Search This Blog

Thursday, July 19, 2012

Anak dicabul, ibu tunggal dakwa dihalau guru besar

Anak dicabul rakan sekelas
Maryam menunjukkan laporan polis dan borang aduan salah laku murid yang dibuat berhubung kejadian cabul melibatkan anak perempuannya, baru-baru ini.
SHAH ALAM – Seorang ibu tunggal mendakwa bukan hanya dimarahi malah dihalau guru besar ketika dia cuba mendapatkan penjelasan berhubung kejadian cabul melibatkan anaknya, baru-baru ini.

Wanita yang mempunyai tiga anak itu, dikenali Maryam, 32, dihalau guru besar di sebuah sekolah agama di sini, kira-kira jam 9.30 pagi, kelmarin.

Maryam mendakwa, guru besar sekolah tersebut memarahi dan menghalaunya kerana dia membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku terhadap anak perempuannya yang berusia 9 tahun itu.

Menurut Maryam, kejadian cabul itu berlaku ketika anaknya berada di sekolah pada 8 Mei lalu.

“Apabila pulang daripada sekolah dia (anak) menceritakan rakan sekelasnya sering usik payu dara dan kemaluannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Maryam yang juga kerani Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah itu berkata, keesokannya dia bertemu Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) dan menceritakan kejadian itu.

Menurutnya, dia diarahkan mengisi borang aduan salah laku murid dan PKHEM berjanji akan merujuk perkara tersebut dengan guru disiplin serta guru besar.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mendapat sebarang berita berhubung aduan yang dibuat.

“Sekali lagi saya bertemu dengan PKHEM iaitu tiga minggu selepas aduan dibuat, tetapi jawapan yang diberikan amat mengecewakan.

“Setelah berfikir dan mendapatkan nasihat, saya terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis lalu,” katanya.

Maryam mendakwa, dia yang bekerja di pejabat PIBG di sekolah tersebut bagaimanapun diarahkan keluar daripada sekolah selepas laporan polis itu diketahui oleh guru besar.

“Dia (guru besar) kata sekiranya saya tidak berpuas hati dan ada masalah, saya perlu keluar serta membawa semua barang di dalam pejabat,” dakwanya.

Menurutnya, disebabkan itu, dia membuat satu lagi laporan polis di IPD Shah Alam, kelmarin.

Katanya, dia juga sudah membuat aduan di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga.

“Saya terkilan dengan apa yang berlaku. Saya mahu menuntut keadilan bagi anak saya tetapi tidak disangka diri saya turut menjadi mangsa,” katanya.

3 terbunuh dalam serangan pos tentera, kampung

NARATHIWAT: Sekurang-kurangnya dua orang awam dan seorang anggota tentera terbunuh selepas puluhan anggota pemisah melancarkan serangan serentak di sebuah desa dan pos tentera di selatan negara ini, kata tentera semalam.
Anggota pemisah yang menaiki trak pikap dan menunggang motosikal tiba di desa didiami penduduk Buddha di daerah Rueso di sini petang kelmarin dan menembak mati seorang lelaki muda, seorang wanita warga emas dan mencederakan dua yang lain. Mereka juga mula berbalas tembakan dengan tentera berdekatan, menyebabkan seorang tentera berusia 24 tahun maut dan empat lagi cedera, kata jurucakap tentera sambil menambah dia percaya serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kepemimpinan kumpulan itu.

Kira-kira 25 anggota pemisah melepaskan tembakan ke arah pos tentera dan kediaman penduduk secara serentak,” kata jurucakap tentera bahagian selatan, Kolonel Pramote Prom-in. - Bangkok Post

2 maut, 8 cedera dalam nahas di tapak binaan kereta api

SINGAPURA: Dua pekerja terbunuh dan lapan lagi cedera di bandar raya ini apabila perancah di tapak pembinaan kereta api bawah tanah runtuh semalam, kata pegawai pertahanan awam.
Ia adalah insiden terbaru melanda rangkaian kereta api Singapura selepas dua gangguan utama perkhidmatan pada Disember tahun lalu mendorong kepada siasatan peringkat tinggi.

