Search This Blog

Saturday, June 23, 2012

Pemandu hospital jumpa bayi ditinggalkan di hadapan rumah

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu Hospital Orang Asli Gombak di sini terperanjat besar apabila menemui seorang bayi perempuan dalam sebuah beg pakaian yang ditinggalkan di depan pintu rumahnya di Batu 12, Gombak, di sini hari ini.

Ramli a/l Bah Ngum, yang tinggal di kuarters Jabatan Kemajuan Orang Asli, Gombak, menemui bayi yang dipercayai baru dilahirkan, dalam beg pakaian ketika beliau hendak keluar untuk ke tempat kerja pada pukul 6.30 pagi tadi.

Beliau kemudian segera membawa bayi itu ke hospital tempat kerjanya untuk pemeriksaan sebelum memaklumkan kepada polis sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abd Rahim Abdullah berkata bayi seberat 3.13kg itu ditemui dalam keadaan sihat dan ditinggalkan di luar pintu rumah pemandu itu.

"Siasatan awal mendapati bayi perempuan itu baru dilahirkan dengan tali pusat baru dipotong serta dibalut dengan kain," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126-2222. - Bernama

Suri rumah didenda pecah cermin kereta suami

KUALA LUMPUR - Seorang suri rumah didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan memecah cermin kereta suaminya, minggu lepas.
   
Majistret Parvin Hameedah Natchiar menjatuhi hukuman itu terhadap Yap Huey Nuo, 44, yang didakwa melakukan perbuatan khianat itu terhadap Sok Hock Quei, 43.
   
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan 17/42 Taman Lawa Off Jalan Kuching, Sentul di sini pada 6.25 petang 10 Jun lepas.
   
Ibu kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
   
Mengikut fakta kes, kejadian itu berlaku selepas pertengkaran antara Yap dan suami yang menyebabkan tertuduh membaling sebilah pisau pemotong daging ke arah kereta suaminya. 
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Rohani Ibrahim.
 
Yap membayar denda itu. - Bernama

Warga emas tertipu pakej haji

Warga emas tertipu pakej haji
Deris (kanan) juga membuat laporan polis yang dipegang Sulaiman apabila mereka didakwa ditipu seorang lelaki.
TUMPAT – Hasrat 35 bakal haji untuk ke Mekah tahun ini, mungkin tidak kesampaian selepas terpedaya dengan penipuan seorang lelaki yang menawarkan pakej haji sehingga kerugian lebih RM350,000.

Wang itu diserahkan kepada lelaki terbabit pada awal tahun 2010 lagi, namun sehingga kini mereka belum bertolak ke Mekah selepas beberapa kali ditangguhkan atas pelbagai alasan.
Seorang mangsa, Muhammad Ali, 70, merupakan guru Pondok Berangan berkata, dia sedih dengan apa yang berlaku kerana kebanyakan mangsa yang didakwa tertipu ini adalah anak muridnya yang sudah lanjut usia.

“Ada anak murid saya sanggup mengeluarkan wang dari Tabung Haji semata–mata untuk mengerjakan haji bersama saya melalui pakej haji lelaki tersebut dengan sebuah syarikat yang beroperasi di Selangor.

“Bila dah tertangguh beberapa kali, saya rasa tidak sedap hati sehingga sebahagian daripada kami membuat laporan polis kerana mengesyaki kami sudah ditipu lelaki tersebut,” katanya yang turut tertipu dan kerugian RM11,000.

Muhammad berkata, lelaki itu sering berkunjung ke pondok itu, namun sejak beberapa kali tertangguh ibadah haji , dia terus tidak menjejaki kakinya di pondok itu lagi.

Selain pelajar pondok, turut tertipu adalah ahli keluarga Muhammad sendiri dan juga beberapa orang warga emas dari Kuala Krai dan Pasir Puteh serta dari Kampung Padang Tembesu, Tumpat.

Jual tanah pusaka

SEORANG lagi mangsa, Sulaiman Mohamad, 85, berkata, ini adalah ibadah haji yang pertama dalam hidupnya dan kerana ingin segera ke Mekah dia sanggup menjual tanah pusakanya.

“Sebanyak RM12,500 duit hasil jual tanah ini saya bayar kepada lelaki tersebut untuk pakej haji dengannya.

“Duit itu sebelum ini saya simpan di dalam Tabung Haji, tetapi kerana mahu segera ke Mekah, saya keluarkan kesemua duit itu.

“Lagipun saya teruja untuk pergi bersama dengan kawan–kawan yang belajar di pondok ini serta dengan guru pondok, Muhammad,” katanya.

Menurutnya, dia khuatir dengan usianya yang semakin lanjut, kemungkinan dia tidak sempat mengerjakan haji sekiranya pakej haji melalui lelaki itu ditangguhkan lagi tahun ini.

“Saya akan buat laporan polis pada Ahad ini dan ramai lagi kawan yang senasib akan membuat laporan polis berhubung penipuan tersebut,” katanya.

Keluar duit dari Tabung Haji

BAGI Deris Seman, 75, berkata, dia juga sanggup mengeluarkan duit dari Tabung Haji untuk mengikuti pakej haji melalui lelaki itu kerana ingin berangkat cepat ke Mekah.

“Kalau melalui Tabung Haji, saya dijangka dapat menunaikan haji lima tahun lagi. “Saya kerugian RM12,000 apabila menyerahkan wang kepada lelaki tersebut pada awal tahun 2010 lagi dan akan berangkat ke Tanah Suci pada tahun 2011,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian tersebut.

“Kes ini disiasat oleh Bahagian Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan,” katanya.

Ahli perniagaan kerugian RM400,000 rumah disamun lima lelaki

JASIN - Seorang ahli perniagaan kerugian wang tunai dan barangan bernilai kira-kira RM400,000 selepas disamun lima lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dan pisau di rumahnya di Taman Pahlawan, Merlimau di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin DSP Shahidi Abdullah berkata ketika kejadian 6.50 pagi itu, hanya isteri ahli perniagaan tersebut yang berusia 35 tahun dan empat anak mereka berusia antara tujuh dan 18 tahun berada di rumah.

Beliau berkata ahli perniagaan tersebut tiada di rumah kerana mempunyai urusan perniagaan di Johor Baharu sejak Selasa lepas.

"Ketika kejadian, salah seorang anak mangsa keluar membeli sarapan manakala isteri ahli perniagaan tersebut yang sedang sibuk menyiapkan anak bongsunya ke sekolah di dalam biliknya tidak menyedari kehadiran kesemua suspek di dalam rumah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di sini.

Beliau berkata salah seorang suspek kemudian bertindak menendang pintu bilik sebelum menggeledah rumah berkenaan.  

Shahidi berkata kesemua suspek dipercayai warganegara Indonesia itu kemudian melarikan pelbagai barangan termasuk barangan kemas dianggarkan bernilai RM20,000; tiga buah komputer riba, sembilan telefon bimbit, wang tunai RM500 dan sebuah kereta mewah BMW 5 Series.

Katanya suspek turut merampas pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan sebelum melarikan diri menggunakan kereta mangsa.

