Search This Blog

Wednesday, June 13, 2012

Rayu pemandu kereta tampil


Rayu pemandu kereta tampil
Yoke Soy menceritakan kejadian yang hampir meragut nyawanya kepada Andrew
yang membuat lawatan ke HSI, semalam
JOHOR BAHRU – Mangsa kemalangan jalan raya merayu pemandu kereta yang didakwa melanggarnya dalam kejadian di kilometer 18 Lebuh Raya Pasir Gudang-Perling pada 5 Jun lepas tampil menyerah diri.

Wong Yoke Soy, 47, berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 9 malam itu menyebabkan tangan dan tulang rusuk kanannya patah serta mengalami luka yang serius seluruh badan.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku ketika dia menunggang motosikal pulang dari tempat kerja di Pasir Gudang menuju ke rumahnya di Taman Universiti, Skudai.

“Saya tidak ingat kereta jenis apa yang melanggar saya, tetapi warnanya seperti merah kerana sebaik saya terjatuh daripada motosikal, pemandu itu terus memecut laju.

“Saya tidak sangka dia (pemandu) tergamak membiarkan saya kesakitan seorang diri, tetapi bernasib baik kerana ada pemandu lori membantu dengan menghubungi ambulans,” katanya kepada media yang hadir membuat lawatan bersama Ahli Jawatankuasa DAP Negeri, Andrew Chen Kah Eng di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, semalam.

Yoke Soy berkata, pemandu kereta yang melanggarnya diminta bertanggungjawab dan tampil menyerah diri untuk membantunya membuat tuntutan insurans.

Menurutnya, sudah seminggu dia dirawat di HSI dan bimbang dengan masa depan keluarganya yang hanya bergantung harap kepada pendapatannya, memandangkan anak sulungnya baru menamatkan pengajian.

“Saya rayu pemandu kereta tampil serah diri kerana dia hanya dikenakan saman sahaja, berbanding jika dia ditangkap dan boleh membantu saya dalam membuat tuntutan insurans.

“Saya masih ada dua anak yang bersekolah, sedangkan isteri tidak bekerja. Tolonglah bertanggungjawab dan tidak lepas tangan dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Andrew berkata, pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan berkenaan diminta tampil kerana jika ditangkap boleh disiasat di bawah Seksyen 52 yang mana jika didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

“Kita juga mengharapkan kerjasama orang ramai yang melihat kejadian supaya tampil memberikan maklumat agar pemandu kereta yang masih enggan menyerah diri dapat ditangkap segera,” katanya.

Polis Melaka tahan 12 lelaki ketika asyik hisap dadah


MELAKA - Seramai 12 lelaki termasuk seorang remaja yang sedang asyik menghisap dadah ditahan dalam satu serbuan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Kompleks Penjara Sungai Udang di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Supt Md Azmi Othman berkata kesemua mereka berusia antara 19 hingga 48 tahun itu ditahan dalam operasi selama lima jam bermula 6.30 pagi tadi.

Beliau berkata polis turut merampas satu paket plastik dan tiub straw yang dipercayai mengandungi dadah jenis heroin.

"Operasi ini hasil risikan polis selama seminggu dan ketika operasi anggota polis yang terdiri daripada dua pegawai dan 12 anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPK negeri telah bersembunyi di dalam ladang tersebut sebelum menahan kesemua suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. - Bernama

Pekerja ladang dirogol penjual karpet


Pekerja ladang dirogol penjual karpet
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru, Tan Kam
Sang (kanan) ketika melawat mangsa di rumahnya. Turut kelihatan bapa tiri
mangsa (kiri).
BENTONG – Seorang pekerja ladang dirogol penjual karpet warga asing dalam semak di Kilometer 24 Jalan Karak-Kuala Pilah, ketika wanita itu sedang berjalan pulang, kira-kira jam 1.30 petang, kelmarin.

Mangsa yang berusia 45 tahun itu sedang berjalan kaki apabila penjual karpet itu, yang menunggang motosikal, menghampiri dan mengheretnya ke kawasan semak, 50 meter dari situ. Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi  Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, lelaki terbabit memberhentikan motosikalnya dan mengheret mangsa ke semak berhampiran kira-kira 50 meter dari jalan utama.

“Mangsa menjerit meminta tolong, namun lelaki terbabit merogolnya, sebelum melarikan diri,” katanya kepada Sinar Harian. Mohamad Mansor berkata, orang awam yang nampak motosikal itu di tepi jalan berasa curiga. Mereka pergi ke kawasan itu dan menemui wanita itu.

“Polis menahan suspek berusia 25 tahun pada hari yang sama ketika cuba melarikan diri di kawasan ladang berhampiran,” katanya. Lelaki itu direman seminggu.

Setiausaha sulit menteri dapat semula wang tiket Air Asia


PUTRAJAYA - Seorang setiausaha sulit menteri hari ini berjaya mendapat semula bayaran tiket penerbangan ke Medan, Indonesia bernilai RM646 sehala daripada syarikat penerbangan tambang murah Air Asia menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
 
ZoolIhsan Ahmad, 37, Setiausaha Sulit kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menuntut bayaran itu kerana penerbangan berkenaan ditunda pada 20 Mei lepas sehingga beliau tidak dapat menjalankan tugas rasmi di Medan.
 
"Pesawat sepatutnya berlepas pada pukul 1.40 petang. Tetapi pada 12.20 tengah hari saya menerima khidmat pesanan ringkas dari Air Asia yang memaklumkan penerbangan ditunda pada pukul 8.40 malam," katanya kepada pemberita selepas berjaya mendapatkan tuntutan itu di sini hari ini.
 
Beliau berkata, penerbangan pada pukul 8.40 malam juga ditunda dan hanya diketahui semasa beliau sudah mendaftar di kaunter "check-in" di LCCT.
 
Katanya petugas di kaunter juga gagal mengesahkan waktu selanjutnya penerbangan berlepas dan hanya memberitahu tidak pasti sama ada 10.45 malam, 10.50 malam atau 11 malam.

"Mereka juga tidak beritahu sebab ia ditunda. Saya hubungi menteri sekali lagi dan beliau berkata tidak perlulah saya ke Medan kerana penerbangan sudah ditunda berkali-kali. Saya kemudiannya terpaksa balik ke rumah," kata beliau yang memfailkan tuntutan kepada TTPM pada 29 Mei.
 
Sementara itu wakil bahagian undang-undang Air Asia berkata pihaknya memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan memaklumkan penerbangan itu ditunda kerana menghadapi masalah teknikal.
 
Penyelesaian antara kedua belah pihak dicapai apabila Presiden TTPM Rehana Abd Razak memerintahkan Air Asia membayar semula wang itu kepada mangsa dalam masa tujuh hari bermula esok.
 
