Search This Blog

Monday, May 28, 2012

Nenek tawar khidmat seks dicekup


SEBAHAGIAN daripada 25 wanita yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran di sekitar bandar Seremban, semalam.
SEREMBAN 26 Mei - Seorang nenek berusia 63 tahun antara 25 wanita yang ditahan polis semalam selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran pada serbuan di tiga buah hotel murah di sekitar bandar ini.
Dalam serbuan yang dilancarkan secara serentak kira-kira pukul 3.20 petang itu, wanita berkenaan sedang menunggu pelanggan manakala sebahagian lagi sedang melayan pelanggan di bilik hotel berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.
"Dalam serbuan ini, polis menahan seramai 17 wanita warga tempatan dan lapan wanita warga Indonesia berusia antara 19 dan 63 tahun kerana disyaki menjadi pelacur.
"Kita turut menahan seramai 14 pelanggan dan tiga lelaki kerana disyaki menjadi penjaga kepada pelacur berkenaan," katanya selepas mengetuai operasi itu.
Difahamkan, semua wanita terbabit menjadikan ketiga-tiga hotel terbabit sebagai sarang pelacuran sejak beberapa bulan lalu dengan bayaran serendah RM30.
Jelas Hamdan, dalam serbuan itu juga, pihaknya merampas beberapa keping kondom dan pelincir yang digunakan oleh wanita berkenaan untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral.
Kata Hamdan, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan kerana menjalankan kegiatan pelacuran.

Lima mangsa pemerdagangan orang dibenarkan tinggal dan bekerja di Malaysia


PUTRAJAYA 28 Mei - Lima mangsa pemerdagangan orang warga India dibenarkan untuk tinggal dan bekerja di negara ini selepas mendapat persetujuan daripada Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.
Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohd. Radzi berkata, mereka adalah kumpulan kedua selepas kumpulan pertama seramai 32 warga Bangladesh yang telah bekerja sejak 7 Mac lepas.
"Kesemua mereka merupakan bekas mangsa pemerdagangan orang bagi kategori kes-kes eksploitasi buruh di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, inisiatif itu berjaya dilaksanakan menerusi kerjasama serta penglibatan pelbagai kementerian serta agensi, badan bukan kerajaan seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), parti MIC, Coalition to Abolish Modern Day Slavery (CAMSA) dan perwakilan diplomatik asing.
Kerjasama itu juga, katanya, merupakan elemen kritikal dalam usaha negara untuk meningkatkan tahap perkhidmatan daripada aspek perlindungan berlandaskan ‘pendekatan bertumpu pada mangsa’ kepada mangsa-mangsa pemerdagangan orang.
"Elemen itu juga merupakan salah satu komponen yang dititikberatkan di peringkat antarabangsa selain daripada matlamat utama untuk membawa pesalah jenayah tersebut ke muka pengadilan," katanya. - BERNAMA

Peniaga emas rugi RM200,000


Ramli Husin melihat peti besi yang dipecah oleh pencuri di sebuah kedai emas di Pasir Puteh, Kelantan, semalam.
PASIR PUTEH 27 Mei - Sebuah kedai emas di Jalan Nara dekat sini kerugian RM200,000 apabila dipecah masuk pencuri awal pagi ini.
Kejadian tersebut disedari kira-kira pukul 10 pagi selepas seorang pekerjanya, Ramli Husin, 28, yang juga tukang emas membuka pintu premis itu.
Ramli ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu, sebaik sahaja membuka pintu kedai tersebut, dia terhidu bau hangit seperti benda terbakar.
"Saya sangkakan berlaku kebakaran dalam kedai tetapi sebaik sahaja memeriksa dalam kedai ini, saya dapati peti besi tempat simpanan emas ditebuk di bahagian tepi manakala jeriji pintu belakang kedai dipotong.
"Saya kemudian beritahu majikan yang ketika itu masih berada di rumahnya di Bachok sebelum buat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh," katanya sambil memberitahu kedai ini baru setahun beroperasi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, siasatan awal mendapati, suspek memasuki kedai yang terletak di hujung blok bangunan itu dari belakang selepas memotong jeriji pintunya.
Katanya, suspek dipercayai menggunakan mesin pencanai untuk membuka peti besi berkenaan dan melarikan wang RM10,000 dan barang kemas yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM200,000.
"Polis masih menyiasat bagi mengenal pasti identiti penjenayah kerana kedai berkenaan tidak mempunyai CCTV (kamera litar tertutup)," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda.

Sindiket 2S tumpas


Amran Ramli (dua dari kanan) bersama pegawainya memeriksa dadah dan wang tunai yang dirampas daripada kumpulan 2S pada sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan, semalam. -Utusan/ Zuharman Mohamad Nor
KOTA BHARU 27 Mei - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai 2S yang giat menjalankan aktiviti di Kota Bharu, Pasir Mas, Gua Musang dan Kuala Krai ekoran penangkapan dua lelaki dipercayai ketua kumpulan tersebut dalam satu operasi pada Jumaat lalu.
Suspek iaitu adik-beradik berusia 20 dan 24 tahun itu ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Mentangga Bukit Panau, Tanah Merah pada pukul 6.50 pagi.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Supritendan Amran Ramli berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kelantan dan JSJN Gua Musang itu berjaya merampas 4,092 biji pil kuda bernilai RM143,220.
Ketika serbuan katanya, polis merampas sejumlah 100 biji pil kuda yang diletakkan di atas rak sebuah almari manakala baki 3,992 biji ditemui di dalam peti sejuk.
"Usaha mengesan sindiket berkenaan telah dilakukan sejak awal tahun lalu dan kumpulan ini dipercayai terdiri daripada lapan anggota.
"Pada Februari lalu, kami berjaya memberkas tiga daripada anggota kumpulan tersebut dan tangkapan terbaru ini melibatkan ketua kumpulan mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Amran berkata, pihaknya kini memburu baki tiga orang lagi ahli kumpulan tersebut dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.
"Polis yakin dengan penangkapan dua beradik ini sindiket tersebut berjaya dilumpuhkan, namun siasatan masih dijalankan sekiranya wujud individu lain yang mengetuai operasi kumpulan ini,'' ujarnya.
Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

10 pekerja Bangladesh maut kebakaran di tempat penginapan.


