Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Pensyarah warga Filipina ke tali gantung

SEREMBAN 14 Jun - Seorang pensyarah wanita warga Filipina meraung selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar ganja seberat hampir 12 kilogram, dua tahun lalu.
Tertuduh Aida Dizon Garcia, 55, yang pada mulanya kelihatan tenang, tiba-tiba menangis dan meraung selepas hukuman dijatuhkan oleh Hakim Datuk Zulkifli Bakar.
Mengikut pertuduhan, Garcia didakwa mengedar 11,956 gram ganja di tepi Plaza Tol Seremban dekat sini pada pukul 5.30 pagi, 27 November 2010.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Hakim Zulkifli dalam penghakimannya berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.
Akhbar pada 29 November 2010 melaporkan, cubaan seorang pensyarah wanita warga asing menyeludup ganja bernilai RM50,000 dengan menaiki sebuah bas ekspres gagal apabila dia ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri dan Bukit Aman.
Hasil pemeriksaan, polis menemui 12 ketulan ganja mampat di dalam beg pakaian yang dibawanya.
Siasatan awal polis mendapati wanita itu yang bekerja di sebuah kolej swasta di ibu negara dalam perjalanan dari ibu kota menuju ke selatan tanah air.

Warga Iran edar 14 kg syabu dihukum mati


SHAH ALAM 15 Jun - Seorang penghantar surat warganegara Iran dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar 14.6 kilogram methamphetamine yang disembunyikan dalam bagasinya, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Wira Mokhtarudin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman itu terhadap Rahmani Ali Mohammad, 30, selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah semasa memberi keterangan membela diri.
Dalam penghakiman ringkasnya, beliau berkata, dadah itu terbukti kepunyaan tertuduh berdasarkan bagasi tersebut bukan sahaja mempunyai tag nama tertuduh, tetapi ia juga dibuka oleh lelaki itu dengan menggunakan kombinasi nombor kunci yang diketahuinya.
Katanya, jumlah dadah tersebut juga banyak dan tidak munasabah ia dibawa masuk ke negara ini untuk kegunaan sendiri selain diletakkan secara tersorok dalam bagasi tersebut.
"Perbuatan tertuduh mengambil troli walhal dia tidak membawa apa-apa barang menunjukkan dia tahu tentang kewujudan beg yang agak besar itu selain tertuduh juga kelihatan resah dan gelisah.
"Pembelaan tertuduh bahawa wujud pihak ketiga tanpa keterangan sokongan lain, tidak cukup untuk mematahkan andaian seperti dalam pertuduhan,’’ kata beliau.
Rahmani didakwa mengedar 14,654 gram methamphetamine di Kaunter Pemeriksaan Kastam A, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 4.15 petang, 6 Jun 2009. - UTUSAN

‘Terlalu banyak putar belit’

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh memberitahu Mahkamah Koroner di sini, semalam mengenai punca beliau terlalu mengambil berat mengenai kes kematian pemandu teksi, Baharudin Ahmad, 60.
Menurutnya, ia berikutan terlalu banyak dakwaan mengenai kematian lelaki itu yang diputarbelitkan sesetengah pihak yang tersebar luas dalam Internet menyebabkan pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan siasatan kes itu daripada Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Razali Mahmood.

“Banyak dakwaan yang diputarbelitkan di Internet, antaranya gambar seorang lelaki yang pengsan di atas jalan ketika Bersih 2.0 yang dikatakan sebagai gambar Baharudin serta kematian lelaki itu dikatakan berpunca akibat terkena semburan gas pemedih mata dan meriam air.
“Dakwaan lain yang perlu saya perjelaskan mengenai kematian arwah yang konon disebabkan polis dan ambulans sampai lewat sejam selepas Baharudin dikatakan terjatuh di Avenue K,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam mewakili keluarga Baharudin, Ahmad Jufliz Faiza yang mengatakan beliau seolah-olah terlalu berminat dengan kes itu hingga mengarahkan Razali sentiasa memberikan maklum balas mengenai siasatan dibuat terus kepadanya tanpa pengetahuan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman.

Menurutnya, menjadi tanggungjawabnya mengambil tahu semua kejadian yang berlaku dalam kawasan Kuala Lumpur pada perhimpunan Bersih 2.0 kerana ketika itu tugasnya sebagai Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur yang juga komander keseluruhan pada hari kejadian.
Beliau tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Jufliz menyatakan Razali tidak mengikut Kanun Tatacara Jenayah ketika melakukan siasatan itu kerana tidak melaporkan perkembangan kes itu kepada Zulkarnain, sebaliknya terus kepadanya.

Pada prosiding semalam, Amar turut menyangkal dakwaan beliau cuba mengambil alih tugas penyiasatan kes itu daripada Razali dan cuba mengarahkan pegawai itu bagi menutup punca sebenar kematian Baharudin.
“Saya memang ada arahkan pegawai penyiasat lakukan beberapa perkara antaranya meminta dia hadir dan mengikuti bedah siasat dijalankan terhadap lelaki itu serta memaklumkan kepada saya sebarang maklumat dan perkembangan kes ini.

“Selain itu, apakah arahan dimaksudkan peguam, saya tidak pasti,” katanya pada prosiding inkues kematian Baharudin yang dikendalikan Koroner Zulkpli Abdullah.

Saksi inkues ke-34 itu turut menyatakan dakwaan peguam konon beliau merancang punca kematian Baharudin disebabkan sakit jantung sama sekali mengarut dan tidak masuk akal.

“Saya berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 30 tahun, kami berada di sini, bukan untuk menipu atau memalsukan bukti yang ada, tetapi untuk mencari kebenaran,” katanya.

Inkues itu turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh dan Ahmad Ishrakh Saad dan akan bersambung 27 Jun nanti.

Fikir sebelum kahwin

KUALA LUMPUR: Berkahwin dengan warga asing nampak mudah, namun boleh merosakkan diri dan anak-anak sekiranya ikatan pernikahan itu tidak dirancang dengan baik.
Presiden Lembaga Kaunselor Profesional Malaysia, Profesor Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata, banyak perkara perlu diambil kira oleh seseorang yang mempunyai niat untuk berkahwin dengan warga asing.

Antaranya termasuk soal kewarganegaraan, pendaftaran surat beranak, pendaftaran persekolahan, kesihatan, perbezaan gaya hidup, nilai sosial dan penerimaan keluarga kedua-dua pihak.
“Ada antara kita hari ini khususnya golongan wanita berpendapat perkahwinan campur lebih membahagiakan kerana layanan dan perhatian diberikan warga asing lebih baik berbanding orang tempatan.

“Berikutan itu ramai yang tidak berfikir panjang mengenai kesan dan akibat yang terpaksa ditanggung sekiranya mereka berdepan kegagalan rumah tangga,” katanya, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam yang memaparkan penderitaan Hanafi Salleh, 36, selepas dua anaknya dilarikan ibu mereka ke New Zealand tujuh tahun lalu.
Nelayan dari Tanjung Agas, Muar, Johor itu terlalu merindui anak kesayangannya, Muhammad Shayden Ingham, 12, dan Muhammad Jamey Alano Ingham, 9, hingga sanggup melakukan apa saja untuk membawa mereka pulang termasuk meminta bantuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, April lalu.

Menurut Dr Mohamed Fadzil, beliau tidak menolak fakta bahawa perkahwinan campur mempunyai banyak kebaikan, terutama dari segi memperkayakan budaya dan bangsa.
“Tetapi, apabila perkahwinan itu hanya berlandaskan pada naluri semata-mata, maka ia boleh mendatangkan banyak masalah, termasuk keruntuhan institusi rumah tangga, penganiayaan kepada anak dan isteri, penderaan, pemerdagangan serta pengabaian,” katanya.

