Search This Blog

Saturday, July 14, 2012

Pelajar ditampar kini trauma untuk pulang ke asrama



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Julai 2012
Pelajar ditampar kini trauma untuk pulang ke asrama
Gambar menunjukkan keadaan gegendang telinga kanan Muhamad Hazim yang pecah.
ALOR SETAR - Perasaan takut dan trauma masih membelenggu pelajar tingkatan satu yang didakwa dibuli pelajar senior sebuah sekolah di pusat bandar ini.

Muhamad Hazim Muhamad Zaid, 13, mendakwa dibuli pelajar senior disebabkan tidak menegangkan cadar sehingga menyebabkan gegendang telinga kanannya pecah.

Ibu pelajar terbabit, Nor Hapizah Puteh, 39, berkata, telinga kanan anak kedua daripada tiga beradik itu masih terasa sakit walaupun rawatan sudah dilakukan.

“Dia (Mohamad Hazim) ada mengadu sakit di bahagian telinga yang dirawat terutama sewaktu dia mengunyah atau gigit makanan.

“Namun, saya bersyukur kerana keadaan telinganya tidak berair atau bernanah yang boleh memberi kesan kepada telinganya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian 10 Julai lalu menyiarkan Nor Hapizah yang terkilan dengan kejadian terbabit kerana anak yang dilahirkan perempuan kini terpaksa menanggung kesakitan akibat perbuatan orang lain.

Mohamad Hazim mendakwa sekumpulan pelajar yang memanggil dia bersama kira-kira 80 pelajar lain dikejutkan dari tidur kira-kira jam 2.15 pagi untuk berbaris dan mengaku sekiranya melakukan kesalahan.

Dia mendakwa yang tampil ke depan kerana melakukan kesalahan dijentik sebanyak dua kali di dahi dan ditampar di pipi kanan.

Nor Hapizah berkata, Mohamad Hazim yang sepatutnya pergi semula ke sekolah kelmarin tidak dapat berbuat demikian kerana belum sembuh sepenuhnya.

“Dia mungkin akan ke sekolah semula minggu depan kerana saya mahu pastikan dia betul-betul sihat sebelum pulang ke asrama.

“Mohamad Hazim ada juga memaklumkan kepada saya yang dia masih trauma dan takut untuk pulang ke asrama dan saya sentiasa memberikan dia semangat semula,” katanya.

Selain itu, Nor Hapizah berkata, mereka juga sudah berjumpa dengan pihak sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah dan polis berhubung kes berkenaan. 

Guru di Perak korban terbaru demam denggi




13 Julai 2012
KUALA LUMPUR - Seorang guru lelaki berusia 52 tahun di Perak menjadi korban terbaru kes demam denggi minggu lepas.
  
Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata kematian itu menjadikan jumlah korban akibat denggi sehingga Sabtu lepas ialah 25 orang, meningkat enam kes berbanding 19 bagi tempoh sama tahun lepas.
  
"Mangsa yang mempunyai sejarah penyakit diabetes dan darah tinggi dimasukkan ke hospital setelah dua hari mengalami demam, sakit kepala dan muntah sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan meninggal dunia selepas sehari dirawat di unit itu.
  
"Kawasan kediaman mangsa merupakan lokaliti wabak yang sehingga kini sebanyak enam kes telah dilaporkan. Hasil pemeriksaan menjumpai dua tong terbuang yang menjadi tempat pembiakan Aedes," katanya dalam kenyataan hari ini.
  
Beliau berkata bagi tempoh 1 hingga 7 Julai, sebanyak 364 kes demam denggi dilapor, menunjukkan tiada perubahan berbanding minggu sebelumnya.
  
Walaubagaimanapun, lapan negeri menunjukkan peningkatan kes iaitu Perak 10 kes (39 peratus), diikuti Terengganu lima kes (50 peratus), Sarawak empat kes (36 peratus), Kedah tiga kes (21 peratus), Negeri Sembilan dua kes (25 peratus) dan masing-masing satu kes di Pulau Pinang (tujuh peratus), Kelantan (enam peratus) dan Kuala Lumpur serta Putrajaya (tiga peratus).
  
Jumlah terkumpul kes denggi dari Januari hingga 7 Julai tahun ini ialah 12,158 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 13 peratus atau 1,417 kes berbanding tempoh sama pada tahun lepas, katanya. - Bernama

Kemalangan: Dua beradik maut elak babi



SHAHRIZAL AHMAD ZAINI
13 Julai 2012
Kemalangan: Dua beradik maut elak babi
Mangsa, Dzularif Abdullah Sani, 19, maut akibat kecederaan parah di bahagian dada.
GERIK – Gara-gara cuba mengelak seekor babi hutan yang melintas secara tiba-tiba, dua beradik menemui ajal apabila kereta dinaiki mereka terbabas lalu terbalik ke dalam sebuah longkang di Kilometer 68.8 dekat Lawin, awal pagikelmarin.

Mangsa, Dzularif Abdullah Sani, 19, maut akibat kecederaan parah di bahagian dada. Sementara adiknya, Nursyafina, 12, maut akibat parah di kepala. Ketua Polis Trafik Daerah Gerik, Inspektor Muhd Zamzuri Mat Nawawi berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 2 pagi ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai membersihkan premis perniagaan milik bapa mereka di Selat Pagar, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun, ketika melalui laluan di kilometer berkenaan, seekor babi hutan muncul secara tiba-tiba menyebabkan Dzularif gagal mengawal kereta yang dipandu sebelum terbabas dan memasuki longkang.

