Search This Blog

Tuesday, June 5, 2012

Peniaga rugi hampir RM300,000 kedai emas dipecah masuk




5 Jun 2012
KOTA BHARU - Seorang peniaga barang kemas kerugian hampir RM300,000 selepas kedai miliknya di Pasir Tumboh di sini dipecah masuk.

Mangsa, Lu Shing Ai, 49, berkata beliau hanya sedar premisnya dipecah masuk pada 12.30 tengah hari tadi ketika hendak memulakan perniagaan.

"Saya percaya pencuri itu masuk melalui tingkat atas bangunan premis yang kosong sebelum bertindak memecahkan dinding konkrit dan masuk ke dalam kedai.

"Mereka juga bertindak mengumpil pintu peti besi dan mengambil barang kemas di dalamnya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata siasatan awal mendapati lebih daripada seorang terlibat dalam jenayah tersebut dan suspek juga didakwa melarikan seketul emas seberat satu kilogram.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

Gadis dimarah peminta sedekah gara-gara enggan bagi duit

Gadis dimarah peminta sedekah gara-gara enggan bagi duit - Utara - Sinar Harian:


WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012
peminta sedekah
Gelagat seorang peminta sedekah menggangu pelanggan di dalam kedai makan
berjaya dirakamkan.
SUNGAI DUA – Gara-gara tidak menghulurkan wang yang diminta oleh seorang peminta sedekah, seorang gadis dimarah secara terbuka oleh lelaki berkenaan.

Menceritakan kejadian itu, Suraya Aiman Khalif, 23, dari Selangor berkata, dia datang bersarapan dengan rakannya pada kira-kira jam 10 pagi di sebuah kedai makan di sini.

Setibanya di situ dia duduk berseorangan kerana dua lagi rakan yang lain mengambil makanan di kaunter lauk.

“Kemudian datang seorang tua dengan bertongkat sambil jalan terencot-encot ke arah semua orang, dan saya tahu dia pasti mahukan duit, ada yang tidak memberinya dengan hanya memberikan isyarat tangan.

“Apabila giliran saya dia datang dekat dan dia kata hendak duit kerana sakit tetapi saya gelengkan kepala kerana bekas duit saya pada rakan di kaunter, kemudian dia terus marah pada saya dengan tiba-tiba.

“Saya terkejut kerana sebelumnya dia tidak marah pada lelaki lain yang tidak memberinya duit, warga emas itu marah saya dengan agak kuat sehingga agak malu saya dibuatnya,” katanya.

Suraya yang juga penuntut jurusan ijazah di sebuah universiti di sini berkata, lima minit kemudiannya rakannya datang segera dan bertanyakan apa yang berlaku.

Menurutnya, terdapat beberapa pelayan di situ memaklumkan peminta sedekah itu adalah ‘pengunjung’ tetap di situ.

Dia akan datang setiap hari iaitu pada waktu puncak termasuk pagi, petang dan juga malam.

“Difahamkan bukan sahaja saya yang terkena dengan pakcik itu, tetapi ramai lagi, saya berharap supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pantau masalah pengemis di sini.

“Kita bukan kedekut tetapi situasi sedemikian akan merimaskan ramai pelanggan, ada yang datang ke situ untuk makan dan sebagainya bersama keluarga tetapi diganggu dan ada pula yang dimarah gara-gara tidak berikan duit, ini tidak patut,” katanya.

Sinar Harian sempat merakamkan gelagat peminta sedekah berkenaan yang sememangnya ada ketika waktu yang dimaklumkan.

Anehnya dia akan berjalan dari meja ke meja dan lelaki itu akan menunggu lama sekiranya mana-mana pelanggan tidak memberikannya duit.

'via Blog this'

Kakitangan DBKL didakwa mencederakan seorang penyelia dengan spanar




5 Jun 2012
KUALA LUMPUR - Seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan mencederakan seorang penyelia tapak projek dengan menggunakan sebatang spanar, bulan lepas.

Mohd Safiy Borhan, 26, dari Bandar Tun Razak, Cheras didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Tung Kok Wei, 38, di Jalan 3/124 Taman Connaught, Cheras dekat sini pada 8.30 malam 19 Mei lepas.

Mohd Safiy, yang bekerja sambilan sebagai pemandu teksi, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Shashitah Mohd Hanifa menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Mohd Safiy, yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kepada RM2,000 atas alasan dia tidak berpendapatan tinggi serta menanggung ibunya yang tidak bekerja.

Hakim S.M. Komathy Suppiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai depan untuk sebutan semula kes.- Bernama

Cemar imej, rumah urut dan pusat hiburan bertambah



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012
Cemar imej, rumah urut dan pusat hiburan bertambah
Penduduk mahu operasi pusat hiburan dipantau.
SUNGAI BESAR - Kewujudan beberapa pusat refleksologi dan pusat hiburan sekitar Sekinchan dan Sungai Besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk khasnya umat Islam.

Penduduk, Ikhwan Rahim, 35, berkata, kewujudan rumah urut dan pusat hiburan secara tidak langsung akan memberi kesan negatif kepada penduduk.

“Kita lihat ianya semakin berleluasa dan tidak mematuhi waktu operasi ditetapkan. Pada masa sama, kita dengar cerita dari mulut ke mulut, ada pusat urut dan hiburan menawarkan perkhidmatan seks kepada pengunjung.

“Apa yang perlu bagi kita, jabatan dan agensi terlibat perlu berganding bahu membanteras masalah ini terutamanya di Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) sebagai pihak
berkuasa tempatan (PBT) yang mengeluarkan lesen perniagaan kepada premis ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Ali Imran Abdullah, 43, menggesa PBT menghadkan jumlah pusat urut dan hiburan itu dalam usaha membendung masalah sosial di kawasan
berkenaan.

