Search This Blog

Friday, June 29, 2012

Bunyi ular disangka perompak

Bunyi ular disangka perompak
Ismail (empat, kiri) menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap sambil diperhatikan Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR), Syed Othman Syed Abdullah (empat, kanan).
PASIR GUDANG – Kira-kira 40 keluarga penduduk Kampung Sepakat Masai, di sini gempar apabila bunyi bising yang disangka perompak rupa-rupanya seekor ular sawa sedang membaham ayam.

Wakil penduduk, Ismail Talib, 42, berkata, ular sawa seberat lebih kurang 25 kilogram dan sepanjang 14 meter itu sudah empat kali ditangkap sejak awal tahun ini.

Menurutnya, ular sawa itu dikatakan datang dari tanah kosong berhampiran yang pada asalnya tapak rumah, tetapi sudah dipenuhi semak-samun sejak setahun lepas.

“Kami pada awalnya menyangka ada orang hendak memecah masuk rumah apabila bunyi ayam dalam reban bising seperti terkejut. “Apabila dihampiri, ruparupanya ia seekor ular sewa yang sedang membelit untuk membaham ayam yang berada di dalam reban salah seorang penduduk kampung,” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, penangkapan buat kali keempat ular sawa itu sejak awal tahun ini menambahkan kebimbangan penduduk terhadap keselamatan terutama kanak-kanak.

Menurutnya, tambahan kawasan perkampungan itu kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat sehingga menambahkan kegusaran penduduk, selagi semak-samun di kawasan berhampiran tidak dibersihkan.

“Kami terlalu bimbangkan keselamatan terutama anak-anak kerana kebanyakan kami bekerja tidak menentu masa.

“Kami telah beberapa kali memberitahu kebimbangan ini kepada pemimpin setempat, tetapi kita tidak pasti apa tindakan yang telah dibuat kerana sehingga kini semak-samun itu masih belum dibersihkan.

“Kita mohon kerjasama pihak bertanggungjawab supaya mengambil tindakan segera membersihkan semak-samun ini kerana kami tidak mahu berlaku kejadian yang tidak diingini selepas ini,” katanya

Suami isteri disamun RM30,000 oleh tiga lelaki

KUANTAN - Sepasang suami isteri kerugian kira-kira RM30,000 selepas disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di rumah mereka di Taman Bahagia Baru, Temerloh dalam kejadian 10.30 pagi semalam.
   
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Md Nor Mansor berkata ketika kejadian, isteri yang berusia 57 tahun itu berada di tingkat bawah rumah manakala suaminya, 58, sedang mandi di tingkat atas.
   
Katanya mangsa tiba-tiba didatangi tiga lelaki bersenjatakan parang yang meluru masuk ke dalam rumah dan bertindak mengacukan parang ke leher mangsa.
   
"Suami mangsa yang turun ke bawah apabila terdengar bunyi bising turut diacukan parang di lehernya sebelum penyamun itu menggeledah rumah mereka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
   
Md Nor berkata suspek kemudiannya melarikan diri bersama barang kemas dan
wang tunai RM2,300 yang keseluruhannya berjumlah RM30,000.     Beliau berkata suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Altis berwarna putih.
   
Polis kini, katanya giat memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu diminta melaporkan di balai polis berhampiran. - Bernama

Humban anak menangis

MALANG...bayi setahun dipercayai didera bapa.
MALANG...bayi setahun dipercayai didera bapa.
SAKIT...kesan luka pada badan  dipercayai dicubit dan kesan tumbukan di kepala.
SAKIT...kesan luka pada badan dipercayai dicubit dan kesan tumbukan di kepala.
PENAMPANG: Seorang bayi lelaki berusia setahun yang menangis akibat kelaparan, bukannya dipujuk atau diberi susu, sebaliknya ditumbuk dan dihumban ke katil sehingga terjatuh ke lantai menyebabkan tulang belakangnya cedera.
Malah, siasatan turut mendapati bayi malang itu turut didera berdasarkan keadaan telinga dan kemaluannya yang cedera, selain terdapat beberapa kesan luka serta melecur di tapak kaki, dipercayai akibat dicucuh puntung rokok.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh berkata, kejadian itu berlaku di Kampung Tunoh, di sini, kira-kira jam 4 pagi, 10 Jun lalu.

Menurutnya, sebelum kejadian ayah bayi itu yang berusia 24 tahun sedang tidur sebelum terjaga apabila terdengar tangisan anaknya yang mungkin kelaparan.

“Ibu mangsa berusia 20 tahun kemudian bangun daripada tidur dan terus ke dapur untuk menyediakan susu manakala bayinya ditinggalkan di sisi suaminya.

Juruteknik minta dibicara

SHAH ALAM: Seorang juruteknik dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua tuduhan merogol pelajar berusia 14 tahun dalam sebuah bilik di hotel bajet di sini, tahun lalu.

Mohd Tarmizi Juwayer, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Slamat Yahya.


Mohd Tarmizi dari Telok Panglima Garang, dekat sini, didakwa melakukan perbuatan itu di bilik 116 Mutiara Inn, No 52-54, Jalan B25/B, Taman Perindustrian Axis, di sini pada jam 11 malam 29 Julai 2011.

Lelaki itu didakwa sekali lagi merogol mangsa di tempat sama pada jam 5 pagi, keesokan harinya.


Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim menawarkan jaminan RM10,000 untuk semua pertuduhan.


Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon ia dikurangkan atas alasan tidak berkemampuan.


Slamat membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM12,000 untuk kedua-dua pertuduhan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Julai ini.

2 bilal terkejut

KAPAR: “Kebumikannya mengikut cara Islam.” Itu antara kandungan dalam nota yang ditemui di sisi mayat bayi lelaki dalam plastik hitam yang diletak di atas tangga Masjid Badariah, Kampung Batu 12, di sini, awal pagi semalam.

Mayat bayi terbabit yang masih bertali pusat ditemui bilal dan siak masjid berkenaan yang tiba di masjid itu untuk menunaikan solat Subuh kira-kira jam 5.30 pagi.


Nazir Masjid, Zulkifli Ayub, 50, berkata pada mulanya kedua-dua bilal dan siak terbabit menyangka bungkusan hitam yang diletakkan di atas tangga itu sampah, namun terkejut apabila mendapati ia mengandungi mayat bayi.

“Bilal itu hampir pengsan sebaik membuka bungkusan plastik itu apabila mendapati ia mengandungi mayat bayi lelaki,” katanya.


Zulkifli berkata, mayat bayi itu hanya dibaluti kain lampin putih selain terdapat sekeping nota yang memintanya dikebumikan mengikut cara Islam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi, berkata pihaknya menerima panggilan daripada bilal masjid berkenaan berhubung penemuan itu pada jam 6.40 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.


Beliau berkata, mayat bayi terbabit yang belum diketahui bangsanya dipercayai dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang masih bertali pusat.


