Search This Blog

Tuesday, May 29, 2012

Bunuh pondan dihukum mati


KUALA LUMPUR 28 Mei - Genap lima hari selepas ulang tahun kelahiran ke-23, seorang pemungut besi buruk hari ini dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh seorang lelaki berpakaian wanita, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Su Geok Yiam menjatuhkan hukuman tersebut terhadap V. Raja selepas mendapati pembelaan tertuduh bahawa dia tertidur sepanjang kejadian itu kerana mabuk, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Ini kerana, menurut hakim tersebut, terdapat saksi yang melihat lelaki itu menikam mangsa, Kanan Muthiah @ Suppiah, 42, yang kemudiannya jatuh ke dalam kolam tadahan banjir.
Oleh itu, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.

Ramai gadis 'terperangkap'


LOMBOK 28 Mei - Meskipun sudah lebih 50 gadis dibawa pulang ke tanah air, namun masih ada yang tinggal di sini tetapi terputus hubungan dengan keluarga masing-masing sejak beberapa tahun lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pekan Batu Layar di sini mendapati, ada antara mereka yang mempunyai anak ingin pulang ke Malaysia, namun tidak tahu bagaimana untuk berbuat demikian.
Seorang penduduk di sini yang mahu dikenali sebagai Ady, 29, berkata, dia pernah menemui seorang wanita yang dipercayai berasal dari Kedah mahu membuat pasport di Jabatan Imigresen di sini tetapi gagal.
Katanya, wanita yang mempunyai seorang anak itu dipercayai mahu pulang menemui keluarganya selepas empat tahun meninggalkan kampung halaman kerana mengikut teman lelakinya di sini.

Ops Samseng Jalanan gempur trek lumba haram


Pegawai polis (kiri) memeriksa sekumpulan penunggang motosikal di dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Eye On Malaysia di Melaka, semalam.
MELAKA 28 Mei - Tindakan sekumpulan mat rempit melakukan aksi berbahaya ketika berlumba mengundang padah apabila lokasi yang dijadikan trek perlumbaan mereka digempur polis dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Eye On Malaysia di sini malam tadi.
Serbuan dilakukan pada pukul 9 malam setelah polis mengepung kedua-dua pintu masuk jalan itu menyebabkan sebanyak 100 buah motosikal ditahan termasuk 12 daripadanya disita kerana penunggangnya tiada lesen memandu.
Selain itu, polis turut mengeluarkan sejumlah 39 saman atas pelbagai kesalahan, antaranya menunggang tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai ekzos dan enjin serta nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi.

Perhilitan rampas 46 tenggiling seludup


Pengawai penguatkuasa Perhilitan, Mohd. Nazri Bahrom (kanan) dan Hasrul Hairul Sapri menunjukkan tenggiling yang dirampas di Changlun, semalam.
ALOR SETAR 28 Mei - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Pulau Pinang merampas 46 ekor tenggiling yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand dalam satu serbuan di Simpang Empat, Changlun di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi, suspek yang memandu kereta jenis Toyota Camry berjaya melarikan diri sebaik sahaja kenderaannya dihampiri empat anggota penguat kuasa Perhilitan.
Pengarah Perhilitan negeri, Rahim Ahmad berkata, kesemua tenggiling itu yang dianggarkan bernilai kira-kira RM43,000 diseludup ke Thailand untuk dijual di restoran makanan eksotik dan kedai perubatan tradisional.

Geng curi kereta mewah tumpas


Tun Hisan Tun Hamzah menunjukkan kereta curi yang disusun di dalam kontena untuk dihantar ke luar negara di Balai Polis Kampung Melayu Subang, Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/Hafiz johari
PETALING JAYA 28 Mei - Satu sindiket curi kenderaan jenis pacuan empat roda (4X4) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang baru tiga bulan beroperasi di negara ini, telah menyeludup hampir 60 buah kenderaan ke luar negara.
Penahanan lima lelaki yang dipercayai ahli sindiket itu di sebuah gudang kosong di Kampung Baru Subang, dekat sini pada Khamis lalu telah membongkar kegiatan sindiket tersebut.
Kesemua suspek berusia antara 22 dan 31 tahun diberkas dalam Ops Lejang yang dijalankan Polis Kontinjen Selangor dan hasil tangkapan itu, polis menemui dua buah kontena mengandungi enam kenderaan jenis Toyota Hilux dan Fortuner yang sedia untuk dieksport ke Singapura sebelum dipasarkan ke negara lain.

'Raksasa Kanibal' ditahan polis.


BEIJING 28 Mei - Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki membunuh 11 lelaki di sini semalam, lapor media tempatan.
Dalam penangkapan itu, suspek, Zhang Yongming, 56, yang turut dikenali ‘raksasa kanibal’ merupakan seorang banduan yang disabitkan kesalahan kerana membunuh mangsa sebelum membahagikan badan-badan mangsa dan menjual daging berkenaan.
Sementara itu, menurut laman web Guangxi News, suspek telah ditahan dua minggu lalu di kampungnya di selatan China. - AFP

Mafia kutip duit kopi

NILAI: Samseng warga Pakistan kini dipercayai menguasai kawasan Pusat Jualan Borong Nilai 3, di sini, dengan menjalankan kegiatan meminta ‘duit kopi’ daripada peniaga sebagai wang perlindungan.
Sumber mendakwa kumpulan samseng terbabit dikatakan memeras ugut peniaga berkenaan sejak beberapa tahun lalu sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan peniaga tempatan.

Difahamkan, kumpulan samseng itu meminta wang perlindungan RM100 sebulan dan sekiranya tidak mengikut arahan, samseng terbabit mengugut menimbulkan kekacauan di premis individu itu. “Kebanyakan peniaga tempatan di sini takut berikutan tidak tahan kerana terpaksa membayar wang perlindungan setiap bulan. “Ini berikutan, warga Pakistan menjalankan perniagaan di situ terlalu ramai hingga mereka membentuk komuniti tersendiri seolah-olah adalah tempat mereka sehingga berani menubuhkan kumpulan gengster,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam. Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman mengakui pihaknya menerima maklumat mengenai kebanjiran peniaga warga asing di kawasan itu termasuk ada kumpulan meminta wang perlindungan.
“Bagaimanapun, kegiatan itu di luar bidang kuasa jabatan ini, namun kami menjalankan pemantauan dan operasi dari semasa ke semasa,” katanya selepas melancarkan Ops 6P di pusat beli-belah itu jam 9.30 pagi semalam.

