Search This Blog

Sunday, May 20, 2012

Lubang maut ancam nyawa

Lubang maut ancam nyawa - Terengganu - Sinar Harian:

Lubang maut ancam nyawa
Wan Zakaria menunjukkan jalan berlubang di laluan pintasan Jalan Kuala Terengganu - Kuantan yang membahayakan penunggang motosikal.
KIJAL – Gara-gara jalan berlubang, nyawa beberapa pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal yang melalui laluan pintasan Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Kemaman Bitumen Company (KBC), di Teluk Kalong nyaris melayang selepas beberapa kenderaan secara tidak sengaja termasuk ke dalam lubang maut terbabit.

Terdapat tiga lubang di laluan berkenaan yang salah satu daripada lubang terbabit agak besar dengan lebar satu meter dan kedalamannya kira-kira 28 sentimeter yang terletak kira-kira 200 meter dari selekoh tajam di laluan berkenaan.

Malah, pagi semalam seorang penyelia di Perwaja Steel Sdn Bhd tercampak ke atas jalan bersama motosikal yang ditungganginya apabila tidak sempat mengelak lubang terbabit yang dibiarkan tanpa dibaiki sejak beberapa bulan lalu.

Akibatnya, mangsa terpaksa mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Kemaman dan mengalami luka di beberapa bahagian badan.

Rakan mangsa yang turut bekerja sebagai penyelia di Perwaja Steel Sdn Bhd, Che Wan Zakaria Che Wan Sulaiman, 43, berkata, bukan sahaja rakannya malah ramai lagi pengguna jalan raya lain pernah terjatuh dari motosikal mereka kerana tidak nampak atau tidak sempat mengelak lubang terbabit.

“Keadaan lebih bahaya apabila waktu malam, pengguna jalan raya tidak akan nampak lubang sebab laluan ini gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan,” katanya yang sering berulang alik melalui laluan itu untuk ke tempat kerja kerana dia tinggal di Kawasan Perumahan Perwaja, Geliga.

Laluan pintasan berkenaan adalah laluan utama kepada lebih 1,000 pekerja industri di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong termasuk pekerja di Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) untuk berulang alik dari tempat kerja ke rumah selain turut menjadi laluan kepada pengguna jalan raya lain termasuk kenderaan berat yang mahu mengelakkan kesesakan di lampu isyarat Bukit Kuang.

Lebih teruk, laluan itu juga mengalami kesesakan pada waktu puncak ketika pekerja industri pergi dan pulang dari kerja iaitu pada jam 7.30 hingga 8.30 pagi dan jam 5 hingga 6 petang.

Sehubungan itu, Che Wan Zakaria sebagai mewakili pengguna jalan raya yang lain memohon agar lubang terbabit dapat ditampal dengan tar yang berkualiti.

Ini penting supaya jalan berkenanan tidak cepat rosak sebelum berlaku kejadian yang meragut nyawa apatah lagi kewujudan lubang terbabit juga mendatangkan risiko kerosa-kan kepada kenderaan orang ramai.

'via Blog this'

Nelayan rugi bot karam

Nelayan rugi bot karam - Kelantan - Sinar Harian:

Nelayan rugi bot karam
Mat Zuki menunjukkan keadaan bot yang rosak setelah karam kelmarin.
KOTA BHARU- Seorang nelayan kini buntu setelah bot yang dimilikinya karam di Pengkalan Bot Siti Manis, Kedai Buloh, di sini, malah dia kini risau kerana punca pendapatannya hilang.

Nelayan itu, Mat Zuki Mat Husin, 45, bagaimanapun bersyukur kerana terselamat kerana tidak sempat menaiki bot itu untuk menangkap ikan ke Laut China Selatan.

“Kelmarin, kira-kira jam 9 pagi, saya keluar ke Pengkalan Bot Siti Manis dan terkejut setelah mendapati bot yang digunakan setiap hari tenggelam, malah terpaksa ditarik selama dua hari untuk naik semula ke pengkalan.

“Bot ini sudah berusia 30 tahun, terlalu usang dan saya rasa ia karam kerana lantainya bocor,” katanya kepada Sinar Harian, di Pengkalan Bot Siti Manis, Kedai Buloh, di sini.

Lebih menyedihkannya, dia kini hilang punca pendapatan kerana sejak menjadi nelayan hampir 30 tahun lalu, melalui kerja menangkap ikan, dia mampu membesar dan menyekolahkan anak-anak.

“Saya mempunyai tujuh anak, enam daripadanya masih belajar, seorang di Universiti Malaya, seorang di Sekolah Sains Machang, seorang di tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera, dua di SMK Kedai Buloh dan seorang di Sekolah
Kebangsaan Kedai Buloh,” katanya.

Dia mengalami kerugian kira-kira RM20,000 melibatkan bot, peralatan lain seperti pukat tunda dan kelengkapan menangkap ikan.

Mat Zuki berkata, setelah botnya ditarik, dia mendapati badan bot yang diperbuat daripada kayu itu sudah rosak dan tidak boleh dibaiki lagi.

“Saya adalah peserta e-Kasih, miskin tegar dan mengharapkan pihak berkaitan serta sesiapa yang bersimpati membantu saya mendapatkan semula bot.

“Saya buntu untuk mencari pendapatan, hanya mahir menangkap ikan dan saya amat berharap mendapat bot baru dalam masa terdekat,” katanya yang mempunyai isteri, Roslina Mat Yaman, 43, seorang suri rumah.

Katanya, laporan polis dibuat di Balai Polis Badang semalam dan sesiapa yang sudi membantu boleh menghubunginya di talian 013-9129710 (Mat Zuki).

'via Blog this'

2 beranak nyaris rentung

2 beranak nyaris rentung - Perak - Sinar Harian:

2 beranak nyaris rentung
Keadaan rumah Sulaiman yang terbakar dalam kejadian awal pagi semalam.
TAIPING– Pengalaman terperangkap dalam rumah pasti tidak dapat dilupakan oleh dua beranak yang terselamat semasa kejadian kebakaran di Kampung Potong Pinang, di sini, awal pagi semalam.

Menceritakan kembali peristiwa itu, Mohd Rashid Sulaiman, 33, berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam empat pagi dan ketika itu dia tersedar daripada tidur kerana terasa bahang panas.
Menurutnya, dia terkejut apabila melihat sebahagian katilnya terbakar pada ketika itu dan segera mengejutkan anak sulungnya, Minsya Nur Asyura, 9, untuk menyelamatkan diri.
“Saya segera mengambil air untuk cuba memadamkan api. Semasa simbahan pertama, saya lihat api semakin kurang namun televisyen berhampiran meletup secara tiba-tiba semasa simbahan kedua menyebabkan api semakin marak.

“Kami terperangkap dalam rumah ketika itu kerana lupa di mana kunci rumah diletakkan dan bersyukur apabila jiran tetangga datang membantu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, semasa jiran tetangga berjaya memecahkan pintu serta menyelamatkan Minsya Nur Asyura, dia dalam keadaan panik dan masih berusaha mencari kunci rumah.

“Saya tidak sedar pintu rumah telah terbuka ketika itu dan telah hampir pitam akibat terhidu asap tebal,” katanya.

Sementara itu, Minsya Nur Asyura mengakui, peristiwa terperangkap dalam rumah semasa kebakaran tidak akan dapat dilupakan dan merasa sedih kerana semua barang kelengkapan rumah musnah dalam kejadian itu.

