Search This Blog

Monday, July 9, 2012

Dua mengamuk di JPM, seorang mati



Sepasang suami isteri mengamuk di JPM
Pemandangan di kawasan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri. – Foto ihsan Cari Malay Forum
Dua mengamuk di JPM, seorang mati
Dua suspek yang mengamuk mengalami kecederaan selepas ditembak polis. – Foto Ihsan News Media Network
[DIKEMAS KINI JAM 7.15 PETANG] PUTRAJAYA - Seorang lelaki mati ditembak selepas mengamuk dengan membawa pedang dan merosakkan kenderaan polis dan orang awam di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, petang tadi.
Turut ditembak rakannya seorang wanita.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, ketika sebahagian kakitangan JPM pulang daripada waktu makan tengah hari, pasangan terbabit cuba menceroboh bangunan dengan membawa pedang samurai.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan seorang daripada suspek yang ditembak ketika membuat kecoh di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri petang tadi dan meninggal dunia.
 
Satu kenyataan akhbar berhubung maklumat lanjut kes akan dimaklumkan sebentar lagi oleh Pusat Media Kuala Lumpur, katanya.
Lelaki bertubuh sasa dan tidak berbaju itu bersama pasangannya yang berhijab hitam kelihatan masuk di pondok pengawal keselamatan pada pukul 2.30 petang.
Difahamkan, pengawal keselamatan cuba menghalang mereka,namun kedua-duanya bertindak ganas dan memecahkan sebuah Perodua Kancil dan dua Proton Waja di tempat letak kereta tidak jauh dari bangunan terbabit.
Cubaan polis untuk memujuk pasangan terbabit daripada bertindak lebih ganas tidak diendahkan, sehingga memaksa pihak berkuasa melepaskan tembakan dan mengenai mereka.

Suspek lelaki cedera dibahagian tangan kanan manakala pasangannya dibahagian peha kiri.

Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Polis tahan 2 kenalan Uncle Seekers bantu siasatan

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan terhadap pengkaji aktiviti paranormal, Syed Abdullah Syed Hussesin Al-Attas, yang mengendalikan laman blog www.uncleseekers.blogspot.com berhubung kenyataannya yang didakwa memfitnah Sultan Johor, Sultan Ibrahim. 

Jabatan Siasatan Jenayah Johor dalam kenyataan hari ini, berkata kedua-dua lelaki berumur 23 dan 24 tahun yang merupakan kenalan Syed Abdullah itu ditahan pada jam 9.30 malam tadi, di Jalan Pantai Kundor, Tanjung Kling, Melaka. "Kedua-dua mereka ditahan sepasukan anggota polis yang diketuai Asisten Superintendan Wong Chee Mean dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan. Polis turut merampas beberapa peralatan komputer daripada mereka," kata kenyataan itu. 
Syed Abdullah, 46, atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers kini ditahan reman bersama seorang wanita berumur 26 tahun sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972. 

Kedua-dua mereka ditahan di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan, pada jam 9.45 malam, Rabu lalu. - BERNAMA 

Lelaki warga Ireland maut dalam kemalangan di Jalan Kiulu-Pukak

TUARAN: Seorang lelaki warga Ireland maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori di KM 6.3 Jalan Kiulu-Pukak pada kira-kira 11.25 pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Zaharuddin Rasid berkata, motosikal yang ditunggang oleh mangsa dikenali sebagai Desmond Francis Walsh, 48, bertembung dengan sebuah lori yang dipandu oleh orang tempatan. Beliau berkata, lori berkenaan dipercayai sedang dalam perjalanan dari Pukak menuju ke pekan Kiulu sebelum bertembung dan melanggar motosikal yang datang dari arah bertentangan. 
Zaharuddin berkata, kejadian itu berlaku di satu selekoh sederhana tajam dalam keadaan cuaca baik. 

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat. 

Zaharuddin berkata, pemandu lori berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - BERNAMA

Pemandu maut leher kena toreh

Subang Jaya: Seorang pemandu lori warga Indonesia dibunuh dengan lehernya ditoreh senjata tajam hingga tembus ke bahagian mata di USJ 21, di sini, semalam. 

Dalam kejadian jam 6.30 pagi semalam, Yusaini Safari, 43, ditemui mati rakannya selepas dipercayai diserang sekumpulan lelaki di sebuah kontena yang dijadikan kediaman kongsi tapak pembinaan sebuah jejambat. Hasil pemeriksaan polis mendapati mangsa dilaporkan terbunuh akibat kecederaan serius pada mukanya akibat ditoreh pada leher hingga ke mata mangsa menggunakan senjata tajam jenis kerambit. 
Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek yang melakukan serangan mengenali mangsa. 

“Siasatan awal mendapati kejadian bukan bermotifkan samun kerana barang berharga mangsa seperti beg duit dan telefon bimbit berada di sisi mangsa, namun kita tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam,” katanya.