“Siasatan awal mendapati bayi terbabit baru saja dilahirkan dan sudah meninggal dunia ketika pihak polis tiba di tempat kejadian. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat,” katanya.

‘Semua benda musnah’

ULU KINTA: “Saya terkilan apabila semua buku sekolah termasuk komputer riba 1Malaysia baru diterima, musnah,” kata mangsa kebakaran, Mohd Haikal Ismail, 10, semalam.

Dalam kejadian jam 2.50 petang itu, petir menyambar rumah di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Dua di sini, itu mengakibatkan berlaku letupan dipercayai litar pintas dan kebakaran.
Haikal yang ditemui berkata, kejadian berlaku hanya kira-kira 10 minit selepas dia meninggalkan rumah untuk pergi memancing bersama rakan di sungai berhampiran.

Menurutnya, dia terkejut apabila namanya dijerit berulang kali oleh jiran sebelum melihat rumahnya terbakar.



“Saya meminta jiran menghubungi ibu bekerja di kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Kinta.

300 lesen batal

TINDAKAN menyeleweng diesel bersubsidi atau memajak lesen menangkap ikan nelayan kepada nelayan asing menerima padah apabila 300 lesen itu dibatalkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, pembatalan lesen itu dibuat dalam satu proses pemutihan ke atas nelayan terutama di pantai timur Semenanjung yang diadakan, baru-baru ini.


“Ramai pemilik bot dan pemegang lesen memajakkan lesen kepada nelayan lain termasuk dari Vietnam. Bot mereka mendapat subsidi diesel tetapi ikan yang didaratkan tidak setimpal dengan diesel subsidi itu.

“Oleh itu, kami menarik balik lesen mereka bagi memastikan hanya nelayan yang mengusahakan sendiri bot mereka diberikan kelulusan menangkap ikan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.


Beliau yang menjawab soalan tambahan Datuk Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat) berkata, kementerian juga bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memantau kesalahan yang dilakukan seperti penjualan ikan dan minyak bersubsidi di tengah laut.


Sementara itu, menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Pendang), Mohd Johari berkata, sebanyak 433,218 tan metrik ikan dalam bentuk segar dan beku diimport ke negara ini tahun lalu.


“Selain memenuhi keperluan orang ramai, ikan ini juga diimport untuk perusahaan kilang pemprosesan bagi produk nilai tambah pasaran dalam negara dan eksport.


“Antara negara pengeksport ikan ke negara ini termasuk Thailand, Indonesia, India, Pakistan, Bangladesh, China dan Vietnam,” katanya.

Selain itu, katanya, antara usaha yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi menstabilkan harga ikan dalam negara termasuk menggalakkan pengimport mengimport spesies ikan tertentu mengikut musim bekalan ikan dapat memenuhi permintaan dalam negara.


Katanya, kementerian melaksanakan Program Insentif Hasil Tangkapan bagi menggalakkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan mereka dalam negara, seterusnya membantu menambahkan bekalan ikan dalam negara.

Dua beradik tak kenang budi

ALING: Dua beradik yang berpura-pura menziarah sepasang warga emas di Kampung Batu Satu, Kuala Ketil, yang pernah menjaga mereka ketika kanak-kanak, sanggup melarikan wang tunai dan barangan kemas bernilai RM2,000, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang, kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20-an dikatakan datang ke rumah warga emas itu untuk bertanya khabar dan meminta buah kelapa kononnya untuk mengadakan majlis kenduri sebelum melarikan barang milik mangsa.


Bahar Jamalun, 88, berkata, ketika kejadian itu, dia dan isterinya, Azizah Nayan, 68, serta seorang anak perempuan Norhidayati ,27, sedang membuat kuih.

“Saya tidak menyangka dua lelaki yang pernah diberi makan minum dan menjaga mereka ketika kanak-kanak sanggup mencuri di rumah saya dengan melarikan beg yang tersimpan wang tunai dan dokumen penting turut lesap.


“Mereka minta buah kelapa kononnya untuk mengadakan majlis kenduri. Saya suruh mereka ambil dan mengopek sendiri buah itu di halaman rumah,” katanya.


Menurutnya, dia melihat salah seorang daripada mereka merayau-rayau dalam rumah dan tidak mengesyaki apa-apa kerana menganggap mereka sebagai anak sendiri.


“Namun, keesokannya, kami tersedar apabila anak saya, Norhidayati mendapati begnya yang digantung di dinding, hilang. Saya syak beg itu dikebas lelaki itu ketika dia merayau dalam rumah. “Kami kehilangan wang tunai dan barangan kemas semuanya bernilai hampir RM2,000 selain kad pengenalan isteri dan anak serta buku akaun bank yang disimpan dalam beg berkenaan,” katanya.

10 rumah ranap dipukul ribut kencang

BANDAR BAHARU: “Nasib baik saya terdengar jeritan anak lelaki menyuruh saya menyelamatkan diri kerana bumbung rumah di ruang tamu diterbangkan angin.

“Saya bersyukur kerana keluarga tidak mengalami kemalangan,” kata Hendun Darus, 74, antara mangsa ribut yang meranapkan 10 rumah di Kampung Permatang Pasir dan Kampung Banggol Mat Rasid, di sini, semalam.


Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi, penduduk bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila angin kencang diikuti hujan lebat melanda kampung berkenaan.

Hendun berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di dalam bilik manakala menantu perempuan, Zailawati Abu Hasan, 30, sedang memasak di dapur sementara anak lelaki, Nasruh Johan, 33, berehat di ruang tamu.


“Saya terkejut kerana anak lelaki saya, Nasruh Johan, 33, tiba-tiba menjerit memanggil saya dan menantu supaya menyelamatkan diri kerana bumbung rumah di bahagian ruang tamu rumah diterbangkan angin.


“Saya bergegas bangun dan melihat ruang tamu rumah basah serta bumbung yang berlubang, kami kemudian menyelamatkan pelbagai barangan untuk mengelak ia terkena hujan,” katanya selepas menerima lawatan wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmy Abdul Khan yang melawat mangsa ribut kelmarin.


Helmy berkata, dalam kejadian itu 10 buah rumah sekitar kampung Permatang Pasir dan Kampung Banggol Mat Rasid rosak teruk.


Katanya, selain rumah penduduk kampung, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad Tajuddin juga terbabit dalam kejadian ribut yang melanda kawasan berkenaan.

“Angin kencang turut menumbangkan sebatang pokok yang terletak bersebelahan dengan asrama pelajar di sekolah berkenaan.


“Bagaimanapun pelajar terbabit bernasib baik kerana pokok yang tumbang itu tersangkut pada pagar sekolah.


