Search This Blog

Monday, June 25, 2012

Mahu Bujang Sebelak hidup-hidup



EMBOL (depan) bersama rakan-rakannya kini menunggu kehadiran bomoh buaya untuk menangkap Bujan Sebelak di Saratok semalam.


SARATOK – “Saya mahu tangkap buaya itu hidup-hidup.”Demikian tegas Tuai Rumah Nanga Sungai Anak dekat Roban di sini, Embol Asum, 48, yang kehilangan isteri tercinta, Siah Munsong, 42, akibat dibaham seekor buaya ganas, Bujang Sebelak dalam kejadian pada 19 Jun lalu.
Disebabkan itu, Embol bersama penduduk rumah panjang berkenaan tidak akan menembak atau memburu buaya tersebut pada masa ini sebaliknya menunggu kehadiran bomoh untuk menangkap reptilia pembunuh itu.
Embol ketika dihubungi Kosmo! semalam berkata, dia bersama beberapa penduduk rumah panjang hanya memantau dan meronda di sungai berkenaan bagi memastikan buaya sepanjang kira-kira lima meter dan buta mata kirinya itu masih berada di sungai berkenaan.
Menurutnya, meskipun ada melihat kelibat buaya itu di sungai berkenaan, dia dan penduduk kampung tidak akan menembak reptilia tersebut kerana tidak mahu ia melarikan diri.
“Kita mahu tangkap buaya itu hidup-hidup menggunakan kepakaran bomoh yang dijemput khas ke rumah panjang ini.
“Bomoh dari Skrang, Sri Aman itu tiba di rumah panjang hari ini (semalam) dan dia akan memulakan upacara malam ini sebelum mula menangkap buaya terbabit pada pukul 6 petang esok (hari ini),” katanya.

14 mayat dalam trak

MEXICO: Empat belas mayat yang dicincang serta surat ugutan yang disasarkan kepada kartel dadah ditemui di dalam trak di tempat letak kereta pasar raya di utara bandar Mexico, menurut laporan media, semalam.
Pejabat Pendakwa Raya Mexico tidak dapat mengesahkan laporan mengenai pertemuan ngeri di Mante itu dan pegawai polis di bandar penuh jenayah itu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen. 
Media Mexico berkata, bahagian tubuh yang dipotong itu adalah dari 10 lelaki dan empat wanita dan mesej itu ditujukan khas kepada kartel dadah Teluk.

Dalam kejadian berasingan pada 7 Jun lalu, 14 tubuh mayat yang dicincang ditemui di dalam trak di Mante, yang terletak di selatan Tamaulipas yang bersempadan dengan Texas dan merupakan perang dadah paling buruk di Mexico.

Lebih 55,000 orang dibunuh dalam konflik itu sejak Presiden Felipe Calderon menghantar tenteranya memerangi kumpulan dadah tidak lama selepas dilantik sebagai presiden pada Disember 2006.

Parti konservatif, Parti Tindakan Kebangsaan (PAN) nampaknya akan kehilangan kuasa dalam pilihan raya presiden pada 1 Julai nanti, disebabkan kecewa dengan keganasan disebabkan dadah

Minggu ini, Mexico dimalukan apabila pihak berkuasa mengaku mereka telah tersilap selepas mendakwa berjaya menangkap anak kepada lelaki paling dikehendaki, kartel dadah Joaquin “Shorty” Guzman. - Reut

Kapal China didakwa langgar bot nelayan Filipina sebabkan seorang mati, 4 hilang

MANILA: Filipina mendakwa semalam, kapal China secara tidak sengaja melanggar bot menangkap ikan di beting di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian dua negara, menyebabkan seorang mati dan empat lagi hilang.

Ketua Pejabat Pertahanan Awam, Benito Ramos berkata, bot menangkap ikan itu datang dari bandar pesisir pantai Bolinao di wilayah Pangasinan, Isnin lalu dan dilaporkan tenggelam dua hari kemudian.
“Daripada lapan nelayan di dalam bot itu, hanya empat berjaya diselamatkan semalam, tapi seorang daripada mereka mati di hospital dan empat lagi masih hilang,” katanya.

Nelayan yang diselamatkan itu memberitahu pihak berkuasa, mereka percaya kapal yang bertembung dengan mereka adalah kepunyaan China, katanya. Tetapi, ia belum dapat disahkan lagi.



Pegawai Kedutaan China tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen. - Manila Times

Wartawan Jordan jadi tebusan Abu Sayyaf

MANILA: Seorang wartawan Jordan dan dua Filipina yang diambil bertugas membantunya ditahan di sebuah pulau di selatan negara itu, kata Setiausaha Dalam Negeri, Jesse Robredo, semalam.
Menurut Robredo, wartawan stesen al-Arabiya yang berpangkalan di Islamabad di Pakistan, Baker Atyani, dan dua rakannya ditahan pemimpin militan bertangan satu, Radullan Saheron, di Pulau Jolo.

Kata Robredo, tiada wang tebusan disebut, tetapi seorang daripada tahanan warga Filipina itu menghubungi isterinya meminta dia berhubung dengan syarikatnya. Dua warga Filipina itu dikenali sebagai Rolando Letrero dan Ramelito Vela, bekerja di sebuah syarikat penerbitan media berpangkalan di Manila.
Al-Arabiya pula berkata, mereka terputus hubungan dengan Baker. Menurut Robredo, kerajaan menjangkakan kru terbabit diminta supaya membuat tuntutan tertentu kepada majikan mereka. “Tapi kita tidak boleh menganggapnya imbuhan tebusan dan kami menyediakan ruang untuk komunikasi,” katanya. Radulan adalah seorang daripada dua pemimpin militan Islam yang ada dalam senarai pengganas dikehendaki Jabatan Negara AS.

Seorang lagi tokoh ialah Isnilon Hapilon. Washington meletakkan habuan AS$5 juta (RM15.9 juta) untuk sesiapa yang dapat menahan atau membunuh mereka. Sebelum ini Manila menafikan Baker menjadi tebusan walaupun Kementerian Luar Jordan mengeluarkan kenyataan minggu lalu mendakwa dia ditahan di selatan Filipina. Baker tiba di kubu kuat kumpulan Abu Sayyaf itu pada 11 Jun lalu.

