siasatan terperinci terhadap punca kejadian itu,” katanya.

Lagi kes sami bakar diri bantah kerajaan

BEIJING - Seorang sami berumur 18 tahun maut selepas membakar diri kerana tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan China sejak 16 bulan lalu.

Menurut polis, Lobsang Lozin dari biara Gyalrong Tsodun Kirti meninggal dunia, kelmarin, apabila api membakar keseluruhan badannya.

Penduduk tempatan turut menghalang polis dari menghampiri mangsa.

Kempen Antarabangsa untuk Tibet melaporkan, seramai 42 penduduk di rantau tertinggi dunia itu terbunuh selepas membakar diri sejak tercetusnya bantahan terhadap undang-undang kerajaan yang dilihat bercirikan penindasan bermula Mac tahun lalu.

23 kes jenayah selesai, tujuh anggota Geng Muhibbah diberkas

Tun Hisan Tun Hamzah menunjukkan cara menggunakan mesin pendua kunci yang dirampas dalam kejadian rompakan di Taman Desawan, Klang, di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 17 Julai - Polis percaya telah menyelesaikan 23 kes jenayah di beberapa negeri termasuk Selangor selepas memberkas tujuh anggota penjenayah bersenjata dikenali sebagai 'Geng Muhibbah' termasuk ketuanya dalam dua serbuan di sekitar Klang dekat sini pada 19 Jun dan 4 Julai lalu.
Dalam serbuan pada 19 Jun lalu di sebuah kondominium di Pelabuhan Klang dekat sini, empat suspek termasuk seorang wanita diberkas sementara serbuan kedua pula di Taman Desawan, Klang Jaya, tiga lagi suspek ditahan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kes samun kediaman dan curi kereta di beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.
Beliau berkata, anggota kumpulan penjenayah itu amat dikehendaki kerana selain menyamun mereka bertindak ganas terhadap mangsa yang melawan.
Menurut beliau, dengan tertangkapnya tujuh anggota kumpulan itu, pihaknya percaya telah menyelesaikan 23 kes iaitu sembilan di Selangor, Perak (6), Negeri Sembilan (2), Johor (2) dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Kedah dan Kuala Lumpur.
"Modus operandi kumpulan itu yang ahlinya terdiri daripada orang Melayu, Cina dan India adalah mereka akan masuk ke rumah mangsa dengan bersenjata dan menyamun barangan berharga milik mangsa termasuk kereta. Jika mangsa melawan, akan dicederakan.
"Kita juga berjaya mendapatkan semula beberapa barangan yang disamun kumpulan ini antaranya jam tangan, telefon bimbit, barang kemas, komputer dan lain-lain.
"Kita turut merampas tiga kereta mewah jenis Mercedes-Benz, Toyota Alphard dan Toyota Estima yang dipercayai dilarikan kumpulan itu," katanya kepada pemberita di Pusat Media Selangor di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua suspek yang berusia 22 hingga 38 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau dan ditahan reman bagi membantu siasatan.

Polis serbu pusat pelacuran libatkan warga asing

KUALA LUMPUR 17 Julai - Sebuah pusat pelacuran di Bandar Puteri Puchong di sini, yang dikesan menawarkan khidmat wanita seksi warga asing tanpa memakai seluar dalam bagi melariskan perniagaan, diserbu pihak berkuasa malam tadi.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dan Balai Polis Puchong itu merupakan kali ketiga premis tersebut diserbu sejak awal tahun ini.
Hasilnya dalam serbuan pukul 11 malam itu, polis memberkas 14 wanita warga Vietnam, China dan Thailand yang dipercayai pelacur berusia 20-an hingga 30-an.
Risikan polis mendapati, premis itu mempunyai cawangan di empat lokasi lain sekitar Lembah Klang iaitu Bandar Botanik dan Meru, Klang serta Sunway Mentari, Bandar Sunway dan Subang Jaya.
Difahamkan, pusat itu menawarkan pakej urutan ‘badan ke badan’ atau B2B dengan harga RM110 manakala mandi buih pula RM85.
Menurut Pegawai Turus D7, Balai Polis Puchong, Inspektor Roslin Mohd. Ishak, ketika serbuan dibuat, beberapa pekerja seks dalam keadaan berbogel sedang melayan pelanggan masing-masing.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati kesemua yang ditahan menggunakan pas pelawat untuk masuk ke negara ini.
“Kesemua dokumen mereka masih sah. Ada antara mereka dikesan memasuki negara ini lebih 10 kali.
“Wanita asing tersebut juga dikesan mengambil ubat kuat yang mampu memberi ketahanan untuk melayan lebih 10 pelanggan sehari," katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut.
Menurut Roslin, polis juga menahan 10 pelanggan dan seorang penjaga berusia 20-an hingga 30-an untuk membantu siasatan dalam serbuan itu.
“Turut dirampas pil ekstasi, pelincir, pil pencegah kehamilan dan sejumlah kondom selain menemui 13 bilik yang menyediakan katil khas untuk mandi buih dan B2B," katanya.

200,000 liter diesel dirampas

Abd. Latif Abd. Rahman (kiri) memeriksa saluran paip bagi memindahkan minyak diesel dari lori tangki tempatan (kanan) ke lori tangki berpendaftaran Thailand di Bukit Kayu Hitam, semalam.
KUBANG PASU 17 Julai - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah merampas 200,000 liter diesel bernilai kira-kira RM360,000 yang cuba diseludup ke Thailand selepas menyerbu pusat penyimpanan bahan bakar itu di Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.
Serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu adalah hasil kerjasama UPP dengan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Kubang Pasu.
Komander UPP Kedah, Abd. Latif Abd. Rahman berkata, sindiket itu dikesan mengubah warna minyak diesel daripada oren kepada biru kehitaman bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya, ketika serbuan pihaknya mengesan dua lori tangki sedang memindah diesel.
"Lori tangki berpendaftaran tempatan memindahkan 20,000 liter diesel ke dalam lori tangki Thailand yang mampu memuatkan sehingga 50,000 liter diesel.
"Bekalan ini dipercayai dibawa dari Juru, Pulau Pinang dan tiba di kawasan itu awal pagi semalam manakala lori tangki Thailand pula dipercayai sampai di situ kira-kira pukul 10.30 pagi," katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, tangki besar di pusat itu dipercayai mampu memuatkan 30,000 liter diesel dan dijadikan sebagai tempat simpanan sebelum dipindahkan ke lori tangki Thailand.
"Sindiket itu juga cuba mengaburi pihak berkuasa dengan meletakkan enam tangki berisi minyak hitam yang kononnya mahu menunjukkan operasi mereka tiada kaitan dengan diesel," katanya.
Abd. Latif memberitahu, pengusaha pusat itu cuba membuat helah dengan memaklumkan kepada pihaknya bahawa bahan bakar itu adalah minyak kapal.
"Namun setelah disiasat, bahan bakar itu berbau diesel dipercayai dicampur dengan satu cecair lain bagi mengubah warnanya," katanya.
Tambahnya, hasil serbuan itu, pihaknya turut menahan pemandu lori tempatan dan warga Thailand serta seorang pekerja yang berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.
Kes ini diserahkan kepada PPDNKK untuk tindakan lanjut, katanya.