MUTAKHIR Lelaki maut terjatuh ketika cat bangunan

GEORGETOWN: Seorang lelaki warga Myanmar maut akibat terjatuh ketika sedang mengecat bangunan di Jalan Burma, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pada kejadian jam 6.30 petang itu, Abdul Rahman Sultan Ahmad, 54, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan bahunya. "Mangsa dipercayai tergelincir dari pelantar tempatnya berdiri ketika sedang melakukan kerja mengecat dinding sebuah bangunan milik syarikat swasta berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 
Gan berkata, mayat lelaki berstatus pelarian itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan siasatan awal mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. - BERNAMA 

Penduduk gempar penemuan separuh badan manusia di atas jalan

Penduduk gempar penemuan separuh badan manusia di atas jalan - Semasa - Sinar Harian:


PETALING JAYA - Penemuan mayat separuh badan yang terkeluar dari longkang berhampiran pasar raya Atria di Jalan SS22/21 di sini hari ini akibat limpahan air hujan menggemparkan penduduk sekitar.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata mayat lelaki separuh badan dari paras pinggang hingga ke pergelangan kaki itu ditemui orang ramai pada 12 tengah hari tadi sebelum memaklumkan kepada polis.


"Mangsa dipercayai dihanyutkan ke longkang terdekat berikutan hujan lebat dan terkeluar akibat limpahan air longkang ke jalan," katanya kepada Bernama melalui sistem pesanan ringkas, hari ini.


Beliau berkata mangsa memakai seluar jeans berwarna biru dan pihak polis masih mengesan sebahagian lagi mayat dengan menggunakan khidmat unit pengesan anjing K9.


Arjunaidi berkata berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai mati lebih dari 24 jam sebelum ditemui dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat. - Bernama


'via Blog this'

Cubaan seludup pil Eramin 5 bernilai RM58.28j dipatahkan

Oleh AZIAN ABD AZIZ
PELABUHAN KLANG 9 Julai - Kastam mematahkan cubaan menyeludup masuk pil Eramin 5 bernilai RM58.28 juta melalui Pelabuhan Barat di sini, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Penguat Kuasanya, Datuk Matrang Suhaili berkata, dadah yang disembunyikan di dalam kontena dan diikrar membawa Chewing Tobacco dan Agrabathi (tembakau) itu dipercayai datang dari India dan sepatutnya mendarat di Hong Kong.
Sehubungan dengan itu, katanya, tiga warga tempatan termasuk seorang wanita dan dua warga asing ditahan di Klang dan Pulau Pinang berhubung rampasan tersebut. - UTUSAN

Patah bahu langgar anak lembu



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Julai 2012
Patah bahu langgar anak lembu
Azlina (kiri) melihat keadaan Mohd Faiz sambil ditemani rakannya, Iqbal Mohd Nasir.
BALING - Seorang penunggang motosikal dari Kampung Charuk Sikin, Mukim Kupang patah bahu kanan dan cedera di bahagian kepala setelah terlanggar dua ekor anak lembu di Jalan Charuk Sikin kira-kira jam 9 malam, kelmarin.

Mohd Faiz Fahmi Mohd Asroh,19, terpaksa menerima lebih 10 jahitan di bahagian kepala setelah dia terseret sejauh 5 meter akibat pelanggaran itu.

Menurutnya, dia dalam perjalanan ke pasar malam di Kupang sebelum merempuh dua ekor anak lembu yang berada di tengah jalan.

Kawasan jalan yang gelap membuatkan Mohd Faiz tidak dapat dapat melihat dua ekor anak lembu itu sehingga berlakunya rempuhan.

“Saya memang tak perasaan ada lembu di atas jalan. Saya cuma rasa terlanggar sesuatu yang besar sebelum melambung dan terseret di atas jalan.

“Kemudian, saya nampak dua ekor anak lembu yang mati berada berdekatan motosikal saya. Selepas itu, barulah saya sedar saya melanggar anak lembu,” katanya.

Keadaan itu membuatkan Mohd Faiz mengalami pendarahan teruk di bahagian kepala selain keadaan belakang badan cedera.

“Saya cuba bangun, tetapi tidak boleh. Seluruh badan berasa kebas. Saya hanya mampu melambai meminta pertolongan orang ramai yang melalui jalan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Faiz berkata, dia terpaksa menahan kesakitan selama setengah jam kerana ada pengguna jalan raya yang langsung tidak mengendahkan
dirinya.

“Ada beberapa motosikal yang lalu, tetapi mereka hanya lihat, kemudian terus beredar. Saya cuba melambai kepada mereka, tetapi mereka langsung tidak berhenti,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana seorang penduduk yang melalui jalan itu segera membantu membawanya ke hospital.

Anak sulung dari empat adik beradik itu dibawa ke Hospital Baling untuk menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Ibunya, Azlina Aziz,34, berkata, dia tidak menyangka kemalangan yang berlaku itu melibatkan anaknya.

“Jiran-jiran ada mengatakan terdapat kemalangan di kawasan jalan itu. Saya pun keluar ke rumah untuk lihat apa yang terjadi sehinggalah ada yang menghubungi saya mengatakan kemalangan itu melibatkan anak saya.

