Search This Blog

Friday, May 18, 2012

Geng samun kedai serbaneka ditahan di Johor Baharu

JOHOR BAHARU: Lima lelaki termasuk pelajar tingkatan tiga yang dipercayai aktif menyamun kedai serbaneka di sekitar bandar raya ini ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Zainuddin Yaacob berkata, mereka yang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi ditahan berhampiran Terminal Larkin Sentral oleh dua kereta peronda polis kira-kira jam 1 petang.
"Polis menemui empat bilah parang yang disorokkan di bawah tempat duduk penumpang kereta berkenaan. Kelima-lima mereka sebelum itu dipercayai menyamun sebuah kedai serbaneka di Taman Mount Austin di sini kira-kira jam 5 pagi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan di sini hari ini.

Zainuddin berkata, mereka yang berumur 15 hingga 20 tahun dipercayai turut terlibat dalam kejadian yang sama di Seri Alam dan Nusajaya.


Mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama

6 maut dalam 2 kemalangan berasingan



18/05/2012 9:21pm

KUCHING — Enam orang dilaporkan maut dalam dua kemalangan berasingan di Jalan Pan Borneo di Bahagian Sri Aman di sini petang ini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad berkata, lima maut di Km 71, Jalan Sri Aman-Kuching dekat Jaong Pantu pada jam 4.15 petang apabila kereta pacuan empat roda jenis Land Curiser yang mereka naiki yang dari arah Kuching menuju Sri Aman bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.
"Ia membabitkan tiga kenderaan iaitu pacuan empat roda dan lori berkenaan serta sebuah kereta. Semua yang maut (lelaki) adalah pemandu dan penumpang pacuan empat roda tersebut yang masih lagi belum dikenali identiti mereka,” katanya.
Beliau berkata, polis telah menahan pemandu lori terbabit untuk siasatan lanjut.
Semua mangsa dibawa ke Hospital Umum Sri Aman untuk dibedah siasat.
Dalam satu lagi kejadian berasingan, sorang wanita dilaporkan maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler dalam kejadian dekat San Raba, kira-kira 25 kilometer dari Sri Aman.
Identiti mangsa masih belum dapat dipastikan, kata Mat Jusoh.— BERNAMA

7 lelaki dipercayai terbabit kes bunuh ditahan





2012/05/18

IPOH: Polis menahan tujuh lelaki dan menemui beberapa barangan milik mangsa serta senjata yang digunakan dalam kejadian pembunuhan seorang lelaki di Jalan Bercham, dekat sini, Isnin lalu. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias, hari ini berkata semua suspek berusia antara 18 dan 49 tahun itu ditahan di Bercham semalam.
Katanya, identiti mangsa belum dikenal pasti itu ditemui di tepi jalan oleh orang awam dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian anggota badan.
Mayat mangsa dihantar oleh orang awam ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini. 

"Pada mulanya, kes itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut. Bagaimanapun hasil bedah siasat mendapati terdapat beberapa kesan lebam dan kecederaan di anggota badan mangsa dipercayai dipukul dengan objek keras," katanya kepada pemberita di sini. 

Azisman berkata, semua suspek ditahan reman seminggu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Kes culik murid di Pulau Pinang selesai: Polis





2012/05/18

BUKIT MERTAJAM: Polis percaya kes penculikan kanak-kanak berusia sembilan tahun yang dilaporkan hilang Isnin lalu selesai selepas penahanan seorang wanita yang juga suspek utama kurang dari 24 jam selepas kejadian. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Supt Baharudin Mustapha, berkata berdasarkan siasatan terhadap wanita berusia 23 tahun yang juga rakan kepada ibu kanak-kanak itu, dia bertindak menculik T Purani secara bersendirian berikutan dendam terhadap keluarga mangsa.
"Polis yakin kes ini selesai dengan penahan wanita terbabit kerana berdasarkan siasatan, hanya dia seorang yang menculik kanak-kanak itu tanpa dibantu oleh sesiapa.
"Dia akan direman sehingga esok bagi membantu siasatan menurut Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Purani, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Perai dilapor diculik berikutan dia tidak pulang ke rumah selepas ke sekolah Isnin lalu. 

Kejadian itu disedari nenek mangsa lalu memberitahu kepada ibu mangsa yang kemudianya membuat laporan polis. 

Difahamkan suspek turut meminta wang tebusan berjumlah RM24,850 daripada keluarga mangsa jika mahu kanak-kanak terbabit selamat. 
Sementara itu, dalam kes berasingan, Baharudin berkata polis sedang mengesan beberapa suspek bagi membantu siasatan berhubung kes tauke ladang ayam yang ditemui mati dengan kesan jerut dileher dan tangan diikat di Taman Impian, Alma, kelmarin. 

Katanya, pihaknya percaya kejadian itu dilakukan lebih dari seorang dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan. 

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berdekatan. - BERNAMA 

Curi lori: 6 lelaki ditahan di Perai



18/05/2012 7:16pm

BUKIT MERTAJAM — Polis berjaya menyelesaikan kes kecurian sebuah lori dengan muatan besi panjang seberat 47 tan bernilai RM160,000 di kawasan perindustrian Perai Isnin lepas berikutan penahanan enam lelaki di sekitar bandar ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supt. Baharudin Mustapha berkata, pemandu lori berkenaan ditahan selepas dia membut laporan polis pada Isnin berhubung kehilangan lori dan muatan 630 batang besi.
Hasil soal siasat ke atas pemandu itu, katanya, polis telah menahan lima rakan subahatnya iaitu dua lagi pemandu lori dan tiga pembeli besi berkenaan berusia antara 30 dan 50 tahun pada hari berikutnya.
"Pemandu itu melaporkan lori itu diletakkan di kawasan itu pada Sabtu hilang ketika dia hendak ambil pada pukul 5 pagi Isnin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan semakan melalui sistem penempatan global (GPS) oleh majikan pemandu lori terbabit, kepala lori yang dilaporkan hilang itu dikesan kira-kira satu kilometer daripada tempat kejadian.
Jelas beliau, hasil penahanan mereka, polis berjaya menemui semula sebuah lori bersama dua treler dengan muatan semua besi berkenaan di kawasan Perindustrian Bukit Minyak, di sini.
"Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori itu telah membuat kunci pendua dan memberikan kepada rakannya untuk mencuri lori terbabit sebelum besi-besi itu dipindahkan ke lori lain bagi mengelak ia dikesan polis,” katanya.
Polis juga sedang mengesan beberapa lagi rakan pemandu lori berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian terbabit.
Beliau berkata, mereka kini direman sehingga 21 Mei ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan. — BERNAMA

Dua polis didakwa cederakan jurugambar



4:21PM Mei 18 2012 
Dua anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan mencederakan jurugambar Guang Ming Daily, Wong Kin Onn sewaktu himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

NONEMohd Khairul Asri Mohd Sobri dan Shahrul Niza Abd Jalil dibenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang selepas memohon dibicarakan.