Dalam operasi dibantu 196 pegawai dan anggota dengan kerjasama Jabatan Imigresen Melaka, Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Selangor, 106 warga asing berusia antara 18 dan 40-an ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963.

“Kami menjalankan pemeriksaan berperingkat dan menahan 88 lelaki dan 18 wanita atas kesalahan tidak memiliki dokumen serta tinggal lebih masa di negara ini,” katanya di sini, semalam.

Dalam operasi sama, pihaknya mengesan terdapat pendatang asing yang didapati berlumba-lumba membeli slip pendaftaran 6P palsu dijual sindiket pada harga RM300 setiap satu.

“Pendatang terbabit dipercayai mendapatkan khidmat sindiket pemalsuan slip berkenaan yang aktif dipercayai diuruskan syarikat berpangkalan di Pontian, Johor,” katanya.

“Kegiatan ini terbongkar selepas kami mendapati lelaki Indonesia berusia 20-an memiliki slip pendaftaran 6P palsu,” katanya.

13 pelajar hidap kepialu

IPOH: “Saya cemas melihat keadaan Muhammad Syazrin yang tidak bermaya dan memerlukan alat bantuan pernafasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejak seminggu lalu,” kata pesara kerajaan, Roslan Ariffin, 59, mengenangkan nasib anaknya antara 13 pelajar yang dimasukkan ke wad kecemasan hospital itu dipercayai akibat serangan demam kepialu di sekolah.
Menurut Roslan, anaknya yang juga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah agama berasrama di sini tidak pernah ditahan di wad kerana masalah kesihatan. 
“Pada mulanya saya dimaklumkan pihak sekolah yang memberi alasan keadaan anak lelaki yang mengalami demam disebabkan keracunan makanan begitupun selepas dirawat di hospital baru doktor memberitahu keadaannya itu disebabkan demam kepialu.

“Sebelum ini dia tidak pernah sakit, keadaannya ini membimbangkan kami sekeluarga lebih-lebih lagi peperiksaan SPM akan tiba tidak lama lagi secara tidak langsung sedikit sebanyak mengganggu pembelajarannya di sekolah,” katanya ketika ditemui di hospital itu.

Menurutnya, Syazrin yang kerap pulang ke rumahnya di Lumut tidak lagi cergas dan ceria seperti dulu menyebabkan dia bimbang keadaan anak lelakinya itu berlarutan sehingga boleh menjejaskan kesihatannya. Dia dan isteri, Rahimah Omar, 50, juga terpaksa berkampung di hospital itu demi memastikan keperluan harian selain berdoa setiap hari supaya keadaan anaknya yang kini menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu beransur pulih.

“Syazrin ada pulang ke rumah seperti biasa Jumaat lalu bagaimanapun keadaannya ketika itu hanya demam biasa. Anak lelaki saya itu memberitahu badannya berasa seram sejuk dan menggigil bagaimanapun selepas makan ubat keadaannya bertambah pulih,” katanya.

“Begitupun selepas pulang ke asrama Ahad minggu lalu keadaannya kembali demam sehingga Selasa lalu dia dimasukkan ke wad kecemasan HRPB kerana tidak dapat bernafas,” katanya.

Dia turut meluahkan perasaan terkilan dengan pengurusan pihak sekolah yang langsung tidak mengambil berat keadaan pelajar yang dirawat di hospital itu.

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Siti Suryana Awang, 48, berkata anaknya, Muhammad Hakim Sabran, pelajar tingkatan empat sekolah itu menerima nasib sama apabila mengalami masalah sukar bernafas sehingga terpaksa menjalani rawatan di wad ICU hospital berkenaan.

“Sejak Selasa lalu Hakim berdepan masalah sukar bernafas sehingga terpaksa mendapat perhatian rapi, demamnya juga tidak menentu sehingga mengakibatkan kami sekeluarga bertambah risau melihat keadaannya yang masih belum pulih,” katanya.

Peniaga, Sharimah Mohd Yunus, 44, ketika ditemui di hospital itu berkata, anaknya pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan, Muhammad Ariff Mohd Yusof, turut dimasukkan ke hospital itu sejak seminggu lalu.

Menurutnya, akibat penyakit itu anaknya sering mengadu mengalami masalah demam tidak menentu, sakit kepala berlarutan dan sakit di belakang badan. Bimbang keadaannya membuatkan dia mengambil tindakan melaporkan perkara itu kepada polis.

“Saya sudah membuat laporan di pondok polis hospital semalam (kelmarin) kerana bimbang melihat keadaan anak dan rakannya yang menderita akibat diserang penyakit berkenaan.

“Saya juga mewakili ibu bapa dan pelajar lain di sekolah itu memandang serius mengenai perkara ini dan berharap supaya dapat ditangani dengan segera,” katanya.

Sejak seminggu lalu, seramai 13 pelajar sekolah menengah agama berasrama di sini dikejarkan ke wad kecemasan HRPB dengan empat daripadanya sudah dibenarkan pulang manakala sembilan termasuk dua pelajar masih dirawat di wad kecemasan hospital berkenaan.

Usaha Harian Metro mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan sekolah berkenaan gagal apabila pengetua enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. 

Helah penyeludup

PETALING JAYA: Berselindung di sebalik perniagaan eksport lampin pakai buang, satu sindiket penyeludupan kenderaan pacuan empat roda ditumpaskan polis dalam satu serbuan di sebuah gudang ketika sedang sibuk memunggah enam kenderaan jenis itu ke dalam dua kontena di Jalan TUDM, Kampung Baru Subang, di sini, Khamis lalu.
Dalam satu lagi operasi membabitkan sindiket sama dijalankan pihak Kastam Diraja Malaysia di Singapura, tiga lagi kenderaan dirampas kelmarin dengan nilai rampasan RM 1.5 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah ketika bercakap di sidang media di Balai Polis Kampung Baru Subang, di sini, semalam berkata, penangkapan itu hasil intipan pihak polis selama sebulan.
Katanya, dalam serbuan pada jam 8.45 malam oleh sepasukan unit Ops Lejang Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya itu, lima lelaki berusia 21 hingga 42 tahun ditahan ketika sedang leka memuatkan kenderaan curi ke dalam dua kontena.

“Siasatan awal mendapati 10 kenderaan termasuk sebuah Toyota Hilux digunakan suspek dilaporkan hilang di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Perak sejak awal tahun ini.

“Kita percaya sindiket ini mula beroperasi sejak Mac lalu dan sudah menghantar 18 kontena berisi 54 kenderaan curi itu ke lokasi tertentu.
“Lapan kontena dibawa melalui pelabuhan di Singapura menuju ke Pelabuhan Jaber Ali di Emiriah Arab Bersatu (UAE), sembilan melalui Pelabuhan Laem Chabang, Thailand untuk dihantar ke Laos dan sebuah lagi ke Hong Kong,” katanya.