“Selain mengehadkan jumlah lesen dikeluarkan, PBT juga perlu melakukan pemantauan berterusan ke atas premis dibenarkan bagi memastikan beroperasi mengikut garis panduan lesen dimohon. Jikagagal, tarik sahaja lesen mereka,” katanya.

Bagi Rohani Hasmi, 34, sebagai anggota masyarakat, beliau bimbang dengan wujudnya pusat hiburan yang banyak di kawasan ini, mempengaruhi anak muda luar bandar berhibur di situ.

“Kadang-kadang sebelum lewat malam lagi seawal jam 8 malam sudah ada gadis berpakaian seksi berjalan masuk ke arah pusat hiburan, kita tidak pasti sama ada mereka pengunjung ataupun bekerja di pusat hiburan.

“Tetapi apa yang pasti, tindakan mereka itu diperhatikan anak-anak luar bandar yang kebanyakannya tidak terdedah dengan gejala sosial berhibur seperti itu dan akhirnya kita bimbang ia menjadi
ikutan dan budaya serta sesuatuyang biasa” katanya.

Sementara itu, MDSB menafikan peningkatan kewujudan rumah urut atau pusat hiburan sekitar daerah Sabak Bernam khususnya di Sungai Besar dan Sekinchan seperti dakwaan penduduk.

Setiausahanya, Hazril Hakim Mohd Yazid berkata, sehingga kini sebanyak enam pusat urutan kategori refleksologi direkodkan kawasan Sekinchan, diikuti empat di Sungai Besar dan satu di Sabak Bernam, manakala empat pusat hiburan di Sekinchan dan tiga di Sungai Besar.

“Daripada jumlah itu, hanya ada dua sahaja lesen pusat hiburan karaoke diberikan sejak 2008 iaitu pada 2009 masing-masing di Sekinchan dan Sungai Besar. Manakala satu pusat refleksologi di Sekinchan pada 2010,” katanya.

Menurut Hazril, segala lesen kritikal dan sensitif seperti pusat refleksologi, pusat siber, snooker, spa, karaoke dan sebagainya terkawal.

“Kita sentiasa mengawal pemberian lesen kritikal dan sensitif ini dan menghadkan pengeluaran lesen. Dakwaan sesetengah pihak mengenai pemberian lesen kritikal dan sensitif tidak terkawal di kawasan pentadbiran MDSB adalah tidak benar kerana tidak mudah untuk kita meluluskan permohonan.

“Ini memerlukan kelulusan di peringkat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Perlesenan MDSB sebelum dipanjangkan kepada pihak negeri untuk mendapatkan kelulusan sepenuhnya,” katanya.

Kulit beduk jadi sasaran kaki judi



ALAUDIN MA
5 Jun 2012
Kulit beduk jadi sasaran kaki judi
Seorang kariah masjid menunjukkan kulit beduk dalam Masjid Razaleigh hilang
dicuri dipercayai dilakukan kaki judi.
GUA MUSANG - Kulit beduk di masjid Razaleigh Hamzah, di bandar ini yang berusia lebih 70 tahun lesap dan tinggal kayu sahaja dipercayai menjadi sasaran pencuri dalam kalangan kaki judi untuk bomoh nombor ekor.

Kegiatan itu dipercayai berlaku tengah malam hingga awal pagi sejak lima tahun lalu apabila sedikit demi sedikit hilang dipotong mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan amalan syirik itu.

Kebanyakan kariah masjid itu juga tidak dapat mengesan pencurinya kerana kegiatan itu mungkin dilakukan oleh mereka yang licik berbuat demikian hingga tidak menghiraukan langsung kulit beduk berkenaan disimpan dalam masjid.

Tinjauan mendapati, beduk dalam masjid itu sudah tinggal kayu yang kosong berikutan semua kulitnya yang sebelum ini digunakan untuk memanggil orang yang beragama Islam menunaikan solat lima waktu hilang dicuri.

Menurut seorang kariah masjid itu, Jusoh Abdullah, 67, mereka yang mempercayai kulit beduk di masjid boleh menarik rezeki terutama kaki judi untuk melakukan bomoh ekor tidak segan silu berbuat demikian.

“Mengikut adatnya tidak sepatutnya ada dalam kalangan orang kita beragama Islam menjalankan perbuatan yang terkutuk itu kerana bukan sahaja berdosa mencuri barang masjid, tetapi turut melakukan amalan syirik yang merupakan salah satu daripada dosa besar,” katanya.

Jusoh mengakui sekarang ini memang sukar untuk mendapatkan kulit beduk yang lama seperti itu kerana kebanyakan masjid menggunakan pembesar suara bagi memasang mengaji al-Quran untuk memanggil jemaah menunaikan solat.

Beliau hairan dengan sikap individu tertentu yang tergamak berbuat demikian semata-mata mengejar kekayaan di jalan yang tidak direstui ALLAH SWT termasuk ramalan nombor ekor.

Seorang lagi kariah, Ab Ghani Mustapha, 45, pula berkata, kulit bersama beduk itu sepatutnya menjadi bahan sejarah yang amat berguna untuk orang ramai terutama generasi baru yang tidak mengenali lagi beduk.

“Kalau barang macam itu pun menjadi sasaran pencuri amat sukar diramalkan dan mungkin banyak lagi barangan dalam masjid akan turut menjadi sasaran kegiatan serupa,” katanya.

Duda maut selepas motosikal terbabas




5 Jun 2012
KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas merempuh bongkah konkrit di Km 60 Jalan Jerantut-Kuala Tahan di Jerantut, malam tadi.

