Search This Blog

Friday, June 8, 2012

Lelaki rentung dalam kereta, kehilangan mangsa terjawab


Keadaan kenderaan milik mangsa yang rentung.
Keadaan kenderaan milik mangsa yang rentung.
PONTIAN - Kehilangan seorang lelaki sejak petang kelmarin membawa kepada penemuan mayat rentung dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas, di sini, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Wan Razani Wan Ibrahim berkata, mayat tersebut ditemui oleh seorang pemandu lori yang hendak mengambil buah kelapa sawit di kebun tersebut.

Menurutnya, lelaki tersebut terus memberitahu penyelia ladang berkenaan sebelum bertindak menghubungi keluarga mangsa selepas dapat mengecam kenderaan yang terbakar itu.

“Pihak polis menerima aduan mengenai kejadian tersebut daripada anak lelaki mangsa kira-kira jam 11.25 dan terus menghantar anggota ke tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Katanya, dalam laporan itu, anak lelaki kepada mangsa memberitahu bapanya telah keluar sendirian dan tidak pulang ke rumah sejak semalam lagi.

“Pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menghantar pasukan forensik masing-masing ke tempat kejadian dan pihak kami akan menyiasat dalam pelbagai aspek mengenai punca serta mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.

Katanya, pihak polis akan menunggu laporan forensik untuk tindakan siasatan lanjut.

Lelaki sepak polis dijel 12 bulan



KUALA LUMPUR 7 Jun - Gara-gara menyepak seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas tahun lalu, seorang lelaki warga China dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Wu Rui Rong, 60, dari Hunan, China selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas tuduhan tersebut.
Erry turut membenarkan permohonan peguam bela, Wong Huei Niang yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut yang berkuatkuasa hari ini.
Jaminan tertuduh dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Lelaki itu didakwa melakukan kekerasan jenayah iaitu menyepak anggota polis, Megat Mohd. Zainan Megat Adnan menggunakan kaki kirinya dengan niat menghalang penjawat awam itu menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.
Kesalahan itu dilakukannya di Dataran Merdeka, Jalan Raja di sini pada pukul 9.20 pagi, 13 Julai 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne menyatakan tertuduh melakukan kesalahan tersebut ketika anggota polis itu menahan tertuduh yang mengedar risalah dan buku berbaur politik berkenaan negara China kepada orang awam.
Huei Niang yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan memandangkan anak guamnya merupakan warga emas, kali pertama melakukan kesalahan serta perbuatan itu tidak melibatkan kecederaan parah.

Wanita rugi RM20,000 beg diragut



KUANTAN 7 Jun - Seorang wanita rugi kira-kira RM20,000 apabila beg tangannya diragut dua lelaki yang menaiki motosikal ketika hendak memasuki keretanya di hadapan surau Taman Murni dekat Sungai Isap, di sini semalam.
Menurut Pegawai Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri, kejadian tersebut berlaku pukul 10.40 pagi selepas mangsa menghadiri mesyuarat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di surau berkenaan.
Kata beliau, mangsa berusia 44 tahun itu rugi kira-kira RM20,000 termasuk wang AIM sebanyak RM5,076, wang sendiri kira-kira RM500 dan beberapa gelang serta rantai emas miliknya.
"Ketika mangsa hendak masuk kereta, tiba-tiba dia didatangi dua lelaki bermotosikal dari arah belakang sebelum seorang daripadanya meragut beg mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa yang terkejut tidak sempat berbuat apa-apa sebaliknya hanya dapat melihat suspek yang memakai topi keledar melarikan diri.
Jelasnya, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sejurus selepas kejadian.
"Kes masih dalam siasatan dan akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," 

Rasuah: 2 lelaki diperintah bela diri



SHAH ALAM 7 Jun - Dua lelaki diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan RM25,000 daripada seorang ahli perniagaan sebagai dorongan membantu mendapatkan gelaran Datuk Seri, tiga tahun lalu.
Hakim Mat Ghani Abdullah turut mengarahkan Mohd. Amirul Erwan Mohd. Roslan, 35, membela diri atas dua lagi pertuduhan iaitu meminta dan menerima suapan masing-masing RM5,000 daripada lelaki yang sama.
Sementara Mohd. Afandi Mohd. Zambri, 41, pula diarah membela diri atas satu lagi tuduhan iaitu meminta suapan RM1,000 daripada mangsa untuk tujuan yang sama.
Kedua-duanya bagaimanapun dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan meminta seorang wanita untuk tujuan seks berikutan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan itu.
Dua rakan mereka, Shamsul Yusri Mohamad @ Ahamed, 41, dan Rahizalkhiri Rahim @ Umar, 37, juga turut dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan meminta suapan wang tunai berjumlah RM350,000, telefon bimbit dan wanita bagi tujuan seks.
Mahkamah menetapkan 9 hingga 12 Julai ini untuk Mohd. Amirul Erwan dan Mohd. Afandi memberi keterangan membela diri serta memanggil saksi-saksi pembelaan yang lain.
Sebaik sahaja mahkamah bersurai, salah seorang daripada tertuduh dilihat memakai rambut palsu dan berkacamata hitam sebelum keluar meninggalkan bilik bicara.
Mohd. Amirul Erwan dan Mohd. Afandi didakwa menerima suapan sekeping cek Hong Leong Bank Bhd. bernilai RM25,000 daripada Mohamad Imran Abdullah di lobi Hotel Holiday Villa, Subang Jaya dekat sini pada pukul 12.10 tengah hari, 30 Januari 2009.

Lagi kes bakar motosikal berlaku



KUALA LUMPUR 6 Jun - Kes membakar kenderaan terus berlaku yang menyebabkan penduduk Apartmen Seri Puteri di Desa Petaling di sini gempar apabila enam buah motosikal yang diletakkan di tempat letak kenderaan di situ terbakar pada awal pagi ini, dipercayai angkara perbuatan khianat.
Kebakaran itu, yang berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi ketika kebanyakan penduduk sedang nyenyak tidur, turut merosakkan sebuah kereta Proton Wira selain sebuah teksi yang tayarnya ditoreh orang tidak bertanggungjawab.
Seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu, dia kerugian ribuan ringgit setelah dua motosikal miliknya hangus.
"Selama lebih empat tahun saya tinggal di sini, ini pertama kali kejadian seperti ini berlaku. Sebelum ini, kalau ada pun tayar motosikal dibocorkan dan curi minyak sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Pemandu teksi, S. Khanna, 39, berkata, keempat-empat tayar kenderaannya dirosakkan dan dia hanya menyedarinya ketika hendak keluar bekerja pada pukul 7.30 pagi.
"Saya hairan bagaimana perkara ini boleh berlaku kerana apartmen ini mempunyai pengawal keselamatan dan kejadian pula berlaku kurang 20 meter dari pondok pengawal," katanya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh ketika dihubungiUtusan Malaysia hari ini mengesahkan kejadian itu dan akan menyiasat jika terdapat unsur khianat.

Mayat lelaki ditemui rentung dalam kenderaan pacuan empat roda

Mayat lelaki ditemui rentung dalam kenderaan pacuan empat roda: "PONTIAN 7 Jun - Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan rentung di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dekat sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Supritendan Wan Razani Wan Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada anak lelaki mangsa yang membuat laporan di Balai Polis Pekan Nenas di sini pukul 11.30 pagi.

Katanya, anak mangsa mengetahui kejadian yang menimpa bapanya berusia 50-an selepas dimaklumkan oleh salah seorang pekerja ladang yang mengecam kenderaan mangsa tersebut.

“Mangsa yang berketurunan Cina dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak semalam selepas keluar sendirian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Wan Razani, punca sebenar kejadian masih disiasat dan pihaknya akan menunggu laporan patologi dari Jabatan Kimia bagi menentukan sama ada mangsa dibunuh."

'via Blog this'

Gubah wang haram: Pengarah urusan didenda RM4.05 juta

Gubah wang haram: Pengarah urusan didenda RM4.05 juta:



KUALA LUMPUR 7 Jun - Seorang pengarah urusan sebuah syarikat telekomunikasi dipenjara sembilan tahun enam bulan dan didenda berjumlah RM4.05 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menipu dan menerima wang daripada aktiviti haram membabitkan RM4.22 juta.


