Search This Blog

Tuesday, July 17, 2012

Masjid juga jadi transit kegiatan seludup

PADANG BESAR - Penyeludup tidak memilih tempat untuk melakukan kegiatan haram itu apabila turut menjadikan perkarangan masjid sebagai lokasi transit kegiatan itu.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis, DSP Zakaria Abdul Rahman berkata dalam kes terbaharu semalam, sebuah lori membawa muatan lapan tong plastik berisi 8,000 liter petrol bersubsidi diletakkan di perkarangan Majlis Titi Tinggi dekat ini bagi mengaburi pihak berkuasa.

Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang ditahan UPP dalam serbuan kira-kira 4.30 petang itu mengaku memilih kawasan masjid untuk dijadikan lokasi transit kerana beranggapan ia selamat, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zakaria berkata siasatan awal mendapati petrol itu dibawa dari  Kedah dan akan dipindahkan ke kenderaan lain untuk diseludup ke negara jiran.

Beliau berkata harga petrol yang tinggi di negara jiran menyebabkan para penyeludup tidak serik melakukan kegiatan haram itu dan mereka menggunakan pelbagai taktik untuk mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, kes itu diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama

3 sahabat maut dalam kemalangan


3 sahabat maut dalam kemalangan
3 sahabat maut dalam kemalangan


SEREMBAN - Tiga sahabat maut selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di Batu 4, Jalan Seremban-Jelebu, dekat sini malam tadi.


Mereka yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan dikenal pasti sebagai Mohd Asrul Abd Rahman, 31, Muhamad Nazri Baharudin, 27, dan Mohd Shahrizal Ngah, 31.


Jurucakap polis berkata kejadian itu berlaku pada 11 malam ketika ketiga-tiga mangsa yang bertugas di Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan negeri (JKKP) menaiki kereta jenis Proton Wira dalam perjalanan dari
arah Jelebu menuju ke Seremban.


Katanya sampai di satu selekoh kereta mangsa dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah lagi kereta jenis Proton Saga BLM yang dinaiki seorang wanita dan dua orang anak lelakinya berusia dua dan tiga tahun.


Katanya rempuhan kuat itu menyebabkan Mohd Asrul yang duduk di bahagian belakang tercampak keluar sejauh beberapa meter dan dua lagi rakannya tersepit di dalam kereta.


"Semua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan," katanya.


Pegawai Turus Trafik negeri, ASP Abd Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian itu berkata punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.


Katanya mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga mangsa. - Bernama

Mayat pekerja kilang dalam sungai

Mayat pekerja kilang dalam sungai
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
PERAI – Seorang pekerja kilang berusia 41 tahun ditemui mati di dalam sungai berhampiran kawasan dermaga, dekat sini, petang kelmarin.

Lelaki berkenaan dikenali sebagai Rosli Abdul Rahim berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah.

Mayatnya ditemui orang awam yang terlihat benda mencurigakan ketika melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 3 petang, lalu bertindak menghubungi polis.

Anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perai dipanggil bagi mengeluarkan mayat lelaki itu dari dalam sungai.

Polis percaya mangsa mungkin mati lebih daripada 24 jam berdasarkan keadaan sebahagian badannya yang sudah mereputdan kembung.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat. Jurucakap polis berkata, pihaknya menolak sebarang perbuatan khianat dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut berikutan tiada kesan kecederaan pada badan mangsa.

Madonna disaman gara-gara swastika

Madonna
Madonna (kiri) bakal berdepan tindakan undang-undang daripada Le Pen.
PARIS - Parti berhaluan kanan, Parti Front Nasional bercadang menyaman penyanyi Madonna berhubung video konsert di Perancis yang menunjukkan gambar ketua parti itu, Marine Le Pen dengan lambang swastika di dahinya.

Timbalan Presiden parti itu, Florian Phillipot berkata, mereka tidak boleh terima perbandingan kebencian seperti itu dan tindakan undang-undang terhadap penyanyi tersebut akan dibuat minggu ini.

“Ini hanya provokasi untuk konsert jelajah dunia Madonna, supaya orang bercerita mengenainya,” katanya.

Dia mendakwa, penonton di stadium itu 'tidak penuh' untuk menyaksikan persembahannya dan konsert jelajah itu dianggap gagal.

“Marine Le Pen mempertahankan bukan saja kehormatannya tetapi juga berjutajuta pengundi parti Nasional,” katanya.

Video yang menjadi latar persembahan lagunya, Nobody Knows Me itu, memaparkan gambar Le Pen dengan lambang swastika di dahinya, diikuti dengan gambar yang menyerupai pemimpin Nazi, Adolf Hitler.

Kejadian itu menyebabkan penonton turut terkejut ketika menonton konsertnya di Stade de France, di luar Paris, Sabtu lalu.

Video yang sama pernah ditayangkan di Tel Aviv, pada bulan yang sama ketika Madonna memulakan konsert jelajah dunianya.

Insiden cabul cetus kemarahan

DELHI - Penyebaran video sekumpulan lelaki mencabul seorang gadis di Uttar Pradesh, mencetuskan kemarahan di seluruh India selepas visual itu disiarkan oleh sebuah saluran televisyen tempatan.

Kejadian itu menyebabkan, pegawai-pegawai tempatan menganggapnya sebagai menyalahi undang-undang kerana boleh menggugat keamanan negara itu.

Pada tayangan 30 minit itu, sekumpulan lelaki terbabit cuba melakukan perkara tidak senonoh terhadap gadis itu, manakala pihak polis tiba 30 minit kemudian bagi meleraikan angkara tersebut.

Empat lelaki ditahan, manakala berpuluh aktivis wanita memprotes terhadap kejadian itu.

Akibat kejadian itu, penduduk di beberapa kawasan di di utara India mengharamkan wanita daripada menggunakan telefon bimbit dan bergerak bebas

8 pengedar dadah maut ditembak

BANGKOK - Lapan disyaki pengedar dadah terbunuh dalam pertembungan dengan pasukan keselamatan Thai di utara wilayah Chiang Rai, sekali gus merampas senjata dan sejumlah dadah, kelmarin,

Pegawai tentera Thailand berkata, adegan tembak menembak antara polis, tentera dan pengedar tersebut tercetus selama lebih 10 minit.

"Kira-kira 700,000 pil amphetamine, 55kg kristal methamphetamine, selaras senapang AK-47, dua pucuk pistol dan 10 butir peluru, di rampas," katanya.

Menurutnya, harga methamphetamine yang murah di Myanmar telah mendorong pemberontak bersenjata menyeludup dadah tersebut ke negara ini

Syarikat operator keretapi Singapura didenda RM4.9 juta

SINGAPURA 17 Julai - Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) semalam mendenda sebanyak SG$2 juta (RM4.9 juta) terhadap syarikat operator keretapi, SMRT Corp. Ltd. ekoran gangguan perkhidmatan itu yang berlaku pada hujung tahun lalu, berpunca daripada proses penyelenggaraan yang tidak terurus.
LTA dalam laman webnya berkata, gangguan tersebut yang menyebabkan beribu-ribu pengguna terperangkap dalam laluan bawah tanah selama berjam-jam, boleh dielakkan sekiranya SMRT Corp. Ltd. melakukan penyelenggaraan dengan baik.
"SMRT Corp. Ltd. akan dikenakan denda maksimum sebanyak RM4.9 juta atas gangguan perkhidmatan yang berlaku di Laluan Utara-Selatan pada 15 Disember dan 17 Disember tahun lalu," katanya. - AFP

