Search This Blog

Wednesday, June 27, 2012

Kecewa diberi notis 24 jam

Kecewa diberi notis 24 jam
Surat daripada syarilkat tersebut
SENAI – Tawaran gaji lumayan dengan pelbagai insentif termasuk bonus dalam tempoh tiga bulan berkhidmat membuatkan lebih 10 pekerja kilang elektronik bersetuju untuk bekerja di sebuah syarikat multinasional di sini.
Lebih meyakinkan mereka untuk berhijrah ke syarikat baru itu, apabila majikan sanggup membayar pampasan kepada syarikat yang mereka berkhidmat sebelum ini, dengan alasan membolehkan mereka memulakan tugas dengan kadar segera di kilang baru disifatkan sekadar sandiwara.
Namun setelah bekerja di syarikat berkenaan, mereka dikejutkan dengan surat pemberhentian 24 jam, 22 Jun lalu.
Bagi Zulkifli Mohamed, 41, yang berkhidmat sebagai Juruteknik Kanan sejak 37 hari lalu berasa teraniaya dan kecewa apabila diberhentikan seca ra mendadak.
“Pada pagi berkenaan, kami masuk kerja seperti biasa jam 7.30 pagi, sebelum dipanggil seorang demi seorang dan dimaklumkan pihak pengurusan memberhentikan kami dengan notis 24jam dengan memberi pampasan sebulan gaji.
“Berita itu amat mengejutkan dan tidak mungkin dapat diterima kerana memikirkan tanggungan dan komitmen lain.
Saya amat kesal dengan pengurusan syarikat. “Dengan usia saya dan kekangan untuk mencari pekerjaan, bagaimana untuk saya menyara keluarga?” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Kata Zulkifli, tindakan syarikat berkenaan adalah sesuatu yang tidak wajar.
Manakala bagi Mohd Shahidan Hassan, 25, berkata, kerana ghairah dengan tawaran syarikat terbabit, dia sanggup melepaskan jawatan selaku juruteknik dua minggu lebih awal dari majikan lama.
“Saya menerima untuk bekerja di syarikat baru ini hasil rekomen oleh bekas majikan lama yang turut berkhidmat di situ.
Saya turut menandatangani kontrak setahun dengan syarikat baru dengan pulangan bonus sebulan selepas tiga bulan disahkan jawatan.
“Saya tidak sangka diberhentikan kerja. Nama saya dan reputasi saya di syarikat lama juga terjejas.
Tidak mungkin saya akan diterima kembali ke syarikat lama,” katanya.
Sementara itu buat jurutera muda, Muhammad Zulhusaini Noor Azmi, 26, yang sanggup berhijrah dari Pulau Pinang ke Johor untuk menimba pengalaman dirasakan tidak dihargai.
“Ia satu tindakan drastik. Dengan keadaan ekonomi dan menjelang Ramadan dan Hari Raya, berita ini amat mengecewakan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Sekerja Industri Elektronik (Wilayah Selatan), Mohd Salleh Ahmad berkata, pihaknya akan mendapatkan keadilan buat pekerja yang diberhentikan ini dengan menggunakan saluran ke Jabatan Perhubungan Perusahaan dengan memfailkan kes di bawah Seksyen 20 Akta Sekerja.
“Kita akan menggunakan saluran menerusi JPP, sebelum mengambil tindakan yang lebih tegas kerana tindakan memberhentikan pekerja ini secara mengejut dengan pemberian pampasan sebulan, tidak boleh diterima.
“Mereka layak diberi pengadilan dan menerusi JPP ini, wakil pekerja, syarikat dan kesatuan akan berunding untuk memikirkan keputusan yang wajar buat majikan dan pekerja,” katanya.
Manakala, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Johor, M Asojan berkata, pekerja yang diberhentikan itu perlu melaporkan segera kepada Jabatan Tenaga Kerja.
“Kita akan menyiasat perkara ini, kebiasaannya kes sebegini majikan perlu membayar pampasan mengikut Akta Pekerja 1955.
“Kalau pekerja tidak berpuas hati boleh minta nasihat Jabatan Perhubungan Perusahaan kerana ini melibatkan isu pembuangan pekerja,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan maklum balas daripada syarikat berkenaan gagal.

Maut dalam perjalanan pulang

Maut dalam perjalanan pulang
Keadaan kereta Honda City yang terlibat kemalangan mengakibatkan seorang maut.
TANJONG KARANG – Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di KM59.5 Jalan Klang-Teluk Intan, petang semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 230 petang itu, mangsa dalam perjalanan pulang dari arah Tanjong Karang menghala ke rumahnya di Pasir Penambang sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City.

Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kuala Selangor, Inspektor Roslan Ismail berkata, mangsa, Teo Chin Beng, 45, yang memandu kereta jenis Proton Wira itu mengalami kecederaan teruk termasuk patah kaki dan tengkuk.

“Anggota bomba terpaksa mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

“Dua penumpang iaitu anak mangsa, Teo Peck Hua, 17, mengalami kecederaan ringan manakala anak saudara mangsa, Goh Zi Yan, 23, mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Hasil siasatan mendapati, sebuah kereta jenis Honda City secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan selepas cuba mengelak sebuah kereta yang ketika itu sedang keluar simpang.

“Akibatnya, kereta Honda City yang dipandu seorang lelaki, Teow Thiam Kok, 22, cuba mengelak sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan yang pada masa sama dilalui mangsa.

“Thiam Kok bersama penumpang, Lee Jia Sin, 20, dilaporkan mengalami kecederaan ringan manakala kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian depan.

“Keempat mangsa turut dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Siasatan kes masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada Sinar Harian.

Lebih 20 anjing liar ditangkap

Lebih 20 anjing liar ditangkap
Anjing liar yang telah ditangkap ketika Ops Anjing Liar di Kampung Baru Jementah.
SEGAMAT- Lebih 20 ekor anjing liar ditangkap dalam Ops Anjing Liar yang dijalankan Majlis Daerah Segamat (MDS) bersama Jabatan Perkhidmatan Vaterinar dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela), dekat sini, petang semalam.
Yang Dipertua MDS, Ismail Abu berkata, berdasarkan aduan daripada masyarakat setempat, pihaknya mendapati gangguan anjing liar begitu ketara di Jementah terutamanya di kawasan taman dan kampung baru.
Menurutnya, tangkapan  paling banyak dibuat ialah di sebuah rumah di Kampung Baru Jementah iaitu melebihi 10 ekor.
“Bertindak atas maklumat dan aduan, MDS selepas ini akan menangkap semua anjing liar yang didapati tidak mempunyai penjaga dan anjing berlesen yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Anjing liar yang ditangkap akan disimpan dalam tempoh satu minggu, tetapi jika ada yang berminat dengan anjing liar tersebut boleh mengambilnya daripada MDS setelah dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar terlebih dahulu untuk pemeriksaan kesihatan.
“Setiap kesalahan boleh dikenakan kompaun sehingga RM250 untuk seekor anjing mengikut kesalahan, manakala anjing yang tidak dituntut akan diberikan kepada pihak vaterinar untuk tujuan pelupusan,” katanya.
Katanya, setiap rumah teres dan rumah pangsa dibenarkan membela seekor anjing sahaja, berbeza dengan rumah banglo dibenarkan membela dua ekor, namun semuanya harus mempunyai lesen yang sah.
“Pemohon lesen anjing perlu mendapatkan rawatan kesihatan terlebih dahulu daripada pihak vaterinar sebelum berjumpa dengan pegawai MDS bagi proses memohon lesen dan pembelian fatil yang diwajibkan bagi anjing berlesen,” katanya.

