Search This Blog

Tuesday, May 15, 2012

4 lelaki ditahan dipercayai baling bom tangan

4 lelaki ditahan dipercayai baling bom tangan - Semasa - Sinar Harian: "IPOH - Seorang dari empat lelaki yang dikatakan ingin menuntut hutang daripada seorang individu bertindak membaling bom tangan di hadapan rumah lelaki itu di Taman Bemban Jaya, Batu Gajah dekat sini hari ini, apabila tuntutan mereka tidak dilayan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, empat lelaki berusia antara 14 dan 35 tahun pergi ke rumah berkenaan untuk menuntut hutang.

"Mangsa enggan melayan permintaan mereka menyebabkan berlaku pergaduhan.

"Seorang daripada lelaki berkenaan kemudian mengeluarkan sebutir bom tangan dan menunjukkan ke arah mangsa bertujuan untuk mengugut sebelum membalingnya ke bawah kereta mangsa namum bom itu tidak meletup," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata polis yang ke rumah itu setelah menerima panggilan daripada mangsa, berjaya menahan keempat-empat lelaki terbabit berhampiran rumah berkenaan ketika mereka cuba melarikan diri.

Polis yang membuat pemeriksaan kemudian menemui sebutir bom tangan yang masih hidup dan bom itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut, katanya. - Bernama"

'via Blog this'

Pemilik ladang ternakan ayam ditemui mati

Pemilik ladang ternakan ayam ditemui mati - Sinar Harian:

BUKIT MERTAJAM - Seorang pemilik ladang ternakan ayam, ditemui mati dengan lehernya dijerut dan tangannya diikat dalam satu kejadian bunuh di rumahnya di Taman Impian, Alma di sini hari ini.
Mayat mangsa Chan Boon Kian, 49, ditemui terbaring di atas lantai bilik utama yang terletak di tingkat atas rumahnya oleh pekerja mangsa yang datang mencarinya di rumah pada pukul 11.40 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supt Baharudin Mustapha berkata siasatan awal mendapati tiada kesan rumah berkenaan dipecah masuk dan barang-barang milik mangsa juga tidak hilang.
"Kita difahamkan ketika kejadian mangsa berseorangan di rumah dan siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada berlaku pergelutan sebelum kejadian memandangkan keadaan bilik mangsa didapati sedikit berselerak.
"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tangannya terikat dengan beberapa kesan kecederaan. Setakat ini, kita belum tahu motif kejadian dan menunggu laporan patologi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Baharudin berkata polis juga akan mengambil keterangan daripada saksi yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan bagi membantu siasatan.
Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.
Sementara itu isteri Chan yang enggan namanya disiarkan mendakwa suaminya ada memberitahu dia diekori seorang lelaki pada malam Rabu dan Khamis lepas.
"Beberapa hari lepas suami ada beritahu dia diekori seorang lelaki bermotosikal hingga ke rumah. Saya bimbang dengan keadaan itu dan memintanya tinggal bersama saya dan anak-anak di rumah baru, tetapi dia tetap mahu tinggal di rumah lama kami," katanya.
Beliau berkata suaminya tinggal di rumah berkenaan seorang diri selepas dia dan anak-anaknya berpindah ke kediaman baru yang terletak di taman yang sama.
"Saya ada nasihat suami agar pulang ke rumah baru kami yang terletak tidak jauh dari situ, namun, beliau enggan atas alasan tiada orang menjaga rumah lama kami yang dihuni sejak 11 tahun lepas," katanya.
Beliau yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata dia tidak tahu bagaimana kejadian bunuh itu boleh berlaku kerana suaminya yang juga Pengerusi Bomba Sukarela Taman Impian tidak pernah mempunyai musuh.
- Bernama

'via Blog this'

Pengawal keselamatan lelaki warga Pakistan mati ditetak

Pengawal keselamatan lelaki warga Pakistan mati ditetak - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan lelaki warga Pakistan mati ditetak dua lelaki di sebuah kuari di Kuang dalam kejadian pukul 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abd Rahim Abdullah berkata mangsa yang hanya dikenali sebagai Ubaidullah, 27, didatangi suspek yang bertopeng dan menaiki motosikal ketika sedang bertugas.
"Mangsa ketika itu berada di pos pengawal kuari, dan dia kemudian diserang serta ditetak di bahagian kepala menggunakan sebilah parang oleh seorang daripada suspek sebelum kedua-duanya melarikan diri.
"Rakan setugas mangsa yang dikenali sebagai Mahammad Umar, 30, yang berada di lokasi ketika kejadian, sempat melarikan diri dan bersembunyi di dalam tandas," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata mangsa, yang baru enam bulan bekerja, mati di tempat kejadian ekoran kecederaan parah dan mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Buluh untuk bedah siasat.
Abd Rahim berkata tiada sebarang kesan pecah masuk di pejabat kuari dan hanya barang berharga milik mangsa sahaja didapati hilang.
Beliau berkata motif kejadian masih disiasat dan polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kuari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.  - Bernama

'via Blog this'

6 penumpang nyaris maut, bot tenggelam

6 penumpang nyaris maut, bot tenggelam - Sinar Harian:

PORT DICKSON - Enam penumpang cemas apabila bot yang mereka naiki tiba-tiba tenggelam mengakibatkan mereka hampir lemas dalam satu kejadian kira-kira jam 1.30 petang tadi di perairan Port Dickson, di sini.
Pegawai Penguat Kuasa Maritim Malaysia Leftenan Muda Ahmad Azwan Rusidi berkata kejadian berlaku di 4.5 batu nautika perairan di sini selepas bot tersebut berlepas dari jeti lama Port Dickson sekitar jam 12.30 tengah hari.
Katanya bot tersebut dalam perjalanan untuk menghantar bekalan makanan kepada sebuah kapal dagang yang berlabuh di perairan sama.
"Bagaimanapun ketika kerja-kerja memunggah barang dilakukan, keadaan laut bergelora kuat menyebabkan bot kayu sepanjang 15 meter itu bergesel dan menyebabkan kebocoran.
"Bot itu kemudiannya dipenuhi air dan tenggelam sepenuhnya dalam masa 10 hingga 15 minit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Jabatan Laut Port Dickson, di sini hari ini.

Mereka, Abdul Hadi Musa, 36, R. Sugumaran, 34, V. Gunasegaran, 34, Azman Ezam Hamzah, 33, Mohamad Alias Yusoff, 26, dan Shabudin Mohd Nordin, 51, bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh anak kapal dagang tersebut.
Ahmad Azwan berkata tindakan mereka memakai jaket keselamatan juga menyelamatkan mereka daripada tenggelam bersama bot tersebut.
"Hanya seorang daripada mereka yang mengalami kecederaan ringan di kaki kiri dan telah menerima rawatan daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Port Dickson," katanya. - 

'via Blog this'

Facebook jejaki remaja OKU hilang dilancar

Facebook jejaki remaja OKU hilang dilancar - Semasa - Sinar Harian:

Facebook jejaki remaja OKU hilang dilancar
Zaleha gagal menahan sebak semasa menampal poster kehilangan anak sulungnya.
PASIR GUDANG – Facebook bagi mengesan seorang remaja sindrom down,  yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu, dilancarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk M Munusamy.
“Kami akan berusaha menyebarkan maklumat kehilangan remaja terbabit menggunakan media baru termasuk Facebook,” katanya ketika ditemui selepas memberi bantuan kepada keluarga remaja itu, hari ini.
Saiful Sarmidi, 21, pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar rumah pada jam 8.30 pagi hari kejadian.
Remaja itu dilihat kali terakhir berada di Surau Haji Osman, Kampung Sungai Rinting C, kira-kira 50 meter dari rumahnya tengah hari hari kejadian.
Bapa mangsa, Sarmidi Subir, 48, merayu orang ramai membantu mengesan anaknya selepas usaha mencari di kawasan persekitaran menemui jalan buntu.
Katanya, sejak berpindah ke kawasan itu sejak tujuh tahun lalu, Saiful gemar meluangkan masa di surau dan hanya pulang ke rumah untuk makan.
“Saiful dijaga oleh anak saudara saya, Suhana Hasri.
“Suhana mendapati Saiful masih berada di surau berkenaan pada jam 12 tengah hari dan kehilangan Saiful hanya disedari jam 3.30 petang ketika Suhana mahu memanggilnya pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian.
Sarmidi yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, anaknya jarang merayau-rayau jauh dari rumah mereka, malah dia  cepat berasa penat apabila melakukan aktiviti luar.
Misteri kehilangan Saiful menggusarkan ibunya, Zaleha Rasidi, 43, yang gagal mengawal emosi dan menangis setiap kali bercerita mengenai kehilangan anak sulungnya itu.
Dia yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, kali terakhir mereka berjumpa dengan anak sulung dari dua beradik itu adalah pada jam 8.30 pagi sebelum keluar bekerja.
Saiful yang berbadan gempal memakai kemeja-T berwarna merah dengan jaket kelabu, seluar jeans hitam dan topi berwarna kuning pada hari berkenaan.
Menurut ibunya, Saiful turut membawa beg kertas berwarna merah yang berisi sebotol minuman dan kuih jemput-jemput sebelum ke surau.
Sarmidi juga membuat laporan di Balai Polis Masai pada hari yang sama.
Dia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya itu supaya menghubunginya menerusi talian 012-7513901 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, sepupu Saiful yang merupakan individu terakhir yang menemui remaja tersebut berkata, dia gemar bermain bersendirian dan menghabiskan masa di surau.

“Dia memang sentiasa berada di surau dan hanya akan pulang ke rumah apabila bekalan airnya habis.

“Pada hari kejadian, saya ada ke sana (surau) pada jam 12.30 untuk memanggil dia pulang untuk makan, tetapi dia berkeras mahu menunaikan solat zohor, sebelum pulang,” katanya.

'via Blog this'

Polis selamat murid perempuan diculik depan sekolah

Berita Harian Online | Polis selamat murid perempuan diculik depan sekolah: "BUKIT MERTAJAM: Polis menyelamatkan seorang murid perempuan berusia sembilan tahun yang diculik di depan sekolahnya di Prai, Butterworth, di sebuah rumah di Jelutong, Georgetown, awal petang tadi.