Tun Hisan berkata, jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM8 juta membabitkan 64 kenderaan.
Katanya, polis sudah mengenal pasti syarikat ejen penghantaran kenderaan berkenaan di Sentul, Kuala Lumpur dan akan mengambil tindakan sekiranya didapati bersubahat.

“Kami akan menjalankan siasatan bagaimana kenderaan itu dibawa keluar negara dengan mengisytiharkannya sebagai lampin bayi untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, kelima-lima suspek positif dadah manakala empat daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah serta samun dan kini ditahan reman sehingga Rabu ini.

Warga Britain seludup 5 kg kokain dalam beg pakaian

DENPASAR: Seorang wanita warga Britain ditahan kerana disyaki menyeludup kokain ke Bali dan mungkin berhadapan dengan hukuman mati, kata pegawai, semalam.
Pegawai kastam menahan wanita itu yang dikenali sebagai Lindsay June Sandiford, 56, pada 19 Mei lalu kerana membawa hampir lima kilogram kokain ketika tiba di lapangan terbang di Denpasar, menaiki pesawat Penerbangan Thai, dari Bangkok.

Ketua Kastam Lapangan Terbang Denpasar, I Made Wijaya berkata, “Kami menahan suspek setelah menemui 4,791 gram kokain yang disembunyikan di lapisan beg pakaiannya.”
Kami melakukan imbasan X-ray pada beg pakaiannya dan menjumpai bahan yang mencurigakan di dalamnya dan memeriksanya,” katanya.

Katanya, kokain itu mempunyai nilai pasaran lebih 23 bilion rupiah (RM 7.87 juta) dan Sandiford, yang memberitahu pegawai, dia surirumah, akan menghadapi hukuman mati kerana mengedar dadah.

Indonesia menjalankan hukuman berat, termasuk penjara seumur hidup dan mati atas kesalahan mengedar dadah.
Dua anggota geng penyeludupan dadah Australia yang dikenali sebagai “Bali Nine” yang ditahan pada 2005, menunggu hukuman mati, manakala tujuh lagi menghadapi hukuman penjara dengan jangkamasa panjang.

Seorang lagi warga Australia, Schapelle Corby, dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun kerana menyeludup 4.1 kilogram ganja pada 2005, tetapi baru-baru ini hukumannya diringankan lima tahun selepas mendapat pengampunan daripada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Corby, 36 tahun, dijangka dibebaskan pada September 2017. - Jakarta Post

Campak mayat dari jambatan

AYUTTHAYA: Polis menahan seorang lelaki keturunan Vietnam kelmarin kerana disyaki membunuh teman wanita rakyat Thailand hanya kerana “meminjam wangnya” dan kemudian mencampakkannya ke dalam sungai.
Dua saksi memberitahu polis, mereka melihat trak pikap dipandu laju, kemudian berhenti di jambatan di daerah Phra Nakhon Si, di Ayutthaya. 
Pemandu kemudian mengangkat mayat daripada belakang kenderaan itu dan mencampakannya ke dalam sungai Chao Phraya sebelum melarikan diri.

Polis mengesan suspek dan kenderaannya di daerah Bang Pa, Ayutthaya.

Polis berkata, dua pisau, pisau pencincang, lembing dan penyodok ditemui di bahagian belakang trak pikap yang ada kesan darah.

Bhumin dikatakan mengaku membunuh Napaphan Siharat, 29, kemudian mencampakkan mayatnya dari jambatan.

Polis berkata, dia mengaku mangsa adalah teman wanita dan sudah lama bersama. Mangsa pernah berkahwin tiga kali dan mempunyai anak. Mangsa mengidap penyakit anemia dan asma serta kerap “meminjam” wangnya.

Tertuduh berkata, dia merancang membunuh mangsa pada Ahad, 27 Mei kerana baru-baru ini dia meminjam 4,000 baht (RM400) daripadanya.

bhumin memberitahu polis, dia menikam leher mangsa dua kali kemudian mengelar tekaknya dan merancang untuk menanam mayat mangsa tetapi membuat keputusan mencampakkan mayat mangsa ke dalam sungai ketika lalu di jambatan.

Polis mengesyaki Bhumin membunuh teman wanitanya kerana cemburu apabila mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

Suspek didakwa membunuh dan cuba menyembunyikan mayat.

Polis masih mencari mayat Napaphan di sungai itu. - BP 

Sindiket seludup manusia ke Australia tumpas

COLOMBO: Polis Sri Lanka semalam berkata, mereka mematahkan rangkaian penyeludupan manusia dan menahan 113 lelaki yang bersedia menaiki bot pukat tunda menuju ke Australia.
Polis berkata, rakyat Sri Langka itu ditahan ketika mereka dibawa di dalam tujuh van dan trak untuk menaiki bot untuk perjalanan haram dan bahaya di mana mereka membayar kira-kira AS$2,000 (RM 6,300) seorang. 
Enam orang yang menjalankan operasi itu ditangkap dalam serbuan di Colombo, pagi semalam.
Pengarah Biro Penipuan Polis, J. L. Mark berkata, “Daripada maklumat kami, 150 orang mendaftar untuk perjalanan ini. 
“Mereka sepatutnya naik bot yang hanya boleh membawa tujuh orang dan perjalanan mengambil masa beberapa minggu di laut,” katanya. 
Pegawai kanan tentera laut berkata, pihak berkuasa menjangkakan kenaikan bilangan operasi bot haram dari Sri Langka ke Australia selepas mahkamah Australia menolak untuk menghantar pulang pendatang tanpa izin ke Malaysia.
“Kami percaya lebih banyak bot yang meninggalkan Sri Lanka sejak beberapa bulan lalu. Tangkapan yang dibuat hari ini mengesahkannya,” katanya - AFP 

27 tetamu pulang majlis kahwin mati

MUMBAI: Sekurang-kurangnya 27 tetamu yang pulang daripada majlis perkahwinan maut semalam, apabila sebuah van yang dipandu laju, hilang kawalan dan merempuh bas mini mereka yang berhenti di lebuh raya di luar Mumbai.
Menurut polis, bas itu membawa tetamu pulang setelah menghadiri majlis perkahwinan di pinggir Mumbai apabila ia dirempuh, di bandar Maharashtra, 80 kilometer dari Mumbai. 
Pegawai polis yang enggan namanya disiarkan berkata, “Bas mini itu berhenti untuk dibaiki di lebuh raya Mumbai-Pune apabila pemandu van hilang kawalan, masuk ke laluan lain dan merempuh bas itu.” - AFP 

Pemburu haram maut

HARARE (Zimbabwe): Anggota renjer pelindung mergastua membunuh seorang pemburu haram dan merampas 28 gading gajah dalam satu serbuan hujung minggu di bandar Binga, kata pegawai perhilitan, semalam.
Jurucakap pihak berkuasa hutan dan hidupan liar, Caroline Washaya-Moyo, dalam kenyataan berkata, “Empat belas pasang gading atau 28 gading gajah” ditemui. 
Selaras raifal dan 67 butir peluru, sebuah telefon bimbit dengan dua kad sim Zambia, turut ditemui.

