Search This Blog

Tuesday, July 3, 2012

Cicak tokek diseludup, harga cecah RM100,000

Cicak tokek diseludup, harga cecah RM100,000
Spesies cicak tokek yang mempunyai nilai tinggi dan diseludup dari negara jiran.
PENGKALAN HULU – Aktiviti menyeludup 10 ekor cicak tokek dikesan dibawa masuk dari Betong, Thailand melalui Kompleks Imigresen Bukit Berapit telah dikesan di sini, minggu lalu.

Difahamkan, lelaki berusia 30-an itu memandu kereta model lama diarahkan berhenti kerana disangka cuba menyeludup beras siam akhirnya, didapati cuba menyeludup cicak berkenaan yang disembunyikan dalam guni.

Lelaki berkenaan disoal siasat berhubung penemuan cicak tokek itu dan mendakwa haiwan itu sudah ditempah dan dijual dengan harga mencecah RM100,000 seekor di negara ini.

Berdasarkan aktiviti itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Pehilitan) Negeri, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, cicak tokek  adalah spesies dilindungi dan telah dimasukkan dalam senarai haiwan dilindungi pada tahun 2010.

Menurutnya, individu yang memiliki atau membela spesies berkenaan perlu mendapatkan lesen daripada Perhilitan berikutan cicak berkenaan semakin pupus akibat menjadi buruan individu yang teruja dengan khabar angin yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit.

“Sekiranya ditahan, individu tersebut boleh disiasat mengikut Akta 716 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh didenda sehingga RM50,000. Sebanyak 12 spesies cicak berkenaan dimasukkan dalam kategori haiwan dilindungi.

“Larangan juga telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada Jun tahun lalu yang memutuskan hukum memakan dan berubat menggunakan cicak tokek adalah haram,” katanya.

Abdul Kadir berkata, pihaknya turut membuka pos sempadan di Kompleks Imigresen Bukit Berapit  sebagai langkah kawalan terutama mengesan sebarang aktiviti penyeludupan haiwan dilindungi itu.

“Kami meminta orang awam terutama penduduk sekitar daerah ini bekerjasama menyalur maklumat mengenai kegiatan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Komander Unit Pencegahan dan Penyeludupan (UPP) Negeri, Ishak Jaafar berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasa lain terutama Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Perhilitan untuk membanteras kegiatan itu.

“Kami akan bertindak dalam sebarang kes penyeludupan sebelum menyerahkan kes seumpama itu kepada agensi berkaitan terutama membabitkan penyeludupan beras, pendatang tanpa izin dan aktiviti penyeludupan haiwan dilindungi,” katanya.

2 ditahan, 'eksport' kad kredit palsu ke luar negara

SHAH ALAM - Polis memberkas dua lelaki yang disyaki terlibat dengan pengeluaran kad kredit palsu dalam operasi di sebuah restoran di Suria Kinrara, Puchong Sabtu lepas.
   
Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata polis menemui enam kredit kad yang dipercayai palsu pada kedua-dua penganggur berusia 31 tahun itu.
   
"Mereka kemudian membawa polis ke sebuah pangsapuri sewaan mereka di Suria Kinrara dan hasil pemeriksaan polis menemui sembilan mesin untuk mengekod dan membuat cetakan timbul, kad kredit kosong, satu unit pemprosesan komputer (CPU), dan tiga modem," katanya.
   
Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata polis turut merampas 636 kad kredit Visa dan MasterCard dipercayai palsu.
   
"Siasatan polis mendapati kad kredit yang telah siap itu dihantar ke luar negara," katanya.
   
Tun Hisan berkata kedua-dua mereka kini direman sehingga 5 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda. - Bernama

5 warga Bangladesh rentung

5 warga Bangladesh rentung
Anggota forensik bomba melakukan siasatan di lokasi kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Puchong Perdana awal pagi tadi. - Foto Bernama
PUCHONG – “Hanya seminit sahaja saya dapat dengar jeritan rakan-rakan meminta tolong di bilik tingkat atas sebelum suara itu lenyap.” Demikian kata M D Rubel, 27, salah seorang daripada dua mangsa yang terselamat dalam kejadian kebakaran mengorbankan lima warga Bangladesh di Puchong Perdana, awal pagi tadi.

Rubel berkata, pada mulanya dia menyangka enam lagi penghuni rumah teres dua tingkat itu terselamat apabila jeritan meminta tolong tidak lagi kendengaran.

Bagaimanapun, hatinya luluh apabila mendapat tahu rakan serumah yang semuanya warga Bangladesh, Sarova Baboo, 27;, Ruman, 27;, Mohd Baser, 27; Mohd  Farouk, 24; Abdullah Al Farhad rentung akibat terperangkap dan gagal menyelamatkan diri.

Katanya, kejadian mula disedari apabila dia terasa bahang dan mendapati bekalan elektrik di dalam bilik tidurnya di tingkat bawah terputus.

Dalam kejadian itu, hanya dia dan seorang lagi rakan, Billal Hussein yang tidur di ruang tamu dapat menyelamatkan diri.

Tanpa menyangka kejadian buruk menimpa, Rubel mendakwa dia terus membuka pintu bilik dan terkejut mendapati api marak memenuhi ruang tamu.

Sepuluh terbunuh, 17 cedera kemalangan bas di Surat Thani, Thailand

BANGKOK - Sepuluh orang, termasuk seorang warga India, terbunuh manakala 17 lagi, lapan daripadanya warga asing, cedera setelah bas persiaran yang mereka naiki tergelincir di Kanchanadit, Surat Thani, hari ini.

Ketua Polis Kanchanadit Kol Suriya Nakkaew berkata bas itu sedang dalam perjalanan dari Bangkok ke Pulau Koh Phangan berhampiran Surat Thani apabila tiba-tiba tergelincir dan melanggar tiang elektrik di lebuhraya Surat Thani-Nakhon Si Thammarat kira-kira 5.30 pagi.

Pelancong warga India itu yang dikenal pasti sebagai Amid Jame dan sembilan rakyat Thai meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang terkorban ialah pemandu bas Ang Srinuan, Wanchai Boonnukoon (lelaki), Kimtan Saedan (perempuan), Surasak Maipaitoon (lelaki), Chutiporn Tosowarn (perempuan), Saharat Chummano (lelaki), Kamnueng Somjaimai (perempuan), Samarn Hombanyen (perempuan), dan seorang wanita Thai yang belum dikenal pasti.

