Search This Blog

Saturday, July 7, 2012

Sembunyi bayi dalam beg galas: Remaja ditahan


KUALA TERENGGANU — Polis menahan seorang remaja lelaki untuk membantu siasatan kes pelajar perempuan berumur 16 tahun yang menyembunyikan anak yang baru dilahirkannya di dalam beg galas, Selasa lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata, suspek berumur 19 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Cherang Guling, Marang kira-kira pukul 4 pagi ini.


Katanya, tangkapan dibuat berdasarkan maklumat yang diberi pelajar perempuan Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di sini.


"Kita terus menahan suspek sebaik maklumat diperoleh. Suspek kini direman sehingga 13 Julai ini untuk membantu siasatan berhubung kes kematian bayi itu,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.— BERNAMA

Seludup manusia didalangi warga Australia

Seludup manusia didalangi warga Australia:KUALA LUMPUR 6 Julai - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan rakyat tempatan dalam aktiviti penyeludupan manusia dari negara-negara konflik yang didalangi oleh warga Australia.

Beliau berkata, walaupun sindiket penyeludupan ke negara ini menukar modus operandi dari semasa ke semasa, namun beliau yakin pihak berkuasa mampu mengesan dalang sebenar di sebalik jenayah yang melibatkan beberapa negara itu.


"Buat masa ini, saya belum dapat mengesahkan mengenai penglibatan rakyat tempatan tetapi kita percaya mereka mempunyai beberapa kaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sindiket itu.


"Oleh itu, biarlah pihak polis menyiasat terlebih dahulu perkara tersebut," katanya kepeda pemberita semasa menyertai Program Menghijaukan Persekitaran Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.


Ismail berkata, jenayah rentas negara itu bagaimanapun masih mampu dikawal walaupun sindiket terbabit sering menukar modus operandi.


Menurutnya, pada tahun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mencatatkan kejayaan besar dalam aktiviti penyeludupan manusia apabila membuat 200 tangkapan.


Beliau berkata, PDRM akan meningkatkan usaha membanteras jenayah itu dan sudah menjalin kerjasama erat dengan pihak berkuasa Australia sejak tahun lalu bagi melumpuhkan sindiket yang menjadikan rakyat dari negara konflik yang ingin mendapatkan perlindungan di negara ini.


Dalam pada itu, Ismail menyelar tindakan beberapa portal berita pro pembangkang yang menggembar-gemburkan kononnya jenayah yang berlaku di dalam negara ini kini sukar dikawal.


Tegasnya, ia hanya isu yang cuba dipolitikkan oleh sesetengah pihak sedangkan statistik jenayah tidak menunjukkan peningkatan ketara seperti yang didakwa.


"Kita sentiasa aktif dalam mencari inisiatif bagi mengurangkan kadar jenayah dalam negara dan setakat ini kita sebenarnya telah dapat mencapai matlamat di bawah Bidang Keberhasilan Dalam Utama Negara (NKRA) dalam menangani isu-isu jenayah.


"Justeru, apa yang didakwa oleh mereka itu adalah tidak tepat dan lebih bersifat serangan politik semata-mata," katanya.


'via Blog this'

Hong Kong rampas dadah RM311.1 juta




Foto
Lee menunjukkan ketulan kokain seberat 649 kilogram di Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong, semalam.




Foto
Dadah seberat 1.2 kilogram yang dirampas di Hong Kong.

Berita Harian | Hong Kong rampas dadah RM311.1 juta:Bahan terlarang dipercayai dari Equador

Hong Kong: Pegawai kastam wilayan ini mengumumkan semalam bahawa mereka membuat rampasan terbesar setakat ini iaitu 649 kilogram dadah bernilai AS$98 juta (RM311.10 juta). “Dadah ditemui dalam kontena penghantaran yang tiba di pelabuhan jajahan ini dari Ecuador,” kata Ketua Biro Siasatan Dadah Jabatan Kastam, John Lee.Beliau berkata pihaknya percaya kebanyakan penghantaran adalah untuk pasaran Asia Tenggara atau tanah besar China. 

“Kontena itu adalah satu daripada kelompok yang menyebabkan pegawai Pentadbiran Penguatkuasa Undang-undang Dadah Amerika Syarikat (DEA) diterbangkan ke wilayah ini untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Lee berkata, pegawai kastam menemui dadah itu selepas mengekori penghantaran ketika ia dibawa dengan treler Rabu lalu dari pelabuhan ke sebuah tapak penerimaan di New Territories di pinggir bandaraya ini dan diambil dua lelaki yang dipercayai pihak berkuasa anggota sindiket dadah tempatan.

Apabila mereka memeriksa penghantaran, pegawai menemui 541 bata kokain, setiap satunya seberat kira-kira 1.2 kilogram, disembunyikan dalam satu penghantaran kayu laurel.
Pemandu dan dua lelaki terbabit ditahan.

Lee berkata jabatan kastam wilayah ini bekerja dengan DEA dan agensi penguat kuasa undang-undang Amerika Selatan tahun ini bagi memerangi penyeludupan dadah.

Rampasan itu mengatasi rampasan sebanyak 560 kilogram kokain yang dibuat tahun lalu bernilai kira-kira AS$77 juta (RM244.52 juta) ditemui dalam sebuah gudang pinggir bandar. Lima warga Mexico dan seorang warga Colombia antara lapan ditahan dalam kes itu.

Selasa lalu, pegawai kastam menahan seorang lelaki yang tiba di lapangan terbang dari Sao Paulo, Brazil selepas menemui 1.9 kilogram kokain tersembunyi dalam seluar dalam buatan khas dan kasut yang dipakainya. - AP
'via Blog this'

Lima sindiket dadah tumpas

Lima sindiket dadah tumpas:



NOOR Rashid Ibrahim menunjukkan senjata api yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.



KUALA LUMPUR 6 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan kejayaan besar dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah di negara ini, apabila berjaya menumpaskan lima kumpulan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan merampas dadah bernilai lebih RM1 juta dalam tempoh tidak sampai seminggu.


