Search This Blog

Tuesday, June 19, 2012

Anggota JI Zulkifli Hir dipercayai masih hidup tapi cedera parah


JOHOR BAHRU - Ahli kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) kelahiran Muar, Zulkifli Hir, yang didakwa terbunuh dalam serangan udara tentera Filipina Februari lepas, dipercayai masih hidup tetapi cedera parah.


Menurut sumber perisikan serantau, Zulkifli yang lebih dikenali dengan nama samarannya, 'Marwan', kini disembunyikan kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Jolo dengan kawalan keselamatan yang ketat.


Sumber itu, yang enggan mendedahkan dirinya disebabkan maklumat tersebut amat sensitif, juga berkata kumpulan Abu Sayyaf yang melindungi Zulkifli kerap berpindah daripada satu lokasi ke lokasi lain bagi mengelak dikesan.


"Mereka (kumpulan Abu Sayyaf) kerap berpindah kerana tekanan yang amat kuat (daripada tentera Filipina yang dibantu tentera Amerika Syarikat)," katanya. - Bernama

Pencuri radiator maut jatuh siling

Pencuri radiator maut jatuh siling
Mayat pencuri radiator yang ditemui tertiarap dalam keadaan berlumuran darah, semalam.
KUALA LUMPUR – Cubaan seorang lelaki mencuri radiator di sebuah kilang membawa padah apabila dia ditemui mati dipercayai akibat terjatuh dari siling kilang terbabit di Jalan 15 Taman Wahyu, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mayat lelaki terbabit ditemui pemilik kilang yang hendak membuka premis untuk menjalankan rutin harian.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring bersama empat radiator di sisinya.

“Mangsa berusia 37 tahun itu mati di tempat kejadian, selepas gagal melarikan radiator terbabit,” katanya, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

H1N1: 65 pelatih Kem Dusun Resort masih dikuarantin

KUALA NERANG - Seramai 63 pelatih Program Khidmat Negara (PLKN) kem Dusun Resort, di sini masih dikuarantin manakala dua lagi masih dirawat di Hospital Kuala Nerang akibat jangkitan virus influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata bilangan pelatih yang dikuarantin berkurangan berbanding jumlah asal 78 orang.

"Saya yakin dalam masa terdekat dua pelatih (perempuan) yang dirawat di hospital akan dibenar pulang, manakala 63 pelatih dikuarantin dalam blok khas dalam kem.

"Pelatih-pelatih yang diasingkan melakukan aktiviti sesama mereka sahaja.

Mereka rehat, makan dan mempunyai ubat yang secukupnya," katanya kepada pemberita pada lawatan kerja Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), di kem Dusun
Resort di sini hari ini.

Terdapat 303 pelatih sedang menjalani latihan PLKN di kem Dusun Resort yang akan berakhir 14 Julai ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata semua aktiviti luar akan dibatal jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, manakala jika IPU antara 95 hingga 99 pelatih perlu memakai topeng muka dan aktiviti luar akan dikurangkan. - Bernama

Pejabat Nizar digeledah

Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin
Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin
Pejabat Pas Negeri di Medan Istana antara yang digeledah.
Pejabat Pas Negeri di Medan Istana antara yang digeledah.
IPOH – Tiga pejabat operasi Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masing-masing di Ipoh, Bukit Gantang dan Pasir Panjang digeledah polis Johor, semalam.

Sinar Harian dimaklumkan, operasi yang bermula kirakira jam 11.30 pagi itu dibuat di Pejabat Pas Negeri, di sini, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Taiping dan Pusat Khidmat Dun Pasir Panjang, Lumut.
Turut menerima situasi sama, kediaman Ahli Parlimen Bukit Gantang itu di Sungai Rokam di sini, bagaimanapun tiada sebarang serbuan dilakukan berikutan ketiadaan Mohammad Nizar di rumah berkenaan.
Jurucakap Pas Perak, Safarizal Saleh ketika dihubungi berkata, sepasukan polis berkenaan hadir bersama waran kebenaran daripada mahkamah yang menyatakan serbuan dibuat di lokasi berkaitan bagi mencari bahan bukti.

Bagaimanapun menurutnya, kehadiran pasukan itu yang menjalankan operasi secara serentak di empat kawasan berkenaan agak mengejutkan kerana tiada makluman awal dibuat.
“Sepanjang penyiasatan itu berlangsung, kita memberikan kerjasama yang baik, malah beberapa peguam kita turut serta dalam operasi berkenaan.

“Saya dimaklumkan, operasi mengambil masa antara 30 hingga 45 minit, namun tidak dapat dipastikan sama ada bahan bukti yang dicari dijumpai atau tidak,” katanya yang memaklumkan, tiada sebarang soal siasat dijalankan membabitkan kakitangan di tiga pejabat operasi berkenaan.

Safarizal berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penyiasatan yang dilakukan, semalam berkaitan dengan isu mesej Twitter Mohammad Nizar berhubung keputusan bidaan nombor pendaftaran WWW 1.

