Search This Blog

Friday, May 25, 2012

Kepala hancur, perut terburai akibat ditetak


Kepala hancur, perut terburai akibat ditetak - Semasa - Sinar Harian:
Kepala hancur, perut terburai akibat ditetak
Pasukan Forensik melakukan pemeriksaan terhadap mayat mangsa yang
dibunuh di sebuah ladang kelapa sawit, semalam.
KLANG - Seorang lelaki dibunuh kejam apabila kepalanya hampir hancur ditetak manakala perutnya terburai, dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Akob, Bukit Kapar, semalam.

Mayat mangsa berusia dalam lingkungan 40-an itu ditemui terbaring seorang pemilik ladang, kirakira jam 8.30 pagi semalam. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, polis dari Balai Polis Kapar dikejarkan ke lokasi selepas menerima maklumat daripada pemilik ladang berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat lebih lima kesan tetakan yang dalam di kepala mangsa. Perutnya juga terburai. “Senjata yang digunakan penjenayah tidak ditemui di lokasi kejadian,” katanya semalam.

Menurutnya, mangsa dipercayai dibunuh kurang 24 jam berdasarkan keadaan darah yang masih baru. Mohamad Shukor berkata, mayat mangsa ditemui memakai baju hitam, seluar hijau dan berjaket coklat serta berkasut kanvas.

“Mangsa merupakan warga tempatan, namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui,” katanya.

Beliau berkata, polis menyiasat motif pembunuhan dan masih mengesan penjenayah yang terlibat. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Lagi pelajar perempuan diracun


Lagi pelajar perempuan diracun - Global - Sinar Harian:
Lagi pelajar perempuan diracun
Pelajar perempuan di Afghanistan mendapat pendidikan semula selepas
Taliban digulingkan pada 2001.
ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya 125 pelajar perempuan dan tiga guru sebuah sekolah di wilayah Takhar, Afghanistan dimasukkan ke hospital, kelmarin selepas diracun dalam kejadian kedua pada tahun ini.

Polis melaporkan serangan menggunakan penyembur bertoksik itu sememangnya menyasarkan golongan wanita di sekolah Bibi Hajera tersebut.

"Walaupun keadaan mereka tidak kritikal, kebanyakan mangsa mengalami sakit kepala, muntah dan ada juga yang pengsan," menurut Pengarah Kesihatan Awam, Dr Hafizullah Safi.

Dalam satu kenyataan, Lembaga Kebangsaan bagi Keselamatan Afghanistan (NDS (NDS) memaklumkan, mereka yakin serangan tersebut didalangi kumpulan Taliban yang sememangnya menentang  golongan wanita untuk mendapat pendidikan di sekolah.

"Mereka sengaja mahu menakut- nakutkan pelajar perempuan supaya mereka tidak lagi pergi ke sekolah," katajurucakap NDS itu lagi. Pada bulan lalu, kejadian sama dilaporkan melibatkan lebih 150 pelajar perempuan jatuh sakit selepas terminum air bercampur racun.

Mayat lelaki ditemui tersangkut dijeti


Mayat lelaki ditemui tersangkut dijeti - Semasa - Sinar Harian:
KUANTAN - Mayat seorang lelaki yang hampir reput ditemui tersangkut pada tiang jeti di Tanah Putih Baru di sini, dipercayai dibawa arus air.
   
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata polis menerima laporan penemuan mayat itu daripada orang awam pada pukul 5.52 petang semalam.
   
"Mayat itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat," katanya di sini, hari ini.
   
Beliau berkata tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat yang dipercayai berada di dalam air lebih daripada 24 jam.
   
"Mangsa yang berkulit gelap itu hanya berseluar jeans biru tanpa baju manakala tali pinggangnya juga berwarna biru," katanya menambah tiada kesan cedera ditemui pada mayat.
   
Mohd Jasmani berkata buat masa ini polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut dan usaha sedang diambil bagi mengesan waris mayat. - Bernama

Lelaki dipenjara tiga tahun mencuri komputer


Lelaki dipenjara tiga tahun mencuri komputer - Semasa - Sinar Harian:
KUANTAN - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri satu set komputer peribadi berharga RM3,000 Jumaat lepas.
   
Mohd Hattar Hamzah, 39, dituduh memecah masuk dan mencuri komputer, monitor, papan kekunci dan tetikus dari sebuah kedai 3E Elektrikal Sdn Bhd, No 4-19, Tingkat Bawah, Blok G, Medan Warisan, Jalan Gambang di sini.
   
Dia didakwa mengikut Seskyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan denda.

Tertuduh juga didakwa mengikut Peraturan 25 (1) (n) PPN 1990 atas kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan yang sah yang boleh dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.
   
Bagi kesalahan kedua itu, Mohd Hattar dikenakan hukuman penjara dua bulan oleh Majistret Tuan Ruzaini Tuan Lah yang memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 18 Mei lepas. - Bernama
'via Blog this'

Rakyat Malaysia hadapi tuduhan pengubahan wang haram

Rakyat Malaysia hadapi tuduhan pengubahan wang haram - Semasa - Sinar Harian:

MELBOURNE - Seorang rakyat Malaysia yang melakukan pengubahan wang haram hampir A$6.3 juta dalam tempoh lima bulan di Australia dan memindahkan wang itu ke China, didakwa di Mahkamah Daerah di sini pada Rabu.
Mahkamah diberitahu Wong Lai Yean ditangkap di pinggir bandar Camberwell November lepas, memiliki wang tunai A$63,000, enam telefon bimbit dan resit deposit tunai A$191,000 di dalam beg galasnya, lapor akhbar The Age.
Pihak pendakwaan Andrew Sprague berkata Polis Persekutuan Australia juga menemui hampir 1,000 kad kredit palsu di rumahnya di pinggir bandar Mitcham.

Mahkamah diberitahu Wong tiba dari Malaysia pada Mac 2011 dan dari Jun hingga November dia membuat deposit tunai yang diragui berjumlah A$6,296,187 dengan syarikat mata wang di Melbourne, Sydney dan Perth.

Penahanan Wong bersama dua lagi tertuduh, yang telah dipenjarakan, mendedahkan transaksi kewangan di dalam komputernya, kata pihak pendakwaan.