Dia berkata, penemuan terbaru itu membawa kepada 50 gading gajah yang ditemui di wilayah yang sama kurang daripada seminggu selepas kejadian tembak minggu lalu yang menyebabkan seorang pemburu haram cedera dan 22 gading gajah turut dirampas.

“Daripada gading gajah yang ditemui, ada yang masih baru diambil daripada bangkai gajah,” katanya.

Minggu lalu, Pertubuhan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan, melaporkan penangkapan tenggiling, haiwan pemakan semut jarang ditemui, di timur laut Zimbabwe.

Haiwan itu adalah sasaran terbaru pemburu haram untuk pasaran Asia, di mana tenggiling dijadikan juadah dan sisiknya digunakan untuk perubatan.

Sisik tenggiling dan sumbu badak, biasanya terdiri daripada keratin, satu bahan yang dipercayai mempunyai nilai penyembuhan dalam perubatan tradisional Asia walaupun bukti saintifik tidak menunjukkan demikian.

Pemburuan haram berleluasa di kawasan hidupan liar di di Zimbabwe, di mana dalam beberapa kes, sindiket merentas sempadan menggunakan teknologi terkini dan pesawat bertanggungjawab membunuh gajah dan badak sumbu. - AFP 

Bieber diburu polis

MARAH...Bieber selepas bergaduh.
MARAH...Bieber selepas bergaduh.
MANGSA...jurugambar terbabit menerima rawatan.
MANGSA...jurugambar terbabit menerima rawatan.
LOS ANGELES: Justin Bieber dikehendaki polis Los Angeles untuk disoalsiasat selepas dituduh menyerang seorang jurugambar.
Mangsa menelefon 911 semalam dan mengadu sakit di muka dan dada selepas satu pergelutan.
Polis yang didakwa menyiasat kejadian itu sebagai kes jenayah berkata, mereka mahu menyoal Bieber untuk mengetahui cerita daripada pihaknya memandangkan penyanyi popular remaja itu meninggalkan tempat kejadian sebelum polis tiba.

Leftenan Robert Wiard dari Jabatan Syerif LA County berkata, kejadian berlaku apabila mangsa cuba merakam gambar Bieber dan teman wanitanya, Selena Gomez ketika mereka meninggalkan sebuah pawagam di Calabasas, California.

Menurut polis, jurugambar itu dibawa ke hospital untuk dirawat sebelum dibenarkan pulang.

Bieber yang tertinggal kasut dan topi besbol selepas pergelutan itu, dan Selena, meninggalkan tempat kejadian sebelum polis tiba.

Satu sumber memberitahu laman web Amerika Syarikat: “Anggota paramedik Los Angeles County tiba di Calabasas Commons sementara Jabatan Bomba dan polis tiba tidak lama kemudian selepas pergaduhan Bieber dengan seorang paparazi.

“Pengawal peribadi Bieber juga tiba sementara jurugambar itu menerima rawatan yang kelihatan seperti serangan pada mukanya.”

Bieber dikatakan hilang sabar dan menyerang jurugambar berkenaan apabila dia enggan berhenti daripada menghalang kereta penyanyi itu.

Minggu lalu, penyanyi lagu Boyfriend itu mengaku, dia hampir meninggalkan kariernya kerana tekanan yang dihadapi akibat terlalu popular.

Dia memberitahu majalah The Hollywood Reporter: “Saya sering mahu berkata, ‘Cukup setakat in. Saya tidak mahu lakukannya lagi.’” - DM

Air mata sebelah mayat anak

PILU...anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sedih  melihat jenazah Faizah di tempat kejadian.
PILU...anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sedih melihat jenazah Faizah di tempat kejadian.
MELAKA: Hasrat seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menghadiri kelas tambahan berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal dibonceng bergesel dengan sebuah lori di Jalan Kampung Gelam, Tanjung Kling dekat sini, semalam.
Kejadian jam 10.28 pagi, Faizah Masbak, 17, yang membonceng motosikal Modenas Kriss bersama rakannya, Nurliyana Md Yusoff, 17, terjatuh.

Faizah maut di tempat kejadian selepas cedera parah di tengkuk dipercayai digilis lori berkenaan manakala rakannya, Nurliyana yang cedera parah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
Lokasi kejadian bertukar pilu apabila ibu mangsa, Rabiah Ahmad, 53, yang tiba tidak dapat menahan kesedihan selepas melihat jenazah anaknya terbujur kaku.

Menurut kakak mangsa, Afifah, 23, adiknya yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist di Tengkera keluar rumah kira-kira jam 8 pagi bagi mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.

“Ibu kata, pagi tadi (semalam) Faizah minta izin ke kelas tambahan dengan membonceng motosikal rakannya yang menjemput adik di rumah.
“Namun, tidak lama selepas rakannya datang ke rumah dan memaklumkan Faizah kemalangan, pada awalnya ibu dan ayah menyangkakan ia kemalangan kecil,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Menurutnya, bagaimanapun apabila tiba di lokasi mereka terkejut melihat orang ramai berkumpul dan jenazah adiknya sudah ditutup.
Katanya, arwah yang juga anak kelima daripada enam beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.

“Adik tidak menunjukkan perubahan, namun malam tadi (kelmarin) dia yang gemar memasak sempat menggoreng nasi goreng cili padi untuk kami sekeluarga.

“Ketika pengecaman mayat hanya ayah yang melihat kerana saya sedih dan tidak sanggup selepas dimaklumkan terdapat kesan tayar di bahagian tengkuknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa dari Tanjung Kling ke Tangga Batu bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama.

“Akibat bergesel dengan lori yang nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti, kedua-dua pelajar ini dipercayai gagal mengawal kenderaan itu lalu terjatuh ke atas jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

“Faizah yang berasal dari Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga maut serta-merta di tempat kejadian, manakala rakannya yang cedera parah kini dirawat di ICU Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, sehingga kini, pemandu lori berkenaan belum membuat laporan polis dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi polis untuk membantu siasatan.