Ia juga adalah nahas pembinaan terburuk di negara itu sejak 2004 apabila terowong yang menjadi sebahagian laluan kereta api bawah tanah yang dibina ketika itu roboh hingga mengorbankan empat orang.
Jurucakap pertahanan awam memberitahu wartawan bahawa petugas penyelamat menemui dua mayat pekerja yang diumumkan hilang sebelum itu. Mayat berkenaan ditemui terpisah satu meter dan kedua-duanya terbenam dalam simen basah dan ditimpa timbunan papan dan perancah. - Straits Times

Lebih sejuta laman porno dikekang

JAKARTA: Menjelang bulan Ramadan, Kementerian Komunikasi dan Maklumat menjalankan operasi secara besar-besaran membanteras pornografi Internet.
Menterinya, Tifatul Sembiring semalam berkata, pejabatnya telah menutup lebih satu juta laman porno baru-baru ini, yang semuanya beroperasi dari luar negara dan mensasarkan lebih banyak laman pada bulan depan. “Kami akan menyekat lebih banyak laman porno ketika Ramadan walaupun ia tidak bermakna kami akan membenarkan laman seumpamanya beroperasi pada waktu lain sepanjang tahun,” katanya kepada wartawan di pejabatnya.

Ahli politik daripada Partai Keadilan Sejahtera (PKS) itu mendedahkan terdapat kira-kira dua bilion laman web yang mempunyai kandungan pornografi. Menurutnya, pembabitan masyarakat dalam mengekang pornografi Internet adalah penting.
“Saya menyeru rakyat dari mana saja supaya memaklumkan kepada kami jika mereka menemui sebarang laman web porno, supaya kami dapat memeriksanya. Pornografi Internet adalah satu industri dan produsernya selalu mencari cara baru untuk mengelak daripada dikesan.

“Oleh itu, kami juga sedang membentuk kemahiran untuk menangani mereka,” katanya. - Jakarta Post

Wanita dakwa dirogol di rumah Duta Nigeria

BRASILIA (Brazil): Pihak berkuasa Brazil sedang menyiasat tuduhan merogol terhadap pekerja di Kedutaan Nigeria, oleh seorang wanita Nigeria yang mengadu dia diserang di rumah duta.
Jurucakap polis yang enggan namanya didedahkan berkata, mangsa mendakwa seorang lelaki memaksa dia mengadakan seks Sabtu lalu dan kemudian memukulnya apabila mangsa mengugut akan melaporkan perbuatannya.

Mangsa dipetik sebagai berkata, dia memberitahu duta Nigeria, yang menjawab, tiada apa yang boleh beliau lakukan.
Pihak kedutaan dalam kenyataan berkata, mereka akan bekerjasama dengan pihak polis dan tidak akan melindungi sesiapa. - AP

Ekor tikus dalam burger dibeli di McDonald’s

SANTIAGO (Chile): Pihak berkuasa kesihatan di Chile, mengesahkan apa yang didakwa oleh seorang lelaki sejak berminggu-minggu lalu, dia menemui ekor tikus dalam burger McDonald’s.
Jun lalu, lelaki itu perasan sesuatu yang asing ketika dia menggigit burger yang dibeli di restoran McDonald’s di bandar Temuco, kira-kira 700 kilometer di selatan ibu negara Chile, Santiago. 
Dia berkata, ia kelihatan seperti ekor tikus dan memfailkan aduan kepada pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Kelmarin, Ketua Jabatan Kesihatan Wilayah, Waldo Armstrong mengesahkan perkara yang ditakuti oleh pelanggan.

“Terdapat kesan ekor tersepit antara keju dan roti dan ekor itu telah dimasak,” katanya kepada wartawan.