Bapa Mohd Rashid, Sulaiman Yahya, 71 memaklumkan, dia bersama isterinya berada di Klebang ketika kejadian kerana membantu seorang ahli keluarga berpindah rumah.

“Saya terkejut selepas menerima panggilan telefon, memaklumkan kejadian, namun bersyukur kerana anak dan cucu selamat. Kami akan menyewa sebuah rumah di hadapan rumah kami yang terbakar untuk sementara waktu,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, panggilan berhubung kejadian diterima pada jam 4.05 pagi dan 18 anggota bemba bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kami tiba di lokasi kejadian­ lima minit kemudian dan rumah separa batu itu telah 90 peratus terbakar.

“Kami mengambil masa sembilan minit untuk mengawal kebakaran. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

'via Blog this'

Hilang tempat berteduh

Hilang tempat berteduh - Johor - Sinar Harian:

Hilang tempat berteduh
Zainon melihat keadaan rumahnya yang terlibat dalam kebakaran Selasa lalu.
KLUANG - Hanya ungkapan syukur sahaja yang mampu dilafazkan satu keluarga di sini apabila semua ahli keluarga terselamat selepas terlibat dalam kebakaran di Kampung Melayu Batu 5, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lapan penghuni kehilangan tempah berteduh sekelip mata selepas rumah yang mereka didiami musnah terbakar yang dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Mangsa, Zainon Said, 48, berkata, kebakaran yang disebabkan litar pintas adalah kerana punca api datang daripada bilik di bahagian atas rumah seterusnya merebak ke bahagian bawah rumah.

“Sewaktu kebakaran berlaku saya baru sahaja pulang dari menghantar anak ke sekolah agama dan sempat menonton televisyen di bahagian bawah rumah bersama anak-anak.

Sedang asyik menonton, saya terhidu bau asap dari bahagian atas rumah dan tanpa berlengah saya pergi melihat dan ternyata api sudah marak di bahagian atas.
“Saya sempat naik ke atas untuk mengambil dokumen penting seperti sijil kelahiran, surat nikah dan sebagainya kerana pada waktu itu fikiran saya hanya terbayangkan dokumen penting sahaja. Selepas itu saya terus membawa tiga anak saya dan ibu saya, Jaliha Ahmad, 75, yang mengalami sakit tua berada dalam bilik keluar dari rumah," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Katanya, bantuan jiran memudahkan ibunya dikeluarkan dengan segera dan dia hanya mampu melihat rumahnya hangus dijilat api dengan tiada sebarang peralatan dapat diselamatkan.

Bagaimanapun, dia bersyukur kepada semuanya selamat tanpa sebarang kecederaan. Kerugian dianggarkan lebih kurang RM200,000 .
“Saya mengucapkan terima kasih dengan pihak yang datang membantu sewaktu kebakaran itu berlaku kerana saya hanya terfikirkan ibu saya sahaja kerana dia tidak boleh bergerak dan perlukan pertolongan untuk menggerakkannya.
“Dalam pada itu, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Johor (Maij) cawangan Kluang di atas sumbangan yang diberikan kepada keluarga saya ini,” katanya.

'via Blog this'

Hampir maut gara-gara terlalu letih

Hampir maut gara-gara terlalu letih - Melaka & NS - Sinar Harian:

Fadhil (kiri) ketika melihat kerosakan pada kenderaannya selepas terbabit kemalangan, pagi kelmarin.
Fadhil (kiri) ketika melihat kerosakan pada kenderaannya selepas terbabit kemalangan, pagi kelmarin.
ALOR GAJAH - Akibat keletihan, seorang pekerja swasta hampir maut selepas kenderaan dipandunya hilang kawa­­-lan ketika melalui satu selekoh di Jalan Masjid Tanah-Alor Gajah, Durian Tunggal, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, kereta jenis Perodua Viva yang dipandu Ahmad Pakru Ruzi Mat Din, 36, dikatakan berada di laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori dari arah Masjid Tanah.

Difahamkan, mangsa yang memandu seorang diri ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pengkalan Balak, keletihan selepas bertugas hampir 12 jam.

Sementara itu, pemandu lori terbabit, Fadhil Mat Jani, 24, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia terkejut sebaik melepasi selekoh apabila kereta mangsa berada di laluannya.

“Ketika itu, saya cuba membunyikan hon tetapi mangsa seolah-olah tidak menyedari, malah masih menuju ke arah lori saya,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, beberapa saat kemudian barulah mangsa sedar dan terus mengelak. Namun, sudah terlambat dan kereta mangsa terus merempuh sebelah kiri lorinya.

“Ketika rempuhan berlaku, saya sempat lihat kereta mangsa berpusing dan terdampar di bahu jalan.

“Walaupun mangsa tersepit di tempat duduk pemandu, namun bersyukur kerana dia masih selamat.

Katanya, mangsa yang cedera di kaki kiri dan dada kemudiannya dibawa ke Hospital Alor Gajah oleh orang awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

'via Blog this'

Berdebar, parang di leher anak

Berdebar, parang di leher anak - Melaka & NS - Sinar Harian:

Berdebar, parang di leher anak
Maziah (dua, kiri) sedang berceritakan sesuatu kepada Ismail (kanan) semasa menziarahi keluarga berkenaan.
KUALA PILAH– Pengalaman menghadapi detik-detik mencemaskan ketika dirompak pada awal bulan lalu masih segar dalam ingatan sebuah keluarga dari Kampung Temeris, di sini.

Mansur Harun, 53, masih terbayang ketika leher anak perempuannya diacu parang di leher salah seorang daripada empat perompak yang memecah masuk rumah mereka, kira-kira pada jam 2 pagi.

“Mereka mengurung kami berempat termasuk ibu dan isteri di dalam bilik tingkat atas rumah serta menyuruh kami diam jika tidak mahu diapa-apakan.

“Ketika itu, saya tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu berdoa supaya mereka tidak melakukan sesuatu terhadap ahli keluarga saya. Saya juga bimbang keadaan ibu kerana dia kurang sihat sewaktu kejadian,” katanya ditemui di rumahnya, kelmarin.

Menurutnya, kaki dan tangannya yang diikat menggunakan tali pinggang menyebabkannya tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu memerhatikan tindakan perompak terbabit mencari barang berharga.

“Kejadian berlaku selama setengah jam. Saat itu amat mencemaskan, hanya tuhan sahaja yang tahu apa yang berada dalam fikiran kami. Saya terus berdoa agar masa berlalu dengan pantas, bimbang diapa-apakan,” katanya.

Katanya, perompak tersebut berjaya menyelinap masuk ke dalam rumah menggunakan pintu bahagian ruang tengah.

“Kedudukan pintu berhampiran tingkap. Mereka mengumpil tingkap sebelum memulas tombol pintu dari arah dalam.

“Banyak barang yang hilang seperti seluar, pakaian dan wang tunai bernilai RM1,000,” katanya.

Mansur berkata, kedudukan rumahnya di atas bukit dan jauh dari jiran tetangga juga berkemungkinan menjadi faktor sasaran kumpulan perompak berkenaan.
“Walau kami jerit sekalipun, jiran-jiran sukar mendengar jeritan kami. Bagaimanapun, saya syukur kepada Ilahi kerana isteri, Maziah Bai, ibu dan anak perempuan saya selamat dan tidak mengalami kecederaan. Wang boleh diganti tetapi nyawa tiada ganti,” katanya.

