Search This Blog

Saturday, May 12, 2012

Suami isteri terbunuh dalam kemalangan

Kosmo! Online - Terkini:


12/05/2012 5:18pm

IPOH - Sepasang suami isteri terbunuh manakala 17 cedera termasuk tiga parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan lori di Km 45.2 Jalan Kuala Kangsar-Gerik dekat Kampung Gua Badak di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Abdul Manab Bahrum berkata, pemandu lori, Ong Khian Hock, 51, dan isteri, Loh Weng Chan, 46, yang berasal dari Taman Pengkalan Makmur, Taiping, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. Mayat mereka dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.
Menurut Abdul Manab, kejadian berlaku pada pukul 6 pagi ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gerik, bertembung dengan lori yang dipandu Khian Hock yang sedang dalam perjalanan dari Gerik ke Lenggong.
Katanya, mereka yang cedera parah ialah pemandu bas, Azmi Abdul Rahman, 48, dua penumpang iaitu Norliza Che Moh, 40, dan Fadilah Mahmud, 43 dan kesemua mereka kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar.
Seramai 14 lagi penumpang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Gerik.
Mereka adalah antara 38 ahli Wanita UMNO Bahagian Gerik yang sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis Ulang Tahun UMNO Ke-66 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi. - BERNAMA

'via Blog this'

Penjenayah Indonesia cedera ditembak

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


RAJA Shahrom Raja Abdullah menunjukkan senjata yang digunakan oleh perompak yang memasuki rumah Mohd. Shamir Fauzi di Pantai Belimbing, Alor Gajah, semalam.
ALOR GAJAH 11 Mei - Tiga penjenayah Indonesia bukan sahaja gagal merompak rumah seorang petani malah dua daripada mereka cedera selepas ditembak dengan senapang patah oleh pemilik rumah itu di Pantai Belimbing, di sini awal pagi ini.
Kumpulan penjenayah ini dipercayai sering keluar masuk ke negara ini untuk melakukan jenayah pecah rumah tetapi kali ini mereka silap memilih mangsa.
Dua daripada penjenayah itu masing-masing cedera di perut dan kaki selepas terkena dua das tembakan daripada senapang patah yang dilepaskan pemilik rumah tersebut.
Bagaimanapun, seorang lagi suspek sempat memapah rakannya yang cedera di perut melarikan diri manakala rakan penjenayah yang cedera di kaki berjaya diberkas polis.
Menceritakan detik-detik cemas itu, pemilik rumah iaitu Mohd. Shamir Fauzi, 28, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika dia, isteri dan anak lelaki berusia dua tahun tidur di bilik belakang rumah mereka.
"Tiba-tiba isteri mengejutkan saya dan memberitahu dia terdengar bunyi pelik di pintu bilik dan ternampak bayang seseorang," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Mengesyaki sesuatu, Mohd. Shamir lantas mencapai selaras senapang patah dan terus membuka pintu bilik sebelum terserempak seorang lelaki yang tidak dikenali berada dalam rumahnya.
"Lelaki itu juga terkejut melihat saya dan bertindak membaling pemotong besi yang dipegangnya sehingga mengenai kepala saya.
"Selepas itu, dia cuba menyerang tetapi saya sempat bertindak dengan melepaskan satu das tembakan yang mengenai kakinya menyebabkan dia terjatuh," katanya.
Katanya, dua lagi rakan penjenayah itu tiba-tiba muncul dan salah seorang daripada mereka mencapai kerusi dan basikal anaknya manakala rakannya pula bersenjatakan parang cuba menyerangnya.
"Saya tidak mempunyai pilihan dan terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai salah seorang penjenayah di bahagian perut," katanya yang terus menghubungi polis selepas itu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis yang tiba di tempat kejadian berjaya memberkas seorang daripada tiga penjenayah itu.
Katanya, suspek yang cedera akibat ditembak di kaki ditemui kira-kira 100 meter dari rumah mangsa dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.
Raja Shahrom berkata, dua penjenayah yang lain termasuk seorang yang cedera di perut bagaimanapun berjaya melarikan diri.
"Siasatan mendapati, suspek yang ditahan merupakan warga Indonesia berusia 37 tahun dan memiliki pasport serta baru enam hari masuk ke negara ini," ujarnya.
Kata beliau lagi, polis sedang mengesan dua penjenayah itu yang dipercayai melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Toyota Unser berwarna jingga yang digunakan dalam kejadian itu.
Tambah beliau, semua mereka disyaki terlibat dalam lima kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah ini sebelum ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

'via Blog this'

