Search This Blog

Wednesday, July 4, 2012

Taruhan RM49.9j: 100 bookie Euro 2012 ditahan

KUALA LUMPUR 4 Julai - Polis menahan 100 bookie termasuk empat warga asing serta menyelamatkan wang pertaruhan berjumlah RM49.9 juta sepanjang Ops Soga yang dilancarkan sempena kejohanan bola sepak Euro 2012 bermula 1 Mei sehingga kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 20-an hingga 50-an itu termasuk dua warga Singapura dan dua warga Indonesia. - UTUSAN

Wanita diburu kes tembak polis

Johor Bahru: Polis memburu seorang wanita lingkungan usia 20-an berhubung kes anggota polis ditembak empat kali di luar sebuah pusat hiburan dekat Nusa Bestari, awal pagi kelmarin. 

Wanita terbabit dipercayai rakan kepada empat suspek yang ditahan sejurus kejadian berkenaan dan menghilangkan diri sejurus insiden itu. Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim, turut menafikan laporan sebuah akhbar kononnya Konstabel Snilus Lembik, 24, dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya, ditembak rakan sendiri kerana pasukan EURO 2012 yang disokongnya kalah. 
“Siasatan awal mendapati anggota itu baru saja selesai tugasan dan melepaskan lelah dengan minum di situ. 

“Bagaimanapun, sekumpulan empat lelaki dan seorang wanita di meja bersebelahannya mula membuat gangguan di pusat hiburan itu dipercayai kerana mabuk,” katanya. 

“Anggota itu cuba menenangkan keadaan, namun seorang suspek bertindak balas dengan menyerangnya dan berlaku pergelutan sebelum pistol mangsa dirampas,” katanya. 

Suspek melepaskan empat das tembakan terhadap mangsa sebelum melarikan diri. Bagaimanapun, empat suspek itu ditahan sepasukan polis 10 minit kemudian berhampiran pusat hiburan sama. 
Snilus kini stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah di sini. 

Penunda kereta didakwa rompak kerani

KUALA LUMPUR: Seorang penunda kereta hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan merompak barang kemas dan telefon bimbit seorang kerani membabitkan kerugian RM2,500 dua bulan lalu. 

A Saravanan, 34, didakwa merompak seutas gelang emas, dua bentuk cincin dan dua telefon bimbit milik Siti Syuhaida Mazlan, 20, di dalam bilik sewa di Jalan Tun HS Lee, Dang Wangi di sini pada jam 5.45 petang, 24 Mei lalu.Saravanan, yang ditangkap pada 29 Jun lalu, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan. 
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin tetapi peguam V Ravichandran yang mewakili Saravanan memohon supaya jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000. 

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Ogos untuk sebutan kes. 

Sementara itu, tiga rakan mengaku tidak bersalah di mahkamah sama terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap pasangan kekasih warga Thailand membabitkan RM1,500 hujung bulan lalu.

R Kishen dan K Revivarman, yang bekerja di sebuah pasar raya dan penganggur, J Uthayakumar didakwa merompak beg silang yang mengandungi pasport dan buku bank Thailand serta dua telefon bimbit yang keseluruhannya bernilai RM1,500 milik seorang penyanyi, Yotsapat Pisitvoravong, 32, dan teman wanitanya, Dararat. 
Kesemua tertuduh yang berusia 19 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bangunan Scott Garden, Batu 4 1/2, Jalan Klang Lama, Brickfields di sini pada jam 2.50 pagi, 30 Jun lalu. 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan. 

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Ogos untuk sebutan semula kes. 

Pendakwaan dikendalikan Ahmad Nazneen manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. 

- BERNAMA

Kanak-kanak 2 tahun maut dalam kebakaran

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dalam kebakaran di rumahnya di Jalan Permas 2/2, Permas Jaya, di sini, hari ini. 

Muhammad Aminuddin Mohamad Nor Idris Ahmad yang bakal menyambut hari lahir 19 Julai ini ditemui rentung di atas katil dalam bilik di tingkat dua rumah teres berkenaan selepas api dipadamkan. Kanak-kanak itu dan keluarganya baru berpindah ke rumah yang berusia 30 tahun itu kira-kira 9 malam tadi. Mereka sebelum ini tinggal di kawasan Stulang Baru, di sini. 
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor, Jaya Syed Nasir Syed Abu Bakar, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada 9.23 pagi dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian. 

"Anggota bomba cuba menyelamatkan mangsa tetapi api yang marak dan asap tebal menyukarkan keadaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 

Ibu kanak-kanak itu, Nor Nadiah Abd Samad, 25, berkata ketika kejadian suaminya yang juga pekerja Tenaga Nasional Berhad sedang bertugas manakala beliau bersama dua lagi anaknya Muhammad Amirul Hakim, 6, dan Nur Aisyah Nadirah, 4, berada di tingkat bawah rumah itu. 

"Saya baru lepas mandi dan memandikan dua lagi anak saya apabila terdengar dia (Muhammad Aminuddin) menangis panggil saya. 
"Apabila saya cuba naik ke bilik, saya nampak asap sudah tebal. Saya cuba naik juga, tetapi tidak berjaya dan terus menghubungi bapa mertua dan memanggil jiran-jiran," katanya. 

Beliau berkata, Muhammad Aminuddin menangis tanpa henti sejak 3 pagi tadi dan selepas dipujuk oleh bapanya, baru dia berhenti menangis dan tidur pada kira-kira 5 pagi. 

Mayat Muhammad Aminuddin dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk bedah siasat. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Permas, Datuk M Munusamy, yang melawat keluarga itu, berkata pihaknya menghulurkan sumbangan untuk membaik pulih rumah itu dan urusan pengkebumian bagi meringankan beban keluarga berkenaan. - BERNAMA

Kes rogol di Sarawak meningkat

KUCHING 3 Julai - Kes jenayah berkaitan keganasan seks iaitu rogol di Sarawak meningkat sebanyak 24.7 peratus bagi tempoh Januari hingga bulan lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryll Sani Abdullah Sani berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 68 kes dilaporkan manakala jumlah tersebut meningkat kepada 86 kes pada tahun ini.
Beliau berkata, kebanyakan kes rogol tersebut dilaporkan melibatkan mangsa yang mengenali perogol dan gadis bawah umur iaitu mereka yang berumur di bawah 18 tahun sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Kanak-kanak 2001.
"Ibu bapa kena tengok anak-anak mereka, masalah ini agak serius kerana kita dapati ada gadis yang berada di tingkatan dua pun sudah ada teman lelaki dan kebanyakan suspek kes rogol adalah mereka yang dikenali mangsa.

