Search This Blog

Monday, May 21, 2012

Remaja ragut kerani akaun dicekup


MELAKA - Selepas tiga hari kerani akaun sebuah syarikat menjadi korban dua peragut di Jalan Benteng, Balai Panjang di sini, polis kelmarin berjaya menahan seorang remaja dipercayai terbabit dalam kejadian tersebut.

Suspek yang berusia 17 tahun dan tidak bersekolah itu dicekup pada pukul 7 malam di sebuah inap desa di Merlimau, Jasin pada pukul 1.30 petang.

Jarak antara inap desa tersebut dengan Jalan Benteng kira-kira enam kilometer.

Siasatan awal, mengesyaki remaja tersebut merupakan suspek yang menarik beg tangan Tang Mui Choo, 35, yang diletakkan dalam raga motosikalnya.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan R.Gunarajan berkata, polis masih mengesan penunggang motosikal yang berusia 20-an yang bersama remaja itu semasa kejadian.

"Pada hari kejadian, remaja terbabit mengaku membonceng motosikal yang ditunggangi rakannya. Dia juga mengaku menarik beg tangan mangsa sehingga menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh dari motosikalnya," kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini.

Menurut beliau, selain remaja itu, polis turut menahan tiga lagi rakan suspek yang berusia 18 hingga 20 tahun yang turut berada di inap desa itu semasa serbuan.

Will Smith tampar lelaki cuba cium bibir

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


MOSCOW 19 Mei - Pelakon Will Smith menampar seorang wartawan ketika tayangan perdana filem terbarunya di Rusia, selepas lelaki itu cuba mencium bibirnya.
Kejadian berlaku ketika pelakon berusia 43 tahun itu berjalan di hadapan barisan wartawan bagi mempromosikan filem Men In Black 3, di sini.
Wartawan dan personaliti televisyen Vitalii Sediuk secara tiba-tiba menghentikannya, memeluknya dan menciumnya dua kali di bahagian pipi.
Bagaimanapun, Sediuk bertindak keterlaluan apabila cuba mencium bibir Smith, namun dia dapat mengelak dengan menolak badan wartawan tersebut.
"Apa masalah awak," kata Smith dengan berang kepada wartawan itu sebelum bertindak menampar muka Sediuk menggunakan belakang tangannya.
Insiden itu dirakamkan dan wartawan lelaki berkenaan kelihatan agak malu selepas insiden berlaku.
Smith yang ditemui kemudian berkata, insiden itu agak melucukan.
"Dia cuba mencium mulut saya, tetapi dia bernasib baik kerana saya tidak menumbuknya. Maaf kerana saya katakan demikian di depan kamera," katanya kepada wartawan lain.
Ini bukanlah kali pertama wartawan itu mencetuskan kemarahan selebriti.
Sebelum ini dia pernah menghadiahkan bunga Hydrangeas kepada Madonna, walaupun mengetahui itu adalah bunga yang paling dibenci oleh penyanyi itu. - AGENSI

'via Blog this'

Isteri penculik ditinggal sendirian

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KUALA LUMPUR 18 Mei - Isteri kepada lelaki yang melarikan diri ke Eropah setelah menyedari diburu polis kerana terlibat dalam kes penculikan kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar (gambar), 12, baru-baru ini, terpaksa meminta bantuan keluarganya untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Malaysia.
Sumber berkata, wanita yang langsung tidak mengetahui telah berkahwin dengan seorang penculik terpaksa berbuat demikian apabila ditinggalkan sendirian di hotel setelah suaminya menghilangkan diri semasa berbulan madu di Perancis.
Beliau berkata, suspek dikenali sebagai Jang Yin Jiang, 24, yang ketakutan selepas mengetahui dia diburu polis antarabangsa (Interpol) melalui akhbar di negara berkenaan, meminta isterinya segera berkemas dengan alasan mahu mencari hotel penginapan baru.
"Isterinya yang tidak mengetahui apa-apa hanya mengikut arahan tetapi dia mula gelisah apabila suaminya yang keluar tidak lama selepas itu tidak pulang semula ke hotel dan gagal dihubungi.
"Dia yang hanya ditinggalkan wang 100 Euro (RM397.7) akhirnya mengambil keputusan menghubungi ibu bapanya di Malaysia dan terkejut apabila dimaklumkan suaminya terlibat dalam kes penculikan Nayati dan sedang diburu polis," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, setibanya di tanah air, isteri suspek menghubungi polis memaklumkan insiden yang menimpanya dan membuat laporan di Balai Polis Travers selepas itu.
Sumber berkata, mangsa sudah setahun hidup bersama suspek dan memiliki seorang bayi tetapi mereka hanya pergi berbulan madu baru-baru ini kerana baru sahaja mendaftarkan perkahwinan.
Katanya, selama hidup bersama, wanita itu mendakwa dia langsung tidak mengetahui pekerjaan sebenar suaminya.
Dalam pada itu, kata sumber, seorang daripada enam suspek yang ditangkap polis berhubung kes penculikan Nayati, sempat menghantar kereta Proton Gen-2 yang digunakan menculik mangsa ke bengkel untuk dicat.
Beliau berkata, suspek menghantar kereta berwarna kelabu itu ke sebuah bengkel mengecat kereta di ibu negara untuk ditukar ke warna baru bagi mengelak dikesan polis.
Bagaimanapun, katanya, polis berjaya menemui semula kenderaan tersebut dan merampasnya untuk dijadikan bahan bukti setelah memberkas suspek baru-baru ini.
"Selepas ditahan, polis menyoal siasat suspek yang merupakan pemilik kereta Proton Gen-2 yang digunakan untuk menculik Nayati pada 27 April lalu.
"Suspek memaklumkan sudah menghantar kereta itu ke sebuah bengkel mengecat kereta di ibu negara dan polis membuat pemeriksaan ke situ berjaya menemui kenderaan tersebut," katanya.
Beliau berkata, semasa ditemui, kereta tersebut dalam proses dicat tetapi masih belum sempat ditukar ke warna baru.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah semasa sidang akhbar di Balai Polis Travers di sini hari ini memberitahu, penculik Nayati yang masih menghilangkan diri di Eropah sedang dikesan oleh Interpol.
Beliau berkata, semua kes penculikan yang dilaporkan berlaku di ibu negara sejak kebelakangan ini termasuk Nayati tiada kaitan dengan sindiket.
"Penculik bukanlah satu kumpulan sindiket terancang dan tidak mensasarkan mangsa hanya dalam kalangan golongan ekspatriat," katanya.