Berikutan itu, polis menahan seorang wanita berusia 23 tahun kira-kira jam 1.45 petang dan sedang memburu beberapa lelaki yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian berkenaan.
T Purani, murid Sekolah Kebangsaan Khir Johari, ditemui dalam keadaan selamat dan keluarga mangsa juga belum sempat menjelaskan wang tebusan yang diminta sebanyak RM24,850.
Ibu mangsa, M Santhi, 47, yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah (SPT) di sini, berkata dia menyedari anaknya tidak pulang dari sekolah selepas menerima panggilan daripada ibunya, kira-kira jam 3 petang.

Berikutan itu, dia menghubungi pemandu van sekolah anaknya dan dimaklumkan ada orang membawa Purani menaiki Proton Saga hitam.

Pada masa sama, adik ipar Santhi menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang meminta wang tebusan jika mahu Purani selamat."

'via Blog this'

Pemilik restoran tekad lawan penyamun berpistol dengan kayu

myMetro | Pemilik restoran tekad lawan penyamun berpistol dengan kayu:

PETALING JAYA: Pemilik restoran tekad untuk melawan dua penyamun, yang salah seorang daripada mereka bersenjatakan pistol, ketika menceroboh rumah teres dua tingkatnya di Taman Sea Park di sini hari ini.
Pemilik restoran yang hanya ingin dikenali sebagai Tan, 50, berkata beliau terdengar bunyi bising di tingkat bawah pada kira-kira 6.30 pagi apabila ibu Tan yang berusia 70 tahun, menjerit akibat rantai lehernya diragut penyamun berkenaan ketika ibunya menjemur kain. 
Ekoran jeritan itu, Tan mencapai sebatang kayu di dalam bilik tidur utamanya dan turun ke bawah, manakala isteri, adik dan tiga orang anak Tan masih nyenyak tidur.

Dua penjenayah itu dipercayai terkejut melihat kehadirannya apabila beliau keluar rumah dengan berkayu menyebabkan penjenayah yang bersenjatakan pistol itu melepaskan dua das tembakan rawak di mana pelurunya terkena lantai luar rumah dan dinding.

"Saya tidak menyangka tindakan itu mengundang rasa terkejut kepada suspek menyebabkan salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan. Nasib baik tidak kena," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, hari ini.

Selepas melepaskan tembakan itu, dua penyamun berkenaan berjaya menewaskan Tan dan mengambil kunci kereta yang terletak di sebalik pintu rumah berkenaan sebelum melarikan diri dengan kenderaan Kia bersama seutas rantai.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis menjalankan siasatan mengikut 392 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata berkumpulan. - BERNAMA

'via Blog this'

Gajah liar musnahkan dua buah rumah Orang Asli

myMetro | Gajah liar musnahkan dua buah rumah Orang Asli:

GRIK: Dua keluarga masyarakat Orang Asli seramai 11 orang sempat menyelamatkan diri sebelum rumah mereka ranap dirobohkan sekumpulan gajah liar.
Kejadian di Kampung Pengkalan Balak, dalam Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Banun, pada pukul 8 malam Ahad. 
Kehadiran 13 ekor gajah liar itu disedari Shukri Panan, 24, kira-kira pukul 8 malam ketika hendak memasang pelita di kawasan rumah mereka bagi tujuan menghalau haiwan yang sering berkeliaran pada waktu malam.

Ketika itu isterinya Salmi Acu, 20, dan anak mereka Nazri, 5, dan Norhayati, 2, sudah tidur.

Menyedari kemunculan kumpulan gajah sebanyak 13 ekor itu di sekitar rumah mereka, Shukri mengejutkan isterinya dan bertindak memanggil jirannya Ramlan Ramli, 32.

Ramlan kemudiannya turut mengejutkan isterinya dan lima anak mereka bagi menyelamatkan diri.

Dua keluarga itu meninggalkan rumah masing-masing dengan bersembunyi di kawasan berhampiran sambil melihat gajah meranapkan rumah mereka yang diperbuat daripada kayu dan buluh.

"Saya memekik sekuat hati untuk menghalau kumpulan gajah itu dari mendekati rumah kami, tetapi gagal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kumpulan gajah liar itu sudah berada di kawasan RPS Banun sejak dua bulan lalu dengan merosakkan tanaman penduduk termasuk anak getah yang berusia enam bulan hampir 20,000 pokok.

Bernama pada Sabtu lalu telah mendedahkan kebimbangan penduduk lapan kampung di kawasan RPS Banun yang bimbang keselamatan terancam kerana sering terserempak dengan kumpulan gajah terutama waktu pagi dan malam.

Walaupun pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah memasang pagar letrik sepanjang 12 kilometer di kawasan perkampungan itu tetapi masih gagal menghalang gajah mendekati kawasan kediaman penduduk.