Lebih 30,000 polis Britain sertai mogok



LONDON 11 Mei - Lebih 30,000 anggota polis dan beratus ribu pekerja sektor awam Britain berarak di sini semalam melancarkan mogok sebagai membantah pelaksanaan langkah berjimat cermat kerajaan.
Pekerja imigresen, awam, kesihatan, pensyarah dan warden penjara turut menyertai mogok sehari itu, sebagai bantahan terhadap pelaksanaan terbaru pemotongan sejak kerajaan perpaduan memegang tampuk pemerintahan dua tahun lalu.
Anggota polis daripada 43 pasukan di England dan Wales memakai topi berwarna hitam yang bertulis ayat 'Penjimatan adalah Jenayah' ketika mereka membantah pelaksanaan langkah penjimatan dan pemotongan gaji serta pencen mereka.
Anggota polis Britain, yang dilarang mengadakan mogok, memberi amaran bahawa langkah kerajaan itu akan meletakkan keselamatan awam dalam bahaya.
Pengerusi Polis Persekutuan, Paul McKeever dalam ucapannya berkata, pihak polis sangat mengambil berat terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat.
"Kami dapat melihat apa yang bakal terjadi apabila mempunyai sebuah kerajaan yang melaksanakan polisi yang tidak mementingkan keutamaan.
"Jika anda (kerajaan) menyekat pekerjaan kami, ia bermakna anda turut menyekat perkhidmatan kami, sekali gus meletakkan keadaan keselamatan awam dalam bahaya," katanya. - AFP

Isu gender: Raja Abdullah pecat penasihat kanan



Raja Arab Saudi, Raja Abdullah
Raja Arab Saudi, Raja Abdullah
RIYADH - Raja Arab Saudi, Raja Abdullah memecat salah seorang penasihat kanannya Sheikh Abdelmohsen al-Obeikan kerana menentang usaha baginda mahu melonggarkan dasar dan amalan pengasingan gender.

Sheikh Abdelmohsen merupakan bekas penasihat kepada Kabinet Diraja Saudi.

Pemecatan itu diumumkan selepas Sheikh Abdelmohsen mengkritik dengan antara lain berkata "pihak berpengaruh mahu merosakkan masyarakat Muslim dengan cuba membawa perubahan ke atas status kaum wanita."

Tragedi pesawat: Tiada tanda mangsa selamat



WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Mei 2012
Tragedi peswat: Tiada tanda mangsa selamat
Foto dikeluarkan oleh Angkatan Tentera Indonesia menunjukkan serpihan bangkai pesawat di tebing curam Gunung Salak, Bogor.
JAKARTA - Pasukan mencari dan penyelamat menemui bangkai pesawat Sukhoi Superjet 100 buatan Rusia di tebing curam Gunung Salak, Bogor dekat sini tetapi tiada tanda ada mangsa terselamat dalam tragedi itu.

Sebuah helikopter yang menyertai operasi mencari dan menyelamat tidak menemui mangsa terselamat.

Jurucakap pasukan mencari dan penyelamat berkata, sejumlah mayat ditemui di tempat kejadian.

"Setakat ini, kami tidak menemui mangsa terselamat, tetapi kami masih mencari," kata Gagah Prakoso.

Laporan semalam menyebut cuaca buruk dan kesukaran untuk sampai ke tebing curam, tempat pesawat itu terhempas kelmarin, memaksa pasukan mencari dan menyelamat menunda operasi mengeluarkan mangsa nahas ke pagi ini.

Ketua Penyelaras Badan SAR Nasional (Basarnas) Ketut Purwa berkata, operasi terpaksa dihentikan petang semalam akibat cuaca buruk dan akan disambung semula pada pukul 6 pagi ini.

Menurutnya, nasib 45 penumpang pesawat itu masih belum diketahui setelah pasukan penyelamat mengesan dari udara serpihan bangkai pesawat itu di tebing curam, Gunung Salak, Bogor, pagi semalam.

Angka terbaru jumlah penumpang itu diumumkan oleh pihak berkuasa setelah syarikat ejen Sukhoi mengesahkan lima orang yang terdaftar dalam senarai 50 penumpangnya, tidak menaiki pesawat malang itu.

Tempat kejadian di lereng gunung itu berada di ketinggian 5,800 kaki di atas paras laut.

Lapan warganegara Russia dari syarikat Sukhoi adalah antara penumpang pesawat itu selain warganegara Indonesia termasuk beberapa orang wartawan.

Pesawat itu yang berlepas dari Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta pada 2.12 petang kelmarin, dilaporkan hilang sekitar pukul 2.50 petang apabila ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara.

Ia berlepas dari Jakarta dalam misi penerbangan pertunjukan ringkas.