Menjelas berhubung punca mengapa orang tempatan mula memilih warga asing sebagai pasangan hidup mereka, Dr Mohamed Fadzil berkata, ia berkemungkinan wujud atas beberapa sebab.

“Saya percaya banyak perkahwinan sebegini berlaku tanpa perancangan. Maksudnya, mereka tidak tahu apa implikasi dan cabaran yang terpaksa dihadapi apabila berkongsi hidup dengan orang yang berlainan budaya, cara hidup dan nilai sosial.

“Bagaimanapun, ada juga yang mengambil keputusan berkahwin dengan orang asing kerana mahukan perhatian serta perlindungan selepas berdepan dengan pelbagai masalah hidup,” katanya.

Beliau berkata, di negara ini, ada kes perkahwinan campur membabitkan remaja tempatan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan memilih lelaki asing untuk memudahkan mereka menyelesaikan isu kewarganegaraan.

“Bagi lelaki pula, mereka terbahagi kepada dua jenis iaitu jujur berkahwin atas dasar cinta dan hendak mengambil kesempatan.

“Kalau memang sayang, kita percaya mereka boleh bahagia, tapi jika untuk mengambil kesempatan, lelaki jenis inilah yang menyumbang kepada peningkatan anak gelandangan.

“Ibu bapa berpisah, anak ditinggalkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kemudian terdedah pula kepada stigma negatif,” katanya.

3 dipanggil kes siasatan pecah peti besi

SHAH ALAM: Polis sudah memanggil tiga lelaki untuk membantu siasatan berhubung kejadian pecah sebuah peti besi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bernilai RM30,000 sebuah sekolah Cina di Batu 14, Puchong, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya turut menemui beberapa cap jari milik suspek di sekitar lokasi kejadian yang boleh membantu siasatan.

“Kami sudah mengambil contoh cap jari dan ia akan dihantar ke jabatan forensik untuk dianalisa.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan agar tampil membantu pihak polis bagi menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Semalam Harian Metro melaporkan empat lelaki bersenjata parang dan pistol mainan melarikan wang tunai RM30,000 dari peti simpanan PIBG sebuah sekolah Cina.

Kastam rampas dadah ‘dimasak’

SEPANG: Seorang lelaki warga New Zealand ditahan kerana memiliki pelbagai jenis dadah bernilai RM658,800 yang siap dibungkus di dalam bekas makanan plastik dalam serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah kondominium mewah, di ibu negara.
Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan dalam serbuan jam 5 petang, Isnin lalu di kondominium mewah yang dihuninya dan dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah pelbagai jenis.

Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Badaruddin Mohamed Rafik berkata, serbuan hasil kerjasama Cawangan Risikan Ibu Pejabat Kastam itu dibuat selepas mendapat maklumat daripada orang awam.
“Kami menjalankan intipan dan risikan di tempat kejadian selama tiga hari dan pelbagai jenis dadah ditemui di kondominium itu iaitu kokain, methamphetamine atau syabu, ganja dan ketamine,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA, semalam. Menurutnya, kokain yang dirampas seberat 1.38 kilogram (kg) bernilai RM277,600, methamphetamine atau syabu seberat 1.244 kg bernilai RM311,000, ganja seberat 12.13 kg bernilai RM36,390 dan ketamine seberat 0.966 gram bernilai RM33,810.

Badaruddin berkata, keseluruhan dadah pelbagai jenis itu 15.72 kilogram bernilai RM658,800 dan ketika ditemui dadah berkenaan sudah siap dibungkus di dalam plastik serta bekas makanan plastik. “Malah, ada dadah yang sedang dipanaskan di dalam ketuhar. Bagaimanapun, kami tidak menemui sebarang alat memproses dadah di tempat kejadian. Kami masih menyiasat sama ada dadah itu untuk pasaran di dalam negara atau antarabangsa,” katanya. Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek sudah tinggal di negara ini lebih setahun dan masuk ke Malaysia menggunakan visa pelancong.

Jumpa tiga pistol

PONTIAN: Bukan setakat menemui dadah bernilai RM18 juta, malah polis turut mengesan tiga pistol yang rentung dalam kebakaran di sebuah kilang yang dijadikan makmal memproses dadah di Kawasan Perindustrian Pekan Nenas, di sini, pada jam 1.30 tengah hari, Isnin lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, selain itu, polis turut menemui 14 peluru, kelongsong serta kelopak peluru.

“Kami turut menyita dua kenderaan jenis Mercedez Benz dan Honda Odyssey yang menggunakan nombor pendaftaran negara jiran dipercayai milik anggota sindiket dadah terbabit.
“Semakan dilakukan mendapati kedua-dua kenderaan terbabit menggunakan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) dan ia sudah tamat tempoh sah laku,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, semalam.

Menurutnya, semua barangan terbabit dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut dan susulan siasatan yang dilakukan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun di Kulaijaya pada Rabu lalu.

“Dua rakan suspek sedang diburu bagi membantu siasatan kes terbabit dan suspek juga sudah direman bermula semalam.
“Dua rakan suspek yang juga penduduk tempatan sudah dikenal pasti, mereka menghilangkan diri sejurus kejadian. Polis sudah menubuhkan pasukan khas bagi mengesan serta menahan kedua-dua suspek terbabit,” katanya.

Mokhtar berkata, pihaknya percaya enam individu terbabit dalam kes berkenaan dan tiga daripada mereka warga asing.
Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Mokhtar berkata, dadah terbabit dipercayai untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kami dapati dadah itu dibungkus menggunakan plastik hitam khas, ia bagi memudahkan barangan berkenaan diseludup keluar.

“Dengan menggunakan taktik itu, dadah terbabit lebih sukar dikesan,” katanya.

Beliau berkata, dadah bernilai RM18 juta yang terselamat daripada rentung dianggarkan mampu menampung bekalan untuk lebih 350,000 penagih dadah jika ia terlepas ke jalanan.

Mokhtar berkata, dadah dirampas membabitkan Ecstacy yang bernilai RM12.5 juta dan syabu seberat 20.230 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM5 juta.

Dalam kejadian itu, kilang terbabit meletup sebelum terbakar dan anggota bomba yang memadamkan kebakaran dikejutkan dengan penemuan dadah berkenaan sebelum memaklumkannya kepada polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 32, akta sama (Perlucuthakan Harta) 1988 dan Seksyen 7, Akta Senjata 1971.

Pelajar perempuan bikin gempar

MELAKA: Gempar apabila seorang pelajar wanita sebuah universiti swasta di sini, duduk di atas pagar beranda di tingkat tiga pangsapuri bersebelahan universiti berkenaan sambil menjuntaikan kakinya serta berkelakuan ganjil, termasuk mengeluarkan kata-kata kesat, semalam.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi, pelajar berusia 23 tahun itu mengeluarkan kata-kata kesat memarahi polisi diamalkan universiti berkenaan selain melemparkan beberapa barangan kaca ke tempat letak kenderaan hingga merosakkan sebuah kereta.

Malah, lebih pelik apabila pelajar tahun akhir jurusan undang-undang itu menyanyi ketika duduk di atas berada berkenaan.
Bagaimanapun, tindakan pantas pengurusan pangsapuri bagaimanapun mengelak kejadian buruk berlaku apabila kakitangan memasuki rumah itu menggunakan kunci pendua lalu menarik pelajar terbabit dari beranda.