Dua keluarga berkenaan kini ditempatkan di dewan lama di kampung berdekatan sehingga Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) mendirikan rumah baru untuk mereka. - BERNAMA

'via Blog this'

Lelaki dipenjara 14 tahun rompak dan rogol wanita Thai

Lelaki dipenjara 14 tahun rompak dan rogol wanita Thai - Sinar Harian:

SHAH ALAM - Seorang lelaki bertindak merogol seorang wanita warga Thailand, yang juga ibu kepada empat orang anak, sebelum melarikan kereta dan harta benda milik mangsa pada November tahun lepas.
Perbuatan kejam tertuduh, G. Thanaraj akhirnya dibalas hari ini apabila dia dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan ke atas tertuduh selepas dia mengaku bersalah merogol wanita berusia 42 tahun itu di dalam sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih di tanah lapang kawasan hutan belakang Kelab Golf Serendah, Hulu Selangor, antara pukul 6 pagi hingga 7 pagi pada 7 Nov tahun lepas.
Bagi kesalahan itu, Thanaraj, 23, didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.
Mohammed Mokhzani turut menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan ke atas Thanaraj selepas dia mengaku bersalah bersama-sama seorang lagi tertuduh, Mohd Suhairi Mohd Sani, merompak kereta mangsa, satu pasport antarabangsa, wang tunai RM350, seutas rantai emas putih, tiga bentuk cincin emas dan sebuah telefon bimbit jenis Nokia milik mangsa yang membabitkan kerugian kira-kira RM35,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.
Mohammed Mokhzani memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan secara serentak, berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 12 Nov tahun lepas.
Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Mohd Suhairi, 24, selepas dia mengaku bersalah bersubahat menolong Thanaraj merogol wanita itu dan tidak menghalangnya daripada melakukan perbuatan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Mohd Suhairi sebelum ini dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan di mahkamah sama selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan rompak itu.
Mengikut fakta kes, mangsa didatangi kedua-dua tertuduh yang kemudian bertindak memukul dan menolak mangsa ke bahagian tempat duduk belakang keretanya. 
Mangsa dibawa ke tempat kejadian dan Thanaraj kemudian merogol mangsa sementara Mohd Suhairi berada di tempat duduk pemandu sambil memerhati dan melihat kawasan sekitar sehingga Thanaraj selesai merogol mangsa.
Kedua-dua tertuduh kemudian melarikan kereta dan barang-barang milik mangsa serta meninggalkan wanita itu sendirian di kawasan berkenaan, yang kemudiannya berjalan keluar ke jalan besar untuk meminta bantuan.
Thanaraj dan Mohd Suhairi ditangkap pada 12 Nov tahun lepas ketika sedang memandu kereta mangsa.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dan memohon agar hukuman berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap.
Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh serius lebih-lebih lagi mangsa, yang sudah berkeluarga dan mempunyai empat orang anak, mengalami trauma akibat kejadian itu.
Beliau berkata Thanaraj juga mempunyai satu rekod kesalahan lampau iaitu kesalahan merompak. - Bernama

'via Blog this'

Lebih setahun diculik, peniaga cicak pulang ke pangkuan keluarga

Lebih setahun diculik, peniaga cicak pulang ke pangkuan keluarga - Semasa - Sinar Harian:
KUALA LUMPUR - Peniaga cicak, Mohd Nazaruddin Saidin, 39, yang lebih setahun diculik di Pulau Jolo, Filipina diselamatkan dan pulang kepangkuan keluarganya, hari ini.

Mohd Nazaruddin melarikan diri dengan bantuan penduduk kampung pada jam 9 malam, Sabtu lalu.

Dia kemudiannya menaiki bot bersama beberapa penduduk dan tiba di Sandakan, Sabah, 10 jam kemudian.

Di situ, Kelab Putera 1Malaysia, diketuai Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim membantu Mohd Nazaruddin dan membawanya pulang ke pangkuan keluarga.

Mohd Nazaruddin dipertemukan dengan keluarganya di pejabat Kelab Putera 1Malaysia di Jalan Attap di sini.
'via Blog this'

Remaja suspek rogol warga Switzerland ditahan

Remaja suspek rogol warga Switzerland ditahan - Kelantan - Sinar Harian:
Remaja suspek rogol warga Switzerland ditahan
Suspek (tiga, kanan) diiringi polis keluar dari mahkamah selepas
 mendapat perintah reman, semalam

KOTA BHARU – Seorang remaja 18 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kejadian rogol seorang setiausaha warga Switzerland dan mencabul rakan mangsa di sebuah banglo di sini, Rabu lalu.

Suspek ditahan anggota polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Intan, Lundang, di sini, pada jam 5 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, hasil maklumat awam, polis berjaya memberkas penganggur berkenaan dan tiga lagi rakan suspek masih diburu.

“Saya nasihatkan tiga lagi yang lain tampil menyerah diri bagi membantu siasatan kerana kesemua identiti mereka sudah pun dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.
Azham berkata, remaja tersebut itu kini dikenakan perintah tahanan reman selama seminggu sehingga 20 Mei depan.

“Reman dibuat di hadapan Timbalan Pendaftar, Amni Mat Jahari bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 376 dan 354 Kanun Keseksaan kerana rogol serta cabul,” katanya.

Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan seorang setiausaha warga Switzerland mendakwa dia dirogol, manakala rakannya dicabul dalam sebuah banglo, di sini. Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, dua pelancong masing-masing berusia 25 tahun itu singgah di Pejabat Konsul Thailand, di bandar ini bagi urusan visa untuk ke Bangkok, selepas balik bercuti dari Pulau Perhentian, Terengganu sebelum diperdaya empat lelaki.