Polis selamatkan bayi dilarikan amah

Qaleesya Wan Mohd Farid ceria bersama keluarga angkatnya selepas diselamatkan daripada dilarikan oleh pembantu rumahnya di Taman Impian Emas, Johor Bahru, Johor semalam.
KUALA LANGAT 17 Julai - Kecekapan polis berjaya menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan, selepas 36 jam dilarikan oleh pembantu rumah ibu angkatnya di Taman Impian Emas, Skudai, Johor, awal pagi kelmarin.
Bayi itu diselamatkan selepas pembantu rumah tersebut dan suaminya diberkas dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Sri Jenjarom, di sini petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Kuala Langat, Deputi Supritendan Rizani Che Ismail berkata, serbuan dibuat kira-kira pukul 3.30 petang ketika suspek wanita berusia 24 tahun itu berada bersama mangsa di rumah sewanya.
Beliau berkata, selepas 45 minit pembantu rumah itu ditahan, suaminya yang berusia 47 tahun yang kebetulan pulang ke rumah pula diberkas.
"Sebelum serbuan dibuat, kita telah dimaklumkan oleh Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Baharu Utara berkenaan kehilangan bayi berkenaan pada kelmarin dan maklumat yang diperolehi menyatakan yang suspek dan mangsa berada di sekitar Kuala Langat.
"Kami yang bekerjasama dengan polis Johor berjaya menjejaki rumah suspek selepas mendapat maklumat dan sekali gus menyelamatkan mangsa," kata beliau kepada pemberita di sini petang ini.
Menurut beliau, kedua-dua suspek dibawa ke IPD Johor Utara dan akan disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik bayi dari penjaga yang sah.
Menceritakan latar belakang kes, Rizani berkata, bayi berkenaan dipelihara oleh keluarga angkatnya di Taman Impian Emas, Skudai.
Kata beliau, kira-kira pukul 6 pagi kelmarin, pembantu rumah ibu angkat bayi itu dikatakan melarikan mangsa dengan menaiki teksi di hadapan rumah majikannya.
Bagaimanapun katanya, perbuatan wanita itu dilihat oleh anak lelaki majikan suspek dan seterusnya melaporkan kepada ibunya. Satu laporan polis telah dibuat pada hari yang sama bagi memaklumkan kejadian.
Tinjauan Utusan Malaysia di rumah suspek petang ini menemui madu kepada pembantu rumah terbabit yang dikenali sebagai Siami Mat Husin, 43.
Wanita itu mengaku terkejut kerana tidak menyangka bayi yang dibawa pulang oleh suami dan madunya itu sebenarnya dilarikan mereka.
"Saya diberitahu itu anak suami dan madu saya tetapi apabila polis datang, baru saya tahu bayi itu diculik," katanya yang merupakan isteri pertama suspek.
Sementara itu di JOHOR BAHRU, Tunisah Kassim, 41, ibu angkat bayi terbabit, Qaleesya Wan Mohd. Farid tidak menyangka pembantu rumahnya sanggup bertindak demikian.
"Kami dah anggap dia macam saudara kami sendiri," katanya.
Menurut Tunisah, pembantu rumahnya yang dikenali sebagai Megawati tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda mahu melarikan Qaleesya yang dijaganya sejak lahir.
"Pada malam sebelum kejadian dia minta tidur dengan saya dan Qaleesya kerana takut, tetapi bila saya bangun dari tidur keesokan harinya, kedua-dua mereka sudah tiada.
"Pada mulanya saya tak menyangka apa-apa tetapi bila saya lihat beberapa helai baju Qaleesya dan barang milik Megawati sudah tiada, saya tidak sedap hati dan terus membuat laporan polis," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Cedera ditikam penjenayah

KOTA BHARU 18 Julai - Dua sahabat bertindak berani menangkap seorang daripada dua lelaki yang terlibat dalam jenayah curi motosikal di Kampung Gual Jedok, Tanah Merah dekat sini semalam.
Bagaimanapun, usaha murni kedua-dua mereka, Hassan Sapein, 52, dan Mohd. Sazwan Mohd. Nor, 33, terpaksa dibayar dengan harga tinggi apabila Mohd. Sazwan cedera di perut akibat ditikam dengan golok ketika bergelut dengan suspek yang berusia lingkungan 20-an.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, Hassan yang sedang bersama beberapa rakannya menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan berlaku kecurian lalu segera bertindak untuk menghalangnya.
"Hassan kemudian mengajak Mohd. Sazwan untuk pergi bersamanya menaiki kereta dan mereka telah mengejar suspek dari kampung itu sehingga ke Sekolah Kebangsaan Gual Jedok di Nibong.
"Di depan sekolah itu, berlaku pergelutan antara mereka dan ketika itulah mangsa ditikam. Mereka bagaimanapun berjaya menahan suspek yang melakukan tikaman tetapi seorang lagi suspek dapat melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mazlan, Mohd. Sazwan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan dan kecederaan mangsa dilaporkan tidak serius.
Beliau berkata, suspek telah diserahkan kepada polis bersama motosikal Honda Wave yang dicuri dan siasatan akan dijalankan untuk mengesan rakannya.
Mazlan berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan mangsa.
Beliau turut meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Mohd. Sazwan yang sedang dirawat di HRPZ II.
Katanya, tindakan berani lelaki itu layak mendapat penghargaan kerana ia berjaya membantu pihak polis mencegah jenayah curi motosikal namun mengingatkan orang ramai agar menjaga keselamatan diri sendiri terlebih dahulu.

