2 jurutol Plus cedera terkena tembakan
Nurijah menahan kesakitan akibat ditembak di belakang badannya masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar.
SEREMBAN – Polis kini sedang giat memburu suspek kes samun membabitkan dua jurutol Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Plaza Tol Seremban, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, setakat ini belum ada sebarang tangkapan, namun polis sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap kejadian tersebut.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat, bagaimanapun polis sedang giat memburu suspek yang terlibat,” katanya.

Saiful Azly berkata, seorang daripada mangsa, Nurijah Rosli, 24, yang mengandung dua bulan, kini dilaporkan stabil, namun masih dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ).

Dalam kejadian kira-kira 10 malam kelmarin, Nurijah dan seorang rakan sekerjanya, Mohd. Haffiz Zamri, 26, cedera parah selepas ditembak dengan menggunakan senjata pump gun dari arah dekat.