Mereka didakwa bawah Seksyen 350 Kanun Keseksaan kerana menggunakan keganasan jenayah terhadap Wong (kiri).

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara selama tiga bulan setiap seorang, denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut dakwaan Khairul dan Shahrul Niza, bersama dua orang lain yang masih belum dikenal pasti, menyerang Wong di simpang Jalan Tun Perak dan Jalan Raja di antara jam 5.20 dan 5.30 petang pada 28 April.

6 Penan Muslim ditahan di Bintulu


6 Penan Muslim ditahan di Bintulu
  • Nicholas Wong
  • 6:12PM Mei 18 2012
 
Enam Penan Muslim ditahan polis Rabu lepas selepas disyaki cuba membakar ladang - tempat mereka membuat halangan - bagi menuntut tanah itu dikembalikan kepada keluarga mereka.

Mereka ditahan selepas pemaju ladang Sebekai Plantation Sdn Bhd membuat dakwaan itu dan dibebaskan semalam selepas disoal siasat.

NONEKumpulan itu, mewakili kira-kira 30 keluarga Penan Muslim, membina halangan di Kawasan Sebekai, Labang, Bintulu sejak 10 Mei lalu kerana beranggapan ia tanah adat mereka.

Ketika dihubungiMalaysiakini, wakil mereka Ismawi Ishak berkata mereka dibebaskan kerana tiada bukti terlibat dalam insiden itu.

Katanya, mereka tidak tahu menahu sebarang kebakaran yang berlaku di ladang itu.

Sebekai Plantation Sdn Bhd mengambil alih tanah itu enam tahun lalu. Menurut Ismawi, dalam bergelut mendapatkan semula tanah itu, mereka membina halangan itu.

Kumpulan Penan Muslim menuntut ganti rugi untuk kerugian mereka dan mahu tanah ladang kelapa sawit itu dikembalikan.

Penoreh maut motosikal diseret lori




18 Mei 2012
BESUT - Seorang penoreh maut apabila motosikalnya dirempuh lori dan diseret kira-kira 80 meter di Km 93, Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Pekan Jabi di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata Che Abdul Rani Che Wel, 53, datang dari rumahnya di Kampung Kerandang menuju kebun getahnya di Kampung Pondok Nyamuk apabila kejadian berlaku kira-kira 7.45 pagi.

"Mangsa cedera parah di kepala dan muka akibat jatuh diseret oleh lori yang datang dari belakang, " katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mangsa meninggal di tempat kejadian.

Kamaruddin berkata pemandu lori kecil berkenaan yang berumur 27 tahun kemungkinan mengantuk. - Bernama

Empat pengawal keselamatan ditahan curi kabel




17 Mei 2012
BALIK PULAU - Empat pengawal keselamatan di tapak pembinaan sebuah kilang di sini didapati mencuri kabel elektrik di tapak tersebut.
  
Kegiatan mereka dikesan oleh anggota polis yang sedang meronda di kawasan itu di Kampung Jawa, Bayan Lepas kira-kira 3.50 pagi tadi.
  
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin berkata kesemua suspek berusia 27 hingga 48 tahun itu ditahan ketika sedang memunggah beberapa gelung kabel yang masih belum dipasang dan memasukkannya ke dalam kereta," katanya kepada pemberita di sini.
  
Hatta berkata keempat-empat lelaki terbabit didapati menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa bulan lepas dan menjualnya di Seberang Perai.
  
"Siasatan juga mendapati salah seorang daripada suspek pernah terlibat dalam tiga kes samun dan pernah dikenakan hukuman buang daerah," katanya.

Beliau berkata gelung kabel itu dianggar bernilai RM20,000.
  
Dua buah kereta turut disita. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.
  
Dalam kes berasingan, dua beradik yang pakar mencuri dan melerai komponen motosikal ditahan di Sungai Ara, Bayan Lepas pagi semalam.
  
Hatta berkata hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu, mereka yang berusia 22 tahun dan 16 tahun itu ditahan pada pukul 2 pagi di sebuah bengkel ketika sedang meleraikan motosikal yang baru dicuri.
  
"Remaja berusia 16 tahun itu sebenarnya masih dalam jaminan polis kerana pernah ditahan sebanyak dua kali atas kesalahan sama," katanya.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau penjara atau kedua-duanya sekali. - Bernama

Paip bocor, meter air dicuri



Penduduk menunjukkan kawasan surau yang digenangi air yang keluar daripada paip bocor dari tingkat atas di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak Jaya, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR 17 Mei - Penduduk Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak Jaya di sini meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera membaiki paip bocor dan mengganti meter air yang dicuri di perumahan tersebut.
Wakil penduduk Perumahan Awam Desa Rejang, Hussen Zulkarai berkata, masalah tersebut telah berlanjutan selama dua minggu.
Katanya, walaupun telah membuat aduan kepada pihak Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL namun sehingga kini masih tiada tindakan proaktif diambil oleh mereka.
"Mereka (DBKL) hanya datang ganti sebuah sahaja meter air yang hilang, sedangkan hampir lima buah meter yang hilang.
"Paip yang bocor tidak dibaiki sehingga menyebabkan sekitar surau di Blok G digenangi air dan menyukarkan penduduk di sini untuk bersolat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengenai kecurian meter air yang sering berlaku, Hussen mengakui keadaan itu telah memaksa penduduk membuat penyambungan haram bagi memastikan bekalan air ke rumah mereka tidak terputus.
"Mereka tidak mempunyai pilihan lain selain berbuat demikian kerana telah membuat aduan berkali-kali namun tiada meter air baru yang diperoleh.
"Oleh itu saya meminta pihak DBKL agar segera menggantikan meter air dan membaiki paip yang bocor di perumahan ini agar penduduk dapat menjalani kehidupan seharian dengan selesa," ujarnya.
Dia turut menggesa DBKL sentiasa memantau kakitangannya yang ditugaskan untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan agar melakukan tugasan dengan segera dan proaktif.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Sapinah Samad berkata, paip bocor yang menyebabkan lantai di sekitar surau dipenuhi air dilihat mampu menjadi tempat pembiakan nyamuk.
"Saya bimbang jika ia dibiarkan berterusan akan menjadi tempat pembiakan nyamuk dan seterusnya membahayakan kesihatan penduduk di sini," katanya.