Lapan penumpang yang cedera masing-masing terdiri daripada warga Britain, India dan Luxembourg.

Mereka ialah Roberta Napton (Britain/perempuan/cedera di muka), Joathan Bennett (Britain/lelaki/cedera di kaki), Pinry Jain (India/perempuan/cedera di kepala), Pushpinder Kunnup (India/lelaki/cedera di telinga), Agshina Jain (India/perempuan/cedera di dada dan belakang) Feguerdo Matias Michael (Luxembourg/lelaki), Aohima Jain (India/lelaki/cedera di kaki) dan Jassmine Maglige (warganegara belum diketahui).

Kol Suriya berkata hubungan antara tiga warga India iaitu Pinry, Agshina dan Aohima yang berkongsi nama keluarga Jain, belum dapat dipastikan.

Sembilan warga tempatan yang cedera dikenal pasti sebagai Thitima Klomklieng (perempuan/cedera di belakang), Peerasak Yensiri (lelaki), Sodsai kathasen (perempuan/cedera di dada dan belakang), Emjikorn Boonkong (lelaki), Nampet Boonperm (perempuan).

Prom Pijarnpong (cedera di kaki), Pitawan Suwarn Prasert (perempuan), Komsan Nantasahakitkun (lelaki/cedera di leher) dan Jaraporn Laokamkaew
(perempuan/cedera di kaki).

Kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Surat Thani. - Bernama

Selamba jual nombor ekor tepi semak

Selamba jual nombor ekor tepi semak
Kelihatan pelangan membeli tiket nombor ekor dengan tauke yang menjual tiket berkenaan di tepi semak berdekatan simpang tiga utama masuk ke Bandar Cheneh Baru, Kemaman.
KEMAMAN – Demi mahu kaya cepat tanpa mengenal halal dan haram, segelintir orang Islam di sekitar Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 1, dekat sini, sanggup membeli tiket nombor ekor dengan seorang tauke yang menjualnya di tepi semak berdekatan deretan kedai di simpang tiga utama masuk ke Bandar Baru Cheneh.

Hanya berbekalkan sebuah kerusi dan payung, tauke berusia dalam lingkungan 50-an itu selamba menjual tiket loteri tanpa lesen di situ setiap Rabu, Sabtu dan Ahad bermula jam 10 pagi hingga jam 5.30 petang.

Seorang penduduk yang enggan identitinya didedahkan berkata, tauke terbabit mula menjual nombor ekor di situ sejak 2000 lagi, dan biarpun banyak kali ditangkap polis, namun dia masih berani mengulangi kesalahan sama.

Menurutnya, lebih memalukan, majoriti pembeli terdiri daripada orang Melayu dan Indonesia yang merupakan peneroka serta pekerja ladang sawit beragama Islam berusia belasan tahun, sehinggalah yang sudah masuk fasa warga emas.

Selain itu, Orang Asli Sungai Pergam yang tinggal berdekatan dan golongan pekerja ladang wanita warga Indonesia juga antara pelanggan yang sering mengunjungi port jualan judi nombor ekor tidak berlesen itu.

“Dengan harga tiket serendah RM1, ramai penduduk sekitar datang membeli tiket nombor ekor ini.

Apa yang saya dengar ada yang pernah mendapat sehingga RM60,000 selepas tiket nombor yang dibeli mengena. Ramai juga yang menang sebanyak RM12,000.

“Namun, itu semua tidak halal. Bukan sahaja pada bulan biasa, pada bulan puasa juga aktiviti ini berterusan.

Kebiasaannya paling ramai pembeli pada jam 4 dan 5 petang kerana ramai yang baru keluar dari ladang sawit,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, disebabkan tidak berlesen, pembeli yang membeli tiket nombor ekor terbabit boleh menang dengan hadiah lebih lumayan berbanding jika membeli tiket di kedai-kedai judi nombor ekor berlesen, memandangkan hadiah yang dimenangi tidak dikenakan cukai pendapatan.

“Kerana sudah ada di depan mata (mudah untuk dibeli), ramai orang Islam datang beli tiket nombor ekor ini untuk mencuba nasib. Kalau tempat jualan haram ini tiada, saya rasa pembeli tidak akan pergi membelinya di bandar Kuantan atau bandar Kemaman,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan lebih tegas dalam membendung kegiatan itu termasuk mengambil tindakan kepada pembeli yang beragama Islam untuk menyedarkan mereka.

Penganggur dipenjara 11 tahun, 20 sebatan miliki ganja

SHAH ALAM - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan 20 kali sebatan oleh  Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana kesalahan memiliki 737 gram ganja tahun lepas.
   
Hakim Noor Azian Shaari membuat keputusan itu selepas Mohd Aizat Deris, 29, yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya Berbahaya 1952,  hari ini mengaku salah terhadap dua pertuduhan pilihan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan mengikut Seksyen 6/39A(2) akta yang sama.
   
Bagi pertuduhan pilihan itu, Mohd Aizat didakwa memiliki ganja seberat 156.9 gram pada 17 Feb, 2011 pada pukul 7.45 malam di tepi jalan besar dekat kedai makan Putra Tomyam Batu 14, Hulu Langat, Kajang .
   
Dia juga didakwa memiliki ganja seberat 580.1 gram di sebuah rumah beralamat No 19, Batu 14, Jalan Hulu Langat, Kajang pada pukul 8.15 malam pada hari yang sama.
   
Noor Azian berkata setelah menimbangkan kepentingan umum, pengakuan tertuduh, berat dan jenis dadah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan 10 kali sebatan bagi pertuduhan pertama dan bagi pertuduhan kedua 11 tahun penjara dan 10 kali sebatan.
 
Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 11 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh Mohd Aizat ditangkap.
   
Terdahulu, peguam yang mewakili Mohd Aizat, Mohamed Hanipa Maidin merayu kepada hakim supaya hukuman ke atas anak guamnya diringankan dan berjalan serentak dengan mengambil kira pengakuannya.
   
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran ke atas tertuduh kerana kesalahannya serius.
   
Beliau berkata sebelum ini Mohd Aizat yang ditahan pada 17 Feb 2011 telah didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama

Polis tubuh pasukan khas siasat kes culik keluarga personaliti Singapura

JOHOR BAHRU - Polis Johor menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dan mengesan suspek yang terlibat dalam kes culik terhadap adik perempuan, dua anak serta pembantu rumah personaliti Singapura, Rita Zahara, di sebuah stesen minyak, di sini awal pagi semalam.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Amer Awal berkata pihaknya percaya suspek yang terlibat dapat ditahan dalam masa terdekat memandangkan polis sudah menemui beberapa petunjuk berhubung kejadian terbabit.
   
