Utusan Malaysia Online - Jenayah:
Oleh ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my

Muhd. Khairun Aseh (kanan) dan S. Devanathan (kiri) dan Bala Ganapathy pada sidang akhbar mengenai usaha untuk membawa pulang Punitha dari Peru di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 21 Mei - Seorang wanita tempatan yang terpaksa meringkuk dalam penjara selama empat tahun di Peru kerana menjadi keldai dadah di negara itu, kini mampu menarik nafas lega apabila usahanya untuk pulang ke tanah air bakal menjadi kenyataan.
Dia yang hanya dikenali sebagai Punitha, 55, baru selesai menjalani perintah parol selama dua tahun di negara Amerika Selatan itu namun tidak dapat pulang ke Malaysia kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.
Malah Punitha yang berasal dari Kuala Lumpur perlu meninggalkan negara tersebut sejak April lalu dan jika tidak, dia boleh dipenjarakan semula atas kesalahan tinggal secara haram di negara berkenaan.
Bagaimanapun, hasil bantuan Kementerian Luar dan Pergerakan Pemuda UMNO, rundingan kini dijalankan dengan pelbagai pihak di sana untuk segera membawa pulang Punitha, selain membenarkan dia tinggal di negara itu tanpa ditangkap.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Wisma Putra dan wakil Kedutaan Malaysia di Peru bagi menyelesaikan pelbagai urusan melibatkan prosedur membawa pulang wanita itu segera ke Malaysia.
"Pihak kami menjangkakan semua urusan rasmi dapat diselesaikan sebelum berakhir tempoh yang ditetapkan kerajaan Peru untuk membawa dia keluar.
"Selepas itu, kita akan berusaha mempertemukan semula Punitha dengan ahli keluarganya yang terpisah sejak lapan tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Punitha menjadi keldai dadah selepas terpedaya dengan pujukan satu sindiket penyeludupan dadah dipercayai warga Afrika ketika berada di Peru.
Dia sebelum itu mengikut satu keluarga rakyat tempatan untuk bekerja sebagai pengasuh bayi di Ireland, namun dihalau selepas bekerja selama dua tahun.
Wanita yang belum berkahwin itu ditahan di Peru kerana membawa sejumlah dadah pada 2006 dan dikenakan hukuman penjara selama empat tahun sehingga 2010.
Menurut Muhd. Khairun, nasib malang menimpa Punitha adalah salah satu contoh kes sindiket dadah yang menjadikan wanita tempatan sebagai keldai dadah.
Justeru, kata beliau, situasi yang dialami Punitha perlu dijadikan iktibar kepada seluruh rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati apabila mencari rezeki di luar negara.
"Jangan mudah terpedaya dengan individu tidak dikenali kerana mereka mungkin sindiket jenayah yang sering mencari mangsa," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Luar, S. Devanathan berkata, kes itu sering berlaku di luar negara melibatkan rakyat tempatan tidak kira peringkat umur.
"Mereka akan menjadikan wanita tidak kira sama ada peringkat remaja mahupun warga emas sebagai mangsa keldai dadah.
"Biasanya modus operandi digunakan adalah mudah dengan menawarkan dan menjanjikan pelbagai kemewahan atau pekerjaan kepada mangsa terutama golongan susah," katanya.
Katanya, rakyat negara ini dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan taktik seumpama itu kerana tidak mudah untuk individu memberi jika tidak ada tujuan di sebaliknya.
'via Blog this'