Beliau berkata polis giat memburu kesemua suspek termasuk mengesan lokasi mereka melalui alat sistem penentuan kedudukan global (GPS) yang dipasang pada kenderaan mewah itu namun gagal. - Bernama

Taktik sembunyi produk terlarang terbongkar

Taktik sembunyi produk terlarang bawah tanah terbongkar
Antara produk tidak berdaftar dan ubat mengandungi racun yang disorokkan di dalam bilik rumah kedai.
KUALA LUMPUR - Taktik pengusaha sebuah kedai pemborong produk kesihatan di Jalan Raja Alang, Chow Kit di sini, menutup laluan ke bilik bawah tanah yang dijadikan tempat simpanan produk terlarang, akhirnya terbongkar dalam Operasi Bersepadu Cawangan Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), malam kelmarin.

Lubang kecil yang hanya boleh dilalui seorang individu itu, terletak di bahagian belakang kaunter dan ditutup menjadi lantai premis bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Penolong Pengarah Farmasi, Cawangan Penguatkuasa Farmasi, Kuala Lumpur, Norita Noraini berkata, pihaknya menerima aduan daripada awam berhubung kewujudan premis tersebut namun kewujudan bilik bawah tanah hanya diketahui sebaik sahaja serbuan
dilakukan.

Menurutnya, sebelum ini premis tersebut hanya beroperasi pada waktu malam bagi mengelakkan serbuan dilakukan pihak penguat kuasa kerana kebiasaannya operasi dijalankan pada waktu siang.

“Mengejutkan apabila serbuan mendapati terdapat bilik bawah tanah yang dijadikan stor simpanan produk tidak berdaftar dan ubat-ubatan yang mengandungi bahan beracun.

“Kita percaya pengusaha ini berfungsi sebagai pembekal kepada premis lain di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui pada operasi berkenaan.

Beliau berkata, operasi secara besar-besaran melibatkan 70 pegawai dan anggota cawangan berkenaan itu dijalankan ke atas 14 premis dan tiga stor yang dikenal pasti dan nilai rampasan dianggarkan RM200,000.

“Kebanyakan peniaga dan pekerja di premis sini adalah warganegara Aceh, jadi banyak produk yang datang dari Indonesia yang tidak melalui kelulusan Kementerian Kesihatan dan ubat yang mengandungi bahan beracun hanya boleh dijual oleh ahli farmasi sahaja,” katanya.

Norita berkata, kesemua premis dan stor yang diserbu dalam operasi bermula 8 malam itu melibatkan rampasan produk kesihatan termasuk jamu, ubat kuat, dan antibiotik.

“Produk yang dirampas akan dihantar ke pihak berkuasa kawalan dadah Kementerian Kesihatan untuk siasatan manakala produk yang dipercayai mengandungi bahan beracun akan diserahkan ke Jabatan Kimia untuk diuji,” katanya.

Kerani cederakan kemaluan murid

REMBAU - Seorang kerani sekolah di daerah ini disiasat kerana mencederakan kemaluan murid lelaki berusia 10 tahun menggunakan senjata, kelmarin.

Kes disiasat di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyerang menggunakan senjata. Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, ketika guru tiada di kelas, kerani terbabit telah pergi ke kelas murid berkenaan untuk meminta buku daftar yang merekodkan kehadiran 18 murid kelas tersebut.

Menurutnya, ketika kejadian keadaan kelas sangat bising dan kerani berkenaan telah meminta supaya murid diam dan mengacah menggunakan playar sekiranya mereka masih bising.

“Kerani berkenaan dikatakan tidak sengaja dan ingin bergurau. Bagaimanapun, secara tiba-tiba playar terkena seorang murid lelaki. "Murid berkenaan mendakwa kemaluannya disentap dan disepit menggunakan playar tersebut,"  katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, selepas insiden itu, mangsa yang pulang ke rumah terus tidur tanpa menukar pakaian seragamnya sehingga menimbulkan tanda tanya kepada ibunya.

"Mangsa kemudiannya menceritakan kejadian yang berlaku ketika di sekolah. “Ibu mangsa bergegas membawa mangsa ke Hospital Tampin untuk menjalani rawatan dan telah dinasihatkan doktor supaya membuat laporan polis,"  katanya.

Ibu mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Chembong. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian berkenaan dan kes masih dalam siasatan. 

Darah, parang dalam kereta

Darah, parang dalam kereta
Lans Koperal Apparao bersama kereta Nazaria yang ditemuinya di kawasan Taman Perumahan di Kampung Kuantan ketika melakukan rondaan bersama seorang rakan setugas.
KLANG - Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nazaria yang dilaporkan hilang tiga hari lalu di Petaling Jaya berjaya ditemui di kawasan Taman Perumahan Kampung Kuantan petang kelmarin.

Ia ditemui dua anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang sedang melakukan rondaan.

Bagaimanapun penemuan kenderaan itu menjadi tanda tanya apabila sebilah parang dan beberapa titisan darah turut ditemui dalam kereta dan juga di bahagian pintu kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohamad Shukor Sulong berkata, sebelum penemuan itu Bilik Gerakan IPD Klang Utara telah menerima maklumat laporan kehilangan kenderaan tersebut.

“Tindakan pantas anggota peronda kita yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan itu sekitar jam 2.30 petang itu telah menemui kenderaan tersebut dengan nombor pendaftaran sama tersadai di kawasan taman perumahan Kampung Kuantan.

“Kedua-dua anggota segera mendekati kenderaan itu bagaimanapun pemandu atau penumpang kenderaan tidak kelihatan. Kereta itu juga turut berkunci.

“Sebaik berjaya membuka pintu kenderaan berkenaan, anggota kita segera melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan itu dan terkejut menemui titisan darah pada pintu bahagian pemandu dan juga atas kerusi milik pemandu,” katanya.

Tambah mengejutkan, menurutnya, sebilah parang turut ditemui yang disorok di bawah kerusi pemandu.

“Selain itu, beg tangan wanita dan juga beberapa jenis aksesori milik wanita serta buku pembelajaran (sekolah) turut ditemui dalam kenderaan itu.
“Justeru itu, kereta berkenaan dibawa ke IPD Klang Utara untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kenderaan itu telah dilarikan di Petaling Jaya untuk tujuan jenayah.

“Namun begitu, polis masih melakukan siasatan lanjut berhubung penemuan kenderaan itu, titisan darah dan juga parang terbabit.

“Kes ini diserahkan kepada Pegawai Penyiasat IPD Petaling Jaya memandangkan kenderaan itu dilaporkan hilang di kawasan itu,” katanya.

Terpedaya sindiket gores dan menang

Terpedaya sindiket gores dan menang
Abu Samah menunjukkan kad gores dan menang yang diedarkan untuk menipu mangsa.
KUALA LUMPUR - Kegembiraan seorang warga Singapura yang datang bercuti ke negara ini tidak berpanjangan selepas terpedaya dengan sindiket gores dan menang dalam kejadian di Bukit Bintang di sini, kelmarin.

Lelaki yang berusia 59 tahun itu, ditawarkan sekeping kad oleh seorang lelaki dan perempuan untuk digores sebelum diberitahu dia memenangi hadiah tilam berkualiti tinggi.