Empat lelaki termasuk dua beradik ke tali gantung

KUALA LUMPUR - Dua beradik dan dua lagi lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar kanabis seberat 22 kilogram, tiga tahun lepas.
 
Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu selepas mendapati kesemua tertuduh di akhir kes pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Badrul Hisham Kamaruddin, 42, dan adiknya Mohd Amirul, 24, Syed Mohamad Anis Alkaff Syed Osman, 55, dan Azhar Ali, 47, didapati bersalah mengedar kanabis  seberat 22,007 gram di hadapan kilang aluminium New Age, 160B New Village, Jalan TUDM, Petaling Jaya, kira-kira 4.20 petang, 21 Februari 2009.
 
Hakim Asmabi dalam penghakimannya berkata: "Setelah meneliti keterangan kesemua 13 saksi pendakwaan dan pembelaan keempat-empat tertuduh, mahkamah mendapati versi pihak pembelaan adalah satu penafian semata-mata dan lebih ke arah "after taught" (difikirkan kemudian)".

Katanya pembelaan Badrul Hisham selaku tertuduh pertama dan adiknya selaku tertuduh kedua yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang, mengakui mereka telah bertemu sebanyak tiga kali dengan "ejen provokator" (pegawai polis menyamar sebagai pembeli) bukan berkaitan dengan jual beli dadah tetapi lebih berkaitan dengan jual beli kulit ular.

Sementara itu pembelaan Syed Mohamad Anis Alkaff dan Azhar ialah bahawa mereka ke Kuala Lumpur adalah semata-mata berkaitan dengan pembelian sebuah lori, katanya.
 
Hakim Asmabi juga berkata keterangan pihak pembelaan bahawa wujudnyawatak "Jo" dalam membuat transaksi dengan "ejen provokator" juga tidak dapat diterima kerana pihak pembelaan tidak mengeluarkan sapina terhadapnya ataupun kemukakan bukti kukuh wujudnya watak "Jo" sepertimana yang didakwa oleh tertuduh.

Peguam Nik Mohd Radhia mewakili dua beradik manakala peguam Surjan Singh mewakili Syed Mohamad Anis dan  Azhar diwakili peguam A. Nadarajan.
 
Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan hadir untuk pihak pendakwaan. - Bernama

5 kakitangan Kuin buat laporan terhadap Rektor

ALOR SETAR - Lima laporan polis dibuat oleh kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) di Ibu Pejabat PolisDaerah (IPD) Kota Setar hari ini mendakwa wujud pecah amanah di bawah kepimpinan Rektornya, Profesor Datuk Dr Jamil Osman.
Kehadiran kelima-lima orang kakitangan Insaniah di IPD Kota Setar, kira-kira jam 2 petang itu turut diiringi beberapa rakan lain.
Sinar Harian difahamkan, laporan berkenaan dibuat berikutan rasa kesal dan tidak puas hati mereka di atas tindakan institusi itu yang gagal membuat pembayaran wang pekerja kepada beberapa agensi kewangan yang berkenaan walaupun pemotongan dalam slip gaji sudah dilakukan.
Agensi kewangan yang terlibat termasuk Bank Muamalat, Bank Rakyat dan Bank Islam Malaysia Berhad.
Menurut sumber, tindakan Insaniah itu mengakibatkan sebahagian besar kakitangannya menanggung beban seperti caj kelewatan bayaran yang dikenakan bank, malah terdapat sebahagian pekerja menerima surat amaran peguam untuk diambil tindakan mahkamah.
"Rujukan sudah dibuat dengan agensi kewangan yang terlibat dan dimaklumkan bahawa terdapat tunggakan untuk tempoh beberapa bulan. Justeru laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan berhubung perkara ini dijalankan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi Sinar Harian, mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Pada 20 Mei lalu, satu memorandum turut dihantar kepada Rektor menuntut agar bayaran terhadap semua tunggakan dilangsaikan segera namun tiada tindakan yang diambil sehingga ke hari ini.
Malah, Sinar Harian sebelum ini turut melaporkan bahawa satu lagi memorandum diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, menuntut agar pihak pengurusan Insaniah menjaga kebajikan kakitangan, khususnya mengenai aspek kenaikan gaji, kenaikan kadar bantuan sara hidup yang ditangguhkan pelaksanaannya, serta kemudahan ketika cuti sakit.