Pada tahun ini sehingga 31 Mei, sebanyak 26 kes tuntutan dibuat di TTPM melibatkan Air Asia. - Bernama

Bekas pengurus kredit dipenjara pecah amanah


KUALA LUMPUR - Bekas pengurus kredit Hotel Le Meridien dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan pecah amanah melibatkan lebih RM299,000 kira-kira tiga tahun lepas.
 
Hakim S.M Komathy Suppiah yang membuat keputusan itu mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh, Ai'ra Abdul Aziz, 33, di akhir kes pembelaannya di atas tiga pertuduhan.
 
Mahkamah menjatuhi hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak berkuatkuasa mulai hari ini.
 
Mengikut pertuduhan, Ai'ra didakwa melakukan pecah amanah dengan memasukkan wang berjumlah RM299,086.42 dari akaun milik Hotel Le Meridien ke dalam tiga akaun kad kreditnya, iaitu di Am Bank, Maybank dan Public Bank.
 
Wanita itu dikatakan melakukan kesalahan di pejabat kewangan Hotel Le Meridien, Jalan Stesen Sentral, Brickfields di sini antara November 2008 dan Ogos 2009. 
 
Menurut hakim itu, terdapat keterangan saksi iaitu Pengarah Kewangan hotel berkenaan, L.Aloysius Kumar dan Penolong Pengawal Kewangan hotel, Choo Mun Ling menafikan mereka memberi kebenaran atau meluluskan transaksi yang dilakukan tertuduh.
 
Komathy berkata sebanyak 109 transaksi kad kredit, yang kesemuanya berjumlah RM299.086.42, dimasukkan ke dalam tiga akaun kad kredit tertuduh, dan sebelum transaksi itu dilakukan perlu mendapat kelulusan daripada Aloysius Kumar atau Choo terlebih dahulu.
 
Tertuduh dalam pembelaannya mendakwa telah mendapat persetujuan daripada Aloysius Kumar untuk menggunakan akaun bank hotel bagi menerima keuntungan daripada pelaburan bapanya (tertuduh) yang berurusan dengan sebuah syarikat pelaburan swasta.
 
Hakim itu berkata keterangan tertuduh itu tidak masuk akal kerana tiada polisi hotel yang membenarkan kakitangannya menggunakan akaun bank untuk urusan peribadi.
 
Komathy membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan memerintahkan ikat jamin yang dikenakan terhadap tertuduh dinaikkan dari RM10,000 kepada RM15,000 dengan seorang penjamin.  - Bernama

Kanak-kanak enam tahun dipercayai didera bapa tiri




13 Jun 2012
KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera di bahagian punggung dan jari dipercayai didera oleh bapa tirinya.
  
Kejadian itu dipercayai berlaku antara 4 hingga 9 Jun ketika kanak-kanak itu berada di rumah ibunya Kampung Gong Machang, Besut pada cuti persekolahan lalu.
   
Namun insiden itu hanya disedari bapa kanak-kanak itu pada Isnin lalu kira-kira 12.30 tengah hari setelah anaknya itu mengadu sakit di bahagian punggung selepas beberapa hari mengambil anak tunggalnya itu dari rumah bekas isterinya.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata setelah diperiksa bapa kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pemandu jentolak itu melihat ada kesan melecur terkena objek panas pada punggung sebelah kiri anaknya dan setelah didesak, kanak-kanak itu memberitahu bapa tirinya telah mencucuhnya menggunakan objek panas.
  
"Ketika kejadian mangsa berada di rumah ibunya, bagaimanapun  bapanya mengambil anaknya itu pada Sabtu lalu kira-kira jam 7.30 malam dan menghantar anaknya ke rumah neneknya di Kampung Raja, Besut kerana mempuyai urusan di Selangor.

"Setelah pulang anaknya mengadu sakit. Setelah diperiksa bapanya yang berusia 29 tahun itu mendapati kesan luka dan terus membuat laporan di Balai Polis Besut pada hari yang sama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Manoharan berkata mangsa kini dirawat di Hospital Besut untuk rawatan luka sepanjang kira-kira satu sentimeter di bahagian punggung itu.
  
Katanya susulan laporan itu, polis menahan suspek  yang berusia 40 tahun di kediamannya kira-kira pukul 2 pagi semalam.
  
"Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang berasal dari Bandar Permaisuri, Besut ini positif dadah jenis metamphetamine."
  
Suspek yang merupakan penternak ikan sangkar kini direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama

Ibu dan anak pulang ke Malaysia selepas 19 tahun merempat di India




13 Jun 2012
KUALA LUMPUR - Setelah ditinggalkan oleh bapa mereka selama 19 tahun dalam keadaan melarat di India, lima adik beradik dan ibu mereka akhirnya pulang semula ke Malaysia semalam dengan bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia.
  
Mereka ialah Mohammad Yusof Al Safeer, 25n), Bismeera Al Jafeer, 23, Mohammad Yunus Al Safeer, 22 dan Rahimmeera Al Jafeer, 21, yang kesemuanya lahir di Malaysia dan masih berstatus warganegara Malaysia.
  
Menurut Pengerusi biro itu Datuk Muhd Khairun Aseh, anak bongsu iaitu Abdul Manaf Al Safeer, 19, lahir di India dan ibu mereka iaitu Nadeera Mohamedali Maniam adalah warganegara India.
  
"Selepas berkahwin dengan Nadeera pada sekitar tahun 80an, bapa mereka iaitu Mohd Ali Maniam (warganegara Malaysia) telah membawa empat orang adik beradik itu untuk balik ke kampung ibu mereka di Kerala, India pada tahun 1993," katanya kepada pemberita dalam satu majlis yang menemukan keluarga tersebut dengan nenek serta ibu saudara mereka di sini, hari ini.
  
Selepas tinggal beberapa hari, bapa mereka yang bekerja sebagai penebar roti canai telah balik ke Malaysia tetapi kemudian menghilangkan diri tanpa sebarang berita sampai hari ini, katanya.
   
Apabila Nadeera melahirkan anak bongsu, wang belanja mereka pula semakin habis sehinggalah keluarga itu tinggal dalam keadaan yang sangat daif di rumah yang berdindingkan lumpur di Kerala, India, katanya.
  
Walaupun mereka menumpang di rumah ibu Nadeera, tetapi sanak-saudara Nadeera di daerah itu merupakan golongan miskin dan menyebabkan ada anak-anak Nadeera terpaksa bekerja walaupun mereka masih dalam kategori kanak-kanak, katanya.
  
Anak sulung iaitu Mohammad Yusof terpaksa bekerja dan pendapatan beliau sebagai ketua keluarga adalah bersamaan RM10 sehari, katanya.
  