Kejayaan itu adalah hasil tangkapan lima lelaki warga Afrika dan empat rakyat tempatan dalam lima serbuan berasingan bermula Isnin lalu sehingga semalam.


Dalam serbuan itu, polis bukan sahaja menemui dadah tetapi turut merampas sejumlah senjata api daripada sekumpulan pengedar dadah warga tempatan yang mempunyai rekod kesalahan lampau terlibat dalam kes samun.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, sindiket mengedar dadah didalangi empat lelaki tempatan yang turut memiliki senjata api itu berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Ulu Gombak di sini pada pukul 2 petang semalam.


"Dalam serbuan itu, kita telah menangkap empat lelaki tempatan dan merampas dua pucuk pistol jenis Glock dan Smith & Wesson, dua pucuk pistol semi-automatik beserta magazin, 697 butir peluru pelbagai jenis dan 140 biji pil eramin 5.


"Seorang suspek yang ditangkap didapati memiliki tiga rekod kesalahan lampau termasuk kes samun berkawan dan dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.


Noor Rashid berkata, keempat-empat lelaki yang ditangkap itu kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika disabitkan kesalahan.


Beliau berkata, pada pukul 8.30 malam hari sama, pihaknya turut berjaya memberkas seorang lelaki warga Nigeria bersama dadah jenis syabu seberat 500 gram yang disembunyikan dalam ruang khas beg yang dibawa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Suspek baru tiba dengan penerbangan dari Kaherah, Mesir.


Katanya, sehari sebelum itu, polis dengan bantuan Malaysian Airport Berhad (MAB) telah menangkap dua lelaki warga Nigeria dalam serbuan berasingan di KLIA iaitu masing-masing pada pukul 8.35 malam dan 10.40 malam.


'via Blog this'

Dituduh curi telefon pintar majikan

Dituduh curi telefon pintar majikan - Utara - Sinar Harian:GEORGETOWN - Seorang bekas pekerja kedai telekomunikasi berdepan dengan hukuman penjara 10 tahun dan denda apabila dituduh mencuri dua unit telefon bimbit pintar, Samsung Galaxy Note milik majikannya.

Syamsul Nizar Hassan, 29, dari Lorong Damai 6, Taman Permata, Bukti Mertajam didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Jun lalu kira-kira jam 5.30 petang di sebuah premis di pusat beli belah Prangin Mall.

Tertuduh didakwa dengan niat curang telah mencuri dua unit telefon bimbit pintar milik Syarikat Eksklusif Telecomunication Ipoh Sdn Bhd bernilai RM3,998.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. Syamsul Nizar yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dan merayu wang jaminan dikurangkan berikutan telah kehilangan pekerjaan apabila ditangkap polis pada 4 Julai lepas .

Majistret, Noor Aini Yusof menetapkan 16 Ogos depan untuk sebutan semula kes berkenaan bagi memberi peluang tertuduh melantik peguam dan penyerahan dokumen.

Noor Aini juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar.
'via Blog this'

Misteri bau busuk terjawab

Misteri bau busuk terjawab - Melaka & NS - Sinar Harian:BUKIT KATIL - Tanda tanya penduduk sebuah taman perumahan di Bukit Katil di sini, mengenai punca bau busuk di kawasan itu membawa kepada penemuan mayat seorang warga emas yang berlumuran darah di kepala.

Sepasukan polis menerima laporan jiran mangsa yang mengesyaki perkara buruk berlaku, kemudian membuat pemeriksaan sebelum menemui mayat pesara guru berusia 70-an di dalam sebuah rumah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima laporan dan pemeriksaan mendapati pintu rumah mangsa berkunci dari dalam.

“Polis terpaksa memecah masuk rumah mangsa dan menemui mangsa yang sudah tidak bernyawa terbaring di atas lantai berhampiran bilik air," katanya, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan mangsa dipercayai mati akibat pendarahan teruk di kepala.

“Mangsa yang tinggal berseorangan di rumah tersebut dipercayai mati kira-kira empat hari lalu selepas terjatuh dalam bilik air.

“Mangsa juga dipercayai merangkak keluar dari bilik air bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Muhammad Koey berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
'via Blog this'

Pemuda tumbuk jiran didenda RM800

Pemuda tumbuk jiran didenda RM800 - Utara - Sinar Harian:GEORGETOWN - Tindakan seorang pemuda yang menumbuk jirannya selepas ditegur kerana menunggang motosikal secara berbahaya mengundang padah apabila dia didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Tan Key Woie, 32, dari Lebuh Cambell didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 Mei lalu di hadapan sebuah kedai di Lebuh Cambell di sini kira-kira jam 4 petang.

Key Woie didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Tan Eong Seng, 50, selepas lelaki yang juga jirannya itu menegur tindakannya menunggang motosikal dalam keadaan yang laju di hadapan kedai mereka.

Mengikut fakta kes, Key Woie terus bertindak menyerang Eong Seng selepas ditegur sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan leher.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa.

Majistret, Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman denda RM800 dan penjara dua bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan
'via Blog this'

Kongsi gelap serang polis

Kongsi gelap serang polis - Perak - Sinar Harian:

Kongsi gelap serang polis
Tujuh lelaki yang dikehendaki polis


IPOH - Tujuh lelaki diminta tampil membantu siasatan berhubung kes empat anggota polis diserang sekumpulan lebih 20 lelaki, dipercayai anggota kongsi gelap geng 04 dan geng 08 ketika melakukan rondaan di Jalan Perusahaan Menglembu 13, Rabu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata, beliau difahamkan, kejadian berlaku pada jam 1.15 pagi dan ketika itu berlaku pergaduhan, dipercayai tercetus selepas seorang ahli geng 08 berusia 20 tahun maut selepas diserang geng 04 di hadapan rumahnya pada jam 11.50 malam, Selasa lalu.

Ekoran suspek bertindak menyerang polis menggunakan senjata tajam, salah seorang anggota polis terpaksa melepas tiga das tembakan amaran.