Menurut seorang pelajar universiti itu, dia menyedari kejadian ketika keluar dari rumahnya di tingkat enam selepas terdengar sesuatu.

“Saya dengar seperti ada orang buang sesuatu lalu melihat dari kaki lima dan terkejut mendapati terdapat ramai orang berkumpul di bawah.
“Sebaik turun saya terkejut melihat seorang wanita duduk atas pagar beranda dengan kakinya terjuntai,” katanya yang enggan dikenali ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Menurutnya, pelajar wanita itu marah dengan polisi diamalkan universiti berkenaan.
Katanya, dia difahamkan, pelajar terbabit tidak tinggal di pangsapuri berkenaan sebaliknya rumah di tingkat tiga itu didiami rakannya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, pelajar itu dipercayai mengalami gangguan perasaan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Raungan isteri kena tembak

SEREMBAN: “Tolong sakit...sakit.” Begitu raungan menyentuh hati seorang jurutol wanita yang mengandung dua bulan apabila parah ditembak penyamun dalam kejadian samun dan tembak berhampiran Plaza Tol Seremban-Labu, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.57 malam itu, Nurijah Rosli, 24, dan rakan sekerjanya, Mohd Hafiz Zamri, 26, parah selepas ditembak penjenayah terbabit menggunakan ‘pump gun’ sebaik kedua-dua mangsa selesai syif.

Difahamkan suspek yang lebih daripada seorang terbabit menaiki sebuah kereta ketika melakukan samun itu dan kedua-dua mangsa diiringi seorang pengawal tidak bersenjata.
Suami mangsa, Faizul Abdul Latif, 31, berkata, dia dihubungi rakan sekerja isterinya memberitahu mangsa ditembak penjenayah yang menyamun duit kutipan tol RM2,000.

“Lebih memilukan, saya mendengar jelas isteri meraung kesakitan dalam telefon dan bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaannya.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, saya diberitahu polis, isteri sudah dihantar ke hospital dan melihat motosikal yang ditunggang isteri dipenuhi darah, manakala terdapat beberapa kesan tembakan pada motosikal itu,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam.
Katanya, sebaik tiba di hospital, dia terkejut melihat keadaan isteri yang berlumuran darah, malah isterinya meraung kesakitan ketika doktor mahu membuang peluru di belakang badan.

“Saya bimbang kandungan isteri terjejas dan paling menyentuh hati apabila dia (isteri) trauma memberitahu takut melihat penjenayah mengacu senapang ke arahnya dan meraung. “Patutlah saya berasa tidak sedap hati apabila isteri tidak pulang ke rumah sebaik selesai syif sehingga jam 10.30 malam,” katanya. Faizul berkata, anak sulungnya, Mohd Ashraf Azim, lapan bulan, seperti mengetahui kejadian buruk menimpa ibunya apabila tidak lena tidur dan menangis tanpa henti pada malam kejadian. Menurutnya, isterinya sudah bekerja di tol berkenaan hampir dua tahun lalu dan itu kejadian pertama dialami.
“Tidak sangka penjenayah melakukan perkara itu terhadap wanita mengandung hanya kerana mahu menyamun RM2,000. Saya harap kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua supaya berhati-hati apabila membawa banyak wang,” katanya.

Sementara itu, bapa Mohd Hafiz yang juga anggota polis berpangkat sarjan, berkata, dia diberitahu kejadian itu oleh rakan sekerjanya mengatakan anak sulungnya itu cedera ditembak penjenayah. “Saya bersama isteri terus bergegas ke hospital untuk melihat anak dan kini dia dilaporkan stabil. “Bagaimanapun, Mohd Hafiz dilaporkan hancur tulang paha kanan terkena peluru penabur dan dihantar ke Hospital Serdang, Selangor untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tiada lagi kelibat ayah

KUALA LUMPUR: “Hari ini (semalam) genap sebulan arwah ayah bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai dan saya reda dia sudah tiada walaupun kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian menimpanya,” kata Mohd Ayman Abdul Wahab, 22, anak ketiga Allahyarham Deputi Superintendan Abdul Wahab Yaacob, 56.
Menurutnya, ketika kejadian itu dia difahamkan arwah ayahnya dalam perjalanan ke Kota Bharu menghadiri mesyuarat sebelum dia terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawanya.

“Saya berdoa semoga ayah ditempatkan dalam kalangan orang beriman tambahan dia meninggal dunia ketika keluar menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian arwah ayahnya di Tanah Perkuburan Sri Sinar, Segambut, di sini semalam.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Taharah Mohamed, 51, dan empat anak. Selain Mohd Ayman, pasangan itu dikurniakan tiga anak perempuan berusia 21 hingga 28 tahun. Mohd Ayman berkata, sepatutnya arwah ayahnya pulang minggu depan, namun hasrat itu tidak kesampaian.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa ayahnya dua minggu lalu ketika arwah pulang ke rumah.

“Ketika itu ayah berkelakuan seperti biasa. Selalunya jika berada bersama, ayah menunjukkan sikapnya tegas. Cuma ketika berjauhan kami dapat melihat kasih sayangnya apabila dia sering menghubungi bertanya khabar.
“Walaupun tegas, arwah peramah dengan semua orang. Dia juga pandai bergurau. Sejak kecil kami empat adik beradik sering berjauhan dengan ayah kerana tugasannya namun itu semua tidak dirasai kerana dia sering pulang ke rumah beberapa kali dalam sebulan,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham Abdul Wahab sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan baru sebulan ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.

Terkilan tak luang masa

MACHANG: “Kali terakhir saya berjumpa ayah di Kota Bharu dua minggu lalu dan ketika itu ayah bersikap biasa saja,” kata Farid Ikhwan Abd Kadir, 21, anak sulung kepada Sarjan Abd Kadir Kumin, 48, yang maut dalam kemalangan membabitkan kereta BMW dan Pajero di Kilometer 35, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Labok, di sini, awal semalam.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Abdul Wahab Yaacob, 56, dan suri rumah, Membunga Mamat, 61, turut terkorban. Farid Ikhwan yang juga anak sulung daripada lima beradik berkata, dia mengetahui kejadian menimpa ayahnya yang baru sebulan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai selepas menerima panggilan daripada seorang saudara jam 2.30 pagi sebelum ke tempat kejadian.

“Saya terkilan kerana tidak dapat meluangkan masa secukupnya ketika berjumpa ayah dua minggu lalu,” katanya sambil memberitahu dia berada di Kubang Kerian ketika diberitahu mengenai kemalangan menimpa ayahnya.
Sementara itu, suasana sayu menyelubungi pekarangan Bilik Mayat Hospital apabila ahli keluarga mangsa dan rakan setugas hadir ke hospital berkenaan. Isteri Abd Kadir enggan ditemu bual berikutan masih bersedih dengan kejadian menimpa suaminya.

Di Jerantut, ibu Abul Kadir, Siti Rokiah Mat Alek, 71, berkata sebelum ini terdetik keanehan di hatinya apabila Allahyarham kerap balik ke kampung sepanjang tahun ini kerana kebiasaannya dia jarang berbuat demikian.

“Sebelum ini, kalau dia balik hanya setahun sekali, tapi tahun ini dia tiga kali balik dan pernah menghabiskan tiga hari di kampung.
“Tak sangka pula di sebalik perubahan sikapnya itu, dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berau, Ulu Cheka, semalam.