Untuk rekod, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senaling Datuk Ismail Lasim, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Temeris, Mohd Yunus Abdullah hadir menziarahi keluarga berkenaan serta memberi sumbangan berupa makanan sebagai tanda simpati atas kejadian yang berlaku.

'via Blog this'

Empat ditahan pandu mabuk

Empat ditahan pandu mabuk - Selangor & KL - Sinar Harian:

Empat ditahan pandu mabuk
Azmi (dua, kanan) sedang mengatakan sesuatu kepada salah seorang pemandu yang ditahan bagi pemeriksaan tahap pengaruh alkohol.
PELABUHAN KLANG - Sebanyak 85 saman dikeluarkan termasuk penahanan empat lelaki yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Bersepadu cegah kemalangan, malam kelmarin.

Operasi berkenaan dilaksanakan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di Pesiaran Raja Muda Musa, malam kelmarin.

Bagaimanapun tiga daripadanya dibebaskan selepas ujian tahap pengaruh alkohol dijalankan di lokasi pemeriksaan menerusi alat SD2+ menunjukkan mereka berada di bawah 80 milimeter (mm).

Ketua Operasi merangkap Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Deputi Superintenden Azmi Mansor berkata, salah seorang lelaki yang ditahan terpaksa menjalani tahap pengaruh alkohol kali kedua berikutan tahap pengaruhnya melebihi 80 mm iaitu 209 mm.

“Lelaki berusia 32 tahun itu dibawa ke Balai Trafik Klang Selatan untuk menjalani ujian pengesanan pengaruh alkohol menggunakan alat kesan alkohol (EBA),” katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, kesemua saman yang dikeluarkan ketika operasi dijalankan meliputi pelbagai kesalahan jalan raya.
“Antara kesalahan yang dilakukan pemandu kenderaan tiada cukai jalan, tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan nombor pendaftaran tidak jelas.

“Kita akui kesalahan yang dilakukan itu turut menyumbang kepada kemalangan termasuk sikap kurang kesedaran dan masalah disiplin ketika berada di jalan raya,” katanya kepada Pemberita di lokasi Operasi, di sini.

Beliau berkata, operasi seperti ini akan diteruskan sepanjang masa bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya di Selangor.
Katanya, hingga kini kadar kes kemalangan jalan raya di negeri ini mencatatkan peningkatan 40,000 kes.

“Berikutan itu, kita terpaksa memperhebatkan operasi agar kadar ini dapat dikurangkan. Malah peranan itu bukan hanya dimainkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja malah ia turut melibatkan tanggungjawab masyarakat awam dalam menjaga sikap dan disiplin diri ketika memandu,” katanya.

'via Blog this'

Aktivis China cetus kontroversi tiba di New York

Aktivis China cetus kontroversi tiba di New York - Global - Sinar Harian:

Aktivis China cetus kontroversi tiba di New York
Chen Guangcheng
NEW YORK - Aktivis China, Chen Guangcheng yang dikenakan tahanan rumah sejak beberapa tahun lalu dan mencetuskan krisis diplomatik bulan lalu, tiba di Amerika Syarikat (AS) untuk memulakan kehidupan baru.

Aktivis hak asasi manusia yang cacat penglihatan ini mencetuskan krisis diplomatik apabila melepaskan diri dari tahanan rumah untuk mendapatkan perlindungan di Kedutaan AS di Beijing dan berada di premis itu selama enam hari selepas sehingga satu penyelesaian dicapai oleh kedua-dua kerajaan.

Guangcheng akan mengikuti pengajian di New York University. Selepas satu tempoh selama seminggu yang tidak pasti, isterina Yuan Weijing dan dua anaknya, yang berusia lapan dan enam, diberikan pasport dan dibenarkan terbang ke Newark, New York.

Ketika bercakap kepada pemberita di pekarangan universiti itu, Guangcheng berkata, walaupun selamat tiba di New York beliau masih bimbang tentang keselamatan anggota keluarga lain dan saudara-mara di China.

Pentadbiran AS gembira dengan satu resolusi yang dicapai antara Washington dan Beijing dalam isu terbaru ini. Guangcheng, seorang peguam dengan belajar sendiri, memperjuangkan hak kaum wanita dan mengkritik dasar satu anak China.

'via Blog this'

Status Pengasas Facebook 'sudah kahwin'

Status Pengasas Facebook 'sudah kahwin' - Global - Sinar Harian:

feacebook kahwin
Majlis perkahwinan Mark Zuckerberg dan Priscilla Chan diadakan secara ringkas semalam. - Foto ihsan skynews
PALO ALTO - Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg mengakhiri minggu yang padat dengan urusan pengapungan syarikat laman sosial itu dengan mengumumkan bahawa dia telah mendirikan rumah tangga.
Status terbarunya di laman sosial ialah "sudah berkahwin".
Pengapungan Facebook, yang berusia lapan tahun, meletakkan syarikat itu bernilai lebih RM300 bilion.
Dia mengumumkan perkahwinan dengan teman wanita lamanya, Priscilla Chan, 27, yang dikenali sejak belajar di Harvard, semalam.
Majlis perkahwinan yang dihadiri sekitar 100 orang telah diadakan di rumahnya di Palo Alto, California.
Seperti Zuckerberg, Chan, pelajar perubatan, juga melalui hujung minggu yang padat kerana menghadiri majlis konvokesyen.
Zuckerberg menyambut ulang tahun hari kelahiran ke-28 esok.
Laporan media menyebut tetamu-tetamu dijemput menjangkakan bahawa mereka akan menghadiri majlis sambutan hari graduan Chan, tetapi dikejutkan dengan majlis perkahwinan.
Cincin perkahwinan direka bentuk oleh Zuckerberg, yang mengasaskan Facebook pada 2004.
Pasangan itu kemudian berpindah ke California - lokasi ibu pejabat Facebook ditempatkan manakala Chan pula mengikuti pengajian perubatan di University of California, San Francisco.
Zuckerberg menguasai 56 peratus ekuiti dalam Facebook.

'via Blog this'

Mayat bayi dalam beg

Mayat bayi dalam beg - Semasa - Sinar Harian:

Mayat bayi dalam beg
Penduduk kampung menunjukkan lokasi mayat bayi yang ditemui Khairul.
LABU KUBONG - Niat seorang remaja untuk mencari nenas di sebuah kebun, di sini, terbantut apabila menemui mayat bayi lelaki yang disumbat di dalam sebuah beg.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin, Khairul Azhar Idris, 17, ternampak sebuah beg yang diletakkan di bawah pokok mengkudu berhampiran sebuah rumah kosong di Lorong Tok Lingga, Kampung Sungai Lampam, di sini sebelum bertindak menghampiri beg berkenaan.

Khairul berkata, dia cuba untuk mengangkatnya dan mendapati beg berkenaan agak berat.

“Tanpa membuka beg berkenaan saya terus pulang ke rumah dan memberitahu penemuan barang itu kepada ahli keluarga termasuk abang ipar yang bertugas sebagai anggota polis.

“Mengesyaki sesuatu, kami kembali semula ke tempat tadi untuk memeriksa kandungan beg berkenaan sebelum menemui mayat seorang bayi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Difahamkan, mayat bayi lelaki itu ditemui dalam keadaan sempurna, dibalut dengan kain batik dan dibungkus dalam sebuah plastik sebelum dimasukkan dalam beg tersebut.

Khairul yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdullah berkata, insiden itu agak mengejutkan keluarganya yang tidak menyangka akan menemui mayat bayi di kebun mereka.