Menurutnya, apa juga keadaan yang berlaku sekarang, beliau berharap siasatan yang dilakukan itu berjalan dengan baik. “Meskipun didatangi secara mengejut, kita sudah berikan kerjasama, harap apa yang mereka lakukan hari ini (semalam) bukan bertujuan untuk memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Ketika serbuan dijalankan semalam, Mohammad Nizar masih berada di Parlimen dan hanya mengetahui situasi berkenaan setelah dihubungi salah seorang anaknya yang memaklumkan terdapat beberapa anggota polis membuat rondaan di sekitar kediamannya di Sungai Rokam, di sini.

Sementara itu, di Johor, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff sewaktu dihubungi enggan mengulas berhubung perkara tersebut.

Telan 99 ketulan kapsul syabu

KUALA LUMPUR – Taktik seorang warga Nigeria yang cuba membawa masuk dadah ke negara ini dengan menelan 99 ketulan kapsul dadah jenis syabu gagal, selepas polis berjaya menahannya di Lapangan Terbang  Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.
Suspek yang berusia 35 tahun itu baru tiba dari Dubai dan disyaki menelan dadah selepas pemeriksaan daripada hospital.

Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, setakat ini, 99 ketul kapsul dadah berjaya dikeluarkan dan dipercayai masih ada saki baki dalam perut suspek.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek masuk ke negara ini sebanyak dua kali.

“Kita berjaya merampas dadah seberat 1.6 kilogram bersama suspek dan nilai rampasan dianggarkan RM330, 600.
“Suspek di tahan reman sehingga 21 Jun ini untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, semalam.

Tak dibenar bawa senjata api ke rumah

KUALA LUMPUR: Terdapat prosedur ketat yang perlu dipatuhi setiap pegawai dan anggota polis dalam pengendalian senjata api termasuk tidak dibenarkan membawa pulang ke rumah tamat waktu bertugas bagi mengelak sebarang kejadian tembak atau tertembak sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.
Bagaimanapun dalam keadaan tertentu, pegawai atau anggota polis dibenarkan membawa senjata api walaupun di luar waktu tugasan rasmi terutamanya dari Unit Tindakan Khas (UTK), Cawangan Khas dan Narkotik.

Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, prosedur dan peraturan mengenai keselamatan senjata api dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang ada, antaranya mana-mana pegawai dan anggota polis dikehendaki menyerahkan semula senjata api apabila tamat waktu bertugas.
“Memang semua pegawai dan anggota polis tertakluk pada beberapa panduan yang perlu dipatuhi berhubung pengurusan senjata api bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku hingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian. “Pegawai atau anggota polis juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga senjata api mereka dan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Cari pasal tukar saluran TV

CEKUP...anggota polis menahan suspek yang cuba melarikan diri selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Naning,  kelmarin.
CEKUP...anggota polis menahan suspek yang cuba melarikan diri selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Naning, kelmarin.
GEORGETOWN: Akibat menukar saluran televisyen (TV) ketika perlawanan bola sepak Euro 2012 berlangsung, seorang lelaki cedera dipukul pelanggan lain di sebuah pusat hiburan di Lebuh Naning, di sini, yang tidak puas hati dengan tindakan lelaki itu, pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.10 pagi itu, lelaki berusia 30-an terbabit menukar saluran televisyen ketika perlawanan di antara pasukan Russia dan Greece, menyebabkan pengunjung pusat hiburan itu tidak berpuas hati.
Jurucakap polis berkata, berlaku pertengkaran antara lelaki berkenaan dengan beberapa pengunjung sehingga tercetus pergaduhan yang berlarutan hingga ke luar pusat hiburan terbabit.

Menurutnya polis yang dimaklumkan kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan berjaya meleraikan pergaduhan berkenaan.

Tawanan santau

ADU...Kamariah menceritakan kejadian menimpanya kepada wartawan.
ADU...Kamariah menceritakan kejadian menimpanya kepada wartawan.
CHEMOR: Seorang janda beranak empat bukan saja menjadi ‘hamba seks’ bapa saudara sendiri selama hampir dua tahun, malah puluhan ribu ringgit wang peninggalan arwah suaminya serta wang bantuan kebajikan empat anaknya turut dibolot lelaki terbabit yang dipercayai ‘menakluk’ wanita itu dengan ilmu hitam.
Janda berusia 34 tahun dikenali sebagai Kamariah, mendakwa dia seperti lembu dicucuk hidung apabila mengikut segala arahan bapa saudaranya itu termasuk mengadakan hubungan seks dengan lelaki itu serta menyerahkan wang simpanannya.
“Dia (bapa saudara) mengawal wang ditinggalkan bekas suami termasuk wang bantuan anak berjumlah RM400 sebulan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Hidup saya umpama mayat hidup selama hampir dua tahun dipercayai terkena ilmu guna-guna itu menyebabkan saya beberapa kali hampir membunuh diri selain mengabaikan makan minum empat anak berusia antara dua dan 12 tahun,” katanya yang kini menjalani rawatan bagi membuang kesan ilmu hitam berkenaan.

