Search This Blog

Friday, June 22, 2012

Sindiket tipu wang pencen pesara


         
SYDNEY: Penduduk Australia kehilangan wang lebih daripada Aus$113 juta (RM366.7 juta) sejak lima tahun lalu dalam skim pelaburan palsu yang rumit yang dijalankan oleh kumpulan penjenayah luar negara, kata pegawai semalam.

Laporan Suruhanjaya Jenayah Australia (ACC) dan Institut Kriminologi Australia berkata, simpanan persaraan tahap tinggi warga Australia menjadikan mereka sasaran kumpulan itu.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negara, Jason Clare, berkata, lelaki berusia lebih 50 tahun yang tidak faham mengenai hal kewangan adalah mangsa utama dan mengalami kerugian lebih tinggi kerana mereka biasanya malu untuk melaporkan mengenai penipuan itu.

“Sindiket jenayah itu akan membuat panggilan kepada pelabur, merujuk mereka ke satu laman web yang baru dibuka dan menghantar brosur menjanjikan pulangan pelaburan tinggi,” katanya.


Katanya, selepas mendapatkan wang mereka dan mengikat mereka untuk berbulan-bulan malah ada bertahun-tahun, wang itu kemudian akan hilang.


“Sindiket jenayah ini biasanya beroperasi di luar negara. Mereka menggunakan nama syarikat palsu. Sebaik saja mereka mencuri wang pelabur, laman web itu akan hilang dan mereka tidak dapat dikesan,” katanya. - AFP

16 motosikal terbakar di Flat PPR Sungai Bonus

Penduduk PPR Sungai Bonus melihat bangkai motosikal yang hangus dalam kebakaran, awal pagi ini.
Penduduk PPR Sungai Bonus melihat bangkai motosikal yang hangus dalam kebakaran.
KUALA LUMPUR - Sebanyak 16 motosikal pelbagai jenis musnah terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, awal pagi ini.

Kebakaran tersebut yang berlaku di tempat letak motosikal berbumbung yang disediakan di kawasan  perumahan tersebut turut terkena sebuah kereta jenis Grand Livina yang diletak berhampiran kawasan terbabit.

Ketua Balai Bomba Setapak, Suki Anuar berkata, kejadian berlaku jam 3.45 pagi dan pihaknya tiba lima minit kemudian selepas menerima panggilan daripada orang awam.

Menurutnya, api berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit kemudian.

“Satu jentera dengan kekuatan tujuh anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima maklumat.

“Motif sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa berkata, belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan masih dijalankan.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Kita akan tubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kejadian ini sekiranya mempunyai kaitan dengan kes-kes sebelum ini,” katanya.

Pesakit maut dipercayai terjatuh dari Hospital Pulau Pinang

GEORGETOWN - Seorang warga emas ditemui mati setelah dipercayai terjatuh dari tingkat empat Hospital Pulau Pinang (HPP) awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata Tan Jit Wan, 68, sedang menjalani rawatan di hospital itu kerana menghidap barah leher.

Beliau berkata sebelum kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, Tan dikatakan telah mengadu kepada jururawat dan doktor bahawa dia tidak tahan menanggung kesakitan penyakitnya.

"Beberapa pesakit dan jururawat melihatnya berdiri dan termenung di tepi tingkap berhampiran katilnya sebelum insiden itu berlaku," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Gan berkata mangsa mati ditempat kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian kepala.   
Katanya kes seumpama itu merupakan kes kedua berlaku di hospital berkenaan tahun ini.

Beliau berkata dalam siasatan awal, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. - Bernama

Pembantu makmal maut, motosikal terbabas masuk longkang

Pembantu makmal maut, motosikal terbabas masuk longkang
Orang ramai cuba mengeluarkan motosikal mangsa yang terbabas masuk longkang.
JENGKA - Seorang lelaki menemui ajal ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya apabila motosikal yang ditungganginya terbabas masuk longkang di jalan berdekatan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Jengka dari bandar Jengka ke Maran.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu meragut nyawa pembantu makmal Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang, Mohd Sarizi Rahim, 31.

Isteri mangsa, Maznah Hassan, 31, berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian itu setelah menerima panggilan telefon daripada rakan suaminya.

“Sekitar jam 8.15 pagi, kawan baik arwah telefon beritahu arwah ditimpa kemalangan dan minta saya datang segera ke tempat kejadian.

“Setelah tiba di tempat kejadian barulah saya tahu suami saya sudah tiada. Arwah memang tidak sihat sejak seminggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum masuk ke dalam longkang dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumahnya di Felda Jengka 10. “Mangsa meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia 7, 3 dan 1 tahun,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, seorang guru Sekolah Kebangsaan Sungai Jerik maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas ketika dalam perjalanan dari Felda Ulu Jempol menuju ke Sungai Jerik.

Mangsa, Mohammad Mustafar Mat Said, maut serta-merta di tempat kejadian dan kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam semalam.

Air mandian misteri berwarna keruh ditemui di bilik anak

Air mandian misteri berwarna keruh ditemui di bilik anak
Hasan menunjukkan sebungkus uncang teh dan ‘air mandian misteri’ berwarna keruh yang ditemui di bilik tidur anak gadisnya itu.
MARANG - Kebimbangan seorang bapa selepas anak gadisnya berkelakuan pelik dan sering berkurung di dalam bilik sejak lebih seminggu lalu, akhirnya terjawab apabila dia menemui beberapa peralatan termasuk ‘air mandian misteri’ di bilik tidur anaknya itu.
Antara peralatan lain disimpan adalah uncang teh, uncang mengandungi beras, gula dan kertas tertulis ayat al-Quran, cecair jernih diisi di dalam botol mineral untuk diminum dan air berwarna keruh diletakkan di dalam botol plastik digunakan sebagai air mandian.

Hasan Tayib, 48, mendakwa, anak gadisnya juga turut memakai tangkal di leher diberikan seorang bomoh ‘misteri’ namun hanya sebahagian dari peralatan itu ditemuinya manakala selebihnya dilihat oleh isterinya, Latifah Sulong, 44.

Hasan berkata, anak kelima dari enam beradik itu baru berusia 15 tahun dan masih belajar di sebuah sekolah di sini, dipercayai menjadi mangsa bomoh terbabit yang diperkenalkan seorang lelaki berumur 40-an tidak dikenalinya tetapi dikenali anak gadisnya itu.
Menurutnya, perkara itu terbongkar apabila dia mengekori anak gadisnya ke sekolah awal pagi semalam, sebelum dia mendapati sebuah kereta sedang menunggu berdekatan rumah mereka dipercayai untuk membawa anak gadisnya itu ke satu tempat.
“Perkara pertama terlintas difikiran tentulah yang buruk-buruk. Hati bapa mana yang tidak risau. Tambah pula, gejala anak gadis lari dari rumah melibatkan lelaki yang berusia menjadi perkara biasa dan ia memang membimbangkan kami.

“Saya kemudiannya menunggang motosikal ke arah kereta itu sebelum melihat seorang lelaki tidak dikenali berusia sekitar 40-an berada di dalam kenderaan itu lalu bertanyakan kepadanya kenapa menjemput anak perempuan saya di situ,” katanya.

Hasan turut mendakwa rawatan itu membuatkan anak gadisnya mengikut telunjuk lelaki berusia 40-an itu.

Hasan yang ditemui di rumahnya di Gong Merawang di sini, berkata, lelaki itu memberitahu, dia menjemput anak gadisnya itu untuk pergi menemui seorang bomoh di sebuah kampung di daerah itu untuk berubat kerana mengidap sakit dalaman.

“Saya hairan kerana anak saya tidak pernah mengadu sakit dan jika sakit sekalipun dia (anak) ada penjaga iaitu kami. Selepas itu berlaku sedikit pertengkaran dan saya kemudiannya mengambil anak saya dan meminta lelaki itu beredar,” katanya.

Susulan kejadian itu, Hasan kemudiannya menghantar anaknya ke sekolah sebelum pulang semula ke rumah dan menemui beberapa peralatan termasuk ‘air mandian misteri’ di bilik tidur anaknya yang dikatakan digunakan untuk merawat penyakit ‘misteri’ anaknya.

Sementara itu, mungkin tidak ramai sedar bahawa gadis bawah 18 tahun sebenarnya masih lagi tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak kerana pada usia itu mereka memerlukan perlindungan, belaian kasih sayang keluarga dan perhatian.

Justeru soal siapa salah tidak seharusnya berbangkit sebaliknya jalan penyelesaian yang mesti dicari. Malah bagi Hasan dan Latifah, mereka tidak malu untuk berkongsi beban ditanggung agar ia tidak berakhir dengan padah termasuk anaknya itu lari mengikut kekasih.

Mereka juga menyifatkan naluri ibu bapa sangat sensitif untuk menyimpulkan apa sebenarnya telah menimpa anak gadis mereka itu namun mereka tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis jika anak gadis mereka terus diganggu lelaki terbabit.