Kediaman Megat Junid dipecah masuk, pengawal diugut bunuh

ANGGOTA polis membawa barang kes selepas melakukan siasatan di sebuah banglo kepunyaan isteri pertama Allahyarham Megat Junid Megat Ayob di Kelana Jaya, semalam.
PETALING JAYA 18 Julai - Seorang pengawal keselamatan berhadapan detik-detik cemas awal pagi ini apabila diikat serta diugut bunuh oleh sekumpulan penjenayah yang memecah masuk kediaman mewah milik Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob di Kelana Jaya di sini.
Mustafa Md. Noor, 63, diikat kedua-dua tangan dan kaki dengan wayar peti sejuk selain diacu untuk dibunuh dengan pemutar skru ketika kediaman bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu dipecah masuk kira-kira pukul 5.40 pagi.
Menurut bekas anggota polis itu, tiga suspek dipercayai warga Indonesia memecah masuk menerusi pintu belakang kediaman sebelum menyerangnya yang ketika itu meronda bahagian hadapan rumah.
“Kedua-dua tangan dan kaki diikat, saya tidak mampu melawan ketiga-tiga suspek yang bertopeng selendang wanita dalam kejadian itu sebelum mereka memasuki kediaman berkenaan.
“Balu arwah, Puan Sri Faizah Shuib, 65, dan seorang pembantu rumah yang sedang tidur di dalam bilik masing-masing di tingkat bawah dikejutkan sebelum kedua tangan mereka diikat.
“Pembantu rumah itu dikatakan cuba melawan menyebabkan mukanya ditampar beberapa kali oleh salah seorang suspek," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Mustafa berkata, ketiga-tiga suspek itu melarikan diri selepas setengah jam kemudian manakala dia pula terpaksa menggulingkan badannya keluar ke bahu jalan untuk meminta pertolongan jiran.
Difahamkan, balu Allahyarham yang merupakan bekas pengetua maktab perguruan di Pulau Pinang kerugian kira-kira RM50,000 selepas barang kemas dan jam tangan jenama Rolex miliknya dilarikan dalam kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian tersebut sambil memberitahu mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes itu.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Ini merupakan kejadian samun kedua membabitkan orang kenamaan (VIP) tahun ini selepas sebuah banglo dua tingkat milik Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Tan Sri Rahim Thamby Chik di Jalan Medang, Taman Bukit Pantai, Kuala Lumpur dipecah masuk sekumpulan penjenayah awal bulan ini.

Tipu gores dan menang catat 81 kes

KUALA LUMPUR 18 Julai - Sebanyak 81 kes penipuan peraduan gores dan menang dilaporkan di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini membabitkan jumlah kerugian kira-kira RM649,025.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abu Samah Shabudin berkata, daripada jumlah itu hanya 10 peratus mangsa yang tampil membuat aduan.
“Tiga cara digunakan sindiket ini untuk menipu mangsa iaitu menerusi rayuan, ugutan dan desakan.
“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan sindiket gores dan menang yang dikesan cuba mempengaruhi masyarakat terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan ramai seperti di Bukit Bintang, KL Sentral, di hadapan bank-bank, di stesen monorel dan pusat beli-belah di sekitar ibu kota," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Forum Kepenggunaan Penipuan Internet Terjebak atau Tamak di sini hari ini.
Forum itu dibarisi ahli panel daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd. Mustaffa Hamzah; wakil Persatuan Bank-bank Malaysia, Baizura Ahmad; wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Zulkarnain Mohd. Yasin dan wakil Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Supritenden Mohd. Syafiq Jinuin Abdullah.
Dalam pada itu, Mohd. Syafiq Jinuin berkata, sebanyak 403 kes jenayah siber dilaporkan sejak awal tahun ini membabitkan kerugian kira-kira RM16.3 juta.
Jelas beliau, jenayah siber itu antaranya penipuan dan pemalsuan menerusi internet, hubungan cinta di laman web, pembelian produk menggunakan internet seperti telefon bimbit dan komputer riba serta penyamaran melalui telefon.
Katanya, antara punca peningkatan jenayah siber disebabkan peningkatan pengguna internet yang kurang kesedaran mengenai amalan keselamatan semasa menggunakan perkhidmatan itu.
“Pengguna juga mudah tertarik dengan harga produk yang lebih murah yang ditawarkan secara online berbanding harga asal di pasaran tanpa menyedari ia sebenarnya penipuan," katanya.

Pegawai polis ditahan pukul pekerja hotel bertaraf 2 bintang

RENTETAN gambar menunjukkan seorang anggota polis berpangkat Inspektor mencederakan seorang pekerja dengan menggunakan belakang pistol di sebuah hotel di Seremban 2, awal pagi semalam.
SEREMBAN 18 Julai - Polis bertindak pantas menahan seorang pegawainya yang berpangkat inspektor bagi membantu siasatan setelah dia didakwa mencederakan seorang pekerja hotel bertaraf dua bintang di Seremban 2 di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, pegawai polis berusia 32 tahun berkenaan datang ke hotel tersebut bersama tiga rakannya untuk menginap.
Difahamkan, berlaku pertengkaran antara pegawai polis itu dengan dua pekerja hotel di kaunter lobi dipercayai berpunca daripada salah faham berhubung pemulangan duit baki pembelian aiskrim.
Kejadian selama 10 minit itu turut dirakam kamera rakaman litar tertutup (CCTV) hotel.
Menurut laporan polis yang dibuat mangsa, pegawai polis yang berang dan tidak berpuas hati itu memanjat kaunter lobi sebelum memukul salah seorang pekerja hotel di bahagian telinga menggunakan belakang pistol miliknya.
“Polis itu menunjukkan pistolnya sebelum memukul saya dan ia mengenai bahagian telinga setelah saya beritahu akan laporkan kejadian ini kepada pihak polis.
“Beberapa minit kemudian, sebuah kereta peronda polis dengan dua anggota tiba untuk mengawal dan menenangkan keadaan sebelum menghantar saya ke hospital untuk dirawat," kata mangsa.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
“Polis masih menyiasat punca pegawai itu bertindak demikian. Selain itu, kawad cam akan dijalankan dan ketika ini, pegawai polis itu ditahan untuk membantu siasatan," jelasnya.

Pembebasan tahanan ISA bukan punca jenayah meningkat

KUALA LUMPUR 19 Julai - Kerajaan hari ini menolak dakwaan pembebasan seramai 1,476 tahanan sejak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan September lalu sebagai punca peningkatan indeks jenayah di seluruh negara kebelakangan ini.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengakui wujud kes terpencil membabitkan bekas tahanan yang kembali melakukan jenayah namun, keadaan itu tidak membimbangkan.
"Secara keseluruhan, hanya 0.27 peratus atau sekurangnya empat orang daripada 1,476 bekas tahanan yang kembali aktif melakukan jenayah namun, mereka berjaya diberkas semula.
"Perkara berkenaan tidak perlu dijadikan satu isu yang boleh membangkitkan perasaan tidak selesa dan selamat orang ramai.
"Saya percaya orang ramai tidak akan mudah menerima satu pertikaian daripada mana-mana pihak berhubung isu tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyertai Program Walkabout di pusat beli-belah Pavilion hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 September lalu mengumumkan pemansuhan ISA dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengumumkan mengenai pembebasan 1,476 banduan di seluruh negara yang ditahan di bawah Ordinan Darurat, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Rang Undang-Undang Buang Negeri (Pemansuhan) 2011 sejak beberapa bulan lalu berikutan pemansuhan tiga undang-undang dalam ISA.
Mengulas lanjut, Hishamuddin menjelaskan, walaupun mereka telah dibebaskan, pergerakan bekas tahanan itu tetap dikawal bagi mengelak mereka terlibat semula dengan kegiatan jenayah.