Alam Flora dikena penalti RM1.7 juta gagal laksana tugas

SYARIKAT Alam Flora Sdn Bhd dikenakan penalti lebih RM1.7 juta untuk tempoh September 2011 hingga April lalu kerana gagal melaksanakan tugas seperti termaktub dalam perjanjian konsesi yang dipersetujui bersama sebelum ini.
Sambil menegaskan kerajaan serius terhadap perkara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, syarikat utiliti itu dikenakan tindakan kerana gagal melaksanakan tanggungjawab dalam perkhidmatan pemungutan sisa pepejal dan pembersihan awam.

“Syarikat berkenaan perlu patuh jadual serta frekuensi pemungutan yang ditetapkan dan jika gagal, kementerian akan ambil tindakan tegas.
“Kita memandang serius kualiti kerja yang dijalankan syarikat berkenaan dalam menyelenggara kebersihan dan memungut sampah,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Zulhasnan Rafique (BN-Setiawangsa) di Dewan Rakyat, semalam.

Zulhasnan mahu penjelasan berhubung isu kawal selia Alam Flora yang sering dipertikai dan apakah tindakan dikenakan supaya perkhidmatan syarikat itu diperbaiki dan dipertingkat pada masa hadapan. Chor berkata, kementerian melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) membuat pemantauan bagi kerja yang dibuat syarikat konsesi yang dilantik.
Beliau berkata, seramai 1,650 pegawai penguat kuasa seluruh Semenanjung membuat rondaan setiap hari di setiap kawasan di bawah selenggaraan syarikat konsesi.

“Bagi penambahbaikan perkhidmatan di kawasan perumahan pangsapuri, PPSPPA mengedarkan jadual kutipan kepada persatuan penduduk untuk membincangkan penambahbaikan perkhidmatan.
“Perbadanan akan menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan persatuan penduduk di Kuala Lumpur seperti mana yang dilaksana di Johor bagi memastikan kedua-dua pihak memberi komitmen masing-masing,” katanya.

Berhubung Selangor, Chor berkata, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam hanya akan dapat ditingkat sekiranya negeri itu bersetuju menerima Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan penswastaan penuh perkhidmatan berkenaan.

Padah mulut celupar

KUALA LUMPUR: Bermulut celupar, cinta tidak berbalas, persaingan dan perasaan dengki menjadi antara penyebab segelintir golongan artis terkenal menjadi mangsa sihir sesama sendiri sehingga mengakibatkan ada di kalangan mereka hidup menderita.
Mendedahkan perkara itu, Pengasas dan Pakar Spiritual Yashfien Herbs Sdn Bhd, Datuk Engku Ansaruddin Agus berkata, disebabkan sihir, ada di kalangan artis yang menemuinya hilang suara, hilang ingatan dan membenci suami. 
“Sihir tidak mengenal sesiapa, angkara jin laknat, manusia tanpa mengenal status sama ada menteri, artis sehinggalah orang biasa boleh menjadi mangsa.

“Seseorang mudah terkena sihir kerana lemah fizikal, semangat dan iman menyebabkan jin mengambil kesempatan merosakkan anak Adam,” katanya yang ditemui semalam.

Ugut simbah asid sebelum samun

KUALA LUMPUR: Sekumpulan empat penyamun berusia 30-an dikesan menggunakan asid bagi menakutkan mangsa sebelum bertindak menyamun mereka.
Modus operandi kumpulan itu ialah menghampiri mana-mana wanita yang bersendirian sebelum menunjukkan botol berisi asid dan mengugut untuk menyimbah ke wajah mangsa sebelum memaksa masuk ke dalam kereta. 
Difahamkan, kejadian samun seumpama itu adalah pertama kali dilaporkan berlaku.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 6 petang kelmarin, di sebuah kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul, di sini, seorang wanita berusia 30-an kerugian lebih RM5,000 selepas disamun kumpulan berkenaan.

Mati dihempap radiator curi

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut dipercayai dihempap radiator yang dicurinya selepas terjatuh dari siling sebuah kilang kotak dalam kejadian di Taman Wahyu, di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa yang berusia 37 tahun itu mengalami kecederaan serius di kepala dan maut di tempat kejadian selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter.

Lelaki itu dipercayai memanjat siling kilang kotak berkenaan untuk memecah masuk kilang menjual alat kenderaan terpakai yang terletak bersebelahan.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mayat lelaki terbabit ditemui pemilik kilang berkenaan sebelum memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, sepasukan polis tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit selepas dimaklumkan pemilik kilang berkenaan penemuan mayat itu.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kita mendapati mayat lelaki itu lengkap berpakaian dalam keadaan tertiarap,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, berdasarkan kesan dan pemeriksaan di lokasi kejadian, lelaki terbabit dipercayai menggunakan siling sebagai laluan untuk masuk dan keluar bagi mencuri barangan di dalam kilang itu.

“Berdasarkan pemeriksaan awal, kita (polis) percaya lelaki berkenaan dalam perjalanan keluar dari bangunan sebelum terjatuh.
“Pemeriksaan juga menemui empat radiator di sisi mangsa yang dipercayai dicuri,” katanya.

Zakaria berkata, berdasarkan penemuan mayat itu, polis percaya lelaki terbabit sudah mati sejak dua hari lalu sebelum ditemui pemilik kilang berkenaan, semalam.

“Mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kesal dakwaan mentua

TUMPAT: “Saya terkilan atas tuduhan itu yang mendakwa saya memukul arwah hingga menyebabkan kuburnya terpaksa digali semula Sabtu lalu,” kata Mohd Azdi Daud, 38. Suami kepada seorang guru, Balkis Shamsuddin, 40, itu meluahkan rasa kesal terhadap keluarga mentuanya yang melemparkan dakwaan berkenaan.
Menurutnya, dia tidak menyangka apabila mereka turut membuat laporan polis mengatakan isterinya meninggal kerana dipukul olehnya.

“Ketika kematian isteri, saya tiada di rumah kerana menghadiri kursus di Kuala Terengganu,” katanya.
Menurutnya, dia lega apabila hasil bedah siasat yang dilakukan polis mengesahkan isterinya meninggal akibat sakit jantung.

Gurauan mati jadi kenyataan

PASIR PUTEH: “Malam semalam (kelmarin) dia tanya sambil bergurau, adakah saya akan berkahwin lain jika dia meninggal dunia.
“Saya tidak sangka gurauan itu menjadi petanda dia akan pergi buat selamanya,” kata Rokiah Ibrahim, 45, apabila suaminya, Zulfelkeri Johan, 52, maut dalam kemalangan membabitkan dua lori dalam kejadian di simpang tiga Tok Bali, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang juga pemborong sayur menaiki lori satu tan dipandu rakannya, Abdul Bahrin Yaacob, 31, sebelum kenderaan mereka bertembung dengan sebuah lori lima tan yang cuba memasuki simpang.
Kejadian itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

Rokiah berkata, arwah sempat berbual bersama sambil bercakap mengenai kematian dengannya.

Katanya, dia tidak mengambil serius mengenai perbualan arwah, namun menjawab tidak akan berkahwin lain sekiranya suaminya itu sudah tiada.
“Namun, saya terkejut gurauan itu membawa kepada berita buruk apabila dimaklumkan mengenai kemalangan ini,” katanya.

Katanya, suaminya keluar dari rumah mereka di Pasir Tumboh kira-kira jam 5 pagi untuk menghantar bekalan sayur di Kuala Terengganu.
“Saya tersentak selepas menerima panggilan daripada polis yang memaklumkan suami terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Anis (HTA), di sini.

Rakan mangsa, Abdul Bahrin turut cedera parah dalam kejadian itu dan dihantar ke hospital sama, manakala seorang lagi pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Renjatan elektrik dera kontraktor

KUALA LUMPUR: “Seluruh tubuh menjadi lemah selepas direnjat menggunakan alat renjatan elektrik itu lebih lima kali. Malah, ketika dipukul dengan gari, saya tidak lagi mampu bergerak mahupun berkata-kata,” kata Leoni, 47.
Leoni yang bekerja sebagai kontraktor berkata demikian ketika mengulas tindakan dua lelaki yang menderanya selepas enggan meneruskan kerja pengubahsuaian rumah seorang daripada suspek secara percuma dalam kejadian bermula kira-kira jam 6.30 petang, Jumaat lalu.

Menurut Leoni, dia diperlakukan kejam oleh dua suspek berusia 30-an hampir tujuh jam sebelum ditinggalkan di bahu jalan berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini kira-kira jam 1 pagi.
Bercerita lanjut mengenai kejadian itu, Leoni berkata, dia yang melakukan pengubahsuaian sebuah rumah milik seorang daripada suspek sejak sebulan lalu enggan meneruskan kerjanya itu selepas lelaki terbabit tidak mahu membuat bayaran seperti dijanjikan.

“Mengikut perjanjian asal, saya akan dibayar RM2,500 sebagai bayaran pendahuluan malangnya selepas sudah melakukan kerja ubah suai hampir 30 peratus, lelaki itu masih gagal untuk membayar wang berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Leoni, dia bagaimanapun dihubungi seorang lelaki yang mendakwa mahu bertemu dengannya di kawasan PWTC yang pada mulanya menyamar sebagai pelanggan yang juga mahu melakukan pengubahsuaian.
“Bagaimanapun, ketika bertemu dengan lelaki terbabit, dia mendapati bekas pelanggannya yang gagal melunaskan bayaran untuk pengubahsuaian rumahnya juga berada di sana.

“Ketika itu, barulah saya sedar lelaki terbabit menggunakan rakannya cuba untuk memerangkap saya,” katanya memberitahu mereka kemudiannya merampas barangan berharga miliknya seperti telefon bimbit dan wang tunai RM3,500.
Katanya, dua suspek itu juga kemudian menghubungi rakan kongsinya untuk meminta wang berjumlah RM4,000 sebagai wang tebusan bagi membebaskannya.

“Keengganan rakan saya menuruti kehendak mereka menyebabkan kumpulan itu mula bertindak ganas. Saya diberi renjatan eletrik selain dipukul dengan gari,” katanya memberitahu ketika diperlakukan demikian, dua tangannya diikat.

Dua suspek kemudiannya meninggalkan Leoni di bahu jalan berhampiran PWTC selepas kumpulan terbabit mendapati dia sudah lemah.

