AYER KEROH - Seorang pengurus dan seorang pekerja pusat hiburan, masing-masing didenda RM2,000 dan RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku salah menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen.

Lee Soon Seng, 29, dan Mohd Arizan Bahaludin, 33, membuat pengakuan itu pada dua prosiding berasingan di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, Soon Seng didakwa menjalankan perniagaan bar dan pub tanpa lesen sah di Jalan MP3, Taman Merdeka Permai, kira-kira jam 8.15 malam pada 17 Mei lalu.

Manakala, Mohd Arizan didakwa menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen sah di sebuah rumah di Jalan BU2, Taman Bachang Utama, Batu Berendam, kira-kira jam 5.30 petang pada 3 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM500 dan tidak lebih RM5,000 jika sabit kesalahan.

Soon Seng dalam rayuannya memohon hukuman diringankan dengan alasan tidak mempunyai wang kerana baru saja membuka perniagaan bersama rakan.

Manakala, Mohd Arizan yang diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan masih bujang dan baru bekerja dengan pendapatan kurang RM800.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Zaini A Aziz memohon hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh.

Syajaratudur kemudiannya memerintahkan Soon Seng didenda RM2,000 dan Mohd Arizan didenda RM1,500. Jika gagal membayar denda berkenaan, mereka boleh dipenjara tiga bulan.