Hidu bau busuk

Abang Khairul, Saharudin Abu Bakar, 22, mengakui, ketika membuka beg berkenaan, dia terhidu bau busuk.

Bagaimanapun menurutnya, bagi mengetahui isi kandungan beg berkenaan, dia bersama adik iparnya nekad untuk membuka beg berkenaan dan melihat isi kandungannya.

“Apabila adik ipar membuka zip beg itu, kami berdua mula terhidu bau busuk dan dia terus mengambil bungkusan yang diletakkan dalam beg berkenaan.

“Sebaik sahaja plastik itu dibuka, bau busuk semakin kuat dan kami bertindak membuka kain batik lalu terlihat ada kepala bayi,” katanya.

Bimbang dengan keadaan itu, mereka bertindak menghubungi polis.

Saharudin tidak menyangka semak berhampiran kebun ayahnya itu menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab bagi tujuan membuang bayi.


Mati sejak beberapa hari lalu

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, buat masa ini, siasatan lanjut masih dilakukan, bagaimanapun daripada pemeriksaan awal, besar kemungkinan bayi malang berkenaan mati dalam tempoh tiga hingga empat hari lalu.

“Kita masih belum mendapat pengesahan lanjut daripada hospital dan belum dapat dipastikan sama ada bayi itu mati di dalam kandungan atau setelah dilahirkan, tetapi berdasarkan pemeriksaan tiada kecederaan pada tubuh bayi itu,” katanya.

Kok Liang berkata, laporan polis diterima daripada seorang anggota polis dari Cawangan Forensik, Maktab Cheras, Kuala Lumpur yang kebetulan sedang bercuti di rumah keluarga mertua.

Menurutnya, sebaik menyedari bungkusan berkenaan mengandungi mayat seorang bayi, anggota dikenali Nor Azlan Abu Bakar, 28, segera menghubungi Balai Polis Labu Kubong untuk membuat laporan.

Mayat bayi berkenaan di bawa ke Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan diminta untuk menyalurkan maklumat kepada Inspektor Yusmaniza Yusoff di talian 013-2022690 atau hotline IPD 05-6222222.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

'via Blog this'

Lelaki mati diserang sekumpulan individu

Lelaki mati diserang sekumpulan individu - Semasa - Sinar Harian:
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki mati manakala rakannya parah apabila mereka diserang sekumpulan lelaki di Jalan Mata Ayer 1, Taman Setapak, dekat sini,  malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mayat S.Prabakaran, 27, ditemui orang ramai di dalam longkang dengan kesan cedera di tangan kanan selepas dipercayai diserang sekumpulan lelaki sebelum lari menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua lelaki itu terlibat dalam pergaduhan terlebih dahulu sebelum dicederakan.

"Mangsa yang diserang di kawasan padang permainan dipercaya lari kira-kira 200 meter sebelum ditemui mati oleh orang ramai di dalam longkang," katanya kepada pemberita, di sini, malam tadi.

Beliau berkata rakan mangsa yang cedera di bahagian belakang badan dan kepala sempat melarikan diri sebelum meminta bantuan orang ramai dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mayat Prabakaran dibawa ke HKL untuk bedah siasat dan polis masih menyiasat motif sebenar kejadian.

Zakaria berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama
'via Blog this'

Terkejut lihat aksi seks adik

Terkejut lihat aksi seks adik - Terengganu - Sinar Harian:
KAMPUNG RAJA – Seorang wanita terkedu apabila menyaksikan aksi seks adik lelakinya dengan seorang remaja perempuan di atas buaian berhampiran rumahnya di Kampung Jerebun, Hulu Besut pada 25 April lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian kira-kira jam 6 petang itu turut mengejutkan pasangan itu yang asyik berasmara di atas buaian.

Menurutnya, kakak lelaki itu kemudian bertanyakan adiknya apa yang dilakukan mereka dan adiknya itu mengaku melakukan hubungan seks dengan remaja perempuan terbabit.

“Sebelum itu, remaja perempuan berumur 14 tahun yang masih belajar dalam tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di daerah ini telah keluar dari rumahnya di Bukit Tanah, Kerandang dan pergi ke rumah teman lelakinya di Kampung Jerebun,” katanya.

Kamaruddin berkata, ketika bersembang di halaman rumah teman lelakinya, lelaki tersebut telah melakukan seks dengan remaja perempuan itu di atas buaian di halaman rumah.

Menurutnya, lelaki itu terkejut apabila apa yang dilakukan disedari oleh kakaknya yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Sementara itu, keluarga remaja perempuan itu membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja, kelmarin selepas mengetahui kejadian yang menimpa anaknya.

“Siasatan awal mendapati mereka mempunyai hubungan yang intim dan suspek dipercayai mengambil kesempatan merogol mangsa,” katanya.

Kamaruddin berkata, polis berjaya menahan suspek seorang iaitu seorang penganggur berumur 18 tahun berhubung kes itu.

Dia kini ditahan reman sehingga 25 Mei ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimun 20 tahun dan sebatan.
'via Blog this'

Sawa 7 meter kantoi

Sawa 7 meter kantoi - Pahang - Sinar Harian:

Sawa 7 meter kantoi
Anggota JPAM Maran menunjukkan ular sawa batik sepanjang 7 meter dengan berat 85 kilogram yang berjaya ditangkap, kelmarin.
MARAN - Kalaulah tidak kerana Rahim Johari, 28, entah berapa ekor lembu akan jadi mangsa ular sawa batik sepanjang 7 meter (23 kaki) dengan berat 85 kilogram yang dilihatnya di Kampung Baru Pertanian, di sini, malam kelmarin.

“Seumur hidup, tak pernah saya tengok ular sebesar dan sepanjang itu,” kata Rahim yang masih dengan wajah terkejut ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, ketika ­terserempak dengan ular itu, sang sawa sedang menyusur masuk ke sebuah kandang lembu.Saya segera hubungi JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia). Kalau tidak, tentu ada lembu yang sudah kena baham,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JPAM Daerah Maran, Sa’abar Mat Amid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan ular sawa itu pada jam 9.30 malam dan lima anggota termasuk seorang pegawai bergegas ke lokasi dilaporkan.

“Anggota kita cuba menangkap ular sawa itu ketika ia sedang cuba membaham seekor anak lembu,” katanya.

Bagaimanapun kata Sa’abar, kecekapan anggota JPAM akhirnya berjaya memerangkap sang sawa itu tanpa sebarang kecederaan.

“Keprihatinan ditunjukkan individu berkenaan amat kita hargai kerana berjaya mengelak daripada berlaku sesuatu yang lebih buruk dan merugikan,” katanya.

'via Blog this'

Kren rempuh rumah orang

Kren rempuh rumah orang - Melaka & NS - Sinar Harian:

Kren rempuh rumah orang
Kren yang merempuh sebuah kereta dan rumah di Taman Seremban. Gambar kecil: Nurila
SEREMBAN - Penduduk Taman Seremban, di sini dikejutkan dengan insiden sebuah kren bergerak sendiri tanpa pemandu sehingga merempuh kereta dan rumah penduduk, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, kren yang diletakkan di kawasan atas bukit kawasan perumahan terbabit bergerak secara menggelongsor, lalu merempuh sebuah kereta jenis Proton Saga sebelum terbabas ke salah sebuah rumah penduduk.