30 rumah Taman Keladi rosak dilanda ribut

SEBAHAGIAN daripada 30 rumah yang rosak akibat ribut di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah, petang kelmarin.
SUNGAI PETANI 3 Julai - Sebanyak 30 buah rumah di sekitar Taman Keladi, di sini rosak, termasuk bumbung tercabut akibat dilanda ribut petang semalam.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku akibat bencana alam tersebut.
Dalam kejadian pukul 4 petang semalam itu, rumah penduduk terlibat adalah di Lorong Angsana 40, 49, 50. 53 dan 59.
Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Mohd. Fuad Kamaruddin meminta penduduk terlibat dalam kejadian itu supaya membuat laporan polis.
Menurutnya, pegawai agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri telah memulakan proses pendaftaran nama penduduk terlibat sebelum bantuan diberikan kepada mereka.
Katanya, setiap rumah terlibat dianggarkan mengalami kerugian RM5,000.
"Setakat ini hampir 20 penduduk telah membuat aduan mengenai jumlah kerugian masing-masing.
"Jika gagal mendaftar, mereka boleh datang ke JKM Kuala Muda untuk berbuat demikian selepas ini," katanya.

Curi susu untuk adik, ejen insurans dipenjara 10 hari, denda

Curi susu untuk adik, ejen insurans dipenjara 10 hari, denda: "PETALING JAYA 3 Julai - "Saya curi susu itu untuk adik saya tuan, mohon hukuman ke atas saya diringankan".

Demikian rayuan seorang ejen insurans di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri tiga tin susu tepung bayi di sebuah pasar raya, hujung bulan lalu.

Dengan pengakuan bersalah itu, Majistret Mohd. Nazri Omran menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM3,000 atau penjara tiga tahun terhadap Kee Gee Sin, 21.

Gee Sin yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan perbuatan itu di pusat beli-belah AEON Sunway Pyramid, Bandar Sunway di sini pada pukul 11.30 pagi, 29 Jun lalu.

Dalam kejadian tersebut, selain susu jenama Dumex Mamex itu, dia juga didakwa mencuri 141 peket gula-gula pelbagai perisa jenama Ricola Lozenges, seunit pemanis minuman jenama Equal dan seunit bedak asas jenama Revlon yang kesemuanya bernilai RM1,267.32."

'via Blog this'

Rompak ATM: Polis selesaiambil keterangan saksi

Rompak ATM: Polis selesaiambil keterangan saksi: "KUALA LUMPUR 3 Julai - Polis telah selesai merakamkan percakapan beberapa individu bagi membantu siasatan kes samun dan melarikan jutaan ringgit dari mesin simpanan wang automatik (ATM) di dalam sebuah pasar raya di Wangsa Maju, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata, keterangan yang diambil itu turut melibatkan pengawal keselamatan serta pekerja yang menghantar wang dari bank untuk disimpan di dalam mesin-mesin ATM berkenaan.

Katanya, menerusi siasatan itu, polis turut menemui petunjuk positif bagi memburu kumpulan yang bertanggungjawab melakukan jenayah nekad merompak empat daripada enam mesin ATM itu.

"Setakat ini kita telah merakam percakapan pekerja pasar raya dan bank ATM itu dan mendapat sedikit maklumat yang kita rasa mampu membantu siasatan polis," katanya."

'via Blog this'

Polis tumpas sindiket dadah terbesar di utara Perak

Polis tumpas sindiket dadah terbesar di utara Perak: "BAGAN SERAI 3 Julai - Polis yakin dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai terbesar di utara negeri ini selepas menahan empat lelaki dalam serbuan di sebuah pangsapuri di pusat peranginan terkenal di sini, pada 25 Jun lalu.

Dalam serbuan pukul 8.30 malam itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM30,400 daripada sindiket berkenaan yang menguasai pasaran di kawasan Semanggol, Kamunting dan Taiping.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan memberitahu, polis terpaksa memecahkan pintu untuk masuk ke dalam rumah tersebut setelah suspek-suspek enggan bekerjasama.

Katanya, hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang dadah pada empat suspek berkenaan tetapi setelah digeledah, polis menjumpai sejumlah dadah di bawah rak televisyen."

'via Blog this'

Waspada tawaran haji murah, cepat giliran

Waspada tawaran haji murah, cepat giliran:SHAH ALAM 3 Julai - Umat Islam dinasihatkan berhati-hati dengan tawaran pakej mengerjakan haji pada kos yang murah atau perkhidmatan mempercepatkan senarai giliran mereka untuk menunaikan ibadat itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, bakal jemaah haji juga perlu memastikan agensi yang terlibat mempunyai lesen daripada Lembaga Tabung Haji untuk menguruskan jemaah.
Ini, kata beliau, bagi mengelak berlakunya sebarang masalah termasuk wang mereka dilesapkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Saya harap bakal jemaah haji tidak terpengaruh dengan tawaran pihak tertentu yang menawarkan kos haji yang rendah dan juga tawaran mempercepatkan senarai giliran menunaikan haji dengan membuat bayaran tambahan atau sebagainya.
"Ini kerana Tabung Haji tidak pernah membuat tawaran sedemikian kepada agensi-agensi yang berdaftar di bawahnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat sempena Kursus Pengukuhan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas) bagi musim haji 1433 hijrah/2012, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, Datuk Seri Hassan Ahmad.
Pada masa sama, Jamil Khir memaklumkan seramai 984,204 rakyat negara ini berada dalam senarai menunggu untuk menunaikan ibadat setakat ini.
Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah 12,000 orang daripadanya berusia 75 tahun ke atas dan mereka yang berusia 80 tahun ke atas pula seramai 2,000 orang.

'via Blog this'

20 Awang Hitam diberkas

20 Awang Hitam diberkas: "
TUN Hisan Tun Hamzah (tengah) bersama pegawai-pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor pada sidang akhbar Ops Tiong di Shah Alam, semalam. - UTUSAN/FATIN AINAA FAUDZI
SHAH ALAM 3 Julai - Polis percaya telah melumpuhkan sindiket penipuan internet membabitkan kerugian RM15.98 juta sejak tahun lalu dengan tertangkapnya 20 Awang Hitam dalam 20 serbuan di dua buah kondominium di Petaling Jaya, di sini awal pagi ini.
Kesemua Awang Hitam itu ditahan bagi membantu siasatan selepas 371 laporan polis yang kebanyakannya dibuat oleh wanita-wanita yang kerugian wang sehingga ratusan ribu ringgit selepas terjerat dengan godaan cinta palsu mereka di Internet.
Turut ditahan bersama kesemua Awang Hitam itu ialah enam wanita tempatan.
Awang Hitam terbabit antaranya berasal dari Nigeria, Cameroon, Somalia, Sierra Leone serta New Zealand dan masuk ke negara ini menggunakan visa pelajar.

'via Blog this'

3 lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh bakar

3 lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh bakar: "KUALA LUMPUR 3 Julai - Selepas lapan hari diburu, tiga lelaki termasuk yang pernah melamar seorang kerani bank yang mati dibakar di hadapan koridor rumahnya, diberkas polis semalam dan hari ini.

Suspek pertama berusia 33 tahun itu yang dipercayai pernah melamar mangsa, P. Yoga Ambiga, 27, pada tahun lalu, hadir ke Balai Polis Ampang Jaya kira-kira pukul 5.20 petang semalam sebelum ditahan.

Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang suspek berusia 20 tahun di Taman Sri Manja, Petaling Jaya, kira-kira pukul 1 pagi dan seorang lagi di kawasan sama, pukul 3 petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, polis telah mendapatkan perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga lelaki tersebut bermula semalam sehingga 9 Julai ini."

'via Blog this'

2 lelaki diberkas, 636 kad kredit dirampas

2 lelaki diberkas, 636 kad kredit dirampas: "SHAH ALAM 3 Julai - Polis menumpaskan satu sindiket membuat kad kredit palsu di negeri ini selepas memberkas dua lelaki tempatan dan merampas 636 keping kad kredit dalam dua serbuan di Bandar Kinrara, Puchong, dekat sini Sabtu lalu.

Serbuan pertama dibuat kira-kira pukul 8 malam di sebuah restoran di mana kedua-dua suspek diberkas bersama 12 kad kredit palsu.

Suspek kemudian membawa polis ke sebuah kondominium berdekatan restoran itu dan hasil pemeriksaan di sebuah bilik, sebanyak 636 kad kredit palsu yang baru dicetak ditemui.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah sembilan buah mesin mencetak kad kredit, tiga unit modem, satu unit pemprosesan pusat (CPU) dan pelbagai peralatan lain."

'via Blog this'

Remaja dakwa diliwat lebih 40 kali

Remaja yang mendakwa diliwat (tengah) bersama Muhammad Khairul Hafiz (kiri) berkata sesuatu mengenai dakwaan kes dera di Rumah Budak Laki-laki Tun Abdul Aziz, Durian Daun pada sidang akhbar di Bandar Hilir, Melaka, semalam.
MELAKA 3 Julai - Seorang bekas penghuni Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz, Durian Daun di sini mendakwa pernah diliwat sekurang-kurangnya 40 kali setahun sejak berusia 12 tahun sepanjang tiga tahun ditempatkan di institusi perlindungan itu mulai tahun 2005.
Remaja yang kini berusia 19 tahun mendakwa, sepanjang tempoh itu dia menjadi mangsa deraan fizikal dan seks oral yang dilakukan oleh beberapa kakitangan dan penghuni institusi tersebut.
Menurutnya, semua perbuatan itu bagaimanapun terpaksa dirahsiakan kerana setiap gerak-geri penghuni sentiasa diperhatikan bagi mengelak mereka melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Wanita Thailand edar dadah dihukum gantung

Wanita Thailand edar dadah dihukum gantung: "ALOR SETAR 4 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang wanita Thailand setelah didapati bersalah mengedar dadah dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Natcha Babkaew, 32, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Natcha yang bekerja sebagai penjaja makanan ringan didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 18,630 gram di lorong 2, Bahagian Kenderaan, Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Bukit Kayu Hitam pada 1.35 petang 19 Nov 2010. - BERNAMA"

'via Blog this'

Kanak-kanak 2 tahun rentung

JOHOR BAHRU 4 Julai - Seorang kanak-kanak lelaki rentung apabila rumah teres dua tingkat keluarganya di Jalan Permas 2/2, Permas Jaya, di sini terbakar hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Aminuddin Mohammad Nor yang berusia dua tahun gagal diselamatkan kerana dipercayai terperangkap di tingkat atas rumah berkenaan dan kebakaran merebak dengan pantas. - UTUSAN

Pesara mati mengejut

Mayat mangsa diusung ke dalam kenderaan polis untuk urusan pengebumian di Kampung, Sokor Kok Lanas.
Mayat mangsa diusung ke dalam kenderaan polis untuk urusan pengebumian di Kampung, Sokor Kok Lanas.
KOTA BHARU - Seorang pesara tentera dipercayai mati mengejut, ketika sedang melalukan urusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Panji, di sini, bagi mendapatkan nombor pendaftaran baru, semalam.

Kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu berlaku ketika mangsa, bersama rakannya yang dikenali sebagai Saga, melakukan urusan berkenaan di tingkat dua bangunan terbabit.

Mangsa, Abdul Halim Latiff, 57, mengadu kepada rakannya, mengalami pening kepala dan secara tiba-tiba jatuh di hadapan kaunter.

Seorang kenalan mangsa, Abdul Latif Mohamad, 55 berkata, dia menerima panggilan kira-kira jam 1 tengah hari dan terus bergegas ke tempat kejadian.

“Sesampainya di JPJ, saya lihat mayatnya diangkat oleh orang awam ke atas bangku berdekatan kaunter. Setahu saya dia tidak mengalami sebarang penyakit selama ini dan sentiasa sihat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kawasan kejadian.

Abdul Latif berkata, jenazah Allahyarham akan di bawa pulang ke kampungnya di Sokor, Kok Lanas untuk urusan pengebumian.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisoner Azham Othman, mengesahkan menerima laporan terbabit.

Beliau berkata, mengikut laporan yang diterima, mangsa rebah ketika berada di JPJ dan dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

Dipenjara akibat buat laporan palsu

Jefridin
Jefridin dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku salah membuat laporan palsu berhubung kecurian motosikal miliknya oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang tukang masak yang juga pemilik motosikal dalam kejadian rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Pekan Wakaf Tapai, Marang, November tahun lalu dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh, Jefridin Manan, 31, dari Jalan Tok Lam, di sini, mengaku membuat laporan tidak benar dengan menyatakan motosikal miliknya telah dicuri sedangkan hasil siasatan mendapati motosikal itu telah digunakan oleh tertuduh sendiri dalam rompakan berkenaan.

Jefridin adalah antara lima suspek termasuk tiga anggota polis yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun Kedai Emas Swee Heng di Taman Bestari, Wakaf Tapai, Marang, 28 November tahun lalu.

Dia mengaku pada 10 Disember 2011 jam lebih kurang 1.15 tengah hari di Balai Polis Kuala Terengganu dengan sengaja membuat maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada orang lain.

Dengan itu, Jefridin mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang jika disabitkan kesalahan boleh di penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah menyiarkan seorang pemilik kedai emas dan dua kanak-kanak nyaris terkena tembakan dalam satu kejadian rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Pekan Wakaf Tapai, Marang.

Kenali jiran cegah kes jenayah

PUNCAK ALAM – Kebanyakan kes pecah masuk dan rompakan berlaku di kawasan kejiranan berlaku kerana sikap tidak mengenali jiran. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Datuk Amiruddin Setro berkata, sikap segelintir penduduk tidak mahu mengenali jiran antara faktor penyebab berlakunya kes pecah masuk dan rompakan.

Menurutnya, banyak kes membabitkan kes pecah masuk dan rompakan dilaporkan berlaku kerana tidak mengenali jiran bersebelahan.

“Saya ingin menasihatkan kepada semua penduduk terutamanya di kawasan perumahan baru supaya saling kenal mengenali kerana hubungan kejiranan amat penting bagi membantu jika kecemasan.