Dengan bantuan orang ramai Leoni kemudiannya dibawa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk tindakan lanjut sebelum diberikan rawatan di sebuah hospital di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Kerajaan negeri gagal ketepi saman Orang Asli

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor dan dua pihak lain gagal mengetepikan saman masyarakat Orang Asli kaum Temuan untuk mengisytiharkan tanah seluas 7,160 hektar di Mukim Tanjung Duabelas, Kuala Langat dekat sini, sebagai tanah warisan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Prasad Sandosham Abraham membuat keputusan itu pada prosiding dalam kamar, semalam. Dengan keputusan itu, perbicaraan saman itu akan diteruskan pada satu tarikh yang ditetapkan kelak. Pada Julai tahun lalu, penghulu masyarakat Orang Asli kaum Temuan, Malam anak Gerchang, 68, dan dua anak lelakinya, Dewi, 52, dan Jafrin, 41, yang mewakili kira-kira 4,000 penduduk Orang Asli di Mukim Tanjung Duabelas, memfailkan writ saman bagi memohon, antaranya, deklarasi bahawa tanah berkenaan adalah kepunyaan dan milik Orang Asli kaum Temuan.

Ketiga-tiga plaintif itu menamakan kerajaan negeri Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat dan syarikat pengurusan pasir Kumpulan Semesta Sdn Bhd sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, Mukim Tanjung Duabelas diisytiharkan sebagai Hutan Rizab Kuala Langat Utara melalui satu warta kerajaan F M S bertarikh 13 Mei 1927 yang mengandungi, antaranya, hak keistimewaan dan kepentingan khas diberi kepada penduduk Orang Asli.

Plaintif mendakwa, hartanah seluas 7,160 hektar itu dijadikan sebagai kawasan rizab Orang Asli dan ia diwariskan kepada lebih 4,000 penduduk kaum Temuan sejak kira-kira 200 tahun dulu.

‘Mata-mata’ OKU dicekup lagi

TANJUNG KARANG: Walaupun sudah ditahan Januari lalu, seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) masih tidak serik untuk menjadi ‘tonto’ pusat perjudian haram apabila dia ditahan lagi di sebuah premis di Jalan Jeti Baru, di sini, petang kelmarin.
Lelaki yang cacat tangan kanan berusia 44 tahun itu dikatakan sanggup mengambil risiko itu hanya kerana mahukan upah RM30 sehari untuk menjadi ‘mata dan telinga’ pusat perjudian berkenaan selain turut dibekalkan ‘walkie-talkie’ bagi mengawasi kawasan itu.

Namun, tindakan licik lelaki terbabit gagal apabila dia bersama sembilan kaki judi berusia 45 hingga 65 tahun ditahan dalam ‘Ops Dadu’ oleh sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira jam 5 petang kelmarin.
Ketua Cawangan D7 Selangor, Asisten Superintendan, Adzli Abu Shah yang mengetuai serbuan itu berkata, polis turut merampas wang tunai RM19,500, satu ‘walkie-talkie’ dan beberapa peralatan perjudian dalam serbuan itu.

“Dianggarkan seramai 28 kaki judi berada dalam premis itu, namun ada yang melarikan diri termasuk terjun ke dalam sungai berhampiran dan berenang ke kawasan hutan bakau,” katanya.

Adzli berkata, pihaknya menjalankan intipan selama sebulan sebelum mengadakan serbuan dan kegiatan judi itu digelar perjudian pasar malam oleh kaki judi berikutan dijalankan secara terbuka seolah-olah urusniaga di pasar malam.
Katanya, ada kaki judi yang sanggup datang dari Seremban, Banting dan Kuala Lumpur semata-mata untuk berjudi di situ.

Semua suspek yang juga warga tempatan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sayu lihat tangisan ibu

IKUT EMOSI...remaja ditahan selepas membatalkan niatnya terjun bangunan.
IKUT EMOSI...remaja ditahan selepas membatalkan niatnya terjun bangunan.
KUCHING: Seorang remaja lelaki membatalkan niat terjun dari tingkat tiga bangunan empat tingkat selepas melihat kelibat ibu dan bapanya yang menangis selain merayu dia tidak meneruskan tindakan berkenaan di Chong Ling Park, Jalan Tabuan, di sini, kelmarin.
Difahamkan, kejadian jam 8 malam berlaku apabila remaja berusia 18 tahun yang bekerja di rumah urut berdekatan mengambil tindakan nekad itu selepas berdepan tekanan perasaan akibat masalah keluarga.

Menurut sumber, perbuatan remaja terbabit dilihat orang ramai sebelum menghubungi polis.
“Remaja terbabit menyewa di bilik di bangunan berkenaan, duduk di tepi tingkap, seolah-olah mahu terjun.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan, polis mendapatkan bantuan bomba dan penyelamat bagi memujuk remaja berkenaan.

“Apabila semua usaha buntu, polis terpaksa menghubungi keluarga remaja itu sebelum ibu dan bapa lelaki itu tiba beberapa minit kemudian,” katanya.
Katanya, dalam keadaan menangis, pasangan suami isteri itu kemudian kemudian bergegas ke tingkat tiga bagi memujuk anak mereka itu supaya tidak meneruskan perbuatan itu.