3 pelajar Malaysia selamat dalam kebakaran

PASUKAN bomba Ames bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di South Meadow Apartments, semalam. - AGENSI
NEW YORK 16 Julai - Tiga pelajar Malaysia berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran di sebuah blok pangsapuri di South Meadow Apartments, di bandar raya Ames, Iowa, kira-kira 1,900 km dari sini, awal pagi semalam.
Mohamad Khairi Zulkarnian, Mohd Aminuddin Hamid dan Mohd Khairi Ismail yang kesemuanya berusia 21 tahun adalah pelajar tahun dua kursus kejuruteraan di Iowa State University.
Mohamad Khairi ketika dihubungi Bernama di sini berkata, mereka kini tinggal sehelai sepinggang selepas hanya sempat menyelamatkan telefon bimbit dan dompet masing-masing dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu.
"Ketika kejadian kami sedang tidur apabila dikejutkan dengan ketukan kuat di pintu rumah yang disertai arahan selamatkan diri menyebabkan kami bergegas bangun dan keluar dari unit kediaman itu," katanya.
Katanya, sebelum kejadian mereka bertiga mengadakan sesi mentelaah bersama.
Katanya, beliau tinggal di situ bersama Mohd Aminuddin dan Hazwan Izzudin yang pulang bercuti di tanah air, sementara Mohd Khairi pula tinggal di tempat lain, namun datang menginap di rumahnya sejak beberapa hari lepas.
Terdapat 17 pelajar Malaysia tinggal di kompleks perumahan itu, tetapi kebanyakan mereka sedang bercuti di tanah air atau melancong di sekitar Amerika Syarikat, katanya.
Menurut Mohamad Khairi, kediaman mereka rosak paling teruk berbanding unit lain.
Sementara itu, portal berita Iowa State Daily.com melaporkan kira-kira 100 orang tinggal di pangsapuri 56 unit berkenaan, namun tiada kecederaan dilapor dalam kejadian tersebut.
Laporan itu juga menyebut kebakaran dipercayai bermula dari garaj di bahagian bawah apartmen.
Laporan itu juga memetik pegawai perhubungan awam untuk bandar raya Ames, Susan Gwiasda sebagai berkata, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9 pagi, namun bomba berada di lokasi kejadian sepanjang hari bagi memantau situasi. — BERNAMA

Lebih 23,000 pekerja kilang tekstil Mesir mogok

KAHERAH 16 Julai - Lebih 23,000 pekerja syarikat tekstil terbesar di Mesir, yang berang dengan kadar upah yang rendah melancarkan mogok semalam, menyebabkan operasi pengeluaran syarikat itu terhenti dan menambahkan lagi cabaran kepada Presiden baru negara ini.
Kilang milik kerajaan, Misr Spinning and Weaving terletak di Delta Nil, bandar Mahalla merupakan lokasi tunjuk perasaan pada 2008 yang kemudiannya mencetuskan gelombang tunjuk perasaan sehingga ke seluruh Mesir yang mengakhiri pemerintahan Presiden Hosni Mubarak pada tahun lalu.
Mogok terbaru itu adalah ujian bagi Presiden baru Mesir, Mohamed Mursi ketika beliau bergelut membentuk Kabinet bagi menggantikan pentadbiran tentera.
Di Mahalla, kira-kira 7,000 pekerja syarikat tekstil itu melancarkan mogok dengan duduk di hadapan kilang mendesak kadar gaji pokok dinaikkan, membanteras rasuah di kalangan pegawai dan memperbaiki kebajikan syarikat.
Perhimpunan bantahan turut diadakan di hadapan Istana Presiden di Kaherah sejak Mursi dipilih pada bulan lalu.
Sementara itu, sekumpulan penunjuk perasaan membaling tomato dan kasut ke arah konvoi kereta Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton ketika lawatan pertama beliau ke negara ini, semalam sejak Mursi menjadi Presiden.
Sebiji tomato terkena di muka seorang pegawai Mesir, manakala kasut dan bekal air mineral hampir mengenai kereta perisai yang membawa delegasi Clinton di bandar Iskandariah selepas beliau memberi ucapan mengenai hak-hak demokrasi.
Seorang pegawai kanan AS berkata, Clinton dan kereta yang dinaikinya tidak terkena dengan balingan oleh penunjuk perasaan itu. - REUTERS

100,000 bantah buka reaktor nuklear

TOKYO 16 Julai - Kira-kira 100,000 orang berhimpun di jalan-jalan raya di bandar raya ini, hari ini bagi membantah pembukaan semula reaktor-reaktor nuklear di Jepun selepas negara ini dilanda bencana nuklear terburuk pada tahun lalu ekoran gempa bumi dan tsunami.
Ketua Pertubuhan Nuklear Sayonara yang menganjurkan bantahan itu, Satoshi Kamata berkata, jumlah mereka yang menyertai bantahan mungkin melebihi 100,000 orang ekoran peningkatan kebimbangan kerajaan akan mengaktifkan lebih banyak reaktor nuklear.
Bantahan itu dibuat seminggu selepas satu reaktor di tengah Jepun kembali beroperasi sepenuhnya setelah dimatikan pada 1 Julai lalu, sekali gus menjadi satu-satunya daripada 50 reaktor di negara ini yang beroperasi. - BERNAMA

Warga Mesir baling kasut, tomato ke arah kereta Hillary

Warga Mesir baling kasut, tomato ke arah kereta Hillary
Sebahagian penunjuk perasaan memprotes kehadiran Hillary Clinton di bandar raya Iskandariah, Mesir semalam. - Foto ihsan CNN
KAHERAH - Penunjuk perasaan Mesir membaling tomato dan kasut ke arah kereta iringan yang membawa Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton semalam sambil menjerit "Monica, Monica, Monica" ketika beliau meninggalkan premis pejabat konsul negara itu di Iskandariah.

Hillary berkata, beliau berada di bandar raya itu untuk menjawab kritikan yang mendakwa Washington bertindak berat sebelah dalam politik Mesir.

Malah majlis itu terpaksa dialih ke dalam premis itu ekoran protes mengecam teruk kunjungan beliau, lapor CNN.

"Saya mahu menjelaskan bahawa Amerika Syarikat tidak terlibat dalam urusan ini, di Mesir, memilih siapa pemenang dan siapa yang kalah, jikapun kita boleh berbuat demikian, yang mana, sudah pasti tidak boleh," kata Clinton ketika berucap pada majlis merasmikan pembukaan semula pejabat konsul itu.

"Saya datang ke Iskandariah untuk mengulangi sokongan padu Amerika Syarikat kepada rakyat Mesir dan demi masa depan demokrasi mereka," kata beliau.

Pejabat itu ditutup pada 1993 ekoran masalah kewangan.

Penunjuk perasaan membaling tomato, kasut dan botol ke arah kakitangan kedutaan ketika berjalan menuju ke van mereka selepas majlis perasmian berakhir. Sebiji tomato terkena muka pegawai Mesir.

Polis antirusuhan terpaksa mengawal keadaan.

Kumpulan penunjuk perasaan menjerit "Monica" dengan merujuk kepada Monica Lewinsky, bekas pelatih White House, yang dikatakan ada hubungan dengan bekas Presiden Bill Clinton semasa menerajui AS.

Bill merupakan suami Hillary.

Awal semalam, Hillary mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tentera yang kini dilihat 'bertembung' dengan Presiden Mohammed Mursi, yang dipilih bulan lalu, dari segi kuasa pentadbiran negara.

Mohammed merupakan presiden pertama dipilih secara demoktratik dan menerusi pilihan raya bebas.

