Search This Blog

Thursday, July 12, 2012

Kepala hancur tembus besi

Kemalangan
SEREMBAN – Seorang wanita maut dalam keadaan tragis apabila kepalanya hancur ditembusi besi pengadang dalam kemalangan ngeri di Kilometer 14.7, Lebuhraya Kajang – Seremban Sdn Bhd (Lekas), arah selatan berhampiran Pajam, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 6.15 petang, wanita dipercayai warga China itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Jurucakap polis berkata, mangsa bersama rakannya, Thai Yin Sei, 25, yang memandu kereta jenis Proton Saga BLM itu dipercayai dalam perjalanan ke Seremban dari arah Kajang.

“Kereta yang dipandu Yin Sei dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh pengadang besi di kiri lebuh raya.

“Rempuhan kuat menyebabkan besi pengadang jalan menembusi cermin depan kereta sebelah pemandu hingga ke belakang kereta,” katanya, semalam.

Menurutnya, rakan mangsa yang parah di kepala di hantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Abd Manan Munaji berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan wanita terbabit.

“Sejurus tiba, kami mendapati seorang lelaki yang juga pemandu kereta sudah dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar.

“Bagaimanapun, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Mantin dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Bangi terpaksa ambil masa kira-kira 20 minit untuk memotong pe­ngadang besi berkenaan untuk mengeluarkan mayat wanita terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan kemalangan.

Saksi kejadian diminta hubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Najib Zamuri di talian 06-7991222 atau balai polis berhampiran.

Taliban serbu pusat latihan, 9 pelatih polis ditembak mati

LAHORE - Sekurang-kurangnya sembilan orang pelatih polis ditembak mati dalam serangan militan di salah satu bandar utama Pakistan, Lahore.

Menurut satu laporan, lelaki yang memakai topeng menyerang menaiki motosikal dan menyerang bangunan yang diduduki polis pelatih di Rasoul Park.

Semua yang terbunuh berasal dari utara-barat Khyber Pakhtunkhwa yang sedang menjalani latihan untuk menjadi polis penjara.

"Kami menyasarkan polis penjara kerana perlakuan mereka dengan orang-orang kami dalam penjara tidak berperikemanusiaan dan kejam," kata jurucakap Taliban,  Ehsnanullah Ehsan.

Beliau berkata yang mereka memang menyasarkan serangan kerana mereka tidak melayan Taliban  dengan baik.

Isnin lalu, penembak Taliban membunuh tujuh pegawai keselamatan di kem, terletak di tengah-tengah bandar Punjabi ibu kota Lahore.

Penuntut nyaris maut kereta terbabas, terbakar



kemalangan
Anggota bomba memadamkan kebakaran kenderaan terlibat
dalam kemalangan. Foto ehsan Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, semalam.
SEPANG - Seorang penuntut bersama rakannya nyaris maut apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) Dengkil Puchong berhadapan sebuah institut pengajian tinggi swasta, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.55 pagi, mangsa, Mohamed Hamzi Hamzah, 20, memandu Proton Satria Neo dari Puchong ke Putrajaya Sentral.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, kereta yang dipandu  penuntut sebuah pengajian tinggi tempatan itu dipercayai hilang kawalan kemudian terbabas lalu merempuh penghadang lebuh raya sehingga mengakibatkan kenderaan itu terbakar.

"Kemalangan itu berikutan hujan lebat sejak awal pagi. Anggota Bomba dan Penyelamat Cyberjaya ke lokasi kejadian dan memadam kebakaran.

“Pemandunya pula dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan," katanya.

Menurutnya, Mohamed Hamzi mengalami cedera ringan, manakala rakanya seorang wanita berusia lingkungan 20-an tidak cedera.

Kes ragut kerani wanita : Seorang lagi suspek ditahan

MELAKA - Polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ragut seorang kerani wanita yang meninggal dunia sehari selepas kejadian itu di Jalan Benteng, Balai Panjang pada Sabtu lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Supt P.R. Gunarajan berkata suspek lelaki berbadan gempal berusia 24 tahun itu ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 21 tahun dalam satu operasi khas di sebuah hotel bajet di Batu Berendam di sini pada 3 petang semalam.
"Dari maklumat yang diberi suspek, seorang penggangur, polis dapat menemui sebuah beg yang dicampak di dalam semak di belakang sebuah hotel di Tengkera dan menemui kad pengenalan mangsa, lesen memandu, dan juga kad Bonuslink," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Barang-barang tersebut disahkan kepunyaan si mati oleh keluarga mangsa dan percaya kes tersebut telah berjaya diselesaikan pihak polis.
Katanya ketika diberkas, suspek yang dipercayai membawa motor semasa kejadian ragut itu, terjun dari tingkat satu bangunan hotel tersebut ketika cuba melarikan diri namun berjaya  ditangkap pihak polis.
Beliau berkata hasil siasatan polis merampas dua motosikal yang dikesan motosikal curi di mana satu daripada motosikal tersebut dipercayai telah dibawa suspek semasa kejadian.
Beliau berkata hasil siasatan sehingga hari ini menunjukkan kumpulan itu terlibat dalam 25 kes di seluruh Melaka.
Dalam kejadian 8.05 pagi Sabtu lepas, mangsa, Tang Mui Choo, 35, yang menunggang motosikal diragut dua lelaki ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menyebabkannya terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala dan rusuk sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.
Beliau berkata kumpulan tersebut dipercayai menggunakan taktik bersembunyi di inap desa atau hotel dan keluar meragut untuk membeli dadah.
Katanya kedua-dua suspek yang ditahan juga positif dadah jenis methamphetamine kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302  Kanun Keseksaan.
Katanya seorang lagi rakan suspek dalam kes ragut kerani wanita itu ditahan pada 9 Julai lalu, ditahan bersama tiga lagi lelaki berusia 20-an dalam satu operasi khas di dua inap desa di Merlimau dan Semabok.
Hasil siasatan remaja lelaki berusia 17 tahun itu mengaku mengambil beg tangan dari raga motosikal mangsa. - Bernama

2 beradik disangka curi kambing ditetak

KOTA BHARU- Akibat salah faham kerana dikatakan mencuri kambing, dua beradik ditetak dalam satu kejadian di Kampung Limbat, Pasir Mas dekat sini, pagi tadi.

Kejadian terbabit mengakibatkan kedua-duanya mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan, namun dilaporkan stabil dan kini ditempatkan dalam hospital raja perempuan zainab (HRPZ II) untuk rawatan susulan.

Kepala hampir terbelah dua



mangsa
Keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan
 di Batu 7, Jalan Kapar. Gambar kecil: Kok Kian.
SUNGAI KAPAR INDAH - Seorang penggali kubur maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah treler yang sedang menunggu pagar sebuah kilang dibuka di Batu 7, Jalan Kapar, berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, di sini awal pagi semalam.

Treler berkenaan yang juga datang dari arah Klang berada di hadapan kilang itu sementara menunggu pengawal membuka pagar. Bagaimanapun bahagian belakang treler itu masih berada di jalan raya manakala bahagian hadapan pula sedang bersiap sedia untuk masuk ke kawasan kilang.

Mangsa, Tew Kok Kian, 29, yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak ke jalan raya.

Ketua Trafik IPD Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.20 pagi ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Kapar.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal mangsa merempuh bahagian belakang sebuah treler dan rempuhan kuat menyebabkan kepala mangsa terhantuk pada besi di bahagian belakang treler itu sebelum mangsa tercampak ke jalan raya.

“Hantukan kuat itu menyebabkan bahagian muka dan kepala mangsa hampir terbelah dua,” katanya.