Difahamkan, kren yang diletakkan kira-kira 100 meter dari rumah penduduk itu baru sahaja melakukan pemeriksaan di Puspakom.

Pemilik kren, Chew Chee Ming, 40-an, berkata, pekerjanya meletakkan kenderaan berat itu di kawasan perumahan berkenaan kira-kira 4 petang selepas selesai melakukan pemeriksaan dan servis di Puspakom, dekat sini.

“Pekerja saya sudah memastikan brek tangan ditarik dan aspek keselamatan lain sebelum meninggalkan kren.

“Namun, sejam lebih kemudian, saya mendapat panggilan daripada orang awam yang memberitahu kren saya terbabas dan merempuh rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian.

Menurut Chee Ming, dia hairan kerana kren tersebut boleh bergerak meskipun brek tangan sudah ditarik.

“Saya masih tidak tahu bagaimana ia boleh bergerak dan merempuh kereta dan rumah penduduk.

“Sudah menjadi kebiasaan kawasan lapang ini akan menjadi parkir kren," katanya.

Sementara itu, seorang pemilik rumah yang menjadi mangsa, Nurila Ahmad, 40, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.

“Saya menerima panggi­-lan daripada jiran yang memberitahu rumah saya dirempuh sebuah kren.

“Sebaik tiba, saya melihat kren berada di bahagian depan rumah saya dan tembok rumah turut runtuh,” katanya.

Nurila berkata, ketika kejadian, dia sekeluarga tiada di rumah kerana suami dan dua anaknya sedang bekerja dan belajar.

'via Blog this'

Identiti suspek dikenal pasti

myMetroIdentiti suspek dikenal pasti:
JASIN: Polis mengenal pasti identiti suspek yang terbabit dalam kes kecurian sebuah lori hingga mengakibatkan seorang anggota polis peronda terbunuh di kebun kelapa sawit di Kampung Solok Limau Purut, Melekek Dalam, Alor Gajah, dekat sini, Isnin lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, polis masih memburu suspek iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an.


“Hasil siasatan polis mendapati hanya seorang lelaki terbabit dalam kejadian itu dan identitinya sudah dikenal pasti.

“Kita yakin suspek dapat ditangkap tidak lama lagi bagi membantu siasatan kejadian itu,” katanya ketika melawat keluarga anggota polis yang maut, Koperal Rasul Tumin, 47, di Kampung Parit Penghulu, di sini, semalam.


Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada balu Rasul, Zuraini Zainal Abidin.


Tumin, 47,keluarga mangsa.


Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman.


Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
'via Blog this'

Pelajar mangsa letupan bom

myMetroPelajar mangsa letupan bom:

ROM: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, maut apabila sebutir bom meletup di hadapan sekolah di bandar Brindisi di selatan Itali.
Dua lagi cedera parah dan dalam keadaan kritikal di mana seorang daripadanya sedang menjalani pembedahan di hospital. 
Bom itu meletup pada kira-kira jam 7.45 pagi (0545 GMT) sewaktu pelajar tiba ke sekolah vokasional Feancesca Morvillo Falcone.
Kebanyakan pelajar di Itali menghadiri kelas pada hari Sabtu.
Siasatan awal pasukan keselamatan mendapati bom itu diletakkan di dalam bekas dekat sekolah itu.

Menurut laporan berita Internet, Repubblica, pula, terdapat dua letupan dan bom itu diletakkan di dalam beg sandang di hadapan sekolah itu.

Media Itali melaporkan sekolah itu dinamakan sempena nama hakim antimafia, Giovanni Falcone.

Hakim, isteri dan tiga pengawal peribadi mereka dibunuh 20 tahun lalu pada 23 Mei, 1992, di mana kumpulan Mafia Sicily meletakkan setengah tan dinamit di jalan antara Lapangan Terbang Palermo dan pusat bandar.

Polis masih menyiasat tetapi butirannya masih belum diperoleh. - Reuters 

'via Blog this'

Banduan tuduh Pengawal Negara terlibat

myMetroBanduan tuduh Pengawal Negara terlibat:

CARACAS (Venezuela): Pertembungan antara banduan dan anggota tentera selama tiga minggu di penjara, berakhir kelmarin apabila 1,600 banduan keluar dan bersetuju dipindahkan ke penjara lain.
Kumpulan banduan itu keluar dari penjara La Planta dengan tangan di atas kepala, ditemani oleh anggota tentera dan naik ke trak untuk dipindahkan ke penjara lain. 
Menteri bertanggungjawab bagi penjara kerajaan, Iris Varela mengumumkan, banduan terakhir keluar, kelmarin.

“Ia bukan misi mustahil,” katanya.

Pengawal menurunkan papan tanda yang mengatakan kerajaan telah lumpuh.

Banduan mula meninggalkan penjara pada malam Jumaat lalu selepas serangan dan tembakan berlaku di dalam bangunan penjara serta gas pemedih mata turut dilepaskan.

Pihak berkuasa telah meminta anggota kumpulan bersenjata untuk menyerah dan meninggalkan penjara itu kerana ia akan ditutup.

Banduan menolak untuk dipindahkan ke penjara lain.

Iris berkata, kejadian tembak menyebabkan pertembungan di antara banduan. Ada banduan menuduh Pengawal Negara terlibat.

Video yang dimuat naik di Internet menunjukkan peluru dilepaskan ke penjara dari luar.

Sekurang-kurangnya tiga orang di kawasan luar bangunan penjara cedera terkena peluru sesat. - AP 

'via Blog this'

Bagai aksi filem

myMetroBagai aksi filem:

CEPAT SEMBUH...Sharifuddin  (kanan)  melawat   Mohd Jarizan  di hospital sambil diperhatikan ibunya Fatimah Osman, 58, dan bapanya Md Jid Mamat, 59.
CEPAT SEMBUH...Sharifuddin (kanan) melawat Mohd Jarizan di hospital sambil diperhatikan ibunya Fatimah Osman, 58, dan bapanya Md Jid Mamat, 59.
KUANTAN: Selepas merampas dua kereta, termasuk satu kenderaan polis dalam usahanya melarikan diri, seorang penjenayah paling dikehendaki kerana dipercayai terbabit dengan pelbagai kes bunuh, dadah dan curi kereta, mati selepas berbalas tembak dengan polis di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), berdekatan Tol Jabor, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.10 pagi, suspek yang dikenali sebagai Chiang Hon Hing, 39, dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur dan mempunyai empat rekod jenayah membabitkan kes bunuh, dadah, menghalang tugas penjawat awam dan curi kenderaan, meninggal ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, selepas terkena tembakan di perut.

Kejadian tembak menembak umpama filem Hollywood itu turut menyebabkan anggota polis, Lans Koperal Mohd Jarizan Md Jid, 24, cedera di tangan kanan akibat terkena tembakan penjenayah.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani berkata, kejadian bermula di Plaza Tol Lanchang, Temerloh apabila anggota peronda lebuh raya memeriksa sebuah kereta jenis Honda bernombor pendaftaran JAQ 86 yang berhenti di tepi jalan susur masuk tol berkenaan.

Katanya, suspek yang tiba-tiba keluar dari kereta melepaskan beberapa das tembakan ke arah dua anggota terbabit namun tidak mengenai sasaran. Akibat tembakan dilepaskan lelaki terbabit, kedua-dua anggota polis yang menaiki Mitsubishi Pajero bergegas menyelamatkan diri.