Astaka di Jertih runtuh, enam terperangkap


Rahu dikejarkan ke Hospital Besut sebaik berjaya dikeluarkan.
Rahu dikejarkan ke Hospital Besut sebaik berjaya dikeluarkan.
Ari Ramlan buruh pertama dikeluarkan tiga jam selepas runtuhan berlaku jam 1 petang, semalam.
Ari Ramlan buruh pertama dikeluarkan tiga jam selepas runtuhan berlaku jam 1 petang, semalam.Ari Ramlan buruh pertama dikeluarkan tiga jam selepas runtuhan berlaku jam 1 petang,
Kerja-kerja mencari dan menyelamatkan mangsa runtuhan sedang dijalankan.
Kerja-kerja mencari dan menyelamatkan mangsa runtuhan sedang dijalankan.
JERTIH - Enam buruh binaan warga Bangladesh dan Indonesia cedera setelah apabila struktur binaan pentas astaka di Padang Astaka Jertih dekat Gong Kemuntong di sini, yang sedang dalam pembinaan tiba-tiba runtuh petang semalam.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, buruh binaan berusia 20 hingga 42 tahun itu sedang melakukan kerja menyimen di bahagian pentas yang berukuran 6x9 meter persegi sebelum beberapa struktur termasuk beberapa batang tiang konkrit di situ tumbang menyebabkan ia ranap.

Ketika kejadian itu, astaka tersebut telah 30 peratus siap dan dijangka boleh digunakan pada hujung tahun ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, tiga buruh pertama berjaya dikeluarkan orang ramai dan penyelamat iaitu dua warga Indonesia, Munawir dan Fendi masing-masing berusia 20 tahun serta seorang warga Bangladesh, Suksan Ali, 25.

Menurutnya, bagaimanapun pasukan penyelamat terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengalami kesukaran mengeluarkan tiga lagi baki mangsa yang terperangkap dalam astaka milik Majlis Daerah Besut (MDB) itu.

“Kami mengalami masalah untuk mengeluarkan tiga lagi mangsa yang terperangkap kerana sebahagian tubuh mereka iaitu dari paras pinggang ke bawah tertimbus dalam timbunan simen yang semakin mengeras,” katanya yang bertindak sebagai ketua operasi.

Kamaruddin berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas operasi menyelamat ditamatkan di Balai Polis Jertih, semalam.

Mangsa pertama dikeluarkan tiga jam selepas runtuhan Menurutnya, sebanyak dua kren dan beberapa jentolak terpaksa digunakan untuk mengangkat runtuhan bagi memudahkan kerja mengeluarkan mangsa dilakukan.

“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan tiga jam selepas runtuhan ialah Ari Ramlan, 31, dari Indonesia, iaitu pada jam 3.20 petang diikuti Raju, 42 (Bangladesh) pada jam 3.30 petang dan Zilom, 40 juga dari Bangladesh pada jam 3.35 petang.

“Kesemua mangsa hanya menga lami kecederaan ringan, tetapi agak keletihan dan terkejut dalam kejadian tersebut. Mereka dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut,” katanya.

Kamaruddin berkata, pasukan penyelamat terdiri daripada 20 pegawai dan anggota polis, 15 anggota Bomba dan Penyelamat dari balai Jertih dan Besut berserta dua jentera bomba dan lapan anggota JPAM.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam terutama yang menghulurkan bantuan jentolak dan kren bagi membantu kerja menyelamat,” katanya.

Sembur air cairkan simen Sementara itu, Pemangku Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Terengganu, Ismail Idris berkata, tindakan pantas pasukan penyelamat dengan kerjasama orang awam berjaya menyelamatkan semua mangsa yang terperangkap.

Menurutnya, pasukan penyelamat menghadapi kesukaran kerana ada mangsa bukan sahaja terperangkap dalam runtuhan, tetapi tenggelam dalam simen yang semakin mengeras dari paras pinggang ke bawah dan ada yang terbenam bahagian kaki sahaja.

“Pasukan bomba terpaksa menggunakan semburan air daripada jentera bomba bagi mencairkan simen yang semakin mengeras tersebut dengan menggunakan peralatan lain sebelum kesemua mangsa yang keletihan berjaya dikeluarkan,” katanya.

Ismail berkata, kesemua mangsa memang bernasib baik kerana walaupun struktur tersebut ranap tetapi mereka selamat dan hanya mengalami kecederaan.

Ejen peminjam wang tanpa lesen didakwa bunuh jiran

KUALA LUMPUR - Seorang ejen peminjam wang tanpa lesen dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh jirannya minggu lepas.

M.Murugan, 34,(he) mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Parvin Hameedah Natchiar. Tiada pengakuan direkodkan daripadanya.
Mahkamah menetapkan 14 Ogos untuk sebutan kes.
Murugan didakwa bersama-sama dengan dua lagi suspek yang masih bebas, membunuh R.Sevanesen, 36, di hadapan rumah No.16, Jalan 17/2A, Taman Wilayah, Selayang, di sini pada 4.10 petang, 11 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 300 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 302 kanun berkenaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne manakala tertuduh diwakili peguam R.Jag (rpt: R.Jag).- Bernama

2 wanita dipercayai anggota sindiket gores dan menang ditaha

KUALA LUMPUR - Dua wanita ditahan, dipercayai anggota sindiket terlibat dalam aktiviti gores dan menang, yang melibatkan nilai penipuan terhadap mangsa berjumlah RM390,625.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan Abu Samah Shabudin berkata dua wanita tempatan itu berumur 19 dan 23 tahun, ditahan di Terminal Bersepadu Tasik Selatan (TBS) semalam ketika leka mengedarkan kad gores dan menang kepada orang ramai.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua wanita terbabit sebelum ini pernah ditahan penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Suspek kemudian dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut kerana disyaki menjalankan aktiviti gores dan menang di bawah Seksyen 20 Akta Perihal Dagangan 1972," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abu Samah berkata di bawah akta ini, jika disabitkan kesalahan, denda bagi suatu pertubuhan perbadanan adalah tidak melebihi RM500,000 dan bagi individu pula tidak melebihi  RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Modus Operandi sindiket ini adalah dengan memerangkap orang ramai, menyatakan mereka memenangi hadiah lumayan seperti kereta dan pakej pelancongan.
"Namun, sebagai syarat untuk menebus hadiah itu, mangsa diminta membeli barangan yang tidak sepadan dengan harganya, contoh, kerusi urut dan tilam Jade bernilai lebih RM20,000," katanya.
Abu Samah berkata berdasarkan rekod, mangsa yang terpengaruh sanggup menyerahkan beribu-ribu ringgit dan menggadai barang kemas, kononnya untuk menebus hadiah lumayan yang dijanjikan.

Beliau berkata antara lokasi yang sering dijadikan sasaran sindiket itu ialah terminal TBS, jejantas Berjaya Times Square, Bukit Bintang Plaza, dan bank-bank komersial.
"Antara Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 62 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM390,625 dicatatkan. Kes paling tinggi membabitkan seorang mangsa yang kerugian RM27,000, manakala paling rendah sebanyak RM1,500," katanya.
Sehubungan itu, Abu Samah meminta orang ramai agar tidak terpengaruh kerana banyak kes serupa dilaporkan di media.- Bernama

Tiga remaja didakwa merompak

KUANTAN - Tiga remaja termasuk dua yang masih di bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang remaja laindi tepi padang, Lorong IM2/78, Bandar Indera Mahkota di sini, 14 Jun lalu.

Amierul Muhayat Saiful Amran, 19 dari Bukit Istana di sini bersama dua rakannya berusia 17 dan 18 tahun masing-masing dari Pekan dan Indera Mahkota di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hidayatul Syuhada Samsuddin di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tiga remaja ini didakwa secara bersama melakukan rompakan ke atas mangsa yang berusia 16 tahun di lokasi itu kira-kira jam 11 malam, 14 Jun lalu.

Dalam kejadian itu ,mereka bertiga bertindak merampas sebuah telefon bimbit bernilai RM500 milik mangsa.

Mereka juga didakwa turut menggunakan sebilah parang dalam rompakan tersebut sehingga boleh mendatangkan ketakutan, kecederaan dan menyebabkan kematian kepada mangsa.

Ekoran kesalahan jenayah yang dilakukan itu, ketika-tiga rakan terbabit dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.
Mahkamah menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan seterusnya kes tersebut.

Peniaga rugi hampir RM4,000

Peniaga rugi hampir RM4,000
Cheang Son menunjukkan mesin penapis air yang diletakkan di beberapa lokasi, sering menjadi sasaran pencuri yang melarikan wang di dalam mesin terbabit.
BANDAR RAUB - Seorang peniaga terpaksa menanggung kerugian apabila mesin penapis air (water dispenser) yang diletakkan di sekitar bandar sering menjadi sasaran pencuri yang memecahkan mesin terbabit untuk melarikan wang di dalamnya.

Lee Cheang Son, 40-an, berkata, dalam tempoh dua bulan, sudah empat kali mesin itu dipecahkan dan dia kerugian hampir RM4,000.

Menurutnya, setakat ini dia meletakkan 15 mesin sama di sekitar daerah Raub, 15 di Bentong, 10 di Lipis dan satu di pekan Benta.

“Saya hadapi masalah sama di setiap kawasan dan kekerapan wang daripada mesin ini dicuri semakin membimbangkan. “Laporan sudah dibuat dan maklumat berkaitan individu terlibat juga sudah disampaikan kepada polis untuk tindakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Cheang Son berkata, bagi memastikan perkara sama tidak berulang, dia terpaksa memasang besi tebal dan kunci berkualiti yang lebih mahal.

Katanya, kos membuat besi dan kunci itu pula lebih RM1,000 yang dipasang pada semua mesin penapis air miliknya.

“Difahamkan kecurian ini dilakukan beberapa individu dengan cara memotong besi dan kunci yang dipasang pada mesin ini sebelum mengumpil tempat simpanan wang syiling.

“Jika keadaan begini (kecurian) berterusan saya akan terus menanggung kerugian,” katanya.

Menurutnya, perniagaan menjual air itu tidaklah mendatangkan keuntungan yang banyak pada satu-satu masa, tetapi ia adalah sumber rezekinya untuk menampung perbelanjaan keluarganya dan berharap kejadian itu tidak berlaku lagi selepas ini.

200 ayam rentung - Pahang

200 ayam rentung
Pekerja menjalankan kerja membersihkan bangunan gerai yang terbakar.
ROMPIN - Sebanyak 200 ayam ditemui rentung hingga mengakibatkan seorang pembekal ayam di Felda Keratong 1, di sini, terpaksa menanggung kerugian lebih RM80,000 selepas gerai pemprosesan ayamnya hangus dijilat api, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, kesemua ayam yang hendak dihantar kepada peniaga di beberapa tempat di sekitar Keratong dan Muadzam Shah ditemui rentung apabila hampir keseluruhan bangunan itu terbakar.

Tiga mesin pemprosesan ayam dianggarkan bernilai lebih RM40,000 dan dua peti ais sejuk beku tempat simpanan ayam musnah dalam kejadian.
Mangsa, Awang Hashim, 55, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang tidur di rumah sebelum dikejutkan anak lelakinya yang memberitahu gerai berusia tujuh tahun itu terbakar.

“Anak saya mendapat maklumat gerai ayam kami terbakar daripada seorang jiran yang datang ke rumah pada awal pagi sebelum kami bergegas ke tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Awang yang kini menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mengurus selia perniagaan itu kepada anaknya berkata, sebaik sahaja sampai ke tempat kejadian, dia mendapati bangunan itu sudah terbakar.

Menurutnya, kebakaran itu dipercayai berlaku dalam tempoh sejam sebelum ia berjaya dikawal anggota Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah yang tiba selepas 15 minit dimaklumkan berhubung kejadian itu.

“Sehingga kini, bomba masih menyiasat punca sebenar kejadian itu dan masih mentaksirkan jumlah keseluruhan kerugian yang kami alami,” katanya.

Pengeluaran merosot

AWANG berkata, setiap kali dia menatap bangunan itu, hatinya diruntun kesedihan mengenangkan kejadian itu kerana bersusah payah sejak usia muda lagi bagi mengembangkan perniagaan yang dimilikinya.

“Luluh hati saya melihat bangunan gerai itu terbakar, apatah lagi gerai ini dibina dengan hasil titik peluh saya selama lebih 30 tahun menjual ayam dengan hanya menggunakan motosikal,” katanya.

Awang yang juga pembekal ayam utama di Rompin berkata, kejadian itu juga menyebabkan perniagaan anaknya terjejas selepas berdepan kesukaran menjalankan kerja pemprosesan ayam.

“Sekarang ini, kami terpaksa menumpang di tempat rakan untuk pemprosesan ayam kerana segala kelengkapan sudah rosak,” katanya.

Menurut Awang, dalam sehari, dia terpaksa membekalkan kira-kira 500 ayam di beberapa kedai runcit dan pasar malam di sekitar Bandar Tun Razak, Perantau Damai, Muadzam Shah dan Rompin.

Malah, katanya, pada musim perayaan pula, dia terpaksa menjual sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 ayam sehari memandangkan permintaan tinggi pada musim itu.

“Kami juga sudah bersedia membekalkan ayam pada musim perayaan tidak lama lagi, namun segalanya seakan lumpuh apabila kelengkapan kami musnah,” katanya.
Katanya, dua daripada anaknya hanya bergantung kepada sumber rezeki itu bagi menyara kehidupan keluarga dan musibah yang melanda itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka.

Harap kerajaan sudi membantu

MENURUT Awang, dia berharap agar anak-anaknya tidak putus asa dan terus cekal dengan dugaan yang melanda mereka kerana beranggapan segala kejadian itu mungkin ada hikmah di sebaliknya.

“Saya reda dengan ketentuan ini namun sebagai manusia biasa, kita kena berusaha meneruskan kehidupan kerana apa yang berlaku itu mungkin akan menjadikan kita bertambah kuat,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, dia merayu kepada mana-mana pihak khususnya kerajaan supaya dapat meringankan penderitaan yang dialami termasuk memberi bantuan kelengkapan alatan pemprosesan ayam.

Katanya, dengan adanya bantuan itu, ia secara tidak langsung dapat membantunya memulihkan semula perniagaannya itu kerana terpaksa menyediakan kira-kira RM150,000 untuk kos keseluruhan kerugian yang dialami.

“Dalam keadaan harga barang binaan semakin tinggi, kami memerlukan modal yang besar untuk memulakan operasi perniagaan ini semula,” katanya.

Nyaris maut ditikam rakan

Nyaris maut ditikam rakan
DAHLAN
KUALA ABANG – Seorang peniaga berdepan detik cemas apabila diserang seorang lelaki, dipercayai kenalannya dalam satu kejadian tidak diduga, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu dikatakan berlaku apabila mangsa yang sedang minum bersama sekumpulan rakan didatangi suspek sebelum berlaku pertengkaran, dipercayai akibat perselisihan faham.

Suspek dikatakan sempat mengambil sebilah pisau yang kebetulan ada di atas tanah lalu cuba menikam mangsa, namun mangsa sempat mengelak.

Bagaimanapun mangsa yang berusia 43 tahun dan berasal dari Kampung Baru Kuala Abang itu difahamkan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum dihantar ke klinik untuk rawatan lanjut.

Suspek yang dikatakan pernah mempunyai rekod jenayah lampau itu bagaimanapun melarikan diri ke rumahnya sebelum sekumpulan penduduk bertindak mengejar lalu mengepung rumahnya yang terletak di Kampung Baru, Kuala Abang itu.

Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah diketuai Inspektor Zubir Ismail yang tiba di lokasi sebaik menerima maklumat kemudiannya menahan suspek terbabit.

Suspek, 27, yang sebelum ini dikatakan pernah terbabit dengan kes mencederakan seorang peniaga restoran ikan bakar di pekan Kuala Dungun
beberapa tahun lalu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kes terbabit dan pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut bagi proses pendakwaan di mahkamah.

Gagal seludup gula, minyak

Gagal seludup gula, minyak
Rusli (kiri) bersama anggotanya menunjukkan minyak dan gula yang dirampas di Pangkalan Haram Kampung Kebun Pengkalan Kubor.
TUMPAT – Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubor menggagalkan cubaan menyeludup keluar 870 kilogram minyak masak dan gula, selepas terserempak dengan sebuah kereta di Pangkalan Haram Kampung Kebun, Pengkalan Kubor di sini, kelmarin.

Komander UPP Kelantan, Rusli Karim berkata, gula dan minyak masak yang bernilai RM2,190 dirampas selepas pemeriksaan ke atas kereta terbabit kira–kira jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, gula seberat 360 kilogram ditemui disembunyikan di dalam bonet kereta, manakala minyak masak seberat 510 kilogram pula diisi padat di tempat duduk belakang.

“Pemandu kereta terbabit berjaya melarikan diri apabila menyedari keretanya diekori oleh Unit Risik UPP ketika terserempak di Kampung Kebun,” katanya.

Katanya, kereta terbabit yang dianggarkan bernilai RM5,000 turut dirampas.
“Kesemua barang rampasan ini akan diserahkan kepada Kastam Bahagian Penguatkuasaan Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

Pembantu makmal maut, motosikal terbabas masuk longkang

Pembantu makmal maut, motosikal terbabas masuk longkang
Orang ramai cuba mengeluarkan motosikal mangsa yang terbabas masuk longkang.
JENGKA - Seorang lelaki menemui ajal ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya apabila motosikal yang ditungganginya terbabas masuk longkang di jalan berdekatan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Jengka dari bandar Jengka ke Maran.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu meragut nyawa pembantu makmal Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang, Mohd Sarizi Rahim, 31.

Isteri mangsa, Maznah Hassan, 31, berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian itu setelah menerima panggilan telefon daripada rakan suaminya.

“Sekitar jam 8.15 pagi, kawan baik arwah telefon beritahu arwah ditimpa kemalangan dan minta saya datang segera ke tempat kejadian.

“Setelah tiba di tempat kejadian barulah saya tahu suami saya sudah tiada. Arwah memang tidak sihat sejak seminggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum masuk ke dalam longkang dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumahnya di Felda Jengka 10. “Mangsa meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia 7, 3 dan 1 tahun,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, seorang guru Sekolah Kebangsaan Sungai Jerik maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas ketika dalam perjalanan dari Felda Ulu Jempol menuju ke Sungai Jerik.

Mangsa, Mohammad Mustafar Mat Said, maut serta-merta di tempat kejadian dan kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam semalam.

Man Toba terima padah

Man Toba terima padah
Man Toba dipenjara sebulan dan denda RM2,000 setelah mengaku salah belasah warga emas di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki berlagak ‘hero’ dengan sanggup membelasah seorang warga emas tanpa mangsa mengetahui sebab musababnya dalam satu kejadian di sebuah kedai runcit di Kampung Gong Kijang, di sini, minggu lalu.

Bagaimanapun, perbuatan biadab tertuduh, Wan Azman Wan Ibrahim, 33, dari Kampung Sri Gong Kijang, menerima pembalasan setelah dijatuhi hukuman penjara selama sebulan dan dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Lebih malang, dia yang juga dikenal dengan nama Man Toba terpaksa meringkuk di penjara dua bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Hukuman terbabit dijatuhkan oleh Majistret Noradila Ab Latif selepas Man Toba mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa, Ramlan A Rashid Musa, 69, di kedai runcit milik mangsa di Kampung Gong Kijang, di sini, 14 Jun lalu kirakira jam 3.30 petang.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Razatul Kalsum Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa sedang berada di kedai runcit miliknya sebelum didatangi Man Toba yang terus menendang mukanya menyebabkan mangsa rebah di atas jalan tar di hadapan kedainya.

Tidak puas dengan itu, Man Toba terus menerus menendang dan memukul mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami luka berdarah di bahagian kening kiri, luka di tangan kanan, bengkak di bahagian mata kiri dan sakit di rusuk kiri.

Melihatkan keadaan mangsa yang tidak bermaya, Man Toba terus melarikan diri dan mangsa yang mengakui teraniaya kerana langsung tidak tahu punca dia diperlakukan sebegitu rupa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, di sini.

Susulan laporan dibuat, Man Toba akhirnya ditangkap pada hari kejadian, lebih kurang jam 5.10 petang di kediamannya.

2 termasuk kanak-kanak maut nahas kereta

2 termasuk kanak-kanak maut nahas kereta
Seng Li memangku Han San selepas mayat anaknya itu dibawa keluar dari Bilik Mayat Hospital Kuala Krai untuk dibawa ke Kampung Jambu, Tumpat bagi urusan pengebumian.
2 termasuk kanak-kanak maut nahas kereta
Mayat Han San dibawa keluar dari Bilik Mayat Hospital Kuala Krai, semalam, untuk dibawa ke Kampung Jambu, Tumpat bagi urusan pengebumian.
KUALA KRAI - Dua termasuk seorang kanak-kanak Cina berusia tiga tahun maut dalam dua kemalangan jalan raya berasingan di Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat sini, kelmarin dan semalam.

Pada nahas melibatkan kanak-kanak, Hue Han San, 3, maut selepas Proton Persona dipandu ibunya, Wee Sha Kin, 38, bertembung dengan sebuah Proton Iswara di Kilometer (KM) 64.8, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, kira-kira jam 9 pagi semalam.

Kejadian berlaku ketika Han San dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Batu Jong, selepas menemani ibunya menghantar kakaknya berusia lima tahun ke sebuah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di Taman Krai, dekat sini.

Nahas berhampiran Perumahan Polis Sungai Durian itu dipercayai berlaku selepas kereta dipandu lelaki berusia 51 tahun dari arah Kota Bharu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dinaiki Han San dan ibunya.

Rempuhan kuat

REMPUHAN kuat antara kedua-dua kenderaan menyebabkan Han San yang duduk di bangku sebelah kiri pemandu mati di tempat kejadian manakala ibunya dan lelaki terbabit, cedera ringan.

Mayat Han San dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya, manakala Sha Kin yang cedera di tangan menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

Motosikal dinaiki bertembung

PADA satu lagi kejadian, seorang pemuda berusia 21 tahun, Mohd Azmi Mohamed Roni meninggal dunia di HKK kira-kira jam 5 pagi semalam selepas terlibat kemalangan jalan raya, jam 5 petang kelmarin.

Mohd Azmi berasal dari Kampung Baru Slow Pak Long, dekat Dabong, mati akibat cedera parah selepas motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta di KM 54, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Kampung Telekong.

Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah, Inspektor Low Jo Han berkata, kedua-dua kes masihdalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Suasana pilu

"SEMENTARA itu, Bilik Mayat HKK yang dipenuhi ahli keluarga dan sanak-saudara Han San, diselubungi suasana pilu ketika mayat kanak-kanak itu dimandikan sebelum dibawa ke Wat Phothivihan di Kampung Jambu, dekat Tumpat, untuk pengebumian.

Bapa mangsa, Hue Seng Li, 46, yang bekerja sebagai pemandu van sayur berkata, kali terakhir dia bertemu Han San ialah sebelum tidur kira-kira
jam 10 malam, kelmarin.

“Dia sempat tidur dengan saya sekejap dan bila kakak dia naik, dia turun dan tidur dengan mak dia,” katanya yang keluar rumah seawal jam 1 pagi untuk mengambil bekalan sayur di Kota Bharu dan menghantarnya ke Gua Musang.

Tidak tahu anak bongsu meninggal dunia

SENG LI berkata, dia tahu tentang kemalangan itu selepas dihubungi isterinya ketika sedang menghantar sayur di pasar pagi dekat Gua Musang tetapi tidak tahu anak bongsunya itu sudah meninggal dunia.

“Bila saya sampai di hospital dan tengok sendiri keadaan Han San, baru saya tahu dia sudah meninggal dunia,” katanya yang ada lima lagi anak berusia antara lima dan 19 tahun.

Sepupu Sha Kin, juga ahli jawatan kuasa Wanita MCA Kuala Krai, Suzie Chua pula berkata, dia tidak menyangka kejadian kenderaan pacuan empat rodanya tidak dapat dihidupkan awal pagi semalam menjadi petanda awal perkara buruk akan berlaku.

“Bila saya suruh baiki, suami kata tak payah sebab kami kena pergi hospital segera tetapi dia tidak beritahu sebab apa,” katanya yang hanya tahu tentang kematian anak sepupunya itu ketika dalam perjalanan ke hospital.

Teng Hai ucap takziah, beri bantuan kewangan

DALAM pada itu, Pemangku Ketua MCA Kuala Krai, Hong Teng Hai hadir menziarahi jenazah di hospital dan menyampaikan bantuan kewangan segera kepada keluarga mangsa untuk kos pengurusan jenazah.

“Satu sumbangan daripada BN Kuala Krai dan satu lagi, sumbangan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Baru Jong. “Mewakili BN, terutama MCA, saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan amat bersimpati serta sedih dengan nasib yang menimpa mereka,” katanya.

Susulan insiden mati tertembak, 3 kanak-kanak dihantar ke CIC

Laporan Sinar Harian 17 Jun lalu.
Laporan Sinar Harian 17 Jun lalu.
TANAH MERAH – Tiga kanak-kanak yang menjadi saksi kejadian tertembak diri sendiri di Ketereh, Kota Bharu minggu lalu, dihantar ke Children Interview Center (CIC), Pulau Pinang untuk diambil keterangan lanjut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, tiga kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun itu merupakan adik sepupu, rakan dan sepupu rakan mangsa yang merupakan saksi kejadian.

Mereka dihantar ke CIC sejak kelmarin.

“Maklumat kita tidak boleh dedah buat masa sekarang yang pasti polis akan jalankan siasatan secara terperinci dalam semua sudut. Polis juga sedang meneliti bagaimana pistol tersebut diletupkan (diaktifkan) dan berharap keterangan daripada kanak-kanak tersebut dapat membantu,” katanya.

Jalaluddin berkata demikian kepada pemberita pada majlis High Profile Policing, Walk Bout bersama masyarakat di bandar Tanah Merah, semalam.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud dan Ketua Jajahan Tanah Merah, Zamri Ismail.

Jalaluddin diminta mengulas kenyataan bapa mangsa, Noor Hisham Abdul Aziz, 50, yang mendapat maklumat polis bahawa tiada kesan jari milik anaknya pada pistol terbabit.

Noor Hisyam berkata, beliau dimaklumkan anggota Bahagian Forensik, siasatan yang dilakukan mendapati tiada kesan jari milik Muhammad Faris Faizal pada pistol digunakan dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, kes tersebut disiasat mengikut seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian.

“Sebarang tindakan terdapap anggota polis yang juga pemilik pistol berkenaan akan ditentukan selepas selesai siasatan. Kita juga sudah menghantar laporan kepada Ketua Polis Johor untuk tindakan tatatertib selepas ini,” katanya.

Dalam kejadian itu, masyarakat dikejutkan dengan berita seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut, Mohd Faris Faisal Hisyam maut selepas tertembak diri sendiri menggunakan pistol yang disangka pistol mainan di rumah neneknya di Ketereh sebaik selesai menyambut hari jadinya.

Dalam kejadian 9 malam itu bapa saudaranya, Helmi Ghazali berumur 31 tahun yang kebetulan berada di belakang mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian bahu.

Kejadian bermula apabila mangsa, Mohd Faris menjumpai pistol jenis Walter, yang disimpan oleh bapa saudaranya yang merupakan seorang anggota polis di bawah meja.

Pengguna terpaksa redah banjir

Beginilah keadaan banjir lumpur yang terpaksa dihadapi pengguna kenderaan setiap kali melalui di persimpangan lampu isyarat Jalan Jejaka, Taman Maluri, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR 21 Jun - Pengguna kenderaan dari arah Taman Maluri ke Pandan Jaya pasti akan merungut setiap kali melalui persimpangan lampu isyarat di Jalan Perkasa, di sini.
Tidak ada hujan atau ribut, namun terpaksa menghadapi banjir lumpur di kawasan berkenaan sehingga mendedahkan pemandu terbabit kepada bahaya.
Dakwa pengguna, masalah itu dipercayai berpunca daripada kenderaan berat yang menggunakan jalan tersebut setiap hari untuk ke tapak pembinaan berhampiran.
Selain jalan itu menjadi kotor dan dipenuhi tanah, ia juga telah menyebabkan kerosakan jalan yang teruk.
Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi berdasarkan aduan yang diterima daripada seorang pembaca yang hanya mahu dikenali sebagai Arshad, 52, mendapati masalah yang dihadapi pengguna kenderaan di situ ada benarnya.

'Kajol' dikir barat didenda RM1,000

MOHD. Hafiz Jeffri (tengah) atau lebih dikenali sebagai Kajol dihukum denda RM1,000 dan dikehendaki berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU 21 Jun - Penyanyi dikir barat popular Kelantan, Mohd. Hafiz Jeffri atau lebih dikenali sebagai Kajol berjanji akan mengubah sikapnya yang suka berperwatakan seperti perempuan ketika melakukan persembahan selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini menolak rayuannya terhadap hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara lima bulan.
Mohd. Hafiz, 26, ketika ditemui di luar mahkamah hari ini, berjanji akan insaf secara perlahan-lahan dan cuba mengurangkan persembahan dikir barat kerana sedar mahkamah turut memerintahkan dia berkelakuan baik selama setahun jika tidak mahu dipenjarakan

Sindiket curi kereta tumpas

KUALA LUMPUR 21 Jun - Walaupun licik melakukan jenayah, sekumpulan sindiket curi kereta jenis Toyota Estima 'pendek akal' kerana tidak memikirkan risiko apabila menggunakan kad Touch 'n Go milik seorang usahawan yang menjadi mangsa mereka pada Mac lalu.
Melalui transaksi yang dibuat menggunakan kad tersebut, polis berjaya mengesan dan mengekori mereka sehingga akhirnya berjaya ditangkap dalam serbuan di Puchong dekat sini semalam.
Hasil tangkapan tersebut, polis berjaya menemui sembilan kereta Toyota Estima bernilai kira-kira RM1.7 juta yang pernah dilaporkan hilang sebelum ini.
Menurut sumber, usahawan lelaki berusia 35 tahun itu kehilangan kereta Toyata Estima yang diletak di luar rumahnya di Taman Meru, Ipoh, Perak pada 30 Mac lalu.
"Penjenayah mengambil kesempatan melarikan kereta mangsa yang diletakkan di luar rumah pada kira-kira pukul 3 pagi.

8 diberkas larikan lori muatan baja

JOHOR BAHRU 21 Jun - Seramai lapan ahli sindiket samun termasuk empat warga asing diberkas hanya selepas empat jam melarikan sebuah lori yang membawa muatan baja di Chaah, Segamat baru-baru ini.
Kesemua lelaki yang berusia antara 29 dan 75 tahun itu ditahan bersama lori yang membawa 800 beg baja kelapa sawit disamun mereka di Seri Alam, Pasir Gudang dekat sini pukul 8.12 pagi pada Isnin lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, tindakan pantas polis serta hasil risikan dan maklumat orang awam, pihaknya berjaya menemui semula kenderaan dan muatan yang disamun.
"Siasatan awal mendapati, salah seorang suspek memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri hari ini.

Geng Suria tumpas

MOHD. Mokhtar Mohd. Shariff (tengah) melihat sebahagian daripada 22 motosikal yang berjaya dijumpai semula pada sidang akhbar di Johor Bahru, Johor, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU 21 Jun - Polis berjaya menyelesaikan 99 kes curi motosikal dan 51 kes ragut dengan tertangkapnya 20 ahli Geng Suria di beberapa lokasi berasingan di negeri ini pada 13 Jun lalu.
Kumpulan yang turut dianggotai empat pelajar itu bergiat aktif di sekitar Iskandar Malaysia dan dipercayai mencuri sekurang-kurangnya tiga motosikal sehari.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kejayaan menumpaskan sindiket curi motosikal itu ekoran penahanan seorang lelaki berusia 21 tahun di Taman Suria, Majidee di sini pukul 6 petang.
Susulan tangkapan itu, kata beliau, polis menahan 19 lelaki lagi berusia antara 15 hingga 23 tahun di beberapa lokasi yang terlibat dalam jenayah curi motosikal dan ragut di bandar raya ini.

13 motosikal hangus dipercayai angkara khianat

Sebahagian motosikal yang hangus dipercayai dibakar oleh orang yang tidak bertanggungjawab di PPR Sungai Bunos, Setapak, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 21 Jun - Tidur nyenyak penghuni flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bunos, Setapak di sini terganggu apabila berlaku kebakaran yang memusnahkan 13 buah motosikal di tempat letak motosikal flat itu awal pagi ini.
Kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu dipercayai akibat tindakan khianat individu tidak bertanggungjawab dan ia hanya disedari penghuni flat itu setelah api marak serta berlaku letupan.
Selain 13 buah motosikal itu, tiga lagi motosikal serta dua buah kereta jenis Toyota Grand Livina dan Proton Saga yang diletakkan berdekatan sebuah garaj di situ mengalami kerosakan kecil.

Rahsia pengantin baru terbongkar

Shafien Mamat (kanan) menunjukkan sebahagian barang hasil daripada kegiatan pecah rumah oleh suspek dan rakannya yang ditangkap pada sidang akhbar di Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.
NIBONG TEBAL 21 Jun - Seorang lelaki yang baru dua minggu berkahwin, mengaku kepada polis yang dia menggunakan wang RM10,000 hasil jenayah pecah rumah yang dilakukannya untuk berkahwin.
Rahsia pengantin lelaki berusia 26 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan sepasukan polis di rumahnya di Sungai Duri di sini pada pukul 5 pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, susulan penahanan lelaki itu, polis menahan rakannya berusia 23 tahun di Sungai Kasa pada pukul 11 malam hari yang sama.
"Modus operasi mereka adalah meronda dengan motosikal pada waktu siang dan akan melakukan pecah rumah pada waktu malam. Sasaran kumpulan ini adalah rumah kampung dan rumah tiada berpenghuni.

Dua beradik cedera didera kekasih ibu

MIRI 21 Jun - Dua beradik masing-masing berusia setahun dan empat tahun menjadi mangsa dera teman lelaki ibu kandung mereka sehingga mengakibatkan salah seorang daripada mereka patah tangan kanan.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dipercayai dilakukan oleh suspek berusia 20 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan. Difahamkan, penderaan itu berlaku sejak awal tahun ini.
Bagaimanapun, kira-kira pukul 6 petang kelmarin, kekejaman lelaki itu terhadap Juliana, 1, dan Rovin, 4, terbongkar apabila seorang ibu saudara melawat mereka di sebuah rumah sewa di Jalan Lapangan Terbang Miri di sini.
Ibu saudara mangsa yang berusia 17 tahun itu mendapati Juliana lebam pada beberapa bahagian badan termasuk pipi dipercayai akibat gigitan manakala Rovin pula patah tangan kanan.

2 penganggur direman bantu siasatan bunuh pemilik butik

SUNGAI PETANI 21 Jun - Dua penganggur ditahan reman bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pemilik butik perkahwinan yang ditemui mati di dalam longkang tepi Jalan Persiaran Ambangan Height di sini semalam.
Kedua-dua lelaki yang berusia lingkungan 20-an itu direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, suspek ditahan oleh sepasukan polis di sekitar bandar itu petang semalam.
"Suspek dikatakan mempunyai kaitan dengan kes bunuh itu. Siasatan awal dan laporan bedah siasat menunjukkan mangsa telah ditikam berdasarkan kesan yang ditemui pada leher dan dada," katanya ketika dihubungi hari ini.
Hashim memberitahu, polis juga tidak menolak kemungkinan motif kejadian berpunca daripada cemburu.

Lima lelaki berjudi dadu enam muka didenda RM1,000

KANGAR 21 Jun - Lima lelaki masing-masing didenda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana bermain judi dadu enam muka di sebuah bangsal di Utan Aji di sini pada awal bulan ini.

Tan Lee Hooi, 42, Hakimi Omar, 36, Shaharuddin Mat Kasa, 46, Nizam Ahmad, 42, dan Assari Md. Ali, 46, dijatuhi hukuman tersebut setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Zuhair Rosli.

Kesemua mereka didakwa bermain judi dadu tersebut dengan menggunakan wang sebagai pertaruhan di dalam sebuah bangsal di belakang rumah tidak bernombor di Kampung Binjai, Utan Aji kira-kira pukul 7.45 malam, 9 Jun lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 6(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Kilang perabot, 2 stor besi buruk musnah terbakar

Anggota Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran melibatkan sebuah kilang perabot dan premis menyimpan besi buruk di Taman Impian Ehsan, Balakong, semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 21 Jun - Sebuah kilang perabot dan dua premis menyimpan besi buruk di Taman Impian Ehsan, Balakong dekat sini musnah dalam satu kebakaran malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kebakaran yang disedari oleh orang ramai dipercayai bermula dari salah sebuah stor besi buruk tersebut.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Pegawai Bomba Kanan 1, Hamzah Shariff berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9 malam.
Menurut Hamzah, pihaknya yang tiba di tempat kejadian kira-kira 30 minit kemudian berjaya mengawal api daripada merebak ke tempat lain termasuk rumah-rumah di sekitar kilang tersebut.
...

Penghuni rumah panjang diselubungi ketakutan

SARATOK 21 Jun - Lebih 50 penduduk Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Roban di sini kini diselubungi ketakutan apabila buaya yang selama ini menjadi 'sebahagian' daripada kehidupan mereka mula mengganas sehingga mengorbankan seorang penghuninya, petang kelmarin.
Ini kerana, Sungai Anak dan Sungai Seblak yang menjadi habitat haiwan pemangsa itu merupakan nadi kehidupan seharian mereka sama ada untuk berulang alik ke Pekan Roban bagi mencari rezeki dan mandi.
Tinjauan Utusan Malaysia menggunakan sebuah perahu panjang dari pangkalan Pekan Roban ke rumah panjang berkenaan melalui Sungai Seblak sebelum memasuki Sungai Anak petang semalam mendapati lebih 10 ekor buaya dikesan berada di tebing dan gigi air.
Ironinya, di sepanjang sungai terbabit kelihatan beberapa kumpulan nelayan sibuk menjaring udang walaupun mengetahui risiko yang menanti mereka.

Pelajar terlantar selepas nahas

PASIR PUTEH 21 Jun - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman di sini, Sharif Ihkwan Md. Rosli, 15, yang terlantar selepas kemalangan jalan raya pada Februari lalu tidak pernah mendapat atau diberi perhatian oleh mana-mana pihak.

Lebih memeritkan, keluarga Sharif Ikhwan terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi di samping terpaksa berulang-alik ke hospital dengan kerap untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ibunya, Asiah Muhamad, 42, merasa rasa sedih setiap kali mengenang nasib anaknya apatah lagi ketika kejadian, pelajar tersebut dalam perjalanan ke sekolah dan lengkap berpakaian seragam.

"Akibat kemalangan itu, anak saya patah betis kiri, peha kanan, pergelangan tangan kanan selain dipercayai mengalami pendarahan otak, Sharif disahkan mengalami kecacatan kekal.

Stor rahsia terbongkar


Seorang anggota Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan memeriksa ubat-ubatan dalam stor rahsia di sebuah kedai ubat, Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 21 Jun - Taktik sebuah kedai ubat di Jalan Raja Alang di sini menyimpan ubat-ubatan tidak berdaftar serta beracun dalam sebuah stor rahsia bawah tanah berjaya dibongkar oleh Kementerian Kesihatan dalam satu serbuan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi malam tadi.
Dalam serbuan pukul 8 malam itu, pelbagai jenis produk kesihatan yang kebanyakannya ubat antibiotik dan antikulat dianggarkan bernilai RM200,000 dirampas dalam stor itu.
Operasi malam tadi turut memeriksa sebanyak 14 premis perniagaan dan tiga stor di sekitar Chow Kit hasil aduan dan maklumat daripada orang ramai mengenai penjualan ubat- ubatan yang status keselamatannya meragukan di kawasan itu.

Rugi RM27,000



         
KUALA LUMPUR: Percutian seorang guru bersama keluarga di ibu negara awal bulan lalu bertukar menjadi detik hitam selepas ditipu sindiket peraduan gores dan menang hingga terpaksa menanggung kerugian RM27,000.

Guru wanita berusia 30-an yang berasal dari Sarawak itu ditawarkan hadiah cabutan pertama sebuah tilam manakala sebuah kereta mewah pula dijanjikan sebagai hadiah utama.


Difahamkan, dia yang tidak mengesyaki akan ditipu, membuat bayaran tunai kepada individu yang membuat cabutan itu berjumlah RM19,000 sebelum bakinya diselesaikan melalui bayaran kad kredit.

Bagaimanapun, guru itu menyedari ditipu selepas hadiah yang dijanjikan tidak diterima malah talian telefon yang diberikan gagal dihubungi sebelum membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).


Perkara itu didedahkan Pengarah KPDNKK Wilayah, Abu Samah Shabudin dalam sidang media di pejabatnya semalam selepas berjaya menahan dua wanita berusia 19 dan 27 tahun dalam operasi gores dan menang di Terminal Bersepadu Tasik Selatan, kelmarin.


Dalam operasi yang disertai enam pegawai jam 2 petang itu, pihaknya turut merampas 40 keping kad gores dan menang termasuk 27 keping yang sudah digores.

“Kedua-dua suspek ini pernah ditahan April lalu, bagaimanapun mereka dibebaskan selepas keterangan diambil dan diberi amaran, namun kali ini tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka.


“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rakan mereka dalam kumpulan berkenaan yang sering bertukar lokasi kerana kegiatan itu dijalankan secara bergerak,” katanya.

Menurut Abu Samah, pihaknya sudah mengenal pasti 10 lokasi panas termasuk stesen komuter, Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorail yang dijadikan tumpuan kumpulan berkenaan.


Katanya, pihaknya sudah menerima 62 aduan berhubung penipuan peraduan gores dan menang bagi tahun ini membabitkan kerugian mencecah RM400,000.


“Mangsa terbaru seorang warga Singapura berusia 47 tahun yang ditipu sebanyak RM8,200 dan tampil membuat aduan kelmarin,” katanya.

Mangsa cinta tiga segi




         
SUNGAI PETANI: Cinta tiga segi dan cemburu dipercayai menjadi punca pembunuhan seorang pengusaha butik pengantin dan kecantikan berusia 23 tahun yang ditemui mati di atas motosikalnya dalam parit berhampiran Taman Amanjaya, dekat sini, pagi kelmarin.

Kes itu terbongkar selepas polis menahan dua lelaki berusia lingkungan 20-an dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu di rumah masing-masing sekitar daerah ini kelmarin, susulan penemuan mayat wanita berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kuala muda, Asisten Komisioner Hashim Ali mengesahkan penahanan kedua-dua suspek itu tetapi tidak mendedahkan maklumat lanjut.

“Kita tahan kedua-dua suspek itu semalam (kelmarin) dan kini ditahan reman tujuh hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan,” katanya.

Bisikan ghaib



CHEMOR: “Sejak kebelakangan ini, saya kerap diganggu bisikan suara ghaib memujuk saya membunuh diri,” kata Kamariah, 34, janda beranak empat yang mendakwa menjadi ‘hamba seks’ bapa saudara sendiri yang menggunakan ilmu hitam.

Kisah malang Kamariah dipaparkan akhbar Harian Metro Selasa lalu yang terkena penangan sihir dilakukan bapa saudara sendiri menyebabkan dia terpaksa tunduk dengan arahan lelaki itu termasuk menyerahkan wang puluhan ribu ringgit peninggalan arwah suami.


Malah, lelaki berkenaan turut membolot wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 milik empat anaknya berusia dua hingga 12 tahun selama hampir dua tahun.

Kamariah yang ditemui di sini semalam berkata, dia mengakui belum pulih sepenuhnya daripada pengaruh ilmu hitam itu malah, masih menjalani rawatan perubatan tradisional dan Islam.


Beliau berkata, dia turut sukar tidur hampir saban malam selain kerap diganggu bisikan suara halus menyebabkan hidupnya tidak tenteram serta berserabut.


“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana adik saya, Maya, 33, sering menemani dan menasihati saya supaya banyak bersabar. Dia banyak membantu saya menguruskan kedai makan bagi menyara kami sekeluarga.

“Kesibukan menguruskan kedai makan sedikit sebanyak mengelak saya daripada terus dihantui trauma akibat pengaruh ilmu hitam itu,” katanya.


Sementara itu, Maya berkata, dia berhenti kerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Singapura bagi menemani serta memulihkan emosi kakaknya itu.

Kamariah turut menerima kunjungan Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Daerah Kinta, Mohd Noor Ahmad serta Ketua Kampung Ulu Kuang, Mohd Latif Lop Mohamad petang semalam, yang simpati dengan masalah ibu tunggal berkenaan.


Mohd Noor ketika ditemui berkata, kunjungan itu bagi mendapatkan status sebenar wang bantuan diperolehi keempat-empat anak mangsa.


“Saya difahamkan, wang bantuan berkenaan sudah diterima sepenuhnya keluarga berkenaan sejak dua bulan lalu. Berdasarkan rekod kami, empat anak mangsa mula mendapat bantuan berkenaan sejak Oktober 2010.


“Selain itu, kami juga akan mempertimbangkan beberapa bantuan lain termasuk bagi mengembangkan perniagaan kedai makan diusahakan Kamariah dan adiknya,” katanya.

Meracau nak cari adik



POKOK SENA: “Nak cari adik saya... nak cari adik,” raung seorang pelajar perempuan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di sini, ketika meracau dipercayai akibat diserang histeria selepas menjalani latihan sukan, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, sekurang-kurangnya 20 pelajar diserang histeria selepas mereka menjalani latihan sukan acara olahraga.
Kejadian dikatakan bermula dengan seorang daripada mereka yang lalu di pos pengawal tiba-tiba jatuh pengsan sebelum sedar dalam keadaan meracau-racau.

Serangan histeria itu kemudian merebak ke bahagian kantin dan beberapa bahagian di sekolah berkenaan, membabitkan beberapa pelajar perempuan lain yang meracau dan tidak sedarkan diri.

Gurauan melampau



         
REMBAU: Tindakan seorang kerani sekolah mengacah dua murid dengan playar supaya tidak membuat bising disebabkan guru tiada dalam kelas, mengundang padah apabila seorang murid mendakwa kemaluannya cedera terkena alat pertukangan itu.

Menurut sumber, kejadian berlaku jam 9.40 pagi kelmarin apabila kerani lelaki berusia 34 tahun itu masuk ke kelas tahun lima sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini, untuk mengambil buku daftar kedatangan murid.
Difahamkan, ketika itu guru tiada di dalam kelas dan disebabkan keadaan terlalu bising, kerani itu meminta murid supaya diam tetapi tidak diendahkan.

“Niatnya untuk bergurau dengan menggunakan playar bagi menakut-nakutkan murid akhirnya mendatangkan kecederaan kepada seorang murid yang mendakwa buah zakarnya dikepit dengan alat itu,” katanya.

Belasah anak kekasih



         
MIRI: Bagaikan dirasuk iblis, seorang lelaki membelasah, memijak dan menggigit dua anak teman wanitanya berusia satu dan empat tahun sehingga seorang daripada mereka patah tangan dalam kejadian di sebuah bilik sewa di Jalan Lapangan Terbang Miri, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 3 petang itu dikatakan berpunca daripada perasaan marah lelaki terbabit yang juga seorang buruh kasar berusia 20 tahun, selepas kedua-dua kanak-kanak itu enggan tidur.
Suspek bukan saja memukul mangsa tanpa belas kasihan, malah turut menggigit badan budak perempuan berusia setahun itu sehingga luka serta lebam selain menghentak anak lelaki teman wanitanya yang berusia empat tahun hingga patah tangan kanan.

Difahamkan, ketika kejadian ibu kanak-kanak terbabit yang berusia 24 tahun tiada di rumah manakala bapa saudara mangsa berusia 15 tahun yang menyaksikan kejadian turut dipukul apabila dia cuba menghalang perbuatan suspek.

Keluarga bisnes dadah



         
KUALA LUMPUR: Rahsia kehidupan mewah tiga beranak terbongkar apabila mereka ditahan polis selepas menjadikan apartmen yang dihuni di Jalan Shelly, di sini, sebagai makmal memproses dadah, kelmarin.

Wanita berusia 58 tahun itu bersama anak lelaki berusia 25 tahun dan anak perempuan berusia 22 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, kira-kira jam 5 petang.
Menurut sumber, dalam serbuan itu polis turut merampas pelbagai bahan kimia, peralatan dan dadah siap diproses yang dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit, selain beberapa kereta mewah.

“Polis percaya apartmen itu dijadikan makmal memproses dadah sejak lebih empat bulan lalu untuk diedar di sekitar ibu kota,” katanya.

Selongkar cara masuk



         
KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa pihak berkuasa mengenal pasti dan menyiasat bagaimana pistol renjatan elektrik yang digunakan untuk kegiatan jenayah boleh diperoleh dan dibawa masuk ke negara ini.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penggunaan alat berkenaan sebagai senjata tidak boleh dipandang remeh apatah lagi hingga mengancam keselamatan dan nyawa orang awam.


“Nampaknya penjenayah semakin berani menggunakan pelbagai jenis alat untuk melakukan jenayah dan jika dulu mereka hanya menggunakan pisau, parang atau pistol tapi kini mereka beralih kepada pistol renjatan elektrik. Ia sesuatu yang harus dipandang serius.

“Jika alat seperti ini begitu mudah didapati maka makin mudahlah penjenayah melakukan kegiatan mereka, justeru, pihak berkuasa perlu siasat di mana alat ini diperoleh. “Kita juga tidak menolak kemungkinan barangan ini diseludup masuk ke negara ini dan digunakan orang tertentu untuk tujuan yang tidak baik,” katanya, semalam.


Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang wanita yang hamil empat bulan menggelupur sebelum pengsan apabila dicucuh dengan pistol renjatan elektrik oleh dua lelaki yang kemudian melarikan kenderaan pikap dinaiki mangsa dalam kejadian berhampiran Mahkamah Jalan Duta, di sini. Ketika kejadian kira-kira jam 10.15 pagi Isnin lalu, Hanee Ahmad Daud, 20, yang tidak sihat kerana alahan mengandung berbaring dalam pacuan empat roda Toyota Hilux itu sambil menunggu suaminya bekerja. Hanee berkata, ketika itu suaminya, Yusdi Ismail, 25, yang bekerja sebagai pekerja landskap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang memotong dahan pokok berhampiran tempat kejadian.


Menurutnya, tiba-tiba sebuah kereta Toyota Vios berwarna hitam dinaiki tiga lelaki berhenti di sebelah kenderaannya dan dua daripada mereka keluar lalu meluru masuk ke tempat duduk hadapan pikap berkenaan sebelum mencucuh alat itu di kakinya.

Lee berkata, pihak berkuasa perlu menentukan sama ada alat berkenaan dibenarkan dijual di negara ini sekiranya didapati ia terdapat di pasaran.

Pemilik boleh dipenjara sehingga lima tahun




         
KUALA LUMPUR: Polis masih menjalankan siasatan kejadian tiga lelaki melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda penyamun di Mahkamah Jalan Duta, di sini sehingga menyebabkan seorang wanita hamil empat bulan menggelupur sebelum pengsan apabila terkena pistol renjatan elektrik.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrass berkata, menjadi suatu kesalahan kepada individu yang memiliki pistol renjatan elektrik mengikut Akta Senjata Berbahaya Bahan Kakisan dan Bahan Melecur.


Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan mereka yang didapati memilik alat itu boleh didakwa mengikut akta berkenaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama lima tahun.

“Pistol renjatan elektrik ini tidak dijual di negara ini secara sah sebaliknya kebanyakan diseludup dari luar negara,” katanya mengulas mengenai kejadian samun membabitkan seorang wanita hamil yang terkena renjatan elektrik Isnin lalu.


Harian Metro semalam melaporkan mengenai mangsa yang hamil empat bulan menggelupur sebelum pengsan apabila dicucuh dengan pistol renjatan elektrik oleh dua lelaki yang kemudian melarikan kenderaan pikap dinaiki mangsa dalam kejadian berhampiran Mahkamah Jalan Duta, di sini. Ketika kejadian kira-kira jam 10.15 pagi Isnin lalu, Hanee Ahmad Daud, 20, yang tidak sihat kerana alahan mengandung berbaring dalam pacuan empat roda Toyota Hilux itu sambil menunggu suaminya bekerja. Hanee berkata, ketika itu suaminya, Yusdi Ismail, 25, yang bekerja sebagai pekerja landskap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang memotong dahan pokok berhampiran tempat kejadian sebelum tiba-tiba kereta Toyota Vios berhenti dan terus menyerang mangsa.

3 budak ke CIC bantu siasatan




         
TANAH MERAH: Tiga kanak-kanak berusia antara lima hingga enam tahun dihantar ke pusat temu duga kanak-kanak (CIC) di Pulau Pinang, kelmarin, bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang maut akibat tertembak pistol bapa saudaranya di Ketereh Jumaat lalu.

