Search This Blog

Sunday, June 10, 2012

Wanita mati akibat memakan cendawan beracun

myMetroWanita mati akibat memakan cendawan beracun:


SYDNEY: Seorang wanita yang dilaporkan mengunjungi Australia dari China maut selepas memakan cendawan beracun dan menjadi korban ketiga insiden sama di negara itu, tahun ini.
Wanita berkenaan yang berusia 50-an mati di Hospital Austin di Melbourne, dua hari selepas dirawat akibat keracunan makanan. Mangsa menyangka tumbuhan itu sama seperti cendawan butang yang popular di Asia.

Doktor di hospital itu berkata, mangsa jatuh sakit selepas memakan makanan yang mengandungi cendawan itu. Dia adalah mangsa ketiga yang mati di negara itu akibat memakan tumbuhan bertoksik berkenaan selepas seorang tukang masak Cina dan pembantunya mati Januari lalu selepas memakan cendawan sama. - AFP

Rugi RM7,000 kereta dicuri ketika solat

myMetroRugi RM7,000 kereta dicuri ketika solat:


KOTA BHARU: Tidak sampai dua jam keretanya di parkir di perkarangan masjid, seorang warga emas menanggung kerugian RM7,000 selepas kenderaannya hilang dipercayai dicuri ketika mengerjakan solat subuh di Masjid Telipot, di sini, semalam.
Wan Hamat Wan Abas, 73, berkata dia hanya menyedari kereta jenis Proton Iswara warna putih yang digunakan sejak enam tahun itu hilang jam 6.45 pagi selepas selesai mengaji al-Quran di dalam masjid.

“Saya parkir kereta itu di kawasan masjid jam 5.20 pagi dan memastikan kereta itu dikunci sebelum masuk ke masjid.
“Bagaimanapun, selepas selesai mengaji, saya terkejut mendapati kereta itu sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Raja Dewa, Telipot, di sini, semalam.

Dia kemudian cuba mencari kereta terbabit tetapi gagal.

Cari teman lelaki ibu mangsa

myMetroCari teman lelaki ibu mangsa:


MELAKA: Polis kontinjen negeri berusaha mengesan seorang lelaki yang disyaki memukul anak teman wanitanya berusia empat tahun sehingga lebam di muka dan kepala di kediaman wanita itu di Jalan Melaka Raya 14, dekat sini, pada 31 Mei lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, lelaki terbabit yang bekerja sebagai buruh binaan dikenali sebagai Azmir Abu Bakar, 26, dan beralamat di Pangsapuri Kota Laksamana, Jalan Kota Laksamana Utama, dekat sini.

“Suspek menghilangkan diri selepas kejadian dan kita berusaha mengesannya.
“Orang ramai yang ada maklumat mengenai lokasi lelaki terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran dengan segera,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang, di sini, semalam.

Raja Shahrom berkata, teman wanita suspek membuat laporan di Balai Polis Banda Hilir, baru-baru ini, kerana mendakwa pasangannya memukul anak perempuannya ketika dia keluar bekerja dan meninggalkan kanak-kanak terbabit bersama suspek.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Hasil siasatan oleh pegawai daripada cawangan D11 IPK mendapati, sebelum ini kejadian sama pernah beberapa kali berlaku, terutama apabila suspek berselisih faham dengan ibu kanak-kanak itu.

“Bagaimanapun, wanita itu yang juga ibu tunggal dan turut menjadi mangsa pukul lelaki berkenaan membuat laporan polis baru-baru ini kerana tidak tahan lagi dengan sikap kejam teman lelakinya,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan juga polis mendapati pengadu dan suspek tinggal bersama sejak enam bulan lalu tanpa ikatan perkahwinan sah.

Akhbar ini kelmarin melaporkan, perasaan kasih terhadap teman lelakinya menjadikan seorang janda di Bandar Hilir, dekat sini, hampir gelap mata dengan perbuatan kejam teman lelakinya yang melakukan penderaan fizikal terhadap anak perempuannya hingga mangsa mengalami kesakitan dan lebam yang teruk di muka dan kepala.