Tiga lelaki larikan van rokok

Tiga lelaki larikan van rokok
Yee Han menunjukkan lokasi van rokok yang diparkir di hadapan sebuah kedai runcit di Jalan Taiping, Bagan Serai sebelum dilarikan kumpulan penyamun
BAGAN SERAI - Sebuah syarikat pengedaran rokok bukan sahaja mengalami kerugian hampir RM100,000, malah seorang pekerjanya nyaris diculik dalam satu insiden samun berhampiran Jalan Taiping, di sini, lewat petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 petang itu, tiga lelaki melarikan sebuah van yang mengandungi berpuluh karton rokok berjenama bernilai hampir RM20,000 ketika seorang pekerja sedang mengedarkan stok bekalan rokok di sebuah kedai runcit.
Mangsa, Jamaludin Ismail, 30, secara tiba-tiba didatangi dua lelaki, sebelum diarahkan untuk masuk ke dalam van oleh seorang daripada mereka yang mengacu pisau di pinggangnya.
Mangsa kemudiannya diarahkan untuk memandu van itu ke arah Jalan Bukit Merah dan turut diekori sebuah kereta jenis Proton Perdana sebelum ditinggalkan di kawasan berhampiran.
Penyelia syarikat, Ng Weng Chai, 35, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM100,000 apabila van rokok bernilai RM80,000, wang tunai RM2,700 dan empat cek bernilai RM6,000 yang berada di dalam peti besi kenderaan itu.
Jelasnya, wang tunai dan telefon bimbit mangsa turut dirampas dan setelah ditinggalkan di tepi jalan, mangsa terpaksa menumpang motosikal seorang penduduk kampung sebelum menaiki bas untuk membuat laporan polis di Balai Polis Bagan Serai,” katanya sewaktu dihubungi, semalam.
Sinar Harian dimaklumkan, kejadian seumpama ini sudah tiga berlaku di kawasan premis berkenaan dalam tempoh 10 tahun.
Saksi kejadian, Goh Boon Teng, 47, berkata, ketika kejadian dia baru menyerahkan wang berjumlah RM200 kepada mangsa bagi membayar sebahagian stok yang diambil.
Dia yang merupakan pemilik kedai runcit nyata terkejut apabila melihat mangsa meninggalkan kedainya secara tergesa-gesa bersama dua lelaki berusia lingkungan 20an yang keluar dari kereta Perdana mendekatinya secara tiba-tiba.
“Dua lelaki itu terus membisikkan sesuatu ke arah mangsa dan mereka secara tiba-tiba terus meninggalkan kedai saya tanpa sebab,” katanya.
Seorang lagi saksi kejadian, Lim Yee Han, 25, berkata, pada mulanya beranggapan mangsa bersama dua lelaki itu adalah kenalan, bagaimanapun terkejut apabila mengetahui mangsa sebenarnya disamun dan van dilarikan sejam kemudian.
“Saya hairan mangsa kembali semula ke kedai sejam selepas itu dan apabila ditanya, mangsa menceritakan dia disamun dan ditinggalkan suspek di Jalan Bukit Merah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi  mengesahkan laporan kejadian dan kes itu disiasatdi bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Curi 3 meter air dalam 3 minit

Curi 3 meter air dalam 3 minit
Abdul Majid (kanan) menunjukkan pili meter dan alat yang digunakan untuk membuka pili meter yang berjaya dirampas
KLUANG - Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes kecurian meter air milik Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) di sebuah kedai di Taman Desa, dekat sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Abdul Ali berkata, kedua- dua suspek ditahan kira-kira jam 5 pagi hasil aduan awam dan serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
Menurutnya, ketika serbuan, suspek yang berumur antara 36 dan 60 tahun itu sedang membuat urusan jual beli di sebuah kedai barang lusuh di pinggir bandar Kluang.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas satu beg sandang milik salah seorang suspek yang berisi 13 unit meter air.
“Malah, polis juga mendapati salah seorang suspek itu adalah pemilik kedai barang lusuh yang mahu membeli barang curi untuk dijual di kedainya,” katanya pada sidang media di IPD Kluang, semalam.
Beliau berkata, suspek mengambil masa kira-kira tiga minit untuk mencuri tiga meter air berdasarkan rakaman video yang diperoleh hasil risikan polis.
Katanya, kedua-dua suspek didakwa di bawah Seksyen 379/411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barangan curi.
“Walau bagaimanapun, mereka masih dalam tahanan reman sehingga hari ini (semalam) dan soal siasat masih dijalankan ke atas mereka.
“Mengikut laporan polis dari Januari hingga bulan ini, sebanyak 230 unit meter air dilaporkan hilang dan diharap dengan tangkapan dua suspek ini, ia dapat menyelesaikan masalah
kecurian meter air di sekitar daerah ini,” katanya.
Abdul Majid turut mengingatkan kepada semua pengusaha kedai barangan lusuh agar tidak membeli barangan curi terutama sekali harta milik kerajaan kerana mereka yang terlibat juga boleh dikenakan hukuman kerana bersubahat membeli serta menjual barang curi. 

Kenderaan hempap tuan

Kenderaan hempap tuan
Keadaan mangsa terperosok dalam tanah sebelum dilanggar oleh keretanya di tapak projek perumahan, semalam
IPOH – Kegagalan seorang lelaki menarik brek tangan kenderaan yang dipandunya memakan diri apabila maut akibat terperosok dalam longkang di sebuah tapak projek perumahan di Falim, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.00 malam itu, mangsa, Chang Wing Khoon, 58, meninggal dunia di tempat kejadian setelah kereta Toyota Hilux milik syarikatnya yang diparkir bergerak sendiri sebelum merempuh mangsa dari arah belakang.
Difahamkan mangsa cuba membuka pintu zink, ketika turun, dia lupa untuk menarik brek tangan sehingga tidak sedar kereta itu bergerak dan merempuhnya di hadapan menyebabkan mangsa tidak sempat untuk berbuat apa-apa.
Wing Khoon yang bekerja sebagai pengurus projek ditemui orang awam dalam keadaan warna kulit menjadi lebam akibat dihempap bahagian hadapan kenderaan berkenaan.
Isterinya yang ditemui di tempat kejadian, Wong Chee Yeng, 57, berkata, dia masih tidak percaya kejadian tragis yang menimpa suaminya ketika tiba di lokasi kejadian pada jam 2 pagi.
“Saya cuba hubungi dia sejak jam 7 malam tetapi tiada jawapan kerana selalunya jam 6.30 dia akan pulang untuk makan malam bersama keluarga sehinggalah saya diberitahu tentang kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superitendan Ahmad Termizi Abd Haq berkata, berdasarkan laporan bedah siasat, kematian mangsa disebabkan oleh patah tulang belakang dan pendarahan dalaman.
“Mangsa tidak sedar kereta itu bergerak mungkin disebabkan faktor muka bumi lalu menghempap mangsa sehingga terperosok dalam longkang berhampiran.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya

Dipenjara 5 tahun rompak guna spanar

Dipenjara 5 tahun rompak guna spanar
Mohd Fadzil dibawa keluar dari mahkamah.
GEORGETOWN - Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua kali sebatan ke atas seorang lelaki selepas didapati bersalah melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang wanita dua tahun lalu.
Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Fadzil Hashim, 27, dari Pangkalan Batu, Tasek Gelugor yang dituduh melakukan kesalahan itu bersama tiga lagi rakan yang masih bebas, kira-kira jam 8.15 malam, 13 Januari 2010.
Mengikut pertuduhan pindaan, Mohd Fadzil didakwa melakukan rompakan berkumpulan itu di tepi jalan berhampiran kawasan Persiaran Sungai Ara 1, Bayan Lepas dengan bersenjatakan sbatang spanar sehingga menyebabkan kecederaan dan kerugian terhadap Lim Ai Geok, 52 tahun.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami trauma selain terpaksa menanggung kerugian apabila beberapa barangan termasuk wang tunai dilarikan.
Antara barangan yang dilaporkan hilang adalah wang tunai RM900, dokumen pengenalan mangsa, dua keping kad kredit dan mata wang asing bernilai RM500.
Mohd Fadzil didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Mengikut keterangan kes, Mohd Fadzil dan tiga rakannya mengepung kenderaan mangsa dari arah depan dan belakang sebelum memecahkan cermin tingkap kereta mangsa.
Selepas memecahkan cermin kereta, keempat-empatnya didakwa memukul mangsa dan melarikan beg tangannya.
Terdahulu, Mohd Fadzil yang memakai kemeja T putih hanya dilihat duduk dalam keadaan murung di kandang tertuduh.
Ketika pertuduhan dibaca, lelaki itu mengangguk kepalanya menandakan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mohd Fadzil tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini.