Difahamkan, mangsa dibawa ke pejabat sindiket tersebut di Taman Tasik Permaisuri, Cheras untuk mengambil hadiah dan membayar RM8,200 bagi menerima hadiah yang lebih lumayan.

Mangsa kemudiannya membawa pulang hadiah tersebut dan dimaklumkan ada pihak yang akan datang untuk membeli tilam itu dan ditukarkan dengan hadiah lain.

Namun, sehingga hari ini, tidak ada pihak yang datang membeli tilam tersebut dan menyebabkannya rugi.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Wilayah Persekutuan, Abu Samah Shabudin berkata, kejadian tersebut adalah satu daripada 62 kes melibatkan kerugian RM390,625 yang diterima sejak awal tahun ini.
Menurutnya, mangsa, yang berusia 37 hingga 70 tahun, sering terpedaya dengan pujukan sindiket ini yang merekrut remaja belasan tahun untuk menipu.

“Mereka ini akan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dan memerangkap mangsa dengan menawarkan pelbagai hadiah lumayan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Warga Nigeria dituduh tipu wanita tempatan

GEORGETOWN- Seorang pelajar warga Nigeria dituduh menipu seorang wanita tempatan membabitkan wang tunai RM5,500. Okoh Victor,34, menghadapi dua pertuduhan menipu Chuah Bee Hwa di hadapan sebuah bank di Pulau Tikus, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Victor dituduh dengan curang menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM4,500 di hadapan Maybank cawangan Pulau Tikus, Jalan Cantonment di sini pada 22 Januari 2011 manakala bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM3,000 terhadap individu yang sama pada 23 Januari 2011.

Tertuduh yang diwakili peguam, RSN Rayer bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya,Nur Azizah Jaafar di hadapan Majistret Noor Aini Yusof. Victor dituduh  melakukan kesalahan bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 akta sama yang memperuntukkan penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan dengan sebat serta denda.

Majistret Noor Aini membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,500 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Warga Bangladesh dipenjara 10 bulan kerana bergaduh

GEORGETOWN - Seorang pekerja kontrak warga Bangladesh dihukum penjara 10 bulan kerana terlibat dalam pergaduhan dan mencederakan seorang warga Myanmar awal bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Ali, 44, yang beralamat di Rumah Kongsi Kek Lok Si, Air Itam melakukan kesalahan itu pada 7 Jun lalu kira-kira jam 9 malam. Tertuduh melakukan kesalahan itu di hadapan rumah kongsi yang  terletak di atas bukit berdekatan Kek Lok Si, Air Itam.

Tertuduh didapati bersalah apabila dengan niat mendatangkan kecederaan terhadap San Win@Sun Win di lengan sebelah kanan dengan menggunakan sebilah pisau.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar di hadapan Majistret Noor Aini Yusof. Selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu, tertuduh mengaku bersalah.

Noor Aini menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan bermula tarikh tertuduh ditangkap. Muhammad Ali yang didapati melakukan kesalahan bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan penjara selama tiga tahun  atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika didapati bersalah.

Tinggal bersama kekasih gara-gara cinta terhalang

KULIM - Gara-gara enggan berpisah dengan kekasih, seorang penuntut jurusan perubatan berusia 19 tahun mengambil keputusan untuk tinggal bersama kekasihnya.

Perlakuan ini kemudiannya diketahui keluarga mangsa dan bertindak membawa mangsa ke Balai Polis Kulim bersama teman lelakinya serta keluarganya.

Bagaimanapun apabila perbincangan diadakan antara teman lelaki dan  keluarga mangsa, waris mangsa enggan membenarkan anak perempuan mereka tinggal bersama kekasihnya itu sebaliknya mengarahkan mereka berpisah.

Waris mangsa berkeras untuk membuat laporan polis. Kekasih mangsa yang bekerja sebagai operator kilang berkata, dia menjalinkan hubungan cinta bersama mangsa sejak tujuh tahun lalu.

“Kami berada di balai polis bukanlah kerana  satu kesalahan yang besar. Ia hanya kerana masalah cinta sahaja. Saya menjalinkan hubungan cinta dengan mangsa sejak dia belajar di tingkatan dua.

"Saya sedar dia masih menuntut tetapi tidak salah kami menjalinkan hubungan ini,” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Polis Kulim, Asisten Superintendan Mohd Azlan Abd Kadir meminta kedua-dua keluarga menyelesaikan masalah  peribadi dihadapi di rumah.

Menurutnya, masalah seperti ini sering berlaku dan ia tidak melibatkan pelajar bawah umur. “Masalah cinta harus diselesaikan secara aman di rumah bukan di balai polis melainkan ia melibatkan perkara yang berunsurkan jenayah. 

Sekiranya pelajar bawah umur melarikan diri, mereka yang menyimpan pelajar itu tanpa pengetahuan keluarganya boleh ditahan polis.

"Sekiranya ia melibatkan golongandewasa, terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan. Bagaimanapun saya menasihatkan supaya masalah dihadapi dapat diselesaikan secara aman,” katanya kepada Sinar Harian.

Kes samun: Geng Jais Beruang tumpas

Kes samun: Geng Jais Beruang tumpas
Shahidi (tengah) menunjukkan parang yang digunakan Geng Jais Beruang untuk menyamun mangsa.
JASIN – Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun dikenali Geng Jais Beruang selepas tertangkapnya lima individu di tiga lokasi berasingan termasuk ketuanya setelah melakukan samun di sebuah rumah di Jalan Peah Said, Kampung Sungai Dua, Asahan, Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Shahidi Abdullah berkata, penahanan lima suspek berusia 22 hingga 43 tahun itu dalam tempoh kurang 48 jam, sekali gus berjaya menyelesaikan banyak kes jenayah yang berlaku di Melaka, Negeri Sembilan dan Tangkak, Johor.

Menurutnya, dalam kejadian di Asahan kira-kira jam 1.45 petang Isnin lalu, dua suspek iaitu ketuanya, dikenali sebagai Jais, 35, bersama seorang lagi ahli melakukan samun menggunakan parang.

"Mereka mengikat seorang wanita warga emas berusia 74 tahun dan cucu lelakinya, 19, sebelum melarikan pelbagai barangan milik mangsa termasuk dua utas gelang tangan, dua bentuk cincin, wang tunai RM180, telefon bimbit dan sebuah motosikal, keseluruhannya bernilai RM10,000.

“Semua suspek ditangkap di tiga lokasi berasingan iaitu dua di Asahan, dua di Tangkak dan seorang suspek lagi ditahan di Sungai Mati Muar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jasin, semalam. Shahidi berkata,  siasatan awal mendapati tiga daripada suspek bekerja sebagai buruh dan pemandu lori, manakala dua lagi tidak bekerja.

"Semuanya positif dadah jenis heroin dan mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah serta dadah di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sejak dua tahun lalu.

"Jais baru dibebaskan dari Penjara Simpang Renggam, Johor di bawah Ordinan Darurat pada 21 Februari lalu dan kembali aktif melakukan pelbagai jenayah termasuk samun bersenjata," katanya.

Menurutnya, kumpulan itu mula aktif sejak Februari lalu dan melakukan jenayah dengan menggunakan senjata seperti parang panjang, pemutar skru serta pisau.

