Search This Blog

Thursday, June 28, 2012

Gadis nyaris maut dihempap treler


LONDON: Seorang gadis berusia 20 tahun berjaya melepaskan tali pinggang keledar dipakainya dan mengerekot tubuhnya ketika sebuah treler menghempap keretanya.


Gambar ngeri ini menunjukkan bagaimana dia nyaris terbunuh dalam kereta Nissan Micra dipandunya ketika ia dihempap di lebuh raya A50 di Staffordshire, semalam.



Wanita muda yang terkejut itu nampak treler mulai terbalik dan dia berjaya mengerekot seperti kedudukan janin bayi.




Reaksi pantasnya menyelamatkan nyawanya ketika kereta Nissan kelabunya remuk sepenuhnya. Bahagian kiri bawah kereta itu mengenai lantai dan treler berkenaan pula terbalik di atasnya. Dia kemudian dengan berani memanjat keluar dari kereta itu melalui bahagian penumpang hanya dengan kecederaan di tangan.



Jurucakap Khidmat Ambulans Midlands Barat berkata: “Insiden itu berlaku sejurus selepas pusingan bulatan. Treler itu berada di laluan luar jalan dua lorong berkenaan dan Nissan Micra terbabit di laluan dalam. “Treler itu menghempap kereta berkenaan hingga bumbungnya ranap ke bahagian tempat duduk penumpang,” katanya. - DM

Langgan pelacur bawah umur


SINGAPURA: Seorang ahli perniagaan Singapura yang terkenal semalam mengaku bersalah mengadakan hubungan seks dengan pelacur di bawah umur.


Howard Shaw, 41, cucu kepada ahli perniagaan perfileman Runme Shaw dan bekas aktivis alam sekitar, didakwa April lalu kerana melanggan pelacur berusia 17 tahun pada Oktober 2010. 


Pelacuran dibenarkan di Singapura tetapi 48 lelaki dalam usia 20-an hingga lewat 40-an, telah didakwa di bawah undang-undang 2008 yang menjadikan ia sebagai jenayah melanggan pelacur wanita di bawah umur 18 tahun.

Senarai itu termasuk ahli perniagaan, penjawat awam dan pegawai beruniform dan hukuman maksimum adalah tujuh tahun penjara dan denda.







“Saya mengaku bersalah, tuan,” Howardmemberitahu hakim See Kee Oon di Mahkamah Daerah.





Peguamnya, Harpreet Singh Nehal berkata, Shaw perlu menerima hukuman ringan kerana dia membuat kesilapan “jujur dan munasabah berkenaan umur gadis itu.”

Harpreet berkata, “Dalam prinsip undang-undang, seseorang yang melakukan sesuatu kesalahan jujur dan munasabah tidak dianggap mempunyai niat jenayah. Undang-undang menganggap beliau sebagai tidak boleh disalahkan secara mental.”

Howard yang berkahwin dengan bekas peserta ratu cantik, mempunyai dua orang anak perempuan hasil daripada perkahwinan yang pertama, merupakan lelaki keempat dijatuhkan hukuman kerana mengadakan hubungan seks dengan pelacur yang sama.

Kesnya akan didengar sekali lagi lewat bulan depan.

Perkhidmatan pelacuran itu diiklankan dalam satu laman web yang tidak berfungsi kini dan namanya tidak boleh disiarkan kerana masih di bawh umur ketika kesalahan itu dilakukan.

Bekas pengetua sekolah rendah yang mengaku bersalah atas kesalahan sama telah dijatuhkan hukuman sembilan minggu penjara.

Lima warga asing juga didakwa melakukan hubungan seks dengannya, antaranya adalah Juerg Buergin, expatriat dari Switzerland yang bekerja dengan syarikat perbankan gergasi UBS. - Straits Times

Budak perempuan 16 tahun bunuh diri sebab takut keputusan ujian merosot


JAKARTA: Seorang gadis berusia 16 tahun lengkap berpakaian seragam sekolah, menggantung diri sehingga mati kerana dikatakan bimbang akan keputusan peperiksaannya yang teruk, semalam.