'via Blog this'

4 rompak kereta bawa wang syarikat pengurup

4 rompak kereta bawa wang syarikat pengurup - Semasa - Sinar Harian:
JOHOR BAHARU - Sebuah kenderaan membawa wang milik sebuah syarikat pengurup dirompak empat lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Jalan Serampang, Taman Pelangi, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata kejadian pukul 2.30 petang di belakang pejabat Utusan Melayu (M) Berhad Cawangan Johor itu berlaku sejurus kereta Toyota Alphard yang membawa empat beg berisi wang berkenaan bergerak kira-kira 30 meter dari premis pengurup wang tersebut.

"Suspek yang menaiki kereta Proton Waja dan Proton Perdana telah bertindak menghalang kenderaan mangsa sebelum mengacukan parang dan merampas kesemua beg tersebut.

"Suspek kemudian meninggalkan kereta Perdana itu dan melarikan diri bersama kereta Waja," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Zainuddin berkata dua mangsa yang menaiki Toyota Alphard itu cuba bertindak mengejar kereta Waja terbabit menuju ke Jalan Tekun, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian, bagaimanapun, kenderaan mangsa terbabas dan terbalik akibat gagal dikawal.

Beliau berkata kempat-empat suspek berumur 40-an itu kemudian meninggalkan kereta Waja berkenaan lalu melarikan diri bersama dua kenderaan lain.
 
Katanya kejadian berkenaan menyebabkan kedua-dua mangsa, rakyat tempatan yang berumur 40-an mengalami cedera ringan akibat bergelut dengan suspek dan polis kini sedang mengenal pasti sama ada mereka merupakan pekerja ataupun pemilik syarikat pengurup wang berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kereta Perdana dan Waja itu bukan kenderaan curi dan polis menemui peralatan pecah kereta di dalam kereta Waja itu termasuk parang, alat pemutar skru dan topeng," katanya.

Menurut Zainuddin kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan polis memohon semua pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi polis untuk tindakan lanjut.- Bernama
'via Blog this'

Peniaga ditipu pihak insurans

Peniaga ditipu pihak insurans - Perak - Sinar Harian:
IPOH – “Saya mau kasi orang tau, jangan lagi kena tipu.”

Demikian peringatan seorang peniaga, Leo Liu Chong Cho ketika mendedahkan kes penipuan terhadap dirinya yang dipercayai dilakukan sebuah bengkel bersama sebuah syarikat insurans, di sini.

Chong Cho, 68, berkata, penipuan itu menyebabkan dia rugi RM40,400 yang dipercayai digunakan dalam kerja-kerja membaiki kenderaannya di bengkel berkenaan dengan segala kos ditanggung pihak insurans.

Bagaimanapun menurut Liu, ketika dia bersama seorang rakan ke bengkel untuk memeriksa kenderaan itu, dan terkejut apabila mendapati banyak alat ganti tiruan termasuk alat ganti lama dipasang semula pada kenderaannya.

“Saya bertambah terkejut apabila pihak bengkel memberitahu pihak insurans telah memberikan kuasa kepada mereka untuk menggunakan barangan alat ganti terpakai itu. Ianya boleh dibuktikan menerusi ‘claim order’ yang dikeluarkan insurans berkenaan.

“Setelah kenderaan saya itu siap dibaiki, saya terus membawanya ke pusat pemeriksaannya yang sebenar dan hasil pemeriksaan yang dibuat, ternyata berlaku penipuan pemasangan alat ganti pada kenderaan berkenaan.

“Setelah membuat laporan polis, saya memaklumkan perkara itu kepada pihak insurans bagi menangguhkan pembayaran saya kepada pihak bengkel.

“Bagaimanapun, ketika menemui pihak insurans baru-baru ini, saya terkejut apabila diberitahu bayaran berjumlah RM40,400 telah dibuat kepada bengkel walaupun telah dimaklumkan lebih awal,” katanya kepada pemberita yang ditemui ketika membuat laporan polis di Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, kelmarin.

Sementara itu, Chong Cho berkata, kenderaannya masih berada di pusat pemeriksaan yang sebenar di Jalan Kuala Kangsar selepas mendapati tidak selamat untuk digunakan, malah perlu dibaik pulih dengan anggaran kos RM50,000.

Bagaimanapun katanya, pihak insurans turut menghubunginya dan menawarkan RM62,000 sebagai pampasan dengan syarat kenderaan itu diklasifikasikan sebagai kerugian menyeluruh atau total lost atau tidak boleh digunakan lagi.

“Kenderaan saya itu masih boleh digunakan, kenapa perlu diklasifikasikan sebagai total loss? Saya mahu penjelasan mereka, kenapa bayaran kepada bengkel dibuat walaupun saya telah maklumkan bayaran ditangguhkan dahulu,” tegasnya.
'via Blog this'

Suami isteri rugi RM25,000

Suami isteri rugi RM25,000 - Perak - Sinar Harian:
MANJUNG - Sepasang suami isteri kerugian RM25,000 apabila mereka disamun oleh dua lelaki memakai topeng ski bersenjatakan parang dan kuku kambing di Taman Bakti Sitiawan, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa, berkata mangsa disamun setelah mengeluarkan wang di sebuah bank di Sitiawan.

Menurutnya, suspek lelaki dipercayai mengekori mangsa dari bank berkenaan sehingga ke kawasan rumah mangsa.

“Setibanya di hadapan rumah, suspek menyerbu mangsa dan mengambil wang dari poket seluar mangsa, manakala seorang lagi telah memukul kaki kanan mangsa menggunakan kuku kambing terbabit.

“Mengikut maklumat, mangsa telah diekori lima lelaki dengan menaiki dua buah kereta, dan setiba di tempat kejadian salah sebuah kereta berhenti dan menyamun mangsa manakala sebuah lagi kereta menunggu rakan mereka melakukan rompakan.

“Manakala isteri mangsa ketika itu masih di dalam kereta,” katanya

Ahmad berkata, mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan.

“Jarak rumah mangsa dari bank itu hanya sekitar empat kilometer sahaja dan rumah mangsa pula agak terpencil dari kawasan perumahan lain,” katanya.