'via Blog this'

33 warga Malaysia diburu Interpol


KUALA LUMPUR 13 Mei - Seramai 22 daripada 33 rakyat Malaysia yang nama mereka kini disenarai sebagai buruan polis antarabangsa (Interpol), dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan berkaitan jenayah komersial.
Antara kesalahan tersebut adalah penipuan dokumen seperti memalsukan kematian dan kad kredit, penipuan dalam urusan pinjaman wang, kecurian maklumat serta penipuan dalam teknologi maklumat.
Sumber memberitahu, kebanyakan suspek dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia kerana melarikan diri ke luar negara bagi mengelak ditangkap selepas dikesan melakukan kesalahan tersebut.
Beliau berkata, selain jenayah komersial, terdapat lima rakyat Malaysia dikehendaki oleh Interpol kerana terlibat dalam jenayah pelarian, tiga orang berkaitan penyeludupan dadah dan masing-masing seorang berkaitan jenayah alam sekitar serta terorisme.
“Ketika ini, terdapat 33 rakyat Malaysia yang nama mereka disenarai sebagai individu dikehendaki oleh Interpol kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kes jenayah serius.
“Daripada jumlah tersebut, 12 orang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia iaitu sama ada polis atau mahkamah, diikuti enam orang dicari oleh pihak berkuasa Brunei, Amerika Syarikat (lima), Vietnam (empat), Indonesia (tiga) dan masing-masing seorang diburu oleh Sweden, India serta Singapura," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber berkata, paling ramai diburu ialah lelaki iaitu seramai 28 orang dan lima lagi adalah wanita yang kesemua mereka berumur antara 22 dan 69 tahun.
Beliau berkata, antara rakyat Malaysia yang sudah lama diburu dan masih tersenarai dalam Interpol ialah suspek pengganas yang dikehendaki oleh Amerika Syarikat yang sebelum ini didakwa sudah mati dalam serangan tentera Filipina di Jolo, Filipina pada Februari lalu iaitu Zulkifli Abdul Hir @ Zulkifli Hir, 45.
Pada Februari lalu, tentera Filipina mendakwa pihaknya berjaya membunuh tiga orang militan Islam dikehendaki termasuk seorang pembuat bom dari Malaysia iaitu Zulkifli tetapi kesahihan kematiannya belum dapat dipastikan disebabkan mayatnya tidak ditemui sehingga kini.
Zulkifli yang juga dikenali sebagai Marwan berasal dari Muar, Johor merupakan rakyat Malaysia dan didakwa menjadi orang kanan rangkaian pengganas Jemaah Islamiah.
Pada 2007 Amerika Syarikat menawarkan wang sebanyak AS$5juta (RM15 juta) sebagai ganjaran penangkapan suspek sekali gus menjadikannya antara orang yang paling dikehendaki oleh negara berkenaan.
“Selain Zulkifli, penjenayah lain paling dikehendaki dan masih gagal dikesan sehingga kini ialah seorang wanita, Rohaniza Aladib, 33, yang disyaki terlibat dalam kes penipuan berbentuk skim pelaburan dalam syarikat rokok antarabangsa membabitkan mangsa di kalangan artis terkenal tanah air seperti Amy Search, Hattan dan Misha Omar yang mencecah nilai RM400 juta pada 2008," katanya sumber itu.
Katanya lagi, antara yang turut diburu Interpol ialah tiga lelaki Malaysia iaitu Lim Leong Seng, 55; Chan Chee Sing, 38, dan Goh Mung Huat, 31, yang dikehendaki oleh polis Vietnam serta Goh Ming Huat, 31, dikehendaki di negara ini kerana terlibat dalam jenayah berkaitan pelarian.
Beliau berkata, tiga lagi yang diburu Interpol kerana terlibat dalam kes berkaitan dadah iaitu Yau Cheong Mun, 31, dan Diong Chee Meng, 29, iaitu dikehendaki oleh Indonesia manakala Lim Han Choo, 57, dicari oleh Mahkamah Majistret Pahang.
Katanya, turut dicari ialah Micheal Soosai, 48, yang dikehendaki oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Huat Yee Han, 22, (Sweden) kerana memalsukan tentang kematian mereka serta William Chua, 48, dan Wong Kee Yew, 44, masing-masing diburu oleh Vietnam dan Brunei berkaitan jenayah seksual.

Suami isteri curi kabel di Sik dicekup

Kosmo! Online - Terkini:

BUKIT KAYU HITAM — Polis menahan sepasang suami isteri, manakala dua lagi rakan mereka melarikan diri ketika melakukan serbuan semasa kesemua suspek sedang membakar penyalut kabel curi di kawasan kebun getah di kampung Danglau, Sik, semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, dalam serbuan kira-kira 3.30 petang itu, lelaki berusia 35 itu turut mengalami kecederaan di perut akibat terkena tembakan dilepaskan polis ketika kereta yang dipandu suspek cuba merempuh kenderaan polis yang menghalang laluan.
"Empat suspek cuba melarikan diri dengan dua buah kereta dan kereta yang dinaiki pasangan suami isteri itu cuba merempuh MPV polis, manakala sebuah lagi kereta sempat melarikan diri.
"Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki suspek adalah kereta curi, manakala sebuah lagi kereta kita sedang kesan pemiliknya,” kata Ahmad kepada pemberita selepas majlis Serah Menyerah Operasi Wawasan di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, di sini hari ini.
Ahmad berkata isteri suspek yang berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu manakala suspek kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan keadaannya dilaporkan stabil.
Ahmad berkata identiti dua suspek yang melarikan diri juga telah dikenal pasti dan polis sedang memburu mereka. — BERNAMA

'via Blog this'