Tidak serik, diserbu kali kedua



KAWASAN yang menjadi mangsa sindiket curi pasir di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat rosak teruk akibat aktiviti perlombongan pasir. Gambar kecil pula menunjukkan peralatan yang dirampas oleh penguat kuasa Pejabat Daerah Kuala Langat, semalam.
KUALA LANGAT 16 Mei - Kegiatan mereka baru sahaja diserbu pada awal bulan, tetapi masih tidak serik dan kembali menjalankan kegiatan haram mencuri pasir seolah-olah undang-undang berada di bawah tapak kaki mereka.
Inilah sikap penyangak-penyangak sindiket curi pasir di Kampung Bukit Changgang di sini yang dikesan terus menjalankan operasi haram tersebut meskipun kegiatan mereka seperti berjaya dilumpuhkan oleh pihak berkuasa pada 3 Mei ini.
Kedegilan sindiket itu menyebabkan pasukan penguat kuasa Pejabat Daerah Kuala Langat mengambil tindakan menyita semua peralatan sindiket tersebut yang nilainya mencecah puluhan ribu ringgit hari ini.
Operasi bersepadu tersebut dijalankan dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Kerja Raya Kuala Langat.
Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohamed Yasid Bidin berkata, pihaknya telah menyita tiga buah pam menyedut pasir, sebuah palong mencuci pasir dan sebuah jentolak serta memusnahkan sebuah alat timbang pasir di kawasan berkenaan.
Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965.
"Mereka seolah-olah tidak peduli dengan serbuan kali pertama kerana berdasarkan intipan selepas seminggu operasi pertama dilancarkan mereka kembali aktif.
"Hari ini semua peralatan telah dirampas dan kami berjaya mematahkan dan melumpuhkan operasi sindiket tersebut," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.
Kata beliau, operasi kali ini dilakukan secara besar-besaran dengan melibatkan lebih daripada 50 anggota penguat kuasa.
"Kami terpaksa menyewa lori-lori besar bagi mengangkut semua peralatan yang disita agar kegiatan itu tidak akan berulang sekali lagi. Pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan sindiket itu tidak lagi beroperasi di kawasan tersebut," katanya.

Kes denggi di Selangor meningkat 50 peratus



KUALA LUMPUR 18 Mei - Selangor terus merekodkan jumlah kes dan kematian denggi tertinggi dengan 4,161 kes dan 10 kematian sejak Januari hingga 12 Mei lepas, meningkat hampir 50 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hassan Abdul Rahman.
Katanya sebanyak 2,770 kes dengan tiga kematian dicatatkan di negeri itu pada 2011.
"Jumlah terkumpul kes denggi dalam tempoh itu dilaporkan adalah 9,202, meningkat sebanyak 21 peratus berbanding 7,579 kes tahun lepas, dengan 20 kematian direkodkan berbanding 12 kematian pada 2011," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Hassan berkata negeri-negeri lain yang menunjukkan peningkatan kes denggi ketara tahun ini ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 360 kes (59 peratus), Kelantan 221 kes (82 peratus), Kedah 134 kes (76 peratus) dan Perlis sebanyak 49 kes (181 peratus).
Bagi minggu ke-19 tahun ini (6 hingga 12 Mei), Dr Hassan berkata 393 kes dan tiada kematian dilaporkan berbanding 405 kes dengan dua kematian minggu lepas.
Katanya 89 lokaliti mengalami wabak di seluruh negara melibatkan 16 daerah dengan dua lokaliti kawasan panas wabak, iaitu Kuarters Kakitangan ATM (Jalan U-Thant) dan Taman Mulia, di Cheras.
Taman Mulia merupakan lokaliti kawasan panas baru dengan Kadar Pembiakan Aedes mencatatkan nilai yang tinggi iaitu Aedes Indeks 2.0 peratus. - BERNAMA

Ketua Pengarah Tourism bebas tuduhan pecah amanah



KUALA LUMPUR 17 Mei - Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammed Taiyab dan bekas Pegawai Operasi Pembangunan Pelancongan Malaysia Bhd. (Pempena), Mohammad Rosly Md. Selamat dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tuduhan pecah amanah berjumlah RM 888,000.
Hakim Che Zulkifly Jusoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap kedua-dua tertuduh. - UTUSAN

Suspek dera Danish direman 4 hari



SUSPEK dera Mohd. Danish Aiman Abdullah ketika dibawa hadir di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, semalam untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
KUALA TERENGGANU 17 Mei - Polis terpaksa bergelut sebelum dapat menahan suspek lelaki yang diburu hampir sebulan lalu kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak sehingga koma, Mohd. Danish Aiman Abdullah, 2, pada 20 April lalu.
Lelaki terbabit cuba melarikan diri semasa didekati polis tetapi berjaya ditangkap kira-kira pukul 2 petang di sebuah warung milik ibunya di Manir dekat sini.
Suspek berusia 31 tahun itu kemudian ditahan reman selama empat hari sehingga 20 Mei ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret di sini, Mohd. Rusli Ahmad.
Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd. Danish koma dipercayai akibat ditampar teman lelaki ibunya di Kampung Tualang, Manir.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

