Tempahan baju raya musnah
Hanya almari menempatkan baju yang telah siap dijahit ini sahaja dan beberapa mesin jahit sempat diselamatkan.
SINGKIR - “Saya panik setelah diberitahu ada kepulan asap hingga tidak mampu berbuat apa-apa,” demikian kata pemilik sebuah kedai jahit di Bangunan Majlis Daerah Yan (MDY),
Singkir Laut, di sini, yang merupakan seorang daripada mangsa kebakaran dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, semalam.

Putih Khamis, 48, berkata, dia berada di dalam premisnya semasa kejadian apabila diberitahu pemilik gerai makanan dan minuman berdekatan bahawa mereka ternampak kepulan
asap dari kedai runcit bersebelahan kedainya.

Menurutnya, dia kemudiannya bergegas keluar dari premisnya dan panik hingga tidak mampu melakukan apa-apa apabila melihat kepulan asap tebal keluar dari kedai runcit bersebelahannya yang pada ketika itu tidak beroperasi.

“Saya hanya mampu melihat beberapa pelanggan kedai makan dan penduduk sekitar menyelamatkan mesin jahit dan beberapa peralatan lain dari kedai saya.

“Namun api kemudiannya merebak begitu pantas sehingga kami tidak dapat selamatkan tempahan baju raya milik pelanggan,” katanya.

Putih berkata, kebakaran terbabit yang pertama kali berlaku sepanjang hampir sepuluh tahun dia membuka kedai jahitan di premis milik MDY terbabit dan anggaran kerugian yang dialaminya ialah sebanyak RM10,000.

Katanya lagi, lebih malang apabila dia tidak sempat menyelamatkan beberapa kain yang dihantar pelanggannya untuk tempahan baju sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Dalam perkembangan sama, seorang saksi kejadian, Husin Saad, 70, berkata, dia sedang minum di gerai berhampiran apabila diberitahu pemilik gerai minuman terbabit bahawa
dia terhidu bau asap.

“Pada mulanya pemilik gerai menegur secara gurauan mengapa saya menyalakan pemetik api. Saya beritahunya bahawa saya tidak berbuat demikian dan dia mengadu terhidu bau asap yang disangkakan mungkin dari asap rokok, sedangkan pada masa itu saya tidak menghisap rokok.

“Saya kemudiannya meninjau ke arah kedai berhadapan dengan gerai minuman itu dan mendapati asap tebal keluar dari salah satu kedai runcit dan kemudiannya meminta pemilik
kedai jahit bersebelahan kedai runcit itu keluar menyelamatkan diri,” katanya.

Husin berkata, dia bersama beberapa pelanggan dan penduduk kampung sekitar cuba memadamkan api dengan menyimbah air ke dalam kedai runcit yang tidak beroperasi pada hari itu namun usaha mereka gagal apabila api merebak dengan begitu pantas.

Pemilik dua premis kedai runcit yang musnah teruk dalam kebakaran itu bagaimanapun enggan ditemuramah Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Zainuddin Abu Bakar, 43, berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.16 petang dan sampai di lokasi kejadian jam 1.30 petang.

“Api dapat dikawal daripada merebak pada jam 1.41 petang dan sebanyak empat premis terlibat dalam kebakaran ini. Namun dua daripada premis yang terlibat iaitu kedai runcit musnah teruk.

“Sebanyak empat jentera terlibat dalam operasi ini melibatkan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Yan, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani
dan dua dari bomba sukarela Merbok dan Semeling,” katanya.

Bagaimanapun, Zainuddin berkata, tiada kemalangan jiwa berlaku dan pihaknya masih menyiasat punca kebakaran yang merupakan kejadian pertama melibatkan kebakaran bangunan
fizikal di daerah ini bagi tahun ini