“Mungkin kerana terkejut, kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan hingga terbalik sebelum memasuki longkang berhampiran. “Kedua-dua mangsa dipercayai maut di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Muhd  Zamzuri berkata, kereta dinaiki mangsa rosak teruk akibat kejadian tersebut.

Katanya, kereta berkenaan telah pun dihantar kepada pihak Puspakom di Taiping untuk pemeriksaan lanjut. “Kita tidak sangka kerana jarang berlaku kemalangan di situ sebelum ini, apa pun, orang ramai perlu berhatihati bagi  mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Kongsi gelap ditangkap



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Julai 2012
IPOH – Polis menahan sembilan suspek berusia 25 hingga 40 tahun dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap geng 04 dan geng 08 di Menglembu, bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Termizi Abd Haq berkata, kumpulan penjenayah itu menyerang empat anggota polis ketika melakukan rondaan di Jalan Perusahaan Menglembu 13.

“Mereka masih ditahan untuk membantu siasatan dan kumpulan ini disifatkan sebagai sangat agresif dan siasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh,” katanya di sini, kelmarin.

Sebelum itu, lapan suspek berjaya ditahan polis bagi membantu siasatan termasuk meminta tujuh lelaki tampil membantu siasatan berhubung kes sama.

Sementara itu, beliau mengingatkan pemilik perniagaan atau individu yang diugut kumpulan gangster menuntut wang perlindungan seperti di Buntong, Menglembu dan Pasir Puteh, tampil membuat laporan polis.

Katanya, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan daripada orang awam, walaupun mendengar banyak rungutan berkaitan kes berkenaan.

“Kita peka dengan masalah itu namun, tiada laporan polis yang dibuat orang awam di balai Buntong, Kampung Baru, Menglembu dan Pasir Puteh.

"Kita hanya terima satu laporan di Balai Polis Simpang Pulai pada 4 Julai lalu.,” katanya. Orang ramai diminta salurkan maklumat dengan menghubungi hotline 05-2542222 atau menghubungi bilik kawalan polis di talian 05-2451563 dan 05-2451562.

Perdagang kanak-kanak untuk seks



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Julai 2012
GEORGETOWN - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah apabila didakwa memperdagangkan seorang kanak- kanak tiga tahun lalu. Yong Yoke Keng, 42, dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Jalan Transfer antara jam  3.30 pagi 25 Jun hingga 11.30 pagi 26 Jun 2009.

Tertuduh yang berasal dari Ulu Tiram, Johor didakwa memperdagangkan seorang kanak-kanak perempuan bagi maksud eksploitasi seks mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Kesalahan itu memperuntukkan penjara tidak kurang dari tiga tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, S Selva Ranjini di hadapan Majistret, Noor Aini  Yusof. Dalam pendakwaan, Selva Ranjini menawarkan tertuduh dengan wang jaminan RM30,000 namun Noor Aini menetapkan RM25,000.

Ia kemudian ditangguh kepada 14 Ogos depan untuk pengurusan kes.

Mentol lampu kereta tiruan RM100,000 dirampas




13 Julai 2012
GEORGE TOWN - Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pulau Pinang merampas mentol lampu kereta tiruan bernilai RM100,000 dalam serbuan di premis menjual aksesori kereta di Taman Bunga Raya, Bukit Mertajam semalam.

Ketua Penguat Kuasa negeri Guna Selan Marian berkata dalam serbuan 11 pagi itu pihaknya turut menahan pengurus premis berusia 48 tahun.

"Kita bertindak selepas menerima aduan daripada wakil cap dagang Phillips dan hasil risikan selama sebulan mendapati produk ini sudah berada di pasaran setahun lebih," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya mentol tiruan itu dijual pada harga antara RM18 dan RM20 seunit berbanding produk tulen RM35.

Beliau berkata pihaknya juga percaya produk itu yang dibawa masuk dari negara luar turut dipasarkan di negeri lain di Semenanjung.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak lebih RM15,000 bagi setiap unit barangan, jika sabit kesalahan.- Bernama

Larikan anak elak didera



HAMIZAH BASIR
13 Julai 2012
Larikan anak elak didera
Devi menunjukkan tangannya yang cedera dipukul suami.
SEREMBAN – Bimbang anak didera suami, seorang ibu sanggup menghantar tiga anak perempuannya ke rumah kebajikan bagi menyelamatkannya.

Ibu muda yang mahu dikenali sebagai Devi, 27, berkata, dia terpaksa berpisah dengan anak-anaknya yang berusia dua, tiga dan empat tahun itu kerana mahu memastikan kesemua anaknya dalam keadaan selamat.

Berikutan itu, katanya, dia menghantar anaknya ke Rumah Kebajikan Kanak-kanak Vivekenande di Rembau selepas tidak tahan melihat anaknya sering dipukul.

“Saya lebih rela berpisah dengan anak-anak daripada melihat mereka dicederakan ayahnya sendiri. Cukuplah selama ini kami menderita dan menahan sakit dipukul dan didera,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Menceritakan kejadian yang menimpa keluarganya itu, Devi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah hospital, di sini berkata, dia bersama anak-anak mula didera suami sejak beberapa tahun lalu, namun enam bulan  kebelakangan ini, suaminya hampir setiap hari memukulnya dan anak-anak.

“Suami saya tidak bekerja dan mengambil dadah menyebabkan hidupnya tidak menentu. Saya terpaksa bekerja siang dan malam bagi menyara anak-anak. “Suami pula mengabaikan tanggungjawab dan sanggup memukul saya dan anak-anak kerana tekanan hidup,” katanya.

Devi yang tinggal di Taman Kelab Tuanku, Mambau, di sini berkata, suaminya pernah memukulnya dengan getah paip di beberapa anggota badan.