Polis siasat punca kematian Konstabel Mohd. Urin

KLANG 19 Julai - Polis sedang menyiasat kemungkinan kematian Konstabel Mohd. Urin Subaiton, 27, yang maut akibat terjatuh dari menara komunikasi di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dekat sini semalam akibat pengaruh ubat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, siasatan awal percaya mangsa mungkin mengalami masalah kemurungan.
Bagaimanapun kata beliau, hasil maklumat yang diperoleh daripada rakan sebiliknya mendapati, dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda yang menjurus ke arah itu.
"Buat masa ini, kes tersebut dianggap sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, kami sedang menyiasat punca sebenar bagaimana kejadian itu boleh berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi balu Allahyarham Mustaghni Tabri, Norizan Shahidin di Pangsapuri Polis Sri Andalas, di sini hari ini.

Liong Sik akui tidak faham kiraan JPPH

KUALA LUMPUR 17 Julai - Tun Dr. Ling Liong Sik mengaku beliau sebenarnya tidak memahami pengiraan nilai khas bagi tanah 335.8 hektar milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah, Klang yang dinyatakan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan.
Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, ia disebabkan beliau tidak diberikan latihan asas selain penilaian itu dibuat oleh JPPH sendiri.
Liong Sik menyatakan demikian selepas dirujuk oleh peguam Wong Kian Kheong dengan dua dokumen kepada Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan untuk perhatian, Abdul Rahman Mohd. Noor (bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan, Kementerian Pengangkutan) bertarikh 29 September 2000 dan Ketua Setiausaha kementerian yang sama ketika itu, P. Chandrasekaran bertarikh 9 Oktober 2000.
Ketika meneliti kedua-dua dokumen tersebut, Liong Sik yang memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dengan nada yang perlahan mengakui, beliau tidak memahami pengiraan nilai khas yang disebut dalam kedua-dua dokumen berkenaan.
Menurut bekas Presiden MCA itu, beliau juga tidak pernah menyembunyikan daripada pengetahuan Kabinet mengenai surat JPPH bertarikh 29 September 2000 kepada Kementerian Pengangkutan dan surat KDSB bertarikh 27 Disember 2001 kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).
Katanya, memandangkan beliau menjaga hal ehwal pengangkutan, sudah semestinya urusan penilaian membabitkan kewangan terletak di bawah bidang kuasa Perbendaharaan, JPPH.
Liong Sik menyatakan, beliau tiada sebarang niat untuk menipu Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menteri Kabinet.
Sekiranya menyedari terdapatnya kesilapan dalam dokumen tersebut, menurut Liong Sik, beliau sudah pasti akan membuat pembetulan sebelum menyerahkannya kepada Kabinet.
Ketika Kian Kheong bertanya, adakah anak guamnya itu sebelum didakwa di mahkamah, pernah disiasat berhubung dakwaan menipu Kabinet, Liong Sik, 68, dengan ringkas menjawab: ''Tidak.''
Selain itu menurut Liong Sik, beliau tidak pernah menerima sebarang bayaran, apatah lagi suapan daripada kontraktor pemaju projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), KDSB kerana perbuatan itu adalah salah.
Tertuduh sedang memberikan keterangan membela diri atas pertuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah tersebut membabitkan RM1.08 bilion.
Menurut kertas pertuduhan, Liong Sik didakwa melakukan penipuan tersebut antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Perbicaraan bersambung esok dengan pemeriksaan balas terhadap Liong Sik oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi.

Zubir mengaku tidak bersalah

AHMAD Zubir Murshid (kiri) diiringi Peguam Bela, Datuk K. Kumaraendran ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH
KUALA LUMPUR 17 Julai - Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sime Darby Bhd. (Sime Darby), Datuk Seri Ahmad Zubair @ Ahmad Zubir Murshid (gambar) mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pecah amanah lebih RM100 juta terhadap dana syarikat itu dalam projek pembangunan tanah adat Sarawak, empat tahun lalu.
Beliau juga mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pilihan memperdaya Lembaga Pengarah Sime Darby.
Ahmad Zubair, 55, diamanahkan penguasaan ke atas dana Sime Darby iaitu memperoleh Tanah Hak Adat Bumiputra (HAB) di bawah Sarawak Expansion Plan dan kelulusan daripada Kerajaan Negeri Sarawak bagi tanah HAB yang terletak di KJD/Lower Julau, Sungai Julau/Sungai Pitoh/Sungai Jiet dan bahagian Merurun/Meluan/Entabai dan Sarikei.
Beliau didakwa pecah amanah terhadap dana syarikat itu apabila dengan curangnya gagal mengambil atau mengarahkan tindakan undang-undang untuk pengesahan ke atas penganugerahan tanah HAB itu kepada Vertical Drive Sdn. Bhd. sehingga menyebabkan Sime Darby mengalami kerugian RM85,023,047.20 semasa pengambilalihan ke atas Vertical Drive.
Bagi tuduhan kedua, beliau didakwa melakukan perbuatan yang sama bagi tanah HAB yang terletak di Batang Rejang/Batang Baleh, Kapit, sebahagian lagi di Merurun/Meluan/Entabai dan Julau yang dianugerahkan kepada Nature Ambience Sdn. Bhd. sehingga menyebabkan Sime Darby mengalami kerugian RM16,816,217 semasa pengambilalihan ke atas Nature Ambience.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukannya di pejabat Sime Darby, Tingkat 21, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut di sini antara 17 November 2008 dan 4 Disember 2009.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan iaitu memperdaya Lembaga Pengarah Sime Darby dengan tidak memaklumkan mengenai kelulusan tanah-tanah HAB tersebut terhadap syarikat Vertical Drive dan Nature Ambience sedangkan beliau terikat di bawah undang-undang untuk melindungi kepentingan lembaga pengarah syarikat itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di tempat yang sama antara 28 November 2008 dan 4 Disember 2009.
Bagi tuduhan pilihan, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ahmad Zubair diwakili oleh peguam bela, Datuk K. Kumaraendran manakala pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais.
Morais mencadangkan jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh dan jumlah tersebut dipersetujui oleh pihak pembelaan.
Hakim Datuk Jagjit Singh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan itu.
Pengurusan kes ditetapkan pada 2 Oktober ini.
Mingguan Malaysia pada 15 Julai lalu dalam laporan eksklusifnya melaporkan sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) ditipu RM100 juta dalam pembangunan projek tanah adat di salah sebuah negeri bagi tujuan pertanian.
Projek membabitkan kerjasama antara GLC itu dan sebuah syarikat yang dilantik kerajaan negeri tersebut bermula sejak 2007, namun dikesan berlaku ketirisan awal tahun ini sebelum dilaporkan kepada SPRM.
Susulan itu, pada 16 Julai lalu, SPRM mengesahkan siasatan terhadap syarikat konglomerat itu telah selesai dan semalam, Ahmad Zubair ditahan pada pukul 11.55 pagi di pejabat SPRM Jalan Duta di sini sebelum dibawa ke mahkamah pagi ini.