Sejurus sebelum tragedi juruterbang pesawat telah meminta izin dari menara kawalan udara untuk menurunkan pesawat dari ketinggian 10,000 kaki ke ketinggian 6,000 kaki, namun belum ada penjelasan mengapa juruterbang itu bertindak sedemikian.

Pembunuh keluarga Hudson di penjara seumur hidup



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Mei 2012
Pembunuh keluarga Hudson di penjara seumur hidup
Pendakwa raya mendakwa cemburu punca Balfour membunuh mangsanya – Foto ihsan Reuters
CHICAGO - Seorang lelaki disabitkan bersalah oleh panel Juri Amerika Syarikat (AS) kerana membunuh tiga anggota keluarga pelakon, Jennifer Hudson empat tahun lalu.

Bekas abang ipar Hudson, William Balfour didapati bersalah atas tiga tuduhan membunuh darjah pertama.

Menurut pendakwa raya, Balfour, 31, telah menembak mati ibu, abang dan anak saudara Hudson yang berusia tujuh tahun selepas bekas isterinya enggan kembali ke pangkuannya.

Hudson yang juga merupakan pemenang anugerah Oscar itu hadir pada setiap kali perbicaraan tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir sewaktu keputusan dibacakan.

Peguam bela Balfour, Amy Thompson berkata, beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

“Kami masih mempertahankan bahawa William Balfour tidak bersalah," katanya.

Sementara itu, pendakwa raya berhujah bahawa sewaktu kejadian, kakak Hudson, Julia sudah tinggal berasingan dengan bekas suaminya dan kembali ke rumah ibunya.

Namun, pendakwa raya dikatakan tidak mempunyai bukti kukuh kerana saksi ataupun cap jari ditemui bagi mengaitkan Balfour melakukan jenayah itu.

Kata pendakwa raya, sewaktu Julia meninggalkan rumah pada 24 Oktober 2008 untuk bekerja sebagai pemandu bas, Balfour telah pergi ke rumah itu dan memukul ibu Hudson, Darnell Donerson, 57, di belakang dan kemudiannya menembak dua kali di kepala Jason Hudson, 29.

Tambah pendakwa raya, Balfour kemudiannya memandu kereta anak lelaki Julia, Julian King dan menembak beberapa kali di kepala mangsa yang duduk di kerusi belakang.

Mayat mangsa kemudiannya ditemui dalam kereta yang ditinggalkan selepas usaha menjejaki mangsa selama tiga hari.

Balfour bagaimanapun menafikan semua tuduhan itu dan pihak peguam bela mendakwa insiden yang berlaku ada berkaitan urusan dadah dengan abang Hudson.

Asrama sekolah terbakar



Asrama sekolah terbakar
Hampir 80 peratus bangunan asrama berkenaan musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi semalam.
MATANG – Tiga murid nyaris maut apabila asrama yang mereka diami di Madrasah Tarbiah Islamiah, di sini terbakar, awal pagi semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, tiga murid yang berumur 11 hingga 8 tahun dikatakan sedang tidur di tingkat dua bangunan asrama madrasah berkenaan.

Bagaimanapun, bencana tersebut disedari ketiga-tiga mereka apabila merasai bahang api sebelum bertindak menyelamatkan diri.

Guru besar madrasah berkenaan, Hafizul Azizi Abdul Rashid berkata, meskipun agak terkejut dengan insiden itu, pihaknya bersyukur kerana semua mangsa terselamat.

Menurutnya, bangunan asrama yang bernilai hampir RM50,000 itu siap dibina pada November 2010 untuk menempatkan murid lelaki.

“Bagaimanapun, hanya tiga murid berkenaan sahaja tinggal di asrama sementara 67 murid lagi termasuk perempuan yang belajar di madrasah itu tinggal di rumah masing-masing.

“Dua daripada murid berkenaan berusia 11 tahun dan seorang lagi 8 tahun, buat masa ini kita dimaklumkan mereka masih lagi trauma.

“Kini semua mangsa sudahpun dibawa pulang ke rumah keluarga masing-masing iaitu di Ipoh dan Bukit Gantang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penempatan baru bagi murid yang tinggal di asrama berkenaan.

Jelasnya, beliau harap selepas ini, semua kembali kepada keadaan asal dan murid berkenaan dapat belajar seperti biasa tanpa dihantui kejadian kebakaran itu.

Difahamkan, insiden itu adalah yang pertama kali berlaku sejak madrasah tersebut ditubuhkan iaitu 25 tahun lalu.

Sinar Harian juga dimaklumkan, ada individu terlihat api mula marak di bahagian dinding bangunan berkenaan sebelum menjerit meminta penghuni asrama keluar.


80 peratus bangunan terbakar

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 1.52 pagi dan sampai ke lokasi kejadian 15 minit kemudian.