"Anak ketiga saya juga terpaksa menerima jahitan di kepala kerana dipukul suami,”katanya. Menurutnya, dia terpaksa melarikan diri daripada rumah, Rabu lalu, kerana tidak tahan dengan sikap suaminya itu.

“Saya melarikan diri dari rumah dan menetap sementara di asrama tempat bekerja, manakala anak-anak di hantar ke rumah kebajikan kerana bimbang suami akan mencari kami. “Ketiga-tiga anak saya kini selamat di rumah kebajikan tersebut manakala anak bongsu yang berusia setahun berada dalam jagaan saya,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi rumah kebajikan berkenaan, P.Ramesh berkata, ketiga-tiga kanak-kanak itu berada dalam keadaan selamat di bawah jagaannya.

Ibu berkenaan juga sudah membuat laporan di Balai Polis Mambau, di sini. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian. 

Suami isteri penyamun aksesori Kancil



SYAMILAH ZULKIFLI
13 Julai 2012
Suami isteri penyamun aksesori Kancil
Osman (kiri) melihat aksesori Perodua Kancil yang berjaya ditemui semula.
SEREMBAN – Sepasang suami isteri sanggup membawa bersama seorang kanak-kanak ketika menjalankan kegiatan curi kereta di daerah ini sejak April lalu.

Mereka berbuat demikian dipercayai untuk mengaburi mata orang ramai agar kegiatan mereka tidak dapat dikesan pihak berkuasa. Bagaimanapun, kegiatan mereka akhirnya dihidu polis sehingga membawa kepada penangkapan dua  lelaki serta 12 kenderaan dipercayai dicuri.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, modus operandi suspek adalah mencuri kereta jenis Perodua Kancil yang sudah diubahsuai, mengambil aksesori dalam kenderaan berkenaan, sebelum meninggalkannya di lokasi lain.

“Sasaran suspek adalah Perodua Kancil yang telah diubah suai kerana aksesori digunakan agak lumayan untuk dijual di pasaran.

“Selepas selesai mengambil barangan aksesori ini, kereta ini akan ditinggalkan di tepi jalan dan antara lokasi yang kita jumpa kenderaan ini ialah di sebuah pasaraya Giant, Jalan Pekan Tampin, Bandar Baru Nilai dan Batu Berendam, Melaka,” katanya.

Menurutnya, polis berjaya menahan suspek di pekan Kajang, Selangor sebelum menahan seorang rakan mereka di Melaka dipercayai rakan kongsi dalam kegiatan itu.

Berikutan penahanan itu, katanya. sebanyak 11 Perodua Kancil serta sebuah Honda Stream ditemui semula dan sebahagian besarnya menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Manakala, katanya, beberapa aksesori dijumpai semula termasuk lima komputer riba, rangka motosikal dan kamera.

Menurutnya, barangan dijumpai itu melibatkan lima kes di Negeri Sembilan, selain Kuala Lumpur (empat) dan masing-masing dua di Selangor dan Melaka.

“Sebelum ini polis menerima lima kes laporan kehilangan Perodua Kancil di daerah ini. Dari maklumat itu kita membuat siasatan agresif terhadap kemungkinan wujudnya satu kumpulan mencuri kereta jenis Perodua Kancil.

“Pada masa sama, kita menerima maklumat daripada seorang lelaki yang baru kehilangan Perodua Kancil di Seremban ternampak keretanya dibawa lari satu pasangan dengan membawa seorang kanak-kanak,” katanya pada sidang media di Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini semalam.

Osman berkata, kedua-dua lelaki yang ditahan berumur 20an dan 30an itu berasal dari Melaka.

Menurutnya, polis kini mencari isteri suspek yang beralamat terakhir di Linggi bagi membantu siasatan.

Hadir sama pada sidang media berkenaan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid. 

Polis Kuantan buru dua lelaki samun lori bawa tayar




13 Julai 2012
KUANTAN - Seorang pemandu lori yang membawa tayar bukan sahaja kehilangan lori dan muatannya, tetapi juga 'diculik' dalam satu kejadian samun di kawasan Rehat dan Rawat Lepar Hilir, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata dalam kejadian 4 pagi itu, pemandu terbabit yang sedang tidur di dalam lorinya terjaga selepas dikejutkan dua lelaki bersenjatakan pisau.

Tangan mangsa kemudian diikat sebelum dikurung di dalam but kereta suspek.

Suspek masing-masing memandu kereta dan lori tersebut, namun kereta itu rosak ketika tiba di Felda Bukit Kuantan, menyebabkan suspek meninggalkan kenderaan berkenaan di tepi jalan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

"Mangsa kemudian berjaya melepaskan diri sebelum meminta pertolongan orang awam kira-kira pukul 8 pagi," katanya.

Polis yang menerima laporan kemudian bergegas ke tempat kejadian dan menemui 118 biji tayar dibuang di tempat kereta itu ditinggalkan, manakala baki 63 tayar lagi beserta lori lesap, katanya.

Mohd Jasmani berkata kerugian dianggar RM90,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.- Bernama

Anggota tentera dituduh mencuri senjata di Mahkamah Majistret



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Julai 2012
Anggota tentera dituduh mencuri senjata di Mahkamah Majistret
Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah, semalam.
KOTA BHARU – Seorang tentera berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri senjata di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini.

Tuduhan terhadap Mohd Syazwan Ibrahim, 27, dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Tertuduh yang beralamat di Markas Tentera Darat Cawangan
Sumber Manusia, Kementah, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur itu dituduh mencuri senjata jenis AUG Styer milik Zulludin Nasip@Zulaini, 27, pada jam 11.20 malam, 28 Mac lalu.