Reman empat suspek ugut SPRM dilanjut

KOTA BHARU 18 Julai - Tempoh reman empat suspek yang dipercayai mengugut beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika membuat serbuan di sebuah lombong emas haram di Sungai Emas, Felda Perasu, Gua Musang dilanjutkan selama tiga hari sehingga Jumaat ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, perintah tahanan reman itu dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan secara menyeluruh.
"Polis sudah mendapatkan perintah reman kali kedua terhadap kesemua suspek sehingga 20 Julai ini untuk membantu siasatan kita terhadap laporan yang diterima.
"Siasatan masih dijalankan termasuk mengesan orang lain yang dikatakan terlibat," katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Soal Siasat Jenayah Siri 1/2012 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman kelmarin mengesahkan penangkapan keempat-empat suspek tersebut berhubung lima laporan yang dibuat oleh pegawai SPRM ketika menjalankan operasi di lombong emas haram di Gua Musang.
Beberapa pegawai berkenaan membuat laporan mendakwa diancam oleh lapan lelaki bersenjatakan objek keras dan tajam yang cuba menghalang operasi tersebut.

Penyelia hotel nafi cabul

PULAU PINANG 18 Julai - Seorang penyelia hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan seorang pelajar kolej swasta yang sedang menjalani latihan amali di hotel berkenaan pada minggu lalu.
Adam Bernad Nambi, 34, didakwa mencabul kehormatan gadis berusia 21 tahun itu di dalam sebuah bilik hotel tersebut di antara pukul 9 dan 11 malam, 9 Julai lalu.
Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.
Majistret Noor Aini Yusof membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 September depan untuk sebutan semula kes berkenaan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pembunuh Mantik Hani kekal digantung

PUTRAJAYA 18 Julai - Bekas peniaga pasar malam, A. Murugan kekal menjalani hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman mati kerana membunuh pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Wira Mohtarudin Baki mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman tersebut, genap dua tahun lalu.
Kuorum berkenaan sebulat suara berpuas hati terhadap penemuan fakta yang diperoleh oleh Mahkamah Tinggi dan berpendapat, tiada sebab bagi mereka mengubah keputusan tersebut.
Hakim Mohamed Apandi dalam keputusannya menyatakan, persoalan yang ditimbulkan oleh pihak pembelaan adalah berkaitan isu sama ada kematian mangsa tergolong di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan atau Seksyen 300(c) kanun sama.
Beliau menyatakan, mahkamah bersetuju dengan penemuan fakta oleh hakim bicara bahawa kesalahan tersebut tergolong di bawah Seksyen 300(c) kerana ia disokong oleh keterangan yang dikemukakan.
Murugan diwakili oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik manakala Timbalan Pendakwa Raya, Kwan Li Sa mewakili pihak pendakwaan. Lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Murugan, 38, disabitkan membunuh Mantik, 36, di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbuddin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 dan 20 Oktober 2009.
Pada 19 Julai 2010, Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa mensabitkan perayu selepas berpuas hati dia bertanggungjawab menyebabkan 63 kecederaan pada badan Mantik dengan niat untuk membunuh mangsa.
Hakim bicara berpuas hati bahawa keterangan mengikut keadaan, bukti secara langsung daripada saksi-saksi pendakwa serta akuan mangsa semasa nazak, kesemuanya mengesahkan perayu melakukan perbuatan tersebut.

Lelaki didakwa tipu penuntut RM14,500 buat ijazah palsu

SHAH ALAM 18 Julai - Seorang daripada tiga suspek yang ditahan pada hujung bulan lalu berhubung kes pemalsuan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu seorang penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) sebanyak RM14,500 bagi mendapatkan sijil palsu.
Lim Chuan Soon, 26, yang merupakan bekas pemilik perniagaan permainan dalam talian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu Wan Noorhafiza Wan Hussin, 23, dengan mengambil wang berjumlah RM14,500 sebagai bayaran mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perakaunan (Kepujian) USM sedangkan sijil tersebut tidak sah laku.
Tertuduh yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di antara 19 Jun dan 28 Jun lalu di Maybank, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14 di sini.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Kamaruddin yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Chuan Soon yang tidak diwakili peguam bela bagaimanapun memohon agar jumlah tersebut dikurangkan.
''Saya minta jaminan dikurangkan. Saya tidak tahu siapa akan jamin, tapi kalau boleh kurang mungkin orang yang baik hati boleh jamin saya.
''Saya ada adik di Singapura tetapi dia sedang marahkan saya,'' katanya sehingga mengundang tawa kecil daripada orang awam yang berada di galeri awam.
Aslam kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh sementara menunggu sebutan semula kes pada 6 September ini.
Menurut laporan akhbar sebelum ini, seorang bekas pelajar USM bersama dua yang lain ditahan di sebuah rumah di Kampar, Perak kerana disyaki terlibat dengan sindiket pemalsuan ijazah institusi pengajian tinggi awam itu.
Suspek-suspek yang terdiri daripada dua wanita berusia 24 dan 25 tahun serta seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket pemalsuan dokumen akademik universiti itu.
Tinjauan di laman sesawang yang menawarkan perkhidmatan tersebut mendapati, sindiket terbabit bukan sahaja menawarkan perkhidmatan membuat ijazah palsu tetapi ia lengkap dengan 'jaminan' bahawa segala data yang terkandung dalam sijil palsu itu akan turut berada di dalam sistem pentadbiran universiti berkenaan.
Setakat ini, pihak polis percaya lebih 20 orang telah menjadi mangsa sindiket pemalsuan tersebut.

Wanita tersepit di tempat duduk

Wanita tersepit di tempat duduk:

IPOH 19 Julai - Seorang wanita cedera parah selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah jentolak di Jalan Jelapang-Chemor, berhampiran Kuala Kuang dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 3 petang itu, mangsa, Norliah Mohd. Okhtad, 50, tersepit hampir dua jam dalam kereta jenis Nissan Sunny yang dipandunya serta mengalami kecederaan parah di kaki dan kepala.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Chepor Dalam bersama anak bongsunya, Robitah Adawiyah Harun, 10, dari Pekan Chemor.
Katanya, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke bahu jalan setelah bertembung dengan sebuah jentolak dari arah bertentangan.
"Mangsa dalam perjalanan pulang selepas menjemput anaknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor. Kereta dipandunya tiba-tiba terbabas dan memasuki jalan bertentangan lalu merempuh jentolak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

'via Blog this'

5 maut termasuk seorang bayi

5 maut termasuk seorang bayi:


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Perodua Kancil dengan sebuah lori simen di Jalan Sri Aman-Sarikei, Sri Aman, Sarawak, semalam.
SRI AMAN 19 Julai - Lima sekeluarga termasuk seorang bayi maut apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori pembancuh simen pagi ini.
Nahas ngeri itu berlaku pukul 9.05 pagi di Kilometer 24, Jalan Sri Aman-Sarikei dengan mengakibatkan kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Mereka ialah pemandu kereta, Rachael Nyaring, 22; isterinya, Santi Minggat, 19; Jamilah Minggat, 24; Jamaah Ali, 42, dan Noraini Bagio, setahun.
Dua lagi penumpang iaitu ibu kepada Noraini, Salbiah Minggat, 19, dan anak kepada Rachael, Rizal Mustapha, 1, turut mengalami cedera parah.