Abu Sayyaf juga masih menahan dua warga China, seorang Australia, dua Eropah dan seorang Jepun sebagai tebusan di Pulau Jolo dan Pulau Basilan. - Reuters

14 pegawai imigresen disiasat

MANILA: Filipina semalam berkata, sekurang-kurangnya 14 pegawai imigresen negara itu disiasat kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan orang ke Syria yang kini dilanda kekacauan.
Pesuruhjaya Imigresen, Ricardo David, berkata pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang dilakukan pasukan khas ditubuhkan kerajaan itu.

Katanya, ia mungkin membawa kepada pendakwaan atau pemecatan kakitangan jabatan berkenaan. “Kami memberi jaminan bahawa tiada tolak-ansur akan diambil terhadap sebarang penipuan,” katanya. David berkata, seramai 19 kakitangan imigresen didapati membantu agensi pekerja haram dibuang kerja tahun lalu.
Katanya, secara purata 100 warga Filipina - biasanya di kalangan penduduk miskin - memasuki Syria setiap bulan Manila mengharamkan warganya bekerja di Syria dan mengarahkan mereka mesti dibawa pulang pada Disember tahun lalu.

Tindakan itu diambil kira-kira 10 bulan selepas sebahagian besar rakyat Syria bangkit menentang kepemimpinan Presiden Bashar al-Assad. Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Buruh Filipina sebelum ini, daripada 7,000 pekerja yang dapat dikesan di Syria, 1,500 berjaya dibawa pulang setakat ini. - AFP

Mangsa gores dan menang bertambah

SINGAPURA: Jumlah warga Singapura yang menjadi mangsa sindiket “gores dan menang” di Johor Bahru dilaporkan semakin meningkat.
Menurut polis, daripada hanya lapan orang pada 2010, jumlah mangsa meningkat kepada 46 antara Januari dan Mei tahun ini.

Sumber berkata, mangsa dimaklumkan kononnya memenangi hadiah cabutan bertuah, tetapi diminta membuat bayaran awal sebelum ia boleh dituntut. “Mereka juga menawarkan diri membawa mangsa ke bank bagi mengeluarkan wang,” katanya. - ST

Anak pegawai kanan polis ditahan peras ugut penagih

BANGKOK: Tiga lelaki ditahan kerana didakwa menyamar sebagai pegawai Lembaga Kawalan Narkotik bagi memeras ugut orang awam di Songkhla.
Menurut media semalam, polis menahan Chaovarin Kultharo, 29, Danai Prakij, 29, dan Supparit Kaewpradab, 24, di Hat Yai.

Chaovarin - anak pegawai kanan polis di Pathum Thani - menjadi ketua kumpulan itu.
Dia ditahan kerana didakwa menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di sebuah pusat percutian bagi mendapatkan wang tebusan bernilai RM10,000 daripada keluarganya. Polis kemudian menyamar dan bekerjasama dengan keluarga mangsa sebelum berjaya menurunkan tuntutan sehingga menjadi RM3,000.

Mereka kemudian berjanji menyerahkan wang berkenaan berhampiran sebuah restoran sebelum suspek ditahan ketika mengambilnya. Polis berkata, suspek biasanya menahan mangsa yang mempunyai sejarah penagihan dadah. - BP

Pelajar sekolah jumpa bayi dibuang tepi semak

KOTA BHARU – Seorang pelajar sekolah tidak menyangka gumpalan kertas surat khabar berlumuran darah yang ditemuinya semalam dalam perjalanan ke sekolah, mengandungi seorang bayi lelaki yang masih hidup.
Mohd Razif Zaid, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Mas di sini berkata, dia menemui bayi berkenaan dalam kertas surat khabar di tepi semak ketika berjalan ke sekolah bersama seorang rakan pukul 7.20 pagi.
"Saya bersama rakan terkejut apabila ternampak kertas surat khabar itu penuh dengan darah di tepi semak dan apabila mendekati melihat seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditinggalkan di situ.
"Saya kemudian memberitahu pekerja kantin sekolah mengenainya sebelum dia (pekerja kantin) menghubungi polis untuk tindakan seterusnya,” kata Mohd Razif kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Pelajar itu berkata, bayi itu masih bertali pusat dan tidak menangis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, bayi berkenaan kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan susulan. – BERNAMA

Mencuri buah sawit: Lelaki dibelasah penduduk

BESUT – Seorang lelaki cedera teruk dibelasah penduduk kampung setelah ditangkap ketika sedang mencuri buah sawit di sebuah ladang di Kampung Gong Berangan dekat Kerandang, Jabi, kelmarin.
Dalam kejadian 8.30 malam itu, suspek berusia 29 tahun cedera dan lebam di beberapa bahagian badannya akibat dipukul ketika sedang mengisi buah sawit curi ke dalam bonet sebuah kereta Proton Saga.
Suspek dikatakan dari kampung berdekatan sedang memunggah buah berkenaan bersama dua orang rakan ketika terserempak dengan beberapa penduduk kampung yang sedang melakukan rondaan berikutan banyak kes kecurian buah kelapa sawit di ladang berkenaan.
Penduduk kampung mengejar ketiga-tiga penjenayah, namun dua daripada mereka berjaya melarikan diri ke dalam hutan berdekatan.
Seorang yang dapat diberkas itu diserahkan kepada polis yang menghantarnya ke Hospital Besut untuk dirawat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian itu dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cuba mencuri. – BERNAMA

Empat penari bikini dicekup

KUALA LUMPUR – Hajat empat gadis Melayu untuk meraih bayaran RM300 setiap seorang bagi mempersembahkan tarian bikini di sebuah kelab malam di Jalan Doraisamy di sini semalam berakhir dengan mereka dicekup Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Ketika serbuan pada pukul 12 tengah malam, empat penari yang berketurunan Melayu dan beragama Islam berusia 18 hingga 22 tahun itu bersedia untuk menari dengan berpakaian bikini di atas pentas di kelab itu.
Ketua penari yang dikenali sebagai Baby, 22, berkata, mereka sampai ke kelab malam tersebut pada pukul 10.30 malam selepas menerima tawaran mempersembahkan tarian di kelab itu.
“Kami akan menari secara bebas selama 10 minit dengan pakaian bikini dan setiap seorang akan dibayar RM300.
“Ketika menari, kami tidak membenarkan pelanggan menyentuh atau melakukan perkara tidak senonoh terhadap kami,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dakwa Baby, sebelum ini mereka telah banyak menerima jemputan mengadakan tarian di kelab malam ini tetapi terkejut kerana kali ini, kami diminta berpakaian seksi ketika mengadakan persembahan.