“Kemudian, saya terus bergegas ke tempat kejadian dan mendapati Mohd Faiz dibawa ke Hospital.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dia tidak mengalami kecederaan parah,” katanya.

Jalan Charuk Sikin kerap berlaku kemalangan melibatkan lembu dan babi, setakat hari ini, lebih dari empat kemalangan melibatkan haiwan itu dilaporkan di kawasan itu tahun ini.

Murid tahun 6 maut, motosikal ditunggang langgar pokok




9 Julai 2012
KUANTAN - Seorang murid Tahun Enam yang menunggang motosikal maut selepas kenderaan itu terbabas dan melanggar sebatang pokok kelapa sawit dalam kejadian di Felda Bukit Goh, di sini semalam.
Dalam kejadian 11.15 pagi itu, Muhammad Alif Idham Mohd Adahar, 12 dari Kampung Pak Ngah Aziz disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata kejadian itu bagaimanapun hanya menyebabkan rakannya yang membonceng, Muhammad Shahfiq Tuhashim, 12, cedera ringan.
"Kejadian berlaku ketika dua rakan tersebut dalam perjalanan ke sebuah ladang. Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal ketika keluar dari simpang empat di jalan berkenaan, menyebabkannya terbabas dan melanggar pokok kelapa sawit," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  - Bernama

Ejen insurans didakwa tipu teman wanita babitkan RM100,000




9 Julai 2012
KUALA LUMPUR - Seorang ejen insurans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menipu teman wanitanya membabitkan RM100,000 dua bulan lepas.

Mohd Mahadir Othman, 34, didakwa menipu mangsa yang berusia 30 tahun, sehingga mendorong wanita yang bekerja sebagai guru di sebuah sekolah swasta itu memasukkan wang RM100,000 bagi tujuan pelaburan di Bank CIMB, sedangkan tertuduh tidak memasukkan wang itu ke dalam pelaburan.

Tertuduh yang tinggal di Kampung Pandan di sini didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat 19 Menara Bumiputra Commerce, 11 Jalan Raja Laut, Dang Wangi di sini pada 14 Mei lepas.

Mohd Mahadir, yang ditangkap pada 2 Julai lepas, dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Ogos depan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izuddin Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Mohsin Abd Kader.- Bernama

Polis temui 10 kelonsong peluru di rumah ahli korporat




9 Julai 2012
PETALING JAYA - Polis menemui 10 kelongsong peluru berukuran 9mm di rumah seorang ahli korporat setelah seorang suspek memakai topeng melepaskan tembakan secara rawak ke arah rumah ahli korporat itu dalam kejadian di Subang Jaya SS19, awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Supt Tan Ah Chua berkata dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.45 pagi, mangsa bersama keluarganya, dua orang tetamu dan tiga pekerja sedang tidur.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang suspek memakai topeng dilihat melepaskan 10 das tembakan secara rawak dan mengakibatkan kerosakan ke arah dua buah kereta mewah serta kesan tembakan pada dinding manakala tingkap rumah pecah.

"Ketika kejadian, pengawal keselamatan yang sedang bertugas di rumah mangsa menyangka bunyi tembakan yang dilepaskan adalah bunyi mercun sebelum menyedari itu adalah amaran daripada suspek dan terus menghubungi polis selepas kejadian berlaku," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, hari ini.

Tan berkata polis tidak menolak kemungkinan ahli korporat dan keluarganya menjadi mangsa dalam kes ugutan bunuh.

Polis masih menyiasat punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, katanya. - Bernama

Pelajar dakwa gegendang telinganya cedera ditampar senior




9 Julai 2012
ALOR SETAR - Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di sini mendakwa gegendang telinganya cedera selepas ditampar oleh pelajar senior di asrama sekolah itu, Khamis lalu.

Mangsa, Mohamad Hazim Mohamad Zaid, 13, berkata kejadian itu berlaku selepas seorang senior menampar pipinya atas kesalahan kecil kerana tidak mengemas tempat tidurnya Rabu lalu.

Selepas kejadian itu, mangsa yang mengalami pening kepala, mata kabur dan pendengaran kurang jelas mengadu kepada ibunya selepas pulang ke rumah di Kampung Rambai, Simpang Empat, dekat sini pada petang hari kejadian.

Dia dibawa ke klinik Tanah Merah, Pendang untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dan dibawa ke Hospital
Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ibu mangsa, Norhafizah Puteh, 39, berkata doktor mengesahkan bahawa gegendang telinga sebelah kanan anaknya itu pecah dan mengalami pendarahan akibat ditampar dengan kuat dan dinasihatkan mendapatkan rawatan di hospital.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kedah (JPN) Mansor Lat berkata bahawa beliau tidak boleh memberi sebarang komen kerana masih belum mendapat sebarang maklumat berhubung kes tersebut.