Mangsa culik di Jolo bertemu keluarga

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

KUALA LUMPUR 15 Mei - Selepas setahun tidak menemui keluarga, mangsa culik di Jolo, Filipina, Nazaruddin Saidin, 39, akhirnya bertemu semula dengan seluruh ahli keluarganya hari ini dalam suasana pilu.
Pertemuan itu diadakan di Kelab Putra 1Malaysia di Jalan Kampung Attap pukul 12.30 tengah hari sejurus pemuda tersebut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.
Nazaruddin yang ditemui berkata, dia bersyukur kerana doanya untuk bertemu ahli keluarganya dimakbulkan Allah SWT. - UTUSAN

'via Blog this'

Kumpulan seleweng diesel P. Pinang tumpas

Kosmo! Online - Terkini:

GEORGETOWN — Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Farlim, Ayer Itam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, M.Guna Selan Marian berkata, bertindak atas risikan dan intipan selama dua minggu, sepasukan penguatkuasa KPDNKK menahan sebuah lori yang membawa 3,500 liter minyak diesel berharga RM6,300 pada pukul 8.40 malam semalam.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah tangki besi yang diubah suai diletakkan di bahagian belakang lori itu yang boleh memuatkan sehingga 7,000 liter minyak.
"Mereka juga cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan tangki itu menggunakan tayar terpakai dan menutupnya dengan kanvas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Guna Selan berkata, hasil siasatan awal mendapati kegiatan penyelewengan itu beroperasi sejak beberapa bulan lepas dan beliau yakin terdapat petugas stesen minyak bersengkongkol dengan kumpulan terbabit. — BERNAMA

'via Blog this'

Bas mini terbakar, 10 pelancong China selamat

Kosmo! Online - Terkini:

TUARAN – Sebuah bas mini persiaran yang membawa 10 pelancong dari China terbakar ketika dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Ranau pagi tadi.
Bagaimanapun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Daerah Tuaran, Kairul Amir Pajar Ali berkata, kesemua penumpang yang berusia antara 40 dan 50 tahun tersebut selamat dalam kejadian 9.15 pagi di Jalan Kampung Minangkop dekat sini itu.
"Dalam kejadian itu, pemandu Nelson Vun Chee Vui, 38, mendapati kenderaannya menghadapi masalah ketika menaiki bukit lalu memberhentikan kenderaan di bahu jalan.
"Pemandu itu kemudiannya menurunkan semua penumpang dari bas itu dan tidak lama kemudian kenderaan itu terbakar,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, sebuah jentera dan van dari balai bomba dan penyelamat daerah Tuaran berserta 15 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kecemasan pada 9.17 pagi.
Semua pelancong berkenaan meneruskan perjalanan ke Ranau menaiki bas persiaran yang dihantar agensi pelancongan terbabit, katanya. – BERNAMA

'via Blog this'

Remaja sindrom down hilang di Masai

Kosmo! Online - Terkini:

JOHOR BAHRU — Sepasang suami isteri merayu orang ramai untuk membantu mengesan anak mereka yang hilang ketika berada di sebuah surau berhampiran rumah mereka di Kampung Sungai Rinting C, Masai sejak Khamis lepas.
Sarmidi Subir, 48, berkata, Saiful Sarmidi, 21, yang merupakan anak sindrom down disedari tidak berada di Surau Haji Osman kira-kira 50 meter dari rumah mereka kira-kira pukul 3.30 petang oleh sepupunya Suhana Hasri, 23.
"Suhana mendapati Saiful masih berada di surau berkenaan pada tengah hari. Kehilangan Saiful hanya disedari pada pukul 3.30 petang ketika Suhana mahu memanggilnya untuk pulang ke rumah,” katanya kepada pemberita di rumahnya hari ini.
Dia yang ditemani isteri, Zaleha Rasidi, 43, berkata kali terakhir mereka berjumpa dengan anak sulung dari dua beradik itu adalah kira-kira 8.30 pagi sebelum mereka berdua keluar bekerja.
"Saiful yang berbadan gempal memakai baju T berwarna merah, seluar jeans hitam dan topi berwarna kuning pada hari berkenaan. Dia turut membawa beg kertas berwarna merah yang berisi sebotol minuman dan kuih jemput-jemput sebelum keluar ke surau,” katanya.
Sarmidi membuat satu laporan di Balai Polis Masai sehari selepas kehilangan anaknya dan dia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya supaya menghubunginya di talian 012-7513901 atau mana-mana balai polis berhampiran. — BERNAMA

'via Blog this'

Rumah lima sekeluarga hangus dijilat api

Kosmo! Online - Terkini:

KUALA TERENGGANU - Lima sekeluarga hilang tempat berteduh apabila kediaman mereka di Kampung Gong Kijang, Bukit Tunggal di sini, hangus dijilat api semalam.
Semasa kejadian pukul 3.15 petang itu, mangsa Wan Mohamed Wan Sulaiman, 45, sedang membersihkan halaman belakang rumahnya manakala anak sulungnya, Nor Affendi, 22, menonton televisyen di ruang tamu.
Wan Mohamed berkata, tiba-tiba dia dikejutkan dengan kepulan asap daripada rumahnya dan melihat anak lelakinya berlari keluar meminta pertolongan.
"Dua lagi anak saya tiada di rumah manakala isteri pula berada di Johor.
Saya bersyukur tiada ahli keluarga yang cedera dalam kebakaran,” katanya. - BERNAMA

'via Blog this'

11 pengaman PBB cedera dalam serangan di Congo

Berita Harian Online | 11 pengaman PBB cedera dalam serangan di Congo:
BUKAVU (Congo): 11 anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Pakistan cedera selepas kem organisasi itu dikepung sekumpulan penduduk kampung yang berang di timur Republik Demokratik Congo, hari ini. 