Justeru beliau meminta orang ramai yang mengeluarkan wang daripada bank dengan kuantiti banyak boleh mendapatkan perlindungan daripada pihak PDRM.
'via Blog this'

Perlu sijil halal sebelum pamer ayat al-Quran

Perlu sijil halal sebelum pamer ayat al-Quran - Johor - Sinar Harian:

Perlu sijil halal sebelum pamer ayat al-Quran
Pegawai Jaij menurunkan ayat al-Quran yang dipamerkan di premis perniagaan bukan Islam
JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) mengarahkan pemilik restoran atau premis perniagaan makanan agar perlu mempunyai sijil halal diiktiraf sebelum layak menggantung atau mempamerkan ayat al-Quran.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan Yosree Ikhsan berkata, beliau mengakui terdapat segelintir pemilik bukan Islam sengaja menggunakan taktik berkenaan sekali gus disifatkan sebagai cubaan mengelirukan pelanggan Muslim.

Menurutnya, walaupun pengusaha beragama Islam, mereka perlu memperolehi sijil halal diiktiraf sebelum dibenarkan mempamerkan ayat al-Quran di premis masing-masing.

“Perbuatan menggantung dan mempamerkan ayat al- Quran disifatkan sebagai taktik untuk menarik minat pelanggan untuk membeli, justeru kita menasihatkan semua pemilik supaya mematuhi peraturan seperti ditetapkan pihak berkuasa bagimengelakkan dikenakan sebarang tindakan.

“Kita sentiasa melakukan pemantauan secara kerap bagi memastikan pengusaha mematuhi peraturan seperti ditetapkan sekali gus mengambil kira aduan daripada orang ramai mengenai isu berkaitan sijil dan logo halal,” katanya.

Yosree berkata demikian ketika mengulas mengenai hasil Operasi Pemantauan Halal Jaij di empat lokasi berasingan sekitar bandar raya ini membabitkan premis makanan, medan selera dan kedai makanan ringan. Turut terlibat dalam operasi itu beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Imigresen.

Daripada operasi berkenaan, pihaknya turut mengambil tindakan menurunkan papan tanda di sebuah restoran kerana menggunakan logo halal tidak diiktiraf. Selain itu pihaknya turut mengesan pengusaha yang masih menggunakan logo berkenaan sedangkan sijil halal telah tamat tempoh.

“Bagi kesalahan yang dikesan dalam operasi berkenaan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, kita telah mengeluarkan peringatan amaran sehingga Jun ini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Imigresen turut menahan seramai lima pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam operasi berkenaan. Kelima-lima wanita warga Indonesia itu ditahan ketika sedang bekerja di restoran makanan di pusat membeli belah di sini.

Hasil pemeriksaan mendapati wanita berusia antara 32 hingga 62 tahun itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

'via Blog this'

Pukul kepala guna tukul besi

Pukul kepala guna tukul besi - Perak - Sinar Harian:

Pukul kepala guna tukul besi
Faridah (kiri) berlumuran darah akibat kejadian berkenaan sementara Ilia Dalila (tengah) masih ketakutan dan ditenangkan seorang ahli keluarga
SUNGAI SIPUT - Jeritan seorang anak berjaya menyelamatkan ibunya yang cedera parah pada bahagian kepala akibat dipukul menggunakan tukul besi dalam cubaan samun sebuah kedai pakaian di Jalan Lintang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Azman Salim memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 7.40 petang dan mangsa, Faridah Pahim, 48, merupakan pemilik kedai pakaian itu.

Menurutnya, semasa kejadian, mangsa ditemani anaknya, Ilia Dalila Ismail, 22 di premis berkenaan dan telah dikunjungi sepasang kekasih (suspek) yang berpura-pura ingin membeli pakaian.

"Suspek merupakan lelaki berusia 38 tahun bersama pasangannya, seorang wanita berusia 40 tahun mengaburi mata mangsa dengan menyamar sebagai pelanggan.

"Selepas beberapa minit membelek pakaian, suspek lelaki telah bertindak ganas dengan memukul kepala mangsa dengan tukul besi dan mengugut mangsa untuk menyerahkan wang," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, suspek bagaimanapun tidak sempat meneruskan niat mereka apabila jeritan mangsa didengari anaknya yang telah berlari keluar kedai untuk meminta pertolongan selepas melihat keadaan mangsa berlumuran darah.

"Walaupun ketakutan dan panik, tindakan anak mangsa telah menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira warna putih tanpa sempat melarikan wang atau lain-lain barangan.

"Anak mangsa juga sempat mencatatkan nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek yang dapat membantu penangkapan suspek, selain daripada maklumat dari orang awam," katanya.

Azman memaklumkan, kedua-dua suspek berjaya diberkas polis di sebuah restoran yang berjarak kira-kira 1 kilometer dari lokasi kejadian.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan dalam kereta, polis turut menemui perkakas yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pecah rumah.

"Siasatan mendapati suspek lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur, mempunyai 13 rekod kesalahan lampau termasuk rogol, samun, penyalahgunaan dadah, pukul dan empat kali dibuang daerah.

Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah.

"Suspek wanita pula berasal dari Kampung Simee, Ipoh, didapati bebas dari pengaruh dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau," katanya.

Tambahnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan dan kedua-dua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut atas kesalahan melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

'via Blog this'

Polis tahan lelaki terbabit 31 kes tipu

Polis tahan lelaki terbabit 31 kes tipu - Utara - Sinar Harian:
GEORGETOWN - Selepas menjalankan risikan sejak awal tahun lepas, polis akhirnya berjaya menahan seorang lelaki berusia 40-an dipercayai terbabit dalam 31 kes penipuan dengan menawarkan tender Kementerian Pelajaran yang palsu kepada syarikat kontraktor dan individu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial negeri, ACP Roslee Chik berkata hasil risikan sejak Januari 2011, polis berjaya menjejaki lelaki terbabit dan menahannya di sebuah pusat beli-belah di Sungai Petani, Kedah pada Isnin lepas.

Beliau berkata modus operandi lelaki terbabit ialah menyamar sebagai pegawai pendidikan dan menghubungi mangsa serta membuat tawaran tender melibatkan pelbagai projek naik taraf bangunan sekolah, kantin dan perkhidmatan pembersihan.

"Suspek menggunakan profil pegawai pendidikan yang diperoleh di pangkalan data kementerian itu dan meminta bayaran deposit sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 kepada mangsa yang terpedaya dengan tawarannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya bagi tempoh Januari 2011 hingga Mei 2012, polis menerima 16 laporan daripada orang persendirian dan syarikat kontraktor di negeri ini manakala 15 aduan lagi dibuat di Kedah, Perlis, Pahang, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.
 