Sejurus kejadian itu, menurutnya, mangsa yang mengalami pendarahan serius di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Zawary berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Bekas Presiden Fifa, bekas menantu terima rasuah RM45j

Bekas Presiden Fifa, Joao HavelangeGENEVA - Bekas Presiden Fifa, Joao Havelange dan ketua bola sepak Brazil, Ricardo Teixeira menerima lebih RM45 juta daripada sebuah syarikat pemasaran yang sudah pun gulung tikar, demikian menurut dokumen yang didedahkan di mahkamah Switzerland semalam.
Havelange yang berusia 96 tahun menerima sekurang-kurangnya 1.5 juta Swiss franc (AS$1.53 juta atau RM4.5 juta) manakala Teixeira, bekas menantunya, dibayar sekurang-kurangnya 12.4 juta Swiss franc (AS$12.64 juta atau RM40.3 juta).
Bayaran itu yang dibuat oleh International Sport and Leisure (ISL), diperincikan dalam penghakiman dibuat oleh mahkamah agung Switzerland, yang turut disiarkan menerusi laman web rasmi Fifa.
ISL, belas rakan pemasaran rasmi bagi Fifa dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), diisytiharkan muflis pada 2001 ekoran hutang dalam lingkungan AS$300 juta.
Havelange berundur sebagai Presiden Fifa pada 1998 selepas menerajui Fifa selama 24 tahun.
Beliau masih merupakan Presiden Kehormat Fifa.
Beliau meletakkan jawatan sebagai anggota IOC Disember lalu atas alasan kesihatan. Keputusan meletakkan jawatan itu dibuat beberapa hari sebelum tindakan dikenakan oleh jawatankuasa etika IOC ekoran pendedahan penerimaan bayaran oleh ISL kepada pemimpin-pemimpin kanan pertubuhan sukan.
Teixeira pula dipaksa melepaskan jawatannya dari jawatankuasa eksekutif Fifa dan ketua jawatankuasa penganjuran Piala Dunia 2014 Brazil awal tahun ini apabila menyedari laporan mengenai skandal itu sudah mahu terbit.
Kedua-duanya cuba untuk menghalang penerbitan itu di mahkamah Switzerland.
Dalam pada itu, Fifa dalam kenyataannya menerusi laman web menegaskan pihaknya "senang" apabila dokumen-dokumen itu didedahkan kepada umum.
Kenyataan itu menambah, nama  Havelange dan Teixeira disebutkan dalam dokumen manakala Presiden semasa, Sepp Blatter tidak ada.

Polis tahan semula Uncle Seekers bawah Akta Hasutan


Uncle Seekers
Uncle Seekers
JOHOR BAHRU - Polis menahan semula pengkaji aktiviti paranormal Syed Abdullah Syed Hussein Al-Attas bagi membantu siasatan berhubung penulisan di blognya  www.uncleseekers.blogspot.com yang didakwa memfitnah Sultan Johor Sultan Ibrahim, selepas tempoh remannya berakhir semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim berkata Syed Abdullah atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers ditahan semula sejurus dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 7 malam semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya.

Katanya dia ditahan semula untuk siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 selepas polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki berumur 34 tahun, 4 Julai lepas.

Polis hari ini telah mendapatkan perintah mahkamah untuk meremannya selama tiga hari sehingga Sabtu ini, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

"Syed Abdullah dibebaskan semalam selepas siasatan terhadapnya mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972 telah selesai dan kertas siasatan berkenaan kini dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor untuk tindakan lanjut. Dia, bagaimanapun, ditahan semula selepas itu untuk siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 berhubung 64 entri di dalam blog terbabit," katanya.

Ismail berkata teman wanita Syed Abdullah, yang sebelum ini turut ditahan reman telah dibebaskan semalam dengan jaminan polis.

Beliau berkata polis juga sedang menjalankan siasatan terhadap dua lagi rakan Syed Abdullah yang kini ditahan reman selepas kedua-duanya ditahan di Jalan Pantai Kundor, Tanjung Kling, Melaka, 8 Julai lepas.

Terdahulu, Syed Abdullah yang berpakaian lokap tiba di Kompleks Mahkamah Johor Baharu dengan diiringi anggota polis IPD Nusajaya kira-kira pukul 1.50 tengah hari dan dibawa keluar dari kamar mahkamah kira-kira 4 petang.

Permohonan reman dilakukan di hadapan Majistret Maslinda Selamat dan Syed Abdullah diwakili peguam D.Thiru Kumar.

Syed Abdullah, 46, ditahan polis bersama wanita berumur 26 tahun terbabit di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan, pada pukul 9.45 malam, 4 Julai lepas.

Pada 1 Julai lepas, 30 individu membuat laporan polis terhadap Syed Abdullah berhubung penulisan dalam blognya yang dikatakan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Sultan Johor. - Bernama

Penganggur curi duit masjid RM5 dihukum penjara sebulan

Penganggur curi duit masjid RM5 dihukum penjara sebulan:

PETALING JAYA 10 Julai - Gara-gara mencuri duit tabung masjid sebanyak RM5 dengan alasan untuk dijadikan modal mencari pekerjaan lain, seorang penganggur terpaksa meringkuk dalam penjara selama sebulan.
Majistret Surya Wati Shawal menjatuhkan hukuman itu terhadap Suhaimi Ibrahim, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.
Surya Wati memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh Suhaimi ditangkap pada 7 Julai lalu.
Dia didakwa mencuri lima keping wang kertas RM1 daripada tabung milik Masjid Abu Bakar As Siddiq yang beralamat Jalan SS 19/7 Subang Jaya di sini, pada pukul 2.45 pagi, 7 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Suhaimi yang tidak diwakili oleh peguam menyatakan dia insaf serta bertaubat atas perbuatannya dan memohon dikenakan hukuman ringan.
Ketika disoal oleh majistret alasan dia mencuri, Suhaimi menyatakan dia mencuri kerana buntu memikirkan cara mendapatkan wang untuk dijadikan modal mencari pekerjaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aifaa Che Abdullah memaklumkan kepada mahkamah, Suhaimi mempunyai rekod jenayah yang sama sebelum ini dan telah dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada 2004.
Mengikut fakta kes, pengadu, Jamal Mohamed yang merupakan penjaga masjid berasa curiga apabila melihat tertuduh berlegar-legar di kawasan masjid.
Dia terus memerhatikan tertuduh yang kemudiannya mengorek tabung di dalam masjid menggunakan dawai yang ditampalkan dengan gula-gula getah di hujungnya.
Selepas Jamal yang dibantu oleh penduduk taman di situ berjaya menangkap tertuduh, mereka menemui lima keping wang RM1 di dalam poket seluar Suhaimi sebelum lelaki itu dihantar ke balai polis berhampiran.

'via Blog this'

Geng rempit curi motor tumpas

ABDUL Majid Mohd. Ali (tengah) menunjukkan motosikal curi termasuk
yang sebahagiannya tinggal rangka pada sidang akhbar
di IPD Kluang, Johor, semalam.