Siti Rokiah berkata, Abdul Kadir anak keempat dari enam beradik, meninggalkan seorang balu dan lima anak. “Kali terakhir saya bercakap dengan arwah dua minggu lalu iaitu ketika dia menghubungi melalui telefon bertanya khabar. Itulah kali terakhir berbual,” katanya.
Adik Abdul Kadir, Rosmadina Kumin, 44, yang tinggal di Kuantan berkata mereka jarang berbual kerana abangnya itu seorang pendiam.

Jenazah Abdul Kadir dikebumikan di tanah perkuburan Ulu Cheka jam 6.30 petang semalam.

Nenek gelisah, menjauhkan diri

GUA MUSANG: Sikap pelik Membunga Mamat, 61, yang terkorban dalam kemalangan maut di Kilometer 35, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Labok, di sini, semalam bagaikan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.
Cucu Membunga, Nabila Napi, 22, berkata, neneknya kelihatan gelisah malah enggan bergambar beramai-ramai ketika hadir pada majlis perkahwinannya Ahad lalu.

“Ketika itu, saya pelik kerana nenek sebelum ini bersikap mesra dengan keluarga, tetapi pada hari perkahwinan saya, dia seperti menjauhkan diri. Kelakuan peliknya itu bagaikan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Dalam kemalangan jam 1 pagi itu, Membunga menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero dipandu anaknya, Mohd Saari Asmawi, 36.

Membunga meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah BMW, manakala Mohd Saari dilaporkan kritikal dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Nabila berkata, kali terakhir dia bertemu neneknya itu kelmarin dan Allahyarham dilihat lebih gemar mendiamkan diri.
“Sejak hari perkahwinan saya lagi, nenek berubah, sehinggalah kelmarin dia lebih gemar mendiamkan diri,” katanya

Geng samseng gempur sekolah

SIASAT...pegawai dan anggota polis menjalankan siasatan di sekolah berkenaan.
SIASAT...pegawai dan anggota polis menjalankan siasatan di sekolah berkenaan.
KAJANG: Sekumpulan lebih 40 remaja bersenjatakan kayu, batang besi, cota dan topi keledar bertindak samseng ketika menyerang 30 pelajar sebuah sekolah menengah di sini, yang keluar melalui pintu pagar selepas selesai waktu persekolahan, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lebih 10 pelajar cedera manakala seorang guru kanan sekolah itu luka teruk di kepala akibat dibaling dengan topi keledar ketika cuba meleraikan pergaduhan terbabit selain dua motosikal rosak teruk.

Kejadian dipercayai berlaku akibat salah faham antara kumpulan remaja samseng terdiri daripada bekas pelajar sekolah berkenaan yang dibuang sekolah bersama kumpulan rakan dewasa mereka dengan beberapa pelajar sekolah itu.
   
  • FotoTENGGELAM...topi keledar dipercayai digunakan dalam serangan terbabit.
  • FotoHANCUR...serpihan motosikal dipercayai milik kumpulan terbabit yang rosak.
Saksi kejadian yang juga pekerja sekolah berkenaan berkata, pergaduhan itu berlaku sebaik sesi pagi persekolahan tamat dan pelajar keluar dari perkarangan sekolah sebelum diserang kumpulan remaja samseng yang menunggu mereka di luar pagar.

“Sebaik beberapa pelajar yang dipercayai menjadi sasaran kumpulan terbabit keluar dari pintu pagar, semua remaja yang berkumpul di luar itu menyerang mereka menggunakan senjata.

“Keadaan semakin kecoh dan ganas apabila puluhan pelajar lain yang berada di kawasan sekolah keluar membantu rakan mereka yang diserang,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam.
Katanya, kejadian itu dimaklumkan kepada seorang guru kanan sekolah yang kemudian cuba meleraikan pergaduhan dengan menarik pelajar masuk semula ke kawasan sekolah.

“Guru itu cuba meleraikan pergaduhan dan menarik beberapa pelajar yang membelasah seorang daripada kumpulan terbabit.
“Ketika dia (guru) ingin membantu seorang remaja samseng yang terbaring atas jalan akibat dibelasah teruk, tiba-tiba seorang daripada kumpulan yang bergaduh itu membaling topi keledar dengan kuat ke arah guru berkenaan hingga terkena kepalanya,” katanya.

Menurutnya, kumpulan remaja yang melakukan serangan itu bertempiaran lari selepas beberapa anggota polis bermotosikal menuju tempat kejadian dan guru serta beberapa pelajar yang cedera dihantar ke hospital berhampiran.

Ulat daun 'serang' penduduk

Ulat daun 'serang' penduduk
Ulat daun yang muncul di di kawasan Pelindung Damai menarik perhatian penduduk.
KUANTAN - Penghuni tujuh rumah dekat Pelindung Damai, di sini, rungsing dengan kehadiran ribuan ulat daun sejak empat hari lalu.

Ulat sepanjang tiga hingga empat sentimeter itu dilihat jatuh dari pokok nenasi kira-kira lima meter dari rumah penduduk.

Malah ulat tersebut turut memasuki kediaman penduduk dan meninggalkan kesan getah di lantai serta dinding rumah.

Walaupun ulat itu dikatakan tidak membahayakan keselamatan penduduk atau menyebabkan kegatalan, tetapi mereka bimbang akan menimbulkan masalah sampingan lain yang tidak diketahui.

Ulat bermusim

PENDUDUK, Mohd Riduan Ali, 38, berkata, dia mula menyedari kehadiran ribuan ulat daun itu sejak empat hari lalu yang memasuki rumahnya, selain turut merayap di jalan utama.

Menurutnya, situasi itu sebenarnya sudah biasa bagi mereka kerana ulat daun itu akan muncul setiap dua atau setahun sekali.

“Penduduk di sini menganggap kehadiran ulat daun itu sebagai bermusim kerana ia akan memakan daun pokok nenasi sebelum beredar ke satu pokok ke pokok yang lain.

“Bagaimanapun, dengan jumlah yang banyak, kehadiran ulat daun itu tidak disenangi kerana turut memasuki rumah dan berada di depan serta dinding rumah,” katanya ketika ditemui
di sini.

Mohd Riduan berkata, dia hanya mampu menyapu ulat terbabit daripada memasuki rumah namun tidak dapat menghalang serangga itu daripada terus berada di kawasan rumahnya.

Seorang tukang jahit, Rokiah Muda, 46, pula berkata, dia menghabiskan tiga penyembur aerosol sehari memandangkan jumlah ulat daun yang banyak memasuki rumahnya.

Katanya, dia juga terpaksa menutup tingkap untuk menghalang ulat terbabit terus memasuki rumah.

“Sejak 20 tahun tinggal di sini, fenomena ini sudah biasa. Apabila cuaca hujan dan panas tidak menentu, ulat ini akan muncul.“Mungkin boleh dikatakan sebagai penghijrahan
ulat ini sebelum menjadi rama-rama,” katanya,” katanya.

Rokiah berkata, ulat itu aktif pada waktu siang terutama pada waktu petang berbanding waktu malam.

MPK sembur racun

SEMENTARA itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Kemasyarakatan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Haslinda Hassan berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk di situ mengenai masalah itu, malam kelmarin.

Katanya, Unit Vektor MPK telah ke lokasi untuk melakukan semburan racun.

“Semburan tersebut mampu kekal sehingga seminggu sekiranya cuaca panas. Walaupun kehadiran ulat daun itu dikatakan sudah biasa namun bagi MPK, ia adalah aduan kali pertama
diterima.