“Saya berharap mangsa ribut bersabar sementara menanti bantuan dan pihaknya sudah memaklumkan kepada Pejabat Pembangunan Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai bencana ini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tenggelam capai jambu

YAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di Terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Kampung Pulau Mas, Simpang Tiga, Sungai Daun, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi, mangsa, Muhd Zulfikri Ahmad Faiz dikatakan keluar bersama rakan untuk mandi di terusan terbabit yang terletak satu kilometer dari rumahnya di Kampung Tualang, Bukit Besar, dekat sini.
Murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Besar itu dipercayai lemas apabila cuba berenang lima meter dari tempat dia mandi untuk mengambil buah jambu batu di seberang terusan.

Difahamkan, beberapa minit selepas itu mangsa dipercayai tenggelam sebelum ditemui lemas oleh penduduk kampung.



Penduduk kampung terjun ke dalam terusan berkenaan dalam mencari dan menyelamat mangsa, namun selepas hampir sejam, mayat mangsa ditemui sudah tidak bernyawa.

Raih RM30,000 sebulan

TELUK INTAN: Biarpun baru berusia 18 tahun, seorang remaja mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM30,000 sebulan hasil daripada perniagaan menjual air kelapa.

Lebih menarik, remaja berkenaan, Mohammad Syarifuddin Abdul Aziz, turut mencipta resipi unik air kelapa perisa laici lemon yang menjadi daya tarikan utama pelanggan ke kedainya.


Syarifuddin berkata, dia mula berniaga air kelapa bersama abangnya, Mohammad Kadri, 23, sejak berusia 13 tahun sebelum perniagaannya itu menjadi semakin maju.

“Saya mampu memperoleh pendapatan sekitar RM800 hingga RM1,000 sehari. Semua ini berkat usaha saya selepas mula berjinak-jinak menjual durian seawal usia sembilan tahun lagi.


“Syukurlah kerana perniagaan ini semakin maju sejak saya ambil alih sepenuhnya. Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan akan terus memajukan perniagaan ini,” katanya.


Dia yang menjalankan perniagaannya di Simpang Tiga, Jalan Baru SC Belt, Sungai Lampam, di sini, berhasrat membuka satu lagi cawangan di tanah milik keluarga mereka yang terletak tidak jauh dari gerainya kini.


Tinjauan wartawan ke gerainya semalam mendapati Syarifuddin tidak menang tangan apabila gerainya dikunjungi ramai pelanggan yang mahu menikmati minuman air kelapa sambil menikmati kuih-muih dihasilkan penduduk setempat.


Menurutnya, air kelapa laici lemon ciptaannya adalah minuman paling digemari orang ramai yang berhenti di gerainya diikuti air kelapa pandan dan minuman lain.

“Walaupun dilimpahi rezeki, namun saya tidak melupai segala nasihat ayah dan adik-beradik yang lain supaya mengekalkan sifat rendah diri dan bijak menyimpan.


“Saya juga menasihati rakan sebaya supaya tidak mempersia-siakan hidup ketika zaman remaja. Kerajaan tampil dengan pelbagai usaha bagi membantu belia yang berani menceburi bidang ini,” katanya.


Menurutnya, golongan belia tidak harus terlalu memilih kerjaya dan mesti mempunyai sikap mahu mencuba perkara positif.

Dirempuh ketika melintas

MELAKA: Perjalanan seorang lelaki warga emas untuk menikmati sarapan di sebuah warung di sekitar Kampung Pulau Samak, Batu Berendam di sini, berakhir tragedi apabila maut dirempuh motosikal ketika melintas jalan di Jalan Batu Berendam, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa, Haron Osman, 83, keluar bersendirian menuju ke warung berkenaan yang terletak 150 meter dari rumahnya.


Namun, ketika melintas jalan, mangsa yang masih bujang itu dirempuh motosikal dan mengalami kecederaan teruk di kepala sebelum mati di tempat kejadian.

Anak saudaranya, Yaakub Gantang, 42, berkata, dia yang berada tidak jauh dari situ terkejut apabila dihampiri pekerja warung itu.


“Dia menjerit dan memberitahu bapa saudara dilanggar ketika melintas jalan. Saya bergegas ke situ dan mendapati bapa saudara tidak bernyawa,” katanya.


Menurutnya, penduduk setempat sememangnya mengenali arwah yang sudah menjadi rutinnya bersarapan di warung itu setiap pagi.


“Namun, hari ini (semalam), saya tidak sangka dia tidak sempat menjamah makanan dan pergi buat selama-lamanya,” katanya.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dirempuh motosikal Honda Wave ditunggang remaja lelaki berusia 19 tahun.

Abang kuatkan semangat kutip cebisan otak adik

PEKAN: “Saya terpaksa tabahkan hati mengutip satu persatu cebisan otak adik yang bertaburan atas jalan walaupun perasaan ketika itu bercampur baur.

“Saya kuatkan semangat melakukannya dan menganggap apa yang dilakukan itu sebagai bakti terakhir untuk arwah supaya dia dapat dikebumikan dengan sempurna,” kata Kamarul Effendy Amir Nor Hazam, 37, abang kepada anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang maut dalam kemalangan, jam 12.10 tengah malam semalam.


Mangsa, Kamarul Shafrizan Amir Nor Hazam, 33, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya merempuh lori yang berhenti di bahu jalan di Kilometer 4, Jalan Pekan-Nenasi dekat Kampung Ketapang, di sini.

Rempuhan kuat itu mengakibatkan kepala mangsa pecah dan otak bertaburan atas jalan.


Kamarul Effendy berkata, dia dimaklumkan kejadian itu oleh rakannya pada jam 12.30 tengah malam dan terus bergegas ke tempat kejadian.


“Setibanya di situ, saya terkedu melihat keadaan mayat adik yang cukup menyayat hati dengan kepala pecah dan cebisan otak bertaburan.


“Saya sudah lama tidak menemui arwah dan kali terakhir beberapa bulan lalu, namun tidak menyangka bertemu semula dalam keadaan sudah tidak bernyawa,” katanya.


Menurutnya, kali terakhir bertemu, adiknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan dan mereka berbual seperti biasa.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketapang Hilir, jam 9.30 pagi semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman ketika dihubungi berkata, ketika kejadian, mangsa yang juga buruh kasar dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Nathan, di sini.


“Setibanya di tempat kejadian, mangsa dikatakan mahu mengambil kotak rokok dalam raga motosikal tanpa menyedari treler diletakkan di bahu jalan berkenaan.


“Mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan belakang kenderaan itu menyebabkan kepalanya pecah,” katanya.


Difahamkan, pemilik treler itu memberhentikan kenderaan di tepi jalan kerana mahu membuang air kecil dan lampu isyarat kecemasan turut dinyalakan.