MANAMA 28 Mei - 10 pekerja yang dipercayai dari Bangladesh maut semalam, selepas berlaku kebakaran teruk di tempat penginapan mereka yang terletak di daerah timur Riffa yang terletak kira-kira 20 kilometer selatan bandar raya ini, lapor media tempatan.
Dalam kejadian tersebut, kesemua mereka dikatakan lemas dalam kepulan asap tebal sebelum meninggal dunia selepas rumah yang didiami itu terbakar.
Menurut Ketua di wilayah selatan kerajaan Teluk, Mahana al-Shayji, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ekoran kerosakan elektrik di bangunan berkenaan. - DPA

Tragedi sambut hari jadi

Tragedi sambut hari jadi
Mayat mangsa dibawa ke HTJ, Seremban untuk bedah siasat, semalam.
NILAI – Niat seorang pelajar kolej mahu menyelamatkan dua rakannya bertukar tragedi, apabila dia lemas dalam sebuah tasik di Nilai Spring, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 3.15 petang itu, mangsa, mangsa Ahmad Nazmi Zahari, 23, bersama 12 rakan termasuk sembilan wanita yang lain sedang meraikan hari jadi dua rakan mereka di tepi tasik berkenaan.

Namun, ketika mereka sedang menikmati jamuan disediakan, dua daripada mereka tergelincir menyebabkan mangsa yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan Makmal Perubatan sebuah kolej swasta di sini, bertindak mahu menyelamatkannya.

Mangsa bagaimanapun dikatakan tenggelam lalu lemas dalam tasik berkenaan.

Salah seorang rakan mangsa, Muhammad Sharif Saroni, 22, berkata, mereka be-rada di tepi tasik berkenaan sejak kira-kira 2 petang.

Menurutnya, dia dan seorang rakannya tiba-tiba tergelincir sebelum terjatuh ke dalam tasik berkenaan.

“Saya memang tidak pandai berenang. Ketika itu, salah seorang rakan bergegas terjun untuk menyelamatkan kami, tapi dia pun nyaris lemas kerana keadaan tasik itu yang agak dalam," katanya.

Melihat keadaan kelam kabut, katanya, Ahmad Nazmi kemudian bertindak untuk menyelamatkan mangsa pula.

Namun, keadaan bertambah kelam-kabut apabila dia juga turut kerkapai-kapai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bilik Mayat Hospital Tuanku Ja'afar, di sini, semalam.

Muhammad Sharif berkata, mereka kemudian berjaya diselamatkan apabila seorang lagi rakan menghulurkan kayu dan menarik ke tepi tasik.

Bagaimanapun, katanya, Ahmad Nazmi tidak dapat diselamatkan, sebaliknya terus hilang dari pandangan menyebabkan mereka bergegas melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

“Saya rasa macam terputus nyawa apabila arwah ditemui sudah tiak bernyawa lagi.

Apaapa pun saya masih tidak boleh lupa bagaimana arwah cuba menyelamatkan saya dan rakan- rakan.

Ia satu kejadian mengharukan," katanya yang juga merupakan rakan sebilik dan sekuliah dengan mangsa.

Lebih menyedihkan, katanya, arwah ketika ini sedang menghadapi peperiksaan dan tidak sempat menamatkan pengajiannya yang dijadualkan berakhir dua minggu lagi.

Sementara itu Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Nilai, Ungku Abd Jalil Ungku Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 3.30 petang.

“Seramai enam pegawai dan anggota penyelamat dikerah ke lokasi kejadian.

Bomba mengambil masa kira-kira 40 minit sebelum menemui mayat mangsa," katanya. Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusof Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian

Pemuda lemas ketika berkelah di air terjun

KUANTAN - Keriangan seorang pemuda menghabiskan cuti hujung minggu bertukar tragedi apabila dia ditemui mati lemas di Air Terjun Berkelah, dekat sini, semalam.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Anuar Hassan, mangsa, Mohd Hafiz Bahari, 20, dari Kampung Jawa, di sini, dipercayai lemas ketika sedang mandi di tingkat dua kawasan  rekreasi berkenaan.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas menerima panggilan mengenai kejadian itu kirakira jam 2.30 petang.
“Sejurus menerima panggilan, 15 pegawai dan anggota dari balai bomba berkenaan bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dikejarkan ke tempat kejadian untuk operasi mencari mangsa,” katanya kepada
Sinar Harian.

Beliau berkata, selepas operasi mencari dan menyelamat dilancarkan lebih dua jam, akhirnya mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 5.05 petang.

Abang bekas Ketua Puteri Umno maut

Abang bekas Ketua Puteri Umno maut
Keadaan Perodua Myvi dipandu arwah Risno rosak teruk di bahagian tepi sebelah
kiri selepas merempuh sebatang pokok di Jalan Lapangan Terbang, awal pagi semalam
DUNGUN – “Abang begitu beriya-riya ingin bertemu anak dan isterinya sempena cuti persekolahan ini, tak sangka pula dia pergi dahulu sebelum sempat menemui mereka,” kata Rita Syarinda Manaf Najid,33, kakak kepada arwah Risno Harris Manaf Najid, 35, mangsa yang maut dalam kemalangan dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian di Jalan Lapangan Terbang kira-kira jam 1.25 pagi itu, kereta Perodua Myvi yang dipandu arwah dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar sebatang pokok.