Menurutnya, sebanyak tiga jentera dengan kekuatan 11 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Api berjaya dikawal dalam masa tujuh minit, bagaimanapun kebakaran tersebut memusnahkan hampir 80 peratus bangunan asrama,” katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kejadian dan kerugian yang dialami masih lagi dalam siasatan.

Kepada sesiapa yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan kepada madrasah tersebut dengan menyalurkannya ke akaun Bank Islam 08040010007671 atas nama Madrasah Tarbiah Islamiah.

Selesa tidur dalam parit



Selesa tidur dalam parit
Mangsa terbaring dalam parit (dalam bulatan).
KULIM - Orang ramai cemas apabila dikejutkan dengan penemuan seorang lelaki terbaring dalam keadaan mengereng di dalam longkang di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), yang dilaporkan kejadian itu kemudiannya menghubungi Pengerusi PPKM, Khor Eng Khim untuk dapatkan bantuan.

Eng Khim memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Kulim untuk mendapatkan bantuan sebaik menerima panggilan kecemasan daripada kakitangannya.

Menurutnya, beberapa minit kemudian satu jentera bomba dari Balai Bomba Kulim datang ke tempat kejadian dan membuat pemeriksaan terhadap mangsa.

“Bomba membawa mangsa naik ke atas dan mendapati lelaki itu masih bernyawa tetapi masih dalam keadaan tidak sedar kerana mabuk.

“Mangsa kemudiannya diberi rawatan segera sebelum dibenarkan berjalan kerana bimbangkan tahap keselamatannya,” katanya.

Mangsa, yang berusia 48 tahun berkata, dia mabuk sebelum terjatuh dan terperosok ke dalam parit ketika melalui kawasan berkenaan.

Katanya, memandangkan keadaan di dalam parit itu sempit dan sejuk mangsa terus tertidur.

“Aku memang ada minum sikit. Aku nak balik tetapi terjatuh dalam parit. Aku tak sedar masa bila aku jatuh tapi aku rasa selesa kerana parit itu sejuk.

“Aku minta maaf pada semua kerana menyusahkan. Aku bukan mati cuma rasa selesa ketika tidur dalam parit itu,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

2 beranak maut, kenderaan pacuan empat roda terbabas



KUANTAN - Seorang ibu dan bayi lelakinya berusia enambulan maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas di jalan tanah merah Ladang Sungai Murung, dekat Jalan Bukit Ibam-Rompin, semalam.

Dalam kejadian 4.50 petang itu, mangsa Asia Puteh, 24 dan bayinya Aril Shah Roslan, mati ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya, ketika kejadian kenderaan terbabit dipandu ibu kepada Asia, Maiki Lekong, 61, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Cemupuk, dekat Kedaik, Sungai Rompin.

"Pacuan empat roda tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tebing kanan jalan dan terbalik dengan keempat-empat tayarnya ke atas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Maiki hanya cedera ringan dan mayat mangsa Orang Asli berkenaan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.  - Bernama

Taktik curi dalam kereta di R&R lumpuh



Taktik curi dalam kereta di R&R lumpuh
Som Sak (kanan) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Asisten Superintendan Md Nasri Fadzil menunjukkan antara peralatan yang digunakan suspek.
TAPAH – Taktik seorang lelaki memecah dan mengambil barangan berharga yang ditinggalkan pemilik kenderaan di parkir kawasan rehat dan rawat (R&R)
akhirnya terbongkar apabila ditahan polis, Rabu lalu.

Lelaki berusia 47 tahun yang dipercayai menjalankan kegiatan secara sendirian itu sejak setahun lalu dikatakan akan meletakkan kereta hampir dengan kenderaan yang disasarkan dan menggunakan objek keras untuk memecahkan cermin sebelum melarikan barangan milik mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, kegiatan lelaki berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu berjaya dijejaki berdasarkan tiga laporan yang diterima berkaitan kejadian pecah kereta di kawasan R&R Tapah membabitkan kenderaan jenis Inova, Perodua Kancil dan Harrier, 7 Mei lalu.

Menurutnya, hasil maklumat yang diterima, lelaki yang juga penganggur itu berjaya ditahan, 9 Mei lalu kira-kira jam 8 pagi di kawasan parkir hadapan stesen minyak di R&R Tapah arah Utara.

“Pemeriksaan lanjut yang dibuat ke atas kenderaan jenis BMW yang dinaiki suspek menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri.

“Antaranya penukul besi, pemutar skru dan pemotong wayar, turut ditemui telefon bimbit, beberapa anak kunci kereta, MyKad dan lesen memandu milik individu lain dipercayai mangsa,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Katanya, sehubungan itu, suspek di reman sehingga 13 Mei untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan atas kesalahan curi kenderaan.
“Hasil soal siasat polis, lelaki berkenaan turut mengaku terlibat dalam 10 kes sama di sekitar kawasan parkir di Lembah Klang,” katanya.