Jaga dituduh bunuh wanita

Jaga dituduh bunuh wanita
Mohamad Basri (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret
BALIK PULAU - Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh seorang wanita awal bulan ini semalam.
Mohamad Basri Ayob, 42, didakwa mengikut Seksyen  302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan kerana menyebabkan kematian Prihatin Komsari pada 9 Mei lalu.
Tiada pengakuan diambil daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Majistret Muhammad Hidayat Wahab menetapkan 17 Ogos sebagai sebagai tarikh sebutan semula kes selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Charanjit Singh Mahinder Singh bahawa pihaknya masih belum menerima laporan bedah siasat mangsa.
Terdahulu, Sinar Harian menyiarkan bahawa mayat seorang wanita tanpa dokumen pengenalan diri ditemui terapung dalam Sungai Kluang berhampiran kawasan perindustrian Bayan Baru.
Mangsa yang dipercayai berusia lingkungan 30-an itu ditemui kira-kira jam 1.30 petang dengan kesan luka serta calar pada pipi dan bibirnya 

11 rangka motosikal ditemui

11 rangka motosikal ditemui
Anggota polis menaikkan rangka motosikal yang dibuang ke dalam tasik
BALING - Sebanyak lapan rangka motosikal curi ditemui di dalam tasik berdekatan Kampung Charuk Pendiat dan tiga lagi di dalam sungai Kampung Lubuk Pedati, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, penemuan rangka motosikal itu adalah hasil tangkapan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang terlibat dalam kes kecurian motosikal di daerah ini.
“Hasil siasatan mendapati kebanyakan motosikal curi di buang ke dalam sungai dan tasik tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, rangka motosikal terbabit mempunyai rekod laporan hilang di Baling Kupang, Kulim, dan Tikam Batu.
Polis juga mempercayai masih lagi terdapat rangka motosikal di dalam tasik sedalam enam meter itu.
“Keadaan persekitaran tasik yang sunyi menjadikan kawasan itu tumpuan untuk membuang rangka motosikal yang dicuri mereka,” katanya.
Operasi yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Baling, Asisten Superintendan Md Nazir Osman mengambil masa lebih empat jam untuk mengeluarkan
rangka tersebut berikutan keadaan tasik yang keruh dan dalam.
“Keadaan tasik yang dalam dan berselut menyukarkan operasi selain terpaksa menggunakan tali dan kayu bagi menaikkan ke semua rangka motosikal itu,” katanya.
Remaja berusia 17 tahun yang ditahan itu dipercayai giat menjalankan aktiviti kecurian motosikal di daerah ini dengan menumpukan kawasan pasar raya dan pasar malam.
Polis masih lagi memburu dua orang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal di daerah ini.
Mat Daud berkata, polis akan melakukan siasatan terperinci bagi mengesan ke semua mereka yang terlibat dalam perlakuan jenayah itu.
“Kebanyakan suspek adalah lingkungan belasan tahun.
Penahanan remaja ini sedikit sebanyak dapat membantu mengesan lebih remai pelaku yang terlibat dalam kes ini.
“Kita amat memandang serius dan akan memastikan pelaku ini mendapat hukuman setimpal sebagai pengajaran untuk kebaikan masa hadapan mereka,” katanya.
Menurutnya, ibu bapa perlu memandang serius mengenai perkara ini dan mengambil tindakan tegas kepada anak-anak yang cuba melakukan sebarang aktiviti jenayah.
“Kebanyakan suspek yang ditemu bual mengakui sering ponteng ke sekolah malahan diketahui oleh ibu bapa mereka. Keadaan ini amat menyedihkan kerana ibu bapa adalah penggerak kepada masa hadapan anak-anak mereka.
“Sikap ‘tidak mengapa’ ibu bapa ini hanya meningkatkan lagi kebarangkalian anak-anak untuk terlibat dalam aktiviti jenayah,” katanya.

Dua lelaki maut akibat langgar lampu isyarat merah

CYBERJAYA - Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan kenderaan pacuan empat roda di simpang empat Persiaran APEC, di sini hari ini.
   
Dalam kejadian 11.30 pagi itu, pemandu kenderaan pacuan empat roda, Foo Hong Kam, 55, maut di tempat kejadian manakala pemandu bas RapidKL, Ismail Ahmad, 54, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya.
   
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang DSP Zaldino Zaludin berkata kejadian dipercayai berlaku apabila bas yang dipandu Ismail melanggar lampu isyarat merah dan merempuh kenderaan pacuan empat roda tersebut.
   
Bas tersebut turut melanggar sebuah motosikal, namun penunggang tersebut hanya mengalami cedera ringan, katanya ketika dihubungi hari ini.
   
Beliau berkata keseluruhan kejadian dirakam kamera litar tertutup yang ditempatkan di situ. - Bernama

Isteri derita suami ketagih syabu

Isteri derita suami ketagih syabu
Haliza
BANDAR TUN RAZAK - Seorang isteri sudah tidak sanggup lagi menanggung derita hidup setelah suaminya terjebak dengan penagihan syabu.

Haliza (bukan nama sebenar), 42, berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk menjauhkan suaminya daripada barang terlarang itu, namun semuanya sia-sia.

“Suami saya sudah lama ketagih syabu. Walaupun sudah dikurniakan lima anak, suami saya masih lagi tidak dapat meninggalkan ketagihannya itu.

“Saya sudah putus asa untuk menjauhkan suami daripada barang tersebut kerana saya sedar, sekali sudah terjebak, memang sukar untuk ditinggalkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Haliza berkata, demi anak anak, dia masih bersabar dengan masalah ketagihan suaminya walaupun hidupnya terseksa.

“Kalau suami saya ambil barang itu (syabu), dia memang akan menjadi rajin dan boleh tak tidur selama beberapa hari. Namun bila kesannya hilang dan tiada duit untuk beli barang tersebut, dia akan malas bekerja, selalu tidur, malah mudah mengamuk,” katanya.

Dia justeru merayu kepada pihak berwajib supaya prihatin dengan masalah penagihan syabu di Wilayah Jengka yang dikatakan semakin berleluasa.