Mangsa yang bekerja di syarikat swasta dekat kawasan industri pemprosesan gas dekat Kerteh maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurut Rita yang ditemui di rumahnya dekat sini, malam sebelum tragedi menimpa abang sulungnya itu, mereka ada menikmati makan malam bersama beberapa ahli keluarga yang lain di medan restoran ikan bakar dekat Kuala Dungun.

Rita yang juga bekas Ketua Puteri Umno Bahagian berkata, malam itu, abangnya beria- ria ingin menemui isterinya, NurFazlinda Dollah, 32 serta tiga anaknya, Mohd Faris Izwan, 6, Mohd Adam Asyraf, 5 serta anak ketiganya, Mohd Rizki, 4 bulan yang akan tiba dari kampungnya di Perak dengan menaiki bas malam keesokan sebelum tragedi terbabit.

“Arwah ada memberitahu saya bahawa dia hendak membawa isteri dan anaknya membeli baju baru di Kuantan.

“Bagaimanapun, sebelum sempat isterinya tiba, dia lebih dahulu meninggalkan kami,” katanya. Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syed Yahya, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes kemalangan itu masih dalam siasatan pihaknya

Abang bekas Ketua Puteri Umno maut


Abang bekas Ketua Puteri Umno maut
Keadaan Perodua Myvi dipandu arwah Risno rosak teruk di bahagian tepi sebelah
kiri selepas merempuh sebatang pokok di Jalan Lapangan Terbang, awal pagi semalam
DUNGUN – “Abang begitu beriya-riya ingin bertemu anak dan isterinya sempena cuti persekolahan ini, tak sangka pula dia pergi dahulu sebelum sempat menemui mereka,” kata Rita Syarinda Manaf Najid,33, kakak kepada arwah Risno Harris Manaf Najid, 35, mangsa yang maut dalam kemalangan dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian di Jalan Lapangan Terbang kira-kira jam 1.25 pagi itu, kereta Perodua Myvi yang dipandu arwah dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar sebatang pokok.

Mangsa yang bekerja di syarikat swasta dekat kawasan industri pemprosesan gas dekat Kerteh maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurut Rita yang ditemui di rumahnya dekat sini, malam sebelum tragedi menimpa abang sulungnya itu, mereka ada menikmati makan malam bersama beberapa ahli keluarga yang lain di medan restoran ikan bakar dekat Kuala Dungun.

Rita yang juga bekas Ketua Puteri Umno Bahagian berkata, malam itu, abangnya beria- ria ingin menemui isterinya, NurFazlinda Dollah, 32 serta tiga anaknya, Mohd Faris Izwan, 6, Mohd Adam Asyraf, 5 serta anak ketiganya, Mohd Rizki, 4 bulan yang akan tiba dari kampungnya di Perak dengan menaiki bas malam keesokan sebelum tragedi terbabit.

“Arwah ada memberitahu saya bahawa dia hendak membawa isteri dan anaknya membeli baju baru di Kuantan.

“Bagaimanapun, sebelum sempat isterinya tiba, dia lebih dahulu meninggalkan kami,” katanya. Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syed Yahya, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes kemalangan itu masih dalam siasatan pihaknya

Mayat terdampar pantai Teluk Lipat

DUNGUN – Misteri kehilangan seorang pemuda yang dipercayai penagih gam sejak beberapa hari lalu terjawab  apabila mayatnya ditemui terdampar di pantai peranginan dekat sini, petang kelmarin.

Penemuan mayat dalam keadaan tanpa pakaian yang terdampar atas pasir pantai kira-kira jam 1.30 tengah hari kelmarin itu turut menngemparkan orang ramai yang sedang menikmati makan tengah hari di gerai berdekatan sebelum salah seorang daripada mereka memaklumkan kepada pihak polis.

Sebaik menerima maklumat berkaitan penemuan mayat berkenaan, sepasukan polis dari Balai Polis Dungun dan Unit Kereta Peronda tiba di lokasi sebelum membawa mayat tanpa identiti itu ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun selepas pengecaman dilakukan oleh beberapa individu yang dipercayai mengenali si mati, mangsa yang berasal dari No 130 Jalan Alor Tembesu itu dikenal sebagai Mohd Hishamuddin Ismail, 23.

Berdasarkan keadaan fizikal, mangsa dipercayai mati dalam tempoh 24 jam.

Bedah siasat oleh Pegawai Perubatan bagaimanapun mendapati kematian mangsa adalah disebabkan kesejukan melampau.

Mayatnya kemudian dituntut ahli keluarga sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syed Yahya petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd  Noor mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dentuman kuat ganggu solat

Dentuman kuat ganggu solat
Beginilah keadaan lori yang terbabas dan merempuh bahagian dapur rumah Awang Noh.
TUMPAT – Seorang warga emas yang sedang mengerjakan solat Asar nyaris maut apabila bahagian dapur rumahnya di Kampung Pak Keral di sini, dirempuh sebuah lori sarat bahan binaan, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira–kira jam 4.30 petang, lori dipandu seorang lelaki bersama kelindan terbabas di selekoh tajam menyebabkan lori terbalik dan merempuh rumah berkenaan.

Mangsa, Awang Noh Awang Kecik, 58, berkata, dentuman kuat di bahagian dapur mengejutkan dia yang ketika itu sedang solat Asar.

“Saya terpinga sekejap, tanpa berlengah terus turun ke halaman rumah untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya tergamam apabila dinding dapur pecah dan sebahagian badan belakang lori terperosok masuk ke bahagian dapur rumah,” katanya.

Awang Noh berkata, dia bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku kerana ketika kejadian anak dan cucunya menghadiri majlis pertunangan saudara di Kota Bharu.

Menurutnya, kalau mereka ada ketika kejadian itu, pasti ada cedera dirempuh lori terbabit kerana lori itu terbalik di lokasi cucunya bermain.

“Alhamdulillah kedai binaan terbabit memberi sedikit bantuan untuk pakcik membaiki kerosakan rumah ini,” katanya.