"Saya sekarang ada di Putrajaya dan masih belum dimaklumkan tentang kes ini, tapi saya akan siasat kes ini selepas selesai kerja saya di sini nanti" katanya selepas dihubungi. - Bernama

Sindiket dadah Pulau Pangkor tumpas



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Julai 2012
LUMUT - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Pulau Pangkor, di sini, kelmarin, apabila seorang `tauke dadah’ besar dicekup selepas dikesan menjadikan sebuah rumah sebagai markas membungkus dadah.

Suspek yang berusia 40-an dikatakan terkenal di kalangan penagih dadah dan pelancong asing di pulau peranginan itu berikutan mampu membekalkan pelbagai jenis dadah seperti syabu, heroin dan ganja.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, kegiatan suspek berjaya dibongkar pada jam 12.30 tengah hari, selepas pihak polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung mendapat maklumat sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, polis melakukan intipan sebelum mendapati suspek berkeliaran dalam keadaan mencurigakan di hadapan rumah disewa khas di Jalan Tepi Laut, Sungai Pinang Besar, Pulau  Pangkor.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis bagaimanapun bertindak melarikan diri sebelum dikejar beberapa anggota polis. Suspek yang cuba melawan berjaya ditumpaskan sebelum digari. “Polis kemudian melakukan pemeriksaan pada tubuh suspek selain beg khas yang diletakkan pada bahunya.

Hasil pemeriksaan kemudian menemui empat paket plastik kecil berisi serbuk dipercayai dadah heroin seberat lebih 229 gram,” katanya.

Menurutnya, polis turut menemui paket plastik berisi lima ketulan kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamin atau syabu seberat lebih 60 gram.

“Susulan penahanan suspek itu, polis bertindak menyerbu rumah disewa lelaki berkenaan sebelum mendapati tiga lelaki warga Myanmar sedang melakukan kerja membungkus dadah di dalam kediaman berkenaan.

“Ketiga-tiga suspek warga asing itu tidak sempat melarikan diri dan diberkas. Pemeriksaan lanjut kemudian menemui paket plastik berisi dadah heroin seberat kira-kira 50 gram,” katanya.

Difahamkan suspek yang juga seorang penganggur menjadi pembekal utama dadah di pulau berkenaan selain menjadikan tiga warga asing itu sebagai pekerjanya untuk membungkus dan menghantar dadah berkenaan.

“Semua suspek dibawa ke IPD Manjung untuk ditahan reman mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah berbahaya 1952. Ujian air kencing terhadap suspek turut mendapati mereka positif dadah, “ 

Anak sulung sanggup halau ibu, dakwa rumah mendiang bapa miliknya



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Julai 2012
Anak sulung sanggup halau ibu, dakwa rumah mendiang bapa miliknya
Lachmiya (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat ke atas anak sulungnya sambil ditemani Pragash.
KERIAN - Seorang balu tidak menyangka kepercayaan terhadap anak sulungnya untuk menguruskan soal kewangan keluarga akhirnya memakan diri apabila sejumlah lebihan wang lelongan rumah berjumlah RM78,979 dipercayai dilarikan tanpa sebarang penjelasan.

Balu malang berkenaan, P Lachmiya, 64, berkata, pada 17 November tahun lalu, rumah milik mendiang suaminya di Taman Mewah, Bagan Serai dilelong oleh sebuah bank tempatan dengan harga RM120,000 apabila pihaknya tidak mampu membayar bayaran ansuran bulanan rumah tahun menetap di situ.

Menurutnya, ketika dilelong, pihaknya menanggung tunggakan ansuran bulanan sejumlah RM41,021 dan setelah urusan lelongan selesai dijalankan, wang baki lelongan berjumlah RM78,979 dipulangkan semula kepada mereka oleh bank.

“Setelah kematian mendiang suami, kami sekeluarga bersetuju menyerahkan kuasa menguruskan harta keluarga kepada anak sulung saya dan saya sendiri.

“Apabila baki wang lelongan rumah hendak dipulangkan, pihak bank mengarahkan kami membuka akaun simpanan untuk memudahkan urusan pemindahan wang.

“Oleh itu, anak sulung saya mencadangkan akaun simpanan dibuka atas namanya dan berjanji akan menyerahkan separuh daripada wang itu kepada saya untuk kegunaan keluarga,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini.

Lachmiya berkata, setelah wang dipindahkan ke dalam akaun, dia masih tidak mendapat sebarang maklum balas mengenai status wang itu, malah turut tidak menerima satu sen pun daripada anaknya.

Bagaimanapun, penipuan anak sulungnya terbongkar apabila anak ketiga, N Pragash membuat semakan mengenai akaun simpanan abangnya di bank dan mendapati wang itu dikeluarkan sedikit demi sedikit dengan menggunakan kad mesin pengeluaran wang (ATM).

“Semakan terkini menunjukkan baki wang di dalam akaun hanya tinggal sebanyak RM500 sahaja dan apabila kami sekeluarga pergi ke rumah anak sulung saya, kami dihalau malahan saya hampir dipukulnya dengan kasut setelah dia mendakwa rumah itu miliknya.