KLUANG 10 Julai - Sekumpulan remaja berusia 15 hingga 19 tahun termasuk pelajar bukan sahaja melakukan jenayah curi motosikal malah turut berlumba haram dan menjual komponen kenderaan itu kepada mat rempit.
Perbuatan mereka seramai 10 orang yang menganggotai Geng Sri Lalang bagaimanapun, menerima padah apabila diberkas polis di Sri Lalang di sini pada 3 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kejayaan itu adalah hasil penahanan dua suspek berusia 15 dan 16 tahun yang cuba melarikan diri selepas melihat satu sekatan jalan raya di Sri Lalang.
Menurutnya, susulan itu membawa kepada penahanan lapan lagi suspek di kediaman mereka di sini dan hasil soal-siasat mereka mengaku mencuri 10 motosikal di kawasan pusat beli-belah di pusat bandar.
"Polis turut menemui lapan rangka motosikal yang kebanyakannya telah dibuang ke dalam parit di Sri Lalang setelah dileraikan komponennya.
"Apa yang menyedihkan jenayah itu dilakukan golongan pelajar. Jenayah curi motosikal pula menjadi aktiviti jenayah tertinggi di daerah ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini hari ini.
Abdul Majid berkata, selain untuk kegunaan sendiri, soal siasat menunjukkan komponen motosikal yang dicuri dijual kepada kenalan, golongan mat rempit dan kedai alat ganti motosikal.
Menurutnya, suspek juga mengubah suai motosikal untuk menambah kelajuannya bagi kegiatan lumba haram.
Katanya, kesemua suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A/411 Kanun Keseksaan.
"Polis memburu tiga lagi rakan jenayah geng tersebut,'' kata beliau.
Menurutnya, sebanyak 245 motosikal dilaporkan dicuri di daerah ini sepanjang enam bulan pertama tahun ini dan polis telah melancarkan Ops Lejang bagi membasmi jenayah itu.
Geng rempit curi motor tumpas:

'via Blog this'

11 wanita Vietnam ditahan di pusat urut

11 wanita Vietnam ditahan di pusat urut:

KLANG 10 Julai - Seramai 11 wanita warga Vietnam ditahan dalam serbuan di sebuah pusat urut di Bayu Perdana di sini oleh sepasukan pegawai dan anggota Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.
Menurut Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Supritendan Rohan Shah Ahmad berkata, kesemua wanita warga Vietnam berusia 20-an hingga 30-an itu ditahan pada pukul 9.30 malam.
Katanya, turut ditahan dalam operasi itu ialah seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun yang juga penjaga premis serta seorang pelanggan, yang kemudian dibebaskan setelah butir peribadinya diambil.
"Hasil pemeriksaan 10 daripada wanita itu memiliki pasport untuk masuk ke negara ini, manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan," katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati pusat urut itu menawarkan khidmat pakej 'badan ke badan' atau 'B2B' dan seks.
Katanya, pelanggan perlu membuat pembayaran terlebih dahulu sebelum dibawa ke tingkat dua premis bagi mendapatkan perkhidmatan urutan dengan caj RM105 dan tambahan RM70 bagi seks.
"Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM315, peralatan mengurut, minyak urut dan tujuh keping kondom," katanya.
Rohan Shah berkata, premis berkenaan tidak mempunyai sebarang papan tanda yang bertujuan mengaburi aktiviti maksiat yang dijalankan selain dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.
"Pelanggan yang membuat tempahan melalui telefon sahaja dibenarkan masuk oleh penjaga premis bagi mendapatkan perkhidmatan urutan.
"Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.

'via Blog this'

Bapa pelajar mangsa buli mohon bantuan masyarakat

Bapa pelajar mangsa buli mohon bantuan masyarakat:


Zharry John Bawe yang menjadi mangsa buli di Jalan Yong Mok Chai, Kapit, Ahad lalu.
KAPIT 10 Julai - Seorang bapa, John Bawe memohon kerjasama orang ramai untuk membantu menyalurkan maklumat mengenai kes buli yang menimpa anak lelakinya sehingga cedera dan lebam di sebuah pasar raya di Jalan Yong Mok Chai di sini minggu lalu.
Bawe, 48, berkata, kejadian itu berlaku ketika anaknya, Zharry, 12, pergi ke pasar raya itu untuk membeli alat tulis sebelum dia dibelasah oleh sekumpulan remaja dipercayai pelajar sekolah menengah.
Berikutan serangan itu, Zharry mengalami lebam-lebam dan luka di muka serta beberapa bahagian badan.
"Ketika dibelasah, anak saya cuba meminta bantuan tetapi orang ramai yang berada di situ hanya mampu melihat sahaja kerana bilangan penyerang adalah ramai.
"Untuk itu, saya merayu kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis," katanya yang ditemui di sini hari ini.
Satu laporan polis telah dibuat Bawe di Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit pada petang Ahad lalu.
Dalam pada itu, beliau menyatakan rasa kesal di atas kejadian berkenaan dan berharap pihak polis membuat siasatan terperinci.
Katanya, apa yang membimbangkan ialah Zharry kini berdepan dengan trauma akibat serangan ganas itu.
"Saya difahamkan kumpulan remaja yang menyerang anak saya selalu melepak di tingkat satu pasar raya itu dan sering membuat kacau.
"Sebagai seorang bapa, saya harap pihak berkuasa memantau keadaan itu supaya kejadian yang sama tidak berulang," katanya.

'via Blog this'

Peragut bersiri dicekup



Mohd. Tarmizi Abdul Haq menunjukkan sebahagian barangan ditemui daripada seorang peragut pada sidang akhbar di Ipoh, semalam.
IPOH 11 Julai - Selepas lebih enam bulan bermaharajalela, seorang penjenayah yang dikehendaki kerana dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 30 kes ragut dan samun di sekitar bandar raya ini sejak Januari lalu, akhirnya ditahan polis semalam.
Lelaki berusia 25 tahun itu yang digelar 'peragut bersiri' ditahan sepasukan polis kira-kira pukul 5.30 petang di Bercham dekat sini, tidak lama selepas dia dipercayai meragut beg seorang lelaki di kawasan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Tarmizi Abdul Haq berkata, suspek menjadi buruan polis kerana dipercayai menjadi dalang lebih 30 kes samun dan ragut yang berlaku terutama di sekitar Canning Garden, Sungai Senam dan Ipoh Garden sejak enam bulan lalu.

Peragut bersiri dicekup:

799 peniaga jual lesen dikena tindakan

799 peniaga jual lesen dikena tindakan:

KUALA LUMPUR 11 Julai - Seramai 799 peniaga yang menjual atau menyewakan lesen premis perniagaan kepada warga asing telah dikenakan tindakan sepanjang tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, 27 peniaga dibatalkan lesen perniagaan, 570 peniaga dikompaun, 155 didenda dan baki 47 lagi diberi amaran.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, perbuatan peniaga tempatan menjual dan menyewa lesen kepada warga asing adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.
"Lesen penjaja dan peniaga kecil hanya diberi kepada rakyat Malaysia untuk berniaga di pasar malam, pasar tani, pasar awam mahupun ruang niaga kecil di pasar raya.
"Warga asing tidak dibenarkan memohon lesen penjaja tetapi jika terdapat warga asing menjaja, ini berpunca daripada perbuatan segelintir pemilik lesen warga tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Abdul Rahim Abdul Rahman di Dewan Negara hari ini.
Mengulas lanjut Chee Heung berkata, pihak berkuasa tempatan telah diminta supaya meningkatkan lagi penguatkuasaan bagi memastikan gejala itu tidak berterusan.
"Tindakan tegas secara berterusan akan diambil ke atas mana-mana peniaga tempatan yang melakukan kesalahan serupa tetapi pada masa sama, kita harap wujud kesedaran di kalangan mereka," katanya.