Turut dilarikan bersamanya kelopak yang berisi 20 butir peluru hidup jenis 5.56 MM milik pengadu yang sama.

Susulan tuduhan itu, Mohd Syazwan berdepan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Berikutan itu, Majistret Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri menetapkan sebutan semula pada 13 Ogos depan dan membebaskan tertuduh dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri,Nabilah Nizam.

Teman wanita menyorok dalam bilik air

Teman wanita menyorok dalam bilik air
Pasangan kekasih ini sempat bertanya khabar antara satu sama lain sebelum
 mereka masuk ke dalam kamar bicara untuk menghadapi
 pertuduhan atas satu kesalahan jenayah syariah.

DUNGUN – Sepasang kekasih yang menghadapi pendakwaan di mahkamah nyaris bermalam di sebalik tirai besi apabila mereka dijatuhkan hukuman denda atau penjara, selepas kedua-duanya didapati bersalah oleh mahkamah atas pertuduhan yang dikenakan.

Proses pendakwaan di Mahkamah Rendah Syariah Dungun itu dibuat susulan satu tangkapan ke atas pasangan terbabit ketika mereka berada di sebuah chalet berdekatan simpang ke kampung Durian Mentangau, dekat sini awal Jun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 3.20 pagi, 4 Jun 2012 di bilik penginapan Chalet Jalan Paka itu, kedua-duanya didapati berada di dalam bilik tersebut sehingga boleh menimbulkan syak wasangka.

Ketika serbuan, pintu dikunci dari dalam menyebabkan pegawai penguat kuasa syariah terpaksa menggunakan kunci pendua untuk membuka pintu bilik.

Setelah pintu berjaya dibuka, pemeriksaan mendapati pasangan lelaki sedang berbaring di atas tilam manakala pasangan perempuan pula bersembunyi di dalam bilik air.

Tertuduh lelaki, Asmiezal Ismail, 31, seorang buruh kontrak dan pasangannya, Noor Fatimah Yahya, 28, bagaimanapun mengaku bersalah dan kedua-duanya didenda RM2,500 atau dua tahun penjara jika gagal menjelaskan denda.

Asmiezal yang beralamat dari Jalan santong Paka dan pasangannya dari Kota Tinggi itu bagaimanapun menjelaskan denda.

Pendakwaan dilakukan pendakwa raya syarie, Mustafar Hamzah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pelajar dicekup serumah dengan duda


Pelajar dicekup serumah dengan duda
Pasangan duda bersama pelajar yang dicekup, semalam.


AMPANG - Helah seorang lelaki mengaku sudah berkahwin dengan kekasihnya, seorang penuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) kepada pemilik kediaman disewanya, terbongkar selepas pasangan itu dicekup bersedudukan awal pagi, semalam.

Duda berusia 35 tahun itu didakwa menipu pemilik rumah tersebut dengan menyatakan dia sudah berkahwin, namun sebenarnya dia tinggal bersama teman wanitanya berusia 21 tahun di bilik sewa rumah berkenaan sejak  seminggu lalu.

Pasangan itu dicekup kerana disyaki berkhalwat di rumah berkenaan pada jam 2.30 pagi oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuainya memeriksa kediaman berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita memakai baju serta berseluar pendek sedang berselimut di atas tilam dalam bilik berkenaan,” katanya.

Pasangan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Balai Daerah Ampang untuk dibuat laporan tangkapan sebelum siasatan lanjut.

Lelaki dera isteri 10 tahun ditahan

13 Julai 2012
WASHINGTON - Seorang lelaki di West Virginia ditahan selepas didapati melakukan penderaan fizikal dan turut merantai isterinya selama hampir sedekad.

Media melaporkan, perbuatan kejam Peter Lizon, 37, itu terbongkar selepas isterinya membuat laporan di pusat perlindungan berhampiran rumah mereka.

Timbalan Ketua Syerif Daerah Jackson, Tony Boggs berkata, kes tersebut dilihat melebihi melebihi tahap biasa keganasan domestik.

Kes Uncle Seekers: 2 lagi ditahan

Kes Uncle Seekers: 2 lagi ditahan
Dua individu lagi ditahan
JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan dua lagi individu, malam kelmarin, termasuk dipercayai pengurus peribadi kepada pengamal paranormal, Syed Abdullah Syed Hussein Al-Attas atau dikenali sebagai Uncle Seekers bagi membantu siasatan kes memfitnah Sultan Johor.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Akhir Ishak berkata, lelaki dipercayai pengurus pribadi Uncle Seekers, berusia 39 tahun, ditahan bersama seorang wanita, 27, di Wangsa Walk, Seksyen 4, Kuala Lumpur.

“Kedua-dua mereka ditahan sepasukan anggota polis Johor pada jam 9.30 malam, semalam (kelmarin).

“Mereka ditahan bagi membantu siasatan kes Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Kedua-dua mereka dibawa ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru, semalam pada jam 9 pagi, bagi mendapatkan perintah reman dan dibawa keluar kira-kira jam 11 pagi.

Pendaftar Mahkamah Nuriza Mustafa membenarkan lelaki berkenaan ditahan reman sehingga 15 Julai ini manakala wanita yang ditahan bersamanya direman sehari sehingga semalam.

Mayat atas bumbung kereta

Mayat atas bumbung kereta
Seorang anggota polis menguruskan mayat mangsa yang tercampak di atas bumbung kereta.
KOTA BHARU - “Pagi tadi sebelum kemalangan berlaku anak saya buat pertama kalinya mengejutkan saya bangun dari tidur dan dalam masa sama dia kelihatan bersemangat untuk keluar berniaga,” kata Mohd Nasir Zaminuddin, 39, bapa kepada mangsa, Muhammad Elffie Farhan, 18 yang maut dalam kemalangan berhampiran Masjid Al-Taqwa, Paya Bemban, Jalan Hospital, di sini, kira-kira jam 7.45 pagi semalam.