"Ketika ditahan suspek sedang mengeluarkan wang melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang berkenaan dipercayai baru sahaja dimasukkan mangsa terbarunya," katanya.

Katanya suspek adalah penganggur dan menjalankan kegiatan itu secara bersendirian selain licik melepaskan diri jika dikesan.

Roslee berkata, polis juga merampas 19 kad ATM pelbagai bank, lima buah buku simpanan Tabung Haji, wang tunai RM8,600 dan 170 keping senarai data sekolah di seluruh negara daripada lelaki terbabit.

Katanya suspek yang berasal dari Pulau Pinang dan telah berkeluarga itu pernah menerima hukuman buang daerah atas kesalahan pecah amanah.

"Lelaki terbabit ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan," katanya.- Bernama
'via Blog this'

Ditahan ketika bungkus dadah

Ditahan ketika bungkus dadah - Utara - Sinar Harian:

Ditahan ketika bungkus dadah
Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kulim, Mohd Yuhann Ross menunjukkan dadah yang dirampas
KULIM - Seorang remaja berusia 18 tahun ditahan bersama dua lagi rakannya dalam satu serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulim di sebuah rumah di Mahang, kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, sebelum serbuan dilakukan, polis mengintip aktiviti kumpulan itu sejak seminggu lalu.

Menurutnya, untuk memastikan semua suspek ditahan, polis mengepung seluruh kawasan rumah suspek.

“Ketika ditahan semua suspek dipercayai sedang membungkus dadah.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui 15 bungkusan kecil plastik lut sinar, di mana setiap satu dianggarkan seberat 10 gram, manakala sebungkus plastik lagi mengandungi bahan sama seberat kira-kira 500 gram,” katanya.

Serbuan itu diketuai oleh Pegawai Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kulim, Inspektor Mohd Amin Mat Yasin.

Semua suspek kemudiannya dibawa ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut.

Dua suspek didapati positif dadah. Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Kumpulan itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sekitar kawasan tempat menghisap dadah di Mahang dan Selama.

Menurut seorang suspek, dadah yang dibungkus akan diagihkan kepada pengedar lain sebelum dipeketkan ke dalam straw dalam jumlah yang lebih kecil dan dijual kepada penagih dadah.

'via Blog this'

Tiga rumah dipecah perompak bertopeng

Tiga rumah dipecah perompak bertopeng - Utara - Sinar Harian:
NIBONG TEBAL, Seberang Prai – Penghuni di tiga buah rumah dekat Jalan Wellesley, di sini, rugi puluhan ribu ringgit selepas rumah mereka dipecah masuk perompak bertopeng, kira-kira jam 3 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat berkata, kejadian melibatkan enam hingga ke tujuh lelaki itu pada mulanya dikatakan memecah masuk rumah pertama yang tidak berpenghuni melalui tingkap nako.

Menurutnya, penjenayah yang bersenjatakan pisau dan parang itu kemudiannya bertindak memecah masuk ke rumah kedua dan ketiga, lalu melarikan sebuah kereta jenis Toyota Altis milik penghuni rumah kedua, selain barangan berharga lain.

“Ketika kejadian, berlaku pergelutan antara mangsa di rumah kedua dan ketiga dengan suspek. Berikutan pergelutan itu, mangsa di rumah kedua yang berusia 60 tahun cedera ringan di tangan dan kaki akibat ditoreh suspek, sementara, anaknya yang berusia 15 tahun selamat.

“Setakat ini, kita masih belum tahu jumlah yang dialami mangsa, kerana siasatan mengenainya masih sedang dijalankan,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS, di sini, semalam.

Shafien berkata, polis sudah pun melancarkan operasi bagi mengesan suspek dan kenderaan yang dicuri.

Justeru, pihaknya meminta orang ramai yang terlihat kenderaan tersebut atau mempunyai sebarang maklumat supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan menggunakan senjata
'via Blog this'

Tercampak 30 meter

Tercampak 30 meter - Melaka & NS - Sinar Harian:
NILAI – Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungganginya terbabas di Kilometer 284 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), selepas keluar susur tol Nilai, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa A.Suraj, 35, meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Kriss secara bersendirian.

“Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditungganginya menyebabkan kenderaan berkenaan terbabas ke kiri jalan sebelum bergesel dengan besi pengadang kiri jalan.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 30 meter daripada motosikalnya dan disahkan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut jurucakap terbabit, siasatan awal mendapati kejadian itu tidak melibatkan kenderaan lain.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusof Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
'via Blog this'

Polis cari lelaki bantu siasatan

Polis cari lelaki bantu siasatan - Melaka & NS - Sinar Harian:
BANDARAYA MELAKA - Polis sedang giat mencari seorang lelaki bagi membantu siasatan kes seorang anggota polis yang maut digilis lori di ladang sawit Kampung Solok Limau Purut, Melekek, Alor Gajah pada 14 Mei lalu.

Lelaki berusia 42 tahun dikehendaki bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kecurian sebuah lori perabot tujuh tan yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Suspek dikenali sebagai Manoharan a/l Supiah itu beralamat terakhir di Lot 1074 Taman Desa Permai, Repah, Tampin, Negeri Sembilan.

Dalam kejadian kira-kira 7.15 pagi itu, mangsa, Koperal Rasul Tumin, 47, dikatakan mahu menangkap suspek.

Suspek ketik itu dikatakan mahu melarikan sebuah lori membawa muatan perabot terbabit.

Bagaimanapun, ia berakhir dengan tragedi apabila mangsa terbunuh selepas digilis lori tersebut mengundur ketika ditinggalkan suspek.

Rasul disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah di kepala serta badan.
'via Blog this'

Dari penoreh jadi perompak

Dari penoreh jadi perompak - Melaka & NS - Sinar Harian:
AYER KEROH - Padah merompak pada kali pertama datang ke Malaysia, seorang lelaki dari Lombok, Indonesia menerima hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini semalam.

Tertuduh, Jasmin, 47, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim, Zaharah Hussain selepas dia yang duduk di atas kerusi roda mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada empat anak itu bersama-sama dua lagi rakan yang masih bebas didapati melakukan rompakan bersenjatakan parang terhadap Mohd Shamir Fauzi, 28, kira-kira 4 pagi pada 11 Mei 2012.