”Sehingga semalam, MPK sudah membuat dua semburan bagi mengelak ulat tersebut menyerang rumah penduduk di situ,” katanya

'Tisu gagah' berbahaya - Semasa - Sinar Harian

'Tisu gagah' berbahaya
Tisu yang mengandungi bahan kimia yang dikatakan boleh menjejaskan keupayaan lelaki.
IPOH – Bukan sekadar tisu biasa, penggunaannya yang dipercayai boleh tampil hebat di ranjang boleh juga menjadi punca lelaki mengalami masalah mati pucuk dan bengkak saraf.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Mazlan Ismail berkata, tisu yang di seludup dari Indonesia dan China itu dikesan mengandungikimia Benzocaine, Lidnocaine dan Anastetic yang digunakan sebagai ubat bius dalam pembedahan.

Menurutnya, tisu yang boleh dibeli semurah RM3 setiap bungkus itu mengakibatkan alat kelamin rasa kebas selepas disapu tisu berkenaan.

“Ramai yang menyangka ia dihasilkan dengan ekstrak tumbuh-tumbuhan berikutan kandungan kimia tidak dinyatakan pada bungkusan produk. Maklumat palsu juga disebarkan mendakwa
tisu ini juga mempunyai kebaikan untuk mencegah penularan penyakit kelamin seperti siplis, gonorrhea dan Aids,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya telah merampas sejumlah tisu itu ketika melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah kedai ubat di Sungai Siput.

“Kandungan tisu ini mempunyai banyak bahan kimia keras dan kimia perosak menjadi punca urat saraf lelaki rosak seterusnya akan mati pucuk jika disapu berterusan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya terhadap produk rangsangan seks sebaliknya mendapatkan khidmat nasihat doktor terlebih dahulu,” katanya.

Anak jutawan diculik

SHAH ALAM – Anak lelaki seorang jutawan bersama pengawal peribadinya diculik di sebuah kawasan di Kuala Selangor, Isnin lalu. Menurut sumber, mangsa, berusia 40-an dan pekerjanya, 30-an, dibebaskan selepas keluarga mangsa membayar wang tebusan sebanyak RM500,000.

Katanya, mereka dibebaskan di sebuah kawasan di Rawang, kelmarin dan tidak dicederakan. Sumber berkata, sebelum itu, penjenayah menghubungi  keluarga mangsa dan menuntutwang tebusan RM1 juta.  Bertindak daripada laporan tersebut, polis memberkas seorang lelaki bersama sebahagian wang tersebut, manakala empat lagi lelaki diburu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

Jual DVD haram: Penjual buah didenda RM5,000

KUANTAN - Seorang penjual buah didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas kesalahan menjual cakera padat digital (DVD) secara haram.

Majistret Nurunaim Abdullah turut menetapkan hukuman penjara enam bulan tertuduh jika gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh, Yow Teck Hock, 43, yang berasal dari Muar, Johor itu telah mempamerkan 75 keping DVD pelbagai tajuk yang tidak mempunyai sijil perakuan B dikeluarkan Lembaga Penapisan
Filem (LPF) untuk dijual.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Jalan Wong Ah Jang, di sini, kira-kira jam 11.20 malam pada 28 September 2009.

Sebelum itu, bapa kepada tiga anak itu merayu supaya dikenakan denda minimum dengan alasan dia sudah insaf dan hanya berpendapatan purata RM1,500 sebulan, selain menyatakan ia kesalahan kali pertamanya.

Tertuduh yang diwakili peguam, Noor Adilah Zarian juga memberikan alasan dia hanya seorang pekerja biasa.

Dia disabitkan di bawah Seksyen 18 (4) Akta Penapisan Filem dan boleh dihukum di bawah Seksyen18 (5) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM30,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Ungku Zabedah Ungku Ismail

Pencuri kebas makanan ringan

MARAN - Seorang peniaga makanan ringan di bangunan gerai buah, Majlis Daerah Maran, dekat Kampung Bintang mengalami nasib malang apabila kedainya dua kali dipecah masuk
dalam tempoh empat bulan.

Peniaga terbabit sebelum ini pernah membuat laporan polis berikutan kerugian RM2,000 apabila karton rokok di kedainya dicuri awal Mac lalu dan semalam, kejadian hampir sama
berlaku lagi.

Pemilik kedai, Zarina Mohamad, 38, berkata, dia menyedari kedainya dimasuki pencuri kira-kira jam 8 pagi selepas mendapati peti sejuk yang menempatkan air tin di tepi dinding di
kedainya terbalik.

“Tin minum bertaburan atas lantai, manakala beberapa makanan ringan hilang dan 50 kad permulaan prabayar hilang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Zarina berkata, jeriji besi di belakang peti minuman dibengkokkan dipercayai dilakukan pencuri terbabit untuk masuk ke dalam kedainya.

Katanya, dia mengesyaki perbuatan itu dilakukan individu bawah umur kerana jeriji itu kecil untuk orang dewasa masuk, manakala barangan yang dicuri hanya makanan ringan,
aiskrim dan kad prabayar.

“Saya syak pencuri masuk sekitar jam 3 hingga 6 pagi kerana sebuah kedai masakan panas yang jaraknya kira-kira 100 meter dari sini beroperasi sehingga jam 3 pagi,” katanya.

Sementara itu, peniaga di sebelah kedai Zarina, Mohamad Ali, 64, berkata, dia juga nyaris menjadi mangsa kerana jeriji kedainya dipotong, tetapi individu itu tidak sempat masuk
ke premisnya.

“Saya berharap pekedai di sini mengambil langkah berhati-hati dan tidak menyimpan barangan berharga di dalam kedai,” katanya.

Warga emas cedera diragut

Warga emas cedera diragut
Ah Moi (kiri) mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Mentakab.
MENTAKAB - Seorang warga emas cedera pada tangan kiri selepas diragut dua pemuda bermotosikal dalam kejadian di Jalan Temerloh berhampiran CIMB bandar Mentakab, malam Rabu lalu.

Mangsa, Lim Ah Moi, 61, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang berjalan kaki seorang diri di laluan tersebut kira-kira jam 9.30 malam, 13 Jun lalu.

Menurutnya, ketika itu dia dalam perjalanan menghantar kuih kepada saudaranya di kawasan berhampiran.

“Keadaan pada masa itu sunyi dan gelap, tiba-tiba saya dengar bunyi motosikal datang dari arah belakang.

“Tidak semena-mena saya ditolak oleh pembonceng motosikal terbabit hingga terjatuh.

”Ketika itulah saya dapat melihat kelibat dua lelaki merentap rantai leher saya lalu terus melarikan diri,” kata peniaga kedai makan itu.

Ah Moi berkata, dia kemudian berjalan semula dalam keadaan sakit untuk mendapatkan bantuan beberapa pemuda yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian.

Menurutnya, akibat kejadian itu dia kehilangan rantai leher yang berharga kira-kira RM3,000 selain cedera di tangan kiri.

Sementara itu, pemuda yang membantu menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Mentakab, Ong Heng Ang 41, berkata, dia menghantar Ah Moi ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah  Hoshas) untuk rawatan lanjut.

Katanya, kejadian ragut yang berlaku di kawasan itu boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan lampu jalan di kawasan terbabit.

“Beberapa minggu lalu juga ada berlaku kejadian ragut di Jalan Moek Hee Kiang dekat pasar malam Mentakab.

“Mungkin individu yang sama melakukan jenayah ini. Apa yang kami harapkan supaya polis dapat menangkap penjenayah yang melakukan jenayah ini dengan segera supaya tidak berulang,” katanya.