Untuk rekod Som Sak berkata, lima laporan polis berkaitan kes pecah dan curi kenderaan diterima IPD Tapah tahun ini.

Kata beliau, dengan tertangkapnya individu berkenaan, tiga kes berjaya diselesaikan, sementara dua lagi masih dalam siasatan.

“Kita percaya, sindiket seperti ini dilakukan oleh banyak kumpulan, jadi kita minta orang ramai agar lebih berwaspada sekiranya berhenti rehat di mana-mana kawasan R&R dengan tidak meninggalkan barangan berharga seperti kamera, beg dan komputer riba dalam kenderaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh berhubung terus dengan talian hotline IPD Tapah 05-4015222 atau rakan cops 32728.

Padah rasuah RM500, ahli perniagaan didakwa



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Mei 2012
Padah rasuah RM500, ahli perniagaan didakwa
Kedua-dua tertuduh keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah, semalam.
IPOH - Seorang ahli perniagaan dan pekerjanya didakwa atas tuduhan memberi rasuah RM500 kepada Penolong Pegawai Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer (Km) 1 Jalan Damar Laut-Changkat Jering pada 1 Jun dua tahun lalu.

Bagaimanapun, ahli perniagaan berusia 48 tahun, dan pekerjanya yang berusia 23 tahun itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Julie Lack Abdullah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama-sama berniat memberikan wang suapan sebanyak RM500 kepada Penolong Pegawai Penguatkuasa JPJ, Mustakim Mohd Sani supaya tidak mengambil tindakan ke atas Guo Jian yang disyaki melakukan dua kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mereka melakukan kesalahan itu pada 1 Jun 2010 antara jam 7.30 hingga 8.30 pagi di Km 1 Jalan Damar Laut-Changkat Jering di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), M Kathan, memohon supaya wang ikat jamin sebanyak RM10,000 dikenakan ke atas setiap tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan serius.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar wang jaminan dikurangkan kerana mereka perlu menanggung keluarga masing-masing.

Ahli perniagaan itu memberitahu dia perlu menanggung isteri serta anak-anaknya yang masih bersekolah manakala pekerjanya yang hanya bekerja sebagai pemandu lori serta baru kematian bapa bertanggungjawab menjaga keluarganya.

Selepas membuat pertimbangan, Julie Lack menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes dan kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM8,000 masing-masing melalui seorang penjamin.

Mayat hampir reput dalam tangki simpanan air



TAWAU - Mayat seorang lelaki bogel dan hampir reput dijumpai di dalam sebuah tangki simpanan air di Projek Perumahan Rakyat Sri Titingan dekat sini pagi tadi.
  
Mayat dijumpai oleh seorang kakitangan pengurusan perumahan berkenaan kira-kira 8.30 pagi setelah mendapat aduan penghuni bahawa air yang mereka gunakan sejak seminggu lalu berbau seperti bahan pencuci dan busuk.
  
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin mengesahkan penemuan mayat berkenaan.
  
"Siasatan awal kita mendapati tiada unsur jenayah dalam kes ini namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
   
Pembantu Menteri Kewangan Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan mahu Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kimia sentiasa memeriksa tangki simpanan air di kawasan perumahan. - Bernama

Pekerja pengurup wang nyaris maut ditembak



Pekerja pengurup wang nyaris maut ditembak
$entry.content.caption.value
PETALING JAYA - Seorang pekerja pengurup wang nyaris maut ditembak dua penjenayah dalam cubaan samun di sebuah premis di Jalan SS2/60 di sini, hari ini.

Mangsa berusia lingkungan 20-an, cedera di rusuk kanan dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kejadian berlaku ketika pemilik premis datang untuk membuka premis, kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, secara tiba-tiba dua lelaki menunggang motosikal dan bertopi keledar berpenutup penuh datang menyerangnya.

"Berlaku pergelutan dan pekerjanya datang membantu. Suspek melepaskan dua tembakan di mana satu peluru mengenai rusuk mangsa," katanya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya melarikan diri dan meninggalkan motosikal jenis Yamaha 125Z di hadapan premis.

Polis kena reman, minta suapan



ROSDALILAH ZAHARI
12 Mei 2012
Polis kena reman, gara-gara minta suapan
Anggota polis berpangkat Koperal (kiri) dibawa keluar daripada Mahkamah Majistret selepas ditahan reman selama tiga hari mulai semalam atas tuduhan meminta wang suapan.
IPOH - Seorang anggota polis berpangkat Koperal menerima padah apabila di reman selama tiga hari akibat meminta wang suapan sebanyak RM5,000 daripada isteri seorang tahanan lokap di Balai Polis Sungai Siput, di sini pada 1 Mei lalu.