Pecah rumah: Mekanik dijel 5 tahun, 5 sebatan



PETALING JAYA 17 Mei - Seorang mekanik dihukum penjara maksimum lima tahun dan sebatan lima kali oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan melakukan pecah rumah dan mencuri.
Majistret Nor Afidah Idris menjatuhkan hukuman itu apabila Khairudin Jamaruddin, 25, menukar pengakuannya kepada bersalah hari ini selepas beberapa kali menukar pengakuannya pada tarikh-tarikh sebelum ini.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumah seorang penolong pengurus, Muhammad Nazree Choo Abdullah, 42, di No. 21, Jalan USJ 6/2F, UEP, Subang Jaya di sini antara pukul 9 pagi dan 8.15 malam, 7 April 2009.
Dalam kejadian itu, dia didakwa mencuri wang tunai RM300, sebuah komputer riba jenama Dell dan barang kemas bernilai RM15,000 dengan jumlah kerugian bernilai RM20,000.
Lelaki itu turut didakwa melakukan perbuatan sama di rumah milik seorang suri rumah, Dlip Kaur 38, dengan mencuri dua utas rantai emas, sepasang subang emas, wang tunai RM2,000, seutas jam tangan jenama Rolex dan sebuah kamera jenama Canon yang kesemuanya bernilai RM20,000.
Kejadian itu didakwa berlaku di No. 28, Jalan USJ 2/4D, Subang Jaya di sini antara pukul 5 petang, 17 April 2009 dan 7 petang, 19 April 2009.
Bapa kepada tiga orang anak itu sekali lagi mengulangi perbuatan tersebut di rumah milik Ummu Hanni Sharifuddin, 28, di No. 30, Jalan USJ 13/B, Subang Jaya di sini antara pukul 5.10 pagi dan 6.40 petang, 5 Januari lalu.
Kali ini, di rumah milik pramugari itu, dia didakwa melarikan seutas gelang mutiara, dua unit telefon bimbit jenama Nokia, wang syiling bernilai RM700 dan wang tunai RM300 yang kesemuanya bernilai RM1,500.
Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat mengemukakan setiap dakwaan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda.
Nor Afidah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap tuduhan dan sebatan lima kali untuk kesemua tuduhan dengan hukuman penjara berjalan serentak.

Tiga warga Mexico antara 5 pengedar dadah ke tali gantung



KUALA LUMPUR 17 Mei - Lima lelaki termasuk tiga beradik rakyat Mexico dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 29.4 kilogram yang dianggarkan bernilai RM44 juta, empat tahun lalu.
Kesemua tertuduh terdiri daripada warga tempatan, Lee Boon Siah, 48; rakyat Singapura, Lim Hung Wang, 55; dan tiga beradik warga Mexico iaitu Jose Regino Gonzales Villarreal, 34; Simon Gonzales Villareal, 37, serta Luis Alfonso Gonzales Villarreal, 44.
Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan mereka.
Dalam keputusannya, Hakim Mohd. Zawawi berkata, undang-undang Malaysia melayan semua tertuduh secara sama rata, tanpa mengambil kira warga asing ataupun tempatan.
''Hukuman ini diharap akan menjadi pengajaran kepada mereka yang mahu menjalankan aktiviti yang sama seperti mereka. Justeru kesemua tertuduh dihukum gantung di leher sampai mati,'' katanya.
Prosiding hari ini turut dihadiri oleh hampir sepuluh wartawan dari agensi media asing termasuk dari Mexico.
Kelima-lima lelaki itu didakwa mengedar seberat 29,460.17 gram dadah jenis tersebut di kilang IPL Packaging Industries Sdn. Bhd. di 55, Jalan Idaman 1/5, Senai Industrial Park, Senai, Johor Bahru kira-kira pukul 3.15 petang, 4 Mac 2008.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Dalam penghakimannya, Hakim Mohd. Zawawi berkata, pembelaan tertuduh-tertuduh adalah meragukan dan difikirkan selepas dihadapkan ke mahkamah ekoran dakwaan mereka hanya melakukan kerja-kerja pembersihan termasuk membuang sampah di kilang tersebut.
Beliau berkata, mahkamah juga sukar mempercayai pembelaan ketiga-tiga rakyat Mexico yang telah merantau jauh dari negara asal mereka semata-mata untuk bekerja sebagai tukang cuci.
Selain itu, katanya, pembelaan mereka adalah tidak munasabah kerana ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas mereka menemui kesan methamphetamine pada seluar dalam, sarung tangan dan berus gigi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar, manakala kelima-lima tertuduh diwakili peguam-peguam, Rosal Azimin Ahmad, Kitson Foong, Rosal dan Ahmad Zaidi Zainal.

4 maut, pesawat terhempas selepas bertembung



PESHAWAR 17 Mei - Dua buah pesawat Tentera Udara Pakistan bertembung di udara dalam satu latihan rutin di barat laut Islamabad, hari ini sebelum terhempas di kawasan kediaman, mengorbankan semua empat juruterbang dan mencederakan dua penduduk.
Ia merupakan nahas keenam melibatkan pasukan keselamatan tersebut dan yang kedua dalam tempoh seminggu, sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung keselamatan pesawat yang kebanyakannya buatan China dan tempatan.
Punca kejadian, bagaimanapun masih disiasat.
Ketua Polis daerah Rashkai, Mohammad Hussain berkata, satu daripada pesawat Mushshak itu terhempas di sebuah rumah, mencederakan seorang kanak-kanak perempuan dan seorang warga emas lelaki.
Pesawat kedua pula jatuh di padang berhampiran di Rashkai, kira-kira 160 kilometer dari barat laut ibu negara.
"Dua buah pesawat latihan tentera bertembung di udara. Empat juruterbang maut. Mereka ialah dua juruterbang pelatih dan dua pengajar," katanya.
Nahas itu turut menyebabkan bumbung beberapa kediaman ranap.
Hussain berkata, kedua-dua pesawat tersebut berlepas dari Akademi Tentera Udara dekat Risalpur pada kira-kira pukul 10 pagi.
Televisyen tempatan turut menyiarka

Seludup dadah dari Malaysia terbesar di Australia



SYDNEY 17 Mei - Kaedah perisikan yang lebih baik membantu Australia membanteras penyeludupan dadah pada tahun lepas membabitkan rampasan terbesar dari Malaysia dan Indonesia, menurut satu kajian, hari ini.
Data Penyeludupan Dadah Suruhanjaya Jenayah Australia menunjukkan, hampir 70,000 rampasan dilakukan sepanjang tahun kewangan 2010/2011 dengan lebih 9.3 tan dadah dirampas dan 84,700 orang ditangkap.
Rampasan itu termasuk tiga kes penyeludupan heroin yang dikesan menggunakan perkhidmatan kargo melibatkan dua penghantaran berbeza dari Malaysia berjumlah 168.5 kilogram dan 42 kilogram, selain satu kes penyeludupan dari Pakistan membabitkan 25 kilogram dadah.
Ia turut melibatkan satu serbuan ke atas sebuah kapal layar kecil dan menemui dadah jenis kokain, berjumlah 57 peratus daripada keseluruhan dadah ditemui.
‘‘Perisikan merupakan kunci dalam membendung penyeludupan dadah di jalan raya dan sempadan.
‘‘Sebanyak 96 peratus rampasan dadah berlaku ekoran perisikan agensi penguatkuasa undang-undang sebelum bungkusan itu tiba di Australia ,’’ kata Menteri Dalam Negeri, Jason Clare.
Ketua Suruhanjaya Jenayah Australia, John Lawler berkata, perisikan yang lebih baik membantu menyasarkan kumpulan jenayah terancang.
‘‘Jumlah rampasan yang meningkat adalah hasil langsung daripada peningkatan perisikan dan perkongsian maklumat di Australia dan rakan penguatkuasa di luar negara,’’ katanya. - AFP