'via Blog this'

Jabatan Agama Islam Selangor sudah ambil keterangan Yeya

Jabatan Agama Islam Selangor sudah ambil keterangan Yeya:

SHAH ALAM 19 Julai - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan telah mengambil keterangan Wan Atira Aina Wan Jasmeen, 19, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan remaja itu telah bernikah di negara jiran.
Pengarahnya, Datuk Marzuki Hussin berkata, remaja itu diambil keterangan selepas hadir ke pejabat jabatan berkenaan, di sini semalam.
Beliau berkata, turut diambil keterangan ialah Mohd. Rizwan Mohd. Ramalan, 19, remaja yang didakwa suami Wan Atira Aina.
"JAIS ketika ini sedang menunggu keputusan Mahkamah Syariah bagi mengesahkan status pernikahan mereka," katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang JAIS di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di sini hari ini.
Utusan Malaysia pada 11 Julai lalu menyiarkan rayuan Wan Jasmeen Wan Ali, 50, dan Ruslina Lazim, 49, yang meminta campur tangan polis agar anak gadis mereka, Wan Atira Aina yang kini didakwa berada dalam jagaan sebuah keluarga dapat dibawa pulang.

'via Blog this'

Kertas siasatan pukul pekerja hotel siap

Kertas siasatan pukul pekerja hotel siap:

SEREMBAN 19 Julai - Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian seorang pegawainya yang didakwa mencederakan seorang pekerja hotel di Seremban 2, di sini kelmarin
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Manan Mohd. Hassan berkata, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tujuan pendakwaan dalam tempoh terdekat.
"Polis akan mengambil tindakan mengikut undang-undang tanpa mengira sama ada yang terlibat itu pegawai polis atau orang awam sekiranya seseorang itu terlibat melakukan kesalahan jenayah.
"Kita mesti adil dan untuk itu kita tidak akan berkompromi, lebih-lebih lagi jika kes ini mencemarkan imej pasukan keselamatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, polis bertindak pantas menahan seorang pegawainya berpangkat inspektor kerana didakwa mencederakan seorang pekerja hotel dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi kelmarin.

'via Blog this'

Juruwang dipaksa tanggal pakaian

Juruwang dipaksa tanggal pakaian:


Mangsa menunjukkan salinan laporan polis berhubung kejadian penyelia menyuruh dia menanggalkan pakaian kerana dituduh mencuri, ketika ditemui pemberita di Batu Pahat, semalam.
BATU PAHAT 19 Julai - Seorang wanita yang bertugas sebagai juruwang di sebuah farmasi mendakwa dipaksa menanggalkan pakaian hanya kerana dituduh mencuri RM50 di tempat kerjanya itu di sini baru-baru ini.
Mangsa yang berusia 24 tahun berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang Isnin lalu apabila dua wanita yang merupakan penyelia farmasi itu menyatakan wang jualan kurang RM50 lalu menuduh dia mengambil duit itu.
Dia kemudian menafikan telah mengambil duit itu namun, penyelia terbabit tidak mempercayainya dan mereka melakukan pemeriksaan badan secara luaran ke atasnya di bilik pejabat pengurusan.

'via Blog this'

Feri karam, 38 lemas

Anggota paramedik menempatkan mayat-mayat mangsa feri karam di bandar Zanzibar, Tanzania, kelmarin. - Reuters
ZANZIBAR 19 Julai - Sekurang-kurangnya 38 orang lemas, manakala beratus lagi hilang dan dikhuatiri turut lemas selepas sebuah feri karam, di sini hari ini.
Feri tersebut berlepas dari Pusat Komersial Tanzania, Dar es Salaam tengah hari semalam membawa 290 penumpang dan krew termasuk 30 orang kanak-kanak.
Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 149 penumpang dan menemui 38 mayat termasuk dua warga Eropah.
Jurucakap polis Zanzibar, Mohamed Mhina berkata, harapan untuk menyelamat mangsa yang hilang semakin tipis.
"Cuaca sangat buruk dengan ombak kuat serta angin kencang menghalang operasi menyelamat dan memaksa pihak penyelamat untuk menghentikan operasi mencari,'' tambahnya.
Presiden Kepulauan Zanzibar, Mohamed Shein mengisytiharkan tiga hari sebagai hari berkabung. - AFP

Bekas Presiden Tunisia dipenjara seumur hidup

TUNIS 20 Julai - Mahkamah Ketenteraan Tunisia semalam, menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas Presiden, Zine El Abidine Ben Ali tanpa kehadirannya atas dakwaan membunuh 43 penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat negara ini pada 2011.
Hakim Hedi Ayari berkata, Ben Ali dibicarakan bersama 40 bekas pegawainya yang lain termasuk bekas Ketua Keselamatan Presiden, Jeneral Ali Seriati, yang dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun.
Sebelum ini, Ben Ali turut dijatuhi hukuman penjara lebih 66 tahun atas pelbagai dakwaan termasuk menyeludup dadah dan menggelapkan wang. - AFP

Lelaki cuba rompak suri rumah dijel 3 tahun

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dipenjara tiga tahun enam bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, atas tiga tuduhan cubaan merompak, memiliki dan menggunakan senjata berbahaya, empat bulan lalu.
Hakim Mahmud Abdullah membuat keputusan itu selepas Eugene Khoo Kah Chong, 37, menukar pengakuannya kepada bersalah, semalam.

Sehubungan itu, Mahmud menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi tuduhan cubaan merompak, manakala bagi dua tuduhan lain, tertuduh dijatuhkan hukuman serentak masing-masing 24 bulan dan tiga bulan.
Bagaimanapun, Mahmud memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bagi tuduhan pertama dan dua lagi tuduhan berkenaan secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 6 Mac lalu.

Mengikut tuduhan pertama, Eugene didakwa cuba merompak suri rumah, Lau Sim Yoon, 35 di tepi Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, di sini, pada jam 1 petang, 6 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 393, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Bagi tuduhan kedua pula, dia didakwa menggunakan pistol palsu ketika cuba merompak wanita berkenaan di tempat, masa dan hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 32(2), Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun sebagai tambahan penalti kepada tuduhan pertama, jika disabitkan kesalahan.
Bagi tuduhan ketiga dia dituduh memiliki dua pisau dan dua senjata renjatan elektrik di tempat awam di tepi Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail di sini, pada masa dan tarikh sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Poad, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Jagjit Singh.