Azrai Mat Yunus, 32, yang tinggal di Kuarters Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata kejadian berlaku pukul 10 malam ketika  mangsa dalam perjalanan dari rumah rakannya di Kuala Tahan menghala ke bandar ini untuk minum bersama rakan lain.

Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya ketika melalui selekoh tajam dan terbabas ke kanan jalan sebelum terjatuh dan melanggar bongkah konkrit di situ, katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa menunggang dengan laju ketika kejadian dan polis menolak pembabitan kenderaan lain dalam kejadian tersebut.- Bernama

Diusir agensi pekerjaan kerana didapati OKU



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012
Kok Hung
Kok Hung
JOHOR BAHRU – Sebuah agensi pekerjaan sanggup mengusir seorang lelaki dari Sabah yang berhasrat hendak mencari kerja di Singapura sebaik sahaja mendapati lelaki itu mempunyai masalah mental.
Agensi pekerjaan berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah itu hanya menyedari Ho Kok Hung, 50, yang berasal dari Kota Belud mengalami masalah tekanan mental selepas membawanya untuk bekerja diSingapura, seminggu lalu.
Kok Hung mendakwa, dia mengetahui mengenai peluang pekerjaan di Singapura selepas terbaca sebuah poster ketika bersiar-siar di Kota Kinabalu, beberapa minggu lalu.
Selepas menghubungi nombor yang tertera, dia kemudiannya diarah membuat pasport dan diterbangkan ke Singapura dengan segala perbelanjaan ditanggung agensi.
“Saya tidak kenal mereka, niat saya hanya ingin bekerja, malah saya dibelikan pakaian dan kasut baru oleh agensi.
“Sebaik tiba di Singapura, tiba-tiba mereka mengatakan tiada pekerjaan sesuai buat saya, lalu membawa saya ke sini (Johor),” katanya yang masih bingung.
Kok hung berkata, pasport miliknya juga dirampas dan dia dibiarkan tanpa arah tujuan sejak tiga hari lalu.
“Saya kemudian bertekad mendapatkan bantuan di Balai Polis Taman Universiti.
“Bersama saya hanya ada sebuah beg pakaian, buku simpanan dengan baki RM13.06 dan saya tiada wang untuk pulang kekampung halaman di Kampung Tombol, Sabah,” katanya.
Sementara itu, bertindak atas maklumat awam, polis menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru untuk tindakan lanjut.
Hasil siasatan awal mendapati, Kok Hung merupakan penerima Bantuan Am RM190 sebulan dan disahkan OKU mental.
Sementara itu, Pegawai JKM, Manayi Ibrahim memberitahu, lelaki berkenaan akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan di sini buat sementara waktu selama 30 hari selaras di
bawah Seksyen 3(2) Akta Orang Papa 1977.
“Pihak kami juga akan berusaha mencari waris berdasarkan alamat di MyKad,” katanya

Guna bomoh cari anak lembam



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012
mohd suhaimi
mohd suhaimi
ALOR SETAR - Perasaan bimbang semakin membelenggu fikiran ibu kepada remaja lembam, Mohd Suhaimi Ramli, 15, yang tidak pulang sejak 13 hari lalu.

Rohani Mohd Ali, 44, berkata, setelah berita mengenai kehilangan anaknya disiarkan di dalam akhbar, dia turut menerima panggilan orang ramai yang terserempak dengan anaknya di sekitar pusat bandar dengan menunggang basikal fixie.

Menurutnya, ada dalam kalangan jiran dan rakan anaknya itu yang memaklumkan mereka turut ternampak remaja itu menunggang basikal di Jalan Putra.

“Perasaan saya sebagai ibu sukar digambarkan kerana setiap hari memikirkan keadaan dan makan minumnya, apatah lagi dia mengalami masalah lembam.

“Usaha mencari Mohd Suhaimi masih dilakukan walaupun saya rabun. Saya tetap berusaha mencari untuk membawanya pulang,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian 2 Jun lalu, menyiarkan berita mengenai kehilangan Mohd Suhaimi yang tidak pulang ke rumahnya di Flat Seri Gemilang, Mergong, setelah keluar tanpa memaklumkan kepada sesiapa.

Ketika kejadian Mohd Suhaimi tinggal bersama kakaknya, manakala Rohani keluar bekerja namun kakaknya terlupa mengunci pintu rumah yang memberi peluang kepada remaja itu keluar.

Mohd Suhaimi, yang keluar dengan menunggang basikal fixie berwarna merah tidak membawa wang dan kad pengenalan.

Rohani berkata, mereka sekeluarga langsung tidak mempunyai sebarang masalah atau perselisihan faham dengan Mohd Suhaimi.

Selain usaha mencari di beberapa kawasan, Rohani berkata, mereka turut berikhtiar dengan cara berjumpa bomoh bagi mengesan Mohd Suhaimi.

“Bomoh memaklumkan anak saya masih berada di kawasan sekitar, termasuk pusat bandar namun tidak tahu bagaimana untuk pulang.

“Masalah lembam yang anak saya alami itu menyebabkan saya khuatir dia tidak tahu jalan untuk pulang ke rumah,” katanya.

Rohani berharap kepada sesiapa yang terserempak dan menjumpai Mohd Suhaimi agar membantu membawa remaja itu pulang ke pangkuan keluarga.

Pusat hiburan hampir musnah dijilat api




5 Jun 2012
SEREMBAN - Sebuah pusat hiburan di Jalan Tampin Lama, Rahang di sini hampir musnah dijilat api malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rahang, Zakaria Amat berkata kebakaran pada 11.30 malam itu disyaki bermula dari bahagian belakang permis terbabit yang menempatkan sebuah stor simpanan minuman keras.

Namun punca sebenar kebakaran belum diketahui.

