BATU PAHAT 13 Jun - Seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pengasuh hari ini didakwa atas tuduhan membunuh seorang bayi jagaannya di sebuah rumah sewa di Taman Bandar di sini pada akhir bulan lalu.
Prosiding pendakwaan terhadap Tan Siew Bee, 42, dijalankan di Wad 4, Hospital Batu Pahat yang diisytiharkan sebagai Mahkamah Majistret kerana wanita terbabit masih menerima rawatan akibat patah kaki di hospital berkenaan.
Siew Bee didakwa membunuh Lim Xiu Yao yang berusia empat bulan di sebuah rumah di Jalan Panti, Taman Bandar antara pukul 1.30 petang, 29 Mei dan 7.10 petang, 31 Mei lalu.
Tertuduh yang tidak menunjukkan sebarang emosi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang berseorangan tanpa ditemani ahli keluarga mahupun rakan-taulan, memaklumkan memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Safiah Abdul Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rosmaliana Osman menetapkan sebutan semula kes pada 11 Julai ini sementara menunggu laporan bedah siasat dan membolehkan tertuduh melantik peguam bela.
Media baru-baru ini melaporkan orang awam yang sedang berjoging menemui mayat bayi perempuan itu di kawasan Tasik Y di sini kira-kira pukul 7 malam, 31 Mei lalu.
Bapa mangsa, Lim Aik Zheng, 39, yang tinggal di Taman Banang Jaya di sini pada mulanya mencari anaknya di rumah tertuduh pada 30 Mei lalu, namun dimaklumkan anak tertuduh bahawa pengasuh itu telah membawa mangsa ke Tasik Y sejak kira-kira 4.30 pagi, kononnya untuk menampal iklan khidmat mengasuh.
Laporan perubatan menunjukkan mangsa mati akibat lemas.
Dimaklumkan tertuduh pada awalnya memberitahu polis, dia dilarikan tiga lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta di Tasik Y, namun berjaya melepaskan diri sebaik sahaja kenderaan itu menghampiri Stadium Batu Pahat.
Tertuduh kemudiannya mendakwa dia melarikan diri ke tingkat atas stadium itu namun terjatuh sehingga menyebabkan kakinya patah.
Bagaimanapun, polis memberitahu, akhirnya tertuduh mengaku membuang bayi itu di Tasik Y akibat panik setelah menyedari mangsa telah mati dan tertuduh kemudiannya dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat atas Stadium Batu Pahat.