“Usaha dan pujukan pasangan itu membuahkan hasil apabila remaja terbabit membatalkan niat sambil meluru memeluk kedua ibu dan bapanya,” katanya.
Beliau berkata, remaja terbabit dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Pesawat Pakistan diperiksa disyaki bawa pengganas

KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat Airbus 310 milik syarikat penerbangan Pakistan diarahkan menjalani pemeriksaan rapi sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kelmarin selepas polis menerima maklumat pesawat itu membawa penumpang disyaki pengganas. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, pesawat itu yang baru tiba dari Karachi, dipindahkan ke ruang khas berhampiran Terminal Satelit untuk pemeriksaan menyeluruh oleh Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman yang dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima maklumat.
Sumber memberitahu, selepas pemeriksaan dilakukan tiada objek mencurigakan yang boleh mengancam keselamatan ditemui dalam pesawat itu yang dibenarkan berlepas semula ke Karachi melalui Dubai, kira-kira empat jam kemudian seperti dijadualkan.
“Dalam kejadian semalam (Ahad), polis menerima maklumat ada cubaan meletupkan beberapa pesawat di KLIA oleh seorang anggota pengganas yang dikatakan cuba memasuki negara ini dengan menaiki pesawat dari Pakistan. 

“Bertindak atas maklumat itu, Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan, namun tiada sebarang objek mencurigakan ditemui di dalam pesawat berkenaan dan sekitar kawasan lapangan terbang,” katanya. 

Bertindak atas maklumat diterima, seorang ahli perniagaan yang tidak didedahkan identitinya ditahan bersama isteri dan tiga anak mereka bagi membantu siasatan berhubung pembabitannya dalam mana-mana kumpulan pengganas tempatan mahupun antarabangsa. 

Siasatan mendapati lelaki terbabit bersama keluarganya berkunjung ke Malaysia atas urusan perniagaan dan rekod perjalanan menunjukkan dia sudah beberapa kali berkunjung ke sini atas urusan perniagaan dan bercuti. 
Lelaki itu dan keluarganya dibebaskan selepas keterangan mereka diambil. Semakan rekod tidak menunjukkan lelaki itu adalah seorang pengganas.

Pencuri mati jatuh bumbung

KUALA LUMPUR: Padah kerana mencuri, seorang lelaki yang mahu melarikan empat alat penyejuk pendingin hawa di sebuah kilang di Jalan 15, Taman Wahyu di sini, ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari ketinggian enam meter, semalam. 

Lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai memanjat melalui bumbung sebelum terjatuh dan mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kepalanya berlumuran darah.
Kejadian itu disedari pemilik kilang barangan plastik yang terletak bersebelahan dengan kilang terbabit jam 10 pagi semalam ketika dia membuka pintu kilangnya apabila terlihat satu mayat tertiarap.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata polis turut menemui empat alat penyejuk pendingin hawa yang cuba dicuri berhampiran mayat lelaki terbabit. 

“Kami percaya dia cuba membawa keluar alat penyejuk pendingin hawa yang dicurinya melalui siling bumbung kilang sebelum terjatuh,” katanya.

Rakam video budak cabul


Rakam video budak cabul
Kamaruddin
KAMPUNG RAJA - Seorang pengawal keselamatan terkejut besar apabila mendapati gambar bogel adik perempuannya berusia tujuh tahun, terdapat dalam rakaman video telefon bimbit milik rakan setugasnya kelmarin.

Sebelum itu, pengawal keselamatan berusia 21 tahun itu diminta suspek berusia 56 tahun agar mengecas bateri telefon bimbitnya.

Abang mangsa mengambil peluang memeriksa gambar di dalam telefon tersebut dan terkejut apabila salah satu video di dalamnya adalah video adiknya, disyaki dicabul oleh suspek.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, abang mangsa terkejut apabila melihat video mengandungi perlakuan tidak senonoh ke atas adiknya itu, kemudian bertindak memberitahu ibunya mengenai apa yang berlaku.

Menurutnya, siasatan mendapati terdapat dua rakaman yang dirakam pengawal keselamatan itu pada waktu dan hari berbeza.

“Berdasarkan rakaman video itu, kejadian berlaku pada jam 12.09 tengah hari, 6 Mei dan jam 1.55 petang, 3 Jun lalu di kawasan Hutan Lipur Lata Tembakah, Hulu Besut,” katanya.

Kamaruddin berkata, keluarga mangsa dan suspek dikatakan mengenali antara satu sama lain dan suspek telah menjemput mangsa serta seorang lagi abang mangsa yang berusia kira-kira 12 tahun di rumah.

Menurutnya, siasatan mendapati, terdapat banyak gambar lucah lain di dalam telefon bimbit suspek yang turut dirampas bagi membantu siasatan.

Ibu mangsa dari sebuah kampung dekat Renek, Jabi di sini, tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja petang semalam, selepas dimaklumkan anaknya. Suspek yang beralamat di Kampung Cherang Melilig, Hulu Besut dan mempunyai isteri telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376/11 Kanun Keseksaan kerana cubaan merogol.