Sorok syabu dalam periuk



Badaruddin Mohamed Rafik (tiga kiri) bersama Timbalan Pengarah Kastam KLIA, Siti Baya Berahan dan Ketua Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA, Zahari Abdullah (dua, kanan) menunjukkan sebahagian daripada 24 periuk yang digunakan untuk menyeludup syabu pada sidang akhbar di ibu pejabat Kastam KLIA, semalam. - BERNAMA
SEPANG 17 Mei - Kondom, pek makanan, jus, jaket sudah biasa. Tetapi kali ini periuk pula digunakan untuk menyeludup masuk dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bukan satu, tetapi 24 periuk menjadi alat untuk mengaburi mata pihak penguat kuasa di salah sebuah pintu masuk negara yang mengesan sejumlah 5.17 kilogram dadah jenis syabu.
Namun taktik terbaru itu ternyata gagal mengelirukan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang berjaya membongkar sindiket penyeludupan dadah bernilai RM1. 292 juta.
Pengarah JKDM KLIA, Badaruddin Mohamed Rafik berkata, suspek warga India berusia 38 tahun itu ditahan di Bangunan Terminal Utama, KLIA sejurus tiba dari Singapura pada pukul 8.45 pagi Selasa lalu.
Dadah tersebut, katanya, ditemui di dalam bungkusan kain yang disembunyikan di antara lapisan periuk dan apabila dibuka terdapat serbuk putih disahkan dadah jenis syabu.
“Suspek ditahan kerana dia kelihatan mencurigakan dan hasil ujian imbasan terhadap barangan yang dibawa juga menunjukkan terdapat imej meragukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Badaruddin, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
Mengulas lanjut, Badaruddin berkata, kes penyeludupan dadah yang disorok di dalam periuk adalah kes keempat dikesan dalam tempoh 15 hari di KLIA.
Selain itu, katanya, Selasa lalu seorang warga Nigeria yang menuntut di kolej swasta di Kuala Lumpur ditahan kerana menyeludup 1.1 kg dadah jenis syabu bernilai RM275,000 yang disorok di bahagian belakang begnya.
Beliau berkata, pada 5 Mei pula, JKDM berjaya menahan seorang lagi lelaki warga Nigeria kerana menyeludup masuk sekilogram dadah jenis syabu bernilai RM250,000.
“Suspek berusia 39 tahun itu tiba dari Dubai, Emiriyiah Arab Bersatu dikesan menyorok dadah tersebut dalam satu ruangan khas di bahagian bawah beg yang dibawanya," katanya.
Selain itu, satu lagi kes dikesan pada 29 April lalu apabila seorang lagi warga India ditahan kerana menyeludup masuk sejumlah 3 kilogram dadah jenis ketamin bernilai RM120,000.
“Suspek berusia 28 tahun tiba dari Mumbai, India dikesan menyorok dadah tersebut dalam satu ruang khas di bahagian bawah beg. Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan juga telah memasuki negara ini sebanyak dua kali," katanya.
Dalam pada itu ,katanya, sehingga kini sebanyak 29 tangkapan berjaya dilakukan oleh JKDM KLIA dengan melibatkan rampasan dadah sebanyak 112.218 kg bernilai RM20.04 juta.

Rakyat Saudi dihukum pancung kerana membunuh



RIYADH 18 Mei - Pihak berkuasa Arab Saudi semalam menjatuhkan hukuman pancung ke atas seorang lelaki rakyat negara ini selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki warga Bangladesh dan menikam seorang lagi dalam percubaannya untuk merompak mereka, kata menteri dalam negeri.
Sultan al-Sahli didapati bersalah melakukan jenayah itu dan menurut laporan agensi berita SPA, Sultan mahu mencuri telefon bimbit dan duit milik lelaki Bangladesh berkenaan.
Hukuman itu kini menjadikan jumlah mereka yang menjalani hukuman pancung di negara ini berjumlah 26 orang. -AFP

Plat senget kelirukan JPJ



Plat senget kelirukan JPJ
Abdul Rahman memeriksa nombor plat sebuah kenderaan yang berkedudukan
senget dalam Operasi Pengarah yang dilakukan di sempadan
Terengganu-Pahang, di Kampung Geliga.
KEMAMAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan ‘trend’ terbaru pemandu kereta di negeri ini yang menggunakan nombor plat hadapan yang diletakkan dalam kedudukan senget, sekali gus membuatkan ia sukar dilihat.

Keadaan itu mengelirukan serta menyukarkan penguat kuasa JPJ ketika operasi dilakukan selain nombor pendaftaran itu juga sukar dirakam oleh kamera di zon perangkap had laju.

Ekoran kesalahan terbabit yang dikategorikan dalam kesalahan teknikal, beberapa kereta turut dikenakan kompaun dan diberikan notis arah periksa oleh JPJ pada Operasi Pengarah yang dilakukan di sempadan Terengganu-Pahang, di Kampung Geliga, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, pada operasi yang dilakukan bermula jam 4.30 hingga 6.30 petang itu sebanyak 12 kesalahan teknikal dikesan termasuk yang membabitkan penggunaan nombor pendaftaran senget.

“Untuk kesalahan penggunaan nombor plat sendeng atau senget ini kita turut kenakan hukuman mengikut Seksyen 14(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2010) iaitu kompaun sebanyak RM100 tetapi jika lewat dibayar dalam tempoh yang ditetapkan kompaunnya boleh meningkat kepada RM150 dan RM250.

“Selebihnya kesalahan teknikal dari segi penggunaan cermin gelap. Penggunaan cermin gelap dan juga plat senget ini kita berikan notis arah periksa dalam tempoh 10 hari mengikut Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang sekiranya notis diingkari saman boleh dikeluarkan,” katanya ketika ditemui pada operasi berkenaan.