Sinar Harian difahamkan mangsa tidak membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpanya. 

Si batik di reban itik,si senduk di kolam keli

Si batik di reban itik, si senduk di kolam keli
Ramli (kiri) menunjukkan ular sawa seberat 25 kilogram yang ditangkap di ladang ternakan itik di Felda Kerteh 5.
KEMAMAN – Misteri haiwan ternakan seorang peneroka yang kerap ditemui mati di dalam ladang ternakan dekat sini terjawab, apabila seekor ular senduk sepanjang 1.6 meter dan ular sawa batik sepanjang 4.5 meter seberat 25 kilogram ditemui di dalam ladang terbabit.

Ular senduk dan sawa terbabit masing-masing berjaya ditangkap Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bandar Ketengah Jaya bersama PBS Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Rahmat pagi semalam dan pagi kelmarin.

Pemilik ladang ternakan terbabit, Rahim Hamzah, 57, berkata, dia menyedari kehadiran ular senduk itu apabila terdengar ikan keli yang dipelihara dalam kolam kanvas bersebelahan ladang ternak itiknya menggelupur, sebelum mendapati terdapat seekor ular senduk berada dalam kolam kira-kira jam 8 pagi, semalam.

“Terdapat beberapa ekor ikan keli yang terapung dalam kolam berkenaan kerana ular senduk menyembur bisanya berkemungkinan untuk memakan ikan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Rahim berkata, penangkapan itu menjawab persoalan mengapa haiwan peliharaannya sering dijumpai mati sebelum ini.

Malah menurutnya, itik belaannya sebanyak 1,000 ekor sebelum ini hanya tinggal 800 ekor sahaja kerana dipercayai menjadi mangsa semburan bisa ular tersebut.

Tangkapan ular senduk terbabit adalah kali kedua yang dibuat kerana pagi sebelumnya, seekor ular sawa sepanjang 0.3 meter yang telah memakan telur ayam dan cuba membaham itik berjaya ditangkap kira-kira jam 11.30 pagi.

Rahim berkata, dia menyedari kehadiran ular sawa itu ketika mahu mengutip telur itik peliharaannya yang terletak di ladang sawitnya sebelum bertindak menghubungi PBS Bandar Ketengah Jaya.

Sementara itu, Pengerusi PBS Bandar Ketengah Jaya, Ramli Mat berkata, dia bersama lima lagi anggota segera bergegas ke ladang ternak tersebut apabila dimaklumkan penemuan reptilia terbabit sebelum berjaya menangkapnya.

“Ular sawa itu mudah ditangkap kerana ia tersekat di pukat di dalam ladang. Pagi tadi pula sekali lagi tuan rumah melaporkan menjumpai ular senduk dan kita berjaya menjerat ular terbabit yang terperangkap dalam kolam ikan keli,” katanya.

Kenderaan dipandu laju

Kenderaan dipandu laju
Jenazah Abdul Wahab dihantar ke kampung halamannya di Kuala Lumpur.
MACHANG - Timbalan Ketua Polis,Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala  Krai dan anggota berpangkat sarjan maut dalam kemalangan ngeri membabitkan dua kenderaan di Kilometer 35, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, di sini, semalam.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1 pagi di Kampung Labok itu turut mengorbankan seorang warga emas, Membunga Mamat, 60.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, Deputi Superintenden Abdul Wahab Yaacob, 56 dan Sarjan Abd Kadir Kumin, 48 dalam perjalanan dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu sebelum kejadian.

Katanya, kenderaan jenis BMW yang dipandu Abd Kadir bertembung dengan sebuah Pajero yang datang dari arah bertentangan.

“Pemandu Pajero terbabit yang juga anak kepada Membunga, Mohd Saari Asmawi, 36 cedera parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

“Punca kejadian masih disiasat dan kedua-dua kenderaan dipercayai dipandu laju. Jenazah Abdul Wahab akan dihantar ke Kuala Lumpur manakala Abd Kadir akan dihantar ke kampung halamannya di Ulu Chenka, Jerantut, Pahang.

“Segala urusan jenazah akan diuruskan dengan cara yang terbaik,” katanya.

Beliau turut hadir ke tempat kejadian dan ke Hospital Machang bagi meninjau kejadian tersebut.

Jenazah dimandikan dan dikapankan di Hospital Machang sebelum di hantar ke kampung halaman masing-masing.

Abdul Wahab difahamkan baru memulakan tugasnya di IPD Kuala Krai sebulan lalu.

Sementara itu, adik Membunga, Napisah, 58 berkata, kakaknya bersama anak, mertua dan dua orang cucu dalam perjalanan pulang ke Gua Musang selepas menghantarnya ke Bachok.

“Mereka sekeluarga menghantar saya pulang ke Kampung Kubang kawah, Bachok selepas saya ke Gua Musang bagi meraikan perkahwinan anak arwah.

Saya hanya mengetahui kejadian ini kira-kira jam 3 pagi selepas menerima panggilan daripada Balai Polis Machang,” katanya.

Manakala anak Abd Kadir, Farid Ikhwan, 21 berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira jam 2.30 pagi.

“Kali terakhir saya berjumpa ayah dua minggu lalu,” katanya yang tinggal di Kubang Kerian.

Orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang atau menghubungi Pegawai Penyiasat,
Inspektor Zolkifli Said di talian 09-9751223.

'Saya ingin kembali ke pangkal jalan'

'Saya ingin kembali ke pangkal jalan'

Nur ingin lupakan kisah silamnya dan ingin kembali ke pangkal jalan.
DUNGUN – “Saya ingin kembali ke pangkal jalan, namun siapa yang boleh membimbing saya? Semuanya hendak mengambil kesempatan, saya hanya menjadi mangsa pemuas nafsu
lelaki sahaja, tidak lebih daripada itu."

Demikian rintih seorang gadis berusia awal 20an yang difahamkan dinodai lebih 10 kali oleh lelaki yang dikenali.

Dia yang hanya mahu dipanggil Nur mengaku mula terjebak setelah ibu dan bapanya yang masing-masing berasal dari Gurun, Kedah serta Dungun bercerai lebih empat tahun lalu.

Kata Nur, ketika itu dia baru berusia 16 tahun dan sedang menuntut di tingkatan empat disalah sebuah sekolah berdekatan bandar Dungun.

"Sejarah hitam saya bermula ketika berada di rumah ibu bersama bapa saudara.

"Saya tidak sangka bapa saudara sendiri sanggup melakukan perbuatan terkutuk terhadap saya," katanya.

Kata Nur, sejak kejadian itu, dia trauma. Hidupnya terumbang-ambing dan tidak tahu dengan siapa hendak mengadu.

"Saya kemudian menemui lelaki yang saya anggap boleh menjadi tempat untuk bergantung, namun pujuk rayunya membuatkan saya sekali lagi terjebak ke lembah hina.

"Sejak itu saya makin berani dan liar," katanya yang berasal dari Kampung Paya Balai Besar.

Disebabkan terlalu mengikut nafsu remajanya, dia kemudiannya dibuang sekolah tanpa sempat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sejak berhenti sekolah, saya melakukan hubungan seks lebih dari sepuluh kali.

“Saya menjadi semakin liar kerana tiada siapa yang ingin membimbing saya, ibu bapa saya bercerai malah semua lelaki yang mengenali saya pula mengambil kesempatan di atas kelemahan saya,” katanya selepas ditahan pihak berkuasa kerana disyaki berkhalwat dengan seorang kaki dadah yang bekerja sebagai pemasang jubin di sebuah rumah dekat sini.