Nenek gengster

GEORGETOWN: Seorang wanita berusia 50-an yang sudah bercucu, layaknya digelar ‘nenek gengster’ apabila tergamak membelasah seorang warga emas sehingga mangsa retak tulang rusuk kerana masalah hutang dalam kejadian di Bandar Baru Farlim, Air itam, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, Isnin lalu, mangsa, seorang wanita berusia 68 tahun dari Bukit Mertajam, datang ke rumah nenek itu untuk menuntut hutang sebanyak RM3,600 yang tertunggak sejak beberapa tahun lalu.
Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan, ketika kejadian, nenek itu berada bersama seorang cucu perempuannya berusia 29 tahun dalam rumah dan berlaku pertengkaran antara dua beranak itu dengan mangsa.

Menurutnya, apabila nenek itu masih enggan membayar hutang, mangsa yang kecewa bertindak menyimbah cat di depan rumahnya.



“Berikutan itu, suspek berang lalu menerkam dan memukul mangsa dengan teruk.

Apabila mangsa lemah, tangannya diikat bagi mengelaknya melawan.

Agensi pekerja kebas RM15,000

PETALING JAYA: “Niat saya mahu membantu rakan pekerja warga asing memperbaharui permit kerja, namun bala pula yang dapat apabila duit kira-kira RM15,000 yang diamanahkan kepada saya untuk urusan berkenaan dikebas agensi yang menawarkan perkhidmatan perbaharui permit pekerja asing,” kata mangsa, Hasbi Mat Arap, 44, ketika ditemui, di sini, semalam.
Menurutnya, lima pekerja warga Indonesia berkenaan menemuinya Januari lalu bagi meminta bantuan menguruskan permohonan memperbaharui permit kerja melalui agensi pekerja asing yang menyediakan perkhidmatan itu.

“Saya tidak keberatan membantu lima pekerja asing itu kerana sudah mengenali mereka sebelum mendapatkan khidmat satu agensi pekerja asing di Dataran Bandar Utama, Damansara, di sini yang boleh menguruskan proses permohonan itu.
“Kami kemudian berurusan dengan seorang pekerja agensi terbabit dikenali sebagai Kent Wong. Selepas berbincang, setiap pekerja asing dikenakan bayaran kos perbaharui permit RM5,000 seorang,” katanya.

Hasbi berkata, jumlah keseluruhan yang diminta lelaki terbabit adalah RM25,000, tetapi dia membuat bayaran deposit RM15,000, manakala bakinya akan diserah sebaik urusan selesai.

“Wang tunai RM15,000 dibayar di pejabat agensi pekerja asing terbabit pada Februari lalu. Bagaimanapun, saya tidak diberikan resit sebagai bukti pembayaran.
“Saya tidak pula meminta resit pembayaran kerana yakin agensi terbabit tidak akan menipu kerana sudah terlebih dulu memeriksa latar belakang syarikat itu,” katanya.

Katanya, pada April lalu, lelaki terbabit memaklumkan pasport pekerja warga asing berkenaan hampir luput dan ia perlu diperbaharui bagi memudahkan proses permohonan permit kerja.
“Sebulan kemudian, saya menghubungi Kent dan memaklumkan pasport baru pekerja asing berkenaan sudah siap dan mahu bertemu untuk menyerahkan dokumen itu.

“Namun, Kent mula memberi pelbagai alasan bagi mengelak daripada berjumpa menyebabkan saya tidak sedap hati,” katanya.

Hasbi berkata, lelaki terbabit meminta tempoh sehingga akhir Mei untuk menyelesaikan urusan permohonan memperbaharui permit kerja itu, namun dia yang tidak mendengar sebarang berita daripada pekerja agensi terbabit kemudian datang ke pejabat syarikat itu di Dataran Bandar Utama.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila diberitahu syarikat agensi itu sudah gulung tikar.

“Malah, saya juga dimaklumkan syarikat terbabit juga dicari pihak pengurusan bangunan kerana tidak membayar sewa pejabat,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Hasbi membuat laporan di Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut.

‘Datuk’ tipu guna logo SPDM palsu

TIPU...Roshazreel menunjukkan logo kepala surat yang palsu (kiri).
TIPU...Roshazreel menunjukkan logo kepala surat yang palsu (kiri).
PUTRAJAYA: Pertubuhan Sukarelawan Pencegahan Dadah Malaysia (SPDM) mendapati ada individu menyalahgunakan nama dan memalsukan logo pertubuhan itu pada kepala surat ditandatangani seorang bergelar ‘Datuk’ bagi memperdayakan pihak tertentu, sekali gus mengaut keuntungan mudah daripada sumbangan orang ramai.
Yang Dipertua SPDM, Roshazreel Roslan berkata, beliau menyedari perbuatan individu terbabit selepas menerima panggilan telefon daripada seorang kakitangan sebuah bank yang memaklumkan mengenai penerimaan e-mel daripada pertubuhan itu bagi menukarkan nama akaun sumbangan ke atas nama Pengurusan SPDM baru-baru ini.

Katanya, perkara berkenaan menghairankannya kerana beliau tidak pernah membuka akaun di mana-mana bank menggunakan nama Pengurusan SPDM, sebaliknya segala sumbangan dan dana daripada orang ramai melalui bank hanya menggunakan akaun atas nama SPDM. “Saya tidak pasti motif sebenar individu terbabit menggunakan nama dan logo pertubuhan ini pada surat ditandatangani seorang individu bergelar ‘Datuk’ yang kononnya memegang jawatan sebagai penasihat kehormat pertubuhan. “Padahal dalam pertubuhan ini tidak wujud jawatan berkenaan, malah segala surat-menyurat sepatutnya ditandatangani saya sendiri, bukan orang lain. “Logo pertubuhan digunakan individu terbabit juga sebenarnya ada sedikit perbezaan dengan logo sebenar khususnya dari segi posisi nama pertubuhan yang disalah letak,” katanya ketika Harian Metro di sini, semalam. Roshazreel berkata, berdasarkan beberapa maklumat diperoleh, beliau percaya perbuatan itu dilakukan individu dikenalinya. “Saya mengesyaki seorang lelaki kerana baru-baru ini saya juga pernah berurusan dengannya, malah memintanya bekerjasama dalam satu program,” katanya.
Katanya, bagi mengelakkan penipuan itu berterusan, malah menjaga nama baik SPDM dan pada masa sama mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan individu terbabit, beliau melaporkan perkara berkenaan di Balai Polis Kajang, Selangor pada 6 Jun lalu.

“Perbuatan individu terbabit boleh menyebabkan nama SPDM buruk. Kita tidak mahu ada pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan korporat tertipu dengan individu terbabit.

“Mana-mana pihak yang pernah menerima surat permohonan sumbangan daripada Pengurusan SPDM atau yang sudah memberi sumbangan kepada akaun itu diminta membuat laporan polis. Mereka juga boleh menghubungi talian hotline pertubuhan 011-15565111,” katanya.

Jurulatih pertama kena penjara rasuah bola sepak

Yusarman Yusof
Yusarman Yusof



SEREMBAN: Bekas pengendali skuad bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan, Yusarman Yusof, menjadi jurulatih pertama di negara ini dipenjara selepas didapati bersalah mengatur perlawanan, tahun lalu. 