Ijazah palsu: Lahir graduan palsu

Lahir graduan palsu
Ijazah Palsu
Ijazah palsu: Lahir graduan palsu
Kronologi kes
SUATU ketika dulu, negara kecoh dengan lambakan gelaran Datuk palsu. Tetapi kemudian senyap dan kini muncul kudis berbahaya yang melibatkan profesionalisme. Kes ijazah palsu bukan sesuatu baru didengar, apabila sebelum itu terdapat nama-nama individu hebat di negara ini yang didakwa menggunakan sijil palsu.

Terbaru, kita dikejutkan dengan sindiket pemalsuan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM) dan masyarakat benar-benar tidak menyangka mengenai kewujudan jenayah seumpama itu memandangkan ia berkaitan akademik.

Bayangkan dua wanita berusia 24 dan 25 tahun serta seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai menawarkan setiap ijazah USM dengan harga RM4,888 menerusi satu laman web khas dan dikatakan menipu lebih 20 orang sejak menjalankan kegiatan itu tiga bulan lalu.

Menurut polis, modus operandi sindiket ialah dengan mengiklankan tawaran sijil ijazah dari USM serta boleh dimasukkan ke dalam pangkalan data universiti berkenaan menerusi sebuah laman web.

Berdasarkan siasatan, anggota sindiket meminta pembeli untuk memasukkan wang ke dalam akaun yang dimiliki oleh individu tertentu dan mereka juga tidak melayan pelanggan menerusi talian telefon.

Mudahnya. Tetapi itu kegiatan yang dibongkar. Apakah logik jika kita memikirkan mungkinkah segelintir individu terdiri ahli politik, ahli perniagaan, pakar motivasi, ahli akademik, penulis, perunding pelaburan dan insurans yang nampak hebat itu sebenarnya menggunakan ijazah palsu. Termasuk rakan di sebelah kita.

Benarkah, sindiket membeli ijazah terutama PhD melalui internet sudah menjadi trend baru? Mudahnya memperoleh ijazah dengan hanya melalui talian. Bayar dan cetak. Masalahnya, apabila masuk ke alam pekerjaan, bagaimanakah kualiti perkhidmatan yang mampu diberikan. Apakah pula hak majikan?  Bagaimana hendak periksa sijil yang sudah ada cop 'disahkan oleh' ?

Ironinya, jika kegiatan ini tidak dibanteras atau dibiarkan merebak, maka bayangkan negara yang sedang membangun pesat ini mempunyai ilmuwan palsu dan plastik serta ‘ graduan’ yang bersepah setaraf sampah sarap. Jika kegiatan menjual pangkat palsu didorong oleh sindrom gelaran daripada mentaliti feudalisme, bagaimana sindiket ijazah palsu. Jenayah apakah ini?

Apa kata kementerian?

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi melalui kenyataan Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengkaji ciri keselamatan pengeluaran ijazah yang diguna pakai di negara lain bagi menangani kegiatan penjualan ijazah palsu seperti yang didalangi sindiket menggunakan Universiti Sains Malaysia (USM).

Ini memandangkan pengeluaran sijil ijazah oleh setiap universiti di negara ini tidak sama.

Misalnya sijil yang dikeluarkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah berbeza dengan Universiti Sains Malaysia (USM).

Respons USM

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) memandang serius kejadian yang menimpa universiti berkenaan. Naib Canselornya, Prof. Datuk Omar Osman mengatakan, USM telah mengambil tindakan mengetatkan ciri-ciri keselamatan skrol ijazah yang lama menerusi proses keselamatan ketat dan mengandungi ciri-ciri keselamatan serta nombor siri khas.

Tambahan itu, USM bersedia membantu sekiranya ada pihak yang ragu-ragu terhadap ijazah yang dikeluarkan.

Prof. Omar mengesahkan tiada kakitangan USM terlibat dalam kegiatan tersebut memandangkan segala maklumat mengenai lulusan universiti itu disimpan rapi termasuk di bilik kebal.

Salah seorang daripada tiga suspek yang disyaki terlibat ialah bekas pelajar USM `sementara dua lagi ialah orang luar.

Jutawan Tetra Pak disyaki bunuh isteri

Jutawan Tetra Pak disyaki bunuh isteri
Siasatan terhadap Rausing ditangguhkan berikutan faktor kesihatan.
LONDON - Siasatan terhadap pewaris Tetra Pak, Hans Kristian Rausing, 49, berhubung kematian isterinya di kediaman mereka di daerah Belgravia, London, Britain ditangguhkan.

Pegawai Penyiasat Scotland Yard, Sharon Marman berkata, jutawan itu ditahan bagi disoal siasat, namun terpaksa ditangguhkan berikutan emosinya masih belum stabil.

“Beliau kini di bawah pengawasan perubatan dan siasatan hanya dilakukan selepas mendapat kebenaran pihak bertanggungjawab,” katanya.

Inkues kematian Eva Rausing, dimulakan Jumaat lalu bagi mengenal pasti punca kematian wanita itu.

Rausing ditemui mati minggu lalu, selepas polis menahan suaminya untuk siasatan atas tuduhan pengambilan dadah.

Warga emas rugi RM 10,000 rumah dipecah masuk

MELAKA - Seorang warga emas kerugian lebih RM10,000 apabila kereta dan dokumen penting termasuk geran tanah, rumah dan sijil pelaburan bank dilarikan perompak yang memecah masuk kediamannya di Taman Sutera Seksyen 2 Batu Berendam di sini.
Mangsa, Rahim Baba, 80, seorang warga Singapura berkata ketika kejadian dia tiada di rumah dan hanya menyedari kejadian tersebut sebaik pulang dari republik itu kira-kira 2.30 petang  semalam.
Pesara kerajaan itu berkata suspek dipercayai menyelinap masuk dengan memotong pagar besi tingkap sebelum mengeledah rumah teres dua tingkat tersebut.
"Saya memang menetap di Singapura namun pulang sebulan sekali ke rumah saya untuk menguruskan hal-hal penting termasuk pembayaran bil air dan elektrik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Rahim yang lahir di Alor Gajah dekat sini berkata sebelum pulang ke Singapura dua minggu lepas, dia telah memastikan pintu rumah berkunci termasuk meletak kereta di garaj rumahnya.
Namun setibanya di rumah, beliau berkata kereta miliknya tiada di garaj dan mendapati keadaan rumahnya berselerak selain mempunyai kesan potong di pagar besi tingkap bilik belakang.
Rahim yang telah menetap kira-kira 20 tahun di taman tersebut kemudian membuat laporan melalui talian Rakan Cop berhubung kejadian tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Supt Muhammad Koey Abdullah mengesahkan kejadian itu. - Bernama