Pengerusi Belia Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Jengka 19, Khairy Azly Kassim berkata, pelbagai pihak perlu memainkan peranan bagi menangani masalah itu.

Selaku pengerusi belia sendiri, saya juga sering mengadakan program yang melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Namun sambutan yang diterima agak mengecewakan. Pada pendapat saya perlu ada jalan yang lebih berkesan untuk mengatasinya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon pihak berwajib melakukan pantauan ke setiap tanah rancangan Felda, selain meminta pemimpin di setiap kawasan prihatin dengan masalah itu yang kini semakin membimbangkan.

Gajah liar serang ladang sawit

Gajah liar serang ladang sawit
Tiga peneroka menunjukkan kesan pokok sawit yang ditumbangkan sekumpulan gajah di Felda Kota Gelanggi 2, baru-baru ini.
JERANTUT – Peneroka Felda Kota Gelanggi 02 dekat sini diancam kebimbangan berikutan ladang milik mereka diceroboh sekumpulan gajah liar sejak lebih seminggu lalu.

Difahamkan, antara empat hingga enam ekor termasuk anak haiwan berkenaan menceroboh ladang sawit di Blok A3, A4, A6, 16, 17 dan 19 dan seterusnya memusnahkan tanaman menyebabkan peneroka berdepan kerugian.

Seorang peneroka Kota Gelanggi 2, Ishak Jusoh, 62, berkata, pencerobohan haiwan itu memusnahkan tanaman sawit diusahakan sehingga menyebabkannya kerugian sebanyak RM8,000.

Menurutnya, haiwan berkenaan menceroboh kawasan ladang pada tengah malam sehingga subuh dan dipercayai datang dari Hutan Simpan Berkelah bersempadan tanah rancangan di sini.

“Sudah 30 tahun saya tinggal di Felda ini dan belum pernah berdepan dengan ancaman hidupan liar namun gangguan gajah kali ini kerap kali berlaku di sini.

“Gajah yang masuk ke ladang ini menumbangkan pokok sawit yang mana pelepah dan pucuk diambil untuk dimakan,” katanya.

Rakannya, Shafie Ariffin, 60, berkata, mereka terkejut apabila gajah berkenaan memusnahkan tanaman sawit dan meninggalkan najis di merata-rata tempat di blok 17 dan 19 ladang sawit Felda.

Menurutnya, tiada apa yang dapat dilakukan melainkan menghubungi Jabatan Perlindungan dan Hidupan Liar (Perhilitan) agar tampil memantau dan menghalau haiwan berkenaan balik ke hutan asal.

“Kami juga mengambil inisiatif membuat rondaan sekitar kawasan ladang dan menyalakan unggun api pada waktu malam untuk mengelakkan gajah liar masuk semula ke kawasan ladang.

“Kami juga mengharapkan Perhilitan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah gangguan haiwan liar yang bukan sahaja merosakkan tanaman malahan mengancam keselamatan peneroka ketika bekerja di ladang,” katanya.

Kedai kena pecah masuk lagi

Kedai kena pecah masuk lagi
Penyamun dipercayai masuk ke dalam kedai ini melalui bahagian siling.
MARAN - Sebuah kedai makanan ringan di Bangunan Gerai Buah Majlis Daerah Maran dekat Kampung Bintang, di sini, sekali lagi dipecah masuk awal pagi semalam selepas kejadian sama, dua minggu lalu.

Jika sebelum ini penyamun memecah masuk melalui jeriji besi di belakang kedai, namun kali ini penyamun bertindak memecahkan siling di hadapan dan bahagian dalam kedai untuk menyelinap
masuk.

Pemilik kedai, Zarina Mohamad, 38, berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki sesuatu ketika hendak memulakan operasi perniagaan kira kira jam 6.15 pagi.

Bagaimanapun dia terkejut apabila mendapati bekas duit syiling berada di atas meja pembayaran, sementara laci simpanan wang terbuka.

“Beberapa kepingan siling yang pecah turut bertaburan. Saya segera memeriksa keadaan kedai dan mendapati hanya beberapa jenis makanan ringan dan produk penjagaan diri hilang dipercayai dicuri,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran.

Zarina berkata, siling di bahagian belakang kedainya dipecahkan, dipercayai penyamun cuba masuk melalui laluan itu.

Bagaimanapun katanya, ruang sempit menyebabkan penyamun gagal berbuat demikian sebelum memecahkan siling di bahagian pintu hadapan kedai untuk masuk.

“Sejak kejadian kali pertama kedai saya dipecah masuk awal April lalu, saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak menyimpan wang tunai dan produk berharga dalam kedai termasuk
karton rokok,” katanya.

Dirempuh ketika melintas

Dirempuh ketika melintas
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk dibedah siasat.
TOK DOR - Seorang penunggang motosikal maut serta merta apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan dalam satu kejadian langgar lari di Kilometer 95 Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Tok Dor di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi tadi, mangsa, Poh Chian Wei, 27, berasal dari Kampung Renek yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian mati akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi berkata, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Kuala Terengganu telah memberhentikan motosikalnya di sebelah kanan jalan dan berjalan kaki melintas ke kiri jalan.

Menurutnya, pada masa sama tiba-tiba datang sebuah kereta dipercayai jenis Proton Saga dari arah Jerteh ke Kuala Terengganu telah melanggar mangsa menyebabkannya tercampak sejauh lima meter ke sebelah kanan jalan dan mati di tempat kejadian.

“Mangsa seorang mekanik kenderaan secara bergerak dan dipercayai telah melintas jalan untuk bertemu seorang rakannya di sebuah bengkel membaiki kenderaan yang terletak di sebelah kiri jalan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Besut untuk bedah siasat.

Mangsa juga telah memeluk Islam dan berkahwin dengan wanita Melayu dari Kampung Guntung, Permaisuri Setiu.

Sementara itu, polis telah memperoleh identiti kereta yang melanggar mangsa berdasarkan beberapa serpihan kereta yang berada di tempat kejadian.

Baling parang nyaris kena nenek

Baling parang nyaris kena nenek
Shahrul Fadlisman mengaku mengugut bapanya dengan sebilah parang di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
KUALA TERENGGANU - Angkara tidak tahan sering dinasihati bapa, seorang anak bertindak bagai orang hilang kewarasan apabila sanggup mengamuk menggunakan sebilah parang dalam satu kejadian di Kampung Padang Sena, Pulau Musang, di sini, Jumaat lalu.

Perbuatan si anak, Shahrul Fadlisman Nawi, 21, itu bukan sahaja membahayakan nyawa bapa kandungnya sendiri, malah turut membabitkan nyawa neneknya yang sudah uzur.