Tertekan masalah keluarga

SEREMBAN: Tekanan akibat menghadapi masalah keluarga dikatakan menjadi punca seorang pegawai polis berpangkat inspektor mengamuk dan menyerang dua pekerja hotel Seremban 2, di sini, gara-gara ais krim dibeli di hotel berkenaan dikatakan mahal dalam kejadian Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abdul Manan Mohd Hassan (gambar), berkata berdasarkan soal siasat terhadap pegawai polis itu, dia didapati berada dalam keadaan tertekan akibat masalah keluarga.

Bagaimanapun, Abdul Manan tidak mengulas lanjut berhubung masalah dihadapi pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, yang beristeri dan memiliki seorang anak itu.
“Melalui siasatan kita didapati pegawai ini memang ada permasalahan sedikit, masalah keluarga. Jadi mungkin disebabkan ‘stress’ menyebabkan dia mengamuk.

“Saya difahamkan, dia ke hotel itu untuk berehat dan dalam keadaan stress (tekanan) saya difahamkan dia beli ais krim, tetapi dikatakan mahal yang menyebabkan dia mengamuk. Dalam keadaan ‘stress’, lepas itu orang charge (kenakan harga) mahal, dia mengamuklah.

“Mungkin komunikasi antara dia dengan pekerja (hotel), mungkin pekerja itu berlaku kasar dengan dia. Perkara ini masih dalam siasatan kita,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid dan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin.

Abdul Manan berkata, ketika kejadian, suspek sedang bercuti dan berada di hotel itu untuk berehat dan turut bersama seorang anggota polis lain.
Apapun, katanya, walaupun suspek adalah pegawai polis, pihaknya akan memastikan dia dikenakan tindakan setimpal dengan perbuatannya.

Lelaki cuba rompak suri rumah dijel 3 tahun

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dipenjara tiga tahun enam bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, atas tiga tuduhan cubaan merompak, memiliki dan menggunakan senjata berbahaya, empat bulan lalu.
Hakim Mahmud Abdullah membuat keputusan itu selepas Eugene Khoo Kah Chong, 37, menukar pengakuannya kepada bersalah, semalam.

Sehubungan itu, Mahmud menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi tuduhan cubaan merompak, manakala bagi dua tuduhan lain, tertuduh dijatuhkan hukuman serentak masing-masing 24 bulan dan tiga bulan.
Bagaimanapun, Mahmud memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bagi tuduhan pertama dan dua lagi tuduhan berkenaan secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 6 Mac lalu.

Mengikut tuduhan pertama, Eugene didakwa cuba merompak suri rumah, Lau Sim Yoon, 35 di tepi Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, di sini, pada jam 1 petang, 6 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 393, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Bagi tuduhan kedua pula, dia didakwa menggunakan pistol palsu ketika cuba merompak wanita berkenaan di tempat, masa dan hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 32(2), Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun sebagai tambahan penalti kepada tuduhan pertama, jika disabitkan kesalahan.
Bagi tuduhan ketiga dia dituduh memiliki dua pisau dan dua senjata renjatan elektrik di tempat awam di tepi Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail di sini, pada masa dan tarikh sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Poad, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Jagjit Singh.

Biar mayat ibu terlantar busuk

KLANG: Dipercayai kerana kesempitan wang, seorang remaja perempuan berumur 15 tahun bersama dua rakan sebayanya menjerut dan mencekik ibu angkatnya hingga mati ketika cuba merampas gelang emas dipakai wanita itu sebelum membiarkan mayat terbabit terlantar selama tiga hari di rumah mereka di Kapar, di sini.
Dalam kejadian Sabtu lalu itu, remaja terbabit bersama dua rakannya datang ke rumah dihuni ibu angkatnya itu untuk meminta wang, tetapi wanita terbabit enggan memberikannya.
Berikutan itu, remaja terbabit dan rakannya bergelut dengan mangsa hingga menjerut dan mencekik mangsa hingga pengsan sebelum meninggalkan rumah tanpa menyedari perbuatan mereka itu menyebabkan mangsa sesak nafas dan meninggal dunia.

Tiga hari selepas itu, remaja terbabit pulang semula ke rumah ibu angkatnya itu sebelum terkejut apabila menemui mayat ibunya itu dalam keadaan sudah mereput dan berbau busuk.

Panik dengan penemuan itu, remaja terbabit membuat laporan polis kononnya dia menemui mayat ibunya dalam rumah dan tidak tahu apa yang berlaku.

Mati serentak

TRAGEDI...anggota bomba mengangkat mayat seorang  mangsa yang maut dalam nahas selepas  kereta dipandu bertembung lori simen, semalam.
TRAGEDI...anggota bomba mengangkat mayat seorang
mangsa yang maut dalam nahas selepas kereta dipandu
 bertembung lori simen, semalam.
SRI AMAN: “Sebaik tiba di tempat kejadian, kami lihat bayi perempuan masih dalam pangkuan seorang wanita di tempat duduk depan dan berkeadaan kaku,” kata Penyelia Pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Sri Aman, Tony Morni ketika membantu mengeluarkan lima sekeluarga yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 24, Jalan Sri Aman-Sarikei, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, lima daripada tujuh sekeluarga itu terbunuh serta-merta apabila Perodua Kancil dinaiki bertembung lori pembancuh simen.
Mereka yang terbunuh adalah pemandu Perodua Kancil, Mohd Rachael Abdullah, 22, dan isterinya, Santi Minggat, 19.

Turut terbunuh ibu Santi, Jamaah Ali, 42, kakaknya, Jamilah, 24, dan anak saudara perempuan Santi berusia 12 bulan, Noraini Bagio.

Kelima-lima mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala dua lagi penumpang iaitu kakak Santi yang juga ibu kepada Noraini, Salbiah, 21, dan anak lelaki Santi berusia 12 bulan, Rizal Mustapha Mohd Rachel, cedera parah.

‘Aku nabi akhir zaman’

DIDAKWA...Roslan (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, semalam.
DIDAKWA...Roslan (tengah) dibawa keluar
 dari Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, semalam.
MELAKA: Akibat tindakannya membuat pengakuan dirinya Allah dan nabi akhir zaman, seorang bekas kapten kapal dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, atas tuduhan mempersendakan agama Islam di sekitar negeri ini, kelmarin.
Tertuduh, Roslan Abdul Rahman, 44, yang berjubah putih dan berkopiah hanya kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Syarie Mohd Asri Tahir.
Tertuduh dari Pahang itu kemudian mengangguk faham akan pertuduhan yang terpaksa dibacakan dua kali berikutan tertuduh mencelah ketika ditanya mengenai pengakuannya.

Roslan membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengejek-ejek agama Islam dengan perkataan ‘Aku ini nabi akhir zaman dan aku mengaku aku Allah’ di sebuah rumah di Taman Rembia Perkasa, Alor Gajah, dekat sini, jam 3.15 petang, 18 Julai lalu.