Isteri tahanan itu kemudiannya bertindak membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung insiden berkenaan.

Anggota polis berusia 51 tahun itu meminta wang daripada wanita terbabit jika mahu suaminya dibebaskan dengan segera.

Suami wanita itu ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes curi dan disiasat mengikut Seksyen 411 dan 412 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, selepas wanita terbabit menyerahkan wang sejumlah RM5,000 kepada anggota polis itu pada 1 Mei lalu, suaminya masih meringkuk dalam lokap dan tidak dibebaskan sepertimana yang dijanjikan sebelum ini.

Kelicikan anggota polis itu memperdaya mangsanya juga berjaya disembunyikan daripada penyelianya walaupun sudah berulang kali beliau melakukan kegiatan berkenaan.

Akhirnya, selepas menerima aduan sepasukan pegawai SPRM bertindak menahan anggota polis terbabit pada jam 11 malam di rumahnya di Taiping, kelmarin.

Pendaftar Mahkamah Majistret Ipoh, Wong Lok Hai, semalam membenarkan anggota polis itu di reman selama tiga hari bermula semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Anggota polis itu disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dituduh serta dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Nekad heret ejen gores dan menang ke PPDNKK



Nekad heret ejen gores dan menang ke PPDNKK
Ejen syarikat gores dan menang (duduk, kiri) dibawa menemui pegawai PPDNKK (kanan) oleh mangsa yang menuntut wang mereka dikembalikan, semalam.
KUANTAN - Seorang ejen sebuah syarikat gores dan menang terpinga-pinga apabila menyedari lokasi yang dimaksudkan mangsa sebagai tempat untuk menjelaskan baki bayaran RM5,000 sebenarnya Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang, Jalan Gambut di sini.

Lebih mengejutkan, dia bukan sahaja tidak mendapat baki bayaran itu sebaliknya lima lagi mangsa yang mendakwa ditipu syarikat terbabit sedia menunggu untuk menuntut kembali wang mereka membabitkan jumlah keseluruhan RM32,400.

Bagimanapun semua mangsa hampa apabila wang mereka gagal dipulangkan ketika itu kerana ejen berusia dalam lingkungan 20an itu hanya jurujual biasa.

Lelaki itu yang agak tertekan dengan desakan mangsa bagaimanapun bersetuju mewakili majikannya menerima dan menandatangani notis pendengaran ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang diserahkan mangsa setelah mereka menfailkan tuntutan di tribunal sebelum itu.

Keadaan agak tegang seketika memaksa ejen terbabit menghubungi wakil syarikat untuk hadir menemui mangsa bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Kira-kira jam 4 petang, seorang wanita dikenali sebagai Chiw, 29 mendakwa sebagai kerani syarikat terbabit tampil menemui mangsa sebelum mengadakan perbincangan dengan pegawai PPDNKK selama kira-kira setengah jam.

Hasil perbincangan, Chiw bersetuju secara lisan untuk memulangkan kembali wang mangsa sebelum membuat satu aku janji bertulis tangan sebagai dokumen sokongan terhadap janji itu.

Mangsa masih sangsi

Wakil kumpulan terbabit, Yusuf Salleh, 48 dari Kuala Terengganu berkata, berdasarkan perjanjian itu, syarikat bersetuju memulangkan kembali wang mereka sebelum 30 Mei ini dan pembayaran akan dilakukan di PPDNKK.

Menurutnya, bagaimanapun mereka masih sangsi dengan janji itu kerana ada kemungkinan syarikat terbabit menghilangkan diri bagi mengelak membayar wang tersebut.

“Sekurang-kurangnya kami diberikan sedikit harapan hari ini (semalam) walaupun belum tentu pasti wang itu akan dikembalikan,” katanya.

Yusuf berkata, mereka berenam bertemu di TTPM semasa sesi pendengaran semalam sebelum mengambil keputusan untuk mengumpan ejen terbabit bagi menuntut kembali wang mereka selepas mendapati pejabat syarikat terbabit tutup. “Sebelum itu satu laporan polis turut dibuat berhubung kes ini bagaimanapun kami dinasihatkan supaya mengemukakan tuntutan di TTPM,’ katanya.

Menurutnya, kebetulan salah seorang mangsa yang turut terkena bersetuju untuk mengumpan agen terbabit ke PPDNKK dengan helah menjelaskan baki bayaran RM5,000 seperti yang dijanjikan.