"Selepas menerima maklumat berhubung pergaduhan itu, empat anggota polis berpakaian preman telah dihantar menaiki sebuah Proton Waja untuk meninjau keadaan di kawasan tersebut.

"Anggota polis berkenaan mendapati terdapat antara 20 hingga 25 lelaki menaiki motosikal berkumpul dengan membawa pelbagai jenis senjata antaranya pedang samurai dan parang panjang," katanya pada sidang akhbar, semalam.

Belia menjelaskan, anggota polis berkenaan cuba meleraikan keadaan, namun akhirnya menjadi mangsa apabila diserang dan kereta yang dinaiki turut dirosakkan sebelum semua suspek melarikan diri.

Katanya, polis telah merampas 23 parang panjang bersama sebilah pedang samurai pada hari kejadian, kemudian berjaya memberkas dua suspek berusia 23 serta 24 tahun di Taman Kledang dan Bandar Baru Mengelembu, di sini, antara jam 2 hingga 3 pagi, semalam.

"Kedua-dua suspek ditahan reman mulai hari ini (semalam) sehingga 12 Julai untuk membantu siasatan. Mereka merupakan antara lapan suspek yang berjaya ditahan dan kita turut mendapati empat daripada mereka pernah mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

"Tujuh lelaki yang dikehendaki polis berusia antara 25 hingga 40 tahun dan dipercayai tinggal di sekitar Ipoh berdasarkan alamat dalam MyKad masing-masing, kecuali seorang beralamat di Cameron Highlands," jelasnya.

Empat lelaki, iaitu, V Vigneswaran Naidu atau Vicky, 31, beralamat di No. 19, Jalan Padang Tembak, 30000 Ipoh; M Prabagaran atau Praba, 25, beralamat di No.12, Lorong Kledang, Taman Gemilang, Ipoh; S Sarat Babu atau Sarat Babu, 27, beralamat di No.34, Jalan Medan Lahat 4, Medan Lahat Baru, 31500 Lahat dan A Thangasamy atau Sam, 42, beralamat di No.51, Persiaran Rishah 5, Taman Rishah, 30100 Ipoh; dikehendaki untuk membantu siasatan bersabit kes di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Tiga suspek lain, S Viknesvaran atau Vicky, 29, beralamat di No.111, Kuala Terlah, Cameron Highland, Pahang; S Jayakumar atau Jayakumar, 31, beralamat di No.11 Jalan Impiana Adril 12, Taman Impiana Adril Menglembu, Ipoh dan T Prakash atau Prakash, 26, beralamat di No. 1 Hala Klebang 4, Taman Kledang Menglembu; dikehendaki untuk membantu siasatan berkaitan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mandatori jika disabit kesalahan.

*Orang ramai yang melihat suspek diminta menyalurkan maklumat.


'via Blog this'

Nasib malang si penyamun

Nasib malang si penyamun - Johor - Sinar Harian:YONG PENG – Cubaan seorang lelaki menyamun bukan saja gagal, malah dia berjaya ditahan polis kurang 15 minit melakukan jenayah tersebut di Jalan Kundang 4, Taman Bukit Pasir, dekat sini, 2 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kira-kira jam 11 malam pada hari tersebut, suspek cuba untuk menyamun seorang jurujual wanita yang berjalan kaki berseorangan dipercayai pulang dari tempat kerjanya.

Menurutnya, suspek yang menaiki motosikal menghampiri mangsa yang ketika itu sedang menggunakan telefon bimbit dan cuba merentap beg tangannya, namun gagal.

“Walau bagaimanapun mangsa terjatuh dan kemudiannya terseret di atas jalan. Dia yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Putra Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan,” katanya pada satu sidang media di Balai Polis Yong Peng, kelmarin.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Mat Razali Awang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Yong Peng, Lim Kee Moi.

Din berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu menghubungi polis dan tindakan mengepung suspek segera dilakukan.

“Suspek berjaya ditahan polis hanya kira-kira 200 meter dari tempat kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan denda atau sebat,” katanya.

Katanya, berdasarkan rekod, suspek mempunyai dua rekod jenayah iaitu mencuri dan pecah rumah di Pontian,

Beliau berkata, hasil soal siasat polis juga mendapati suspek adalah seorang penganggur yang berasal dari Simpang Renggam, Kluang.
 
“Di sini pihak polis menasihatkan orang ramai, jika terlihat sesuatu perlakuan jenayah supaya dapat melaporkannya dengan segera agar tindakan susulan dapat dilakukan.

“Dalam kes ini, saya memuji tindakan orang ramai yang berada di situ, yang terus menghubungi kami, dan ketika itu jugalah suspek masih belum berjaya meloloskan dirinya,” katanya.
'via Blog this'

Padah miliki VCD lucah

Padah miliki VCD lucah - Melaka & NS - Sinar Harian:SEREMBAN - Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret semalam, atas dua pertuduhan menjual 19 unit video cakera padat (VCD) dan cakera padat digital (DVD) pelbagai tajuk filem tanpa Perakuan B serta memiliki sembilan unit VCD dan DVD lucah, empat tahun lalu.

Amir Khan Abdullah, 20, dari Jalan Limbok Bawah, di sini, mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama, bagaimanapun dia meminta dibicarakan bagi pertuduhan kedua.

Semua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kaiyisah Shukri di depan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh. Mengikut pertuduhan pertama, Amir Khan didakwa menjual 14 VCD dan lima DVD pelbagai tajuk tanpa perakuan B di hadapan sebuah kedai di Jalan Temiang, dekat sini, pada 13 September 2008, kira-kira jam 5.40 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 (4) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 18 (5) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM30,000.

Bagi pertuduhan kedua, Amir Khan dituduh memiliki seunit DVD dan lapan VCD filem lucah di tempat, masa dan tarikh yang sama dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (1) (c) Akta Penapisan Filem 2002 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau keduaduanya sekali.