"Polis, bagaimanapun, masih belum mengenal pasti sama ada suspek yang terlibat dalam kes itu warga tempatan atau sebaliknya. Selepas kejadian berlaku, kesemua mangsa dibebaskan tanpa sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
   
Amer berkata polis kini sedang mengesan kenderaan Nissan Sunny berwarna putih yang bernombor pendaftaran Singapura milik mangsa yang dilarikan oleh suspek terlibat.
   
Memetik laporan media Singapura, Channel News Asia, kejadian pada 12.45 pagi semalam berlaku ketika Rita Zahara, 37, berhenti seketika di sebuah stesen minyak berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin untuk mengisi minyak dan membeli buah-buahan.
   
Dia meninggalkan adik perempuannya yang berusia 19 tahun, dua anaknya yang berusia 11 dan enam tahun serta pembantu rumah mereka di dalam kereta Nissan Sunny miliknya itu sebelum kenderaan berkenaan dilarikan.
   
Rita Zahara kemudian menghubungi adiknya, namun panggilan itu dijawab oleh seorang lelaki yang kemudiannya meminta wang tebusan dan mengugut akan membunuh anggota keluarganya jika melaporkan kes itu kepada polis.
   
Rita Zahara dikatakan turut mengadakan rundingan selama empat jam dengan dua penculik berkenaan sebelum kesemua anggota keluarganya itu dibebas dan ditinggalkan di sebuah kawasan perumahan di Ulu Tiram, di sini.
   
Amer berkata polis kini sedang mengesan kenderaan Nissan Sunny itu yang bernombor pendaftaran Singapura berkenaan.
   
Sementara itu, Rita Zahara menerusi akaun Facebooknya berkata dia dan keluarganya kini selamat kembali ke rumahnya di republik berkenaan.
   
"Anak saya, adik, pembantu rumah dan saya selamat kembali ke Singapura. Ia adalah pengalaman dahsyat. Mimpi ngeri bagi setiap ibu yang anak dan orang yang disayangi diculik dan diacu senjata api. Saya tidak boleh bercerita lebih pada masa ini. Saya terlalu letih sekarang. Terima kasih untuk ucapan selamat anda," katanya menerusi akaun berkenaan. - Bernama

Tujuh lelaki dipenjara 15 tahun sebabkan kematian polis

MELAKA - Tujuh lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah mendatangkan kecederaan sehingga menyebabkan kematian terhadap seorang anggota polis berpangkat konstabel pada 2008.
   
Tertuduh ialah Saiful Baharin Jalil, 31; adiknya Mohd Haniffah Jalil, 30; Khairul Anwar Abu Hashim, 22; Razif Md Shah, 22; Johar Bahir, 26; Norhamezi Omar, 27; dan Firdaus Md Shah, 27.
   
Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu.
   
Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan yang diwakili peguam Abdul Kadir Ismail, Yusof Rahmat dan Mohan Singh untuk menangguhkan perlaksanaan hukuman yang sepatutnya bermula hari ini bagi mengemukakan rayuan.
   
Kesemua mereka didakwa atas pertuduhan pindaan bersama-sama empat yang masih bebas, mendatangkan kecederaan kepada Mohd Fairuz Shafiee yang ketika itu berusia 23 tahun hingga menyebabkan kematian mangsa.
 
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Restoran Nasi Kandar Subaidah (PG) Sdn Bhd, Plot 6, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini pada 11.05 malam, 21 November 2008.
   
Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304 (a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.
   
Terdahulu pihak pembelaan memohon hukuman ringan berikutan kesemua tertuduh telah insaf selain mendakwa kejadian tersebut melibatkan maruah dan harga diri apabila isteri Saiful Baharin dilarikan mangsa.
   
Bagaimanapun pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Abu Bakar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tindakan tertuduh dibuat tanpa usul periksa dan mengikut nafsu serta tidak mematuhi undang-undang negara ini.
   
Mangsa meninggal dunia selepas dua bulan berada dalam keadaan koma, katanya. - Bernama

Polis tumpas sindiket curi data akaun bank dan kad kredit

NIBONG TEBAL - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri data akaun bank dan kad kredit yang bergiat aktif di negeri ini sejak tahun lepas selepas menahan tiga lelaki dalam satu serbuan pada 22 Jun lalu.
   
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata bertindak hasil maklumat dan risikan sejak enam bulan lepas, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Pulau Tikus, dekat sini dan menahan tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.
   
"Modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah memasang satu alat tambahan pembaca magnetik yang menyerupai slot kemasukan kad Mesin Juruwang Automatik (ATM) bagi mendapatkan data kad debit dan kredit pelanggan bank.
  
"Mereka juga akan memasang satu unit kamera yang menggunakan bateri telefon bimbit atau kamera jenis tanpa wayar di mesin ATM berkenaan bagi merakam nombor pin yang dimasukkan pelanggan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Selatan (SPS), di sini hari ini.
   
Katanya selepas memperoleh data kad debit dan kredit berkenaan, sindiket terbabit akan mengklonnya untuk mengeluarkan wang serta pembelian barang di Thailand dan Taiwan.
  
Abdul Rahim berkata tiga buah bank telah membuat laporan polis berhubung kegiatan sindiket berkenaan dan kerugian dianggarkan lebih RM100,000.
   
"Sehingga kini juga lebih 50 pelanggan bank telah membuat aduan kepada pihak bank berhubung pengeluaran wang dan pembelian barang melalui kad debit bank di lakukan di Thailand dan Vietnam," katanya.
   
Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya komputer riba, 14 kad Smile Esso Mobil, 3 kad putih mengandungi jalur magnetik, dua slot kad plastik berwarna kelabu dan hijau menyerupai slot kad ATM dua buah bank dan satu unit kamera serta komponen kamera yang diubah suai.
   
Katanya ketiga-tiga lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat atau denda.
   