"Semua suspek direman bermula semalam hingga 26 Jun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ketika menyamun. 

Ibu tujuh anak didenda RM5,000

SEREMBAN – Seorang bekas peniaga pasar malam dijatuhi hukuman denda RM5,000 kerana memberi rasuah kepada seorang Penolong Penguasa Imigresen di Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, semalam.

Wahdah Mashudi, 41, warganegara Indonesia yang mendapat taraf penduduk tetap di negara ini, mengaku bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fairuz Johari.

Mengikut pertuduhan, Wahdah yang juga ibu tujuh anak, didakwa memberi suapan RM150 kepada seorang Penolong Penguasa Imigresen yang bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan.

Ia sebagai sebagai dorongan supaya tidak menahan seorang warga Indonesia bernama Sudirman yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah ketika pihak berkuasa menjalankan operasi bersepadu di Jalan Tok Ungku, Taman  Blossom, Seremban, kira-kira jam 9.30 malam, 19 Januari lalu.

Peragut mabuk kena tangkap

SEREMBAN – Cubaan seorang lelaki meragut dompet seorang wanita di Terminal 2 di sini, gagal selepas disedari suami mangsa yang kemudian mengejarnya, Selasa lalu.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berjalan bersendirian menuju ke arah motosikal suaminya yang menunggu di kawasan berhampiran sebelum dihampiri seorang lelaki mabuk berpakaian lusuh.

Menceritakan kejadian, Siti Norlaila Aswar, 17, berkata, dia tidak menyedari ada seorang lelaki mengekorinya dari belakang.
“Tiba-tiba dia menghampiri saya dan minta RM5 dengan alasan tiada wang pulang ke rumah.

“Saya beritahu tiada wang tapi dia masih terus menunggu dan memujuk saya," katanya.
Menurutnya, dia segera meneruskan perjalanan kerana khuatir dengan keadaan lelaki yang mencurigakan itu tetapi lelaki berkenaan bertindak merentap dompetnya yang dikepit di bawah ketiak.

"Saya berusaha memegang dompet sekuat mungkin sambil menjerit meminta tolong sebelum suami yang melihat kejadian mengejar suspek yang melarikan diri.

“Lelaki terbabit berjaya ditangkap dan dibawa kepada pengawal keselamatan," katanya.

Berikutan kejadian itu, Siti Norlaila membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan cubaan samun.

Tragedi buka kotak bom

SIASAT...anggota polis memeriksa tempat berlakunya letupan bom 
di hadapan rumah mangsa.
SIASAT...anggota polis memeriksa tempat berlakunya letupan bom di hadapan rumah mangsa.
SUNGAI PETANI: “Apabila keluar rumah sejurus mendengar letupan kuat, saya terkejut melihat jiran saya terbaring berlumuran darah dengan sebahagian perut terburai dan cebisan dagingnya berselerak.”
Demikian kata saksi juga jiran kepada Tan Ching Fang, 48, yang parah akibat satu letupan selepas dia membuka bungkusan dipercayai mengandungi bom buatan sendiri di depan banglo miliknya di Taman Angsana Sari, di sini, semalam.
Saksi itu hanya mahu dikenali sebagai Ismail, 40-an, berkata kejadian berlaku jam 8.20 pagi dan mangsa adalah isteri kepada seorang pengusaha kilang mi di sini.

Mangsa dikatakan mengambil bungkusan sebesar kotak pensel di tepi pintu pagar rumahnya dan sebaik dia mengangkat bungkusan itu satu letupan kuat berlaku.

Bakar awek hidup-hidup

HITAM...ruang hadapan rumah mangsa yang terbakar, semalam.
HITAM...ruang hadapan rumah mangsa yang terbakar, semalam.
KUALA LUMPUR: Pertengkaran sepasang kekasih berakhir tragedi apabila lelaki berusia 35 tahun menyimbah petrol sebelum membakar teman wanitanya hingga menyebabkan 90 peratus tubuh mangsa melecur, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi itu turut menyebabkan ruang tamu rumah flat mereka di Taman Segar, Cheras di sini, musnah apabila api merebak.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, lelaki terbabit dan mangsa yang berusia 23 tahun dikatakan tinggal bersama di rumah itu sejak lebih setahun lalu.

Menurutnya, polis sebelum itu menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai pertengkaran pasangan terbabit di rumah mereka di Blok C yang mengganggu ketenteraman penduduk lain.

Minta tolong badan berdarah

KLANG: “Saya nampak pemilik restoran itu meminta tolong dengan badannya dipenuhi darah. Bimbang dengan kejadian itu, saya turut melarikan diri,” saksi kejadian seorang lelaki warga emas maut ditetak ketika cuba menghalang dua lelaki merompak restorannya di Lorong Tapah off Jalan Goh Hock Huat, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa, Tan Ah Kang, 62, dikatakan baru saja membuka restorannya sambil dibantu seorang pekerja wanita warga Indonesia. Saksi itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, 30-an berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di kedai makan yang terletak bertentangan dengan restoran mangsa.

“Sebelum ini saya mendengar suara orang menjerit sebelum ternampak mangsa dalam keadaan berlumuran darah serta meronta-ronta kesakitan.
“Bimbang penjenayah itu mengapa-apakan kami, saya bersama beberapa pekerja lagi lari menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, selepas mangsa membuka restorannya, tiba-tiba seorang lelaki memakai kemeja-T warna merah meluru ke arah kaunter dan cuba membuka laci kaunter berkenaan, tetapi gagal kerana dikunci.

“Suspek kemudian memaksa mangsa membuka laci berkenaan untuk mengambil wang, tetapi mangsa enggan menyebabkan berlaku pergelutan,” katanya.
Mohamad Shukor berkata, seorang lagi suspek lelaki yang memakai baju berwarna biru kemudian menetak kepala mangsa sebelum mangsa rebah di kawasan belakang restoran berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek yang gagal mengambil wang kemudian melarikan diri bersama seorang lagi suspek yang menunggu dalam sebuah kereta di lorong belakang restoran berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Pekerja wanita itu tidak dicederakan dan kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di restoran itu bagi mengesan kedua-dua suspek,” katanya.

Mayat Tan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk dibedah siasat.

Sementara itu, penduduk berhampiran yang mahu dikenali sebagai Nora, 20, berkata dia yang tinggal di rumah kedai di tingkat atas restoran mangsa terjaga dari tidur apabila terdengar suara orang menjerit meminta tolong, tetapi tidak berani meninjau apa yang berlaku.

Dia yang ketika itu sedang tidur bersama anak lelakinya yang berusia setahun hanya berdoa tidak berlaku apa-apa berikutan lokasi kejadian adalah ‘kawasan panas’ dan kerap berlaku jenayah.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu pemilik restoran itu meninggal dunia akibat dibunuh kira-kira jam 8 pagi. Saya memang mengenali mangsa dan dia seorang yang baik,” katanya.