“Suspek kemudian bertindak melarikan diri dengan merampas kenderaan milik polis dan pada masa anggota berkenaan terus berbalas tembakan dengannya sebelum meminta bantuan untuk mengejar suspek,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.
Katanya, sebaik tiba di Kilometer 113.6 LPT, suspek memberhentikan kenderaan di tepi jalan sebelum melarikan sebuah Proton Waja yang dinaiki dua lelaki dan meneruskan perjalanan menuju ke Kuantan sambil dikejar anggota polis.

“Namun, apabila tiba di Tol Jabor, suspek yang melihat ada anggota polis melakukan sekatan, cuba berpatah balik dan terus berbalas tembakan dengan polis.
“Dia kemudian keluar dari kenderaan dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang cuba memintasnya, namun penjenayah terbabit akhirnya tewas selepas terkena tembakan pada bahagian perut,” katanya.

Sharifuddin berkata, seorang anggotanya turut cedera pada bahagian tangan kanan akibat terkena peluru yang dilepaskan penjenayah terbabit dalam kejadian tembak-menembak itu.

“Anggota polis itu kini dirawat di HTAA dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Menurutnya, semakan yang dibuat mendapati kereta Honda dinaiki suspek dilaporkan hilang di Kuantan beberapa jam sebelum kejadian dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Polis turut menemui pistol jenis Baretta 9mm serta dua kelopak peluru yang digunakan suspek dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Mohd Jarizan ketika ditemui di HTAA, berkata dia tidak serik dengan kejadian itu walaupun ia hampir meragut nyawanya.

Dia yang berasal dari Taman Mawar, Johor bersyukur kerana selamat dalam kejadian dan akan kembali bertugas apabila pulih daripada kecederaan.

“Nak kata trauma tu tak juga, ini lumrah tugas seorang anggota polis, syukur saya selamat,” katanya.

'via Blog this'

Rumah berkunci

myMetroRumah berkunci:

PERIKSA... anggota bomba membuat pemeriksaan selepas memadamkan kebakaran rumah Ng (gambar kecil).
PERIKSA... anggota bomba membuat pemeriksaan selepas memadamkan kebakaran rumah Ng (gambar kecil).
ALOR SETAR: Seorang lelaki ditemui rentung di tepi katil dalam sebuah bilik di rumahnya, beberapa jam selepas bertengkar dengan isterinya di Flat Taman Setia Jaya, Jalan Langgar, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian 6.50 petang, Ng Eng Hoo, 53, ditemui mati dalam keadaan terlentang di lantai bilik utama di rumah flat enam tingkat yang didiami bersama isterinya, Khor Chin Queek, 53.

Difahamkan, mangsa yang juga bapa kepada empat anak yang tinggal di tingkat satu flat itu dikatakan bertengkar dengan isterinya selepas berlaku perselisihan faham, sebelum wanita itu keluar meninggalkannya berseorangan di rumah.
Empat anak mangsa iaitu dua lelaki dan dua perempuan berusia lingkungan 20 hingga 30-an tidak menetap di rumah berkenaan kerana masing-masing berkerja di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Jiran mangsa, Ooi Poh Sim, 54, berkata, ketika kejadian dia mandi di rumahnya yang terletak bersebelahan, sebelum dimaklumkan mengenai bunyi letupan kuat oleh anaknya lalu bergegas keluar menyelamatkan diri.

“Saya terkejut melihat rumah mangsa terbakar dan terdengar beberapa bunyi letupan susulan sebelum meminta semua ahli keluarga keluar kerana bimbang api merebak ke rumah kami.
“Selain kami sekeluarga, jiran lain yang tinggal di tingkat sama turut bertempiaran menyelamatkan diri kerana api marak begitu cepat dan saya dimaklumkan, mangsa ada di dalam rumah.

“Namun, kami tidak dapat menyelamatkannya kerana pintu rumahnya dikunci,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Mahmad Fauzi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.07 malam dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian dengan dua jentera bersama 12 anggota.

“Api berjaya dikawal 20 minit kemudian dan hasil pemeriksaan di rumah itu, kami menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang di tepi katil di dalam sebuah bilik dalam keadaan melecur teruk.

“Difahamkan, rumah ini didiami mangsa bersama isterinya, namun ketika kejadian hanya mangsa ada di rumah,” katanya.

Mahmad berkata, anggotanya mengumpil pintu depan rumah mangsa yang berkunci untuk masuk dan bagi tujuan keselamatan, bekalan elektrik di tingkat satu flat terbabit terpaksa diputuskan sementara.

“Kita masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian dan anggaran kerugian,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian dan memaklumkan, polis masih menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat dan sehingga kini kita belum dapat mengesahkan punca kematian,” katanya.

'via Blog this'

Gagal sorok dadah dalam poket seluar

myMetroGagal sorok dadah dalam poket seluar: "JELI: Tembelang seorang lelaki yang menyembunyikan uncang mengandungi ganja seberat 30.5 gram di dalam poket seluar terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli menyerbu sebuah rumah di Kampung Kuala Balah, di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 8.05 malam itu, lima lelaki turut ditahan dan dibawa ke IPD Jeli untuk tahanan reman.


Ketua Polis Jeli, Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar, berkata hasil ujian air kencing turut mendapati seorang suspek berusia 35 tahun dari Kampung Bukit Tok Ali, di sini, positif dadah jenis morfin."

'via Blog this'

Salah berganda

myMetroSalah berganda:

MELAKA: Malang berganda bagi seorang pekerja kilang apabila dia bukan saja ditahan kerana positif menggunakan dadah, malah motosikalnya turut disita kerana menunggang tanpa lesen dalam operasi bersepadu pihak berkuasa di Lebuh AMJ, di sini, malam kelmarin.
Dalam operasi bermula jam 9 malam, lelaki berusia 21 tahun yang menunggang motosikal Honda EX5 itu ditahan dalam sekatan jalan raya dilakukan pelbagai agensi dan diarahkan menjalani ujian air kencing.

Hasil ujian air kencing yang dilakukan mendapati lelaki terbabit positif menggunakan dadah.
Dia antara yang ditahan dan dikenakan tindakan dalam operasi bersepadu membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, polis, Jabatan Alam Sekitar, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di kedua-dua hala lebuh berkenaan.

Pengarah JPJ Melaka, Mohd Fadzil Hassan berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 480 kenderaan dan 62 daripadanya diambil tindakan.

“Antara kesalahan yang dikesan dalam operasi ini adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak mempamerkan pelekat P/L, lampu HID/cermin gelap dan mengubah suai kenderaan.

'via Blog this'

Maut ketika joging

myMetroMaut ketika joging: "KULIM: Seorang pengawal keselamatan berusia 58 tahun yang sedang berjoging tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Stadium Mini Keladi, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa, G Shanmugam yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan kini menetap di Taman Senangin, di sini, dikatakan kerap berjoging di situ.


Seorang rakannya yang enggan dikenali berkata, mangsa seorang yang kuat bersenam dan setiap petang dia akan berlari lebih 10 pusingan trek di stadium berkenaan.

“Namun hari ini (semalam) dia berlari agak laju daripada kami dan secara tiba-tiba dia terhoyong hayang dan sempat memegang tangan rakannya sebelum rebah,” katanya."