Menurutnya, mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik tersebut dan berasal dari Kampung Cherang begitu rapat dengannya dan tidak menyangka perangai pelik yang ditunjukkan oleh Elffie menandakan dia akan pergi  buat selamanya.

Mohd Nasir juga seorang peniaga berkata, beberapa jam sebelum kejadian dia keluar terlebih dahulu ke tapak pasar minggu di Kedai Buloh menaiki van, manakala Elffie menyusul kemudian dengan menunggang motosikal bersama rakannya.

“Sebaik sahaja sampai di Kampung Cina, saya menerima panggilan daripada abang mangsa mengatakan Elffie terlibat dengan kemalangan dan terus patah balik ke tempat kejadian.

“Sampai di sana saya melihat mayat Elffie terbaring di atas bumbung kereta yang melanggarnya dan pada masa itu perasaan saya sudah bercelaru,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini,  semalam.

Menurutnya, apa yang menyedihkan lagi apabila mengenangkan hasrat anaknya itu untuk menyambung pengajian di Politeknik dan melibatkan diri di dalam bidang perniagaan sama sepertinya tidak  kesampaian.

Jenazah Elffie dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Cherang pada jam 4 petang sebaik sahaja bedah siasat siap dilakukan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kemalangan tersebut berlaku melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandu dari arah lampu syarat Barek 12 menghala ke lampu isyarat Cherang didakwa cuba membelok ke kanan.

“Bagaimanapun apabila sampai di tempat kejadian dipercayai kereta tersebut membelok ke kanan dan motosikal yang datang dari arah lampu isyarat Cherang telah melanggar hadapan sebelah kiri kereta itu.

“Mangsa dikatakan melambung dan mati di atas bumbung kereta, manakala rakan mangsa yang membonceng hanya mengalami cedera ringan, manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

7 mayat tanpa kepala ditemui

CUERNAVACA (Mexico): Polis di selatan tengahnegara ini menemui tujuh mayat tanpa kepala semalam dalam sebuah kenderaan diparkir di lebuh raya dan kemudian menemui kepala mereka bersepah di seluruh negeri Morelos.
Pejabat pendakwa raya negeri Morelos berkata, ejennya menemui ‘timbunan mayat tujuh lelaki dipenggal’ dalam sebuah SUV dilaporkan hilang dan ditinggalkan di lebuh raya dekat bandar Jojutla. “Hanya satu kepala ditemui, diletakkan di atas semua mayat,” kata kenyataan itu.

Beberapa minit kemudian, selepas menerima panggilan telefon, ejen daripada pejabat pendakwa raya menemui tiga lagi kepala di jalan raya dekat bandar berhampiran Puente de Ixtla dan dua lagi di Tehuixtla. - AFP

Terowong dadah 220 meter dijumpai

LOS ANGELES: Pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Mexico menemui terowong penyeludupan dadah sepanjang 219.4 meter di bawah sempadan dua negara itu di Arizona, penemuan terbaru di kawasan terkenal dengan keganasan, kata pihak berkuasa AS semalam.
Terowong ‘canggih’ berukuran enam kaki tinggi dan dua kaki lebar itu dilengkapi lampu dan sistem edaran udara berada 55 kaki di bawah tanah, ditemui Sabtu lalu ketika polis membuat serbuan perniagaan dadah di San Luis, sebuah bandar di Arizona yang menyembunyikan laluan masuk ke AS.

Tiga orang ditahan, menurut kenyataan mengenai operasi AS oleh badan penguatkuasaan undang-undang tempatan dan persekutuan.
Serbuan di AS itu selaras dengan tindakan tentera Mexico, yang menyerbu masuk loji membuat ais di San Luis Rio Colorado, bandar sempadan di Mexico.

Pintu masuk ke AS terowong itu terletak di bilik stor di bawah sebuah tangki air besar dalam bangunan satu tingkat ‘yang tidak menarik’. Pihak berkuasa AS telah memantau perniagaan itu sejak Januari lalu ekoran aktiviti mencurigakan. Penemuan itu ‘satu lagi peringatan betapa terdesaknya organisasi jenayah itu dan setakat mana mereka sanggup lakukan dalam usaha meningkatkan operasi dadah mereka’,” kata Dough Coleman daripada Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS. - AFP

Terowong dadah 220 meter dijumpai

LOS ANGELES: Pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Mexico menemui terowong penyeludupan dadah sepanjang 219.4 meter di bawah sempadan dua negara itu di Arizona, penemuan terbaru di kawasan terkenal dengan keganasan, kata pihak berkuasa AS semalam.
Terowong ‘canggih’ berukuran enam kaki tinggi dan dua kaki lebar itu dilengkapi lampu dan sistem edaran udara berada 55 kaki di bawah tanah, ditemui Sabtu lalu ketika polis membuat serbuan perniagaan dadah di San Luis, sebuah bandar di Arizona yang menyembunyikan laluan masuk ke AS.

Tiga orang ditahan, menurut kenyataan mengenai operasi AS oleh badan penguatkuasaan undang-undang tempatan dan persekutuan.
Serbuan di AS itu selaras dengan tindakan tentera Mexico, yang menyerbu masuk loji membuat ais di San Luis Rio Colorado, bandar sempadan di Mexico.