“Kami kerugian antara RM3,000 hingga RM8,800 selepas terpedaya dengan tawaran menarik termasuk kereta mewah bernilai lebih RM100,000 dan pakej pelancongan sedangkan barang yang kami dapat hanya tilam dan dapur,” katanya.

Yusuf berkata, dia datang ke Kuantan 16 Mac lalu untuk membeli belah di sebuah pusat membeli belah di sini sebelum didatangi seorang lelaki dan menawarkan kupon hadiah cabutan bertuah secara percuma.

“Saya terkejut kerana memenangi hadiah yang cukup lumayan berupa sebuah kereta mewah dan hanya perlu membayar RM8,800 sebagai cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri dan kos iklan di 10 akhbar tempatan. “Kira-kira jam 6.30 petang hari yang sama, saya menjelaskan wang tersebut namun hadiah kereta yang dijanjikan bertukar kepada tilam dan dapur yang harganya jauh lebih rendah,” katanya.

Menyedari tertipu, dia tampil mengemukakan tuntutan di TTPM dan selepas pendengaran sebanyak dua kali, tuntutannya diterima apabila syarikat terbabit diarah memulangkan kembali jumlah wang tersebut manakala tilam dan dapur perlu diserahkan kembali.

“Bagaimanapun surat perintah itu gagal diserahkan kerana pejabat syarikat tutup lalu kami sepakat untuk melakukan tindakan ini,” katanya.

Kisah tertipu

Bagi Amir Hamzah, 43 dari Kemaman, Terengganu, dia membayar RM4,400 sebagai sebahagian daripada bayaran untuk melayakkannya menerima hadiah lumayan yang dijanjikan.

Menurutnya, dia ke Semambu untuk membeli cat sebelum didatangi agen syarikat gores dan menang.

“Entah di mana silapnya saya bersetuju dengan tawaran lelaki itu lalu menjelaskan sebahagian bayaran namun selepas itu baru sedar tertipu,” katanya yang hadir menfailkan tuntutan di TTPM, semalam.

Bagi Aflah Mohamed, 25, dia terpaksa mengeluarkan wang tabungan RM7,000 kerana berminat dengan hadiah kereta mewah dan pakej pelancongan ke luar negara yang dijanjikan.

“Bagaimanapun harapan saya lebur apabila hadiah yang dijanjikan itu hanya janji kosong sebaliknya beberapa barangan elektrik yang harganya jauh lebih murah diterima,” katanya.

Rata-rata mangsa yang ditemui mengakui kejadian yang menimpa mereka itu disebabkan kecuaian mereka sendiri bagaimanapun taktik licik yang digunakan agen syarikat terbabit menyebabkan mereka terpedaya.

Mereka buntu untuk mendapatkan kembali wang itu memandangkan undang-undang sedia ada dirasakan tidak mampu untuk melindungi mereka sebagai pengguna.

“Kami hanya mampu berharap dan berserah agar wang kami dikembalikan sepenuhnya seperti yang dijanjikan wakil syarikat tadi (semalam),”kata mereka.

Maklum balas pihak PPDNKK berhubung hal ini akan diperoleh dalam masa terdekat memandangkan pengarah dan timbalan tiada di pejabat, semalam.

Anak dilarikan bekas isteri



Anak dilarikan bekas isteri
Asrulmulah menunjukkan perintah mahkamah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah.
KUALA LIPIS - “Hidup saya kini merana apabila bekas isteri membawa lari anak kedua kami, Muhammad Zulkhairi, 6, yang sepatutnya di bawah jagaan saya sejak enam bulan lalu,”

Itulah rintihan Asrulmulah Dorok @ Abdullah, 31, bapa kanak-kanak yang dilarikan bekas isterinya, Nur Khuzaimah Abd Jalil, 28.

Asrulmulah berkata, dia berkahwin dengan Nur Khuzaimah pada 2005 dan dikurniakan dua cahaya mata sebelum bercerai pada Februari 2009.

“Setelah bercerai, Mahkamah Tinggi Syariah Selangor mengeluarkan perintah agar anak sulung, Nurnadia Zulaikha, 7, diberikan hak penjagaan kepada bekas isteri manakala saya mendapat hak penjagaan anak kedua, Muhammad Zulkhairi. “Kami juga diberikan hak lawatan pada hujung minggu dan perlu menghantar pulang anak tersebut pada jam yang ditetapkan,” katanya, di sini, semalam.

Asrulmulah berkata, pada Oktober tahun lalu, dia menyerahkan Muhammad Zulkhairi kepada bekas isterinya untuk hak melawat dan bermalam bersama namun Nur Khuzaimah tidak menyerahkan kembali anak kedua mereka kepada Asrulmulah.