Pada operasi selama dua jam melibatkan 25 pegawai dan anggota JPJ itu, sebanyak 24 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan iaitu tiada cukai jalan, tiada lesen memandu dan penggunaan tayar botak.

Mengulas lanjut, kata Abdul Rahman, Kemaman terpilih sebagai lokasi Operasi Pengarah itu memandangkan pada 13 dan 14 Julai depan, JPJ sekali lagi akan berkampung di daerah ini bagi perasmian Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) siri 2/2012.

“Melalui operasi sebegini pihak kami dapat mendekati masyarakat bagi menguar-uarkan program yang berkonsepkan mesra rakyat ini. Kami mahu masyarakat tahu JPJ bukan sekadar sebagai penguat kuasa undang-undang lalu lintas sahaja malah boleh juga mendekati masyarakat.

“Dengan cara operasi sebegini, rakyat boleh didekati secara terus oleh JPJ tanpa dimanipulasi. Masyarakat tidak seharusnya melihat operasi yang dijalankan itu sebagai halangan atau bebanan kepada mereka tetapi perlu melihat ia sebagai satu pendekatan kaedah mendidik,” katanya.

Menurutnya, perasmian SKSJ siri 2/2012 nanti akan diadakan di Felda Neram 2 membabitkan seramai 500 penduduk seluruh Kemaman termasuk dari Felda Seberang Tayor dan Seri Bandi akan mendapat lesen B2.

Gagal kemuka MyKad dipenjara 3 bulan



Dipenjara 3 bulan, gagal kemuka Mykad
Tertuduh (tengah) diiringi polis keluar dari mahkamah selepas hukuman diputuskan.
KOTA BHARU – Seorang penganggur dijatuhi hukuman tiga bulan penjara selepas didapati bersalah gagal mengemukakan kad pengenalan (MyKad) ketika pemeriksaan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, bulan lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly selepas Mohamad Faizal Ezanie Mohd Shaharudin, 19, mengaku bersalah atas tuduhan dihadapi.

Berdasarkan pertuduhan, dia mengaku melakukan kesalahan itu di Pejabat Siasatan Jenayah, pejabat berkenaan, pada jam 4.30 petang, 23 April.

Dia yang beralamat di Flat Buluh Kubu di sini tidak diwakili peguam.

Susulan pengakuan salah itu, Mohd Fazaly menjatuhkan hukuman mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

RM8j pakaian tiruan dirampas



RM8j pakaian tiruan dirampas
Othman (kiri) menunjukkan jersi bola sempena Kejohanan Bola Sepak Euro 2012
yang dirampas.
DAMANSARA – Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya merampas pakaian tiruan bernilai hampir RM8 juta dalam serbuan di dua rumah kedai di Bandar Sri Damansara, petang semalam.

Hasil risikan selama dua minggu itu, 250,000 helai jersi yang sebahagian besarnya adalah edisi khas bersempena Kejohanan Bola Sepak Euro 2012 dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang turut dirampas.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, kebanyakan pakaian yang dirampas dibawa masuk dari negara luar yang setiap satu jika dijual berharga RM15 hingga ke RM35.

“Stor yang diserbu ini dijadikan transit sementara penyimpanan sebelum pakaian ini diedar di pasar malam dan tempat tumpuan orang ramai di sekitar Kuala Lumpur dan juga Selangor,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pakaian yang dirampas terdiri daripada jenama popular seperti Adidas, Nike, Polo dan Gorgio Armani.

“Tindakan diambil di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM20,000 setiap helai untuk syarikat manakala maksimum RM10,000 sehelai untuk individu.

“Operasi dilakukan susulan aduan syarikat pengeluar jenama asli selain ia turut menyebabkan kerugian kepada hasil negara kerana cukai dikenakan rendah,” katanya.

Difahamkan dua stor simpanan yang beroperasi selama setahun itu dijaga seorang wanita Kemboja yang dibayar gaji USD180 sebulan.

Sepanjang Januari hingga Mei tahun ini, KPDNKK Selangor berjaya merampas barang tiruan bernilai RM13 juta daripada 90 serbuan yang dijalankan setakat ini.

Bapa dua anak, lepas hukuman gantung



Bapa dua anak, lepas hukuman gantung
Affandi bersama peguam belanya Wan Zainuddin (dua dari kanan) keluar dari
Mahkamah Tinggi disini semalam.
KUALA TERENGGANU – Bapa kepada dua anak menarik nafas lega apabila terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas dia dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, kelmarin, daripada dakwaan mengedar heroin, tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang, gagal membuktikan kes prima facie terhadap Affandi Mohammad, 38, yang diwakili peguam bela Wan Zainuddin Wan Musa.

Sebelum ini, Affandi dituduh mengedar dadah jenis heroin seberat 52.45 gram di dalam sebuah kereta di hadapan Surau Haji Awang, Kampung Losong Haji Awang, di sini, 4 Januari 2011 kira-kira jam 9.45 malam.

Dengan itu, Affandi didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta sama yang boleh digantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Mohd Yazid dalam penghakiman berkata, terdapat percanggahan dan kekeliruan keterangan mengenai pembuktian elemen pemilikan dadah oleh tertuduh.

“Selepas menimbang dan mengambil kira keterangan saksi pendakwaan, saya mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan pertuduhan mengedar dadah, maka mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh,” katanya.

Padah samun rumah polis



- Bekas pembantu kantin yang menghadapi tuduhan merompak secara berkumpulan terhadap seorang pegawai
Tertuduh pertama yang dihukum penjara 5 tahun menutup muka mengelak wajah
dirakam manakala rakannya (kiri) yang mengaku tidak bersalah bakal dibicarakan 19, 20 Julai
KUANTAN - Bekas pembantu kantin yang menghadapi tuduhan merompak secara berkumpulan terhadap seorang pegawai kanan polis dan isteri di sini Oktober tahun lalu mengaku sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Akur dengan kesilapan yang dilakukan, tertuduh, Mohd Rahmad Fadzil, 24 dari Felda Sungai Panching Utara dekat sini menukar pengakuan kepada besalah terhadap pertuduhan pindaan yang ditawarkan pihak pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.

Akibat daripada pengakuan bersalahnya itu, tertuduh yang berada di bawah tahanan reman sejak 24 November tahun lalu dihukum penjara lima tahun berserta dua sebutan.