Tergamam suami hancur digilis

IPOH: “Saya tergamam sebaik dimaklumkan sebahagian tubuh arwah suami hancur dilenyek lori balak selepas kemalangan itu,” kata Yoon Mohd Sabar, 65, isteri kepada arwah Idris Othman, 58, yang maut digilis serta diseret lori balak, tengah hari semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab itu, motosikal dinaiki Idris bergesel dengan lori berkenaan sebelum hilang kawalan dan terpelanting ke bawah lori.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Seri Murni, Pasir Puteh, di sini, menuju ke bandar raya Ipoh untuk membayar bil utiliti dan pinjaman kereta.
Kejadian ngeri berhampiran Perpustakaan Tun Razak itu menyebabkan mangsa maut serta-merta di lokasi kejadian selepas diseret sejauh lima meter di lokasi kejadian.

Yoon berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan jirannya jam 1 tengah hari.

“Arwah baru saja menamatkan perkhidmatan sebagai pekerja am rendah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Hulu Kinta pada Februari lalu sebelum menguruskan gerai menjual buah di pekan Pasir Puteh,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, petang semalam.
Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, mangsa cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan sebelum dibawa ke HRPB untuk bedah siasat.

Katanya, mangsa dipercayai cuba memotong lori itu sebelum bergesel dengan kenderaan itu menyebabkannya tercampak ke bawah lori.
“Kemalangan menyebabkan kesesakan teruk terutama bagi orang awam yang mahu menuju ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kami turut merekodkan percakapan pemandu lori berusia 45 tahun itu bagi siasatan lanjut,” katanya.

Bayi koma terjatuh

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia empat bulan kini koma selepas mengalami pendarahan dalam otak dipercayai terjatuh di pusat asuhan kanak-kanak di Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh, Isnin lalu.
Ibu angkatnya, Nazila Ahmad, 33, berkata, kecederaan dialami bayinya Nur Iris Arissa Mohd Amin diumpamakan doktor seperti tercampak keluar dari kereta yang terbabit dalam kemalangan dan peluang bayinya pulih sepenuhnya kabur. 
Difahamkan, bayi malang itu baru sebulan diletakkan di bawah penjagaan pusat asuhan berkenaan kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menceritakan kejadian itu, Nazila berkata, dia menghantar Arissa ke pusat asuhan berkenaan jam 8 pagi sebelum ke tempat kerjanya di sebuah syarikat swasta di Jalan Duta, di sini.

Gempar kilang meletup

MELAKA: Suasana di sebuah kilang komponen elektronik di sekitar Batu Berendam, dekat sini, gempar seketika apabila berlaku letupan dan kebakaran ketika proses pemindahan bahan kimia ke dalam sebuah tangki bawah tanah dijalankan di kawasan premis itu, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, saluran hos menghubungkan antara sebuah lori ke tangki berkenaan tiba-tiba meletup dan terbakar hingga menyebabkan cecair kimia mengalir di dalam kawasan kilang terbabit.

Kebakaran bagaimanapun dikawal bomba yang turut mengarahkan pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) melakukan pemeriksaan menyeluruh di premis berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri, Lokman Hakim Sulaiman yang mengetuai operasi itu berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.20 pagi.

“Seramai 45 pegawai dan anggota bersama lapan jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Bukit Katil, Jalan Kubu, termasuk Hazmat dikerah memadam kebakaran serta melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kebakaran hanya membabitkan saluran hos yang menghubungkan ke sebuah tangki bawah tanah dan ia dikawal dalam tempoh 10 minit,” katanya di sini, semalam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati letupan dan kebakaran berlaku ketika proses pemindahan bahan kimia dijalankan dari sebuah lori ke tangki terbabit.

“Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan pasukan Hazmat turut melakukan tindakan lanjut bagi mengelak cecair itu mengalir ke luar kawasan kilang terbabit.
“Keadaan dikawal sepenuhnya dan tiada pekerja atau kakitangan mengalami sesak nafas akibat terhidu bahan terbabit,” katanya.

3 dituduh seleweng

KUALA LUMPUR: Seorang penolong pengarah di Pejabat Tanah dan Galian serta dua pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan memalsukan dokumen dan menggunakannya lima tahun lalu.
Mohamad Irwan Adnan, 36, bersama Pengarah Syarikat Paksi Omega Sdn Bhd, S Ganesan, 36, dan Pengarah Syarikat Indah Kitar Semula Sdn Bhd, K Barthan, 49, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Irwan didakwa melakukan pemalsuan ke atas satu surat cagaran berharga iaitu sekeping dokumen hak milik tanah bagi Lot 328, Seksyen 92, Bandar Kuala Lumpur.
Dia didakwa memalsukan dokumen itu pada 21 Jun 2007, antara jam 8 pagi dan 6.30 petang, dengan memasukkan nama Syarikat Fanaz Sdn Bhd apabila lot tanah itu bukan milik syarikat berkenaan.

Bagi perbuatan itu, Mohamad Irwan didakwa mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Manakala, Ganesan pula didakwa dengan curang menggunakan surat berkenaan bagi tujuan memindah milik tanah terbabit kepada Syarikat Indah Kitar Semula Sdn Bhd sedangkan dia tahu dokumen itu palsu.
Sementara itu, Barthan didakwa bersubahat dengan Ganesan melakukan perbuatan sama, antara 9 Julai 2007 dan 12 Mei 2008.

Bagi perbuatan itu, Ganesan dan Barthan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 467 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan perbuatan terbabit di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Tingkat 0-4, Rumah Persekutuan, Jalan Sultan Hishamuddin, di sini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, C Vignesh Kumar menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta beberapa syarat tambahan.

Vignesh turut memohon kepada mahkamah supaya semua tertuduh dibicarakan secara bersama, namun tiga peguam yang mewakili ketiga-tiga mereka membantah.

Jagjit Singh membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan dan menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi mendengar hujahan bantahan oleh pihak peguam untuk menjalakan perbicaraan bersama.

Mohamad Irwan diwakili peguam Shamsul Sulaiman, manakala Ganesan diwakili Datuk K Kumarendran dan S Devanandan mewakili Barthan.

Rantai emas RM13,000 kena rentap

KAJANG: Seorang wanita berputih mata apabila rantai emas bernilai RM13,000 miliknya disamun ketika sedang menunggu keretanya dibaiki di sebuah bengkel di Semenyih, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa yang berusia 29 tahun berada di depan bengkel berkenaan apabila tiba-tiba didatangi seorang lelaki dari arah belakang yang terus memegang baju mangsa sebelum mengarahkannya berdiam diri.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata suspek merentap rantai emas dipakai mangsa menyebabkan wanita itu segera berpaling bertujuan untuk melawan dan merampas kembali rantainya.
“Bagaimanapun, suspek mengacukan parang dan memberi amaran agar mangsa tidak melawan jika tidak mahu dicederakan,” katanya.

Menurutnya, mangsa menjerit meminta tolong dan didengari pekerja bengkel yang cuba membantu, namun suspek bertindak agresif dengan melibas parang ke arah pekerja itu.

Balasan segera

SUNGAI BULOH: “Belumpun seminit lelaki itu meragut rantai saya, Tuhan sudah ‘bayar tunai’ perbuatan jenayahnya apabila dia terbabit kemalangan dengan sebuah kereta menyebabkan mukanya cedera parah,” kata Nurul Ashikin Asri, 20, mangsa ragut di Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor, berhampiran Kampung Paya Jaras Hulu, di sini, Selasa lalu.
Beliau berkata, ketika kejadian, dia menunggang motosikal dari rumahnya di Kampung Kubu Gajah ke Bandar Baru Sungai Buloh apabila dihampiri seorang lelaki yang turut menunggang motosikal, kira-kira jam 2.30 petang.