Bagaimanapun, tertuduh dalam ra yuannya meminta denda dikurangkan kerana berasal daripada keluarga susah. Mohamad Izwan kemudiannya menetapkan semula sebutan kes pada 7 Ogos depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
'via Blog this'

Wanita mengandung mati dijerut

Wanita mengandung mati dijerut - Selangor & KL - Sinar Harian:SHAH ALAM - Polis mengesahkan punca kematian wanita ditemui mati di kawasan semak tepi pagar sebuah stor besi di Batu 2, Rawang, kelmarin disebabkan jerutan di leher.Mangsa, E Vally, 25, berpakaian lengkap ditemui mati dengan kesan tikaman oleh pekerja kilang yang kebetulan melalui kawasan itu kira-kira jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengandung lima bulan.

Menurutnya, mangsa dipercayai cuba dirogol berikutan penemuan kesan cecair dalam kemaluannya, tetapi tiada kesan kemasukan secara paksa.

“Pemeriksaan awal, menemui kesan tikaman di dada dan kepala mangsa disyaki dicederakan dengan menggunakan senjata tajam,” katanya.

Menurutnya, mayat Valley dikenal pasti ibunya, P Anjile, 56, di Hospital Sungai Buloh. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Anjile berkata, suami Valley masih menjalani tempoh tahanan di Penjara Sungai Buloh.
'via Blog this'

Penunggang maut digilis lori

Penunggang maut digilis lori - Selangor & KL - Sinar Harian:

Penunggang maut digilis lori
Darman Pandithan yang maut selepas dilanggar lori kontena dan terseret sejauh 25 meter dihantar ke HTAR untuk dibedah siasat.


SHAH ALAM - Seorang penunggang motosikal maut, manakala pemboncengnya cedera parah apabila motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta rosak di laluan kecemasan, sebelum tercampak dan digilis sebuah lori kontena di Kilometer 2.1 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), di sini, tengah hari, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, kedua-dua mangsa, V Darman Pandithan, 21, dan saudara wanitanya yang belum dikenalpasti identiti dikatakan menunggang motosikal dari arah Shah Alam menghala ke USJ, Subang Jaya.

Jurucakap polis berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, Darman Pandithan yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 hilang kawalan, sebelum merempuh sebuah kereta Perodua Kancil rosak dan diletakkan di lorong kecemasan di situ.

Katanya, rempuhan kuat menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh, sebelum dilanggar oleh sebuah lori kontena yang mengekori dari belakang.

"Pemandu lori terbabit tidak sempat mengelak dari melanggar mangsa, menyebabkan kedua-duanya terseret sejauh kira-kira 25 meter.

"Mangsa yang maut tersepit di bawah tayar belakang lori dan cedera parah akibat digilis di bahagian tangan dan kepala," katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa yang membonceng terselamat dan dilaporkan cedera parah di bahagian kepala.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat, manakala saudaranya menerima rawatan di hospital sama," katanya.

Katanya, pemandu lori yang membawa muatan gelungan kertas serta pemandu kereta Perodua Kancil dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.


'via Blog this'

22 mesin judi dirampas

22 mesin judi dirampas - Kelantan - Sinar Harian:

22 mesin judi dirampas
Azham (kiri) turut memeriksa komputer yang dijadikan mesin judi di sebuah premis di Wakaf Che Yeh Semalam.


KOTA BHARU - Sebanyak 22 mesin judi berjaya di rampas sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, dalam serbuan yang dilakukan, di dua premis berasingan di Jalan Kebun Sultan dan Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini, semalam.

Operasi diketuai Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman dan 10 anggota itu, bermula kira-kira jam 3 hingga 5 petang itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.

Azham berkata, kesemua mesin yang dirampas bernilai hampir RM100,000.

“Kita masuk ke kawasan berkenaan secara paksa dan mendapati terdapat 11 mesin di sebuah premis di Jalan Kebun Sultan dan 11 lagi di Wakaf Che Yeh dan dipercayai menggunakan komputer yang beroperasi sebagai mesin slot judi.

“Semasa serbuan dibuat, tiada tangkapan dilakukan kerana kedua-dua premis terbabit masih belum beroperasi sepenuhnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan terbabit semalam.

Azham berkata, kesemua mesin ini ditahan dan disiasat di bawah seksyen 4 (B) (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata, dipercayai kesemua mesin terbabit sudah lama di bawa masuk di kedua-dua premis itu, namun masih belum beroperasi ekoran terdapat beberapa masalah teknikal.

“Kita akan mengesan dan menjalankan siasatan terhadap pemilik kedua-dua premis terbabit yang dipercayai menggunakan premis tersebut sebagai lokasi utama untuk menarik pelanggan terutamanya dari peniaga-peniaga di kawasan itu melibatkan diri dalam aktiviti perjudian,” katanya


'via Blog this'

Wanita maut dirempuh motosikal

Wanita maut dirempuh motosikal - Kelantan - Sinar Harian:KOTA BHARU - Hajat seorang ibu yang ingin membeli belah bersama anaknya tidak kesampaian apabila maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika sedang melintas jalan di Cabang Tiga, Jalan Pengkalan Chepa berhadapan pasar raya Home-U, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Zaimah Wahab, 41, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Semasa melintas jalan, mangsa bersama dua anak lelakinya yang masing-masing berusia lima dan enam tahun dipercayai sedang melintas, namun mangsa dikatakan dirempuh motosikal sehingga menyebabkan dia tercampak di pembahagi jalan.

Kedua-dua anak Zaimah, hanya mengalami kecederaan ringan, manakala penunggang motosikal itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian berlaku selepas Zaimah bersama saudara maranya selesai makan malam di sebuah restoran berhampiran.

Dia yang berasal dari Kampung Pulau Gorek, Tumpat bersama dua anaknya dikatakan cuba melintas jalan untuk ke pusat membeli belah yang berada bertentangan dengan restoran itu.

“Bagaimanapun tanpa disedari sebuah motosikal jenis Honda yang datang dari arah Kota Bharu melanggarnya dari arah tepi.

“Dia dipercayai tercampak dan terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum mati serta merta di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat dan keluarganya sudah menuntut jenazahnya untuk urusan pengebumian.