Satu maut, jentera bomba terbalik



KEADAAN jentera bomba terbalik yang mengorbankan pemandunya di Padang Lembu, Gurun, Sungai Petani semalam.


SUNGAI PETANI - Seorang anggota bomba sukarela maut manakala enam lagi cedera apabila jentera bomba yang mereka naiki terbabas lalu terbalik dalam perjalanan memadam kebakaran di Padang Lembu, Gurun dekat sini semalam.
Kejadian pukul 1.30 petang itu berlaku apabila jentera bomba dari Merbok di sini yang membawa tujuh anggota bomba sukarela cuba mengelak daripada bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan.
Tindakan itu menyebabkan jentera bomba tersebut terbabas lalu berpusing tiga kali sebelum terbalik.
Kemalangan itu menyebabkan pemandu jentera bomba yang juga ketua operasi kebakaran, Chow Kok Kong, 51, maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala.
Enam lagi anggota bomba berusia 22 hingga 52 tahun cedera.
Seramai tiga mangsa dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini. Mereka ialah Ong Chong Yaw, 22, Lee Kian Fong, 41, dan Ng. Eng Chai, 46.
Salah seorang mangsa, Kok Kok Chon, 40, berkata, jentera bomba itu hilang kawalan lalu terbabas selepas cuba mengelak daripada bertembung dengan sebuah motosikal yang ditunggang laju dari arah bertentangan.

Misteri hantu pocong terjawab



SEBAHAGIAN barangan milik pengunjung yang dicuri ditinggalkan di dalam hutan Hutan Lipur Kanching, Rawang.


RAWANG – Pengunjung terutama pelancong asing di kawasan rekreasi air terjun Hutan Lipur Kanching di sini didakwa sering diganggu lembaga misteri.
Kelibat lembaga dikatakan berpakaian putih seolah-olah hantu pocong itu menakutkan pengunjung dan ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun, menurut penduduk, perbuatan itu merupakan tindakan segelintir individu dipercayai penagih dadah yang mencuri barangan pengunjung.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 35, berkata, beberapa kes dilaporkan berlaku sebelum ini dan kejadian terakhir berlaku dua minggu lepas.
“Individu ini berpakaian seperti hantu untuk menakutkan pengunjung yang berkelah dan apabila pengunjung melarikan diri, barangan mereka akan dicuri. Ada kes pengunjung juga diragut,” jelasnya.
Perkara yang sama pernah berlaku pada empat tahun lalu tetapi selepas individu itu ditangkap oleh pihak berkuasa, ia kini timbul semula.
“Kami penduduk menggelar lembaga itu hantu pocong kerana dia berpakaian dengan menyelubung kepala sebelum meragut dan menyamun mangsa,” jelasnya.
Katanya, lembaga itu disyaki mereka yang mahir selok-belok hutan kerana menjadikan jalan hutan sebagai laluan keluar masuk.

Remaja mulut celupar dibunuh

BATU PAHAT - Gara-gara menghamburkan kata-kata maki hamun, seorang remaja lelaki maut dibelasah dan ditikam berdekatan sebuah pusat beli-belah di Taman Flora di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 10 malam itu, mangsa, Aw Soon Meng, 17, ditikam dengan pisau dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai di sini.
Suspek yang berusia 20-an bersama tiga rakannya dikatakan ke pusat beli-belah itu untuk mencari lelaki yang hanya dikenali sebagai Kelvin bagi menyelesaikan masalah berhubung satu sindiran di Facebook.
Bagaimanapun, mereka gagal menemui orang yang dicari sebaliknya bertemu dengan mangsa yang merupakan rakan kepada Kelvin.
Mangsa yang dipercayai enggan bekerjasama telah membangkitkan kemarahan suspek menyebabkan suspek mengetuk kepala mangsa dengan objek keras menyebabkan mangsa membalas dengan menghamburkan kata-kata kesat.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kata-kata kesat dikeluarkan mangsa

2 lelaki berpakaian seragam tentera ditahan

ALOR GAJAH: Cubaan dua lelaki berpakaian seragam pegawai kanan tentera dengan membawa pelbagai senjata tiruan memasuki Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, petang kelmarin, menimbulkan persoalan. 

Kedua-dua lelaki berkenaan turut membawa bersama pelbagai senjata api tiruan seperti pistol, raifal, bom asap, mesingan, alat komunikasi tentera serta pelbagai jenis peralatan ketenteraan lain.
Mereka yang menaiki kereta mewah jenis Mercedes Benz S-200 turut memiliki pas keselamatan daripada Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri.
Seorang daripadanya menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat kapten, manakala seorang lagi pegawai atasan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

Bagaimanapun, kedua-dua mereka ditahan jam 2.30 petang oleh sepasukan anggota Risik 10 Briged Para di kem itu selepas pengenalan mereka tidak dapat disahkan. 

Pegawai Risik 10 Briged Para, Mejar Abd Razak Sipit, berkata kedua-dua lelaki terbabit menaiki kereta Mercedes Benz S-200 lengkap berpakaian seragam tentera memasuki kem itu melalui pintu utama. 

Beliau berkata, sebelum memasuki kem itu, pengawal bertugas mengarahkan mereka melapor di balai pengawal bagi pengesahan identiti, selain melapor tujuan datang ke kem itu. 
“Sejurus pemeriksaan tapisan keselamatan dilakukan, identiti sebenar mereka tidak dapat disahkan. Mereka kemudian beredar ke arah lapang sasar kira-kira 600 meter dari situ,” katanya, semalam. 

“Dua anggota tentera diarah mengekori kedua-dua lelaki itu, sebelum ditahan ketika cuba melarikan diri selepas menyedari diekori,” katanya, semalam.