Mati merajuk

RANAU: Kecewa tidak tidak dapat pulang ke kampung bertemu datuknya sempena cuti sekolah dipercayai punca seorang murid tahun enam nekad menggantung diri menggunakan tali kasut dalam bilik di rumahnya di Kampung Lembah Permai, Kundasang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa dikenali sebagai Md Rabin Ginin, 12, ditemui tergantung oleh kakaknya sejurus memasuki bilik adiknya itu untuk menyiasat selepas adiknya tidak keluar dari situ sehari suntuk.
Difahamkan, sebelum kejadian murid berkenaan meminta bapanya menghantarnya pulang ke Kampung Tompios, dekat sini, untuk bertemu datuknya sempena cuti sekolah.

Bagaimanapun, bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu bas mendakwa terlalu sibuk dan tidak sempat membawa mangsa ke kampung.

Ketika kejadian, ibu mangsa memanggil anaknya beberapa kali, namun tiada jawapan, sebelum mengarahkan anak perempuannya masuk ke bilik mangsa.

Lahap baham mayat

DI SINI...Amanshah (tiga dari kanan) menunjukkan tempat abangnya, Mahadi ditemui mati.
DI SINI...Amanshah (tiga dari kanan) menunjukkan tempat abangnya, Mahadi ditemui mati.
KLUANG: “Saya hanya meraung apabila melihat abang Mahadi terbujur dalam parit sambil tiga anjing liar sedang lahap membaham kakinya hingga isi paha kanan habis dimakan,” kata adik mangsa, Amanshah Sadri, 25, menceritakan detik memilukan dia menemui jenazah abangnya, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Amanshah dimaklumkan seorang jiran bahawa abangnya, Mahadi Sadri, 30, yang hilang sejak pagi kelmarin, mungkin berada dalam parit kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Batu 54, Jalan Machap-Johor Bahru, di sini.
Amanshah berkata, Mahadi yang mengembala lembu sejak lima tahun lalu, seperti biasa keluar rumah pada jam 9 pagi kelmarin untuk mengawasi 10 lembu miliknya di ladang kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

Bagaimanapun, katanya, mereka pelik apabila arwah yang juga anak keempat dalam keluarganya tidak pulang ke rumah pada jam 12 tengah hari.

Jel 15 tahun, 11 sebatan

SHAH ALAM: “Kes ini umpama harapkan pagar, pagar makan padi,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Noor Azian Shaari ketika menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 11 sebatan terhadap pengurus hotel yang bersalah atas tiga tuduhan merogol dan mencabul anak teman wanitanya berusia sembilan tahun, di Pandan Indah, dekat Ampang, tujuh tahun lalu.
Noor Azian membuat keputusan itu terhadap Mohd Insan Fadzli, 31, selepas menerima rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Ampang yang membebaskan lelaki itu sebelum ini. Oleh itu katanya, pihaknya mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan mendapati tertuduh bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan.

Pada 19 Mei tahun lalu, Mahkamah Sesyen Ampang membebaskan Mohd Insan daripada semua pertuduhan selepas memanggil tujuh saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan. Mengikut dua pertuduhan pertama, Mohd Insan didakwa merogol mangsa di dalam bilik tidur utama dan bilik air sebuah apartmen di Pandan Indah, sekitar 2005.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu didakwa atas satu lagi pertuduhan mencabul kanak-kanak itu dengan cara memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa di tempat dan pada tahun sama. Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman itu. Terdahulu, peguam Saha Deva Arunasalam yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan anak guamnya menanggung keluarga termasuk dua anak.

Beliau berkata, tertuduh juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan dihormati di tempat kerjanya.
Timbalan Pendakwa Raya Suzana Abdul Latif bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas alasan mangsa mempercayai tertuduh yang dipanggil sebagai papa.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh sering berkunjung ke rumah teman wanitanya dan mempunyai kunci pendua untuk memasuki kediaman itu.
Difahamkan, pada masa kejadian, tertuduh dan ibu mangsa menjalinkan hubungan intim seperti ‘suami isteri’ selama kira-kira dua tahun.

Mangsa yang masih mentah tidak mengetahui dirogol akibat mempercayai perbuatan tertuduh adalah untuk menzahirkan perasan sayang. Bagaimanapun, mangsa menyedari perbuatan itu adalah rogol apabila belajar pendidikan seks di sekolah.

Balik kampung

LOMBOK: Usaha Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) membawa pulang Suriani Abdul Wahab, 21, dari kampung kelahiran suaminya di Lombok Barat berada pada peringkat akhir dan dijangka selesai sebelum dia dibenarkan meninggalkan Indonesia, esok.
Setiausaha Agungnya, Abdul Khalid Chairul berkata, ketika ini proses menyediakan dokumen termasuk pasport dan surat pelepasan Imigrasi Indonesia sedang diaturkan dan ia akan mengambil masa dalam tempoh kurang 48 jam.

Katanya, kerjasama baik diberikan pihak berkuasa itu memudahkan penyediaan segala persiapan dan KP1M mengadakan perbincangan sebanyak dua kali di pejabat imigrasi bagi memastikan semuanya berjalan seperti dijadualkan.
“Segala prosedur sedia ada sudah diikuti, malah perbincangan mengenainya dibuat sejak tiga bulan lalu. Kami bertemu keluarga mentua Suriani di Kampung Orong bagi menjelaskan tujuan sebenar dan mereka faham serta memberikan kerjasama begitu baik,” katanya kepada media Malaysia selepas perbincangan berkaitan di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, ketika ini, pihaknya belum pasti sama ada membawa pulang anak Suriani, Ismadani Madon, 3, pulang ke Malaysia berikutan masalah dokumen suaminya yang belum selesai serta penyediaan sijil nikah.

Menurutnya, semua dokumen terbabit perlu disediakan bagi memastikan kepulangan Suriani dibuat mengikut peraturan tanpa sebarang penangguhan kerana dia sudah terpisah dari keluarganya di Ulu Bakai, Baling, sejak hampir empat tahun lalu.
Kisah ibu muda itu mendapat perhatian KP1M apabila bapa Suriani, Abdul Wahab Salleh meminta bantuan Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membawa anak keempat daripada enam adik beradik itu pulang ke pangkuan keluarga.

Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan KP1M berusaha membawa pulang Suriani ke kampung halamannya selepas segala perbincangan mengenainya dibuat termasuk kemungkinan ia disertai suami dan anaknya.
Dalam pada itu, Suriani ketika ditemui berkata, hatinya bercampur baur antara rasa rindu kepada keluarga serta kasih sayang terhadap anak dan suami, namun dia akur walaupun berkemungkinan terpaksa berpisah untuk tempoh sementara.

“Saya rindu emak, tapi pada masa sama, saya ada anak di sini. Saya doakan semuanya lancar dan mereka dapat menyusuli saya selepas ini,” katanya.

‘Ufti’ RM100 sebulan

NILAI: Samseng warga Pakistan kini dipercayai menguasai kawasan Pusat Jualan Borong Nilai 3, di sini, dengan menjalankan kegiatan meminta ‘duit kopi’ daripada peniaga sebagai wang perlindungan.
Sumber mendakwa kumpulan samseng terbabit dikatakan memeras ugut peniaga berkenaan sejak beberapa tahun lalu sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan peniaga tempatan.

Difahamkan, kumpulan samseng itu meminta wang perlindungan RM100 sebulan dan sekiranya tidak mengikut arahan, samseng terbabit mengugut menimbulkan kekacauan di premis individu itu. “Kebanyakan peniaga tempatan di sini takut berikutan tidak tahan kerana terpaksa membayar wang perlindungan setiap bulan. “Ini berikutan, warga Pakistan menjalankan perniagaan di situ terlalu ramai hingga mereka membentuk komuniti tersendiri seolah-olah adalah tempat mereka sehingga berani menubuhkan kumpulan gengster,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam. Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman mengakui pihaknya menerima maklumat mengenai kebanjiran peniaga warga asing di kawasan itu termasuk ada kumpulan meminta wang perlindungan.
“Bagaimanapun, kegiatan itu di luar bidang kuasa jabatan ini, namun kami menjalankan pemantauan dan operasi dari semasa ke semasa,” katanya selepas melancarkan Ops 6P di pusat beli-belah itu jam 9.30 pagi semalam.

Dalam operasi dibantu 196 pegawai dan anggota dengan kerjasama Jabatan Imigresen Melaka, Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Selangor, 106 warga asing berusia antara 18 dan 40-an ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963. “Kami menjalankan pemeriksaan berperingkat dan menahan 88 lelaki dan 18 wanita atas kesalahan tidak memiliki dokumen serta tinggal lebih masa di negara ini,” katanya di sini, semalam.

Dalam operasi sama, pihaknya mengesan terdapat pendatang asing yang didapati berlumba-lumba membeli slip pendaftaran 6P palsu dijual sindiket pada harga RM300 setiap satu. “Pendatang terbabit dipercayai mendapatkan khidmat sindiket pemalsuan slip berkenaan yang aktif dipercayai diuruskan syarikat berpangkalan di Pontian, Johor,” katanya. “Kegiatan ini terbongkar selepas kami mendapati lelaki Indonesia berusia 20-an memiliki slip pendaftaran 6P palsu,” katanya.

Nangka berdarah

KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang bapa untuk menjamu isteri dan anaknya dengan buah nangka tidak kesampaian apabila dia nyaris terputus tangan kiri akibat terhiris golok tajam ketika memotong tangkai buah berkenaan, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, Mohd Said Abdullah, 51, dari Kampung Dendang, Bukit Besi, Dungun, cuba memotong buah berkenaan untuk dibawa pulang ke rumah, tetapi tindakannya memotong tangkai nangka itu dengan cepat mengundang padah. 
Dia yang ditemui di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam berkata, sebelum kejadian dia mengasah golok berkenaan dan kemudian pergi ke kebunnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah.

Menurutnya, sejurus memanjat pokok nangka berkenaan, dia menghiris tangkai nangka dengan laju menggunakan tangan kanan, tetapi tindakannya itu menyebabkan tangan kirinya yang memegang tangkai berkenaan terpotong secara spontan.

Lari tinggal tenggiling

ALOR SETAR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah dapat mematahkan cubaan seorang lelaki dipercayai cuba menyeludup 46 tenggiling hidup bernilai RM42,500 ke negara jiran selepas mengekori kenderaan lelaki terbabit sejauh 30 kilometer dari Plaza Tol Hutan Kampung hingga ke pekan Changlun, semalam.
Pengarahnya, Rahim Ahmad berkata, rampasan itu pada jam 8.30 pagi selepas anggota penguat kuasanya melakukan intipan lebih sebulan dan menahan kereta jenis Toyota Camry dengan mengekorinya dari Plaza Tol Hutan Kampung, dekat sini, namun pemandunya sempat melarikan diri ketika berhenti di lampu isyarat Pekan Changlun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati haiwan dilindungi sepenuhnya itu termasuk empat daripadanya tidak matang disembunyikan dalam guni berwarna biru diletakkan di bahagian belakang but kereta.
Tenggiling atau nama saintifiknya, Manis Javanica disenaraikan sebagai hidupan liar dilindungi sepenuhnya di negara ini dan dilapor mendapat permintaan tinggi untuk hidangan dan tujuan perubatan.

“Kami percaya kegiatan menyeludup haiwan ini didalangi sindiket dipercayai menjualnya kepada individu berminat dengan harga mencecah RM250 sekilogram,” katanya.

‘Peluklah puas-puas’

ALOR GAJAH: “Malam ini peluklah abang sepuasnya,” kata peniaga pasar malam, Zaidi Abdullah, 50, kepada isterinya beberapa jam sebelum terbunuh selepas kereta dipandu anaknya terbabas di Jalan Masjid Tanah-Ayer Limau, Masjid Tanah, di sini, semalam.
Isteri mangsa, Khadijah Seman, 48, berkata, suaminya terlena dalam dakapan sebelum terjaga dan mengalami sesak nafas beberapa jam kemudian lalu dikejarkan ke sebuah klinik, namun kereta dipandu anaknya, Mohd Asrul, 24, terbabas ketika melalui satu selekoh tajam.

“Sebelum terlena kira-kira jam 10 malam tadi (kelmarin) suami menyuruh saya memeluk dia dengan sepuasnya selain meminta menjaga lima anak kami dengan baik.
“Saya berasa tidak sedap hati ketika suami memberitahu perkara itu dan tidak lama kemudian dia terlena dalam dakapan saya,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi semalam, mangsa maut di tempat kejadian dipercayai akibat terhentak pada tempat duduk belakang selepas Proton Iswara dipandu Mohd Asrul terbabas dan melanggar busut di tepi jalan.