Beliau berkata penunggang motosikal berusia 30 tahun itu kini ditahan polis untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya
'via Blog this'

Warga emas nyaris rentung

Warga emas nyaris rentung - Terengganu - Sinar Harian:

Warga emas nyaris rentung api bakar kedai makan, sambar dinding rumah
Minah (gambar kecil) diselamatkan penduduk kampung apabila api yang merebak dari kedai makan yang terbakar bersebelahan rumahnya.


DUNGUN - Seorang warga emas nyaris menjadi mangsa tragedi apabila api yang membakar sebuah kedai makan bersebelahan, menyambar dinding rumahnya dalam satu kebakaran di perkampungan yang kebanyakannya didiami nelayan dekat sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu dipercayai berlaku apabila api yang memusnahkan struktur kedai makan milik Che Othman Abdullah, 50, itu menyambar dinding rumah didiami Minah Mohd Zin, 75, sebelum merebak ke sebuah lagi rumah berhampiran milik Abdul Rahman Abbas, 60.

Ketika kejadian, Minah sedang tidur di ruang tamu bersama anaknya yang cacat pada bahagian kaki, Latipah Che Min, 42, dan seorang lagi anak perempuannya, Hasnah Che Min, 32, difahamkan tidur dalam bilik.

Kebakaran itu disedari Minah apabila dia terasa bahang api menyelinap masuk melalui dinding rumah, sebelum ternampak api lalu menjerit ke arah dua anaknya yang sedang tidur agar menyelamatkan diri kerana api semakin marak.

“Badan saya tiba-tiba terasa panas, saya melihat melalui celah dinding api sedang marak membakar kedai sebelah.

“Anak saya, Hasnah kemudiannya keluar untuk mendapatkan bantuan, sebelum beberapa jiran datang lalu mengusung saya dan Latipah keluar rumah,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai makan berkenaan, Che Othman berkata, ketika kejadian dia berada di rumah yang letaknya kira-kira satu kilometer dari kedai miliknya yang terbakar itu.

Katanya, dia menutup kedainya kira-kira jam 7 petang untuk pulang ke rumah.

“Sebelum menutup kedai, saya rasa semua suis elektrik sudah ditutup,

“Justeru, saya tidak pasti apa punca kebakaran itu,” katanya yang mengalami kerugian kira-kira RM70,000.

Sepasukan anggota bomba dan penyelamat tiba bersama sebuah jentera sebaik menerima panggilan kecemasan.

Bomba masih menjalankan siasatan mengenai punca kebakaran dan nilai kerugian dialami kesemua mangsa yang terlibat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Wan Hassan Mohd Ramli turut menziarahi mangsa kebakaran sebaik mendapat berita mengenai kejadian itu.


'via Blog this'

Duda tiga anak berdepan hukuman penjara

Duda tiga anak berdepan hukuman penjara - Terengganu - Sinar Harian:


JERTIH - Walaupun baru sebulan dibebaskan dari penjara atas kesalahan mencuri susu tepung, seorang penganggur tidak pernah serik apabila dia sekali lagi ditangkap polis atas kesalahan memiliki dadah Selasa lalu.

Duda tiga anak itu ditangkap anggota polis Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Jertih apabila dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan Padang Astaka, Gong Kemuntong, Jertih jam 4.30 petang Selasa lalu.


Hasil pemeriksaan menemui dua biji pil merah dadah jenis methamphertamine, yang diletakkan dalam kotak rokok.

Dia kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Besut kelmarin dan dikenakan jaminan sebanyak RM6,000 untuk dibebaskan, sementara menunggu tarikh pertuduhan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua sekali.

Wang jaminan maksimum itu dikenakan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat setelah tertuduh hanya membisu dan bersetuju dengan tawaran wang jaminan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Noridah Md Ayob.

Dia terpaksa meringkuk dalam penjara sehingga hari pertuduhan pada September depan sekiranya tidak mampu membayar wang jaminan berkenaan.

Sebelum ini, lelaki dari Cabang Tiga, Jertih itu, terpaksa meringkuk dua bulan dalam penjara selepas Mahkamah Majistret Besut menjatuhkan hukuman tersebut pada 19 Mac lalu apabila dia mengaku mencuri dua tin susu tepung bernilai RM70 setiap satu.

Kejadian berlaku di pasar raya Shakri Enterprise, Padang Luas pada jam 8.50 malam, 13 Mac lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Difahamkan, sebelum ini tertuduh telah menerima hukuman dua bulan penjara atas kesalahan mencuri susu di Kuala Lumpur dan kegiatan mencuri itu dilakukan semata-mata untuk mendapatkan wang.

Pelajar tingkatan dua dirogol teman lelaki

Pelajar tingkatan dua dirogol teman lelaki - Terengganu - Sinar Harian:
DUNGUN – Tindakan seorang gadis sunti berumur 14 tahun mengikut teman lelakinya ke sebuah rumah di Sura dekat sini mengundang padah apabila dia dipercayai menjadi mangsa rogol lelaki terbabit.

Peristiwa hitam membabitkan pelajar tingkatan dua salah sebuah sekolah di bandar Dungun itu dipercayai berlaku pada 2 Julai lalu ketika gadis berkenaan bermalam di rumah nenek teman lelakinya di Kampung Cina, dekat sini.

Kejadian disedari mangsa sebaik dia bangun daripada tidur lalu mendapati pakaiannya telah tertanggal, manakala teman lelakinya itu difahamkan berada di sisinya.

Mangsa mengesyaki telah dinodai oleh teman lelakinya membuat laporan di Balai Polis Dungun berkaitan kejadian tersebut kira-kira jam 12 tengah malam, 4 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ismail Abdullah mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.
'via Blog this'

Peniaga tembikai nyaris maut lori dirempuh dari belakang

Peniaga tembikai nyaris maut lori dirempuh dari belakang - Terengganu - Sinar Harian:MARANG - Seorang peniaga tembikai nyaris maut apabila lori dipandunya dirempuh dari belakang oleh sebuah lori lain dalam kejadian di Kampung Pulau Kerengga, di sini, hari ini.