Diserbu urus judi Euro 2012

TUMPAS...anggota polis menyerbu pusat judi di Jalan Pekan Baru, Meru, semalam.
TUMPAS...anggota polis menyerbu pusat judi di Jalan Pekan Baru, Meru, semalam.
KLANG: Ketika peminat pasukan Sepanyol dan Perancis sedang rancak menyokong pasukan masing-masing dalam perlawanan suku akhir Euro 2012, tiga lelaki sibuk menjadikan pejabat mereka sebagai pusat sehenti perjudian dalam talian.
Namun, keghairahan mereka mengaut keuntungan dengan cara mudah terpaksa dilupakan sejurus premis berkenaan di Jalan Pekan Baru, Meru, dekat sini diserbu polis, awal pagi semalam.

Serbuan ‘Ops Soga’ dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira jam 1.30 pagi itu dibuat hasil risikan selama beberapa hari.
Menurut sumber, suspek berusia antara 35 dan 65 tahun ditahan ketika sedang sibuk menguruskan pertaruhan dalam talian yang dipercayai dijalankan sempena Euro 2012.

Difahamkan, suspek menjalankan urusan perjudian antarabangsa bersama pelanggan menggunakan laman sesawang perjudian antarabangsa berdasarkan talian yang tertera pada skrin.

“Sindiket berkenaan berurusan menggunakan telefon bimbit dan laman sesawang perjudian antarabangsa apabila anggota sindiket memberi kata laluan kepada pelanggan yang kemudian akan membuat bayaran melalui kad kredit.
“Jumlah pertaruhan masih dalam siasatan dan difahamkan wang pertaruhan yang diperoleh akan diagihkan sesama anggota sindiket selepas mengetahui keputusan setiap perlawanan,” katanya.

Berdasarkan kepada maklumat yang terpapar pada skrin komputer, sindiket berkenaan bukan saja menjalankan pertaruhan sempena Euro 2012, malah menjalankan pertaruhan bagi perlawanan bola sepak untuk Liga negara Arab dan Brazil Serie B.
Sumber itu berkata, dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas komputer yang digunakan untuk menjalankan pertaruhan, modem serta wang tunai yang masih belum diketahui jumlahnya.

Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk siasatan.

Bagaimanapun, tempoh sindiket itu beroperasi dan rangkaian yang terbabit masih dalam siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan dan Pencegahan Kegiatan Judi Bola Sepak.

Difahamkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah akan mengadakan sidang media mengenai kejayaan polis itu dalam masa terdekat.

Polis kesan drebar langgar pekerja kilang

SHAH ALAM: Polis meminta individu yang terbabit dalam kejadian langgar lari hingga menyebabkan seorang penunggang basikal kritikal di Persiaran Perusahaan, Seksyen 23, di sini, kelmarin tampil membantu siasatan.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa, Abdul Hassan Abdul Azeez, 34, menunggang basikal dari rumahnya di Seksyen 21 ke kilang tempatnya bekerja sebelum dirempuh dari belakang dipercayai kenderaan berat.

“Mangsa berasal dari Sri Lanka kini koma dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
“Berdasarkan siasatan awal, kami percaya mangsa dilanggar kenderaan berat berikutan kecederaan serius yang dialami,” katanya.

Ruslan berkata, polis menerima panggilan pada jam 3.54 petang daripada majikan mangsa.

Katanya, kejadian disedari rakan mangsa yang kebetulan dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Rakan sekerja mangsa mengecam mangsa melalui pakaian seragam kilang yang dipakai mangsa sebelum menghubungi majikan dan membuat laporan polis,” katanya.

Polis meminta individu terbabit atau orang awam yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi trafik Shah Alam di talian 03-55202222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Azizul Zahari di talian 012-7220094.

‘Penjenayah sakit jiwa’

KUALA LUMPUR: Dendam dan sakit jiwa dikenal pasti antara motif beberapa kejadian membakar kenderaan di kawasan perumahan yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata, perbuatan khianat itu mempunyai kemungkinan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab secara berkumpulan yang menyasarkan lokasi perumahan seperti flat dan pangsapuri untuk melakukan kerja berkenaan.

“Banyak faktor boleh menjurus pada kejadian ini termasuk antara individu yang menjadi mangsa itu berhutang dengan along. Malah, ada segelintir penjenayah ini juga berdepan masalah tekanan perasaan atau sakit jiwa,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mereka yang sakit jiwa lebih menunjukkan sikap suka-suka untuk melakukan perbuatan tanpa sebarang tujuan. membalas dendam. Mereka ini dipercayai berasa puas dan seronok apabila melihat kejadian membakar kenderaan dilakukan.

Beliau mengulas laporan Harian Metro Jumaat lalu mengenai kejadian 17 kenderaan termasuk 16 motosikal dan sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina hangus di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, Setapak, di sini sehari sebelum itu.

“Jika dendam menjadi punca, mereka yang tidak bersalah turut terbabit sama selepas satu kenderaan terbakar kemudian merebak ke kenderaan orang lain. Begitu juga, dendam kumpulan pelumba motosikal (Mat Rempit) terhadap kumpulan lain,” katanya.
Beliau berkata, kes membabitkan kumpulan lumba motosikal ini boleh dikaitkan dengan berebut gadis antara satu sama lain. Kejadian ini tidak mustahil dilakukan golongan remaja yang berdepan masalah ketiadaan kerja.

“Individu seperti ini biasanya mengalami tekanan emosi dalam diri dan mereka yang tidak bekerja juga boleh bertindak agresif sehingga membakar kenderaan. Faktor pekerjaan seseorang individu itu perlu diambil kira sebagai punca melakukan jenayah,” katanya.
Beliau mengulas laporan Harian Metro Jumaat lalu mengenai kejadian 17 kenderaan termasuk 16 motosikal dan sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina hangus di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, Setapak, di sini sehari sebelum itu.

Pelajar jumpa bayi dihurungi semut

KOTA BHARU: Seorang pelajar tingkatan tiga tidak menyangka satu bungkusan surat khabar yang disangkakan sampah berhampiran semak, rupa-rupanya seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan dalam kejadian dekat Pengkalan Chepa, di sini, semalam.
Bayi seberat 2.25 kilogram (kg) itu ditemui kira-kira jam 7 pagi dalam keadaan masih bertali pusat dan dihurungi semut.

Pelajar terbabit, Mohamad Razie Zaid, 15, berkata, dia menemui bungkusan surat khabar berisi bayi itu ketika dalam perjalanan ke sekolah yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.
Katanya, dia tergerak hati untuk melihat bungkusan surat khabar itu dan terkejut apabila mendapati seorang bayi di dalamnya.