Akibat terlalu tertekan, Nur juga mengambil dadah jenis methampethamine dan melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara kehidupannya.

"Saya mahu berubah tetapi siapa yang sudi menerima dan membimbing saya yang sudah jauh terpesong ini.

"Saya tidak kuat untuk melakukannya seorang diri, saya perlukan sokongan mereka yang boleh dipercayai," katanya.

Bapa, anak dicekup polis

Bapa, anak dicekup polis
Sheik Azhar (kanan) menunjukkan barang kes yang berjaya dirampas.
JELI - Dua beranak ditahan polis ekoran penemuan dadah jenis Heroin hasil serbuan di sebuah rumah dekat Kuala Balah jam 6.30 pagi kelmarin.

Hasil serbuan sepasukan anggota polis dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Jeli berjaya menemui satu botol plastik mengandungi serbuk putih disyaki Heroin dan 60 tiub straw dadah jenis sama yang disembunyikan dalam kotak rokok diletak atas rak kain rumah terbabit.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintenden Sheik Azhar Sheik Omar berkata, ekoran itu seorang bapa dan anaknya ditahan kerana disyaki bersekongkol dalam penyalahgunaan dadah
tersebut.

“Ketika serbuan polis mengetuk pintu depan rumah tersebut namun tiada tindak balas dari pemiliknya.

“Kemudiannya pihak kami bertindak memecahkan pintu belakang dan mendapati suspek cuba melarikan sebelum berjaya menahan dua beranak terbabit,” katanya.

Sheik berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah tersebut pihaknya menemui satu botol plastik cerah berserta 60 tiub straw yang mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis Heroin di atas rak kain.

“Polis kemudian merampas dadah tersebut dan pemeriksaan awal air kencing mendapati suspek seorang bapa berumur 58 tahun positif dadah dan anaknya 18 tahun negatif dadah.

Dua beranak terbabit ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut seksyen 39A(1)ADB 1952 dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara tidak kurang dua tahun atau tidak lebih lima tahun dan tidak kurang tiga dan tidak lebih sembilan sebatan.

Curi di Sepang, jumpa di Melaka

Curi di Sepang, jumpa di Melaka
Lembu curi diletakkan dalam kandang di jalan Solok Binjai, Pengkalan Balak.
ALOR GAJAH - Sebanyak 16 lembu peliharaannya yang hilang di Jalan Salak, Sepang, awal pagi Isnin lalu disembunyikan di pusat penyimpanan di Jalan Solok Binjai, Pengkalan Balak, dekat sini, petang kelmarin.

Kesemua 16 lembu terbabit dicuri dan disembunyikan di sini sebelum ia dijual kepada pembeli, walau bagaimanapun lapan darinya berjaya ditemui.

Penternak lembu berkenaan, P Kumaree, 47, dia hanya menyedari kehilangan kesemua 16 lembu jenis bharaman, kampung, biasa dan sarley kira-kira jam 12.45 tengah malam Isnin sebelum memaklumkan kepada rakannya.

"Kira-kira jam 7.30 petang Isnin lalu, saya mengurung kesemua 70 lembu ternakan di dalam kandang dan pulang ke rumah selepas memastikan semuanya berada dalam keadaan
selamat.

"Namun kira-kira jam 12.45 tengah malam itu, saya ke kandang sekali lagi dan mendapati jumlah lembu berkurangan sebelum menyedari terdapat kesan tayar lori berdekatan kandang," katanya kepada Sinar Harian.

Kumaree berkata, dia yang terkejut dengan keadaan itu terus memaklumkan kepada rakannya dan berusaha mencari di sekitar kawasan berkenaan.

"Sejurus selepas itu saya dimaklumkan rakan berhubung penemuan lembu saya di Melaka. Saya terus bergegas ke sini, namun hanya menemui lapan dari 16 lembu yang hilang dan usaha
menjejaki lapan ekor lagi masih diteruskan," katanya.

Katanya, ketika berada di sebuah kadang di Ayer Hitam Darat, dia menyedari seekor dari lembu yang dikurung adalah lembu ternakannya yang hilang berdasarkan kepada kesan yang ada pada lembu berkenaan.

"Namun apabila ditanya, lelaki itu mendakwa lembu berkenaan dibeli sendiri dan mempunyai dokumen urusan jual beli. Saya mengesyaki baki lembu yang hilang sudah pun dijual," katanya
ketika ditemui di lokasi penemuan lembu ternakannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, lapan ekor lembu ternakan yang dicuri dan ditemui semula itu diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk tindakan lanjut.

Gadis ceria kini trauma selepas cuba dicabul

ʻSaya serik lalu jalan ituʼ
Mangsa bersama laporan polis dibuat di IPD Sabak Bernam, pagi, semalam.
SUNGAI BESAR (Sabak Bernam) – Kehidupan seorang gadis yang ceria sebelum ini bertukar trauma selepas berdepan detik cemas menjadi mangsa cubaan ragut dan cabul ketika melalui jalan lama semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya, jam 9 malam, di sini, kelmarin.

Mangsa, berusia 25 tahun itu berkata, dia bersama adik perempuannya, 18, ketika itu menaiki motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang di Pekan Sungai Besar.

Katanya, semasa melalui jalan lama di kawasan itu lampu jalan berada dalam keadaan malap.

“Seorang lelaki berbadan sederhana yang turut menaiki motosikal di jalan itu secara tiba-tiba menghimpit kami berdua dan cuba merentap pakaian saya.

“Melihat keadaan sedemikian saya cuba menepis tetapi lelaki berkenaan tetap cuba menarik baju,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak
Bernam, pagi semalam.

Menurutnya, lelaki itu itu semakin agresif kerana pada masa kejadian tiada kenderaan menggunakan laluan berkenaan.

Katanya, dia kemudian tekad menjerit menyebabkan suspek terkejut seterusnya memecut motosikal meninggalkan mereka dua beradik berkenaan.

“Saya dan adik cuba mengejar namun malangnya lelaki berkenaan memecut pantas. Kami juga gagal untuk mengecam nombor plat motosikal yang digunakan suspek,” katanya.

Menyifatkan ini kejadian pertama yang berlaku kepada dirinya, dia meminta pihak berkuasa mengadakan rondaan lebih kerap di kawasan berkenaan.

“Apa yang berlaku menyebabkan saya trauma serik untuk melalui jalan itu terutama dengan menaiki motosikal pada waktu malam pada masa depan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.

Pada masa sama, Noor Mushar meminta orang ramai lebih berwaspada di samping melaporkan kepada polis sekiranya berlaku kejadian jenayah di kawasan mereka.