Menurut jurucakap rasmi PBB, penduduk kampung marah kerana menyifatkan keselamatan mereka tidak dilindungi daripada serangan pemberontak.
Bagaimanapun, Majlis Keselamatan PBB mengecam sekeras-kerasnya serangan itu, dan turut menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan di wilayah yang terbabit dengan konflik di negara itu. - AFP
'via Blog this'

Guru wanita selamat Myvi terbabas

Guru wanita selamat Myvi terbabas - Utara - Sinar Harian:
ALOR SETAR - Seorang guru wanita terselamat dalam kejadian kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas dan merempuh penghadang di KM47.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Palza Tol Alor Setar Utara malam tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 malam apabila pemandu kenderaan itu seorang diri dalam perjalanan dari Pulau Pinang memuju Jitra.

Seorang saksi kejadian berkata, dia dikejutkan dengan satu dentuman yang kuat dari arah belakang ketika menghampiri susur keluar plaza tol berkenaan.

“Saya terkejut apabila mendapati sebuah Myvi remuk teruk di bahagian hadapan selepas terbabas dan melanggar penghadang lebuh raya.

"Saya memberhentikan kenderaan dan berlari ke arah mangsa untuk menyelematkannya. Wanita itu hanya cedera ringan disebabkan beg udara kenderaannya berfungsi dengan baik,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan, pemandu Myvi itu, Revathy Ramanida, 28, seorang guru di salah sebuah sekolah di Paya Kemunting dan penuntut pengajian jarak jauh di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.   Beliau dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan dan kenderaannya melintang di tengah lebuh raya.

Revathy hanya cerdera ringan dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar (HSBAS) untuk rawatan oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
'via Blog this'

Terputus punca rezeki

Terputus punca rezeki - Perak - Sinar Harian:
Terputus punca rezeki
Dzulkifl i (kanan) dan Ganesan (dua, kanan) menyerahkan sumbangan kepada
Jeevanathan ketika mengunjunginya di Hospital Sungai Siput, di sini.

SUNGAI SIPUT (U) - Akibat kemalangan jalan raya dua bulan lalu, sebuah keluarga, di sini terputus punca rezeki apabila bapa empat anak itu hanya mampu terlantar di hospital.

Ketua keluarga, R Jeevanathan, 40, mengalami kecederaan parah menyebabkan sebahagian badannya kini tidak boleh bergerak.

Isterinya, S Ranjit Kaur, 39 berkata, dia terpaksa berhenti kerja kerana perlu menjaga suaminya yang masih ditahan di Hospital Sungai Siput.

Menurutnya, sejak kejadian itu, mereka sekeluarga tiada sumber pendapatan dan hanya bergantung kepada ihsan saudara mara sahaja.

“Suami saya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh, lumpuh separuh badan dan memerlukan perhatian sepenuh masa.

“Dahulu saya pernah bekerja di kilang papan tetapi kini terpaksa berhenti untuk menjaga suami yang terlantar,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, katanya, dia turut menanggung empat anak yang masih bersekolah.

“Jika saya pergi kerja tiada siapa akan menjaga suami dan buat masa ini adik-beradik saya membantu serba sedikit bagi meringankan beban kami.

“Saya berharap ada pihak yang sudi membantu keluarga saya kerana dalam keadaan sekarang kami tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Kesusahan keluarga itu mendapat perhatian, Ketua Umno Bahagian Sungai siput, Datuk Dzulkifli Harun dan Ketua MIC Bahagian Sungai siput, R Ganesan yang melawatan Jeevanathan di Hospital Sungai siput, di sini.

Dzulkifli berkata, bagi mengurangkan beban keluarga berkenaan beliau akan membantu mengikut keperluan berdasarkan peruntukan tertentu.

“Buat masa ini, sumbangan kewangan dari Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang) Parlimen Sungai Siput diserahkan kepada keluarga berkenaan serta diharapkan dapat membantu mereka,” katanya.


'via Blog this'

Datuk dituduh seludup migran

Datuk dituduh seludup migran - Utara - Sinar Harian:
Datuk dituduh seludup migran
Lima tekong warganegara Myammar yang turut didakwa menyeludup migran.

SUNGAI PETANI – Seorang pemilik kapal bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Seksyen 4, Sungai Petani semalam atas tuduhan menyeludup migran yang berdepan hukuman 15 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Muhd Abdulhayat Ikhwan Ahmad, 28, bersama lima warganegara Myammar dipercayai tekong berusia antara 25 hingga 40 tahun dituduh melakukan kesalahan itu pada 30 April 2012 di kawasan sangkar ternakan ikan, Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda kira-kira jam 10 pagi.
Pemilik kapal itu bersama lima tekong warganegara Myammar, Kamal Haso Miya, Mohammed Shahidul Islam, Abdul Malik Mohd, Zafar Husin dan Dil Mohammad Iman Husin dihadapkan ke mahkamah kerana menyeludup 293 migran.
Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 26 A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sekiranya sabit kesalahan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
Dia yang diwakili Peguam T Thiruchelvan dibenarkan membuat jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Mohammad Khalid Ab Karim menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Syazwani Syed Hussin.
Terdahulu, seramai 298 warga asing terkandas di perairan negara dekat Kampung Segantang Garam, Merbok, Kedah ditahan dalam satu operasi yang diketuai Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali 30 April lalu.
Hashim berkata, bot yang membawa 298 warga Myammar itu dipercayai rosak dan kesemua penumpang tersadai melebihi 12 jam hasil maklumat orang awam.