Apa yang menyedihkan, semasa sedang mengamuk, dia telah bertindak membaling parang yang dipegangnya itu dan nyaris terkena neneknya yang turut berada
di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, perbuatan Shahrul Fadlisman itu terbalas setelah dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, dan bakal berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh semalam mengaku bersalah di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret, Rusli Ahmad, melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah, bapanya sendiri di kediaman mereka
pada 22 Jun lalu kira-kira jam 4 petang.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun sama.

Rusli menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh jatuh hukuman terhadapnya sejurus pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala Shahrul Fadlisman tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Shahrul Fadlisman mengamuk secara tiba-tiba dengan memegang sebilah parang dan terus membaling parang berkenaan sehingga hampir terkena neneknya yang kebetulan turut berada di tempat kejadian.

Melihatkan situasi itu, bapanya yang bimbang perkara tidak diingini berlaku, mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Rempuh rakan hingga parah

Rempuh rakan hingga parah
Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas didapati bersalah, semalam.
KOTA BHARU – Tindakan seorang warga emas sengaja melanggar rakannya hingga cedera parah akibat berang anaknya ditetak membawa padah, apabila dia dihukum 10 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman diputuskan terhadap Ismail Meli, 62, selepas peneroka Felda Kemahang 1, Tanah Merah itu didapati bersalah di akhir kes pembelaan.

Hakim Azman Mustapha dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen kecederaan parah dialami mangsa berdasarkan keterangan saksi-saksi yang dikemukakan.

“Selain itu, pendakwa juga dapat membuktikan tertuduh sengaja merempuh motosikal ditunggang mangsa bersama isteri apabila kereta dipandu masuk ke laluan bertentangan.

Kata-kata tertuduh sejurus kemalangan itu turut membuktikan dia sengaja melakukan perbuatan tersebut,” katanya.

Berdasarkan tuduhan, Ismail didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Abdul Rahman Che Mamat, 66, dengan kereta yang mungkin menyebabkan kematian kepada mangsa di Jalan Hospital, Felda Kemahang II, Tanah Merah, pada jam 1.40 petang, 14 September 2009.

Terdahulu, Peguam bela, Ahmad Nizam Mohamad merayu hukuman minimum dikenakan terhadap tertuduh berikutan usianya yang sudah lanjut selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Saya juga mohon mahkamah supaya mengambil kira kejadian yang berlaku itu disebabkan tertuduh marah apabila arwah iaitu anak tertuduh, ditetak mangsa sebelum kejadian,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali bagaimanapun memohon hukuman berat dengan alasan kecederaan patah kaki yang dialami mangsa sehingga menyebabkan dia terpaksa menjalani rawatan di hospital.

“Kebangkitan perasaan marah juga sudah tidak wujud dalam kes ini kerana pergaduhan melibatkan mangsa dan arwah, bukannya antara mangsa dan tertuduh,” kata Nor Hamizah.

Sejurus hukuman diputuskan, Ahmad Nizam memohon penangguhan perlaksanaannya, namun, dibantah Nor Hamizah.

Selepas hujahan kedua-dua pihak dipertimbangkan, Azman kemudian membenarkannya dengan syarat rayuan difailkan dan tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

OKU dibelasah dua lelaki

OKU dibelasah dua lelaki
Sufiyah menunjukkan mata anaknya yang lebam akibat dibelasah.
KUANTAN - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dibelasah tanpa belas kasihan oleh dua lelaki apabila dituduh cuba memecah masuk sebuah rumah di Indera Mahkota 2, di sini.

Kamarudin Abdul Karim, 24, yang baru sahaja selesai menjalankan tugas sebagai anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) berkata, dia yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah mengikut jalan pintas, ditahan oleh dua lelaki terbabit sebelum bertindak membelasahnya.

“Tanpa sempat bertanyakan apa-apa, dua lelaki itu terus menumbuk mata, memijak dan menyepak kepala saya seperti bola tanpa belas kasihan.

“Puas saya merayu supaya berhenti pukul saya, namun mereka tidak endahkan. Saya seperti hendak pitam dan badan pula habis berlumuran darah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa baru sahaja selesai minum bersama pasukannya sebelum mengambil keputusan pulang dahulu memandangkan rakan-rakan lain asyik menyaksikan perlawanan bola sepak di warung tersebut.

Kamarudin berkata, dia dibelasah kerana dituduh cuba memecah masuk sebuah rumah hanya kerana dia melalui laluan belakang rumah terbabit yang ketika itu gelap.

Katanya, selepas hampir setengah jam bertarung dengan maut, dia dibantu ibunya, Sufiyah Osman, 53, dan Pengerusi Rukun Tetangga, Ramli Karim, 58, pulang ke rumah sebelum membuat laporan di Balai Polis Indera Mahkota.

Akibat kejadian itu, Kamarudin mengalami lebam di kedua-dua mata selain patah hidung dan trauma setiap kali mengenangkan peristiwa itu.Ibunya, Sufiyah berkata, dia menyifatkan kejadian itu tidak berperikemanusiaan kerana memukul anaknya sehingga separuh nyawa tanpa mempunyai bukti kukuh.

“Lemah longlai tubuh saya melihat keadaan anak yang tidak bermaya dan remuk hati saya kerana ada juga manusia sanggup memperlakukan hal ini tanpa belas kasihan. Hati ibu mana tidak pilu apabila melihat sendiri di depan mata, kepala anak dipijak sebelum disepak seorang daripada lelaki terbabit.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana terlalu terkejut sebelum isteri kepada lelaki berkenaan meminta saya mengambil anak dan pulang ke rumah,” katanya.

Dia berharap lelaki yang membelasah anaknya menerima hukuman setimpal.

“Biar undang-undang yang tentukan hukuman. Kejadian itu memberikan kesan sepajang hidup kepada kami keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan masih diteruskan.

Bola api masuk rumah

Bola api masuk rumah
Pagar batu rumah jiran mereka pecah akibat panahan petir sebelum menghasilkan ‘bola api’ yang dikatakan memasuki rumah Said.
MARANG – "Semasa isteri saya sedang memasak di dapur, hujan agak lebat di luar, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum isteri menjerit ada sebiji ‘bola api’ sebesar bola tenis masuk ke dalam rumah dan meluncur laju menuju ke arah bilik mandi.

Demikian cerita Said Abdul Rahman, 68, yang terselamat selepas rumah didiami bersama isteri, Fatimah Mamat, 58, dan tiga anak mereka disambar petir ketika ditemui Sinar Harian di rumah
mereka di Tanjung Belor, Pengkalan Berangan di sini, semalam.

Menurutnya, susulan kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 petang itu, dia dan isteri termasuk tiga anak yang berada di dalam rumah, panik apabila asap hitam memenuhi ruang tamu dan dapur rumah kesan selepas ‘bola api’ itu memasuki rumah mereka.