Pintu masuk ke AS terowong itu terletak di bilik stor di bawah sebuah tangki air besar dalam bangunan satu tingkat ‘yang tidak menarik’. Pihak berkuasa AS telah memantau perniagaan itu sejak Januari lalu ekoran aktiviti mencurigakan. Penemuan itu ‘satu lagi peringatan betapa terdesaknya organisasi jenayah itu dan setakat mana mereka sanggup lakukan dalam usaha meningkatkan operasi dadah mereka’,” kata Dough Coleman daripada Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS. - AFP

Lelaki beli ginjal secara haram dijel 30 bulan

NEW YORK: Seorang lelaki Yahudi yang menetap di bandar raya ini dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan kerana membeli buah pinggang secara haram dari Israel dan menjualnya pada harga AS$120,000 (RM382,381) atau lebih kepada pembeli di negara ini.
Levy Izhak Rosenbaum, 61, mengesan individu di Israel yang sanggup dibayar untuk buah pinggang mereka dan mengatur perjalanan serta tempat tinggal mereka di AS, di mana hospital diberitahu dengan cerita palsu, seolah-olah buah pinggang itu didermakan.

“Rosenbaum mengakui dia mengambil sampel darah daripada penerima berpotensi, jadi penderma bersesuaian boleh dikesan,” kata kenyataan daripada pejabat pandakwa raya di New Jersey. “Dia juga memaklumkan bahawa dia membantu setiap penderma dan penerima dengan cerita rekaan bagi memperdaya kakitangan hospital agar mempercayai transplan dilakukan adalah produk daripada penderma yang tulen,” kata kenyataan itu. - AFP

Remaja parah pam angin dirodok ke dubur

BEIJING: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di bandar Dezhou, di wilayah Shandong yang cedera parah apabila dua pekerja memasukkan pam angin ke dalam duburnya, dipindahkan ke bandar raya ini untuk rawatan lanjut, semalam.
Du Chuanwang yang mengalami kerosakan di kebanyakan organnya segera dikejarkan ke Hospital Xiajin selepas kejadian itu. Ketua unit rawatan rapi hospital itu, Ai Qingze berkata, keadaan remaja itu adalah serius. “Tekanan dalam perutnya sangat tinggi hingga kakinya bertukar menjadi ungu. Pakar bedah segera membedah perutnya bagi membuang keluar angin dan menemui usus kecilnya mengalami pendarahan teruk,” katanya.

Du menjalani pembedahan untuk merawat ususnya di hospital. Ai berkata, tekanan angin merosakkan hati, buah pinggang dan perut Du. Wajah dan hidungnya turut menunjukkan tanda nekrosis, tetapi Ai berkata, punca keadaan itu belum dipastikan lagi. “Kami menyarankan kepada keluarga pesakit supaya memindahkannya ke hospital lebih baik kerana sebagai hospital daerah, hospital kami tidak mempunyai peralatan perubatan yang lengkap untuk merawatnya,” katanya.
Du mengalami kecederaan itu ekoran insiden pada 30 Jun lalu. Du sedang bekerja di garaj di Xiajin, Dezhou ketika diserang dua lelaki terbabit. Polis di Xiajin kemudian menahan dua pekerja berkenaan kerana disyaki mencederakan Du.

“Dua suspek bernama Zhao dan Chen mencederakan Du dengan menolaknya hingga dia rebah ke lantai sebelum mengepam angin menerusi duburnya dengan pam angin,” kata polis kepada Sina Weibo, semalam. - DM

Makan otak tujuh dukun

SYDNEY: Polis di kawasan terpencil di Papua New Guinea menahan sekumpulan anggota pengamal kanibal yang dituduh membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang, memakan otak mereka mentah-mentah dan membuat sup daripada organ sulit mangsa, lapor akhbar, semalam.
Suspek seramai 29 orang itu adalah sebahagian daripada kumpulan 1,000 orang yang dibentuk untuk melawan dukun sesat dan dilaporkan akhbar The National, mula mengenakan yuran yang tinggi.

Kos bagi dukun untuk mendedahkan punca kematian atau membuang roh jahat biasanya adalah 1,000 kina (RM1,503) dibayar tunai, ditambah dengan seekor babi dan sekampit beras, tetapi sesetengahnya juga menuntut khidmat seks sebagai bayaran. “Ia bertentangan dengan moral dan etika tradisional kami untuk seorang dukun melakukan hubungan seks dengan isteri atau anak perempuan seseorang, kata seorang pemimpin tempatan di Tangi, kawasan pedalaman di wilayah Madang di pantai timur laut negara itu. “Ia menjadi punca utama kekecewaan yang mendorong kepada pembentukan kumpulan untuk memburu dukun seumpamanya.
“Selepas beberapa waktu, apabila mereka dibebaskan untuk menjalankan kegiatan rawatan itu, kami mula berasa letih dan bosan,” katanya.

Terdapat kepercayaan yang meluas dalam ilmu hitam di Papua New Guinea di mana kebanyakan orang tidak dapat menerima keadaan semula jadi menjadi punca kepada nasib malang, penyakit, kemalangan ataupun kematian. Penduduk berazam untuk membalas dendam terhadap dukun yang mengambil kesempatan melalui latihan kuasa ghaib daripada ketua kampung, menggunakan pisau “dijampi’ untuk memburu dan membunuh tujuh orang sejak April lalu, lapor akhbar itu. - AFP

7 lelaki menyamar anggota polis rompak pemain bola

JAKARTA: Lelaki yang menyamar sebagai anggota polis, merompak pemain bola sepak dari Cameroon di Hotel Formule di Menteng, Jakarta Tengah, kelmarin.
Mangsa, Ali Abubakar, 35, yang bermain untuk kelab bola sepak tempatan, memberitahu Polis Jakarta semalam, dia didatangi oleh tujuh lelaki tidak dikenali pada jam 4 petang, selepas memandu masuk ke tempat letak kereta bawah tanah hotel berkenaan. 
Ali berkata, lelaki itu mengaku pegawai polis, memaksa dia masuk ke kereta mereka dan menyerahkan jam tangan, cincin emas, beg duit dan kunci kereta.