Orang ramai diminta supaya membuat laporan polis jika berlaku transaksi pengeluaran wang yang meragukan atau mengesyaki sesuatu yang mencurigakan dipasang di mesin ATM. - Bernama

Bergolek selamatkan diri

Bergolek selamatkan diri
Kenderaan jenis Toyota Hilux yang dilarikan empat penjenayah dalam kejadian samun di Sungai Siput, kelmarin.
SUNGAI SIPUT – Bernasib baik, itulah yang difikirkan seorang pengurus ladang, apabila berjaya melarikan diri dari diculik empat penjenayah dalam satu kejadian samun di Ladang Dovenby di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Azman Salim berkata, mangsa berumur 51 tahun itu, tekad bergolek keluar dari kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux miliknya ketika penjenayah berkenaan membuat pusingan U menghala ke Ipoh di ladang itu.

Menurutnya, pada kejadian jam 3.40 pagi itu, mangsa dari arah Ipoh dalam perjalanan pulang ke rumahnya di sini, memberhentikan kenderaannya berhampiran lampu isyarat di sini setelah melihat seorang lelaki berusia 30-an melambai-lambai seolah-olah meminta pertolongan.

"Ketika mangsa ingin turun dari kenderaan, dua lelaki bersenjatakan parang tiba-tiba memasuki bahagian tempat duduk belakang dan mengugut mangsa menyerahkan semua barangan berharga manakala, seorang lagi menunggu dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.

"Mangsa bergelut dengan penjenayah dan mengalami cedera ringan sebelum diletakkan di bahagian but belakang kenderaan berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Kata beliau, sebaik sahaja menyelamatkan diri dan mangsa kemudian berjalan sejauh 10 kilometer untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

Jelasnya, berpandukan laporan itu, pihaknya berjaya mengesan kenderaan berkenaan di Baling, Kedah kira-kira lapan jam kemudian dan menahan dua lelaki di dalam pacuan empat roda tersebut.

“Suspek ketiga ditahan di Seberang Jaya, Pulau Pinang manakala, seorang lagi masih dicari bagi membantu siasatan.

"Mangsa kerugian lebih RM2,000 apabila telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM600 dilarikan," katanya. Azman berkata, ketigatiga suspek berusia 28 hingga 33 tahun itu kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis masih mencari seorang suspek dikenali sebagai Roslan Hashim, 34, beralamat terakhir di Kampung Menora, Kuala Kangsar.

"Orang ramai mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menyalurkannya di balai polis berhampiran" katanya.

Dua ditahan miliki senapang angin buatan sendiri

BESUT - Polis menahan dua lelaki, termasuk remaja berumur 16 tahun, setelah didapati menyimpan selaras senapang angin buatan sendiri ketika serbuan narkotik dijalankan di sebuah kediaman di sini, semalam.
    
Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata remaja itu ditahan bersama rakannya berumur 21 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pasir Akar, Hulu Besut semasa operasi besar-besaran diadakan di daerah itu.
   
Katanya ketika serbuan dibuat kira-kira pukul 1 pagi, lelaki berumur 21 tahun itu sedang tidur di ruang tamu manakala rakannya yang berumur 16 tahun sedang menyorok di dalam rumah berkenaan.
   
"Kedua-dua suspek ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik yang diketuai Insp Rumaizur Rahman Ab Sattar bersama anggotanya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Beliau berkata hasil pemeriksaan menemui senapang angin itu yang disorok di
dapur rumah.
   
Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
   
Kamaruddin berkata dalam operasi yang dijalankan selama 24 jam itu, lima pasukan dari pelbagai cawangan polis yang terlibat itu membuat pemeriksaan terhadap 91 individu, termasuk 12 wanita dan daripada jumlah itu, 27 saman dikeluarkan kerana beberapa kesalahan terutamanya penyalahgunaan dadah. - Bernama

Taktik seludup mercun gagal

Taktik seludup mercun gagal
Sebahagian mercun dan bunga api bernilai RM 120,000 yang dirampas pagi semalam.
KOTA BHARU - Taktik licik penyeludup mercun yang menyorokkan bahan letupan terbabit, di sebuah rumah kosong di Kampung Baruh Pial, Rantau Panjang berjaya ditumpaskan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan, dalam serbuan pagi semalam.

Operasi pada jam 1 pagi itu, disertai 20 anggota dan pegawai penguat kuasa yang berjaya merampas 120 kotak pelbagai jenis bunga api dan mercun dianggarkan bernilai RM120,000.

Komander UPP Kelantan, Rusli Karim berkata, serbuan dilakukan hasil risikan di kawasan terbabit sejak sebulan lalu.

“Semasa pihak kami menyerbu rumah itu, ia ditinggalkan kosong dan tiada tangkapan di buat setakat ini.

“Hasil kesemua rampasan itu di bawa ke pejabat UPP di Kota Bharu sebelum diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan susulan,”katanya kepada pemberita ketika sidang media semalam.

Rusli berkata, mercun terbabit dipercayai berasal dari negara China di bawa masuk melalui Thailand ke Kelantan untuk dipasarkan ke Lembah Klang sempena musim perayaan tidak lama lagi.

“Barangan terbabit ditahan di bawah seksyen 135 (1d) Akta Kastam 1967.

“Kejayaan ini, merupakan rampasan terbesar yang dilakukan UPP sepanjang tahun ini,”katanya.

RM72j kompaun tahun lalu

Ismail (kiri) memerhatikan Latiff menampal Logo P pada replika motosikal di Majlis Penutup SKSJ 2012
Ismail (kiri) memerhatikan Latiff menampal Logo P pada replika motosikal di Majlis Penutup SKSJ 2012, semalam.
TELOK MAS - Sebanyak 390,056 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan kompaun bernilai kira-kira RM72 juta di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad berkata, jumlah itu dijangka meningkat pada tahun ini berikutan 364,593 saman dikeluarkan dalam tempoh lima bulan.

“Daripada jumlah itu, kira-kira RM28.5 juta kompaun dikutip dari Januari hingga Mei tahun ini hasil bayaran dibuat pengguna yang melakukan pelbagai kesalahan.

“Bagaimanapun, terdapat pengurangan jumlah saman dikeluarkan pada 2010 berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 434,934 mambabitkan kira-kira RM69 juta kutipan kompaun,” katanya pada sidang media selepas majlis Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJP (SKSJ) 2012 di Padang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Latiff Tamby Chik dan Pengarah JPJ negeri, Mohd Fadhil Hassan.

Menurut Ismail, peningkatan jumlah pengeluaran saman dan bayaran kompaun sejak 11 tahun lalu berikutan peningkatan operasi atau penguat kuasaan dijalankan anggotanya.