Dia yang berpakaian pesakit hospital didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang cedera pada kaki kiri memberitahu mahkamah, dia datang ke Malaysia sejak 30 April lalu untuk bekerja sebagai penoreh di Yong Peng, Johor.

“Saya diajak kawan, sampai di sana (rumah mangsa) baru kawan memberitahu mengenai rancangan rompakan,” katanya.

Mengikut fakta kes, kira-kira jam 4 pagi pada hari kejadian, mangsa yang mendengar tombol pintu bilik seperti mahu dibuka dari luar dan melihat bayang-bayang di bawah pintu, keluar dari biliknya sambil membawa senapang patah.

Sejurus keluar dari bilik mangsa melepaskan satu das tembakan apabila tertuduh membaling pemotong besi ke arahnya dan terkena bahagian kepala.

Pengadu kemudian melihat dua lelaki keluar dari bilik dalam rumah berkenaan dan mereka membaling perkakas rumah ke arah pengadu, namun pengadu menembak kepada salah seorang mereka yang mahu menyerang menggunakan parang panjang.

Selepas ketiga-tiga tertuduh lari keluar dari rumah, pengadu menghubungi polis dan apabila polis tiba ke lokasi kelihatan tertuduh terbaring di atas tanah di luar dalam keadaan berdarah pada peha kiri.
'via Blog this'

Pengurus maut motor terbabas

Pengurus maut motor terbabas - Selangor & KL - Sinar Harian:
KLANG UTARA - Pengurus sebuah syarikat pengangkutan di Pelabuhan Klang maut apabila motosikal yang ditunggang terbabas dan terseret di atas pengadang jalan di Kilometer (km) 12.3 Lebuhraya Baru Selat Klang Utara arah Shah Alam, kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 9.33 pagi itu, mangsa, K Suresh, 33, dikatakan dalam perjalanan pulang dari Pelabuhan Klang menghala kediamannya.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa gagal dikawal lalu terbabas.

“Motosikal mangsa terbalik, sementara mangsa terseret di atas pengadang jalan hingga mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa yang belum berkahwin dan merupakan anak sulung daripada empat beradik itu dihantar ke bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ.
'via Blog this'

Remaja maut digilis treler

Remaja maut digilis treler - Selangor & KL - Sinar Harian:

Remaja maut digilis treler
Mangsa maut ditempat kejadian selepas motosikalnya bergesel dengan treler.
TANJONG KARANG – Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal yang ditunggang bergesel dengan sebuah treler di KM63.5 Jalan Klang-Teluk Intan di hadapan Sekolah Agama Menengah Tanjong Karang kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kuala Selangor, Inspektor Roslan Ismail berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa, Nurnawwarah Abd Wahab, 16, yang berasal Kampung Haji Razali menunggang motosikal seorang diri.

Menurutnya, mangsa dipercayai berhenti di tepi jalan di hadapan sekolah itu dan selepas bahagian depan lori treler terbabit melepasi motosikal, secara tiba-tiba mangsa keluar dari tepi jalan dan masuk ke laluan utama.

“Mangsa kemudiannya bergesel dengan treler terbabit sebelum terjatuh dan masuk ke laluan lori treler, kemudian digilis manakala motosikal menggelongsor ke tepi jalan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Roslan berkata, mangsa mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

“Merujuk kenyataan pemandu lori, dia terkejut apabila berasakan melanggar sesuatu apabila lori dipandunya tidak stabil sebelum berhenti 100 meter dari kejadian kemalangan.

“Motosikal mangsa hanya mengalami kerosakan kecil dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan individu yang terlihat kejadian terbabit diminta tampil untuk membantu melancarkan siasatan polis,” katanya.

'via Blog this'

Duit kahwin adik kena kebas

Duit kahwin adik kena kebas - Utara - Sinar Harian:

Duit kahwin adik kena kebas
Dari kiri: Melissa dan Mohd Tajudin bersama Kong Meng (empat, kiri) serta anggota polis yang lain ketiga program polis bersama Rapid Penang mencegah jenayah penyeluk saku
GEORGETOWN - Seorang abang hanya mampu menepuk dahi apabila duit persiapan perkahwinan milik adiknya lesap dalam bas Rapid Penang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, daripada laporan yang dibuat beliau mendakwa wang berkenaan hilang setelah diambil oleh sekumpulan warga asing disyaki penyeluk saku dalam bas yang sama.

Menurutnya, pada mula sekumpulan lelaki itu mencurahkan air di tempat duduk mangsa dan menyuruh bertukar tempat duduk, tetapi mangsa enggan.

“Setelah turun dari bas mendapati semua wang dalam poket hilang, dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Pulau Tikus.

“Kes ini disiasat atas kesalahan menyeluk saku mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Pencegahan Jenayah Walkabout High Profile Policing di Terminal Bas Komtar bersama kakitangan Rapid Penang.

Hadir sama, Ketua Komersial dan Komunikasi Rapid Penang, Melissa Sandhu dan Pengurus Komersial dan Komunikasi, Mohd Tajudin Mohd Kassim.

Terdahulu akhbar melaporkan seorang penumpang bas, Ronson Chew Boon Hock, 29, mendakwa wang dalam milikannya hilang setelah adanya penyeluk saku di dalam bas.

Dalam masa yang sama lelaki yang bekerja sebagai juruteknik itu juga mendakwa dirinya dikasari pencuri berkenaan.

Setelah membuat laporan polis, mangsa juga menemui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tikus, Koid Teng Hai bagi membuat kenyataan media berikutan mahu sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipasang dalam bas Rapid Penang.

Kong Meng berkata, sehingga kini sudah terdapat enam laporan polis mengenai kes penyeluk saku dalam bas antaranya di Air Itam, Tanjung Tokong dan juga Pulau Tikus.

Menurutnya, pihak polis akan menugaskan anggotanya untuk menaiki bas bagi mencegah kejadian itu.

“Tidak kira jawatan apa sekalipun ataupun dari cawangan mana-mana, kita akan naik bas sekali sekala bersama penumpang lain,” katanya.

Bagi kes berkenaan, pihaknya masih menyiasat sama ada adakah ia kegiatan sindiket penyeluk saku dalam bas ataupun tidak.

“Kita masih siasat dan akan menyelesaikannya, kerana ia semakin popular,” katanya.