Dia dihukum penjara 15 bulan dan denda RM200,000 selepas disabitkan kesalahan terhadap 20 daripada 21 pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Hakim Datin Nursinah Adzmi mengarahkan tertuduh dihukum penjara 15 bulan dan denda RM10,000 bagi setiap 20 pertuduhan dengan semua hukuman penjara berjalan serentak.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi. 

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan Yusarman, 36, tidak bersalah bagi pertuduhan ke-10 kerana wang yang diberinya kepada seorang pemain dianggap sebagai pinjaman.

Nursinah berkata, hukuman dijatuhkan selepas mahkamah menimbangkan rayuan peguam bela dan mengambil kira jasa tertuduh dalam sukan bola sepak negara.

Tertuduh berjasa kepada negara kerana pembabitannya dalam sukan bola sepak, selain ia kesalahan pertama. Bagaimanapun, kesalahannya jelas dan mahkamah perlu mematuhi undang-undang, katanya. 
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya P Sevan meminta mahkamah mengenakan hukuman berat, sekurang-kurang dua tahun penjara dan denda. Bagaimanapun, Raftfizi Zainal Abidin yang mewakili tertuduh merayu mahkamah mengurangkan denda kerana anak guamnya mempunyai anak dan tiada pekerjaan tetap.

Hakim membenarkan hukuman ditangguhkan hingga rayuan dibuat di Mahkamah Tinggi dan mengekalkan ikat jamin sebanyak RM10,000.

Yusarman ketika dihubungi berkata, beliau akan merayu di Mahkamah Tinggi.

Yusarman yang digantung seumur hidup daripada terbabit dalam bidang bola sepak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Februari lalu, mengaku hanya mempunyai kemahiran dalam bidang berkaitan bola sepak. Beliau kini mencari rezeki dengan menoreh getah di kampung.

RELA maut rempuh belakang treler

PEKAN: Seorang anggota RELA maut dalam kemalangan ngeri membabitkan motosikal dan treler di Kilometer 4, Jalan Pekan-Nenasi, dekat Kampung Ketapang, kelmarin. 

Mangsa, Kamarul Shafrizan Amir Nor Hamzah, 33, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikalnya merempuh belakang treler yang berhenti di bahu jalan berkenaan dalam kejadian jam 12.10 tengah malam.
Abang mangsa, Kamarul Effendy, 37, berkata beliau terkedu apabila melihat keadaan adiknya dengan kepalanya pecah dan cebisan otak bertaburan di atas jalan.
“Saya sudah lama tidak bertemu Kamarul Shafrizan dan kali terakhir bersua muka dengannya beberapa bulan lalu dan tidak menyangka akan berjumpanya semula dalam keadaan beliau sudah tidak bernyawa lagi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Kamarul Shafrizan sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketapang Hilir jam 9.30 pagi, semalam. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahya Othman, berkata mangsa yang juga seorang buruh dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Nathan, di sini. 

“Mangsa tidak sempat mengelak dan kemudiannya merempuh kanan treler berkenaan hingga menyebabkan kepalanya pecah,” katanya. 
Difahamkan pemilik treler memberhentikan kenderaannya di tepi jalan berkenaan kerana mahu membuang air kecil dan dikatakan turut menyalakan lampu isyarat kecemasan. 

Yahya berkata, pemilik treler itu hanya menyedari kejadian terbabit apabila mendengar dentuman kuat dan melihat seorang lelaki terbaring di atas jalan. 
Polis masih menjalankan siasatan terperinci kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat bayi reput punca bau busuk

KLUANG: Bau busuk yang menusuk hidung dari belakang sebuah gerai di Kampung Baru di sini, membawa kepada penemuan mayat bayi yang ditanam sejak dua bulan lalu.

Mayat bayi yang dipercayai ditanam sejurus dilahirkan itu ditemui dalam keadaan sudah reput dan tinggal tengkorak serta rangka dalam bungkusan plastik berwarna merah.
Perbuatan berkenaan terbongkar Isnin lalu, selepas polis menggali kawasan berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Susulan penemuan itu, polis menahan seorang gadis berusia 16 tahun untuk membantu siasatan.

Gadis yang ditahan reman itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Dia juga bakal berdepan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, jika bedah siasat yang dijalankan mendapati bayi itu dibunuh sebelum ditanam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali, berkata pihaknya menggali lokasi itu selepas mendapat maklumat awam. 
“Apabila digali, polis menjumpai satu plastik merah berisi tengkorak dan tulang yang sudah reput dipercayai manusia. Berikutan itu, kita menahan gadis berusia 16 tahun dipercayai ibu bayi yang dijumpai.

“Bedah siasat mendapati tulang yang dijumpai itu adalah rangka bayi yang baru dilahirkan dan berada dalam keadaan cukup sifat sebelum ditanam pada pertengahan April lalu,” katanya.

Abdul Majid berkata, gadis terbabit tinggal bersama bapanya, seorang duda yang dipercayai tidak mengetahui bahawa anaknya mengandung dan melahirkan anak.
“Selain menahan gadis berkenaan, polis juga sedang mencari teman lelakinya yang sudah dikenal pasti untuk membantu siasatan,” katanya.

Murid Tahun Tiga lemas

YAN: “Ketika mendapat berita, saya sedang bekerja di Sungai Korok, Alor Setar dan terus bergegas pulang ke rumah di Yan apabila dihubungi isteri. 

“Saya berharap kejadian itu tidak benar, namun sebaik sampai saya sedar saya tidak boleh lawan takdir,” kata Ahmad Faiz Ariffin, 48, bapa mangsa lemas dalam terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi itu, Muhamad Zulkfikri Ahmad, 9, dari Kampung Tualang, Bukit Besar di sini, sedang mandi bersama tiga rakannya di terusan MADA Kampung Pulau Mas, Simpang Tiga, Sungai Daun.
Mangsa, murid Tahun 3 Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, di sini kemudian dikatakan cuba berenang ke tebing di seberang sungai untuk memetik jambu batu. 

Bagaimanapun, ketika berenang ke seberang terusan itu, dia lemas sebelum disedari rakan dan beberapa orang kampung.

Ahmad Faiz, seorang pemandu lori berkata, dia tersentak sebaik diberitahu anak kesayangannya lemas dan tidak dapat menahan sebak sebaik menatap wajah jenazah anaknya buat kali terakhir. 

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Abu Yaziz Othman, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.02 tengah hari. 
Katanya, seramai lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian, namun mangsa didapati sudah meninggal dunia. 

“Ketika kita sampai, mangsa sudah ditemui orang kampung dan jenazah kemudian dibawa ke Hospital Yan. Kanak-kanak itu dipercayai pergi ke terusan yang dalamnya kira-kira tiga meter bersama tiga lagi rakannya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Penyamun Geng Hong tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan Geng Hong yang dipercayai terbabit dalam 17 kes pecah rumah dan samun kereta, berikutan tertangkapnya tujuh anggota kumpulan itu, termasuk dua wanita di beberapa lokasi sejak 14 Jun lalu. 