“Jika saling mengenali, isu kecurian harta dapat dikurangkan kerana masingmasing peka dengan keadaan masing-masing dan mengambil berat sekiranya ada sesuatu yang mencurigakan berlaku,” katanya ketika merasmikan Kejohanan  Bola Tampar Tertutup Jemputan Kejiranan Alam Suria 2012 di Gelanggang Bola Tampar Alam Suria, di sini.

Mengenai program itu, Amiruddin berkata, beliau menyokong penganjuran lebih banyak program sedemikian kerana ia pendekatan terbaik merapatkan hubungan penduduk.

“Penganjuran program ini dilihat mampu memberi peluang penduduk mengenali dengan lebih rapat dengan jiran bersebelahan rumah dan mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

“Tidak mustahil program ini dapat memberi peluang kepada penduduk untuk mencungkil bakat dalam pengurusan sesuatu program yang membabitkan pasukan luar Selangor,” katanya.

Sementara itu, Fasa Tiga Puncak Alam menjuarai kejohanan dan membawa pulang piala pusingan dan medal manakala naib juara PPD Kuala Selangor diikuti ketiga Liger VC dan Hospital Selayang.

Samun dan rogol: Ahli Geng Nuar Rantau Panjang diburu

SHAH ALAM Polis memburu dua suspek ahli kumpulan Geng Nuar Rantau Panjang yang dipercayai terbabit dalam kes rogol dan samun penuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekitar negeri ini.

Kejadian pertama berlaku pada 25 Jun lalu apabila seorang penuntut wanita yang sedang bertemu dengan teman lelakinya di sebuah kompleks kerajaan diculik dan dilarikan oleh empat lelaki kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, kumpulan terbabit yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios membawa mangsa ke sebuah rumah papan di Rantau Panjang, Klang sebelum dirogol bergilir-gilir dan kemudiannya disamun.

Menurutnya, kejadian kedua berlaku pada 29 Jun lalu kira-kira jam 11 malam, apabila seorang penuntut IPTA sekitar Shah Alam dirogol dan disamun ketika dalam perjalanan untuk membeli makanan.

Menurutnya, suspek turut merogol mangsa dua kali sebelum meninggalkannya dan susulan laporan dibuat, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Shah Alam berjaya menahan seorang suspek dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Cari adik bongsu hilang

Cari adik bongsu hilang
Rohani Adam, 66 dikhuatiri hilang sejak petang kelmarin.
REMBAU – Seorang kakak dari Kampung Tanjong Sena, di sini tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya apabila memikirkan keadaan adik bongsunya, Rohani Adam, 66, yang dikhuatiri hilang sejak petang kelmarin.

Hawa, 82, berkata, sejak semalam, dia bersama anaknya, Yaakob Alias, 63, dan beberapa penduduk sudah mencari adiknya di sekitar kawasan kampung.

Menurutnya, sebelum ini, adiknya yang mengalami gangguan mental sejak dua tahun lalu itu akan pulang ke rumah selepas keluar berjalan di kawasan Pekan Rembau dan kampung berdekatan.

“Tak pernah Rohani tidak pulang ke rumah...kalau tiada di rumah pun anak saya akan mencarinya di Pekan Rembau ataupun kawasan berhampiran dan menyuruhnya pulang.

Malah, adik juga akan pulang ke rumah selewat-lewatnya jam 7 petang. “Oleh itu, diharap orang ramai ataupun sesiapa sahaja yang ada melihat adik saya dapat memberikan maklumat kepada kami mahupun pihak polis di balai terdekat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjong Sena, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Yaakob berkata, maklumat terakhir yang diperoleh mengenai ibu saudaranya adalah daripada penjual petai yang ternampak dia berjalan di Chembong Halt kira-kira jam 6 petang.

Menurutnya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah kilang di Chembong, sejurus mengetahui ibu saudaranya tidak pulang ke rumah, dia terus mencari ibu saudaranya selepas tamat waktu kerja pada jam 8  malam hingga 11 malam.

"Sejak dua tahun lalu, inilah rutin harian saya bila ibu saudara yang sering keluar dengan berjalan kaki tanpa memakai selipar tidak pulang ke rumah.

"Bagaimanapun sebelum ini, ibu saudara saya akan pulang ke rumah walaupun lewat tidak seperti kali ini," katanya.

Berikutan kejadian itu, Yaakob membuat laporan di Balai Polis Rembau kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Samun: Empat penjenayah bersenjatakan parang larikan wang, barang kemas

Samun: Empat penjenayah bersenjatakan parang larikan wang, barang kemas
Keadaan bilik di rumah mangsa yang berselerak selepas digeledah penjenayah.
LUKUT – Lima sekeluarga berhadapan dengan situasi mencemaskan apabila empat penjenayah yang bersenjatakan parang menyerbu masuk ke rumah mereka, pagi semalam.

Ketika kejadian yang berlaku kirakira jam 7.45 pagi di Taman Bukit Tinggi Lukut itu, mangsa sedang bersiap untuk menghantar cucunya ke sekolah.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Cuan, 59, berkata, penjenayah berkenaan menyerbu masuk ke rumahnya melalui pintu utama yang ketika itu sudah dibuka kerana dia mahu menghantar cucunya ke sekolah.

“Penjenayah itu bersenjatakan parang dan sebaik sahaja masuk ke rumah, mereka membawa kami ke dalam bilik. “Selepas itu, kami semua diarahkan baring di atas katil sebelum mereka menutup bahagian badan dan kepala kami dengan selimut,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Cuan berkata, sebelum itu, salah seorang daripada penjenayah ada bertanya di mana dia menyimpan wang dan barang kemas.

“Kemudian mereka yang kesemuanya memakai penutup muka menggeledah bilik sebelum melarikan diri bersama wang dan barang kemas kira-kira 10 minit kemudian.

“Jumlah kerugian masih belum dikenal pasti dan semua ahli keluarga tidak dicederakan,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Lukut.

Geng pecah rumah tumpas

Geng pecah rumah tumpas
Shahidi menunjukkan motosikal dan komputer riba yang berjaya dirampas semula selepas penangkapan empat suspek.
JASIN - Kegiatan jenayah empat remaja lelaki berusia 14 hingga 16 tahun, yang memiliki ilmu dan kemahiran memecah masuk rumah dan kedai akhirnya tumpas.

Mereka berjaya ditangkap selepas 24 jam laporan dibuat seorang pelajar Politeknik Merlimau dan seorang pemilik premis menjual serta membaiki telefon bimbit di Balai Polis Merlimau, Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Jasin, Deputi Superintendan Shahidi Abdullah berkata, kegiatan itu dipercayai didalangi remaja berusia 14 tahun, digelar Azizi Botak. “Polis menerima laporan kirakira jam 12 tengah hari pada 28 Jun lalu  mengenai kes pecah rumah di Batu 15, Jalan Jasin-Merlimau dan kehilangan sebuah motosikal yang disimpan di dalam rumah tersebut, selain sebuah komputer riba, semuanya bernilai RM3,500.