Lebih malang, hasil pemeriksaan doktor di Hospital Melaka, mendapati terdapat banyak kesan penderaan lama di badan mangsa dan difahamkan perbuatan binatang suspek berusia 26 tahun itu berlaku selepas wanita terbabit dan kekasihnya itu tinggal bersama sejak enam bulan lalu.

Bagaimanapun, difahamkan, wanita terbabit tidak pernah membuat laporan polis berhubung kejadian anaknya didera sebelum ini hinggalah kejadian terbaru pada 31 Mei lalu, apabila pulang bekerja dan mendapati tangan, dahi dan kepala anaknya lebam teruk.

Wanita juga terpedaya

myMetroWanita juga terpedaya:


KUALA LUMPUR: Kes wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) habis dalam tempoh singkat bukan hanya berlaku kepada pesara lelaki, malah turut membabitkan wanita.
Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Koid Swee Lian berkata, ada pelanggan wanita mengadu terjebak dalam cinta lelaki kasanova yang mengikis wang mereka hingga diisytiharkan muflis.

“Tidak kurang juga yang tertipu apabila melabur dalam skim cepat kaya dan mengalami kerugian besar apabila pelaburan mengalami kegagalan,” katanya kepada Metro Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai trend mereka yang mendapatkan khidmat percuma daripada agensi itu dalam usaha mengamalkan perbelanjaan berhemah.

Dalam satu kes lain, Koid berkata, seorang pesara mencagar banglo mewahnya kepada bank semata-mata hendak mengadakan majlis kahwin anak secara besar-besaran hingga menyebabkan rumahnya tergadai.

“Hutang lain pula keliling pinggang. Kes seperti ini perlu dijadikan iktibar oleh orang ramai. Untuk itu, pesara harus berhati-hati kerana kesan buruk akibat perbelanjaan yang tidak berhemah akhirnya mengundang petaka kepada diri sendiri.
“Selain itu, ubah gaya hidup dan tidak mengambil pinjaman baru atau bebaskan daripada hutang dan jangan melabur dalam instrumen pelaburan berisiko tinggi,” katanya.

Menurutnya, tempoh persaraan bukannya pendek kerana purata jangka hayat wanita di negara ini ialah 75 tahun, manakala lelaki 70 tahun.
Koid berkata, sepanjang kajian dilakukan agensi berkenaan, kesedaran golongan dewasa mendapatkan kaunseling dan mengikuti Program Pengurusan Kredit (DMP) masih rendah bagi tempoh September 2011 hingga Mac 2012.

“Jumlah paling tinggi dicatat pada Oktober 2011 membabitkan 3,253 individu menerima kaunseling manakala 1,415 mengikuti DMP,” katanya.

Mengenai tahap usia mereka yang mendapatkan khidmat nasihat pula, Koid berkata, kebanyakan pelanggan ke AKPK untuk mendapatkan perkhidmatan adalah daripada semua lapisan masyarakat dan pelbagai usia.

Namun, katanya, 14.9 peratus golongan dewasa berusia 40 tahun ke atas mendapatkan khidmat AKPK dan meliputi pelbagai sektor pekerjaan mungkin kerana pada usia itu adalah ‘fasa’ yang dianggap paling mencabar dan banyak tekanan berkaitan kewangan.

Hilang jiran sekelip mata

myMetroHilang jiran sekelip mata:

PERMATANG PAUH: “Saya terkejut dan tak percaya apabila diberitahu jiran pagi tadi (semalam) bahawa mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan maut. Pagi semalam (kelmarin) baru saya berbual, bersalam, memeluk dan mencium Kak Gee (Siti Fauziah Mohamad Amin) sebelum mereka bertolak ke Terengganu, jam 8.25 pagi,” kata Fadzilah Othman, 32, jiran kepada tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 5 petang kelmarin di Kilometer 62, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.
Dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan itu, mangsa yang maut ialah Abdul Razak Othman, 49, anaknya, Siti Suraya, 14, dan kakak Abdul Razak, Fathilah Othman, 53.

Sementara mangsa yang cedera, isteri Abdul Razak, Siti Fauziah, 46; Rosidah Othman, 55, serta dua anak Abdul Razak, Siti Raihana,12, dan Mohamad Adam, 16.
Semua mangsa menetap di Taman Pauh Indah, dekat sini.

Fadzilah berkata, jirannya memaklumkan mahu melawat saudara mereka di Gong Badak, Terengganu sempena cuti sekolah dan mereka sekeluarga menaiki Toyota Avanza dipandu Abdul Razak.

Menurutnya, mereka berbual seperti biasa dan tiada perubahan ditunjukkan keluarga berkenaan sebelum bertolak.
“Begitupun, sebelum bertolak, abang Razak (Abdul Razak) mengambil ubat demam diberikan doktor sebab beberapa hari lalu dia demam. Kami sekeluarga seperti tak percaya dengan apa yang berlaku,” katanya ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Fadzilah berkata, sejak mengenali keluarga jirannya tiga tahun lalu, hubungan mereka sangat akrab dan mesra.
“Sukar untuk saya menggambarkan perasaan ketika ini, dalam sekelip mata mereka bertiga sudah tiada,” katanya yang menetap bersebelahan rumah mangsa.

Sementara itu, tinjauan di rumah mangsa mendapati ia berkunci kerana ahli keluarga melawat mangsa di Terengganu selepas kejadian itu.

Difahamkan, jenazah mangsa disembahyangkan di Surau Muhammad Al Fatih, Taman Pauh Indah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Kandu, dekat sini.

Tiada kesan pergelutan

myMetroTiada kesan pergelutan:


KUALA LUMPUR: Siasatan awal polis mendapati lelaki warga emas yang ditemui mati dalam keadaan leher dijerut dengan wayar elektrik di rumahnya di Selayang Baru, kelmarin, berkemungkinan dilakukan individu dikenali.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, siasatan mendapati tiada kesan pecah masuk dan keadaan rumah tidak berselerak.

“Kejadian itu dipercayai hanya dilakukan seorang suspek yang dikenali,” katanya, semalam.
Beliau berkata, tiada kesan pergelutan antara mangsa dengan suspek.

“Mangsa dipercayai dibunuh beberapa jam sebelum mayatnya ditemui anak angkatnya. Polis kini dalam proses mengambil keterangan keluarga mangsa bagi membantu siasatan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan mangsa, Zulkifli Omar, 69, yang bekerja sebagai ejen pembantu rumah ditemui mati dalam keadaan bogel atas katil di bilik belakang rumahnya.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, mayat mangsa ditemui anak angkatnya yang mengintai melalui tingkap selepas dihubungi isteri warga emas terbabit yang memintanya memeriksa rumah berkenaan selepas menerima panggilan misteri daripada seorang wanita Indonesia berhubung kejadian itu.

Pemain bola sepak Nigeria diculik

Berita Harian Online | Pemain bola sepak Nigeria diculik:

LAGOS: Pemain antarabangsa Nigeria, Christian Obodo didakwa dilaporkan ketika memandu di Warri, selatan Nigeria, demikian menurut ahli keluargnya semalam. 

Obodo, yang bermain dalam Serie A Itali bersama kelab Lecce, sedang memandu berseorangan dalam perjalanan melawat ahli keluarganya sebelum dilarikan seorang lelaki bersenjata.
“Kami tidak mengetahui di mana dia dilarikan tetapi keretanya ditinggalkan oleh penculik berkenaan.
"Setakat ini, kami belum menerima sebarang panggilan untuk menuntut wang tebusan," kata salah seorang ahli keluarga yang enggan namanya disiarkan. 

Bandar minyak Warri terletak di Lembah Niger, semenangnya terkenal sebagai kawasan jenayah penculikan. 

Obodo beraksi sejak beberapa tahun dengan skuad kebangaan Nigeria. Musim lalu, dia dipinjamkan bermain untuk Lecce daripada Udinese. 

Pemain tengah berusia 28 tahun itu bagaimanapun bukannya pemain atau keluarga bola sepak pertama Nigeria yang diculik. 
Abang kepada pemain pertahanan Everton, Joseph Yobo diculik pada 2008 dan dibebaskan beberapa hari kemudian, manakala tahun lalu, ayah kepada pemain tengah Chelsea, John Mikel Obi juga diculik sebelum dibebaskan selepas serbuan polis. - AFP 

14 disahkan maut helikopter terhempas di Peru

Berita Harian Online | 14 disahkan maut helikopter terhempas di Peru:

LIMA: Pasukan penyelamat menemui 14 mayat dalam bangkai sebuah helikopter yang dipercayai terhempas beberapa hari lalu di kawasan Pergunungan Andes. 

“Mereka akhirnya menemui lokasi nahas dan menjumpai mayat di kawasan berkenaan," kata pendakwa raya Wilayah Urcos, Cesar Guevara kepada stesen televisyen Canal N.
Guevara berkata, anggota pasukan penyelamat sudah ditambah untuk mengeluarkan mayat dari tempat nahas.
Pesawat jenis Sikorsky S-58 ET itu dilaporkan hilang Rabu lalu dan meraka yang dipercayai hilang terdiri lapan warga Korea, masing-masing seorang warga Czech, Sweden dan Belanda. 

Tiga adalah warga Peru yang juga anak kapal pesawat berkenaan. - AFP

Warga tua pengsan dijerut penyamun

Berita Harian Online | Warga tua pengsan dijerut penyamun:

Mangsa diacu pisau ketika menonton TV 

BENTONG: Seorang wanita warga tua pengsan selepas lehernya dijerut seorang lelaki berpakaian celoreng di rumahnya, di Kampung Ulu Perting, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa berusia 73 tahun sedang menonton televisyen di ruang tamu, manakala suaminya yang juga berusia 73 tahun tidur dalam bilik.
Suspek yang bersenjatakan senapang patah tiba-tiba muncul dan mengacukan pisau ke arah muka mangsa sebelum mengarahkannya mangsa tidak membuat bising. 

Selepas mangsa merayu tidak dicederakan atau dirogol, suspek menjerut leher mangsa menggunakan tali sehingga pengsan. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohd Mansor Mohd Nor, berkata akibat jeruta itu, mangsa mengalami sesak nafas sebelum pengsan tetapi tersedar apabila suspek menjirus air mukanya. 

“Sebaik tersedar daripada pengsan, mangsa mendapati suspek menggeledah bilik tidur anaknya yang berada di Melaka,” katanya, di sini semalam. 
Beliau berkata, selepas suspek melarikan diri, mangsa mengejutkan suaminya dan menceritakan kejadian itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Bentong. 

Mohd Mansor berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai penyamun sama yang menyebabkan mangsa terbunuh akibat ditembak di Kampung Kemansur pada 29 Mei lalu. 

Beliau berkata, polis menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan suspek dan jumlah kerugian mangsa masih dalam siasatan. 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Balai Polis Bentong di talian 09-2222222 bagi membantu siasatan.

Berita Harian Online | Budak maut tercampak kereta

Berita Harian Online | Budak maut tercampak kereta:

Kenderaan dipandu bapa elak objek terbabas rempuh penghadang jalan 

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun terbunuh selepas tercampak dari kereta yang dinaiki bersama keluarga yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 203.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Kamunting, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah, berkata ketika kemalangan pada jam 3.20 pagi itu, Mohamad Fiffy Furqan Mohd Fahmi, yang berasal dari Jitra, Kedah, menaiki kereta bersama keluarganya dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur.
“Setibanya di tempat kejadian, kereta jenis Proton Gen-2 yang dipandu bapanya, Mohd Fahmi Salleh, 34, dikatakan terbabas ketika cuba mengelak satu objek di atas jalan raya, lalu merempuh penghadang jalan,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Beliau berkata, pada masa sama, sebuah kereta Perodua Viva yang mengekorinya merempuh belakang kereta dinaiki Mohamad Fiffy, menyebabkan mangsa yang diriba ibunya, Norasmah Ngah Seri, 32, terlepas daripada pegangan lalu tercampak dari tingkap kereta yang terbuka dan terjatuh di atas jalan. 

Akibat kejadian itu mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat. 

Yusof berkata, ibu bapa mangsa dan dua kakaknya masing-masing berusia lima dan tujuh tahun hanya cedera ringan manakala pemandu serta tiga penumpang Perodua Viva hanya cedera ringan. 
Semua mereka dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama. 

“Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit,” katanya. – BERNAMA

Cuti malang tujuh sekeluarga

Kosmo! Online - Negara:



DUA anggota polis melihat Toyota Avanza yang remuk dalam kemalangan yang mengorbankan tiga mangsa di Setiu kelmarin.


KUALA TERENGGANU - Jurutera di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, Shairyzal Mohamad Azizan, 30, begitu seronok dengan berita kunjungan keluarga bapa saudaranya dari Permatang Pauh, Pulau Pinang ke rumahnya di sini sehingga dia membuat beberapa panggilan telefon untuk mengetahui keadaan perjalanan mereka.
Namun, tanpa diduga, panggilan yang dibuatnya pada pukul 4.25 petang kelmarin untuk bertanyakan mengenai perjalanan bapa saudaranya itu, Abdul Razak Othman, 49, atau Pak Su bersama enam lagi ahli keluarga mereka rupa-rupanya perbualan yang terakhir.
Lima minit kemudian, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dikatakan terbabas memasuki laluan Toyota Avanza yang dipandu oleh Abdul Razak sebelum kedua-duanya bergesel dan berpusing di Kilometer 62 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.
Lokasi kejadian itu hanya kira-kira 40 kilometer dari rumah Shairyzal.
"Ketika dalam perjalanan, saya beberapa kali menghubungi mereka untuk bertanyakan keadaan dan kali terakhir saya menghubungi mereka lima minit sebelum kejadian.
"Selepas itu, saya cuba hubungi mereka sekali lagi tetapi tidak dijawab sehinggalah ada orang telefon saya memberitahu bapa saudara saya terlibat dalam kemalangan," ceritanya ketika ditemui di Balai Polis Setiu sejurus selepas kejadian.
Insiden yang berlaku dalam hujan lebat itu menyebabkan anak Abdul Razak iaitu Siti Suraya, 14, dan kakak Abdul Razak, Fathilah Othman, 53, tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Gempar kubur kena gali

Kosmo! Online - Negara:


JUSLIE (tiga dari kiri) dan penduduk Kampung Tanjung Pisau-Lalason meninjau keadaan kubur yang berlubang akibat digali di Sandakan semalam.


SANDAKAN - Penduduk Kampung Tanjung Pisau-Lalason dekat sini semalam gempar apabila mendapati tiga kubur lama di kampung tersebut berlubang akibat diceroboh dan digali oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kubur yang telah berusia lebih 50 tahun dan terletak berhampiran kawasan sungai itu ditemui dalam keadaan baru sahaja digali. Ia disedari oleh beberapa penduduk yang kebetulan menjalankan aktiviti memukat ikan di situ.
Difahamkan, ketiga-tiga kubur itu digali sedalam lebih satu meter dengan beberapa batu nisan dibiarkan berselerak.
Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati tulang-tulang si mati tidak hilang.
Seorang penduduk, Abdul Kifli Ghani, 45, berkata, tiga kubur yang digali itu ialah pusara Allahyarham kakaknya dan dua anak saudaranya yang disemadikan sejak tahun 1963.
"Kuburan ini telah lama, namun kami sentiasa datang untuk membersihkannya.
"Tidak sangka pula ada pihak lain sanggup menggali kubur ini," kata Abdul Kifli ketika ditemui di sini semalam.

Polis trafik direman kes kematian Mustaghni

Kosmo! Online - Negara:



KLANG - Polis menahan reman seorang anggota polis trafik berusia 51 tahun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kes kematian Koperal Mustaghni Tabri, 48, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, anggota trafik berpangkat koperal itu terlibat dalam kes itu selepas dipercayai membaling satu objek ke arah mangsa.
Mustaghni terbabit dalam insiden itu ketika bertugas dalam operasi cegah lumba haram di Lorong Bunga Raya berhampiran Kampung Raja Uda di sini pada pukul 1.45 pagi 3 Mei lalu.
"Suspek direman bermula hari ini (semalam) sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan manakala empat lagi anggota yang ditahan bersamanya dibebaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi semalam.
Mohamad yang ditanya mengenai beberapa objek yang dirampas polis dari lokasi kejadian memberitahu, semua objek terbabit akan dihantar ke Jabatan Kimia esok.