Restoran itu ditutup dan siasatan mendedahkan, tahi tikus di dalam restoran itu, dan ekor tikus diletak di dalam burger dengan sengaja. - AFP

Paderi akui liwat 10 budak lelaki selama 30 tahun

LILLE (Perancis): Pihak berkuasa di Perancis mendakwa paderi Katolik berusia 68 tahun kerana penderaan seksual ke atas budak-budak lelaki selama 30 tahun di utara negara itu, kata sumber kehakiman, semalam.
Menurut sumber itu, paderi itu ditempatkan di pusat tahanan sementara selepas mengaku mendera budak lelaki di Lille dan Dunkirk antara tahun 1970-an dan awal 2000. 
Dia akan didakwa meliwat, penderaan seksual terhadap 10 kanak-kanak bawah umur 15 tahun. - AFP

2 pencuri tembaga parah terkena renjatan elektrik dalam gudang

LONDON: Dua lelaki melecur teruk selepas mereka dipercayai cuba mencuri kabel tembaga dari sebuah gudang meter, semalam.
Suspek, 20, memecah masuk sebuah bangunan kosong bersama rakannya - berusia 16 tahun di Luton, Bedfordshire.

Mereka kemudian memotong kabel berkenaan tanpa menyedari ia masih mempunyai arus elektrik.
Polis yang datang selepas dimaklumkan ada orang memecah masuk ke premis itu terkejut mendapati dua lelaki melecur dan mengerang dalam kesakitan.

Jurucakap polis berkata, lelaki berusia 20 tahun itu kini dirawat di unit kebakaran sebuah hospital tempatan kerana melecur teruk pada tangan dan lengan, manakala remaja terbabit parah di muka, termasuk hidung. Menurut polis, kedua-dua suspek itu ditahan kerana disyaki mencuri, sebelum dibebaskan dengan ikat jamin, semalam. Rekod polis menunjukkan, kes kecurian kabel tembaga memang semakin meningkat di seluruh negara. - DM

10 hari tertimbus dalam selut

KEADAAN terowong yang dirakam sejurus selepas ia dilanda banjir.
KEADAAN terowong yang dirakam sejurus selepas ia dilanda banjir.



LONDON: ‘Kesibukan’ polis menyebabkan dua mayat mangsa banjir lumpur terbiar di bawah selut selama 10 hari lapor media semalam.
Sebelum ini, pasukan penyelaffffmat menutup sebuah terowong yang dilanda banjir lumpur tanpa menyedari Rosemary Snell dan pasangannya terperangkap dalam kereta di situ.

Ahli majlis tempatan, Ron Bond, berkata dia sangat berang kerana mayat Rosemary, 67, dan lelaki yang setakat ini hanya dikenali sebagai Mike terbiar dalam lumpur di Terowong Beaminster Dorset begitu lama.
Namun, pegawai polis Dorset, James Vaughan, berkata pasangan terbabit dipercayai mati ‘serta-merta’ disebabkan beban berat lumpur berkenaan. Bekas pekerja sosial dan pemandu pelancong berdaftar, Rosemary baru saja menjalin hubungan dengan Mike, 70-an, selepas menetap di kawasan kampung di Misterton, Somerset.

Pasangan itu dilihat menaiki kereta Skoda Fabia perak pada petang 7 Julai lalu.

Saksi, Ivor Herring, 66, berkata dia melihat Rosemary ada di kerusi penumpang depan kira-kira jam 4 petang dan melambai kepadanya. “Itulah kali terakhir saya melihat dia,” katanya. Pasangan itu dipercayai dalam perjalanan ke Beaminster.
Pada malamnya, mereka dalam perjalanan pulang ke Misterton dalam hujan lebat apabila runtuhan tanah, lumpur dan pokok meranapkan kereta mereka ketika keluar dari terowong. Anggota penyelamat dikejarkan ke situ selepas dimalumkan orang awam, tetapi mereka pulang selepas alat pengesan haba digunakan gagal mengesan sebarang pergerakan di bawah runtuhan.

Laluan itu kemudian ditutup kepada lalu lintas dan ia terbiar tidak dibersihkan untuk beberapa lama kerana pasukan penyelamat sibuk menguruskan banyak insiden lain di kawasan berkenaan.
Hanya selepas Rosemary tidak muncul dalam temu janji makan tengah hari dengan jirannya dua hari kemudian, barulah kehilangan wanita itu disedari. Polis segera dimaklumkan dan selepas disiasat, pasangan itu didapati menggunakan kad kredit mereka di Beaminster pada 7 Julai.