72 pelajar sekolah menengah agama keracunan makanan

SEREMBAN - Lebih 70 pelajar di sebuah sekolah menengah agama di sini mengalami keracunan makanan dengan 15 terpaksa mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) hari ini.
Bernama difahamkan kejadian sejak tengah malam tadi itu membabitkan pelajar tingkatan tiga dan lima yang tinggal di asrama sekolah berkenaan selepas menikmati hidangan di dewan makan asrama.
Pegawai Perhubungan Awam HTSJ Lathifah Abdul Hamid berkata 15 pelajar terbabit mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kira-kira pukul 9.15 pagi sebelum dibenar pulang.
"Daripada maklumat yang kita terima seramai 72 pelajar di sekolah berkenaan mengalami sakit perut dan cirit-birit disyaki akibat keracunan makanan.
Semua pelajar terbabit telah diberikan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata HTSJ telah menghantar sepasukan pegawai perubatan ke sekolah berkenaan bagi menyiasat kejadian.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Ismail bin Taib berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu dan tindakan akan diambil jika didapati pengusaha makanan tersebut bersalah.
Beliau turut mengingatkan pengusaha makanan dan pengusaha kantin sekolah di negeri ini agar menitikberatkan kebersihan makanan bagi mengelak kejadian keracunan makanan.
Dalam pada itu, beberapa pelajar terbabit ketika ditemui Bernama berkata mereka mengalami sakit perut serta pening sejak malam tadi selepas menikmati hidangan di dewan makan.
Nor Syahira Mohd Shah, 16, berkata dia mula mengalami sakit perut sejak malam tadi sehingga menyebabkannya muntah dan tidak boleh tidur.
"Saya mula perasan perut saya kurang selesa selepas solat Isyak, tapi saya ingatkan pada masa itu hanya sakit perut biasa sahaja.
"Tapi sehingga lewat malam perut saya semakin sakit dan saya mula cirit birit dan muntah. Menjelang pagi saya dapati rakan sebilik saya juga turut mengalami keadaan sama sebelum saya melaporkan kepada warden asrama," katanya.
Seorang lagi pelajar, Atiqah Mohd Rafi, 13, pula berkata dia turut mengalami simptom yang sama dengan rakan-rakannya malam tadi dan terpaksa berulang-alik ke tandas selain mengalami muntah-muntah.
Bagaimanapun pihak sekolah ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen. - Bernama

Pelukan pertama, terakhi

Kemalangan: Seorang ibu tidak sangka anak keempat maut
Pegawai penyiasat memeriksa mayat Muhammad Firdaus.
Kemalangan: Seorang ibu tidak sangka anak keempat maut
Orang ramai dan anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Melaka.
BANDARAYA MELAKA - Seorang ibu tidak menyangka pelukan pertama daripada anak lelakinya, adalah pelukan terakhir yang diterima apabila anak keempatnya itu maut dalam kemalangan, awal pagi, semalam.

Lebih menyayat hati, Zubaidah Ghani, 47, terpaksa menerima hakikat hilang dua anak sekali gus, selepas anak keduanya, Mohd Hafis, 28, meninggal dunia akibat kanser usus genap sebulan lalu.

Ibu anak enam itu yang masih terkejut berkata, dia bagaimanapun reda dengan kehilangan Muhammad Firdaus Md Said, 19, yang maut di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) Peringgit, di sini.

Zubaidah berkata, sebelum kejadian, Muhammad Firdaus yang dipanggil Acik juga berkelakuan pelik apabila membalut tubuh dengan selimut milik arwah Mohd Hafis di rumah mereka di Bukit Meta, Telok Mas.

“Selama ini, Muhammad Firdaus tidak pernah peluk saya. Dia yang bersikap periang selalunya hanya mencuit- cuit saya tetapi semalam (kelmarin), dia yang baru balik kerja sebagai penghantar surat terus memeluk saya dari belakang.

"Apabila ditanya kenapa, dia tidak menjawab, hanya sekadar ketawa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Melaka.


Guna selimut arwah abang

Menurutnya, petang semalam (kelmarin) anaknya itu duduk di sofa sambil berselubung menggunakan selimut milik arwah abangnya.

"Saya yang pelik dengan sikapnya bertanya adakah dia buang tabiat berselimut siang hari tetapi dia menjawab sejuk.

"Saya hanya mengetahui kejadian ini selepas seorang rakan anak datang ke rumah mahu bertemu Mohd Rezuan kira-kira jam 3 pagi semalam dan memaklumkan Acik terlibat kemalangan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, Muhammad Firdaus yang menunggang Yamaha 125Z dari arah Jasin ke Alor Gajah maut selepas bertembung dengan sebuah Proton Saga Aeroback dari arah bertentangan.

Kereta yang terbabas memasuki laluan bersebelahan itu juga mengakibatkan penumpang kereta terbabit, Abdul Rahup Yusof, 19, yang tersepit maut di tempat kejadian, manakala pemandu, Noh Hamrizal Ahmad, 21, cedera di muka.

Seorang lagi penunggang Yamaha LC, Khairul Bismi Romli berusia belasan tahun yang datang dari arah sama  dengan Muhammad Firdaus cedera di kaki  akibat rempuhan berkenaan.


Naik bot sama-sama

Sementa ra itu, abang ipar Abdul Rahup, Mohd Fairuz Md Daud, 27, berkata, mereka berdua sempat menaiki bot bersama-sama petang kelmarin untuk pulang ke rumah selepas waktu bekerja di jeti sebuah syarikat cari gali minyak tempatan.

“Kami bekerja di syarikat sama tetapi jabatan berlainan. Sudah dua minggu kami tidak balik bersama tetapi petang semalam (kelmarin) dia jemput saya di jeti dan menghantar saya ke darat sebelum dia meneruskan perjalanan bot ke Dataran 1Malaysia, Klebang kerana dia meletakkan kenderaannya di sana,” katanya.

Menurutnya, Abdul Rahup yang baru bekerja sebagai krew bot sejak dua bulan lalu sempat memberitahu ibunya, Rapaha Wahab, 45, sebelum keluar dari rumah di Kampung Pulau, Durian Tunggal, dekat sini.

“Apabila menyedari Abdul Rahup belum pulang, ibu cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi dijawab seorang anggota polis dan memaklumkan dia terlibat kemalangan.

“Saya kemudian menghubungi telefon adik ipar sekali lagi dan polis memaklumkan dia telah meninggal dunia," katanya.


Kereta terbabas rempuh dua motosikal
Sementa ra itu, menurut sumber, kereta dipandu Noh Hamrizal dari arah lampu isyarat Melaka Sentral/ Peringgit hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh dua  motosikal.

“Akibat pertembungan itu, Abdul Rahup tersepit di tempat duduk hadapan dan Muhammad Firdaus terjatuh dari motosikal. Kedua-duanya maut di tempat kejadian akibat parah seluruh anggota badan.

“Sementara Noh Hamrizal yang mengalami kecederaan teruk di muka dan Khairul Bismi patah kaki serta mengadu sakit dada dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Seorang saksi, Mohd Rizal Baba, 23, pula berkata, sebelum kejadian, dia yang berada di kawasan berhampiran melihat sebuah kereta Proton Waja berhenti dan membuka pintu di laluan tengah jalan raya menghala Jasin.

“Kereta Proton Saga yang datang dari belakang cuba mengelak kereta terbabit sebelum terbabas ke kanan dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh dua motosikal yang menghala Alor Gajah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Kes amuk: Adik orang kanan Khalil direman

Amuk di JPM
Amuk di JPM
SHAH ALAM – Adik lelaki kepada Muhdalina Ahmad dirakamkan percakapan bagi membantu siasatan berhubung kejadian amuk di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, keterangan lelaki itu diambil kelmarin.

“Siasatan kes itu masih dijalankan. Kita akan panggil sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Razak berkata, kertas siasatan itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, lima individu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kejadian amuk terbabit.

Individu itu antaranya, suami Muhdalina, isteri Khalil Afandi Abd Hamid dan seorang pemblog .

Dalam kejadian itu, polis terpaksa melepaskan tembakan setelah Khalil Afandi dan Muhdalina mengamuk dengan bersenjatakan pedang samurai.

Tembakan itu menyebabkan Khalil Afandi Abd Hamid maut ketika dirawat di Hospital Putrajaya, manakala Muhdalina cedera di paha kanan.