Kejadian pukul 10.50 pagi itu berlaku ketika Mohd Hamzah Ismail, 51, memberhentikan lori di depan gerai untuk menurunkan bekalan tembikai yang baru dibelinya daripada pembekal di Kampung Serting, dekat sini.


Menurut isteri mangsa Normah Abd Razak, 49, yang pada masa itu berada di gerai berkenaan bersama seorang anak dan cucunya, secara tiba-tiba lori suaminya dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori lain,  menyebabkan lori suaminya melanggar sebatang pokok.


"Akibat rempuhan itu suami saya tersepit di tempat duduk pemandu manakala buah tembikai hampir 400 kilogram tercampak keluar dan bertaburan di atas jalan.


Saya hanya mampu menjerit meminta tolong daripada orang ramai yang ada di situ," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dada kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu manakala pemandu lori yang merempuh mangsa dipercayai melarikan diri.


Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Marang Mohd Kuty Mohd berkata enam anggota yang dikejarkan ke tempat kejadian mengambil masa beberapa minit sahaja bagi mengeluarkan mangsa  yang tersepit. - Bernama


'via Blog this'

Onar keluarga 69

myMetro | Onar keluarga 69:SIASAT...kedua-dua pasangan meninggalkan kompleks Jaips <br />di Kangar, selepas diambil keterangan.

SIASAT...kedua-dua pasangan meninggalkan kompleks Jaips di Kangar, selepas diambil keterangan.


KANGAR: Bagai keluarga 69 apabila seorang suami merelakan isterinya mengandung anak luar nikah hasil hubungan dengan lelaki lain manakala dia sendiri pula menjalin hubungan sulit dengan adik ipar dan mereka semua tinggal sebumbung di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Padang Keria, dekat sini.


Lebih mengejutkan, lelaki berusia 39 tahun bekerja kampung itu sudah lebih setahun tinggal seperti suami isteri bersama adik iparnya manakala isterinya kini sarat mengandung lapan bulan hasil hubungan haram dengan lelaki lain berusia 29 tahun.


Bagaimanapun, kehidupan jelik kedua-dua pasangan itu sejak lebih setahun lalu, terbongkar apabila sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) melakukan serbuan selepas menerima maklumat.

Penolong Pengarah Penguat kuasa Jaips, Suhaimi Ahmad berkata, kedua-dua pasangan itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di rumah mereka jam 12.30 tengah malam dan 1.20 pagi semalam.


'via Blog this'

Jari tersepit eskalator

myMetro | Jari tersepit eskalator:INSIDEN...Mohd Nasrullah  menahan sakit jari telunjuk tersepit pada eskalator pusat beli-belah  Plaza Angsana, kelmarin.
INSIDEN...Mohd Nasrullah menahan sakit jari telunjuk tersepit pada eskalator pusat beli-belah Plaza Angsana, kelmarin.
pix_topright 
JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Mohd Nasrullah Mohd Adham hanya mampu menahan kesakitan selepas jari telunjuknya tersepit pada eskalator sebuah pusat beli-belah di sekitar bandar raya ini dalam kejadian jam 9 malam kelmarin.
Bagaimanapun, orang ramai yang menyaksikan kejadian memaklumkan perkara itu kepada pengurusan pusat beli-belah berkenaan sebelum eskalator berkenaan dihentikan.

Ibu mangsa, Lailatul Kartini Hashim, 32, berkata, dia ke pusat beli-belah itu untuk membeli barangan keperluan rumah.
“Kami singgah di sebuah kedai untuk melihat baju, bagaimanapun Nasrullah tiba-tiba hilang daripada pandangan menyebabkan saya panik.

“Selepas mencari, saya terkejut mendapati Nasrullah terduduk di sebelah eskalator dengan sebahagian tangannya tersepit, saya bimbang keseluruhan tangan anak termasuk ke dalam eskalator itu,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Kartini, pengurusan pusat beli-belah berkenaan bertindak pantas dengan menghentikan eskalator itu.
Katanya, tangan Nasrullah berjaya dikeluarkan orang ramai sejurus eskalator berkenaan dihentikan sebelum dia dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

“Saya bersyukur kerana Nasrullah hanya cedera ringan pada jari telunjuk,” katanya.
Difahamkan, Nasrullah menjalani pembedahan kecil semalam untuk membersihkan bahagian kuku yang cedera dan dijangka dibenarkan keluar wad dalam masa terdekat. Kartini berkata, dia tidak menyangka insiden itu akan menimpa anaknya kerana dia cukup berhati-hati terutama ketika menggunakan eskalator.

“Kami sekeluarga berharap Nasrullah segera sembuh dan saya akan pastikan dia sentiasa di bawah pengawasan,” katanya.

'via Blog this'

Harap temui jasad suami

myMetro | Harap temui jasad suami:BELADIN: Isteri penebang rumbia yang menjadi keganasan buaya di Sungai Saribas di sini, kelmarin reda dengan nasib malang yang menimpa keluarganya, namun berharap jasad suaminya dijumpai dalam keadaan sempurna untuk dikebumikan.
Semalam, selepas 24 jam suaminya hilang dibahan buaya di sungai berkenaan, Latifah Nen, 53, tetap berdoa semoga jasad suaminya, Derahman Chali, 55, dari Kampung Hulu di sini, dijumpai.

“Walau apa keadaan sekali pun, saya menerima kejadian ini sebagai takdir, tetapi amat berharap jasad suami saya akan ditemui,” kata ibu kepada enam anak itu.
Namun, Latifah berkata jauh di sudut hatinya tersimpan perasaan terkilan kerana suaminya tidak sempat menikmati bekalan mi segera dan kuih yang dibekalnya ke tempat kerja.

“Sebelum turun ke tempat kerja kira-kira jam 7 pagi semalam (kelmarin), suami saya cuma sempat meneguk air kopi yang disediakan dan membawa bekal mi segera dan kuih.