"Pihak kami menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 11.32 malam dan empat buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rahang serta Seremban membabitkan 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pada peringkat awal, pihak kami mengalami kesulitan untuk memasuki premis berkenaan berikutan percikan elektrik yang terhasil dari kabel di luar premis yang turut terbakar.

"Namun segalanya dapat diatasi sebelum kebakaran dapat dikawal dalam tempoh lima minit," kata Zakaria di lokasi kejadian. - Bernama

Dua anggota serpihan 'Geng Tikus' ditangkap polis Johor




5 Jun 2012
JOHOR BAHRU - Polis Johor Bahru Selatan berjaya menyelesaikan 19 kes pecah rumah di sekitar bandar raya ini susulan penangkapan dua lelaki yang juga serpihan "Geng Tikus", yang diberkas awal Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata dua lelaki berusia 32 dan 34 tahun itu ditahan dalam serbuan pukul 6.30 pagi di sebuah rumah di Taman Ehsan Jaya, Seri Alam di sini, pada Sabtu lepas.

"Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis berjaya menemui pelbagai jenis barangan yang dipercayai hasil aktiviti pecah rumah iaitu sebuah televisyen, sebuah komputer riba, dua buah mesin pencetak dan lima pemain DVD," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Turut ditemui ialah dua unit radio kenderaan, sebuah pembesar suara, 26 botol minyak enjin kenderaan, sebuah amplifier, satu tripod kamera, 12 telefon bimbit, satu unit gerudi tangan dan satu set teater rumah.

Katanya seorang daripada mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau. 

Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula 3 Jun, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan curi.

Geng Tikus tumpas susulan penangkapan lima anggotanya termasuk seorang wanita sejak April sehingga awal bulan lepas.

Kumpulan itu dipercayai terbabit dalam 35 kes samun, pecah rumah dan mencuri kenderaan di sekitar bandar raya ini serta amat berbahaya dan tidak teragak-agak menggunakan senjata jika terancam. - Bernama

5 remaja positif dadah ditangkap depan rumah



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012
Empat daripada lima remaja yang ditahan positif dadah.
Empat daripada lima remaja yang ditahan positif dadah.
KULIM - Lima remaja lelaki berusia antara 18 dan 23 tahun, termasuk dua beradik yang positif dadah berjaya ditahan dalam satu serbuan di rumah mereka di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Serbuan itu dibuat atas kerjasama polis dari Balai Polis Inisiatif Bandar Selamat (IBS) bersama Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan anggota Rela Taman Selasih.

Ketua Balai Polis Kulim, Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, sebelum serbuan dilakukan, polis sudah membuat pemantauan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, ketika ditahan semua suspek berkumpul di hadapan sebuah rumah dan mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulim.

"Hasil ujian air kenjing di Bahagian Siasatan Jenayah Nakotik mendapati, semua suspek positif dadah dan mereka dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal juga mendapati, dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pernah ditahan memiliki motosikal curi dan seorang lagi terlibat dalam kegiatan menjual motosikal curi," Katanya.

Mohd Azlan berkata, suspek mengaku pernah menjual sebuah motosikal curi jenis Yamaha 125Z dengan harga RM350 kepada rakannya, bagaimanapun pembeli motosikal itu ditahan polis kerana memiliki motosikal yang dilaporkan dicuri.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama suspek untuk menunjukkan rumah individu yang terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar kawasan ini.

Menurutnya, polis akan membuat serbuan dan menahan mereka yang terlibat dalam masa terdekat.

“Daripada lima suspek yang ditahan, dua dari mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri dan menjual motosikal curi.

“Bagaimanapun, suspek terlibat memberikan kerjasama dan menunjukkan beberapa rumah individu yang terlibat dalam kegiatan itu," Katanya.

Polis akan membuat pemantauan terhadap individu terlibat sebelum membuat serbuan dan polis percaya semua individu yang mencuri motosikal itu sudah lama menjalankan kegiatan itu.

Selain Kulim, polis dimaklumkan kumpulan yang mencuri motosikal di sini tinggal di sekitar Baling, Kuala Ketil, Tasek Gelugor, Bukit Mertajam, Mengkuang, Machang Bubuk dan Junjung.

Semua rumah suspek terlibat telah dikenal pasti.

Hajat peneroka tak kesampaian



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012
Hajat peneroka tak kesampaian
Keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Gemas- Rompin, pagi semalam.
GEMAS – Seorang peneroka Felda Pasir Besar, di sini, maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh treler dari arah bertentangan, di Kilometer 16, Jalan Gemas-Rompin, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Baharudin Ujang, 78, dipercayai dalam perjalanan ke kebunnya sebelum terbabit dalam kemalangan ngeri membabitkan lori treler muatan kosong dari arah Rompin.

Anak mangsa, Zolkafli Mohd Said, 54, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah bapanya itu pada malam Sabtu lalu ketika adik-beradiknya berhimpun di rumah bapa yang mengadakan kenduri bagi menyambut kedatangan Ramadan.

“Arwah bapa tidak menunjukkan sebarang perubahan. Cuma dia sudah mengeluarkan duit tabung haji bagi menunaikan upah haji buat arwah datuk dan nenek namun tidak kesampaian kerana pihak Tabung Haji menyatakan kuota sudah penuh.

“Oleh demikian, kami adik beradik akan berbincang di kemudian hari bagi menunaikan hajat arwah bapa kami ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, (HT) di sini, semalam.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai berada di tengah jalan tercampak beberapa meter dan cedera parah di kepala dan badan.

Menurutnya, motosikal mangsa diseret ke bahu jalan dan mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. Mayat mangsa dihantar ke HT untuk bedah siasat.

“Bagaimanapun, siasatan mengenai kejadian ini masih dijalankan. Kita minta kepada saksi kejadian supaya tampil membantu polis menjalankan siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali menerusi talian 06-4411221 atau 06-4411222,” katanya.