Kakak ipar Nadeera iaitu Rukkiya Ibrahim dan ibu mentuanya, Fatima Abdullah, 68 tahun (ibu kandung Ali Maniam) turut tertanya-tanya keadaan keluarga itu tetapi, Ali sendiri menyepikan diri daripada menghubungi mereka yang masih tinggal di Jelebu, Negeri Sembilan.
  
Selepas memikirkan penganiayaan yang mungkin berlaku ke atas Nadeera dan anak-anaknya, Rukkiya kemudian meminta izin suami untuk membantu adik iparnya itu balik ke Malaysia malahan beliau dan adik-beradik yang lain menghantar wang belanja sebanyak RM500 setiap bulan untuk membantu Nadeera, katanya.

Oleh kerana masalah birokrasi di India, Rukkiya kemudian meminta bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno dan perbincangan biro tersebut dengan pihak Imigresen India hampir menemui jalan buntu kerana keluarga tersebut telah melanggar peraturan imigresen disebabkan tinggal melebihi tempoh, kata Khairun.
  
Selepas menimbangkan faktor kemanusiaan, akhirnya kerajaan India melepaskan mereka dan dengan sikap bertimbang rasa Jabatan imigresen Malaysia, ibu dan anak bongsu keluarga tersebut yang bertaraf warganegara India berjaya dibawa pulang.
  
"Saya menyifatkan kejayaan ini sebagai yang paling manis. Ia adalah satu usaha yang sangat sukar tetapi dengan izin Allah, kejayaan ini berlaku. Sekarang kita akan mengusahakan supaya Nadeera dan anak bongsunya mendapat penghidupan yang lebih baik di Malaysia," katanya.
  
Suasana di pejabat biro terbabit sangat menghibakan, nenek kepada lima adik beradik tersebut iaitu Fatima yang menggunakan kerusi roda tidak putus-putus mengesat air mata.
  
Untuk pertama kalinya di hadapan media, beliau yang kini semakin uzur menerima kucupan dari cucu-cucunya dan menantu yang sudah tidak dilihat selama 19 tahun, ketika keluarga itu pergi ke India, Fatima hanya mengingati wajah cucu-cucunya yang masih kecil.
  
"Ali baliklah ke pangkuan keluarga. Anak-anak dan isteri semua sudah berada di sini. Baliklah nak, kita bersatu semula, mak semakin uzur," kata Fatima yang percaya anak lelakinya itu kini sedang bekerja di selatan tanahair.
  
Sementara itu, kakak ipar Nadeera iaitu Rukkiya, orang yang mengusahakan keluarga itu kembali ke tanah air berjanji menyediakan tempat tinggal kepada keluarga tersebut dan akan mengadakan pertemuan dengan adik-beradik yang lain.
  
"Saya tidak dapat membantu (membawa mereka pulang) dahulu kerana saya masih mempunyai anak dan keadaan kami suami isteri ketika itu masih lagi sukar. Kini Allah telah mengurniakan saya rezeki dan menyenangkan hidup kami, saya berusaha untuk membantu anak saudara dan adik ipar saya pula," katanya yang melahirkan rasa puas hati kerana dapat menjalankan tanggungjawabnya. - Bernama

Gempar motosikal tiba-tiba terbakar



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Jun 2012
SEMELING – Orang ramai gempar apabila sebuah motosikal yang dinaiki pemiliknya ketika dalam perjalanan dari arah Sungai Batu ke Titi Semeling hangus terbakar dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin.

Mangsa yang ketika itu sudah tiba dekat lampu isyarat simpang empat sebelum ke Titi Semeling menyedari terdapat bau hangit pada kenderaannya dan kemudian berhenti di bahu jalan.

Motosikalnya yang secara tiba-tiba terbakar menarik perhatian pengguna jalan raya lain untuk berhenti dan menyaksikan kejadian.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Wanita pura-pura jadi pelanggan



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Jun 2012
Wanita pura-pura jadi pelanggan
Hasil rakaman CCTV yang merakamkan perbuatan wanita terbabit.
SEREMBAN – Seorang wanita berpura-pura menjadi pelanggan di sebuah pusat rawatan dan kecantikan di Jalan Tun Dr Ismail di sini, sebelum melarikan beberapa barangan berharga, dipercayai milik pekerja pusat rawatan itu, dalam kejadian 9 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, wanita terbabit mengambil kesempatan melarikan beberapa barangan yang ditinggalkan di atas meja semasa ketiadaan pekerja di pusat rawatan itu.

“Wanita berusia lingkungan 30-an itu melarikan beberapa barangan dan wang tunai RM2,000, dengan anggaran kerugian RM7,000," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.

Hamdan berkata, siasatan mendapati wanita terbabit menulis maklumat palsu mengenai butir peribadi ketika mengisi borang untuk mendapatkan rawatan di pusat terbabit.

Bagaimanapun menurutnya, perbuatan wanita itu berjaya dirakam oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Hasil rakaman jelas menunjukkan wanita yang memiliki saiz tubuh besar seperti sedang mengandung itu melarikan barangan terbabit.

"Justeru, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian hotline 06-6014999 atau balai polis berdekatan," katanya.

Lori bawa muatan pasir hilang kawalan rempuh pagar rumah




12 Jun 2012
SEREMBAN - Sebuah lori seberat tiga tan bermuatan pasir merempuh pagar sebuah rumah selepas dipercayai hilang kawalan dalam kejadian di Taman Bukit Kepayang, di sini hari ini.
  
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, lori tersebut yang datang dari arah sebuah tapak projek pembinaan di atas bukit berhampiran taman berkenaan, dikatakan hilang kawalan ketika menuruni bukit tersebut sebelum melanggar sebuah jentolak dan pagar rumah tersebut.
  
Pemilik rumah tersebut, S. Nalini, 43, berkata ketika kejadian dia sekeluarga tiada di rumah dan hanya mengetahui mengenai insiden itu apabila menerima panggilan daripada jirannya.
  
Nalini yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mewah di sini, berkata beliau bergegas pulang dan mendapati sebuah lori membawa muatan pasir tersadai di tepi rumah manakala sebahagian pagar rumahnya runtuh.
  
"Ketika kejadian hanya pembantu rumah yang berada di rumah manakala anak-anak saya pergi ke sekolah. Mujur anak-anak ke sekolah kerana kebiasaannya pada hari cuti dan hujung minggu, mereka bermain di ruang tepi rumah," katanya.

Sementara itu, pemandu jentolak, S. Paramasivam, 37, berkata ketika kejadian dia sedang memandu jentolak berkenaan menghala ke tapak projek tersebut.
  
"Sebaik menghampiri bukit itu, sebuah lori membawa pasir yang sedang menuruni bukit secara tiba-tiba meluncur laju dan melanggar bahagian hadapan jentolak.
  
