SENTUL: “Macam nak gugur jantung apabila diminta membuat pengecaman mayat di hospital,” kata adik bongsu mangsa pembunuhan kejam, Mustafa Ahmad Suhaimi, 50, yang dilaporkan hilang, 14 Mei lalu.
Adik mangsa dikenali sebagai Su, 32, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan kali terakhir ditemui di kediaman ibunya di Bangi pada jam 12 tengah hari, hari sama dia dilaporkan hilang.
“Arwah datang meminjam kereta dan berborak dengan ibu lebih sejam sebelum meminta izin untuk bertolak ke Port Dickson. Dia meninggalkan kediaman itu menaiki Nissan Sylphy milik seorang lagi abang saya sebelum gagal dihubungi selepas lebih lima jam bertolak.
“Sehari kemudian, kakak ipar (isteri mangsa) dan abang saya membuat laporan polis mengenai kehilangan arwah serta kereta berkenaan,” katanya ketika di Surau Al-Hijrah PPR, Taman Intan Baiduri, Kepong, di sini, semalam. Katanya, mereka menerima panggilan supaya membuat pengecaman mayat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Isnin lalu.
“Tuhan saja tahu perasaan kami dan selepas membuat pengecaman, kami reda serta menerimanya sebagai ketentuan Tuhan,” katanya.
Sementara itu, usaha mendapatkan isteri mangsa, Zaharah Ree, 47, gagal apabila dia enggan berjumpa dengan pihak media dan mengatakan perkara itu sudah selesai dengan penemuan mayat suaminya ketika dihubungi melalui telefon, semalam.
Jenazah Allahyarham Mustafa yang tiba dari HTJS pada jam 12 tengah hari, semalam, disembahyangkan ahli keluarga dan penduduk PPR Taman Intan Baiduri di Surau Al-Hijrah, di sini. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Selayang Baru.
Harian Metro pada 25 Mei lalu melaporkan aduan isteri mangsa mengenai kehilangannya sejak 14 Mei sebelum digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki yang hanya berkain pelekat di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Besar Linggi-Lubok China, Negeri Sembilan sehari selepas itu.