Difahamkan, kesemua mereka memulakan perjalanan dari Myammar sejak lapan hari lalu sebelum terkandas dengan menyertakan bayaran tertentu bertujuan mencari pekerjaan di negara ini.

Penahanan itu juga merupakan tangkapan terbesar di Kedah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

'via Blog this'

Ketua geng ‘anak berok’ ditahan

Ketua geng ‘anak berok’ ditahan - Utara - Sinar Harian:
Ketua geng ‘anak berok’ ditahan
Mohd Azlan (kanan) bawa suspek ke Balai Polis Kulim selepas berjaya ditahan
di Kubang Semang.
 

 KULIM - Ketua kumpulan ‘anak berok’ yang dilaporkan giat melakukan pelbagai kegiatan jenayah di sini, akhirnya berjaya ditahan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim bersama Balai Polis Kubang Semang.

Suspek berjaya ditahan bersama empat lagi ahli kumpulannya dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kubang Semang, kira-kira jam 1 petang, kelmarin.
Semua ditahan ada rekod jenayah lampau dan dibawa ke Balai Polis Kubang Semang untuk siasatan lanjut.

Ketua Balai Polis Kulim, Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, polis mengekori ahli kumpulan itu sejak tiga hari lalu sebelum serbuan dilakukan.

Menurutnya, beberapa hari lalu polis berjaya menahan tiga ahli kumpulan itu bagaimanapun ketuanya berjaya melarikan diri dengan motosikal jenis Yamaha RXZ.

“Kemudiannya polis membuat susulan serta mengekori aktiviti dijalankan kumpulan itu dan berjaya menahan ketua kumpulan ‘anak berok’ itu.
“Kini polis sedang mencari orang kanan kumpulan itu yang masih bebas,” katanya.
Mohd Azlan berkata, suspek mengaku bersalah melakukan jenayah ragut, pecah cermin kereta dan curi motosikal di sekitar sini.

“Suspek juga menunjukkan tempat di mana dia menyembunyikan motosikal dan beg tangan yang dicuri,” katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati, motosikal jenis Yamaha LC135 yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah dilaporkan hilang di sini, sejak 8 Mei lalu, manakala kedua-dua beg tangan ditemui, milik dua mangsa yang tinggal di Taman Kenari.

Sebelum ini, suspek pernah dipenjarakan di Pokok Sena atas kesalahan penagihan dadah dan menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

Sebaik keluar dari penjara, suspek sekali lagi terlibat dalam perlakuan jenayah samun, berkumpulan dan bersenjata.

Dia kemudiannya menjalani hukuman penjara di penjara Jawi selama 18 bulan.

“Dengan tertangkapnya suspek ini, polis dapat menyelesaikan lima kes jenayah yang dilakukan sekitar Kulim. Bagaimanapun polis masih mencari orang kanan kumpulan ‘anak berok’ kerana terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah. Saya percaya suspek dapat ditahan dalam masa terdekat,” kata Mohd Azlan.

'via Blog this'

Pemuda maut, cubaan memotong gagal

Pemuda maut, cubaan memotong gagal - Pahang - Sinar Harian:
Pemuda maut, cubaan memotong gagal
Anggota bomba dan penyelamat memeriksa kenderaan mangsa yang terbabas setelah
cubaan memotong sebuah kereta gagal

JENGKA 17 - Seorang pemuda maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 41.9 Jalan Bandar Jengka-Temerloh, apabila kereta yang dipandu terbabas dalam cubaan memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

Mangsa, Othman Abdullah, 34, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Jengka 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badannya.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah malam, kelmarin.

Menurutnya, mangsa yang memandu Proton Wira dikatakan cuba memotong Proton Gen2 di hadapannya, tetapi gagal lalu terlanggar bahagian belakang kereta Gen2 berkenaan.

“Selepas pelanggaran tersebut, kereta mangsa terbabas ke sebelah kanan jalan dan memasuki sebuah ladang,” katanya.

Difahamkan pemandu Gen2 berkenaan dilaporkan selamat.

Adik mangsa, Mohd Sabri Abdullah, 27, berkata, dia mendapat tahu mengenai kemalangan yang menimpa abangnya menerusi seorang rakan.

“Ketika itu, saya baru pulang dari berniaga di pasar malam. Tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon daripada rakan saya.

“Memang terkejut mendengar apa yang menimpa abang saya, lalu bergegas ke tempat kejadian dan ketika itu saya diberitahu arwah sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, arwah sebelum kejadian telah belanja rakan-rakannya, malah dia tidak pernah bertanya apa-apa berkenaan durian runtuh yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Mangsa anak sulung daripada tiga beradik selamat dikebumikan pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 17.

'via Blog this'