Tiga pelajar Malaysia selamat dalam kebakaran di Iowa

NEW YORK - Tiga pelajar Malaysia berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran di sebuah blok pangsapuri di South Meadow Apartments, di bandar raya Ames, Iowa, kira-kira 1,900 km dari sini, awal pagi Ahad.
  
Mohamad Khairi Zulkarnian, Mohd Aminuddin Hamid dan Mohd Khairi Ismail yang kesemuanya berusia 21 tahun adalah pelajar tahun dua kejuruteraan di Iowa State University.
  
Menurut Mohamad Khairi ketika dihubungi Bernama di sini, mereka kini tinggal sehelai sepinggang selepas hanya sempat menyelamatkan telefon bimbit dan dompet masing-masing dalam kejadian 6 pagi itu.
  
Ketika kejadian kami sedang tidur apabila dikejutkan dengan ketukan kuat di pintu rumah yang disertai arahan selamatkan diri menyebabkan kami bergegas bangun dan keluar dari unit kediaman itu, katanya.
  
Katanya sebelum kejadian mereka bertiga mengadakan sesi mentelaah bersama.
  
Katanya beliau tinggal di situ bersama Mohd Aminuddin dan Hazwan Izzudin yang pulang bercuti di tanah air, sementara Mohd Khairi pula tinggal di tempat lain namun datang menginap di rumahnya sejak beberapa hari lepas.
  
Terdapat 17 pelajar Malaysia tinggal di kompleks perumahan itu, tetapi kebanyakannya sedang bercuti di tanah air atau melancong di sekitar Amerika Syarikat, katanya.
  
Menurut Mohamad Khairi lagi kediaman mereka rosak paling teruk berbanding unit lain.
  
Sementara itu, portal berita Iowa State Daily.com melaporkan kira-kira 100 orang tinggal di pangsapuri 56 unit berkenaan, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilapor dalam kejadian tersebut.
  
Laporan itu juga menyebut kebakaran dipercayai bermula dari garaj yang terletak di bahagian bawah apartmen.
  
Laporan itu juga memetik pegawai perhubungan awam untuk bandar raya Ames Susan Gwiasda sebagai berkata kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9 pagi, namun bomba berada di lokasi kejadian sepanjang hari bagi memantau situasi.
Mohamad Khairi berkata mereka masih menunggu di lokasi itu sejak 12 jam lepas bagi menanti perkembangan terbaru daripada bomba dan pihak berkuasa Iowa.
  
Katanya untuk sementara waktu meraka akan menumpang di rumah rakan-rakan.
 
Beliau berkata mereka juga akan menghadiri mesyuarat dengan dekan dan pengurusan universiti berhubung kejadian itu memandangkan ramai pelajar universiti berkenaan terbabit dengan kejadian tersebut.
  
Sementara itu, Pegawai Jabatan Penuntut Malaysia di Chicago, Dr Roslan Jamaluddin memaklumkan kepada Bernama bahawa beliau serta beberapa pegawainya sudah tiba di lokasi dan bertemu dengan pelajar yang terlibat.
 
Chicago terletak kira-kira 530 km dari Ames dan perjalanan dengan kereta mengambil masa sekurang-kurangnya enam jam.
 
Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi akan mengeluarkan maklumat lanjut mengenai kedudukan pelajar Malaysia yang terbabit dalam kebakaran itu.
   
Sementara itu, badan bukan kerajaan Malaysian Islamic Study Group (MISG) yang berpangkalan di Virigina, menubuhkan tabung bencana bagi membantu pelajar Malaysia yang terlibat dalam kebakaran tersebut.
  
Naib Presiden Kedua MISG Wan Khalil Wan Ahmad berkata mereka yang ingin mederma boleh layari laman web MISGonline.com untuk keterangan lanjut. - Bernama

Pendaki Gunung Ledang jatuh gaung

Pendaki Gunung Ledang jatuh gaung
Halfian Abd Rahim yang jatuh gaung berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.
LEDANG -  Saat gembira bagi 10 sahabat ketika mendaki Gunung Ledang di sini bertukar menjadi detik mencemaskan apabila salah seorang daripada mereka terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 20 meter di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 pagi itu, mereka berada pada ketinggian 1,000 meter berhampiran puncak Gunung Ledang sebelum mangsa, Halfian Abd Rahim, 36, tergelincir lalu termasuk ke dalam gaung tersebut.
Dia bagaimanapun terselamat, namun mengalami kecederaan parah akibat patah tangan kiri dan retak pada tulang punggung.
Menurut Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Suhairi Hashim, Halfian yang berasal dari Seri Petaling, Kuala Lumpur dan bekerja di Tanjung Malim, Perak mendaki gunung tersebut bersama sepuluh rakannya termasuk dua wanita pada Sabtu lalu.
"Mereka bersama seorang penunjuk arah meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Ledang pada jam 4 pagi, namun mangsa tergelincir pada jam 6.10 pagi berhampiran check point Taman Bonsai.
"Dia berjaya dibawa keluar pada kira-kira jam 1 tengah hari selepas operasi menyelamat dilakukan sejak pagi oleh renjer Taman Negara berkenaan, selain sekumpulan anggota pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Tangkak," katanya.
Suhairi berkata, kemungkinan mangsa terjatuh akibat terlalu letih, tambahan pula dia membawa beg besar dan bersandar pada pokok sebelum hilang imbangan dan terjatuh.
Katanya lagi, mangsa dibawa ke Hospital Tangkak sebelum dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.
Beliau turut menasihatkan pendaki gunung agar lebih berhati-hati dan mengikut semua peraturan ditetapkan pihak Perbadanan Taman Negara.
Sementara itu, Penolong Kanan Pegawai Bomba Zon Muar, Zulkifli Bakar yang juga ketua operasi berkata, kumpulan penyelamat terbabit mengambil hampir empat jam untuk menyelamatkan mangsa kerana laluan dan keadaan yang mencabar.
“Operasi menyelamat dimulakan jam 10 pagi. Kita mengambil masa satu jam menuruni cerunan untuk sampai ke lokasi dan mengambil masa dua jam pula untuk
mendaki semula dengan membawa mangsa. Mangsa berjaya dibawa ke tempat selamat kira-kira jam 3 petang," katanya.
Zulkifli berkata, ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan sedar namun sangat lemah.

Anak nekad selamatkan ibu bapa terbakar

Anak nekad selamatkan ibu bapa terbakar
Ilustrasi kejadian oleh AIMA HASHIM
Anak nekad selamatkan ibu bapa terbakar
Keadaan bilik tidur mangsa yang hangus terbakar, semalam
PEKAN – Seorang remaja lelaki yang panik melihat ibu dan bapa tirinya terbakar di bilik tidur utama kediaman mereka, bertindak menyelamatkan kedua-duanya dalam kebakaran di Kampung Cenderawasih Sungai Miang, kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Mohd Amri Abu Bakar, 16, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan berkata, ketika kejadian dia tidur dalam bilik bersebelahan bilik ibu dan bapa tirinya.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Amri berkata, ketika terjaga tidur selepas terdengar jeritan bapa tiri, Abdul Karim Mohamad, 39, dan ibu, Saedah Talib, 35, meminta tolong.

"Saya melihat kepulan asap datang dari bilik tidur mak ayah sebelum bertindak menendang pintu bilik berkenaan.

"Selepas pintu dibuka, saya lihat ayah sedang terbakar dari paras pinggang ke bawah, manakala ibu terbakar seluruh badan," katanya.

Mohd Amri berkata, bapa tirinya cuba merangkak keluar bilik yang marak disambar api dan apabila melihat keadaan ibunya, tanpa membuang masa dia cuba mengheret keluar ibu yang sedang terbakar seluruh badan,” katanya.