'via Blog this'

Pelabur culik peguam

myMetroPelabur culik peguam:

KUALA LUMPUR: Akibat gagal membayar wang keuntungan skim pelaburan dijalankan, seorang peguam dilarikan pelaburnya yang menuntut kembali wang modal mereka laburkan dianggarkan berjumlah RM180,000.
Difahamkan, peguam berusia 35 tahun itu membuat laporan polis mendakwa dia diculik enam lelaki tempatan di sebuah restoran makanan segera di Kepong, di sini, pada 12 Mei lalu sebelum dikurung di sebuah rumah di Rawang dan hanya dibebaskan pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa mendakwa dia turut dipaksa minum sejenis minuman yang mengkhayalkan selain dibelasah enam lelaki berkenaan.
“Suspek didakwa meminta mangsa membayar wang tebusan bernilai RM150,000 untuk membebaskan dirinya dan wang itu dibayar melalui cek oleh ahli keluarga mangsa.

“Sebaik menerima bayaran, mangsa dibebaskan pada 16 Mei di sebuah rumah yang dipercayai tempat dia dikurung sepanjang tempoh penculikan,” katanya.

Bagaimana pun, beliau berkata, siasatan awal polis mendapati enam lelaki terbabit bertindak demikian kerana ingin membalas dendam terhadap mangsa yang enggan memulangkan wang pelaburan mereka.
“Tindakan suspek menculik mangsa hanya alasan untuk mendapatkan semula wang modal yang mereka laburkan untuk perniagaan dijalankan.

“Wang itu sudah lesap sebaik dibayar kepada mangsa, sebab itu mereka guna cara ini untuk dapatkan semula wang berkenaan,” katanya.
Katanya, berikutan kejadian itu, polis menahan tiga suspek berusia awal 30-an di sekitar ibu negara kelmarin bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

'via Blog this'

Rempuh pagar rumah PM

myMetroRempuh pagar rumah PM: "KUALA LUMPUR: Dua konstabel polis parah, manakala tiga rakan mereka cedera ringan selepas kereta dinaiki merempuh pagar kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Perdana, Putrajaya, awal pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 4 pagi, kereta dinaiki kelima-lima mangsa berusia awal 20-an itu dipercayai terbabas sebelum merempuh bahagian tepi pagar kediaman terbabit.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, ketika kejadian kelima-lima mereka berada di luar tugasan dan baru pulang dari satu tempat yang belum dikenal pasti.

“Kita masih siasat punca kejadian dan bagaimana mereka boleh merempuh pagar. Masih terlalu awal membuat andaian,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sukan Rakyat sempena sambutan Hari Polis."

'via Blog this'

Pelacur berang ditahan

myMetroPelacur berang ditahan:

KUALA LUMPUR: Berang ditahan, seorang pelacur warga Thailand meninggikan suara dan berlagak sombong ketika diarah pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) yang mahu membawanya dan pelacur lain menaiki van ke balai polis untuk pemeriksaan lanjut.
Dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Jalan Imbi, di sini, pelacur terbabit antara 10 wanita warga asing yang ditahan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, yang mengesyaki ada aktiviti tidak bermoral hasil risikan sebelum ini.

Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Azman Mohd Isa berkata, dalam operasi jam 11 malam kelmarin, mendapati premis yang terletak di tingkat satu berkenaan menawarkan pelacur warga asing.
“Hasil serbuan, enam wanita warga Thailand dan empat wanita warga China berusia antara 22 hingga 34 tahun ditahan dalam di premis itu. Tiada pelanggan ketika serbuan dilakukan.

“Pemeriksaan mendapati sembilan daripadanya menggunakan pas lawatan sosial, manakala seorang menggunakan pas pelajar. Semua mereka tidak mempunyai permit kerja dan disyaki pelacur,” katanya selepas serbuan, malam kelmarin.

Menurutnya, modus operandi pusat itu adalah menyediakan pelacur warga asing dan pelanggan boleh membuat pilihan sebelum dibawa masuk ke mana-mana bilik karaoke ditempah.

'via Blog this'

Beg berisi mayat bayi

myMetroBeg berisi mayat bayi:

SUNGAI MANIK: Hasrat seorang remaja lelaki memetik nenas di kebun buah-buahan keluarganya, di sini, petang kelmarin, terbantut apabila terserempak dengan sebuah beg pakaian berisi mayat bayi.
Dalam kejadian jam 6.30 petang di Lorong Tok Jingga, Kampung Sungai Lampam, mayat bayi dibalut dengan kain sarung batik itu dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu sebelum dicampak di ladang berkenaan.

Difahamkan, mayat bayi itu cuba dikebumikan berdasarkan penemuan satu ‘kubur’ kecil berhampiran sebuah pokok mengkudu di lokasinya ditemui.
Saksi kejadian, Khairudin Idris, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Sultan Abdullah, di sini, berkata, sebaik terserempak dengan mayat bayi, dia bergegas pulang ke rumahnya di Parit 4/7R Chenderong Balai dan memaklumkan perkara itu kepada keluarganya.

Beliau berkata, dia bersama abangnya, Saharudin, 20, dan abang iparnya, Razlan Abu Bakar, 28, kembali ke lokasi penemuan mayat bayi itu untuk memeriksa.

“Kami membuka beg sebelum melihat mayat bayi itu berbalut dengan kain sarung batik. Kami percaya bayi itu meninggal dunia beberapa hari lalu kerana berbau busuk dan berulat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Empat bagi memaklumkan penemuan mayat bayi itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, pihaknya menyerahkan mayat bayi kepada Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, sehingga semalam, jantina mayat berkenaan belum dipastikan kerana masih dalam pemeriksaan pihak hospital.

'via Blog this'

Dadah dalam seluar dalam

myMetroDadah dalam seluar dalam: "KULIM: Dua lelaki berusia 20-an dipercayai pengedar dadah yang cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa, ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Padang Serai, jam 4.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, kedua-dua lelaki ditahan sepasukan polis yang membuat rondaan rutin selepas mendapati mereka dalam keadaan mencurigakan di Jalan Padang Estate.


Katanya, suspek yang menaiki Proton Wira cuba melarikan diri dengan memecut kenderaan sebelum dipintas polis di Jalan Bunga Raya.

“Suspek bertindak agresif dengan memecut kenderaan sebelum ditahan polis di Jalan Bunga Raya. Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Padang Serai untuk ujian air kencing dan disahkan positif dadah jenis ganja,” katanya.


Menurutnya, hasil pemeriksaan badan, polis menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah yang disorokkan di dalam seluar dalam seorang suspek."

'via Blog this'

Dicekup lepas berasmara

myMetroDicekup lepas berasmara:

RAMPAS... antara dadah yang dirampas.
RAMPAS... antara dadah yang dirampas.
ARAU: Sepasang kekasih yang baru selesai berasmara dicekup kerana dipercayai memiliki dadah jenis syabu dan heroin dalam beg galas mereka dalam serbuan di Jalan Padang Besar, Kurung Anai, di sini, kelmarin.
Dalam serbuan jam 10 pagi kelmarin, suspek lelaki yang juga pesawah berusia 42 tahun dan teman wanitanya berusia 19 tahun dicekup ketika menunggu pelanggan.
Difahamkan, wanita itu tidak memakai pakaian dalam selepas mereka dipercayai baru selesai berasmara di situ.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, Asisten Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, pemeriksaan terhadap suspek berusia 42 tahun menemui 25 paket heroin seberat 35.30 gram di dalam beg kecil yang dipegang.

Menurutnya, siasatan mendapati teman wanita suspek memiliki empat paket dadah jenis syabu seberat 3.10 gram di dalam beg galasnya.