Difahamkan pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya kelindan cedera ringan dan punca lori terbabas dipercayai akibat tayar pecah.

Kedai emas dipecah masuk, peniaga rugi RM200,000

PASIR PUTEH -Seorang pemilik kedai emas di Jalan Nara, di sini mengalami kerugian kira-kira RM200,00 apabila kedainya dipecah masuk.

Pekerja kedai tersebut, Ramli Husin, 28, berkata, dia hanya menyedari kedai itu dirompak ketika membuka pintu hadapan pada jam 10 pagi semalam dan berbau hangit seakan-akan benda terbakar.

”Pada mulanya saya ingatkan ada kebakaran melibatkan litar pintas berlaku di dalam kedai tetapi apabil masuk saya dapati pintu besi tempat dimana semua barang kemas disimpan terbuka dan kosong.

Barulah saya sedar kedai ini telah dimasuki pencuri dan kemudian memaklumkan kepada majikan saya yang berada di Jelawat, Bachok sebelum membuat laporan kepada polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Dia yang juga merupakan tukang emas berkata, kedai tersebut baru beroperasi dua tahun lepas dan kejadian itu merupakan yang pertama kali berlaku.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada sebelah malam kerana kali terkahir kedai tersebut ditinggalkan oleh pekerjanya adalah pada jam 6.30 petang kelmarin.

”Melalui siasatan kami mendapati pintu besi di belakang kedai telah dipotong manakala peti besi tempat simpanan barangan kemas mempunyai kesan ditebuk dibahagian tepinya.

”Kedai tersebut merupakan bangunan kedai bertingkat yang diperbuat daripada konkrit dan terletak di bahagian hujung bangunan di mana pihak polis mendapati suspek memecah masuk ke dalam kedai menggunakan mesin gerudi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati wang bernilai RM10,000 dan barangan kemas yang disimpan di dalam peti besi yang berupa emas dan perak untuk turut dilarikan.

Mohd Kamal berkata, kedai tersebut tidak dipasang dengan apa-apa alat keselamatan seperti CCTV ataupun loceng penggera dan ini menyukarkan orang ramai mengesan kejadian tersebut berlaku.

Bimbang ibu akhirnya terjawab

Bimbang ibu akhirnya terjawab
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik HSNZ, Kuala Terengganu.
MARANG – Seorang pejalan kaki yang bekerja di sebuah bengkel besi maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintasi jalan raya di Kilometer 18.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang berdekatan dengan Masjid Binjai Rendah di sini, semalam.
Dalam kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 pagi itu, mangsa Mohd Firdause Sharif, 22, yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya mati di tempat kejadian, manakala pemandu kereta jenis Proton Waja itu tidak mengalami kecederaan serius.

Menurut ibu mangsa,Saadah Chemod, 43, sebelum kejadian, dia yang menghantar anak kedua-nya itu dengan menggunakan motosikal berdekatan jalan utama tersebut sebelum mangsa berjalan kaki untuk ke tempat kerjanya di seberang jalan.
“Saya dan Mohd Firdause keluar bersama dari rumah diTaman Haji Ismail di sini, dan kebiasaannya saya akan tunggu sekejap di tepi jalan, melihat dia berjalan kaki tetapi pada hari kejadian saya terus ke pasar Binjai Rendah untuk membeli barang.

“Saya juga tidak menyangka sama sekali ia merupakan hari terakhir saya menghantarnya apabila dimaklumkan mengenai kemalangan itu ketika masih berada di pasar tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini, semalam.

Ibu pelik anak suka tidur siang

Ibu kepada lima anak itu berkata,anak keduanya itu juga menunjukkan sikap pelik sejak belakangan ini apabila arwah tidak mahu langsung menjamah makanan di rumah sebaliknya suka menyendiri dan tidur pada waktu siang dalam tempoh agak lama.

“Kami sekeluarga hairan. Sejak dua, tiga hari ini arwah tidak mahu menjamah makanan di rumah mungkin makan di luar kerana kerap berada di luar malah dia juga tidur agak lama petang kelmarin, iaitu sehari sebelum kejadian kemalangan itu berlaku,”katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Rosdi Abdullah ketika ditemui berkata, pemandu kereta terbabit yang dalam perjalanan dari arah Kuala Berang ke Bukit Payong dipercayai cuba memotong kenderaan sebelum merempuh mangsa.

“Saya difahamkan mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya itu berdiri di tengah jalan kerana laluan sibuk sebelum dia dirempuh sebuah kenderaan yang ingin memotong sebuah lagi kenderaan di hadapannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa maut akibat cedera parah di kepala itu kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu sebelum jenazahnya dituntut oleh ahli keluarga mangsa untuk dibawa pulang dan dikebumikan di Binjai Rendah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mahkamah hukum peniaga dera anjing

PETALING JAYA - Akibat menyimbah air panas terhadap seekor anjing liar hingga cedera, seorang peniaga gerai makanan dipenjara sehari dan didenda RM200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret K B Elena Hong Tze Lan menjatuhkan hukuman itu ke atas Ngiu Kok Kong, 42, selepas ia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di Kedai Kopi Lucky, Seksyen 17, Petaling Jaya pada 7.30 malam, 7 Februari lepas.

Ngiu didakwa mengikut Seksyen 44(1)(A) Akta Binatang 1953 semakan 2006, yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM200, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Chai Heong Onn. - Bernama

3 maut, 4 cedera letupan di Pattani

BANGKOK -  Tiga sukarelawan terbunuh manakala empat lagi cedera dalam serangan bom di tepi jalan di sini hari ini.

Ketua Polis Kapor Kolonel Manit Khongwatmai berkata, semua mangsa berada dalam sebuah kereta ketika bom buatan sendiri seberat 20 kilogram yang ditanam di tepi jalan di Kampung Hutang Berangan, Kapor, Pattani, meletup pada 12.30 tengah hari.