“Saya kemudiannya membuat laporan polis selain turut mencari mereka di rumah bekas isteri di Batu Caves, Selangor namun kami dimaklumkan mereka telah berpindah ke tempat lain,” katanya.

Berlaku perselisihan faham

Asrulmulah berkata, pada pagi 6 Mei lalu, ketika dia bersama isterinya, Haryati Namli, 27, sedang dalam perjalanan ke Kelantan, mereka singgah di rumah keluarga Asrulmulah di Felda Chegar Perah dan mendapati bekas isteri bersama kedua-dua anaknya berada di sana.

“Saya cuba memegang Muhammad Zulkhairi namun berlaku sedikit perselisihan faham antara saya dan bekas isteri,” katanya.

Asrulmulah berkata, dia kemudiannya ditenangkan ahli keluarga dan beberapa penduduk kampung yang datang ke rumah keluarganya.

“Kira-kira jam 5 petang, saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk diambil keterangan selain turut mengemukakan dokumen, laporan dan perjanjian hak jagaan yang dikeluarkan mahkamah,” katanya.

Asrulmulah berkata, namun begitu, kira-kira jam 8 malam dia mendapati ahli keluarga bekas isterinya membawa kedua-dua anak mereka ke dalam kereta dan memecut pergi dari IPD.

“Saya kemudiannya cuba mendapatkan penjelasan polis dan menerangkan hak penjagaan anak diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam namun gagal. “Polis turut menyatakan bahawa mereka tidak ada kuasa dalam kes berkenaan dan meminta kami merujuk
semula ke mahkamah,” katanya.

Polis tiada hak putuskan penjagaan anak

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, pihaknya tidak ada hak untuk merampas Muhammad Zulkhairi dari Nur Khuzaimah untuk diserah­kan kepada Asrulmulah.

“Sekiranya wujud masalah ­seperti ini, pengadu (Asrulmulah) sepatutnya merujuk kes berkenaan di mahkamah dan menunjukkan surat hak pen­jagaan anak mereka. “Mahkamah akan mengeluarkan satu perintah hak penjagaan anak bagi menyelesaikan masalah mereka. Seandainya bekas isteri pengadu ­masih gagal memberikan kerjasama, dia boleh dikenakan denda kerana ingkar arahan mahkamah,” katanya.

Abdul Razak berkata, ketika di ­rumah keluarga Asrulmulah di Felda Chegar Perah, berlaku pergaduhan kecil hingga menyebabkan kecederaan kepada bekas isterinya.

“Pihak polis turut akan ­mendakwa Asrulmulah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatang­kan kecederaan kepada bekas ­isterinya,” katanya.

Abdul Razak berkata, masalah seperti itu seharusnya diselesaikan dengan cara lebih berhemah dan memerlukan kerjasama dari kedua belah pihak.

“Sikap bertolak ansur perlu ada bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku. Kita tidak mahu hanya dengan kejadian seperti ini menimbulkan masalah kepada pihak lain selain turut memberi kesan negatif ­kepada anak-anak,” katanya.

Diseret lori lima meter



Diseret lori lima meter
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
KUALA TERENGGANU – Seorang pekerja kontrak maut setelah motosikal yang ditunggangnya terlanggar kereta, sebelum diseret sebuah lori sejauh kira-kira lima meter di hadapan Kem 512, Askar Wataniah, Kem Padang Midin, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang kelmarin di Jalan Padang Midin itu, mangsa, Ismail Jusoh, 52, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin ketika dihubungi berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Bukit Payong, Marang ke rumahnya di Durian Burung, di sini, sebelum motosikalnya terlanggar bucu belakang sebuah Proton Waja.

“Mangsa kemudian terbabas ke lorong kanan jalan dan dilanggar sebuah lori. “Mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut keluarga malam semalam (kelmarin),” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan hospital apabila isteri mangsa, Fatimah Muda, 46, gagal menahan sebak atas kehilangan suami tercinta.

Fatimah berkata, dia hampir pitam setelah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memaklumkan insiden berkenaan, sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Alangkah luluhnya hati dan perasaan saya sebaik tiba di tempat kejadian apabila melihat tubuh suami kaku dan tidak bernyawa lagi. “Sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan luar biasa dan pemergiannya secara tiba-tiba ini menyebabkan kami sekeluarga hilang tempat bergantung,” kata ibu kepada enam anak ini.
Menurutnya, dia yang bekerja di sebuah kedai makan berdekatan rumahnya, kini perlu menanggung keluarga sendirian, apatah lagi kesemua anaknya masih bersekolah dan menuntut di universiti.
“Bagaimanapun, saya agak terkilan kerana seorang anak kami yang sedang menuntut di Mesir tidak sempat menatap arwah bapanya buat kali terakhir, namun saya tetap reda,” katanya.