Akhirnya, pelbagai maklumat susulan yang dikumpul membawa polis ke terowong berkenaan.

Apabila diperiksa dengan teliti, didapati kereta dinaiki Rosemary dan Mike tertimbus kira-kira dua meter di bawah lumpur.

Beban berat runtuhan itu menyebabkan kereta mereka remuk sama sekali.
KEADAAN kereta Rosemary yang remuk selepas dikeluarkan dari tempat kejadian.
KEADAAN kereta Rosemary yang remuk selepas dikeluarkan 
dari tempat kejadian.


Sementara itu, jurucakap polis berkata, mereka memang “sibuk” apabila orang ramai menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan. “Ada 150 amaran banjir pada ketika itu dan penghuni 180 rumah dipindahkan, selain 400 insiden lain yang dimaklumkan kepada polis,” katanya. - DM

6 lelaki warga asing terjun sungai elak dicekup Imigresen

HUTAN MELINTANG – Enam lelaki warga asing sanggup terjun ke dalam Sungai Bernam untuk mengelak dicekup angota Imigresen antara ‘aksi berani’ yang dipamerkan ketika Ops 6P yang dijalankan sekitar kawasan jeti Hutan Melintang, pagi tadi.

Enam lelaki warga asing yang sedang asyik melakukan kerja-kerja menjahit jala di pelantar ikan terkejut lalu panik dengan kehadiran anggota Imigresen, bertindak terjun ke dalam sungai untuk melarikan diri.

Lelaki ubah suai lori, beli minyak diesel subsidi dalam kuantiti banyak


Lelaki ubah suai lori, beli minyak diesel subsidi dalam kuantiti banyak
Nordin menunjukkan tangki yang diubahsuai bagi membolehkan minyak diesel diisi melebihi kapasiti ditetapkan.


MUAR - Tindakan licik seorang lelaki mengubahsuai lori miliknya untuk membeli lebih banyak minyak diesel subsidi mengundang padah apabila ditahan sepasukan Gerakan Marin Muar (PGM), kelmarin.

Lelaki berusia 31 tahun dan berasal dari Melaka itu ditahan setelah didapati berada dalam keadaan mencurigakan semasa memandu lori tersebut, berhampiran sebuah tokong Cina dekat Jalan Parit Jawa, di sini.

Pegawai Pemerintah (PGM) Muar, Asisten Superintendan Nordin Osman berkata, lelaki berkenaan dikatakan mengubahsuai tangki lori terbabit bagi membolehkan minyak yang dibeli daripada beberapa stesen minyak di bandar ini dan Batu Pahat dipam ke tangki utama di atas lori berkenaan yang boleh memuatkan sehingga 6,000 liter diesel.

Menurutnya, minyak itu kemudiannya dijual kepada pihak industri bagi tujuan mengaut keuntungan banyak dengan cara mudah.

“Suspek dipercayai membeli minyak berkenaan yang dijual pada harga RM1.80 seliter di beberapa stesen minyak sebelum menjualnya pada harga RM2.30 kepada pihak industri di Melaka.

“Ini kerana penjualan minyak diesel yang ditetapkan untuk industri ialah RM2.90, jadi suspek mengaut keuntungan dengan cara mudah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, suspek ditahan pada jam 3.30 pagi, apabila pemeriksaan dilakukan menemui satu tangki hitam di bahagian belakang lori terbabit yang direka khas untuk mengisi minyak selain 3,000 liter minyak berharga kira-kira RM5,400 sudah diisi di dalamnya.

Katanya, ketika disoal siasat, suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen mengenai pembelian diesel subsidi itu.

“Kita percaya, suspek sudah lama terbabit dalam kegiatan ini kerana dia hanya mengisi minyak pada waktu malam dan awal pagi supaya tidak dapat dihidu pihak berkuasa.

“Pada kebiasaannya tangki lori terbabit hanya boleh  memuatkan kira-kira 200 liter diesel, namun suspek menyambungkannya dengan paip khas membolehkan minyak terbabit dipam ke tangki utama yang boleh memuatkan lebih 6,000 liter minyak,” katanya.

Nordin berkata, suspek diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan selanjutnya.