Hakim Azizah Mahmud menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Abdul Majid Rana, 63, yang merupakan warga Pakistan turut memerintahkan dia dipenjara selama 53 bulan lagi jika gagal membayar denda.


Beliau membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kesemua pertuduhan tersebut.


Abdul Majid didakwa atas tujuh pertuduhan menipu empat kontraktor bahawa syarikatnya, Murad Hashim Communication Sdn. Bhd., telah mendapat projek pembinaan menara telekomunikasi 3G MITV daripada syarikat MITV Corporation Sdn. Bhd.


Perbuatan itu telah mendorong kontraktor-kontraktor, Lau Chii Hieng, 52, Ho Tat Ming, 51, Hanafiah Mohd. Yunus, 64, Irisha Low Poh Wah, 43, terpedaya dan menyerahkan cek-cek dan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM1.75 juta kepada tertuduh.


Kesalahan itu dilakukannya di No. 307, Blok F, Phileo Damansara 1, No. 9, Jalan 16/11 Petaling Jaya dekat sini antara 19 Februari 2006 dan 15 Mac 2007.


Bagi tuduhan menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu, Abdul Majid dipenjara tujuh tahun dan denda RM350,000 atau penjara 25 bulan jika gagal membayar denda itu.


Sementara itu, dia turut didakwa atas sembilan tuduhan menggubah wang haram berjumlah RM2.47 juta dan memindahkannya daripada akaun syarikatnya kepada akaun Soundmax Sdn. Bhd., antara 9 Ogos 2006 dan 31 Julai 2007 di Maybank Bhd., cawangan Wisma Genting di Jalan Sultan Ismail di sini.

Ibu maut, tiga beranak parah

Ibu maut, tiga beranak parah:


JASIN 7 Jun - Seorang wanita maut manakala suami dan dua daripada empat anak pasangan itu cedera parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan merempuh cerun bukit di Kilometer 187.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini awal pagi ini.


Dalam nahas pukul 3 pagi itu, Roza Isa, 32, mati di tempat kejadian manakala suaminya, Ermy Jeffri, 34, yang memandu Proton Wira dan dua anak mereka berusia enam dan tujuh tahun cedera parah di kaki dan perut.


Bagaimanapun, dua lagi anak pasangan itu yang berusia dua tahun dan 10 tahun hanya cedera ringan.


Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Shahidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati enam beranak itu dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur.


"Setibanya di tempat kejadian, pemandu kereta itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar penghadang jalan lebuh raya itu.


"Kenderaan itu kemudian merempuh cerun bukit sebelum berpusing beberapa kali seterusnya masuk semula ke laluan lebuh raya dan terbakar," katanya ketika ditemui di sini hari ni.


Katanya, rempuhan kuat itu menyebabkan isteri mangsa tercampak keluar dan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala ahli keluarga yang lain diselamatkan oleh orang awam.


Shahidi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat manakala suaminya dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka.


"Dua anak mangsa yang patah kaki dan cedera di perut juga dirawat di hospital sama," katanya.

2.6 juta rakyat hidap diabetes

2.6 juta rakyat hidap diabetes:







PUTRAJAYA 7 Jun - Malaysia bakal muncul sebagai negara yang mempunyai penduduk teramai menghidap penyakit diabetes di rantau ini dalam masa beberapa tahun akan datang sekiranya penyakit itu tidak dikawal dari sekarang.


Pakar Perubatan Kanan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata, ketika ini, Malaysia berada dalam senarai 10 negara teratas yang mempunyai bilangan pesakit diabetes iaitu seramai 2.6 juta orang.


Tambah beliau, angka itu bersamaan dengan nisbah seorang daripada tujuh orang dewasa di negara ini menghidap penyakit diabetes.


"Sejak 11 tahun lalu, pesakit diabetes sentiasa meningkat dengan kadar sebanyak 6.3 peratus pada 1986, 8.3 peratus pada 1996, 14.9 peratus pada 2006 dan tahun lalu pula sehingga 20.8 peratus berdasarkan jumlah penduduk.


"Daripada jumlah ini, separuh daripadanya tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan dan tidak tahu mereka menghidap penyakit itu," katanya.


Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Mengubah Cara Mengendalikan Penyakit Diabetes di Malaysia di Hospital Putrajaya, di sini hari ini.


Turut membentangkan kertas kerja ialah Pengarah Kampus dan Prof. Perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed dan Ketua Perkhidmatan Endokrinologi Kementerian Kesihatan dan Perunding Kanan Pakar Endokrinologi Hospital Putrajaya, Dr. Zanariah Hussein.


Menurut Dr. Feisul Idzwan, keengganan kebanyakan rakyat Malaysia menjalani pemeriksaan kesihatan merupakan antara faktor utama kepada peningkatan jumlah pesakit diabetes.


Katanya, ini kerana ramai pihak khususnya golongan lelaki mengambil sikap mudah dan lepas tangan berkaitan soal kesihatan.


"Kebanyakan mereka tidak mahu menjalani pemeriksaan sebab apabila disahkan menghidap diabetes mereka perlu berpantang, menjaga pemakanan dan mengambil ubat.


"Selain itu, mereka juga akan berasa risau jika mengetahui menghidap penyakit diabetes, jadi lebih baik jangan tahu," katanya.


Tambahnya, peningkatan rakyat Malaysia yang menghidap penyakit itu juga menyebabkan perbelanjaan dari segi ubat-ubatan meningkat setiap tahun.


Dalam pada itu, ditanya mengenai kesan pengambilan ubat-ubatan yang disediakan oleh doktor dengan makanan tambahan atau suplemen untuk penyakit tersebut, katanya, tindakan tersebut tidak digalakkan.


"Tiada sebarang bukti saintifik menunjukkan mengambil ubat-ubatan selain daripada yang diberikan doktor adalah berkesan.


"Ia mungkin sebab strategi pengiklanan yang meletakkan wajah personaliti untuk menarik orang membelinya," katanya.


Pada masa sama, beliau meminta orang ramai tidak berlengah menjalani pemeriksaan kesihatan di mana-mana pusat perubatan seperti klinik, hospital atau pusat membeli-belah yang menawarkan pemeriksaan kolestrol dan gula dalam darah.


Sementara itu, Zanariah berkata, pihaknya akan mengadakan kerjasama lebih erat dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan profesional dan pihak berwajib untuk mencegah dan mengawal penyakit tersebut di kalangan orang ramai.


Katanya, antara langkah yang dicadangkan adalah menerusi penganjuran bengkel kesihatan dan seminar bagi pesakit dan orang awam.

108 rumah rosak akibat ribut

108 rumah rosak akibat ribut:




Afiz Mifzal Shukri melihat bapanya mengemaskan bahagian atas rumah mereka selepas bumbung rumah rosak teruk diterbangkan ribut di Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat, Perlis, malam semalam. - utusan/Faizal Abu Hassan



KANGAR 7 Jun - Rumah seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini adalah antara 108 buah rumah yang rosak akibat dipukul ribut di sekitar negeri ini malam tadi.


Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, sebanyak 21 buah rumah rosak di Kuala Perlis diikuti Sungai Padang (9), Sanglang (5), Simpang Empat (4) dan Beseri (2).


Menurut kakitangan JKM itu, Shukri Bakar, 47, kejadian berlaku semasa dia dan lapan ahli keluarganya bersiap-siap untuk tidur di rumah mereka di Kampung Sungai Bugis dekat sini.


Katanya, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi deruan angin yang seakan menggoncang rumah sebelum menerbangkan bumbung kediaman milik ibu mertuanya itu.


"Angin kencang bertiup sejak pagi lagi tapi tidak sangka pula bertukar menjadi ribut pada malamnya.


"Anak-anak saya yang masih kecil menangis ketakutan dan saya cuba mententeramkan mereka selain berdoa semoga Allah SWT menjauhkan keluarga kami dari segala bahaya," katanya ketika ditemui di rumahnya yang berusia 40 tahun itu hari ini.


Katanya, mujurlah kejadian itu tidak disusuli hujan lebat kerana jika tidak mungkin peralatan dan perabut rumahnya akan rosak.


Jurucakap JKM berkata, kesemua mangsa terlibat telah diberi bantuan berupa makanan dan selimut.


"Bancian telah dijalankan sehingga pagi ini dan setakat ini jumlah kerugian masih belum ditaksirkan," katanya sambil memberitahu, setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Mayat: Penduduk flat akan fail saman MPT RM100 juta

Mayat: Penduduk flat akan fail saman MPT RM100 juta:


TAWAU 7 Jun - Penduduk flat Sri Titingan di sini akan memfailkan saman berjumlah RM100 juta terhadap Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan pihak pengurusan flat tersebut ekoran penemuan mayat di dalam salah sebuah tangki air di flat berkenaan baru-baru ini.


Tindakan saman tersebut akan dikendalikan oleh peguam Chong Kian Ming dari firma guaman Tetuan Tan Chong & Associates hasil usaha Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa).


Kian Ming berkata, saman itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi Tawau dalam tempoh dua minggu dari sekarang sebaik sahaja semua urusan dokumen berkaitan diselesaikan.


''Tuntutan RM100 juta itu bagi tujuan ganti rugi kerosakan yang ditanggung penduduk dan mengambil kira kesan trauma yang dialami mereka serta aspek kecuaian berkaitan.


''Dalam saman itu juga kita minta agar kesemua tangki air dan saluran paip di flat itu ditukar,'' katanya selepas menyampaikan taklimat tentang prosedur tuntutan saman kepada penduduk flat terbabit hari ini.


Hadir sama, Yang Dipertua Perkasa Sabah, Datuk Seri Mohd. Jeffry Rosman.


Sementara itu, Jeffry berkata, tindakan saman tersebut bertujuan membela nasib penduduk terlibat ekoran insiden berkenaan.


''Sebagai badan bukan kerajaan, perjuangan kita atas dasar kemanusiaan apatah lagi apabila penduduk di sini majoritinya golongan Bumiputera,'' ujarnya.

Polis tubuh pasukan khas buru empat suspek

SENAI - Polis Johor menubuhkan satu pasukan khas bagi memburu empat suspek yang terlibat dengan kes rompakan sebuah syarikat pengurup wang sehingga menyebabkan seorang pengawal keselamatan cedera ditembak di pusat membeli belah Holiday Plaza, di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Ismail Yatim berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian, terdapat empat suspek terlibat termasuk salah seorang daripadanya yang menunggu di dalam kereta.

Menurutnya, pihaknya telah mengambil keterangan daripada mangsa bagi membantu siasatan dan usaha memburu kesemua suspek sedang giat dijalankan.

“Pengawal keselamatan tersebut masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kami berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian agar memaklumkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan seorang pengawal keselamatan, R Paul, 50, cedera selepas terkena lima das tembakan oleh perompak bertopeng dan bersenjatakan pistol ketika sedang mengiringi pemilik kedai pengurup wang ke keretanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Paul cedera di perut, belakang leher, tangan kiri, paha kanan dan pinggang manakala pemilik kedai pengurup wang berkenaan kerugian lebih RM100,000.

Musnah kebun tanpa notis

SUNGAI SIPUT – Seorang pekebun tanaman kelapa sawit melahirkan rasa kesal apabila tanamannya yang berusia hampir empat tahun seluas dua ekar dimusnahkan tanpa sebarang notis daripada pihak berkaitan.

Mastura Yusuf, 51, mendakwa, meskipun menumpang menanam kelapa sawit di tanah rizab milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Siput, pihak berkenaan seharusnya mempunyai pertimbangan untuk mengambil tindakan menebang tanaman sawitnya.

Menurutnya, dia mengeluarkan kos hampir RM15,000 untuk projek tanaman sawit di tanah dua ekar berkenaan dan sekarang hanya tinggal tanah lapang.

“Saya terpaksa menanggung pelbagai kos untuk membesarkan pokok-pokok itu termasuk baja dan racun, tetapi keadaan ini pula yang terjadi,” katanya.

Terdahulu, dia telah berusaha memohon tanah berkenaan untuk menjalankan aktiviti pertanian namun gagal.

“Saya akur tanah itu kini milik PPK dan saya ada berjumpa dengan PPK untuk memberikan ruang kepada saya menuai hasil sawit namun pada Selasa lalu, tanaman dimusnahkan,” katanya.

Tindakan itu amat dikesali memandangkan tanaman sawit pekebun lain tidak ditebang walaupun ditanam di tanah rezab yang sama malah mereka diberikan pampasan.

“Situasi ini menimbulkan tanda tanya dan rasa tidak puas hati kerana saya langsung tidak diberi pampasan,” katanya.

Mastura berkata, dia menghubungi PPK bagi mempersoalkan tindakan yang didakwanya telah mencapai persetujuan sebelum itu.

“Sebelum ini, PPK telah menyatakan pihaknya tidak akan memusnahkan tanaman petani khususnya sawit memandangkan mereka bakal mengusahakan tanaman itu malah mereka terkejut apabila saya nyatakan tanaman saya ditebang.

“PPK juga menyarankan saya membuat surat rayuan dan mereka akan membantu bagi tujuan pembelaan dan menuntut keadilan malah saya juga turut membuat laporan polis berhubung kes berkenaan,” katanya.

Katanya, dia akur tanah berkenaan adalah hak PPK namun setidak-tidaknya berilah ruang kepadanya memandangkan kos dan pelaburan yang tinggi sudah pun dikeluarkan.

Sinar Harian menghubungi PPK bagi mendapatkan maklum balas dan pihak berkenaan menyatakan mereka tidak pernah mengeluarkan arahan tanaman sawit milik Mastura ditolak malah pihak terbabit menafikan penglibatan mereka.

5 anggota polis, 6 mat rempit ditahan

KLANG – Lima anggota polis dan enam mat rempit ditahan berkaitan kecederaan seorang polis trafik dalam operasi membanteras lumba haram baru-baru ini.

Mangsa, Koperal Mustaghni Tabri, 48, kini kritikal selepas dikatakan dirempuh dan dilibas dengan topi keledar ketika operasi mencegah lumba haram di sekitar Klang, Sabtu lalu.

Pemilik kedai dobi didakwa dagang 5 wanita Vietnam

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik kedai dobi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap lima tuduhan memperdagangkan lima wanita warga Vietnam sebagai pelacur di di Sentul di sini, pada bulan lepas.
Yeong Choong Hin, 40, yang berasal dari Ipoh, Perak didakwa memperdagangkan kesemua wanita itu yang berusia antara 23 dan 25 tahun itu bagi tujuan eksploitasi di kondominium beralamat No B7-16-01, Sri Putramas II, Jalan Putramas Off Jalan Kuching, Sentul pada 2 petang 28 Mei lepas.
Bagi kelima-lima pertuduhan itu, Yeong didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.
Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid membenarkan Yeong diikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan itu dan menetapkan 6 Julai untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli  manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Pengarah syarikat didenda RM 3.7j dan penjara 30 bulan

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah urusan syarikat pemasangan menara telekomunikasi hari ini didenda RM3.7 juta dan dipenjara 30 bulan atau dipenjara 28 bulan jika gagal  membayar denda oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah terhadap sembilan pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram melebihi RM2.4 juta.
Pengarah Urusan Syarikat Murad Hashim Communications Sdn Bhd, Abdul Majid Rana, 58, yang juga warga Pakistan turut dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan didenda RM350,000 atau dipenjara 25 bulan jika gagal membayar denda selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan menipu tujuh kontraktor membabitkan RM1.7 juta.
Hakim Azizah Mahmud menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Abdul Majid di akhir kes pembelaan.
Beliau turut memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan berkuatkuasa hari ini.

Azizah dalam penghakimannya berkata pengadu dalam kes ini mengharapkan tertuduh menjalankan perniagaan mereka (pengadu) dengan telus dan profesional, sebaliknya pengadu telah diperdaya sehingga mendorong mereka menyerahkan ratusan ribu ringgit kepada tertuduh.
Azizah berkata tertuduh bukan sahaja menipu pengadu tetapi telah melakukan pengubahan wang yang diterima daripada aktiviti haram itu dengan memindahkannya ke dalam akaun sendiri dan menggunakan wang tersebut untuk kepentingan tertuduh dan keluarga.

"Berdasarkan keterangan saksi, tertuduh membuat pembelian dua buah kenderaan mewah di mana pembayaran RM3,350 sebulan bagi kereta BMW dan RM1,200 sebulan bagi kereta Perdana dibuat tertuduh melalui wang yang dikeluarkan daripada akaunnya sendiri dan bukannya melalui pinjaman bank.
"Ini telah dibuktikan daripada keterangan saksi dan eksibit serta dokumen bahawa wang itu telah dikeluarkan daripada akaun tertuduh apabila ingin membuat pembayaran bulanan bagi kedua-dua kenderaan itu," kata Azizah.
Bagi lapan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001, Abdul Majid didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM2,425,000 melalui cek di Maybank Berhad cawangan Wisma Genting, Jalan Sultan Ismail di sini antara Ogos 2006 hingga Julai 2007.
Bagi pertuduhan kesembilan Abdul Majid didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM40,000 melalui cek daripada akaun syarikat Murad Hashim Communications Sdn Bhd (syarikat miliknya) ke dalam akaun Public Bank syarikat SoundMax Sdn Bhd cawangan Bukit Damansara.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan sama pada 13 Nov 2006, mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLA.
Sementara itu, Abdul Majid turut didakwa bagi tujuh pertuduhan menipu tujuh kontraktor dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa syarikatnya iaitu Murad Hashim Communications telah mendapat projek pembinaan menara telekomunikasi 3G MITV daripada Syarikat MITV Corporation Sdn Bhd sehingga mendorong kesemua kontraktor itu menyerahkan wang tunai dan cek yang kesemuanya berjumlah RM1,750,000 kepada Abdul Majid.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di 307, Blok F, Phileo Damansara 1, No.9, Jalan 16/11, Petaling Jaya dekat sini antara Disember 2006 hingga Mac 2007, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aida Md Zainuddin dan Hajratul Ain Jafar telah mengemukakan 26 saksi manakala pembelaan yang diwakili peguam Zulkafli Abd Hamid telah memanggil dua saksi termasuk tertuduh untuk memberi keterangan.- Bernama

Empat bebas tuduhan minta rasuah seks

SHAH ALAM - Empat lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, daripada tuduhan meminta wanita untuk habuan seks daripada seorang ahli perniagaan.

Hakim Mat Ghani Abdullah membebaskan Mohd Amirul Erwan Mohd Roslan, 35; Mohd Afandi Mohd Zambri, 44; Shamsul Yusri Mohamad @ Ahamed, 41; dan Rahizalkhiri Rahim @ Umar, 37, selepas mendapati pendakwaan gagal  membuktikan kes itu terhadap mereka.

Semua mereka didakwa meminta habuan itu daripada Mohd Imran Abdullah, sebagai dorongan untuk membantu Datuk Lim Kok Han memperoleh Darjah Kebesaran Negeri Perak yang membawa gelaran Datuk Seri. Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah pusat karaoke di Hotel Holiday Villa Subang Jaya antara jam 7 dan 8 malam, 19 Februari 2009.

Shamsul Yusri dan Rahizalkhiri turut dibebaskan daripada tuduhan meminta rasuah RM350,000 dan telefon bimbit daripada ahli perniagaan itu. Bagaimanapun, Mohd Amirul diperintah membela diri bagi tuduhan terima dan meminta rasuah berjumlah RM35,000 dan Mohd Afandi diperintah bela diri bagi tuduhanmenerima RM26,000 daripada mangsa sama.

Semua perbuatan didakwa dilakukan antara 29 Januari dan 27 Februari 2009. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara  maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapanatau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairi, manakala tertuduh diwakili peguam, Gerard Lazarus, Abu Bakar Isa Ramat, M Manogaran dan Mohd Radzlan Jalaludin. Mat Ghani menetapkan 9  hingga 12 Julai ini untuk bela diri.

Lima tukang urut ditahan



Lima tukang urut ditahan
Antara yang ditahan sedang disiasat pegawai penguat kuasa
JOHOR BAHRU - Lima warga asing yang bekerja sebagai tukang urut di sebuah pusat urutan tradisional sekitar bandar raya ini ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan Ops 6P, kelmarin.

Serbuan sekitar jam 3.25 petang dan berakhir 4.15 petang itu disertai oleh 12 anggota dan pegawai yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Khairulanuar Abu Bakar.

Khairulanuar berkata, kelima-lima pekerja asing itu adalah warga Indonesia yang berumur antara 34 hingga 43 tahun dan ditahan kerana didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Hasil dari maklumat aduan awam, kami melakukan serbuan dan menahan lima tukang urut warga Indonesia. Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku ketika operasi dilakukan.

“Ketika kami hadir, kesemua pekerja asing sedang mengurut pelanggan. Hasil dari kenyataan mereka, kami diberitahu segala urusan pasport dan permit diuruskan oleh majikan.

“Bagaimanapun, majikan gagal mengemukakan pasport dan dokumen perjalanan lima pekerja ini selain mendakwa berurusan dengan ejen menerusi pembayaran antara RM500 hingga RM1,000 bagi urusan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, seorang daripada pekerja asing itu ditahan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, manakala selebihnya Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Khairulanuar berkata, majikan kesemua tukang urut terbabit yang merupakan warga tempatan berusia 51 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 berikutan mengajikan pekerja asing tanpa dokumen sah.

Selain itu, katanya, operasi berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang dan semua majikan dinasihatkan supaya tidak membenarkan imigran larangan bekerja di premis masing- masing atau terpaksa berdepan tindakan undang-undang.

“Majikan boleh berurusan terus ke pejabat Imigresen bagi mengelak dari ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga boleh menimbulkan masalah kepada mereka,” katanya.

Peniaga malang kali kedua



SEREMBAN 2 - Selepas telefon bimbitnya miliknya dicuri sepasang suami isteri yang menyamar sebagai pelanggan bulan lalu, sekali lagi seorang pemilik kedai di sini menghadapi nasib malang.

Ini berikutan kedai menjual barangan bayi dipecah masuk pencuri, Selasa lalu.

Kejadian itu hanya disedari Lim Hui Koon, 28, sebaik sahaja mahu memulakan operasi kira-kira 1.30 petang.

Menceritakan kejadian, Yui Koon berkata, pada awalnya dia tidak menyedari kedainya dipecah masuk, bagaimanapun terkejut apabila mendapati satu set komputernya hilang.

“Kebiasaannya saya memulakan perniagaan pada 9 pagi, tapi hari tersebut saya lewat ke kedai kerana ada urusan di bank.

“Sebaik sahaja sampai ke kedai dan mahu meletakkan beg di atas meja, saya mula perasan monitor dan unit pemprosesan komputer (CPU) saya tiada,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Panik dengan keadaan itu, Yui Koon kemudiannya membuat pemeriksaan di keseluruhan kedai dan mendapati pintu besi bahagian belakang telah dipotong.

Bagaimanapun, katanya, wang RM300 hasil perniagaannya dalam meja serta barangan lain masih ada.

“Sebelum saya menutup kedai kira-kira 10 malam sebelum, saya ada ternampak lelaki warga asing dalam keadaan mencurigakan berkeliaran di sekitar kedai saya," katanya yang mendakwa kerugian kira-kira RM2,000 dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini.

Yui Koon berkata, kejadian malang itu berlaku buat kali kedua selepas kejadian malang pada hari ketiga kedainya beroperasi apabila telefon Samsung Galaxy 2 miliknya dicuri sepasang suami isteri yang menyamar sebagai pelanggan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Padah tawar judi murah

IPOH - Hanya bermodalkan RM2, sebuah pusat hiburan keluarga, di sini yang menerima kunjungan luar biasa sepanjang musim cuti sekolah dikesan menawarkan permainan judi murah terutama kepada pelajar.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, pusat hiburan berkenaan menawarkan gerai permainan judi yang dikenali sebagai ‘roulette’ dan bola golek.

Bagi menggelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa, penganjur bertindak menayangkan hadiah seperti alat permainan dan patung di hadapan gerai biarpun habuan sebenar ditawar lebih lumayan berbanding hadiah dipamerkan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN), Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menyerbu sebuah ‘fun fair’ di sini kelmarin.

Menurutnya, ketika serbuan itu dijalankan ramai pengunjung sedang asyik bermain permainan yang disediakan di pusat hiburan keluarga tersebut.

“Serbuan dilakukan lebih kurang jam 11.20 malam hasil maklumat orang awam dan intipan yang dijalankan anggota kami.

“Hasil serbuan yang dijalankan seorang lelaki yang dipercayai pengurus pusat hiburan keluarga tersebut ditahan kerana melanggar syarat lesen hiburan awam yang hanya membenarkan tujuh gerai dan lima jenis permainan beroperasi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, selain pengurus pusat hiburan itu, tiga lelaki Bangladesh turut ditahan kerana didapati bekerja tanpa permit serta tiada dokumen perjalanan.

“Selain itu, sembilan pekerja dan pemain yang terbabit dalam permainan tersebut turut ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Dzuraidi berkata, melalui pemeriksaan yang dijalankan terdapat 13 gerai dan 12 jenis permainan yang beroperasi serta menjalankan beberapa permainan berunsur judi.

Enam sekeluarga terlibat nahas



Enam sekeluarga terlibat nahas
Proton Wira dinaiki enam sekeluarga yang rentung, semalam.
JASIN – Enam keluarga terlibat dalam kemalangan di Kilometer 187 Lebuh Raya Utara - Selatan, di sini, awal pagi semalam, mengakibatkan seorang daripada mereka maut.

Manakala, dua daripada cedera parah dan dirawat di Hospital Melaka.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, keluarga terbabit dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Roza Isa, 32, isteri kepada pemandu kereta jenis Proton Wira berkenaan, Ermy Jeffri, 34.

Sementara, dua daripada empat anak pasangan itu berusia tujuh dan enam tahun cedera parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Shahidi Abdullah berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar, sebaik tiba melanggar pengadang jalan.

Pelanggaran itu mengakibatkan Roza tercampak keluar dari kenderaan dan dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kereta mereka masuk ke dalam longkang dan melanggar tebing cerun sebelum berpusing serta masuk semula ke lebuh raya dan terbakar," katanya.

Menurutnya, Ermy dan anak lelaki berusia tujuh tahun parah di perut, manakala seorang anak perempuan berusia enam tahun patah kaki.

"Dua lagi anak mangsa berusia dua dan 10 tahun bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Shahidi berkata, kesemua mangsa bernasib baik kerana sempat dibantu keluar oleh pengguna lebuh raya berkenaan sebelum kereta berkenaan terbakar.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat, sementara semua yang cedera dirawat di Hospital Melaka.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ribut goncang Langkawi

KUAH - Angin kencang dan hujan lebat melanda Pulau Langkawi malam kelmarin, mengakibatkan kebanyakan rumah penduduk rosak apabila hampir keseluruhan bumbung rumah diterbangkan angin.

Hampir keseluruhan kawasan penempatan penduduk sekitar Langkawi iaitu Kuah, Ayer Hangat, Temoyong, Ulu Melaka, Kampung Kisap, Kampung Wang Tok Rendong dan lain-lain kawasan termasuk Pulau Tuba terkena tempiasnya.

Jalan-jalan utama juga tidak dapat dilalui apabila kejadian itu mengakibatkan banyak pokok tumbang.

Pengguna jalan raya yang mahu ke Ayer Hangat terpaksa menunggu hampir dua jam, apabila sebatang pokok menghalang laluan dan menyebabkan pengguna panik serta berlaku kesesakan jalan raya di kawasan Kampung Kisap.

Mangsa ribut, Ajib Tarfizi, 27, berkata, ketika kejadian dia dan keluarga baru sahaja keluar dari rumah.

“Saya tak sangka ribut kali kedua yang berlaku menyebabkan bumbung rumah terus terangkat, tapi masih bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku pada keluarga.

“Kebanyakan peralatan rumah rosak akibat dimasuki air. Saya memohon jasa baik pihak-pihak berkenaan dapat menghulurkan sumbangan bagi membaik pulih rumah ini,” katanya.

Anak beranak lari bertempiaran

MANGSA lain, Mutawali Ahmad, 42, berkata, ketika kejadian dia sekeluarga berada di dalam rumah dan keadaan menjadi kelam kabut apabila taufan kali kedua yang terus menerbangkan bumbung rumah.

“Kami anak beranak lari bertempiaran keluar kerana takut rumah akan runtuh berikutan ribut yang berlaku luar biasa.

“Saya sedih dengan keadaan ini dan mengharapkan pihak berkenaan datang menjenguk dan memberi bantuan dengan kadar segera,” katanya.

Menurutnya lagi, sekitar Kampung Kisap sahaja hampir sepuluh rumah rosak akibat ribut yang melanda.

Dalam kejadian yang sama, sikap murni yang ditunjukkan penduduk Kampung Kisap dan Belanga Pecah seharusnya dipuji apabila membantu pengguna jalan raya dan pihak bomba mengangkat pokok yang merentangi jalan bagi mengelakkan kesesakan.

Penduduk Kampung Kisap, Kamarudin Abd Rahman berkata, itu adalah tanggungjawab bersama.

“Apa yang penting semua dapat pulang dengan selamat, lagipun kami sebagai penduduk di sini akan terus membantu sekiranya khidmat diperlukan demi kepentingan bersama.

“Kepada mangsa-mangsa ribut, saya harapkan dapat bersabar dengan musibah yang melanda dan terima kasih kepada pihak yang terlibat membantu kami bagi membersihkan pokok yang tumbang semalam,” katanya.

Sekitar Pantai Chenang pula, Sinar Harian mendapat maklumat bahawa hampir keseluruhan khemah-khemah perniagaan rosak dipukul ribut, apatah lagi ia berada berdekatan pantai dan impak yang diterima cukup kuat.

Tinjauan di Pantai Chenang sekitar jam 1 petang semalam menunjukkan bahawa angin cukup kencang dan keadaan ombak besar serta amat berbahaya sekiranya melakukan aktiviti laut.

Lelaki rentung dalam kereta, kehilangan mangsa terjawab

PONTIAN - Kehilangan seorang lelaki sejak petang kelmarin membawa kepada penemuan mayat rentung dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas, di sini, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Wan Razani Wan Ibrahim berkata, mayat tersebut ditemui oleh seorang pemandu lori yang hendak mengambil buah kelapa sawit di kebun tersebut.

Menurutnya, lelaki tersebut terus memberitahu penyelia ladang berkenaan sebelum bertindak menghubungi keluarga mangsa selepas dapat mengecam kenderaan yang terbakar itu.

“Pihak polis menerima aduan mengenai kejadian tersebut daripada anak lelaki mangsa kira-kira jam 11.25 dan terus menghantar anggota ke tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Katanya, dalam laporan itu, anak lelaki kepada mangsa memberitahu bapanya telah keluar sendirian dan tidak pulang ke rumah sejak semalam lagi.

“Pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menghantar pasukan forensik masing-masing ke tempat kejadian dan pihak kami akan menyiasat dalam pelbagai aspek mengenai punca serta mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.

Katanya, pihak polis akan menunggu laporan forensik untuk tindakan siasatan lanjut.

Pekerja ladang maut ditetak



Pekerja ladang maut ditetak
Kok liang
TELUK INTAN - Nasib seorang pekerja ladang yang baru bekerja 10 hari bertukar malang apabila lelaki itu mati dipercayai dibunuh di sebuah ladang buah tembikai di Felcra Changkat Sulaiman, di sini.

Lelaki berusia lingkungan 20-an yang juga warga Myanmar itu ditemui dalam keadaan terbaring tanpa berpakaian lengkap dengan hanya mengenakan kain pelekat.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian berlaku, Ahad lalu apabila pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.45 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota forensik dikejarkan ke tempat kejadian bagi menyiasat penemuan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap mayat mendapati, ada kesan tetakan di beberapa bahagian anggota badan mangsa.

“Lelaki itu mempunyai kecederaan parah di tengkuk, bahu dan lengan kiri yang dipercayai ditetak. Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti berikutan ketiadaan pengenalan diri dijumpai, bagaimanapun berdasarkan siasatan yang dibuat, mangsa berkemungkinan berusia lingkungan 20-an,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini. Kok Liang berkata, pihaknya turut menjumpai sepasang selipar berwarna hitam di kanan dan kiri mangsa selain sebatang cangkul yang mempunyai kesan darah.

"Kesemua penemuan tersebut dibawa ke makmal bagi mengesan bukti.

Sementara itu, berdasarkan hasil maklumat soal siasat pemilik ladang tembikai menyatakan mangsa baru bekerja dengannya 10 hari lalu.

"Majikan ini menyatakan dia mempunyai tujuh pekerja namun, kejadian bunuh itu menyebabkan kesemuanya menghilangkan diri tanpa sebab.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan selanjutnya dan motif pembunuhan masih disiasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Remaja mati lemas selepas ditarik ombak

GEORGETOWN - Seorang remaja lelaki mati lemas selepas ditarik ombak kuat semasa berehat di tepi Pantai Kerachut Teluk Bahang dekat sini semalam.

Pada kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa Muaz Munawir, 16, dikatakan berehat bersama beberapa rakannya selepas mengikuti aktiviti merentas hutan anjuran Kelab Ikmar Teens yang bermula kelmarin.

Pengarah program, Mohd Hafiz Abdul Hamid berkata, pada ketika itu keadaan laut agak bergelora dan ombak tinggi tiba-tiba datang dan menarik mangsa hingga ke tengah laut.

"Muaz terus hilang dari pandangan kami, selepas setengah jam baru kami jumpa
mayatnya terapung tidak jauh dari kawasan pantai," katanya ketika dihubungi
Bernama semalam.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Balik Pulau untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke kampung halamannya di Muar, Johor.

Ombak kuat sehingga mencapai ketinggian 3.5 meter melanda sekitar pantai Pulau Pinang ekoran perubahan angin monsun timur laut kepada angin barat daya.

Padah miliki motosikal curi



AYER KEROH - Gara-gara memiliki motosikal curi, seorang lelaki dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam.

Tertuduh, Zainal Hassan, 35, dari Pantai Kundur, Tanjung Kling dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman.

Dia yang melakukan kesalahan di kawasan Pantai Kundur, Tanjung Kling kira-kira 12.30 pagi pada 28 April 2012 itu dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.

7 lokasi maut di Nasi Dingin



Kemalangan
Kemalangan yang berlaku berhampiran selekoh di Kampung Nasi Dingin melibatkan sebuah kereta jenis Mazda dan Honda City dalam kejadian 8 Mei lalu.
Yusoff
Yusoff menunjukkan tiang elektrik patah akibat dirempuh sebuah kereta yang terbabas dalam kejadian Isnin lalu di hadapan sebuah rumah penduduk.
KAMPUNG NASI DINGIN, KUALA TERENGGANU - Barisan kepimpinan dan komuniti setempat, di sini melahirkan kebimbangan susulan jalan raya sepanjang kira-kira dua kilometer di laluan kampung berkenaan sering menjadi lokasi kemalangan termasuk melibatkan kehilangan nyawa.

Malah, mereka mendakwa terdapat kira-kira tujuh kawasan dikenalpasti sering terjadi kemalangan di sepanjang jalan raya di kampung itu, dan kebimbangan turut dirasai kerana rumah penduduk yang terletak di kanan dan kiri jalan sering berisiko untuk dirempuh.

Terbaru, dalam kejadian Isnin lalu, kira-kira jam 12 tengah hari, sebuah kereta jenis Honda Civic dinaiki dua orang terbabas, lalu merempuh tiang elektrik sehingga patah yang terletak di hadapan rumah seorang penduduk Azliza Mohamad, 36.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nasi Dingin, Yusoff Taib mencadangkan pihak berkenaan dapat meningkatkan langkah keselamatan di kampung itu seperti memasang papan tanda amaran.

“Kampung Nasi Dingin terletak di laluan utama Kuala Berang-Kuala Telemong dan boleh dikatakan setiap bulan pasti berlaku kemalangan di kampung ini. Kebanyakannya melibatkan kenderaan terbabas yang mungkin berpunca kerana memandu laju.

“Sehingga kini kita telah mengenal pasti kira-kira tujuh lokasi yang sering berlakunya kemalangan. Malah, ia bukan sahaja melibatkan kawasan selekoh tetapi juga jalan lurus termasuk berhampiran masjid sebagaimana kejadian Isnin lalu," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkenaan meningkatkan langkah keselamatan.

"Sebagai contoh, pemasangan papan tanda amaran atau menyediakan garisan kuning di kawasan masjid demi keselamatan komuniti setempat.

“Kerjasama daripada pengguna jalan raya juga diharapkan supaya tidak memandu terlalu laju dalam kawasan kampung apatah lagi sepanjang laluan ini iaitu bermula dari Kampung Tajin-Kuala Telemong, terdapat hampir 10 buah kampung,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, cadangan itu diharapkan dapat dipertimbangkan pihak terbabit sebagai langkah terbaik mengurangkan kadar kemalangan, sekali gus menjamin keselamatan penduduk terutama yang tinggal di tepi jalan.

Pokok, tiang elektrik jadi penyelamat BIARPUN belum ada kemalangan melibatkan kenderaan terbabas hingga merempuh rumah berlaku, namun kerisauan tetap membelenggu perasaan penduduk khususnya yang terletak di kiri kanan jalan laluan utama.

Penduduk, Siti Rokiah Abd Rahman,59, berkata, kebiasaannya kejadian melibatkan kereta terbabas akan merempuh pokok serta tiang elektrik dan ia seolah-olah menjadi penyelamat daripada kenderaan berkenaan terus meluncur ke arah rumah penduduk.

“Biasanya kemalangan melibatkan kenderaan terbabas membabitkan kereta dan berlaku di lokasi sama, sama ada berhampiran selekoh atau jalan lurus. Malah, setiap kali itulah, pokok atau tiang elektrik di situ akan menjadi sasaran sekali gus penyelamat kepada penduduk.

“Kejadian Isnin lalu adalah insiden terbaru hingga menyebabkan tiang elektrik terbalik. Kali pertama berlaku yang turut menyebabkan tiang elektrik di lokasi sama terbalik adalah pertengahan tahun lalu, sewaktu Maghrib melibatkan sebuah kereta terbabas," katanya.

Menurutnya, memandangkan rumahnya terletak di tepi jalan dan berhampiran lokasi kemalangan, perkara itu amat membimbangkannya.

"Makcik khuatir ada rumah dirempuh jika kenderaan terbabas,” katanya.

Menurutnya, langkah keselamatan diharapkan dapat dipertingkatkan di kawasan itu sekali gus menjadi peringatan kepada pengguna supaya tidak memecut sepanjang laluan di situ.

Pengawal keselamatan Maim dituduh cabul

AYER KEROH - Seorang pengawal keselamatan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam atas tuduhan mencabul seorang kanakkanak mualaf.

Dia dituduh berbuat demikian di sebuah Pusat Perkhidmatan Saudara Baru, Lorong Pandan, hujung tahun lalu.

Mat Radzi @ Mat Razdi Darus, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang didakwa terhadapnya di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, Mat Radzi didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang perempuan berusia 11 tahun dengan niat mencabul kehormatannya iaitu meraba buah dada dan kemaluan mangsa.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Nurul Huda Jalan Kesidang, Taman Kesidang Seksyen 2 antara Disember 2011 dan Mac 2012.

Warga emas dari Tanjung Kling itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau manamana daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin

Diperdaya ‘Pak Ungku’



Diperdaya ‘Pak Ungku’
Raja Mudzafar Shah menunjukan sijil sebenar yang dikeluarkan oleh pihaknya dan yang palsu dibeli oleh Hiang Soon dan Teng Oon daripada sindiket.
PERAI – Wakil waris kerabat diraja Perak kesal tindakan dua individu yang didakwa menjual watikah dan logo kereta palsu dengan jumlah antara RM2,000 hingga RM5,000 kepada orang awam.

Difahamkan, sindiket mengaburi mangsa dengan mengatakan pemiliknya akan memiliki keistimewaan dan tidak akan dikenakan tindakan jika ditahan pihak berkuasa serta mendapat diskaun jika mahu menginap di hotel.

Raja Mudzafar Shah Raja Mokhtar berkata, aktiviti sindiket itu terbongkar apabila pihaknya menerima aduan daripada dua lelaki yang menjadi mangsa individu yang menggelar dirinya sebagai Pak Ungku.

Menurutnya, sindiket yang menjual watikah dan logo kereta palsu Ahli Kerabat Diraja Perak itu dipercayai memperdaya ratusan orang awam di sekitar Bukit Mertajam dan Kulim di Kedah serta bergiat aktif sejak setahun lalu.

“Pihak Istana Seri Tambun tidak pernah menjual watikah mahupun logo kereta ini secara komersial. Kita tidak menawarkannya secara terus, sebaliknya ia dianugerahkan kepada individu terpilih melalui sokongan daripada kerabat. Pemilik watikah juga tidak pernah mendapat apa-apa keistimewaan.

“Justeru, pihak istana dukacita dengan watikah ciplak yang sama sekali tidak pernah dikeluarkan dalam bentuk imbasan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Raja Mudzafar Shah menjelaskan, watikah yang mempunyai tandatangan ayahanda saudaranya, Raja Kecil Di Hilir Perak, Datuk Seri Raja Izzudin Iskandar Shah Al Haj Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah itu dipalsukan dengan menggunakan teknik imbasan.

Selain itu ujar beliau, logo kereta yang dipalsukan juga tidak mempunyai nombor siri, sedangkan setiap logo asli akan direkodkan nombor sirinya.

Tambah beliau, mengikut rekod hanya 22 individu sahaja di kawasan Utara yang dianugerahkan dengan watikah dan logo kereta ahli kerabat diraja Perak sejak 2009 lalu.

Sementara itu, mangsa sindiket, Ang Hiang Soon, 42, berkata, dia ditawarkan untuk menjadi kerabat ketika bertemu dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya dengan nama Tengku Ismail atau Pak Ungku.

Sedar selepas disaman polis 

Menurut nya, dalam pertemuan disebuah hotel dekat Bukit Mertajam itu, dia diminta membayar RM2,000 kepada individu berkenaan dan dijanjikan tidak akan dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahupun polis.

“Saya sedar ditipu lelaki itu selepas disaman polis dalam satu sekatan jalan raya, dua bulan lalu. Setakat ini, saya sudah ada tiga saman, dua melibatkan kesalahan trafik dan satu JPJ kerana cermin kereta gelap,” katanya yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Hiang Soon berkata, laporan polis kemudiannya dibuat pada 31 Mei lalu dan merujuk perkara itu kepada Raja Mudzafar Shah bagi mengesahkan kesahihan watikah yang dimilikinya dan ternyata ia adalah dokumen palsu.

Seorang lagi mangsa, Lim Teng Oon, 46, berkata, dia mengenali individu itu melalui rakannya, Hiang Soon.

Katanya, keistimewaan yang ditawarkan membuatkan dia tertarik dan percaya untuk membeli watikah tersebut.

“Individu itu membawa saya ke kedai untuk memasang tinted pada cermin kereta. Tetapi selepas itu, saya disaman polis.

“Saya pernah memarahi polis kerana mahu menegaskan bahawa saya ahli kerabat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah memberitahu ada menerima laporan daripada dua mangsa penipuan itu.

Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat pihaknya, namun sudah mengenal pasti individu yang terlibat dengan sindiket berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

2 pemuda ditahan kerana mencuri motosikal




7 Jun 2012
KUALA TERENGGANU - Polis menahan dua sahabat dan menemui kembali sebuah motosikal serta komponen kenderaan serupa yang sudah dilerai ketika menyerbu sebuah rumah di Kampung Bukit Merah, Paka tengah malam tadi.

Serbuan pukul 12.15 tengah malam oleh sepasukan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Paka itu adalah hasil intipan setelah menerima laporan berhubung kecurian sebuah motosikal jenis Honda EX5 pada 24 Mei lalu di Kampung Gong Gemia, Paka.

Kedua-dua pemuda berusia 21 dan 24 itu juga didapati positif dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun DSP Ismail Abdullah ketika dihubungi Bernama di sini, mengesahkan laporan.

Kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - Bernama

Nelayan dituduh rogol kekasih bawah umur



KOTA BHARU - Seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol teman wanita berusia 15 tahun di tepi Tokong Buddha, Bachok, bulan lalu.

Tuduhan terhadap Ismadi Ismail, 38, dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan tuduhan, Ismadi didakwa merogol pelajar tingkatan tiga itu di dalam kereta di tepi Tokong Buddha, Kampung Merabang Kubang Golok, Bachok, pada jam 10 malam, 15 Mei lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali membantah jaminan kerana tuduhan serius yang dihadapi Ismadi. Bagaimanapun, Peguam bela memohon jaminan dibenarkan berikutan tertuduh bekerja serta penanggung tunggal keluarganya.

“Saya mohon jaminan yang minimum dikenakan ke atas tertuduh kerana isterinya sendiri yang akan menjadi penjaminnya,” katanya.

Selepas dipertimbangkan hujah kedua-dua pihak, Hakim Azman Mustapha kemudiannya membenarkan jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat iaitu tertuduh tidak boleh mendekati atau menghubungi mangsa dengan apa-apa cara sekali pun.

Kes bersambung 5 Ogos depan.

Pembantu akaun mengaku tidak bersalah guna cek palsu

PETALING JAYA - Seorang bekas pembantu akaun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tiga tuduhan menggunakan empat keping cek palsu membabitkan kerugian berjumlah RM62,500 tahun lalu.

Bagaimanapun Mohd Nazirul Hafiz Mustaq Ahmad, 24, mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan yang dibaca di hadapan tiga hakim berasingan.

Lelaki itu didakwa menggunakan cek-cek terbabit di sebuah bank Cawangan PJ New Town, Jalan S2/16 di sini, antara 5 Ogos 2011 dan 18 Ogos 2011.

Pendakwaan terhadap Mohd Nazirul dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Kes itu disebut di hadapan hakim Hayatul Akmal Abd Aziz, Balqis Aini Mohd Ali dan Suraiya Mustafa Kamal.

Lelaki itu dibenarkan ikat jamin RM14,000 untuk semua tuduhan dan kes ditetapkan 10 Julai depan untuk sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Choong Kak Sen, Zhafran Rahim Hamzah dan Ching Kian Chun manakala Mohd Nazirul tidak diwakili peguam.

'Macam mana anak saya nak ke sekolah'



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Jun 2012
'Macam mana anak saya nak ke sekolah'
Sharipah Ismail buntu memikirkan hal persekolahan anaknya selepas tinggal sehelai sepinggang akibat rumah yang didiaminya di Bukit Besi hangus dalam kebakaran huj
JERANGAU SUNGAI - “Sekolah akan dibuka semula sehari dua lagi, tapi anak saya masih tidak mempunyai pakaian sekolah kerana hangus dalam kebakaran tempoh hari, saya tidak tahu di mana harus mengadu. Itu luahan Sharipah Ismail, 46, ibu tunggal yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Bukit Besi, kira-kira jam 8.50 malam, 29 Mei lalu.

Sharipah yang kini menumpang teduh di rumah anak perempuannya, Norhayati Hitam, 25, dekat sini berkata, sebagai ibu tunggal, dia hanya bergantung harap dengan hasil menoreh getah bagi menyara kehidupan.

Menurutnya, kejadian kebakaran itu membuatkan fikirannya benar-benar buntu memikirkan nasib keluarganya kerana segala perkakas rumah serta pakaian sekolah anaknya, Fatira Hitam, 11, musnah dalam tragedi yang meranapkan rumah yang sebelum ini dihuni kakaknya, Rokiah Ismail, 56.

Sharipah berkata, disebabkan kemiskinan hidup, dia tiada tempat tinggal setelah suaminya, Hitam Muda,70 meninggal dunia tiga bulan lalu akibat asma.

“Saya tiada duit simpanan langsung, pendapatan dengan mengambil upah menoreh getah hanya cukup untuk membeli keperluan makanan sahaja, itu pun tidak menentu.

“Kalau anak saya tiada pakaian, bagaimana dia hendak ke sekolah dalam masa terdekat. Ini yang paling merunsingkan. Nak beli baru, saya tak ada duit, hidup sekarang pun menumpang di rumah anak,” katanya.

Sharipah berkata, sebagai warga miskin, apatah lagi wanita berstatus ibu tunggal yang tiada sumber pendapatan, dia amat berharap agar pihak berkenaan dapat menyediakan tempat tinggal untuk membolehkan dia dua beranak berteduh bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, sebagai insan daif, dia tidak tahu bagaimana ingin membebaskan dirinya dari kemelut kemiskinan yang sentiasa menghimpit kehidupannya.

“Bagi mata yang memandang, mereka bercakap memang senang, tapi bagi saya yang melaluinya, hanya Tuhan tahu peritnya," katanya.

Pemilik bengkel rugi RM100,000



NORAFIZA JAAFAR
8 Jun 2012
Pemilik bengkel rugi RM100,000
Keadaan bengkel kenderaan yang terbakar dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, semalam.
KEPONG - Pemilik bengkel kereta kerugian lebih RM100,000 selepas kedainya terbakar dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, di rumah kedai di Taman Intan Baiduri di sini, semalam

Pemilik bengkel, Alan Wong berkata, ketika kejadian dia sedang membaiki kereta Wira milik pelanggannya.

Menurutnya, kereta tersebut secara tiba-ba menghasilkan percikan api yang kemudiannya mula merebak ke seluruh bengkel berkenaan.

“Api merebak dengan pantas bagaimanapun saya sempat menyelamatkan kesemua kereta pelanggannya kecuali kereta Wira yang menyebabkan berlaku kebakaran.

“Sepanjang 10 tahun berniaga di sini, ini adalah kejadian pertama hingga menyebabkan hampir 90 peratus peralatan membaiki kenderaan musnah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 11.49 pagi dengan satu jentera bombadaripada lima balai berasingan yang berdekatan bersama 38 anggota.

“Pada jam 12.04 tengah hari jentera dari Balai Bomba Jinjang tiba ke lokasi mengambil masa 10 minit mengeluarkan tiga mangsa yang terperangkap di tingkat atas bangunan.

“Mangsa yang terperangkap terdiri dua dewasa dan seorang kanakkanak berusia antara 7 hingga 55 tahun,” katanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan.

Ribut sambut pengantin baru



NURUL FATIHAH SULAINI
8 Jun 2012
Ribut sambut pengantin baru
Rosfadzlina bersama suami mengemaskan peralatan kenduri yang terkena ribut.
LANGGAR, KEDAH - Belum sampai 24 bergelar raja sehari, sepasang pengantin baru terpaksa berputih mata apabila bumbung dapur rumah kenduri diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut yang berlaku lewat malam kelmarin.

Mangsa, Rosfadzlina Wahab, 22, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11.30 malam, ketika itu dia bersama 15 ahli keluarga sedang berehat setelah penat melayan tetamu yang hadir pada majlis perkahwinannya bersama suami, Mohd Zufri Zulrafli, 23, pada sebelah siangnya.

Menurutnya, selain bumbung dapur diterbangkan angin, empat khemah yang digunakan sebagai tempat makan tetamu turut roboh termasuk beberapa batang besi dipasang untuk menegakkan khemah berkenaan patah.

“Saya tidak menyangka dalam kemeriahan meraikan hari bahagia saya bersama pasangan, kami sekeluarga menerima musibah ditimpa bencana ribut hingga menyebabkan terpaksa menanggung kerugian hampir RM3000.

“Bagaimanapun, kami tetap terima dengan hati terbuka dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian di rumah keluarganya di Kampung Tanjung Inggeris, di sini, semalam.

Sementara itu, menurut ibunya, Amnah Aziz, 60, semasa kejadian dia berada di dapur sibuk mengemas peralatan kenduri yang digunakan, sementara ahli keluarga lain sudah bersiap untuk tidur.

“Saya sempat menyaksikan sendiri kejadian berlaku apabila angin kuat melalui tingkat dapur yang pecah sebelum menerbangkan sebahagian bumbung dapur secara serentak tidak sampai lima minit.

“Berdasarkan anggaran secara kasar, hampir 20 zink yang terbang dan lantai dapur turut basah,” katanya.

Dia berkata, bagaimanapun, mereka bersyukur kerana kejadian berlaku selepas kenduri bukannya sebelum atau semasa kenduri, jika tidak lebih banyak kerugian dijangka akan berlaku termasuk melibatkan keselamatan orang ramai.

“Sepanjang tinggal di sini sepanjang 40 tahun lalu, kami belum pernah dilanda kejadian seumpama ini,” katanya.

Suami Arroyo didakwa lagi



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Jun 2012
MANILA - Jose Miguel, suami kepada bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo berhadapan lagi dengan tuduhan rasuah berhubung penjualan helikopter terpakai dengan harga lebih tinggi kepada pasukan polis negara itu.

Bagaimanapun, Miguel, kelmarin menafikan dia terlibat dengan penipuan tersebut dan tidak pernah memiliki helikopter itu seperti didakwa kumpulan penyiasat sebelum ini.

Mac lalu, di bawah kempen antirasuah Presiden Filipina, Benigno Aquino, dia juga didakwa menerima suapan AS$330 juta (RM1 bilion) menerusi kontrak perjanjian rangkaian jalur lebar di seluruh negara dengan syarikat  telekomunikasi  China pada 2007 iaitu semasa isterinya memegang jawatan sebagai presiden.

Mohon gantung prosiding



Sri Wani Choo Abdullah
Sri Wani Choo Abdullah
KUALA LUMPUR - Pengasas Produk Kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah, 37, yang menarik perhatian ramai setelah kes mahkamah mengenai status jantinanya dipaparkan di akhbar, memfailkan permohonan untuk menggantung semua prosiding Mahkamah Syariah di Mahkamah Tinggi Syariah Jalan Duta, di sini semalam.

Permohonan itu dibuat bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk menyiasat kesahihan alamat yang digunakan suaminya, bekas dekan sebuah universiti, Baharom Sanugi, di Taman Dato Senu, sama ada alamat bermastautin atau tidak.

Peguam yang mewakili Sri Wani, Boestaman Ahmad berkata, pihaknya telah mengemukakan notis kepada peguam suaminya untuk menjawab notis berkenaan namun belum menerima respons.

“Pihak responden sepatutnya menjawab notis dalam tempoh 14 hari, tetapi belum ada jawapan,” katanya kepada Hakim Syarie Abd Walid Abu Hassan.

Berikutan itu, hakim mengarahkan pihak defendan mengemukakan hujahan dalam tempoh 14 hari dan menetapkan tarikh 30 Ogos depan untuk keputusan sama ada mahkamah membenar permohonan itu.

Sementara itu, Boestaman berkata, Sri Wani juga ada menghantar satu surat tuntutan bagi menuntut tunggakan nafkah selama 30 bulan berjumlah RM300,000 kepada suaminya.

Status jantina Sri Wani disyaki suaminya, yang memohon mahkamah membatalkan perkahwinan mereka.