Pokok balak hempap rumah



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012
kayu balak
Bahagian dapur dan ruang tamu rumah didiami Said ranap teruk dihempap sebatang pokok ketika dia dan isteri tiada di rumah.
CHENOR - Sepasang suami isteri warga emas yang baharu pulang dari rumah anak mereka terkedu apabila melihat rumah pusaka didiami ranap teruk dihempap sebatang pokok balak berusia lebih 50 tahun.

Mangsa, Said Mat Diah, 72, berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada malam sebelumnya, di mana dia dan isteri tiada di rumah kerana membantu kenduri seorang jiran berdekatan.

Menurutnya, sebatang pokok getah yang tumbang di laluan masuk ke kawasan kampung menyebabkan mereka mengambil keputusan tidur di rumah seorang anak di Kampung Awah.

“Lebih kurang jam 2 pagi sebaik selesai membantu jiran, kami bergerak pulang ke rumah namun terhalang, lalu kami ke rumah anak.

“Pada masa itu, hujan dan angin kuat. Kami perlu menunggu lama sebelum dapat pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Said berkata, pokok balak jenis Sentang yang tumbuh di belakang rumahnya tumbang menghempap dan meranapkan dapur serta merosakkan hampir keseluruhan bumbung.

Menurutnya, perkakas dapur dan perabot turut rosak kerana terkena hujan, namun bersyukur tiada yang cedera.

“Selain saya dan isteri, dua lagi anak tinggal bersama dan secara kebetulan, kami semua tiada di rumah,” katanya.

Curi surat pajak gadai mentua



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012
Muhammad-Azlin
Muhammad Azlin mengaku mencuri sekeping surat pajak gadai milik ibu mertuanya.
KUALA TERENGGANU - Akibat terdesak mendapatkan wang bagi membeli keperluan anak dan isteri, seorang pembantu kedai runcit sanggup mencuri surat pajak gadai milik ibu mentuanya di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, tahun lalu.

Bagaimanapun, perbuatan Muhammad Azlin Shafie, 23, dari Kampung Kubur Timah, Batu Rakit, menerima pembalasan setelah dia dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM3,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Noradila Ab Latif turut mengarahkan tertuduh membayar ganti rugi ­kepada ibu mentuanya itu sebanyak RM5,000 dan jika gagal berbuat demikian, dia akan dipenjarakan selama dua bulan.

Hukuman dijatuhkan selepas Muhammad Azlin mengaku salah mencuri sekeping surat akuan gadaian milik Rohaiza Abdullah, di sebuah rumah di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, kira-kira jam 8 malam, 30 November 2011.

Dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan denda manakala bagi kesalahan kedua serta seterusnya, dia boleh dipenjara serta dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Haliza Abd Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, mangsa hanya menyedari surat gadaian barang kemasnya yang bernilai gadaian RM9,000 telah hilang pada 30 November 2011, kira-kira jam 8 malam.

Setelah hampir empat hari mencari, mangsa mengambil keputusan untuk ke kedai pajak gadai terbabit di Jalan Banggol, di sini, untuk bertanyakan hal kehilangan surat gadaian itu pada 4 Disember 2011 kira-kira jam 2.30 petang.

Namun jawapan yang diterima begitu mengejutkan apabila pemilik kedai terbabit memaklumkan, surat gadaian itu sudah ditebus oleh seorang lelaki bernama Tg Mahmud Tg Chik dari Kampung Kedai Manir, di sini.

Pemilik kedai itu turut memaklumkan, surat gadaian telah ditambah nilai ­gadaian dari RM9,000 kepada RM10,000 oleh tertuduh, menyebabkan nama penggadai ­dalam surat gadaian telah bertukar kepada nama tertuduh dan ini membolehkan tertuduh menjual surat gadaian itu kepada Tg Mahmud Tg Chik.

Yakin tertuduh melakukan penipuan yang melampau, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit dan susulan itu, dia ditangkap pada 16 Disember 2011 kira-kira jam 4.15 petang di kediamannya di Kampung Kubur Timah, Batu Rakit, di sini.

Tertuduh yang sebelum ini telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas ­dakwaan mencuri, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Bagaimanapun, semalam, tertuduh menukar pengakuan kepada mengaku salah.

Rogol pelancong Switzerland



ADILA SHARINNI WAHID
5 Jun 2012
dituduh merogol
Tertuduh diiringi polis keluar dari mahkamah selepas dituduh merogol pelancong
Switzerland, semalam.
KOTA BHARU - Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol pelancong Switzerland, bulan lalu.

Tuduhan terhadap Muhamad Irfan Daud, 19, dibuat mengikut Sesyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh merogol setiausaha berusia 25 tahun itu dalam bilik sebuah rumah di Taman Intan, Lorong LPP Lundang di sini, pada jam 5 petang, 10 Mei lalu.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan kes tersebut disambung 2 Ogos depan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nurhilwani Mat Riffin membantah jaminan, Peguam bela, Rosmizan Sulaiman bagaimanapun merayu supaya anak guamnya itu diberikan jaminan berikutan tertuduh masih menuntut di IPT.

”Tertuduh juga menghidapi penyakit usus yang memerlukan rawatan rapi,” katanya.

Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, Hakim Irwan Suainbon kemudian membenarkan Muhamad Irfan diikat jamin sejumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pada 22 Mei lalu, tertuduh atau ‘boy’ menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu selepas genap seminggu gambarnya tersebar di akhbar.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang setiausaha warga Switzerland mendakwa dia dirogol, manakala, rakannya dicabul empat lelaki ketika singgah di Pejabat Konsul Thailand, di bandar ini bagi urusan visa untuk ke Bangkok, selepas balik dari Pulau Perhentian, Terengganu.