“Dia pergi menebang rumbia dan mengikatnya di sungai sebelum dibawa ke kilang dan saya dimaklumkan dia disambar buaya ketika mahu membasuh tangan untuk makan bekalan yang dibawa itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Menurut Latifah, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 10 pagi oleh rakan suaminya, Mohd Noor Bujang, 51, yang menyaksikan kejadian.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Norasiah, 24, berkata dua hari sebelum kejadian, dia berasa pelik apabila melihat ayahnya asyik termenung dan tidak mahu bermain dengan cucu tunggalnya seperti kebiasaan.
“Sebelum ini, ayah suka bermain dengan anak saya, Nuraina Nadirah yang baru berusia setahun empat bulan. Sejak dua hari lalu, dia banyak termenung dan tidak banyak bercakap.

“Ketika makan pun dia termenung. Kami tak sangka rupanya akan ada bencana menimpa ayah,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Derahman yang berpendapatan antara RM30 hingga RM40 sehari upah menebang rumbia, cuma bekerja pada musim tertentu antara dua ke tiga minggu sebulan untuk menyara isteri dan enam anak berusia antara tujuh hingga 24 tahun.

Dua daripada anaknya sudah bekerja, melakukan kerja kampung, berikutan mereka tidak bersekolah tinggi dan keciciran dalam pelajaran.

Manakala hanya anak bongsunya, Mohd Kushairy, 7, yang masih bersekolah di Tahun Satu. Sementara itu, Pembantu Jabatan Kebajikan Masyarakat Betong, Fakrulrani Ahmad Anuar berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan bagi pertimbangan menyalurkan bantuan. Katanya, jika memenuhi semua kelayakan ditetapkan dan ada pengesahan pihak berwajib, keluarga mangsa boleh menerima bantuan Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas (TSBB) maksimum RM20,000.

'via Blog this'

Jel tiga tahun buang bayi

myMetro | Jel tiga tahun buang bayi:PETALING JAYA : “Saya mengaku salah dan ketika kejadian itu saya terlalu panik. Sebenarnya saya mahu melahirkan bayi itu di negara saya,” kata seorang wanita warga Indonesia, Nenda Nurindahsari, 21, dalam rayuannya di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Bekas pekerja kilang itu dipenjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian anak perempuannya yang baru lahir, bulan lalu. Hakim Suraiya Mustafa Kamal memerintahkan hukuman itu berjalan bermula daripada tarikh tangkap, 17 Jun lalu dan tertuduh dihantar pulang ke negaranya selepas selesai hukuman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam premis di Kilang Western Digital, Lot 3, Jalan SS 8/6, Sungai Way, Selangor, antara jam 4.30 petang hingga 5.02 petang, 15 Jun lalu.
Dia dihukum mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, wanita berkenaan membuang bayi yang baru dilahirkannya ke dalam tong sampah di tandas tempat dia bekerja.

Perbuatan tertuduh itu hanya disedari sehari kemudian apabila tukang cuci menemui darah di lantai sebelum mencurigai dan menemui bayi malang berkenaan. Bayi itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu pada mahkamah agar meringankan hukumannya berikutan dia adalah penanggung tunggal keluarganya.

“Saya mahu pulang semula ke negara asal dan mencari kerja untuk membantu keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ching Kian Chun memohon hukuman setimpal.

'via Blog this'

Lelaki diserang biri-biri jantan

myMetro | Lelaki diserang biri-biri jantan:RANTAU PANJANG: Angkara seekor biri-biri jantan, seorang warga emas kini terlantar menanggung kesakitan di bahagian pinggang, punggung dan lutut selepas diserang haiwan itu dalam kejadian di Kampung Tasek Bakong, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Ismail Samah, 71, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan berjalan kaki selepas minum kopi di sebuah warung sebelum terserempak dengan haiwan berkenaan ketika melalui kawasan balai raya.

Menurutnya, haiwan itu tiba-tiba menyerangnya dan menanduknya sehingga dia tidak mampu berbuat apa-apa.
“Ketika diserang, saya cuba berpaut pada tiang balai raya, tetapi akibat tandukan yang kuat, saya jatuh. Saya hanya mampu menahan sakit apabila terus ditanduk sebanyak lima kali selepas terjatuh.

“Seorang remaja datang membantu, tetapi ketika dia cuba menarik tali yang diikat pada leher haiwan berkenaan, dia terjatuh akibat diserang. Bagaimanapun, haiwan itu akhirnya berjaya ditambat,” katanya.

Ismail berkata, dia dibantu penduduk kampung untuk pulang ke rumah dan enggan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang ditahan di wad sehingga menyusahkan isterinya yang sakit.
“Akibat diserang haiwan itu, saya kini menanggung kesakitan di bahagian pinggang, punggung dan lutut. Selepas ini saya harap, pemilik haiwan berkenaan menjaga haiwan ternakannya supaya tidak mengganggu penduduk,” katanya.

'via Blog this'

Hilang nyawa akibat leka

myMetro | Hilang nyawa akibat leka:SHAH ALAM: Akibat leka melihat satu majlis yang berlangsung di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) seorang penunggang motosikal maut apabila digilis sebuah lori tiga tan di Kilometer 2.1 Lebuhraya Ekspres Lingkaran Tengah (Elite) arah selatan, di sini, tengah hari semalam.
Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, mangsa, V Darman Pandithan, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala selain putus tangan kiri dan patah kaki kiri.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa yang menaiki motosikal bersama sepupu wanitanya leka melihat satu majlis di IPT yang terletak bersebelahan lebuh raya itu tanpa menyedari kereta Perodua Kancil itu berhenti di lorong kecemasan akibat mengalami kerosakan.
Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke tengah jalan sebelum digilis sebuah lori tiga tan dari arah yang sama selain turut diseret sejauh kira-kira 25 meter.