'via Blog this'

Polis musnahkan set komputer

Polis musnahkan set komputer - Melaka & NS - Sinar Harian:

Polis musnahkan set komputer
Osman semasa melakukan gimik memusnahkan unit komputer yang digunakan untuk kegiatan judi dengan menggunakan jengkaut,semalam
SEREMBAN – Sebanyak 3,767 unit komputer dianggarkan bernilai RM1.9 juta yang digunakan untuk kegiatan perjudian dimusnahkan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini semalam.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, mesin perjudian berkomputer terbabit merupakan barang rampasan hasil daripada 541 serbuan yang diadakan di sekitar Seremban sejak 2010 hingga Mac tahun ini.

“Dalam serbuan diadakan seramai 562 orang pengunjung termasuk penjaga premis telah ditahan terdiri daripada pelbagai lapisan usia termasuk pelajar sekolah dan golongan warga emas.

“Daripada 541 kertas siasatan yang telah dibuka, sebanyak 111 kes telah dituduh dimana 30 kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 81 kes lagi disiasat di bawah Seksyen 6(1) Enekmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 (Negeri Sembilan),” katanya pada sidang media selepas beliau melakukan gimik memusnahkan barangan rampasan dengan menggunakan jengkaut di IPD Seremban, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Hamdan Majid dan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin.

Osman berkata, polis dengan kerjasama beberapa agensi lain daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan terus menjalankan serbuan bagi membanteras kegiatan perjudian daripada terus berleluasa di negeri ini.

Menurutnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Negeri Sembilan (Sains) turut membantu polis membuat pemotongan bekalan elektrik dan air terhadap premis yang didapati menjalankan kegiatan haram terbabit.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi terhadap pihak yang terlibat menjalankan kegiatan tersebut.

'via Blog this'

Pengantin baru kesal tiada pertolongan ketika bergelut dengan peragut -

Pengantin baru kesal tiada pertolongan ketika bergelut dengan peragut - Selangor & KL - Sinar Harian:

Pengantin baru kesal tiada pertolongan diberi ketika diri bergelut dengan peragut
Rakaman CCTV menunjukkan pengawal keselamatan hanya memerhatikan kejadian
ragut yang berlaku.
PETALING JAYA – Hanya kerana pengawal keselamatan gagal bertindak, seorang eksekutif pengurus acara kerugian RM18,000 apabila rantai leher dan beg tangan dilarikan peragut.

Dalam kejadian petang 14 Mei lalu, mangsa K Sharala Thevi, 28, berkata, kejadian berlaku di pintu masuk kawasan kediamannya di Kondominium Kelana D’Putra, Kelana Jaya dekat sini.

“Saya berjalan kaki pulang dari bekerja, sebaik masuk di pintu masuk kondo, dua lelaki bertopi keledar tibatiba menerpa dari arah belakang menyebabkan saya terus menjerit dan cuba melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, ketika itu seorang pengawal keselamatan keluar dari pondok pengawal namun dia hanya melihat sahaja insiden itu berlaku.

“Saya kemudiannya terjatuh dan diheret sebelum kedua-dua peragut itu melarikan diri bersama dua lagi rakannya yang turut menunggang motosikal,” katanya pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, semalam.

Tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku, mangsa membuat laporan di pejabat pengurusan kondominium itu namun jawapan yang diberikan mengecewakan.

“Saya diberitahu pengawal keselamatan tidak mahu membantu sebab takut suspek ada senjata dan kawasan parkir pelawat bukan di bawah pengurusan kondominium itu.

"Bagi saya ini tidak masuk akal dan saya akan memfailkan saman terhadap pengurusan kondo ini kerana cuai,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya.

Menurutnya, paling dikesalkan rantai dilarikan adalah hadiah daripada suami sempena perkahwinannya.

'via Blog this'

Padah serang penguat kuasa

Padah serang penguat kuasa - Terengganu - Sinar Harian:
UALA TERENGGANU - Suspek yang cuba menetak sepasukan penguat kuasa Pejabat Agama Islam daerah Kuala Terengganu dengan menggunakan sebilah parang semasa cuba menahannya kerana memiliki waran tangkap kes khalwat dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Fazlan Razak, 27, dari kampung Chabang Tiga, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada melakukan tugas, Seksyen 503 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Bagi pertuduhan pertama, dia yang bekerja sebagai pemandu lori itu mengaku salah menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada melakukan tugasnya iaitu Pegawai Penguat Kuasa Syariah di sebuah rumah di Kampung Tok Kaya, Chabang Tiga, di sini, kira-kira jam 9.20 malam, 16 Mei lalu.

Mohd Fazlan turut mengaku menakutkan secara jenayah dengan menggunakan sebilah parang pada masa, lokasi dan tarikh sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan.
 
Selain itu, Mohd Fazlan turut mengaku melakukan khianat dengan merosakkan cermin van jabatan penguat kuasa menggunakan sebilah parang dengan kerugian bernilai RM500 pada masa, lokasi dan tarikh sama.

Natijah pengakuan salah itu, dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau satu bulan penjara jika gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.
 
Bagaimanapun, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi memerintahkan agar hukuman penjara itu dijalankan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 17 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R.Azmi manakala Mohd Fazlan tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Sinar Harian keluaran 18 Mei lalu menyiarkan seorang anggota PenguatKuasa Syariah wanita daerah Kuala Terengganu berdepan detik mencemaskan apabila nyaris ditetak dengan sebilah parang semasa menjalankan tugas ‘berwaran’ di sebuah rumah di Kampung Tok Kaya, di sini.

Kejadian kira-kira jam 9.20 malam, mangsa bersama seorang pegawai dan enam anggota lain telah menyerbu rumah suspek untuk menahannya kerana memiliki waran tangkap kes khalwat.

Bagaimanapun, suspek yang ketika itu sedang asyik menonton televisyen bersama seorang wanita dipercayai tiada pertalian darah, naik berang sejurus mengetahui kehadiran anggota berkenaan sebelum bertindak mengayun sebilah parang ke arah mereka.
'via Blog this'

Nelayan berputih mata bot musnah terbakar

Nelayan berputih mata bot musnah terbakar - Kelantan - Sinar Harian:

Nelayan berputih mata bot musnah terbakar
Keadaan bot (kiri) dalam kebakaran tersebut.
KOTA BHARU - Seorang nelayan terpaksa berputih mata selepas botnya musnah dalam kebakaran di Kampung Pantai Mek Mas, Kuala Besar di sini pagi kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 pagi itu hanya disedari, Ramli Salleh, 47, selepas menerima panggilan telefon dari rakannya pada jam 6.30 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang tidur dirumahnya di Kampung Pauh sehingga dikejutkan dengan kejadian itu selepas rakannya memberitahu botnya terbakar.