Lima ditahan pecah rumah

JOHOR BAHRU - Lima lelaki ditahan polis cawangan jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nusajaya dan Balai Tanjung Kupang dalam serbuan di sebuah rumah di pangsapuri Kenari, Bandar Baru Kangkar Pulai, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supritendan Nor Hashim Mohamad berkata, pihaknya turut berjaya menjumpai semula barang-barang yang disyaki dicuri iaitu sebuah televisyen LCD 32 inci dan satu tangki motosikal.
“Bertindak atas maklumat dan risikan jenayah kes pecah rumah, sepasukan anggota polis cawangan jenayah IPD Nusajaya dan Balai Polis Kangkar Pulai membuat serbuan di sebuah pangsapuri Kenari.
“Lima lelaki berusia 21 hingga 27 tahun berjaya ditangkap di rumah berkenaan. Semasa pemeriksaan dibuat, polis menjumpai barang-barang yang disyaki dicuri iaitu TV LCD yang dicuri bersangkut kes pecah rumah di pangsapuri Merak dan satu tangki motosikal,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di IPD Nusajaya, di sini, semalam.
Menurutnya, kesemua suspek direman semalam untuk siasatan lanjut berkenaan beberapa kes pecah rumah di kawasan Nusajaya dan kawasan Johor Bahru.
Selain itu, katanya, tiga daripada lima suspek didapati positif Syabu, manakala seorang positif heroin.
“Mereka ditahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga lima tahun berserta denda jika sabit kesalahan.
“Jika kesalahan yang dimaksud hendak dilakukan itu adalah kesalahan mencuri maka tempoh penjara itu boleh dilanjutkan hingga 14 tahun atau mana-mana satu kesalahan itu yang dilakukan kali yang kedua atau kemudian bolehlah juga dikenakan denda atau sebatan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nor Hashim berkata, pihaknya menahan dua individu berusia awal 20an yang terlibat dengan jenayah curi ‘sport rim’ dengan menggunakan dua buah kereta.

“Siasatan sedang dijalankan. Polis ada membuat rampasan kereta yang digunakan oleh suspek. Tangkapan ini dibuat kerana polis ada menerima laporan berhubung kes-kes curi ‘sport rim’ di Nusajaya,” katanya.

Polis kejar 'polis palsu'

Polis kejar 'polis palsu'
Hashim menunjukkan peralatan yang digunakan suspek
NUSAJAYA - Tindakan pantas sepasukan anggota dari Balai Polis Tanjung Kupang, berjaya memberkas seorang daripada tiga suspek yang menyamar polis dan melakukan samun di Kampung Tiram Duku, Gelang Patah, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Kejadian kejar mengejar suspek oleh anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah terdiri daripada Sarjan Jasmi Sabtu; Lans Korperal Wan Mohd Syamim Ismail dan Konstabel Muhamad Daroh Che Mat sejauh satu kilometer berjaya menahan suspek seterusnya mendapatkan semula barangan samun.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kes itu sekitar jam 1.10 pagi.
Menurutnya, bertindak daripada maklumat itu, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian, seterusnya mendapati dua mangsa diikat oleh suspek terbabit.
“Polis berjaya menangkap salah seorang daripada suspek, manakala dua yang lain telah melarikan diri menggunakan kenderaan.
“Hasil siasatan, polis telah berjaya merampas sebuah kereta jenis Proton Saga yang digunakan suspek untuk melakukan kes samun,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya, di sini, semalam.
Nor Hashim berkata, kumpulan itu didapati terlibat dengan lima kes samun di sekitar kawasan Nusajaya malah dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah sama di sekitar Wilayah Iskandar sejak empat bulan lalu menggunakan kereta jenis Proton Saga dan menyamar sebagai polis.
“Mereka akan melakukan samun dengan cara masuk ke dalam rumah selepas menyamar sebagai anggota polis.
Mereka kemudiannya akan mengikat kesemua mangsa,” katanya.
Pihaknya turut berjaya menemui peralatan yang digunakan suspek untuk kegiatan samun dan beberapa paket lut sinar dipercayai dadah.
Katanya, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis Heroin dan semakan rekod lampau mendapati lelaki terbabit mempunyai lima rekod lampau melibatkan kes dadah.
“Antara peralatan yang ditemui adalah sebatang besi pencungkil, sebilah pisau, besi Allenkey yang diubahsuai, pemutar skru, kikir besi, kunci kereta, gunting pokok bunga, pemetik api, lampu suluh, sebilah parang berukuran 12 inci, beg pinggang, sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM156.
“Seorang suspek yang ditahan ini juga mempunyai satu rekod jenayah (orang yang dikehendaki) bersabit kes dadah.
Polis masih mengesan dua lagi rakan suspek yang masih bebas dan telah dikenali pasti identitinya,” katanya.

2 lelaki dicari bantu siasatan

2 lelaki dicari bantu siasatan
Mohd Mokhtar (dua kanan) menunjukkan dadah yang dipercayai syabu dan ecstasy yang berjaya dirampas, semalam
PONTIAN - Polis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan dadah berjumlah RM18 juta di sebuah kilang makanan sejuk beku yang terbakar di Kawasan Perindustrian Baru Pekan Nenas, dekat sini Isnin lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kedua- dua lelaki itu dicari bagi membantu siasatan polis dalam kegiatan memproses dadah di kilang berkenaan.
“Kita mahu agar kedua-dua lelaki ini menyerah diri bagi membantu siasatan. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi balai polis berhampiran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini, semalam.
Selain itu katanya, seorang lelaki berusia 38 tahun yang dipercayai terlibat dalam sindiket terbabit telah ditangkap di Kulaijaya Rabu lalu, bagi membantu siasatan.
“Suspek yang ditangkap tidak mempunyai rekod jenayah dan kini dia sedang ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.
Menurutnya, polis juga kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti modus operandi, tempoh beroperasi dan mereka yang terlibat dalam kes penemuan dadah yang dianggarkan
bernilai RM18 juta selepas kilang tersebut terbakar.
Beliau berkata, hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, polis telah menemui dan merampas 20.230 kilogram dadah dipercayai syabu dan 249,000 pil ecstasy yang boleh menampung keperluan 350,150 penagih.
“Turut dirampas, tiga pucuk pistol dan 20 butir kelongsong peluru bersama sebuah kereta Mercedes Benz dan sebuah Honda Odyssey bernombor pendaftaran asing,” katanya.
Katanya, polis percaya dadah yang dihasilkan di kilang tersebut dipasarkan di pasaran tempatan dan luar negara.
“Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan seksyen 32 ADB 1998, serta Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971.

Pusat sembelih itik terbakar

BATU PAHAT - Seorang pekerja pusat penyembelihan itik terbunuh dalam kebakaran melibatkan premis tersebut di Jalan Minyak Beku, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Yuti, 33, yang tinggal di bangunan tersebut bersama dua lagi rakan sekerjanya ditemui rentung seluruh badan.
 Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ketika kejadian, rakan mangsa baru bangun dan hendak memulakan kerja sebelum menyedari sebuah meja terbakar di tingkat bawah.
Menurutnya, berikutan api yang semakin marak mereka segera menyelamatkan diri.
“Namun, mangsa yang ketika itu masih tidur tidak dapat menyelamatkan dirinya dan mayatnya ditemui rentung di lantai.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Batu Pahat untuk bedah siasat dan urusan selanjutnya,” katanya.
Din berkata, seorang daripada rakan mangsa melecur hampir 60 peratus bahagian badan dan kini sedang mendapatkan rawatan.
Katanya, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada api lilin yang menyambar meja papan di tingkat bawah bangunan terbabit.
“Sehingga kini, siasatan mendapati tiada unsur jenayah berlaku, namun siasatan akan terus dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid, Sabri Roslan berkata, dua buah jentera dengan kekuatan seramai 34 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian
untuk memadamkan kebakaran.
“Kami menerima panggilan pada jam 5.48 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 6 pagi sebelum api dapat dikawal pada jam 7.05 pagi.
“Seorang mangsa ditemui rentung terbakar di dalam rumah pekerja itu manakala seorang lagi mengalami kecederaan dan seorang lagi terselamat.
“Hasil siasatan awal mendapati kerugian dialami kira-kira RM355,000.
Katanya, orang awam dinasihatkan untuk lebih berhati- hati terutamanya ketika menggunakan lilin bagi mengelak daripada berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.