'via Blog this'

Dua suspek pecah kedai ditahan

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


MUHD. Sabri Muhamad menunjukkan telefon bimbit yang dirampas selepas menahan dua suspek kes pecah masuk sebuah premis telekomunikasi di Taman Satelit Bahau pada sidang media di IPD Jempol, semalam.
JEMPOL 18 Mei - Polis menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat memecah masuk sebuah premis telekomunikasi di Taman Satelit Bahau dekat sini pada 20 April lalu, mengakibatkan kerugian RM17,920.
Antara barang yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu adalah 200 telefon bimbit, enam komputer riba, enam kamera digital, 100 kotak rokok pelbagai jenama, 100 keping kad prabayar serta wang tunai sebanyak RM1,000.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Muhd. Sabri Muhamad berkata, kedua-dua suspek berusia 24 tahun yang ditahan secara berasingan itu adalah ekoran aduan mangsa yang mendakwa premisnya dipecah masuk.
"Suspek pertama ditahan di Bandar Seri Jempol pada 15 Mei selepas pihak kami berjaya mengenal pastinya daripada kesan cap jari di lokasi kejadian.
"Hasil siasatan lanjut membantu kami untuk menahan seorang lagi rakannya di Gemencheh awal pagi ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di sini hari ini.
Katanya, hasil penahanan suspek kedua, polis menemui 89 telefon bimbit yang disorokkan di belakang rumahnya.
Tambah Muhd. Sabri, siasatan mendapati jenayah itu dilakukan oleh dua suspek tersebut bersama dua lagi rakannya dengan memotong jeriji besi pada kedai terbabit menggunakan alat pemotong gas.
"Pihak kami memburu dua lagi suspek yang masih bebas dan kita minta orang ramai sekitar daerah ini yang didatangi individu untuk menjual barang telekomunikasi pada harga murah agar tampil untuk melaporkannya.
"Kita khuatir barangan terbabit merupakan barang curi serta mempunyai kaitan dengan kes itu," jelasnya.

'via Blog this'

Gagal kutip hutang: Ah long bakar rumah

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KUALA LUMPUR 19 Mei - Disebabkan gagal mengutip hutang, sekumpulan lelaki dipercayai samseng suruhan ah long sanggup mengabaikan keselamatan beratus penghuni yang tinggal sebuah kondominium di Taman Maluri, Cheras di sini, apabila bertindak membakar satu unit rumah di situ awal pagi ini.
Tindakan ganas itu dipercayai dilakukan kerana mereka berang setelah mendapati pemilik rumah yang berhutang dengan majikan mereka itu sudah melarikan diri.
Namun, mujurlah kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 4.50 pagi itu disedari seorang jiran mangsa dan tindakan pantasnya memadam api berjaya mengelak ia daripada merebak ke unit lain.
Seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu, kehadiran sekumpulan empat lelaki itu disedari oleh seorang jiran yang tinggal bersebelahan dengan rumah mangsa yang kebetulan baru pulang ke rumah.
"Semasa melewati rumah mangsa, dia melihat tiga hingga empat lelaki sedang sibuk mengacau cat dan menampal poster gambar jiran yang didakwa berhutang dengan ah long di luar rumah tersebut.
"Bagaimanapun, dia tidak mempedulikan mereka kerana enggan mencampuri urusan jiran tetangga dan terus masuk ke dalam rumah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Menurutnya, tidak lama kemudian, dia terhidu bau asap dan terkejut melihat api sedang marak membakar jeriji dan tempat letak kasut di luar rumah jirannya.
Katanya, dia segera mengejutkan jiran-jiran lain untuk sama-sama memadam api dan menghubungi bomba.
Selain membakar rumah mangsa, samseng ah long terbabit turut menyimbah cat merah ke rumah jirannya itu.
"Mereka turut menampal poster gambar seorang anak lelaki jirannya berusia 23 tahun dengan tulisan 'Penipu Besar! Hutang Wang Tak Bayar!!!'," katanya.
Menurutnya, unit kondominium yang dibakar itu dihuni oleh seorang wanita bersama dua anak lelakinya setelah bercerai dengan suaminya sejak 10 tahun lalu.
Katanya, anak lelaki mangsa yang berhutang dengan ah long pula mempunyai butik menjual pakaian di sebuah pusat beli-belah terkenal di Bukit Bintang.
Tambahnya, tiga beranak itu bagaimanapun sudah berpindah ke tempat lain sejak tiga hari lalu, dengan memberi alasan mahu mengubah suai kondominium yang diduduki sekarang.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat ketika dihubungi memberitahu, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 4.56 pagi tetapi punca sebenar kejadian sama ada mempunyai unsur khianat sedang disiasat.
Difahamkan, perbuatan samseng ah long tersebut berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di kondominium berkenaan dan sudah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

'via Blog this'

Dua didakwa cuba bunuh, bakar rumah

Utusan Malaysia Online - Mahkamah: "Dua didakwa cuba bunuh, bakar rumah

BUTTERWORTH 18 Mei - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang warga emas dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan bagi tujuan pemerhatian selama sebulan selepas didakwa cuba membunuh menantunya dan melakukan khianat dengan membakar rumah mangsa.

Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajuddin menetapkan demikian selepas peguam Moke Yee Yow yang mewakili tertuduh, Lee Wai Mei, 63, mendakwa anak guamnya itu berada dalam keadaan tidak siuman ketika melakukan perbuatan tersebut ke atas Yeoh Kar Tin, 42, pada pukul 4 petang, 8 Mei lalu.

Wai Mei bersama adiknya, Lee Wai Chee, 60, didakwa cuba membunuh dengan cara menikam Kar Tin di rumah bernombor S-527, Blok S, Jalan Jenahak, Taman Tun Hussein, Seberang Perai Tengah di sini.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan."

'via Blog this'

Seorang maut, 6 cedera bom meletup dekat sekolah

Utusan Malaysia Online - Luar Negara: "Seorang maut, 6 cedera bom meletup dekat sekolah

ROME 19 Mei - Seorang maut manakala enam lagi cedera apabila sebutir bom meletup dekat sebuah sekolah di Brindisi, di selatan Itali hari ini, kata pegawai perlindungan awam.

Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun disahkan terbunuh dalam letupan tersebut manakala seorang lagi dilapor dalam keadaan kritikal dan masih dirawat.

Enam yang lain mengalami kecederaan ringan, kata Menteri Dalam Negeri, Anna Maria Cancellieri dalam temu bual dengan SkyTG24. - REUTERS"

'via Blog this'

7 maut, 100 cedera letupan di Syria

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


GAMBAR dikeluarkan agensi berita SANA menunjukkan anggota bomba memadamkan sebuah trak yang terbakar di lokasi letupan di Deir Ezzor, Syria, semalam. - AFP
DAMSYIK 19 Mei - Satu letupan kereta menggegarkan luar ibu pejabat keselamatan Syria di bandar Deir Ezzor hari ini, menyebabkan tujuh orang terbunuh dan 100 lagi cedera.
Televisyen kerajaan melaporkan, serangan berani mati yang turut menyebabkan banyak kerosakan itu berlaku di kejiranan Ghazi Ayyash di bandar Deir Ezzor dan mendakwa ia dilancarkan oleh 'pengebom berani mati pengganas'.
Jurucakap Kementerian Luar, Jihad Makdisi berkata, tujuh orang maut dan 100 cedera dalam letupan yang melibatkan 500 kilogram bahan letupan itu.
Setakat ini belum ada yang mengaku bertanggungjawab, tetapi pembangkang menuduh rejim Presiden Bashar al-Assad yang melakukannya.
Sementara itu, tentera rejim semalam melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang berhimpun di jalan-jalan raya di Aleppo, menyebabkan beberapa orang yang menyertai tunjuk perasaan terbesar di bandar itu sejak tercetusnya revolusi tahun lalu, cedera.
Menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, penunjuk perasaan di Douma, pusat bantahan berhampiran Damsyik, turut mengalami kecederaan akibat terkena tembakan tetapi jumlah korban tidak dinyatakan.
"Beribu-ribu orang menyertai tunjuk perasaan di beberapa daerah di Aleppo semalam, walaupun berdepan dengan tindakan kejam daripada tentera rejim," kata ketua pertubuhan pemantau itu, Rami Abdel Rahman.
Selain bandar Aleppo, tunjuk perasaan yang menuntut penggulingan Assad itu turut diadakan di Damsyik, bandar Deir Ezzor, timur laut Hasaka, Homs dan Idlib, menurut pertubuhan pemantau yang beribu pejabat di London itu.
"Kami mahukan kebebasan, tidak kira anda suka atau tidak, Assad musuh kemanusiaan," jerit penunjuk perasaan di Deir Ezzor.
Menurut pertubuhan itu, sekurang-kurangnya 11 orang turut terkorban dalam keganasan di seluruh Syria, semalam. - AFP

'via Blog this'

20 maut letupan dalam terowong lebuh raya

Utusan Malaysia Online - Luar Negara: "20 maut letupan dalam terowong lebuh raya

BEIJING 20 Mei - Sekurang-kurangnya 20 terkorban semalam dalam satu letupan di dalam terowong sebuah lebuh raya yang masih dalam pembinaan di wilayah Hunan, tengah China, lapor media tempatan.

Menurut pihak berkuasa, letupan itu berlaku di bandar raya Zhuzhou apabila sebuah kenderaan, yang membawa bahan letupan, menurunkan barangan tersebut di dalam terowong berkenaan.

Menurut laporan, empat pekerja telah dikeluarkan daripada terowong termasuk seorang berada dalam keadaan kritikal. - AFP"

'via Blog this'

Banjir kilat landa Afghanistan, 19 terbunuh

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


KABUL 21 Mei - Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan beribu-ribu lagi kehilangan tempat tinggal selepas banjir kilat melanda utara Afghanistan kelmarin.
Gabenor wilayah Sari Pul, Abdul Jabar Haqbeen berkata, seramai 56 penduduk turut dilaporkan hilang dalam kejadian banjir yang melanda daerah Share Naw dan Sayyad.
"Kira-kira 6,000 penduduk yang berlindung di masjid dan sekolah telah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat," katanya. - AFP

'via Blog this'

Pusat karaoke degil diserbu kali kedua

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


Anggota polis memeriksa sebahagian GRO warga Thailand dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Kota Kubang Labu, Tumpat, semalam.
TUMPAT 20 Mei - Meskipun baru seminggu diserbu pihak berkuasa, sebuah pusat karaoke di Kota Kubang Labu di sini yang berselindung di sebalik nama restoran masih beroperasi secara haram, malah kali ini pemiliknya turut menyediakan lebih ramai gadis pelayan pelanggan (GRO) dari Thailand untuk menarik pelanggan.
Dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan kira-kira pukul 1 pagi ini, tujuh GRO ditahan ketika leka melayan 20 pelanggan di pusat karaoke itu.
Sebelum ini, dalam operasi di premis rumah kedai dua tingkat itu pada 11 Mei lalu, tiga GRO yang berasal dari negara jiran ditahan.