Kedai permaidani diserbu

KLANG: Rutin harian Mat Karpet yang bergerak ke pelosok beberapa kampung terutama di Bukit Rimau, Johan Setia dan Jalan Kebun, di sini sehingga mencetuskan keresahan penduduk tempatan, terencat apabila Jabatan Imigresen Selangor, membuat serbuan mengejut, semalam.
Serbuan dijalankan ekoran pendedahan kegiatan warga asing terbabit yang dikatakan semakin meningkat menjelang Ramadan menjual pelbagai produk khususnya permaidani dengan menjadikan kediaman penduduk tempatan sebagai sasaran.

Hasil serbuan di sebuah kedai menjual permaidani dan perabot berdekatan sebuah pasar raya di Kota Kemuning, empat lelaki warga asing dari Pakistan termasuk seorang yang dipercayai pemilik premis diberkas manakala beberapa barangan turut dirampas.
Serbuan empat penjuru pintu masuk ke beberapa kampung berkenaan bagi menahan Mat Karpet diarahkan sendiri Pengarah Imigresen Selangor, Amran Ahmad yang menyifatkannya perlu dibanteras.

Dalam serbuan diketuai Penolong Pengarah, Tarmizi Talib Ali bersama 13 anggota bahagian penguatkuasaannya Jabatan Imigresen turut membongkar penyalahgunaan permit kerja apabila tiga daripada warga asing yang ditahan itu memiliki permit bagi sektor tukang kebun. Tarmizi berkata, ketika ditahan, warga Pakistan terbabit bekerja di kedai menjual permaidani dan ia menyalahi Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Semalam Harian Metro melaporkan penduduk di beberapa kampung di daerah ini mengeluh dengan kehadiran terlalu ramai ‘Mat Karpet’ bermotosikal dan berbasikal mengunjungi kediaman mereka sehingga merimaskan keadaan.
Selain itu, penduduk turut mendakwa ada antara mereka tidak menghormati budaya tempatan apabila berada terlalu dekat dengan kediaman dan meminta minuman ketika tiada orang lelaki di rumah mereka.

Sementara itu, difahamkan beberapa warga asing yang selama ini menggunakan motosikal dan basikal mengunjungi dari rumah ke rumah penduduk menjual permaidani turut tidak kelihatan.
Mereka dipercayai berjaya menghidu operasi dilakukan Jabatan Imigresen seterusnya memberhentikan kegiatan seperti dilakukan sebelum ini bimbang dicekup.

Kegiatan warga asing terbabit dalam pelbagai perniagaan jualan langsung dari rumah ke rumah kebelakangan ini dilaporkan semakin berleluasa sehingga mencetuskan keresahan di kalangan penduduk tempatan.

Sementara itu Ahmad yang ditemui sebelum operasi berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan warga asing yang melanggar peraturan terutama berniaga dan melakukan pekerjaan lain daripada permit kerja yang dibenarkan.

Tidak tahu sampul berwang

KUALA LUMPUR: “Ini adalah pertarungan paling panjang dalam hidup saya,” kata Asisten Superintendan Sydney Clyde Jeremiah selepas dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam daripada tuduhan rasuah membabitkan RM2,000, lima tahun lalu.
Terdahulu, Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan tertuduh berjaya mematahkan anggapan undang-undang mengikut Seksyen 42, Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Dalam penghakimannya, Rozilah berkata, kenyataan Sydney, 51, yang kini berkhidmat di Bahagian Perundangan Bukit Aman adalah jujur dan penerimaan satu sampul surat yang diberikan seseorang kepada tertuduh bukan berniat rasuah.
“Persoalan adakah tertuduh tahu kandungan sampul surat itu terjawab apabila dalam kenyataan bersumpah tertuduh ketika membela diri, dia percaya sampul surat yang diterimanya hanya berisi dokumen membabitkan urusan penjualan sebuah kereta.

“Akibat terlalu sibuk dengan tugasnya, selepas saksi pendakwaan ke-11, Sarjan Mohd Toh Kee Joo menyerahkan sampul surat itu, tertuduh tidak membukanya kerana amat percaya ia hanya berisi dokumen dan bukannya wang tunai,” katanya.

Rozilah berkata, terdapat keterangan saksi yang mencurigakan dan tidak selamat bagi mahkamah mensabitkan tertuduh dengan tuduhan yang dihadapinya.
Sydney yang hadir ditemani isterinya didakwa menerima rasuah RM2,000 daripada seorang penjual pakaian terpakai, Mohd Khusaifil Che Rashid sebagai dorongan untuk melepaskan Hoi Chee Kin daripada kesalahan menawarkan perkhidmatan seks.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Asisten Superintendan, Tingkat 8, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 3.30 petang, 26 Oktober 2007.
Pada 14 Disember 2010, Sydney dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen bagi tuduhan itu, namun diperintahkan membela diri pada 30 Januari lalu selepas Mahkamah Tinggi, di sini, membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas keputusan pembebasannya itu.

Ketika prosiding bela diri itu, pembelaan yang diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi mengemukakan lima saksi termasuk tertuduh.

Penganggur dijel 14 bulan

PETALING JAYA: Seorang penganggur dipenjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan pecah rumah milik seorang eksekutif projek, empat bulan lalu.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faiez Isa, 25, selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah juga memerintahkan hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 2 Mac tahun 2012.
Mengikut fakta pertuduhan, Mohd Faiez didakwa memasuki rumah milik Rosnani Abdul Hamid, 30, yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta di rumah No 31 Jalan PJS6/1C, Taman Lindungan, dekat sini, jam 4 pagi, pada 2 Mac 2012.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

166 pertuduhan

KLANG: Dua penghantar surat dihadapkan di dua Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas 166 tuduhan memalsukan dokumen dengan mengecap setem hasil bagi membuktikan pembayaran dilakukan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membabitkan lebih RM97,000, enam bulan lalu.
Kedua-dua lelaki itu, Mohd Farid Dakoit, 29, dan Shahrul Farid Mohamad Yusop, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut fakta pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan itu menggunakan Sistem Frangki Digital, antara 9 Februari dan 26 April lalu membabitkan jumlah keseluruhan RM97,268.50.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Tetuan Desmond Chan & Co, Advocates & Solicitors di 27-02, Level 27, Centro, No 8, Jalan Batu Tiga Lama, di sini.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 468/ 471, Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan. Majistret Ho Kwong Chin dan Hurman Hussain menetapkan keseluruhan wang jaminan masing-masing RM166,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Terdahulu, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Gerard Lazarus memohon wang jaminan dikurangkan atas alasan Mohd Farid seorang bapa tunggal dan mempunyai dua anak, manakala Shahrul Farid bekerja sambilan sebagai penghantar surat.
“Kedua-dua anak guam saya menyerah diri ketika dipanggil polis dan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang sembilan hari direman,” katanya. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azilah Mat dan Puteri Iskandariah Md Tahir.