Susulan laporan polis yang diterima, seorang remaja berusia 18 tahun ditahan di rumahnya di Taman Intan, Lundang dan mengaku mencabul salah seorang mangsa ketika dituduh 23 Mei di Mahkamah Majistret di sini. Sementara, dua lagi suspek adik-beradik, Hary dan abangnya masih 

Wanita dituduh gagal isytihar, import tunai RM149,250



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012
import tunai
Tertuduh bergari dibawa anggota Kastam selepas tidak mengaku bersalah terhadap
dua tuduhan ke atasnya itu.
KOTA BHARU - Seorang wanita warga Thailand di hadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan gagal mengisytiharkan dan mengimport wang tunai sejumlah RM149,250, bulan lalu.

Tertuduh, Ketkanya Kanoy, 49, bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas kedua-dua tuduhan itu.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Ketkanya didakwa gagal mengisytiharkan 2,585 wang RM50 dan 200 wang RM100 keseluruhannya bernilai RM149,250 dalam Borang Kastam, 21 Mei lalu.

Kesalahan didakwa dilakukan tertuduh di lorong motosikal Kompleks ICQ Rantau Panjang di sini, pada jam 10 pagi, tarikh berkenaan.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 23(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Pada tarikh, masa dan tempat yang sama, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan boleh di hukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama kerana mengimport wang tersebut.

Bagi kesalahan itu dia boleh didenda maksimum RM2,985,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Koh Joo Kai membantah sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan dia warga asing walaupun bermastautin di Malaysia.

“Pas sempadan yang digunakan oleh tertuduh untuk berulang alik dari Malaysia ke Thailand juga sudah luput sejak 29 Mei lalu. Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan memohon RM50,000 dan ke atas dengan seorang penjamin.

“Jaminan juga haruslah berserta syarat tambahan iaitu dokumen perjalanan serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis setiap dua minggu sekali,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Alias Abdullah memohon supaya dibenarkan jaminan yang rendah dengan mengambil kira latar belakang tertuduh.

“Ibu tunggal dua anak ini sudah bermastautin di negara ini sejak 21 tahun lalu dan berkahwin dengan arwah suaminya serta tinggal di negara ini dengan sah. Saya percaya, tertuduh tidak mempunyai peluang untuk melarikan diri daripada perbicaraan,” katanya.

Hakim Irwan Suainbon bagaimanapun memutuskan tertuduh tidak wajar dijamin atas alasan dia warga asing dan kegagalannya memberikan alasan munasabah dan istimewa bagi membolehkannya dijamin.

Kes disambung 24 Julai depan.

Pemuda Pas Perak gesa polis siasat karikatur WWW1



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012
Pemuda Pas Perak gesa polis siasat karikatur WWW1
Dr Raja Ahmad Al-Hiss (kiri) selepas membuat laporan polis semalam.
IPOH - Pemuda Pas mendesak supaya siasatan sama dilakukan ke atas sebuah akhbar berbahasa Melayu yang menyiarkan karikatur bertajuk ‘Plat Berharga RM500,000’ pada 28 Mei lalu.

Timbalan Pemuda Pas Perak, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, pihaknya tidak berpuas hati apabila kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung isu pembelian plat WWW1 yang dikemukakan di dalam mesej Twitternya pada 28 Mei lalu, diperbesarkan.

Menurutnya, tindakan dan siasatan dilakukan polis Johor dianggap tidak rasional kerana penyiaran karikatur berkaitan bidaan RM520,000 itu disiarkan awal pagi sebelum Mohammad Nizar menghantar mesej dalam laman Twitter.

“Kenapa mesej Mohammad Nizar sahaja diperhatikan sedangkan karikatur dalam akhbar itu disiarkan lebih awal.

“Malahan, akhbar yang sama sekali lagi siarkan karikatur bertajuk ‘WWW1 paling mahal’  keluaran 30 Mei lalu,” katanya, ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat  bagi menyiasat perkara tersebut.

Berdasarkan rekod, bekas Menteri Besar Perak itu menghantar mesej dalam laman Twitter pada jam 4.07 petang hari sama penyiaran karikatur berkenaan.

Selain itu,  Raja Ahmad berkata, mungkin mesej disampaikan Mohammad Nizar secara tidak langsung dipengaruhi dengan kenyataan dikeluarkan akhbar berkenaan.

Kekeliruan timbul apabila hanya kenyataan Mohammad Nizar disiasat sedangkan karikatur yang disiarkan akhbar berkenaan terlepas begitu sahaja.

Beliau berharap, tindakan  sama turut dikenakan ke atas akhbar tersebut kerana ia turut memaparkan isu yang berkaitan.

Suspek kes bunuh kejam ditahan di Berlin




5 Jun 2012
Suspek kes bunuh kejam ditahan di Berlin
Rakaman kamera litar tertutup sebuah lapangan terbang di Berlin yang menunjukkan
keadaan Magnotta.
BERLIN - Seorang pelakon filem lucah yang disyaki melakukan pembunuhan kejam menggunakan alat pemecah ais sebelum memuat naik video rakaman pembunuhan itu di Internet, dan menghantar bahagian mayat yang dipotong-potong ke beberapa buah pejabat kerajaan sekitar Kanada akhirnya ditahan di Jerman, kelmarin.

Menurut jurucakap polis, Luka Rocco Magnotta ditangkap di sebuah kafe Internet di Berlin selepas seorang saksi mengecamnya dan terus menghubungi polis.

Magnotta, 29, amat dikehendaki oleh pihak berkuasa Kanada di atas pertuduhan kelas pertama serta beberapa pertuduhan lain termasuk membunuh seorang pelajar universiti, Jun Li, 33 dengan begitu kejam.