“Saya menyedari diekori lelaki berpakaian serba hitam itu sejak bertolak dari rumah, namun tidak mengesyaki apa-apa sebelum meneruskan perjalanan ke rumah kawan untuk membantunya membuat kuih.
“Tiba di tempat kejadian, tiba-tiba lelaki itu menghimpit saya dan menarik rantai emas dari arah belakang,” katanya.

Katanya, dia cuba mempertahankan rantai emas pemberian ibunya itu berharga kira-kira RM800 dan sempat memegang tangan lelaki terbabit.

“Tetapi, lelaki itu terus merentap rantai saya dengan kasar menyebabkan leher saya digores kukunya hingga berdarah.
“Sebaik mendapat rantai, lelaki terbabit terus memecut namun kira-kira 25 meter dari tempat kejadian, dia terbabit kemalangan,” katanya.

Nurul Ashikin berkata, motosikal ditunggang peragut itu gagal mengelak sebuah Perodua Kancil yang sedang membelok ke kanan sebelum merempuh belakang kenderaan itu.
“Saya nampak lelaki itu tercampak hingga menyebabkan cermin belakang kereta itu pecah sebelum tercampak pula ke tanah.

“Lelaki itu cuba bangun untuk melarikan diri, tetapi tidak berdaya untuk bergerak kerana cedera parah sebelum rebah semula, manakala motosikalnya rosak teruk,” katanya.

Pembantu jualan itu kemudian berhenti di tempat kemalangan sebelum menemui semula rantai emasnya dan orang ramai mula mengerumuni untuk membantu sebelum masing-masing terkejut apabila dimaklumkan mangsa kemalangan itu adalah peragut.

“Muka lelaki itu cedera parah dan matanya pula tertusuk kaca. Bagaimanapun, pemandu Perodua Kancil berusia 40-an tidak cedera.

“Kira-kira setengah jam selepas kemalangan, ambulans dan anggota polis peronda bermotosikal tiba dan lelaki terbabit dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelong.

Nurul Ashikin berkata, dia difahamkan anggota polis yang melakukan siasatan di tempat kejadian menemui kekunci Allen yang diubahsuai dalam beg galas lelaki terbabit, manakala pemeriksaan lanjut terhadap motosikal itu mendapati nombor pendaftaran digunakan palsu dan nombor enjin serta casis pula dikikis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, mengesahkan menerima laporan.

Rempuh treler rosak

SEREMBAN: “Ketika bunyi meletup kali pertama, saya gerakkan treler ke lorong kecemasan sebelum memeriksa dan melihat dua tayar tengah kiri pancit.
“Ketika berdiri di depan treler untuk menelefon bos memaklumkan kejadian, tiba-tiba terdengar satu lagi letupan. Saya ingatkan besi patah, tetapi apabila memeriksa di belakang, saya terkejut melihat penunggang motosikal terperosok di bawah tayar belakang kanan,” kata pemandu treler, K Krishnan, 32.

Dalam kejadian 6.30 petang kelmarin, pekerja pasar raya, Mohamad Zainurin Salleh, 22, yang menunggang motosikal Yamaha LC maut selepas dipercayai terbabas sebelum melanggar belakang treler itu di Kilometer 260.4, Lebuhraya Utara-Selatan, di sini.
Mangsa yang bekerja di sebuah pasar raya di Nilai, dekat sini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Senawang mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Krishnan berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan dari Bukit Raja, Klang untuk menghantar gegelung besi ke Tampin. “Apabila melihat tayar pancit, saya segera meletakkan tanda amaran beberapa meter di belakang treler.

“Saya berdiri di depan treler sambil menghubungi bos memberitahu masalah itu, tetapi tak sangka berlaku kemalangan ini,” katanya.

Tergamam suami hancur digilis

IPOH: “Saya tergamam sebaik dimaklumkan sebahagian tubuh arwah suami hancur dilenyek lori balak selepas kemalangan itu,” kata Yoon Mohd Sabar, 65, isteri kepada arwah Idris Othman, 58, yang maut digilis serta diseret lori balak, tengah hari semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab itu, motosikal dinaiki Idris bergesel dengan lori berkenaan sebelum hilang kawalan dan terpelanting ke bawah lori.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Seri Murni, Pasir Puteh, di sini, menuju ke bandar raya Ipoh untuk membayar bil utiliti dan pinjaman kereta.
Kejadian ngeri berhampiran Perpustakaan Tun Razak itu menyebabkan mangsa maut serta-merta di lokasi kejadian selepas diseret sejauh lima meter di lokasi kejadian.

Yoon berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan jirannya jam 1 tengah hari.

“Arwah baru saja menamatkan perkhidmatan sebagai pekerja am rendah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Hulu Kinta pada Februari lalu sebelum menguruskan gerai menjual buah di pekan Pasir Puteh,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, petang semalam.
Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, mangsa cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan sebelum dibawa ke HRPB untuk bedah siasat.

Katanya, mangsa dipercayai cuba memotong lori itu sebelum bergesel dengan kenderaan itu menyebabkannya tercampak ke bawah lori.
“Kemalangan menyebabkan kesesakan teruk terutama bagi orang awam yang mahu menuju ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kami turut merekodkan percakapan pemandu lori berusia 45 tahun itu bagi siasatan lanjut,” katanya.

Upah RM1 bawa padah

JOHOR BAHRU: Hanya kerana menerima upah RM1 daripada rakan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun berasal dari Taman Nora, Ulu Tiram di sini, bukan saja dituduh bersekongkol mencuri besi buruk, malah dijadikan tahanan lima jam oleh jirannya.
Jiran terbabit juga sanggup membelasah mangsa dikenali sebagai Ganesh hingga patah tangan kiri selain mencucuh puntung rokok di beberapa bahagian badannya.

Menceritakan nasib malang menimpa cucunya, nenek mangsa, M Devi, 44, berkata, kejadian berlaku pada tengah hari, 13 Jun lalu apabila Ganesh diajak seorang anak jiran menemaninya ke kedai berhampiran.
Menurutnya, selepas pulang ke rumah, seorang jiran yang tinggal selang beberapa rumah datang ke rumah mereka pada jam 3.50 petang dan meluahkan rasa tidak puas hati dengan perbuatan Ganesh yang didakwa mencuri besi buruk miliknya.

“Apabila saya menyoal Ganesh, dia mengakui melihat rakannya, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun menjual besi buruk di sebuah kedai.

“Ganesh juga mengakui rakannya memberikan RM1 kepadanya sebagai upah kerana menemaninya dan tidak menyangka ia barangan curi,” katanya, semalam.
Katanya, Ganesh memaklumkan rakannya itu mengatakan besi buruk itu milik keluarganya.

Malah, Devi berkata, Ganesh mendakwa remaja berkenaan menjual besi buruk itu pada harga RM20 dan menggunakannya untuk membeli basikal terpakai.
“Mendengarkan kenyataan Ganesh, jiran kami yang juga lelaki berusia lewat 30-an memaksa cucu saya itu mengikutnya pulang. Saya serta suami cuba menghalang tetapi gagal.