Kejadian itu turut menyebabkan sepupunya yang belum dikenal pasti itu parah dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta Perodua Kancil yang berusia 30-an memberhentikan keretanya di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan kerana mengalami kerosakan enjin. “Ketika dia memeriksa keretanya, dia melihat mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 menuju ke arah keretanya sambil leka melihat majlis di IPT berdekatan lokasi kejadian itu. “Pemandu kereta itu tidak sempat memberi amaran dan hanya mampu melihat motosikal itu merempuh belakang keretanya sebelum tercampak ke atas lebuh raya serta digilis sebuah lori,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, pembonceng wanita yang belum dikenal pasti itu parah di badan akibat tersepit di bawah lori manakala pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

'via Blog this'

3 pelajar didakwa perkosa

myMetro | 3 pelajar didakwa perkosa:SEREMBAN: Tiga pelajar sekolah menengah berusia 16 dan 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak di sini, semalam, atas pertuduhan berasingan merogol dan mencabul kehormatan seorang remaja perempuan di sebuah rumah, awal pagi Ahad lalu.
Semua juvana terbabit mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dihadapi mereka dan meminta dibicarakan pada prosiding dijalankan di Mahkamah Majistret 2 di sini yang bertindak sebagai Mahkamah Kanak-Kanak.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menetapkan kes untuk sebutan semula pada 26 September depan bagi penyerahan dokumen.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kaiyisah Shukri manakala semua juvana tidak diwakili peguam bela.

Mengikut pertuduhan, juvana berusia 16 tahun itu didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan di sebuah rumah di Taman Desa Anggerik, Senawang, dekat sini, pada 1 Julai lalu, kira-kira jam 4 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dua rakannya masing-masing berusia 15 tahun pula didakwa atas tuduhan berasingan iaitu menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa sama, dengan memeluk badannya dari belakang pada tarikh dan di tempat sama, antara jam 4 pagi hingga 5 pagi.

Bagi kesalahan itu mereka dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Kaiyisah mencadangkan jaminan RM5,000 bagi juvana berusia 16 tahun itu manakala dua lagi, RM4,000 dengan seorang penjamin masing-masing.

Majistret menetapkan jaminan RM1,800 bagi juvana berusia 16 tahun itu, manakala dua rakannya, RM1,500 setiap seorang selepas menimbangkan rayuan ibu bapa mereka yang bakal menjadi penjamin.

'via Blog this'

Cabut tinggal awek

myMetro | Cabut tinggal awek: "KOTA KINABALU: Gara-gara takut dicekup, seorang lelaki tergamak meninggalkan teman wanitanya dengan melompat keluar melalui tingkap dibiliknya ketika diketuk anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dalam serbuan di sebuah rumah pekerja di bengkel Jalan Inanam, dekat sini, awal pagi semalam.

Tindakan lelaki yang bekerja sebagai mekanik dipercayai berusia 27 tahun itu menyebabkan teman wanitanya yang berusia 23 tahun terpaksa dibawa ke Balai Polis Inanam dekat sini, untuk tindakan lanjut kira-kira jam 1 pagi semalam.
Difahamkan, ketika serbuan, pasangan itu pada mulanya enggan membuka pintu, selang beberapa minit kemudian kedengaran hentakan kuat dipercayai lelaki terbabit bertindak memecahkan tingkap sebelum melompat keluar dan melarikan diri.

Anggota penguat kuasa JHEAINS dibantu dua anggota polis cuba mengejarnya, namun gagal kerana keadaan kawasan bengkel agak gelap menyukarkan untuk mengesan lelaki terbabit. Selepas itu, pintu bilik kemudian dibuka oleh seorang wanita yang hanya berkemban."

'via Blog this'

‘Pemburu hantu’ positif dadah

myMetro | ‘Pemburu hantu’ positif dadah:JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan pengendali laman blog uncleseekers.blogspot, Uncle Seekers atau nama sebenarnya Syed Abdullah Syed Hussein, 46, positif dadah jenis morfin berdasarkan ujian saringan air kencing dijalankan terhadapnya, semalam.
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya memaklumkan, ujian saringan air kencing itu dijalankan pada jam 1.25 tengah hari.

“Ujian air kencing dibuat terhadap suspek yang ditangkap iaitu Syed Abdullah Syed Hussein (Uncle Seekers) di IPD Nusajaya.
“Hasil ujian terbabit didapati positif morfin. Laporan sudah dibuat dan kes disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Nusajaya mengikut Seksyen 15 (1(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kelmarin, Syed Abdullah yang juga pengamal paranormal ditahan sebelum direman bagi membantu siasatan kes berkaitan kenyataannya yang didakwa memfitnah dan memburukkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Syed Abdullah yang lebih dikenali sebagai Uncle Seekers ditahan pada jam 9.45 malam bersama seorang wanita, Siti Nadhirah Mohd Zain, 26, di Tol Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.

'via Blog this'

Jumpa jam tangan

myMetro | Jumpa jam tangan:BELADIN: Operasi mencari dan menyelamat Derahman Chali, 55, sehingga jam 6 petang semalam, hanya menjumpai jam tangan mangsa kira-kira 300 meter dari lokasi dia dibaham di Tanjung Lilin, Pusa di sini.
Jam tangan berkenaan ditemui seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Satar Daong, 43, apabila memberhentikan bot dinaiki di tebing sungai selepas ternampak kesan tapak kaki buaya yang besar.

“Sebaik turun bot, kami tiba-tiba ternampak seutas jam tangan. Kami membawa jam tangan itu kepada isteri mangsa (Latifah Nen, 53,) dan dia mengesahkan ia milik suaminya,” katanya.
Seramai 50 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan Rela terbabit dalam gerakan mencari mangsa mulai jam 7 pagi hingga lewat petang semalam.

Derahman dilibas Bujang Saribas ketika membasuh tangan untuk menjamah bekalan makanannya pada kira-kira jam 8 pagi kelmarin.

Sementara itu, Penghulu Kampung Beladin, Neng Kunding yang ditemui berkata, 8,740 penduduk di kawasan itu kini dilanda kebimbangan dan ketakutan akibat serangan buaya di situ.

'via Blog this'