RANTAU PANJANG 6 Jun - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM1.8 juta sejak pasukan itu mengambil alih tugas Ops Wawasan di sepanjang sempadan Sungai Golok, 13 Mei lepas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, nilai hasil rampasan itu melebihi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak RM1.5 juta sebulan yang disasar pasukan tersebut.
Beliau berkata, pasukan yang bertugas di sempadan itu dijangka meningkatkan lagi nilai rampasannya terutama menjelang musim perayaan dan bulan puasa tidak lama lagi.
"Ini suatu kejayaan yang boleh dibanggakan pasukan PGA dalam gerakan mengawal sempadan dan mencegah kegiatan sempena Ops Wawasan sejak 15 Mei hingga semalam," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai gerakan yang dijalankan anggota pasukan itu di Markas Taktikal PGA, Lubok Setol, di sini hari ini. - BERNAMA