Papan lapis tutup dadah

Noor Rashid (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Taktik licik satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah rumah kedai tinggal di Taman Pinggiran Senawang, Negeri Sembilan untuk menyimpan 225,500 biji pil eramin 5 bernilai RM3.4 juta terbongkar apabila diserbu Rabu lalu.
Dadah seberat 68 kilogram (kg) yang disembunyikan di dalam 12 buah kotak kertas itu ditemui selepas polis menahan empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an di Taman Ehsan, Kepong dan kawasan Damansara, Selangor pada 31 Mei lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, suspek ditahan atas maklumat dan risikan pihaknya. Empat daripada enam suspek itu merupakan pasangan kekasih.
Katanya, selain suspek, pihaknya merampas sebanyak 44,930 biji pil eramin 5 bernilai RM898,000.
"Soal siasat kemudian menyerbu rumah kedai tinggal tersebut dan kita berjaya menemui 225,500 biji lagi pil berkenaan bernilai RM3.4 juta.
"Sindiket menutup kotak-kotak itu dengan papan lapis bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan sebiji pil khayal tersebut dijual antara RM15 hingga RM25," kata beliau pada sidang akhbar di ibu Pejabat Polis Bukit A

Tukang kayu Thai mati ditembak


KOTA BHARU - Seorang penyelia yang sedang membuat rondaan di sebuah tapak pembinaan terkejut apabila menemui satu mayat lelaki yang mempunyai tiga kesan tembakan di pipi, leher dan belakang kepala di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa di sini kelmarin.
Mayat Mamat Omar, 58, dari Chenerong, Thailand ditemui penyelia berusia 32 tahun itu pada pukul 11.30 malam dalam keadaan berlumuran darah di hadapan pejabat syarikat tapak pembinaan tersebut. Mamat telah menetap di Kampung Simpangan, Tumpat sejak 22 tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, pemeriksaan pada mayat buruh binaan itu menemui tiga kesan tembakan di pipi kanan, leher dan belakang kepala.
Katanya, ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah. Dia memakai kain sarung, berbaju T hitam dan selipar.
"Kita tidak menemui kelongsong peluru dari senjata api jenis Revolver itu. Siasatan mendapati bapa kepada lima anak itu merupakan tukang kayu di situ dan tidak tinggal di rumah kongsi yang disediakan majikan," katanya.

Sindiket judi Euro 2012 tumpas

MOHD. MOKHTAR (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas daripada bookie judi pada sidang akhbar di Johor Bahru, Johor semalam.
Kosmo! Online - Negara: "
MOHD. MOKHTAR (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas daripada bookie judi pada sidang akhbar di Johor Bahru, Johor semalam.

JOHOR BAHRU – Kegiatan haram 10 bookie termasuk dua warga Singapura mencari wang mudah sempena Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 melibatkan nilai pertaruhan berjumlah RM14 juta terbongkar apabila kesemuanya ditahan baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek-suspek berusia antara 30 hingga 51 tahun tersebut ditahan selepas polis menerima maklumat mengenai kegiatan mereka yang terlibat dengan judi Euro, lumba kuda dan ekor haram.

Menurutnya, siasatan awal mendapati antara modus operandi sindiket berkenaan ialah menerima panggilan ataupun faks daripada kaki judi yang ingin membuat pertaruhan mengikut perlawanan.

Setiap pertaruhan akan dicatat di atas kertas atau komputer selain dirakam sebagai bahan bukti oleh bookie yang menerima taruhan.

Katanya, pembongkaran bermula apabila pihaknya menahan seorang bookie Euro 2012 pada pukul 12.15 pagi Khamis lalu di Taman Scientex, Pasir Gudang."

'via Blog this'

Letupan kilang mercun di China, 14 maut

BEIJING 19 Jun - Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 13 lagi cedera dalam kejadian letupan berasingan di dua kilang mercun di China.
Agensi berita Xinhua melaporkan, kejadian pertama berlaku di kilang mercun berlesen di Yinchun, timur wilayah Jiangxi, kelmarin, menyebabkan tujuh orang terbunuh dan seorang cedera.
Katanya, tujuh orang maut dan 12 lagi cedera dalam kejadian letupan kedua yang berlaku di sebuah kilang mercun yang tamat lesen perniagaan di Dongtun, tengah wilayah Henan, semalam.
Pihak berkuasa mengarahkan semua kilang mercun di dua wilayah terbabit ditutup dan punca kedua-dua letupan masih lagi disiasat. - AFP

Remaja mangsa buli bunuh diri

MANCHESTER: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun membunuh diri setelah menjadi mangsa pembuli, dakwa kawan-kawannya, semalam.
Jade Stringer dari Bury, Greater Manchester, mati Sabtu lalu, enam hari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik oleh bapanya, David. 
Walaupun cuba untuk dipulihkan, gadis itu tidak langsung sedarkan diri.

Dia dihantar ke Hospital Besar Fairfield pada 10 Jun lalu di mana dia meninggal dunia selepas satu minggu menggunakan bantuan mesin pernafasan.

Rakan remaja itu yang bersekolah di Sekolah Tinggi Haslingden dekat Rossendale, Lancs, mendakwa dia dibuli.

Penghormatan yang diletak di Twitter dan Facebook berkata, dia adalah mangsa buli.

Seorang pelajar menulis, “Dia dibuli oleh beberapa orang.”