'via Blog this'

Kes amuk disiasat menyeluruh


ISMAIL Omar (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada wakil Balai Polis Puchong pada Majlis Anugerah Liga Balai Siri 1/2012 di Balai Polis Puchong, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR 11 Julai - Siasatan berhubung kes dua individu yang menyerang serta mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya kelmarin akan dibuat secara menyeluruh, termasuk kaitan mereka dengan pertubuhan ajaran sesat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (gambar) berkata, polis sedang meneliti laman-laman sosial, termasuk blog dan Facebook milik suspek lelaki yang mengaku sebagai 'Imam Mahadi', Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, untuk menyiasat sejauh mana penglibatannya dengan kumpulan ajaran sesat.
Katanya, polis menyifatkan kes itu sebagai terpencil dan tidak dilakukan melalui perancangan yang rapi, namun akan terus menyiasat lebih lanjut.
"Siasatan awal mendapati, kejadian amuk ini bukan dirancang dan ia bukan satu komplot besar-besaran.
"Kita akan mengesan laman sosial seperti Facebook yang dimiliki lelaki itu untuk menyiasat kewujudan ajaran sesat yang mempengaruhinya," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Liga Balai Siri 1/2012 di Balai Polis Puchong, dekat sini hari ini.
Khalil Afandi meninggal dunia akibat ditembak oleh anggota polis selepas dia dan rakan wanitanya, Muhdalina Ahmad, 28, mengamuk menggunakan dua bilah pedang samurai selepas menceroboh pekarangan bangunan kerajaan.
Ismail dalam pada itu turut memuji tindakan pantas yang diambil oleh pengawal keselamatan dan anggota polis di tempat kejadian.
"Apa yang penting, tindakan dan respons awal oleh pengawal serta pasukan polis yang datang ke situ bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.
"Respons pantas itu membolehkan keadaan dapat dikawal, terutama sekaligus tidak melibatkan kecederaan orang awam," jelasnya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Ismail menasihatkan pegawai serta anggota polis agar tidak segera berpuas hati dengan perkhidmatan serta pencapaian yang diberikan kepada masyarakat, sebaliknya perlu meneroka pendekatan baru untuk memberi kepuasan kepada rakyat.
"Setiap polis perlu terus berusaha gigih secara terancang untuk meningkatkan prestasi supaya rakyat yakin bahawa bahawa kita sentiasa memberi perkhidmatan yang cemerlang.
"Kita juga perlu bersedia untuk mengorak langkah dengan pendekatan-pendekatan yang baru yang dilihat lebih sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa. Saya berharap setiap polis membudayakan sifat produktif, inovasi dan kreativiti dalam skop penugasan masing-masing," katanya.

2 suspek amuk dihantar isteri, suami

2 suspek amuk dihantar isteri, suami:

KUALA LUMPUR 11 Julai - Polis mengesahkan dua individu yang mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya kelmarin dihantar ke lokasi itu oleh isteri dan suami masing-masing.
Identiti mereka yang menghantar dua suspek itu dikenal pasti oleh polis berdasarkan siasatan yang dilakukan susulan kejadian itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu, namun beliau enggan mengulas lanjut.
"Polis mengesahkan kedua-dua mereka dihantar oleh suami dan isteri masing-masing. Siasatan masih berjalan dan polis akan mengambil tindakan lanjut yang sewajarnya selepas ini," katanya.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang kelmarin, seorang lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahadi, Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, bersama seorang wanita, Muhdalina Ahmad, 28, menceroboh dan mengamuk di pekarangan Kompleks B JPM menggunakan dua bilah pedang samurai.
Khalil Afandi terbunuh manakala Muhdalina cedera selepas terkena tiga das tembakan yang dilepaskan oleh polis.
Siasatan awal polis percaya kedua-dua suspek itu mengalami masalah mental setelah mengikuti satu kumpulan ajaran sesat.
Ditanya adakah polis sudah memanggil dan mengambil keterangan pasangan kedua-dua suspek, Chin Wah berkata, polis akan siasat mengikut prosedur yang ditetapkan.

'via Blog this'

2 anak didakwa ugut ibu, bapa

2 anak didakwa ugut ibu, bapa:

KOTA BHARU 11 Julai - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengugut ibunya dengan menggunakan sebilah pisau di rumah mereka pada bulan lalu.
Mohd. Ayub Mat Jusoh, 31, didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Rahmah Botok, 64, di sebuah rumah di Kampung Surau Bator, Bachok pada pukul 2 pagi, 13 Jun lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan Mohd. Yazid Yahya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Majistret Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam bela diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes 8 Ogos ini.
Sementara itu, Nor Mohammad Azani Azmi, 32, mengaku bersalah di mahkamah sama atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya hujung bulan lalu.

'via Blog this'

Dua maut kereta bertembung



ANGGOTA bomba bertugas di lokasi kemalangan yang mengakibatkan dua beranak maut di Kilometer 53, Jalan Sri Aman-Betong, Sarawak, semalam. - Utusan/Sopi Samaile
SRI AMAN 11 Julai - Dua wanita maut manakala seorang kanak-kanak perempuan cedera apabila Perodua MyVi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di Kilometer 53, Jalan Sri Aman-Betong, Engkilili dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, Tan Say Hoong, 57, dan anaknya, Tay Chung Pei, 36, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.
Sementara itu, kanak-kanak terbabit yang dipercayai anak kepada Chung Pei patah kaki kanan. Identitinya belum dikenal pasti.
Difahamkan, kereta yang dipandu Chung Pei dalam perjalanan menghala ke Betong untuk melawat saudara mereka yang baru tiba dari Singapura.

Dua maut kereta bertembung:

15 pelombong dikhuatiri mati lemas

SHILLONG, India 12 Julai - Sekurang-kurangnya 15 daripada 30 pelombong dikhuatiri mati lemas selepas terperangkap dalam sebuah lombong arang batu yang dipenuhi air di perkampungan Rongsa Awe, di sini semalam.
Ketua Polis Shillong, N. Ramachandran berkata, insiden tersebut berlaku selepas dinding lombong berkenaan ditebuk, menyebabkan air memenuhi bahagian dalamnya.
"Ketika kejadian, 15 pelombong berjaya menyelamatkan diri, manakala selebihnya terperangkap dan peluang untuk hidup adalah tipis," katanya. - AFP

Lelaki lari 8 km elak dicekup

Alor Gajah: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah berlari lapan kilometer bagi mengelak ditahan pihak berkuasa, namun penatnya tidak berbaloi apabila dia berjaya juga diberkas.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang kelmarin, suspek berusia 21 tahun mulanya berada dalam sebuah kereta Proton Persona bersama seorang rakan apabila mereka dihampiri polis peronda selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Berjaya ditahan
Bagaimanapun, pemuda berkenaan terus keluar dari kereta terbabit dan melarikan diri, tetapi rakannya berusia 28 tahun berjaya ditahan. Polis yang memburu suspek kemudian memberkasnya di sebuah taman perumahan di Kelemak, dekat sini.

Ketua Polis daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, berkata pemeriksaan ke atas kereta itu menemui empat paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin seberat 10.23 gram, tiga paket dadah disyaki syabu seberat 0.93 gram di tepi pintu kereta pemandu.

"Kedua-dua lelaki berasal dari Rembia dan Kelemak itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah dan ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (2) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Suami isteri ditipu tiket judi palsu

Resit nombor ekor yang diterima pasangan suami isteri terbabit dan buku bank menunjukkan pengeluaran
Resit nombor ekor yang diterima pasangan suami isteri terbabit dan buku bank menunjukkan pengeluaran wang dibuat.
ALOR GAJAH - Ghairah memiliki wang bernilai lebih RM100,000, sepasang suami isteri rugi RM14,000 selepas terpengaruh dengan tiket nombor ekor palsu.

Kejadian berlaku 4 Julai lalu, apabila pasangan dari Masjid Tanah, di sini, dihampiri  seorang wanita dari negara jiran yang mendakwa dirinya dalam kesusahan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pasangan dikenali sebagai Sudin, 74, dan Azimah, 66, didatangi wanita berusia pertengahan 30-an ketika selepas membeli barang di sebuah pasar raya di pekan ini.

Sudin berkata, wanita terbabit tiba-tiba datang dan menyapanya serta mendakwa sedang buntu memikirkan cara mendapatkan wang kerana tidak memiliki pengenalan diri.

“Wanita berkenaan mendakwa kakak iparnya yang mengandung tumpah darah selepas tergelincir di bilik air dan memerlukan rawatan segera di hospital swasta. Dia tak berani bawa ke hospital kerajaan kerana bukan warganegara.

“Selepas berbual seketika, dia menunjukkan sekeping tiket nombor ekor yang dimenanginya dengan hadiah RM130,000 tetapi tidak menuntutnya kerana mendakwa tiada MyKad,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit mahu meminjam wang berjumlah RM30,000 dengan mencagarkan tiket nombor ekor itu.