Gadis itu yang dikenali hanya sebagai SA, ditemui mati di rumahnya di Kampung Tengah di Kramat Jati Timur, Jakarta Timur. 


Abang SA, Komaruddin, 22 menemui mayat adiknya tergangtung dari siling tingkat dua rumah mereka. Dia dikatakan menggunakan tali leher dan tali pinggang untuk menggantung dirinya.

“Saya sangat terperanjat melihat mayatnya. Saya terus menjerit dan meminta bantuan jiran,” katanya.







Komaruddin terus membawa adiknya ke Hospital Al Fauzan di mana doktor memberitahunya, adiknya telah meninggal dunia. -JP

Wanita 55 tahun menyamar jadi polis

JAKARTA: Polis berkata, mereka menahan seorang janda berusia 55 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta semalam kerana menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Polis Lapangan Terbang, Komisioner Reynhard Silitonga berkata, wanita itu dikenali sebagai Sandra Susan, ditahan di terminal antarabangsa lapangan terbang itu.
“Perbuatannya tidak seperti pegawai polis wanita.Selepas disoal siasat oleh pegawai yang mengesyaki tingkah lakunya, dia akhirnya mengaku dia bukan anggota polis,” katanya.

Penahanan Sandra dibuat tujuh hari selepas polis menahan seorang eksekutif pembersihan Yudha Tandijaya, 38, kerana dikatakan mengenakan pakaian seragam juruterbang Syarikat Penerbangan Singapura untuk menipu penjual telefon bimbit.



Jurucakap Polis Lapangan Terbang, Komisioner Agus Tri berkata, Susan, ibu kepada empat orang anak dari Bandung, Jawa Barat, memberitahu pegawai polis dia graduan Akademi Polis Nasional di Semarang, Jawa Tengah pada 1983.


Jurucakap Polis Jakarta Komisioner Kanan, Rikwanto berkata, Susan pada asalnya memberitahu dia berpangkat Komisioner, satu pangkat pertengahan untuk pegawai polis.

“Pegawai polis semakin curiga kerana dia mengenakan tampalan bergaris merah di kolar, yang menunjukkan dia adalah pegawai tinggi, sekurang-kurangnya berpangkat Brigadier Jeneral,” katanya. Polis Komisioner mengenakan tampalan bergaris perang.

Polis berkata, Susan membeli pakaian seragam itu di sebuah kedai menjual pakaian seragam polis dekat pasar tradisi Senen minggu lalu dan mengenakannya untuk menjemput seorang rakan.

“Kami bercadang untuk pulang ke kampung bersama,” katanya. - Jakarta Post

42 pendatang mati lemas

DAR ES SALAAM: Polis di Tanzania menyoal siasat mangsa yang selamat selepas 42 pendatang ditemui mati akibat sesak nafas di dalam trak, semalam.
Timbalan Menteri Dalam Negara, Pereira Silima berkata, 74 pendatang berada di dalam trak itu ketika ditahan di tengah wilayah Dodoma, kelmarin, kira-kira 400 kilometer di barat ibu negara Dar Es Salaam. 
“Pegawai polis dan imigresen menyoal siasat mangsa yang selamat untuk mendapatkan identiti mereka termasuk, nama dan kerakyatan,” katanya.

Menurut polis, pemandu trak itu melarikan diri.

Pegawai percaya, semua pendatang adalah dari Ethiopia atau Somalia dan dalam perjalanan ke selatan menuju ke Malawi.

“Laporan awal mendapati semua pendatang menuju ke Malawi,” katanya.

Jalan yang diambil akan membawa mereka ke Arusha di uatara Tanzania ke bandar selatan Mbeya dan seterusnya ke sempadan Malawi, katanya.

Minggu lalu, mayat 47 rakyat Ethopia ditemui di Tasik Malawi, yang bersempadan dengan Tanzania, selepas bot mereka yang terlebih penumpang, karam.

Disember lalu, 20 pendatang Somalia ditemui mati diTanzania.