“Saya sangkakan bayi itu sudah mati kerana tidak menangis, tetapi mujurlah dia masih hidup selepas melihat matanya bergerak,” katanya.

Mohamad Razie berkata, dia kemudiannya memanggil seorang jirannya bagi memaklumkan kejadian itu.
“Bayi itu diambil dan diletakkan di rumahnya sementara menunggu polis tiba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu. Katanya, bayi yang ditemui itu berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecacatan walaupun terdapat kesan gigitan semut.
“Bayi itu kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani pemeriksaan lanjut. “Kes akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sindiran maut laman sosial

BATU PAHAT: Berpunca daripada maki-hamun dan kata sindiran di laman sosial facebook, seorang remaja berusia 17 tahun dibelasah dan ditikam hingga mati oleh empat lelaki di Taman Flora, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, empat suspek berusia 17 hingga 20 tahun itu menemui mangsa, Aw Soon Ming di tempat letak kereta sebuah pasar raya dan bertanya mengenai lelaki bernama Kelvin yang dikatakan kawan mangsa. 
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, keempat-empat suspek mencari Kelvin kerana tidak puas hati dengan kata sindiran yang ditulis di laman facebook.

“Berlaku pertengkaran sebelum suspek mengetuk kepala mangsa. Mangsa yang berang kemudian menghamburkan kata kesat, menyebabkan keadaan bertambah tegang sebelum mangsa dibelasah dan ditikam senjata tajam dipercayai pisau,” katanya.

Seksa dihempap dinding konkrit

SANTUBONG: Tiga beranak cedera termasuk seorang dihempap dinding konkrit seberat 40 kilogram apabila lantai dapur rumah mereka tiba-tiba runtuh di Kampung Rampangi Fasa II, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, Sharifah Masnah Wan Husai, 54, bersama dua anak perempuannya, Suria, 16, dan Siti Khatijah Sulong, 18, terpaksa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.

Sharifah Masnah berkata, mereka terpelanting sebelum Suria dihempap dinding konkrit menyebabkan tangan dan kaki kirinya cedera.
Menurutnya, bahagian menempatkan dapur serta bilik air itu roboh dipercayai berpunca struktur kayu reput mengakibatkan mereka tiga beranak hampir kehilangan nyawa.

Sharifah Masnah berkata, sebelum kejadian, anaknya Suria menggunakan tandas terlebih dulu sebelum dia dan Siti Khatijah menyusul.

“Baru saja menjejak kaki ke dapur, secara tiba-tiba ia bergoyang lalu roboh. Kami bertiga terpelanting dengan Suria terkena batu menyebabkan tangan dan kaki kirinya terseliuh.
“Dalam keadaan kelam-kabut, saya gagahkan diri bangun menghulurkan bantuan kepada dua anak saya yang tidak bermaya,” katanya.

Katanya, pada masa sama dia dibantu anak lelaki, Mohd Zul, 23, mengangkat konkrit menghempap Suria yang meraung kesakitan.
“Saya juga cedera terkena serpihan konkrit ketika mahu membantu dua anak tapi mujurlah tidak serius. Kami bersyukur kerana semua terselamat dalam kejadian itu,” katanya yang menetap di rumah berkenaan sejak 2008 selepas berpindah dari Kampung Bintawa.

Katanya lagi, sebelum ini, bahagian dapur rumah mereka diperbuat daripada kayu namun disebabkan keadaan semakin tidak selamat, mereka membina bahagian itu dengan simen.

“Sebelum ini, bahagian dapur kelihatan kukuh selepas diganti simen. Mungkin disebabkan keadaan kayu sedia ada yang reput dan gagal mengimbanginya menyebabkan ia runtuh,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zul berkata, dia bersyukur kerana kebetulan berada di rumah ketika kejadian menikmati makan malam.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat dari dapur dan bergegas berlari melihat apa yang berlaku sebelum mendapati kedua-dua adik saya menangis dengan tangan dan kaki berdarah.

“Saya segera membantu menyelamatkan mereka dan meminta ahli keluarga menghubungi hospital,” katanya yang bekerja sendiri.

Difahamkan, dua ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersama beberapa anggota tiba di rumah keluarga memberi bantuan.

Dua beradik yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Samariang serta ibunya kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Dua beradik ditinggal ibu

GUAR CEMPEDAK: “Ibu minta saya dan adik tunggu di rumah kerana dia hendak keluar beli makanan tetapi sampai sekarang tidak pulang menyebabkan kami dibawa tinggal di rumah ibu saudara,” kata Khairul Shafiszam Abdullah, 13, dan adiknya, Khairul Alif Fikri, 10, yang ditinggalkan ibu bapa sejak dua tahun lalu.
Selepas itu, setahun dua beradik itu hidup sendiri di rumah usang ibu bapanya di Kampung Teroi, Yan, dekat sini dan sepanjang tempoh itu sentiasa kelaparan, sering sakit serta tidak bersekolah. Mereka diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum diserahkan kepada ibu saudara.

Lebih menyedihkan, Khairul Alif Fikri yang mempunyai masalah lembam, cacat kaki dan tangan, kerap sakit selepas mereka ditinggalkan ibu bapa memaksa abangnya memikul tanggungjawab menyara kehidupan mereka berdua.
Khairul Shafiszam berkata, adiknya sering memanggil nama ibu mereka selain tidak mahu makan menyebabkan dia tidak mampu berbuat apa-apa kecuali memberi keyakinan ibu bapa mereka akan pulang.

“Saya berjanji kepada adik jika dia tidak makan, ibu takkan pulang menyebabkan adik makan. Kami juga terpaksa tidur dalam keadaan sejuk dalam rumah serba daif dan makan apa saja yang ada asalkan kenyang.

“Mujur ketika itu penduduk kampung prihatin dengan nasib menimpa kami dan sering memberi makanan kerana tidak sanggup melihat keadaan kami semakin kurus,” katanya yang tidak dapat menahan sebak mengenangkan nasib malang mereka.
Khairul Shafiszam berkata, pada mulanya bapa mereka datang melawat dan menghantar makanan sebulan sekali, tetapi tidak lagi selepas beberapa bulan menyebabkan dia dan adiknya sering kelaparan.