"Tanpa berfikir panjang, kami segera pulang ke rumah untuk mengambil buku bank dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Wish dipandu rakan wanita terbabit.

"Kami keluarkan wang RM9,000 dan RM5,000 dari dua bank berbeza sebelum serahkan kepada wanita berkenaan," katanya.

Sudin berkata, wanita itu berjanji seseorang akan menghubunginya keesokan hari untuk  memulangkan semula wang dipinjam.

"Namun, tiada seorang pun menghubungi saya menyebabkan saya menyedari menjadi mangsa tipu,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Masjid Tanah, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Mayat reput ditemui di tepi jalan




         
BANGKOK: Mayat lelaki tidak dikenali, dipercayai anggota unit pertahanan kampung, ditemui di tepi jalan di daerah Muang, wilayah Narathiwat, semalam.

Polis berkata, tangan lelaki berusia antara 35-40 tahun itu diikat ke belakang dengan tali kasut. Dia ditembak sekali di dada. Ada perkataan “unit pertahanan kampung” di baju di bahagian belakang.
Mayat itu sudah reput dan dipercayai ditinggalkan di tepi jalan dua hari lalu. - BP

Wakil rakyat porno didesak letak jawatan




         
GUATEMALA CITY: Penunjuk perasaan menuntut dua wakil rakyat mereka supaya meletak jawatan selepas dirakam ternganga melihat gambar wanita berbikini pada sebuah telefon bimbit.

Walaupun sepatutnya membahaskan satu rang undang-undang di Parlimen, Jose Gandara, 67, dan Carlos Rafael Fion, 59, leka meneliti imej wanita seksi dan aksi itu dirakam dan tersebar kepada orang ramai. Sehingga semalam, berpuluh-puluh penunjuk perasaan bertopeng kebanyakannya anak muda menuntut mereka meletak jawatan. Mereka juga menggelar Gandara dan Fion sebagai “wakil rakyat porno.” Sementara itu, Gandara berkata, dia tidak bersalah dan isu itu terlalu diperbesarkan. “Jika saya menyebabkan sesiapa rasa tersinggung, saya minta maaf, tetapi saya tidak melakukan apa-apa kesalahan,” katanya kepada media. - AFP

‘Saya sangka dia lelaki’




         
PASIR PUTEH: “Saya ingatkan lelaki, tetapi rupa-rupanya perempuan,” kata seorang penghuni rumah kongsi di kawasan tapak pembinaan dekat Selising, di sini.

Dia yang mahu dikenali sebagai Abdul, 32, dari Jawa Timur yang juga buruh di tapak pembinaan berkenaan berkata, dia ternampak kelibat seorang remaja di kawasan rumah kongsi yang didiaminya sejak seminggu lalu, tetapi tidak mengendahkannya kerana menyangka remaja itu lelaki, apatah lagi gayanya ‘berambut pacak’.


“Bagaimanapun, beberapa hari lalu, rakan saya bertanya nama remaja itu dan baru rahsia terbongkar. Remaja itu memaklumkan kepada rakan saya, namanya Ira.

“Selepas rakan saya memaklumkan nama remaja itu, saya teringat pernah membaca kisah seorang ibu yang melaporkan anaknya hilang. Apabila saya lihat kembali laporan akhbar itu, saya terkejut, nama dan wajah seperti yang dipaparkan dalam akhbar sama dengan remaja itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurut Abdul, rakannya memaklumkan perkara berkenaan kepada ketua pengawal keselamatan tapak pembinaan sebelum remaja itu ditahan bersama pasangannya kelmarin.

Kesal pemandu rempuh rumah enggan bayar ganti rugi



         
ALOR SETAR: “Saya terkejut mendengar dentuman kuat di depan rumah lalu bergegas keluar untuk memeriksa apa yang terjadi. Sebaik membuka pintu, saya lihat sebuah kereta merempuh rumah.

“Nasib baik ketika itu tiada siapa berada di situ namun saya kecewa dengan pemandu kereta terbabit yang lepas tangan, malah tidak meminta maaf,” kata Mohd Shamshuri Yusof, 25.


Dalam kejadian jam 11.30 malam, Khamis lalu, sebuah kereta Proton Savvy dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk melanggar bahagian depan rumah Mohd Shamshuri di Jalan Datuk Kumbar, di sini, sehingga rosak teruk.

Berikutan itu, Mohd Shamshuri berasa tidak selamat tinggal di rumah berkenaan kerana tiang depan menyokong bumbung depan patah.


Dia mendakwa lelaki yang melanggar rumahnya itu anak seorang ahli perniagaan dan ketika dia meminta ganti rugi RM7,000 untuk membaiki kerosakan itu, lelaki terbabit enggan.


Sebaliknya, menurutnya lelaki itu menyatakan mahu membuat tuntutan insurans sebelum membayar ganti rugi, malah tiada ucapan maaf daripada lelaki terbabit. Mohd Shamshuri yang tinggal bersama ibunya, Zaharah Ahmad, 62, berkata, dia kini bimbang kerana struktur rumah tidak stabil tambahan pula kini musim hujan dan angin kuat.

Menurutnya, dia tiada pekerjaan tetap dan tidak mampu membaiki rumah ibunya itu.


Dia membuat laporan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada hari berikutnya.

Huni rumah kongsi



Oleh Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my
         
KOTA BHARU: Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor, sejak 20 Jun lalu, ditemui bersama teman lelakinya, warga Lombok, Indonesia, di sebuah rumah kongsi dekat Selising, Pasir Puteh, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, Nur Sahira Mat Radzi, 13, ditemui bersama teman lelakinya berusia 25 tahun oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu yang melakukan serbuan pada jam 5 petang.


“Hasil maklumat orang ramai dan berdasarkan gambar mangsa, kami menemuinya bersama seorang lelaki berasal dari Lombok, Indonesia, di negeri ini.

“Kami menahan pasangan itu sebelum menyerahkan mereka kepada IPD Ampang, Selangor, untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui pada majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, semalam.


Harian Metro pada Jumaat lalu melaporkan, ibu Nur Shahira atau Ira, Noor Aryanti Abu, 36, mendakwa anak sulungnya itu hilang buat kali keempat dalam tempoh kurang setahun pada 20 Jun lalu.


Katanya, Nur Shahira yang bersekolah di Sekolah Menengah Bandar Baru Ampang dipercayai ponteng sekolah selama dua hari namun memandangkan dia dan suaminya, Mat Radzi Hamzah, 41, tiba di rumah pada jam 8 malam setiap hari selepas kerja, mereka tidak mengetahui perlakuan Ira apatah lagi ketika ditemui di rumah, lagak remaja itu seolah-olah pergi ke sekolah.

“Pada hari kejadian, saya dan suami yang pulang ke rumah selepas mengambil tiga lagi anak di rumah pengasuh terkejut sebaik mendapati rumah kosong. Saya cuba mencari anak saya itu dengan bertanya rakan sekolahnya serta jiran namun gagal sehingga saya membuat laporan polis pada 25 Jun lalu.

Suami, isteri edar ganja 1kg




         
KOTA BHARU: Sepasang suami isteri disyaki pengedar dadah ditahan bersama hampir satu kilogram dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Tanjung Chat, dekat sini, kelmarin.

Pasangan berusia 48 dan 53 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hasil intipan dan maklumat, kira-kira jam 10.45 pagi.


Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata hasil serbuan itu, pihaknya menemui bungkusan mengandungi daun kering dipercayai ganja seberat hampir satu kilogram dianggarkan bernilai RM3,000.

Katanya, berikutan tangkapan itu pasangan berkenaan ditahan reman semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


“Sebelum menahan mereka, kita melakukan intipan dan selepas serbuan, hasil pemeriksaan menemui dadah disyaki ganja di rumah mereka.