'via Blog this'

G8 beri amaran kepada Iran, Syria

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


CAMP DAVID, Maryland 20 Mei - Pemimpin Kumpulan G8, semalam memberi mesej jelas kepada Iran bahawa sekatan keras terhadap bahan tenaga akan dilaksanakan ke atas republik Islam itu.
Kumpulan negara kaya itu juga meminta Syria melakukan 'perubahan politik' dan menamatkan keganasan di negara itu, yang kini sudah meragut 12,000 nyawa.
Ia berkata, perubahan politik itu perlu bagi membawa kepada pembentukan sistem politik demokratik
Pada masa sama, Kumpulan G8 turut berikrar bagi memastikan bekalan minyak dunia mencukupi untuk menghalang kenaikan harga minyak mentah.
Tindakan itu memberi tekanan kepada Iran sebelum rundingan nuklear pusingan seterusnya diadakan dengan kuasa-kuasa besar dunia di Baghdad pada Rabu ini dan sekatan minyak oleh Kesatuan Eropah (EU) pada 1 Julai ini.
Pemimpin Kumpulan G8 turut menegaskan bahawa Teheran perlu menggunakan peluang itu untuk membuktikan program nuklearnya bukan untuk membina senjata nuklear.
Kumpulan negara kaya itu dalam satu kenyataan berkata, mereka akan memantau rapat bekalan minyak dan meminta Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengambil tindakan jika diperlukan.
Bagaimanapun, kuasa besar dunia itu tidak menyebut dengan jelas sama ada mereka akan menggunakan sumber minyak strategik, tindakan yang dilihat oleh beberapa penganalisis boleh dilakukan.
Sebelum ini timbul kebimbangan kekurangan bekalan minyak dari Iran akan meningkatkan harga bahan bakar itu di pasaran, mengancam pembangunan ekonomi, selain memburukkan lagi ketidakstabilan ekonomi di Greece dan Sepanyol dan meningkatkan harga minyak di Amerika Syarikat (AS).
Pemimpin G8 mengakui berlaku gangguan bekalan minyak sejak beberapa bulan lalu yang memberi risiko kepada pembangunan ekonomi tetapi menyatakan pengeluar minyak telah menambah pengeluaran mereka. - AFP

'via Blog this'

Polis Itali siasat dua suspek pengeboman

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:
Gambar Melissa Bassi, gadis berusia 16 tahun yang terbunuh dalam kejadian letupan di Brindis, Itali, kelmarin. - AFP
ROM 20 Mei - Polis Itali hari ini menyoal siasat dua suspek yang disyaki terlibat dalam insiden pengeboman di sebuah sekolah vokasional di bandar Brindisi yang mengorbankan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun awal pagi semalam.
Menurut laman web berita tempatan Brindisireport, identiti suspek dikenal pasti berdasarkan rakaman kamera keselamatan yang diambil berhampiran tempat kejadian.
Katanya, seorang daripada suspek merupakan bekas tentera yang mempunyai pengetahuan mengenai elektronik dan merupakan kenalan rapat kepada seorang penjual gas kegunaan rumah.
Dalam pada itu, beribu-ribu golongan belia memenuhi jalan di bandar-bandar utama Itali, semalam mengadakan tunjuk perasaan membantah keganasan yang berlaku, sambil mengaitkan insiden tersebut dengan krisis ekonomi di negara ini.
Peserta demonstrasi juga menyifatkan insiden tersebut sama seperti kejadian pada 1970 dan 1980-an yang dilakukan kumpulan anggota militan berhaluan kanan.
Bagaimanapun, tiada sesiapa tampil untuk membuat dakwaan atas insiden tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri Itali, Mario Monti yang menyertai sidang kemuncak Kumpulan Lapan Negara (G8) di Amerika Syarikat menyifatkan serangan tersebut sebagai perbuatan tragik dan jenayah.

'via Blog this'

Polis Pulau Pinang tahan 21 orang di 4 premis judi haram

Polis Pulau Pinang tahan 21 orang di 4 premis judi haram - Semasa - Sinar Harian:
GEORGE TOWN - Polis menahan 21 lelaki dalam serbuan serentak di empat premis yang menjalankan kegiatan judi berkomputer tanpa lesen di Jalan Sungai Emas, Batu Ferringhi dekat sini, hari ini.

Jurucakap polis berkata polis turut menyita 65 unit komputer yang diubah suai bernilai hampir RM130,000 dan merampas wang tunai berjumlah RM1,556.

Beliau berkata kesemua premis terbabit telah beberapa kali diserbu dalam tempoh empat bulan tahun ini, namun masih berdegil menjalankan kegiatan tersebut.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada empat penjaga premis dan 17 pemain judi berumur antara 24 dan 50 tahun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan hanya membenarkan pelanggan yang dikenali berjudi di situ.