”Saya panik apabila menerima berita terbabit, dan bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 7 pagi, namun semuanya musnah dan saya langsung tidak dapat selamatkan barangan termasuk jala dan bot.

”Akibat kejadian itu, saya terpaksa menanggung kerugian hampir RM 40,000,”katanya kepada pemberita ketika ditemui ditempat kejadian pagi kelmarin.

Ramli berkata, dia kini tidak dapat meneruskan pekerjaannya kerana tidak mempunyai pengangkutan selain bot terbabit.

”Harapan saya supaya pihak berwajib dapat membantu keluarga saya, memandangkan saya hanya mengharapkan punca rezeki dari hasil tangkapan ikan ini.

”Buat masa ini saya terpaksa berehat seketika memandangkan kerosakan bot terbabit amat teruk dan kini saya mengharapkan agar bantuan segera dapat disalurkan, bagi mendapatkan bot baru,”katanya.

Sementara Pegawai Bomba Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Yazulia Yahya berkata ,pihaknya menerima panggilan pada jam 3.35 pagi.

'via Blog this'

Dua pencuri besi kantoi

Dua pencuri besi kantoi - Pahang - Sinar Harian:

Dua pencuri besi kantoi
Rakaman CCTV menunjukkan dua individu dipercayai sedang mencuri besi penutup
longkang di Jalan Ahmad Shah dan Jalan Datuk Bahaman pada malam 22 Mei lalu.
BANDAR TEMERLOH – Peniaga di bandar ini melahirkan rasa bimbang dengan kegiatan curi penutup longkang yang semakin berleluasa.

Kejadian terbaru pada 22 Mei lalu sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis perniagaan di Jalan Ahmad Shah dan Jalan Datuk Bahaman, di mana lebih 20 besi penutup longkang dilaporkan hilang.

Seorang peniaga, Chong Chin Wah berkata, kejadian terbaru itu berlaku sekitar jam 8 hingga 9 malam ketika keadaan di belakang premis pernigaan di kawasan  terbabit mulai lengang.

Menurutnya, ramai peniaga di situ tidak menyedari kegiatan jenayah itu berlaku berhampiran premis mereka sehinggalah diberitahu beberapa peniaga lain keesokan harinya.

“Saya tidak pasti mengenai kejadian itu, tetapi ada rakan saya menunjukkan rakaman CCTV. Ada dua individu yang terlibat dan mereka naik kereta Proton Wira.

“Seorang menunggu di dalam kereta sambil rakannya mencungkil besi penutup longkang di belakang premis terbabit,” katanya.

Chin Wah berkata, laporan polis sudah dibuat dan peniaga berharap mereka yang terlibat ditangkap segera kerana menyusahkan banyak pihak.

Katanya, sesetengah peniaga terpaksa menampal dengan simen setiap besi penutup longkang supaya lebih selamat.

“Besi penutup longkang yang dijual kepada pembeli besi buruk mempunyai nilai yang tinggi kerana kualiti dan berat barangan itu.

“Tidak hairanlah kenapa terlalu banyak kes kecurian berlaku dalam kawasan perumahan, taman rekreasi dan premis perniagaan kerana ia mampu memberi pendapatan lumayan kepada si pencuri,” katanya

'via Blog this'

Guru lapan beranak disamun empat lelaki bertopeng

Guru lapan beranak disamun empat lelaki bertopeng - Terengganu - Sinar Harian:

Guru lapan beranak disamun empat lelaki bertopeng
Mohd Syahrizul menunjukkan dawai pagar yang digunakan penyamun mengikat
mereka lapan beranak, semalam.
KUALA TERENGGANU - Lapan beranak menempuh detik mencemaskan apabila diikat dan diugut dengan kayu yang dipenuhi paku serta paip besi oleh empat lelaki bertopeng yang memecah masuk kediaman mereka dalam satu kejadian samun di Kampung Lapang Sira, Kuala Belara, Manir, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, mangsa, Zainabon Mat Diah, 54, sedang lena tidur bersama tiga anaknya di ruang tamu sebelum dikejutkan empat penyamun berkenaan dipercayai menceroboh masuk rumah terbabit melalui pintu belakang.

Menceritakan kejadian, ibu tunggal kepada lapan anak itu berkata, sejurus terkejut daripada tidur, dia ternampak empat lembaga hitam berdiri di hujung kepalanya sambil masing-masing memegang sebatang kayu dan sebatang paip besi.

“Salah seorang daripada mereka memberi amaran kepada saya agar jangan membuat bising dan akan mengeluarkan pisau jika saya melawan sebelum mengikat kedua belah tangan kami dengan menggunakan dawai pagar rumah,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Zainabon yang juga seorang guru berkata, salah seorang suspek telah memaksa anak keenamnya, Mohd Syahrizul Chik, 24, untuk menunjukkan bilik yang masih dihuni oleh ahli keluarganya dengan keadaan kedua-dua belah tangan diikat di belakang.

"Kami takut, hanya ikut arahan"

“Disebabkan ketakutan, kamihanya mengikut sahaja arahan mereka dan anak saya terus membawa dua daripada suspek naik ke tingkat atas untuk mengejutkan empat lagi adik beradiknya yang tidur di dalam bilik.“Ketika itu, kami langsung tidak melawan, malah untuk bersuara pun kami tidak mampu kerana mereka sentiasa mengacukan senjata yang dipegang ke arah kami,” katanya.

Katanya, selepas mereka dikumpulkan di ruang tamu, keempat-empat suspek mula menggeledah rumah terbabit dan berjaya melarikan barangan kemas termasuk tiga utas gelang, seutas rantai, lapan keping jokong emas, wang tunai berjumlah RM3,500 dan lima telefon bimbit yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM50,000.

“Semasa menggeledah beg tangan saya dan mengambil duit gaji yang baru dikeluarkan sebelum itu, salah seorang berkata yang mereka semua tidak makan seminggu disebabkan tiada duit. “Tiga daripada mereka menggunakan dialek Indonesia manakala seorang lagi saya tidak tahu kerana dia bercakap dialek campur-campur,” katanya.