“Saya kesal dengan sikap anak sulung saya yang tidak berhati perut dan mementingkan diri walaupun dia menyedari kami sekeluarga hidup susah dan terpaksa menyewa rumah sempit kerana tidak berkemampuan,” katanya.

Sementara itu, anak ketiga Lechmiya, Pragash memberi tempoh selama dua minggu kepada abang sulungnya untuk mengembalikan wang milik emaknya sekiranya tidak mahu berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Jika dia masih berdegil, tindakan mahkamah akan difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh melalui peguam kami,” katanya.

Tak sempat sambut hari jadi



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Julai 2012
Tak sempat sambut hari jadi
MOHD ASRI SAMSUDIN
Tak sempat sambut hari jadi
Ahli keluarga mangsa berkumpul di Jabatan Forensik HSB.
ALOR SETAR - “Setiap tahun pada hari ulang tahun kelahirannya, saya akan salam dan cium tangannya sambil mengucapkan selamat hari lahir namun tahun ini semuanya tinggal kenangan,” kata Amirullah Mohd Asri, 15, yang merupakan anak ketiga dari empat beradik mangsa kemalangan langgar lari.

Mangsa, Mohd Asri Samsudin, 46, dipercayai menjadi mangsa langgar lari apabila motosikal yang ditunggang dari arah Langgar ke Kuala Nerang dilanggar sebuah kereta lalu terbabas dan kemudiannya mangsa dirempuh sebuah motosikal yang tidak sempat mengelak.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam kelmarin ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke rumah ibunya Kampung Tok Salam, Jalan Naka.

Anak sulung mangsa, Amir Zaid, 18, yang kini sedang menjalani latihan industri di Pulau Pinang berkata, dia mengetahui kejadian itu setelah menerima panggilan daripada ahli saudaranya.

Menurutnya, bapanya baru sahaja menjalani pempembedahan jantung tiga bulan lalu kerana mengalami masalah lemah jantung.

“Saya terkilan kerana setiap tahun kami akan mengucapkan selamat hari lahir kepada ayah namun tahun ini hasrat itu tidak kesampaian. “Saya juga terkilan kerana dia tidak sempat menghabiskan ubat yang baru saya beli kepadanya minggu lalu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, semalam.

Amir Zaid turut terkilan kerana pemandu kereta yang melanggar motosikal bapanya tiada di tempat kejadian.
Dia berharap sekiranya ada saksi kejadian ataupun pemandu kenderaan itu tampil ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asistan Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian itu.

Adzaman berkata, kejadian berlaku di Jalan Baru Langgar, Pokok Sena berhampiran lampu isyarat Tanjung Musang dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kemalangan ini melibatkan dua kenderaan dan dipercayai pemandu kereta tiada di tempat kejadian dan belum membuat laporan. “Kita juga mempercayai kejadian ini kes langgar lari dan meminta saksi memberikan kerjasama untuk tampil ke balai polis,” katanya.

Bukan niat hendak jual anak



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Julai 2012
Bukan niat hendak jual anak
Na menceritakan masalah yang dihadapinya sehingga ada sesetengah penduduk kampung mengatakan dia dan suami cuba menjual anak.
PERLIS – Akibat desakan hidup, seorang ibu yang menetap di sini terpaksa menyerahkan anak yang sedang dikandungkannya kepada keluarga lain.

Ibu kepada dua anak yang ingin dikenali sebagai Na berkata, dia yang ketika itu menghadapi masalah kewangan kerana suami yang tidak dapat bekerja akibat sakit jantung membuatkan dia berniat untuk menyerahkan anak di dalam kandungannya kepada sepasang suami isteri di Kedah.

Menurutnya, dengan kos perubatan dan sara hidup mereka sekeluarga, Na mengambil keputusan terbabit setelah sepasang suami isteri dari Sungai Petani, Kedah datang berjumpanya dengan tujuan ingin mengambil anak yang bakal dilahirkannya untuk dibesarkan.

“Saya berniat memberikan anak yang di dalam kandungan saya kepada mereka, saya berharap mereka dapat menjaganya seperti anak mereka sendiri dengan memberi didikan agama dan pelajaran yang cukup.

“Namun hati ibu mana yang sanggup memberikan anak yang dikandungkan selama sembilan bulan kepada keluarga lain setelah bersambung nyawa melahirkannya?,” katanya kepada Sinar Harian.

Na berkata, pasangan terbabit memberinya wang sebagai perbelanjaan harian dan menerima wang itu bagi menampung keperluan harian keluarganya.

Katanya, dia mengakui menerima wang daripada pasangan terbabit, namun ada sebahagian penduduk kampung menganggap dia dan suami ingin menjual anak yang dikandungkannya.

“Kini, suami saya baru sihat dan mula bekerja, tujuan saya memberikan anak kepada pasangan terbabit kerana saya berharap mereka memberikan
kasih sayang dan menjaga anak saya dengan baik, itu sahaja.