"Lori itu terus bergerak dan kemudian melanggar pagar rumah. Mujur ada tiang elektrik yang menghalang daripada terus bergerak, jika tidak, pasti sebuah rumah lagi akan terlibat," katanya.
  
Pemandu lori tersebut, yang identitinya tidak dapat dikenal pasti, bagaimanapun terselamat dalam kejadian itu tanpa sebarang kecederaan. - Bernama

Maut langgar tiang elektrik



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Jun 2012
SEREMBAN - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Mambau-Rantau, di sini, kira-kira jam 3 pagi, semalam.

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, mangsa yang hanya dikenali sebagai Chong, 24, memandu kereta jenis Proton Wira dalam perjalanan dari arah Mambau menuju ke Mantin.

“Mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik di lokasi kejadian.

“Rempuhan itu menyebabkan pemandu kereta tersepit dan bomba terpaksa dipanggil untuk mengeluarkannya," katanya.

Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan anggota badan.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian itu berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

Tukang cat edar dadah dicekup



NURUL FATIHAH SULAINI
13 Jun 2012
Tukang cat edar dadah dicekup
Abd Razak (dua, kiri) bersama Mior (kiri) serta Ab Halim memeriksa dadah yang dirampas.
ALOR SETAR - Taktik seorang lelaki bersama dua teman wanita warga asing menggunakan rumah teres satu tingkat untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran tempatan berjaya ditumpaskan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Superintendan Abd Razak Md Zin berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi hampir sebulan lalu dengan menyewa rumah di taman perumahan di Kuala Kedah.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang berada di rumah itu ditahan kira-kira jam 1.30 petang kelmarin dalam operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Kedah.

“Lelaki rakyat tempatan bekerja sebagai tukang cat rumah berumur 41 tahun. Dua teman wanitanya seorang warga Thailand berumur 39 tahun manakala seorang lagi tidak mempunyai pengenalan diri namun dipercayai warga Myanmar berumur 30 tahun.

“Polis turut merampas dadah jenis heroin anggaran 1.175 kilogram (kg) dan syabu 2.04 gram dengan nilai rampasan mengikut pasaran sekitar RM44,100 yang dijumpai dalam bilik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, semalam.

Hadir sama timbalannya, Asisten Superintendan Mior Abdul Khalil dan pegawai penyiasat Inspektor Ab Halim Mohd Sajudi.

Abd Razak berkata, beberapa barangan seperti peralatan menimbang dadah, sebuah kereta Proton Perdana V6, wang tunai RM7,000 dan Thai Baht 41,500 turut disita.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat untuk melakukan proses membungkus dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan.

“Namun kita masih meneruskan siasatan untuk memastikan sindiket yang sama pernah beroperasi di tempat lain sebelum ini atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan saringan ujian urin mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah.

“Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung mandatori.

Mayat lelaki terapung di lombong berdekatan PPR Taman Wahyu




13 Jun 2012
KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki ditemui terapung oleh orang awam di sebuah lombong berdekatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu, Jinjang di sini 8.00 pagi ini.
  
Jurucakap polis ketika ditemui di tempat kejadian berkata: "Mayat yang dikenali sebagai Amir Muslim, 44, ditemui lengkap berpakaian dengan (dokumen) identiti masih berada pada mayat dan terdapat kesan luka pada bahagian dahi.
  
"Berdasarkan keadaan mayat yang sudah kembung, lelaki itu dipercayai telah mati lebih kurang dua hari lepas," katanya.
  
Alamat terakhir lelaki itu, seorang bekas tentera, ialah Kampung Nakhoda, Batu Caves.
  
Menurut jurucakap itu, berdasarkan maklumat seorang rakan si mati, lelaki itu yang tidak bekerja, kerap ke lokasi berkenaan untuk memancing ikan.

Jurucakap itu berkata lelaki tersebut dipercayai terjatuh ke tempat air dalam dan lemas.
  
Katanya, tiada kecederaan mencurigakan pada mayat.
  
Polis mengklasifikasi kejadian terbabit sebagai mati mengejut.
  
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Cubaan lolos diri gagal



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Jun 2012
Cubaan lolos diri gagal
Kereta dinaiki suspek terbabas ketika cuba melarikan diri.
TRIANG – Hanya kerana satu tiub dadah dan sebiji pil khayal, seorang lelaki warga tempatan mengalami kecederaan apabila kereta dinaikinya terbabas ketika dia cuba melarikan diri di Kilometer 30 Jalan Temerloh- Bahau, semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 pagi semalam apabila suspek gagal mengawal kenderaan sebelum berpusing dan terperosok ke dalam longkang.

Menurutnya, polis turut menjumpai satu tiub dadah dipercayai heroin dan sebiji pil khayal jenis Eramin 5.

“Kita menerima maklumat daripada orang ramai mengenai lelaki terbabit yang berada di sekitar kawasan Bangunan Tunas Manja dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa polis tiba, lelakitersebut dipercayai cuba melarikan diri sebelum diarahkan memberhentikan kereta dinaikinya,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, lelaki itu enggan berbuat demikian dan memecut kereta ke arah Triang sebelum dikejar kereta peronda.

Menurutnya, berlaku aksi kejar-mengejar sebelum kenderaan suspek terbabas.

Difahamkan, lelaki berasal dari Felda Mempaga 3 itu mengunjungi daerah ini untuk menemui seorang rakan.

“Suspek yang juga penagih tegar dan mempunyai beberapa rekod lampau itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pekerja mati ditikam



ROHANA ISMAIL
13 Jun 2012
Pekerja mati ditikam
Di sinilah lokasi mangsa terjatuh daripada motosikalnya selepas ditikam oleh seorang
remaja di Kampung Laut, malam kelmarin.
TUMPAT – Percutian seorang pekerja kilang di kampung halamannya bertukar tragedi apabila dia maut ditikam senjata tajam dipercayai sebilah keris ketika cuba menyelesaikan kes pergaduhan melibatkan saudaranya di Kampung Laut di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, mangsa, Mohd Al-Serena Mat Rahim, 26, ditikam oleh seorang remaja lelaki berusia 19 tahun akibat cuba masuk campur menyelesaikan kes saudaranya ditampar berkaitan kejadian menunggang motosikal laju.

Mangsa yang berasal dari Kampung Berlian di sini mengalami kecederaan parah di dada kanan akibat terkena tikaman itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tumpat.

Bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital terbabit.

Bapa mangsa, Mat Rahim Junoh, 58 berkata, anak ketiganya itu daripada lapan beradik baru pulang bercuti dua minggu lalu selepas hampir lapan bulan tidak pulang kerana sibuk bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur.