Dia dan adiknya enggan meninggalkan rumah berkenaan kerana masih berharap ibu bapa mereka pulang sehingga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang membawa mereka tinggal sementara di rumah perlindungan.
Mereka dihantar ke rumah ibu saudara di Kampung Berjaya, Titi Bom, dekat sini, selepas diserahkan JKM sejurus mendapat perintah mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, ibu saudara mereka, Che Bashah Man, 62, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan JKM dua anak saudaranya ditinggalkan sendirian di rumah selepas ibu bapa dua beradik berkenaan berpisah pada 2010.

Katanya, dia menyangka kedua-dua beradik itu tinggal dengan ibu mereka (adik perempuannya), Jamilah Man, 48, atau bekas suami adiknya dan terkejut apabila mereka ditinggalkan begitu saja.

“Saya bersetuju menjaga mereka dan mendapat hak penjagaan daripada mahkamah kerana saya waris paling dekat. Saya menghantar Khairul Shafiszam di Sekolah Kebangsaan Guar Chempedak tetapi dia banyak ketinggalan dalam pelajaran malah terus naik ke tahun enam,” katanya.

Isteri minta RM3 upah berasmara

KANGAR: Tindakan seorang wanita berusia 30-an meminta upah RM3 setiap kali suami ingin berasmara dengannya sejak dua bulan lalu, membawa padah apabila dia dicekik dan dibelasah lelaki berkenaan yang tidak tahan dengan perbuatannya, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, suami mangsa berusia 30-an yang tidak bekerja, dipercayai hilang sabar dengan tuntutan isterinya yang tidak tinggal bersamanya sejak sebulan lalu, selain turut mengesyaki wanita terbabit mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. 
Lelaki itu bertambah berang apabila isterinya tidak membenarkan telefon bimbitnya diperiksa, lalu mencekik dan memukul mangsa yang berada di rumah ibunya di Pauh, dekat sini.

Menurut sumber, suami mangsa yang sebelum itu masuk ke dalam rumah menerusi pintu belakang dikatakan cuba merampas telefon bimbit mangsa yang sedang dicaj di atas meja.

Warga emas rugi RM15,400 diperdaya ‘pegawai kerajaan’

KOTA BHARU: Seorang warga emas bernasib malang apabila diperdayakan oleh seorang individu yang mendakwa bekerja sebagai pegawai tinggi kerajaan hingga mangsa kerugian kira-kira RM15,400, dalam kejadian di Kampung Chabang Tiga Berangan, Tumpat, Selasa lalu.
Lelaki terbabit dikatakan menipu warga emas berusia 60-an itu dengan menawarkan bantuan rumah kepada mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud, berkata sebelum itu mangsa didatangi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Man’ di rumahnya kira-kira jam 11.30 pagi.
Katanya, suspek didakwa menawarkan mangsa rumah secara percuma sebelum membawa mangsa ke Mahkamah Pasir Mas untuk bertemu pesuruhjaya sumpah bagi mendapatkan satu surat.

“Ketika itu, suspek meminta mangsa supaya menyerahkan RM1,900 bagi tujuan bayaran membabitkan pelan rumah.

“Pada 14 Jun, suspek datang semula untuk berjumpa mangsa dan membawanya ke sebuah bank di Kota Bharu untuk urusan lain selain meminta buku akaun Tabung Haji,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.
Katanya, beberapa hari kemudian mangsa ke pejabat Tabung Haji untuk mengemas kini buku akaunnya, namun terkejut apabila mendapati wang sejumlah RM13,500 lesap.

“Mangsa kemudiannya menceritakan kejadian itu kepada anak lelakinya sebelum membuat laporan polis pada 20 Jun lalu.
“Mangsa mendakwa ditipu lelaki terbabit, walaupun bantuan rumah yang dijanjikan sebenarnya tidak wujud sama sekali,” katanya.

Samun duit pinjam

SEREMBAN: Malang bagi seorang pengawal keselamatan sebuah penempatan pekerja warga asing di sini kerana dia bukan saja dibelasah dua penjenayah hingga pengsan, malah motosikal dan duit RM200 yang baru dipinjamnya daripada syarikat turut dikebas penjenayah berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi semalam di Jalan Sungai Gadut, Seremban Selatan itu, mangsa R Balakrishnan, yang juga warga emas berusia 59 tahun, cedera parah di kepala, mata dan belakang akibat dibelasah suspek yang tiba-tiba datang dengan bersenjatakan kayu.


Lebih memilukan, mangsa yang juga uzur akibat penyakit hernia terbiar pengsan di tempat kejadian sebelum ditemui rakan setugasnya yang akan bertukar syif dengan mangsa kira-kira tiga jam kemudian.

Anak perempuan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai B Shanti, 37, ditemui ketika menemani mangsa yang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, menganggap penjenayah melakukan perbuatan terhadap ayahnya itu langsung tidak berhati perut apabila tergamak membelasah orang tua tidak berdaya.


“Kami sekeluarga menerima panggilan daripada rakan setugas ayah yang memberitahu dia menemui ayah pengsan dan terbaring berlumuran darah di tempat kerja kira-kira jam jam 7.10 pagi.


“Ayah dibawa ke hospital untuk rawatan dan terpaksa menerima lapan jahitan di kening kiri akibat dipukul. Kami bimbang apabila doktor memberitahu ayah mengalami pendarahan dalam otak dan kini diletakkan bawah pemantauan rapi.


“Jika perlu, ayah mungkin dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Ayah menceritakan dia sempat melawan sebelum pengsan akibat libasan kuat di belakang kepala dan kening kiri,” katanya.


Menurutnya, dalam kejadian itu penjenayah berkenaan melarikan beberapa barangan milik ayahnya termasuk motosikal jenis Modenas Kriss, telefon bimbit jenis Nokia serta dompet berisi wang tunai kira-kira RM700 termasuk RM200 yang baru dipinjam daripada syarikat untuk perbelanjaan dapur.