'Ops Dadu' yang berakhir pada pukul 3 pagi itu melibatkan 23 anggota dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan ada tangkapan dibuat berhubung kes tersebut.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan denda RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pemain judi pula akan didakwa mengikut Seksyen 7 (2) akta yang sama dan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.- Bernama
'via Blog this'

Pati berputih mata, wang dipaksa buang ke laut

Pati berputih mata, wang dipaksa buang ke laut - Semasa - Sinar Harian:
JOHOR BAHRU - Bukan sahaja ditahan, tujuh pendatang tanpa izin Indonesia terpaksa berputih mata apabila dipaksa membuang beg pakaian yang turut berisi wang ke laut semata-mata untuk mengelak daripada ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili Kapten (M) Rozali Mohd Said berkata warga asing tersebut iaitu seorang lelaki dan enam perempuan berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun terpaksa berbuat demikian setelah diarah oleh tekong bot mereka.

"Dalam operasi yang dijalankan di perairan Teluk Ramunia, Pengerang Kota Tinggi kira-kira pukul 4 pagi semalam, bot APMM bersama lima anggota yang sedang meronda di perairan itu telah mengesan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan bergelap dan mencurigakan. 

"Apabila dihampiri, bot terbabit terus memecut laju dan tidak lama kemudian beberapa beg dilihat dibuang ke laut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya apabila gagal menghalang bot APMM menghampiri mereka, tekong dan pembantu bot nekad terjun ke laut untuk melepaskan diri. 

Beliau berkata anggota penguat kuasa kemudian terpaksa melompat ke atas bot itu untuk memberhentikannya sebelum menahan kesemua warga asing berkenaan. 

"Semua yang ditahan kemudiannya dibawa ke pejabat Daerah Maritim 7, Tg Sedili disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang pindaan 2010," katanya. -- Bernama
'via Blog this'

Seorang mati, rakan parah diserang sekumpulan lelaki -

Seorang mati, rakan parah diserang sekumpulan lelaki - Semasa - Sinar Harian: "
Mayat lelaki mati di dalam longkang
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki mati dalam keadaan berlumuran darah, manakala rakannya parah apabila mereka diserang sekumpulan lelaki di padang permainan di Jalan Mata Ayer, Setapak, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisoner Zakaria Pagan berkata, mereka dipercayai terlibat dalam pergaduhan pada jam 9 malam.

Menurutnya, S Prabakaran, 27, dipercayai lari sejauh 200 meter sebelum jatuh dan ditemui mati di dalam longkang.

Beliau berkata, rakan mangsa, S Visvanathan, 28, yang cedera di belakang dan kepala, sempat lari dan meminta bantuan daripada orang ramai.

“Mayat Prabakaran dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya."

'via Blog this'

Wanita warga emas maut dihempap pintu jeriji besi

Wanita warga emas maut dihempap pintu jeriji besi - Semasa - Sinar Harian:
SABAK BERNAM - Seorang wanita warga emas maut dihempap jeriji besi pintu rumah yang tumbang setelah dilanggar kereta yang dipandu cucu lelakinya dalam kejadian di Taman Ria, Sekinchan di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Noor Mushar Mohamad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, cucu kepada warga emas berusia 80 tahun itu mahu memulakan perjalanannya ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta jenis Proton Persona miliknya.

"Cucu mangsa tidak menyedari gear keretanya berada dalam keadaan mengundur dan menekan minyak menyebabkan ia melanggar pintu jeriji besi rumah berkenaan sebelum ia tumbang menghempap warga emas terbabit.

"Warga emas malang itu mengalami kecederaan termasuk patah kaki dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang dekat sini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian kereta berkenaan diletakkan dalam keadaan bahagian belakang menghadap ke arah rumah keluarga mangsa dan ketika kejadian beberapa anggota keluarga termasuk suami dan anak perempuan mangsa berada di dalam rumah berkenaan.

Noor Mushar berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai. -- Bernama
'via Blog this'

Protes gesa 7 perogol ditahan

Protes gesa 7 perogol ditahan - Global - Sinar Harian: "SANAA - Ratusan penunjuk perasaan berarak dari Kementerian Keadilan menuju ke ibu pejabat Peguam Negara di Sanaa, kelmarin kerana menuntut pihak berkuasa menahan tujuh lelaki yang dipercayai merogol seorang remaja berumur 13 tahun.

Menurut ketua organisasi perlindungan kanak-kanak, Ahmed al-Qirshi berkata, remaja malang itu diperkosa dengan kejam pada 9 Mei lalu selepas dia diculik semasa dalam perjalanan ke kedai roti.

“Kesemua suspek tidak berperikemanusiaan tersebut turut menoreh muka mangsa tanpa belas kasihan,” katanya."

'via Blog this'

9 korban bom kereta

myMetro | 9 korban bom kereta: "DAMSYIK: Sembilan orang terbunuh apabila sebuah bom kereta meletup di sebuah pos tentera Syria di Deir al-Zor, timur negara itu, semalam.

Kerajaan Syria menyifatkan kejadian itu sebagai satu lagi bukti bahawa tindakan menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad dirancang negara luar. Agensi berita rasmi Syria, SANA melaporkan, letupan semalam yang dilakukan oleh seorang pengebom berani mati turut mencederakan kira-kira 100 orang, termasuk pengawal.


Aktivis pembangkang berkata, sasaran serangan itu ialah pangkalan perisikan tentera. Televisyen Syria melaporkan serangan itu adalah sebahagian daripada kempen yang dibiayai oleh Arab Saudi dan Qatar. - AFP"

'via Blog this'

Lelaki ditetak mati dalam longkang

myMetro | Lelaki ditetak mati dalam longkang: "KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui mati dalam longkang dengan lengan kanannya putus manakala rakannya parah selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di Jalan Mata Ayer 1, Setapak di sini, malam kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, S Prabakaran, 27, yang diserang dan ditetak di tangan berlari sejauh kira-kira 200 meter untuk meminta bantuan sebelum rebah dan mayatnya ditemui dalam longkang oleh orang ramai.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, rakan mangsa, S Visvanathan, 28, yang cedera parah di kepala dan badan berjaya menyelamatkan diri dengan mendapatkan bantuan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan."