Lagipun, saya dimaklumkan bahawa pasangan terbabit tidak mempunyai cahaya mata walaupun mereka sudah berkahwin selama 15 tahun.

“Saya tidak pernah berniat untuk menjual anak saya. Namun, kini saya serba salah untuk menyerahkannya kerana dengan pendapatan suami yang tidak menentu, saya bimbang kami tidak dapat memberikan yang terbaik kepada anak-anak kami nanti,” katanya.

Hasrat konvoi bertukar tragedi



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Julai 2012
Hasrat konvoi bertukat tragedi
Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
KUALA LUMPUR - Kegembiraan enam sahabat untuk berkonvoi ke Port Dickson bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka terbunuh manakala seorang cedera parah dan empat lagi cedera ringan dalam kemalangan di Kilometer 301.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, kejadian jam 2.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada seorang penunggang motosikal yang gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

"Motosikal yang sedang berpusing itu dirempuh motosikal dinaiki mangsa, Akif Fahmi Mohd Shabudin dan kemudian tiga motosikal lain turut terbabit dalam kemalangan itu," katanya.

Menurutnya, mangsa yang berusia 18 tahun itu berasal dari Desa Petaling, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lima rakannya di rawat di Hospital Serdang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan," katanya

Pemilik restoran rugi RM7,000



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Julai 2012
KOTA DAMANSARA – Seorang pemilik restoran di Dataran Sunway dekat sini kerugian besar selepas wang tunai RM7,000 yang baru dikeluarkan dari bank dilarikan dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian malam, Jumaat lalu.

Mangsa berusia 40 tahun tidak menyedari keretanya diekori dua suspek yang bertindak mengarahkannya masuk ke dalam restoran dan meminta dia menyerahkan beg yang mengandungi wang tunai.

Menurut sumber, mangsa yang panik takut ditetak bertindak menyerahkan beg itu kepada seorang penyamun itu.

“Kedua-dua suspek berusia dalam awal 20-an kemudiannya melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan dan kes masih disiasat.

Polis Besut buat operasi besar-besaran



BESUT - Sebanyak 649 kenderaan diperiksa dalam tempoh 24 jam dalam operasi besar-besaran membabitkan semua pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Besut kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua kenderaan tersebut diperiksa dalam beberapa operasi yang dijalankan bermula jam 1 pagi hingga 11.59 malam kelmarin.

Menurutnya, itu sebanyak 327 motosikal diperiksa, kereta (251), lori (19), van (29), bas (2) dan lain-lain sebanyak 21 buah.

“Operasi yang dijalankan kelmarin adalah Ops Cantas, Lejang, Sekatan Jalan Raya Bergerak, Ops Kesan dan Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah, Ops Cegah Jenayah Sekatan Jalan Raya, Ronda Cegah Jenayah, Ops Pandu Laju dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang turut membabitkan semua balai polis,” katanya.

Noorzainy berkata lagi, seramai 281 orang pula diperiksa dalam tempoh sama iaitu termasuk 31 wanita dan diberi nasihat serta teguran.
Beliau berkata, sebanyak 251 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 220 daripadanya adalah saman kerana kesalahan pandu laju selain pemeriksaan di lokasi 13 premis membabitkan 10 chalet, sebuah kafe siber dan dua pusat karaoke.

Sementara itu, dalam Ops Kesan yang dijalankan, polis berjaya mengesan empat suspek yang dikehendaki melibatkan kes jenayah yang belum selesai di kawasan Kampung Raja, Jertih dan Pasir Akar.

“Kesemua mereka diburu kerana tidak hadir semula ke mahkamah selepas dibebaskan dengan jaminan dan mereka adalah seorang suspek kes tahun 2006 di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan kerana memiliki mercun, suspek kedua adalah kes 2008 di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan barang curi.

“Dua lagi adalah membabitkan kes mencederakan pada tahun 2008 dan 2010 iaitu kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Guna kata laluan sebelum dibenar masuk pusat judi



Guna kata laluan sebelum dibenar masuk pusat judi
Pelanggan perlu memberi kata laluan sebelum dibenar masuk ke premis.
SEGAMBUT – Dua pusat siber judi yang beroperasi di Taman City, Jalan Kuching dekat sini didapati menggunakan kaedah kata laluan sebelum membenarkan pelanggan masuk.

Wartawan Sinar Harian yang menyamar sebagai pelanggan tidak dibenarkan masuk oleh penjaga pusat itu kerana tidak mempunyai kata laluan.

Pemilik restoran bersebelahan pusat siber judi itu, Mohd Ali berkata, pemilik pusat siber judi itu pernah mahu bekerjasama dengannya untuk mengadakan perkhidmatan tempahan makanan kepada pelanggannya.

“Dia mahu saya hantar makanan yang dipesan pelanggan ke premisnya tetapi saya tidak setuju kerana tidak mahu bersubahat menggalakkan orang ramai bermain mesin judi di situ,” katanya.