“Tiga jam kemudian, seorang lagi pengadu buat laporan kehilangan tiga telefon bimbit milik pelanggan dan 23 bateri telefon bimbit pelbagai jenama selepas premisnya di Bandar Baru Merlimau dipecah masuk,” katanya pada sidang  media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, semalam.

Shahidi berkata, semua barangan milik mangsa berjaya dirampas semula selepas keempat- empat suspek ditangkap di kediaman masing-masing di Merlimau keesokan harinya. “Susulan tangkapan, kami turut merampas empat basikal  yang dicuri dan siasatan awal mendapati, mereka melakukan pecah rumah atau kedai melalui tingkap nako dan bumbung,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya suspek turut terlibat dalam siri pecah rumah di daerah ini termasuk tiga lagi kes pecah rumah di Merlimau yang pernah dilaporkan sebelum ini.

“Keempat-empat mereka kini ditahan reman sehingga esok (hari ini) dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan 379 A kanun sama kerana mencuri,” katanya.

Polis maut dilanggar bas ekspres

Mayat mangsa dimasukkan ke dalam trak polis untuk dihantar ke hospital bagi bedah siasat.
Mayat mangsa dimasukkan ke dalam trak polis untuk dihantar ke hospital bagi bedah siasat.
SEREMBAN - Seorang anggota polis berpangkat koperal maut dilanggar bas ekspres, selepas tercampak setelah merempuh bahagian belakang sebuah kereta rosak di lorong kecemasan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Kamarulzaman Abdullah, 50, yang berkhidmat di Balai PolisPudu, Kuala Lumpur, maut akibat parah di kepala dan kaki dalam kejadian di Kilometer 278 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat Nilai, di sini, petang kelmarin.

Jurucakap polis berkata,mangsa yang berasal dari Taman Panchor Jaya di sini, dipercayai dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas di Balai Polis Pudu.

“Mangsa yang menunggang motosikal sendirian jenis Yamaha LC135, dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Proton Perdana di lorong kecemasan akibat rosak.

“Rempuhan menyebabkan mangsa terbabas dan terjatuh di sebelah kanan jalan serta dilanggar sebuah bas ekspres,” katanya, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Kabel talian dicuri, ditemui terjuntai

Anggota JPAM menampal notis berkaitan talian gagal beroperasi.
Anggota JPAM menampal notis berkaitan talian gagal beroperasi.
Wan Salleh (dua, kanan) bersama anggota JPAM melihat keadaan kabel yang dipotong. Gambar kecil: Roki
Wan Salleh (dua, kanan) bersama anggota JPAM melihat keadaan kabel yang dipotong. Gambar kecil: Rokiah
PENDANG - Kira-kira 300 penduduk dan 10 agensi kerajaan berhadapan kesukaran menjalankan tugas apabila kabel talian Telekom Malaysia (TM) di Jalan Sungai Tiang Pendang hadapan kediaman rasmi Pegawai Daerah di sini dicuri sejak awal pagi kelmarin.

Kejadian menyebabkan penduduk Kampung Belakang Pendang, Banggol Petai, depan Sekolah Kebangsaan Pendang dan kampung berhampiran terputus hubungan untuk berkomunikasi dengan pihak luar.

Sinar Harian turut difahamkan, kejadian juga menyebabkan 10 agensi kerajaan kawasan terbabit seperti Jabatan Penerangan, Pos Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Lembaga Kemajuan Kedah (Keda), Jabatan
Pertanian, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian dan pejabat agama terjejas.

Peniaga, Wan Salleh Ismail, 56, berkata, dia menyedari talian kabel tersebut dicuri ketika datang membuka premis perniagaan dekat kawasan itu dimana dia mendapati kabel itu berada dalam keadaan terjuntai.

Menurutnya, kabel terbabit dicuri walaupun kira-kira 500 meter dari lokasi itu dikelilingi lampu jalan dan berdekatan dengan laluan utama.

“Ketika jam 12 malam saya masih di kedai, namun tidak kelihatan perkara mencurigakan. Mungkin kecurian ini dilakukan ketika penduduk leka menonton perlawanan bola sepak awal pagi itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM daerah Pendang, Mohd Izuddin Inus Meah berkata, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku hingga menyebabkan talian kecemasan di jabatan pihaknya gagal beroperasi.

“Kecurian ini menjejaskan JPAM menjalankan tugas terutamanya berkaitan hal kecemasan hingga penduduk terpaksa datang mengadu di pejabat seperti kes pokok tumbang, sakit, kemalangan dan banyak lagi.

“Ramai mengadu di pejabat mengatakan JPAM gagal menjawab panggilan telefon sedangkan mereka tak tahu talian itu gagal beroperasi disebabkan kecurian itu,” katanya.

Penduduk, Rokiah Ariffin, 47, dari Kampung Belakang Pendang berkata, kejadian itu menyebabkan penduduk gagal melayari Internet dan menjejaskan urusan dengan pihak luar.

Menurutnya, dia menyedari talian itu tidak berfungsi ketika ingin membuat panggilan, namun menyangka telefonnya rosak memandangkan kejadian itu tidak pernah berlaku.

Seorang lagi penduduk, Sharmi Zainol, 30, berkata, kecurian itu turut menyebabkan perniagaan secara talian yang diusahakannya terjejas.

“Kira-kira jam 2 pagi talian Internet masih boleh guna, tapi sekitar jam 7 pagi, baru sedar talian itu gagal digunakan hingga saya terpaksa keluar mencari restoran atau tempat yang menyediakan perkhidmatan (jalur lebar tanpa wayar) WiFi,” katanya.

Sehingga lewat petang semalam, sistem talian berkenaan masih terganggu. Sinar Harian akan cuba mendapatkan ulasan pihak TM Daerah Kota Setar dalam masa terdekat.

Warga India rentung kena hempap dinding rumah terbakar

Mayat mangsa dibawa keluar oleh anggota bomba untuk dihantar HPP.
Mayat mangsa dibawa keluar oleh anggota bomba untuk dihantar HPP.
GEORGETOWN - Mayat seorang lelaki warga India ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Lebuh King lewat petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba Lebuh Pantai, Ismail Md Zin berkata, mangsa dikenali sebagai Arokkiaraj, 34, berasal dari Tamil Nadu, dipercayai maut akibat dihempap siling salah sebuah bilik rumah kedai dua tingkat ketika kejadian.

“Kami terima panggilan mengatakan ada kebakaran di sebuah rumah kedai kira-kira jam 6 petang.

Difahamkan ada seorang mangsa masih terperangkap dalam rumah berkenaan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba yang bertugas menjalankan operasi memadam api sebelum masuk menyelamatkan mangsa. Sebaik tiba di tingkat dua, kita dapati mangsa sudah meninggal dunia akibat dihempap siling,” katanya di tempat kejadian kelmarin.