Jurucakap Jabatan Keadilan Kanada, Julie Di Mambro memberitahu, negara itu kini sedang mengemukakan satu permintaan rasmi untuk mengiringi ekstradisi perangkaan dokumentasi bahan bukti yang menyokong kes berkenaan.

Suspek kini masih disoal siasat dan akan dihadapkan di depan hakim secara bertutup kemudian membacakan waran penangkapan antarabangsanya.

Video tersebut yang dimuat naik dalam Internet tersebar dengan menunjukkan imej seorang lelaki sedang menikam seorang individu dengan pemecah ais, kemudian memotong mayat serta melakukan aksi seksual dengan mangsa dalam keadaan bogel serta diikat.

Kilang keluli terbakar, operasi dihentikan





2012/06/05

PASIR GUDANG: Sebuah kilang membuat produk berasaskan keluli di Jalan Nibong, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat di sini terbakar semalam mengakibatkan operasi pengeluarannya terhenti. 

Kebakaran di kilang Kiswire Cord Sdn Bhd (Malaysia) yang membuat antara lain kawat tepi tayar, kawat keluli dan kawat hos, dipercayai bermula dari sebuah mesin bahagian pengeluaran pada jam 6.30 petang.
Api kemudian membakar sebahagian siling bangunan pengeluaran yang diperbuat daripada bahan fiber.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Jamaludin Mohd, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.32 petang sebelum mengejarkan dua jentera bersama 30 anggota ke tempat kejadian. 

“Pasukan bomba yang tiba 6.46 petang berjaya mengawal kebakaran kira-kira setengah jam kemudian dan keseluruhan api dipadamkan pada 7.45 malam,” katanya. 

Kerja memadam kebakaran dibantu oleh dua jentera dari balai Bomba Johor Baharu dan sebuah dari Johor Jaya selain 20 anggota pasukan keselamatan kebakaran kilang tersebut. 

Jamaludin berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. 
Kiswire Cord Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 2004 adalah anak syarikat Kiswire Ltd, sebuah syarikat Korea Selatan yang beribu pejabat di Sooyoung-ku, Busan. - BERNAMA

Ibu sarat mengandung maut ketika ke hospital untuk bersalin



PASIR PUTEH 5 Jun - Seorang ibu yang sarat mengandungi, maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 12.6 Jalan Pasir Puteh- Cherang Ruku, dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, Rodiautul Fatma Mohd. Rosli, 24, dari Kampung Jeram Pasu dekat sini dikatakan dalam perjalanan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerain untuk melahirkan bayi sulungnya itu.
Bagaimanapun katanya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah di bahagian leher selepas kereta yang dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
"Kejadian berlaku pada pukul 2.30 petang di selekoh tajam berhampiran Bukit Peraksi Semerak yang turut menyebabkan dua mangsa yang berada dalam kereta sama cedera," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Pasir Puteh di sini hari ini. - UTUSAN

Duda maut selepas motosikal terbabas



05/06/2012 6:07pm

KUANTAN — Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas merempuh bongkah konkrit di Km 60 Jalan Jerantut-Kuala Tahan di Jerantut, malam tadi.
Azrai Mat Yunus, 32, yang tinggal di Kuarters Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt. Azid Ismail berkata, kejadian berlaku pukul 10 malam ketika mangsa dalam perjalanan dari rumah rakannya di Kuala Tahan menghala ke bandar ini untuk minum bersama rakan lain.
Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya ketika melalui selekoh tajam dan terbabas ke kanan jalan sebelum terjatuh dan melanggar bongkah konkrit.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa menunggang dengan laju ketika kejadian dan polis menolak pembabitan kenderaan lain dalam kejadian tersebut.— BERNAMA

Van polis terbakar selepas hantar tertuduh ke mahkamah



05/06/2012 6:05pm

SUNGAI PETANI — Sebuah van polis yang baru menghantar seorang tertuduh ke kompleks mahkamah di sini dilaporkan terbakar.
Kejadian berlaku kira-kira 10.30 pagi tadi di persimpangan Jalan Lencongan Timur berhampiran kompleks mahkamah tersebut dan Hospital Sultan Abdul Halim.
Terdapat dua anggota polis di dalam van dari Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah Yan itu termasuk pemandunya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hashim Ali berkata, kedua-dua anggota tersebut menyedari tentang kepulan asap dari bahagian enjin van itu disertai bau hangit.
Mereka lalu menghentikan van itu yang kemudiannya terbakar.
Pihak bomba dan penyelamat kemudiannya dipanggil untuk memadam kebakaran.— BERNAMA

Peniaga rugi RM300,000 kedai emas dirompak



05/06/2012 6:30pm

KOTA BAHARU — Seorang peniaga barang kemas kerugian hampir RM300,000 selepas kedai miliknya di Pasir Tumboh di sini dipecah masuk.
Mangsa, Lu Shing Ai, 49, berkata, beliau hanya sedar premisnya dipecah masuk pada 12.30 tengah hari tadi ketika hendak memulakan perniagaan.
"Saya percaya pencuri itu masuk melalui tingkat atas bangunan premis yang kosong sebelum bertindak memecahkan dinding konkrit dan masuk ke dalam kedai.
"Mereka juga bertindak mengumpil pintu peti besi dan mengambil barang kemas di dalamnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Azham Othman berkata, siasatan awal mendapati lebih daripada seorang terlibat dalam jenayah tersebut dan suspek juga didakwa melarikan seketul emas seberat satu kilogram.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.— BERNAMA