Difahamkan, pusat siber judi yang sudah beroperasi sejak lebih dua tahun lalu itu tidak pernah dikenakan tindakan meskipun penduduk membuat aduan kepada pihak  berkuasa.

Sementara itu, penduduk, Zaid Rahman, 60, berkata, kewujudan pusat siber seperti itu tidak membawa manfaat kepada masyarakat.

“Pusat judi yang tumbuh bagaikan cendawan di kawasan ini perlu dibanteras habis-habisan bagi mengelak ia terus merosakkan masyarakat khususnya orang Islam di sini,” katanya.

Menurutnya, dia juga kesal kerana jika benar penguatkuasaan dibuat mustahil pusat seperti itu boleh terus wujud di situ selama bertahun-tahun.

Apa yang pasti, pusat berkenaan yang mempunyai pintu bercermin gelap memang menjalankan kegiatan haram itu dengan pelanggan utamanya terdiri daripada golongan belia yang sanggup menghabiskan ratusan ringgit sehari kononnya untuk memperoleh keuntungan.

Mayat lelaki ditemui terapung dalam parit

Mayat lelaki ditemui terapung dalam parit - Johor - Sinar Harian:







Mayat lelaki ditemui terapung dalam parit
Mayat Krishnan yang terapung di dalam parit berdekatan SJKC Saleng


KULAIJAYA – Mayat seorang lelaki ditemui dalam parit berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Saleng, di sini, semalam. Mayat yang berada dalam keadaan terapung itu ditemui oleh orang ramai kira-kira jam 9.05 pagi.


Ketua Polis Daerah Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian tersebut, mangsa yang dikenali sebagai S Krishnan, 41, berasal dari Saleng didapati sering merayau di kawasan tersebut.


“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah. Mayat dihantar ke hospital Kulai untuk bedah siasat. “Kes ini disiasat sebagai mati mengejut,” katanya kepada Sinar Harian.


Sementara itu, salah seorang penduduk, M Chandran, 37, berkata, sejak lebih 10 tahun tinggal di kawasan tersebut tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu.


“Saya datang ke sini untuk lihat sendiri setelah diberitahu orang ramai. Saya difahamkan, mangsa duduk di tembok berdekatan parit itu sebelum jatuh ke dalamnya. Saya tidak kenal dia, mungkin pernah perasan di kawasan sekitar ini,” katanya.




'via Blog this'

Warga asing maut jatuh kondominium



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Julai 2012
Polis memeriksa keadaan mayat yang dipercayai jatuh dari tingkat 13 sebuah kondominium di ibu negara
Polis memeriksa keadaan mayat yang dipercayai jatuh dari tingkat 13 sebuah kondominium di ibu negara, kelmarin
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga asing ditemui mati tertiarap setelah dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah kondominium di Jalan Kuching, malam kelmarin.

Hentakan kuat akibat terjatuh dari aras tinggi itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan patah tulang di bahagian pinggang.

Mayat lelaki dipercayai warga Iran berusia lingkungan 20-an itu ditemui lengkap berpakaian oleh pengawal keselamatan di situ.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, tiada kepastian sama ada lelaki  itu penduduk di situ atau tidak berikutan tiada identiti ditemui pada mayat berkenaan.

“Tiada orang yang mengenali si mati atau melihat dia sebelum kejadian.

“Setakat ini tiada unsur jenayah. Mayat di bawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan akan dibedah siasat esok (hari ini)," katanya.

Difahamkan, setakat ini tiada pihak yang datang menuntut mayat lelaki berkenaan.

Mayat reput ditemui



Mayat reput ditemui
Anggota polis mengangkat mayat seorang wanita yang sudah reput, semalam.
NILAI – Mayat seorang wanita yang sudah reput ditemui sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di hadapan sebuah rumah kosong di Rumah Pangsa Taman Semarak, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusoff Awang berkata, mayat wanita yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui sekumpulan kanak-kanak terbabit, kira-kira 1.30 petang.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati mayat mangsa dengan memakai tudung dan lengkap berpakaian itu ditemui terbaring dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan.

“Kita syak mangsa sudah meninggal dunia hampir sebulan lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah reput. “Buat masa ini kita menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui identiti mangsa dan juga punca kematian," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Yusoff berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, untuk bedah siasat.

Wanita warga India ditemui mati tergantung

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata dalam kejadian pukul 11 malam itu, majikan wanita terbabit berada di Kuala Lumpur.

"Difahamkan dokumen pengenalan diri mangsa berusia 40-an itu berada pada majikannya dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Gan berkata ia adalah kes kedua seumpama itu melibatkan pembantu rumah warga India di daerah ini.

Katanya polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, dan mayat wanita terbabit dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.- Bernama

Selipar anak beri petunjuk



Selipar anak beri petunjuk
Anggota polis membawa mayat mangsa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
LINGGI – Sepasang selipar yang ditemui tepi sungai di belakang rumah menjadi petunjuk seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang disedari hilang, mungkin lemas dalam sungai.