Katanya, menurut cerita anaknya merupakan adik mangsa, Mohd Faiz, 22, yang turut berada di tempat kejadian, selepas mangsa terkena tikaman itu, dia mengarahkan adiknya dan kawan-kawannya pulang.

“Mangsa menunggang motosikal untuk pulang tetapi selang beberapa langkah motosikal yang ditungganginya itu terbalik,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tumpat.

Menurutnya, Faiz terus mendapatkan abangnya yang terbaring di atas jalan dan panik seketika kerana darah memancut keluar di bahagian dada.
“Terdengar arwah mengerang kesakitan menyebut 'sakit…sakit…'. Selepas itu arwah terus kaku dan dikejarkan ke hospital menaiki kenderaan pacuan empat roda penduduk di situ yang kebetulan melalui kawasan kejadian,” katanya.

Mat Rahim berkata, anaknya ke tempat kejadian di simpang empat berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Sri Kampung Laut bersama lima rakannya menaiki tiga buah motosikal termasuk adiknya itu, Faiz.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang petanda yang pelik, cuma sebelah petang di hari kejadian itu, arwah tidak mahu naik ke rumah. Selepas itu dia tidak pulang ke rumah sehinggalah saya menerima panggilan daripada Faiz mengatakan arwah meninggal dunia,” katanya.

Jenazah arwah dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Berlian di sini, petang semalam.

Sementara itu , Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan, suspek yang berasal dari Kampung Laut melarikan diri ketika serbuan dilakukan di rumahnya.

Katanya, kejadian itu berlaku apabila mangsa ke rumah suspek di Kampung Laut untuk menyelesaikan kes saudaranya yang ditampar oleh suspek.

“Bagaimanapun, suspek meminta mangsa menunggu di simpang empat berdekatan rumahnya itu," katanya.

Jalaluddin berkata, ketika mereka bertemu di simpang itu, mangsa menampar suspek dan berlaku pergelutan.

“Suspek mengeluarkan senjata dipercayai sebilah keris dan terus menikam mangsa terkenadi bahagian dada sebelah kanan,” katanya.

Menurutnya, suspek terus melarikan diri dengan menaiki motosikal berhampiran tempat kejadian yang ditunggangi oleh seorang lelaki.

Penyamun menyamar Pegawai JKM




13 Jun 2012
GEORGE TOWN - Lima sekeluarga kerugian lebih RM40,000 apabila disamun oleh sekumpulan empat penjenayah yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kononnya ingin memberi bantuan kepada mangsa di sebuah taman perumahan di Pulau Tikus, di sini semalam.
  
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata keluarga mangsa itu pada mulanya dikunjungi oleh seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai JKM dan membuat janji untuk menghantar bantuan bersama rakannya pada sebelah petang.
  
Katanya wanita itu kemudiannya datang pada pukul 2.30 petang bersama tiga lelaki berumur lingkungan 30-an dan terus meluru masuk ke dalam rumah mangsa sebelum mengikat semua mangsa.
  
Beliau memberitahu Bernama di sini hari ini, kumpulan perompak itu menyelongkar rumah mangsa dan melarikan wang tunai, barangan kemas serta beberapa barangan berharga bernilai lebih RM40,000 sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.
  
Gan berkata polis telah mengenal pasti kumpulan perompak terbabit dan sedang berusaha menjejaki mereka.
 
"Hasil siasatan awal mendapati keluarga mangsa mengenali salah seorang suspek," katanya.
  
Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum penjara 20 tahun atau sebatan.
  
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
  
"Hasil siasatan awal mendapati keluarga mangsa mengenali salah seorang suspek," katanya.
  
Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum penjara 20 tahun atau sebatan.
  
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. - Bernama

Ibu berdepan hukuman penjara seumur hidup



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Jun 2012
Ibu berdepan hukuman penjara seumur hidup
Anis Juliana dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang ibu kepada tiga anak berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas didakwa memiliki heroin seberat 6.82 gram di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh, Anis Juliana Abdullah, 34, dipercayai memiliki dadah berkenaan selepas bergiat aktif mengedar dadah di beberapa daerah di negeri ini sejak dua tahun lalu.

Dia difahamkan melakukan kegiatan itu untuk menampung kehidupan selepas suaminya dipenjarakan selama tiga tahun juga atas kesalahan dadah.

Bagaimanapun, dia yang beralamat di Kampung Batu 23, Kuala Berang itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, Anis Juliana didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 6.82 gram di sebuah rumah di Taman Binjai, Jalan Dewan Sivik, Rumah Awam Kos Rendah Binjai Rendah,Bukit Payong, Marang, kira-kira jam 3.30 pagi, 29 Febuari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi di hadapan hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Seterusnya Zainal Abidin menetapkan 12 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang ibu ditahan ketika sedang tidur bersama tiga anak lelakinya masing-masing berusia 10, 15 dan 17 tahun di Taman Sri Binjai, Bukit Payong, Marang kerana dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah.

Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dalam satu operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri hasil risikan dan maklumat yang menemui heroin serta pil kuda yang disorokkan di dalam beg tangan miliknya.

Suspek yang tidak bekerja itu dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak dua tahun lalu selepas suaminya ditahan atas kesalahan mengedar dadah pada April 2009 dan dipenjarakan
selama tiga tahun.

Curi kambing: Penganggur dijel empat bulan



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Jun 2012
Curi kambing: Penganggur dijel empat bulan
Ibrahim (kanan) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU - Padah mencuri kambing! Seorang penganggur terpaksa meringkuk dalam penjara selama empat bulan selepas didapati bersalah atas pertuduhan, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly, menjatuhkan hukuman itu terhadap Ibrahim Dollah, 47, selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Ibrahim serta tiga rakannya, yang masih bebas melakukan perbuatan itu pada 5 April lalu kira-kira jam 12.30 tengah hari di Kampung Puteh dengan niat mencuri haiwan terbabit milik Siti Fatimah Mat bernilai RM500.

Atas kesalahan terbabit, Ibrahim dijatuhkan hukuman di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, Ibrahim disoal oleh Mohd Fazaly sama ada, dia mencuri kambing itu untuk dimakan sendiri atau dijual.

Tertuduh hanya menggeleng-gelengkan kepala dan menundukkan ketika berada dalam kamar mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad dan menurutnya, hukuman itu diharap dapat memberi pengajaran kepada Ibrahim dan menjadi teladan kepada masyarakat.

Pemancing hilang di Sungai Kinabatangan




13 Jun 2012
KINABATANGAN - Seorang pemancing dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai Kinabatangan di Kampung Balat di sini semalam.
  
Karpinus Asbanu, 25, dilapor hilang apabila dikatakan tergelincir ke dalam sungai itu pada pukul 5 petang ketika memancing bersama seorang rakannya di kawasan berhampiran Ladang Mesej di kampung itu.
  
Ketua Polis Daerah Kinabatangan DSP Martin Lugu berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan
kerjasama penduduk kampung.
  
"Rakannya cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal apabila mangsa dikatakan tenggelam dihanyutkan arus deras," katanya di sini hari ini. - Bernama

Pengasuh didakwa bunuh bayi dalam jagaannya




13 Jun 2012
BATU PAHAT - Seorang pengasuh didakwa hari ini atas tuduhan membunuh seorang bayi perempuan di bawah jagaannya di rumah sewanya di Taman Bandar, di sini hujung bulan lepas.
  
Prosiding pendakwaan terhadap Tan Siew Bee, 42, yang merupakan ibu tunggal itu dijalankan di Wad 4, Hospital Batu Pahat kerana dia masih menerima rawatan akibat patah kaki.
  
Wanita berkenaan didakwa membunuh Lim Xiu Yao, empat bulan, di sebuah rumah di Jalan Panti, Taman Bandar antara 29 hingga 31 Mei lepas.
  
Lim dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika disabit kesalahan.   

Tertuduh memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Mandarin namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Safiah Abdul Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
  
Pendaftar Mahkamah Sesyen Batu Pahat, Rosmaliana Osman menetapkan kes disebut semula pada 11 Julai ini di Mahkamah Majistret, di sini, sementara menunggu laporan bedah siasat dan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. - Bernama

Dua kenderaan rempuh babi



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Jun 2012
Dua kenderaan rempuh babi
Keadaan Proton Exora yang remuk pada bahagian bonet dan cermin depan penumpang.
ROMPIN – Dua kenderaan remuk selepas masing-masing merempuh seekor babi hutan yang melintas jalan di Kilometer 132 Jalan Kuantan Seremban, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, sebuah kereta Perodua Kancil remuk pada bahagian bamper depan, manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora pula remuk pada bahagian bonet dan cermin depan penumpang.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata,kehadiran secara tiba-tiba babi hutan itu menyebabkan pemandu kereta kancil, Wan Mohd Saiful Wan Ishak, 24, gagal mengawal kenderaan lalu merempuh haiwan terbabit.

“Pemandu kancil terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Keratong 9, namun mangsa tidak sempat mengelak apabila seekor babi hutan tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri jalan,” katanya.

Johari berkata, secara kebetulan, Proton Exora yang melalui jalan bertentangan tidak sempat mengelak apabila haiwan
itu tercampak ke kiri jalan lalu terkena bonet depan kenderaan terbabit.

“Proton Exora yang tidak sempat mengelak haiwan itu berhenti secara tiba-tiba hingga mengakibatkan cermin depan tempat duduk penumpang pecah,” katanya.

Sementara itu, pemandu Proton Exora, Mohd Zainudin Sulong, 38, berkata, kemalangan itu menyebabkan urusannya untuk pulang segera ke rumahnya di Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan, tergendala.

“Kereta saya rosak teruk dan mujur adik saya dari Kuantan datang ke tempat kejadian sebelum menghantar kami pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Zainudin yang juga seorang anggota tentera di Gemas berkata, seorang anaknya, Khairul Afiq, 13, mengalami luka di bahagian tangan selepas terkena serpihan kaca cermin depan kereta tersebut.

Bagaimanapun, katanya, lima penumpang lain termasuk isterinya, Sulaiha Mustafa, 34, dan empat lagi anaknya iaitu, Khairul Nizam, 10, Khairul Hakimi, 9, Khairul Zakirin, empat tahun dan khairul Ikhwan yang berusia dua bulan, tidak mengalami kecederaan.

“Apa pun saya reda dengan kejadian ini dan bersyukur kerana kami selamat,” katanya.

Umpan seguni rumput sebelum samun kedai getah



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Jun 2012
KUANTAN - Berumpankan seguni rumput kering yang kononnya berisi getah beku, tiga perompak berjaya menarik perhatian pengurus sebuah pusat membeli getah di sini apabila lelaki itu bersama dua pekerjanya keluar dari premis untuk menimbang ‘getah’ tersebut.

Peluang itu digunakan dua daripada suspek untuk menyamun pengurus dan pekerja premis terbabit dengan mengugut mereka menggunakan senjata seakan pistol. Penjenayah berusia dalam lingkungan awal 30an memakai topi keledar berpenutup penuh mengancam akan menembak mangsa sekiranya mereka enggan menyerahkan wang dan barang berharga seperti yang diarahkan.

Akibat kejadian, pengurus terbabit Jason (bukan nama sebenar), 30an bersama dua pekerjanya termasuk seorang pekerja wanita terpaksa menyerahkan wang hasil perniagaan RM14,000, wang milik mereka sendiri, RM3,000, sebuah komputer riba, dua telefon bimbit dan dua utas rantai emas.

Jason ketika ditemui berkata, mereka bukan sahaja menanggung kerugian besar malah turut cedera di beberapa bahagian badan akibat diserang suspek.

“Saya cedera di bahagian atas mata akibat ditumbuk suspek manakala salah salah pekerja (lelaki) disepak dan ditumbuk beberapa kali,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Batu 12, Jaya Gading dekat sini, semalam.

Menceritakan kembali kejadian samun kirakira jam 7 pagi semalam itu, Jason berkata, dia bersama pekerjanya baru membuka kedai bagi memulakan perniagaan.

Menurutnya, tidak lama kemudian premisnya didatangi tiga lelaki menaiki dua motosikal dengan membawa satu guni kononnya getah beku untuk dijual.

“Saya dan pekerja keluar untuk menimbang ‘getah’ itu namun agak terperanjat apabila mendapati guni itu hanya berisi rumput.
“Ketika itu juga dua suspek yang masuk ke kawasan premis mengeluarkan senjata seakan pistol lalu mengacukan ke arah kami sebelum meminta menyerahkan wang dan barang berharga,” katanya.

Dia berkata, suspek juga mengancam untuk melepaskan tembakan jika mereka enggan menuruti arahan mereka ketika itu.

“Mereka bertindak ganas apabila menyerang kami berdua sebelum menggeledah kedai dan melarikan semua wang tunai , komputer riba, telefon bimbit selain merampas dua rantai emas yang dipakai,” katanya.

Jason berkata, selepas mendapat habuan mereka dua suspek bersama seorang lagi rakan mereka yang berada di pintu pagar bertindak melarikan diri.

“Walaupun terpaksa menanggung kerugian, saya bersyukur kerana masih selamat walaupun turut mengalami kecederaan ringan,” katanya yang baru pertama kali menempuh detik mencemaskan sejak bekerja di kedai tersebut.

Sementara itu, Pegawai TurusUrus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 7.40 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa, kejadian membabitkan tiga suspek dipercayai warga tempatan yang datang ke premis tersebut dengan menaiki dua motosikal.

“Suspek menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pelanggan sebelum mengeluarkan senjata seakan pistol untuk mengugut mangsa,” katanya ketika ditemui di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek terlibat dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Leher Pegawai Penerangan diacu pisau



RUBIAH OMAR
13 Jun 2012
Leher Pegawai Penerangan diacu pisau
Halimah menunjukkan luka dijarinya kepada rakan sekerjanya ketika ditemui
di pekarangan IPD Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang Pegawai Penerangan Daerah Besut berdepan detik mencemaskan apabila lehernya diacu dengan pisau lipat oleh satu lembaga ‘hijau’ dalam kejadian samun bersenjata di tandas wanita, tingkat tiga, Wisma Persekutuan di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa, Halimah Awang Cik, 50-an, sedang membasuh pinggan di sink tandas berkenaan sebelum dikejutkan dengan kehadiran lembaga berbaju hijau yang terus memaut lehernya dari belakang.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Halimah berkata, pada awalnya dia cuba melawan, namun apabila terpandangkan sebilah pisau dipercayai pisau lipat berada di lehernya, dia tergamam dan mengikut sahaja apa yang diarahkan.

“Pada mulanya, lembaga itu meminta saya menyerahkan wang kepadanya namun saya kata, sekarang tidak ada, jika hendak, ikut saya ke pejabat.

“Bagaimanapun, lembaga hijau itu enggan dan semasa itulah, dia ternampak gelang di tangan lalu memaksa saya menyerahkan kepadanya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuala Terengganu, semalam.

Halimah berkata, sementara menunggu dia membuka gelang yang dipakai, lembaga itu mengheret dia masuk ke dalam stor yang terletak berhampiran mungkin dikhuatiri kakitangan lainkan masuk ke dalam tandas tersebut.

“Semasa di dalam stor itulah, mulut saya ditampal dengan pita pelekat dan tuala kecil kerana sebelum itu, saya terlalu takut dan cuba menjerit meminta tolong.

“Bagi mengelakkan dia bertindak lebih liar lagi, saya cepat-cepat menyerahkan gelang itu kepadanya dan ketika saya mencuri untuk melihat wajahnya, lembaga itu menghentak belakang dengan siku lalu beredar meninggalkan saya,” katanya.

Kata Halimah, daripada pemerhatiannya, lembaga hijau itu disyaki lelaki berdasarkan suara garau dan mungkin warga tempatan kerana percakapannya menggunakan bahasa standard.

"Berdasarkan saiz tangannya, saya rasa lembaga hijau itu berusia 20-an dengan saiz badan sederhana dan memakai baju T berwarna hijau serta berseluar jeans," katanya.

Kata Halimah, dia difahamkan itu kejadian pertama berlaku di bangunan berkenaan.

Berikutan kejadian, Halimah mengalami luka ringan di bahagian leher dan tangan serta terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM12,000 setelah seutas gelang emasnya berjaya dilarikan suspek

Sembelih emak saudara


Sembelih emak saudara
Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar.


TAMPIN - Hanya kerana salah faham, seorang pembantu makmal sekolah di Gemencheh, parah dikelar di lehernya, oleh anak saudaranya.

Kejadian berlaku di dalam kereta mangsa, berhampiran Pasar Besar Gemencheh, di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, sebelum kejadian, suspek seorang wanita yang berperwatakan lelaki (tomboi) berusia 26 tahun, datang ke tempat kerja mangsa untuk menyelesaikan salah faham tetapi mangsa meminta suspek menunggu sehingga tamat waktu bekerja.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, suspek dipercayai meninggalkan mangsa di tepi jalan dan melarikan diri menggunakan kenderaan mangsa.

“Orang awam yang melalui lokasi kejadian iaitu di tepi jalan yang hanya kurang 100 meter dari lokasi mangsa bekerja segera membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gemencheh.

“Mangsa parah dikelar menggunakan pisau dan dikejarkan ke Hospital Tampin, sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya, semalam.

Suspek berjaya ditahan

Kooi Cheang berkata, suspek yang nekad melarikan diri menggunakan kereta mangsa berjaya ditahan semasa bapanya menghantarnya untuk menyerah diri di Balai Polis Tampin, kirakira jam 12 tengah malam, semalam.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, polis berjaya menemui sebilah pisau yang digunakan suspek untuk mengelar mangsa yang dibuang di sebuah kebun kelapa sawit di Felda Sungai Kelamah, Gemas.

“Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun," katanya.

Terkejut sepupu sendiri kelar ibu

Sementara itu, anak mangsa, Nurul Aishah Johari, 17, berkata, dia amat terperanjat apabila mengetahui suspek yang mengelar leher ibunya adalah sepupunya.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mohd Taha itu berkata, dia mengetahui kejadian itu sejurus pulang ke rumah di Kampung Jelawai, kira-kira jam 7 petang, kelmarin.

“Sebaik pulang dari rumah kawan, saya dapati rumah gelap dan tiada orang. Kebiasaannya ayah, mak dan abang ada di rumah.

“Tidak lama kemudian, seorang jiran memaklumkan mak saya cedera parah dikelar di leher dan dikejarkan ke hospital,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia mengenali sepupunya itu sejak tahun lalu dan hubungan mereka sememangnya amat rapat.

"Saya tidak sangka dia akan melakukan tindakan seperti ini kerana kami sekeluarga rapat dengan keluarganya.

“Mungkin ada salah faham antara mak dengannya, menyebabkan berlaku pertengkaran,” katanya. Nurul Aishah berkata, suspek yang juga anak buah ibunya jarang datang ke rumahnya.

“Sebelum ini dia berhijrah ke bandar dan pernah bekerja di Singapura.

Kali terakhir kami jumpa adalah tiga bulan lalu,” katanya.

Ibu suspek mohon maaf

Ibu suspek yang enggan dikenali ketika ditemui di pekarangan Hospital Tuanku Ja’afar berkata, dia sekeluarga datang ke hospital untuk melawat dan memohon maaf kepada mangsa atas tindakan anaknya itu.

“Hubungan kami dengan keluarga mangsa memang tiada masalah. Saya tidak tahu kenapa anak saya tergamak melakukan semua ini.

"Mungkin ada masalah antaranya dengan makciknya tetapi saya tidak tahu apa masalah mereka. Saya berharap keluarga mangsa dapat memaafkan anak saya,” katanya.

Dadah ‘meletup’

SIASAT...anggota polis memasuki kawasan kilang untuk membuat pemeriksaan.
SIASAT...anggota polis memasuki kawasan kilang untuk membuat pemeriksaan.
MISTERI...sebuah kereta  di luar premis kilang turut disiasat.
MISTERI...sebuah kereta di luar premis kilang turut disiasat.
PONTIAN: Sebuah kilang yang dijadikan makmal dadah di Jalan Perindustrian 12, Kawasan Perindustrian Pekan Nenas, dekat sini, meletup serta terbakar kelmarin sebelum pemeriksaan menemui pil Ecstasy dan syabu dianggarkan bernilai RM10 juta.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, dua letupan kuat menggegarkan bangunan berkenaan dan kilang berhampiran hingga memaksa pekerja di premis bersebelahan bertempiaran menyelamatkan diri.
Akibat letupan kuat itu, bumbung makmal dadah berkenaan rosak, bahagian belakang premis itu hangus terbakar, manakala kepulan asap memenuhi ruang udara kawasan berkenaan.

Penemuan dadah itu bermula selepas anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nenas dan Pontian yang menjalankan kerja memadam api menemui bahan pelik disyaki dadah sebelum melaporkannya kepada polis.

Kelar leher ibu saudara

BERLUMPUR...keadaan kereta mangsa yang dilarikan suspek.
BERLUMPUR...keadaan kereta mangsa yang dilarikan suspek.
TAMPIN: Seorang pembantu am sekolah di Gemencheh, dekat sini, bukan saja disembelih anak saudara perempuannya menggunakan pisau ‘Rambo’, malah ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah berhampiran pasar di Jalan Gemencheh-Felda Bukit Rokan, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, Azizah Isa, 50, dilaporkan kritikal dan masih dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) akibat parah di kanan lehernya dipercayai disembelih anak saudara berusia 26 tahun.
Anak bongsu mangsa, Nurul Aishah Johari, 17, berkata dia terkejut sebaik pulang dari rumah rakan apabila diberitahu ibunya parah dan dirawat di hospital.

“Lebih mengejutkan, saya diberitahu ibu disembelih sepupu sendiri menyebabkan saya hampir pitam.

“Tidak sangka, dia (sepupu) sanggup memperlakukan ibu sebegitu, sedangkan kami berdua cukup rapat,” katanya ketika ditemui di HTJS, semalam.

‘Haji’ bagi nombor ekor

ADU...John (kanan) membuat aduan kepada Dr Izham, semalam.
ADU...John (kanan) membuat aduan kepada Dr Izham, semalam.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Haji dan dikatakan mendalami ilmu agama bukan saja memperdaya kenalannya untuk mendapatkan keuntungan mudah, malah dia menggunakan kesempatan itu untuk memberikan nombor ramalan enam angka kepada mangsa sebagai umpan.
Akibatnya, mangsa, bekas tentera yang dikenalinya di sebuah kafe Internet kerugian RM20,000 selepas terpedaya dengan kemampuan Haji terbabit membawa perubahan dalam hidup selain sebagai ‘bantuan kecemasan’ untuk keluar daripada masalah kewangan.
Mangsa, John Salam, 62, (bukan nama sebenar) berkata, pada mulanya dia beranggapan lelaki terbabit berniat baik mahu mengubah tabiatnya yang suka bermain mesin judi, namun lama-kelamaan Haji terbabit meminta wang kononnya sebagai upah untuk mendapatkan nombor ramalan.

“Semuanya bermula selepas saya ketagih bermain mesin judi di kafe siber pertengahan tahun lalu. Awalnya, saya menang beberapa kali, tetapi selepas itu tak ada ‘tuah’ menyebabkan saya mengeluarkan wang simpanan.

Mengaku abai 30 kucing

PETALING JAYA: Dua pemilik pusat jagaan haiwan yang diserbu kerana didakwa mengabaikan kucing peliharaan diamanahkan pemiliknya untuk dijaga ketika cuti Aidilfitri tahun lalu mengaku bersalah bagi 30 pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Pemilik Petknode Online Pet Store, Shahrul Azuwan Adanan dan Yushairi Khairuddin, masing-masing berusia 30 tahun, menukar pengakuan kepada bersalah selepas 30 pertuduhan dihadapi mereka dibacakan semula di hadapan Majistret K B Elena Hong Tze Lan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa mengabaikan tanggungjawab dan penjagaan kebajikan 30 kucing dengan tidak memberi makan dan minum serta tidak membersihkan tempat penyimpanan tanpa sebab munasabah sehingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan haiwan berkenaan.
Mereka didakwa mengabaikan kucing yang dihantar pelanggan untuk jagaan sementara di kedai terbabit beralamat di No F001B, Level 1, Seasons Square Plaza, Jalan PJU 10/3 di Damansara Damai di sini, antara 3 September dan 4 September 2011.

Mereka yang kini tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam mereka, Syariful Nizam Shahruddin ketika mengemukakan rayuan berkata, perbuatan dilakukan Shahrul Azuwan dan Yushairi cuma satu bentuk pengabaian dan bukannya kezaliman atau penderaan.
“Tiada penderaan fizikal terhadap semua kucing di bawah jagaan mereka, sebaliknya pengabaian berlaku hanya kerana kekurangan kakitangan ketika cuti hari raya tahun lalu.

“Mahkamah juga perlu mengambil kira soal tanggungjawab moral yang dilakukan mereka kerana ketika kedai lain tidak boleh menerima kucing untuk dijaga, mereka tidak sampai hati menolak permintaan pelanggan,” katanya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jamadi Badri yang membantah berkata, jika soal kebajikan diutamakan, mereka tidak akan menerima lebih 100 kucing pada satu masa.

“Ternyata mereka mementingkan keuntungan, bukannya kebajikan,” katanya yang sebelum itu mengesahkan perniagaan dijalankan kedua-dua lelaki itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut Jamadi, kejadian itu menjejaskan imej negara apabila insiden berkenaan menjadi bualan dalam laman sosial yang tersebar ke seluruh dunia.

Majistret menetapkan 28 Jun ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap Shahrul Azuwan dan Yushairi.

Sementara itu, selepas tamat prosiding, suasana di luar mahkamah kecoh apabila keluarga kedua-dua lelaki itu cuba menghalang jurugambar daripada merakam gambar mereka serta diselang-seli jeritan hampir 20 pemilik kucing yang berkumpul di luar mahkamah menyebabkan berlaku perbalahan mulut antara kedua-dua pihak.

Suri rumah, Juriahwati Abdul Wahid, 39, ketika ditemui wartawan memberitahu, dia membayar RM100 untuk jagaan sementara lima haiwan kesayangannya itu selama tiga hari di pusat jagaan berkenaan.

“Saya sangat kecewa apabila kucing saya dan pemilik lain kelihatan tidak terurus, bulu bertukar warna, makanan pula tidak diberikan kepada mereka,” katanya dalam nada beremosi.