Warga emas terselamat dalam kebakaran



05/06/2012 6:51pm

KOTA BHARU — Pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamatkan sederet lima unit rumah kedai, termasuk kedai emas dalam kebakaran di pekan lama Ketereh hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Azman Yasok berkata, kejadian kira-kira 1.30 petang itu menyebabkan dua rumah kedai separuh konkrit yang didiami dua keluarga, termasuk seorang warga emas, musnah sama sekali.
Beliau berkata, seorang mangsa, Mariam Buldzaman, 85, yang nyaris terperangkap, dapat diselamatkan jirannya, Mohamad Hassan, 60, dengan memapahnya keluar dari bangunan yang hangus dalam kebakaran itu.
Azman berkata, tiga jentera bomba bersama 22 anggota berjaya mengawal api daripada merebak selepas menerima panggilan pada 1.54 petang.
Beliau berkata, pihaknya turut dibantu tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu serta Machang.
"Dalam kebakaran itu, pihak kami menganggarkan dapat menyelamatkan lebih RM600,000 termasuk kedai emas itu,” katanya.- BERNAMA

Bakar butik pengantin: Penjual besi buruk dipenjara



05/06/2012 6:56pm

PETALING JAYA — Seorang penjual besi buruk dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membakar sebuah butik pengantin awal tahun lalu.
Hakim Suraiya Mustafa Kamal memerintahkan Ng Kean Hoe, 29, menjalani hukuman penjara itu bermula daripada tarikh beliau ditangkap iaitu 29 April.
Kean Heo yang tidak diwakili peguam,didakwa membakar Touch Collection Wedding Studio kepunyaan Chin Wei Ching, 41, di No 86, Jalan SS2/24, Sea Park di sini pada 5.40 pagi, 11 Jan 2011 yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM47,380.
Dia didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan laporan Hospital Tanjung Rambutan, Kean Hoe tidak mengalami masalah kesihatan mental ketika kejadian.— BERNAMA

Pecah rumah: Peniaga rugi RM200,000



05/06/2012 7:16pm

SEREMBAN — Seorang peniaga mengalami kerugian hampir RM200,000 apabila kenderaannya jenis Toyota Alphard dilarikan penyamun yang memecah masuk kediamannya di Taman Chip Aik, di sini semalam.
Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, peniaga terbabit tiada di rumah kerana menjalankan perniagaan menjual aksesori kereta di premis perniagaannya di bandar ini, turut kehilangan komputer riba, beberapa botol minuman keras dan wang tunai RM300.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SUP Zazali Hashim berkata, kejadian itu hanya disedari seorang pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan di kawasan itu.
"Ketika melakukan rondaan pengawal keselamatan itu mendapati pintu rumah tersebut terbuka dan dia terus menghubungi peniaga terbabit yang segera pulang dan mendapati rumahnya telah dipecah masuk dan kenderaannya hilang.
"Berdasarkan siasatan awal, penyamun terbabit memasuki kediaman mangsa dengan memotong pintu besi di bahagian hadapan sebelum menggeledah rumah terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan 457 Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan serta pecah rumah dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.— BERNAMA

Lelaki dikehendaki polis ditahan



05/06/2012 7:23pm

JOHOR BAHRU 5 Jun — Seorang lelaki yang dikehendaki polis Negeri Sembilan berkaitan kes samun, pecah rumah dan mencuri kenderaan ditahan di sini Sabtu lalu.
Dia yang berumur 31 tahun ditahan setelah kereta BMW yang dipandunya di Jalan Tebrau dekat Taman Pelangi di sini terbabas ketika melarikan diri dari polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Zainuddin Yaacob berkata, turut ditemui dalam kereta yang sebelum ini dilaporkan hilang di Port Dickson, Negeri Sembilan itu ialah dua buah komputer riba, sebuah kamera dan sebuah mesin pencetak yang dipercayai hasil samun dan curi.
Turut ditemui ialah empat keping nombor pendaftaran kenderaan, sembilan rangkai anak kunci serta pelbagai jenis peralatan pecah rumah dan mencuri kenderaan.
Zainuddin berkata, suspek juga didapati positif dadah methamphetamine.
"Suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau melibatkan kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan di Negeri Sembilan dan Johor Bahru. Dia kini ditahan reman selama empat hari bermula Ahad lalu,” katanya.— BERNAMA

2 peragut diberkas atas motor



KUALA LUMPUR: Tidak sampai tiga bulan aktif melakukan pelbagai jenayah ragut dan pecah kereta sekitar Cheras, dua penganggur warga tempatan berumur 20 hingga 30-an diberkas polis ketika menunggang motosikal di Taman Cheras, di sini.
Kedua-dua mereka ditahan pada jam 12 tengah malam 12 Mei lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hasil maklumat awam serta intipan.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, polis merampas 10 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kamera digital, dua Smart Tag, jam tangan pelbagai jenis dan sebuah motosikal Yamaha yang dipercayai hasil daripada kegiatan ragut dan pecah kereta.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka mempunyai rekod jenayah dan polis masih menyiasat sekiranya suspek terbabit sama aktiviti pecah rumah di Cheras.

“Kedua-dua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta denda,” katanya ketika sidang media di IPD Cheras, semalam.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Mohan Singh berkata, polis menahan dua pengawal peribadi yang terbabit pergaduhan di sebuah kelab berhampiran Jalan Pudu, di sini, yang mengakibatkan seorang jurujual cedera di kepala akibat dihentak menggunakan pistol, Jumaat lalu.


Beliau berkata, suspek yang berumur 37 dan 45 tahun itu melepaskan dua das tembakan ketika ingin melarikan diri dan kini direman sehingga 6 Jun bagi membantu siasatan.

“Walaupun seorang daripada suspek mempunyai lesen senjata api, tetapi perbuatannya yang mencederakan orang serta melepaskan tembakan di kawasan awam salah di sisi undang-undang. “Tiada kehilangan nyawa dicatatkan, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pistol yang digunakan suspek dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.