Ketika kejadian, sukarelawan itu sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan kampung berkenaan.

Tiga sukarelawan yang meninggal dunia di tempat kejadian berusia lingkungan 26 dan 37 tahun manakala mangsa yang cedera berusia antara 31 dan 44 tahun kini dirawat di Hospital Pattani.

Lebih 5,000 orang terkorban sejak puak pemisah disyaki meneruskan kempen bersenjata mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala, lapan tahun lepas. - Bernama

Tiga dipercayai penyokong kelab bola sepak mati di luar stadium

JAKARTA - Tiga orang dipercayai penyokong kelab bola sepak mati dalam satu pergaduhan di luar Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini Ahad malam ketika perlawanan Liga Super Indonesia (LSI) berlangsung antara pasukan Persija Jakarta dan Persib Bandung.
   
Jurucakap Polis Kontinjen Jakarta berkata pada Isnin, seorang daripada mangsa itu lelaki berusia 29 tahun, yang ditemui mati di kawasan tempat letak kereta timur Senayan, dekat kolam renang pada kira-kira pukul 5.15 petang.
   
Dua lagi yang terkorban berusia dalam lingkungan 30-an dan ditemui dekat gelanggang bola keranjang Senayan pada kira-kira pukul 8.45 malam bersama seorang lelaki lain yang mengalami kecederaan.
   
Beberapa orang lain yang turut cedera dalam perkelahian itu, termasuk seorang wartawan, kini dirawat di Hospital TNI Angkatan Laut Mintohardjo, Jakarta.
   
Polis sedang menyiasat motif kejadian itu termasuk kemungkinan pergaduhan berlaku antara penyokong kelab bola sepak atau pergaduhan antara masyarakat biasa.
   
Dalam pertandingan malam tadi, Persija dan Persib seri 2-2. - Bernama

Enam beranak disamun empat lelaki bersenjata parang

PEKAN - Enam beranak diikat dan dikurung di dalam sebuah bilik oleh empat lelaki dipercayai warga asing sebelum lelaki berkenaan menyamun barangan kemas bernilai RM20,000 daripada keluarga itu dalam kejadian di Kampung Gemuruh, Paloh Hinai, dekat sini, awal pagi ini.
   
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, empat lelaki bersenjatakan parang itu masuk ke dalam rumah pesara berumur 60 tahun itu dengan mengumpil sebuah daripada tingkap, kata Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman.
   
"Mangsa yang tiba-tiba terjaga daripada tidur membuka pintu bilik untuk membuat pemeriksaan, sebaik saja mangsa membuka pintu bilik, seorang daripada suspek terbabit terus mengacukan parang ke lehernya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
   
Suspek kemudiannya mengejutkan lima lagi anggota mangsa termasuk isteri dan seorang menantu lelakinya dan mengikat mereka di dalam sebuah bilik, katanya.
   
Yahaya berkata mangsa berjaya melepaskan ikatan itu beberapa jam kemudian dan membuat laporan di Balai Polis Paloh Hinai kira-kira 7 pagi.
   
Polis telah melancarkan Ops Rantau bagi memburu empat suspek terbabit, katanya. - Bernama

Penyeludup kereta lari dari balai polis

BANGKOK: Polis melancarkan gerakan memburu suspek dalam kes penyeludupan kereta bernilai lebih 100 juta baht (RM10 juta) yang melarikan diri dari balai polis di Udon Thani, kelmarin.
Anek Ngernsuwan, 37, suspek dalam beberapa kes penyeludupan kereta, memotong palang besi di bilik melawat di Balai Polis Udon Thani, kira-kira jam 5 pagi ketika polis bertugas tertidur. 
Kikir besi digunakan untuk memotong palang besi di bahagian bawah kemudian di bengkokkan untuk menyelinap keluar.

Ketua balai, Kolonel Kowit Chareonwattasak berkata, satu pasukan khas ditubuhkan untuk memburu suspek.

Dia juga menubuhkan panel tatatertib untuk menyiasat sama ada anggota polis kanan, Sarjan Mejar Rachet Phumjae dan Sarjan Mejar Thongdao Sunarat, membantu suspek melarikan diri.

Katanya, mereka akan dihadapkan dengan tindakan tatatertib sekiranya didapati bersalah. - Bangkok Post 

4 terbunuh, 2 tertimbus dalam tanah runtuh

JAKARTA: Empat terbunuh akibat tanah runtuh di daerah Simirau, Ambon, Maluku pagi, semalam.
Menurut Agensi Kawalan Bencana Maluku, dua lagi penduduk tempatan masih belum ditemui. 
Lodi Karual, 30, yang rumahnya runtuh akibat tanah runtuh berkata, kejadian itu berlaku selepas hujan lebat.

Berpuluh-puluh penduduk, anggota polis, tentera dan Agensi Mencari dan Menyelamat mencari penduduk yang hilang, walaupun puing dan runtuhan sedalam tiga meter akibat tanah runtuh itu menyukarkan usaha mencari.

Pegawai tempatan, Ibrahim Sangadji berkata, “Usaha mencari akan diteruskan sehingga kami menemui dua penduduk yang mungkin tertimbus.” - Jakarta Post

2 pelajar maut ditembak

HELSINKI: Polis menahan remaja berusia 18 tahun lengkap berpakaian seragam tentera, disyaki menembak mati dua pelajar dalam serangan di restoran yang penuh dengan remaja di selatan Finland.
Menurut polis, penyerang itu melepaskan tembakan kira-kira jam 1:53 pagi (2253 GMT) dari bumbung di Hyvinkaa, kira-kira 50 kilometer di utara Helsinki, dengan mensasarkan dua restoran di mana ramai remaja berkumpul di luar. 
Motif serangan itu masih samar.