Sehubungan kejadian itu, katanya, pihak keluarga sudah membuat laporan di pondok polis hospital HTJS dan kes sudah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK)

Nyaris dipenjara kerana nafsu berbelanja

KUALA LUMPUR: Akibat ketagih membeli-belah, seorang eksekutif jualan hampir meringkuk dalam penjara kira-kira dua tahun lalu apabila perbuatannya mencuri wang rakan baik sendiri sebelum membelanjakannya untuk membeli pakaian dan kasut baru dapat dihidu rakannya itu.
Hanya mahu dikenali sebagai Arina, 23, dia kini begitu menyesali perbuatannya kerana selain kehilangan teman rapat yang sudah dikenali sejak hampir 10 tahun, rakan lain juga seolah-olah menghindarkan diri daripadanya, malah hampir dibuang kolej kerana rakannya itu membuat laporan polis.

Bagaimanapun, katanya, rakannya menarik semula laporan berkenaan dipercayai disebabkan persahabatan yang sudah terjalin sekian lama selain atas rasa belas kasihan.
Mengimbau semula kisah silamnya, Arina berkata, dia tidak begitu bijak menguruskan kewangan memandangkan ketika itu masih belajar di sebuah kolej swasta.

Katanya, disebabkan kebanyakan rakan lain memakai barang berjenama serta hidup mewah walaupun masih belajar, dia juga berkeinginan memiliki kehidupan serupa.

Arina yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan agak bernasib baik kerana rakan sejak zaman persekolahannya juga menuntut di kolej sama dan mereka membuat keputusan menyewa rumah berhampiran kolej dan berkongsi bilik.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa selain diri sendiri serta hasutan syaitan yang begitu kuat ketika itu. Mana tidaknya, saya begitu berani mengambil kad ATM dari dompet rakan baik secara diam-diam sebelum mengeluarkan wang dari akaun terbabit sebanyak RM1,000 yang saya gunakan untuk berbelanja.

“Kad terbabit kemudiannya saya letakkan kembali dalam dompetnya dan selang beberapa hari selepas itu, dia (rakan baik) mengajak saya ke balai polis untuk membuat laporan kehilangan wang berkenaan, namun saya berdolak-dalik kerana sedar itu perbuatan saya,” katanya.
Arina berkata, dia diberitahu seorang lagi rakan, laporan polis itu ditarik semula sebaik rakannya mengetahui dialah angkaranya.

Menurutnya, kejadian itu menyedarkannya betapa tabiat ‘shopping’ yang teruk pada dirinya perlu diubah dan kini dia hanya berbelanja ketika mempunyai lebihan wang serta mengelak daripada berhutang.

“Saya begitu menyesal. Hanya kerana gilakan ‘shopping’, saya sanggup mencuri dan paling teruk, mangsanya adalah rakan baik saya sendiri. Diharap kisah saya dapat dijadikan pengajaran kepada mereka yang gemar membeli-belah supaya dapat mengawal tabiat terbabit sebelum ia memakan diri sendiri,” katanya.

Maut jatuh tingkat empat

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui maut di di belakang sebuah pusat beli-belah di Jalan Sultan Ismail, dipercayai terjatuh dari tingkat empat premis terbabit jam 3 petang semalam.
Lelaki berusia 39 tahun itu yang lengkap berpakaian, ditemui pengawal keselamatan pusat beli-belah berkenaan selepas dia dipercayai jatuh dalam keadaan terbaring atas jalan dengan kesan kecederaan pada bahagian kepala.

Menurut seorang pekerja di premis itu yang enggan dikenali, mangsa dipercayai berasal dari Sabah berdasarkan dokumen ditemui bersamanya. “Kira-kira jam 3 petang, saya dan beberapa rakan lain yang berada di kawasan belakang bangunan iaitu di laluan keluar kenderaan dari tempat letak kereta terkejut apabila melihat seorang lelaki terbaring atas jalan dengan kepala dan mulut berdarah.
“Seorang daripada kami memeriksa lelaki terbabit sebelum mendapati mangsa sudah tidak bernyawa dan kemudian menghubungi polis untuk melaporkan kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan, namun menurutnya setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Penjual akhbar maut langgar lari

KUALA LUMPUR: Seorang penjual akhbar maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dipercayai langgar lari di Jalan Tun Razak berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa, Ahmad Nazir Jamaldeen, 47, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, motosikal yang ditunggang mangsa bergesel dengan sebuah kenderaan lain menyebabkan ia hilang kawalan sebelum mangsa terjatuh.
“Sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya dipercayai tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa yang terjatuh di atas jalan raya.

“Menyaksikan mangsa tidak bernyawa, pemandu kenderaan terbabit bertindak meninggalkan lokasi kejadian sebelum kenderaan itu ditemui tersadai beberapa kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Lebuh raya Duke, jam 8.30 pagi, seorang penunggang basikal, Azmi Ismail, 40, maut selepas tercampak kira-kira 30 meter ke bawah lebuh raya berkenaan.
Menurut Abdullah, mangsa, Azmi Ismail, 40, dirempuh sebuah kenderaan dari arah Lebuh raya Karak ketika menghampiri susur keluar ke Jalan Duta sebelum tercampak.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 9.30 pagi.

‘2 durian di sisi arwah ayah’

JOHOR BAHRU: “Saya sedih dan terkilan apabila dimaklumkan polis menemui dua biji durian di sisi arwah ayah dalam plastik yang dipegangnya di lokasi dia ditemui dipercayai ketika dalam perjalanan pulang dari kebunnya.
“Malah, saya tidak menyangka Ahad lalu detik pertemuan terakhir antara saya dan arwah ayah,” kata anak bongsu Ah Yat Hassan, 60, yang mahu dikenali sebagai Sal, 35, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, semalam.

Arwah Ah Yat ditemui mati di tepi jalan Kampung Air Manis, Kulaijaya di sini, tengah malam semalam.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam itu, mangsa ditemui orang ramai di tepi jalan Kampung Air Manis di sini, dalam keadaan terbaring dan dihempap motosikalnya sendiri.

Difahamkan, motosikal dinaikinya terbabas menyebabkan senapang patah yang dipercayai diletak di raga depan, terlepas tembakan mengakibatkan peluru menembusi dada dan lehernya, tengah malam semalam.

Ah Yat dipercayai maut akibat pendarahan teruk di dada dan leher, dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.
Sal berkata, sebaik menerima berita kejadian menimpa bapanya itu, dia sekeluarga bergegas pulang ke kampung dari rumahnya di Benut, Pontian.