Menurutnya, mangsa difahamkan bekerja sebagai seorang penjahit pakaian tradisional India di kawasan berdekatan.

“Mayat lelaki malang itu ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan melecur hampir 80 peratus.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang tidur di dalam salah satu bilik yang diubahsuai.

“Siasatan awal mendapati, mangsa tidak menyedari kebakaran itu sekali gus terperangkap, kerana sedang nyenyak tidur,” katanya.

Beliau berkata, struktur rumah kedai yang diperbuat daripada papan juga menjadi salah satu faktor menyebabkan api merebak begitu pantas.

Bagaimanapun, bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit dan siasatan awal mendapati api bermula dari bahagian tengah rumah kedai itu yang menempatkan bilik mangsa.

Ismail berkata, mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Laga bahu bawa padah

Mat Fauzi
Mat Fauzi menunjukkan fotofi t dua individu yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes pukul sehingga mati.
Mat Fauzi menunjukkan barang kes rampasan dadah sambil diperhatikan oleh Mohd Ridwan (kiri).
Mat Fauzi menunjukkan barang kes rampasan dadah sambil diperhatikan oleh Mohd Ridwan (kiri).
BAGAN SERAI - Tindakan seorang buruh ladang berlaga bahu dengan seorang pemuda ketika berlangsungnya upacara sembahyang di Tokong Sri Maha Mariamman, Ladang Chersonese, di sini membawa padah apabila mangsa dibelasah sehingga mati oleh sekumpulan lelaki.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam 29 Jun lalu, mangsa, T Eharajoo, 34, yang berasal dari Ladang Chersonese dikatakan berselisih faham dengan salah seorang suspek kerana didakwa cuba mencetus pergaduhan ketika upacara sembahyang berlangsung.

Menurutnya, perselisihan faham itu membawa kepada pertikaman lidah sebelum mangsa bersama adik lelakinya dibelasah dan dipukul dengan benda keras oleh 15 pemuda di hadapan Dewan Ladang Chersonese, Jalan Siakap, Kuala Kurau ketika pulang ke rumah.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka serta meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Taiping.

“Manakala adik mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan muka. Bagaimanapun, polis difahamkan, keadaan adik mangsa stabil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radwan Bachik.

Mat Fauzi berkata, berikutan kejadian itu, polis melancarkan operasi menjejak semua suspek dan 13 pemuda berusia lingkungan 20-an, ditahan di Parit Buntar dalam tempoh 24 jam bagi membantu siasatan kes terbabit.

Menurutnya, polis turut percaya kumpulan itu didalangi dua pemimpin yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian berkenaan.

“Polis kini sedang mencari dua individu iaitu M Raj Kumar, 25, dan Mohamad Anuar Mohd Yusof, 26, yang berasal dari Ladang Soon Lee untuk membantu siasatan.

“Kedua-dua individu itu didapati mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan kes di bawah kanun keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1957,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman di lokap IPD Kerian sehingga 6 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Empat pengedar leka bungkus dadah dicekup MANAKALA dalam kejadian 25 Jun lalu, sekumpulan lelaki diberkas di sebuah pangsapuri di Bukit Merah Lake Town, di sini, ketika sedang leka membungkus dadah pelbagai jenis, kira-kira jam 8.30 malam.

Mat Fauzi berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis diketuai Asisten Superintendan Tan Boon Hai memberkas empat lelaki, berusia lingkungan 23 hingga 32 tahun itu.

Menurutnya, kesemua mereka tidak sempat melarikan diri ketika serbuan setelah pintu pangsapuri dibuka secara paksa.

"Kita menjumpai satu peket lutsinar berisi 810 pil ektasi seberat 180.30 gram bernilai RM24,300, dua peket lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 14.72 gram bernilai RM3,000 dan satu ketulan mampat ganja seberat 29.49 gram bernilai RM100.

“Pada masa sama, kita turut menemui satu peket plastik lutsinar berisi dadah heroin seberat 57.22 gram bernilai RM3,000 di ruangan bahagian brek tangan kereta selain merampas wang tunai berjumlah RM8,130, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, alat timbang elektronik, alat membungkus serta satu pelet plastik lutsinar," katanya.

Mat Fauzi berkata, siasatan lanjut turut mendapati seorang suspek cuba menyembunyikan satu anak kunci kereta jenis Proton Gen-2 yang diletakkan di hadapan premis dan jumlah keseluruhan nilai rampasan bernilai RM38,530.

Menurutnya, polis mengesyaki bekalan dadah diambil dari sekitar daerah Selama memandangkan ketiga-tiga suspek berasal dari Taiping dan dibungkus di pangsapuri itu yang dijadikan transit pengedaran dadah.

Katanya, keempat-empat suspek kini di reman sehingga 9 Julai ini untuk membantu siasatan.

"Dua daripada suspek ini mempunyai kesalahan jenayah lampau. Berdasarkan kes itu, kita akan meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti pengedaran dadah di daerah ini bagi mengelakkan usaha mewujudkan makmal dadah di sini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori sekiranya disabitkan kesalahan,” katanya.

Van rokok ditemui, suspek masih diburu SEMENTARA itu, van rokok dilarikan sekumpulan penyamun dalam satu rompakan bersenjata di hadapan sebuah kedai runcit Jalan Taiping, di sini berjaya ditemui polis di bahu jalan Sungai Baru, Semanggol minggu lalu.

Bagaimanapun, Mat Fauzi menegaskan puluhan karton rokok jenama Dunhill bernilai hampir RM20,000 di dalam van itu ‘lesap’ dipercayai dilarikan pada hari kejadian.

“Pada masa sama, kita masih menjejaki ketiga-tiga suspek yang dipercayai masih bebas dan satu pasukan tugas khas ditubuhkan bagi menyelesaikan kes ini.

“Polis turut memohon jasa baik orang ramai untuk melaporkan jika terdapat sebarang kegiatan mencurigakan melibatkan jenayah samun di kawasan masing-masing,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan sekumpulan tiga penjenayah menyamun seorang pekerja sebuah syarikat rokok dan melarikan van mengandungi berpuluh karton rokok jenama Dunhill bernilai hampir RM20,000 ketika mangsa sedang mengedarkan stok bekalan rokok di sebuah kedai runcit, berdekatan Jalan Taiping di sini, 24 Jun lalu.

Lebih mencemaskan, pekerja terbabit turut diculik sebelum ditinggalkan di Jalan Bukit Merah bagi membolehkan mereka melarikan van bernilai RM80,000, wang tunai RM2,700 dan empat keping cek belum ditunaikan bernilai RM6,000 menjadikan jumlah keseluruhan hampir RM100,000.

Geng pecah kilang tumpas

Geng pecah kilang tumpas
Ismail (kiri) menunjukkan antara barang yang ditemui semula.
JOHOR BAHRU - Polis menahan tiga lelaki dan seorang warga asing berusia lingkungan 25 hingga 44 tahun berhubung kes pecah masuk sebuah kilang di Pasir Gudang, 4 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ismail Yatim berkata, penahanan kesemua suspek membawa kepada penemuan semula barang-barang curi selepas polis mengadakan beberapa siri serbuan di Taman Johor Jaya, di sini, dan Negeri  Sembilan.