'via Blog this'

Motif rompakan jalanan

myMetroMotif rompakan jalanan:
MANGSA TEMBAKAN... Ming Qu (kiri) dan Ying Wu.
MANGSA TEMBAKAN... Ming Qu (kiri) dan Ying Wu.


LOS ANGELES: Dua lelaki ditahan kelmarin kerana disyaki menembak mati dua pelajar China dekat kampus Universiti Southern California (USC), bulan lalu.
Ketua Polis Los Angeles, Charlie Beck, berkata Javier Bolden, 19 dan Bryan Barnes, 20, ditahan kerana disyaki membunuh. 
Katanya, Barnes ditahan di rumah dekat kampus tengahari kelmarin dan Bolden ditahan beberapa jam kemudian di Palmdale. Kedua-dua mereka ditahan tanpa ikat jamin.

Ming Qu dari Jilin dan Ying Wu dari Hunan, China, ditembak mati pada 11 April ketika duduk di dalam kereta BMW, kira-kira satu batu dari kampus USC. Kedua-dua pelajar itu berusia 23 tahun.

Beck berkata, motif pembunuhan masih disiasat tetapi “bukti menunjukkan rompakan jalanan.”

Katanya, penyiasat percaya, pembunuhan Wu dan Qu adalah sebahagian daripada beberapa jenayah yang berlaku di Los Angeles.

“Bukti forensik yang diperolehi dari tempat kejadian menghubungkan mereka dengan dua lagi percubaan bunuh,” katanya.

Bukti material ditemui menghubungkan kedua-dua suspek dengan Wu dan Qu, katanya.

Pembunuhan Wu dan Qu menyebabkan pelajar gempar. USC mempunyai bilangan pelajar antarabangsa terbesar di Amerika Syarikat.

Kira-kira 19 peratus daripada 38,000 pelajar di universiti itu adalah pelajar luar, termasuk 2,500 dari China.

Menurut polis, selepas kejadian tembak, Wu ditemui di tempat duduk penumpang BMW, manakala Qu di tangga rumah berdekatan di mana dia terlantar ketika cuba mendapatkan bantuan. -AP

'via Blog this'

Peguam lesap wang dibelasah

Berita Harian Online | Peguam lesap wang dibelasah:
Enam lelaki kurung mangsa 4 hari selepas keluarga bayar tebusan RM180,000 

KUALA LUMPUR: Seorang peguam dilarikan sekumpulan enam lelaki sebelum dibelasah dan dikurung selama empat hari di sebuah rumah teres dua tingkat dekat bandar Rawang, Sabtu lalu.
Mangsa lelaki berusia 35 tahun itu dikatakan sedang minum di sebuah kopitiam di Kepong di sini, malam Sabtu lalu sebelum didatangi enam lelaki yang secara tiba-tiba menariknya ke dalam kereta.
Kumpulan lelaki terbabit kemudian memberi mangsa sejenis minuman khayal menyebabkannya tidak sedarkan diri. 

Bagaimanapun, mangsa dibebaskan kumpulan penjenayah berkenaan Rabu lalu dalam keadaan selamat selepas keluarganya membayar tebusan RM180,000 yang dimasukkan melalui mesin juruwang automatik (ATM). 

Difahamkan, sebelum kejadian itu, seorang daripada suspek menyerahkan wang tunai RM200,000 kepada peguam terbabit untuk dilaburkan, namun mangsa dikatakan menggunakannya untuk tujuan lain mengakibatkan lelaki itu naik berang. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa cedera di kepala dan badan akibat dipukul suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu sepanjang berada dalam tahanan. 
Katanya, susulan laporan polis yang dibuat mangsa, polis menahan tiga daripada kumpulan lelaki terbabit pagi kelmarin sekitar ibu negara dan gerakan memburu tiga lagi rakan mereka sedang dijalankan. 

“Siasatan polis mendapati, mangsa bukan diculik seperti didakwa ahli keluarganya, sebaliknya kejadian berpunca daripada masalah perniagaan. 

“Mangsa dikatakan melesapkan sejumlah wang milik kumpulan suspek terbabit menyebabkan mereka bertindak melarikan peguam itu dan meminta wang tebusan sebagai ganti,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Ku berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan 384 Kanun Keseksaan.
'via Blog this'

Aktivis tawan Chicago

Berita Harian Online | Aktivis tawan Chicago:

  • Foto
    AKTIVIS Occupy memenuhi kawasan tengah Kota Chicago membantah sidang NATO.
  • Foto
    PENUNJUK perasaan memegang poster membantah sidang NATO di Chicago.
Paksa sidang pemimpin NATO pindah ke Camp David

CHICAGO: Bantahan beribu-ribu penunjuk perasaan di sini yang memprotes peperangan dan menuntut golongan kaya dicukai selain menyebabkan kesesakan lalu lintas di tengah bandar memaksa pentadbiran Presiden Barack Obama mengubah lokasi sidang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke Camp David, 96 kilometer ke utara Washington.
Seorang aktivis yang menaja konvoi bas dari beberapa bandar ke Chicago, Stephen Weber, berkata: “Tindakan memindahkan pemimpin negara maju ke Camp David menunjukkan ketidakpuasan hati penduduk di negara ini dan seluruh dunia memang besar.”
Weber yang membantu kumpulan 99% Solidarity, serpihan kepada gerakan ‘Occupy’, berkata dia menentang NATO kerana pertubuhan itu melancarkan perang dan kerajaan Barat menggunakan wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk tujuan lain.

Kira-kira 10,000 penunjuk perasaan dijangka hadir untuk menyertai protes terhadap NATO hari ini bagi menuntut pemimpin pertubuhan itu memilih keamanan dan persamaan taraf ekonomi dalam merangka dasar rasmi.

Ribuan aktivis yang berhimpun di jalan raya Chicago melaungkan ‘kenakan cukai kepada orang kaya!’ dan menggesa menamatkan perang supaya kerajaan memberi fokus kepada khidmat sosial.

Mereka menghalang lalu lintas di tengah daerah kewangan Chicago ketika lebuh raya di bandar raya itu ditutup lebih awal bagi membolehkan konvoi membawa 50 pemimpin dunia menghadiri sidang kemuncak NATO hari ini dan esok. 
“Jalan siapa? Jalan kami!” laung ratusan penunjuk perasaan sambil berarak melepasi polis berkuda dan basikal, manakala orang ramai merakam gambar di tepi jalan dekat kedai serta pejabat.

Kebimbangan bantahan boleh bertukar menjadi ganas meletakkan bandar raya itu dalam berjaga-jaga dengan beberapa majikan meminta pekerja menukar pakaian untuk mengelak menjadi sasaran di jalanan.

Polis dan penganjur bantahan berikrar tidak akan mengulangi masalah yang tercetus ketika sidang kemuncak G20 di London dan Toronto atau rusuhan yang menakutkan Chicago ketika Konvensyen Kebangsaan Demokratik 1968.

Untuk memastikan mereka dapat mengawal keadaan, jabatan polis dilapor membekalkan semburan lada hitam kepada anggotanya selain peralatan mencegah rusuhan bernilai AS$1 juta (RM3 juta).

Superintenden Polis, Garry McCarthy ketika diwawancara berkata, pasukan keselamatan tidak menjangka akan menghadapi kekacauan besar.

Bagaimanapun, katanya, sesiapa yang dilihat cuba menghasut kekacauan akan ditahan meskipun di celah penunjuk perasaan lain. – Agensi
'via Blog this'