Katanya, dia kemudiannya bergegas membawa dua adiknya Nurazalina Abu Bakar, 11 dan Noraini Abu Bakar, 5, yang tidur di ruang tamu, keluar dari rumah itu.

"Saya kemudiannya masuk kembali ke dalam rumah dan berlari ke dapur mengambil air menggunakan baldi sebelum bertindak menyimbah air berkenaan ke atas kedua-dua mak ayah yang masih terbakar sebelum didatangi jiran tetangga yang membantu," katanya.

Bilik yang sedang terbakar itu kemudiannya berjaya dipadamkan dengan bantuan jiran.

Dalam kejadian berkenaan, kedua-dua ibu bapanya itu melecur teruk seluruh badan selepas bilik tidur mereka terbakar dalam kejadian itu.

"Mereka dihantar jiran ke Hospital Pekan kira-kira jam 3.30 pagi sebelum dipindahkan ke HTAA bagi rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.Sementara itu, ketua kampung berkenaan, Mohamad Karim berkata, kedua-dua suami isteri itu sedang tidur ketika kejadian.

“Katil dan kelambu di bilik berkenaan dipercayai terbakar sebelum api menyambar tubuh mereka, namun punca kejadian tidak diketahui,” katanya.

Sementara itu, ketua kampung berkenaan, Mohamad Karim berkata, katil dan kelambu di bilik berkenaan dipercayai terbakar sebelum api menyambar tubuh mereka, punca kejadian tidak diketahui.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kebakaran tersebut dan akan ke lokasi bagi menyiasat punca kebakaran

Hanya mahu duit janda

KESAL...Shanti menunjukkan laporan polis dibuatnya.
KESAL...Shanti menunjukkan laporan polis dibuatnya.
KUALA LUMPUR: Impian indah seorang janda beranak tiga untuk melangsungkan perkahwinan yang dirancangkan bulan ini musnah selepas teman lelakinya bukan sekadar menghilangkan diri, malah turut melarikan wang RM30,000 miliknya.
Wanita berusia 29 tahun itu menyerahkan RM30,000 ketika kali terakhir berjumpa lelaki terbabit di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, pada 29 dan 30 Jun lalu dan wang berkenaan kononnya untuk membeli barang hantaran serta urusan majlis perkahwinan mereka.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Shanti, 29, berkata, dia bersedia menyerahkan wang berkenaan pada dua pertemuan berkenaan kerana yakin dengan kesungguhan teman lelakinya itu mahu memperisterikannya walaupun mereka baru sebulan berkenalan.

Shanti berkata, dia mengenali lelaki berusia 20-an itu melalui seorang rakan dan bersetuju berkahwin selepas tertarik sikapnya mengambil berat terhadap dirinya serta anak-anak.

“Kami bertemu buat kali pertama pada akhir Jun lalu dan dalam pertemuan itu, dia menyatakan jatuh cinta pandang pertama terhadap saya dan mahu mengambil saya sebagai isteri.

Danok bergegar, gudang mercun meletup

ARAU: Pekan Danok yang bersempadan dengan Bukit Kayu Hitam, di sini malam tadi bergegar apabila sebuah kedai dipercayai gudang mercun meletup.
Kejadian kira-kira jam 10.45 malam waktu Malaysia itu dilapor memusnahkan sekurang-kurangnya 10 kedai majoritinya di sepanjang deretan Lorong 2 di pekan tumpuan rakyat Malaysia itu. 
Sumber polis Thai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu yang berlaku kurang 50 meter dari Kompleks Kastam dan Imigresen Thailand, dekat sini.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini masih belum dapat dipastikan sama ada terdapat mangsa yang terkorban, termasuk rakyat Malaysia.

Sementara itu, pihak Konsul Malaysia di Songkhla, ketika dihubungi berkata, sehingga kini tiada laporan rasmi mengenai kecederaan atau kematian akibat letupan berkenaan.

"Kita sudah hantar pegawai untuk menyiasat keadaan di lokasi kejadian. Bagaimanapun maklumat sehingga kini masih samar kerana kawasan kejadian ditutup dan dikawal rapi pihak berkuasa Thai," katanya.

Nak cepat kaya rugi RM50,000

MIRI: Kerana mahu cepat kaya, empat sahabat termasuk seorang pelajar sebuah kolej swasta di bandar ini, akhirnya berputih mata selepas kerugian lebih RM50,000 akibat ditipu seorang lelaki yang menawarkan skim pelaburan yang kononnya menguntungkan.
Episod malang empat mangsa berusia 21 hingga 27 tahun itu bermula selepas lelaki terbabit yang menghilangkan diri sebaik menyerahkan wang pelaburan masing-masing sejak Februari hingga Mei lalu. 
Semua mangsa diperkenalkan kepada suspek berusia 30-an itu menerusi seorang kenalan baru sebelum diajak berjumpa untuk sesi penerangan lanjut.

Menurut sumber, kesempatan berjumpa dengan mangsa digunakan suspek untuk memperkenalkan skim pelaburan yang dikatakan mampu memberi pulangan faedah antara lima hingga 10 peratus setiap bulan.

Malah, katanya, bagi meyakinkan mangsa, suspek turut menjelaskan skim pelaburan yang diperkenalkan itu mempunyai syarikat sendiri yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, menyebabkan mereka percaya dan berminat untuk membuat pelaburan.

Pandu ke hospital sambil tahan bisa ular

KUALA BERANG: “Dalam keadaan sakit menahan bisa ular, saya menggagahkan diri memandu kereta kira-kira setengah jam untuk sampai ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) sebelum pengsan di hospital itu,” kata Husin Ali, 43, yang hampir maut selepas dipatuk seekor ular kapak, semalam.
Husin berkata, ketika kejadian, dia baru tiba di kebunnya di Kampung Landas, Ajil, dekat sini, pada jam 10.20 pagi sebelum dipatuk ular sepanjang satu meter itu di betis sebaik dua langkah meninggalkan keretanya.

“Isteri saya, Asmuni Awang, 43, yang turut ke kebun mengambil dua kayu dan memukul ular itu sehingga mati.
“Walaupun kesakitan, saya memandu ke HHT dengan ditemani isteri, tetapi setibanya di sana, isteri memberitahu saya pengsan selama setengah jam selepas diberikan empat jarum suntikan untuk melawan bisa ular itu.

“Sebaik sedar, saya sudah berada di wad dan bersyukur kerana selamat,” katanya ketika ditemui di HHT, di sini, semalam.

Asmuni berkata, sebaik melihat suaminya cedera dipatuk ular, dia panik dan mencapai kayu untuk memukul reptilia itu.
“Ular itu tidak bergerak selepas mematuk suami sebelum saya nekad memukulnya menggunakan dua kayu,” katanya.

‘Mahu pergi jauh’

HULU TERENGGANU: “Pada malam sebelum kejadian, arwah ada memberitahu mahu pergi jauh, tetapi tidak menyatakan hendak ke mana.
“Saya tidak sangka kata-katanya itu petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga,” kata Natika Ambok, 51, ibu kepada Norfarahin Mohd Noor, 19, yang lemas ketika berkelah di kawasan air terjun Belukar Bukit, di sini, kelmarin. 
Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa yang mandi di kawasan air dalam bersama adik bongsunya, Nor Ashida, 15, dan anak saudara, Mohd Ikmal Iskandar, 9, gagal mengapungkan diri sebelum menjerit meminta pertolongan daripada bapa mereka, Mohd Noor Mamat, 54, yang berada di tebing kawasan air terjun itu.