“Saya difahamkan, arwah ayah keluar malam tadi untuk mengambil durian. Arwah memang biasa keluar ke dusun pada waktu malam kerana bimbang hasil dusun seperti rambutan, kuini dan durian dimakan monyet.
“Saya tidak sangka rutin terakhir ayah ke dusun itu menjadi tragedi,” katanya.

Menurutnya, arwah bapanya itu disifatkan sebagai seorang yang garang dan tegas namun sangat penyayang dengan semua anaknya.

“Setiap kali musim buah-buahan, arwah ayah tidak pernah lupa menghubungi kami adik beradik supaya pulang ke kampung bagi menikmati hasil dusunnya.

“Saya seakan-akan tidak percaya arwah pergi dengan tiba-tiba tanpa sebarang sakit, namun kami semua reda.

“Seingat saya kali terakhir bertemu dengannya ketika saya pulang ke kampung Ahad lalu bagi menikmati buah kuini yang sudah masak.

“Malah, tiada tanda perubahan yang dilihat ketika itu dan saya sempat melihat dia menanam pisang di belakang rumah kerana arwah ayah tidak suka semak samun,” katanya.

Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Felda Bukit Batu, Kulaijaya selepas selesai urusan bedah siasat.

Dua ceroboh kem tentera

MACAM ASLI...sebahagian peluru, bom asap dan pistol yang ditemui dalam Mercedes Benz.
MACAM ASLI...sebahagian peluru, bom asap dan pistol yang ditemui dalam Mercedes Benz.
ALOR GAJAH: Tindakan dua lelaki menyamar pegawai kanan tentera dan membawa puluhan senjata tiruan dalam kereta dinaiki mereka ketika memasuki Kem Terendak di sini, kelmarin, menimbulkan pelbagai persoalan, terutama motif mereka berbuat demikian.
Tambahan pula, kedua-dua mereka yang memakai seragam pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat kapten dan seorang lagi berpakaian separa celoreng turut memiliki pas keselamatan yang dikeluarkan Kementerian Luar serta Jabatan Perdana Menteri.
Pegawai Risik 10 Briged Para Kem Terendak, Mejar Abd Razak Sipit berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, senjata tiruan ditemui pada kedua-dua suspek dikategorikan gred A berdasarkan bentuknya 100 peratus mengikut saiz serta berat senjata asal dan bernilai kira-kira RM20,000.

“Senjata tiruan gred A yang dirampas itu termasuk pistol, pelancar mortar, raifal dan bom asap, selain alat kelengkapan komunikasi tentera,” katanya di sini, kelmarin.

Penumbuk balas budi

KUALA LUMPUR: Niat murni seorang wanita memberi sedekah 50 sen kepada lelaki bertongkat yang menyamar sebagai peminta sedekah mengundang padah apabila lehernya dijerut dan ditumbuk di muka sehingga pengsan oleh pengemis terbabit sebelum wang tunai dan telefon bimbitnya dicuri.
Mangsa, Nurhayati Kamisan, 28, berkata, akibat kejadian itu dia terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama dua hari kerana mengalami kecederaan teruk di muka selain retak di dahi gara-gara dibelasah lelaki terbabit.
Menceritakan kejadian itu, Nurhayati berkata, kejadian berlaku jam 12.30 tengah malam 19 Jun lalu berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Hang Tuah, di sini.

Menurutnya, ketika itu dia berjalan kaki menuju ke rumah tunangnya di Pangsapuri San Peng dan tiba-tiba disapa seorang lelaki yang meminta sedekah.

Kaki skodeng bagi penampar

BEGINI...Shamil melakonkan semula aksi ‘kaki skodeng’ di kawasan berbatu di lereng bukit berhampiran Pantai Tanjung Bidara.
BEGINI...Shamil melakonkan semula aksi ‘kaki skodeng’ di kawasan berbatu di lereng bukit berhampiran Pantai Tanjung Bidara.
ALOR GAJAH: Niat murni seorang lelaki mengusir beberapa pasangan yang sedang memadu kasih di Pantai Tanjung Bidara di sini, membawa malang kepadanya apabila pipi kanannya lebam ditampar beberapa lelaki dipercayai kaki skodeng yang berang dengan tindakannya itu, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Shamil, 22, sedang bertugas sebagai sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), membuat rondaan pantai bersama seorang rakan.
Shamil mendakwa, ketika meronda di sekitar batu di hujung pantai, dia melihat beberapa pasangan sedang leka berasmara tanpa mempedulikan pengunjung lain.

“Kami menghampiri pasangan berusia awal 20-an itu lalu menegur perbuatan mereka dan meminta mereka segera beredar dari kawasan berkenaan.

“Pasangan berkenaan beredar sebelum disusuli sepasang lagi kekasih yang berada tidak jauh dari situ,” katanya di sini, semalam.

Penjara Nigeria diserang, 4 pengawal terbunuh


KANO 25 Jun - Sekumpulan penyerang bersenjatakan pistol dan bom menyerang sebuah penjara di bandar bergolak di timur laut Nigeria semalam, menyebabkan empat pengawal penjara terbunuh, kata pihak berkuasa.


Serangan tersebut berlaku di bandar Damaturu yang sebelum ini bergolak akibat pertempuran sengit antara pihak keselamatan dan kumpulan militan Boko Haram, yang menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang maut pada minggu lalu.


Tiada maklumat lanjut berhubung kumpulan yang menyerang dan jumlah anggota Boko Haram yang ditahan di penjara tersebut dapat melarikan diri dalam serangan berkenaan. - AFP

4 rakyat Jepun cuba seludup dadah keluar dari Iran


TEHERAN: Empat warga Jepun ditahan di Iran sejak tiga bulan lalu atas dakwaan cuba menyeludup dadah keluar dari negara itu.


Ketua Unit Polis Antinarkotik, Jeneral Ali Movayedi berkata, individu ini mendapat dadah yang dihasilkan di Iran dan cuba mencari jalan untuk membawa ia keluar ke negara lain ketika ditangkap. Sejumlah besar dadah telah dirampas. 


Dia tidak memberi maklumat lanjut mengenai suspek warga Jepun, tarikh mereka ditahan atau nasib mereka, atau mereka dalam perjalanan secara berasingan atau bersama.

Kedutaan Jepun di Teheran berkata, mereka masih cuba mengesahkan maklumat itu.







Iran biasanya menjatuhkan hukuman mati ke atas pengedar dadah. - AFP