'via Blog this'

Mayat reput celah batu

myMetro | Mayat reput celah batu: "CAMERON HIGHLANDS: Mayat seorang lelaki yang sudah reput ditemui di celah batu di Sungai Tringkat, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mayat mangsa yang tidak mempunyai sebarang pengenalan diri itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di sini, untuk dibedah siasat.


Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, sepasukan anggota polis bersama Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bergegas ke tempat kejadian mengesahkan penemuan mayat terbabit.

Menurutnya, sepasukan anggota polis terpaksa mengambil masa beberapa minit mengeluarkan mayat berkenaan yang tersepit di celah batu manakala kepalanya ditemui terbenam dalam air."

'via Blog this'

2 penonton maut dirempuh kereta lumba

myMetro | 2 penonton maut dirempuh kereta lumba: "TOULON: Dua orang terbunuh semalam selepas sebuah kereta rali merempuh sekumpulan penonton di selatan Perancis.

Seramai 17 orang dipercayai cedera, termasuk kanak-kanak, dalam kejadian ketika berlangsungnya pertandingan rali Plan- de-la-Tour berhampiran Toulon, bandar pantai Mediterranean.


Pemandu kereta berkenaan dipercayai melakukan kesilapan di kawasan persimpangan di mana kereta sepatutnya berpusing ke kanan. Pemandu itu sebaliknya memandu lurus lalu merempuh penonton.

Seorang mangsa ialah marsyal pertandingan.


Seorang saksi berkata: “Kereta itu merempuh penonton di barisan pertama sebelum melanggar yang lain.


Kira-kira 50 anggota pasukan penyelamat di kerah ke tempat kejadian untuk membantu mangsa. - Agensi"

'via Blog this'

Hari bahagia tertangguh

myMetro | Hari bahagia tertangguh:

SUNGAI MANIK: Persiapan untuk menjadi ‘raja sehari’ sudah lengkap termasuk wang hantaran RM8,000, namun hari bahagia sepatutnya dilangsungkan Ahad depan, terpaksa ditunda ke tarikh belum pasti apabila bakal pengantin perempuan terlantar koma di hospital sejak hampir seminggu lalu akibat kemalangan jalan raya.
Zunaidi Mohamad, 36, kini tidak putus-putus berdoa agar tunangnya Siti Rozita Saidin, 26, dari Alor Bakong, Kuala Sungai Manik, di sini, pulih sepenuhnya akibat kecederaan kemalangan jalan raya di Simpang Tiga Kampung Bahagia, di sini, 16 Mei lalu.

Siti Rozita yang masih tidak sedarkan diri, parah di kepala, kaki dan beberapa anggota badan lain selepas motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta.
Ketika ini, Siti Rozita masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan berada dalam keadaan kritikal.

Zunaidi yang bekerja kilang berkata, dia pasrah dengan apa yang berlaku dan berharap bakal isterinya pulih secepat mungkin.

Menurutnya, dia sudah menyiapkan semua kelengkapan perkahwinan, termasuk persiapan kenduri di rumah keluarganya di Felda Melati, Jengka 11, Pahang, yang dijadualkan 3 Jun depan.
“Bagaimanapun, majlis sambut menantu di rumah keluarga saya dan majlis akad nikah yang dijadual Ahad depan di rumahnya, terpaksa ditunda ke tarikh lain,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dia menerima berita kejadian itu petang hari kejadian, daripada bapa tunangnya, Saidin Othman, 70, dan melawat tunangnya di hospital sejak dua hari lalu, namun keadaan tunangnya masih tidak berubah.
“Ahli keluarga saya akan berbincang dengan pihak keluarga tunang dalam masa terdekat bagi menetapkan tarikh baru sebaik Siti Rozita sembuh,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara Siti Rozita, Hakim @ Hasim Mohamad, 64, berkata pihaknya juga sudah menyiapkan segala persiapan majlis perkahwinan berkenaan termasuk sudah mengedarkan kad jemputan perkahwinan kepada saudara-mara dan penduduk kampung.

“Bagi keluarga pengantin perempuan, saya memohon maaf kepada saudara-mara dan penduduk kampung di atas penangguhan majlis perkahwinan itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, kini tahap kesihatan Siti Rozita masih membimbangkan, malah hospital memantau kecederaan teruk dialami anak saudaranya itu.

'via Blog this'

Kecoh penyamun menyamar mangsa

myMetro | Kecoh penyamun menyamar mangsa:

SERDANG: Lima perompak yang menghantar rakan mereka ke Hospital Serdang, di sini, yang parah selepas bergelut dengan mangsa ketika cuba menyamun sebuah kafe siber pagi kelmarin, kelam-kabut melarikan diri apabila terserempak mangsa jenayah mereka yang pergi ke hospital sama untuk mendapat rawatan.
Sebaik mangsa, Saifullah Mishaldulmun, 21, yang cedera di kepala menjerit memaklumkan kepada petugas hospital bahawa individu yang dirawat di unit kecemasan itu penjenayah yang mencederakannya, kelima-lima perompak terbabit bergegas melarikan diri meninggalkan rakan mereka.
Dalam kejadian pada jam 5 pagi itu, enam lelaki datang ke hospital itu merayu supaya seorang daripada mereka diberi rawatan kecemasan kerana cedera serius selain kehilangan banyak darah.