Khadijah berkata, suaminya bagaimanapun terjaga dan menggelupur kesakitan dengan memegang dada seolah-olah mengalami sesak nafas kira-kira jam 5 pagi lalu dikejarkan ke klinik swasta di pekan Masjid Tanah sebelum kejadian menimpa mereka.
Katanya, bulan lalu arwah kerap berpeluh selain mengalami masalah dalaman hingga mendatangkan rasa tidak selesa dan menyatakan keinginannya berhenti merokok, malah malam sebelum kejadian suaminya kelihatan tidak berselera untuk makan bersama.

Sementara itu, Mohd Asrul berkata, dia yang diberitahu ibu, bapanya sesak nafas terus membawanya ke klinik swasta di Masjid Tanah namun sebaik tiba mendapati ia tutup.
“Saya kemudian bergegas ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah dan ketika dalam perjalanan kereta dipandu hilang kawalan sebaik melalui satu selekoh akibat jalan licin lalu melanggar busut.

“Sejurus kemalangan saya keluar mendapatkan bantuan manakala ibu menjerit meminta tolong. Nasib baik ada seorang penunggang motosikal berhenti dan dia pergi ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah mendapatkan bantuan.

“Kakitangan perubatan yang datang sejurus kemudian mengesahkan bapa sudah meninggal dunia,” katanya yang turut memberitahu dia dan ibunya tidak cedera dalam kemalangan itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid berkata, mangsa yang mengalami sesak nafas ketika berada di rumahnya dibawa ke sebuah klinik swasta oleh isteri dan anak lelakinya sebelum kereta dinaiki terbabas.

“Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Kilink Kesihatan Masjid Tanah untuk mendapatkan rawatan akibat sesak nafas sebelum kereta terbabit kemalangan.

“Bagaimanapun polis sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jenazah dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ujong Repet, Bachok, Kelantan.

Mati dengan kesan kelar

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai warga tempatan berusia 30-an ditemui mati tertiarap dalam longkang loji kumbahan berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, di sini, dengan kesan kelar pada leher serta beberapa luka di tangan dan badan pada jam 11.30 pagi semalam.
Mangsa dipercayai cuba melarikan diri ketika diserang berdasarkan kasutnya yang tertanggal di kawasan berhampiran sebelum dia terjatuh dalam longkang beberapa meter dari tempat kasutnya ditemui.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Aida Abdul Hamid berkata, pemeriksaan polis di tempat kejadian turut menemui sebilah parang, namun belum pasti sama ada senjata berkenaan digunakan untuk membunuh mangsa.

Peninju cerita kejadian sebenar

JOHOR BAHRU: “Saya tidak pernah berdepan situasi cemas sebegitu. Memang saya peninju, namun tidak pernah terbabit pergaduhan berkumpulan.
“Mereka menyerang saya menggunakan pelbagai senjata dan melanggar saya menggunakan kereta ketika saya melarikan diri,” kata peninju negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron, 24, menceritakan detik mencemaskan dipukul enam lelaki dan seorang wanita di sebuah rumah di Taman Molek di sini, 6 Mei lalu.

Muhamad Farkhan ditemani bapa saudara, Mohd Kamaruzaman Ismail dan sepupunya, Ashraf Jamaluddin, 24, mengadakan sidang media di bangunan Majlis Sukan Negara (MSN) Johor di sini, semalam, bagi menerangkan kejadian sebenar selepas mendapati beberapa laporan mengenai kejadian menimpanya itu kurang tepat.
Selain itu, peninju negara berkenaan terpaksa melupakan hasrat beraksi di Olimpik London selepas diarahkan berehat selama enam bulan akibat tulang pipi kanannya hancur dalam serangan itu.

Muhamad Farkhan berkata, ketika kejadian dia baru selesai menonton perlawanan akhir Piala FA Inggeris antara Chelsea dan Liverpool sebelum menerima panggilan telefon daripada suspek yang menjemputnya ke rumah di Taman Molek bagi membincangkan masalah.

“Saya tiba di rumahnya jam 4 pagi dan sejurus memasuki rumah, saya diserang enam lelaki dan seorang wanita berusia lewat 20-an masing-masing bersenjatakan kayu, tongkat rotan, besi dan pedang samurai.
“Pada mulanya saya berjaya melarikan diri, namun ada penyerang melanggar saya menggunakan kereta sebelum kaki dan tangan diikat serta dihumban dalam bonet kereta sambil saya terus dipukul,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan pihaknya menunggu arahan lanjut bagi mendakwa dua suspek yang ditahan.

Polis tunggu laporan bedah siasat

KLUANG: Polis menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian seorang pengembala lembu, Mahadi Sadri, 30, yang ditemui terbujur dalam parit hanya kira-kira 200 meter dari rumahnya di Batu 54, Jalan Machap-Johor Bahru, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamad berkata, pihaknya menerima maklumat insiden itu pada jam 9.40 pagi semalam dan sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, pihaknya melakukan siasatan awal sebelum membawa mayat mangsa ke Hospital Kluang untuk bedah siasat.

Tuduh remaja perkosa adik sebelum samun

GOMBAK: Dua beradik lelaki menuduh seorang remaja lelaki merogol adik mereka sebelum mengumpan untuk berjumpa bagi berbincang sebelum disamun dan ditinggalkan di tepi jalan membabitkan kerugian hampir RM8,000, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, remaja terbabit berusia 17 tahun yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Caves dengan menunggang motosikal terkejut apabila didatangi dua lelaki bermotosikal memintas dan mengarahkannya berhenti.

Menurut sumber, mangsa yang ketakutan pada mulanya enggan berhenti namun selepas diacu pistol dan diarahkan berhenti menyebabkan dia yang ketakutan akur arahan mereka.
“Kedua-dua lelaki terbabit menyerang mangsa dan mendakwa kononnya merogol adik mereka menyebabkan mangsa terkejut dan menafikan kejadian itu.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit enggan mempercayainya sebelum seorang daripada mereka merampas beg duitnya dan menyuruh mangsa bersemuka dengan gadis yang didakwa dirogolnya,” katanya.

Sumber berkata, pada mulanya mangsa enggan namun beralah kerana diacukan pisau ke pinggang dan mendesak mengikut mereka jika tidak mahu dicederakan.
“Lelaki itu menunggang motosikal sambil dibonceng mangsa kononnya untuk berjumpa adik mereka yang didakwa dirogolnya.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di Jalan Damai, Kepong, mangsa terkejut apabila lelaki itu memberhentikan motosikal dan menyuruhnya turun. Lelaki terbabit memecut motosikal mangsa dan meninggalkannya keseorangan,” katanya.
Mangsa menyedari terpedaya dan diumpan mengekori mereka sebelum disamun kemudian membuat laporan di Balai Polis Selayang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan.