Polis menyiasat kejadian itu mendapati semua mangsa mati akibat sesak nafas sebelum mayat mereka ditinggalkan di dalam hutan.

Kementerian Luar berkata, pada waktu itu, jumlah pendatang Ethopia dan Somalia yang menyeberang negara untuk ke Afrika Selatan, iaitu tempat ekonomi terkuat di benua itu, meningkat.

Ratusan ribu rakyat Somalia melarikan diri dari negara yang dikenali sebagai Tanduk Afrika sejak kejatuhan kerajaan rasmi, dua dekad lalu. - AFP

Polis Sydney lancar pemburuan lelaki penggal kepala lelaki lain

SYDNEY: Satu buruan besar-besaran dilakukan di utara Australia semalam, untuk mencari penjenayah yang dikatakan memenggal kepala seorang lelaki dan meninggalkan topi di leher mangsa.
Lebih 100 pegawai polis, dengan helikopter dan mesin pengimbas haba, terlibat dalam pencarian Jonathan Stenberg, 56, yang dikata bersenjata dan berbahaya di kawasan pinggir bandar Darwin. 
Komander Polis, Richard Bryson berkata, “Buat masa ini Stenberg berjaya menyembunyikan diri dari pihak berkuasa.”

“Masyarakat diingatkan, Stenberg bersenjata dan berbahaya dan tidak berhadapan dengannya dalam apa juga keadaan,” katanya.

Stenberg mempunyai latar belakang di mana dia selesa berada di dalam hutan, katanya.

Dia dituduh memenggal kepala seorang lelaki berusia 54 tahun di New South Wales, minggu lalu. - AFP

90 maut dalam tanah runtuh akibat hujan lebat

CHITTAGONG (Bangladesh): Kira-kira 90 orang terbunuh dalam tanah runtuh di tenggara Bangladesh selepas hujan tiga hari menyebabkan banjir kilat dan mengakibatkan sistem pengangkutan putus, semalam.
Ketua Pentadbir wilayah, Sirajul Haq Khan berkata, anggota tentera dikerahkan untuk membantu usaha menyelamat di kawasan bukit bukau Chittagong. 
Dia memberi amaran jumlah mangsa maut akan meningkat sebaik saja jalan dapat disambung kembali di kawasan pedalaman.

Katanya, sekurang-kurangnya 89 orang maut dalam beberapa siri kejadian tanah runtuh dan banjir kilat di sekitar pelabuhan Chittagong dan daerah berdekatan di Cox’s Bazar dan Bandarban.

Pentadbir Bandarban, Tariqul Islam berkata, 32 mayat ditemui daripada beberapa kawasan tanah runtuh.

“Usaha menyelamat sukar kerana komunikasi terputus disebabkan banjir kilat dan hujan lebat,” katanya.

Katanya, 10 daripada mangsa adalah kanak-kanak dan yang lain mengalami kecederaan.

Ketua Polis Bandarban, Saiful Ahmed berkata, kebanyakan mangsa sedang tidur apabila lumpur runtuh dan menimbus mereka.

“Ada yang kehilangan 12 anggota keluarganya,” katanya.

Pegawai di Cox’s Bazar berkata, sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh akibat lumpur dan bangunan runtuh.

Penerbangan keluar masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat, Chittagong ditangguhkan sejak kelmarin.

Menrurut Pusat Informasi Pengurusan Bencana, kira-kira 50,000 orang terlibat akibat banjir dan kebanyakan mereka terpaksa berlindung di tempat tinggi. - AFP

Bot karam: 125 berjaya diselamatkan

SYDNEY: Anggota penyelamat menyelamatkan 125 orang dari laut selepas bot yang membawa pencari suaka, karam ketika dalam perjalanan ke Australia, beberapa hari selepas sebuah kapal tenggelam di tempat yang sama, dan 90 maut.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, bot buruk itu tenggelam di 107 batu nautika di utara Pulau Krismas di Laut Hindi, dan buat masa ini seorang disahkan maut. 
Laporan AMSA terbaru berkata, terdapat 150 orang di atas bot itu termasuk wanita dan kanak-kanak, iaitu bertentangan dengan laporan Perdana Menteri, Julia Gillard yang memberitahu Parlimen ada antara 123 dan 133 orang di bot itu.