Petugas yang mahu dikenali sebagai Mohd Akmal, 30, berkata, kumpulan lelaki itu memaklumkan rakan mereka cedera akibat diserang penjenayah ketika berada dalam sebuah kafe siber di Seri Kembangan, di sini.

Menurutnya, doktor memberi rawatan kecemasan kepada lelaki terbabit dalam bilik rawatan manakala lima rakannya menunggu di luar bilik berkenaan.

'via Blog this'

Ahli Parlimen ditahan kerana ambil syabu

myMetro | Ahli Parlimen ditahan kerana ambil syabu: "MEDAN: Ahli Parlimen dari Majlis Labuhan Batu di Utara Sumatera, ditahan kerana mengambil kristal methamphetamine atau syabu di asrama di Jalan HM Jhoni di Medan.

Ahli Politik itu dari Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura), Hidayat Hasibuan, ditahan bersama rakannya, seorang ahli perniagaan, Hermayadi Basuki Siagian.
Ketua Divisyen Antinarkotik Sumatera Utara, Ketua Polis Kanan Andjar Dewanto berkata, polis menerima maklumat dari orang ramai mengenai asrama Labuhan Batu yang dijadikan markas penagih dadah.

“Kami mula memantau dan menyiasat,” katanya. - Jakarta Post"

'via Blog this'

Isteri balun suami

myMetro | Isteri balun suami:
CEDERA...mangsa mengalami keretakan pada tempurung kepala selepas isteri menghentak menggunakan botol.
CEDERA...mangsa mengalami keretakan pada tempurung kepala selepas isteri menghentak menggunakan botol.

KUCHING: Hanya kerana mempersoalkan cara isteri menguruskan wang perbelanjaan harian, seorang suami menerima nasib malang apabila kepalanya dihentak dengan botol oleh wanita itu yang berang, menyebabkan tempurung kepala mangsa retak dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Matang, di sini, kelmarin.
Sebelum kejadian pada jam 11 malam, mangsa yang berusia 32 tahun dikatakan berbual dengan isterinya yang berusia 20-an di rumah, sebelum timbul isu wang perbelanjaan harian mereka, menyebabkan wanita itu mula naik angin.
Menurut sumber, berasakan suaminya tidak mempercayainya lagi, wanita itu tiba-tiba berang dan bergegas ke dapur sebelum keluar semula ke ruang tamu sambil memegang botol.

“Tanpa diduga, dia menghentak belakang kepala suaminya dengan botol itu menyebabkan tempurung kepala mangsa retak serta darah banyak keluar.

“Bukan itu saja, isteri muda itu dikatakan hanya melihat suaminya meraung, sebelum seorang jiran yang menyedari jeritan itu datang ke rumah mangsa bagi memberikan bantuan,” katanya.

'via Blog this'

Padah ponteng sekolah, pelajar Tingkatan Empat kena rogol

Berita Harian Online | Padah ponteng sekolah, pelajar Tingkatan Empat kena rogol:
KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Kemaman yang mengikut rakannya ponteng sekolah membawa padah, apabila menjadi mangsa rogol selepas dipukau seorang lelaki.

Sumber berkata, mangsa berusia 16 tahun dikatakan tidak sedarkan diri selepas bertentang mata dengan seorang lelaki yang juga kenalan rakannya itu, sebelum mendapati dirinya dalam keadaan tidak berpakaian dan kesakitan di rumah sewa lelaki berkenaan di Kampung Kijal, Rabu minggu lalu.



Katanya, mangsa pada mulanya memasuki kawasan sekolah seperti biasa pada jam 7.45 pagi, sebelum seorang rakan sebaya mengajaknya ke sebuah kedai barangan runcit berdekatan kawasan sekolahnya itu.
Sumber berkata, suspek yang juga rakan kepada teman lelaki rakan mangsa kemudian datang dan menyuruh mangsa merenung matanya dan tidak lama kemudian mangsa mendakwa seperti dipukau dan mengikut arahan suspek.
“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa mengikut rakannya bertemu teman lelakinya yang datang ke kedai berkenaan menaiki sebuah kereta PERODUA MyVi. 

“Mangsa kemudian diajak bersiar-siar dan menaiki kenderaan itu bersama rakannya dan pada masa sama ada seorang lagi lelaki dalam kenderaan berkenaan.

“Mereka berempat kemudian menaiki kenderaan berkenaan dan bersiar-siar sebelum mangsa dan rakannya dibawa ke sebuah rumah sewa di kawasan Kijal kira-kira jam 10 pagi. 

“Sebaik memasuki rumah itu, mangsa disuruh menonton televisyen, manakala rakannya bersama teman lelaki sudah tiada di ruang tamu rumah itu,” katanya. 
Sumber berkata, suspek yang juga rakan kepada teman lelaki rakan mangsa kemudian datang dan menyuruh mangsa merenung matanya dan tidak lama kemudian mangsa mendakwa seperti dipukau dan mengikut arahan suspek.

Katanya, apabila mangsa sedar setengah jam kemudian, dia mendapati tidak berpakaian serta mengalami kesakitan di kemaluan.

Katanya mangsa yang terkejut bertanyakan suspek yang kemudian mengaku sudah memperkosa mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Abdul Marlik Hakim Johar, yang mengesahkan kejadian berkata mangsa yang trauma dengan keadaan itu membuat laporan di Balai Polis Kijal pada jam 11 pagi hari sama.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan polis kini menjalankan operasi memburu suspek.
'via Blog this'

GRO Siam banjiri Serambi Mekah

Kosmo! Online - Negara:



SEBAHAGIAN GRO Siam dari Thailand yang ditahan dalam serbuan di sebuah karaoke di Kota Kubang Labu, Tumpat semalam.