Bagaimanapun, Mohd Noor hanya mampu menyelamatkan adik bongsu dan anak saudaranya, manakala Norfarahin tenggelam ke dasar air terjun itu.

Natika berkata, sebelum kejadian, dia menasihati Norfarahin supaya tidak mandi di kawasan dalam itu, namun anak ketiga daripada lima beradik terbabit tetap mandi di lokasi berkenaan.

Wanita ditinggal anak di hotel meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Faridah Maulud (gambar), 66, ibu yang ditinggalkan anaknya di sebuah hotel bajet di ibu negara Mac lalu, meninggal dunia akibat sakit tua, semalam.
Arwah yang uzur sejak kebelakangan ini disahkan meninggal dunia di dalam tidur oleh anak tunggalnya, Amir Mohd Omar, 27, jam 3.15 petang semalam ketika dia mengejutkan ibunya.

Arwah menerima rawatan di Hospital Tanjung Karang minggu lalu akibat keuzuran dan pulang ke rumahnya di Kuala Selangor beberapa hari lalu.
Ahli perniagaan, Datuk Jamhuri Abdul Rahman yang juga bekas majikan anaknya berkata, dia menerima panggilan daripada Amir sejurus selepas pemuda itu menyedari ibunya tidak sedarkan diri.

“Saya meminta jiran untuk melihat keadaan arwah dan mereka dapati arwah sudah meninggal dunia,” katanya.

Akhbar ini dalam laporan muka depannya 9 Mac lalu mendedahkan, Faridah ditinggalkan berseorangan oleh anaknya di sebuah hotel dan dijaga pekerja di situ yang kemudian membuat laporan polis.
Kisah warga emas itu mendapat perhatian segera daripada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL), Noormah Abdul Rauf yang kemudiannya menempatkannya di Pusat Sehenti JKM di Sungai Buloh sehari selepas itu.

Simpati dengan keadaannya, Jamhuri tampil memberikan bantuan kepada keluarga berkenaan dengan menyediakan sebuah rumah untuk Faridah di Kuala Selangor selain menawarkan pekerjaan kepada Amir di kilang membuat besi keluli miliknya.
Jenazah Faridah dikafankan di rumahnya sebelum dibawa ke kampung halamannya di Pengerang, Johor untuk dikebumikan.

Tikam rakan adik kekasih

KUALA LUMPUR: Cemburu kerana mendapati rakan lelaki teman wanitanya berada di rumah wanita berkenaan di Selayang, di sini, seorang lelaki menikam perut lelaki terbabit dengan gunting.
Menurut sumber, dalam kejadian jam 11.30 malam Sabtu lalu, mangsa berusia lewat 20-an, ke rumah berkenaan untuk menemui adik wanita terbabit.

“Mangsa kawan baik adik lelaki teman wanita suspek dan dia serta wanita itu saling mengenali.
“Bagaimanapun, pada malam itu adik lelaki wanita itu tiada di rumah dan wanita berkenaan memintanya menunggu adiknya pulang,” katanya.

Menurut sumber itu, ketika sedang menunggu, teman lelaki wanita berkenaan yang berusia 20-an datang ke rumah dan menuduh teman wanitanya curang.

“Suspek yang hilang pertimbangan menikam perut mangsa di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya.

17 pelajar Malaysia hilang rumah

KUALA LUMPUR: Sebanyak lima rumah pelajar Malaysia di sebuah pangsapuri di South Meadow Apartments, di banda raya Ames, Iowa, Amerika Syarikat, terbabit dalam kebakaran awal pagi kelmarin.
Jurucakap Wisma Putra berkata, kebakaran kira-kira jam 5.30 pagi itu berlaku akibat litar lintas menyebabkan lima kediaman dihuni 17 pelajar Malaysia musnah terbakar tetapi tiga pelajar yang berada dalam rumah berkenaan ketika kejadian, berjaya menyelamatkan diri.

Beliau memberitahu, pihaknya dimaklumkan kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat mengenai kejadian itu dan tiada pelajar Malaysia cedera atau mengalami kemalangan jiwa berikutan ramai pelajar tiada di rumah kerana sedang bercuti.
“Sehingga kini kita dimaklumkan tiada pelajar cedera dan jumlah kerugian membabitkan harta benda pelajar yang tinggal di kediaman itu masih belum diketahui.

“Kebakaran berlaku akibat litar pintas dan berjaya dikawal sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, melalui laman misgonline.com, Naib Presiden 2 Kumpulan Kajian Islam Malaysia (MISG) di Amerika Utara, Wan Khalil Wan Ahmad menulis, kebakaran terbabit berlaku di kawasan perumahan Iowa State University bermula jam 5.30 pagi sehingga 1 tengah hari.
Menurutnya, berikutan kejadian itu 17 pelajar Malaysia kehilangan tempat tinggal, harta benda serta barang berharga dan MISG melancarkan Tabung Bencana MISG bagi membantu meringankan beban pelajar yang terbabit.

Meronta dalam api

PEKAN: “Selepas menendang pintu bilik, saya bagaikan tidak percaya melihat ibu dan ayah meraung kesakitan selepas tubuh mereka terbakar,” kata Mohd Amri Abu Bakar, 16, yang nekad meredah api untuk menyelamatkan kedua-dua orang tuanya dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Cenderawasih, Batu 9, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, Abdul Karim Mohamad, 39, dan isterinya, Saidah Talib, 35, yang melecur 80 peratus badan, dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan. 
Menceritakan detik cemas itu, Mohd Amri yang juga anak sulung daripada tiga beradik berkata, ketika kejadian dia tidur bersama dua adiknya di ruang tamu sebelum terjaga apabila terdengar jeritan ibu dan bapa dari bilik mereka.

Menurut pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan itu, dia menendang pintu bilik hingga terbuka sebelum tergamam melihat ibu bapa meronta-ronta kesakitan akibat tubuh mereka dibakar api.

“Tanpa berlengah, saya berlari ke dapur berulang kali bagi mengambil air menggunakan baldi sebelum mencurahkan ke arah ibu dan bapa bagi menyelamatkan mereka.

Dibelasah tegur jiran pukul anjing

KUALA LUMPUR: Akibat menegur jiran supaya tidak memukul anjing, seorang lelaki dibelasah lebih 20 lelaki dalam kejadian di Jinjang Utara, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang berusia 40 tahun mengalami kecederaan di badan dan muka akibat dibelasah bertubi-tubi.

Mangsa melihat seorang lelaki memukul anjing tanpa belas kasihan hingga menyebabkan haiwan itu cedera lalu menegur lelaki berkenaan supaya jangan berbuat demikian.
Kira-kira tiga jam kemudian lebih 20 lelaki dipercayai diupah jirannya datang memukulnya tanpa bertanya sebab.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Chee, 40, berkata ketika ditegur, lelaki itu memarahinya dan berlaku pertengkaran antara mereka. selama beberapa minit dan tidak mahu perkara itu berpanjangan dia masuk ke dalam rumah.

Bagaimanapun, tiga jam kemudian, lebih 20 lelaki datang ke rumahnya dan terus menendang serta menumbuk muka dan badannya.
“Mereka tanpa belas memukul saya tanpa memberi peluang saya membuat penjelasan,” katanya yang bernasib baik apabila adik lelakinya datang menghalang kumpulan lelaki itu daripada terus membelasahnya.