Gillard memberikan laporan itu ketika ahli politik Australia cuba berbincang bagaimana untuk menyelesaikan masalah ketibaan pencari suaka.

Insiden itu berlaku beberapa hari selepas sebuah lagi bot dengan 200 penumpang karam di Laut Hindi ketika dalam perjalanan ke Australia.

Dalam tragedi itu, anggota penyelamat berjaya menyelamatkan 110 orang dan 17 mayat ditemui tetapi tiada mangsa lain ditemui selamat. - AFP

Mahkamah haramkan persatuan sokong hubungan seks dewasa dengan kanak-kanak

THE HAGUE: Mahkamah di Belanda semalam, mengharamkan persatuan yang melobi penerimaan hubungan seks antara orang dewasa dengan kanak-kanak.
Jurucakap Mahkamah Sivil di utara bandar Assen, Luta van der Leij berkata, “Mahkamah telah mengharamkan dan memerintahkan pembubaran Persatuan Martijn itu.” 
Pendakwa raya Belanda pada 16 Mei lalu, dalam hujah penutup, meminta persatuan itu, yang telah wujud sejak 1982, supaya diharamkan dan dibubarkan.

Pendakwa raya berkata, persatuan yang beribu pejabat di Assen, kira-kira 160 kilometer dari Amsterdam, dan mengendalikan laman web “menawarkan rangkaian digital dan pejabat kepada pesalah seks.”

Buat masa ini ia mempunyai 60 anggota.

Bekas Presidennya, Ad van den Berg, dipenjara tiga tahun pada 18 Oktober tahun lalu di Harlem di barat Belanda kerana memiliki gambar, filem dan majalah yang memaparkan pornografi kanak-kanak.

Pendakwa raya membawa kes sivil ke Mahkamah Assen selepas Mahkamah Rayuan November lalu, enggan mendakwa Martijn atas dakwaaan jenayah. - AFP

Stesen TV dibom: 3 wartawan maut

DAMSYIK: Serangan terhadap pejabat utama saluran televisyen satelit yang prokerajaan dekat bandar raya ini membunuh tiga wartawan dan empat pengawal keselamatan semalam, lapor media kerajaan.
Siaran langsung oleh televisyen kerajaan menunjukkan kerosakan teruk studio Al-Ikhbariya dengan beberapa kebakaran kecil masih berlaku. Kumpulan pengganas merempuh masuk ke pejabat Al-Ikhbariya, meletakkan bahan letupan dalam studio dan meletupkannya bersama peralatan di situ,” kata Menteri Informasi, Omran al-Zohbi kepada stesen televisyen itu dalam wawancara secara langsung. “Mereka melakukan pembunuhan terburuk terhadap petugas media, wartawan dan kakitangan keselamatan,” katanya.

“Ini bukan serangan sebarangan,” katanya sambil menyalahkan sekatan Kesatuan Eropah (EU) dikenakan terhadap media yang prokerajaan. “Semua yang mendorong kepada keganasan, semua yang berkempen menentang Syria, sama ada mereka saluran media, pegawai atau Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan khususnya mereka yang tidak menghiraukan kehadiran kumpulan lelaki bersenjata, perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas jenayah ini,” katanya. Saluran televisyen prokerajaan yang tidak dikenal pasti antara organisasi terbaru sekatan EU terhadap kerajaan Syria yang dikuatkuasakan Isnin lalu.
Blok dianggotai 27 negara itu sudah mengenakan sekatan ke atas media penyiaran kerajaan. - AFP

Lelaki maut dikejar polis




         
JEDDAH: Seorang lelaki warga Arab Saudi maut, manakala isteri dan dua anaknya cedera apabila kereta mereka merempuh jambatan ketika dikejar oleh anggota polis agama, semalam.