TUMPAT – Kebanjiran gadis Thailand untuk menjadi pegawai perhubungan pelanggan (GRO) di restoran atau pusat hiburan kecil-kecilan di negeri yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah tidak pernah reda.
Restoran atau pusat hiburan yang berasaskan lampu malap yang banyak tumbuh di kawasan bersempadan dengan Thailand akan menyediakan GRO untuk menarik pelanggan.
Kehadiran GRO di restoran-restoran tersebut didakwa mampu menarik pelanggan terutamanya pelanggan lelaki dan secara tidak langsung memberi keuntungan lumayan kepada pengusaha restoran atau restoran ala-ala pusat karaoke.
Justeru itu, tidak ada yang pelik apabila restoran ala pusat karaoke yang menyediakan GRO diserbu pihak berkuasa berulang kali mampu mengoperasikan semula restoran tersebut dalam tempoh yang singkat.
Ini disebabkan pemilik premis tersebut kebiasaannya bebas daripada tindakan undang-undang kerana pihak berkuasa kekurangan bukti bagi membuktikan mereka menggaji GRO.
Bagi GRO itu pula mereka akan kembali bekerja di premis sama tidak sampai sebulan selepas ditahan kerana mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

'via Blog this'

Remaja insaf mahu kembali ke sekolah

Kosmo! Online - Negara:



TIANG XIANG (dua dari kiri) meminta maaf kepada Chee Sin sambil diperhatikan Yoke Sim (kanan) dan Liew di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – “Saya sudah insaf, berilah saya peluang untuk kembali ke sekolah.”
Begitulah luahan seorang remaja berumur 13 tahun yang sering ponteng sehingga dia dibuang sekolah pada awal tahun ini.
Pelajar tersebut, Yen Tiang Xiang, sebelum ini belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) On Pong 2 di sini tetapi tidak memiliki sijil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana tidak mengambil peperiksaan tersebut.
Bagaimanapun, dia mahu diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam tingkatan peralihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Mewah di sini walaupun tidak mempunyai sijil berkenaan.
“Saya tahu saya telah melakukan kesilapan kerana merokok, minum arak dan ketagih bermain permainan video.
“Tapi kini saya sudah insaf, saya mahu kembali ke sekolah dan sambung belajar. Berilah saya peluang untuk mengubah diri,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Gerakan Bahagian Pandan di sini baru-baru ini.
Tai Xiang yang tinggal di Flat Pandan Mewah di sini turut ditemani datuk, Yen Chee Sin dan neneknya, Chan Yoke Sim pada sidang akhbar tersebut.

'via Blog this'

Gajah liar rosakkan kebun ditangkap

Kosmo! Online - Negara:



ANGGOTA PKGK berjaya menangkap seekor gajah liar berusia 12 tahun di Kampung Jalong, Sungai Siput semalam.


SUNGAI SIPUT - Seekor gajah betina berusia 12 tahun, dipercayai salah seekor daripada sekawan gajah yang sering merosakkan tanaman penduduk Kampung Jelong dekat sini sejak akhir-akhir ini, berjaya ditangkap sepasukan anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) semalam.
Ketua Unit Gajah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Nasharudin Othman berkata, gajah liar itu dikesan berkeliaran secara bersendirian di kawasan sebuah ladang kelapa sawit di kampung tersebut.
"Sebelum ini kami menerima aduan penduduk kampung tentang sekumpulan sembilan gajah liar mengganggu ketenteraman penduduk Kampung Jalong sejak dua minggu lalu.
"Ekoran itu, operasi khas dengan keanggotaan 26 kakitangan PKGK dilancarkan sebelum menjumpai gajah berkenaan di ladang kelapa sawit itu pada pukul 1 petang kelmarin," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Nasharudin berkata, dua ekor gajah denak yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang telah digunakan sebagai umpan untuk menarik perhatian gajah betina tersebut.

'via Blog this'

5 polis dari Shah Alam disiasat kes rempuh kediaman Perdana Menteri



Keadaan kereta Proton Satria yang dinaiki lima anggota polis yang remuk selepas merempuh pintu pagar kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya kelmarin.


KUALA LUMPUR - Polis semalam dalam proses merakam keterangan lima anggota polis yang cedera selepas kereta yang mereka naiki merempuh pagar di laluan khas masuk ke kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, keterangan daripada kelima-lima anggota polis berpangkat Konstabel yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam itu akan diambil secara berperingkat.
"Setakat ini (semalam) masih ada seorang anggota polis yang masih menerima rawatan di Hospital Putrajaya akibat patah hidung manakala seorang lagi yang juga dimasukkan ke hospital telah dibenarkan pulang.
"Punca kejadian masih dalam siasatan," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Mati dengan tangan terputus


MAYAT Prabakaran ditemui di dalam longkang di Jalan Mata Ayer 1, Taman Setapak, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditemui mati dengan lengan kanannya hampir putus selepas diserang sekumpulan lelaki di Jalan Mata Ayer 1, Taman Setapak di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, S. Prabakaran, 27, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di lengan kanan dipercayai diserang suspek yang bersenjatakan parang.
Kejadian serangan itu turut mencederakan seorang lagi rakan Prabakaran. Lelaki berusia 28 tahun itu cedera parah di belakang badan dan kepala.
Dia yang belum dikenal pasti dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) oleh orang awam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, siasatan awal mendapati mangsa diserang di kawasan padang permainan yang terletak kira-kira 150 meter dari tempat mayat mangsa ditemui.
"Selepas diserang, mangsa dengan lengan kanannya terkulai melarikan diri tetapi dia kemudian ditemui mati di dalam longkang," kata beliau ketika dihubungi di sini malam kelmarin.