Penahanan anggota sindiket yang aktif melakukan jenayah sejak dua bulan lalu itu, turut membawa kepada penemuan lima kereta, termasuk dua BMW, Honda Odyssey dan Proton Savvy yang dipercayai dicuri mereka.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata polis menubuhkan satu pasukan khas selepas menerima banyak laporan berhubung kes pecah rumah dan samun kereta pada April dan Mei yang dipercayai dilakukan kumpulan sama.
Katanya, hasil risikan polis menahan tiga lelaki, termasuk ketua kumpulan dan dua wanita berusia 30-an di Genting Highlands pada 8 Jun lalu. 

“Berikutan tangkapan itu, polis merampas lima kereta, komputer riba, jam tangan dan kamera, manakala dua lagi anggota sindiket itu ditahan di sekitar Cheras pada 14 Jun lalu. 

“Siasatan polis mendapati modus operandi kumpulan itu ialah mengenal pasti rumah yang tidak berpenghuni sebelum memecah masuk dan melarikan kereta mangsa,” katanya di sini, semalam. 

Mohan Singh berkata, dengan penahanan tujuh suspek terbabit polis percaya dapat menyelesaikan 17 kes pecah rumah dan samun kereta di Cheras, Brickfields, Kepong dan Gombak. 
Dalam perkembangan lain, Mohan Singh berkata, seramai 55 individu ditahan membabitkan pelbagai kesalahan, termasuk positif dadah dan memiliki kenderaan curi, menerusi Ops Lejang yang dilakukan sepanjang 10 hari sehingga kelmarin. 

Turut dirampas empat kereta dan 16 motosikal dipercayai hasil kegiatan curi. Semua mereka ditahan reman seminggu. 

Cedera kena bom api

KULIM: Seorang peniaga besi buruk cedera di bahu dan kaki kanan apabila sebiji bom jenis molotov koktail tiba-tiba meletup di tepi tingkap rumahnya di Taman Kekwa, di sini, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, M Kumar, 35, terkejut apabila terdengar bunyi letupan yang kuat sebelum mendapati kain langsir dalam rumahnya tiba-tiba disambar api.
Katanya, ketika kejadian, bahagian tepi rumahnya juga disambar api menyebabkan dia bingkas bangun untuk memadam kebakaran bagi mengelak ia merebak.
“Masa kejadian saya sedang nyenyak tidur bersama isteri dan seorang anak perempuan kami. Kami bernasib baik kerana bom yang dilemparkan itu tidak masuk ke dalam rumah. 

“Saya dihubungi jiran memberitahu mengenai kejadian itu dan pada masa sama, saya juga berasa panas. Saya bergegas sebaik menyedari kebakaran dan cuba memadamnya dengan segera. Mujurlah ia masih awal dan saya berjaya memadamnya ,” katanya ketika ditemui di sini. 

Kumar berkata, jirannya terpaksa menghubungi telefon bimbitnya kerana tidak berani keluar rumah selepas percaya suspek masih berada berhampiran rumahnya. 

“Jiran saya memberitahu bahawa dia terdengar suara lelaki menjerit ada kebakaran. Dia kemudian menghubungi saya kerana bimbang kami tidak sedar ketika itu,” katanya.

Bujang Senang masih hidup?



KERATAN akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 Mei 1992 memaparkan bangkai buaya yang didakwa Bujang Senang yang ditembak di Sungai Pelaban, Batang Lupar, Sri Aman.


KUCHING - Legenda seekor buaya dikenali dengan nama Bujang Senang yang pernah mengganas di Sarawak sekitar tahun 1980-an dan 1990-an dikatakan masih mendiami Sungai Batang Lupar, Sri Aman dekat sini.
Perkara itu didedahkan oleh pawang buaya tersohor dari Betong, Indet Sanabong, 49, yang mendakwa melihat kelibat buaya sepanjang hampir enam meter tersebut pada Ogos 2004.
Menurutnya, ciri-ciri buaya yang dilihatnya itu benar-benar menyerupai Bujang Senang yang mempunyai belang putih di belakang dan warna kulitnya kelabu.
"Saya percaya Bujang Senang masih hidup berdasarkan ciri-ciri yang ada pada buaya yang saya lihat," katanya di sini kelmarin.
Dakwanya lagi, buaya tersebut mengaku dirinya Bujang Senang selepas dia berdialog secara batin dengan reptilia itu.
Mengimbas kejadian bertemu dengan buaya tersebut, Indet bersama adiknya, Tinggi Sanabong, 48, pergi ke Sungai Batang Lupar bagi menangkap buaya putih untuk dipamerkan di Taman Buaya Miri ketika itu.

Mati tanpa lesen


MOHAMMAD TARMIZI AZIZ sebak melihat jenazah anaknya, Muhammad Hakimi yang maut dalam kemalangan di Bertam Ulu, Melaka semalam.


MELAKA – Hajat seorang datuk untuk menikmati sarapan terbantut selepas dikejutkan dengan kemalangan maut membabitkan cucu saudaranya di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Bertam Ulu di sini semalam.
Kejadian pukul 7.30 pagi itu mengakibatkan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Ahmadi, Sungai Udang, Muhammad Hakimi Mohammad Tarmizi, 16, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa telah terbabas menyebabkannya tercampak ke jalan bertentangan.
Difahamkan, sebelum kejadian, arwah dalam perjalanan ke sekolah yang terletak kira-kira empat kilometer dari rumahnya di Kampung Bertam Ulu. Dia tidak mempunyai lesen.

Tanam bayi belakang warung


ABDUL MAJID menunjukkan gambar rangka bayi yang ditemui ditanam di belakang sebuah warung di Kampung Baru, Kluang, Johor pada sidang akhbar semalam.


KLUANG - Rahsia besar seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang tergamak menanam bayinya sendiri di belakang sebuah warung di Kampung Baru di sini sejak dua bulan lalu terbongkar apabila 'kubur' bayi malang itu digali polis Isnin lepas.
Mayat bayi yang belum diketahui jantinanya itu ditemui secara tidak sengaja pada pukul 11 pagi selepas seorang penduduk tercium bau busuk ketika hendak menanam bangkai kucing di kawasan tersebut.
Bayi itu dibungkus menggunakan plastik merah sebelum ditanam. Polis kemudian menahan remaja itu di rumahnya yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi mayat bayi tersebut ditemui.
Soal siasat mendapati bayi itu dilahirkan hasil hubungan sulit suspek dengan teman lelakinya berusia 20-an. Penganggur terbabit kini dicari polis.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali berkata, siasatan mendapati bayi itu telah ditanam pada April lalu sebaik dia dilahirkan.