Perompak itu mengugut akan menembaknya sekiranya dia melawan sebelum melarikan diri dengan keretanya, Suzuki X-Over, bersama lima telefon bimbit dan komputer riba.

Jurucakap Polis Jakarta, Komisioner Kanan, Riwanto berkata, perompak itu bukan pegawai polis dan mungkin tidak mempunyai senjata.

“Mereka mungkin berbohong,” katanya. - Jakarta Post

Kastam rampas 4 kg syabu dari lelaki Iran

BANGKOK: Lelaki warga Iran ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi kelmarin kerana disyaki menyeludup kira-kira empat kilogram kristal methamphetamine atau syabu ke Thailand.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Somchai Poolsavasdi berkata, Racho Boroman, 34, dalam perjalanan dari Teheran ke Emiriah Arab Bersatu, sebelum tiba di Thailand dengan 3,980 gram dadah yang disembunyikan dalam beg plastik di dalam begnya. 
Warga Iran itu memberitahu pegawai penyiasat, dia tinggal di Thailand lebih tiga tahun dan membuka sebuah kedai kopi di kawsan Pratunam di Bangkok.

Racho berkata, dia diupah oleh “sami Buddha Thailand” untuk menyeludup dadah dari Iran dan dibayar 300,000 baht (RM 30,198) untuk setiap perjalanan.

Somchai berkata, suspek keluar masuk Thailand sebanyak lapan kali. Dia mungkin terlibat dalam penyeludupan syabu pada 22 Mei lalu, katanya.

Mei lalu, Biro Pencegahan Narkotik menahan tiga warga Iran yang memiliki dadah syabu dan wang tunai lebih 15 juta baht (RM1.51 juta). - Bangkok Post

Cinta palsu kikis wang

BANDAR SERI BEGAWAN: Rakyat Brunei dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan cinta palsu oleh lelaki yang menggunakan laman web sosial seperti Facebook, seperti yang berlaku kepada beberapa perempuan yang ditipu beribu-ribu dolar Brunei selepas dipikat oleh “kekasih” warga asing.
Mereka juga dinasihatkan tidak terpedaya dengan penipuan lain seperti loteri, peluang pekerjaan, pinjaman, kereta sewa, penipuan Internet, kad kredit, kad ATM, pengeluaran tunai tanpa kebenaran dan skim cepat kaya. 
Hal ini diingatkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Penipuan Bank Brunei, Dexter Keasberry.

Mengenai penipuan percintaan, Keasberry berkata, “Saya bertemu dengan pelanggan, kebanyakannya wanita yang bertemu lelaki di Internet lalu tertipu dengan taktik menghantar wang ke luar negara. Seorang lelaki warga asing berjanji untuk datang ke Brunei. Dalam perjalanan ke lapangan terbang, keretanya rosak dan meminta wanita Brunei menghantar wang untuk membaiki keretanya. Wanita itu sekali lagi ditipu oleh lelaki asing yang berkata, ibunya sakit dan meminta untuk menghantar wang bagi menyelesaikan bil kesihatan yang tinggi. Wanita itu akhirnya kehilangan wang sebanyak B$30,000 (RM75,451) dan lelaki asing itu terus menghilangkan diri.”

Dalam satu kes lain, wanita Brunei menghantar sejumlah enam angka wang kepada lelaki di negara jiran.

Katanya, “Apabila kami memeriksa akaun lelaki itu di negara seberang, ia adalah satu lagi penipuan kerana akaun itu turut menerima wang daripada beberapa sumber.” - Brunei Times

Terowong dadah ditemui



TEROWONG yang ditemui di bandar San Luis, Arizona.


LOS ANGELES - Sebuah terowong untuk menyeludup dadah yang dilengkapi lampu dan ruang pengaliran udara ditemui di bandar San Luis, Arizona Amerika Syarikat (AS) yang bersempadan dengan Mexico, kata beberapa pegawai kelmarin.
Tiga orang ditangkap dalam operasi yang dilakukan oleh agensi-agensi penguat kuasa undang-undang AS.
Terowong itu setinggi 1.8 meter dan menuju ke sempadan Mexico.
Laluan masuk ke terowong itu ditemui di bawah tangki air di sebuah bilik stor di dalam sebuah bangunan satu tingkat di San Luis.
Askar-askar Mexico turut menemui sebuah lagi terowong dadah yang sedang dalam pembinaan di bawah sinki di sebuah rumah gudang di Tijuana, 300 meter dari sempadan Arizona. - AFP

Bilionair didakwa dalam kes rasuah



RAYMOND keluar dari sebuah mahkamah di Hong Kong semalam.