“Kita tidak menolak kemungkinan dadah itu untuk pasaran tempatan atau sebaliknya dan siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya ketika ditemui di IPD Kota Bharu, dekat sini, semalam.


Menurutnya, hasil ujian air kencing terhadap lelaki terbabit mendapati dia positif dadah dan bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh daripada pihak tertentu.

Air paras paha



Oleh Nordiana Shafiee
am@hmetro.com.my
         
ALOR SETAR: “Saya membesar di kampung ini sejak hampir 30 tahun lalu dan tidak pernah mengalami air sungai melimpah hingga masuk ke dalam rumah,” kata suri rumah, Norafiza Azmi, 35, dari Kampung Sungai Batang, Jalan Kuala Kedah, di sini, antara mangsa 12 rumah ditenggelami air berikutan hujan lebat berterusan selama lapan jam, kelmarin.

Norafiza berkata, walaupun hujan lebat, air sungai tidak pernah melimpah hingga paras paha dalam rumah seperti yang berlaku dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi semalam.


Dia mendakwa masalah air sungai melimpah itu disebabkan jambatan batu yang menggantikan titi kayu menghalang pengaliran air sungai.

Katanya, titi kayu yang sudah uzur itu digantikan dengan jambatan batu dibina Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), namun pihak berkenaan memasang pembetung kecil menyebabkan aliran air sungai terjejas.


“Lebih memburukkan keadaan apabila hujan lebat sejak kebelakangan ini menyebabkan mereka dilanda banjir merosakkan perabot dan kelengkapan rumah.


“Hujan lebat sejak jam 10 malam kelmarin dan saya menyedari air sungai masuk ke dalam rumah kira-kira jam 1 pagi. Tidak banyak barang sempat diselamatkan dan kami sekeluarga hanya mampu menyelamatkan dokumen penting,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Katanya, jambatan batu itu mula dibina sejak sebulan lalu dan pembetung yang dipasang kecil, ia menghalang air sungai apabila hujan lebat.

Dia berharap Mada membaiki semula jambatan baru itu bagi mengelak penduduk terus dilanda banjir.


Hanisun Shafie, 57, berkata dia menyedari rumahnya dinaiki air kira-kira jam 4 pagi ketika keluarganya sedang nyenyak tidur.

“Hujan lebat sejak malam tadi (kelmarin) dan ketika air sungai melimpah masuk dalam rumah, kami sedang tidur.


Apabila Ketika tersedar, air sudah memenuhi rumah dan kami tidak sempat menyelamatkan peralatan rumah kerana air naik cepat,” katanya.


Hanisun berkata, kejadian itu jarang berlaku dalam kampung mereka dan kejadian terbabit adalah kali keempat dalam tempoh 30 tahun dia tinggal di situ.


Jurucakap Mada ketika ditemui berkata, jurutera pihaknya sudah turun memantau masalah di kampung berkenaan dan mendapati jambatan yang didakwa penduduk kampung itu bukan di bawah tanggungjawab Mada.


“Namun, kita tetap akan membantu mengatasi masalah itu secepat yang mungkin dengan kemungkinan memasang pembetung di jambatan itu bagi memudahkan laluan air sungai,” katanya.

Jurutera diserang keluarga penipu




         
KUALA LUMPUR: Niat murni seorang jurutera membayar kos perubatan seorang kanak-kanak yang ditemui di sebuah hospital dibalas ‘racun’ apabila bukan saja tertipu dengan lakonan kanak-kanak itu dan keluarganya, malah bapanya turut bertindak agresif dengan memecahkan cermin keretanya.

Mangsa dikenali sebagai Ravi, 36, dari Sentul dikatakan terjumpa dengan keluarga kanak-kanak itu ketika melawat saudaranya yang sakit di hospital.


Menurutnya, dalam pertemuan pertama itu, bapa mangsa menyatakan mereka sekeluarga tidak mampu membayar kos rawatan anaknya berjumlah RM1,500 menyebabkan kanak-kanak berusia enam tahun itu tidak dibenarkan keluar wad.

Katanya, tanpa usul periksa, dia menyerahkan wang kepada bapa kanak-kanak berkenaan dan memintanya menjelaskan kos perubatan itu segera.


“Namun, dua minggu kemudian, saya bertemu lagi keluarga itu menagih simpati orang lain di hospital sama.


“Terkejut melihat mereka, saya meminta menunjukkan anak mereka yang konon tenat itu.


“Bagaimanapun, mereka memberikan pelbagai alasan dan apabila saya mendesak, mereka terus naik angin dan memaki-hamun kerana helah mereka terbongkar,” katanya kepada Harian Metro, semalam.


Menurutnya, dia yang berang dengan keluarga itu yang tidak mengenang budi hingga sanggup memaki-hamunnya kemudian memarahi mereka sebelum meninggalkan kawasan hospital.

Katanya, dia menyangka tidak akan berjumpa lagi dengan keluarga terbabit.


Bagaimanapun, pada jam 4.30 petang kelmarin, dia mendapati keretanya diekori sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki dan wanita.


“Sebaik mereka mendekati kereta, baru saya perasan mereka adalah keluarga sama yang menipu sebelum ini.


“Tiba-tiba, lelaki berkenaan membuka topi keledarnya lalu menghentak cermin depan kereta saya,” katanya.


Susulan kejadian itu, Ravi membuat laporan di Balai Polis Jinjang.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Buka pintu nampak asap



Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my
         
KUANTAN: “Ketika hendak membuka pintu, saya terdengar bunyi seperti benda terbakar dari bahagian atas rumah sebelum melihat asap tebal menyebabkan saya lari meminta bantuan jiran,” kata Supianti Supandi, 40, mangsa kebakaran membabitkan dua rumah teres di Taman Tas, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, rumah sewa didiami Supianti bersama kakaknya, Norhayatie, 42, dan lima anak mereka berusia antara enam dan 11 tahun mengalami kerosakan teruk terutama pada bahagian bumbung disebabkan kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.


Supianti berkata, ketika kejadian, dia baru pulang selepas menjemput anaknya dari sekolah berhampiran sebelum membuka pintu.

Katanya, dia terdengar bunyi seperti benda terbakar disusuli asap menyebabkan tidak jadi masuk ke rumah lalu berlari meminta pertolongan jiran menghubungi bomba.


“Ketika berlari meminta bantuan jiran, saya sempat melihat api marak di atas bumbung rumah dan tidak mampu berbuat apa kerana keselamatan diri dan anak lebih penting.


“Ketika kejadian, kakak tiada di rumah kerana bekerja dan anaknya masih di sekolah,” katanya yang bekerja di kedai dobi berhampiran.

Supianti berkata, dia bersyukur kerana terselamat walaupun perabot di dalam rumah itu rosak.


“Saya baru enam bulan menyewa di rumah ini dan setiap pagi sebelum keluar bekerja kami sentiasa memastikan peralatan elektrik dan dapur gas ditutup, namun tidak menyangka kejadian ini berlaku,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Mohd Lazim Jaaffar berkata, hasil siasatan awal pihaknya percaya kebakaran berpunca daripada litar pintas akibat sistem pendawaian elektrik yang bermasalah.


Katanya, kebakaran bermula pada bahagian siling sebuah rumah teres sebelum merebak ke rumah sebelah.


“Pihak kami menerima laporan kejadian itu pada jam 1.20 tengah hari dan tiba di lokasi kira-kira dua minit kemudian dengan satu jentera bersama sembilan anggota.


“Api dipadamkan sepenuhnya 20 minit kemudian,” katanya.


Mohd Lazim berkata, ketika kejadian dua rumah itu kosong kerana penghuninya keluar bekerja dan siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta jumlah kerugian dialami mangsa.

Penagih maut kena renjatan


KLANG: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah mati akibat terkena renjatan elektrik ketika mahu mencuri kabel elektrik di pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Tengku Kelana, di sini, semalam.