Di Arab Saudi di mana pemerintahan monarki mengamalkan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah yang ketat, polis agama akan meronda jalan raya untuk menguatkuasa pengasingan jantina dan memastikan orang ramai berkelakuan mengikut ajaran agama Islam.
Polis agama dahulu dikenali sebagai Suruhanjaya Mempromosi Sifat Murni dan Pencegahan Maksiat, di mana anggota polis agama menahan mereka yang tidak mengikut peraturan itu.

Mac lalu, ketua Suruhanjaya itu mengharamkan mengejar kereta kerana pernah menyebabkan beberapa kemalangan maut.


Anggota keluarga mangsamemberitahu akhbar Watan, anggota polis mula mengejar apabila mereka bersemuka dengan Abdulrahman Ahmed al-Ghamci, 35, dan keluarganya ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari taman hiburan di selatan wilayah al-Baha.


Menurut mereka, polis bersemuka dengannya kerana bunyi radio dalam keretanya yang dikatakan terlalu kuat.

Abdulrahman terus memandu keretanya pergi, menyebabkan polis agama mengejarnya dan keretanya merempuh jambatan menyebabkan dia maut.

Akhbar al-Watan melaporkan, anak lelaki Abdulrahman yang berusia sembilan tahun koma dan tangan isterinya terpaksa dipotong akibat kemalangan itu.

Anak perempuannya, empat tahun, berada di dalam keadaan stabil di hospital.

Jurucakap Suruhanjaya di al-Baha, Nasser al-Zahrani mengesahkan laporan itu.

Katanya, “Satu jawatankuasa dibentuk untuk menyiasat kejadian itu.” - Reuters

Perancang serangan Mumbai 2008 ditangkap

NEW DELHI - Polis berjaya menahan perancang utama yang terlibat dalam perancangan serangan maut di Mumbai empat tahun lalu.

Menurut pegawai kanan polis, Abu Jindal juga dikenali sebagai Syed Zabiudin ditahan reman semalam.

Dia digambarkan sebagai individu utama daripada 10 orang lelaki bersenjata yang membuat serangan maut di Mumbai pada 2008.

Serangan itu meragut 165 nyawa dan sembilan lelaki bersenjata juga dibunuh.

Lelaki bersenjata yang masih hidup dalam serangan itu, Mohammad Ajmal Amir Qasan, didapati bersalah membunuh dan melancarkan ‘perang’ ke atas India pada Mei 2010 dan dijatuhi hukuman mati.

Serangan selama 60 jam itu, bermula 26 November 2008,  dilancarkan ke atas hotel-hotel mewah, stesen keret api utama dan pusat kebudayaan Yahudi.

Wanita, pondan jadi ‘sasaran’

KUALA KRAI - Dua golongan kurang diberi perhatian dan tidak ada maklumat jelas tentang isu semasa menjadi tumpuan jentera PKR Dewan Undangan Negeri (Dun) Guchil menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ahli Dewan Undangan Negeri Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria berkata, dua golongan terbabit ialah wanita dalam kalangan suri rumah dan golongan ‘lembut’ (pondan).

“Kita tahu lebih 50 peratus pengundi adalah wanita dan kira-kira 50 peratus daripada wanita ini pula suri rumah yang duduk di rumah dan tidak bergaul di kedai kopi.

“Golongan kedua pula ialah generasi Z iaitu golongan ‘lembut’ atau pondan dan kita tahu, mereka ini kurang diberi perhatian dan selalunya tidak tahu perkembangan semasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Tuan Zamri Ariff berkata, bagi wanita suri rumah, aktiviti ditumpukan kepada program dari rumah ke rumah seperti majlis ramah mesra untuk mendekatkan beliau selaku wakil rakyat dengan golongan itu.

“Kebiasaannya, setiap program hanya libatkan kira-kira 20 orang, dijemput oleh penduduk yang dipilih sebagai tuan rumah majlis ramah mesra.

“Bagi generasi Z pula, saya lebih kepada aktiviti minum kopi bersama untuk berbual dan kita juga taja aktiviti anjuran mereka seperti bola jaring,” katanya.