Bagaimanapun, andaian itu akhirnya terjawab apabila mayat Mohd Afzan Haikal Mohd ditemui mati terapung di hilir sungai dalam keadaan berpakaian lengkap, semalam, selepas 18 jam usaha mencarinya dilakukan.

Kejadian berlaku di Pengkalan Kempas, dekat sini, apabila Mohd Afzan yang merupakan kanak-kanak lembam disedari hilang oleh ibu bapanya, kira-kira 5.30 petang kelmarin.

Menurut sumber saudara terdekat, mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu bersama keluarga dari Pasir Gudang, Johor tiba di rumah arwah neneknya, kira-kira 4 petang untuk bercuti hujung  minggu.

"Kehilangannya disedari ibu bapamangsa kira-kira 5.30 petang selepas seorang jiran memberitahu menemui kesan seseorang tergelincir di tepi sungai berkenaan," katanya.

Menurutnya, keluarga mangsa kemudian bertindak mencari di kawasan sekitar termasuk hutan, sebelum menemui sepasang selipar milik mangsa di tepi sungai berkenaan.

"Berikutan itu, keluarga terbabit melaporkan kejadian kepada polis sebelum usaha mencarinya dilakukan sejurus selepas itu," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, usaha mencari dijalankan bermula kira-kira 6.30 petang, kelmarin, sebelum mayat ditemui terapung di hilir Sungai Linggi, dua kilometer dari tempat mangsa terjatuh, kira-kira 1 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun mengesahkan
kejadian.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan bomba dengan bantuan anggota polis marin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira 18 jam selepas operasi mencari dijalankan," katanya.

Menurutntya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson, di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga, semalam.

Menurutnya, jenazah kanak-kanak berkenaan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir, di sini, semalam.

Wanita maut, kereta dirempuh bas



Wanita maut, kereta dirempuh bas
Kereta mangsa yang remuk dirempuh sebuah bas, kelmarin.
SEREMBAN 2 - Seorang wanita maut apabila kereta dinaikinya dirempuh sebuah bas di persimpanganbelakang pusat membeli-belah Aeon, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa, M. Saivarami, 57, meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital akibat cedera parah di kepala.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa bersama seorang lelaki berusia 50-an yang memandu kereta jenis Nissan Sunny dikatakan mahu membelok ke arah kanan di satu persimpangan di belakang pasar pusat membeli-belah berkenaan.

“Pemandu kereta itu tidak sedar bas di laluan bertentangan, lalu terus membelok ke arah kanan menyebabkan bas berkenaan merempuh bahagian kiri kenderaan terbabit.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan kereta terbabit berpusing dan melanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Wira yang berhenti di persimpangan berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang hadapan cedera parah, manakala pemandu kereta berkenaan cedera ringan.

“Pasukan penyelamat terpaksa mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Bagaimanapun, wanita berkenaan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

“Pemandu bas terbabit juga sudah membuat laporan polis dan punca kemalangan masih dalam siasatan,” katanya

Pemandu lori tembikai dirempuh lori meninggal dunia

Pemandu lori tembikai dirempuh lori meninggal dunia - Terengganu - Sinar Harian:
MARANG - Selepas hampir 11 jam menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu akhirnya peniaga tembikai yang dirempuh oleh sebuah lori semalam menghembuskan nafasnya yang terakhir malam tadi.
   
Mangsa, Mohd Hamzah Ismail, 51, meninggal dunia kira-kira pukul 9.23 malam di HSNZ setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan dada.
   
Dalam kejadian pada kira-kira 10.50 pagi itu, peniaga tembikai itu tersepit dalam lorinya apabila dirempuh oleh sebuah lori lain di Kampung Pulau Kerengga.
   
Ketika itu mangsa hendak menurunkan bekalan tembikai yang baru dibelinya daripada pembekal di Kampung Serting, dekat sini.
   
Bagaimanapun semasa mangsa merapatkan kenderaanya ke bahu jalan di depan gerainya, beliau telah dirempuh oleh sebuah lori lain dari belakang sebelum lori mangsa terbabas melanggar sebatang pokok yang berada di tempat kejadian.
 
Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu kira-kira satu jam, sebelum pasukan bomba dapat mengeluarkan mangsa.
   
Menurut isteri mangsa Normah Abd Razak, 49, berkata pada masa itu beliau berada di gerai berkenaan bersama anak dan cucunya dalam jarak kira-kira dua meter dari tempat kejadian.
   
Dia terkejut dengan bunyi yang kuat dan secara tiba-tiba lori suaminya dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori lain, menyebabkan lori suaminya melanggar sebatang pokok.
   
"Akibat rempuhan itu suami saya tersepit di tempat duduk pemandu manakala buah tembikai hampir 400 kilogram tercampak keluar dan bertaburan di atas jalan.
   
"Saya hanya mampu menjerit meminta tolong daripada orang ramai yang ada di situ," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
   
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata, pemandu lori yang merempuh mangsa sebelum melarikan diri itu telah membuat laporan di Balai Polis Marang petang semalam. - Bernama
'via Blog this'