“Saya yang berada di dalam bilik ketika itu bergegas keluar dan melihat suis elektrikdalam rumah turut terbakar manakala kotaknya hancur, di samping bahagian atas mesin basuh pecah dan simen dalam bilik mandi pula berlubang kerana ‘bola api’ itu.

“Ini merupakan kejadian pertama rumah kami disambar petir sejak lebih 10 tahun tinggal di sini. Mujur saya, isteri dan anak-anak yang berada di dalam rumah serta rakan anak-anak yang
berteduh kerana hari hujan di luar rumah ini terselamat,” katanya.

Said berkata, kejadian itu turut menyebabkan pagar batu di rumah jirannya pecah dan anak-anaknya berpendapat penahan petir itu menuju ke arah pagar rumah jiran mereka itu terlebih dahulu sebelum ‘bola api’ itu terhasil dan masuk ke rumah mereka.

Menurutnya, dia sekeluarga masih mengalami kesan trauma dan bimbang akan keselamatan mereka jika kejadian hujan lebat dan ribut petir melanda semula di kawasan berkenaan sekali gus insiden sama berlaku lagi.

“Namun, kami bersyukur kerana perkara itu juga sudah mendapat perhatian pihak Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Berangan dan kerosakan berlaku di rumah ini termasuk fius terbakar dibaiki hari ini (semalam),” katanya.

Bau busuk bawa petanda

Bau busuk bawa petanda
Mayat mangsa diusung untuk dibawa ke hospital.
PASIR MAS – Bau busuk dari guni yang terletak di tepi sawah membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di Kampung Kiat,Gaung, petang semalam.

Seorang pemandu jentera pembajak sawah berkata, dia tidak menyangka bau busuk itu adalah mayat.

Mayat ini difahamkan dijumpainya kira-kira jam 1.30 petang di dalam semak bersebelahan sawah ketika pemandu jentera berkenaan sedang menjalankan kerja-kerja membajak bersama dua lagi rakannya.

Setelah terhidu bau busuk itu mereka curiga lantas memberhentikan kerja-kerja membajak dan mencari puncanya dan dikejutkan dengan penemuan sebuah guni di dalam semak berhampiran.

Penduduk yang mula-mula membuat pemeriksaan ke atas guni itu, Che Basri Abdul Rahman, 49, berkata dia diberitahu adiknya, Man, menerusi telefon berkenaan bau busuk di tempat kejadian.

Dia kemudiannya ke tempat kejadian setelah dimaklumkan tentang perkara itu.

“Adik menghubungi saya dan memaklumkan tentang bau busuk ketika sedang membajak sawah dan dipercayai bau itu datang dari sebuah guni terletak di dalam semak.

“Mereka curiga dan mengesyaki sesuatu serta tidak berani untuk membuka guni berkenaan untuk mengetahui isi kandungannya,” katanya ketika ditemui.

Dia yang juga Ketua Biro Pertubuhan Penyelamat dan Komunikasi Kelantan (Res’K) berkata, adiknya memaklumkan mengenai perkara itu kepadanya memandangkan dia tidak tahu apa harus
dilakukan.

Setelah tiba di tempat dimaksudkan, dia mendapati sebuah guni bertali berada di dalam semak dan mahu membukanya bagi melihat isi kandungannya tetapi membatalkan hasrat itu setelah mengamatinya.

“Apabila memerhatikan guni itu dari luar pun saya sudah nampak seperti susuk badan manusia, jadi saya membatalkan hasrat membukanya sebaliknya menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisonar Haliluddin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan akan menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan.

Mahkamah AS haram jualan Samsung Galaxy Tab

Keputusan pengharaman dibuat oleh mahkamah California, AS semalam.
Keputusan pengharaman dibuat oleh mahkamah California, AS semalam.
SAN FRANCISCO -  Sebuah mahkamah Amerika Syarikat (AS) di sini semalam mengharamkan penjualan Samsung Galaxy Tab 10.1 ekoran pertikaian dengan Apple.
Apple mendakwa yang Samsung melanggar etika dengan meniru reka bentuk daripada model mereka, iPad.
Samsung tablet dianggap oleh kebanyakan penganalisis sebagai saingan terdekat Apple iPad.
Bagaimanapun pengharaman itu tidak membabitkan Galaxy Tab 10.1 II, edisi terbaru tablet.
Perbicaraan kes dijadualkan bermula di California pada 30 Julai ini.
Apple perlu membayar bon AS$2.6 juta bagi memfailkan injunksi yang dipohon Mei lalu, untuk membayar pampasan jika pengharaman itu difikirkan tidak perlu.
Menurut Hakim Mahkamah Daerah Lucy Koh, walaupun Samsung mempunyai hak untuk bersaing, namun ia tidak ada hak untuk bersaing secara tidak sihat dengan melanggar peraturan produk di pasaran.
Hakim sebelum ini menafikan rayuan Apple bagi memohon injunksi ke atas tablet Galaxy dan telefon pintarnya tetapi meminta mahkamah persekutuan untuk menimbang semula permintaan Apple.

3 penuntut Malaysia nyaris diserang di Medan

JAKARTA - Pertengkaran dan salah faham berikutan satu kemalangan jalan raya membabitkan motosikal yang dinaiki seorang penuntut Malaysia dengan motosikal seorang pemuda tempatan di bandar Medan, Sumatera Utara tengah malam tadi nyaris mengakibatkan tiga penuntut Malaysia diserang penduduk tempatan.
   
Dalam kejadian itu sekumpulan penduduk tempatan berkumpul di luar sebuah klinik di mana penuntut Malaysia berkenaan mendapatkan rawatan, namun polis Indonesia yang dihubungi telah memberi perlindungan kepada mereka di sebuah balai polis bagi mengelak kejadian tidak diingini.
   
Pengarah Education Malaysia (EM) Indonesia Prof Madya Dr Juzhar Jusoh berkata, kejadian itu membabitkan Ashwin Kumar, seorang penuntut Fakulti Kedoktoran Gigi Universiti Sumatera Utara dengan seorang pemuda tempatan Dion Simaremare.
   
Dalam kejadian di Jalan Dr Mansyur, Medan itu, motosikal yang ditunggang Ashwin dikatakan dilanggar oleh motosikal Dion, menyebabkan Ashwin cedera ringan dan berikutan itu penuntut Malaysia itu telah meminta Dion supaya membayar ganti rugi.
   
Dion enggan membayar ganti rugi dengan alasan tidak mempunyai wang dan keadaan itu menyebabkan Ashwin menjadi emosi hingga berlaku perang mulut di antara mereka berdua, kata Juzhar.
   