“Polis menerima satu laporan awal sebuah kilang di Pasir gudang telah dipecah masuk sekitar jam 8.17 pagi. Susulan itu, polis membuat beberapa siri serbuan dan tangkapan di Taman Johor Jaya dan Negeri Sembilan, seterusnya  menahan empat lelaki terdiri tiga warga tempatan dan seorang warga asing.

“Polis juga berjaya merampas semula dua klac lori; satu ‘air bellows’; satu ‘air dryer’; satu ‘mounting’; empat komponen besi; lima batang besi silinder; lapan keping brek ‘lining’; dua set ‘bearing’; satu besi ‘piston’; satu kotak ‘coolant filter’  dan lima gelung getah hitam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Menurutnya, salah seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai 13 rekod jenayah iaitu lima rekod ‘dikehendaki’; tiga di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan; dua di bawah kesalahan samun; lapan di bawah Akta Dadah  Berbahaya; satu kes di bawah Akta Senjata Berbahaya; satu di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan dan satu di bawah Akta Pengangkutan Jalan. Ismail berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga 29 Jun lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun berserta denda jika sabit kesalahan.

“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah kilang di Seri Alam,” katanya.

Mayat tergantung di jeti Bukit Kepong

Mayat mangsa dibawa ke HPSF untuk dibedah siasat.
Mayat mangsa dibawa ke HPSF untuk dibedah siasat.
MUAR - Seorang lelaki ditemui mati tergantung di sebuah jeti di Bukit Kepong berhampiran jambatan Durian Condong, Ledang, dekat sini, semalam.

Mangsa, Tan Inn Seng, 57, yang masih bujang ditemui kira-kira jam 8 pagi oleh seorang pekebun yang kebetulan melalui tempat kejadian untuk pergi ke kebunnya.

Abang mangsa yang enggan dikenali berkata, adiknya kelihatan murung sejak beberapa minggu lalu dan kali terakhir mereka bertemu pada Ahad lalu.

Menurutnya, dalam pertemuan tersebut, dia mengesyaki Inn Seng menghidap penyakit kerana tubuh badannya menunjukkan perubahan sangat ketara. “Namun, apabila ditanya keadaannya itu, Inn Seng hanya mendiamkan diri dan mengubah topik perbualan kami.

“Selama ini Inn Seng langsung tidak beritahu masalah dihadapinya dan saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung pada jam 8.30 pagi, mengatakan dia (Inn Seng) ditemui mati tergantung di jeti,” katanya.

Menurutnya, di tempat kejadian, dia sekali lagi terkejut apabila menemui sepucuk surat yang dipercayai ditulis sendiri oleh Inn Seng mengatakan tertekan dengan penyakit kanser usus dihidapinya. Katanya, dia diberitahu oleh beberapa penduduk kampung bahawa Inn Seng agak tertekan apabila dua rakannya meninggal dunia kerana menderita akibat penyakit kanser.

“Saya rasa perkara ini membuatkan Inn Seng runsing, meskipun keputusan pemeriksaan perubatan ke atasnya hanya diketahui pada 16 Julai ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan insiden tersebut.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Kematian mangsa tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Muhamad Muhaimin lumpuh anggota badan selepas terima suntikan

Yauza dan Hanisah saling bekerjasama mengangkat Muhamad Muhaimin ke atas tilam dari kerusi roda di r
Yauza dan Hanisah saling bekerjasama mengangkat Muhamad Muhaimin ke atas tilam dari kerusi roda di rumahnya dekat Kampung Pondok Paku.
JABI - "Akibat masalah itu, dia terlantar lebih setahun di rumah sebelum dapat menyabung persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabu awal tahun ini." Demikian Yauza Jusoh, 51, yang memohon simpati orang ramai untuk membantu merawat anak lelakinya berusia 17 tahun yang lumpuh anggota badan kerana menghadapi masalah saraf sejak lebih setahun yang lalu.

Yauza dari Kampung Pondok Paku dekat Kerandang di sini berkata, anaknya Muhamad Muhaimin, lumpuh kedua belah-belah kaki dan tangan kanan didakwa akibat selepas menerima suntikan kesihatan.

Menurutnya, anggota badan Muhammad Muhaimin mula lemah selepas suntikan pada 8 November 2010 ketika belajar dalam Tingkatan Tiga di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Pahang.

“Akibat masalah itu, dia terlantar lebih setahun di rumah sebelum dapat menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabu awal tahun ini,” katanya.

Yauza berkata, anaknya disahkan oleh pakar perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan menghidap penyakit Post Vaccination TT, disyaki akibat kesilapan suntikan.

Walaupun beberapa kali berulang alik menerima rawatan di hospital berkenaan namun keadaannya masih tidak banyak berubah apabila semua anggota badannya yang lumpuh masih belum dapat digerakkan hingga sekarang kecuali tangan kirinya yang dapat digerakkan.

“Dia bersekolahpun kerana semangatnya kuat untuk ke sekolah. Tetapi saya dan isteri, Hanisah Ishak, 46, terpaksa mengendongnya sebelum diletakkan di atas kerusi roda setiap kali dia pergi dan pulang ke sekolah.

“Dalam usia saya sebegini, saya terpaksa menggagahkan diri untuk mengangkat badannya seberat kira-kira 86 kilogram,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini.

Menurutnya, dia tidak dapat melakukan pekerjaan kerana terpaksa menguruskan anaknya untuk pergi dan pulang ke sekolah selain terpaksa bersiap sedia pada bila-bila masa ke sekolah sekiranya Muhamad Muhaimin ingin membuang air besar atau kecil.

Katanya, dia sekeluarga kini hanya mengharapkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.

"Dengan pendapatan sebegitu, saya sekeluarga tidak mampu membiayai perbelanjaan untuk anaknya mendapatkan rawatan pakar atau secara alternatif," katanya.

"Tambahan lagi, tiga adik beradik Muhamad Muhaimin masih belajar termasuk kakaknya Nur Izzati, 21, terpaksa berhenti belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), sebaliknya bertukar belajar di Kolej Kejururawatan di Kuala Lumpur kerana menyedari keluarganya kesempitan wang.

Dua lagi adik Muhamad Muhaimin, Mohd Habib Muizzuddin belajar dalam Tingkatan Dua juga di SMK Jabi dan Muhammad Marzulqi, murid Tahun 1 Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurung.

Sehubungan itu, Yauza dan isterinya merayu mana-mana pihak atau individu khususnya Kerajaan Negeri agar dapat membantu merawat anaknya supaya dia dapat bergerak seperti biasa dan masa depannya cerah seperti rakan sebayanya yang lain.

Kisah penderitaan remaja ini pernah disiarkan Sinar Harian April tahun lalu dan sebarang bantuan boleh menghubungi Hanisah di talian 013-9545767.