Nenek, cucu maut bersama

SHAH ALAM: Kegembiraan seorang wanita warga emas bersama cucunya yang baru bertemu saudara mereka di Klang berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut sejurus van yang dinaiki terbabit kemalangan di Persimpangan Bertingkat Setia Alam, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa, V Muniamah, 63, dan cucu lelakinya, M Vasan, 7, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan dalaman yang teruk akibat tercampak lebih 10 meter.

Difahamkan, mayat Muniamah tercampak keluar dan terkena pada sebatang pokok tidak jauh dari tempat kejadian manakala mayat cucunya tercampak sebelum terkena pembahagi jalan.
Ketua Trafik Shah Alam, Deputi Superintendan Roslan Aziz berkata, kemalangan maut berkenaan dipercayai berpunca daripada tayar hadapan van tiba-tiba pecah sebelum meletup.

Akibatnya, van yang dinaiki lima sekeluarga berkenaan gagal dikawal sebelum melanggar pembahagi jalan.

Katanya, pemandu van, V Muniandy, 43, yang juga anak lelaki mangsa dan dua lagi anak saudara lelakinya masing-masing berusia 12 dan 14 tahun tidak cedera.
“Sebelum kejadian, van terbabit dalam perjalanan dari Plaza Tol Bukit Raja menuju Plaza Tol Setia Alam, di sini.

“Setibanya di susur keluar arah Setia Alam, tayar depan kiri van pecah menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu bergesel pembahagi jalan sebelah kanan,” katanya.

Tinggal duit beli baju raya

BERTABUR...dua lori yang terbabit kemalangan, semalam. Gambar kecil, Abd Ghafar.
BERTABUR...dua lori yang terbabit kemalangan, semalam. Gambar kecil, Abd Ghafar.
KUALA KUBU BHARU: “Saya tidak sangka pemberian RM400 oleh arwah suami awal pagi tadi untuk membeli baju raya tiga anak menjadi kenangan terakhir memilukan dalam keluarga kami,” kata Maimunah Ahmad, 45 menceritakan perlakuan pelik suaminya, Abd Ghafar Lahakim, 52, sebelum terbabit kemalangan di Kilometer 432.3 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berdekatan persimpangan keluar plaza tol Bukit Beruntung, dekat sini, semalam.
Kejadian berlaku jam 6.15 pagi apabila mangsa dirempuh lori membawa papan yang terbabas sebelum dilanggar sebuah lori lain dari arah sama.

Menurutnya, mangsa keluar rumah di Kampung Sungai Behrang di Slim River menaiki motosikal Kawasaki berkuasa tinggi jam 5 pagi untuk bekerja sebagai pasukan polis bantuan di KL Monorel di Brickfields.
“Saya menasihati arwah supaya tidak perlu membelikan baju raya anak kerana masih mempunyai masa berbuat demikian. Arwah bertegas memberikan wang itu.

“Tidak sangka kelakuan pelik itu menandakan arwah meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), di sini, semalam.

Beliau berkata, dia dimaklumkan kejadian menimpa suaminya pada jam 8.30 pagi semalam oleh anggota polis dari Balai Behrang, Tanjung Malim.
“Saya membawa tiga daripada sembilan anak saya ke HKKB untuk menuntut jenazah selepas bedah siasat selesai dilakukan.

“Arwah ada menyatakan hasrat membawa tiga anak kami bersiar-siar di ibu negara pada petang hari kejadian selepas selesai bekerja jam 7 malam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, siasatan kejadian masih dilakukan untuk mendapatkan maklumat kemalangan itu.

Katanya, pemandu lori yang parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh manakala seorang lagi pemandu lori belum dapat dikesan.

“Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lebih 20 kilometer selama lima jam di tempat kejadian. Ketika itu cuaca terang dan jalan kering.

“Siasatan awal mendapati lori papan hilang kawalan lalu terbabas sebelum dirempuh sebuah lori lagi yang juga terbabas lalu terbalik,” katanya.

Norel berkata, mayat mangsa dibawa ke HKBB pada jam 9 pagi untuk bedah siasat.

Gagal seludup 4.7kg kokain

BALI: Seorang wanita Britain ditahan di Bali kerana cuba menyeludup kokain berharga AS$2.5 juta (RM7.5 juta) dalam bagasinya. 

Jika didapati bersalah, Lindsay June Sandiford boleh dikenakan hukuman mati menerusi pasukan penembak.
Pegawai kastam Bali, Made Wijaya, memberitahu wartawan semalam bahawa Sandiford, 56, tiba dengan pesawat dari Bangkok pada 19 Mei lalu. Kokain seberat 4.7 kilogram kokain dirampas dari dalam begnya.
“Kami mengesan kokain itu menerusi imbasan sinar X, langkah keselamatan yang rutin,” katanya kepada akhbar Jakarta Post. 

Sandiford gagal melepasi imbasan sinar X Agensi Kastam dan Eksais. Pegawai agensi berkenaan mengesan bahan mencurigakan di dalam bagasi dan meminta Sandiford ke pejabat untuk pemeriksaan lanjut. 

Selain menangkap Sandiford, pihak berkuasa lapangan terbang juga menangkap seorang warga India, yang disyaki menjadi rakan subahat wanita itu. 

“Buat masa ini kedua-duanya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” kata Made. Katanya, pihak berkuasa lapangan terbang percaya Sandiford sudah lama menjadi sebahagian anggota sindiket narkotik antarabangsa. 
Pihak berkuasa Indonesia percaya, seorang wanita lebih muda diberi nama RLD dan dua lagi lelaki Britain digelar JAP dan PB turut terbabit dalam usaha menyeludup dadah berkenaan dan mereka juga sudah ditahan. 

Polis percaya, mereka sudah ada di Bali dan menunggu masa baik untuk mengarahkan Sandiford menyerahkan dadah itu. 

Dua suspek dari Britain digelar polis sebagai JAP dan RLD, sudah ada villa di Bali, lapor The Jakarta Post. 

“Kami berusaha kuat untuk mencegah penyeludup seperti ini yang membawa dadah ke Bali dan mengancam penduduk. Jika wanita ini dan orang lain dituduh bersama, hukuman mati adalah hukumannya,” kata Made. 

Indonesia melaksanakan undang-undang dadah yang tegas dan penyeludup yang disabitkan dihukum mati. 

Lebih 140 pesalah menunggu hukuman mati, satu pertiga daripadanya adalah warga asing. – AP/Agensi