Ramai jadi pelacur, buruh paksa

Bangkok: Thailand terus menjadi sumber, pusat transit malah destinasi bagi penyeludupan manusia apabila ramai penduduk tempatan dan mereka yang mencari pekerjaan dari negara jiran menjadi mangsa dalam industri seks atau terperangkap sebagai buruh paksa biarpun penguatkuasaan Akta Anti Penyeludupan Manusia pada 2008, kata Ketua Pengarah Kementerian Keselamatan Manusia dan Pembangunan Sosial, Yanee Lertkrai. Beberapa wilayah di utara dan timur laut menjadi pusat permulaan. 
“Mangsa dihantar dari sana ke wilayah lain di Thailand atau sebuah negara ketiga,” katanya.

Kemiskinan jadi punca

Hari ini, mangsa turut dibawa dari negara berhampiran seperti Laos, Myanmar malah China.

Pensyarah Fakulti Sains Politik Universiti Hat Yai, Nukool Chinfuk, yang menjalankan kajian terhadap masalah ini mendapati ia semakin serius di selatan. 
“Sebilangan kumpulan penjenayah ini membawa penduduk Myanmar ke Ranong di mana sebilangan mereka dihantar ke Samut Sakhon manakala yang lain dihantar ke selatan Thailand, Malaysia dan Singapura,” katanya.

Kebanyakan sumber meletakkan umur mangsa pelacuran antara 11 hingga 15 tahun. Mereka memasuki industri ini untuk memberi bantuan kewangan kepada keluarga yang miskin.

Leftenan Kolonel Jatuporn Aurn-rerkthawin dari Jabatan Siasatan Khas, berkata wanita Cina mendapat permintaan tinggi pelanggan di rumah pelacuran di selatan.

“Tempat berkenaan banyak menyediakan pelacur Cina-Malaysia,” katanya.

“Wanita dari utara Thailand mempunyai kulit dan bentuk badan cantik.

Ketua unit antipenyeludupan manusia di Myanmar, Kapten Yin Yin Ae, berkata tahun lalu operasi bersama dengan pegawai Thailand berjaya menyelamatkan 36 wanita Myanmar berusia bawah 18 tahun.

“Kebanyakan mereka meninggalkan kampung tanpa mengetahui akan terbabit dalam kancah pelacuran.

“Selepas merentasi sempadan, mereka dijual kepada ejen di Thailand yang akan mengunci dan memukul mereka untuk memaksa terbabit dalam industri berkenaan,” katanya. – Agensi