Suami membunuh dipenjara 15 tahun


REAKSI Mohd. Rizal selepas dijatuhi hukuman penjara 15 tahun di Mahkamah Tinggi Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang penjual roti canai dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana menyebabkan kematian isterinya dua tahun lepas.
Hakim Datuk Abd. Halim Aman memerintahkan Mohd. Rizal Esa, 32, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap pada 25 April 2010 selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Sebaik keputusan selesai dibacakan pada pukul 10.45 pagi, Mohd. Rizal dilihat menangis dan berpelukan dengan ahli keluarganya yang menunggu di mahkamah.
Dia juga dilihat beberapa kali mengucapkan syukur.
Mohd. Rizal yang diwakili peguam John Fernandez sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Rizal didakwa membunuh isterinya, Ahzila Mohamad Sufian, 25, yang merupakan seorang pekerja sebuah kedai kek di Nombor 214, Tingkat 12, Blok C, Rumah Pangsa Larkin di sini antara pukul 1.30 dan 3 pagi 24 April 2010.
Tertuduh dikatakan menikam Ahzila dengan pisau sehingga menyebabkan mangsa patah tulang rusuk manakala pisau itu pula menembusi ke belakang mangsa. Kejadian itu berlaku ekoran salah faham dalam keluarga itu.
Sebanyak 19 orang saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Didenda RM6,000 biarkan 30 kucing kebuluran



YUSHAIRI dan Shahrul Azuwan (belakang) ketika keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.


PETALING JAYA – Dua pengusaha kedai penjagaan haiwan Petknode didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas 30 pertuduhan mengabaikan tanggungjawab menjaga makan minum 30 ekor kucing yang ditinggalkan pemiliknya ketika sambutan Aidilfitri tahun lalu.
Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Shahrul Azuwan Adanan, 30, dan Yushairi Khairuddin, 30, selepas mereka mengaku bersalah mengabaikan tanggungjawab menjaga kucing-kucing milik 10 pelanggan sehingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan terhadap haiwan berkenaan.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kedai Petknode Online Pet Store beralamat Nombor F001B, Level 1, Seasons Square Plaza, Jalan PJU 10/3, Damansara Damai di sini antara 3 September hingga 4 September 2011.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

China kerah kapal peronda ke kawasan pertikaian

China kerah kapal peronda ke kawasan pertikaian: "BEIJING 29 Jun - China mengerahkan kapal peronda tempur di sekitar kawasan pulau pertikaian di Laut China Selatan semalam, sekali gus meningkatkan ketegangan terbaru di kawasan yang diyakini kaya dengan sumber mineral itu.

Ditanya mengenai tindak balas yang akan diambil oleh China terhadap tindakan Vietnam melakukan rondaan udara di Pulau Spratly, jurucakap Kementerian Pertahanan, Geng Yansheng berkata, Beijing akan “menentang sebarang provokasi ketenteraan".

“Untuk melindungi kedaulatan dan keselamatan negara ini, tentera China telah mengerahkan kapal peronda yang siap siaga untuk bertempur di kawasan milik kami," katanya. - REUTERS"

'via Blog this'

22 lelaki tebang pokok berusia 2,000 tahun didakwa

22 lelaki tebang pokok berusia 2,000 tahun didakwa: "TAIPEI 29 Jun - Pendakwa raya Taiwan semalam mendakwa sekumpulan 22 lelaki atas kesalahan menebang, secara haram, sejumlah pokok berusia 2,000 tahun yang terdapat di negara pulau ini.

Pendakwa di Ilan, yang terletak di timur laut Taiwan, mahu ketua kumpulan tersebut, Ho Chen-fa, 43 dihukum 15 tahun penjara dan denda Tw$3.85 juta (409,776), manakala ahli kumpulannya yang lain dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun jika disabitkan kesalahan.

Kesemua defendan tersebut turut dituduh memiliki senjata api secara haram, yang digunakan terhadap pegawai-pegawai renjer hutan. - AFP"

'via Blog this'

Konflik Spratly boleh meletus

BEIJING: Konflik tentera boleh meletus di Kepulauan Spratly jika ada negara yang menuntut kawasan tertentu di situ menggunakan kekerasan atau mengambil langkah mencabul kedaulatan negara lain yang turut ada tuntutan. 

Oleh sebab itu, China tidak dapat beri jaminan bahawa konflik ketenteraan tidak akan meletus di situ, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan pencerobohan ke atas kawasan tuntutan Beijing.
Timbalan Ketua Pengarah Biro Hal Ehwal Asia Tenggara dan Asia Selatan, Rao Huihua, memberi amaran itu dalam sidang media kepada 18 wartawan Asia yang mengunjungi pejabatnya, di sini semalam.
"Kami tidak akan serang pihak lain tetapi akan bertindak jika (kedaulatan) kami diserang. Kami mementingkan penyelesaian secara aman dan sedia berdialog. 

"Pada masa sama, semua itu juga bergantung kepada tindakan negara lain (yang turut menuntut Spratly)," katanya. 

Negara lain yang menuntut Spratly termasuk Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan. 

Rao ditanya mengenai tindakan Vietnam beberapa hari lalu yang meluluskan undang-undang mengisytiharkan Kepulauan Paracel dan Spratly sebagai miliknya. 
Vietnam mengambil langkah itu dua minggu sebelum mesyuarat Menteri Luar Asean di Phnom Penh, Kemboja yang bakal dihadiri Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton. 

Rao memberitahu wartawan Asia yang mengikuti program 'Media dari Negara Jiran China' bahawa Beijing memandang serius kedaulatannya di Spratly.

3 lagi mengaku seks dengan remaja

SINGAPURA: Tiga lelaki termasuk aktivis terkemuka yang juga cucu pengasas Shaw Organisation, Howard Shaw, 41; warga Indonesia, Wilson Oei, 25 dan seorang pengurus, Chiang Meng Chuan, 31, mengaku bersalah atas tuduhan mengadakan hubungan seks berbayar dengan seorang remaja perempuan bawah umur. 

Hingga kini empat disabitkan bersalah atas kesalahan melakukan hubungan seksual dengan remaja perempuan bawah umur dalam skandal pelacuran yang dikendalikan melalui internet.
Sekurang-kurangnya 48 lelaki diberkas kerana dikatakan terbabit dalam kes berkenaan.
Lelaki pertama yang didakwa dan mengaku bersalah adalah seorang bekas pengetua, Lee Lip Hong, 39, yang dihukum penjara selama sembilan minggu. Beliau dibebaskan kerana berkelakuan baik selepas menjalani hukuman penjara selama enam minggu. 

Shaw, 41, bekas pengarah eksekutif Majlis Sekitaran Singapura (SEC) yang juga cucu pengasas Shaw Organisation, mendiang Runme Shaw tiba di mahkamah dengan isterinya, Jessie, 26 tahun. 