“Malah suami, T Aravind berusia 54 tahun dicederakan kerana cuba menghalang perbuatan lelaki itu,” katanya.

Menurut Devi, lelaki terbabit meminta ahli keluarganya mengawasi mereka supaya tidak keluar rumah membantu Ganesh.

Katanya, mereka bernasib baik kerana menantu lelakinya yang mengunjungi kediaman itu pada jam 9 malam menghubungi balai polis berhampiran.

“Ganesh yang dikurung selama lima jam hanya dibebaskan selepas seorang anggota polis datang ke tempat kejadian.

“Anggota polis itu memaklumkan ketika menyelamatkan Ganesh, kedua-dua tangan cucu saya diikat ke belakang.

“Kami terkejut melihat keadaan Ganesh yang cedera, malah bajunya mempunyai kesan darah,” katanya.

Menurutnya, Ganesh dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan masih menerima rawatan.

Bimbangkan keselamatan mereka sekeluarga, Devi berkata, mereka kini menumpang di rumah seorang kenalan di Skudai.

Keluarga Devi membuat laporan di Balai Polis Skudai berkaitan kejadian itu pada 14 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Nenek diacu parang lelaki bertopeng

KLANG: Seorang nenek berusia 62 tahun berdepan detik ngeri apabila lehernya diacu parang oleh empat lelaki bertopeng yang merompak rumahnya di Taman Desawan, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, wanita terbabit yang berada di luar rumah tiba-tiba didatangi empat lelaki memakai topeng hitam masing-masing bersenjatakan parang.

Seorang daripada suspek kemudian mengacukan parang ke leher mangsa sebelum membawa mangsa ke dalam rumah. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata sebaik memasuki rumah, mangsa bersama seorang anak perempuan dan orang gajinya yang berada dalam rumah diikat sebelum semua suspek menggeledah rumah.
“Suspek kemudian melarikan barang kemas bernilai lebih RM20,000 dan wang tunai RM1,000. Selain itu suspek turut melarikan sebuah kereta Mitsubishi dan BMW,” katanya di sini, semalam. Mohamad berkata, kereta Mitsubishi berkenaan bagaimanapun ditinggalkan tidak jauh dari rumah mangsa.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an dipercayai suspek kes terbabit.

Dalam kejadian itu, mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan samun bersenjata.

Minta tolong badan berdarah

KLANG: “Saya nampak pemilik restoran itu meminta tolong dengan badannya dipenuhi darah. Bimbang dengan kejadian itu, saya turut melarikan diri,” saksi kejadian seorang lelaki warga emas maut ditetak ketika cuba menghalang dua lelaki merompak restorannya di Lorong Tapah off Jalan Goh Hock Huat, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa, Tan Ah Kang, 62, dikatakan baru saja membuka restorannya sambil dibantu seorang pekerja wanita warga Indonesia. Saksi itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, 30-an berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di kedai makan yang terletak bertentangan dengan restoran mangsa.

“Sebelum ini saya mendengar suara orang menjerit sebelum ternampak mangsa dalam keadaan berlumuran darah serta meronta-ronta kesakitan.
“Bimbang penjenayah itu mengapa-apakan kami, saya bersama beberapa pekerja lagi lari menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, selepas mangsa membuka restorannya, tiba-tiba seorang lelaki memakai kemeja-T warna merah meluru ke arah kaunter dan cuba membuka laci kaunter berkenaan, tetapi gagal kerana dikunci.

“Suspek kemudian memaksa mangsa membuka laci berkenaan untuk mengambil wang, tetapi mangsa enggan menyebabkan berlaku pergelutan,” katanya.
Mohamad Shukor berkata, seorang lagi suspek lelaki yang memakai baju berwarna biru kemudian menetak kepala mangsa sebelum mangsa rebah di kawasan belakang restoran berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek yang gagal mengambil wang kemudian melarikan diri bersama seorang lagi suspek yang menunggu dalam sebuah kereta di lorong belakang restoran berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. “Pekerja wanita itu tidak dicederakan dan kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di restoran itu bagi mengesan kedua-dua suspek,” katanya.

Mayat Tan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk dibedah siasat. Sementara itu, penduduk berhampiran yang mahu dikenali sebagai Nora, 20, berkata dia yang tinggal di rumah kedai di tingkat atas restoran mangsa terjaga dari tidur apabila terdengar suara orang menjerit meminta tolong, tetapi tidak berani meninjau apa yang berlaku. Dia yang ketika itu sedang tidur bersama anak lelakinya yang berusia setahun hanya berdoa tidak berlaku apa-apa berikutan lokasi kejadian adalah ‘kawasan panas’ dan kerap berlaku jenayah.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu pemilik restoran itu meninggal dunia akibat dibunuh kira-kira jam 8 pagi. Saya memang mengenali mangsa dan dia seorang yang baik,” katanya.

Pengasuh cederakan bayi didenda RM800

PETALING JAYA: Akibat tidak tahan sabar mendengar bayi perempuan berusia tiga bulan menangis tanpa henti, seorang pengasuh mencederakan kanak-kanak malang itu sehingga menyebabkan lebam di muka mangsa, lima bulan lalu.
Bagaimanapun, Nadhrah Awang, 23, menerima padah atas perbuatannya itu apabila didenda RM800 atau dua bulan penjara selepas mengaku salah di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Dia didakwa mencederakan bayi itu di H117 Apartment Vista Damansara Damai di sini, 8 Januari lalu.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Nadhrah memohon hukuman ringan kerana dia suri rumah sepenuh masa. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi berkata, tertuduh sepatutnya menjaga bayi itu, bukan mencederakannya.

Lepas rindu dua tahun

SEPANG: “Anak-anak saya mana mak...jom balik kampung.” Hanya itu ungkapan yang keluar dari mulut Zarina Othman, 47, sebaik ditemukan dengan ibunya, Maimunah Shabudin, 73, di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di sini, semalam.
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Zarina apabila memeluk ibunya untuk melepaskan kerinduan selepas berpisah dua tahun.

Sepanjang pertemuan itu, Zarina tersenyum gembira serta bermesra, bergurau dan bertanyakan khabar ibunya.
Kepulangan Zarina diiringi kakaknya, Zaiton Othman, 50, hasil usaha Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) selepas kisahnya dirawat di Rumah Sakit Banda Aceh, Indonesia dilaporkan akhbar.

Sementara itu, Zaiton berkata, keluarganya akan terus memantau dan menjaga Zarina berikutan kesihatannya belum stabil.

“Kami akan meneruskan usaha termasuk mendapat rawatan psikiatri seperti disyorkan pakar di Rumah Sakit Jiwa Banda Aceh, Indonesia, mungkin di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Turut mengiringi kepulangan Zarina, Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Kisah Zarina mendapat perhatian KP1M selepas dilaporkan berada dalam pengawasan rumah sakit di Banda Aceh berikutan ditahan pihak berkuasa negara itu.
Zarina dilaporkan memasuki Indonesia 25 Mac lalu melalui Dumai dari Jeti Bandar Melaka sebelum ditahan di Banda Aceh tiga hari kemudian kerana berkelakuan pelik serta mencurigakan sehingga dibawa ke rumah sakit jiwa berkenaan.