Finland, baru-baru ini dikejutkan dengan beberapa serangan maut oleh remaja dan Presiden, Sauli Niinisto berkata, serangan ini menunjukkan “ada yang tidak kena dengan masyarakat.”

Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun mati serta merta dalam serangan kelmarin, sementara remaja lelaki berusia 19 tahun mati tidak lama kemudian akibat kecederaan.

Kedua-dua mereka adalah pelajar kolej teknikal tempatan

Jurucakap polis berkata, tujuh lain yang cedera termasuk seorang anggota polis berusia 23 tahun yang ditembak ketika dia keluar dari kenderaan setelah tiba di tempat kejadian.

Saksi kejadian, Joni Kuronen, lelaki berusia 20-an berkata, “Tembakan berlaku tiba-tiba dan orang ramai bertempiaran lari. Seorang cedera di muka dan saya menelefon ambulans.”

Seorang lagi saksi, Santeri Sivenoinen berkata, dia mendengar bunyi tembakan dan “Saya melihat sekeliling. Saya lihat seorang wanita terbaring di atas tanah dan saya terus berlari.”

Polis tidak mendedahkan identiti suspek tetapi berkata, dia berpakaian seragam tentera.

Dia ditahan dekat bandar Hyvinkaa yang mempunyai 45,000 penduduk dan tidak melawan ketika ditahan.

Polis berkata, tiga senjata, termasuk raifal memburu dirampas dari suspek dan dia tidak mempunyai permit memiliki senjata api. Suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah.

Jurucakap Polis, Satu Koivo berkata, siasatan masih diteruskan.


Katanya, “Buat masa ini, kami tidak boleh mengesahkan apa-apa pun.”

Katanya, polis percaya suspek tidak kenal mangsanya. - AFP 

Kaki pukul pecah rahsia

KUALA LUMPUR: Angkara cemburu buta, seorang wanita berusia lewat 20-an membelanjakan ribuan ringgit semata-mata untuk mengupah sekumpulan ‘samseng’ bagi memukul suami sendiri yang disyaki curang.
Difahamkan, wanita terbabit nekad berbuat demikian selepas terserempak suaminya berusia 31 tahun yang bergaul mesra dengan seorang wanita tidak dikenalinya berhampiran sebuah restoran di Jinjang, di sini, seminggu lalu.
Akibat tindakannya itu, mangsa cedera ringan di seluruh tubuh selepas dipukul dua lelaki diupah wanita terbabit dalam kejadian jam 10 malam berhampiran rumah mangsa di Jinjang, di sini, Jumaat lalu.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Rebah sambil pegang dada

TAMPIN: Seorang tukang masak warga Indonesia yang mengalami sesak nafas ketika mengemas dapur kedai makan milik majikannya di Gemas, di sini, petang kelmarin, meninggal dunia ketika dihantar ke sebuah klinik swasta untuk rawatan kecemasan.
Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa, Sri Vidi Muji Astutik, 39, ditemui majikannya terbaring atas lantai dapur itu dalam keadaan separuh sedar. 
Majikan mangsa, Tan Chin Kiat, 36, berkata dia melihat mangsa tiba-tiba menekap dadanya ketika mengemas dapur dipercayai akibat mengalami sesak nafas sebelum rebah.

“Tanpa berlengah saya berlari ke arah mangsa dan cuba mententeramkan dirinya yang menggelupur di bahagian dapur sambil menyapu minyak angin di hidung mangsa.

“Ketika itu, saya panik melihat mulut mangsa tercungap-cungap dan tidak boleh bercakap lalu memanggil beberapa rakan membantu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bapa mati lihat anak terbakar

PARIT BUNTAR: Anak mati rentung, bapa pula meninggal sakit jantung. Kejadian berlaku apabila si anak membakar tubuhnya dengan petrol menyebabkan bapanya rebah melihat keadaan lelaki itu bergelumang api.
Dalam kejadian jam 10 malam, Jumaat lalu, di Kampung Cina bagan Selatan, Tanjung Piandang itu, penjual ikan, Tan Chun Hock, 48, ditemui rentung manakala, bapanya, Tan Bak Lee, 78, dikejarkan ke Hospital Parit Buntar kerana tidak sedarkan diri. 
Bagaimanapun, Bak Lee disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dipercayai terkena serangan jantung akibat terkejut dengan kejadian ngeri menimpa anak lelakinya itu.

Anak perempuan Chun Hock, Tan Hui tian, 19, ketika ditemui berkata, dia terkejut dengan tindakan bapanya membunuh diri dan tidak menyangka kehilangan dua orang tersayang sekali gus termasuk datuknya.

Pengantin baru terkejut tiga tedung mengawan

PONTIAN: Sepasang pengantin yang baru dua minggu berkahwin, terkejut apabila mendapati tiga ular tedung memasuki bawah kolong rumah mereka dekat Parit Kecil di sini, semalam. 

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika Mohd Suhaimi Hamberi, 26, sedang membantu isterinya, Nurul Hazbee Sakiron, 26, menyiapkan hidangan untuk makan tengah hari.
Mohd Suhaimi berkata, beliau dan isteri terdengar bunyi desiran pelik di luar rumah sebelum mereka meninjau bersama menerusi tingkap dapur.
“Kami terkejut melihat tiga ular tedung sedang menyusur hampir serentak, menuju ke arah rumah kami. Suatu ketika, dua ular terbabit kelihatan seperti sedang mengawan. Kebetulan saya sedang memegang kamera, lalu merakam pergerakan ular berkenaan. 

“Tiga ular itu kemudian dikesan menyusur memasuki bahagian bawah rumah kami menyebabkan saya terpaksa mendapatkan bantuan Bomba dan Penyelamat Pontian kerana bimbang berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya yang bertugas di Pejabat Tanah Pontian. 

Empat anggota dari Balai Bomba Jalan Sekolah Arab di sini, dikejarkan ke lokasi terbabit sejurus menerima maklumat daripada pasangan itu pada jam 12 tengah hari. 