HONG KONG - Dua beradik bilionair yang merupakan pengerusi bersama firma hartanah Sun Hung Kai Properties, Thomas dan Raymond Kwok didakwa semalam dalam kes rasuah yang dianggap skandal terbesar di sini.
Bekas Ketua Setiausaha Pentadbiran Hong Kong, Rafael Hui turut didakwa dalam kes itu.
Kes rasuah itu melibatkan keluarga paling berpengaruh di Asia dan firma hartanah kedua terbesar di dunia dengan modal pasaran bernilai AS$32 bilion (RM101.9 bilion).
Dakwaan itu melibatkan pembayaran dan pinjaman lebih AS$4 juta (RM12.7 juta).
Dakwaan itu berlaku sehari selepas agensi antirasuah Hong Kong, Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah menangkap setiausaha pembangunan pulau ini kerana disyaki terlibat dalam rasuah.
Dua individu lain turut didakwa dalam kes rasuah tersebut.
Mereka terdiri daripada Ahli Lembaga Sun Hung Kai, Thomas Chan dan bekas ketua pegawai operasi Bursa Niaga Hadapan Hong Kong, Francis Kwan.
Kelima-lima mereka dibebaskan dengan ikat jamin dan diarahkan tidak menghubungi senarai saksi pendakwaan yang diberikan kepada mahkamah.
Kes tersebut kemudian ditangguhkan sehingga 12 Oktober depan.
Lapan dakwaan difailkan terhadap lima tertuduh itu.
Mereka dihadapkan di hadapan seorang hakim.
Kelima-lima mereka menyatakan memahami semua dakwaan tersebut.
Raymond dalam satu kenyataan menyatakan beliau percaya tidak melakukan sebarang kesalahan.
"Sistem kehakiman Hong Kong amat adil. Saya akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan diri saya berhubung tuduhan tersebut," katanya.
Thomas enggan memberikan sebarang komen. - Reuters

Peluk keluarga sebelum maut


JASIN – Seorang pemuda bisu dan cacat pendengaran seolah-olah mengetahui dirinya akan menemui ajal apabila dia bertindak bersalaman dan mencium tangan ahli keluarga dan rakan-rakannya sebelum dia maut selepas terlibat dalam kemalangan di Taman Bukit Tembakan Indah di sini kelmarin.
Mohamad Falzali Mohd. Nasir, 21, maut apabila motosikal jenis Suzuki RR Sport yang ditungganginya terbabas lalu terhumban ke dalam parit menyebabkan lelaki berstatus orang kelainan upaya (OKU) itu lemas dalam kejadian pukul 11.30 malam.
Sebelum kejadian, pencuci kereta itu ingin pulang ke rumahnya di Bukit Tegoh, Pernu selepas keluar minum bersama rakan-rakannya di Bukit Tembakau di sini.
Difahamkan, ketika terjatuh, mangsa masih bernyawa tetapi gagal menyelamatkan diri kerana mengalami kecederaan saraf di kaki dan tangan selepas terjatuh ke dalam parit yang mempunyai kedalaman kira-kira dua meter itu.

Tiga lelaki larikan barang kemas RM3 juta



DUA anggota polis mengawal kedai emas yang dirompak 
di pasar raya Carrefour, Seberang Jaya semalam.


BUTTERWORTH - Tiga lelaki yang menyamar sebagai pelanggan melarikan barang kemas bernilai lebih RM3 juta dari sebuah kedai emas dalam pasar raya Carrefour Seberang Jaya di sini semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.15 petang ketika tujuh pekerja dan seorang pelanggan berada di dalam kedai.
Katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit menyamar sebagai pelanggan dan meminta pekerja mengeluarkan rantai-rantai emas kononnya untuk dibeli.
"Secara tiba-tiba tiga lelaki terbabit mengeluarkan tiga pucuk pistol dan mengacukannya kepada pekerja serta pelanggan sambil memberi amaran kepada mereka supaya jangan bergerak," katanya kepada pemberita di sini.
Katanya, perompak itu menjadikan seorang pekerja kedai emas sebagai tebusan dengan mengacu pistol di kepalanya manakala pekerja lain diarah memasukkan barangan kemas dalam sebuah beg sebelum mereka melarikan diri.

Liong Sik tiada niat tipu Kabinet



LIONG SIK yang diarahkan membela diri selepas didapati bersalah atas dakwaan menipu kerajaan Malaysia meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik tidak mempunyai sebarang niat untuk menipu Kabinet kerana beliau tidak mengarahkan pegawainya untuk menyembunyikan apa-apa fakta berkenaan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Peguam Wong Kian Kheong berkata demikian dalam hujahan pembukaan pembelaan diri Liong Sik, 68, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmadi Asnawi di sini semalam.
Kian Kheong berkata, pada semua masa, Liong Sik telah mengarahkan pegawai di Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) untuk mematuhi penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berhubung perolehan tanah sama ada dengan cara pemerolehan wajib atau pembelian langsung.
Beliau berkata, dua surat daripada Liong Sik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertarikh 3 April dan 29 Jun 2002 serta nota MOT kepada Kabinet disediakan oleh pegawai MOT.
"Liong Sik bertindak selaras dengan syor dan nasihat pegawai MOT. Liong Sik pada bila-bila masa tidak mengarahkan atau meminta pegawai MOT untuk menyembunyikan, memberi gambaran yang salah dan mengelirukan apa-apa fakta dalam persediaan dua pucuk surat kepada Dr. Mahathir dan dua nota ringkasan bertarikh 29 Oktober 2002 daripada Liong Sik berkenaan pengambilan balik tanah di Pulau Indah.
"Tiada siapa memberitahu Liong Sik bahawa surat berkenaan, memorandum atau apa-apa bentuk dokumentasi adalah silap, cacat atau tidak tepat dalam apa jua cara," kata beliau pada hari pertama kes pembelaan itu.

Rakan dituduh bakar Yogambika



VIJENDRAN dituduh membunuh Yogambika di Mahkamah Majistret Ampang semalam.



AMPANG JAYA – Seorang juruteknik kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh kerani bank yang merupakan bekas rakan baiknya dengan membakar wanita itu di hadapan rumahnya di koridor Apartmen Mesra Prima di sini bulan lalu.
B. Vijendran, 33, memberitahu dia faham terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Vijendran didakwa membunuh P. Yogambika, 27, di koridor Tingkat 9, Blok B, Apartmen Mesra Prima pada pukul 10 malam 28 Jun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.