Zaiton berkata, adiknya mendapat layanan baik sepanjang di rumah sakit jiwa itu dan dia mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu membawa Zarina pulang.

“Adik saya kelihatan sihat dan gembira sepanjang berada di sana. Walaupun bukan rakyat negara itu, adik saya mendapat layanan baik.

“Mereka khuatir adik saya lari kerana tidak dapat mengesannya berikutan tiada alamat dan maklumat mengenainya,” katanya. Sementara itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya mengambil tiga minggu untuk menguruskan kepulangan Zarina.

“Kami terpanggil membantu keluarga Zarina selepas terbaca laporan akhbar mengenainya. Justeru, kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Indonesia atas bantuan dan keprihatinan menjaga kebajikan Zarina sepanjang berada di sana,” katanya.

Terjun enggan balik

MIRI: Seorang wanita Vietnam nekad terjun daripada kenderaan dipandu teman lelakinya selepas berlaku pertengkaran di antara mereka dalam kejadian di Jalan Bulan Sabit, di sini, kelmarin.
Akibat kejadian jam 7.30 malam itu, dia yang berusia 23 tahun kini koma akibat tempurung kepala retak dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Miri. 
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama teman lelakinya berusia 33 tahun serta seorang rakannya dalam perjalanan dari Pusat Komersial Centre Point menuju ke pusat bandar untuk bersiar-siar serta menikmati makan malam dengan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux .

Sumber berkata, ketika dalam perjalanan, berlaku pertengkaran antara mangsa dan kekasihnya kerana dia dikatakan enggan pulang negara asal sebagaimana dikehendaki lelaki itu, sebaliknya mahu terus menetap di sini.

Kepala retak

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia empat bulan kini koma selepas mengalami pendarahan dalam otak dipercayai terjatuh di pusat asuhan kanak-kanak di Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh, Isnin lalu.
Ibu angkatnya, Nazila Ahmad, 33, berkata, kecederaan dialami bayinya Nur Iris Arissa Mohd Amin diumpamakan doktor seperti tercampak keluar dari kereta yang terbabit dalam kemalangan dan peluang bayinya pulih sepenuhnya kabur. 
Difahamkan, bayi malang itu baru sebulan diletakkan di bawah penjagaan pusat asuhan berkenaan kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menceritakan kejadian itu, Nazila berkata, dia menghantar Arissa ke pusat asuhan berkenaan jam 8 pagi sebelum ke tempat kerjanya di sebuah syarikat swasta di Jalan Duta, di sini.

Buntu anak, isteri ghaib

SENAWANG: “Saya pelik dengan cara kehilangan isteri dan dua anak apabila meninggalkan motosikal dan kunci serta kasut sekolah berlainan pasang di tepi jalan,” kata pekerja kilang getah, Mohd Zaidi Abdul Aziz, 29, yang buntu memikirkan nasib isteri dan dua anak lelakinya yang menghilangkan diri sejak kelmarin.
Mohd Zaidi dari Pasir Besar, Gemas berkata, dia menyedari kehilangan isterinya, Nor Azura Ghazali, 31, apabila wanita itu tidak pulang ke rumah selepas disuruh mengisi minyak motosikal dan menghantar anak, Mohd Alif Izwan, 10, dan Mohd Haikal Izwan, 7, ke sekolah kira-kira 7 pagi.

Berikutan itu, dia kemudian keluar mencari isteri yang dikahwini hampir tujuh tahun lalu di sekitar Gemas, namun gagal sebelum pergi ke Sekolah Kebangsaan Pasir Besar.
“Saya terkejut apabila diberitahu guru yang kedua-dua anak sudah diambil isteri kira-kira jam 8 pagi dan bergegas pulang, namun hampa kerana mereka tiada di rumah.

“Saya tidak tahu apa motif isteri menghilangkan diri bersama anak masih kecil sedangkan sebelum ini kami tidak mempunyai sebarang masalah. Puas saya cari mereka termasuk bertanya di rumah rakan isteri, namun gagal,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Taman Widuri Indah, di sini, semalam. Menurutnya, kira-kira jam 11 malam hari sama, dia terkejut apabila dihubungi saudaranya memberitahu mereka menemui motosikal Honda C70 miliknya yang dipercayai ditinggalkan isteri bersama kunci di tepi jalan berhampiran kedai makan di Pasir Besar.

“Apabila pergi, saya terkejut melihat motosikal dan dua pasang kasut sekolah anak berlainan pasang ditinggalkan di tepi jalan.
“Saya sempat bertanya kepada pekerja kedai makan berhampiran yang mendakwa melihat isteri dan anak tergesa-gesa turun daripada motosikal sebelum menaiki sebuah teksi.

Katanya, dia risau keselamatan keluarganya berikutan ketika keluar, isterinya turut membawa wang agak banyak. “Lebih merisaukan, anak bongsu menghidap asma kronik yang memerlukan rawatan sebulan sekali di hospital dan isteri keluar rumah sehelai sepinggang tanpa membawa ubat.
“Pagi itu (kelmarin), isteri memakai kemeja-T merah jambu dan jean biru serta bertudung putih manakala kedua-dua anak memakai seragam sukan,” katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Gemas, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Orang ramai yang pernah melihat atau mempunyai maklumat mengenai tiga beranak itu diminta menghubungi Mohd Zaidi di talian 013-6344360. Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu.

Maut nahas ke tempat kerja

SHAH ALAM: Perjalanan tiga pegawai tadbir Mahkamah Tinggi Shah Alam ke tempat kerja berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka terbunuh selepas kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Persimpangan Persiaran Kayangan dan Persiaran Raja Muda, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Loy Ld Clement Saat Anak Mathew Ubun, 36, dari Sarawak maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua lagi rakannya dalam perjalanan dari Seksyen 7 ke kompleks mahkamah di Persiaran Raja Muda sebelum bertembung dengan sebuah kereta BMW.
Kereta BMW yang dipandu seorang lelaki dan rakan wanitanya berusia 20-an datang dari arah Seksyen 9 menuju Seksyen 7 sebelum bertembung kereta dinaiki mangsa di kawasan itu. Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah ketika dihubungi berkata, pertembungan itu menyebabkan Loy yang duduk di sebelah pemandu mati di tempat kejadian manakala dua rakannya yang memandu dan duduk di tempat duduk belakang cedera ringan.

Kedua-duanya dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk menerima rawatan.

Ruslan berkata, siasatan awal mendapati kereta BMW terbabit merempuh bahagian depan kiri kereta Proton Wira dinaiki mangsa.
“Rakan mangsa yang memandu kenderaan hilang kawalan lalu terbabas sebelum naik ke atas pembahagi jalan dan melanggar tiang penanda arah jalan yang terletak di kiri jalan,” katanya.

Ruslan berkata, akibat rempuhan itu, bahagian sebelah kiri kereta dinaiki mangsa remuk teruk menyebabkan mangsa tersepit.
“Pemandu serta penumpang kereta BMW tidak mengalami sebarang kecederaan. Kita masih menjalankan siasatan kes ini dan orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian.