SHAH ALAM - Disangkakan dermawan rupanya haji penipu, apabila sanggup menipu pasangan suami isteri Zanery Adam dan Adiana Othman yang mempunyai tiga anak yang menghidap penyakit kronik.
Adiana berkata, mereka sekeluarga sama sekali tidak menyangka akan ditipu dengan individu yang namakan diri sebagai ‘Haji Latip’ itu.
“Dia menelefon saya dua hari lalu, memberitahu yang dia berasal dari Brunei, prihatin dengan nasib kami sekeluarga dan ingin menghulurkan bantuan AS$5000.
“Bagaimanapun, sehari kemudian dia memberitahu wang itu tidak dapat dikirimkan kerana ada masalah dengan pihak bank dan meminta kami memasukkan duit sebanyak RM220 bagi membolehkan transaksi dibuat ke akaun saya.
“Percaya dengan apa yang dikatakan itu, suami saya terus memasukkan wang yang diminta, bagaimanapun setelah melihat akaun, saya lihat wang yang dijanjikan masih belum dimasukkan,” katanya.
Menurut Adiana, perasaannya sudah tidak sedap hati bagaimanapun meyakinkan diri, itu rezeki untuk anak-anaknya bagi membolehkan mereka mendapat rawatan yang terbaik.

Namun, semalam, sekali lagi Adiana dihubungi ‘haji’ berkenaan dan meminta untuk dia memasukkan lagi duit sebanyak RM240 kerana masih mempunyai masalah.

“Saya mulai rasa tidak sedap hati dan minta suami saya pergi ke bank dan bertanya kepada pihak berkenaan betul atau tidak bayaran yang dibuat.

“Malangnya pihak bank memberitahu kami ditipu dan menasihatkan untuk segera membuat laporan polis,” katanya.
Adiana ketika dihubungi petang semalam memberitahu akan membuat laporan itu di balai polis berdekatan.
Beliau yang kecewa dengan apa yang berlaku menganggap itu sebagai satu pengajaran berharga buatnya.
Anak sulung pasangan ini Nurul Huda, 12, menghidap penyakit tiroid tahap empat, manakala, anak kedua mereka Muhammad Amir, 11, menghidap dua penyakit dikenali saraf tunjang kongenital dan masalah kawalan ke atas saluran kencing serta kawalan ke tandas.
Sementara anak bongsunya, Nurul Fatihah, 8 , disahkan menghidap kanser tulang dan perlu menjalani pembedahan segera.