Beliau didakwa membayar sejumlah S$500 (RM1,611) kerana melakukan hubungan seks dengan remaja terbabit di Hotel 81 Beencoolen pada Oktober 2010. 

Peguam Kanan, Harpreet Singh Nehal, meminta mahkamah untuk tidak memenjarakan Shaw kerana melakukan kesilapan yang tidak disengajakan selepas diperdaya mengenai usia sebenar remaja terbabit oleh wanita itu dan juga bapa ayam. 
Singh berkata, Shaw tidak berniat melakukan hubungan seks dengan remaja berusia di bawah usia 18 tahun. 

Shaw yang mengenakan sut tidak menunjukkan sebarang emosi sepanjang sesi bicara selama 45 minit itu. 

Kes Shaw ditangguhkan hingga 30 Julai. – Agensi

Jururawat, rakan ubah flet jadi klinik haiwan secara haram

SINGAPURA: Gara-gara mahu cepat kaya, seorang jururawat sebuah klinik haiwan bersubahat dengan seorang rakannya untuk mengubah fletnya di Bishan menjadi klinik haiwan dan mengenakan caj sekurang-kurangnya Sg$50 (RM125) untuk rawatan memandulkan kucing.
Akhbar Straits Times melaporkan Sarah Saralah Chandrasekeren, 26, menggunakan meja makan untuk pembedahan memandulkan 366 kucing antara November 2010 dan September tahun lalu.

Dia dibantu oleh Ho Chee Chin, 47 yang menghantar kucing dikutipnya bagi pihak Persatuan Kebajikan Kucing ke klinik di mana Sarah bekerja. Kedua-duanya dituduh dengan 10 pertuduhan kerana menggunakan rumah sebagai klinik haiwan dan 36 dakwaan merawat haiwan tanpa lesen. - Straits Times

Polis trafik perlu jalani ujian nafas sebelum bertugas

MANILA: Selepas banyak aduan pengambilan minuman keras ketika bertugas diterima, polis trafik di bandar raya ini diwajibkan menjalani ujian nafas, kata pihak berkuasa semalam.
Polisi baru yang dikenakan terhadap 1,400 anggota penguatkuasa kota Manila itu dibuat ekoran aduan mengenai pembabitan sesetengahnya, kata Pengarah Pejabat Disiplin Trafik Manila, Yves Gonzales.

“Kami menerima aduan bahawa ada penguatkuasa yang minum minuman keras ketika bertugas. Baru tiga hari lalu, kami menerima aduan melalui Twitter bahawa seorang penguatkuasa berbau arak,” katanya kepada media. Gonzales berkata, ujian itu akan dibuat secara rambang apabila penguatkuasa melaporkan diri untuk bertugas. - Manila Times

Tentera Thailand tolak dakwaan rancang guling kerajaan

BANGKOK: Tentera semalam menganggap laporan menyatakan Timbalan Ketua Tentera, Jeneral Dapong Rattanasuwan merancang untuk menggulingkan kerajaan sebagai tidak berasas.
Jurucakap Timbalan Tentera, Kolonel Winthai Suwaree berkata, laporan yang disiarkan di beberapa media itu tidak berasas dan tidak membantu rakyat Thailand. Dalam satu wawancara, pemimpin bersama Baju Merah, Kwanchai Praipana mendakwa bahawa sekumpulan individu yang ingin menjatuhkan Parti Kuasa Rakyat dan Thai Rak Thai yang memerintah, bertemu di hotel peranginan di Nakhon Ratchasima untuk membuat rancangan bagi menumbangkan kerajaan.

Menurut laporan itu, Rattanasuwan dan Ketua Penasihat Parti Chartthaipattana, Mejar Jeneral Sanan Kachornprasart turut hadir dalam pertemuan itu. - Bangkok Post

Kastam Hong Kong rampas 208 kg sisik tenggiling

HONG KONG: Kastam Hong Kong merampas 208 kilogram sisik tenggiling, haiwan terancam, semalam, yang mempunyai permintaan tinggi dalam perubatan tradisi, terutama di tanah besar China.

Jabatan Kastam dan Eksais berkata, sisik tenggiling bernilai sehingga HK$1.7 juta (RM700,111) dirampas kelmarin di bandar Sai Kung, ketika tujuh lelaki sedang mengangkutnya ke dalam bot laju.
Suspek kemudian melarikan diri menggunakan bot laju menuju ke tanah besar China dan dikejar oleh polis marin.

Jabatan Kastam berkata, mereka masih menyiasat destinasi sisik itu dihantar.



Selain itu, 11 kilogram sarang burung, bahan utama untuk makanan China yang mahal, 1,600 cakera keras, 7,350 telefon bimbit dan sebuah kenderaan turut dirampas. Kesemuanya berjumlah HK$4.7 juta (RM1.9 juta)


Tenggiling yang memakan anai-anai dan semut dilindungi di bawah Konvensyen PBB Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Terancam di mana perdagangan haiwan itu dan produknya adalah menyalahi undang-undang.

Kumpulan pemuliharaan berkata, penyeludupan haiwan itu semakin berleluasa dan mereka sering memburunya dari hutan di Indonesia dan Malaysia, memburukkan lagi ancaman kepupusan. - AFP

Lima tan gading gajah bernilai juta euro dibakar

LIBREVILLE (Gabon): Presiden Ali Bongo semalam, membakar lima tan gading gajah yang bernilai berjuta-juta euro sebagai membuktikan kerajaannya komited untuk memerangi pemburu haram dan menyelamatkan gajah.
Pembakaran itu, mewakili stok keseluruhan kerajaan Afrika Barat di mana mungkin 850 gajah dibunuh untuk mendapatkan gading itu. 
Ali berkata, “Gabon mempunyai polisi toleransi sifar terhadap jenayah hidupan liar dan kami sedang menubuh institusi dan undang-undang untuk memastikan polisi ini dikuatkuasa.”

Katanya, “Kami tidak mahu anak-anak kami mewarisi hutan kosong. Sebab itu, kami tidak boleh membenarkan penyeludupan ini berterusan.” - AFP

Penyeludup pendatang ke Australia dijatuh hukuman penjara

HANOI: Mahkamah di Vietnam menjatuhkan hukuman penjara ke atas enam penyeludup sehingga enam setengah tahun kerana menyeludup lebih 100 pendatang ke Australia, semalam.
Menurut pegawai, semua lelaki Vietnam itu didapati bersalah kerana “menganjurkan pelarian haram ke negara asing” ketika kes itu dibicara di wilayah Ba Ria Vung. 
Hukuman yang dikenakan adalah antara tiga ke enam setengah tahun penjara.

Laporan media berkata, ketua rangkaian itu, Nguyen Dinh Chien, 48, dan rakan bersubahat menganjurkan tiga perjalanan, membawa 124 orang menggunakan bot ke Australia, antara Mei 2010 dan April 2011. - AFP