Hukuman penjara yang dibuat Hakim Fathiyah Idris terhadap tertuduh itu bermula dari tarikh dia ditangkap.

Sementara itu rakannya, Fairul Zalizam Razali, 26 dari Kampung Baru Tanah Putih, Pekan mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya dan minta dibicarakan terhadap tuduhan tersebut.

Mohd Rahmad yang diwakili peguamnya, Zaharman Zainal Abidin sebelum itu merayu kepada mahkamah memohon supaya hukuman penjara ke atasnya dikurangkan dengan alasan dia masih muda dan mempunyai isteri serta dua anak perempuan berusia dua tahun dan 10 bulan.

Tertuduh yang pernah belajat di sekolah agama mengakui sudah insaf dengan perbuatannya itu dan berjanji tidak akan mengulanginya pada masa akan datang.

Rayuan tertuduh itu bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin apabila beliau berpendapat, perbuatan tertuduh melakukan rompakan secara berkumpulan satu kesalahan serius.

Mengambil kira semua pertimbangan sewajarnya, Fathiya menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh sebagai satu pengajaran terhadap kesalahan yang dilakukan.

Sementara itu, tertuduh kedua yang minta untuk dibicarakan melalui peguamnya memohon satu tarikh perbicaraan baru bagi membolehkan pihaknya mengemukakan satu representasi kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya di sini untuk menyemak semula tuduhan tersebut.

Fathiyah menerima permohonan tersebut bagaimanapun meminta peguam tertuduh berbuat demikian dalam masa terdekat sebelum menetapkan 19 dan 20 Julai depan sebagai tarikh perbicaraan baru berhubung kes tersebut.

Dua rakan itu sebelum ini didakwa melakukan rompakan ke atas pegawai kanan polis itu dan isterinya di sebuah rumah di Taman Mewah Sri Bayu Beserah di sini kira-kira jam 6.45 pagi, 31 Oktober tahun lalu.

Dalam kejadian itu, mereka didakwa melarikan sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Harrier, wang tunai RM1,700, mata wang USD 1,500, lima telefon bimbit dan sejumlah barang kemas.

Turut dilarikan dua kamera digital, komputer riba, dua jam tangan, satu unit GPS, pemain MP3, kad pengenalan dan kad kuasa polis milik mangsa membabitkan kerugian kira-kira RM100,000.

Tertuduh yang berjaya dicekup polis hampir sebulan selepas kejadian dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Penoreh maut motosikal diseret lori





18 Mei 2012
BESUT - Seorang penoreh maut apabila motosikalnya dirempuh lori dan diseret kira-kira 80 meter di Km 93, Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Pekan Jabi di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata Che Abdul Rani Che Wel, 53, datang dari rumahnya di Kampung Kerandang menuju kebun getahnya di Kampung Pondok Nyamuk apabila kejadian berlaku kira-kira 7.45 pagi.

"Mangsa cedera parah di kepala dan muka akibat jatuh diseret oleh lori yang datang dari belakang, " katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mangsa meninggal di tempat kejadian.

Kamaruddin berkata pemandu lori kecil berkenaan yang berumur 27 tahun kemungkinan mengantuk. - Bernama

Lelaki dituduh dera bayi berusia dua bulan




18 Mei 2012
BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan melakukan penganiayaan dan pengabaian terhadap seorang bayi berusia dua bulan.
  
Majistret, Arif Mohd Shariff membenarkan tertuduh, Muhamad Zaidi Jaafar, 31, dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin.
  
Muhamad Zaidi dituduh melakukan penganiayaan terhadap Muhamad Iskandar Zulkarnain Abdullah hingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi pukul 9.30 malam, 9 Mei lepas di sebuah rumah di Mukim 3, Kampung Pelet.
  
Perbuatan itu diketahui selepas bayi itu dibawa ke hospital oleh ibunya, dan hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan kecederaan pada tubuh mangsa, dipercayai didera.
  
Laporan polis kemudiannya dibuat doktor berkenaan.
  
Muhamad Zaidi didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
  
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, J G Kaameni Jaya Raman.

Mahkamah menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Polis rampas Eramin 5 bernilai RM14.9 juta




18 Mei 2012
KUALA LUMPUR - Lima hari selepas tumpasnya sindiket memproses dadah jenis Eramin 5 bernilai RM43 juta di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Klang, Polis Selangor pada Rabu lepas menyerbu stor simpanan utama sindiket itu di sebuah rumah di Kapar, Klang melibatkan rampasan RM14.9 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata hasil serbuan di rumah dua tingkat itu, seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun yang ditugaskan mengawal rumah berkenaan ditahan di rumahnya di Bukit Raja, Klang.

"Di dalam rumah dua tingkat itu, kita merampas 736,330 biji pil Eramin 5 dan 12.3 kg bahan ephedrine, bahan utama untuk membuat dadah jenis syabu, alat pengering yang digunakan untuk memproses dadah dan bungkusan dadah yang siap untuk diedarkan," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Noor Rashid berkata siasatan mendapati lelaki tempatan itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan pemilikan dadah.

Katanya polis percaya masih ada saki baki anggota sindiket berkenaan dan polis masih mengadakan operasi dan siasatan lanjut untuk menjejaki suspek terbabit.

"Dengan kejayaan operasi ini, polis bukan sahaja berjaya menumpaskan satu sindiket dadah antarabangsa yang memiliki makmal dadah haram memproses Eramin 5 tetapi lebih penting, polis berjaya menyekat bekalan dadah pil-pil ini yang keseluruhannya berjumlah 3.76 juta pil daripada memasuki pasaran dadah tempatan untuk disalahgunakan," kata Noor Rashid.