"Anak minta longgarkan ikatan saya"

Zainabon berkata, setelah mendapat apa yang dikehendaki, salah seorang suspek memaksa kami menyerahkan dua kunci motosikal sebelum melarikan diri dengan motosikal berkenaan.

“Sejurus mereka beredar, saya berjaya membukakan ikatan kerana sebelum itu salah seorang daripada anak saya merayu agar melonggarkan ikatan di tangan saya kerana memberitahu saya sudah tua dan ada penyakit kencing manis.

“Walaupun kami tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kejadian ini masih menjadi ‘igauan ngeri’ buat kami sekeluarga,” katanya.

'via Blog this'

Penganggur bersalah bunuh dua beranak tiga tahun lalu

Penganggur bersalah bunuh dua beranak tiga tahun lalu - Kelantan - Sinar Harian:

Penganggur didapati bersalah bunuh dua beranak tiga tahun lalu
Mazdi yang diiringi polis keluar dari mahkamah selepas dijajatuhi dihukum gantung sampai mati.
KOTA BHARU - Hayat seorang penganggur yang didakwa membunuh kejam dua beranak di Kampung Sireh, tiga tahun lalu, berakhir di tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam mendapati dia bersalah melakukan pembunuhan pada pagi 30 September 2009.

Setelah tiga tahun melalui perbicaraan, Hakim Azman Abdullah akhirnya keputusan itu ke atas Mazdi Muhammad, 34, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh didakwa membunuh seorang suri rumah warga Thailand, Maena Ya, 36, dan anak wanita itu, Nurasyiken yang berusia setahun, pada jam 2.30 pagi di rumah tidak bernombor di Kampung Sireh Bawah Lembah di sini, tarikh berkenaan.

Keputusan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sebelum keputusan dibuat, peguam bela, Ahmad Nizam Muhamad memohon mahkamah mempertimbangkan faktor umur tertuduh yang masih muda.

“Tertuduh adalah bekas penagih dadah dan belum berkahwin serta masih tinggal bersama ibunya,” katanya.

Hakim Azman bagaimanapun menegaskan tidak ada hukuman lain selain gantung sampai mati jika disabitkan dengan kesalahan itu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Azimah Yaacob.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa maut akibat kecederaan parah di bahagian muka dan dada disebabkan tetakan bertubi-tubi menggunakan senjata tajam.

Nurasyiken maut di tempat kejadian manakala Maena pula meninggal dunia pada jam 6.45 pagi selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Ketika kejadian, dua beranak itu berada di rumah mereka manakala suaminya berada di Terengganu kerana menjalankan urusan pekerjaan.

Mazdi yang menyembunyikan diri bagaimanapun berjaya ditangkap sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sekitar daerah ini empat hari kemudian.

'via Blog this'

3 maut kemalangan termasuk kanak-kanak 2 tahun

3 maut kemalangan termasuk kanak-kanak 2 tahun - Nasional - Sinar Harian:
JOHOR BAHARU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut bersama ibu dan ibu saudaranya dalam kemalangan di KM70, Jalan Kota Tinggi-Kluang, hari ini.
   
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Abdul Majid Mohd Ali berkata Sharmila Jumadi, 2, ibunya Marlisa Mansor, 25, serta ibu saudaranya, Maryana Mansor, 22, meninggal dunia di tempat kejadian manakala kakaknya Sofea Balqis Jumadi, 4, cedera parah.
   
"Kemalangan berhampiran Ladang Tabung Haji itu berlaku kira-kira pukul 10.15 pagi tadi apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu Marlisa dari arah bandar Kluang menuju arah Bandar Tenggara cuba memotong sebuah kereta Toyota Hilux di depannya.
   
"Dipercayai wanita berkenaan gagal memotong kenderaan terbabit lalu berlanggar dengan sebuah lori dari arah bertentangan sebelum berpusing dan kemudiannya dilanggar oleh Toyota Hilux yang tidak sempat mengelak," katanya ketika dihubungi, hari ini.
   
Abdul Majid berkata pemandu lori yang berumur 29 tahun dan pemandu Toyota Hilux yang berumur 40 tahun itu, bagaimanapun, tidak mengalami kecederaan.
   
Beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai kes berkenaan dan siasatan mengenainya dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
   
Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Kluang untuk bedah siasat manakala Sofea Balqis dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini untuk rawatan. - Bernama
'via Blog this'

2 ibu ayam lacur budak ditahan - Global

2 ibu ayam lacur budak ditahan - Global - Sinar Harian: "SYDNEY - Dua ibu ayam ditahan, semalam selepas disyaki terlibat menjalankan sindiket pelacuran kanak-kanak di Sydney.

Sindiket itu menyediakan perkhidmatan seks budak seawal 12 tahun dan kebanyakan daripada mereka hidup gelandangan.

Adik-beradik berumur 19 dan 22 tahun tersebut ditahan dalam serbuan di empat rumah yang didakwa menjadi lokasi sindiket tersebut beroperasi.

Difahamkan, suspek berumur 22 tahun itu pernah didakwa atas kesalahan pelacuran pada awal tahun in"

'via Blog this'

Pengawal keselamatan dihukum penjara dua bulan, satu sebatan kerana mencuri

Pengawal keselamatan dihukum penjara dua bulan, satu sebatan kerana mencuri - Semasa - Sinar Harian:
KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan yang mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau, hari ini dihukum penjara dua bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah mencuri empat botol syampu.
   
Majistret Parvin Hameedah Natchiar memerintahkan Zainal Alam Osman yang juga penghidap HIV menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap semalam.
   
Zainal Alam, 52, mengaku mencuri empat botol syampu yang kesemuanya bernilai RM62.70 di premis rangkaian Watson, Desa Setapak, Seksyen 2, Wangsa Maju, Sentul di sini pada 6 petang, 24 Mei lepas.
   
Duda kepada dua orang anak yang berusia 13 dan 15 tahun, didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda atau boleh dikenakan sebatan.
   
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana tertuduh mempunyai tujuh kesalahan lampau termasuk mencuri.

Namun Zainal Alam, yang tidak diwakili peguam, meminta hukuman ringan kerana mendakwa dia terpaksa mencuri disebabkan belum menerima gaji selain perlu menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh bagi mengubati penyakit HIV yang dihidapinya. - Bernama
'via Blog this'