“Dia ditahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa permit sah,” katanya. 

Kes pukul: Letak wang sebagai perangkap


Kes pukul: Letak wang sebagai perangkap
Keratan Sinar Harian semalam


IPOH – Polis Perak Tengah sudah merekodkan keterangan 19 pelajar termasuk mangsa yang terbabit dalam kes pukul di Sekolah Menengah (SM) Raja Dr Nazrin Shah di Kampung Gajah, dekat sini, bagi membantu siasatan kes itu,   kelmarin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati, kes tersebut tiada unsur gangsterisme seperti mana yang didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

Katanya, melalui keterangan yang diambil, pihaknya mendapati kumpulan pelajar itu memasang ‘perangkap’ untuk menangkap mangsa.

Berikutan itu katanya, kumpulan pelajar terbabit sengaja meletakkan sejumlah wang di atas meja untuk melihat reaksi mangsa.

“Selepas beberapa ketika, pelajar terbabit dikatakan bertindak mengambil wang itu lalu membeli burger di gerai berhampiran.

“Bagaimanapun, pelajar itu tidak mengaku mengambil wang berkenaan ketika kumpulan pelajar tersebut menyoal siasatnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, semalam.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang. Beliau turut menasihati pelajar supaya memberitahu pihak pengurusan asrama jika berlaku salah laku dan bukan bertindak sendiri.

Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa, Muhammad Fareez Akmar Mustapa, 16, mendakwa dipukul 18 pelajar sebayanya menggunakan objek keras lebih tiga jam selepas enggan mengaku mencuri wang sebanyak RM100 milik seorang  pelajar.

Akibatnya, Muhammad Fareez Akmar mengalami lebam pada beberapa bahagian di muka, paha dan belakang badannya.

Warga emas ditahan masa ops air daun ketum


Warga emas ditahan masa ops air daun ketum
Polis mengangkat bungkusan air daun ketum dirampas.


KULIM - Polis berjaya menahan empat lelaki berusia antara 20 hingga 70-an bersama hampir 700 peket cecair dipercayai air daun ketum dalam Ops Tapis yang bermula kirakira jam 12 tengah hari semalam.

Operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim itu diketuai Pegawai Operasi dan Tahanan, Inspektor Mohd Amin Mat Yasin. Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, serbuan tertumpu kepada beberapa lokasi dipercayai 'port' air ketum dimasak. Selain warga tempatan, seorang lelaki Thailand turut ditahan.

“Polis membuat serbuan pertama di sebuah rumah di Simpang Empat Keladi berjaya menahan dua lelaki. Selain itu, polis merampas lapan bungkus cecair dipercayai air daun ketum dan 80 mililiter dadah dalam bentuk cecair.

"Melalui maklumat suspek, polis membuat serbuan di rumah dekat- Kampung Sidam dan menahan seorang lelaki berusia 20-an bersama 100 bungkus cecair sama. Selain itu peralatan masak bahan itu turut ditemui di lokasi serbuan,” katanya.

Curiga keadaan sebuah pondok berada di hadapan rumah serbuan kedua, polis membuat pemeriksaan menemui dua bekas berisi ais di dalamnya tersimpan lebih 400 bungkusan plastik lut sinar mengandungi cecair dipercayai air ketum.

Polis turut menahan seorang lelaki berusia kira-kira 70-an. Semakan mendapati suspek merupakan pesalah yang dicari kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak 1979. Kesemua suspek terlibat dibawa ke IPD Kulim untuk  menjalani ujian saringan air kencing.

“Ini rampasan air ketum terbesar tahun ini. Suspek terlibat pengedaran air ketum ini akan disiasat dibawah Seksyen 30 (3) Akta Racun.

Ada kalangan suspek disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Merbahaya 1952 kerana memiliki dadah. "Bagi warga emas ditahan kerana memiliki rekod dikehendaki polis, polis akan membuka semula rekod lama dan menyerahkan pada balai polis terlibat.

Siasatan mendapati suspek sebelum ini pernah diarah ke mahkamah bagi kesalahan dadah namun menghilangkan diri selama 33 tahun sehingga ditahan hari ini,” katanya.

Kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut.