KUALA TERENGGANU - Polis menahan dua sahabat dan menemui kembali sebuah motosikal serta komponen kenderaan serupa yang sudah dilerai ketika menyerbu sebuah rumah di Kampung Bukit Merah, Paka tengah malam tadi.
Serbuan pukul 12.15 tengah malam oleh sepasukan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Paka itu adalah hasil intipan setelah menerima laporan berhubung kecurian sebuah motosikal jenis Honda EX5 pada 24 Mei lalu di Kampung Gong Gemia, Paka.
Kedua-dua pemuda berusia 21 dan 24 itu juga didapati positif dadah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun DSP Ismail Abdullah ketika dihubungi Bernama di sini, mengesahkan laporan.
Kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - Bernama