Dalam serbuan Sabtu lepas, polis menangkap 25 anggota sindiket termasuk warga Taiwan dan Nepal dalam 15 serbuan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Klang.
Sepuluh orang ditahan di Pulau Pinang, enam di Klang dan selebihnya ditahan di sekitar Kuala Lumpur.- Bernama

Bapa rayu anak pulang selepas 2 tahun hilang

GEORGE TOWN - Seorang bapa hari ini merayu anak lelakinya agar pulang ke pangkuan keluarga setelah hampir dua tahun dikatakan bekerja di ibu negara tetapi tidak pernah mengirim sebarang khabar berita.
Tan Kim Heng, 65, berkata anaknya, Tan Koon Shu, 33, meminta kebenaran daripadanya dan isteri ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai ejen hartanah pada Ogos 2010.
"Selepas tiga bulan berpindah, hanya sekali anak saya telefon di rumah, memberitahu majikannya memintanya berpindah ke Johor Baharu dan dia tidak banyak bercerita mengenai keadaan diri dan pekerjaannya," katanya kepada pemberita di Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini.
Tan yang tinggal di Paya Terubong, Ayer Itam menyifatkan anak kedua dari tiga beradik itu sebagai anak yang baik dan mendengar kata tetapi tidak tahu kenapa anaknya terus tidak menghubungi mereka.
"Ada sekali dia kirimkan wang melalui akaun bank saya sebanyak RM500 tetapi apabila kami cuba menelefonnya dia gagal dihubungi," katanya.
Katanya, beliau ada membuat laporan polis pada Februari tahun lepas dan cuba menjejaki anakya menerusi media sosial dan bertanya rakan-rakannya tetapi gagal menemui sebarang petunjuk.
"Akaun Facebook anak saya sudah lama tidak dikemas kini. Saya sudah semakin tua jadi saya berharap sangat dapat bertemu dengannya sempena Hari Bapa nanti," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Pulau Pinang, Lim Thoon Deong berkata sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Koon Shu boleh menghubungi Tan (016-4856236) atau pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di talian 04-2267827. - Bernama

Penyamun sorok hasil dalam rumah



Penyamun sorok hasil dalam rumah
Jalaludin mengetuai aktiviti ‘walkabout’ bersama anggota polis mendengar luahan
dan aduan penduduk Pasir Mas, semalam.
PASIR MAS – Seorang lelaki ditahan polis bersama wang RM10,000 hasil samun melibatkan kes di Bachok, jam 10.40 pagi, semalam.

Suspek, Mohd Nizam Abd Manaf, 32, ditahan di rumahnya dekat Kok Lanas, bersama wang dan beberapa pil dipercayai dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dua rakan suspek yang turut terlibat dalam beberapa kejadian samun itu juga berjaya ditahan di daerah berbeza, kelmarin.

“Nizam merupakan ketua kumpulan samun, mengaku terlibat dalam tujuh kes samun di Bachok, dalam masa tiga hari.

“Modus operandi mereka menggunakan senjata dan meletakkan pisau di leher mangsa ketika melakukan jenayah,” katanya semalam.

Jalaludin berkata, tiga hari lalu, seorang suri rumah di Kampung Kandis, Bachok kerugian kira-kira RM10,000 apabila wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit disamun.

Menurutnya, kesemua suspek direman dan siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Jalaludin turut mengetuai aktiviti ‘walkabout’ bersama pegawai dan anggota polis Pasir Mas.

Beliau meluangkan masa hampir dua jam, berjalan kaki bermula Stadium Mini sehingga ke dataran Kereta api Pasir Mas, untuk bertemu peniaga dan penduduk Pasir Mas.

Jalaludin berkata, pihaknya sentiasa mendengar luahan serta aduan penduduk, dan mengambil serius bagi menangani masalah yang timbul.

Buruh tidak mengaku salah rogol gadis bawah umur



Buruh tidak mengaku salah rogol gadis bawah umur
Tertuduh diiringi polis menuju ke mahkamah, semalam.
KOTA BHARU - Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol gadis bawah umur di sebuah pondok di sini, Mac lalu.

Mohd Jahari Razmi,22, dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun tiga bulan. Berdasarkan pertuduhan, kejadian berlaku di sebuah pondok di kampung tertuduh di Wakaf Mek Zainab di sini, pada jam 10 pagi, 14 Mac.

Mohd Jahari berdepan penjara antara lima dan 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia yang diwakili peguam bela, Ahmad Ridhuan Awang, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusof tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan ke atas tertuduh berikutan dakwaan serius yang dihadapi.

”Sekiranya mahkamah membenarkan jamin, saya mohon jaminan berjumlah RM15,000 dengan syarat tertuduh tidak boleh menganggu mangsa dan saksi-saksi pihak kami,” katanya.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Kes disambung 17 Jun depan.

Rumah guru hangus, suami isteri tinggal sehelai sepinggang



Rumah guru hangus, suami isteri tinggal sehelai sepinggang
Ahmad Syed bersama isterinya membersihkan kayu yang terbakar depan rumahnya.
KOTA BHARU - Enam sekeluarga terpaksa tinggal sehelai sepinggang selepas banglo mereka hangus dalam kebakaran di Limbat, Pasir Tumboh di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi tersebut menyebabkan pemiliknya, Ahmad Syed Abdul Rahman ,48, kerugian kira-kira RM40,000 setelah rumah dan harta benda tidak dapat diselamatkan.

Ahmad Syed yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dewan Beta berkata, ketika kejadian dia berada di sekolah dan terus pulang selepas menerima panggilan telefon daripada jirannya.

“Ketika sampai saya terkejut setelah melihat semua peralatan di dalam rumah sudah hangus dan tidak dapat diselamatkan lagi kerana pintu berkunci.


“Hanya konkrit bahagian depan rumah sahaja yang tidak terbakar. Saya sedih kerana pakaian, dokumen penting termasuk geran tanah ayah menjadi abu dalam sekelip mata,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Dalam pada itu, dia juga bersyukur semasa kejadian isterinya, Faizah Abdullah, 48, bersama anak bongsunya tiada di dalam rumah kerana berada di Pasir Mas menziarahi saudaranya kemalangan jalan raya.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk bomba dan individu yang menyelamatkan kereta saya dengan memecahkan cerminnya sebelum menolaknya ke kawasan selamat,” katanya.

Isteri mangsa, Faizah memberitahu, dia ke Pasir Mas kira-kira jam 9 pagi dan terkejut setelah menerima panggilan telefon daripada jirannya memaklumkan rumahnya terbakar.

“Saya reda dengan ujian ini biarpun kami tinggal di rumah ini baru lapan bulan dan semua barang-barang termasuk kelengkapan persekolahan anak-anak hangus dalam sekelip mata,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi menyelamat, Yazulia Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.02 pagi dan dua jentera dari balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu bersama tiga dari balai Darul Naim ke tempat kejadian.

Katanya, 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan api dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 11.35 pagi serta punca kejadian bersama jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Kesedihan keluarga tersebut sedikit terubat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Tumboh, Ahmad Baihali Atiqullah menyampaikan bantuan segera RM1,000 bagi membantu meringankan beban mangsa.