Chee membuat laporan di Balai Polis Jinjang sejurus kejadian dan mendapat rawatan di klinik berdekatan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Mayat lelaki terapung

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang sedang memancing di sebuah lombong di Kampung Muhibah, Jalan Puchong di sini, terkejut apabila menemui mayat lelaki terapung dalam lombong berkenaan, petang kelmarin.
Difahamkan, orang ramai yang menemui mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu dalam keadaan sudah kembung, memberitahu kepada pekerja sebuah kuil berhampiran. 
Pekerja kuil berkenaan, S Maniam, 30-an, berkata dia diberitahu seorang lelaki yang memancing di lombong itu mengenai penemuan mayat lelaki kira-kira jam 6.20 petang, lalu bergegas ke tempat kejadian untuk melihat sendiri.

“Selepas pasti ia adalah mayat manusia, saya menghubungi polis dan 10 minit kemudian sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat datang untuk mengangkat mayat berkenaan.

“Saya lihat mayat lelaki itu berkulit gelap dan masih berpakaian lengkap tetapi sudah kembung, berbau busuk dan banyak lalat,” katanya.

Balasan curi barang kemas ibu

KOTA BHARU: Tindakan seorang pemuda yang mencuri barang kemas ibunya bernilai RM15,000, menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara lima bulan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Majistret Mohamad Safuan Azhar menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Wan Mohd Faiz Wan Fauzi, 25, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wan Mohd Faiz didakwa mencuri seutas rantai leher emas milik ibunya, Che Siti Rokiah Che Hassan, 63, di rumah mereka di Taman Kemahiran, Panji, di sini, antara jam 8.30 malam hingga 12.30 tengah malam, pada 7 Jun lalu. Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 380, Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.
Mengikut fakta kes, pengadu, iaitu Che Siti Rokiah menyedari barang kemas yang disimpan dalam laci biliknya hilang, pada jam 9 pagi, 8 Jun lalu.

Dia membuat laporan polis. Hasil siasatan polis, tertuduh ditahan jam 12.45 tengah malam, pada 7 Julai lalu.

Tertuduh mengaku mencuri rantai berkenaan dan menjualnya di sebuah kedai emas di Wakaf Bharu, Tumpat.

Wanita minta cerai nyaris ‘digoreng’

KUALA LUMPUR: Gara-gara meminta cerai daripada suami warga Bangladesh, seorang wanita cedera di tangan ketika cuba mengelak tikaman lelaki berkenaan yang menyasarkan dadanya manakala kepalanya nyaris ‘digoreng’ dalam minyak panas dalam kejadian di rumah mereka di Jinjang Selatan, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, wanita berusia 25 tahun terbabit berada di rumah apabila suaminya yang berusia 30-an pulang.

Menurut sumber, selepas memaki-hamun mangsa, lelaki terbabit bertindak ganas dengan cuba menikam dada mangsa dengan pisau, tetapi wanita itu mengelak menyebabkan tikaman terbabit mengenai tangan kanannya.
“Geram tikamannya hanya terkena tangan, lelaki itu menarik rambut isterinya dan cuba menolak kepala wanita itu ke dalam kuali berisi minyak panas di atas dapur namun mangsa berjaya melepaskan diri,” katanya.

Mangsa melarikan diri dari rumah dan ke Balai Polis Jinjang untuk membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Dua wanita, bayi tersepit dalam kereta

SEREMBAN: Tiga beranak iaitu dua wanita dan seorang bayi lelaki berusia setahun parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Mantau-Sendayan, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi, semua mangsa yang belum dikenal pasti identiti mereka menaiki Proton Iswara dan dalam perjalanan dari Sendayan menghala Seremban 2.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal kereta dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan ketika memotong sebuah kenderaan sebelum melanggar sebuah lori membawa pasir dari arah bertentangan.
Menurutnya, lori berkenaan dipercayai dalam perjalanan menghantar pasir di Sendayan untuk projek perumahan di situ.

Katanya, kereta dinaiki tiga beranak itu hilang kawalan apabila gagal memotong kereta terbabit lalu melanggar bahagian kiri depan lori.

“Lori terbabit cuba mengelak ke kanan jalan daripada bertembung kereta mangsa, namun pemandu Proton Iswara terbabit gagal mengawal kenderaannya dan melanggar bahagian kiri depan lori menyebabkan kereta itu berpusing 45 darjah,” katanya.
Menurutnya, akibat perlanggaran itu tiga mangsa parah dan tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

Kata jurucakap, pemandu lori terbabit yang berusia 40-an bagaimanapun tidak cedera.
“Difahamkan tiga beranak terbabit yang berusia 21 hingga setahun pada awalnya kritikal kini stabil dan dimasukkan ke wad di HTJS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan kejadian.

Saksi kejadian diminta tampil di mana-mana balai berhampiran atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 untuk membantu siasatan.

Budak 2 tahun didera ibu

AMPANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dipercayai menjadi mangsa dera ibunya sendiri berikutan penemuan kecederaan pada badan, alat sulit dan punggungnya ketika budak itu dibawa neneknya menjalani pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Sabtu lalu.
Doktor yang memeriksa kanak-kanak itu menemui kesan kecederaan lama dan baru pada badan mangsa yang tinggal bersama ibunya di Kampung Baru Ampang, di sini.

Menurut sumber, wanita berusia 44 tahun itu datang ke rumah ibu kanak-kanak terbabit yang berusia 20-an untuk melawat cucunya dan terkejut apabila melihat kesan kecederaan pada tubuh budak berkenaan.
“Bimbang melihat keadaan cucunya itu, dia membawa kanak-kanak itu ke klinik berhampiran rumah untuk rawatan tetapi doktor memintanya membawa mangsa ke PPUKM kerana mengesyaki dia didera, namun tidak memberitahu wanita itu.

“Wanita berkenaan yang masih tidak mengetahui punca kecederaan cucunya, membawa kanak-kanak itu ke PPUKM dan dia terkejut apabila diberitahu doktor yang merawat mangsa kecederaan itu dipercayai akibat didera,” katanya.

Menurut sumber, doktor yang menjumpai kesan luka lama dan baru pada badan, alat sulit serta punggung mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Cheras dan kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

Tampar pemandu

AMPANG: Seorang lelaki dan teman wanitanya ditampar serta dipukul seorang penunggang motosikal yang menuntut ganti rugi mendakwa dia menjadi punca kemalangan di Jalan Bunga Raya, Pandan Indah, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, mangsa berusia 29 tahun memandu keretanya bersama teman wanita di jalan berkenaan apabila sebuah motosikal menghimpit keretanya menyebabkan kedua-dua kenderaan bergesel.

Menurut sumber, penunggang motosikal terbabit berhenti mengejut menyebabkan mangsa tidak sempat membrek lalu terlanggar motosikal berkenaan.
“Belum sempat lelaki itu keluar dari keretanya untuk melihat kesan kemalangan itu, penunggang motosikal terbabit menerkam dan membuka pintu kereta lalu menarik mangsa keluar dan menyerangnya.

“Mangsa ingin berbincang, tetapi penunggang terbabit menampar dan membelasahnya menyebabkan rakan wanitanya cuba meleraikan pergaduhan,” katanya.

Bagaimanapun, menurut sumber itu, tindakan wanita berkenaan membawa padah kerana dia turut dipukul suspek dan menuntut mangsa membayar ganti rugi kerosakan motosikalnya. “Berang mangsa enggan membayar ganti rugi, penunggang itu sekali lagi cuba menyerangnya namun membatalkannya apabila melihat orang ramai datang ke arah mereka. “Dia kemudian berlari ke arah motosikalnya sebelum meninggalkan tempat kejadian,” katanya.
Mangsa dan rakan wanitanya yang trauma ditenangkan orang ramai sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.