Mayat lelaki dikenali sebagai M Suthanantha, 36, itu ditemui orang awam yang melalui kawasan itu, kira-kira jam 9 pagi.



Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena renjatan elektrik ketika mahu mencuri kabel berkenaan.




Katanya, ketika ditemui, mayat mangsa masih dalam keadaan elok dengan tangan kanan melekat pada kabel elektrik. “Hasil siasatan mendapati mangsa yang berasal dari Taman Sentosa, di sini, memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan curi,” katanya.



Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini, untuk dibedah siasat

Mayat tanpa identiti ditemui dalam longkang


GEORGETOWN: Mayat seorang lelaki yang tidak diketahui identiti dan dipenuhi najis, ditemui terperosok dalam longkang di Lebuh Cina, di sini, petang kelmarin.


Dalam kejadian jam 6 petang itu, mayat terbabit ditemui pencuci longkang yang kebetulan melakukan kerja pembersihan di kawasan itu.



Sepasukan anggota forensik polis tiba di tempat kejadian dan pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan yang bertubuh kurus, tidak berbaju dan hanya memakai seluar pendek, dipercayai baru beberapa jam mati.




Menurut sumber, polis tidak menolak kemungkinan mangsa cuba memanjat ke bumbung sebuah rumah kedai yang berkunci sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam longkang.



“Setakat ini, kami masih belum mengenal pasti identiti mangsa kerana tiada sebarang dokumen peribadi yang ditemui ketika pemeriksaan dilakukan.



“Kami juga belum menerima laporan kehilangan ahli keluarga dan sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi polis di talian 04-2181822,” katanya.




Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat terbabit.



“Setakat ini kita cuba mengenal pasti identiti mangsa dan mayatnya sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya.






Tumbuk mata tanda amaran

BALIK PULAU: “Saya dalam ketakutan dan membiarkan saja dia (suspek) membuka semua barang kemas dipakai,” kata Fatimah Ahmad, 73, ibu kepada Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff yang disamun ketika tidur di rumahnya di Jalan Baru, di sini semalam.
Dalam kejadian ketika hujan lebat jam 4.30 pagi itu, Fatimah tidur apabila dia dikejutkan seorang lelaki bersenjatakan pisau.

Katanya, lelaki berkenaan mengarahkannya tidak menjerit jika tidak mahu cedera dan menyerahkan semua barang kemas dipakainya.
“Tidak terlintas untuk melawannya, saya hanya berserah kepada Allah dan membiarkan dia mengambil wang tunai RM3,000 dalam beg tangan hasil pemberian tujuh anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurut Fatimah, dia yang ketakutan membiarkan suspek menggeledah rumah dan mengambil rantai emas bernilai RM20,000, rantai tangan, tiga cincin dan telefon bimbit.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan bertindak ganas menumbuk mata kirinya sebagai amaran agar tidak menjerit sebelum melarikan diri melalui pintu belakang.
Katanya, dia kemudian mendapatkan bantuan jiran dan menghubungi anaknya yang tinggal berhampiran selepas pasti lelaki berkenaan keluar dari rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, berdasarkan siasatan, leher mangsa diacukan sebilah pisau menyebabkannya ketakutan lalu menyerahkan semua barangan termasuk barang kemas dan wang tunai dianggarkan bernilai RM33,000 serta dokumen diri kepada suspek.
Katanya, siasatan mendapati suspek dipercayai masuk ke dalam rumah dengan memotong besi tingkap dan menanggalkan dua cermin tingkap nako.

“Mangsa yang tinggal seorang diri dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan sebelum membuat laporan polis jam 6.30 pagi dengan bantuan jiran.

“Kami masih menjalankan siasatan untuk mengenal identiti suspek mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun,” katanya.

Berlakon minum racun

KUCHING: Lakonan ‘olok-olok’ seorang lelaki yang mendakwa meminum racun selepas dikatakan kecewa selepas berlaku pertengkaran dengan isteri, bukan saja menimbulkan suasana panik ahli keluarganya, malah turut membuang masa kakitangan perubatan di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, kelmarin.
Lelaki berusia 51 tahun dari sebuah kampung di Padawan itu dikejarkan ke hospital oleh ahli keluarganya, apabila mengadu tidak sihat selepas mendakwa meneguk kopi yang kononnya dicampur racun sebaik selesai makan malam di rumahnya, kira-kira jam 8 malam.

Sumber berkata, perbuatan itu hanyalah lakonan semata-mata selepas pihak hospital mendapati tiada bahan beracun ditemui dalam tubuh lelaki itu selepas ujian darah dijalankan.
Malah, katanya, lelaki terbabit melakukan tindakan itu bagi menarik perhatian ahli keluarganya selepas bertengkar dengan isterinya ketika menikmati makan malam.

“Keadaan panik itu berlaku kerana mangsa sebelum ini pernah memberitahu anak lelakinya itu adalah makan malam terakhirnya sebelum ke dapur mengambil secawan kopi. “Keluarga mangsa menyangka dia meminum racun kerana mengadu kurang sihat sebelum dibawa ke hospital.

“Keadaan ini menyebabkan ahli keluarganya bimbang apabila seorang daripada anaknya menyangka bapanya mencampur racun dalam kopi yang diminum,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keluarga lelaki berkenaan lega apabila doktor yang merawatnya memberitahu ujian darah dilakukan tidak menjumpai sebarang bahan beracun dalam tubuhnya.

“Malah, lelaki itu turut mengaku cecair dicampur dalam air kopi itu sebenarnya hanya air masak,” katanya.

Pesakit mental hilang

JOHOR BAHRU: Seorang bapa dari Pasir Gudang di sini, merayu kerjasama orang ramai mengesan anak lelakinya yang mengalami masalah mental, Noryaznizan Mohd Noor, 31, yang menghilangkan diri sejak sebulan lalu.
Mohd Noor Abdul Samad, 58, berkata Noryaznizan, anak sulung daripada lapan beradik itu mengalami masalah mental sejak berusia 20 tahun akibat kemalangan dan keluar dari rumah mereka di Taman Nusa Damai, Pasir Gudang pada pagi 25 Mei lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Balai Polis Masai, Inspektor Ramatasan Harikrishnan di talian 019-9201020 bagi membantu siasatan.

Budak tadika dirotan di kepala

IPOH: Akibat bising dalam kelas, seorang budak lelaki berusia enam tahun dirotan di kepala oleh guru tadika di Taman Canning, di sini, menyebabkan kanak-kanak itu trauma dan enggan ke sekolah.
Dalam kejadian pagi Isnin lalu, Eswin Khoo Mun Jun, mengadu sakit di kepala selepas pulang dari tadika yang terletak berhampiran rumahnya.

Bapa kanak-kanak itu yang juga ahli perniagaan, Khoo Kian Heng, 35, mendakwa anaknya mengadu sakit di kepala dan mendesak anaknya menceritakan perkara sebenar sebelum memberitahu dia dirotan di kepala oleh guru.
Menurutnya, dia tidak menyangka guru wanita berkenaan tergamak memukul anaknya di kepala.

“Saya mengaku anak saya sedikit nakal, namun guru berkenaan tidak patut memukulnya di kepala kerana boleh menyebabkan kecederaan serius termasuk menjejaskan saraf otak serta mendatangkan trauma kepadanya.

“Saya tidak kisah anak saya di rotan di tangan jika dia nakal, tetapi bukan di kepala kerana ia bahagian tubuh paling sensitif,” katanya ketika ditemui selepas membuat aduan di Pusat Khidmat Aduan Bercham di sini, semalam.
Katanya, dia berjumpa dengan guru berkenaan sehari selepas kejadian dan guru itu mengaku memukul kepala anaknya menggunakan rotan.