Pencuri barang lusuh dicekup

Tiga anggota polis CPJ Balai Dungun
Tiga anggota polis CPJ Balai Dungun sedang memeriksa barangan lusuh yang ditemui bersama suspek yang ditahan dekat Balai Besar, pagi semalam.
BALAI BESAR –Tindakan seorang kaki dadah melilau tanpa haluan di sebatang jalan raya dalam keadaan mencurigakan membawa padah apabila dia dicekup anggota polis dekat di sini, pagi semalam.

Suspek terbabit, 33, ketika ditahan dikatakan sedang menunggang basikal dengan membawa pelbagai peralatan dipercayai barang lusuh sebelum terserempak tiga anggota polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ), Balai Polis Dungun yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah.

Suspek dikatakan cuba melarikan diri namun gagal apabila menyedari kehadiran tiga anggota polis berpakaian preman itu.

Pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemui segulung kabel, wayar tembaga serta pelbagai barangan terbuang, dipercayai hasil barang curi.

Pemeriksaan lanjut ke atas suspek juga turut menemui beberapa jarum suntikan dipercayai digunakan untuk mengambil dadah selain alat pemotong wayar dan pemutar skru.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut.

Hasil semakan rekod polis, suspek yang berasal dari Sungai Udang itu turut mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, suspek berkenaan yang tidak bekerja ketika ditemui mengaku sering mencari barang lusuh di rumah penduduk sekitar sebelum dijual di kedai barangan lusuh dekat Balai Besar.

Katanya, dia memperoleh pendapatan antara RM30 hingga RM50 sehari setiap kali menjual barangan berkenaan dan duit itu akan digunakan untuk perbelanjaan harian selain turut membeli dadah jenis ‘song’ di sebuah klinik berdekatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut dan suspek kini sedang disiasat polis.

Remaja lelaki nyaris diculik

TUMPAT – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun berdepan detik cemas apabila nyaris diculik dua lelaki apabila dia ditarik masuk ke dalam sebuah van ketika melintas jalan untuk ke sekolahnya di Pasir Pekan, kelmarin.

Bagaimanapun pelajar terbabit berjaya melepaskan diri selepas tangan kirinya terlepas daripada pegangan penculik itu.

Kejadian berlaku apabila pelajar terbabit didatangi sebuah van yang bergerak perlahan menghala ke Jambatan Sultan Yahya di sini dalam keadaan mencurigakan lalu menghampirinya.

Ibu mangsa seorang guru sains di sebuah sekolah rendah di sini yang enggan dikenali memberitahu, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.50 petang apabila anaknya berjalan kaki bersendirian untuk melintas jalan di hadapan gerai buger berdekatan dengan stesesen minyak Petronas Pasir Pekan.

“Dia keluar dari rumah berjalan kaki ke sekolahnya di seberang jalan untuk latihan sukan.

“Nasib baik anak saya berjaya melepaskan diri walaupun berlaku tarik menarik antara anak saya dengan salah seorang penculik itu,” katanya.

Menurutnya, selepas tangannya terlepas daripada penculik itu, anaknya terus melarikan diri ke seberang jalan dan terus belari masuk ke kawasan sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima kejadian tersebut.

“Saya nasihatkan kepada pelajar supaya berhati-hati sekiranya didatangi orang yang tidak dikenali, ibu bapa juga perlu mengawasi anak masing- masing untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti ini,” katanya.

Mengaku salah ugut isteri guna parang, kayu

KOTA BHARU – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengugut mencederakan isterinya dengan parang, bulan lalu.

Hukuman terhadap Tuan Mohd Ya’acob Tuan Mahmood, 44, bagaimanapun ditangguhkan Majistret Nur Ahmeed Fahd Abdullah pada 8 Ogos depan.

Berdasarkan tuduhan, dia didakwa mengugut Nik Rohani Hussin, 36, di Kampung Teratak Pulai, Bachok pada jam 1 petang, 27 Januari lalu.

Berikutan itu, dia berdepan penjara yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau keduadua sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, tertuduh juga mengaku mengugut untuk mencederakan isterinya dengan kayu, pada jam 5 petang, 18 November dua tahun lalu.

Hukuman terhadap tuduhan itu turut sama ditangguhkan, sementara tertuduh dibenarkan diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, tertuduh merayu jaminan terhadapnya dikurangkan dengan alasan dia menanggung tujuh anak yang masih kecil dan bersekolah.

“Saya juga tidak berpendapatan tetap selain isteri tidak bekerja,” katanya.

Kembar terminum peluntur

Mohd Farhan (kanan) diriba Mohd Rozli semakin pulih manakala kembarnya, Mohd Farharin tidak terikut
Mohd Farhan (kanan) diriba Mohd Rozli semakin pulih manakala kembarnya, Mohd Farharin tidak terikut sama meminum peluntur ketika berada di dalam bilik air bersama kakak, Nor Asy
TUMPAT – “Terkejut saya melihat anak kembar saya muntah-muntah, jalannya terhuyung hayang. Ketika itu saya tercium bau peluntur di mulutnya dan mengesyaki dia terminum cecair tersebut,” kata Mohd Rozli Mohd Yusoh, 37, bapa kepada bayi kembar, Mohd Farhan, 16 bulan dipercayai terminum cecair peluntur di bilik air di rumahnya di Kampung Chat, di sini, kelmarin.

Mohd Rozli berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik tidur, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi tangisan Mohd Farhan dan jeritan anak sulungnya, Nor Asyikin, 14, pada jam 1 tengah hari.

Menurutnya, dia terus ke bilik air dan mendapati anak bongsunya itu sudah tidak bermaya.

“Dalam keadaan panik, saya cepat-cepat membawanya ke Klinik Kesihatan Sungai Pinang sebelum mendapat rawatan lanjut di Hospital Tumpat. Nasib baik dia tidak apa-apa tetapi ditahan di dalam wad di Hospital Tumpat semalaman,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku apabila Nor Asyikin meninggalkan adiknya bersendirian di dalam bilik air selepas dia membuat bancuhan peluntur di dalam gayung.

“Adiknya ditinggalkan bersendirian kerana Nor Asyikin naik ke atas rumah untuk mengambil baju yang akan direndam di dalam peluntur itu. Mungkin Mohd Farhan menyangka itu adalah air minuman,” katanya.

Mohd Rozli berkata, dia bersyukur kepada Allah kerana anaknya selamat, hanya Mohd Farhan yang terminum peluntur manakala kembarnya, Mohd Farharin tidak terikut sama meminum peluntur itu.

Menurutnya, isterinya, Aruni Che Lah, 33, yang biasa menjaga anak mereka tiada di rumah kerana sedang menjalani rawatan kanser di kampung halamannya di Thailand.

“Sejak isteri sakit, sayalah yang menjaga anak-anak seramai tujuh orang termasuk kembar yang terminum peluntur ini,” katanya.