CIC diwujudkan sejak 2002 sebagai pusat di bawah kendalian Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi mengambil keterangan kanak-kanak.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, tiga kanak-kanak itu berada bersama mangsa ketika kejadian dan maklumat daripada mereka penting untuk melengkapkan siasatan.

“Tiga kanak-kanak itu ialah sepupu dan seorang rakan mangsa berusia antara lima hingga enam tahun.


“Polis akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu walaupun bapa mangsa, (Noor Hisham Abdul Aziz, 50) mendakwa dimaklumkan anggota Bahagian Forensik, bahawa siasatan awal yang dilakukan mendapati tiada kesan cap jari mangsa pada pistol.


“Saya ingin menegaskan bahawa polis tidak akan sewenang-wenangnya menerima sebarang laporan tanpa menjalankan siasatan secara terperinci, malah polis sedang mencari bukti bagaimana pistol itu diletupkan,” katanya kepada pada sidang media selepas selepas program ‘Walk About - High Profile Policing,’ di sini, semalam.

Turut hadir ialah , Pegawai Jajahan Tanah Merah, Zamri Ismail; Penasihat Kelab Sahabat Keselamatan Tanah Merah, Datuk Ir Shaari Hassan dan Ketua Polis Tanah Merah, Deputi Superintendan Abd Aziz Mahmud.

Sembunyi ubat



         
KUALA LUMPUR: Seorang pengimport ubat tradisional yang mengandungi bahan terlarang dari Indonesia sengaja menyembunyikan stok ubatnya itu dalam sebuah bilik khas bawah tanah di premisnya di Jalan Raja Bot, di sini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa malam kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Norita Noraini berkata, dalam serbuan bermula jam 8 malam itu, seramai 70 pegawai dan anggota CPF seluruh negeri termasuk Selangor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang melakukan pemeriksaan terhadap 14 peniaga ubat-ubatan dan kosmetik di sekitar Jalan Raja Bot.


Katanya, pihak CPF menyasarkan 14 premis perniagaan serta tiga stor penyimpanan ubat-ubatan berkenaan dalam serbuan itu.

“Terdapat dua kesalahan yang dilakukan pengusaha ubatan tradisional yang kebanyakan didominasi warga Indonesia ini, iaitu penjualan ubat-ubatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta penjualan racun berjadual secara terbuka.


“Sekiranya didapati bersalah, pengusaha boleh didenda RM25,000 bagi kesalahan pertama serta RM3,000 bagi kesalahan kedua,” katanya.


Norita berkata, serbuan seperti ini sudah kerap kali diadakan namun masih gagal menghentikan seratus peratus pengedaran produk tidak berdaftar serta beracun secara terbuka ini berikutan terdapat permintaan daripada masyarakat atau pelanggan.

Menurutnya, ini kali kedua kawasan berkenaan diserbu, bagaimanapun, penemuan stor bawah tanah dalam satu daripada 14 premis yang diserbu adalah sesuatu penemuan baharu.


“Berdasarkan jumlah stok yang banyak terdapat di dalam stor bawah tanah itu yang dianggarkan lebih RM200,000, kita percaya pengusaha premis berkenaan bertindak sebagai pembekal kepada pengusaha di Jalan Raja Bot,” katanya.

Zarina dijangka tiba hari ini




         
BANDA ACEH: Proses penyediaan dokumen dan surat berkaitan untuk membawa pulang Zarina Othman, 47, yang ditempatkan di Rumah Sakit Jiwa Banda Aceh hampir tiga bulan lalu berjalan lancar dan dia dijangka tiba di tanah air, hari ini.

Setiausaha Agung Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M), Abdul Khalid Chairul berkata, segala prosedur yang perlu dipatuhi untuk membolehkan wanita itu dibawa pulang selesai selain kebenaran meninggalkan negara ini dikeluarkan Imigrasi Indonesia.


Katanya, ini disahkan sendiri Timbalan Ketua Imigrasi Banda Aceh, Herfi Aoli SH ketika pertemuan yang turut disertai Naib Konsul Malaysia di Medan, Ismail Ali semalam sekali gus memenuhi impian keluarganya untuk membawanya pulang semula ke Malaysia.

“Setakat ini, semuanya lancar dan kami membuat persiapan terakhir untuk berlepas ke tanah air. Keadaan kesihatan Zarina dilaporkan baik dan dia lebih ceria apabila mengetahui akan kembali ke pangkuan keluarga. Minta doakan semuanya selamat,” katanya yang tiba bersama rombongan media dari Malaysia, kelmarin.


Abdul Khalid berkata, KP1M berterima kasih kepada kerajaan Indonesia yang membantu memudahkan proses itu sejak dimulakan tiga minggu lalu khususnya imigrasi kerana mengambil kira faktor kesihatan Zarina.


Menurutnya, keprihatinan agensi itu yang menghubungi pejabat Konsular di Medan juga membolehkan waris Zarina dikesan dalam masa singkat dan proses membawanya pulang diuruskan segera.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya meminta jasa baik Imigrasi Indonesia mempertimbangkan permohonan keluarga Zarina kerana dia mengalami masalah kesihatan dan perlu menerima rawatan susulan termasuk perhatian keluarga di Malaysia.


“Kami dapati wujud keperluan itu dan hasil pemeriksaan ke atas Zarina mendapati dia boleh dirawat. Justeru, menerusi hubungan antara kerajaan, kami memohon dia diberi pertimbangan. Alhamdulillah mereka memahami situasi ini,” katanya.

Mengulas perkembangan lain, Ismail berkata, ini kali pertama pihaknya menerima kes membabitkan penyakit mental kerana rekod sedia ada menunjukkan banyak kes membabitkan penyalahgunaan dadah di kalangan rakyat negara kita di Medan dan Aceh.

Kedai jual jam tangan tiruan diserbu PPDNKK




         
PERAI: Sebuah kedai menjual jam tangan tiruan pelbagai jenama diserbu sepasukan pegawai penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pulau Pinang dalam operasi di Jalan Perai 3 di sini semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, PPDNKK merampas 740 utas jam tangan tiruan pelbagai jenama bernilai kira-kira RM3,700.


Ketua Cawangan PPDNKK Seberang Perai Tengah (SPT), Md Nasir Mohamad berkata, pihaknya merampas 350 utas jam tangan jenama Adidas, 350 utas jam tangan jenama Nike dan 40 utas lagi jenama Louis Vuitton.

Menurutnya, pihaknya sudah melakukan risikan dan intipan sejak seminggu lalu sebelum membuat serbuan berkenaan.


“Kita percaya premis ini sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan membekalkan jam tiruan kepada peniaga pasar malam di sekitar negeri ini.


“Siasatan awal mendapati pelbagai jenama jam tiruan ini dijual serendah RM2 secara borong kepada peniaga sebelum dijual pada harga tertentu di pasaran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Md Nasir berkata, pihaknya menahan dua wanita berusia 20-an yang bekerja di premis berkenaan bagi membantu siasatan.


Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000.

Pesakit kanser leher terjun tingkat 3 wad




         
GEORGETOWN: Tidak tahan menanggung penderitaan kerana barah leher dialaminya, seorang lelaki warga emas nekad terjun dari tingkat tiga Wad C 15, Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, awal pagi semalam.

Tan Jit Wan, 68, sudah seminggu berada di HPP untuk menjalani rawatan penyakit dialaminya itu dan dia dikatakan pernah mengadu kepada doktor serta jururawat kerana tidak tahan menanggung sakit.


Bagaimanapun, kira-kira jam 2.30 pagi semalam, mangsa yang dilihat murung dan termenung di tepi tingkap berhampiran katilnya, terjun melalui tingkap itu.

Pengawal keselamatan, Sarina Maidin, 50-an berkata, dia terdengar bunyi objek terhempas sebelum meninjau di lokasi kejadian.


“Saya terkejut mendapati tubuh seorang lelaki dengan kesan darah di kepalanya sebelum menghubungi polis,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komsioner Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati mangsa terjun kerana tidak tahan menanggung penderitaan akibat penyakit dialaminya itu.

“Mangsa sebelum ini pernah menceritakan kepada doktor serta jururawat yang dia tidak dapat menahan penderitaan akibat kanser leher dialaminya itu.


“Selain itu, mangsa juga dilihat kerap termenung di tepi tingkap dan semalam, dia akhirnya nekad terjun dari tingkat tiga dan mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Difahamkan, ketika itu ada beberapa pesakit ternampak mangsa yang cuba terjun namun mereka tidak sempat menghalangnya kerana kejadian berlaku dengan pantas.


Kes itu adalah kejadian kali kedua membabitkan pesakit terjun di tingkat tiga wad C15 kerana tidak tahan menanggung azab penyakit dialami.


Mei lalu, seorang penghidap penyakit batuk kering yang juga seorang lelaki warga emas, R Tanchavarnam, 68, turut mengambil jalan mudah menamatkan riwayatnya dengan terjun dari tingkap.