Sementara itu, katanya, sebanyak 9,042 saman dikeluarkan membabitkan kutipanRM744,090 kompaun di Melaka dari Januari hingga Mei lalu, manakala sejumlah 12,695 saman dikelurkan dengan hasil kutipan kompaun sebanyak kira-kira RM2 juta.

3 beradik warga Arab maut kemalangan selamat dikebumi

LANGKAWI - Tiga beradik warga asing berketurunan Arab yang maut dalam kemalangan jalan raya di Ayer Hangat, Sabtu lepas dikebumikan di tanah perkuburan Masjid A'ishah, Sungai Menghulu di sini petang semalam.
Imam masjid berkenaan Othman Yahaya berkata pengkebumian itu diadakan selepas solat Asar kira-kira 5.30 petang semalam di mana ketiga-tiga beradik itu ditanam dalam satu liang.
" Lebih 50 orang termasuk keluarga terdekat adik-beradik itu dan penduduk tempatan menghadiri pengebumian itu," katanya.
Tiga beradik itu ialah Miriam Mohamad Maisara Hameed, 26, Alaa Muhamad Maisara Abdul Hamid, 16, dan Muhamad Mayara Abdul Hamid, 18.
Kejadian Sabtu lepas membabitkan pelanggaran sebuah teksi dan lori simen mengakibatkan empat orang maut termasuk pemandu teksi Zuber Ibrahim, 42, dengan tiga mangsa lagi adalah penumpang teksi tersebut. – Bernama

Skandal ubat: GlaxoSmithKline didenda RM9 bilion

Skandal ubat: GlaxoSmithKline didenda RM9 bilion
Paxil, salah satu daripada tiga jenis ubat keluaran GlaxoSmithKline, yang menjadi tumpuan kes.
NEW YORK - GlaxoSmithKline didenda kira-kira RM9 bilion (AS$3 bilion) oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) semalam  kerana gagal melaporkan maklumat keselamatan tiga jenis ubat yang sangat popular keluaran syarikat itu.
Daripada AS$3 bilion itu, AS$1 bilion adalah bagi penyelesaian kesalahan jenayah manakala AS$2 bilion lagi sebagai liabiliti sivil - jumlah terbesar dibayar oleh mana-mana syarikat pengeluar ubat di AS.
Laporan media menyebut GlaxoSmithKline akan membuat pengakuan bersalah atas tuduhan memperkenalkan ubat yang tersilap jenama iaitu Paxil, Wellbutrin dan Avandia dalam pasaran antara negeri di AS.
Menurut pihak berkuasa, ubat-ubat itu dipasarkan sebagai bahan rawatan bagi keadaan yang tidak mendapat kelulusan kerajaan.
Timbalan Penguam Negara AS, James Cole dipetik berkata penyelesaian itu sesuatu yang luar biasa “dari segi skop dan saiz.”
Pengeluar ubat-ubatan terbesar itu mengaku mempromosikan Paxil dan Wellbutrin bagi kegunaan-kegunaan yang tidak diluluskan termasuk bagi rawatan ke atas kanak-kanak dan orang dewasa.
Selain itu, syarikat tersebut juga mengaku bersalah berhubung tuduhan menyembunyikan butiran data keselamatan dan membuat dakwaan-dakwaan tidak berasas berkenaan ubat diabetes Avandia.
Malah, syarikat itu juga didakwa membuat bayaran kepada doctor untuk mempromosi dan menggunakan ketiga-tiga ubat berkenaan.

Anak Michael Jordan digari cetus pergaduhan

Anak Michael Jordan digari cetus pergaduhan
Murcus (kanan) ditahan di Omaha selepas cetus pergaduhan
NEBRASKA - Anak pemain legenda bola keranjang, Micheal Jordan ditahan awal pagi kelmarin, selepas mencetuskan ketegangan di luar sebuah hotel di Omaha, Nebraksa, Amerika Syarikat.

Marcus Jordan yang juga pelajar kolej bola keranjang dipercayai bertengkar dengan dua wanita di hadapan hotel berkenaan.
Media melaporkan, pihak hotel terpaksa menghubungi polis bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku kerana dia dipercayai mabuk ketika itu.
Beliau juga terpaksa digari selepas enggan bekerjasama dengan polis ketika disoal siasat dan dibebaskan sehari selepas itu.

Polis tahan lapan penyamun termasuk tiga wanita, tentera

NIBONG TEBAL - Polis menahan lapan orang termasuk seorang anggota tentera yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mereka ditahan dalam satu operasi khas minggu lepas selepas melakukan samun terhadap tiga lelaki warga Bangladesh di Taman Jawi Ria, di sini pada 26 Jun lepas.

"Hasil maklumat kes samun itu, anggota polis Balai Bergerak Sungai Bakap melancarkan 'Ops Kesan' dan mengekori sebuah jenis Honda Jazz yang dinaiki empat lelaki terbabit dan sedang menuju ke arah utara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Selatan (SPS), di sini hari ini.

Katanya dengan bantuan anggota ronda bermotosikal dari Balai Polis Sungai Bakap dan Balai Polis Bukit Tengah, kereta Honda Jazz itu berjaya dikepung di kawasan Perkampungan Juru.

"Mereka cuba melarikan diri ke kawasan hutan dan seorang daripada mereka diberkas di tempat kejadian manakala dua lagi lelaki termasuk anggota tentera yang bertugas di Kem Sungai Petani, Kedah ditahan dalam kawasan perkampungan itu," katanya.

Abdul Rahim berkata setelah membuat pemeriksaan kenderaan Honda Jazz itu, polis dapati kereta berkenaan telah dilaporkan hilang di Klang, Selangor pada 28 April lepas.

Hasil siasatan susulan, pada hari yang sama polis berjaya menahan lima lagi anggota kumpulan penjenayah itu iaitu dua lelaki dan tiga wanita yang menginap dalam sebuah hotel di Taiping, Perak.

Abdul Rahim berkata kumpulan itu juga didapati aktif dalam samun bersenjata dan pecah rumah di Selangor dan Johor.

"Kesemua suspek berusia 19 hingga 27 tahun itu ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkumpulan," katanya. - Bernama

Treler terjunam gara-gara elak lubang

treler
Treler dinaiki dua beradik terjunam dari jejambat setinggi 10 meter di Jalan Ros Merah Utama, Taman Johor Jaya, semalam.
JOHOR BAHRU – Gara-gara cuba mengelak lubang, seorang pemandu cedera ringan dan kelindannya patah kaki kanan apabila treler dinaiki hilang kawalan, lalu terjunam dari jejambat setinggi 10 meter di Jalan Ros Merah Utama, Taman Johor Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.07 pagi itu, pemandu, V Ramu, 22, manakala adiknya, V Iswaran, 18, dalam perjalanan menghantar barang dari Melaka ke Pasir Gudang bernasib baik tidak mengalami kecederaan serius akibat kemalangan itu.

“Saya cuba untuk mengelak jalan berlubang dan disebabkan itu, saya gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas lalu melanggar pengadang jejambat berkenaan sebelum terjunam setinggi kira-kira 10 meter.

“Ketika itu, kami berasa cemas dan terbayang bakal berdepan dengan maut, namun kami bersyukur kerana masih terselamat walaupun adik patah kaki, selepas berjaya keluar daripada treler berkenaan saya terus menghubungi keluarga di Melaka.

Ramu berkata, akibat kemalangan berkenaan beliau mengalami kerugian kira-kira RM30,000 apabila treler yang dipandunya rosak teruk, selain perlu menanggung kos memperbaiki kerana perlindungan insurans hanya membabitkan pihak ketiga.

Sementara itu, bapa mangsa, P Veteveloo, 45, bergegas dari kediamannya di Melaka selepas menerima panggilan Ramu memaklumkan mengenai kemalangan terbabit, termasuk kecederaan yang dialami Iswaran.

“Saya bergegas ke tempat kejadian kerana risau terhadap keadaan mereka, namun bersyukur kerana kedua-dua anak saya selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba, Taman Johor Jaya, Azemi Abdullah berkata, pihaknya tiba ke lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian membabitkan enam anggota bagi mengalihkan treler berkenaan yang mempunyai muatan karung plastik.

“Disebabkan kemalangan itu, Jalan Ros Merah Utama ditutup daripada laluan trafik sekali gus menyebabkan kesesakan,” katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja mengalihkan kenderaan dan muatan selesai kira-kira 2.15 petang, manakala kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menerima rawatan.

Motosikal lesap sekelip mata

Motosikal lesap sekelip mata
Mohd Farid menunjukkan laporan polis yang dibuat bersama gambar dua lelaki yang didakwa memberi cek palsu dan membawa lari motosikalnya.
BANDAR PUTERI - Seorang pegawai eksekutif yang berhasrat menjual motosikal berkuasa tinggi kesayangannya ditipu dua lelaki yang memberi cek palsu berjumlah RM83,500, Selasa lalu.

Dalam kejadian itu, dua pemuda yang ingin membeli motosikal berkenaan telah memberi cek yang didapati palsu sebelum bertindak melarikan kenderaan itu,

Mangsa yang hanya mahu dikenali Mohd Farid, 28, berkata, dia menjual motosikal tersebut kerana berhasrat ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi namun tidak menyangka telah ditipu.

Bagi tujuan itu, menurutnya, dia telah mengiklankan motosikalnya itu dengan harga RM82,000 di sebuah website yang dikenali ramai danberharap ada peminat yang ingin membelinya.

“Tidak lama kemudian seorang lelaki menghubungi saya dan memaklumkan yang dia berminat untuk membeli motosikal itu.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, lelaki yang dikenali Mohd Faizul Muhammad telah datang ke kediaman saya di Bandar Puteri dengan ditemani seorang rakan,” katanya.

Sebaik bersua dengan kedua-dua pemuda yang berusia 20-an itu, dakwanya, dia secara tiba-tiba bersetuju untuk menyerahkan motosikalnya itu kepada Mohd Faizul.

“Dalam keadaan saya yang separa sedar, saya memberi kunci motosikal kepada Mohd Faizul dan dia turut menyerahkan cek bernilai RM83,500 atas nama sebuah syarikat.

“Mohd Faizal turut memaklumkan lebihan RM1,500 adalah untuk urusan penukaran nama pemilik motosikal dan urusan lain,” katanya.

Dia berkata, tidak lama kemudian kedua-duanya beredar bersama motosikalnya tanpa banyak soal dari pihaknya.

Mohd Farid berkata, alangkah terkejutnya dia selepas cek bernilai RM83,500 yang dimasukkan ke sebuah bank sehari kemudian adalah palsu selepas dimaklumkan pegawai yang bertugas.

“Malah pada hari yang sama juga saya macam baru tersedar dari mimpi yang motosikal saya telah hilang.

“Ingatan saya kembali mengimbas apa yang berlaku beberapa hari sebelum ini dan saya percaya saya telah dipukau kedua-dua lelaki tersebut jika tidak takkan saya berani serahkan kunci tanpa diberikan bayaran tunai.

Sepatutnya saya harus mengambil wang terlebih dahulu sebelum menyerahkan motosikal,” katanya.

Tidak berputus asa, katanya, dia menghubungi Mohd Faizul beberapa kali dan memaklumkan kegagalan cek tersebut malah Mohd Faizul juga berjanji akan memasukkan sejumlah wang tersebut dalam akaun pihaknya dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun sehingga kelmarin wang tersebut tidakdimasukkan dan mengesyaki diri saya telah ditipu, saya segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut daripada pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Walaupun begitu, menurutnya, dia bernasib baik apabila isterinya bertindak bijak dengan merakam gambar kedua-dua lelaki tersebut ketika mereka berkunjung ke kediamannya Selasa lalu.

“Isteri saya sudah mengesyaki sesuatu apabila Mohd Faizal enggan menunjukkan kad pengenalannya apabila diminta dan memberi alasan dompetnya hilang beberapa hari sebelum itu,” katanya.

Mohd Farid berkata, sesiapa yang mengenali atau menemui kedua-dua lelaki terbabit diminta menghubungi balai polis terdekat atau abangnya di talian 012-2192440.

Kebuk sampah kena pecah

Kebuk sampah kena pecah
Firdaus (duduk) dan Zulkernain (berdiri, kanan) menunjukkan kebuk sampah yang dipecahkan di taman itu.
BUKIT TERATAI - Usaha menyelesaikan isu sampah haram di Taman Bukit Teratai terbantut apabila disabotaj oleh individu yang tidak berpuas hati dengan pembinaan kebuk sampah di kawasan itu.

Setiausaha Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 23, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohammad Firdaus Babh berkata, kebuk sampah yang hampir siap hasil usaha sama JKP Zon 23, Badan Pengurusan Bersama (JMB) Taman Bukit Teratai dan MPAJ untuk mengatasi masalah haram sejak 15 tahun lalu dipecahkan oleh segelintir penduduk.

Menurutnya, mengikut perancangan, 62 kebuk sampah yang dibina bagi menyelesaikan masalah sampah haram di taman itu sepatutnya dilancarkan pada 1 Julai 2012 tetapi ada pihak yang bertindak memecahkannya.

“Individu yang memecahkan kebuk sampah tersebut telah dikenal pasti. Sikap pihak berkenaan merencatkan usaha JKP dan pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah sampah haram yang berlarutan berbelas tahun lamanya.

“Kejadian ini dicetuskan oleh pihak terbabit dikatakan merasakan pembinaan kebuk sampah tersebut mengganggu keselesaan penduduk sedangkan pembinaan kebuk sampah berkenaan adalah mengikut pelan yang diluluskan oleh pihak berkuasa," katanya.

Dalam kejadian baru-baru ini, lapan kebuk sampah telah dipecahkan dan dianggarkan kerugian mencecah RM6,200 daripada keseluruhan kos projek iaitu RM48,000 bagi kegunaan kira-kira 369 unit kediaman rumah kedai di sini.

Firdaus berkata, berikutan daripada vandalisme dan sabotaj tersebut, pihak JKP dan JMB taman itu terpaksa menangguhkan rancangan menutup tiga lokasi pembuangan sampah dalam kawasan itu .

Menurutnya, mengikut jadual, kontraktor sampah akan mula mengambil sampah-sampah penduduk dari kebuk yang disediakan sebaik sahaja tiga tong sampah besar di lokasi itu ditutup seterusnya mengatasi masalah berkenaan.

Sementara itu, Syarikat Zulkernain iaitu kontraktor pembinaan kebuk sampah itu kesal dengan kejadian tersebut.

Pengurusnya, Zulkernain Sulaiman berkata, kejadian itu menyebabkan syarikatnya rugi besar dan penggunaan kebuk terpaksa ditangguhkan seterusnya melambatkan usaha mengatasi sampah haram sejak 15 tahun lalu.

11 cedera, bas ekspres terbalik di Lebuh Raya Utara-Selatan

KUALA LUMPUR - Sebelas penumpang cedera, dua daripadanya parah, selepas bas ekspres yang mereka naiki terbalik ketika dalam perjalanan ke Alor Setar, Kedah di Kilometer 457.5 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini, hari ini. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata bas itu, yang membawa 28 penumpang dari terminal Pudu Sentral di sini, terbabit dalam kemalangan itu ketika hujan lebat kira-kira 3 petang.
   
Beliau berkata pemandu bas itu mendakwa kemalangan berlaku setelah dia cuba mengelak sebuah lori yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.
   
"Ketika mengelak, pemandu bas ekspres itu gagal mengawal bas menyebabkan kenderaan itu terbabas ke laluan kanan lalu melanggar besi pembahagi di tengah lebuh raya sebelum terbalik di laluan paling kiri," katanya ketika dihubungi.
   
Arjunaidi berkata bagaimanapun, beberapa penumpang bas itu menyatakan pemandu berkenaan memandu dengan laju sebelum kemalangan berlaku.
   
Beliau berkata semua penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan manakala pemandu bas berusia 30 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan, termasuk menjalani ujian air kencing dan darah.
   
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan laju hingga menyebabkan kecederaan. - Bernama

Sembilan peniaga rugi

Empat daripada sembilan peniaga menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka.
Empat daripada sembilan peniaga menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka.
ALOR GAJAH - Sembilan peniaga terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM5,000 selepas buah-buahan dan wang yang ditinggalkan di gerai Pasar Awam Pekan Masjid Tanah, dekat sini, sejak enam bulan lalu hilang dipercayai dicuri.

Terbaru, seorang peniaga, Abu Saleh, 62, kehilangan 10 kilogram durian yang baru dibekalkan untuk dijual hilang.

Abu Saleh berkata, dia menyedari kehilangan itu sebaik sahaja tiba di gerainya kira-kira jam 6.30 pagi, kelmarin.

"Saya datang ke gerai untuk mengemas dan ketika itu, saya lihat bakul berisi 10 kilogram durian, wang syiling RM3 yang diletakkan dalam satu bekas serta beberapa ikat petai tiada.

"Saya baru sahaja bercadang hendak menjual durian berkenaan pada hari ini (semalam), namun sudah tiada dan buah ini dianggarkan bernilai RM40,” katanya.

Menurutnya, ini adalah kali keempat buah-buahan di kedainya hilang termasuk beberapa tandan pisang dipercayai dicuri antara jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi sebelum gerai di pasar awam dibuka sekitar jam 6.30 pagi.

“Buah-buahan di gerai saya dan peniaga lain kerap hilang dan disebabkan masalah ini, Empat daripada sembilan peniaga menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka.

Pelanggan juga kurang datang ke pasar awam,” katanya ketika ditemui di pasar awam itu, semalam.

Seorang lagi peniaga, Mohd Fauzi Rahim, 48, yang turut kehilangan 15 sisir pisang berkata, kejadian itu semakin menjadi-jadi dan terbaru mereka terpaksa mengupah orang untuk menjaga kawasan gerai.

"Upah untuk membayar seorang lelaki itu dikumpul secara bersama dengan peniaga lain, namun tidak berhasil apatah lagi dalam keadaan kedai yang tidak berpagar.

“Kejadian ini dilihat semakin menjadi-jadi apabila kami terpaksa berpindah sementara di kawasan tempat letak kereta di pasar ini berikutan terdapat proses membaik pulih bangunan pasar awam kira-kira dua minggu lalu," katanya.

Katanya, mereka tidak membawa balik semua buahbuahan ke rumah kerana sudah memiliki gerai yang disewa.

"Sebelum ini, pernah ada individu yang cuba mengambil buah-buahan di sini, namun tidak sempat apabila disergah kumpulan lelaki yang kebetulan melalui jalan pasar ini.

“Keuntungan kami tidak sebesar mana tetapi kerugian yang ditanggung jauh lebih tinggi,” katanya yang sudah berniaga lebih lima tahun.

Berikutan kejadian itu, peniaga berkenaan membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin yang mengesahkan menerima laporan itu berkata, siasatan berhubung kejadian berkenaan sedang dijalankan.

Hasil ragut dibuang beg dalam semak

Sebahagian barangan yang dipercayai hasil daripada kejadian ragut.
Sebahagian barangan yang dipercayai hasil daripada kejadian ragut.
MASJID TANAH - Penemuan beg serta barangan dipercayai hasil ragut, menggemparkan penduduk Kampung Londang, di sini, kelmarin.

Barangan tersebut ditemui di kawasan kebun milik penduduk di Jalan Laksamana Dua dipercayai lokasi persinggahan sementara peragut untuk menggeledah hasil kerja jenayah mereka.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, seorang penduduk, Rasul Ahmad, 46, terjumpa dengan beg tangan wanita semasa menebas semak samun di kebun getah miliknya.

“Semasa sedang menebas, mata saya terpandang satu objek pelik yang sebahagiannya tertanam. Pada mulanya, saya tidak hiraukannya, sebaliknya beredar ke kawasan lain,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian tidak sedap hati, lalu berpatah semula dan membelek objek berkenaan sebaik saja selesai kerja menebas.

“Saya mengambil sebatang kayu dan mencungkilnya beberapa kali sebelum berjaya dikeluarkan.

“Terkejut saya apabila mendapati barangan itu adalah beg tangan kulit dan di dalamnya terdapat kad pengenalan seorang wanita berbangsa Cina berusia 33 tahun,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Rasul bagaimanapun percaya wanita terbabit adalah mangsa ragut sebelum begnya dilemparkan di kawasan semak itu.

Dia kemudiannya menghubungi Balai Polis Masjid Tanah berikutan penemuan itu.

“Sementara menunggu polis tiba, saya sempat membelek beg tangan berkenaan yang hampir dipenuhi dengan tanah dan akar kayu. Ia dipercayai dibuang di situ sejak sekian lama,” katanya.

Difahamkan, pemeriksaan polis turut menemui MyKad, lesen memandu, kad kredit dan kad ATM dan dokumen peribadi.

Sindiket curi data tumpas




Abdul Rahim Jaafar (tiga dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket mencuri data kad pelanggan yang berjaya ditumpaskan pada sidang akhbar di IPD Seberang Perai Selatan, Nibong Tebal, semalam.



NIBONG TEBAL 2 Julai - Satu sindiket menggunakan kad kredit dan debit palsu daripada tiga buah bank bernilai RM100,000 berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya tiga lelaki hasil serbuan polis baru-baru ini.


Kumpulan itu dipercayai menggunakan alat pembaca magnetik yang menyerupai kad slot mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk mencuri nombor pin kad akaun bank dan kad kredit pelanggan bank.


Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, serbuan pada 22 Jun lalu dibuat hasil maklumat dan risikan yang dikumpulkan pihaknya sejak 11 November lalu.

Seludup mercun sudah bermula



Rusli Karim (kiri) bersama anggotanya menunjukkan pelbagai jenis mercun yang dirampas di Ibu Pejabat UPP Kota Bharu, Kelantan, semalam.



KOTA BHARU 2 Julai - Bulan Ramadan belum lagi tiba namun kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kira-kira dua bulan lagi sudah mula dikesan di sempadan tanah air negara.


Ini terbukti apabila Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas 120 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM120,000 di Kampung Baroh Pial di sini awal pagi ini.


Komandernya, Rusli Karim berkata, kesemua bahan larangan itu ditemui ditinggalkan dalam kawasan semak di sebuah ladang getah pada pukul 1 pagi dan dipercayai bekalan itu akan diambil pihak tertentu untuk dijual di pasaran Lembah Klang.

Sindiket dipercayai tipu lebih 20 mangsa


NIBONG TEBAL 2 Julai - Sindiket pemalsuan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM) yang ditumpaskan berikutan penangkapan tiga individu kelmarin dikesan telah menipu lebih 20 orang mangsa sejak tiga bulan lalu.


Menurut Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, sindiket yang didalangi lelaki berusia 26 tahun itu menawarkan setiap ijazah USM pada harga RM4,888 menerusi satu laman web khas.


Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah mengiklankan tawaran ijazah dari USM yang maklumat itu boleh dimasukkan ke dalam pangkalan data universiti berkenaan menerusi sebuah laman web.


"Sindiket itu akan meminta mereka yang berminat membeli ijazah berkenaan untuk memasukkan wang ke dalam akaun yang dimiliki oleh individu tertentu dan mereka juga tidak melayan pelanggan menerusi talian telefon," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan hari ini.

Kelindan patah kaki, lori jatuh dari jejambat



Guni-guni plastik bertaburan di atas jalan apabila sebuah lori yang membawa bahan tersebut terjatuh ke bawah jejambat setelah terbabas di Jalan Ros Merah Utama Taman Johor Jaya, Johor Bahru, semalam.



JOHOR BAHRU 2 Julai - Seorang kelindan lori, P. Iswaran, 18, patah kedua-dua kaki setelah kenderaan dipandu abangnya hilang kawalan sebelum terjatuh ke laluan bawah ketika melalui sebuah jejambat di Jalan Ros Merah Utama, Taman Johor Jaya di sini hari ini.


Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi ketika lori itu yang dipandu abang mangsa, Ramu Mariapan, 22, di Lebuh Raya Pasir Gudang hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan dan terjatuh ke bawah jejambat berkenaan.


Iswaran yang cedera di kaki berjaya dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Taman Johor Jaya yang diketuai Ketua Operasinya, Azmi Abdullah.

Georgetown dilanda banjir kilat


RUMAH di sekitar Jalan P. Ramlee dinaiki air ketika banjir kilat melanda Georgetown selepas hujan lebat lebih dua jam di Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 2 Julai - Hujan lebat selama lebih dua jam tengah hari ini mengakibatkan beberapa jalan utama di pusat bandar Georgetown mengalami kesesakan teruk selepas dilanda banjir kilat.
Antara kawasan yang terlibat ialah Jalan Masjid Negeri, Jalan Datuk Keramat, Jalan Burmah, Jalan Perak, Jalan Macalister dan Lebuh Macallum yang dipenuhi ratusan kenderaan yang terperangkap.
Menurut jurucakap bomba dan penyelamat, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 1.30 petang berhubung paras air naik sehingga tiga meter di dua lokasi iaitu Jalan Datuk Keramat berdekatan Hospital Pulau Pinang dan Jalan P. Ramlee.
"Keadaan itu menyebabkan ada penduduk di kawasan rendah terperangkap di dalam rumah masing-masing.