Tuan Zamri Ariff berkata, pengisian program bersama dua golongan itu lebih kepada penerangan isu semasa dan bantuan disediakan Kerajaan Negeri seperti insentif perkahwinan Az-Ziwaj serta
bantuan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Kita tidak tekankan sangat soal politik dalam program bersama dua golongan ini tetapi lebih kepada interaksi dua hala yang mesra antara saya dan mereka.

“Kita juga tidak komen tentang bantuan diberikan Kerajaan Persekutuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia kerana dalam majlis, orang Pas, orang Umno, orang PKR, semua ada,” katanya.

Menurut Tuan Zamri Ariff, beliau lebih gemar menggunakan konsep ‘menerang, bukan menyerang’ dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Saya juga akan cuba elak daripada balas balik jika ada orang ‘menyerang’ saya dari segi politik kerana bagi saya, tujuan serangan adalah untuk menghilangkan fokus saya kepada pilihan raya,” katanya.

Rakan mati atas pangkuan

KUALA ABANG - “Dalam keadaan terpinga-pinga saya sempat riba kepalanya, kemudian saya bisik ke telinganya dengan kalimah ALLAH, tapi tiada tindak balas. Melihat keadaannya, saya tahu dia tengah nazak.

Demikian kata Imam Asnawi Ariff, 27, mangsa yang terselamat selepas kereta pacuan empat roda dipandunya terbabit dalam kemalangan yang turut meragut nyawa sahabatnya di Kuala Abang, pagi semalam.

Ketika kejadian, Imam bersama rakannya, Mohd Shukri Salleh, 27, yang juga seorang juruteknik di syarikat Pro Aim Technologies Sdn Bhd beribu pejabat di Kuala Selangor itu dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Pusat Latihan Polis (Pulapol), Rantau Abang untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

Bagaimanapun, selepas melalui satu selekoh di Kilometer 66, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berdekatan pantai Kuala Abang, kereta pacuan empat roda dipandu Imam dari arah Dungun menghala ke Kuala Terengganu itu, dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh tembok konkrit.

Imam Asnawi cuba menyelamatkan diri selepas keretanya remuk dan menghampiri rakannya yang parah, dengan sebahagian daripada cuping telinganya dikatakan terkopek. Mangsa ketika itu
dilihatnya terbujur kaku di tepi jalan.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus menerkam ke arahnya lalu mengangkat kepalanya ke atas riba saya. Ketika itu, saya masih merasakan denyut jantungnya, tapi selepas beberapa kali
mengajarnya mengucap dan saya bertambah cemas apabila dia tidak menunjukkan sebarang reaksi,” katanya.

Mengimbas kembali detik cemas sebelum tragedi, Imam Asnawi yang masih trauma dengan tragedi yang meragut nyawa rakan sekerjanya yang berasal dari Tanjung Karang Selangor itu berkata,
ketika dalam perjalanan, arwah banyak berdiam diri selain turut menghabiskan beberapa batang rokok sebelum tiba di lokasi terbabit.

Katanya, malam sebelum bertolak ke Dungun pula, arwah dikatakan telah menutup telefon bimbitnya dan enggan bercakap dengan sesiapa, biarpun isterinya sendiri yang menghubunginya.
Imam berkata, dia tidak menyangka tingkah laku arwah yang agak pelik berbanding biasa itu satu petanda dia akan menemui ajal dalam tragedi kira-kira jam 9 pagi itu.

“Isterinya yang gagal menghubungi melalui telefon bimbitnya telah menghubungi saya dan meminta untuk bercakap dengan suaminya.

“Bagaimanapun arwah enggan melayan, sebaliknya banyak berdiam diri sehingga kami berdua hampir bergaduh atas tingkah lakunya itu, tak sangka pula hari ni dia akan pergi,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dungun, petang semalam.

Mohd Shukri yang duduk di tempat duduk hadapan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian itu dan kes masih dalam siasatan pihaknya.