Kian Heng berkata, guru besar sekolah itu sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu, tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap guru berkenan menyebabkan dia membuat satu laporan di Balai Polis Simee, di sini.

Laung takbir ketika ditahan

PENGSAN...wanita warga asing yang pengsan ketika ditahan, semalam.
PENGSAN...wanita warga asing yang pengsan
 ketika ditahan, semalam.

PELABUHAN KLANG: Seorang wanita warga Indonesia menjerit sambil melaungkan ‘Allahuakbar’ selepas ditahan Jabatan Imigresen dalam Ops 6P di sebuah spa dalam hotel di Persiaran Raja Muda Musa, di sini, semalam.

Wanita berusia 24 tahun itu antara 30 warga asing termasuk enam lelaki warga Myanmar ditahan dalam operasi diketuai Penolong Pengarah Imigresen Pelabuhan Klang, Tarmizi Talib Ali, jam 3.30 petang.

Turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 55 dan 52 tahun dipercayai penjaga premis berkenaan. Selain wanita terbabit, seorang lagi wanita warga Indonesia berusia 24 tahun pengsan dalam lori Jabatan Imigresen kerana terlalu takut selepas ditahan. Timbalan Pengarah Imigresen Selangor, Azrul Izham Hamzah berkata, operasi itu menahan 18 warga Indonesia, China (enam) dan enam warga Myanmar berusia 22 hingga 30 tahun. “Semua wanita terbabit bekerja sebagai tukang urut di spa hotel berkenaan dan disyaki menawarkan khidmat seks manakala enam lelaki itu pula bekerja sebagai penjaga spa berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Azrul berkata, spa terbabit mengenakan caj RM68 sejam untuk satu sesi urutan selain menyediakan khidmat seks pakej berharga RM188, RM480 dan RM600 bergantung kepada usia dan rupa paras wanita itu. Beliau berkata, pihaknya membuat intipan selama seminggu di premis itu selain mendapat maklumat awam.

“Jika dilihat kepada kehidupan mereka, kami percaya mereka mangsa sindiket pemerdagangan orang kerana hidup berkurung dan diawasi setiap masa dan penjaga tidak membenarkan mereka tinggal di luar.

“Mereka hidup dalam keadaan bersesak berikutan ditempatkan beramai-ramai di dua bilik hotel yang dijadikan rumah mereka,” katanya Azrul berkata, dua lelaki tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010).
Semua warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Bisnes laris hanya tiga hari

CONTOH...Labu menunjukkan contoh kertas A4 seperti digunakan suspek.
KUALA LUMPUR: Dengan bermodalkan sekeping kertas A4 tertera tulisan tangan berbahasa Arab kononnya boleh dijadikan azimat, seorang lelaki warga Pakistan berusia 30-an dikatakan sudah menipu sekurang-kurangnya 10 peniaga tempatan yang mahu menggunakan kertas berkenaan untuk melariskan perniagaan masing-masing.
Difahamkan, lelaki terbabit menjual kertas azimat itu dengan harga RM30,000 setiap satu sejak enam bulan lalu sebelum menghilangkan diri dan gagal dikesan hingga kini. 
Suspek juga bijak meyakinkan mangsa untuk mendapatkan azimat berkenaan dengan memberi tempoh tiga hari untuk cuba menggunakannya sebelum menuntut bayaran selepas tamat tempoh berkenaan.

Selepas mendapatkan bayaran, suspek menghilangkan diri manakala ‘azimat' disimpan peniaga juga lesap menyebabkan perniagaan mangsa merosot mendadak berbanding sebelumnya, malah ada juga segelintir peniaga yang gulung tikar.

Dalam kejadian terbaru, seorang peniaga dikenali sebagai Labu, 20, membuat laporan di Balai Polis Puchong, di sini, kelmarin selepas mendakwa diperdaya lelaki terbabit hingga kerugian RM30,000.

Terpaksa tidur di dalam kereta

HASRIN menunjukkan bagaimana dia tidur di dalam kereta ekoran
bimbang ancaman perompak yang memecah masuk rumahnya
di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri terpaksa tidur di dalam kereta pada waktu malam ekoran trauma selepas rumah mereka di Flat 700, Pandan Perdana, Cheras di sini dipecah masuk sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu.
Rumah di tingkat empat itu baru disewa pada awal bulan ini dan kejadian pertama berlaku hanya tiga hari selepas mereka mendiaminya.
Mangsa, Hasrin Abdullah, 37, (gambar kecil) berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 3.50 pagi pada 4 Julai lalu dan menyebabkan anak perempuannya cedera di leher akibat dikelar oleh perompak yang turut melarikan satu set komputer dan beg tangan.
“Kami hanya menyedari kejadian tersebut selepas mendengar jeritan anak saya yang ketika itu berada di dalam bilik tidurnya.
“Saya dan isteri terkejut apabila melihat anak saya yang berumur 17 tahun berlumuran darah kerana dikelar menggunakan pisau yang diambil suspek dari dapur rumah kami,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Maut selepas dua bulan koma

NASRUR meninggal dunia malam kelmarin selepas dua bulan
dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.

KOTA BHARU – Nasrur Alimin Mohamad, 34, yang ditembak dua lelaki berpakaian serba hitam di Taman Sentosa Jaya, Badang dekat sini dua bulan lalu meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian malam kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, mangsa meninggal dunia pada pukul 10.45 malam selepas tidak sedarkan diri selama dua bulan.
Menurut beliau, dalam kejadian pada 3 Mei lalu, Nasrur ditemui cedera parah akibat terkena beberapa das tembakan di betis kanan dan ditetak di kepala serta pergelangan tangan kanan selepas keluar dari kedai runcit yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.
Mangsa yang bekerja sebagai pembekal peralatan makmal di hospital di sini singgah di kedai runcit tersebut untuk membeli kad tambah nilai prabayar dan gula-gula.
Bagaimanapun, Mazlan memberitahu, belum ada tangkapan dibuat berhubung kejadian tersebut.
“Polis sedang menjejaki suspek yang sudah dikenal pasti terlibat dalam kejadian menembak Nasrur,” kata beliau.

Cuba reka ajaran sesat sendiri



KAWASAN rumah Khalil Afandi yang sunyi ketika dikunjungi wartawan di Seri Kembangan semalam.


KUALA LUMPUR – Kematian seorang blogger, Khalil Afandi Abd. Hamid selepas terkena tembakan di tangan dan bawah perut Isnin lalu menyebabkan satu demi satu sisi gelap lelaki itu dibongkar dengan terbaharu dia disyaki cuba menubuhkan kumpulan ajaran sesat sendiri berdasarkan pemikiran ekstremnya.
Sumber memberitahu, siasatan lanjut polis terhadap bapa kepada seorang anak tersebut mendapati dia tidak cenderung kepada mana-mana kumpulan ajaran sesat yang sedia ada di negara ini.
Katanya, pemerhatian di laman blog milik Khalil Afandi, jayanegara1234.blogspot.com mendapati lelaki itu masih tercari-cari ideologi songsangnya tetapi menggunakan nama Imam Mahdi sebagai langkah awal menyokong tindakan melampaunya itu.
“Pemantauan kami mendapati Khalil Afandi bukan seorang pengikut ajaran sesat. Sebaliknya dia mula berjinak-jinak untuk memperjuangkan ‘sesuatu’ berdasarkan pemikiran sendiri.
“Blog milik si mati juga baru beroperasi sejak Mei lalu dan gaya penulisannya semata-mata hendak menarik minat pembaca blog Jaya Negara. Bagaimanapun, dia masih belum mempunyai pengikut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Selasa lalu, Kosmo! melaporkan dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, Khalil Afandi, 47, yang menggelarkan dirinya sebagai Imam Mahdi mati selepas terkena tembakan di bawah perut dan tangan setengah jam kemudian manakala rakannya, Muhdalina Ahmad, 28, cedera di paha.