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Pontian, Noor Ikhson Shukor, berkata pihaknya mengambil masa kira-kira sejam untuk menangkap tiga ular tedung yang masing-masing sepanjang 1.5 meter itu, menggunakan tali dan besi penjerut. 
“Kami terpaksa memecahkan tembok tepi lantai kerana reptilia berkenaan berada dalam lubang sedalam kira-kira satu meter bawah lantai simen bahagian dapur rumah terbabit. 

“Selain menangkap tiga ular tedung yang bersarang dalam lubang itu, kami turut menemui enam biji telur yang dipercayai baru menetas di situ,” katanya.

Pemuda londeh seluar depan majistret

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret, di sini, kecoh semalam apabila seorang pemuda yang menghadapi tuduhan mencuri bertindak di luar jangkaan dengan cuba melondehkan seluarnya. 

Bagaimanapun, perbuatan Mohd Khairul Hamimi Mohd Sabri, 26, dari Kampung Tebakang, Marang, berjaya dihalang polis.
Dia turut membuat bising di dalam kandang tertuduh dengan mendakwa dirinya gila serta meminta dihantar ke hospital untuk rawatan.
"Bos (Majistret), saya memang melakukan curi tetapi bos masukkan saya dalam hospital sebab saya gila. Sekarang ini, kepala saya tengah sakit dan saya perlu makan ubat," katanya. 

Sebelum itu, Mohd Khairul Hamimi mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim. 

Dia didakwa melakukan pecah rumah dengan mencuri 50 ekor burung banji dan 45 arnab dianggarkan bernilai RM5,000 milik Lim Chew Siang, 41, di Kedai Menjual Haiwan Peliharaan dan Akuarium Ming Yu Two, Chabang Tiga, di sini, antara jam 7 petang 22 Mei hingga 8.55 pagi, 23 Mei lalu. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 457 KK berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan. 
Abdul Hayyi kemudian memerintahkan Mohd Khairul Hamimi dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru untuk menjalani rawatan psikiatri selama sebulan dan menetapkan 24 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Transit kereta curi

BADAU (KALIMANTAN BARAT): Pekan kecil Badau di wilayah Indonesia di sini menjadi lokasi transit kenderaan curi dari Sarawak sebelum dijual kepada sindiket dengan harga murah. 

Lambakan kenderaan dari Malaysia, menyebabkan Badau yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Lubok Antu di Sarawak bagaikan bandar seperti Sibu, Bintulu dan Miri.
Puluhan kereta termasuk pacuan empat roda (4WD) jenama seperti PROTON, PERODUA dan Toyota ada di sini sementara menunggu dijual kepada 'pemilik baru' pada harga antara RM4,000 hingga RM15,000 sebuah.
Difahamkan, kebanyakan kenderaan terbabit dicuri di Kuching, Sibu dan Bintulu, malah ketika tinjauan dilakukan, beberapa kenderaan curi dengan nombor pendaftaran Sarawak, QAW dan QTB dilihat baru memasuki Badau dan dipandu anggota sindiket. 

Penduduk dikenali Pak Rahmat, 43, berkata Toyota Hilux kenderaan paling mahal dan dijual antara RM12,000 hingga RM15,000 mengikut keadaannya, manakala harga kereta PROTON dan PERODUA kurang RM10,000. 

Katanya, Badau menjadi lokasi transit selepas kenderaan curi diseludup melalui lorong tikus sebelum dihantar ke sekitar Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah dengan kenderaan dalam keadaan baik selalunya sudah ditempah, manakala yang tidak berapa baik akan dileraikan untuk diambil alat ganti. 

“Kegiatan menyeludup kenderaan dari Sarawak ke Kalimantan sudah lama berlaku dan memberi keuntungan kepada penduduk Badau kerana anggota sindiket turut mengupah kami sebagai pemandu," katanya yang mendakwa pernah terbabit dalam kegiatan berkenaan. 
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Zulkifli Hassan, tidak menolak kemungkinan sebahagian kenderaan dicuri di Sarawak diseludup ke negara jiran berdasarkan statistik kenderaan curi ditemui semula bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini. 

Daripada 875 kes motosikal curi di negeri itu, kira-kira 60 peratus berjaya ditemui semula walaupun bukan dalam keadaan sempurna. Bagaimanapun, hanya 20 peratus daripada 136 kes kehilangan kereta dan 30 peratus daripada 225 kes kehilangan 4WD, ditemui semula. 

“Bukan semua kenderaan curi di Sarawak diseludup ke negara jiran kerana ada juga ditemui di kawasan ladang di negeri ini,” katanya.

Rumah setinggan Peel terbakar

KUALA LUMPUR: Lebih 100 penduduk hilang tempat tinggal apabila 29 rumah setinggan di Jalan Peel di sini, musnah dalam kebakaran pagi semalam. 

Kebakaran yang berlaku pada jam 9 pagi itu turut memusnahkan kedai runcit, bengkel kenderaan dan stor di situ.
Seorang mangsa, Tang Poh Mei, 37, berkata beliau yang tinggal sendirian di rumah, tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana api marak terlalu pantas berikutan kedudukan rumah terlalu rapat.
“Saya memasang penghawa dingin tetapi terasa sangat panas sebelum tiba-tiba terdengar seorang jiran menjerit rumah kami terbakar,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Lai Yoke Peng, 46, berkata sebaik menyedari kawasan setinggan itu terbakar, beliau segera ke rumah ibu bapanya selang beberapa unit dari rumahnya dan membawa mereka keluar ke tempat selamat. 

“Kebanyakan penduduk tinggal di sini sejak 40 tahun lalu dan kini tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda. Saya sendiri gagal menyelamatkan dokumen penting kerana ketika itu hanya memikirkan keselamatan kedua ibu bapa saya,” katanya. 

Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.07 pagi dan jentera bomba pertama tiba di tempat kejadian pada jam 9.15 pagi. 
“Lima jentera bomba dari Balai Bomba Hang Tuah, Pudu serta Bandar Tun Razak dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa setengah jam sebelum api dapat dikawal walaupun kami berdepan masalah tekanan air rendah. 

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, namun punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Seorang lagi ahli tabligh meninggal

GEORGETOWN: Seorang lagi penumpang bas yang membawa 44 jemaah tabligh warga Myanmar yang terbabas dan terjatuh dalam gaung di Jalan Tun Sardon di sini, Jumaat lalu, meninggal dunia malam kelmarin. 

Mangsa, Soe Myint, dipercayai berusia lingkungan 40-an, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini jam 9.50 malam akibat parah pada kepala dan badan.
Dalam kejadian jam 8 malam Jumaat lalu, Abdul Jatba, 47, meninggal dunia selepas tercampak dan dihempap bas di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zin, berkata setakat ini, hanya dua masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP, manakala 10 yang lain dimasukkan ke wad biasa. 

Katanya, polis masih belum boleh menyoal siasat pemandu bas, A Anbalagan, 55, dari Butterworth mengenai kejadian itu kerana keadaannya masih kritikal. 

“Polis masih menunggu laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) punca kejadian dan menggiatkan usaha mengesan pemilik bas yang didaftarkan di Kulim, Kedah,” katanya.

GRO Mekong River dicekup



SEBAHAGIAN daripada 14 GRO Vietnam yang ditahan ketika serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Kinrara, Puchong kelmarin.


PUCHONG - Pelbagai taktik digunakan oleh pengusaha pusat hiburan untuk menarik pelanggan dan terbaru mereka didapati menggunakan nama Mekong River (Sungai Mekong) sebagai isyarat yang mereka menyediakan perkhidmatan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) dari Vietnam.
Taktik tersebut terbongkar selepas premis di Taman Kinrara di sini itu diserbu pada pukul 11 malam dan menahan seramai 14 GRO warga Vietnam berusia antara 19 dan 35 tahun yang sedang asyik melayan dan memeluk pelanggan.
Setiap pelanggan perlu membayar antara RM150 dan RM300 untuk mendapatkan khidmat mereka termasuk seks.
Serbuan diketuai Inspektor Joycelyn Liza Edmond dari cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor selepas melakukan risikan selama 24 jam.

Pelajar lemas dalam tasik



KAKITANGAN hospital dan ahli keluarga mengangkat mayat Ahmad Nazmi yang ditemui lemas di dalam sebuah tasik di Nilai Springs, Nilai, Negeri Sembilan kelmarin.


NILAI – Tindakan nekad seorang pelajar jurusan Makmal Perubatan di sebuah kolej swasta di sini untuk menyelamatkan dua rakannya yang terjatuh ke dalam sebuah tasik berakhir dengan dia sendiri mati lemas dalam kejadian di Nilai Springs di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 3.15 petang itu, Ahmad Nazmi Zahari, 23, ditemui mati di dasar tasik oleh sepasukan anggota bomba, manakala dua rakannya yang terjatuh terselamat.
Mengimbau semula tragedi itu, rakan mangsa, Muhammad Sharif Saroni, 22, berkata, sebelum kejadian dia sedang meraikan majlis sambutan ulang tahun kelahiran rakannya di tepi tasik berkenaan yang turut dihadiri 13 lagi rakan mereka.
Katanya, entah bagaimana, dia dan seorang lagi rakan kemudian tergelincir ke dalam tasik ketika sedang bersiar-siar menyebabkan mereka terkapai-kapai kerana tidak tahu berenang.
“Beberapa rakan cuba membantu tetapi gagal sebelum Ahmad Nazmi terjun ke dalam tasik untuk menyelamatkan kami tetapi dia pula yang lemas.
“Salah seorang rakan kemudian menghulurkan kayu kepada saya dan rakan sebelum kami dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Bapa, menantu maut serentak



BEGINILAH keadaan kereta Proton Wira yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan Mohd. Riduan dan Baharin maut di Sungai Buloh, Selangor semalam.


SUNGAI BULOH - Seorang wanita tidak menyangka akan kehilangan suami dan menantunya secara serentak apabila kedua-dua lelaki terbabit maut selepas kereta yang mereka naiki merempuh belakang sebuah bas di tepi jalan di Batu 18, Jalan Kundang menghala ke Tasik Biru di sini semalam.
Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan Mohd. Riduan Ab. Razak, 32, dan Baharin Puteh, 59, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah selepas tersepit di dalam kereta jenis Proton Wira.
Mohd. Riduan merupakan anggota polis berpangkat Koperal yang bertugas di Cawangan D8 (Risikan Jenayah) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman manakala Baharin adalah pesara.

Wardina diganggu lelaki misteri


WARDINA menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor semalam.


KUALA LUMPUR – Pengacara televisyen tidak asing lagi, Wardina Saffiyah Fadhlullah, 33, membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang semalam selepas diganggu dengan panggilan lucah daripada seorang lelaki bernama Arif.
Lelaki itu membuat panggilan sebanyak dua kali kepada Wardina sambil mendakwa dia merupakan kakitangan sebuah stesen penyiaran dan mahu menemubualnya.
Menurutnya, lelaki itu membuat panggilan pada pukul 5 pagi dan diikuti pada pukuk 9.15 pagi.
“Saya tidak menjawab panggilan telefon yang pertama. Pada pukul 9.15 pagi, lelaki itu menghubungi saya sekali lagi tetapi apabila saya tanya dia dari stesen mana, dia kata tidak boleh beritahu.
“Selepas itu dia mula mengeluarkan perkataan-perkataan yang saya sendiri malu untuk sebut.
“Saya tidak faham kenapa ada orang yang sanggup melakukan perkara seperti itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.