Chelsea Lazaruik berkata, “Semoga tenang Jade Stringer. Anda tidak sepatutnya mati seperti ini, membuli memang teruk tetapi anda tetap cantik di setiap sisi. Tidur dengan tenang xxx”

Vanessa Nuttall berkata, “Kenapa orang suka membuli seseorang itu sedangkan ia perbuatan sangat teruk.”

Ada juga laporan mengatakan dia bertengkar dengan bapanya selepas telefon bimbitnya diambil darinya.

Polis berkata, mereka tidak menyiasat kematiannya sebagai mencurigakan dan sedang “mengkaji keadaan” yang menyebabkan insiden itu.

Jurucakap Polis Greater Manchester berkata,” Tidak lama selepas 3.35 petang pada Ahad 10 Jun, polis dipanggil oleh paramedik untuk datang ke rumah di Jalan Bolton di Hawkshaw Edenfield, selepas seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan dijumpai tidak sedarkan diri.

“Kematian ini tidak dianggap sebagai mencurigakan dan kami tidak akan mencari sesiapa yang mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

“Tetapi, polis mengkaji keadaan yang menyebabkan kejadian ini berlaku.” -DM

Wanita maut diserang sekumpulan serigala

STOCKHOLM: Sekumpulan serigala menyerang dan membunuh seorang pekerja dalam kandang mereka di sebuah taman hidupan liar popular di Sweden, Ahad lalu.
Polis berkata, mereka tidak tahu apa yang menyebabkan sekumpulan serigala itu menyerang wanita berusia 30 tahun. 
Jurucakap polis daerah Ostergotland, di mana taman Kolmarden itu terletak berkata, wanita itu cedera parah dalam serangan itu dan dia mati akibat kecederaan itu.

“Kami tidak tahu mengapa serigala itu menyerang,” katanya. - Reuters

Serang jiran dengan pedang samurai

SINGAPURA: Seorang lelaki semalam mengaku bersalah di mahkamah kerana menetak jirannya dengan pedang samurai, selain turut mencederakan isterinya sendiri yang hamil.
Akhbar Straits Times melaporkan pada 7 Januari lalu kira-kira jam 7.15 petang, Feizal Abu Bakar, 28, dari Boon Lay Drive pergi ke kediaman jiran yang disyakinya membuat laporan terhadap dirinya terbabit penyalahgunaan dadah. Isteri jirannya menjadi mangsa keberangan Feizal yang dalam keadaan mabuk ketika itu.

Feizal yang berang menjerit ke arah Wirdawati Che Muning, 36, apabila wanita itu memberitahu suaminya tiada di rumah. Suri rumah terbabit cuba menutup pintu rumahnya tetapi Feizal tiba-tiba mengeluarkan pedang samurai miliknya dan menghalang Wirdawati daripada menutup pintu.
Dia mengacukan pedang itu ke arah Wirdawati hingga mengenai tangan mangsa. Feizal kemudian menceroboh masuk ke dalam kediaman Wirdawati dan menetak wanita itu beberapa kali di kepala, kaki dan belakang tubuh hingga mangsa cedera parah. Seorang jiran lain yang mendengar jeritan Wirdawati segera menghubungi polis sebelum suspek ditahan sejurus kemudian. - Straits Times

2 lagi menipu dalam peperiksaan polis dicekup

BANGKOK: Dua lagi suspek yang menipu dalam peperiksaan polis, termasuk pegawai polis ditahan di Phayao, semalam, ketika pemburuan terhadap ketua rangkaian geng penipuan itu diteruskan.
Mereka yang ditahan itu dikenal pasti sebagai Leftenan Pech Promthaweeporn, Timbalan Inspektor Polis bahagian siasatan jenayah di balai polis daerah Chiang Muan dan Heerasak Nanthasen, 48, penduduk wilayah Nan.

Selepas ditahan, kedua-duanya dibawa ke Lampang untuk siasatan lanjut.
Seramai 10 suspek dituduh terbabit dengan kes penipuan itu ketika peperiksaan kemasukan ke sekolah polis berlangsung di seluruh negara kelmarin. Kira-kira 20 pemohon ditahan selepas polis menemui mereka membawa peralatan radio ke dalam dewan peperiksaan. - Bangkok Post

2 korban pergaduhan suku kaum

MIMIKA (Indonesia): Dua lelaki terbunuh ketika kumpulan suku kaum yang bermusuhan yang bersenjatakan busur dan anak panah bertempur di wilayah Papua semalam, kata polis.
Pertempuran itu yang turut menyebabkan seorang cedera parah tercetus pada waktu pagi antara 500 lelaki suku kaum Asli, kata petugas media yang menyaksikan empat anggota polis dipanah.

Sebanyak empat kenderaan, termasuk trak polis dilengkapi senjata turut dibakar dalam insiden itu.
“Dua orang mati dan seorang dalam keadaan kritikal,” kata Ketua Polis Daerah Mimika, Syamsul Ridwan kepada media.

“Mereka diserang dengan anak panah, tetapi kami perlu menunggu keputusan bedah siasat bagi memastikan punca kematian,” katanya.

Mereka yang mati adalah penduduk Kampung Harapan yang sering bertempur dengan penduduk Kampung Amole. - JP