"Dion sebelum itu telah meminta maaf kepada Ashwin dan berdamai, tetapi penduduk tempatan yang menyaksikan kejadian itu tidak mahu melepaskan Ashwin dan tiga orang lagi sahabatnya," katanya.
   
Ashwin telah menemui Konsul Muda dan Atase PDRM, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan pada kira-kira pukul 2.30 petang ini bagi mendapatkan nasihat konsular mengenai kejadian itu. - Bernama

'Saya kesal dan mohon maaf'

'Saya kesal dan mohon maaf'
Othman menundukkan muka mengelakkan wajahnya dirakam.
ALOR SETAR - “Saya mohon maaf pada keluarga, anak dan isteri saya serta keluarga mangsa dengan apa yang berlaku,” kata Othman A Aziz, 61, yang didapati bersalah membunuh teman wanitanya, seorang graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tahun lalu.

Menurutnya, dia insaf dan amat menyesali dengan apa yang berlaku (tindakan tertuduh terhadap mangsa) serta memohon supaya ALLAH akan mengampuni segala dosanya.

“Saya merayu dikenakan hukuman sewajarnya kerana masih mempunyai seorang isteri dan dua anak,” katanya dengan nada sebak ketika membaca teks pada sekeping kertas ketika diberi peluang bercakap di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Sebelum ini, Othman yang juga tukang masak sebuah restoran didakwa membunuh Ratna Sufizzahriyanti Omar, 23, di bilik, sebuah rumah di Taman Mahkota, Jalan Stadium, di sini antara jam 8.45 malam 2 Mei 2011 hingga 12.45 pagi 3 Mei 2011.

Dakwaan terhadap warga emas itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Othman yang memakai baju T berkolar warna putih dan seluar sukan hanya tenang mendengar keputusan sementara isteri serta seorang anaknya dilihat menahan sebak sebelum menangis ketika tertuduh dibenarkan kembali ke tempat duduk awam.

Mohd Zaki dalam penghakimannya berkata, keterangan pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa Ratna meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian badan disebabkan oleh Othman.

“Pakar patologi mengesahkan terdapat 26 luka tikaman dan empat hirisan ditemui di bahagian toraks si mati terutamanya di dada dan belakang menembusi organ vital (utama) seterusnya menyebabkan kematian,” katanya.

Justeru katanya, kewujudan banyak luka tikaman itu menunjukkan bahawa Othman ada niat untuk menyebabkan mangsa mati.

Beliau berkata, pembelaan dibuat Othman dalam kandang tertuduh pada 27 Mei lalu bahawa dia tidak sedar apa yang berlaku sehingga menyedari Ratna terbaring dalam keadaan berlumuran darah tidak dapat diterima mahkamah.

“Dalam pembelaan itu, tertuduh cuba menimbulkan bahawa dia tidak berfikiran waras semasa melakukan perbuatan membunuh bagaimanapun selepas dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, pakar mengesahkan tertuduh dalam keadaan siuman semasa kejadian.

“Beliau juga menimbangkan kes itu sama ada berlaku provokasi yang menyebabkan tertuduh melakukan pembunuhan selepas si mati enggan berkahwin dengan tertuduh. Bagaimanapun keterangan tertuduh gagal membuktikan wujudnya provokasi,” katanya.

Othman turut memohon supaya sepanjang tempoh tahanan sebelum pelaksanaan hukuman dipindahkan ke penjara di Selangor kerana keluarga berada di sana, namun Mohd Zaki menyarankan supaya permohonan itu diajukan kepada penguasa penjara.

Ketika prosiding, ibu dan adik perempuan kepada Allahyarham Ratna turut hadir mendengar keputusan enggan ditemu bual.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud sementara tertuduh diwakili peguam, A J Surinarayanan.

Akhbar pada 4 Mei lalu melaporkan seorang wanita berusia 23 tahun, Ratna Sufizzahriyanti Omar yang juga seorang jurutera sebuah kilang di Gurun, ditikam hingga mati di Taman Mahkota, Jalan
Stadium selepas dikatakan enggan berkahwin dengan teman lelakinya.

Mahkamah: Tempoh penjara bekas pengarah ditambah kepada 12 bulan - Semasa - Sinar Harian

PUTRAJAYA - Bekas pengarah syarikat Fountain View Development Bhd Datuk Chin Chan Leong hari ini dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman penjara 12 bulan bagi kesalahan memanipulasi saham di Bursa Malaysia yang dilakukannya antara 2003 dan 2004.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan di sini hari ini menambah tempoh hukuman tahanan (Chin) kepada penjara 12 bulan selepas memutuskan hukuman penjara sehari yang diputuskan Mahkamah Sesyen ke atasnya tidak menunjukkan keseriusan kesalahan itu.

Hakim Datuk Seri Wira Abu Samah Nordin yang mempengerusikan panel itu berkata kesalahan yang dilakukannya boleh mendatangkan impak teruk ke atas pasaran dan ekonomi dan juga menjejaskan keyakinan para pelabur.

Beliau memerintahkan Chin, 59, untuk menjalani hukuman penjara itu dari hari ini.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Linton Albert dan Hakim Datuk Abdul Aziz  Abdul Rahim, bagaimanapun mengekalkan denda RM1.3 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen yang telahpun dibayar oleh Chin.

Semasa membenarkan rayuan pihak pendakwaan, Hakim Abu Samah berkata Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf ketika menggunakan budi bicaranya untuk menjatuhkan hukuman sehari ke atas Chin.

"Pada pandangan kami kes ini amat jelas di mana kesalahan yang dilakukan memang dirancang terlebih dahulu. Hukuman yang wajar ialah hukuman penjara," katanya semasa mengubah hukuman penjara sehari itu kepada penjara 12 bulan.

Chin dihukum penjara sehari dan denda RM1.3 juta atau penjara 13 bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Sesyen pada 5 Feb 2010 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memanipulasi saham Fountain View di Bursa Malaysia menerusi 20 akaun Central Depository System (CDS) yang dimilikinya menerusi syarikat-syarikat yang dikawalnya antara November 2003 dan Januari 2004.

Hasil daripada manipulasi itu, harga bagi setiap saham naik daripada RM1.99 kepada RM6.05 dalam tempoh dua bulan.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan selepas rayuannya terhadap hukuman ringan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Sept 2010.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Shanti Geoffrey, yang mewakili pendakwa raya dalam hujahnya semalam berkata hukuman tahanan bagi tempoh lebih lama perlu dilaksanakan untuk mengembalikan integriti pasaran saham tempatan dan sebagai ingatan kepada mereka yang melakukan manipulasi pasaran bahawa mereka akan dikenakan hukuman berat.- Bernama